Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Pindaan hukuman lebih berat kepada pemandu mabuk sudah dibentang kepada Menteri Pengangkutan

    Kes kemalangan maut yang disebabkan pemandu mabuk bukan isu retorik politik seperti yang dianggap sesetengah pihak. Perkara ini benar-benar sedang parah dan pemandu mabuk seakan torpedo yang ditembak membabi buta yang akan mengorbankan pengguna jalan raya lain yang tidak bersalah, tidak mengira siapapun anda.

    Mengikut rekod dari Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sendiri, dari Januari hingga Mei tahun ini sahaja (walaupun sekitar dua bulan rakyat Malaysia ‘dikurung’ tidak boleh keluar malam kerana Perintah Kawalan Pergerakan), sebanyak sembilan kes kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk ini telah dilaporkan.

    Justeru, kerajaan perlu segera menangani perbuatan mereka yang langsung tidak bertanggungjawab ini. Pihak yang kita harapkan iaitu Kementerian Pengangkutan (MoT) nampak sudah memulakan langkah mereka – selepas menjalankan kaji selidik untuk mengumpul pendapat dari orang awam bulan lalu, semalam satu mensyuarat khas bersama agensi-agensi di bawah MoT telah pun berlangsung.

    Menurut Menteri Pengangkutan, Dr. Wee Ka Siong, mensyuarat pada 1 Jun berkenaan adalah untuk membincangkan secara terperinci mengenai cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), khususnya mengenai pemanduan di bawah pengaruh alkohol/dadah/merbahaya.

    Pindaan hukuman lebih berat kepada pemandu mabuk sudah dibentang kepada Menteri Pengangkutan

    “Pindaan kepada Seksyen 41 hingga Seksyen 45 Akta 333 ini dalam proses untuk dimuktamadkan sebelum dibentangkan kepada Kabinet dan seterusnya dapat dibawa ke Parlimen untuk kelulusan. Ini adalah semata-mata demi kepentingan serta kebaikan rakyat dan negara secara menyeluruh.

    “Sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa isu ini amat serius bagi Kementerian Pengangkutan. Apa yang saya boleh katakan buat masa sekarang, hukuman lebih berat akan dikenakan kepada mereka yang disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 41 hingga Seksyen 45 Akta 333,” jelasnya dalam satu hantaran pada laman facebook rasmi beliau.

    Dr. Wee turut memberitahu, sebagai langkah untuk mencegah perkara ini bukan sahaja hukuman lebih berat akan diberikan kepada mereka yang telah ditangkap selepas terlibat dalam kemalangan, malah MoT turut menfokuskan kepada pindaan akta dari segi mengenakan hukuman yang lebih berat dan mengetatkan paras nilai ambang pengaruh alkohol dalam darah/pernafasan/air kencing, serta terhadap kependidikan iaitu memberi kesedaran awam mengenai betapa pentingnya menjadi pemandu yang bertanggungjawab.

    Beliau menegaskan bahawa usaha ini memerlukan peranan semua pihak agar masyarakat kita dapat dididik sedari usia kecil mengenai keselamatan jalan raya.

    “Saya ingin ingatkan kepada pengguna jalan raya supaya jadilah pemandu bertanggungjawab dengan tidak memandu dalam keadaan dipengaruhi alkohol atau dadah atau memandu secara merbahaya. Janganlah menggadaikan keselamatan serta nyawa diri sendiri, keluarga dan pengguna jalan raya yang lain,” tambahnya.

    Pindaan hukuman lebih berat kepada pemandu mabuk sudah dibentang kepada Menteri Pengangkutan

    Menerusi kenyataan yang dibuat minggu lalu, menteri berkenaan mengatakan bahawa pindaan untuk hukuman lebih berat terhadap mereka yang melakukan kesalahan tersebut perlu disegerakan dan mestilah dimuktamadkan pada pertengahan bulan ini.

