Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • BMW Motorrad Malaysia tambah waranti helmet kepada lima tahun, harga istimewa untuk bateri

    BMW Motorrad Malaysia tambah waranti helmet kepada lima tahun, harga istimewa untuk bateri

    Selepas perintah kawalan pergerakan semakin dilonggarkan, BMW Motorrad Malaysia mengambil inisiatif untuk menyokong pemilik motosikal BMW dengan memperkenalkan program tambahan waranti helmet serta kempen harga istimewa untuk bateri.

    Helmet BMW Motorrad yang dijual sebelum ini datang dengan jaminan dua tahun, tapi sekarang ia telah ditambah menjadi lima tahun. Tempoh jaminan lebih lama ini diberikan kepada mereka yang membeli helmet BMW Motorrad dari 1 Januari 2020.

    Kemudiannya, memikirkan banyak pemilik yang mungkin menghadapi masalah dengan bateri kerana motosikal tidak bergerak, BMW Motorrad telah mengumumkan kempen harga istimewa untuk bateri serta pengecas bateri terpilih. Kempen ini dijalankan dari sekarang hingga 10 Julai 2020.

     
     
  • PLUS ingatkan pengguna surau RNR lebuh raya sediakan sejadah, kain pelikat dan telekung sendiri

    PLUS ingatkan pengguna surau RNR lebuh raya sediakan sejadah, kain pelikat dan telekung sendiri

    Hari ini merupakan hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berlangsung yang membolehkan rakyat Malaysia kembali bergerak merentas negeri. Walaupun fasiliti penuh hentian Rehat dan Rawat (RNR) di lebuhraya hanya akan beroperasi sepenuhnya 15 Jun ini, surau dalam kawasan berkenaan kini sudahpun boleh digunakan seperti apa yang telah diputuskan oleh Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam.

    Walau bagaimanapun pengendali Lebuhraya Utara-Selatan, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengingatkan pengguna yang mahu menggunakan kemudahan berkenaan agar membawa kelengkapan solat seperti sejadah, kain pelikat dan telekung sendiri sebagai salah satu prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna dalam mengekang penularan wabak Covid-19, lapor Alhijrah Online.

    “Bagi menjaga kebersihan dan mengekang penularan Covid-19 kita tidak lagi akan sediakan sejadah, telekung, dan kain pelikat di surau kita,“ kata Ketua Kecemerlangan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz kepada portal berita tersebut. Beliau turut menjelaskan bahawa jumlah individu yang dibenarkan solat pada satu-satu masa bergantung kepada saiz surau terbabit dan pihaknya akan meletakkan notis di luar surau untuk rujukan.

    Menurutnya lagi, garisan penjarakan sosial di dalam surau juga dibuat dan beliau berharap pengguna akan memberi kerjasama dan mematuhi SOP ditetapkan. Malah pada peringkat awal ini akan ada pegawai PLUS yang ditempatkan di RNR untuk memastikan kepatuhan SOP yang ditetapkan.

     
     
  • Mazda BT-50 generasi ketiga – imej teaser disiar, bakal didedahkan 17 Jun ini, kembar kepada Isuzu D-Max?

    Mazda BT-50 generasi ketiga – imej <em>teaser</em> disiar, bakal didedahkan 17 Jun ini, kembar kepada Isuzu D-Max?

    Selepas hampir sepuluh tahun, akhirnya trak pikap Mazda BT-50 bakal menerima penggantinya tidak lama lagi setelah jenama berkenaan menyiarkan gambar teaser untuk model generasi baharu tersebut dan mengumumkan ia akan didedahkan sepenunhnya pada 17 Jun nanti.

    Tiada sebarang perincian diberitahu setakat ini, tetapi apa yang pasti tidak seperti model sedia ada yang menggunakan Ford Ranger sebagai asas, versi generasi seterusnya ini dihasilkan dengan kerjasama Isuzu seperti yang telah diumumkan pada tahun 2016.

    Oleh itu, boleh dijangkakan BT-50 generasi baharu ini akan berkongsi banyak persamaan dengan Isuzu D-Max generasi terkini yang muncul buat kali pertama pada Oktober tahun lalu. Antara yang boleh diagak, ia akan diasaskan dari platform ladder frame yang sama, serta pilihan enjin turbodiesel RZ4E-TC 1.9 liter berkuasa 150 PS/350 Nm dan juga 4JJ3-TCX 3.0 liter berkuasa 190 PS/450 Nm.

    Mazda BT-50 generasi ketiga – imej <em>teaser</em> disiar, bakal didedahkan 17 Jun ini, kembar kepada Isuzu D-Max?

    Imej bayangan digital Mazda BT-50 diasaskan dari Isuzu D-Max yang dihasilkan oleh Theophilus Chin

    Seperti juga sebelumnya, BT-50 juga berkemungkinan akan diberikan penggayaan tersendiri dari Mazda, dan bukan sekadar hanya menukar logo. Penawaran bentuk badan trak pikap Mazda ini mungkin sama dengan D-Max iaitu Single Cab dua pintu, Extended Cab empat-pintu dan juga Double Cab empat-pintu.

    Jadi jika nak tahu perincian sebenar Mazda BT-50 generasi ketiga ini, pastikan anda sentiasa mengikuti perkembangan seterusnya dari kami.

