Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Bride BR3D HSMSH1 – topeng muka JDM berharga RM132, habis dijual dalam masa tak sampai satu hari!

    Bride BR3D HSMSH1 – topeng muka JDM berharga RM132, habis dijual dalam masa tak sampai satu hari!

    Disebabkan amalan pemakaian topeng pelindung hidung dan mulut kini sudah menjadi sebahagian norma baharu di seluruh dunia selepas serangan pandemik Covid-19, pembuat tempat duduk perlumbaan dari Jepun, Bride hadir dengan produk tersebut di beri nama Bride BR3D HSMSH1.

    Menurut Bride, topeng ini dihasilkan dari fabrik yang sama untuk membaluti tempat duduk mereka, dan ia sebenarnya diambil dari lebihan fabrik-fabrik dalam proses produksi, secara tidak langsung turut menyokong aktiviti-eko mereka bagi mengurangkan sisa buangan di kilang.

    Bagi membentuk sebuah topeng, fabrik berkenaan turut dijahit bersama span urethane dan juga jalur “TM ICE” bagi memberikan sentuhan yang sejuk pada permukaan kulit pemakai. Manakala logo “Bride” pada topeng tersebut adalah tidak konsisten pada setiap unit kerana ia juga diambil dari bahan-bahan terbuang.

    Bride BR3D HSMSH1 – topeng muka JDM berharga RM132, habis dijual dalam masa tak sampai satu hari!

    Bride mendakwa fabrik yang digunakan tersebut turut boleh mengurangkan pancaran UV dan selesa digunakan walaupun ketika musim panas, serta boleh dicuci dan digunakan semula berulang kali. Topeng berkenaan disertakan dengan tali satin yang lembut dan juga pelaras bagi mengelakkan pemakainya terasa sakit pada bahagian telinga.

    Bride baru sahaja mengumumkan produk baharu ini pada laman facebook mereka semalam, dijual pada harga 3,300 yen atau sekitar RM132, dihasilkan dalam jumlah yang terhad. Namun setelah kami periksa sendiri di laman jualan atas talian Bride hari ini, ia sudah pun habis dijual.

     
     
  • UMW Toyota buka pusat 4S baharu di Muar, Johor

    UMW Toyota buka pusat 4S baharu di Muar, Johor

    UMW Toyota Motor telah mengumumkan pembukaan pusat 4S terbaharunya yang telah pun beroperasi di daerah Muar, Johor. Dikendalikan oleh E.S. Yang Motor Sdn Bhd, pada awalnya ia merupakan tiga premis yang berasingan walau pun terletak dalam satu daerah yang sama. Oleh itu, E.S Yang Motor mengambil inisiatif untuk menggabungkan ketiga-tiga premis berkenaan iaitu pusat jualan, pusat selepas jualan serta pusat Body & Paint, dan diletakkan di bawah satu bumbung.

    Pusat 4S baharu ini menyediakan 12 petak penyelenggaraan dan mampu menyelenggara sehingga 33 unit kenderaan sehari. Selain itu, ia turut menyediakan ruang menunggu yang selesa untuk para pelanggan termasuk kemudahan WiFi, TV dan juga snek makanan ringan.

    “Kami sentiasa berbangga apabila para pengedar kami menyedari betapa pentingnya meningkatkan standard perkhidmatan demi kemudahan para pelanggan. Sebagai pengedar Toyota yang telah lama beroperasi di Muar, E.S Yang Motor telah memberikan sumbangan dalam meningkatkan jenama ini dan kini menawarkan pelbagai perkhidmatan demi kemudahan para pelanggannya dalam satu lokasi,” kata Presiden UMW Toyota Motor Sdn Bhd Ravindran K.

    Terletak di 333, Jalan Dato Haji Kosai, Muar, pusat 4S ini beroperasi pada setiap hari Isnin hingga Sabtu dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang. Ia boleh dihubungi menerusi talian 06-952 833 untuk bahagian jualan dan 06-955 6333 bagi mendapatkan perkhidmatan penyelenggaraan.

    Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), UMW Toyota memastikan semua pusat jualan dan servis bertauliah mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan oleh MITI. Ini termasuklah mengamalkan penjarakan sosial, memakai hand sanitizer dan juga membuat pembayaran tanpa sentuhan di premis masing-masing.

     
     
  • Volkswagen Arteon facelift 2020 diperkenal — varian PHEV dan 320 PS R baru serta model Shooting Brake

    Volkswagen Arteon <em>facelift</em> 2020 diperkenal — varian PHEV dan 320 PS R baru serta model Shooting Brake

    Akhirnya, Volkswagen telah mendedahkan Arteon versi facelift terbaru. Banyak pembaharuan yang dilakukan, dari penggayaan hingga kepada pengenalan bentuk badan yang baru termasuk versi R dengan prestasi yang memukau.

    Arteon terbaru ini akan ditawarkan dalam bentuk Shooting Brake – sebuah rekaan cenderung ke arah wagon yang kini menyertai rekaan fastback sedia ada bagi model sama. Dengan bahagian bumbung yang lebih panjang, versi wagon ini menawarkan lebih praktikaliti dan kapasiti ruang kargo berbanding versi fastback.

