Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Benelli R18i dilancar untuk pasaran Malaysia – kapcai 174 cc, kotak gear enam kelajuan, harga dari RM7,999

    Benelli R18i dilancar untuk pasaran Malaysia – kapcai 174 cc, kotak gear enam kelajuan, harga dari RM7,999

    Pengedar rasmi motosikal jenama Benelli di Malaysia, M Force Bike Holdings Sdn Bhd telah melancarkan model baru R18i untuk pasaran, yang datang dalam dua versi iaitu Standard (warna hitam dan merah) berharga RM7,999 dan Special Edition (biru) RM8,299. Harga ini tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

    Daripada apa yang boleh dilihat, R18i ini menggunakan asas sama seperti RFS150i, tetapi beberapa panel (dada dan lampu) telah diubah dan enjinnya dinaik taraf. R18i menggunakan enjin satu silinder suntikan bahan api SOHC 174 cc yang dipadankan bersama transmisi enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 18 hp pada 9,500 rpm dan 15.1 Nm tork pada 7,000 rpm.

    Kemudiannya, pada panel yang sudah diubah tersebut, R18i dipasang dengan lampu utama jenis projector, DRL LED, lampu belakang LED serta panel meter digital penuh (LCD) yang boleh memaparkan pelbagai informasi termasuk laju, rpm, jarak perjalanan, tahap bateri, jam serta kedudukan gear.

    Kelengkapan lain serta dimensi R18i dilihat sama seperti RFS150i, termasuklah brek cakera depan dan belakang (240 mm, 220 mm), fork USD, monoshock belakang Kayaba, tangki bahan api 4.8 liter, berat keseluruhan 126 kg dan tinggi tempat duduk 787 mm. Rim menggunakan unit 17 inci dengan tayar 80/80 di hadapan dan 120/70 di belakang.

    Bagi model Special Edition yang dijual RM300 lebih mahal, ia didatangkan dengan tuil brek dan klac yang boleh dilaras dan dibuat daripada aluminium. Benellli R18i didatangkan bersama jaminan dua tahun atau 20,000 km, yang mana tiba dahulu.


     
     
  • Pihak SIC bekerjasama dengan Polis suraikan orang awam di Drag Battle, penganjur di kompaun RM20k

    Pihak SIC bekerjasama dengan Polis suraikan orang awam di Drag Battle, penganjur di kompaun RM20k

    Malam semalam, tular gambar sebuah kereta peronda Polis ‘menyerbu’ acara perlumbaan Drag yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), yang diakhiri dengan penganjur perlumbaan berkenaan dilaporkan menerima kompaun sebanyak RM20,000 kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

    Justeru, hari ini pihak SIC sendiri telahpun mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian tersebut. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif, pihaknya telahpun mengeluarkan SOP untuk penganjuran acara sukan permotoran tempatan dan aktiviti ‘Track Day’ dengan penonton dalam tempoh PKPB kepada penganjur dan peserta dan pengunjung.

    Beliau menjelaskan bahawa acara Drag Battle yang berlangsung malam tadi telah dianjurkan oleh MUSC Motorsport dengan menyewa litar berkenaan, justeru menjadi tanggungjawab mereka untuk memastikan para pengunjung, peserta dan pasukan mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan.

    “Ini juga pertama kalinya pihak SIC membenarkan kemasukan 2,000 penonton di Main-Grandstand berdasarkan had yang dibenarkan oleh SOP.

    “Pihak SIC telah bekerjasama dengan pihak polis di SIC untuk menyuraikan orang awam yang berkumpul. Kompaun telah dikeluarkan kepada mereka yang ingkar dengan SOP yang telah diberikan seperti memakai pelitup muka dan penjarakan sosial. Demi memelihara aktiviti dan acara sukan permotoran tempatan dapat diteruskan, pihak SIC akan memastikan perkara seperti ini tidak akan berulang di masa akan datang,” jelasnya dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Pihak SIC bekerjasama dengan Polis suraikan orang awam di Drag Battle, penganjur di kompaun RM20k

    Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Daerah KLIA ACP Imran Abd Rahman yang mengesahkan insiden berkenaan berkata penganjur telah mendapatkan permit bagi melaksanakan acara itu di SIC namun gagal memastikan pematuhan SOP yang ditetapkan.

    “Kami kompaun penganjur kerana gagal mengawal peserta, melaksanakan penjarakan fizikal dalam pematuhan SOP,” katanya kepada Bernama yang disiarkan dalam laporan hari ini. Beliau turut menjelaskan bahawa pihak polis telah diminta hadir menyuraikan peserta yang enggan bersurai meskipun acara telah selesai.

    “Selepas polis sampai orang ramai memberikan kerjasama dan bersurai dan tiada perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya yang menurutnya kenderaan polis tiba di litar pada kira-kira 9 malam.

    Selaku penganjur, MUSC Motorsports menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook turut mengesahkan yang mereka telah dikompaun kerana gagal melaksanakan acara tersebut dalam ketetapan norma baharu.

    “Kegagalan kami mengawal penjarakan sosial mengakibatkan beberapa kali acara ini terhenti sehingga akhirnya kami terpaksa akur dikenakan kompaun.

    “Justeru, kami memohon maaf kepada semua pihak yang terlibat tanpa kami menyalahkan mana-mana pihak sama ada agensi penguatkuasa, penyedia litar iaitu SIC, rakan-rakan program, pasukan drag, pengunjung dan semua pengikut MUSC Drag Racing,” katanya.

     
     
  • Vespa Primavera Pic Nic 150 tiba di Malaysia – terhad 39 unit, enjin i-GET 150 cc 12.7 hp, harga RM19,900

    Vespa Primavera Pic Nic 150 tiba di Malaysia – terhad 39 unit, enjin i-GET 150 cc 12.7 hp, harga RM19,900

    Pengedar rasmi motosikal Vespa di Malaysia, Didi Resources Sdn Bhd telah memperkenalkan model baru Primavera Pic Nic 150 untuk pasaran, yang dijual dalam jumlah terhad 39 unit pada harga RM19,900 tidak termasuk insurans. Tiga pilihan warna disediakan iaitu Grey Materia, White Innocenza atau Green Relax.

    Model ini diterapkan dengan konsep berkelah, di mana ia dilengkapi dengan tali pengikat warna beige pada rak barangan hadapan dan belakang, serta penggunaan kemasan warna coklat pada tempat duduk dan pemijak kaki. Rim 12 inci pada model ini kemudiannya diwarnakan putih.

    Menambah lagi keunikannya, Primavera Pic Nic 150 ini dipasang dengan lencana jenamanya pada bahagian panel dalam dan tag bendera Itali pada tempat duduk. Istimewa bagi model pasaran Malaysia ini, ia didatangkan terus dengan dua aksesori asli Vespa iaitu kotak barangan belakang serta alas lantai yang boleh diletakkan di rak barangan hadapan.

    Vespa Pic Nic 150 ini menggunakan asas daripada Primavera 150, bermakna ia dikuasakan oleh enjin iGET empat strok satu silinder suntikan bahan api 154.8 cc bersama padanan transmisi CVT, mampu menghasilkan kuasa 12.7 hp pada 7,750 rpm dan 12.8 Nm tork pada 6,500 rpm.