     
     
  • PKPP: Sekatan jalan raya ditarik balik; ATM tetap bantu PDRM lakukan pemantauan – Ismail Sabri

    PKPP: Sekatan jalan raya ditarik balik; ATM tetap bantu PDRM lakukan pemantauan – Ismail Sabri

    Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula hari ini sehingga 31 Ogos 2020, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menarik balik semua sekatan jalan raya. Walau bagaimana pun, PDRM tetap akan melakukan sekatan di kawasan yang digunakan oleh pendatang asing tanpa izin (PATI).

    Menurut Menteri Pertahanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bagi PKPP, hanya Ops Benteng akan diteruskan terutama membabitkan lorong tikus di kawasan pantai.

    “Hari ini, hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), PDRM akan menarik balik semua sekatan jalan raya. Cuma Ops Benteng untuk sekatan jalan raya akan diteruskan tetapi tidak lagi bagi rentas negeri,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya sebentar tadi.

    Walau bagaimana pun, menurut Ismail, Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan tetap membantu PDRM dalam operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP. Turut membantu PDRM dalam Pasukan Petugas Operasi Pematuhan ialah Ikatan Relawan (RELA), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

    “Fokus pasukan petugas khas ini tidak lagi dalam sekatan jalan raya, tetapi pematuhan SOP orang ramai di premis perniagaan termasuk pasar awam, pasar malam sepanjang pelaksanaan PKPP mulai hari ini hingga 31 Ogos,” katanya lagi.

    Semalam merupakan hari terakhir sekatan jalan raya dijalankan di seluruh negara. Di mana PDRM telah melakukan 133 sekatan jalan raya sempadan negeri di seluruh negara dengan memeriksa 292,179 kenderaan.

    “Semalam, hari terakhir pelaksanaan PKPB, PDRM melalui pasukan petugas operasi pematuhan membuat 75,791 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPB. Sebanyak 292,179 kenderaan diperiksa berbanding 188,804 hari sebelumnya,” katanya.

    Tambahnya lagi, PDRM turut menahan 26 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPB dan daripada jumlah itu, seramai 25 orang direman dan seorang individu dibebaskan atas jaminan polis. Malah PDRM turut mengeluarkan kompaun kepada 57 individu kerana pelbagai kesalahan ingkar PKPB termasuk 17 kompaun membabitkan sekatan jalan raya.

     
     
  • PKPP: Jumlah penumpang dalam sebuah kenderaan kekal ikut SOP PKPB; mesti sekeluarga dan serumah

    PKPP: Jumlah penumpang dalam sebuah kenderaan kekal ikut SOP PKPB; mesti sekeluarga dan serumah

    Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan biarpun Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) telah bermula hari ini hingga 31 Ogos 2020, namun jumlah penumpang yang dibenarkan berada dalam sebuah kenderaan masih tertakluk kepada Prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

    “Sebelum ini (dalam tempoh PKPB), kita tetapkan empat orang, kemudian mengikut kapasiti kenderaan dan dari rumah yang sama. Dalam hal ini, SOP masih kekal sama. Jika ada perubahan kita akan umumkan nanti,” katanya pada sidang media PKPP di Putraja sebentar tadi.

    Tambahnya lagi, jika ada perubahan mengenai SOP itu, kerajaan akan membuat pengumuman mengenainya.

    Pada 27 Mei lalu, kerajaan telah memutuskan jumlah penumpang dalam kenderaan persendirian dibenarkan mengikut kapasiti tempat duduk di dalam kenderaan berkenaan. Walau bagaimana pun, selain daripada ahli keluarga, penumpang mestilah terdiri daripada orang yang tinggal serumah dengan pemandu.

    Di bawah peraturan baharu ini, jumlah penumpang di dalam sebuah kenderaan akan bergantung pada kapasiti kereta seperti yang termaktub dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333). Perkara tersebut juga telah diwartakan dalam Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.6)(Pindaan) 2020.

     
     
  • K’jaan hapus harga siling bahan api – tiada lagi harga maksimum RON 95 RM2.08 dan diesel RM2.18 seliter

    K’jaan hapus harga siling bahan api – tiada lagi harga maksimum RON 95 RM2.08 dan diesel RM2.18 seliter

    Kerajaan Persekutuan sudah membatalkan perintah harga siling terhadap minyak petrol dan diesel melalui Warta Kerajaan bertarikh 3 Jun lalu, lapor Harian Metro.

    Menerusi Warta Kerajaan berkenaan, Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Runcit Maksimum bagi Petrol dan Diesel) (No 8) (Pembatalan) 2020, mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) dibuat Pengawal Harga, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad pada 10 April lalu dengan kelulusan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi.

    Oleh itu, ia secara langsung membatalkan Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Runcit Maksimum bagi Petrol dan Diesel) (No 8) 2020 [PU (A) 64/2020]. Walau bagaimanapun, masih lagi tiada maklumat lain mengenai pembatalan itu dalam Warta Kerajaan tersebut bagi memperincikan langkah pembatalan berkenaan.

    Harga siling yang dibatalkan ini adalah penetapan yang telah dibuat oleh Menteri Kewangan Kerajaan Pakatan Harapan, Lim Guan Eng. Perintah yang dibuat pada Februari lalu tersebut menetapkan harga siling RON95 pada RM2.08 seliter berbanding RM2.20 seliter sebelum ini dan diesel pada harga RM2.18 seliter.

    Mesyuarat Jemaah Menteri ketika itu sebulat suara memutuskan harga siling berkenaan biarpun harga minyak dunia naik lebih daripada itu – bermaksud jika harga minyak dunia berada bawah paras itu, harga mingguan petrol RON95 akan berada bawah paras RM2.08.