    Menurut Volkswagen, dengan kedudukan kerusi seperti sedia ada, versi Shooting Brake menawarkan keluasan kargo 565 liter (563 liter bagi fastback) dan maksimum sehingga 1,632 liter jika kerusi belakang dilipat (1,557 liter). Panjang maksimum ruang barangan berkenaan ialah 2,090 mm.

    Volkswagen Arteon <em>facelift</em> 2020 diperkenal — varian PHEV dan 320 PS R baru serta model Shooting Brake

    Dari segi reka bentuk, versi Shooting Brake ini tidak berbeza terlalu ketara daripada rekaan fastback biasa sebelum ini, melainkan rekaan bumbungnya. Kemaskini wajah depan bagi model facelift ini ialah jalur lampu yang bersambung pada lampu utama (pilihan termasuk IQ.Light LED matriks) serta rekaan lampu belakang yang diperbaharui.

    Bagi tingkat kemasan Elegance, apron dengan kini datang dengan inlet bersegi pada sudutnya. Sementara bagi R-Line, elemen bilah menggantikan rekaan berkenaan bagi menyuntik imej yang lebih agresif. Di belakang, kedua-dua tingkat kemasan ini dilengkapi bukaan muncung ekzos berbentuk trapezoid, dengan kelainan pada R-Line ialah pembahagian rekaan itu kepada empat seksyen.

    Di dalam, tata letak papan pemuka Arteon diberi kemaskini yang agak banyak, misalnya pada rekaan dan kedudukan corong udara yang tidak lagi bersekali dengan kemasan tiga “bilah” yang dipanjangkan hingga ke hujung. Selain itu tiada lagi jam analog. Kini turut hadir ialah kawalan sentuhan HVAC di bawah skrin infotainmen lapan-inci yang lebih moden, serta stereng baru juga dengan kawalan sentuhan.

    Volkswagen Arteon <em>facelift</em> 2020 diperkenal — varian PHEV dan 320 PS R baru serta model Shooting Brake

    Sistem infotainmen MIB3 yang digunakan juga lengkap dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, serta sistem pencahayaan suasana kabin 30-warna, pengecas telefon tanpa wayar dan sistem audio premium Harman Kardon 700-watt.

    Penambahbaikan teknologi termasuk Travel Assist yang membolehkan sebahagian pemanduan automatik dalam julat kelajuan 0 ke 210 km/j. Cermin pandang belakangnya juga datang dengan fungsi bucu yang baru yang boleh memperluas imej dari kamera pada paparan infotainmen, dari 90-darjah hingga 170-darjah.

    Untuk enjin, varian R ditawarkan bagi kedua-dua bentuk badan fastback dan Shooting Brake sebagai varian tertinggi. Ia dilengkapi enjin EA288 2.0 liter tubocaj empat-silinder yang menjana 320 PS (316 hp) dan 420 Nm tork. Saluran kuasa ialah melalui kotak gear DSG tujuh-kelajuan klac berkembar dan sistem pacuan semua roda – yang menampilkan teknologi R-Perfaormance Torque Vectoring yang membahagi penyampaian tork antara gandar depan dan belakang serta antara kedua-dua roda belakang.

    Arteon R juga hadir dengan penyerap hentak adaptif yang 20 mm lebih rendah berbanding yang standard, dengan brek yang lebih berkuasa. Penampilannya juga sedikit berbeza berbanding varian lain, dengan bahagian inlet yang lebih besar di depan serta diffuser belakang yang lebih ringkas untuk semua empat hujung ekzos yang ada.

    Selain itu, varian eHybrid plug-in hybrid turut ditawarkan, dengan sistem janaan dipinjam dari Passat GTE. Ini termasuk unit enjin 1.4 liter empat-silinder TSI (156 PS atau 154 hp) dan motor elektrik (115 PS atau 113 hp), dengan kuasa disalurkan ke roda depan melalui kotak gear automatik klac berkembar DQ400 enam-kelajuan.

    Digabungkan, output keseluruhannya ialah 218 PS dan ia menawarkan jarak 53 km untuk janaan elektrik sepenuhnya dari bateri 13 kWh, dengan had laju 140 km/j dalam keadaan tersebut. Bergantung kepada pasaran, Arteon ditawarkan dengan pilihan enjin 1.5 liter dan 2.0 liter empat-silinder petrol dan juga 2.0 liter turbodiesel, yang boleh digandingkan dengan sistem pacuan semua roda 4Motion.

    Volkswagen Arteon R 2020

    Volkswagen Arteon R-Line 2020

    Volkswagen Arteon Shooting Brake eHybrid R-Line 2020

    Volkswagen Arteon Elegance 2020

     
     
  • Volkswagen kini di Shopee – ganjaran lebih RM14k

    Volkswagen kini di Shopee – ganjaran lebih RM14k

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah melancarkan kedai rasmi mereka di dalam Shopee, dan bersempena jualan 7.7 Mid-Year Sale akan datang, pelbagai tawaran eksklusif disediakan bagi sesiapa yang menempah kenderaan melalui Shopee dari 23 Jun hingga 7 Julai 2020.