    Kelengkapan lain juga adalah sama, termasuk rim 12 inci depan dan belakang, brek cakera hadapan dan dram di belakang, tangki bahan api lapan liter, badan dibuat daripada besi, suspensi monoshock depan dan belakang serta tinggi tempat duduk 790 mm.

     
     
  • ACE 2021: Penjimatan sehingga RM11,500 untuk Mitsubishi Outlander – baucar tambahan RM2,550

    ACE 2021: Penjimatan sehingga RM11,500 untuk Mitsubishi Outlander – baucar tambahan RM2,550

    Dalam masa beberapa hari lagi, acara Auto Car Expo (ACE) 2021, yang ditaja bersama oleh Carsome akan berlangsung di Setia City Convention Centre (SCCC) 17 dan 18 April ini. Di sana anda berpeluang memandu uji dan membeli kereta pilihan, dan disediakan dengan pelbagai promosi untuk menjadikannya lebih berbaloi.

    Mitsubishi, yang turut menyertai acara ini mempunyai promosi mereka sendiri, dipanggil sebagai “Jimat Power”. Melaluinya, anda akan diberi rebat tunai RM6,000 untuk Outlander 2.0L dan RM4,000 untuk Outlander 2.4L.

    Rebat ini adalah tambahan kepada pengurangan harga yang dibuat hasil daripada pengecualian cukai sebanyak 50% yang diberikan kerajaan sehingga 30 Jun ini, di mana bagi Outlander 2.0L ia berjumlah RM5,500 dan Outlander 2.4L RM6,000. Bermakna jika anda membeli Outlander semasa ACE 2021, anda boleh jimat sehingga RM11,500 bagi model 2.0L dan RM10,000 untuk 2.4L!

    ACE 2021: Penjimatan sehingga RM11,500 untuk Mitsubishi Outlander – baucar tambahan RM2,550

    Tidak cukup dengan itu, paultan.org akan memberikan baucar kombinasi bernilai RM2,550 kepada 200 pelanggan pertama yang menempah kenderaan baru. Ini termasuk baucar DK SCHWEIZER RM650 untuk balutan kulit dalam kenderaan, baucar filem penapis haba cermin RM500, baucar penapis udara Blueair RM500, baucar Dodomat RM300, baucar tempat duduk kanak-kanak Recaro RM300, baucar petrol BHP RM200 dan baucar Shopee RM100.

    Selain daripada itu, tempahan yang sudah disahkan juga melayakkan anda untuk menyertai cabutan bertuah yang memberi peluang memenangi hadiah termasuk telefon bimbit bernilai RM2,300 setiap satu dan pakej percutian bernilai RM10,000!

    Jenama lain yang turut menyertai ACE 2021, dengan promosi tersediri selain Mitsubishi adalah termasuk Ford, Honda, Hyundai, Mazda, Nissan, Toyota dan Volkswagen. Bagi jenama premium, terdapat Lexus, BMW dan MINI. Anda juga berpeluang untuk melihat kereta lumba MSF Racing waktu acara ini!

    ACE 2021: Penjimatan sehingga RM11,500 untuk Mitsubishi Outlander – baucar tambahan RM2,550

    Memandangkan kita masih dalam tempoh pandemik, kami akan mengambil semua langkah berjaga-jaga yang dirasakan perlu untuk memastikan keselamatan semua. Pengunjung diwajibkan memakai pelitup muka sepanjang masa dan bacaan suhu badan akan diambil serta dipastikan berada di bawah 37.4ºC sebelum masuk. Anda juga perlu mengimbas kod QR dan mendaftar melalui aplikasi MySejahtera bagi tujuan memudahkan pengesanan kontak sekiranya perlu.

    Sebagai usaha tambahan, semua individu wakil penjual yang ada untuk acara ini akan memakai pelindung muka selain pelitup muka biasa. Semua permukaan sentuhan yang utama, termasuk pada kenderaan yang dipamer serta pandu uji, akan disanitasi secara kerap. Kami akan menyediakan cecair sanitasi tangan di lokasi, dan menggalakkan semua pengunjung untuk membawa cecair mereka sendiri dan juga basuh tangan dengan kerap.

    Kami juga akan mengenakan had hanya seramai 1,200 orang di dalam dewan pameran dalam satu-satu masa. Kami mengambil keputusan untuk mengurangkan lagi jumlah berkenaan — berbanding 1,700 orang yang dibenarkan oleh SCCC berpandu kepada 50% orang sebagai pematuhan SOP semasa yang ditetapkan kerajaan — bagi memastikan keselamatan semua. Sebaik memasuki dewan pameran, pengunjung diwajibkan mematuhi panduan jarak sosial selamat. Kanak-kanak di bawah usia 12 tahun dan warga emas berusia 60 tahun tidak akan dibenarkan masuk.

    Klik di sini untuk maklumat lanjut berkenaan ACE 2021

     
     
  • Suzuki Malaysia akan lancarkan satu lagi ikon pada separa kedua 2021 – Jimny bakal dibawa secara rasmi

    Suzuki Malaysia akan lancarkan satu lagi ikon pada separa kedua 2021 – Jimny bakal dibawa secara rasmi

    Selepas meninggalkan pasaran Malaysia lima tahun lalu, hari ini secara rasmi Suzuki sudah masuk semula kepasaran tempatan dengan melancarkan model hot-hatch ikoniknya iaitu Suzuki Swift Sport. Kali ini, Suzuki Malaysia diuruskan oleh Naza Eastern Motors, dan apa pula rancangan syarikat berkenaan selepas ini?

    Menurut ketua syarikat berkenaan, Mohamad Redza, tahun ini Suzuki Malaysia akan menumpukan kepada model-model “ikon” Suzuki untuk membina semula imej jenama Jepun tersebut di pasaran tempatan. Beliau tidak menyatakan dengan spesifik model-model “ikon” berkenaan, tetapi jika dilihat dari barisan model Suzuki untuk peringkat global sekarang, selepas Swift Sport sudah tentulah SUV off-road kompak Jimny.

    Jimny generasi keempat tersebut menerima sambutan yang sangat menggalakkan di pasaran seluruh dunia. Malah ketika tiada pengedar sah Suzuki di Malaysia, ia turut di bawa ke pasaran tempatan oleh pengimport persendirian dan dijual pada harga yang agak premium.

    Menurut Mohamad Redza, model “ikon” kedua berkenaan akan dilancarkan sebagai model yang diimport sepenuhnya (CBU) pada separa kedua tahun ini. Jadi jika mengikut perancangan Naza Eastern ini, Jimny yang diimport secara rasmi lengkap dengan waranti pengeluar tersebut mungkin akan dilancarkan pada pasaran tempatan tidak lama lagi

    Suzuki Malaysia akan lancarkan satu lagi ikon pada separa kedua 2021 – Jimny bakal dibawa secara rasmi

    Kami turut bertanya adakah Naza Eastern turut akan menjalankan operasi pemasangan tempatan (CKD) bagi menghasilkan model dengan harga yang lebih kompetitif. Redza memberikan respon dengan menyatakan bahawa langkah berkenaan masih belum berdaya maju buat masa sekarang.