    Buat masa sekarang, harga Petrol RON97 ditetapkan pada paras RM1.78 seliter, RM1.48 seliter bayi RON95 dan diesel pada paras RM1.63 seliter – harga ini efektif bermula 6 Jun lalu sehingga tengah malam 12 Jun ini.

     
     
  • Toyota RAV4 2020 – tempahan kini dibuka, dua varian enjin 2.5L dan 2.0L, harga RM224k dan RM204k

    Toyota RAV4 2020 – tempahan kini dibuka, dua varian enjin 2.5L dan 2.0L, harga RM224k dan RM204k

    Bermula dengan teaser, pendaftaran minat dan pendedahan tarikh pelancarannya (18 Jun), kini UMW Toyota Motor telah membuka tempahan untuk SUV RAV4 2020. Spesifikasi penuh masih belum didedah tetapi kita juga boleh melihat bayangannya melalui brosur yang sudah pun bocor di dalam internet.

    Menurut UMW Toyota Motor, RAV4 akan ditawarkan dalam dua varian iaitu yang menggunakan enjin 2.5L dan 2.0L, dengan harga masing-masing adalah RM223,880 dan RM203,880. Jika melihat kepada pasaran lain, enjin 2.5L Dynamic Force pada RAV4 mampu menghasilkan kuasa 202 hp dan 249 Nm tork manakala enjin 2.0L pula berkemampuan 169 hp dan 203 Nm.

    Harga yang disiarkan ini adalah harga sebelum pelarasan dibuat untuk mengambil kira pengecualian cukai yang telah diberikan kerajaan, dan harga baru akan diumumkan tidak lama lagi dengan jangkaan masing-masing menjadi RM215,70 dan RM196,500.

    Dalam siaran akhbar yang sama, UMW Toyota Motor turut menyatakan RAV4 didatangkan dengan pakej keselamatan Toyota Safety Sense yang merangkumi Sistem Pra-Perlanggaran, Amaran Penukaran Lorong dengan Bantuan Stereng, Bantuan Pengesanan Lorong, Kawalan Melayar Radar Dinamik untuk semua kelajuan serta Lampu Tinggi Automatik.

    Melalui brosur yang bocor pula, kita boleh mengetahui SUV ini turut akan dilengkapi dengan sistem seperti pemantauan titik buta dengan kepekaan trafik lintasan belakang, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), ABS, bantuan mula mendaki, penderia parkir hadapan dan belakang, sistem pemantauan tekanan tayar, tujuh beg udara, cagak Isofix dan sistem amaran tali pinggang keledar untuk tempat duduk hadapan.

    GALERI: Brosur Toyota RAV4 pasaran Malaysia yang bocor

    GALERI: Toyota RAV4 pasaran Singapura

    GALERI Toyota RAV4 pasaran Amerika Syarikat

     
     
  • Toyota RAV4 2020 – brosur untuk M’sia bocor; enjin Dynamic Force 2.0L dan 2.5L, Toyota Safety Sense

    Toyota RAV4 2020 – brosur untuk M’sia bocor; enjin <em>Dynamic Force</em> 2.0L dan 2.5L, <em>Toyota Safety Sense </em>

    Brosur mengenai Toyota RAV4 2020 telah pun bocor di Facebook, memberikan beberapa perincian mengenai SUV yang bakal dilancarkan di Malaysia pada 18 Jun ini. Walau bagaimana pun, harganya masih menjadi tanda tanya.

    Menerusi brosur berkenaan, RAV4 akan ditawarkan dengan dua varian pacuan roda-hadapan, kedua-duanya dengan padanan enjin Dynamic Force daripada Toyota sendiri. Model asas 2.0L menggunakan unit M20A-FKS 2.0 liter empat-silinder dengan kuasa 173 PS dan tork 207 Nm, dipadankan bersama CVT.

    Manakala varian tertinggi (atau yang paling mahal) 2.5L dijanakan oleh unit A25A-FKS 2.5 liter empat-silinder dengan kuasa 207 PS dan tork 243 Nm. Tidak seperti unit 2.0 liter, enjin 2.5 liter dipadankan dengan kotak gear Direct Shift automatik lapan-kelajuan. Kedua-dua varian juga didatangkan dengan tiga mod pemanduan (Normal, Eco dan Sport).

    Selain kapasiti enjin, kelengkapan yang didatangkan untuk varian 2.0L dan 2.5L agak serupa. Kedua-duanya dilengkapi roda aloi 18-inci, lampu utama LED automatik dengan lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, bilah pengelap cermin automatik, lampu kabus hadapan dan belakang serta tailgate kuasa dengan operasi bebas-tangan.

    Untuk bahagian dalamnya, senarai ciri yang ditampilkan termasuklah kluster instrumen Optitron dengan paparan pelbagai-inci tujuh-inci, kawalan suhu dwi-zon dengan corong belakang, upholstery kulit, tempat duduk pemandu larasan kuasa lapan-cara dengan fungsi memori, kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, perakam video digital hadapan dan belakang serta pengecas tanpa wayar.

    Untuk hiburan, ia disertakan dengan unit utama skrin sesentuh tujuh-inci yang turut menerima sokongan Android Auto dan Apple carPlay, serta sistem bunyi enam-pembesar suara. Saiz skrin bagi unit berkeaan sedikit kecil berbanding yang terdapat pada model Corolla, Fortuner dan Innova pasaran kita, dan ia ditempatkan di antara perumah besar, jadi membuatkan ia agak menyerlah.

