Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Hyundai Kona facelift dilancarkan di M’sia 16 April ini

    Hyundai Kona facelift dilancarkan di M’sia 16 April ini

    Susulan teaser yang disiarkan baru-baru ini, Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) telah pun mengumumkan tarikh dan waktu pelancaran bagi Hyundai Kona facelift menerusi Facebook. Ia bakal berlangsung pada 16 April 2021 ini, 10.30 pagi.

    Ketibaan Kona facelift ini adalah kurang daripada setengah tahun selepas HSDM melancarkan Kona 2020 di Malaysia. Selepas tiga hari Kona dilancarkan di sini pada Oktober lalu, Hyundai Eropah telah mengumumkan kelahiran Kona facelift ini.

    Dengan pilihan kemasan N Line baharu, Kona facelift ini didatangkan dengan dua wajah berbeza. Ia sedikit berbeza dengan Kona yang asalnya, namun N Line yang lebih sporty ini memang agak mirip dengan model pra-peningkatan. Bagi wajah yang normal, ia diberikan kemasan pada gril yang lebih nipis dan lebar, malahan logo Hyundai juga kini diletakkan di atas gril dan tiada lagi bukaan udara di atas gril.

    Hyundai Kona facelift dilancarkan di M’sia 16 April ini

    Lampu DRL yang kelihatan seperti kening pada Kona masih lagi dikekalkan (dengan bentuk yang sedikit berlainan), tetapi lampu utama di bawahnya adalah lebih kecil dan mempunyai tiga gugusan lampu di dalamnya. Sebelum ini, kemasan plastik hitam di tepi cuma berada pada sekeliling lengkuk roda, tetapi kini ia bersambung di depan dan belakang sehingga ke bampar. Bahagian bawah bampar mempunyai skid plate berwarna kelabu yang berbentuk tajam di hujung.

    Bahagian belakang juga menggunakan rekaan yang sama – bampar hitam dan kemasan kelabu di tengah. Grafik untuk lampu telah ditukar sementara lampu yang berada di bawah juga mempunyai bentuk baru.

    Malahan SUV kompak ini dilengkapi dengan rekaan rim 17- dan 18-inci baru (unit 16 inci masih lagi sama), dan panjang keseluruhan kenderaan bertambah 40 mm (disebabkan perubahan bahagian depan).

    Bagi versi N Line pula, ia lebih menyerupai Kona sebelum facelift kerana menggunakan logo di tengah gril dan masih mempunyai jalur bukaan udara di atasnya (tetapi sekarang dibahagikan kepada tiga). Satu lagi sebab ia nampak seperti Kona sebelum ini kerana ia juga menggunakan kemasan hitam di bahagian bawah bampar. Keliling roda pula menggunakan kemasan yang sama warna seperti badan.

    Skid plate pada model biasa diganti dengan lip aerodinamik, berserta hujung seperti sirip dan bukaan udara yang lebih besar dan “teknikal”. Rekaan gril serta rim 18-inci padanya juga adalah unik untuk model ini. Pada bahagian belakang anda akan dapat melihat diffuser besar berwarna hitam bersama dua muncung ekzos di bahagian tepi.

    Kona facelift ini datang dengan lima warna baru iaitu Surfy Blue, Dive in Jeju, Ignite Flame, Cyber Gray dan Misty Jungle, sekaligus menjadikan keseluruhannya ada 10 pilihan warna yang disediakan. Kesemuanya boleh digabungkan dengan bumbung berwarna hitam dan pelindung cermin sisi yang sama warnanya.

    Hyundai Kona facelift dilancarkan di M’sia 16 April ini

    Untuk bahagian dalamnya, papan pemuka nampak lebih maskulin berbanding sebelum ini. Bentuk asasnya adalah sama, tetapi konsol tengah telah dipisahkan antara bahagian atas dan bawah.

    Gegelung pada pembesar suara dan corong pendingin hawa kini mendapat kemasan aluminium, sementara ciri tambahan lain termasuk brek parkir elektrik dan lampu suasana untuk konsol tengah serta bawah kaki. Tempat duduk menggunakan warna serta bahan baru. Selain hitam, pilihan yang diberikan adalah termasuk beige dan kulit berwarna khaki dengan konsol tengah berwarna coklat.

    Model N Line datang dengan kemasan dalam warna hitam, tetapi boleh dipilih dengan kain biasa, kulit atau suede untuk tempat duduk. Menambahkan lagi rasa sporty, bahagian dalam model ini datang dengan jahitan merah, pedal besi, serta lencana N pada roda stereng, tombol gear dan tempat duduk.

    Arahan suara kini boleh digunakan untuk kawalan pendingin hawa, tingkap belakang serta pemanas cermin sisi dan roda stereng. Sistem Display Audi kini dinaik taraf satu inci dan boleh digunakan dengan Android Auto dan Apple CarPlay secara wireless.

    Ciri keselamatan dan sistem bantuan pemandu juga mendapat banyak naik taraf. Smart Cruise Control (SCC) telah dipertingkat dengan fungsi Stop and Go, manakala Blind-Spot Collision-Avoidance Assist (BCA) kini boleh mengaktifkan brek differential untuk mengelakkan perlanggaran pada titik buta.

    Kona pra-peningkatan yang kita dapat diberikan dua pilihan enjin – 2.0L Nu MPI naturally-aspirated Atkinson-cycle dengan 149 PS/180 Nm (6AT, 0-100 km/j dalam 10 saat) dan 1.6L Gamma T-GDi dengan 177 PS/265 Nm dari 1,500-4,500 rpm. Versi turbo menerima kotak gear automatik dwi-klac tujuh-kelajuan dan merupakan SUV paling laju dalam kelasnya dengan pecutan dari 0-100 km/j mampu dicapai dalam 7.7 saat. Harganya pula dari RM115,888 ke RM143,888 untuk model CBU yang diimport terus dari Korea Selatan.

    GALERI: Hyundai Kona facelift

    GALERI: Hyundai Kona facelift N Line

    GALLERY: Model pra-peningkatan Hyundai Kona 1.6 T-GDI di Malaysia

     
     
  • Toyota Rush kini dengan warna Merah Metalik, ganti Hijau Gelap Metalik, harga kekal sama RM88k-RM92k

    Toyota Rush kini dengan warna Merah Metalik, ganti Hijau Gelap Metalik, harga kekal sama RM88k-RM92k

    Selepas pelancaran Perodua Aruz, macam kurang kita dengar pasal kembarnya, Toyota Rush kan? Rush masih dijual dalam barisan model yang ditawarkan oleh UMW Toyota Motors, dan terbaharu ia hadir dengan warna baharu Merah Metalik. Warna ini menggantikan pilihan warna Dark Green Metallic (atau Amazon Green pada Aruz) yang tidak lagi berada dalam brosur.

    Tiada sebarang perubahan harga pada Rush, dan ia kekal dijual pada harga bermula RM88,314 untuk model 1.5E hingga RM91,885 untuk varian 1.5S. Harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran serta pengecualian cukai jualan (SST) sehingga 1 Jun 2021. Ia juga kekal dilindungi waranti selama lima tahun tanpa had perbatuan.

    Juga tiada sebarang kemaskini kelengkapan dibuat, di mana kedua-dua varian Rush menerima lampu hadapan dan belakang LED, rim aloi 17-inci dua-tona, kit badan “R-Blade” bersama serlahan perak, sistem kunci pintar bersama butang penghidup enjin, pendingin hawa tunggal automatik bersama motor penghembus kabin belakang serta pembaca SmartTag bina dalam.