    Pelanggan cuma perlu membayar RM199 untuk melayakkan mereka memenangi ganjaran bernilai antara RM4,279 hingga RM14,819 (bergantung kepada model), di mana ia termasuk nilai penjimatan, penghantaran ke rumah (sekiranya tinggal dalam radius 20 km daripada pusat pengedar), pakej pembersihan bernilai RM150 serta Lego VW Camper bernilai RM499. Selain itu, tujuh pelanggan istimewa juga akan dipilih untuk mendapat baucar Shopee bernilai RM700.

    Pengarah urusan VPCM, Erik Winter memberitahu bahawa langkah ke Shopee adalah satu cara bagi jenama itu untuk mengoptimakan servis mereka dalam aplikasi digital, dan pada masa sama memberikan tawaran terbaik dan memudahkan apabila membeli kenderaan Volkswagen baru.

    Volkswagen kini di Shopee – ganjaran lebih RM14k

    “Kami telah mendapat kejayaan melalui inisiatif digital dan e-commerce, dan kehadiran dalam Shopee adalah satu langkah biasa yang seterusnya. Kerjasama dengan Shopee ini memanfaatkan kecekapan mereka dalam dunia digital dan platform untuk berhubung dengan pelanggan sambil memberikan mereka tawaran yang hebat,” kata Winter.

    Pengarah urusan serantau Shopee, Ian Ho pula menambah, “Kami senang hati menjadi sebahagian daripada kerjasama dengan jenama automatif yang terbesar di dunia ini. Ia datang dalam masa yang betul, berikutan pengumuman kerajaan untuk memberikan pengecualian cukai jualan untuk kenderaan.”

     
     
  • Riwayat Honda Civic sedan sekali lagi tamat di Jepun

    Riwayat Honda Civic  sedan sekali lagi tamat di Jepun

    Tahukah anda pada tahun 2010 dahulu Honda pernah menghentikan jualan sedan Civic di Jepun kerana permintaannya semakin menurun? Setelah hilang satu generasi (generasi kesembilan/FB) Civic kemudiannya kembali ke pasaran negara asalnya itu pada generasi ke-10 (FC) pada tahun 2017.

    Namun atas sebab yang sama, tahun ini sekali lagi Honda menghentikan jualan Honda Civic sedan pada pasaran negara matahari terbit berkenaan, lapor Automotive News. Tahun lalu, Civic sedan hanya mencatatkan jualan sebanyak 1,619 unit di Jepun, berbanding model Kei-Car Honda N-Box yang berjaya dijual sekitar suku juta unit.

    Dengan penghentian jualan Civic sedan tersebut, ini bermaksud Honda turut akan menghentikan produksi domestiknya menerusi kilang Yorii yang terletak di Saitama.

    Riwayat Honda Civic  sedan sekali lagi tamat di Jepun

    Walau bagaimanapun, Civic hatchback dalam versi berprestasi tinggi Type R (FK8) akan terus dijual di Jepun sekurang-kurangnya sehingga tamat usia produksi generasi sedia ada. Juga bagi yang belum tahu, Honda turut akan menutup kilangnya yang menghasilkan hot-hatch berkenaan yang terletak Swindon, UK tahun hadapan.

    Honda akan terus menghasilkan Civic generasi seterusnya selepas ini untuk pasaran global kerana permintaannya masih tinggi pada sebahgian pasaran seperti di Amerika Syarikat, namun pusat produksi utamanya masih belum diumumkan.

     
     
  • MB Perak pilih Lexus ES sebagai kereta rasmi bagi menggantikan Toyota Camry – dapat diskaun 50%

    MB Perak pilih Lexus ES sebagai kereta rasmi bagi menggantikan Toyota Camry – dapat diskaun 50%

    Mac tahun lalu, kerajaan Perak mencetuskan sedikit kontroversi apabila membuat keputusan untuk membeli 16 buah Toyota Camry bagi kegunaan rasmi. Baru-baru ini pula, difahamkan Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengaku telah membeli Lexus ES juga untuk kenderaan rasminya, bagi menggantikan Camry sedia ada.

    Menurut laporan The Star, Faizal berkata, kereta yang dibeli adalah model buatan 2019 dan pihaknya telah mendapat diskaun antara 40% hingga 50% untuk pembelian tersebut.

    “Kalau ikutkan harga asal adalah sekitar RM300,000, dan kami dapat diskaun antara 40-50% dengan harga lebih kurang RM200,000. Kereta berkenaan adalah milik kerajaan negeri, kami masih mampu untuk membelinya,” katanya.

    Faizal turut memaklumkan, pihak kerajaan negeri juga bercadang untuk menjual beberapa kenderaan rasmi sedia ada yang tidak lagi digunakan.

    “Kami akan melakukan bidaan terbuka untuk menjual beberapa kenderaan sedia ada, termasuklah Mercedes-Benz S Class,” tambahnya lagi.

     
     
  • Lotus Exige Sport 410 20th Anniversary 2020 didedah

    Lotus Exige Sport 410 20th Anniversary 2020 didedah

    Sempena menyambut kelahiran model pertama Exige Series 1, Lotus telah memperkenalkan sebuah model istimewa Exige Sport 410 20th Anniversary. Beberapa bahagian kereta sports ini dipertingkat dan dijual pada harga £79,900 (RM428k) – £5,412 (RM29k) lebih mahal berbanding Exige Sport 410 biasa.