    Dalam perkembangan berkaitan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Takiyuddin Bin Haji Hassan dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan minggu lalu, langkah segera yang akan diambil ialah memastikan cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang dimuktamadkan oleh Kementerian Pengangkutan dibawa ke persidangan Parlimen terdekat.

    Beliau juga berkata, sebagai langkah pencegahan (deterrent), pihak kerajaan akan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara supaya kes yang melibatkan kematian angkara pemandu mabuk turut disiasat dan dituduh mengikut Kanun Keseksaan, termasuk Seksyen 302, iaitu menyebabkan kematian dengan sengaja ataupun Seksyen 307, iaitu cubaan membunuh dengan niat.

    Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tempoh hari turut senada dengan perkara berkenaan dan telah mengarahkan Kementerian Pengangkutan merangka pindaan akta berkenaan secepat yang mungkin.

     
     
  • Porsche 911 Targa 4S Heritage Design Edition didedah – model edisi terhad dengan bumbung & ciri ikonik

    Porsche 911 Targa 4S Heritage Design Edition didedah – model edisi terhad dengan bumbung & ciri ikonik

    Pengenalan Porsche 911 Targa 4S untuk model generasi baharu 992 pada bulan lalu sebenarnya sudah cukup untuk mengimbau rekaan ikonik pengeluar kereta sport dari Jerman ini. Namun tidak cukup dengan itu, Porsche kini memperkenalkan pula model edisi terhad yang digelar 911 Targa 4 Heritage Design Edition bagi memperingati lagi rekaan-rekaan warisan jenama berkenaan.

    Model istimewa ini hanya dihasilkan sebanyak 992 unit di seluruh dunia. Dihasilkan oleh Porsche Exclusive Manufaktur, ia tampil dengan rekaan bersejarah Porsche pada bahagian luaran dan dalaman dengan mengambil inspirasi dari model-model ikonik dari era 1950’an dan awal 1960’an.

    Rekaan ‘Targa Top’ – iaitu rekaan bumbung boleh buka tetapi masih mengekalkan tiang-B keras – yang begitu sinonim dengan Porsche 911 dikekalkan pada versi ini. Lima warna badan ditawarkan dan warna Cherry Metallic tampil sebagai warna hero.

    Porsche 911 Targa 4S Heritage Design Edition didedah – model edisi terhad dengan bumbung & ciri ikonik

    Kemudian ia diberikan princian-perincian untuk memperingati model-model klasik Porsche seperti emblem dan logo berwarna emas seperti model-model era 50’an, serta rim 20/21-inci Carrera Exclusive Design yang diilhamkan dari rim Fuchs Porsche Turbo klasik.

    Model istimewa ini juga diberikan grafik badan seperti livery perlumbaan Porsche ketika zaman awal mereka berlumba, serta lencana Porsche Heritage pada ruang kargo seperti lencana yang dianugerahkan kepada model klasik Porsche 356 apabila ia mencecah perbatuan 100,000 km.

    Dalam kabin pula model istimewa ini hadir dengan warna dua tona sama ada dengan kulit Bordeaux Red atau hitam digandingkan dengan kulit OLEA club berwarna Atacama Beige. Fabrik Corduroy turut digunakan pada tempat duduk dan kemasan pintu yang bukan sahaja memberikan suasana era 50’an, tetapi juga sebagai ‘meniru’ material yang digunakan pada Porsche 356.

    Porsche 911 Targa 4S Heritage Design Edition didedah – model edisi terhad dengan bumbung & ciri ikonik

    Walaupun panel instrumen kekal moden dengan penggunaan teknologi digital sepenuhnya, ia tetap diberikan perisa klasik pada rekaan grafiknya, dibantu dengan jam randik yang menyala dengan cahaya hijau. Nombor unik berlainan untuk setiap unik diletakkan pada kemasan papan pemuka model ini.

