Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Mazda CX-30 EV ditampilkan di Auto Shanghai

    Mazda CX-30 EV ditampilkan di Auto Shanghai

    Mazda CX-30 EV telah pun ditampilkan di Auto Shanghai 2021 yang sedang rancak berlangsung. Ia merupakan kenderaan elektrik produksi semasa kedua dari jenama itu, yang diperkenalkan dalam acara yang sama selepas MX-30. Disasarkan dijual pada tahun ini menerusi Changan Mazda – kerjasama antara Changan Automobile dan Mazda – crossover semua-elektrik ini akan menampilkan penjana kuasa e-SkyActiv.

    Walau bagaimana pun, Mazda masih belum mendedahkan informasi mengenai penjana kuasanya, tetapi menyatakan CX-30 berkongsi SkyActiv-Vehicle Architecture dengan MX-30 (dan Mazda 3), jadi kami jangkakan ia juga berkongsikan spesifikasi yang sama.

    MX-30 dilengkapi dengan motor elektrik hadapan dengan kadar 143 PS (141 hp atau 105 kW) dan tork 264 Nm, yang dijanakan oleh bateri lithium-ion 35.5-kWh. Bateri tersebut menyokong kedua-dua pengecasan AC dan DC, dengan AC yang berkeupayaan menerima input maksimum hingga 6.6 kW menerusi sambungan Type 2. Sementara pengecas DC pula menerusi sambungan CCS, dan dengan input 50-kW, dengan capaian pengecasan 80% mampu dilakukan antara 30 hingga 40 minit.

    Bagi aspek rekaannya, CX-30 EV berbeza dengan model biasa, hasil penambahan jarak kelegaan tanah (ground clearance) untuk ruang penempatan pek bateri yang diletakkan di lantai. Ciri lain yang ditampilkan termasuklah bumper lip, gerbang roda yang menyerlah, pemijak tepi, rel bumbung dan rocker panel dengan penjenamaan e-SkyActiv.

    CX-30 EV menjadi EV pertama dari jenama ini ditawarkan di China, dan ia mungkin menjadi model eksklusif di pasaran, sementara MX-30 pula untuk pasaran di luar China. Perincian lanjut untuk crossover semua-elektrik ini akan didedahkan sepenuhnya tahun ini.

     
     
  • Nissan X-Trail 2021 didedah untuk China – 204 PS/300 Nm, 1.5L VC-Turbo, Eropah dapat e-Power pada 2022

    Nissan X-Trail 2021 didedah untuk China – 204 PS/300 Nm, 1.5L VC-Turbo, Eropah dapat e-Power pada 2022

    Hampir setahun selepas Nissan Rogue diperkenalkan di Amerika Syarikat, SUV famili saiz sederhana itu akhirnya memakai lencana X-Trail. Model generasi ke-empat ini telah pun diperkenalkan dalam pertunjukan automotif Auto Shanghai yang sedang berlangsung.

    Walau bagaimana pun, ada perbezaan di bawah bonetnya, di mana X-Trail untuk pasaran China diberikan enjin baharu 1.5 liter pengecas turbo empat-silinder bagi menggantikan unit 2.5 naturally-aspirated. Ini merupakan penjana kuasa yang pertama di China yang juga menggunakan teknologi variable compression (VC-Turbo) untuk memberikan prestasi yang tinggi dan penggunaan bahan api yang rendah – yang pertama kali digunakan untuk enjin 2.0 liter bagi model Nissan dan Infiniti di USA.

    Enjin tersebut mampu menghasilkan 204 PS dan tork 300 Nm (dengan lencana VC-Turbo 300) dan dipadankan dengan Xtronic CVT yang dipertingkatkan bersama nisbah yang lebih lebar dan kapasiti tork lebih tinggi, serta sistem pacuan semua-roda 4×4-i generasi-kedua. Penggunaan bahan api dianggarkan sekitar 5.8 liter bagi setiap 100 km.

    Nissan X-Trail 2021 didedah untuk China – 204 PS/300 Nm, 1.5L VC-Turbo, Eropah dapat e-Power pada 2022

    Selain itu, X-Trail membawakan penggayaan Rogue, termasuklah gril V-motion yang besar, lampu utama LED terpisah, lampu belakang yang nipis, dan rekaan “bumbung terapung”. Di dalamnya, ia menampilkan rekaan papan pemuka melintang, konsol tengah yang lebar dan rendah dan tuil gear elektronik, serta paparan instrumen digital 12.3-inci dan paparan utama 10.8-inci.

    Malahan, pembeli di China juga menerima skrin sesentuh infotainmen 12.3-inci yang besar berbanding paparan NissanConnect sembilan-inci di USA. Nissan juga telah mempertingkatkan fungsi pemanduan semi-autonomous ProPilot, kawalan suhu automatik tiga-zon dan penyingkiran bunyi bising aktif.

    Nissan X-Trail 2021 didedah untuk China – 204 PS/300 Nm, 1.5L VC-Turbo, Eropah dapat e-Power pada 2022

    X-Trail ini akan dijual di China pada separuh kedua tahun ini. Nissan juga telah mengumumkan model ini akan dijual di Eropah, tetapi ia akan tiba di benua berkenana pada musim panas 2022.

    Walau pun terpaksa menunggu agak lama, pembeli di Eropah bakal menerima penjana kuasa elektrik e-Power. Namun buat masa ini, perinciannya masih belum didedahkan, tetapi mungkin sama dengan sistem yang terdapat pada Qashqai baharu, yang menampilkan motor elektrik berkapasiti 140 kW (190 PS) dan enjin 1.5 liter dengan hamburan 156 PS untuk mengecas bateri. Sistem pacuan-semua roda juga bakal ditampilkan.