    Tambahan pula, Suzuki kini mempunyai operasi pemasangan di Thailand dan Indonesia, jadi kereta-kereta tersebut boleh dibawa Malaysia menerusi kawasan perdagangan bebas ASEAN (AFTA).

    Kembali kepada Jimny, buat masa sekarang ia dipasang di Jepun dan di India menerusi Maruti Suzuki. Jadi kami jangkakan pasaran Malaysia mungkin akan menerima SUV berkenaan terus dari Jepun memandangkan Malaysia sememangnya mempunyai perjanjian perdagangan bebas dengan negara matahari terbit itu yang membolehkan penjimatan terhadap duti import dibuat. Agak-agak, berapa pula harga Suzuki Jimny di Malaysia ni nanti ye?

     
     
  • BMW X3 sDrive20i G01 tiba di Malaysia – RM270,934

    BMW X3 sDrive20i G01 tiba di Malaysia – RM270,934

    Model BMW X3 G01 yang sebelum ini dilancarkan di Malaysia dalam versi xDrive30i kini ditambah dengan satu lagi varian iaitu sDrive20i. Juga dipasang dalam negara CKD), X3 sDrive20i dijual pada harga RM270,934 tidak termasuk insurans, bersama jaminan dua tahun, tetapi jika anda mahukan jaminan lima tahun tanpa had batuan dan program servis berkala percuma, harganya menjadi RM286,674.

    Harga yang disiarkan ini termasuk dengan potongan cukai 100% yang diberikan kepada model CKD sehingga 30 Jun 2021, dan selepas itu, harga X3 sDrive20i ini akan menjadi RM279,060 (jaminan dua tahun) atau RM294,800 (jaminan lima tahun).

    Pada bahagian luar, meskipun X3 sDrive20i ini adalah varian permulaan yang lebih murah, ia dilengkapi dengan pakej xLine dan BMW Individual Exterior Line yang memberikan lampu LED, lampu membelok, rim Style 694 19 inci dengan tayar runflat, kemasan badan aluminium serta rel bumbung Aluminium Satinated.

    Di bawah bonetnya terdapat enjin petrol empat silinder 2.0L TwinPower Turbo yang dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan untuk menghasilkan kuasa 184 hp pada antara 5,000 hingga 6,500 rpm dan 300 Nm tork pada 1,350 hingga 4,000 rpm. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 8.2 saat, sebelum mencapai laju maksimum 215 km/j. SUV ini tidak mempunyai pacuan semua roda dan sebaliknya menggunakan pacuan dua roda belakang.

    Empat warna badan ditawarkan untuk X3 sDrive20i ini, iaitu Alpine White, Glacier Silver, Black Sapphire dan Phytonic Blue sementara bahagian dalam pula semuanya menggunakan balutan kulit Vernasa serta kombinasi kemasan hitam berkilat dan krom.

    Bagi menambah kepuasan pengguna, model ini didatangkan dengan tempat duduk sport di bahagian hadapan (larasan kuasa dan fungsi memori untuk pemandu), alas kaki velour, lampu suasana, kawalan pendingin hawa automatik tiga zon, sistem bunyi 12 pembesar suara, Intelligent Emergency Call, Comfort Access System serta Storage Compartment Package yang menyediakan ruang barangan belakang 550 liter.

    Sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 10.25 inci serta panel instrumen Sensatec yang diberikan secara standard pada model ini juga dipasang sekali dengan BMW Live Cockpit Plus dan BMW Intelligent Personal Assistant bagi memudahkan pengguna. Turut disediakan adalah Driving Assistant dan Parking Assistant.

     
     
  • BMW 3 Series LWB G28 didedah untuk pasaran M’sia – versi jarak roda panjang, harga anggaran RM301k

    BMW 3 Series LWB G28 didedah untuk pasaran M’sia – versi jarak roda panjang, harga anggaran RM301k

    Barisan model 3 Series yang ditawarkan oleh BMW di Malaysia bakal ditambah dengan satu lagi versi baru, iaitu 330Li M Sport, yang didedahkan dengan harga jualan anggaran RM300,800 tidak termasuk insurans, bersama jaminan lima tahun tanpa had batuan serta program servis berkala percuma. Harga ini adalah termasuk dengan cukai jualan (SST) penuh.

    BMW 330Li M Sport sebenarnya adalah versi jarak roda lebih panjang (LWB) bagi 3 Series G20 biasa, dan ia sudah diperkenalkan terlebih dahulu di Thailand awal tahun ini. Ukuran jarak rodanya adalah 2,961 mm (+110 mm) manakala panjang keseluruhan pula adalah 4,819mm (+110). Tinggi turut bertambah enam milimeter menjadi 1,441 mm.

    Dimensi baru ini juga menghasilkan ruang dalam yang lebih, di mana penumpang belakang dapat menikmati tambahan 4 mm lagi di bahagian kepala, serta 42 mm lagi ruang kepala tambahan bagi penumpang belakang, berbanding 330i M Sport.

    Daripada namanya, kita sudah mengetahui model yang dipasang di dalam negara (CKD) ini dilengkapi dengan pakej M Sport dan M Aerodynamics, yang termasuk barangan seperti rim M Sport Style 848 M 18 inci dengan tayar run-flat, ekzos berkembar dengan muncung berbentuk trapezoid, bumbung panoramik, BMW Individual High-Gloss Shadow Line serta lampu di bahagian kaki apabila pintu dibuka.

    Dua pilihan warna luar disediakan, iaitu Mineral White dan Carbon Black, sementara gril kidney padanya pula diwarnakan hitam dan mempunyai kemasan keliling krom. Bagi kedua-dua pilihan warna ini, ia datang dengan kemasan balutan dalam kulit Vernasca berserta jahitan benang hitam.

    Enjin pada model jarak roda panjang ini masih lagi sama seperti 330i M Sport, iaitu unit empat silinder petrol TwinPower Turbo 2.0L yang mampu menghasilkan 258 hp pada 5,000 hingga 6,500 rpm, dan 400 Nm tork pada 1,550 hingga 4,400 rpm, bersama transmisi automatik Steptronic lapan kelajuan untuk menyampaikan kuasa kepada roda belakang. Masa pecutan 0-100 km/j bagaimanapun bertambah sedikit menjadi 6.2 saat, berbanding 5.8 saat bagi 330i M Sport.

    BMW 3 Series LWB G28 didedah untuk pasaran M’sia – versi jarak roda panjang, harga anggaran RM301k

    Bahagian dalam juga mendapat beberapa lagi barangan M termasuk roda stereng kulit dan pedal, manakala kemasan pula menggunakan Aluminium Tetragon dan Pearl Chrome. Di hadapan pemandu terdapat panel instrumen digital 12.3 inci BMW Live Cockpit Professional manakala untuk sistem infotainmen pula ia menggunakan BMW Navigation System Professional dengan skrin sesentuh 10.25 inci.

    Kelengkapan lain yang diberi adalah termasuk cermin anti silau, tempat duduk larasan kuasa dengan fungsi memori untuk pemandu, lampu suasana 11 warna, pendingin hawa automatik dengan kawalan tiga zon serta Comfort Access System. Pemilik juga boleh menikmati khidmat seperti navigasi on-the-go dan e-mobility melalui aplikasi My BMW yang menggantikan BMW Connected pada telefon pintar.