    Pertama sekali, bahagian luarnya datang dengan bumbung, corong udara tepi serta sayap belakang yang sama warna dengan badan manakala di hadapan sedikit daripada roda belakang terdapat sirip berwarna hitam untuk melindungi daripada batu-batu kecil. Logo 20th Anniversary diletakkan pada fender hadapan dan bampar belakang.

    Seperti yang anda boleh lihat, pilihan warnanya adalah sama seperti Series 1, iaitu Chrome Orange, Laser Blue dan Calypso Red. Terdapat juga pilihan warna Saffron Yellow, Motorsport Black dan Arctic Silver.

    Pada bahagian dalam, beberapa bahagian dibalut dengan Alcantara berwarna hitam dan sama seperti warna luar, serta sulaman khas untuknya. Barangan yang sebelum ini disediakan sebagai pilihan tambahan diberikan terus secara standard termasuk radio digital dengan Bluetooth, cruise control, rim aloi ultra-lightweight serta stereng yang dibalut Alcantara.

    Turut diberi adalah penyerap boleh laras Nitron, serta splitter depan, panel akses hadapan dan tailgate gentian karbon. Jika itu masih tidak mencukupi, pelanggan boleh menambah lagi kemasan gentian karbon, bateri lithium ion serba ringan serta ekzos titanium.

    Bahagian enjin masih lagi menggunakan unit V6 3.5 liter yang mampu menghasilkan 410 hp pada 7,000 rpm dan 420 Nm tork pada 3,000 hingga 7,000 rpm. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 3.4 saat manakala laju maksimum pula adalah 290 km/j.

     
     
  • Land Rover Defender 110 2020 kini ditawarkan dengan opsyen khemah bumbung, dihasilkan oleh Autohome

    Land Rover Defender 110 2020 kini ditawarkan dengan opsyen khemah bumbung, dihasilkan oleh Autohome

    Ketika didedahkan pada September tahun lalu, Land Rover Defender 110 generasi baharu sudahpun diberikan pelbagai aksesori asli yang dihasilkan untuk pelanggan yang gemarkan aktiviti off-road. Dan kini, satu lagi kelengkapan asli untuk aktiviti lasak berkenaan ditawarkan secara rasmi untuk Defender, iaitu khemah bumbung.

    Kelengkapan baharu ini dihasilkan oleh pembuat khemah bumbung terkemuka dari Itali iaitu Autohome, dan ia boleh di beli terus dari pengedar Land Rover bertauliah mahupun dari Autohome sendiri, dijual pada harga 3,081.96 euro, atau sekitar RM15k.

    Khemah tersebut boleh dipasangkan terus pada bumbung Defender 110 yang hadir dengan rak bumbung Expedition dan rel bumbung sekiranya pembeli sudahpun memilih pakej akesori Adventure Pack. Apabila dibuka ia akan memberikan ruang rehat tertutup dengan dimensi 2.3m panjang, 1.3m lebar dan 1.5m tinggi, disokong oleh tongkat dengan strut gas bersepadu serta perlindungan dari fabrik karbon berwarna kelabu.

    Land Rover Defender 110 2020 kini ditawarkan dengan opsyen khemah bumbung, dihasilkan oleh Autohome

    Apabila ditutup pula, ia tersimpan dan perumah gentian kaca yang ringan dan rata bagi mengekalkan kestabilan maksima serta keberkesanan aerodinamik ketika SUV berkenaan bergerak.

    Menurut Land Rover, khemah bumbung yang dibangunkan oleh Autohome berkenaan menampilkan rekaan yang mudah untuk digunakan, serta material dengan kualiti premium yang telah terbukti dalam cuaca yang paling teruk. Ia boleh memuatkan dua orang dewasa untuk tidur di dalamnya dengan tilam kapas mewah bersaiz penuh, serta datang sekali dengan bantal, lampu ruang dalaman LED dan jaring untuk meletakkan barangan.

    Khemah berkenaan boleh diakses dengan mudah melalui kedua-dua sisi Land Rover Defender tersebut menerusi tangga aluminium yang boleh dipanjangkan/dipendekkan, dan ia boleh disimpan dalam beg pada bahagian dalam khemah tersebut jika tidak digunakan.

    Land Rover Defender 110 2020 kini ditawarkan dengan opsyen khemah bumbung, dihasilkan oleh Autohome

    “Land Rover Defender baharu ini merupakan kenderaan yang ideal untuk sampai ke destinasi terpencil dengan selesa sama ada menggunakan jalan biasa atau off-road. Khemah bumbung ini membolehkan pemandu Defender meneruskan pengembaraan mereka di atas dan di luar perjalanan mereka; ia sempurna untuk pengembara zaman moden,” kata pengarah barangan dan perlesenan jenama Land Rover, Joe Sinclair.

    “Land Rover telah berkerjasama dengan juruteknik kami bagi menghasilkan khemah bumbung yang unik untuk Land Rover Defender. Khemah ini adalah lebih dari sekadar aksesori kem perkhemahan: ia kuat, selesa, versatil dan boleh diharap membuatkan ia ideal untuk perkhemahan ekstrem dan percutian off-road,” kata CEO Autohome, Giuseppe Fercodini pula.