     
     
  • Lynk & Co 09 – SUV besar guna platform SPA Volvo

    Lynk & Co 09 – SUV besar guna platform SPA Volvo

    Walaupun sudah dipanggil sebagai jenama kenderaan mewah bagi Geely, status Lynk & Co kini naik satu lagi tahap apabila mereka memperkenalkan model pertama yang menggunakan platform Scalable Premium Architecture (SPA) daripada Volvo.

    Ini adalah platform sama yang digunakan pada model S60/V60, S90/V90, XC60 dan XC90, dan mempunyai kelebihan saiz serta teknologi berbanding platform Compact Modular Architecture (CMA) yang digunakan oleh Lynk & Co sebelum ini. Menurut syarikat itu, bukan sahaja ciri premium bakal bertambah, platform ini juga menawarkan perlindungan perlanggaran lebih tinggi, enjin lebih berkuasa, lebih senyao, kurang NVH dan lebih banyak sistem bantuan pemandu.

    Platform SPA juga menyediakan akses kepada enjin empat silinder turbo 2.0 liter Volvo serta kotak gear automatik lapan kelajuan Aisin, yang ditawarkan dalam variasi hibrid ringkas, hibrid penuh dan plug-in hybrid. Jumlah kuasa berada antara 252 PS hingga 431 PS, dan 177 PS lagi boleh datang daripada motor elektrik di belakang.

    Tetapan ini sudah digunakan pada beberapa model SPA, termasuklah Volvo Recharge T8 dan Polestar 1 dengan sistem plug-in hybrid tiga motor berkuasa 608 PS. Lynk & Co juga memberitahu model mereka yang menggunakan SPA ini akan mempunyai pakej pemanduan semi autonomous dan sokongan atas talian seperti yang sudah dipasang pada Volvo.

    Jadi, apakah model pertama Lynk & Co yang menggunakan platform ini? Gambar pertamanya sudah didedah dan dipanggil sbagai 09 – seperti adik kepada XC90. Profail tepinya memang menampakkan sebuah crossover premium, dengan badan yang panjang serta bahagian depan yang tegap.

    Lampu jenis terpisah yang sudah menjadi keunikan model Lynk & Co masih dikekalkan, dan ia ditambah lagi dengan beberapa perincian seperti bukaan udara hiasan di pintu dan pembuka pintu yang tenggelam. Gambar lain yang terdedah dalam laman web Sohu pula menampakkan gril yang lebih besar dengan jalur menegak.

     
     
  • Volkswagen Polo Mk6 facelift dalam imej teaser

    Volkswagen Polo Mk6 <em>facelift</em> dalam imej <em>teaser</em>

    Volkswagen Polo facelift nampaknya sudah bersedia untuk diperkenalkan pada 22 April ini. Menurut pengeluarnya, rekaan, teknologi dan spesifikasi Polo Mk6 telah diberikan naik taraf yang menyeluruh. Model generasi semasa muncul pertama kali pada 2017, dan wajar diberikan facelift pertengahan hayat. Tetapi ini bukanlah Polo yang familiar di Malaysia, kerana di sini masih dengan versi Mk5.

    Satu-satunya imej teaser yang ada ini menunjukkan wajah depan hatchback ungu yang telah diberikan sentuhan baru. Kluster lampu utamanya tampil lebih tirus dan tajam, dan di dalamnya menempatkan lampu LED berkembar. DRL LED-nya juga kali ini menempati keseluruhan lebar penuh — tiada lagi bahagian krom yang sebelum ini menyambungkannya. Ada satu lagi jalur DRL di bahagian sisi.

    Menjadi antara model penting Volkswagen sejak 1975 (terjual 18 juta unit setakat ini), Polo tidak pernah sebesar ini. Versi Mk6, yang menggunakan platform MQB, ialah 81 mm lebih panjang (4,053 mm), 94 mm lebih lebar (1,751 mm) dan 7 mm lebih rendah (1,446 mm) berbanding versi Mk5 yang kita ada di sini. Jarak antara rodanya pula 94 mm lebih panjang (2,564 mm).

    “Teknologi baru juga diterapkan pada model ini. Panel instrumen lebih digital dan terangkum dalam rangkaian yang lebih luas. Ini akan melanjutkan lagi peningkatan dan penerimaan terhadap model popular ini,” ujar Volkswagen.

     
     
  • Ford Evos buat penampilan di Auto Shanghai 2021 — semi-autonomous Tahap 2, skrin lebar 1.1 meter

    Ford Evos buat penampilan di Auto Shanghai 2021 — semi-autonomous Tahap 2, skrin lebar 1.1 meter

    Untuk pameran Auto Shanghai 2021 tahun ini, Ford telah memperkenalkan model crossover Evos terbarunya. Ia kenderaan pertama yang dibangunkna di bawah pelan China 2.0 syarikat itu, dan juga model pertama yang menggunakan pendekatan “Progressive Energy in Strength” yang diselaraskan dengan estetika China.

    Ini bermakna, Evos menjadi model pertama Ford yang dibangunkan oleh pasukan di China dengan memanfaatkan kepakaran global jenama itu, dan direka berdasarkan pengalaman konsumer serta senario pemilikan di China, ujar Ford.

    Tak banyak yang turut dikongsikan berkaitan Evos. Sekilas pandang, ia berkongsi sedikit persamaan dengan rekaan Mustang Mach-E yang turut dipamerkan di Shanghai ketika ini dan dibuka untuk tempahan di China. Mach-E dijual pada harga dari 265,000-379,900 renminbi (RM167,925-RM240,735) di sana.