    Untuk sistem bantuan pemandu, 330Li M Sport datang dengan Lane Departure Warning, Lane Change Warning, Front Collission Warning, Cross Traffic Warning, Rear Collission Prevention, Cruise Control dengan fungsi membrek, Active Pedestrian Safety serta Parking Assistant.

     
     
  • Suzuki Swift Sport 2021 dilancarkan di Malaysia – RM139,900, 1.4L turbo 140 hp/230 Nm, hanya 6AT

    Suzuki Swift Sport 2021 dilancarkan di Malaysia – RM139,900, 1.4L turbo 140 hp/230 Nm, hanya 6AT

    Selepas mengumumkan kemunculan semula di Malaysia minggu lalu, Suzuki Malaysia yang kini dikendalikan oleh Naza Eastern Motors hari ini secara rasminya melancarkan produk pertama mereka – ia bukan model biasa, sebaliknya mereka terus tiba dengan hot-hatch Suzuki Swift Sport generasi ketiga!

    Swift Sport ZC33S ini diimport sepenuhnya dari Jepun dan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran serta termasuk pengecualian SST 50% untuk kereta CBU (sehingga hujung Jun 2021) RM139,900. Suzuki Malaysia memberikan perlindungan waranti pengeluar selama tiga tahun atau 100,000 km (yang mana sampai dahulu) untuk setiap model yang mereka jual.

    Model generasi baharu ini tidak lagi menggunakan enjin M16A 1.6 liter NA generasi terdahulu, sebaliknya ia kini dijana oleh enjin K14C 1.4 liter turbo Boosterjet yang Suzuki sifatkan sebagai “membawa Swift Sport ke wilayah hot-hatch sebenar.”

    Suzuki Swift Sport 2021 dilancarkan di Malaysia – RM139,900, 1.4L turbo 140 hp/230 Nm, hanya 6AT

    Enjin turbo ini menghasilkan 140 hp pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 230 Nm bermula 2,500 hingga 3,500 rpm. Peningkatan kuasa kuda mungkin sedikit dengan hanya 6 hp lebih kuat berbanding enjin NA generasi terdahulu (134 hp), namun ia menerima lonjakkan tork yang agak drastik iaitu 70 Nm lebih tinggi dari sebelum ini.

    Walau bagaimanapun, model pasaran Malaysia tidak ditawarkan dengan kotak gear enam-kelajuan manual. Ia hanya hadir dalam versi kotak gear automatik – mujur juga Swift Sport generasi baharu ini tidak lagi menggunakan transmisi CVT, sebaliknya ia dilengkapi kotak gear AT enam-kelajuan bersama pedal penukar gear (tiada fungsi tiptronic pada tuil). Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 205 km/j.

    Seperti juga Swift standard, model Sport ini dibina di atas platform Heartect, tetapi masih kekal dengan konfigurasi sistem suspensi Topang McPherson di hadapan dan torsion beam di belakang. Ia dipadankan dengan penyambung bar penstabil yang lebih besar serta diberikan cagak penstabil dari material Teflon. Manakala hab roda dan hab galas (bearing) kereta ini pula kini direka sebagai satu unit komponen.

    Suzuki Swift Sport 2021 dilancarkan di Malaysia – RM139,900, 1.4L turbo 140 hp/230 Nm, hanya 6AT

    Bagi meningkat ketegaran sudut kamber semasa mengambil selekoh pada kadar 15%, bahagian berkenaan diberikan jarak antara galas yang lebih lebar. Rombakan semula ini membantu memberikan lebih kekerasan pada suspensi tanpa meningkatkan kadar spring mahupun bar penstabil hadapan.

    Untuk bahagian belakang, talaan difokuskan untuk mendapatkan kestabilan pada kelajuan tinggi dan ini dilakukan dengan meningkatkan kekuatan sudut Toe yang 1.4 lebih tegar dari model sebelumnya, begitu juga pada kekuatan kamber. Swift Sport menerima trailing arm baharu yang direka bagi mengurangkan perubahan semasa mengambil selekoh, dan ia turut disokong dengan penggunaan penyerap hentak Monroe bagi memberikan daya olengan yang lebih minima.

    Bukan itu sahaja, platform Heartect ini juga membolehkan Swift Sport generasi baharu ini dihasilkan 80 kg lebih ringan dari model sebelumnya dengan berat hanya 970 kg. Ini membolehkan Swift Sport baharu ini mencapai nisbah tork kepada berat sekitar 4.2 kg/Nm, yang membolehkan ianya menjadi “salah satu hot-hatch paling kompetitif dalam pasaran” buat masa sekarang, dakwa Suzuki.

    Suzuki Swift Sport 2021 dilancarkan di Malaysia – RM139,900, 1.4L turbo 140 hp/230 Nm, hanya 6AT

    Untuk kelengkapan luaran, model pasaran Malaysia ini menerima perincian seperti lampu hadapan automatik dengan projektor LED, lampu kabus hadapan halogen, kemasan seakan karbon pada spoiler bampar hadapan, skirt sisi dan diffuser bampar belakang, sistem kunci pintar, kamera undur, pembuka but belakang elektromagnetik, tip ekzos berkembar kemasan krom dan juga rim aloi 16-inci dengan tayar Yokohama Advan A13 195/50R16.

    Pada bahagian dalaman pula pembeli Swift Sport di Malaysia menerima tempat duduk separa bucket dan roda stereng rata di bawah dengan upholsteri kulit dan serlahan benang merah, kemasan-kemasan serlahan merah-hitam pada panel pintu dan papan pemuka, serta set pedal aluminium.

    Perincian lain yang turut dibekalkan termasuk cruise control, tuil brek tangan manual, panel instrumen analog dengan takometer latar belakang merah, skrin MID ditengah yang turut memberikan bacaan boost turbo dan daya G-Force, butang penghidup enjin dan juga sistem pendingin hawa automatik.

    Manakala untuk infotainmen, Swift Sport pasaran Malaysia ini menerima pemain utama Touchscreen Media dengan skrin 7-inci bersama fungsi arahan suara dan hubungan Apple CarPlay, serta enam pembesar suara.

    Bagi sistem keselamatan pula, Suzuki Swift Sport dibekalkan dengan enam beg-udara, cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix, penderia parkir belakang, Hill Hold Assist, sistem brek ABS, EBD dan EBA, serta Program Kestabilan Elektronik (ESP).

    Suzuki Swift Sport hanya ditawarkan dalam empat warna bagi pasaran tempatan iaitu Burning Red Pearl Metallic, Speedy Blue Metallic, Pure White Pearl, dan seperti biasa, warna hero Champion Yellow yang sama dengan warna jentera ‘works’ Suzuki untuk Junior World Rally Championship (JWRC).

    Buat masa sekarang, kereta ini hanya boleh dibeli di bilik pameran pertama Suzuki Malaysia di bawah Naza Eastern yang terletak di Naza Automall Petaling Jaya. Pusat 3S flagship berkenaan menggunakan kawasan seluas 3,000 kaki persegi serta menampilkan “persekitaran yang terang dan bersemangat bersama pelbagai sumber interaktif.”

