Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Pusat 3S Subaru kini telah beroperasi di Kuantan

    Pusat 3S Subaru kini telah beroperasi di Kuantan

    TC Subaru Sdn Bhd, selaku pengedar eksklusif Subaru di Malaysia telah pun melancarkan Pusat 3S Subaru di Kuantan, Pahang. Pusat 3S yang dikendalikan oleh rakan pengedar, Eastern Boxer Sdn.Bhd, terletak di 41, Jalan Teluk Sisek, Kuantan. Ini merupakan pusat pengedaran kedua yang dimiliki oleh Eastern Boxer Sdn Bhd, yang turut mengendalikan Subaru Kuala Terengganu.

    Pusat 3S seluas 446 meter persegi ini turut menempatkan bilik pameran, ruang menunggu untuk pelanggan, bilik solat, pusat servis dan dua petak penyelenggaraan yang mampu menyelenggara sehingga 200 unit kenderaan dalam sebulan.

    Disebabkan penularan Covid-19, tahap keselamatan telah dipertingkatkan lagi termasuk kerap sanitasi di bilik pameran termasuk ruang kerja dan pameran, pemeriksaan wajib suhu badan, pemakaian pelitup hidung dan mulut serta penggunaan hand sanitiser.

    Bahkan kunjungan pelanggan juga adalah dalam jumlah yang terhad untuk memasuki bilik pameran dalam satu-satu masa, termasuk mengamalkan jarak satu meter antara satu sama lain. Bukan itu sahaja, semua kenderaan juga akan disanitasi sebelum dan selepas diselenggara, dan ia juga diamalkan dalam setiap sesi pandu uji.

    Bagi waktu operasinya, bilik pameran akan dibuka dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang pada setiap Isnin hingga Sabtu, dan dari jam 10 pagi hingga 5.30 petang untuk Ahad dan cuti umum. Manakala pusat servis pula beroperasi dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang pada setiap Isnin hingga Sabtu, dan tutup pada setiap Ahad dan cuti umum.

     
     
  • Kadar kemalangan di NKVE turun sejak 2016-Jun 2020; 2.6% insiden pada 2019 babitkan Lebuhraya PLUS

    Kadar kemalangan di NKVE turun sejak 2016-Jun 2020; 2.6% insiden pada 2019 babitkan Lebuhraya PLUS

    Pengendali Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), PLUS Malaysia Berhad, memaklumkan sebanyak 1,838 kes kemalangan dicatatkan di laluan antara Kilometer (KM) 0.6 hingga KM13.9 (laluan Bukit Raja-Subang) terbabit sejak 2016 hingga Jun 2020.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan, jumlah tersebut adalah jauh lebih rendah berbanding 6,363 kes sepertimana yang dilaporkan sebelum ini. Data tersebut merangkumi kemalangan maut, kemalangan kecederaan parah, kemalangan kecederaan ringan dan kemalangan yang hanya menyebabkan kerosakan kenderaan. Ia juga tidak melibatkan insiden langgar lari.

    Syarikat ini turut memaklumkan kira-kira 500,000 kenderaan menggunakan NKVE daripada 1.5 juta kenderaan di seluruh rangkaian lebuh raya pada setiap hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

    PLUS berkata, formula 3E yang dilaksanakan oleh pihaknya menjadi kunci utama kejayaannya diiktiraf sebagai pengendali lebuhraya sistem tertutup yang paling selamat di negara ini oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) baru-baru ini. 3E yang merangkumi aspek kejuruteraan (Engineering), Penguatkuasaan (Enforcement) serta pendidikan (Education) yang digunapakai oleh PLUS turut menyaksikan penurunan jumlah kemalangan yang berlaku di lebuhraya kendaliannya secara konsisten sejak tahun 2017.

    Kadar kemalangan di NKVE turun sejak 2016-Jun 2020; 2.6% insiden pada 2019 babitkan Lebuhraya PLUS

    Menurut PLUS lagi, pada 2016, sebanyak 521,466 kemalangan direkodkan di seluruh negara dan hanya 14,532 atau 2.8% berlaku di Lebuhraya PLUS. Pada tahun 2017, peratusan itu menurun kepada 2.7% dan kemudiannya hanya merekodkan 2.4% pada 2018 dan 2019 walaupun terdapat peningkatan dalam jumlah insiden trafik (kemalangan) di seluruh negara. Di mana secara purata, di antara 2013 hingga 2019, hanya 2.6% insiden trafik yang direkodkan di seluruh negara berlaku di Lebuhraya PLUS sekali gus membuktikan perjalanan menggunakan Lebuhraya PLUS adalah selamat.

    PLUS juga telah membuat pelbagai penambahbaikan di beberapa lokasi kritikal seperti membaik pulih turapan jalan dengan ‘anti-skid surface coating’, pemasangan lampu amaran, mengaplikasikan garisan penanda jalan jenis ‘Vibraline’, memasang pemantul cahaya, papantanda amaran dan sebagainya. Sebagai contoh, di laluan Ipoh-Kuala Kangsar PLUS telah mengadakan penambahbaikan aspek kejuruteraan seperti pemasangan pengadang jalan konkrit, ‘rumble strips’ dan sebagainya untuk meningkatkan tahap keselamatan di laluan terbabit.

    Pada masa yang sama, PLUS turut mengadakan kajian dan melaksanakan pemasangan lampu-lampu jalan LED di lokasi-lokasi yang kritikal seperti laluan Jelapang-Terowong Menora dan Changkat Jering-Hentian Sebelah Bukit Gantang bagi meningkatkan tahap keselamatan di laluan terbabit.

     
     
  • Isuzu MU-X 2020 dilancarkan di Thailand – pilihan enjin 1.9L dan 3.0L Turbodiesel, sistem bantuan pemanduan

    Isuzu MU-X 2020 dilancarkan di Thailand – pilihan enjin 1.9L dan 3.0L Turbodiesel, sistem bantuan pemanduan

    Selepas setahun pendedahan trak pikap Isuzu D-Max 2020, kini tiba masa kembar SUV tujuh-tempat duduk yang diasaskan dari platform ladder frame yang sama, Isuzu MU-X pula membuat kemunculan sulungnya. Seperti biasa, Thailand terlebih dahulu menjadi pasaran pertama di dunia yang menerimanya.