    Model edisi terhad ini juga diberikan emblem ‘Porsche Crest’ klasik yang diperkenalkan pada tahun 1963. Ia boleh ditemui ditekap pada perehat kepala tempat duduk dan sarung kunci, serta pada bonet, penutup tengah rim, roda stereng dan juga pada kunci.

    Tiada perubahan mekanikal diberikan di mana model Heritage Design Edition ini kekal digerakkan penjana sama dengan Targa 4S, iaitu enjin boxer enam-silinder 3.0 liter berkuasa 450 PS dan tork maksima 530 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik PDK lapan-kelajuan, dan kuasa diagihkan ke kesemua roda. Dengan sistem launch control, kereta ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 3.6 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 304 km/j.

    Porsche turut memperkenalkan jam tangan 911 Targa 4S Heritage Design Edition Chronograph yang dihasilkan khas untuk pemilik-pemilik Targa 4S Heritage Design Edition ini.

    Di Amerika Syarikat, Porsche 911 Targa 4S Heritage Design Edition dijual pada harga bermula US$180,600 (RM776,724), dan ia dijangka akan mula dihantar kepada pelanggan pada lewat tahun ini. Nak sekali dengan jam? Anda perlu menambah lagi bayaran sebanyak US$14,000 (RM60,211) untuk mendapatkannya.

     
     
  • PKPB: Pekerja yang berulang-alik antara Pulau Pinang-Kedah tidak perlu permit rentas negeri

    PKPB: Pekerja yang berulang-alik antara Pulau Pinang-Kedah tidak perlu permit rentas negeri

    Bagi pekerja yang berulang alik di antara Kedah dan Pulau Pinang, tidak perlu risau untuk mendapatkan surat kebenaran Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi melakukan perjalanan rentas negeri.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor telah mengesahkan pekerja terbabit hanya perlu menunjukkan pas kerja dan surat majikan jika diperiksa polis di sekatan jalan raya yang terdapat di sempadan negeri.

    Kenyataan ini dikeluarkan selepas ada mesej tular di media sosial yang mendakwa pekerja berulang alik antara Kedah dan Pulau Pinang perlu mendapatkan surat kebenaran daripada polis bagi melakukan perjalanan rentas negeri.

    PKPB: Pekerja yang berulang-alik antara Pulau Pinang-Kedah tidak perlu permit rentas negeri

    “Sejak semalam, tular isu perlu dapatkan surat kebenaran daripada PDRM jika mahu melakukan rentas negeri bagi kategori bekerja malah ada pengguna laman sosial mendakwa mereka telah diarah patah balik oleh polis di sekatan jalan raya kerana tiada surat kebenaran.

    “Jadi, saya nak jelaskan tidak perlu surat kebenaran daripada PDRM untuk rentas negeri, memadai mereka hanya tunjuk pas pekerja dan surat majikan. Cuma bagi rentas negeri untuk pulang ke kampung atau kes kecemasan atau kematian perlu dapatkan surat kebenaran dari ketua balai polis terdekat,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Beliau turut menambah, ketika ini terdapat tiga sekatan jalan raya di sempadan Pulau Pinang dan Kedah iaitu di Kampung Jambatan Merdeka, Pinang Tunggal dan Permatang Bendahari.

    “Menerusi mesej yang tular itu, mereka turut mendakwa diarah berpatah balik oleh polis di sekatan jalan raya di Plaza Tol Sungai Dua menghala selatan, sedangkan tiada sekatan jalan raya di situ,” katanya.

     
     
  • Lexus IS 2021 generasi keempat bakal muncul 9 Jun

    Lexus IS 2021 generasi keempat bakal muncul 9 Jun

    Lexus IS generasi ketiga yang ada ketika ini – masih tampil menarik dengan rekaan tajam – sebenarnya sudah berada dalam pasaran sejak 2013 lagi, dengan sekali facelift pada 2016. Kini, selepas tujuh tahun, generasi terbaru model akhirnya akan diperkenalkan tak lama lagi.