    Kedua-dua varian juga didatangkan secara standard dengan Toyota Safety Sense bagi sistem bantuan pemandu dan keselamatan, ini merangkumi Sistem Pra-pelanggaran (PCS), Kepekaan Ketibaan Lorong dengan fungsi pembetulan stereng dan Bantuan Kesan Lorong (LTA), Kawalan Kelajuan Radar Dinamik untuk semua-kelajuan dan Lampu Tinggi Automatik (AHB).

    Lain-lain ciri termasuklah pemantauan titik buta dengan kepekaan trafik lintasan belakang, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), ABS, bantuan mula mendaki, penderia parkir hadapan dan belakang, sistem pemantauan tekanan tayar, tujuh beg udara (hadapan, sisi, tirai dan lutut pemandu), cagak Isofix dan sistem amaran tali pinggang keledar untuk tempat duduk hadapan.

    Toyota RAV4 2020 – brosur untuk M’sia bocor; enjin <em>Dynamic Force</em> 2.0L dan 2.5L, <em>Toyota Safety Sense </em>

    UMW Toyota Motor juga memberikan Sistem Telematik kenderaan (VTS) yang membolehkan pemilik untuk memeriksa lokasi real-time kenderaan masing-masing menerusi aplikasi mobil, seperti mana yang terdapat pada Corolla, dan ini memerlukan pemandu untuk melanggan perkhidmatan tersebut.

    RAV4 2020 ini diberikan enam pilihan warna termasuk Dark Blue Mica, Red Mica, White Pearl Crystal Shine, Silver Metallic, Grey Metallic dan Attitude Black. Ia turut didatangkan dengan waranti lima-tahun/perbatuan tanpa had secara standard untuk setiap pembelian.

    Berkenaan dengan harganya, kena nantikan pelancarannya dalam tempoh beberapa hari lagi. Tapi segala ciri kelengkapan yang didatangkan macam menarik saja bukan?

     
     
  • MIROS nasihati pengguna jalan raya yang rentas negeri bersabar dan berhemah ketika memandu

    MIROS nasihati pengguna jalan raya yang rentas negeri bersabar dan berhemah ketika memandu

    Hari ini, 10 Jun 2020, bermulalah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berlangsung sehingga 31 Ogos ini. Banyak kelonggaran pergerakan telah dibenarkan termasuklah merentas negeri. Pastinya ramai yang mengambil kesempatan ini untuk pulang ke kampung halaman selepas lama tidak bertemu dengan keluarga tercinta.

    Bagi mereka yang melakukan perjalanan merentas negeri, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menasihatkan agar bersabar dan memandu secara berhemah bagi mengelakkan tekanan sepanjang berada di jalan raya.

    Menurut Ketua Pengarahnya, Dr Khairil Anwar Abu Kassim, pihaknya menjangkakan rakyat akan berpusu-pusu memandu merentas negeri susulan pelaksanaan PKPP. Walau bagaimana pun, keadaan itu dibimbangi memberi tekanan kepada pemandu akibat memandu dalam kesesakan lalu lintas.

    MIROS nasihati pengguna jalan raya yang rentas negeri bersabar dan berhemah ketika memandu

    “Oleh itu, pemandu diingatkan untuk peka dan mempraktikkan cara pemanduan yang selamat dan juga memastikan langkah persediaan sebelum memulakan perjalanan jauh. Patuhi had laju dan jangan lupa untuk sentiasa pakai tali pinggang keselamatan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Tambahnya lagi, MIROS turut meramalkan bilangan kemalangan jalan raya akan meningkat apabila aktiviti merentas negeri dibenarkan secara menyeluruh dan tanpa sekatan berbanding tempoh PKP sebelum ini.

    Katanya, ini kerana bilangan kenderaan di atas jalan raya dijangka akan meningkat secara mendadak untuk balik kampung dan pulang beraya memandangkan Syawal belum berakhir sehingga 22 Jun nanti.

    “Sehubungan itu, MIROS mencadangkan beberapa langkah yang dapat dilakukan untuk mengelakkan berlakunya kemalangan jalan raya antaranya pemandu utama perlu mendapatkan rehat yang mencukupi sebelum melakukan perjalanan jauh.

    MIROS nasihati pengguna jalan raya yang rentas negeri bersabar dan berhemah ketika memandu

    “Perjalanan pada waktu malam amat tidak digalakkan memandangkan badan kita tidak dilatih untuk memandu pada masa itu. Dikhuatiri pemandu akan rasa mengantuk dan lebih senang untuk terlelap ketika memandu dan gejala ‘microsleep’ ini sering kali menyumbang kepada kemalangan jalan raya,” katanya.

    Beliau berkata, kebanyakan pengguna jalan raya di negara ini juga gemar menggunakan motosikal sebagai kenderaan alternatif bagi mengelak daripada kesesakan lalu lintas, sekali gus mengurangkan penggunaan masa di atas jalan raya.

    Bagaimanapun katanya, penunggang motosikal lebih terdedah kepada bahaya berbanding pengguna kenderaan yang lain.

    MIROS nasihati pengguna jalan raya yang rentas negeri bersabar dan berhemah ketika memandu

    “Justeru, pemakaian yang bersesuaian seperti vest pemantul cahaya ketika menunggang motosikal wajib dipakai untuk memastikan mereka dapat dilihat pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

    Sementara itu beliau berkata, berdasarkan analisis MIROS terhadap data kemalangan jalan raya sepanjang tiga fasa PKP oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati bilangan kematian akibat kemalangan jalan raya menunjukkan penurunan daripada purata pada hari biasa iaitu 17 kes kematian kepada lima kes sepanjang PKP.