    Seperti yang disebutkan tadi, khemah bumbung ini adalah satu lagi pilihan aksesori asli yang ditawarkan dari 170 aksesori lain yang dihasilkan khas untuk Land Rover Defender – penawaran aksesori paling luas pernah ditawarkan untuk satu model oleh Land Rover setakat ini.

    GALERI: Land Rover Defender 110 2020

     
     
  • MSF CyberTurismo Siri 2 kini bersiaran di Astro Arena

    MSF CyberTurismo Siri 2 kini bersiaran di Astro Arena

    Di sebabkan pandemik Covid-19 yang kesannya masih kita depani ketika ini, banyak perkara yang telah beralih ke platform maya dan digital. Malaysia Speed Festival (MSF) juga mengambil langkah yang sama, dengan memperkenalkan perlumbaan atas talian CyberTurismo Series sejak April lalu.

    Bagi siri keduanya, MSF akan disiarkan di Astro Arena saluran 801, membawakan MSF CyberTurismo kepada khalayak penonton yang lebih luas. Siri berkenaan memanfaatkan Gran Turismo Sport dari Playstation 4; bahkan MSF CyberTurismo secara rasminya menerima pengesahan daripada pembangun permainan lumba berkenaan, Polyphony Digital.

    Siarannya berlangsung dari 10 malam hingga 11.30 malam dari Isnin hingga Khamis dan menampilkan komentar daripada beberapa personaliti sukan permotoran, termasuk pelumba superbike Yulina Tan Jade, bekas juara Super Taikyu Farique Hairuman, pengasas MSF Adian Yein serta pengulas Super GT, Faisal Asri.

    Kejuaraan ini terus diadakan dalam format liga, dengan tiga mata bagi setiap pusingan, satu pusingan kalah mati dan satu pusingan akhir di mana hanya lima pelumba terbaik dari setiap kategori akan bersaing untuk juara.

    MSF CyberTurismo Siri 2 kini bersiaran di Astro Arena

    Beberapa perubahan telah dilakukan sejak permulaan siri ini. Kategori Terbuka CyberTurismo telah dibahagikan kepada dua – Advanced bagi peserta novis manakala Expert bagi pemandu berkemahiran tinggi. Ini menjadikan perlumbaan berkenaan lebih sengit dan mencabar bagi semua tiga kategori, termasuk kategori SuperTurismo Racers bagi pelumba-pelumba sebenar dalam MSF yang masih dikekalkan.

    Sama seperti sebelum ini, pilihan kereta yang ada hanya tertakluk kepada kategori N200 permainan berkenaan, seperti model seperti Honda Civic EK9 Type R. Pelumba bagi CyberTurismo Advanced tidak dibenarkan untuk menala kereta mereka (talaan kini dibenarkan bagi kategori CyberTurismo Expert dan SuperTurismo Racers).

    MSF juga membatalkan semua penggunaan teknologi bantuan – untuk menguji ketangkasan sebenar pelumba – seperti ABS. Pilihan litar pula terdiri daripada litar sebenar seperti Red Bull Ring di Austria dan Interlagos di Brazil serta litar rekaan seperti Dragon Trail, Croatia. Untuk maklumat lanjut tentang siaran di saluran Astro Arena 801 dan segalanya berkaitan MSF, layari laman Facebook MSF CyberTurismo.

     
     
  • Lebuhraya Pan Borneo di Jalan Papar Lama-Kota Kinabalu dijangka boleh dibuka Julai ini – Menteri

    Lebuhraya Pan Borneo di Jalan Papar Lama-Kota Kinabalu dijangka boleh dibuka Julai ini – Menteri

    Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis, Datuk Aidi Moktar mengesahkan Lebuhraya Pan Borneo di Jalan Papar Lama-Kota Kinabalu sepanjang 10 km dijangka boleh digunakan secara empat lorong dalam masa dua minggu lagi.

    Pembukaan laluan berkenaan turut membabitkan jalan sepanjang Kampung Gana hingga Kampung Kawang.

    “Pembinaan sedang giat dijalankan dan dijangka siap dan boleh digunakan pada awal atau pertengahan Julai hadapan. Manakala jarak keseluruhan projek sejauh 15.8 km antara Kampung Gana ke Kampung Limauan pula dijangka siap sepenuhnya pada Februari tahun hadapan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Lebuhraya Pan Borneo di Jalan Papar Lama-Kota Kinabalu dijangka boleh dibuka Julai ini – Menteri

    Beliau menambah, langkah itu adalah penyelesaian jangka masa pendek untuk mengurangkan kemalangan disebabkan kekeliruan dalam kalangan pengguna jalan raya.

    “Kontraktor bertanggungjawab diarahkan untuk memperbanyakkan papan tanda amaran bagi setiap satu kilometer supaya pengguna lebih peka sepanjang pemanduan.

    “Papan tanda itu penting untuk memastikan pengguna jalan raya tidak keliru dengan keadaan jalan yang masih dalam proses pembinaan. Selain itu polis perlu lebih kerap membuat pemantauan di kawasan jalan Lebuhraya Pan Borneo yang berisiko seperti di kawasan Kampung Kawang ini yang mana terdapat kemalangan maut berlaku di sini baru-baru ini,” katanya lagi.