    Ford Evos buat penampilan di Auto Shanghai 2021 — semi-autonomous Tahap 2, skrin lebar 1.1 meter

    Mach-E adalah kenderaan elektrik-bateri sepenuhnya, sementara Evos mungkin akan melibatkan juga enjin pembakaran dalaman, memandangkan gril depannya terbuka untuk masukan udara, serta panel instrumen kelebaran penuhnya turut mempunyai paparan rev counter di bahagian pemandu.

    Skrinnya berukuran 1.1 meter lebar, dan ini turut melibatkan kluster instrumen digital 12.3-inci berserta skrin sentuh 27-inci dengan resolusi 4K. Evos dilengkapi aspek elektrikal Fully Networked Vehicle dan seni bina elektronik untuk menyokong kemaskini perisian secara over-the-air (OTA).

    Sistem infotainmennya dikuasakan oleh Ford Sync+ 2.0, dan digabungkan dengan teknologi AI Baidu bersekali dengan eko-sistem aplikasi digitalnya. Evos juga menandakan kedatangan fungsi Virtual Personal Assistant pertama Ford, dengan mod “Co-Driver” pertama untuk industri bertujuan menjadikan perjalanan lebih cekap dan menyeronokkan bagi pemandu dan penumpang.

    Ford Evos buat penampilan di Auto Shanghai 2021 — semi-autonomous Tahap 2, skrin lebar 1.1 meter

    Paparan dengan kelebaran pernuhnya boleh digunakan untuk pelbagai tujuan, antaranya memaparkan status kenderaan, navigasi dan papan tanda trafik. Penumpang sisi juga boleh mencapai kandungan hiburan dari sebelah mereka, sementara pemandu boleh menggunakan navigasi pada paparan sebelah yang satu lagi tanpa gangguan.

    Evos hadir dengan fungsi bantuan pemandu oleh BlueCruise, pertama kali bagi Ford yang menawarkan bantuan pemanduan Tahap 2 yang membolehkan pemandu mengendalikan kenderaan tanpa input tangan pada seksyen yang telah ditetapkan awalnya (Hands-Free Blue Zones). Penggunaan C-V2X (vehicle-to-everything communication) pula membolehkan pemandu menghindar halangan dan menambah kecekapan.

    Versi ini yang dipamer di Shanghai 2021 dijangka akan masuk produksi oleh kerjasama Changan Ford di China, dan akan mula dijual melalui rangkaian pengedaran Ford NDSD.

     
     
  • BMW i4 M Sport muncul di Auto Shanghai – EV 530 PS

    BMW i4 M Sport muncul di Auto Shanghai – EV 530 PS

    Selepas gambar versi biasa didedahkan Mac lalu, kini BMW i4 muncul di Auto Shanghai 2021, dengan buat kali pertamanya dilihat menggunakan kit badan M Sport. Menurut BMW, jualan EV ini akan dimulakan di China dalam tahun ini, dan diikuti oleh pasaran lain selepas itu.

    Jika dibandingkan dengan set gambar awal yang didedahkan, pakej M Sport pada model yang dibawa ke Auto Shanghai ini tidaklah begitu keterlaluan. Di depan, cuma bampar sahaja yang direka semula, sementara di bahagian bucu masih terdapat bukaan udara serta gril besar yang sama.

    Pergi pula ke tepi, anda akan dapat melihat jalur grafik hitam dari fender hingga ke pintu belakang (i4 biasa menggunakan warna biru), lencana M serta rim M lima cabang baru, berukuran 19 inci. Penutup tengah rim itu juga diserikan dengan warna biru bagi memadankannya dengan angkup brek depan dan belakang.

    BMW i4 M Sport muncul di Auto Shanghai – EV 530 PS

    Pada bahagian belakang, perubahannya memerlukan pemerhatian yang lebih terperinci. Bentuk bampar sebenarnya telah direka semula dan anda boleh melihat perbezaannya pada bahagian bucu, sama seperti bampar hadapan. Kemasan jalur biru di bawah masih dikekalkan, sama seperti i4 biasa.

    Gambar bahagian dalam masih belum diterima, tetapi kita boleh menjangkakan pengubahsuaian biasa M seperti kemasan bumbung hitam, stereng lebih cantik, balutan tempat duduk baru dengan jahitan kontras dan mungkin juga warna tali pinggang yang lain.

    Prestasi sebenar i4 masih belum didedah, dan BMW setakat memberitahu ia menawarkan keseimbangan sempurna antara pemanduan sporty, keselesaan jarak jauh serta prestasi berlanjutan yang unik dalam segmen ini. Pek bateri padannya boleh menawarkan jarak gerak sehingga 590 km dengan satu cas penuh, dan motor elektrik padanya boleh menghasilkan kuasa sehingga 530 PS.

    GALERI: BMW i4 biasa

     
     
  • Mercedes-Benz C-Class L diperkenal di China – jarak roda lebih panjang 89 mm, belakang lebih mewah

    Mercedes-Benz C-Class L diperkenal di China – jarak roda lebih panjang 89 mm, belakang lebih mewah

    Demi memenuhi permintaan pelanggan di China yang gemarkan kenderaan panjang, Mercedes-Benz telah mendedahkan C-Class jarak roda panjang baru waktu acara Auto Shanghai. Model yang menggunakan asas daripada C-Class W206 generasi kelima ini dibuat oleh Beijing Benz, iaitu syarikat kerjasama BAIC Motor dan Daimler.