    SUV lasak ini ditawarkan dalam enam varian di pasaran berkenaan, dijual pada harga bermula 1.109 juta baht (RM147,884) sehingga 1.579 juta baht (RM210,559). Berbanding model generasi sebelumnya, MU-X generasi baharu dihasilkan dengan dimensi 4,850 mm panjang (+25 mm), 1,870 mm lebar (+10 mm), 1,875 mm tinggi (+35 mm) dan jarak roda sejauh 2,855 mm (+10 mm).

    Berbanding D-Max, MU-X diberikan muka dengan lampu hadapan yang lebih tirus bersama lampu nyalaan siang bina-dalam, bersama gril hadapan serta bampar dengan rekaan lebih unik.

    Isuzu MU-X 2020 dilancarkan di Thailand – pilihan enjin 1.9L dan 3.0L Turbodiesel, sistem bantuan pemanduan

    Juga tidak seperti model sebelumnya yang masih nampak banyak persamaan dengan D-Max, MU-X generasi baharu ini lebih kelihatan seperti sebuah SUV sebenar di mana cermin tingkap sisi paling belakang direka seakan bersambung dengan cermin tingkap pintu belakang tanpa dipisahkan dengan tiang-C yang besar.

    Seperti pada muka, bahagian belakang MU-X ini juga menerima lampu yang direka tirus. Tulisan “ISUZU” bersaiz besar diletakkan antara dua lampu berkenaan, manakala posisi plat pendaftaran dialihkan lebih ke bawah, tetapi masih pada bahagian pintu tailgate.

    Namun pada bahagian dalaman, persamaan antara D-Max dan MU-X masih nampak seakan seiras. Asas rekaan papan pemuka MU-X masih lagi sama, apa yang ketara adalah penggunaan brek parkir elektronik (dengan fungsi auto-hold) diberikan pada SUV ini berbanding brek tangan manual pada trak pikap D-Max.

    Isuzu MU-X 2020 dilancarkan di Thailand – pilihan enjin 1.9L dan 3.0L Turbodiesel, sistem bantuan pemanduan

    Ini membolehkan perehat tangan antara tempat duduk baris pertama dialihkan lebih kehadapan, dan suis putar untuk sistem pacuan empat roda diletakkan pada konsol tengah, bersama suis brek parkir dan juga tombol gear dengan rekaan lebih tersendiri.

    Penumpang di baris kedua dan ketiga menerima udara penghawa dingin dengan liang yang diletakkan pada bumbung. Untuk memanipulasi ruang kabin belakang, tempat duduk baris kedua boleh dilipat dengan nisbah 60:40, manakala tempat duduk baris ketiga pula boleh dilipat secara 50:50.

    Dari segi kelengkapan, MU-X ini ditawarkan dengan pilihan rim dari saiz 17- hingga 20-inci, lampu hadapan LED projektor, pintu tailgate belakang berkuasa elektrik, skrin sesentuh sistem infotainmen tujuh- atau sembilan-inci, paparan instrumen dengan skrin pelbagai info TFT 4.2-inci, tempat duduk pemandu larasan kuasa lapan-hala, sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin, penghawa dingin dua-zon bersama penuras udara PM2.5 serta lampu suasana.

    Untuk keselamatan, MU-X dilengkapi dengan enam-beg udara, ESC, Traction Control, sistem brek ABS bersama EBD dan BA, bantuan mula mendaki dan kawalan menurun curam. Model varian lebih tinggi turut diberikan sistem bantuan pemanduan terdiri dari pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, amaran pelanggaran hadapan, brek kecemasan automatik, amaran keluar lorong, pengehad kelajuan, lampu tinggi automatik, bantuan parkir dan juga sistem pengelak salah tekan pedal.

    Untuk sistem mekanikal, ia masih lagi sama dengan D-Max dengan ditawarkan dengan dua jenis enjin turbodiesel. Pertama adalah enjin RZ4E-TC 1.9 liter empat silinder berkuasa 150 PS pada takat 3,600 rpm dan tork maksima 350 Nm bermula 1,800 hingga 2,600 rpm. Pilihan kedua adalah enjin 4JJ3-TCX 3.0 liter empat-silinder berkuasa 190 PS pada takat 3,600 rpm dan tork maksima 450 Nm bermula 1,600 hingga 2,600 rpm.

    Model dengan enjin lebih kecil diberikan pada empat varian awalan iaitu 1.9 Active, 1.9 Luxury, 1.9 Elegant dan 1.9 Ultimate Manakala dua varian paling tinggi iaitu 3.0 Ultimate dan 3.0 Ultimate 4WD menerima enjin paling besar.

    Kesemua model menerima kotak gear enam-kelajuan automatik memacu hanya roda belakang, kecuali model 1.9 Luxury yang diberikan pilihan kotak gear manual enam-kelajuan, manakala 3.0 Ultimate 4WD adalah satu-satunya model yang dilengkapi sistem pacuan empat roda.

     
     
  • GPX Rock dilancar di Thailand – rupa seperti EX5 110

    GPX Rock dilancar di Thailand – rupa seperti EX5 110

    Pengeluar motosikal dari Thailand, GPX Racing melancarkan sebuah model baru di negara gajah putih itu, dipanggil sebagai GPX Rock 110. Bentuknya nampak seperti Honda Dream/EX5 110 tetapi cuma diubah sedikit pada beberapa bahagian supaya tidak nampak betul-betul sama.

    Semua lampu model ini menggunakan unit LED, iaitu di depan, belakang dan penunjuk arah, sementara panel meter pula menggunakan unit digital penuh yang dapat memaparkan pelbagai informasi termasuk kedudukan gear dan tahap minyak.

    GPX Rock cuma menarik perhatian pengguna dengan warna yang terang dan ranggi, dan ia ditawarkan dalam tiga variasi iaitu Elegance, Racing dan Sport, dengan perbezaan pada jenis rim, warna badan, warna angkup brek serta penyerap hentak di bahagian belakang (sama ada menggunakan jenis gas atau biasa).