    Toyota Rush kini dengan warna Merah Metalik, ganti Hijau Gelap Metalik, harga kekal sama RM88k-RM92k

    Warna Dark Green Metallic yang tidak lagi ditawarkan

    Ia juga dilengkapkan dengan skrin sesentuh untuk sistem infotainmen bersaiz 6.8-inci bersama fungsi screen mirroring (masih tida Apple CarPlay dan Android Auto), enam pembesar suara, sistem kamera 360-darjah, dan juga kamera perakam digital (dashcam). Model tertinggi 1.5S menerima tambahan perincian seperti lampu kabus hadapan, upholsteri kulit (termasuk roda stereng) dan juga butang pelbagai fungsi pada roda stereng.

    Manakala untuk keselamatan pula, kedua-dua varian dibekalkan dengan enam-beg udara dan juga kawalan kestabilan elektronik. Model tertinggi 1.5S pula menerima tambahan fungsi sistem brek kecemasan automatik, amaran pergerakan kehadapan serta kawalan salah aplikasi pedal.

    Sistem mekanikal juga masih sama di mana Rush digerakkan dengan enjin 1.5 liter Dual VVT-i empat silinder NA berkuasa 105 PS dan tork maksima 136 Nm, digandingkan dengan kotak gear empat kelajuan automatik bagi memacu roda hadapan. Perodua Aruz dan Toyota Rush kedua-duanya dipasang di kilang Perodua Manufacuring (PMSB), dan mungkin selepas ini Aruz juga akan menerima warna merah yang sama.

    GALERI: Toyota Rush 1.5S

     
     
  • Proton Saga dilancarkan di Pakistan – ada varian R3 1.3L transmisi manual, bermula RM54k hingga RM66k

    Proton Saga dilancarkan di Pakistan – ada varian R3 1.3L transmisi manual, bermula RM54k hingga RM66k

    Selepas melancarkan SUV segmen-C Proton X70 hujung tahun lalu, pengedar Proton Pakistan yang diuruskan oleh Al-Haj Automotive hari ini secara rasminya melancarkan model yang lebih mampu milik di pasaran berkenaan iaitu sedan segmen-A Proton Saga.

    Di Pakistan, Proton Saga ditawarkan dalam lima varian; Saga standard MT, Saga standard AT, varian tertinggi Saga Ace AT, dan juga termasuk edisi terhad Saga R3 – ya ada Saga R3 di Pakistan dan ia ditawarkan bukan sahaja dengan pilihan transmisi automatik, malah hadir dalam versi kotak gear manual, Malaysia pun tak ada manual!

    Bagi model standard MT dan AT, perincian yang diberikan adalah sama dengan model standard di Malaysia. Ia termasuk rim besi 14-inci dengan penutup plastik, penderia parkir belakang, cermin sisi bantuan kuasa dengan lampu isyarat membelok serta bukaan but belakang kawalan jauh.

    Manakala untuk Ace yang hanya ditawarkan dengan kotak gear automatik menampilkan perincian sama dengan Saga Premium di Malaysia, ditambah dengan lampu nyalaan siang LED, spoiler kecil di belakang, rim aloi 15-inci, roda stereng dengan butang pelbagai fungsi, skrin infotainmen 7-inci dengan hubungan kepada peranti pintar, kamera undur dan penuras udara kabin N95.

    Seperti yang telah dilaporkan sebelum ini, Saga untuk pasaran Pakistan ini dijana dengan enjin S4PE dengan kapasiti 1,299 cc, atau 33 cc lebih kecil berbanding model pasaran Malaysia dengan kapasiti 1,332 cc. Ini membolehkan Saga diklasifikasikan sebagai model dengan enjin dalam julat tidak melebihi 1.3L di Pakistan, dan menerima potongan cukai lebih banyak membolehkan ia dijual dengan harga lebih kompetitif di pasaran berkenaan.

    Walau bagaimanapun menurut Proton Pakistan, ia masih menjana 95 PS dan juga tork maksima 120 Nm dan menampilkan fungsi Eco Drive Assist. Model automatik digandingkan dengan kotak gear 4AT, manakala versi MT pula menerima transmisi manual lima-kelajuan.

    Proton Saga dilancarkan di Pakistan – ada varian R3 1.3L transmisi manual, bermula RM54k hingga RM66k

    Bagi keselamatan, versi standard datang dengan dua beg-udara dan juga sistem brek ABS dan EBD. Manakala Saga Ace ditambah dengan Traction Control dan juga Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC). Manakala untuk warna, Saga di Pakistan ditawarkan dalam enam warna iaitu Armour Silver, Ruby Red, Rosewood Maroon, Jet Grey, Snow White dan Quartz Black.

    Untuk Saga R3 pula, ia adalah sama sepenuhnya dengan model pasaran Malaysia, serta menampilkan enjin 1,332 cc. Dibekalkan dengan perincian dari Saga Premium, model yang dihasilkan diinspirasikan jentera lumba Proton Saga Sepang 1000KM ini diberikan kit badan merangkumi lips spoiler hadapan, dan juga skirt sisi yang diberikan serlahan warna rasmi R3 iaitu kuning.

    Serlahan-serlahan yang sama juga boleh ditemui pada bahagian bawah gril hadapan, pelekat pelindung cahaya di cermin hadapan dan belakang serta penutup cermin sisi. Rupa luaran Saga R3 ini dilengkapkan dengan jalur pelekat badan sisi dengan nombor perlumbaan “82” Saga S1K, rim aloi 15-inci kemasan kelabu matte, dan juga emblem R3 di but belakang.

    Proton Saga dilancarkan di Pakistan – ada varian R3 1.3L transmisi manual, bermula RM54k hingga RM66k

    Pada bahagian dalaman, model R3 ini menerima tambahan serlahan-serlahan kuning pada tempat sepatutnya di papan pemuka dan juga gelang utama dalam papan meter. Ia juga menerima upholsteri kulit pada tempat duduk (dengan sulaman logo R3) dan roda stereng dengan jahitan benang kuning.

    Selain itu, emblem “R3 Limited Edition” turut dilekat pada papan pemuka, dan ia juga diberikan set karpet R3. Model R3 ini turut dilengkapi dengan penuras udara kabin N95.

    Untuk harga, model paling rendah Saga MT dijual pada harga PKR1,975,000 (RM53,691), diikuti Saga AT berharga PKR2,125,000 (RM57,769), manakala varian biasa tertinggi Ace AT pula dijual pada harga PKR2,225,000 (RM60,488).

    Bagi Saga R3 pula, varian manual dijual pada harga PKR2,175,000 (RM59,129), dan versi R3 automatik pula adalah PKR2,425,000 (RM65,925). Proton merupakan pengeluar pertama di Pakistan yang menawarkan waranti selama 5-tahun atau 150,000km.

    Saga R3 hanya ditawarkan sebanyak 100 unit di Pakistan (2,000 unit di Malaysia). Menurut pengarah pemasaran Proton Pakistan Ibad Jamal, bagi memastikan peluang adil untuk semua pelanggan bagi mendapatkan Saga R3 yang ditawarkan secara sangat terhad ini, mereka yang berminat perlu mendaftarkan nama di laman sesawang rasmi Proton Pakistan.

    Pendaftaran minat berkenaan hanya dibuka selama 10-hari. Dan selepas itu Proton Pakistan akan mengadakan cabutan bertuah bagi memilih mereka yang layak untuk membeli Saga R3 tersebut. Hmmm, dah macam Honda Australia buat pilih pelanggan nak beli Civic Typer R Limited Edition la pulak.