     
     
  • Kia Carnival generasi baharu – imej awal didedahkan

    Kia Carnival generasi baharu – imej awal didedahkan

    Selepas teaser dalam bentuk lakaran disiarkan minggu lalu, kini Kia telah pun mendedahkan rekaan penuh untuk bahagian luaran MPV flagship mereka, Kia Carnival generasi keempat. Model tersebut dilihat tampil dengan rekaan signatur Kia yang lebih bersegi seperti Kia Seltos dan juga Sorento generasi baharu.

    Menurut Kia, Carnival generasi terkini tersebut adalah sebuah ‘Kenderaan Utiliti Bersaiz Besar’. Oleh sebab itu, ia diberikan penggayaan seakan SUV, dengan imej “lebih kuat, tampil lebih bergaya dalam segmen MPV bersaiz sederhana”.

    Muka MPV ini menerima muka seakan Kia Seltos, dengan lampu hadapan lebih bersegi bersama gril ‘hidung harimau’ bersaiz besar dan kedua-dua komponen tersebut dilihat seakan bersepadu antara satu sama lain, menerusi jalur kemasan sekeliling dan juga jalur LED lampu nyalaan siang yang nampak seakan bercantum.

    Kia Carnival generasi baharu – imej awal didedahkan

    Seperti model sedia ada, versi generasi baharu ini turut menampilkan pintu belakang gelangsar. Tetapi kali ini rel untuk pintu berkenaan direka selari dalam satu jalur bermula dari ‘kening’ lampu hadapan dan melalui pembuka pintu, membuatkan rel berkenaan kelihatan hanya seperti satu jalur kemasan, dan itu turut bersambung dengan lampu belakang.

    Dari sisi juga kelihatan bumbung Carnival ini seakan terapung dengan tiang-A dan bingkai-bingkai tingkap yang digelapkan, dan seolah-olah hanya ‘disokong’ oleh kemasan istimewa berwarna perak pada tiang-C seperti pada Sorento 2021.

    Imej sebuah SUV nampak lebih kuat ditampilkan pada bahagian MPV ini di mana ia hadir dengan lampu kombinasi LED nipis yang merentangi sepenuhnya pintu tailgate belakang. Di atas lampu tersebut kelihatan satu lagi jalur kemasan, yang sebenarnya satu lagi jalur lampu LED yang bersambung dari kemasan perak pada tiang-C tadi.

    Juga, bagi menampakkan Carnival ini seakan sebuah SUV, Kia memberikan kemasan bawah bampar hadapan dan belakang berwarna perak yang kelihatan seperti skid plate.

    Walau bagaimanapun, Kia masih belum lagi mendedahkan rekaan dalaman MPV ini dan juga sebarang spesifikasi teknikal. Kia Carnival generasi sedia ada masih lagi dijual di Malaysia dalam konfigurasi lapan- dan 11-tempat duduk, dijana oleh enjin diesel R 2.2L CRDi berkuasa 200 PS/440 Nm digandingkan bersama transmisi automatik lapan kelajuan.

     
     
  • Proton X70 akan sertai Honda Civic sebagai kereta peronda polis, disediakan oleh Spanco Sdn Bhd

    Proton X70 akan sertai Honda Civic sebagai kereta peronda polis, disediakan oleh Spanco Sdn Bhd

    Selain dari Honda Civic 1.8 S, pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) selepas ini turut akan menggunakan SUV segmen-C Proton X70 sebagai kereta peronda mereka, lapor Sinar Harian.

    Menurut laporan akhbar berkenaan sempena penyerahan lima kereta peronda baharu Honda Civic 1.8 S kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam semalam, PDRM akan menerima 197 Proton X70 dan juga lagi 653 lagi Honda Civic 1.8 S dalam tempoh Julai hingga September nanti.

    Lima unit kereta peronda baharu yang diserahkan kepada IPD Shah Alam berkenaan adalah sebahagian dari 425 unit Honda Civic 1.8 S yang diterima oleh PDRM pada 5 Jun lalu, iaitu fasa pertama penggantian kereta-kereta peronda mereka yang telah pun berusia.

    Kereta-kereta peronda baharu tersebut dilengkapi peralatan sokongan seperti peralatan komunikasi RMPNeT, kamera papan pemuka (dashcam) serta perakam video digital mudah alih, dan kesemuanya disewa secara konsesi dengan syarikat Spanco Sdn Bhd selama lima tahun melalui peruntukan mengurus 2020, lapor akhbar berkenaan lagi.

    Proton X70 akan sertai Honda Civic sebagai kereta peronda polis, disediakan oleh Spanco Sdn Bhd

    Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, pemilihan kereta Honda Civic 1.8 ini dibuat selepas ujian teknikal pihaknya bersama syarikat Spanco Sdn Bhd bagi menggantikan kereta peronda yang telah tamat tempoh.