    C-Class L mempunyai jarak roda 89 mm lebih panjang berbanding W206 biasa, iaitu 2,954 mm, sementara kalau dibandingkan pula dengan model V205 sebelumnya, ia adalah 34 mm lebih panjang. Ukuran keseluruhan dari depan ke belakang juga sudah tentu bertambah, menjadi 4,882 mm, iaitu 131 mm lebih panjang berbanding W206 biasa.

    Pada aspek rekaan, rupa C-Class L ini sama sahaja seperti model C-Class biasa, tetapi ada beberapa bahagian yang diubah dan menampakkan bezanya. Sebagai permulaan, pintu belakang adalah lebih besar demi memudahkan penumpang keluar dan masuk ke dalam kabin yang juga lebih luas, manakala di belakang, terdapat lencana C260L dan pada c-pillar pula terdapat lencana L unik.

    Berdasarkan gambar yang disediakan oleh Mercedes-Benz, model ini akan ditawarkan dalam dua pakej penggayaan. Yang pertama, adalah AMG Line dengan pin pada gril berwarna krom, manakala satu lagi kelihatan seperti Exclusive Line yang mempunyai gril berjalur serta bonet yang berbonjol.

    Di dalam, bahagian depan sama sahaja seperti model biasa, tetapi di belakang barulah perubahannya lebih besar. Penumpang bukan setakat mendapat ruang yang lebih luas, tetapi juga tempat duduk yang lebih selesa dengan terdapat seperti bantal pada penyandar kepala. Suspensi serta kedapan udara untuk model ini juga ditambah baik untuk memberikan lebih keselesaan.

    Berdasarkan laporan daripada Autohome, C-Class L akan ditawarkan kepada pelanggan di China dengan enjin petrol empat silinder 1.5 liter yang boleh dipilih untuk dipadankan bersama sistem hibrid ringkas 48 volt ataupun tidak, serta enjin empat silinder 2.0 liter. Transmisi automatik 9G-Tronic dengan pacuan dua roda hadapan adalah standard, sementara pacuan semua roda 4Matic pula disediakan sebagai pilihan tambahan.

     
     
  • Toyota sifatkan peralihan ke kereta elektrik akan jadi punca masalah lain; ia masih dijana dari sumber fosil

    Toyota sifatkan peralihan ke kereta elektrik akan jadi punca masalah lain; ia masih dijana dari sumber fosil

    Ketika mendedahkan kereta elektrik penuh (EV) pertamanya di Auto Shanghai 2021 semalam iaitu model konsep Toyota BZ4X, gergasi automotif dari Jepun berkenaan turut mengumumkan bahawa mereka akan menghasilkan 15 model elektrik penuh sehingga menjelang 2025 nanti.

    Namun seperti yang dikatakan presidennya sebelum ini, menggantikan semua kereta berkuasa petrol dan diesel sedia ada kepada elektrik mungkin akan menimbulkan masalah lain. Kali ini perkara yang sama disuarakan pula ketua jualan dan pemasaran Toyota Australia, Sean Hanley.

    Menurut Hanley dalam laporan Car Advice, neutral karbon tidak dapat akan dicapai dengan cara beralih sepenuhnya kepada kereta elektrik sepenuhnya kerana satu pertiga pencemaran CO2 dalam dunia buat masa sekarang adalah disebabkan penjanaan kuasa elektrik. “Malah menjelang 2040, lebih dari separuh tenaga elektrik dalam dunia dijangka akan dijana dari bahan api fossil,” ujarnya lagi.

    Tambah Hanley, “oleh itu, jika semua kereta menjadi (kenderaan elektrik sepenuhnya), permintaan untuk kuasa elektrik akan meningkat dan neutral karbon mungkin jauh untuk dicapai.”

    Toyota sifatkan peralihan ke kereta elektrik akan jadi punca masalah lain; ia masih dijana dari sumber fosil

    Toyota sebelum ini pernah menyeru agar industri automotif mengimplementasikan “penilaian kitaran hidup”, yang turut mengambil kira aspek bermula dari melombong bahan bagi membuat bateri, proses memasang kenderaan, penghantaran jalan laut, penghantaran jalan darat hingga ke bilik pameran.

    “Ini memerlukan kami untuk mengurangkan penghasilan Co2 sehingga sifar merentasi produksi, pengagihan, penggunaan, kitar semula dan pelupusan kenderaan. Apa yang kita perlu adalah perspektif yang lebih besar,” kata Hanley lagi.

    Hanley meyimpulkan bahawa pada akhirnya pemacu utama terhadap elektrifikasi kenderaan adalah konsumer sendiri. Beliau menyatakan bahawa rakyat Australia memerlukan kenderaan yang boleh digunakan dalam pelbagai perkara, dari kawasan pendalaman dan bandar sehingga pemanduan off-road.

    Toyota sifatkan peralihan ke kereta elektrik akan jadi punca masalah lain; ia masih dijana dari sumber fosil

    “Kenderaan kami mesti perlu memenuhi keperluan ini. Tiada sebab kita perlu bawa kereta ke pasaran yang ia tidak mampu untuk membuat apa yang dimahukan oleh konsumer. Ini bukan bermaksud kenderaan perlu kurang kemampuan, (tetapi) ia perlu direka dan dibangunkan untuk melakukan apa yang rakyat Australia mahukan,” kata Hanley lagi.

    Manakala jurucakap Toyota Australia, Emily Hasselhoff pula berkata dengan menjual lebih kereta elektrik ia mungkin akan membawa kepada “kesan sebaliknya” kepada pengurangan pencemaran, “kecuali jika semua orang ada panel solar di rumah masing-masing.”

    Menurut Toyota, untuk dekad seterusnya mereka akan mempelbagaikan lagi pilihan teknologi selain dari kenderaan petrol dan diesel, dengan memperkenalkan lebih model hibrid, plug-in hybrid, elektrik penuh dan juga model hidrogen.