    Walaupun pengenalannya agak terlewat berbanding pesaing-pesaing lain, calon daripada pengeluar Jepun ini telahpun menunjukkan teaser bagi Lexus IS 2021, yang bakal menjadi model generasi keempatnya. Lexus memaklumkan, IS terbaru ini akan diperkenalkan dalam talian pada 6 Jun ini di Amerika Syarikat dan 10 Jun untuk pasaran Jepun.

    “Bagi merancakkan lagi segmen pasaran bagi kereta mewah kompak, Lexus akan memperkenalkan sedan sport IS 2021 minggu depan,” baris ayat seperti yang tertera pada hantaran media Lexus Amerika. Agak menarik juga model ini sebenarnya, kerana hingga sekarang, masih belum pernah terdedah penampilan keseluruhannya – termasuk dari imej-imej spyshot. Lexus menyimpan rahsia IS 2021 RWD ini dengan sangat baik dan cermat.

    Setakat ini, tak banyak yang boleh dilihat melainkan rekaan lampu belakang dengan LED khusus yang ada padanya, yang sekaligus memberikan penampilan yang khas untuknya.

     
     
  • PDRM rekod 9 kes kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk dalam tempoh Januari-Mei 2020

    PDRM rekod 9 kes kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk dalam tempoh Januari-Mei 2020

    Sejak Januari hingga Mei 2020, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merekodkan sembilan kes kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk. Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, jika dibandingkan dengan tahun lalu, PDRM merekodkan sembilan kes kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk dalam tempoh Januari hingga Disember.

    “Trend ini agak membimbangkan kalau kita lihat daripada segi angka itu, belum lagi kemalangan disebabkan kecuaian.

    “Semua rakyat pasti masih ingat petugas barisan hadapan iaitu Koperal Safwan Muhammad Ismail terkorban di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) termasuk paling terbaru awal pagi semalam apabila seorang pemandu mabuk melanggar penunggang motosikal dan menyebabkan mangsa mati di lokasi.

    “Diviralkan pula video pemandu mabuk itu mengheret motosikal sejauh dua kilometer. Kita sudah buat ujian (kandungan alkohol) dan bacaannya melebihi apa dibenarkan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro.

    PDRM rekod 9 kes kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk dalam tempoh Januari-Mei 2020

    Tambahnya lagi, pihaknya sudah mengemukakan cadangan kepada Kementerian Pengangkutan untuk meminda dan menggubal Akta Pengangkutan Jalan (APJ) terutama bagi kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.

    Beliau berkata, seksyen sedia ada menetapkan kadar bacaan kandungan alkohol dalam badan sebanyak 80mg/100ml masih tinggi berbanding piawaian Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) yang membenarkan kandungan alkohol dalam badan sebanyak 50mg/100ml.

    Menurutnya, beliau berharap kerajaan akan mempertimbangkan cadangan pindaan hukuman berkenaan terutama bagi Seksyen 45A dan Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) turut melahirkan kebimbangan terhadap kes pemandu mabuk yang meragut nyawa. Kalau tidak dikawal dengan begitu ketat di masa akan datang ia akan mengorbankan banyak lagi nyawa. Ini tidak memberi ketakutan kepada pemandu mabuk jika undang-undang dan agensi penguatkuasaan tidak dapat mengambil tindakan lebih keras terhadap mereka.

    “Undang-undang sedia ada dilihat tidak setimpal atas kesalahan dilakukan pemandu mabuk sehingga mengorbankan nyawa pengguna jalan raya lain dan tidak memberi pengajaran kepada mereka,” katanya.