    Keistimewaan lain yang diketengahkan adalah lencana 3D, ekzos dengan kemasan krom, tempat kunci dengan penutup keselamatan, rak besi di atas fender hadapan serta pemegang tangan belakang. Brek model ini menggunakan jenis cakera di depan dan dram di belakang manakala rantai mempunyai penutup seperti Dream/EX5.

    GPX Rock digerakkan oleh enjin satu silinder SOHC 109 cc suntikan bahan api, digabungkan bersama transmisi empat kelajuan dan mempunyai tangki bahan api empat liter. Ia dijual pada harga bermula 35,900 baht (RM4,786) dan diberikan dengan jaminan tiga tahun atau 30,000 km.

     
     
  • MIROS seru ahli politik dan pemimpin masyarakat pamer teladan dalam pemakaian tali pinggang keledar

    MIROS seru ahli politik dan pemimpin masyarakat pamer teladan dalam pemakaian tali pinggang keledar

    Umum mengetahui, pemakaian tali pinggang keledar di dalam kenderaan adalah peraturan yang dimandatorikan, namun demikian masih ramai lagi di kalangan kita yang tidak mematuhi ketetapan undang-undang ini. Sering kali kita terbaca laporan media tentang mangsa kemalangan yang ‘terbang keluar’ dari kenderaan hingga ada yang tergadai nyawa. Selain impak kemalangan, tidak memakai tali pinggang keledar antara punca utama kehilangan nyawa atau pun cedera parah.

    Terdorong dengan isu sebeginilah yang membuatkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) menyeru ahli politik, penjawat awam dan pemimpin masyarakat, mempamerkan teladan dalam pemakaian tali pinggang keledar bagi mendidik orang ramai memakainya di dalam kereta, bagi pemandu serta penumpang di hadapan dan belakang.

    Pengerusinya Datuk Suret Singh berkata, kajian Miros berhubung pemakaian tali pinggang keledar pada tahun ini menunjukkan kadar pematuhan bagi pemandu adalah 90%, penumpang hadapan 70% dan 11% bagi penumpang di bahagian belakang, laporan Bernama.

    “Memakai tali pinggang keledar dengan betul bagi pemandu serta penumpang di bahagian depan dan belakang, secara drastik dapat mengurangkan risiko kecederaan parah dan kematian akibat kemalangan sebanyak 50%. Penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) yang dipasang dengan betul dan sesuai dengan ketinggian serta berat badan, dapat membantu mengurangkan risiko kematian bayi sebanyak 71% dan 54% bagi kanak-kanak berusia antara satu hingga empat tahun,” katanya.

    MIROS seru ahli politik dan pemimpin masyarakat pamer teladan dalam pemakaian tali pinggang keledar

    Tambah beliau, hampir semua kenderaan yang dikeluarkan sejak tahun 1993 telah dilengkapi dengan tali pinggang keledar, justeru beliau menyeru masyarakat menjadikan pemakaian tali pinggang keledar sebagai satu kebiasaan dan budaya harian.

    “Teladan yang baik dan peringatan harian kita kepada rakan dan keluarga akan bantu menyelamatkan nyawa. Ibu bapa juga harus membiasakan anak-anak mereka sejak bayi untuk menggunakan CRS,” katanya.

    Dalam masa yang sama, beliau turut memaklumkan, rombakan Sistem Pemberian Mata Demerit Jalan Raya (KEJARA) sedang dilakukan oleh Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Miros, untuk dilaksanakan setelah integrasi data antara JPJ dan polis selesai.

    “Tidak memakai tali pinggang keledar akan menyebabkan anda dikenakan mata demerit. Tidak berbaloi lesen memandu anda ditarik hanya kerana tidak memakai tali pinggang keledar, yang hanya memerlukan tiga saat. Amat menyedihkan apabila melihat penumpang dan bayi tercampak keluar dari kenderaan dalam kemalangan jalan raya. Penyelesaian untuk mencegahnya ada di tangan kita. Jadikan tali pinggang keledar dan CRS sebagai kebiasaan sebelum memulakan perjalanan,” katanya.

     
     
  • Teaser Volkswagen Golf GTI Mk.8 disiarkan di laman instagram VPCM – bakal dilancarkan tidak lama lagi?

    Tempoh hari, Volkswagen Golf GTI Mk8 sudah pun dilihat diuji di Malaysia, dan kini Volkswagen Passenger Car Malaysia (VPCM) menyiarkan pula teaser untuk hot-hatch generasi baharu tersebut dalam akaun rasmi Instagram mereka, menandakan kedatangannya ke pasaran tempatan semakin hampir.

    Sebelum ini, sebuah Golf GTI Mk.8 berwarna dijumpai di Pekan, Pahang. Bandar Diraja berkenaan terletaknya fasiliti pemasangan tempatan untuk model-model CKD Volkwagen Malaysia seperti Vento, Passat, Tiguan, Tiguan Allspace dan Arteon – ini adalah petanda bahawa Golf Mk.8 mungkin turut akan dipasang di sini, berbanding model generasi sebelumnya yang diimport dan dijual dalam versi CBU.

    Sebuah lagi Golf GTI Mk8 berwarna biru turut dijumpai tanpa sebarang pelekat penyamaran di Putrajaya awal bulan ini, dan kali ini jelas kelihatan diberikan pelekat ‘OK’ dari kilang Hicom Pekan berkenaan pada cermin hadapan.

    Melihat pada unit yang dijumpai tersebut, model pasaran Malaysia akan menerima perincian seperti lampu hadapan dan lampu belakang LED, rim aloi “Richmond” 18-inci, upholsteri kulit dan dua skrin kembar iaitu unit bersaiz 10.25-inci untuk paparan kluster instrumen Digital Cockpit dan juga skrin sesentuh untuk sistem infotainmen bersaiz 10-inci.

    Model generasi baharu ini dijana oleh enjin EA888 petrol 2.0 liter dengan pengecas turbo, menghasilkan kuasa 245 PS dan tork 370 Nm dalam keadaan standard, berbanding model generasi sebelumnya yang dibekalkan kuasa sama sekiranya Performance Pack dipilih.