     
     
  • Suzuki kini kembali ke Malaysia bersama Naza Eastern – Swift Sport dan Jimny akan dilancarkan April ini

    Suzuki kini kembali ke Malaysia bersama Naza Eastern – Swift Sport dan Jimny akan dilancarkan April ini

    Ok, kali ini bukan lagi khabar angin – Suzuki kini sah kembali di Malaysia setelah menutup operasi mereka lima tahun lalu, dan kini jenama Jepun berkenaan diuruskan Naza Eastern Motors. Ini juga sebenarnya berita besar buat Naza Group kerana mereka baru sahaja melepaskan francais untuk jenama Peugeot dan Kia pada penghujung tahun lalu.

    Dengan kerjasama baharu ini, Suzuki bakal melancarkan dua model baharu pada bulan ini. Tiada lagi pengumuman rasmi dibuat berkenaan model yang bakal dilancarkan tersebut, tetapi kami diberitahu mereka bakal melancarkan produk yang agak high end iaitu Suzuki Swift Sport dan juga Suzuki Jimny.

    Kedua-dua model ini dijual pada harga agak tinggi bukan sahaja di pasaran ASEAN yang lain, malah model-model yang dibawa secara import persendirian di Malaysia juga dijual pada harga yang agak premium. Jadi sama ada Naza boleh menawarkan harga yang kompetitif atau tidak untuk model-model baru CBU ini masih lagi menjadi tanda tanya.

    Bilik pameran flagship bertaraf 3S pertama Suzuki akan dibuka di Naza Automall Petaling Jaya, menggunakan kawasan seluas 3,000 kaki persegi serta menampilkan “persekitaran yang terang dan bersemangat bersama pelbagai sumber interaktif.”

    Walau bagaimanapun, servis selepas jualan di fasiliti ini hanya akan menerima model-model Suzuki generasi baharu, manakala untuk model-model generasi lebih lama masih perlu terus untuk merujuk kepada pusat servis Proton yang bertauliah, seperti yang terkandung dalam perjanjian ketika mereka keluar dari pasaran Malaysia sebelum ini.

    Suzuki kini kembali ke Malaysia bersama Naza Eastern – Swift Sport dan Jimny akan dilancarkan April ini

    “Ini memberikan kami penghormatan yang tinggi untuk boleh bekerja dengan gergasi automotif Jepun yang berjaya memikat hati konsumer di Malaysia ketika ia masih dalam pasaran Malaysia,” kata pengerusi eksekutif dan CEO Naza group SM Nasarudin SM Nasimuddin.

    “Pasukan di Naza Eastern Motors komited untuk memastikan kami membina reputasi kuat Suzuki yang telah wujud dengan memberikan produk berkualiti yang boleh diharap, diingini dan ceria,” tambahnya lagi.

    Pegawai urusan senior dan pengurus besar eksekutif pemasaran automobil global Suzuki, Kinji Saito pula menambah, “Kami gembira untuk kembali ke pasaran Malaysia dengan Naza Group sebagai pengedar kami. Pengalaman kami dengan pasaran Malaysia adalah menggembirakan kerana penerimaan besar pelanggan kami, dan kami sangat menghargai kepercayaan yang berterusan terhadap Suzuki. Kami tak sabar untuk memperkenalkan kereta-kereta terbaharu kami yang telah menerima anugerah kepada peminat-peminat setia Suzuki.”

    Sebelum ini, jenama Suzuki di Malaysia diedarkan oleh Suzuki Malaysia Automobile, iaitu anak syarikat DRB-Hicom. Suzuki bersetuju untuk meninggalkan pasaran Malaysia setelah menandatangani perjanjian kerjasama dengan Proton sehingga terhasilnya Proton Ertiga, iaitu MPV rebadge dari Suzuki Ertiga.

     
     
  • Kia Malaysia bakal mulakan operasi CKD tahun depan – pemasangan akan dilakukan di kilang Inokom, Kedah

    Kia Malaysia bakal mulakan operasi CKD tahun depan – pemasangan akan dilakukan di kilang Inokom, Kedah

    Kerjasama antara Kia Motor dengan Bermaz Auto (BAuto) bakal menyaksikan formasi bagi syarikat baharu – Kia Malaysia Sdn Bhd (KMSB) – yang akan mengendalikan pemasangan tempatan (CKD) jenama ini di Malaysia.

    Walau bagaimana pun, menurut Pengerusi Eksekutif BAuto, Datuk Seri Ben Yeoh, pihaknya memerlukan antara 12 hingga 18 bulan sebelum memulakan operasi CKD, dengan kos pelaburan lebih kurang USD20 juta (sekitar RM82.8 juta) untuk membangunkan fasiliti yang diperlukan.

    Tambahnya, model Kia akan dipasang di kilang Inokom di Kulim, Kedah, di mana BAuto memiliki saham ekuiti sebanyak 29% buat masa ini. Seperti yang disahkan semalam, Seltos dan Carnival akan menjadi dua daripada tiga model yang dalam perancangan, dan model ketiga akan ditentukan kemudian.

    Kia Malaysia bakal mulakan operasi CKD tahun depan – pemasangan akan dilakukan di kilang Inokom, Kedah

    Sebelum ini, pemasangan tempatan untuk model Kia dilaksanakan di Naza Automotive Manufacturing di Gurun, Kedah.

    Selain untuk pasaran tempatan, ada juga perancangan untuk kereta Kia yang dipasang di Malaysia bakal dieksport ke negara ASEAN yang berdekatan, mengambil manfaat daripada ASEAN Free Trade Agreement (AFTA). Kia Motor komited untuk memastikan KMSB bakal menjadi hab pengeluaran kenderaan serantau, dan memiliki perkongsian sebanyak 60% dalam syarikat.

    Sebelum bermulanya produksi bagi CKD, Dinamikjaya Motors, anak syarikat kepada BAuto, akan terus menjual “stok yang masih ada” dari pengedar sebelum ini. Walau bagaimana pun, Yeoh tidak dapat mengesahkan adakah model baharu yang akan diperkenalkan pada tahun ini adalah versi CBU, kerana buat masa ini, pihaknya sedang fokus untuk memastikan platform perkhidmatan selepas jualan berlangsung dengan sempurna.

     
     
  • PANDU UJI: Toyota GR Yaris – kostum superhero!

    PANDU UJI: Toyota GR Yaris – kostum superhero!

    Ingat lagi kotak pensil kita masa sekolah dulu-dulu pakai bekas video tape? Kotak tu mudah untuk kita custom – yang mana minat Rock, kotak tu kadang-kadang penuh logo kumpulan rock. Yang mana minat bola sepak, kotak berkenaan kadang-kala diselit dengan gambar David Beckham dan logo Manchester United.

    Bagi penulis, kotak tape berkenaan diletak dengan gambar jentera hero rali negara, Karamjit Singh bersama ‘Proton Wira 4WD‘ – ini untuk hero tempatan. Untuk hero antarabangsa pula, dalam bilik tidur penulis ketika itu ditampal dengan poster gambar onboard Colin McRae dan juruarahnya Nicky Grist dalam jentera Subaru Impreza WRC. Manakala di sekolah, ketika belajar di kelas satu sesi, meja belajar penulis ditampal dengan gambar jentera Impreza WRC yang dipandu Richard Burns.

    Sebagai pelajar sekolah, itu sahajalah yang mampu penulis lakukan sebagai peminat fanatik hero-hero rali ini. Namun pada era 90’an, jika anda sudah mempunyai pendapatan, anda boleh membeli ‘kostum’ hero-hero rali berkenaan, yang bukan sahaja membuatkan anda kelihatan seperti mereka, malah turut mempunyai ‘super power’ yang hampir sama.