     
     
  • Lexus LC 500 2020 dilancar di Malaysia – RM1.25 juta

    Lexus LC 500 2020 dilancar di Malaysia – RM1.25 juta

    Versi terbaru bagi LC 500 kini sudah pun dilancarkan oleh Lexus Malaysia, dengan harga RM1.25 juta, tidak termasuk insurans, bersama jaminan lima tahun tanpa had batuan. Jika dibandingkan dengan model yang dilancarkan pada tahun 2017, model baru yang diimport sepenuhnya dari Jepun ini hanya sedikit lebih mahal dari sebelumnya. Pada 2018, harganya pernah dinaikkan menjadi RM1.242 juta – harga terbaru ini melibatkan sedikit lagi kenaikan, dengan pertambahan kelengkapan.

    Peningkatan yang diberikan kepada model terbaru ini telah didedahkan secara global April lalu, dengan kebanyakannya tersembunyi di sebalik badannya. Beratnya juga telah dikurangkan sebanyak 10 kg, hasil penggunaan aluminium pada lengan suspensi, anti-roll bar berdiameter lebih besar, spring berkekuatan tinggi dan rim 21 inci yang lebih ringan.

    Pengendalian kereta mewah ini juga dipertingkatkan dengan penggunaan penyerap prestasi baru di bahagian belakang, serta sistem Adaptive Variable Suspension (AVS) yang dirujuk semula. Kemudiannya, ia dilengkapi dengan fungsi Active Cornering Assist (ASA) – pembahagian tork menggunakan brek – manakala sistem stereng (termasuk Rear-wheel Steering) dipertingkat untuk menjadi lebih responsif.

    Lexus LC 500 2020 dilancar di Malaysia – RM1.25 juta

    Di bawah bonet LC 500 2020, enjin petrol V8 NA 5.0 liter 2UR-GSE yang sama masih digunakan, mampu menghasilkan kuasa 470 hp pada 7,100 rpm dan 540 Nm tork pada 4,800 rpm, tetapi transmisi automatik Direct Shift 10 kelajuan yang menyampaikan kuasa kepada roda belakang telah ditala semula untuk ‘menyimpan gear’ lebih lama semasa input minyak dalam “zon aktif” (antara 50 dan 70%) sebelum menukar ke gear lebih tinggi.

    Bahagian luar model ini masih lagi sama, dengan dua lagi pilihan warna ditambah iaitu Blazing Carnelian Contrast Layering and Terrane Khaki Mica Metallic. Untuk bahagian dalam pula, pelanggan boleh memilih kemasan warna merah, hitam atau oren.

    Sistem infotainmen Remote Touch pada LC 500 kini datang dengan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay, dan ia dipaparkan pada skrin 10.3 inci yang lebih besar, dengan resolusi 1280 x 480 piksel. Turut ditambah adalah ciri Power Easy Access, yang membantu pemandu untuk masuk dan keluar dengan melaras tempat duduk serta stereng secara automatik.

    Lexus LC 500 2020 dilancar di Malaysia – RM1.25 juta

    Dalam senarai kelengkapan standard, LC 500 datang dengan lampu utama LED projector dengan lampu DRL LED, pengawal suhu dua zon automatik, sistem bunyi 13 pembesar suara Mark Levinson, panel instrumen digital lapan inci, tempat duduk yang dibalut Alcantara, bumbung gentian karbon, limited-slip differential Torsen serta spoiler belakang aktif.

    Tambahan lain bagi model 2020 ini adalah sistem keselamatan dan bantuan pemandu Lexus Safety System+ (LSS+), yang termasuk Front Pre-Collision System (PCS), Automatic High Beam (AHB), Lane Keeping System dan Dynamic Radar Cruise Control (DRCC). Beg udara kesemuanya ada lapan.

     
     
  • Toyota Hilux facelift 2020 – video teaser tampil Fernando Alonso disiar, lebih kuasa dari enjin 2.8L?

    Nampaknya pendedahan Toyota Hilux dalam versi facelift 2020 untuk peringkat global akan dibuat tidak lama lagi – laman facebook rasmi Toyota UK telah pun menyiarkan video teaser model berkenaan!