     
     
  • SIC akui ada perbincangan bawa semula F1 ke M’sia

    SIC akui ada perbincangan bawa semula F1 ke M’sia

    Nampaknya muncul lagi berita bahawa ada usaha untuk membawa semula sukan Formula Satu (F1) ke Malaysia. Kosmo melaporkan bahawa Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sendiri mengakui pihaknya sedang melakukan perbincangan bersama penganjur perlumbaan untuk menganjurkan masuk semula perlumbaan berkenaan tidak lama lagi.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif dalam laporan tersebut, keputusan akhir penganjuran F1 hanya terletak di tangan kerajaan selepas kali terakhir dianjurkan pada 2017.

    “Apa yang saya boleh katakan, ketika ini kita sedang melakukan perbincangan dengan F1 dan buat masa ini kita belum dapat sebarang proposal lagi daripada pihak mereka.

    “Buat masa ini masih dalam proses perbincangan. F1 akan kembali semula atau pun tidak ia bergantung kepada proposal dan juga keputusan kerajaan untuk membawa semula perlumbaan ini pada masa akan datang,” katanya dalam satu sidang video bersama pemberita semalam.

    SIC akui ada perbincangan bawa semula F1 ke M’sia

    Beliau juga mengatakan bahawa pihaknya perlu melihat semula bagi tempoh 5 tahun sama ada F1 ini menguntungkan atau pun tidak.

    “Jika ingin mengembalikan F1 sememangnya memerlukan perbelanjaan yang lebih besar berbanding MotoGP menyebabkan perkara ini masih dalam perbincangan untuk mengenalpasti pelbagai faktor untuk meneruskan rancangan tersebut,” jelasnya.

    Malaysia mula menganjurkan F1 di litar berkenaan bermula pada musim 1999. GP Malaysia itu kemudiannya ‘direhatkan’ selepas 19-tahun dengan kali terakhir penganjurannya adalah pada musim 2017 ekoran mendapati acara tersebut tidak menguntungkan.

    Idea untuk membawa semula F1 ke Malaysia ini telah disebutkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamed pada Februari 2014, ketika itu beliau kembali semula ke kabinet dengan menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh.

    SIC akui ada perbincangan bawa semula F1 ke M’sia

    Menurut Tun M, selepas beliau membawa F1 ke Malaysia, rakyat Malaysia turut memberi maklum balas bukan saja dengan menyaksikan perlumbaan F1, mereka mula berlumba sesama mereka dan sekarang Malaysia sangat bagus dalam sukan permotoran selain menjadi jurutera di belakang pasukan.

    “Saya harap kita dapat menjana banyak perkara daripada perlumbaan di Sepang dan perbelanjaan yang dibelanjakan di trek ini berbaloi. Malah berharap perlumbaan ini akan diteruskan pada masa depan dan F1 dapat kembali dengan penuh gemilang,” jelasnya.

    Walau bagaimanapun, satu-satunya pelumba Malaysia yang pernah berlumba di F1, Alex Yoong menyatakan F1 bukan satu cara yang mengembangkan sukan permotoran dalam negara, malah mendakwa bahawa perlumbaan berkenaan telah merosakkan perkembangan industri tersebut di Malaysia.

    SIC akui ada perbincangan bawa semula F1 ke M’sia

    “Secara keseluruhan idea berkenaan F1 adalah idea yang bagus. Tetapi anda boleh tengok ia adalah eksperimen yang gagal, maksud saya, untuk meletakkan Malaysia atas peta dunia, tak boleh dinafikan. Untuk pemasaran, tak boleh dinafikan. Hebat. Tetapi untuk perniagaan sukan permotoran, saya katakan ia sangat negatif.

    “Kita ada fasiliti berkelas dunia (Litar Sepang), tetapi selepas itu mereka menutup dua litar (Batu Tiga dan Pasir Gudang) kita yang sempurna. Batu Tiga dan Pasir Gudang adalah litar yang hebat, tetapi ia sudah tiada lagi,” luah Alex Yoong dalam temu ramah oleh The Motorsport People Ogos tahun lalu.

    Alex merasakan dunia sukan permotoran tempatan hampir mencapai tahap apa yang sepatutnya pada era 90’an, di mana litar Batu Tiga dan Pasir Gudang melahirkan ramai bakat-bakat dalam negara dari perlumbaan peringkat akar umbi, namun apabila F1 tiba di Malaysia, segala-galanya musnah.

     
     
  • Biodiesel Euro 5 B10 gantikan Euro 2M, harga kekal — Euro 5 campuran B7 masih ditawarkan, lebih 10 sen

    Biodiesel Euro 5 B10 gantikan Euro 2M, harga kekal — Euro 5 campuran B7 masih ditawarkan, lebih 10 sen

    Ini ada sedikit kemaskini berkaitan standard diesel Euro 5 yang menggantikan diesel Euro 2M di semua stesen minyak seluruh Malaysia bermula 1 April lalu. Bahan api berkenaan ditawarkan dalam dua gred, satu dengan campuran biodiesel B10/B20 dan satu lagi campuran B7 seperti sedia ada ketika ini. Perkara ini disahkan oleh beberapa pemain utama dalam indsutri minyak runcit yang telah kami hubungi.

    Secara ringkas, Euro 5 B10/B20 adalah ganti kepada diesel Euro 2M dan akan mengikut tanda harga yang sama, termasuk harga siling RM2.15 per liter, sementara Euro 5 B7 akan terus dijual sebagai produk berasingan, pada harga 10 sen lebih mahal bagi setiap liter berbanding Euro 5 B10 ketika ini (RM2.25 seliter).

    Penjualan bahan api dengan kadar campuran baru ini tidaklah mengejutkan, kerana telah disebut-sebut sejak beberapa tahun lalu. Pada Disember 2015, gazet persekutuan mendedahkan standard baru itu akan diperkenalkan pada 1 September 2020 bagi menggantikan Euro 2M. Bagaimanapun, Jun tahun lalu, penjualannya ditunda hingga 1 April ini akibat Covid-19.

    Penjualan bermula 1 April itu dimandatkan bulan lalu melalui Peraturan Kualiti Alam Sekitar (Kawalan Bahan Petrol dan Diesel) (Pindaan) 2021 kerajaan persekutuan bertarikh 25 Mac. Di dalamnya turut mengandungi kemaskini bagi Standard Diesel Malaysia bakal menyaksikan bahan lain yang turut didefinisikan bagi diesel Euro 5 secara berperingkat, dan lengkapi sepenuhnya pada 1 April 2023.

    Biodiesel Euro 5 B10 gantikan Euro 2M, harga kekal — Euro 5 campuran B7 masih ditawarkan, lebih 10 sen

    Pengumuman rasmi yang telah dilakukan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man minggu lalu, bagaimanapun tidak mengandungi perincian lain selain bahan api ini diperkenalkan, mendatangkan banyak pertanyaan misalnya sama ada ketika ini hanya ada satu gred diesel Euro 5 sahaja yang dijual, dan campuran biodiesel apa yang digunakan.