    Beliau berkata, daripada jumlah itu, 73% kematian akibat kemalangan jalan raya membabitkan penunggang motosikal dan 95% kemalangan berlaku di jalan persekutuan, jalan bandaran dan jalan luar bandar.

     
     
  • Pengecualian SST 2020: Senarai penuh harga kenderaan Perodua – lebih murah sehingga RM4.7k

    Pengecualian SST 2020: Senarai penuh harga kenderaan Perodua – lebih murah sehingga RM4.7k

    Dalam usaha untuk merancakkan semula ekonomi selepas PKP, kerajaan telah melancarkan pelan stimulus PENJANA dan untuk industri automotif, pengecualian cukai jualan sebanyak 100% diberi untuk kenderaan pemasangan tempatan (CKD) manakala untuk kenderaan CBU adalah sebanyak 50%, bagi tempoh 15 Jun hingga 31 Disember 2020.

    Sejak daripada pengumuman itu, orang ramai tertanya berapakah perbezaan harga sebenar kenderaan dalam pasaran, dan ramai yang masih tidak faham bagaimana pengecualian cukai ini memberi kesan. Di sini, kami tunjukkan antara senarai harga awal yang telah kami terima, iaitu dari Perodua.

    Model paling murah yang dijual oleh Perodua sekarang iaitu Axia 1.0 E (MT) kini dijual pada harga RM23,367 dan ini bersamaan dengan beza sebanyak 3.0% atau RM723 berbanding harga sebelum ini RM24,090. Varian Axia paling tinggi, iaitu Axia 1.0 Advance (AT) kini dijual pada harga RM41,427 ataupun lebih murah RM1,763.

    Pengecualian SST 2020: Senarai penuh harga kenderaan Perodua – lebih murah sehingga RM4.7k

    Melihat pula kepada model paling popular, iaitu Myvi, varian paling murah Myvi 1.3 G (MT) kini dijual pada harga RM41,292 (lebih murah RM1,498 atau 3.5%) manakala varian paling tinggi, Myvi 1.5 Advance (AT) dijual pada harga RM52,197 yang bersamaan dengan penurunan RM1,893 atau 3.5%.

    Semakin tinggi harga asal kenderaan itu, semakin banyak penjimatan yang akan diterima, dan bagi Perodua, pengurangan harga paling besar adalah untuk varian tertinggi Aruz iaitu 1.5 Advance (AT), yang kini dijual pada harga RM73,226 ataupun bersamaan penurunan RM4,674 atau 6.0%.

    Harga dengan pengecualian cukai ini akan diguna pakai secara rasmi bermula 15 Jun mengikut saranan kerajaan tetapi Perodua telah mengumumkan pelanggan yang membeli sebelum tempoh itu juga boleh menikmati penjimatan sama, tetapi ditimbang balik dengan pemberian rebat tunai.

     
     
  • Toyota Hilux, Fortuner 2020 dengan aksesori asli

    Toyota Hilux, Fortuner 2020 dengan aksesori asli

    Toyota Hilux dan Fortuner di pasaran Thailand telah dipertingkat untuk tahun 2020 dan selepas beberapa hari model ini didedahkan, sekarang Toyota menunjukkan pula senarai aksesori asli yang bakal dijual untuk pemilik menghias kenderaan mereka.

    Hilux, yang dipanggil sebagai Hilux Revo di negara itu ditawarkan dalam empat varian iaitu B-Cab, Z Edition, Prerunner dan Rocco. Aksesori untuk setiap varian adalah berbeza dan bagi B-Cab yang merupakan varian permulaan, ia ditawarkan dengan pakej Z-Edition yang terdiri daripada gril lebih krom gelap, kemasan lampu kabus LED krom, serta pemegang pintu, bahagian dalam lampu serta penghadang tingkap krom.

    Semua aksesori yang dinyatakan tadi juga ditawarkan pada varian Revo Z Edition, tetapi ia ditambah dengan kemasan bawah pintu, pelekat pada penutup tangki minyak, bampar belakang besi, kemasan lampu belakang krom, penghadang lumpur dan cermin sisi pandangan luas untuk membantu melihat titik buta.

    Varian Hilux Revo yang lebih tinggi mendapat senarai aksesori yang hampir sama seperti dua varian tadi, cuma kemasannya berbeza, menggunakan warna perak seperti pada bahagian bawah pintu, lengkung roda, skid plate serta pelindung tepi pintu. Ia juga datang dengan pengesan undur binaan dalam pada bampar besi (model PreRunner dan 4×4 sahaja), pilihan rim 17 inci, penutup tayar simpanan, kemasan krom lampu belakang serta sports bar besi.

    Untuk bahagian kabin, varian PreRunner, 4×4 dan Rocco boleh dinaik taraf dengan kemasan kayu, soket pengecas USB, tapak pengecas tanpa wayar, lampu LED biru di bahagian kaki, cermin pandang belakang yang menggunakan kamera serta perakam video hadapan dan belakang.

    Toyota Hilux, Fortuner 2020 dengan aksesori asli

    Pergi pula kepada Fortuner, ia mendapat skid plate warna perak, kemasan lampu kabus hitam atau perak, tulisan Fortuner warna hitam atas bonet, pelekat anti calar pada pemegang pintu dan tailgate, kemasan bawah pintu dengan pelekat TRD, cermin sisi pandangan luas serta kemasan krom pada muncung ekzos dan lampu belakang.