    Seperti biasa, pasaran Malaysia dijangka hanya menawarkan kotak gear klac berkembar automatik DSG tujuh-kelajuan untuk memacu roda hadapan, berbanding berberapa pasaran lain yang turut menawarkan transmisi manual enam-kelajuan. Golf GTI Mk.8 ini terus menggunakan suspensi Topang McPherson di hadapan dan multilink di belakang.

    Pengendaliannya turut dibantu sistem differential lock elektronik XDS serta talaan suspensi lebih sporty dengan ketinggian badan 15 mm lebih rendah berbanding Golf biasa. Model ini juga menerima sistem kawalan Vehicle Dynamics Manager yang menyelia operasi XDS serta set suspensi adaptif DCC.


     
     
  • Yamaha MT-09 2021 didedah – hampir semua bahagian dipertingkat termasuk casis, enjin dan elektronik

    Yamaha MT-09 2021 didedah – hampir semua bahagian dipertingkat termasuk casis, enjin dan elektronik

    Memang benar, gambar yang tersebar awal semalam adalah Yamaha MT-09 2021. Ia telah diperkenalkan secara rasmi di Eropah dan melihatkan pelbagai peningkatan yang bukan sahaja menjadikan penampilannya lebih unik, malah juga lebih canggih dan berprestasi.

    Konsep bentuk badan yang ringkas masih lagi dikekalkan, tapi anda boleh lihat lampu hadapannya adalah berbeza, dengan kini menggunakan bentuk lebih unik serta unit LED kompak untuk pencahayaan utama dan jalur DRL menegak. Di sebalik badan ini, Yamaha turut menggunakan kerangka aluminium baru yang lebih tegar untuk memberikan lebih stabiliti dan karekter pemanduan dinamik.

    Daripada 847 cc, kini MT-09 menggunakan enjin tiga silinder 889 cc yang mampu menghasilkan kuasa 119 hp pada 10,000 rpm dan 93 Nm tork pada 7,000 rpm. Selain kuasa yang lebih tinggi berbanding model sebelumnya, enjin ini turut dipertingkat untuk mematuhi tahap emisi Euro 5 manakala muncung suntikan bahan api diperelok untuk memberikan lebih penjimatan bahan api.

    Transmisi adalah unit enam kelajuan, dan klac jenis A&S dilaras kembali untuk memadankannya dengan kuasa baru enjin. Kemudian, penukar gear quickshifter pada motosikal ini turut dipertingkat untuk memberikan penukaran naik dan turun gear yang lebih pantas serta lancar.

    Di hadapan pemandu kini terletak panel paparan TFT berwarna 3.5 inci baru yang boleh memaparkan pelbagai informasi termasuk kedudukan gear dan operasinya boleh dikawal menggunakan butang di bahagian kiri pemegang.

    Peningkatan elektronik tidak terhenti di situ kerana MT-09 2021 kini dilengkapi dengan unit pengukur inertia (IMU) 6-axis untuk memberikan input kepada sistem Traction Control (tiga mod), Slide Control System (SCS), Front Wheel Lift Control System (LIF) dan Brake Control System (BC).

    Yamaha MT-09 2021 didedah – hampir semua bahagian dipertingkat termasuk casis, enjin dan elektronik

    Suspensi MT-09 2021 masih lagi menggunakan fork 41 mm serta monoshock yang boleh dilaras, tetapi ia telah ditala semula untuk menyesuaikannya dengan casis serta lengan ayun baru. Pada bahagian brek, di hadapan ia kini menggunakan pam utama radial untuk menghantar tekanan minyak kepada set berkembar angkup empat piston dan cakera 298 mm. Di belakang menggunakan cakera 245 mm dan angkup satu piston.

    Jika anda lihat lebih terperinci, rekaan rim 17 inci MT-09 ini juga berlainan. Bukan setakat rekaan, ia juga adalah 700 gram lebih ringan sekaligus memperbaiki kawalan motosikal dan kecekapan bahan api. Tayar bersaiz 120/70 di hadapan dan 180/55 di belakang.

    Kelengkapan lain pada MT-09 2021 adalah seperti tangki bahan api 14 liter, berat keseluruhan 189 kg, tinggi tempat duduk 825 mm dan jarak dari tanah 140 mm. Jarak roda untuk model baru ini juga bertambah 30 mm menjadikannya 1,430 mm.

     
     
  • VIDEO: Proton X50 – spesifikasi varian Standard, Executive, Premium dan Flagship, RM79k-RM103k

    Proton X50 akhirnya dilancarkan secara rasmi hari ini, dan sekarang kita sudah ada senarai penuh spesifikasi, kelengkapan, dan yang paling penting harga untuk SUV segmen B terbaru ini. Anda boleh membaca laporan lengkap yang pernah kami siarkan sebelum ini, tetapi jika lebih suka menonton video, ini dia kami sudah sediakan.

    X50 ditawarkan dalam empat varian, dengan harga yang bermula RM79,200 untuk model Standard, diikuti RM84,800 untuk Executive, RM93,200 untuk Premium dan RM103,300 untuk varian paling tinggi, Flagship. Semua harga ini tidak termasuk insurans dan cukai jalan, tetapi sudah mengambil kira pengecualian cukai jualan yang diberikan sehingga hujung tahun ini. Jaminan adalah selama lima tahun, tanpa had jarak perjalanan.

    Selain rekaan yang menarik, X50 juga datang dengan sistem Geely Key User Interface versi terkini (GKUI 19) yang mempunyai rekaan baru serta dikatakan lebih responsif berbanding sistem yang digunakan pada X70.

    Sistem Advanced Driver Assistance (ADAS) pada model Flagship juga adalah lebih maju berbanding sistem pada X70. Intelligent Cruise Control (ICC) yang baru dapat menggabungkan Adaptive Cruise Control dengan Lane Centring Assist, untuk memberikan kemampuan pemanduan semi autonomous Level 2. Turut diberi adalah sistem bantuan letak kenderaan untuk keluar dan masuk, brek kecemasan autonomous, Lane Keeping Assist serta lampu tinggi automatik.

    Kuasa penggerak datang daripada dua enjin petrol tiga silinder 1.5 liter turbo yang ditawarkan dalam dua variasi. Standard, Executive dan Premium menggunakan unit multi-point injection (MPI) yang berkuasa 150 PS dan 226 Nm tork, memberikan penggunaan bahan api 6.5 liter bagi setiap 100 km.