    Sebelum penjualan terbaru ini, diesel Euro 2M mengandungi B10 (10% methyl esther sawit dan 90% diesel biasa) atau, di sesetengah lokasi, B20 (20% kandungan minyak sawit), sementara bagi Euro 5 pula menggunakan campuran B7 sejak diperkenalkan di sini pada 2014.

    Kelebihannya seperti yang dijelaskan sebelum ini adalah bahan api baru berkenaan lebih bersih kepada alam sekitar. Sementara Euro 2M mempunyai kandungan sulfur sebanyak 500 ppm (parts per million), dan Euro 5 mempunyai sulfur yang lebih rendah, iaitu hanya 10 ppm.

    Sulfur dalam diesel menghasilkan particulate matter (PM) ketika pembakaran, yang sangat memudaratkan alam sekitar. Lebih rendah kandungan sulfur, maka lebih rendah pencemaran. Selain itu, bahan api yang lebih bersih juga akan memanjangkan jangka hayat enjin dan memperbaiki kecekapannya — dan tanpa sebarang kos tambahan.

    Biodiesel Euro 5 B10 gantikan Euro 2M, harga kekal — Euro 5 campuran B7 masih ditawarkan, lebih 10 sen

    Bagi kandungan biodiesel pula, Euro 5 mengikut tahap sebelum ini iaitu B10. Walaupun negara memperkenalkan program campuran B20 (20% kandungan minyak sawit) pada 1 Februari 2020, pelaksanaan ke seluruh negara telah ditangguhkan. Asalnya dijadualkan pada Jun tahun ini, pengenalan penuhnya telah dianjakkan ke awal tahun 2022.

    Perlahan-lahan, bahan api ini akan menggantikan B10 sebagai campuran biodiesel utama di hampir 3,400 stesen minyak seluruh negara, kecuali di Cameron Highland dan Genting Highland di Pahan serta Kundasang di Sabah, yang akan terus menjual biodiesel B7.

    Apa pun, penjualan Euro 5 B7 jika diteruskan sebagai pilihan, dengan perbezaan harga, akan menjadi kelegaan buat pengguna yang tidak berminat dengan campuran biodiesel lebih tinggi.

    Masih ada keraguan tentang keserasian B20 terhadap enjin kenderaan, meneruskan lagi keresahan teknikal yang dibangkitkan oleh B10 sebelum ini. Ada dakwaan menyatakan penggunaan biodiesel yang lebih tiggi daripada B7 akan mengakibatkan asid methyl ester bercampur dengan minyak enjin, menyebabkannya menipis dan menyebabkan mendapan dalam enjin.

    Biodiesel Euro 5 B10 gantikan Euro 2M, harga kekal — Euro 5 campuran B7 masih ditawarkan, lebih 10 sen

    Dari segi pelaksanaan, kami bertanya adakan Euro 5 B10 telah dijual sepenuhnya di seluruh negara. Ketika ini, hanya BHPetrol — yang pertama memperkenalkan diesel Euro 5 di negara ini, di Johor — memberikan maklum balas menyatakan bahawa peralihan mereka sudah pun selesai, dengan Euro 5 B10 kini boleh di dapati di semua stesen minyaknya seluruh negara disamping campuran B7 biasa. Maklum balas daripada pengeluar minyak lain akan dimaklumkan selepas ini.

    Dengan langkah terbaru ini, semua bahan api runcit di negara ini telah menepati standard Euro 4 dan Euro 5. Bagi petrol, RON 97 menjadi yang pertama menerapkan standard Euro 4M pada September 2015, dan RON 95 asalnya ditetapkan pada Oktober 2018 — tetapi pengenalannya hanya berlaku pada Januari 2020.

    Bagi peralihan gred kepada petrol Euro 5, ia akan berlangsung pada 1 September 2025. Tarikh berkenaan dipaparkan dalam gazet bulan lalu.

     
     
  • GALERI: Toyota Harrier 2021 di Malaysia – RM249,707

    GALERI: Toyota Harrier 2021 di Malaysia – RM249,707

    Toyota Harrier 2021 baru sahaja dilancarkan semalam, dan kita cuma dapat melihat beberapa sahaja contoh gambar model popular ini. Sekarang, kami sudah mempunyai galeri lengkap satu-satunya varian 2.0 Luxury berharga RM249,707 yang diperkenalkan untuk Harrier di Malaysia ini, khas untuk tatapan anda.

    Model generasi keempat ini dikuasakan oleh enjin empat silinder Dynamic Force 2.0 liter NA, dengan kemampuan 173 PS pada 6,600 rpm dan 203 Nm tork pada 4,400 hingga 4,900 rpm. Jumlah kuasa ini adalah lebih rendah berbanding enjin turbo yang diguna pada Harrier sebelum ini, dan dipadankan bersama transmisi Direct Shift CVT untuk menghantar kuasa tersebut kepada roda hadapan.

    Dibina atas platform GA-K TNGA, Harrier baru sedikit lebih besar dan rendah berbanding model sebelumnya, sementara rekaannya menerapkan konsep Dignified Elegance. Melengkapi bahagian luarnya adalah lampu utama Bi-LED Projector automatik, DRL LED, gril hadapan tertutup serta lampu belakang LED yang bersambung dari kiri hingga kanan.

    Di bahagian dalam, tempat duduknya dibalut dengan kulit kombinasi warna hitam, dengan pelarasan kuasa 12 arah berserta memori diberikan pada bahagian pemandu dan larasan kuasa empat arah untuk penumpang hadapan. Pada papan pemuka, walaupun tidak mendapat unit skrin sesentuh 12.3 inci seperti Jepun, model pasaran Malaysia ini dilengkapi dengan skrin sesentuh lapan inci yang boleh disambung dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Turut diberikan adalah head-up display, pengecas Qi tanpa wayar, kamera undur, enam pembesar suara, panel instrumen TFT berwarna tujuh inci, sistem masuk tanpa kunci, butang pemula enjin serta pendingin hawa automatik dua zon. Di atas bumbung terdapat kaca panoramik luas tetapi tidak boleh dibuka.

    GALERI: Toyota Harrier 2021 di Malaysia – RM249,707

    Kelengkapan lain yang diberikan terus adalah lampu kabus LED, rim 18 inci, roda stereng balutan kulit yang boleh dilaras secara elektronik, tempat duduk boleh sandar dan lipat 60:40, sistem telematik kenderaan, penapis haba cermin premium, kamera hadapan dan belakang serta pintu but bukaan tanpa sentuh.

    Pada bahagian keselamatan, Harrier 2021 dilengkapi pakej penuh Toyota Safety Sense, yang termasuk Autonomous Emergency Braking, Adaptive Cruise Control dengan fungsi gerak dan henti, Lane Centring Assist, Lane Keeping Assist, Blind Spot Monitoring dengan amarak trafik dari belakang serta lampu tinggi adaptif. Tujuh beg udara, Stability Control dan cangkuk ISOFIX juga diberikan secara standard.

     
     
  • Honda Malaysia umum Madoka Chujo sebagai pengarah urusan dan CEO baru, ganti Toichi Ishiyama

    Honda Malaysia umum Madoka Chujo sebagai pengarah urusan dan CEO baru, ganti Toichi Ishiyama

    Honda Malaysia Sdn Bhd (HMSB) hari ini mengumumkan bahawa Madoka Chujo kini telah dilantik sebagai pengarah urusan dan ketua pegawai eksukutifnya yang baharu, bagi menggantikan Toichi Ishiyama yang telah memegang kedua-dua jawatan berkenaan selama tiga setengah tahun.