     
     
  • Volocopter, Geely pamerkan teksi udara elektrik 2X di Auto Shanghai – servis UAM bakal bermula di China

    Volocopter, Geely pamerkan teksi udara elektrik 2X di Auto Shanghai – servis UAM bakal bermula di China

    Kita mungkin tergelak bila membicarakan hal ‘kereta terbang’. Namun pada peringkat global, mobiliti udara ini sebenarnya memang sedang serius dibangunkan, berdasarkan perkembangan terkini sektor mobiliti udara urban (UAM).

    Volocopter merupakan syarikat yang menghasilkan teksi udara dari Jerman, namun ia kini menerima dana pelaburan dari pembuat automotif China, Geely. Dan sebab itu model terkini mereka iaitu teksi udara Volocopter X2 kini sedang dipamerkan di reruai Geely pada acara Auto Shanghai 2021 yang sedang berlangsung.

    Syarikat berkenaan mendedahkan kerjasama mereka bersama Geely dan mensasarkan untuk memperkenalkan mobiliti udara ke pasaran China. Jadi mereka tidak membawa model skala, sebaliknya unit sebenar Velocopter 2X di bawa terus ke dewan pameran tersebut bagi mendedahkan kaedah pengangkutan baharu itu kepada orang ramai.

    UAM merupakan sektor baharu yang sedang meningkat naik dalam industri penerbangan dan ia fokus terhadap perjalanan udara dalam dan sekitar bandar. Volocopter mendakwa mereka merupakan perintis dalam teknologi teksi udara elektrik yang boleh berlepas dan mendarat secara menegak (eVTOL), dan sedang membangunkan ekosistem yang diperlukan bagi menawarkan servis taxi udara elektrik antara bandar.

    Volocopter, Geely pamerkan teksi udara elektrik 2X di Auto Shanghai – servis UAM bakal bermula di China

    Bersama dengan Geely Technology Group, Volocopter kini sudah pun memulakan proses bagi memperkenalkan servis ini di China serta mewujudkan model yang boleh diskalakan untuk produksi dan operasi.

    Sejak pengumuman pelaburan strategik Geely dalam Volocopter pada 2019, syarikat berkenaan telah menggabungkan kepakaran mereka dalam mobiliti bagi mengenalpasti di mana servis teksi udara elektrik ini paling bagus untuk diperkenalkan di China.

    “Geely yang meneraju pasaran di China serta pendekatan pemikiran ke hadapan bagi memperluaskan pilihan mobiliti menjadikan mereka pelabur strategik yang baik. Mereka merupakan rakan yang tidak ternilai untuk membawa mobiliti udara urban ke China – salah satu pasaran yang paling berpotensi bagi industri UAM secara global,” kata CEO Volocopter Florian Reuter.

    Volocopter dan Geely Technology Group telah bersetuju untuk bekerjasama bagi menjadikan servis UAM satu realiti di China serta sudahpun memohon lesen perniagaan. “Volocopter merupakan perintis dan peneraju solusi eVTOL untuk servis teksi udara yang selamat, mampan, dan praktikal. Bersama, kami akan memperolehi teknologi dan kapasiti produksi untuk melancarkan ekosistem mobiliti udara urban dalam bandar-bandar di China,” kata Charlie Jing, CEO Aerofugia, iaitu anak syarikat Geely Technology Group.

    Volocopter, Geely pamerkan teksi udara elektrik 2X di Auto Shanghai – servis UAM bakal bermula di China

    Volocopter 2X disifatkan sebagai dikenali kerana keselamatannya serta menampilkan “pencemaran bunyi yang sangat rendah.” Pesawat berkenaan mempunyai sembilan bateri yang boleh ditukar ganti bagi menggerakkan 18 rotor. Rekaan ini membolehkan sistem tersebut beroperasi dengan selamat – jika berberapa rotor tidak berfungsi, ia masih boleh mendarat dengan selamat.

    Juga, dengan bilah rotor yang kecil menjadikan ia ciri signifikant bagi menghasilkan bunyi Volocopter yang rendah seakan lebah. Menurut syarikat berkenaan, bunyi yang dihasilkan oleh Volocopter 2X ini tidak akan kedengaran pada tahap kebisingan jalan biasa sekiranya ia terbang pada ketinggian 100 meter.

    Pada 2019, Volocopter 2X telah berjaya terbang di Marina Bay, Singapura dan menunjukkan bahawa integrasi teksi udara elektrik ini dalam pengurusan trafik udara (ATM) dan pengurusan trafik tanpa manusia (UTM) adalah tidak mustahil. Model dua tempat duduk berkenaan telah terbang dalam berberapa ujian kempen dan telah ditetapkan sebagai kenderaan yang akan beroperasi di China.

    Untuk khidmat masa hadapan, Volocopter akan menggunakan pesawat generasi kelima mereka iaitu VoloCity, yang kini sedang dalam proses mendapatkan kelulusan dari Agensi Keselamatan Penerbangan Eropah. Ia akan meningkatkan kelajuan kepada 110 km/j dan tempoh penerbangan lebih lama iaitu 35 minit, selepas mengambil kira simpanan kuasa bateri dan angin depan.

     
     
  • Rentas negeri dengan kebenaran hanya boleh dari Isnin hingga Khamis sahaja, syarat lebih ketat – Polis

    Rentas negeri dengan kebenaran hanya boleh dari Isnin hingga Khamis sahaja, syarat lebih ketat – Polis

    Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah pun mengesahkan bahawa selepas ini orang ramai yang memohon untuk pergerakan merentas negeri hanya dibenarkan berbuat demikian pada hari Isnin hingga Khamis sahaja. Perkara ini disebutkan sendiri Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani kepada Astro Awani.