    Ini kerana pada era 90’an, jentera-jentera rali kelas tertinggi dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC) menggunakan undang-undang Group A. Secara asasnya, Group A ini merupakan kelas ‘Production Modified‘, atau katagori di mana pasukan yang bertanding perlu menggunakan kereta-kereta produksi sebenar yang dijual di bilik pameran, dan kemudian diubahsuai mengikut had-had yang telah digariskan dalam undang-undang.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Proton jual 14,989 kereta pada Mac 2021 – lebih 26.2% berbanding Februari; Saga kekal model terlaris

    Proton jual 14,989 kereta pada Mac 2021 – lebih 26.2% berbanding Februari; Saga kekal model terlaris

    Proton telah mengumumkan prestasi jualan bagi Mac 2021, menyaksikan pengeluar kereta nasional ini telah mencapai rekod terbaik sejak 2013, dengan penghantaran sebanyak 14,989 unit (domestik dan) eksport). Angka tersebut mewakili peningkatan sebanyak 3,116 unit, atau lebih 26.2% berbanding Februari lalu, sekaligus memberikan syarikat terbabit perkongsian pasaran sebanyak 23.5%.

    Untuk suku pertama tahun ini, Proton telah mencapai jualan kumulatif sebanyak 32,826 unit, iaitu pencapaian bagi sukuan tertinggi sejak Mac 2012.

    Dua model SUV keluaran syarikat terbabit telah dipertingkatkan pengeluarannya di kilang Tanjung Malim, sekaligus dapat meningkatkan juga penghantarannya. Bulan lalu, sebanyak 3,515 unit SUV X50 telah dihantar kepada para pelanggan, ternyata ia meningkat berbanding 3,345 unit yang dihantar pada Februari. Manakala sebanyak 2,337 unit X70 telah dihantar pada bulan yang sama iaitu melibatkan peningkatan sebanyak 58.4% berbanding 1,475 unit yang direkodkan pada bulan kedua 2021.

    Di mana kedua-dua SUV berkenaan telah menyumbang sebanyak 5,850 unit pada Mac, manakala Saga pula terus menjadi model paling laris bagi Proton dengan penghantaran sebanyak 5,589 unit – meningkat 32.5% berbanding 4,217 unit pada Februari.

    Proton jual 14,989 kereta pada Mac 2021 – lebih 26.2% berbanding Februari; Saga kekal model terlaris

    Syarikat ini menambah Persona (2,151 unit) dan Iriz (810 unit) masing-masing menjadi model ketiga paling laris bagi sedan segmen-B dan hatchback bagi Mac lalu. Manakala Exora pula merekodkan jualan penghantaran sebanyak 584 unit dan kekal sebagai MPV segmen-C paling laris pada bulan lalu.

    “Setelah permulaan yang agak lemah untuk tahun ini, industri automotif Malaysia akhirnya mencapai kemajuan pada tahun 2021. Kami menganggarkan TIV melebihi 63,000 unit, menunjukkan semua jenama akan mencatatkan jumlah terbaik mereka untuk tahun ini. Bagi Proton, bulan Mac adalah bulan penjualan yang sangat baik kerana kami mencapai angka tertinggi kami bagi tempoh 90 bulan tetapi merasakan pencapaian kami berkurangan kerana ia boleh dipertingkatkan sekiranya kami dapat menghasilkan lebih banyak unit.

    “Buat masa kini, kami masih memiliki banyak pesanan untuk dipenuhi, Proton akan berusaha untuk meningkatkan pengeluaran dalam beberapa bulan ini, di samping mengekalkan fokus kami dalam penyampaian produk yang berkualiti tinggi. Kami juga sedar bahawa insentif PENJANA akan berakhir pada akhir bulan Jun, jadi kami berhasrat untuk memastikan sebanyak mungkin pelanggan dapat menikmati percutian cukai yang diberikan oleh kerajaan,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pengawai Eksekutif, Proton Edar.

    Selain angka jualan, anak syarikat pembiayaan automotif Proton, Proton Commerce Sdn Bhd, telah menyaksikan peningkatan jumlah yang sama bagi pembiayaan kereta. Hampir 4,000 pinjaman dikeluarkan dalam masa tiga bulan pertama pada tahun 2021 dengan anggaran sebanyak 1,700 dikeluarkan dalam bulan Mac sahaja. Angka terakhir setara dengan pertumbuhan 122% pada bulan Februari dan secara keseluruhan, pengeluaran untuk suku tahun pertama ini telah meningkat sebanyak 141% berbandingan tahun 2020.

     
     
  • Range Rover SVAutobiography Ultimate 2021 diperkenal – warna Orchard Green baru, dari RM842k

    Range Rover SVAutobiography Ultimate 2021 diperkenal – warna Orchard Green baru, dari RM842k

    Land Rover Special Vehicle Operations (SVO) telah mengumumkan edisi baharu bagi Range Rover SVAutobiography Ultimate. Dua model ditawarkan iaitu versi jarak roda yang lebih panjang Range Rover SVAutobiography dan juga varian SVAutobiography Dynamic.

    Keunikan pada edisi Ultimate ini ialah ia menampilkan warna luaran baharu bersama kemasan satin Orchard Green dan kontras Narvik Black untuk bumbung, sedikit perincian tembaga untuk luaran, lencana Range Rover, knurled infills hitam berkilat dan juga lambang SV pada tiang-B. Model SVAutobiography Dynamic juga ditampilkan dengan roda aloi 22-inci dengan rekaan lima jejari-terpisah dan kemasan kelabu gelap berkilat.

    Di dalamnya, model edisi Ultimate menerima lamnang SV yang yang disulam pada kesemua perehat kepala, ekslusif tradeplate dan plak ‘SV Bespoke Ultimate edition’ pada konsol tengah, dilengkapi dengan lambang SV bersama kemasan tembaga.

    Range Rover SVAutobiography Ultimate 2021 diperkenal – warna Orchard Green baru, dari RM842k

    Manakala model jarak roda yang lebih panjang pula menerima tempat duduk belakang Executive Class Comfort-Plus yang boleh dibaringkan dengan fungsi haba panas dan pengaliran udara. Dengan jarak roda yang lebih panjang turut memberikannya 1.2 meter untuk ruang kaki, dan didatangkah dengan beberapa elemen kemewahan termasuk fungsi mengurut dengan batu panas, perehat kaki dan betis, konsol tengah dengan jam Zenith dan ruang penyejukan.

    Bagi yang ingin membeli model ini, ia juga diberikan kemasan dalaman dengan kulit Vintage Tan dan juga gentian karbon Copper Weave. Turut dibelikan pilihan kulit upholstery khas dari artis Itali di Poltrona Frau.

    Dua penjana kuasa diberikan untuk model SVAutobiography jarak roda yang lebih panjang ini iaitu P44e plug-in hybrid atau unit enjin yang lebih padu 5.0 liter supercharged V8 dengan hamburan kuasa 565 PS.

    Manakala bagi SVAutobiography Dynamic, ia hanya menampilkan jarak roda standard sahaja. Ia dikuasakan dengan enjin V8, dan ketinggian pengendaliannya diturunkan sebanyak 8 mm untuk pemanduan yang lebih padu. Ia juga menerima geometri suspensi yang dirombak dan stereng yang dilaraskan semula untuk respons yang lebih baik. Untuk kemasannya, ia diberikan pilihan Ebony/Vintage Tan dengan tempat duduk separa-anilin perincian berlian dan kemasan Steel Weave Carbon Fibre.

    Harga bermula dari £147,441 (RM842k) untuk SVAutobiography Dynamic, dan £183,706 (RM1.05 million) bagi model jarak roda lebih panjang SVAutobiography.