    Sebelum mula bertugas di HMSB bermula 1 April lalu, Chujo merupakan naib presiden Honda Canada yang menguruskan jualan dan pemasaran pada pasaran berkenaan sejak 2019.

    Chujo memulakan kariernya di Honda 23 tahun lalu pada 1997, dan sejak itu beliau telah bertugas dengan Honda di berberapa negara termasuk Jepun, China, Sepanyol, dan Kanada dan memegang pelbagai jawatan. Beliau pakar dalam strategi pemasaran yang diasah menerusi tugas-tugasnya sebelum ini dan kini melihat kehadapan bagi menggunakan segala pengetahuannya bagi memacu Honda Malaysia terus maju.

    “Malaysia sememangnya merupakan pasaran yang penting di Asia dan rantau Oceania dengan Honda Malaysia telah pun mencapai pelbagai kejayaan bersejarah dalam jualan yang signifikant serta telah menjadi salah satu jenama automotif peneraju dalam negara,” katanya.

    Honda Malaysia umum Madoka Chujo sebagai pengarah urusan dan CEO baru, ganti Toichi Ishiyama

    “Saya tak sabar dan teruja untuk tugas pertama saya sebagai MD dan CEO Honda Malaysia, dan pada masa yang sama saya juga bersemangat untuk menerokai Malaysia, kerana negara ini unik dan merupakan acuan penyatu pelbagai budaya dan masyarakat, dengan banyak potensi serta sudah tentu persekitaran tempat kerja yang laju,”tambahnya lagi.

    Ketika dipimpin oleh Ishiyama, Honda Malaysia telah memperkenalkan pelbagai model termasuk Honda Civic Type R FK8, City generasi kelima yang disertai oleh penampilan sulung peringkat global sedan berkenaan dalam versi City RS e:HEV. Antara kejayaan yang dicapai oleh beliau termasuk memandu syarikat untuk mencapai jualan mencecah 900,000 unit pada 2019 dan mencapai jualan ke-1 juta unit pada Mac tahun ini.

    Di bawah pengawasannya juga, Honda Malaysia berjaya mengekalkan kedudukan sebagai jenama bukan nasional nombor 1 di Malaysia untuk kali ke-enam berturut-turut pada 2020, walaupun negara sedang dilanda pandemik Covid-19. Ishiyama kini telah pun pulang semula ke Jepun bagi menyandang jawatan baru di Divisi Perniagaan Automobil, Strategi Perniagaan Honda Jepun.

     
     
  • Hyundai Alcazar 2021 diperkenal untuk pasaran India – SUV baru dengan tiga baris tempat duduk, 159 PS

    Hyundai Alcazar 2021 diperkenal untuk pasaran India – SUV baru dengan tiga baris tempat duduk, 159 PS

    Hyundai akhirnya telah menyiarkan gambar pertama untuk Alcazar, iaitu SUV tiga baris tempat duduk baru yang dibangunkan khas untuk negara itu. Sebelum ini, Alcazar didedah melalui satu teaser Mac lalu, dan diberitahu akan mula dijual pada bulan Mei.

    Alcazar menggunakan platform yang sama seperti crossover Creta yang lebih kecil, tetapi jarak rodanya dipanjangkan menjadi 2,760 mm, iaitu yang paling panjang dalam segmennya, dan mengatasi model seperti Tata Safari (2,741 mm), MG Hector Plus (2,750 mm) dan Mahindra XUV500 (2,700 mm).

    Jika dibandingkan pula dengan Creta, jarak roda Alcazar adalah lebih 150 mm, dan ini penting untuk memberikan ruang bagi tempat duduk baris ketiga. Dari tepi, kita juga boleh melihat Alcazar menggunakan garis badan yang hampir sama seperti Creta, tetapi ia dipanjangkan sehingga ke belakang dan rekaan lampu belakang diubah.

    Hyundai Alcazar 2021 diperkenal untuk pasaran India – SUV baru dengan tiga baris tempat duduk, 159 PS

    Kelengkapan lain yang boleh dilihat pada bahagian luar Alcazar ini adalah termasuk rim 18 inci dan tambahan cermin di belakang c-pillar. Muka hadapan masih sama seperti Creta, tetapi gril, bampar serta lampu DRL padanya diubah sedikit.

    Kelebihan utama yang mahu diketengahkan oleh Alcazar ini adalah di bahagian dalam, di mana ia boleh dipilih dengan tetapan enam tempat duduk (jenis kapten di baris kedua), atau tujuh tempat duduk (jenis bersambung di baris kedua). Tetapan enam tempat duduk mempunyai perehat tangan di tengah dengan ruang simpanan barang dan cawan.

    Melalui mana-mana tetapan pun, tempat duduk baris kedua akan mempunyai mekanisme yang membolehkan ia dilipat secara mudah serta dilungsur ke hadapan dan belakang. Apabila semua tempat duduk tegak, ruang barangan yang disediakan di belakang berkapasiti 180 liter, tetapi apabila baris ketiga dilipat, ia akan menjadi lebih luas.

    Hyundai Creta 2020 pasaran India

    Hyundai masih belum mengeluarkan gambar papan pemuka, tetapi ia sepatutnya tidak lari jauh daripada rekaan Creta. Kelengkapan lain yang disediakan termasuk sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 10.25 inci dengan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay, servis ketersambungan, kamera 360 darjah, bumbung panoramik, cagak Isofix, pengecas tanpa wayar dan pendingin hawa automatik.

    Disebabkan badan yang lebih besar, Hyundai tidak menggunakan enjin sama seperti Creta untuk Alcazar, dan ia diganti dengan unit Nu 2.0 liter sama seperti Elantra dan Tucson di sana. Enjin ini mampu menghasilkan 159 PS (7 PS lebih kuasa berbanding Elantra dan Tucson), dan 192 Nm tork, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa bawah 10 saat.

    Turut disediakan adalah enjin diesel, iaitu unit U2 CRDi 1.5 liter turbo yang mampu menghasilkan 115 PS dan 250 Nm tork (sama seperti salah satu varian Creta tetapi ditala semula). Kedua-dua enjin pada Alcazar ini menepati tahap emisi BS6 di India dan ditawarkan dengan transmisi sama ada manual enam kelajuan atau automatik.

     
     
  • Renault Koleos 2021 tiba di Malaysia – dari RM182k

    Renault Koleos 2021 tiba di Malaysia – dari RM182k

    Pengedar kenderaan Renault, TC Euro Cars telah memperkenalkan Koleos 2021 untuk pasaran Malaysia. Ini adalah dua tahun selepas SUV tersebut diberikan facelift pertamanya, dan model baru ini dipertingkatkan lagi di beberapa bahagian, terutamanya kelengkapan. Bahagian mekanikal masih lagi sama.