    Menurut beliau, ini adalah sebahagian langkah mengetatkan pergerakan rentas negeri berikutan peningkatan kes baharu Covid-19 di negara ini, dan sebab-sebab yang membolehkan seseorang itu untuk merentas negeri juga telah dihadkan.

    “Pergerakan rentas negeri hanya dibenarkan bagi tujuan pekerjaan, kecemasan dan kematian (hanya melibatkan ahli keluarga terdekat iaitu ibu bapa, anak dan adik-beradik sahaja), perubatan, pendidikan serta pasangan jarak jauh.

    “Sekiranya permohonan pergerakan diluluskan, ia hanya dibenarkan pada Isnin hingga Khamis sahaja, manakala pergerakan pada hujung minggu iaitu Jumaat hingga Ahad tidak akan diluluskan.

    ” (Bagaimanapun) ini tidak termasuk bagi urusan kecemasan, kematian dan pasangan jarak jauh,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

    Beliau juga menegaskan bahawa pergerakan rentas negeri bagi tujuan sosial seperti menghadiri kenduri perkahwinan atau apa-apa majlis atau jamuan adalah dilarang. Perkara ini akan berkuat kuasa sehingga selepas Aidilfitri dan mana-mana pihak yang ingkar akan dikenakan tindakan tegas, tambah beliau.

     
     
  • Maserati Levante Hybrid diperkenalkan – 2.0L turbo 4-silinder dengan teknologi eBooster; 330 PS/450 Nm

    Maserati Levante Hybrid diperkenalkan – 2.0L turbo 4-silinder dengan teknologi eBooster; 330 PS/450 Nm

    Susulan pengenalan Maserati Ghibli Hybrid pada Julai tahun lalu, pengeluar kereta Itali ini masih terus memperkenalkan model elektrifikasi dengan model terkini, Levante Hybrid baharu. Ini merupakan SUV elektrifikasi pertama dari Maserati dan ia telah diperkenalkan dalam acara Auto Shanghai yang sedang berlangsung secara digital yang dipancarkan ke seluruh dunia.

    Penjana kuasa hibrid yang digunakan juga mirip dengan yang ditampilkan pada Ghibli Hybrid, iaitu 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder petrol dan alternator berkuasa 48 voltan. Ia juga diberikan eBooster electric supercharger untuk mengisi jurang tork sebelum turbo membuat kerjanya, atau memulihkan tenaga semasa brek atau pendikitan dilambatkan.

    Ia turut digandingkan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan sumber-ZF, sama seperti Ghibli Hybrid, walau bagaimana pun yang membezakannya ialah Levante Hybrid merupakan pacuan semua-roda.

    Bagi output, penjana kuasanya mampu memberikan 330 PS (325 hp) pada 5,750 rpm dan tork 450 rpm pada 2,250 rpm, membolehkan ia dipecut dari sifar hingga 100 km/j dalam enam saat dan kelajuan maksimum mampu mencecah lebih 240 km/j. Walau bagaimana pun Ghibli Hybrid menawarkan prestasi yang lebih bagus – 0-100 km/j dalam 5.7 saat dan kelajuan maksimum 255 km/j – tetapi SUV ini lebih berat – 2,090 kg berbanding 1,878 kg.

    Berbanding dengan barisan Levante yang lain, varian hibrid adalah lebih berkuasa tetapi kurang tork berbanding varian diesel dengan pek 275 PS (271 hp) dan tork 600 Nm dari enjin 3.0 liter turbodiesel V6. Di kalangan penjana petrol dalam barisannya, Levante Hybrid adalah yang paling kurang berkuasa, dengan enjin 3.0 liter turbo-berkembar V6 untuk varian asas (350 PS/500 Nm) dan Levante S (430 PS atau 424 hp/580 Nm), dengan kedua-duanya menawarkan output yang tinggi.

    Kalau ikutkan model lain dalam barisannya, enjin 3.8 liter turbo-berkembar V8 yang digunakan pada Levante GTS (558 PS atau 550 hp dan 730 Nm) dan Levante Trofeo (598 PS atau 590 hp dan 730 Nm) turut menyalurkan prestasi yang lebih menggiurkan. Walau bagaimana pun pastinya versi hibrid menang dalam sudut penjimatan.

    Versi yang dilancarkan ini menampilkan kemasan warna metallic tri-coat baharu yang dipanggil Azzurro Astro, yang ditawarkan menerusi program penyesuaian Maserati Fuoriserie. Ciri lain untuk Levante Hybrid termasuklah serlahan biru pada sisi corong udara, kaliper brek dan logo pada tiang-C. Ciri ini lebih kurang sama dengan Ghibli Hybrid dan model hibrid Maserati yang lain.

    Di dalamnya, Levante Hybrid tidak menawarkan banyak perubahan berbanding varian biasa, cuma ciri unik yang ditampilkan ialah jahitan biru. Selain itu, model baharu ini juga menerima sistem telemetri Maserati Connect terkini, di mana pemiliknya boleh memeriksa status kereta mereka menerusi telefon bimbit atau jam pintar, dengan sokongan Amazon Alexa dan Google Assistant.

     
     
  • Geely Xingyue L flagship diperkenalkan di China — 2.0T, autonomous Tahap 2 dan 5G untuk parkir sendiri!

    Geely Xingyue L flagship diperkenalkan di China — 2.0T, autonomous Tahap 2 dan 5G untuk parkir sendiri!