    Model Flagship pula menggunakan unit direct injection yang menghasilkan 177 PS dan 255 Nm tork, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat dan memberikan penggunaan bahan api sekitar 6.4 liter bagi setiap 100 km. Semua model X50 ini menggunakan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan dan sistem pacuan dua roda hadapan.

    Ini semua adalah perkara asas. Bagaimana pula dengan perincian setiap varian, apa yang ada dan apa yang tiada? Kemudiannya berbaloi atau tidak dengan harga yang disiarkan? Saksikan video ini dan sekiranya anda ada apa-apa pendapat, sila nyatakan di ruang komen.

    GALERI:Proton X50 1.5T Flagship 2020

    GALERI:Proton X50 1.5T Premium 2020

    GALERI:Proton X50 1.5T Executive 2020

    GALERI:Gambar rasmi Proton X50 2020

     
     
  • Laluan MRT Putrajaya – telah 80% siap setakat ini, sasaran mula beroperasi pertengahan tahun 2021

    Laluan MRT Putrajaya – telah 80% siap setakat ini, sasaran mula beroperasi pertengahan tahun 2021

    Laluan MRT Putrajaya, atau sebelum ini dikenali sebagai Laluan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP), setakat bulan Ogos 2020, telah pun siap sehingga 79.2%.

    Menurut pengarah projek MRT Corp SSP Line Datuk Amiruddin Ma’aris, fasa pertama bagi Laluan Putrajaya melibatkan stesen Kwasa Damasara dan Kampung Batu, yang disasarkan boleh memulakan operasi pada pertengahan tahun 2021, selebihnya pula akan dibuka untuk orang ramai pada tahun 2022.

    Pada Mac lalu, sebelum Covid-19 merebak dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula, projek ini telah pun 70% siap berikutan lengkapnya kerja penggalian bagi terowong bawah tanah di Lebuhraya KL-Seremban berdekatan Sungai Besi (gambar di atas). Jangkamasa yang diberikan oleh Amiruddin masih tetap sama, ini bermakna pembinaan laluan MRT Putrajaya masih berjalan mengikut jadual asal.

    MRT Putrajaya merangkumi jarak 52.2 km keseluruhannya – dengan 38.7 km laluan bertingkat dan 13.5 km laluan bawah tanah. Fasa pertama bagi laluan ini yang menelan belanja RM32 bilion dijangka akan mula beroperasi pada suku ketiga 2021 sebelum selesai sepenuhnya pada 2022. MRT pertama dengan laluan Sg Buloh-Kajang telah beroperasi sejak Julai 2017.

     
     
  • Mitsubishi Xpander – unit pertama keluar dari kilang di Pekan, produksi CKD kini bermula secara rasmi

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) hari ini mengumumkan bahawa produksi untuk SUV-MPV tujuh-tempat duduk Mitsubishi Xpander secara rasmi telah bermula di Pekan, Pahang, dengan unit-unit awalan telah pun keluar dari barisan produksi fasiliti berkenaan. Ini menjadikan Malaysia merupakan negara ketiga yang menghasilkan Xpander selepas Indonesia dan Vietnam.

    Xpander dipasang secara tempatan di Bandar Diraja tersebut oleh Hicom Automotive Manufacturers Sdn Bhd, dan barisan produksi pada fasiliti itu direka bagi membolehkan ia menghasilkan sebanyak 6,000 unit Xpander setahun.

    Menurut MMM, mereka telah membuat pelaburan untuk menyediakan Body Shop, jig untuk mengecat dan juga barisan ujian pada kilang berkenaan. Xpander turut melalui proses Pre-Treatment dan Pemendapan Elektro dengan dipusingkan 360 darjah dalam tangki ED-Coat pada fasiliti mengecat yang didakwa oleh MMM sebagai antara yang paling canggih di ASEAN tersebut.

    Mitsubishi Xpander – unit pertama keluar dari kilang di Pekan, produksi CKD kini bermula secara rasmi

    Lapisan cat primer pada badan Xpander berkenaan dicat menggunakan robot dan kemudian dikeringkan dengan proses pemanasan dalam oven. Selepas itu badan Xpander sekali lagi akan dicat berberapa lapisan menggunakan proses yang sama sehingga siap sepenuhnya.

    MMM turut menyatakan bahawa pegawai audit dari Mitsubishi Motors Corporation (MMC) turut diletakkan pada kilang pemasangan ini bagi memastikan standard dan kadar konsisten kualiti Xpander yang dipasang tersebut adalah sama dengan produksi produk Mitsubishi Motors yang lain di seluruh dunia.

    “Xapnder merupakan model yang penting untuk MMM dan kami yakin bahawa ia akan menjadi kegemaran di kalangan rakyat Malaysia. Langkah untuk melokalisasikan Xpander adalah bagi memenuhi permintaan pelanggan kami di Malaysia. Kami mahu menawarkan model dengan harga lebih kompetitif bersama spesifikasi lebih baik bagi memberikan lebih kemudahan dan keselesaan kepada pelanggan,” kata CEO MMM, Tomoyuki Shinnishi.

    Mitsubishi Xpander – unit pertama keluar dari kilang di Pekan, produksi CKD kini bermula secara rasmi

    “Kami mahu mengesahkan kepada semua pelanggan bahawa setiap unit Xpander melalui ujian kawalan kualiti yang ekstensif, sebelum ia di hantar keluar. Setiap inci diperiksa oleh mata manusia dan juga teknologi canggih,” tambahnya lagi.

    Sejak dilancarkan di Indonesia pada 2017, Xpander termasuk varian lebih lasak Xpander Cross telah dijual sekitar 270,000 unit sehingga September 2020. MPV ini telah didedahkan kepada media Malaysia minggu lalu, dan ia disasarkan akan dilancarkan secara rasmi pada bulan November 2020.