     
     
  • Kia sahkan kerjasama dengan Bermaz Auto di M’sia – bakal hasilkan model CKD SUV Seltos & MPV Carnival

    Kia sahkan kerjasama dengan Bermaz Auto di M’sia – bakal hasilkan model CKD SUV Seltos & MPV Carnival

    Selepas pelbagai spekulasi, kini sah Kia Motors memilih Bermaz Auto (BAuto) untuk meneruskan perniagaan mereka di Malaysia selepas dilepaskan oleh Naza Group akhir tahun lalu. Kini, Kia dan Bermaz Auto telah mewujudkan satu syarikat kerjasama baharu yang dikenali sebagai Kia Malaysia Sdn Bhd (KMSB), dan bakal menjalankan operasi pemasangan tempatan (CKD) model-model Kia di Malaysia.

    Sebagai permulaan, tiga model akan dipasang secara CKD untuk pasaran Malaysia. SUV Kia Seltos dan MPV Kia Carnival telah disahkan untuk projek awalan ini, tetapi model ketiga akan diumumkan kemudian. Kereta-kereta yang dipasang di Malaysia bukan hanya untuk pasaran tempatan, kerana Kia mahu KMSB bertindak sebagai hab produksi serantau untuk pasaran ASEAN dan pasaran lain yang berpotensi.

    Dalam masa yang sama, Kia turut melantik anak syarikat BAuto iaitu Dinamikjaya Motors untuk menjadi pengedar baru kenderaan Kia di Malaysia bagi menggantikan Naza Kia. Dinamikjaya akan menjual model-model Kia tidak kira dalam versi CKD atau CBU, serta mengendalikan servis selepas jualan jenama tersebut di Malaysia.

    “Selepas berberapa bulan mencari rakan kongsi yang betul, Kia gembira untuk masuk ke Kia JV dan pengedaran Kia bersama BAuto. Dengan kebolehan BAuto yang sudah terbukti dalam kejayaannya membina jenama automotif di Malaysia dan Filipina serta pengalaman mereka dalam pengilangan automotif, kami percaya kami telah meletakkan jenama Kia kepada tangan yang baik di bawah kepimpinan yang berkebolehan dari pengerusi eksekutifnya Dato Seri Ben Yeoh,” kata Tae Hun (Ted) Lee, presiden dan CEO Kia Asia Pasifik.

    “Kenderaan jenama Kia adalah terkenal kerana rupanya yang bergaya, dibekalkan dengan ciri-ciri pintar, facelift yang sentiasa bertukar dan pelancaran-pelancaran baru yang sentiasa memastikan pembeli berpotensi teruja terhadap produknya. Kia JV dan pengedaran Kia akan menggunakan perniagaan kumpulan automotif sedia ada kami dan kami melihat kehadapan untuk kerjasama yang berjaya bersama Kia.” kata Datuk Seri Ben Yeoh, pengerusi eksekutif BAuto.

    Perkembangan ini datang hanya sejurus selepas jenama Peugeot diserahkan kepada Berjaya Auto Alliance Sdn Bhd (BAASB), iaitu syarikat kerjasama antara Berjaya Corp dan BAuto setelah jenama Perancis tersebut turut dilepaskan oleh Naza Group. Berjaya Corp mempunyai 51% kepentingan dalam BAASB, manakala BAuto pula memegang saham sebanyak 21%. Sebelum kerjasama-kerjasama ini berlangsung, BAuto merupakan syarikat yang memegang dan menaikkan jenama Mazda di Malaysia buat masa sekarang.

     
     
  • Perodua umum jualan naik 29% kepada 58k untuk Q1 2021 – 4,345 unit Ativa dihantar kurang dari sebulan

    Perodua umum jualan naik 29% kepada 58k untuk Q1 2021 – 4,345 unit Ativa dihantar kurang dari sebulan

    Untuk hari pertama bulan April 2021, Perodua tidak membuang masa untuk mengumumkan rekod jualan bagi suku pertama (Q1) tahun ini. Pendahulu carta dalam pasaran automotif tempatan ini telah menjual sebanyak 57,911 unit kenderaan untuk Q1, iaitu meningkat sebanyak 29% berbanding tempoh yang sama tahun lalu (44,977). Pastinya, SUV baharu, Ativa, yang dilancarkan pada 3 mac lalu, banyak menyumbang pada peningkatan jualan ini.

    Dengan adanya Ativa dalam senarai, pendaftaran bulan-ke-bulan Perodua telah meningkat sebanyak 47.3% ke 24,433 unit pada Mac lalu berbanding Februari yang mencatatkan sekitar 16,583 unit.

    “Bulan Mac menyaksikan peningkatan jumlah jualan kami kepada 24,433 unit, didorong permintaan yang tinggi, terutamanya bagi Ativa, yang telah menerima sebanyak 14,574 tempahan sejak dibuka untuk pesanan pada 19hb Februari lalu,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad, yang menambah sebanyak 4,345 unit Ativa telah dihantar kepada pelanggan dalam masa kurang daripada 30 hari.

    Sebagai perbandingan terhadap pesaingnya, Proton X50 yang dilancarkan pada akhir Oktober 2020, dan pada akhir Februari 2021, dalam tempoh empat bulan, sebanyak 8,141 unit telah terjual. Secara keseluruhannya, sebanyak 3,345 unit telah dihantar pada bulan Februari.

    Perodua umum jualan naik 29% kepada 58k untuk Q1 2021 – 4,345 unit Ativa dihantar kurang dari sebulan

    “Ini menjadikan Perodua Ativa SUV kompak terlaris di negara ini pada bulan Mac. Kami amat bersyukur, Perodua Ativa telah mencapai permulaan yang begitu kukuh dan kami telah berjaya mengatasi sasaran penghantaran bulanan sebanyak 3,000 unit pada bulan pertama,”tambahnya lagi.

    Dari segi pengeluaran, Dato’ Zainal berkata bahawa Perodua telah menghasilkan 60,383 kenderaan pada 1Q21 – kenaikan 23% berbanding 49,280 unit yang dihasilkan pada 1Q20. “Buat masa ini, cabaran terbesar kami adalah kekurangan cip semikonduktor, yang memberi kesan yang berbeza-beza kepada setiap pengeluar kenderaan pada skala global.

    “Kami sedang bekerjasama dengan rakan niaga kami untuk mencari bekalan alternatif dan pada masa yang sama memantau keadaan setiap hari untuk memastikan operasi pengeluaran kami berterusan,” katanya sambil menambah bahawa walaupun berdepan dengan isu semikonduktor, Perodua masih mampu mencapai sasaran jualan 2021 sebanyak 240,000 unit.

    Sasaran jualan 2021 Perodua mewakili peningkatan 9% daripada 220,163 unit yang dijual pada 2020, dan dijangka membawa kepada perbelanjaan rekod sebanyak RM6.5 bilion pada tahun ini untuk membeli komponen tempatan. Perodua juga mensasarkan pengeluaran sebanyak 272,000 unit (+23% daripada 220,968 unit pada 2020) dan 2.4 juta pengambilan servis (+20% daripada 2 juta pengambilan servis pada 2020) bagi tahun ini.

    Perodua Ativa 1.0L Turbo AV 2021

     
     
  • Isuzu D-Max 2021 bakal dilancarkan di Malaysia pada hujung April ini – harga jangkaan RM89k-RM145k

    Isuzu D-Max 2021 bakal dilancarkan di Malaysia pada hujung April ini – harga jangkaan RM89k-RM145k

    Minggu lalu, kami telah memaparkan SPYSHOT Isuzu D-Max generasi ketiga dan ia telah disahkan bakal dilancarkan pada hujung bulan ini. Malahan trak pikap generasi ketiga ini telah pun dibuka tempahannya, dengan Isuzu Malaysia juga sudah memaparkan imej teaser bagi model ini.

    Isuzu Malaysia juga telah mengumumkan harga jangkaannya iaitu dari RM89,000 ke RM145,000, bergantung pada kelulusan kerajaan. Ternyata harganya tinggi sedikit berbanding model semasa – di mana sebelum ini ia merupakan salah satu dari trak paling murah dalam segmennya.