    Geely Auto telah perkenalkan SUV premium flagship Xingyue L secara rasmi di Auto Shanghai 2021. Seperti dilaporkan sebelum ini, ia menggunakan asas Compact Modular Architecture Geely Volvo, dan SUV lima-tempat duduk ini menjadi taruhan SUV paling tinggi buat pengeluarnya.

    Menjadi nadi model ini ialah enjin 2.0 liter turbocas empat-silinder yang dibangunkan bersama Volvo. Dua talaan disediakan; satu dengan output 238 PS dan 380 Nm tork dan digandingkan dnegan transmisi automatik lapan-kelajuan Aisin. Ia juga lengkap dengan sistem pacuan empat-roda generasi keenam dari BorgWarner, dengan agihan tork 50:50. Ada lima mod pemanduan disediakan — Eco, Normal, Sport, Snow dan Offroad. 0-100 km/j dicapai dalam masa 7.7 saat.

    Satu lagi ialah versi yang menghasilkan 218 PS dan 325 Nm. Ini dipadankan dengan transmisi klac basah berkembar tujuh-kelajuan yang dibangunkan sendiri dengan kuasa disalurkan ke roda depan. 0-100 km/j versi ini boleh dicapai dalam masa 7.9 saat.

    Geely Xingyue L flagship diperkenalkan di China — 2.0T, autonomous Tahap 2 dan 5G untuk parkir sendiri!

    Dari sudut reka bentuk, Xingyue L mempertemukan pendekataan rekaan Timur dan Barat — dan melakukannya dengan agak baik, seperti apa yang dapat kita lihat kini. Garis-garis yang digunakan jelas dan bersih, dengan pandangan utama diraih oleh gril luasnya, lampu utama yang tirus dengan 126 LED berasingan yang boleh dikawal, kemasan krom seadanya serta lampu belakang LED dot-matrix yang mengandungi 176 modul LED.

    Di dalam, antara yang menarik perhatian ialah skrin infotainmen yang kelihatan mengalir, bersama kluster instrumen digital yang mengisi sebahagian besar kelebaran papan pemuka. Selain itu, ia dirangkai bersama sistem bunyi Bose dengan 10-pembesar suara dan pendekatan kedap bunyi dua lapisan.

    Rang dengan dua tona warna adalah standard, menggabungkan elemen hitam dengan warna gangsa klasik kehijauan. Material suede kustom juga digunakan di beberapa bahagian kabin, lengkap dengan sulaman ilham dari simpulan klasik China. Sistem pencahayaan kabin dengan 72 warna LED juga standard, dan boleh diubah mengikut mood dan suasana.

    Geely Xingyue L flagship diperkenalkan di China — 2.0T, autonomous Tahap 2 dan 5G untuk parkir sendiri!

    Apa yang lebih menarik ialah kelengkapan keselamatannya. Menurut Geely, model ini boleh melangkaui pemanduan autonomous Tahap 2 dengan adanya sistem valet tanpa kendalian manusia. Ini dicapai dengan sistem yang memanfaatkan teknologi 5G yang membolehkan SUV ini pusing sendiri dalam kawasan berkeluasan 200 meter.

    Melalui gabungan input dari 12 radar ultrasonic, radar gelombang 5 mm, empat kamera sekeliling berdefinisi tinggi, satu kamera monukular, satu dashcam, satu kamera dalaman dan dua dozen sensor persekitaran, driver boleh keluar dari kenderaan dan mengawal SUV ini untuk mencari ruang dan masuk parkir sendiri. Hal sebaliknya juga boleh dilakukan — pemandu boleh “memanggil” SUV ini untuk datang dan menjemput, selagi jaraknya tidak lebih dari 200 meter.

    Lain-lain kelengkapan termasuk kemaskini perisian cara langsung, yang membolehkan semua fungsi maju seperti sistem bantuan pemandu, infotainmen, kuasa, casis, pemanduan autonomous, sambungan dan banyak lagi dinaiktaraf dari semasa ke semasa.

     
     
  • Audi A6 e-tron Concept didedah – EV yang dibina atas platform PPE baru, jarak gerak hingga 700 km

    Audi A6 e-tron Concept didedah – EV yang dibina atas platform PPE baru, jarak gerak hingga 700 km

    Model baru kedua yang ditunjukkan oleh Audi di Auto Shanghai 2021 adalah A6 e-tron Concept ini, tidak berapa lama selepas Q4 e-tron dan Q4 Sportback e-tron didedah. Ia diberitahu menggunakan platform Premium Electric (PPE) baru yang dibangunkan bersama oleh Audi dan Porsche, dan ia boleh digunakan untuk pelbagai jenis kenderaan.

    Pada aspek rekaan, model empat pintu ini nampak menarik dengan lampu LED yang nipis serta gril Singleframe yang tertutup. Pada bucu bampar pula terdapat bukaan udara yang dilihat agak besar. Lebih unik adalah di bahagian belakang, kerana lampunya tidak menggunakan jalur melintang, sebaliknya bintik-bintik seakan bersepah dan berterusan sehingga ke tengah sebelum bertemu dengan logo Audi yang juga menyala.

    Setakat ini Audi masih belum mendedahkan sepenuhnya keadaan di dalam, tapi mereka sekadar menyediakan lukisan bentuk asasnya. Melaluinya, kita boleh melihat kelengkapan seperti roda stereng empat cabang, kokpit virtual digital sepenuhnya dan skrin infotainmen sesentuh yang besar di tengah.

    Perincian teknikal juga masih belum ada. apa yang diberitahu, ia menggunakan pek bateri 100 kWh yang menawarkan jarak gerak sehingga 700 km mengikut kitaran WLTP, dalam satu cas penuh. Turut digunakan adalah tetapan elektrikal 800 volt yang pada kapasiti penuh, boleh dicas selama 10 minit menggunakan pengecas DC Ultra Fast dan memberikan jarak gerak 300 km.