    Model pasaran Malaysia ini masih dijana oleh enjin 1.5 liter MIVEC berkuasa 105 PS pada 6,000 rpm dan 141 Nm tork pada 4,000 rpm, dengan gandingan transmisi automatik empat-kelajuan, tanpa pilihan kotak gear manual. MMM turut membekalkan Xpander pasaran Malaysia ini dengan tempat duduk balutan kulit quilted, skrin sesentuh 9.0-inci dengan sokongan Apple Carplay dan Android Auto, kamera pemantau sekeliling dan juga dashcam.

    Untuk spesifikasi lebih lengkap, anda boleh baca artikel yang kami sediakan pada PAUTAN INI.

    GALERI: Mitsubishi Xpander 2020 pasaran Malaysia

     
     
  • Isuzu Malaysia lancar pusat 3S baharu di Taiping

    Isuzu Malaysia lancar pusat 3S baharu di Taiping

    Isuzu Malaysia telah melancarkan pusat 3S baharu yang terletak di Taiping, Perak, yang bersedia untuk memberikan perkhidmatan terbaik bagi pelanggan di sekitar Matang. Pusat pengedaran ini dikendalikan oleh GB Motors dan menawarkan perkhidmatan jualan dan selepas jualan untuk semua barisan model Isuzu, bermula dari D-Max hingga ke trak tugas-berat dan -sederhana.

    Berada dalam keluasan 5,300 meter persegi, dengan bangunan seluas 1,400 meter persegi, cawangan ini menempatkan bilik pameran yang luas, ruang menunggu untuk pelanggan dan juga dilengkapi petak penyelenggaraan. Terletak di Jalan Simpang, pusat 3S ini juga berdekatan dengan jalan utama menghala ke bandar Taiping.

    “Sebagai salah satu peruncit automotif terbesar di Malaysia dengan pengalaman lebih 25 tahun di bahagian utara, saya percaya pusat 3S baharu yang dikendalikan oleh Goh Brothers ini mampu menawarkan perkhidmatan profesional yang terbaik dan turut memainkan peranan utama dalam pembangunan perniagaan Isuzu di sini,” ujar Koji Nakamura, CEO Isuzu Malaysia.

    “Saya berterima kasih kepada Isuzu Malaysia kerana memilih Goh Brothers Group sebagai rakan perniagaan. Sebagai ahli dalam keluarga Isuzu, kami komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik bagi pelanggan Isuzu di daerah ini,” kata Goh Chern Earn mewakili Goh Brothers Group.

    Sebagai meraikan pelancaran pusat 3S baharu ini, GB Motor menganjurkan kempen pandu uji sehingga 23 November ini, di mana 100 orang pertama yang memandu mana-mana model Isuzu akan menerima beg cenderahati istimewa.

     
     
  • Proton X50 – pakej aksesori asli diperkenal bersama pintu tailgate berkuasa elektrik, bermula RM3,300

    Proton X50 – pakej aksesori asli diperkenal bersama pintu <em>tailgate</em> berkuasa elektrik, bermula RM3,300

    Serentak dengan pelancaran Proton X50 hari ini, jenama automotif nasional berkenaan turut memperkenalkan sekali pakej aksesori asli untuk SUV segmen-B itu. Dan melihat kepada senarai kelengkapan yang diberikan, pakej-pakej aksesori tersebut nampaknya melengkapkan apa yang kurang pada model berkenaan.

    Proton menawarkan dua pakej aksesori untuk X50 ini iaitu pakej Urban dan pakej Utiliti, di mana kedua-duanya menawarkan fungsi pintu tailgate belakang berkuasa elektrik yang tidak diberikan secara standard pada semua varian X50.

    Untuk pakej Urban yang bernilai RM3,500, ia turut datang sekali dengan peranti SmartTag bina dalam, pelapik kaki jenis coil, dan juga pelindung cahaya matahari magnetik. Manakala untuk pakej Utiliti yang berharga RM3,300 pula, ia terdiri dari pelapik kaki PVC, tray untuk ruang but dan juga kemasan scuff plate pada atas bendul pintu.

    Buat masa sekarang ke semua aksesori ini termasuk pintu tailgate belakang berkuasa masih belum ditawarkan secara ala-carte, dan anda perlu memilih antara salah satu pakej, dan kami turut diberitahu bahawa ia akan dipasang oleh pengedar dan bukan di kilang. Juga, sistem ini tidak diberikan penderia untuk bukaan dengan menggunakan kaki.

    Proton X50 – pakej aksesori asli diperkenal bersama pintu <em>tailgate</em> berkuasa elektrik, bermula RM3,300

    Pakej-pakej ini juga adalah ditawarkan secara opsyen untuk pelanggan yang berminat sahaja, dan bukan wajib untuk semua pembeli Proton X50. Perkara ini disahkan oleh Proton sendiri, jadi jika ada pembeli yang dipaksa untuk membeli pakej ini oleh Penasihat Jualan, jadi anda faham-fahamlah sendiri kenapa.

    Proton X50 ini telah pun dilancarkan secara maya pagi tadi. Ia ditawarkan dalam empat varian berbeza, bermula model paling asas Proton X50 Standard dijual pada harga RM79,200, diikuti varian Executive dijual pada harga RM84,800, model Premium pula berharga RM93,200, manakala versi tertinggi Proton X50 Flagship dijual pada harga RM103,300. Ini adalah harga untuk semenanjung Malaysia, manakala di harga Sabah dan Sarawak semua varian adalah RM2,000 lebih tinggi.

    Dari kesemua varian yang ditawarkan, hanya varian tertinggi Flagship dijana oleh enjin 1.5 liter tiga silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (GDI) menghasilkan 177 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 255 Nm pada takat 1,500 rpm hingga 4,000 rpm.

    Untuk varian lain, ia masih diberikan enjin 1.5 liter Turbo tetapi dengan sistem suntikan bahan api pelbagai titik (MPI) menjana 150 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 226 Nm bermula 1,500 rpm hingga 4,000 rpm.

    Walau bagaimanapun, kesemua jenis enjin hanya dipadankan dengan kotak gear automatik klac berkembar jenis basah tujuh-kelajuan 7-DCT yang dibangunkan bersama Geely dan Volvo, memacu hanya roda hadapan. Gandingan ini membolehkan model Flagship memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat.