    Apa yang boleh dilihat, Toyota nampaknya mahu memberitahu bahawa trak pikap yang disegarkan ini bukan hanya menerima rupa yang lebih menarik, malah dengan penampilan bekas juara Formula 1 dan juga pemandu rali Dakar untuk pasukan Toyota Gazoo Racing, Hilux facelift 2020 ini juga nampak akan menerima kuasa tambahan yang serius menerusi enjin 2.8 liter.

    Buat masa sekarang, Hilux dijana oleh dua pilihan enjin turbodiesel iaitu versi 2.4 liter dengan enjin 2GD-FTV berkuasa 150 PS/400 Nm, manakala model 2.8L dijana enjin 1GD-FTV berkuasa 177 PS/450 Nm.

    Toyota Hilux facelift 2020 – video <em>teaser</em> tampil Fernando Alonso disiar, lebih kuasa dari enjin 2.8L?

    Dalam laporan sebelum ini, model baharu berkenaan akan tetap dijana oleh enjin 1GD-FTV yang sama, tetapi ditingtaktaraf bukan sahaja untuk menghasilkan lebih kuasa, malah turut akan menyelesaikan masalah particulate filter yang selalu tersumbat. Laporan dari Jepun juga ada yang menyatakan bahawa enjin berkenaan akan turut digunakan pada Land Cruiser generasi akan datang.

    Pendedahan sebelum ini turut memperincikan bahawa Hilux facelift 2020 akan hadir dengan muka yang dirombak semula dengan rupa jauh lebih kacak, menampilkan lampu hadapan Bi-beam LED, lampu kombinasi belakang dengan grafik LED berbentuk-B, rim aloi 18-inci baharu, dilengkapi Toyota Safety Sense, dan berberapa warna badan baharu.

     
     
  • PKPB dilanjut atau ditamatkan belum dimuktamadkan, aplikasi Gerak Malaysia tidak lagi digunakan – Menteri

    PKPB dilanjut atau ditamatkan belum dimuktamadkan, aplikasi Gerak Malaysia tidak lagi digunakan  – Menteri

    Kerajaan masih belum memutuskan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditamatkan atau dilanjutkan selepas 9 Jun ini, ujar Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Menurutnya lagi, selepas keputusan berhubung PKPB dimuktamadkan, baharu kerajaan akan memutuskan mengenai sama ada menyambung pelaksanaan sekatan jalan raya membabitkan perjalanan rentas negeri.

    “Belum ada jawapan lagi sebab PKPB kita tidak tahu tamat atau tidak pada 9 Jun ini. Oleh itu sekatan rentas negeri sama ada diteruskan atau tidak bergantung kepada keputusan PKPB itu disambung atau tidak, ” katanya pada sidang media harian PKPB sebentar tadi.

    PKPB dilanjut atau ditamatkan belum dimuktamadkan, aplikasi Gerak Malaysia tidak lagi digunakan  – Menteri

    Beliau turut berkata, aplikasi Gerak Malaysia juga sudah tidak lagi boleh digunakan kerana larangan pergerakan rentas negeri telah diwartakan semula.

    Oleh yang demikian, orang ramai yang ingin melakukan pergerakan rentas negeri dan menepati kriteria yang dibenarkan seperti urusan kerja, hal kecemasan atau pun pasangan suami-isteri yang bekerja/menetap di dua negeri berasingan, perlulah memohon kebenaran daripada balai polis berdekatan.

    “Ini termasuklah jika mahu melakukan pergerakan rentas negeri ke/dari Sabah atau Sarawak ke/dari Semenanjung, perlulah mendapatkan surat kebenaran daripada polis sebelum membeli tiket penerbangan,” katanya lagi.