    Kita juga boleh menjangka akan terdapat versi lebih tinggi bagi A6 e-tron ini yang menggunakan dua motor elektrik dan sistem pacuan semua roda, dengan prestasi yang pastinya juga mengujakan. Memandangkan kereta ini mempunyai panjang 4.96 meter, bahagian dalam sepatutnya memberikan ruang yang luas dan selesa.

     
     
  • Mitsubishi Airtrek 2022 bakal muncul sebagai sebuah SUV elektrik untuk pasaran China, lancar tahun ini

    Mitsubishi Airtrek 2022 bakal muncul sebagai sebuah SUV elektrik untuk pasaran China, lancar tahun ini

    Setelah beberapa tahun nama Airtrek hilang dalam pasaran dan diganti dengan Outlander, kini nama itu muncul kembali pada sebuah model yang ditunjukkan oleh Mitsubishi sebagai satu teaser di Auto Shanghai. Ia dikatakan sebagai sebuah SUV elektrik dan bakal dijual di negara itu hujung tahun ini.

    Bakal dibuat oleh GAC, Airtrek baru ini dipanggil sebagai “SUV e-cruising”, yang berasaskan tiga perkataan utama iaitu elektrik, berkembang dan penuh ekspresi. Mitsubishi berkata, kereta ini mampu memberikan “imej sofistikated yang canggih”, sesuai untuk sebuah kereta elektrik, sambil menerapkan identiti rekaan jenama itu secara konsisten.

    Rupa Dynamic Shield yang banyak digunakan oleh Mitsubishi sekarang ternyata ada pada Airtrek baru, dengan jalur krom membahagikan DRL yang berada di atas dengan lampu berbentuk L di bawah. Rekaan hampir sama pernah dilihat pada Mi-Tech Concept tahun 2019 dan bahagian belakang juga menggunakan konsep lampu L yang sama.

    Mitsubishi Airtrek 2022 bakal muncul sebagai sebuah SUV elektrik untuk pasaran China, lancar tahun ini

    “Kami telah membangunkan Airtrek sebagai sebuah SUV yang membenarkan pelanggan menikmati pengembaraan tanpa had,” kata pegawai eksekutif jualan dan pemasaran global Mitsubishi, John Signoriello. “Direka khas untuk pasaran China, Airtrek baru ini akan dilancarkan hujung tahun ini sebagai model keempat untuk barisan model Mitsubishi Motors di China,” tambah beliau.

    Memandangkan Mitsubishi mempunyai perikatan dengan Renault dan Nissan, kita boleh menjangka ia menggunakan asas yang sama dengan salah satu model elektrik daripada jenama itu. Calon paling dekat mungkin adalah Nissan Ariya, iaitu sebuah SUV yang menggunakan platform modular CMF-EV yang ditawarkan dengan pacuan sama ada depan sahaja atau e-4ORCE semua roda. Dengan cas penuh, ia boleh bergerak sehingga 610 km dan memberi kuasa sehingga 388 hp.

     
     
  • Honda Breeze PHEV 2021 muncul di Auto Shanghai

    Honda Breeze PHEV 2021 muncul di Auto Shanghai

    Pada 2019, GAC Honda iaitu syarikat kerjasama antara GAC Group dan Honda Motor Company telahpun mendedah Honda Breeze, SUV berasaskan Honda CR-V yang diberikan muka berlainan khas untuk pasaran China. Menerusi Auto Shanghai 2021 yang sedang berlangsung, Breeze kini diperkenalkan dalam versi plug-in hybrid (PHEV).

    Ini merupakan model PHEV pertama yang ditawarkan oleh GAC Honda, dan ia dihasilkan selepas CR-V juga ditawarkan dalam versi rangkaian kuasa berkenaan pada September tahun lalu. Honda Breeze PHEV ini bakal dijual secara rasmi di China bermula separa kedua 2021.

    Breeze PHEV ini menampilkan rupa yang hampir serupa dengan versi petrol dan hibrid biasa. Perincian yang membezakannya dari varian rangkaian kuasa lain adalah port pengecaj yang berada pada sebelah belakang kanan SUV ini, bersama kemasan kebiru-biruan pada logo Honda yang dilekatkan.

    Walau bagaimanapun, GAC Honda masih belum mendedahkan sebarang spesifikasi teknikal untuk Breeze PHEV ini. Namun syarikat berkenaan ada menyatakan bahawa ia masih menggunakan sistem Sport Hybrid i-MMD dengan tambahan fungsi pengecaj. Jadi, kemungkinan besar Breeze PHEV ini akan menggunakan sistem Sport Hybrid e+ yang sama seperti pada CR-V PHEV.

    Sistem tersebut terdiri dari sebuah motor elektrik berkuasa 184 PS dan tork maksima 315 Nm, digandingkan dengan enjin petrol 2.0 liter kitaran Atkinson empat-silinder berkuasa 145 PS dan tork maksima 175 Nm, bersama transmisi CVT bagi mengalirkan terus kuasa dari enjin ke roda pada kelajuan lebih tinggi.

    CR-V PHEV juga diberikan bateri lithium-ion 17 kWj yang membolehkan ia bergerak dengan hanya kuasa elektrik sejauh 85 km, serta penggunaan bahan api serendah 1.3 liter untuk setiap 100 km. Selain dari PHEV ini, Honda turut membawa satu lagi model dengan teknologi elektrifikasi ke Auto Shanghai 2021 iaitu Honda SUV e:prototype.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025