    Harga Koleos 2021 bermula RM181,886 tidak termasuk insurans, iaitu bagi model asas, dan meningkat kepada RM201,087 untuk varian Signature, seterusnya RM206,887 untuk Signature Plus. Harga ini menunjukkan peningkatan yang banyak berbanding model sebelumnya, di antara RM8,685 hingga RM19,020. Ia juga termasuk dengan rebat SST 50% yang diberikan sehingga 30 Jun ini, bersama jaminan lima tahun tanpa had batuan.

    Semua varian ini dipacu oleh enjin empat silinder 2.5 liter NA seperti sebelum ini – diambil daripada Nissan X-Trail – dan ia mampu menghasilkan kuasa 171 PS pada 6,000 rpm dan 226 Nm tork pada 4,400 rpm. Kuasa dihantar kepada roda hadapan melalui transmisi Xtronic CVT dengan penggunaan bahan api berada pada kadar 8.1 l/100 km.

    Renault Koleos 2021 tiba di Malaysia – dari RM182k

    Penampilan Koleos 2021 ini tidak banyak berubah berbanding model facelift sebelum ini, kecuali beberapa bahagian. Lampu projector Pure Vision LED telah ditukar kepada unit reflector, yang dikatakan 10% lebih jimat kuasa, dan disediakan secara standard untuk semua varian, sekali dengan lampu belakang LED dan penunjuk arah sequential.

    Di bahagian dalam, varian Signature dan Signature Plus mendapat tempat duduk hadapan baru yang mempunyai penyandar kepada lebih lebar dan pelarasan kusyen, serta liang udara, fungsi mengurut dan memori bagi bahagian pemandu. Tempat duduk ini turut dibalut dengan kulit Nappa Sand Grey (balutan kulit Riviera masih diberikan pada varian asas) serta kemasan kayu di beberapa bahagian.

    Senarai kelengkapan lain masih dikekalkan dan ini termasuk rim Taika 18 inci, sistem masuk tanpa kunci, butang pemula enjin, kawalan pendingin hawa dua zon, tempat duduk hadapan larasan kuasa, cermin pandang belakang malap sendiri, sistem infotainmen R-Link 2 dengan skrin sesentuh menegak 8.7 inci, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, lapan pembesar suara, kamera undur dan fungsi tanpa sentuh bagi pintu but belakang.

    Selain daripada kelengkapan ini, varian Signature ditambah lagi dengan bumbung panoramik serta rim Kavea 19 inci. Bagi Signature Plus pula, ia boleh dikenali dengan kemasan bampar hadapan dan belakang yang berwarna kelabu, pemijak kaki tepi serta perakam video hadapan dan belakang.

    Selain mendapatkan kenderaan ini dengan cara pinjaman biasa, pelanggan juga boleh menggunakan khidmat langganan dengan bayaran bulanan bermula RM2,599 untuk varian asas, RM3,099 untuk Signature dan RM3,399 untuk Signature Plus. Ini adalah jumlah untuk tempoh penggunaan tiga tahun.

     
     
  • ACE 2021: Beli Ford Ranger dan nikmati jaminan lima-tahun serta baucar bernilai RM2,550 daripada kami!

    ACE 2021: Beli Ford Ranger dan nikmati jaminan lima-tahun serta baucar bernilai RM2,550 daripada kami!

    Kurang seminggu lagi acara ACE 2021, yang ditaja bersama oleh Carsome, akan berlangsung di Setia City Convention Centre (SCCC) 17 dan 18 April ini. Di sana anda berpeluang memandu uji dan membeli kereta pilihan, dan disediakan dengan pelbagai promosi untuk menjadikannya lebih berbaloi.

    Bagi penggemar Ford Ranger, trak pikap berkenaan tersedia dengan jaminan pengeluar selama lima-tahun untuk kesenangan pemilik. Ini termasuk semua varian bagi Ranger, juga sah untuk versi Raptor X yang baru saja diperkenalkan.

    Raptor X hadir dengan warna True Red yang unik serta kelainan penggayaan yang khusus untuknya, seperti pelekat badan yang ditampilkan di bahagian sisi. Ia juga menerima beberapa kelengkapan tambahan berbanding Ranger biasa, termasuk kamera 360-darjah, perakam video digital (DVR) dua-saluran Kenwood serta pelapik kaki khusus.

    ACE 2021: Beli Ford Ranger dan nikmati jaminan lima-tahun serta baucar bernilai RM2,550 daripada kami!

    Sebagai tambahan, paultan.org akan memberikan baucar kombinasi bernilai RM2,550 kepada 200 pelanggan pertama yang menempah kenderaan baru. Ini termasuk baucar DK SCHWEIZER RM650 untuk balutan kulit dalam kenderaan, baucar filem penapis haba cermin RM500, baucar penapis udara Blueair RM500, baucar Dodomat RM300, baucar tempat duduk kanak-kanak Recaro RM300, baucar petrol BHP RM200 dan baucar Shopee RM100.

    Selain daripada itu, tempahan yang sudah disahkan juga melayakkan anda untuk menyertai cabutan bertuah yang memberi peluang memenangi hadiah termasuk telefon bimbit bernilai RM2,300 setiap satu dan pakej percutian bernilai RM10,000!

    Lexus menyertai beberapa lagi jenama premium seperti BMW dan MINI di ACE, sementara jenama lain yang turut hadir adalah termasuk Ford, Honda, Hyundai, Mazda, Mitsubishi, Nissan, Toyota dan Volkswagen. Anda juga berpeluang untuk melihat kereta lumba MSF Racing waktu acara ini!

    ACE 2021: Beli Ford Ranger dan nikmati jaminan lima-tahun serta baucar bernilai RM2,550 daripada kami!

    Memandangkan kita masih dalam tempoh pandemik, kami akan mengambil semua langkah berjaga-jaga yang dirasakan perlu untuk memastikan keselamatan semua. Pengunjung diwajibkan memakai pelitup muka sepanjang masa dan bacaan suhu badan akan diambil serta dipastikan berada di bawah 37.4ºC sebelum masuk. Anda juga perlu mengimbas kod QR dan mendaftar melalui aplikasi MySejahtera bagi tujuan memudahkan pengesanan kontak sekiranya perlu.

    Sebagai usaha tambahan, semua individu wakil penjual yang ada untuk acara ini akan memakai pelindung muka selain pelitup muka biasa. Semua permukaan sentuhan yang utama, termasuk pada kenderaan yang dipamer serta pandu uji, akan disanitasi secara kerap. Kami akan menyediakan cecair sanitasi tangan di lokasi, dan menggalakkan semua pengunjung untuk membawa cecair mereka sendiri dan juga basuh tangan dengan kerap.

    Kami juga akan mengenakan had hanya seramai 1,200 orang di dalam dewan pameran dalam satu-satu masa. Kami mengambil keputusan untuk mengurangkan lagi jumlah berkenaan — berbanding 1,700 orang yang dibenarkan oleh SCCC berpandu kepada 50% orang sebagai pematuhan SOP semasa yang ditetapkan kerajaan — bagi memastikan keselamatan semua. Sebaik memasuki dewan pameran, pengunjung diwajibkan mematuhi panduan jarak sosial selamat. Kanak-kanak di bawah usia 12 tahun dan warga emas berusia 60 tahun tidak akan dibenarkan masuk.

    Klik di sini untuk maklumat lanjut berkenaan ACE 2021

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025