    Pelanggan juga boleh menambah ciri buka tailgate tanpa sentuhan, menggunakan pengesan pergerakan di bahagian bawah kenderaan manakala untuk bahagian dalam, aksesori yang disediakan adalah sama seperti Hilux Revo.

    GALERI: Aksesori asli Toyota Hilux Revo 2020

    GALERI: Toyota Hilux Revo Rocco 2020 pasaran Thailand

    GALERI: Aksesori asli Toyota Fortuner 2020

    GALERI: Toyota Fortuner facelift 2020 pasaran Thailand

     
     
  • Perodua umum turun harga kenderaan antara 3-6%

    Perodua umum turun harga kenderaan antara 3-6%

    Susulan tempoh pengurangan cukai bermula 15 Jun seperti mana yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini, Perodua telah memaklumkan pihaknya akan menurunkan harga kesemua modelnya (harga atas jalan tanpa insurans) antara 3% hingga 6%. Ia adalah menerus rebat tunai sehingga 14 Jun ini dan akan mengekalkan harga baharu tersebut sepanjang tempoh pengurangan cukai sehingga hujung tahun ini.

    “Walaupun tempoh pengurangan cukai bermula 15 Jun 2020, Perodua akan memberikan rebat tunai antara 3% hingga 6% bagi pembelian kenderaan kami bermula hari ini.

    “Kami ingin membolehkan orang ramai mengambil kesempatan ini untuk memiliki kenderaan Perodua tanpa berasa ketinggalan. Sila kunjungi mana-mana pusat jualan Perodua dan bercakap dengan penasihat jualan kami yang sah untuk mengetahui amaun rebat tunai yang ditawarkan serta senarai harga penuh yang akan berkuatkuasa 15 Jun,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

    Ketika ini, barisan model semasa Perodua merangkumi Myvi, Axia, Bezza, Aruz dan Alza.

    Perodua umum turun harga kenderaan antara 3-6%

    Tambah Zainal lagi, “Perodua menyokong penuh langkah kerajaan untuk memberikan pengecualian cukai jualan sepenuhnya bagi pembelian kenderaan CKD sehingga akhir tahun ini dalam usaha memulih dan menaikkan ekonomi domestik.

    “Pengecualian penuh cukai jualan bagi kenderaan CKD meyakinkan industri automotif – bukan sahaja pelanggan tetapi keseluruhan ekosistem yang terdiri daripada pengeluar, pembekal dan pengedar. Seiring dengan kadar pinjaman yang rendah pada waktu ini, kami optimis langkah ini dapat mendorong penjualan kenderaan baharu.”

    Bagi lima bulan pertama tahun 2020, Perodua telah berjaya menjual sebanyak 52,920 unit kenderaan, sekaligus menguasai 41% pasaran berbanding TIV yang dianggarkan sebanyak 129,401 unit setakat tahun ini (YTD).

    Perodua umum turun harga kenderaan antara 3-6%

    Dengan kandungan tempatan melebihi 90% bagi seluruh barisan modelnya, Perodua telah membelanjakan RM5.4 bilion tahun lepas untuk membeli komponen daripada pembekal tempatan.

    “Sebagai pengeluar kenderaan terbesar di Malaysia dari segi jumlah, kami ingin menyatakan semula komitmen kami kepada kerajaan untuk membantu industri menempuhi fasa yang sukar ini,” kata Dato’ Zainal.

    Ketika memperkenalkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (#PENJANA) pada 5 Jun lalu, Perdana Menteri turut mengumumkan, model-model kenderaan CKD akan dikecualikan 100% bagi cukai jualan, manakala model-model CBU pula ditolak sebanyak 50% bermula 15 Jun ini sehingga penghujung Disember 2020.

    Untuk lebih perincian lebih jelas bagaimana harga kereta turun menerusi insentif ini, baca kupasan kami menerusi PAUTAN INI.

     
     
  • Toyota RAV4 2020 dilancarkan di Malaysia pada 18 Jun – enjin 2.5L Dynamic Force, Toyota Safety Sense

    Toyota RAV4 2020 dilancarkan di Malaysia pada 18 Jun – enjin 2.5L<em> Dynamic Force, Toyota Safety Sense</em>

    Toyota RAV4 generasi kelima bakal dilancarkan di Malaysia pada 18 Jun ini, berdasarkan video yang dimuat naik menerusi laman media sosial UMW Toyota Motor (UMWT). Walau bagaimana pun, perincian penuh termasuk harganya masih belum diketahui, namun menerusi klip video ini, kita boleh mengagak beberapa ciri yang akan ditampilkan.

    Menerusi muat naik dalam Instagram pula, kelihatan SUV ini didatangkan dengan penderia radar hadapan untuk Toyota Safety Sense bagi sistem bantuan pemandu dan keselamatan. Buat masa ini sejauh mana kelengkapan terbabit akan disertakan masih belum diketahui, namun pemantauan titik buta akan dimasukkan sekali (seperti yang kelihatan menerusi cermin sisi) dan dijangka brek kecemasan sendiri juga akan ditampil.

    Untuk dalamannya, RAV4 ini juga menampilkan unit utama yang agak besar pada papan pemuka, dengan sistemnya yang mungkin diambil daripada beberapa model sedia ada.