    Untuk mengetahui dengan lebih lanjut perincian untuk setiap varian Proton X50 ini, anda boleh baca laporan yang telah kami sediakan pada pautan di bawah.

  • Proton X50 dilancarkan – bermula RM79k – RM103k
  • Proton X50 2020 – spesifikasi lengkap mengikut varian
  • GALERI:Proton X50 1.5T Flagship 2020

    GALERI:Proton X50 1.5T Premium 2020

    GALERI:Proton X50 1.5T Executive 2020

    GALERI:Gambar rasmi Proton X50 2020

     
     
  • Spesifikasi Proton X50 dibandingkan dengan Honda HR-V, Toyota C-HR, Mazda CX-3, CX-30 dan SUV lain

    Spesifikasi Proton X50 dibandingkan dengan Honda HR-V, Toyota C-HR, Mazda CX-3, CX-30 dan SUV lain

    Proton secara rasminya telah melancarkan SUV yang ditunggu ramai, iaitu X50. Empat varian ditawarkan, dengan harga antara RM79,200 hingga RM103,300. Melihat kepada senarai spesifikasinya, SUV ini mungkin mampu menarik minat ramai dan memberi saingan kepada model-model lain.

    Jadi, bagaimana kedudukan X50 apabila dibandingkan dengan SUV segmen C dan B lain yang sudah berada ataupun akan tiba dalam pasaran Malaysia seperti Proton X70, Honda HR-V, Toyota C-HR, Mazda CX-3 dan CX-30, Subaru XV, Kia Seltos dan Hyundai Kona? Di bawah kami telah sediakan satu jadual untuk memudahkan pemerhatian anda.

    Sebelum itu, kami ingin memberitahu bahawa dalam senarai ini cuma terdapat varian paling tinggi bagi setiap model, kerana berkemungkinan besar inilah varian yang akan dipertimbangkan oleh kebanyakan orang. Ia juga adalah varian yang mempunyai ciri paling lengkap. Bagi X50, varian paling tinggi adalah Flagship, sementara yang lain boleh dilihat dalam jadual di bawah.

    Pada aspek harga, X50 Flagship adalah model paling murah antara kesemuanya (yang sudah ada harga), tidak termasuk Kia Seltos dan Hyundai Kona. Dua model Korea ini masih belum dilancarkan, tetapi Kona dijangka tiba hujung minggu ini.

    Spesifikasi Proton X50 dibandingkan dengan Honda HR-V, Toyota C-HR, Mazda CX-3, CX-30 dan SUV lain

    Melihat kepada kuasa enjin, unit tiga silinder 1.5 liter turbo direct injection yang digunakan pada X50 Flagship mampu menghasilkan 175 PS dan 255 Nm tork, iaitu kurang berbanding X70 yang menggunakan enjin empat silinder 1.8 liter turbo berkuasa 181 hp dan 300 Nm tork.

    Walaubagaimanapun, apabila dibandingkan dengan SUV lain di dalam senarai, X50 menunjukkan kelebihan, meskipun enjin Kona mencatat kuasa hampir sama iaitu 175 hp dan 265 Nm. Kesemua X50, X70 dan Kona menggunakan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan – model Proton menggunakan jenis basah – sementara yang lain menggunakan sama ada automatik enam kelajuan ataupun CVT. Hampir semua varian yang dimasukkan dalam senarai juga menggunakan pacuan dua roda hadapan.

    Pergi kepada dimensi, X50 mempunyai ukuran 4,330 mm panjang dan jarak roda 2,600 mm, meletakkan ia hampir dengan SUV yang sekian lama dijadikan sebagai tanda ukuran, iaitu Honda HR-V (panjang 4,334 mm dan jarak roda 2,610 mm).

    Ukuran X50 juga menjadikan saiznya hampir seperti Seltos (panjang 4,315 mm, jarak roda 2,610 mm), sementara jarak roda pula sama dengan Kona yang mempunyai panjang 4,165 mm. Jika dibandingkan dengan X70, Subaru XV, Toyota C-HR dan Mazda CX-30, sudah tentu X50 adalah lebih kecil, tetapi dengan Mazda CX-3, ia tidak terlalu jauh (panjang 4,275 mm dan jarak roda 2,570 mm).

    Untuk senarai kelengkapan, kedua-dua X50 Flagship dan X70 Premium X menyerlah dengan mempunyai kamera 360 darjah secara standard, bersama bumbung panoramik. Tiada SUV lain dalam senarai ini yang mempunyai kamera 360 darjah sementara bumbung suria pula cuma ada pada CX-30.

    Cuma X50, X70 dan CX-30 yang datang dengan panel instrumen LCD digital manakala yang lain menggunakan tolok analog bersama paparan informasi kecil. Pendingin hawa automatik ada pada semua model ini (satu zon atau dua zon), tetapi corong pendingin hawa belakang cuma ada pada X50, X70 dan CX-30.

    Pada bahagian hiburan, Android Auto dan Apple CarPlay tidak diberikan pada kedua-dua SUV Proton serta HR-V, tetapi ia mempunyai fungsi screen mirroring sebagai alternatif. Jika anda mahukan Android Auto atau Apple CarPlay, ia cuma ada pada C-HR, CX-30, Seltos dan Kona sementara untuk CX-3 pula ia disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Sudah tentu, kelebihan utama X50 Flagship adalah pada sistem keselamatan dan bantuan pemandu. Enam beg udara adalah diberikan terus pada varian ini, dan ia ditambah lagi dengan Autonomous Emergency Braking, Active Cruise Control, Active Lane Keep Assist, Blind Spot Assist dan Auto High Beam Control.

    Model X70, CX-30 dan Kona juga ada pelbagai kelengkapan tetapi ia tidak sama seperti X50 yang cukup lengkap. SUV lain cuma ada beberapa sahaja sistem yang diberikan secara standard, ataupun tiada langsung.

    Mengambil kira semua ini, X50 menyediakan nilai untuk wang yang agak menarik bagi mereka yang mencari SUV segmen B. Dengan enjin yang berkemampuan mengatasi model lain lebih tinggi, senarai kelengkapan yang banyak, terutamanya pada bahagian sistem keselamatan dan bantuan pemandu, ia memang cukup menarik. Anda rasa macam mana?