    “Saya percaya penerimaan ini dapat memberi perkhidmatan yang lebih baik kerana model ini mempunyai kelebihan dari segi kepercayaan orang awam ke atas kenderaan itu sendiri,” katanya. Beliau turut menambah, berdasarkan pandangan yang diterima pihaknya daripada anggota rondaan mengatakan ia juga dapat meningkatkan tahap keyakinan, suasana kerja yang lebih meyakinkan selain prestasi yang baik.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib pula menjelaskan bahawa kereta baharu yang mereka terima ini adalah bagi menggantikan Proton Waja yang telah uzur.

    “Apa yang saya lihat, penerimaan kereta ronda baharu ini dapat meningkatkan imej polis secara amnya dan berharap ia dapat meningkatkan keberkesanan rondaan cegah jenayah,” katanya kepada Sinar Harian.

    Selain dari untuk kegunaan PDRM, Spanco juga dilaporkan telah menempah lebih dari 500 unit Proton X70 untuk kegunaan Kerajaan Malaysia, dan sebahagiannya telah pun diserahkan untuk digunakan oleh pegawai-pegawai Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) sebagai kenderaan rasmi mereka pada hujung tahun lalu.

    GALERI: Kereta Peronda Polis Honda Civic 1.8 S 2020

     
     
  • GALERI: BMW X6 xDrive40i M Sport 2020 di Malaysia — 340 PS 3.0L turbo enam-silinder, dari RM704k

    GALERI: BMW X6 xDrive40i M Sport 2020 di Malaysia — 340 PS 3.0L turbo enam-silinder, dari RM704k

    BMW X6 G06 dilancarkan di Malaysia April lalu bersama dengan 8 Series Gran Coupe G16 – menjadi tambahan terbaru kepada barisan model sedia ada X5 G05 dan G07 X7 oleh BMW Malaysia.

    Dalam galeri ini, yang ditampilkan ialah model BMW X6 in xDrive40i M Sport, varian tunggal yang ditawarkan pada harga RM703,947 atas jalan tanpa insurans dan cukai jualan (harga dengan SST ialah RM729,800). Ini termasuk jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan dan lima-tahun pakej servis percuma.

    Ia mengguna enjin B58 3.0 liter turbocaj enam-silinder sebaris petrol yang menjana 340 PS (335 hp) dari 5,500 hingga 6,5000 rpm dan 450 Nm dari 1,500 kepada 5,200 rpm. Ini dipadankan pula denga kotak gear automatik lapan-kelajuan Steptronic dan sistem pacuan semua roda xDrive – pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.5 saat dan laju maksimum 250 km/j.

    GALERI: BMW X6 xDrive40i M Sport 2020 di Malaysia — 340 PS 3.0L turbo enam-silinder, dari RM704k

    Dari segi penampilan, model ini berbeza daripada X5 antaranya dapat dilihat pada rekaan “kidney grille” yang menggunakan iluminasi gril “Iconic Glow”, serta penggunaan lampu utama Laserlight adaptif dengan DRL tiga dimensi.

    BMW X6 ini datang dengan sistem infotainmen Live Cockpit Professional, yang termasuk di dalamnya dua paparan 12.3-inci dan BMW Operating System 7.0 yang boleh dikawal menggunakan skrin sentuh di tengah, kawalan gerak tangan, iDrive atau sistem kawalan suara Intelligent Personal Assistant.

    Kelengkapan standard yang lain antaranya terdiri daripada lampu kabus LED, sistem tanpa kunci, suspensi adaptif M Sport, sistem ekzos M Sport, kawalan pendingin empat zon, bumbung panoramik, sistem bunyi Harman Kardon 464-watt dengan 14-speaker, pengecas tanpa wayar Qi serta BMW Display Key.

     
     
  • Perodua sumbang lebih 5,000 pelindung muka kepada beberapa buah sekolah di sekitar Hulu Selangor

    Perodua sumbang lebih 5,000 pelindung muka kepada beberapa buah sekolah di sekitar Hulu Selangor

    Baru-baru ini, Perodua telah menyumbangkan lebih 5,000 pelindung muka kepada 17 sekolah menengah di daerah Hulu Selangor. Ia adalah sempena dengan pembukaan semula persekolahan pada 24 Jun ini selepas ditutup selama tiga bulan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak pandemik COVID-19.

    “Kami menyumbang pelindung muka ini untuk kegunaan para murid Tingkatan 5 dan 6, guru dan kakitangan sokongan semasa kembali ke sekolah setelah penutupan tiga bulan susulan pelaksanaan PKP. Walaupun para murid, guru dan kakitangan sokongan akan memakai topeng muka di sekolah, penggunaan pelindung muka boleh menjadi langkah pencegahan tambahan yang baik.

    “Sebagai syarikat yang prihatin dan mengutamakan insan, kami percaya pada pengambilan langkah tambahan dari segi keselamatan, lebih-lebih lagi ketika melibatkan anak-anak kita yang tersayang dan juga mereka daripada golongan yang kurang bernasib baik,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

    Pelindung muka tersebut mempunyai bahagian pelindung tahan kabus yang diperbuat daripada polyethylene terephthalate untuk penglihatan yang optimum. Kusyen span pada bahagian dahi menghalang kemasukan titisan air manakala jalur elastik boleh dilaraskan untuk pemakaian yang selamat dan selesa.

    Perodua sumbang lebih 5,000 pelindung muka kepada beberapa buah sekolah di sekitar Hulu Selangor

    Perodua juga turut menyumbang pelindung muka kepada Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Selangor yang terletak di Kuala Kubu Bharu.