    Malah teaser lain turut menunjukkan RAV4 untuk pasaran kita akan dikuasakan oleh enjin Toyota Dynamic Force, terutamanya untuk unit yang lebih besar A25A-FKS 2.5 liter walau pun angka prestasinya tidak diberitahu – tapi kalau diikutkan di pasaran lain, enjin ini mampu menghamburkan kuasa pada 205 PS (202 hp) dan tork 249 Nm. Selain itu, SUV ini ditawarkan dengan enjin yang lebih kecil iaitu unit M20A-FKS 2.0 liter empat-silinder dengan kuasa 171 PS (169 hp) dan 203 Nm, tetapi nampak gayanya bukan untuk pasaran kita.

    RAV4 juga didatangkan dengan enjin hibrid dan plug-in hybrid, kedua-duanya dengan unit A25A-FKS, dengan kuasa 222 PS (219 hp) dan 297 Nm bagi hibrid, dan model PHEV pula bersama gabungan kuasa (termasuk motor elektrik) sehingga 302 PS (302 hp).

    RAV4 ini dibangunkan dengan platform Toyota New Global Architecture (TNGA), khusus untuk versi GA-K yang juga digunakan bagi model terkini Harrier. Kini SUV ini menjadi pesaing bagi Honda CR-V dan Mazda CX-5, dengan harga yang ditawarkan masing-masing bermula RM151,100 dan RM137,269.20.

    Di Malaysia, pesaing terhampir bagi RAV4 buat masa ini ialah C-HR (RM150,000). Adakah harga yang bakal ditetapkan untuk RAV4 lebih tinggi berbanding itu? Jawapannya akan diketahui pada majlis pelancarannya.

    GALERI: Toyota RAV4 generasi kelima di Singapore Motor Show 2019

     
     
  • Kes pemandu mabuk: Tiada paras selamat bagi kandungan alkohol dalam darah – laporan Bernama

    Kes pemandu mabuk: Tiada paras selamat bagi kandungan alkohol dalam darah – laporan Bernama

    Sikap segelintir pemandu yang enggan mematuhi undang-undang lalu lintas termasuk berani memandu di bawah pengaruh alkohol amat menggusarkan. Bagaikan ‘kebal’ dengan tindakan undang-undang, malah mungkin ada yang tidak gentar dengan hukuman sedia ada.

    Mengikut undang-undang sedia ada, individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

    Manakala bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 dan penjara maksimum 10 tahun.

    Akhir Mei lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengarahkan Kementerian Pengangkutan merangka pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap individu yang disabitkan dengan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah. Difahamkan pindaan akta berkenaan akan dibahaskan di Dewan Parlimen pada bulan ini.

    Kes pemandu mabuk: Tiada paras selamat bagi kandungan alkohol dalam darah – laporan Bernama

    Hari ini, Bernama melaporkan, pertambahan kes yang melibatkan pemandu mabuk dilihat mendadak untuk lima bulan pertama tahun ini dengan 21 kes termasuk sembilan kematian. Ternyata ia bukanlah satu angka yang sedikit, jumlahnya hampir menyamai 23 kes keseluruhan pemandu mabuk sepanjang 2019, sehingga mencetuskan kebimbangan banyak pihak.

    Menurut kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), bagi pemandu mabuk, tahap risikonya amat tinggi dengan 13 kali ganda boleh menyebabkan kemalangan berbanding mereka yang tidak berada di bawah pengaruh alkohol

    Malah agensi berita kebangsaan ini turut meminta padangan daripada Pengarah Pusat Pengajian Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS) Dr Rusdi Abd Rashid yang berkata tidak ada paras selamat bagi kandungan alkohol dalam darah apabila melibatkan risiko kesihatan.

    Menurutnya lagi, paras kandungan alkohol dalam darah (BAC) serendah 0.02 peratus sudah menunjukkan kesan kepada individu yang mengambil minuman itu. Antaranya penglihatan menjadi kabur, dan sekiranya pada paras BAC 0.05 ia boleh menyebabkan pertimbangan akan terganggu dan kadar tindak balas menurun.

    “Pada paras BAC 0.08, ia akan menyebabkan ketidakupayaan mengawal had laju, koordinasi otot terganggu dan hilang tumpuan manakala paras BAC 0.10 menyebabkan suara mula tidak jelas dan ketidakupayaan memproses informasi.

    Kes pemandu mabuk: Tiada paras selamat bagi kandungan alkohol dalam darah – laporan Bernama

    “Pada tahap BAC 0.15 ia akan menyebabkan kehilangan kawalan sepenuhnya termasuk kelumpuhan (paralysis) otot, hilang deria pendengaran dan penglihatan,” katanya sambil menambah mereka yang berada di bawah pengaruh alkohol tidak berkemampuan untuk mengendalikan kenderaan.

    Selain itu, mereka yang berada di bawah pengaruh alkohol ini juga hilang kawalan pergerakan fizikal, gangguan deria penglihatan dan pendengaran selain ketidakupayaan dalam membuat keputusan. Bahkan kadar rasional dan tindak balas mereka agak lambat yang boleh menyebabkan mereka terlibat dalam nahas jalan raya, perlakuan ganas dan kecederaan.

    Dr Rusdi turut menjelaskan individu di bawah pengaruh alkohol sebenarnya tidak layak atau cergas untuk memandu kerana gejala-gejala itu, dan seharusnya mereka tidak dibenarkan memandu langsung ketika di bawah pengaruh alkohol, walaupun belum lagi mabuk.

    “Mereka boleh dikatakan tidak siuman dan seharusnya perlu balik menaiki teksi atau tidak dibenarkan pulang langsung sehingga ada keluarga yang datang mengambil. Tahap bawah sedar mereka adalah sama seperti dadah jenis CNS depressant seperti Barbiturate (ubat bius) dan nitrazepam yang merupakan ubat tidur,” katanya.