    Walau bagaimana pun, ia diberikan ciri yang lebih lengkap. Dibangunkan dengan Isuzu Dynamic Drive Platform baharu, D-Max baharu ini dikatakan lebih tegar dan ringan, sementara suspensi, stereng dan breknya pula telah dipertingkatkan untuk lebih keselesaan dan pengendalian. Malahan enjinnya juga telah diposisi di belakang gandar hadapan untuk meningkatkan pengedaran beratnya.

    Isuzu D-Max 2021 bakal dilancarkan di Malaysia pada hujung April ini – harga jangkaan RM89k-RM145k

    Ia diberikan dua pilihan enjin turbodiesel – 1.9 liter dan 3.0 liter empat-silinder turbodiesel. Unit 1.9L mampu menghasilkan 150 PS pada 3,600 rpm dan 350 Nm tork dari 1,800 hingga 2,600 rpm dengan gandingan kotak gear yang optimum untuk mendapatkan pecutan yang lebih baik.

    Manakala untuk enjin yang lebih besar, ia mampu menghamburkan kuasa hingga 190 PS dan 450 Nm – meningkat sebanyak 13 PS dan 70 Nm berbanding unit lama. Ia juga ditawarkan dengan kotak gear enam-kelajuan manual dan automatik.

    Untuk bahagian luarannya, ia direka semula dengan imej yang lebih agresif termasuk gril hadapan yang lebih besar, lampu utama trapezoidal nipis dengan teknologi bi-LED,dan kerangka aerodinamik yang telah diuji dengan melalui terowong angin.

    Isuzu D-Max 2021 bakal dilancarkan di Malaysia pada hujung April ini – harga jangkaan RM89k-RM145k

    Di dalamnya, ia menampilkan papan pemuka yang lebih bergaya dengan bahagian tengah haksagon, material sentuhan lembut dengan jahitan sebenar dan juga skrin sesentuh infotainmen bersaiz sembilan-inci dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Tempat duduk juga telah direka semula untuk lebih keselesaan dengan menawarkan larasan berkuasa untuk bahagian pemandu. Jarak roda yang lebih panjang juga membuatkan ruang kabin lebih besar.

    Isuzu Malaysia berkata D-Max juga akan dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu yang ditawarkan bagi sesetengah varian, menjadikan model versi Malaysia lebih canggih berbanding yang ditawarkan di Thailand.

    Buat masa ini, model yang dijual di Australia dan United Kingdom didatangkan dengan brek kecemasan sendiri dengan pengesan kenderaan yang datang dari persimpangan, kawalan kelajuan adaptif, bantuan kekal lorong, bantuan pemusatan lorong, pemantauan titik buta dan juga lampu tinggi automatik. Walau bagaimana pun, belum dipastikan adakah model pasaran Malaysia bakal menerima sistem keselamatan sebegini mahu pun tidak.

    GALERI: Isuzu D-Max V-Cross 3.0 Ddi di Thai Motor Expo 2019

     
     
  • Hyundai Kona facelift bakal dilancarkan di Malaysia

    Hyundai Kona facelift bakal dilancarkan di Malaysia

    Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) telah pun menyiarkan teaser “Coming Soon” (akan datang) bagi model Hyundai Kona facelift menerusi laman Facebook, ini bermakna SUV segmen-B yang dipertingkatkan ini bakal dilancarkan tidak lama lagi. Ia mungkin berlaku kurang setengah tahun selepas HSDM melancarkan Kona di Malaysia.

    Selepas tiga hari Kona dilancarkan di sini pada Oktober lalu, Hyundai Eropah telah mengumumkan kelahiran Kona facelift ini. Walau pun pasaran kita agak terlambat untuk menerima kemasukan Kona 2020, tapi biarlah sedikit lambat daripada tiada langsung.

    Dengan pilihan kemasan N Line baharu, Kona facelift ini didatangkan dengan dua wajah berbeza. Ia sedikit berbeza dengan Kona yang asalnya, namun N Line yang lebih sporty ini memang agak mirip dengan model pra-peningkatan. Bagi wajah yang normal, ia diberikan kemasan pada gril yang lebih nipis dan lebar, malahan logo Hyundai juga kini diletakkan di atas gril dan tiada lagi bukaan udara di atas gril.

    Hyundai Kona facelift bakal dilancarkan di Malaysia

    Lampu DRL yang kelihatan seperti kening pada Kona masih lagi dikekalkan (dengan bentuk yang sedikit berlainan), tetapi lampu utama di bawahnya adalah lebih kecil dan mempunyai tiga gugusan lampu di dalamnya. Sebelum ini, kemasan plastik hitam di tepi cuma berada pada sekeliling lengkuk roda, tetapi kini ia bersambung di depan dan belakang sehingga ke bampar. Bahagian bawah bampar mempunyai skid plate berwarna kelabu yang berbentuk tajam di hujung.

    Bahagian belakang juga menggunakan rekaan yang sama – bampar hitam dan kemasan kelabu di tengah. Grafik untuk lampu telah ditukar sementara lampu yang berada di bawah juga mempunyai bentuk baru.

    Akhir sekali, SUV kompak ini dilengkapi dengan rekaan rim 17- dan 18-inci baru (unit 16 inci masih lagi sama), dan panjang keseluruhan kenderaan bertambah 40 mm (disebabkan perubahan bahagian depan).

    Bagi versi N Line pula, ia lebih menyerupai Kona sebelum facelift kerana menggunakan logo di tengah gril dan masih mempunyai jalur bukaan udara di atasnya (tetapi sekarang dibahagikan kepada tiga). Satu lagi sebab ia nampak seperti Kona sebelum ini kerana ia juga menggunakan kemasan hitam di bahagian bawah bampar. Keliling roda pula menggunakan kemasan yang sama warna seperti badan.

    Skid plate pada model biasa diganti dengan lip aerodinamik, berserta hujung seperti sirip dan bukaan udara yang lebih besar dan “teknikal”. Rekaan gril serta rim 18-inci padanya juga adalah unik untuk model ini. Pada bahagian belakang anda akan dapat melihat diffuser besar berwarna hitam bersama dua muncung ekzos di bahagian tepi.

    Kona facelift ini datang dengan lima warna baru iaitu Surfy Blue, Dive in Jeju, Ignite Flame, Cyber Gray dan Misty Jungle, sekaligus menjadikan keseluruhannya ada 10 pilihan warna yang disediakan. Kesemuanya boleh digabungkan dengan bumbung berwarna hitam dan pelindung cermin sisi yang sama warnanya.

    Hyundai Kona facelift bakal dilancarkan di Malaysia

    Untuk bahagian dalamnya, papan pemuka nampak lebih maskulin berbanding sebelum ini. Bentuk asasnya adalah sama, tetapi konsol tengah telah dipisahkan antara bahagian atas dan bawah.

    Gegelung pada pembesar suara dan corong pendingin hawa kini mendapat kemasan aluminium, sementara ciri tambahan lain termasuk brek parkir elektrik dan lampu suasana untuk konsol tengah serta bawah kaki. Tempat duduk menggunakan warna serta bahan baru. Selain hitam, pilihan yang diberikan adalah termasuk beige dan kulit berwarna khaki dengan konsol tengah berwarna coklat.

    Model N Line datang dengan kemasan dalam warna hitam, tetapi boleh dipilih dengan kain biasa, kulit atau suede untuk tempat duduk. Menambahkan lagi rasa sporty, bahagian dalam model ini datang dengan jahitan merah, pedal besi, serta lencana N pada roda stereng, tombol gear dan tempat duduk.