    “Terima kasih kami ucapkan kepada pihak kerajaan, terutama sekali Kementerian Kesihatan, dan semua anggota barisan hadapan kerana telah bekerja keras untuk membimbing negara kita melalui krisis COVID-19.

    “Walaupun bilangan kes baharu mencatat penurunan yang ketara, kami berharap rakyat Malaysia akan terus berwaspada dan mematuhi semua garis panduan kesihatan dan keselamatan,” Dato’ Zainal berkata.

    “Perodua berbesar hati untuk menyumbang kepada perjuangan Malaysia menentang COVID-19 dan kami akan mengedarkan pelindung muka kepada klinik komuniti di daerah Hulu Selangor tidak lama lagi,” tambah beliau.

     
     
  • GALERI: BMW 840i Gran Coupe M Sport G16 2020 di Malaysia – 3.0L turbo 6-silinder, 340 PS; dari RM937k

    GALERI: BMW 840i Gran Coupe M Sport G16 2020 di Malaysia – 3.0L turbo 6-silinder, 340 PS; dari RM937k

    BMW Malaysia telah pun melancarkan 8 Series Gran Coupe G16 pada April lalu, dan kini kami membawakan galeri penuh bagi jentera sedan dengan gaya coupe ini. Hanya didatangkan dengan varian tunggal 840i M Sport, buat masa ini, harga atas jalan yang ditawarkan ialah RM937,411 tanpa insurans dan kalau termasuk dengan cukai jualan pula mencecah RM968,800.

    Ia ditampilkan dengan enjin 3.0 liter pengecas turbo enam-silinder sebaris dengan kuasa 340 PS (335 hp) dari 5,000 hingga 6,000 rpm dan tork 500 Nm dari 1,600 hingga 4,500 rpm. Pacuannya disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik Steptronic enam-kelajuan, dan pecutan dari 0-100 km/j hanya mengambil masa 5.2 saat dan kelajuan maksimum mampu mencecah 250 km/j.

    Penjana kuasa ini turut dipadankan dengan sistem ekzos sport, dengan suspensi adaptif, M Sport differential dan Integral Active Steering (all-wheel steering).

    Pakej M Sport didatangkan secara standard dan termasuklah bampar yang lebih agresif yang menjadi sebahagian daripada pakej M Aerodynamic. Ia juga tampilkan dengan kemasan Shadow Line, serta rim M 20-inci dengan tayar 245/35 di hadapan dan 275/30 di belakang.

    GALERI: BMW 840i Gran Coupe M Sport G16 2020 di Malaysia – 3.0L turbo 6-silinder, 340 PS; dari RM937k

    Model 840i ini turut dipadankan dengan lampu utama BMW Laserlight, High-beam Assistant, bumbung panoramik, lampu ambien, lapik bumbung dalam anthracite, balutan kulit Merino, kemasan kayuan berwarna kelabu berkilat, roda stereng M, kemasan tepi pintu M dan papan pemuka dibalut kulit “Walknappa” hitam.

    Untuk ciri keselesaan, sedan empat pintu ini mempunyai kawalan pendingin hawa empat zon, tempat duduk dengan liang udara serta fungsi memori, Live Cockpit Professional, panel instrumen 12.3-inci, BMW Navigation System Professional 10.25-inci, paparan utama,serta penghadang cahaya kuasa elektrik untuk tingkap dan cermin belakang.

    Sistem infotainmen pada 840i juga mempunyai fungsi kawalan pergerakan, servis sokongan BMW Connected, sambungan Apple CarPlay serta sistem bunyi Harman Kardon 464 watt dengan 16 pembesar suara. Kemudahan lain adalah termasuk Comfort Access, pintu but bukaan elektrik dan BMW Display Key.

    Bagi aspek keselamatannya, model ini turut menerima kehadiran Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC) termasuk Kawalan Cengkaman Dinamik (DTC), Kawalan Brek Selekoh (CBC), Kawalan Brek Dinamik (DBC), dan ABS dengan Bantuan Brek.

    Ia turut ditambah dengan BMW Driving Assistance Professional, yang termasuk Kawalan Kelajuan Aktif dengan fungsi Stop & Go, Amaran Ketibaan Lorong, Amaran Penukaran Lorong, Bantuan Kekal Lorong dengan perlindungan perlanggaran tepi, Bantuan Kawalan Lorong dan Stereng, Bantuan Menukar Lorong, amaran perlanggaran serta Bantuan Parkir Tambahan dengan kamera keliling.

    BMW 840i M Sport ditawarkan dalam enam warna luaran iaitu Barcelona Blue, Sonic Speed Blue, Carbon Black, Black Sapphire, Mineral White dan Sunset Orange, manakala kemasan kulit di dalam boleh dipilih dalam warna hitam, Night Blue, Cognac, Tartufo dan Fiona Red.

    Ia turut didatangkan dengan waranti lima-tahun/tanpa had perbatuan dengan servis berkala percuma, waranti tayar dua-tahun/24-bulan, BMW Roadside Assistance, BMW Service Online dan program keahlian BMW Group Loyalty+.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025