    Kes pemandu mabuk: Tiada paras selamat bagi kandungan alkohol dalam darah – laporan Bernama

    Sekadar gambar hiasan

    Jelasnya, apabila individu itu mabuk yang menyebabkan berada dalam keadaan bawah sedar, mereka boleh melakukan pelbagai perlakuan jenayah seperti membunuh, sumbang mahram, penderaan kepada isteri dan anak-anak.

    Pada masa ini, paras BAC yang diguna pakai di negara ini adalah 0.08. Banyak negara di dunia menurunkan paras BAC kepada 0.05, antaranya Hungary, Romania dan Republik Czech. Brazil perkenalkan peraturan pemanduan mabuk pada 1998 pada kadar BAC 0.06, yang diperketatkan kepada 0.02 pada tahun 2008, dan kesannya angka kematian menurun sebanyak 16 peratus di Sao Paulo.

    Dr Rusdi berkata undang-undang yang ada di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 sudah memadai namun pelaksanaan undang-undang itu agak kurang dilaksanakan. Pemeriksaan ujian pernafasan alkohol, contohnya, agak kurang dilakukan di Malaysia, katanya.

    “Saya diberitahu kalau di negara barat hampir setiap bulan pemandu kena ujian pernafasan alkohol. Aspek yang boleh dipertingkatkan di Malaysia ialah aspek pendidikan masyarakat mengenai bahaya alkohol terutama mereka yang berisiko tinggi untuk minum alkohol,” katanya.

     
     
  • GALERI: Porsche 911 Speedster 991 – RM2.17 juta

    GALERI: Porsche 911 Speedster 991 – RM2.17 juta

    Minggu lepas Sime Darby Auto Performance (SDAP) telah melancarkan Porsche 911 Speedster 991 atas talian, untuk pasaran Malaysia. Kini, model tersebut telah tiba di pusat pameran dan kami bawakan kepada anda galeri penuhnya.

    Tanpa sebarang barangan tambahan, 911 GT3 tanpa bumbung ini dijual pada harga RM2.7 juta, dan mencatatkan perbezaan sekitar RM1 juta jika dibandingkan dengan GT3 bumbung biasa. Bukan sekadar beza pada bumbung, ada juga beberapa bahagian lain yang diubah.

    Sebagai contoh, pada bahagian belakang, tiada lagi spoiler seperti GT3 hardtop, dan digantikan dengan spoiler aktif yang lebih kecil seperti GT3 Touring serta dua gelembung yang menyimpan bumbung fabrik manual di bawahnya.

    GALERI: Porsche 911 Speedster 991 – RM2.17 juta

    Masuk ke dalam, anda akan melihat tempat duduk bucket gentian karbon yang dibalut dengan kulit berwarna hitam, serta panel pintu serba ringan yang menggunakan penarik pintu fabrik ruang simpanan barang berjaring. Di antara dua tempat duduk itu terdapat satu lencana tanda sambutan ulang tahun ke-70 Porsche.

    Unit yang anda lihat dalam galeri ini dipasang dengan pakej Heritage Edition, menyerupai model konsep asal yang didedahkan pada tahun 2018. Ia menggunakan warna Silver Metallic GT, dengan bampar warna putih dan jalur yang bersambung hingga atas fender.

    Di atas bonet hadapan dan tepi pintunya terdapat pelekat inspirasi perlumbaan, dan pemilik boleh memilih nombor yang mereka mahukan. Kemudiannya unit ini menggunakan tempat duduk dibalut kulit Cognac, lencana warna emas serta logo Porsche gaya 50-an.

    GALERI: Porsche 911 Speedster 991 – RM2.17 juta

    Di sebalik badannya, kereta ini dikuasakan oleh enjin NA enam silinder 4.0 liter yang boleh dipaksa hingga 9,000 rpm dan dipasang dengan throttle body jenis berasing. Secara keseluruhan, ia boleh menghasilkan 510 PS pada 8,400 rpm dan 470 Nm tork pada 6,250 rpm – 10 PS lebih berbanding GT3 biasa.

    Ia juga adalah sebuah model yang khas untuk pemandu tegar, di mana satu-satunya transmisi yang disediakan adalah jenis manual enam kelajuan (bukannya PDK). Melalui tetapan ini, ia boleh mencatat masa 0-100 km/j dalam masa empat saat dan mencecah kelajuan maksimum 310 km/j.

    Casis adalah sama seperti GT3, dengan kedudukan 25 mm lebih rendah, suspensi Porsche Active Suspension Management (PASM) talaan sports, Porsche Torque Vectoring (PTV), rear-axle steering, tapak enjin dinamik serta brek seramik karbon.

    Turut membantu menjadikan kereta ini lebih aerodinamik dan ringan adalah penggunaan bahagian-bahagian gentian karbon seperti bonet, sayap hadapan serta cowl belakang. Menurut Porsche, cowl belakang ini adalah panel yang paling kompleks pernah mereka hasilkan untuk kereta produksi kerana ia menggunakan gentian karbon satu unit tanpa sambungan.

    Menambahkan lagi ciri ekslusiviti, anda juga boleh mendapatkan jam Porsche Design yang mempunyai rekaan sama seperti kereta ini. Jam Chronograph 911 Speedster dan Chronograph 911 Speedster Heritage Edition ini adalah jam jenis chronometer dengan bahagian belakang titanium, badan karbon dan tali kuilt Porsche.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025