    Untuk ciri teknologi dan sambungan, Kona facelift ini mendapat panel digital 10.25 inci seperti yang diguna pada i20. Ia boleh dipadankan dengan skrin AVN 10.25 inci dengan fungsi pembahagi dan beberapa sambungan Bluetooth kepada peranti berlainan. Naik taraf Bluelink yang dibuat menjadikan ia kini mempunyai fungsi Last Mile Navigation, Connected Routing, Live Parking Information dan Free Text Search.

    Arahan suara kini boleh digunakan untuk kawalan pendingin hawa, tingkap belakang serta pemanas cermin sisi dan roda stereng. Sistem Display Audi kini dinaik taraf satu inci dan boleh digunakan dengan Android Auto dan Apple CarPlay secara wireless.

    Ciri keselamatan dan sistem bantuan pemandu juga mendapat banyak naik taraf. Smart Cruise Control (SCC) telah dipertingkat dengan fungsi Stop and Go, manakala Blind-Spot Collision-Avoidance Assist (BCA) kini boleh mengaktifkan brek differential untuk mengelakkan perlanggaran pada titik buta.

    Kona pra-peningkatan yang kita dapat diberikan dua pilihan enjin – 2.0L Nu MPI naturally-aspirated Atkinson-cycle dengan 149 PS/180 Nm (6AT, 0-100 km/j dalam 10 saat) dan 1.6L Gamma T-GDi dengan 177 PS/265 Nm dari 1,500-4,500 rpm. Versi turbo menerima kotak gear automatik dwi-klac tujuh-kelajuan dan merupakan SUV paling laju dalam kelasnya dengan pecutan dari 0-100 km/j mampu dicapai dalam 7.7 saat. Harganya pula dari RM115,888 ke RM143,888 untuk model CBU yang diimport terus dari Korea Selatan.

    GALERI: Hyundai Kona facelift

    GALERI: Hyundai Kona facelift N Line

     
     
  • Tiada lagi diesel Euro 2M di Malaysia, semua diganti dengan diesel Euro 5 bermula hari ini – Menteri

    Tiada lagi diesel Euro 2M di Malaysia, semua diganti dengan diesel Euro 5 bermula hari ini – Menteri

    Kerajaan telah mengumumkan bahawa bahan api diesel Euro 2M tidak lagi akan dijual di mana-mana stesen minyak di seluruh negara bermula hari ini, dan ia akan digantikan sepenuhnya dengan diesel Euro 5. Perkara ini telah diumumkan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man semalam, lapor Bernama.

    Langkah ini sepatutnya diambil pada 1 September 2020 seperti yang telah diumumkan oleh kerajaan pada Disember 2015. Namun menurut menteri berkenaan, atas keprihatinan kerajaan, Jemaah Menteri pada 10 Jun tahun lalu bersetuju menangguhkan pelaksanaannya pada 1 April ini susulan kekangan di pihak industri dan pandemik Covid-19.

    Beliau turut menyatakan bahawa semua syarikat pengeluar, pembekal dan stesen minyak dikehendaki mematuhi pelaksanaan tersebut selaras dengan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Kandungan Petrol Dan Diesel) 2007 serta Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Kandungan Petrol Dan Diesel) (Pindaan) 2021.

    “Pelaksanaan spesifikasi minyak diesel Euro 5 merupakan salah satu usaha kerajaan untuk mempertingkatkan status kualiti udara sepertimana yang digariskan dalam Pelan Tindakan Udara Bersih 2010,” katanya dalam satu kenyataan.

    Tiada lagi diesel Euro 2M di Malaysia, semua diganti dengan diesel Euro 5 bermula hari ini – Menteri

    Menteri berkenaan turut menjelaskan bahawa kualiti minyak adalah penting untuk sistem enjin dan pelepasan daripada ekzos, malah enjin berteknologi baharu yang mematuhi standard pelepasan Euro 4 ke atas memerlukan minyak yang lebih bersih untuk beroperasi secara optimum dan cekap dalam mengawal pelepasan asap atau gas pencemar daripada ekzos.

    “Euro 5 merupakan diesel dengan kualiti yang lebih bersih dan kandungan sulfur yang lebih rendah iaitu sebanyak 10 part per million (ppm) berbanding Euro 2M yang mempunyai kandungan sulfur sebanyak 500 ppm,” katanya dan memberitahu bahawa pelaksanaan spesifikasi minyak diesel Euro 5 di seluruh negara akan dapat mempertingkatkan status kualiti udara.

    Diesel Euro 5 sudah berada di Malaysia sejak 2014, hasil inisiatif individu yang dibuat oleh pelbagai syarikat walaupun masih lagi tiada keperluan untuk berbuat demikian pada masa itu. BHPetrol adalah yang pertama menawarkan bahan api berkenaan di stesen-stesen terpilih di Johor, diikuti Shell dan Petronas. Pada 2016 kesemua pemain utama industri termasuk Petron dan Caltex juga telah menawarkan diesel Euro 5 di lokasi terpilih.

    Untuk harga terbaharu, diesel Euro 5 dijual pada harga RM2.25 seliter, atau 10 sen lebih mahal berbanding Euro 2M dengan harga RM2.15 seliter. Namun masih lagi belum ada kenyataan rasmi dari kerajaan sama ada ia akan dijual pada harga biasa, atau Euro 5 yang merupakan pilihan tunggal dalam pasaran akan dijual pada harga sama seperti Euro 2M kerana kerajaaan telah menetapkan harga siling untuk diesel pada kadar RM2.15 seliter sebelum ini.

     
     
  • Volvo beri stafnya cuti Ibubapa 24 minggu bergaji untuk ayah dan ibu di seluruh dunia termasuk di M’sia

    Volvo beri stafnya cuti Ibubapa 24 minggu bergaji untuk ayah dan ibu di seluruh dunia termasuk di M’sia

    Families at Volvo Cars

    Volvo Cars telah mengumumkan bahawa mereka akan mula memberikan cuti Ibubapa bergaji kepada semua 40,000 stafnya di seluruh dunia selama setengah tahun bermula 1 April 2021. Cuti berkenaan bukan hanya untuk Ibu, malah ia akan diberikan untuk Ayah bagi staf yang bertugas tak kira sama ada di kilang atau pejabat.

    Polisi ‘Family Bond’ Volvo ini akan diberikan kepada staf yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya selama setahun, dan manfaat terbaharu ini akan memberikan cuti bersalin selama 24 minggu dengan gaji 80% dari gaji asas mereka. Cuti ini boleh diambil pada bila-bila masa dalam tempoh tiga tahun pertama sebagai Ibubapa.

    “Kami mahu mewujudkan budaya yang menyokong keibubapaan yang sama untuk semua jantina. Apabila Ibubapa disokong dengan kesimbangan antara kerja dan keluarga, ia akan membantu untuk merapatkan ruang jantina dan membolehkan semua orang terus maju dalam karier. Kami sentiasa menjadi syarikat yang berorientasikan keluarga dan manusia. Menerusi polisi cuti Ibubapa ini, kami mendemonstrasikan dan menjalankan nilai kami, yang akan menjadi kekuatan jenama kami,” kata CEO Volvo Cars Håkan Samuelsson.

    Polisi ini digunakan untuk seluruh dunia termasuk Malaysia. “Ini merupakan langkah besar untuk Volvo, di mana kami gembira untuk mengembangkan manfaat Family Bond kepada rakan-rakan kami di Malaysia. Ia memang memperkasakan untuk menjadi sebahagian daripada organisasi yang berfikiran progresif, untuk mempergiatkan usaha kami bagi mendapatkan faedah pekerja yang kompetitif dalam budaya positif kami,” kata Akhtar Sulaiman, pengarah pemasaran dan PR Volvo Car Malaysia.