     
     
  • KTMB tawar diskaun 50% untuk ETS, KTM Antarabandar bagi tempoh perjalanan 28 Okt-9 Nov

    KTMB tawar diskaun 50% untuk ETS, KTM Antarabandar bagi tempoh perjalanan 28 Okt-9 Nov

    Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah mengumumkan penawaran diskaun tambang sehingga 50% bagi perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Antarabandar (KTM Intercity) bermula 28 Okt hingga 9 Nov 2020.

    Menurut KTMB, tawaran diskaun itu adalah bagi perjalanan ke mana-mana destinasi sedia ada melibatkan enam perkhidmatan ETS dan lapan KTM Antarabandar dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

    Buat masa ini, kedua-dua perkhidmatan itu masih beroperasi bagi laluan di antara Stesen Tumpat, Johor Bahru, Gemas, KL Sentral, Ipoh, Butterworth dan Padang Besar.

    Justeru, orang ramai dinasihatkan membuat pembelian secara dalam talian di laman sesawang KTMB atau menerusi aplikasi KTMB Mobile (KITS). Sebelum ini, KTMB pernah mengeluatkan kenyataan, sekiranya penumpang ingin meneruskan perjalanan dalam kawasan PKPB, perlulah mendapatkan kebenaran bertulis daripada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mengikut prosedur operasi standard (SOP).

    Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-2267 1200 atau layari saluran media baharu rasmi KTMB.

     
     
  • Perkhidmatan Bas Putra NEDO EV di Putrajaya secara percuma untuk warga Malaysia mulai 1 November 2020

    Perkhidmatan Bas Putra NEDO EV di Putrajaya secara percuma untuk warga Malaysia mulai 1 November 2020

    Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa telah berkongsi di laman Facebook rasmi beliau mengenai perkhidmatan bas percuma, Bas Putra NEDO EV, di Putrajaya mulai 1 November ini. Tambah Ahli Parlimen Ketereh itu, walau bagaimana pun, perkhidmatan bas percuma ini adalah untuk warga negara Malaysia sahaja.

    Manakala menurut Ketua Setiausaha kementerian terbabit, Datuk Rosida Jaafar, perkhidmatan bas ini adalah menerusi Perbadanan Putrajaya (PPj), dengan menyediakan sebanyak 40 buah bas sebagai antara inisiatif bawah Wilayah Prihatin KWP bagi membantu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat pendemik COVID-19, laporan Berita Harian.

    Tambah beliau, perkhidmatan Bas Putra NEDO EV ini akan bermula dengan 10 bas dan akan ditambah secara berperingkat-peringkat, Pengguna boleh mendaftar bagi mendapatkan kad percuma, manakala warga asing dikenakan caj RM1.50 bagi setiap perjalanan. Di mana kemudahan bas percuma itu membabitkan kesemua laluan bas Nadi Putra bawah kendalian Syarikat Pengangkutan Awam Putrajaya Travel &Tour Sdn Bhd (PAPTT) membabitkan 12 laluan di sekitar Putrajaya.

    “Selain dapat meningkat aktiviti pelancongan domestik di pusat kerajaan ini ia juga mampu membantu memulihkan ekonomi negara,” katanya.

    Laluannya akan bermula di Kompleks E (T500) melalui Kompleks-kompleks Kerajaan di sepanjang Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Presint 1 (Kompleks A, B, C, D & E) dan Persiaran Perdana (Presint 2, dan 3) sehingga ke Dataran Gemilang Presint 4.

    Kekerapan bagi laluan utama ini adalah setiap 5 minit pada waktu puncak bermula jam 6.30 pagi sehingga 9 pagi dan 4 petang sehingga 6.40 petang. Bas itu akan bergerak setiap 10 minit pada bukan waktu puncak serta 30 minit pada waktu malam, hujung minggu atau cuti umum.

    Beliau turut berkata, perkhidmatan bas itu juga melalui 11 laluan kawasan perumahan, komersil dan pejabat selain di Presint 1 hingga 4. Di mana kekerapan bagi laluan ini adalah setiap 15 minit pada waktu puncak, 20 minit pada waktu bukan puncak serta 30 minit pada waktu malam, hujung minggu atau cuti umum.

    “Setakat ini 4,000 pengguna sudah mendaftar dan mereka berpeluang menggunakan perkhidmatan percuma untuk ke tempat kerja dan urusan seharian. Inisiatif bas percuma ini membabitkan anggaran kos berjumlah RM12 juta setahun dan dijangka meningkat 50 peratus pertambahan penumpang pada 2021,” katanya.

    Projek Bas Putra NEDO EV ini telah dimulakan sejak Februari 2015 (termasuk fasa perancangan dan penyediaan) dan \ menelan kos sebanyak 3.6 bilion yen (RM129,760,218.00). Pertama kali didedahkan pada tahu 2017, ia merupakan bas berkuasa elektrik (EV) Super Quick Charge (SQC) pertama di Malaysia. Lebih membanggakan, ia dibangunkan oleh syarikat tempatan sendiri iaitu DRB-HICOM Defence Technologies Sdn Bhd (DEFTECH) yang merupakan anak syarikat milik penuh DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM).

    Sistem Super Quick Charging (SQC) hanya memerlukan 10 minit untuk dicas sepenuhnya melalui overhead pantograph, antara setiap perjalanan iaitu mencecah purata 30 km. Kesemua bas EV ini dilengkapi dengan bateri pengecasan lithium-ion jangka hayat-panjang Toshiba’s SCiB™, yang diiktiraf memiliki kebolehpercayaan operasi dan daya ketahanan terbaik dalam apa jua kondisi. Pastinya ia lebih pantas dan efektif berbanding kebanyakan bas komersial EV lain yang secara umumnya memerlukan tempoh semalaman untuk dicas semula (dianggarkan 6-8 jam) bagi beroperasi secara optimum.

    Pengecas telah dipasang di terminal bas di stesen Putrajaya Sentral dan semua bas EV ini boleh dicas secara pantas di sana. Suhu dan status bateri serta karakteristik elektronik bas dan pengecasan sepanjang operasi akan dipantau oleh sistem IoT untuk tujuan penyelenggaraan yang efisien.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025