    Volvo beri stafnya cuti Ibubapa 24 minggu bergaji untuk ayah dan ibu di seluruh dunia termasuk di M’sia

    Menurut Volvo, polisi ini adalah lebih inklusif dan memberi sokongan berbanding polisi sedia ada lain di seluruh dunia, dan ia membabitkan semua Ibubapa yang sah didaftarkan, termasuk yang menjadi Ibubapa angkat. Sebahagian negara tidak menawarkan sebarang cuti bergaji untuk pasangan yang baru menjadi Ibubapa, atau tidak menyertakan sebahagian kumpulan Ibubapa, seperti hanya menawarkan keistimewaan kepada Ibu tetapi tidak kepada bapa.

    Polisi global Volvo ini adalah diinspirasikan dari perundangan negara asal jenama berkenaan iaitu Sweden. Negara berkenaan terkenal kerana memberikan cuti Ibubapa kepada rakyatnya, yang memberikan faedah untuk Ibubapa dan anak-anak. Ia adalah lanjutan dari skim perintis cuti Ibubapa yang dilancarkan di EMEA (Eropah, Timur Tengah dan Afirka) pada 2019, di mana 46% yang memohon adalah Ayah.

    Apabila mengkaji kesan daripada skim perintis cuti Ibubapa berkenaan, Volvo mendapati pekerjanya menghargai polisi tersebut kerana ia neutral jantina, inklusif dan juga diperlukan oleh individu. Kajian ini juga menghasilkan pandangan penting tentang bagaimana mendorong lebih ramai pekerja untuk mengambil cuti Ibubapa dan menjadikan cuti Ibubapa untuk ayah dan ibu sebagai norma baru.

    Volvo beri stafnya cuti Ibubapa 24 minggu bergaji untuk ayah dan ibu di seluruh dunia termasuk di M’sia

    Berberapa halangan yang mengehadkan pengambilan cuti Ibubapa berkenaan termasuk kegusaran Ibubapa tentang impak yang berkemungkinan pada pasukan kerja, ketakutan terhadap peluang kerjaya dalam jangka masa panjang, dan juga pemikiran budaya mengenai apa yang diharapkan oleh bapa di tempat kerja dan di rumah.

    Bagi menggalak pengambilan cuti tersebut, Volvo memfokuskan komunikasi mereka terhadap polisi cuti Ibubapa tersebut secara lebih efektif. Dengan memberikan cuti Ibubapa selama 24 minggu sebagai pra-pilihan, Volvo mensasarkan untuk mewujudkan “kesan lalai” – secara asasnya kebanyakkan pekerja mereka akan terus dengan pra-pilihan.

    Perkataan “sehingga 24 minggu” dielakkan dalam penawaran cuti ini di mana ia boleh mengelakkan perasaan negatif kerana tiada kepastian. Dengan menggunakan taktik seperti ini, Volvo mensasarkan untuk menyisihkan kecelaruan dan juga halangan budaya, serta memberikan kepastian kepada Ibubapa.

     
     
  • Aplikasi My BMW, MINI diperkenalkan di Malaysia; boleh guna Apple CarKey, ciri baharu untuk EV

    Aplikasi My BMW, MINI diperkenalkan di Malaysia; boleh guna Apple CarKey, ciri baharu untuk EV

    Aplikasi telefon pintar yang pemilik BMW dan MINI, My BMW dan My MINI, telah pun diperkenalkan di Malaysia, bagi menggantikan aplikasi sebelumnya – BMW dan MINI Connected – yang menawarkan beberapa ciri baharu. Perisian baharu ini juga telah dilancarkan di Eropah, China dan Korea pada Julai lepas, dan negara kita antara 10 negara yang menerimanya sejak semalam, termasuklah Jepun dan Australia.

    Kedua-dua aplikasi ini menawarkan akses segera dan keupayaan untuk mengurus status kenderaan, serta dapat berhubung terus dengan pusat servis BMW atau MINI pilihan masing-masing. Aplikasi tersebut juga memudahkan para pengguna untuk mengawal fungsi kenderaan BMW atau MINI mereka dari jauh, termasuk pelbagai perkhidmatan navigasi dan e-mobiliti yang komprehensif.

    Struktur tab tiga serangkai yang serba minimalis pada My BMW dan My MINI menampilkan Tab Vehicle, Map dan Home. Tab yang pertama memberi akses ke atas perkhidmatan kenderaan berjarak jauh yang meliputi Active Charging, Vehicle Finder, Remote Lock dan Remote Unlock dengan Climate Charge serta Climate Timer. Ciri kefungsian eksklusif dalam My BMW App yang baharu turut merangkumi Remote Engine Start dan Flashlights, di samping Remote Software Upgrades untuk memastikan perisian kenderaan pengguna sentiasa dikemaskini.

    Aplikasi My BMW, MINI diperkenalkan di Malaysia; boleh guna Apple CarKey, ciri baharu untuk EV

    Selain itu, pengguna dapat menguruskan keperluan servis dan penyenggaraan kenderaan mereka melalui aplikasi tersebut – termasuk penggera servis dan panggilan semula, serta penjadualan janji temu dalam talian. Jika pengguna menghadapi masalah, BMW Roadside Assistance dan MINI Roadside Assistance juga boleh dihubungi melalui aplikasi baharu ini. Driver’s Guide turut disediakan bagi pemilik BMW dan MINI dalam aplikasi masing-masing – digital sepenuhnya dan dapat diakses di mana-mana jua, pada bila-bila masa.

    Fungsi e-mobiliti yang disediakan di bawah tab Vehicle dalam kedua-dua aplikasi tersebut menyediakan gambaran keseluruhan yang ditambah baik ke atas Fuel/Battery Level, Range Status dan Charging Status, serta Charging History – yang merupakan fungsi baharu di aplikasi tersebut. Fungsi pra-penyediaan kenderaan juga ditawarkan sebagai standard demi kemudahan tambahan.

    Tab Map membolehkan pengguna kekal termaklum mengenai lokasi dan destinasi yang dituju, yang turut membawakan fungsi seperti Map Search, dan Point of Interests (POIs) dengan ciri e-mobiliti baharu yang meliputi Nearby Parking dan Charging Spots, Charging Station Details, serta POIs yang dapat dicapai. Pengguna juga kini boleh menghantar destinasi kepada kenderaan tersebut selain berkongsi lokasi daripada aplikasi eksternal. Bagi pemilik kenderaan elektrik, Range Circle on Map membantu mereka mengenal pasti destinasi yang boleh dicapai dalam jarak capaian semasa, berdasarkan lokasi semasa.

    Para pemilik BMW dan MINI juga boleh meneroka fungsi Message Center dalam aplikasi baharu tersebut, di samping fungsi personalisasi profil – di mana pengguna boleh memuat naik imej yang diperibadikan ke profil pemandu mereka. Eksklusif bagi My BMW App, Connected Drive Store juga boleh diakses dalam aplikasi tersebut, berserta dengan fungsi Discover BMW.

    Bukan itu sahaja, pengguna dengan model-model BMW yang terpilih boleh memadankan BMW Digital Key mereka dengan My BMW App – buat masa ini tersedia bagi telefon pintar iOS sahaja. Untuk menggunakan fungsi BMW Digital Key melalui iPhone, pengguna perlu mengaktifkan Connected Drive Services, dan kenderaan BMW tersebut mesti dihubungkan dengan BMW ID.

    Sebagai pengetahuan, kedua-dua aplikasi baharu ini akan menggantikan aplikasi BMW Connected dan MINI Connected secara menyeluruh menjelang Julai tahun ini. Di samping itu, pengguna yang sudah berdaftar di bawah aplikasi BMW dan MINI tidak perlu mendaftar sekali lagi untuk mengakses My BMW App dan MINI App.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025