     
     
  • Lexus RX, NX dengan kit badan Goemon dan Kotaro

    Lexus RX, NX dengan kit badan Goemon dan Kotaro

    Pemilik Lexus RX dan NX yang mahukan kenderaan mereka lebih menonjol atas jalan raya mungkin boleh melihat kepada kit badan ini. Ia bukan ditawarkan oleh Lexus sendiri atau nama-nama syarikat talaan terkenal yang biasa, tetapi daripada SCL Global Concept yang beroperasi di Rusia.

    Untuk model RX, kit yang disediakan dipanggil sebagai “Goemon” manakala untuk NX pula adalah “Kotaro”. Kedua-duanya menggunakan rekaan gril unik, yang seperti mendapat inspirasi daripada karekter sains fiksyen (mungkin Predator).

    Selain muka yang ganas itu, pakej kit badan ini juga datang dengan bonet, tambahan lengkung roda yang lebih lebar, skirt tepi, dua spoiler di bahagian belakang dan bampar belakang yang mempunyai diffuser cukup jelas serta muncung ekzos di tengah. Kit badan NX turut diberi dengan lampu belakang LED baru.

    Menurut syarikat pengeluar kit ini, barangan yang ditawarkan oleh mereka dibuat daripada gentian karbon suhu tinggi dan menepati tahap standard seperti barangan keluaran kilang (OEM). Beratnya juga hampir sama seperti barangan OEM, dengan ketebalan 2-3 mm dan ketahanan suhu sehingga 120 darjah celsius.

    Untuk harga, kit Goemom dijual pada harga US$9,800 (RM42,365) manakala kit Kotaro untuk NX pula berharga US$6,825 (RM29,504). Sudah tentu, ini adalah harga untuk kit itu sahaja dan tidak termasuk kos lain seperti penghantaran.

    GALERI: Lexus RX Goemon

    GALERI: Lexus NX Kotaro

     
     
  • Subaru Forester GT Edition 2020 tiba di Malaysia — enjin 2.0L, 156 PS/196 Nm, sistem EyeSight, RM178k

    Subaru Forester GT Edition 2020 tiba di Malaysia — enjin 2.0L, 156 PS/196 Nm, sistem EyeSight, RM178k

    Subaru Forester GT Edition kini diperkenalkan untuk pasaran Malaysia dengan harga jualan RM177,788. Ini merupakan pertambahan sekitar RM8,000 berbanding varian 2.0i-S Eyesight. Versi terbaru ini Januari lalu diperkenalkan untuk pasaran Singapura. Ini menjadikannya sebagai model kedua ditawarkan dalam GT Edition untuk pasaran tempatan selepas XV GT Edition yang masuk pasaran pada Mei tahun lalu.

    Berdasarkan varian paling tinggi 2.0i-S ES, versi GT Edition ini menggunakan unit enjin yang sama, 2.0 liter empat-silinder boxer petrol yang menghasilkan 156 PS pada 6,000 rpm dan 196 Nm pada 4,000 rpm. Ini digandingkan dengan transmisi Lineartronic CVT dan juga sistem pacuan Symmetrical All-Wheel Drive.

    Tidak ketinggalan ialah ciri Special X-Mode yang membolehkan pacuannya beralih antara mod Snow/Dirt dan Deep Snow/Mud. Apa yang membezakan edisi ini ialah kit badan yang digunakan, terdiri daripada lanjutan lip bampar depan, kit badan sisi, spoiler bumbung dan lanjutan lip bampar belakang. Ia juga menerima rim aloi rekaan tersendiri 18-inci, sementara di dalam, kemasan kulit khusus GT Edition digunakan.

    Subaru Forester GT Edition 2020 tiba di Malaysia — enjin 2.0L, 156 PS/196 Nm, sistem EyeSight, RM178k

    Sama seperti varian yang menjadi asasnya, versi GT Edition ini juga hadir dengan sistem EyeSight untuk membantu pemandu. Ini terdiri antaranya daripada ciri brek pra-perlanggaran, pengurusan pendikit, amaran pertukaran lorong serta kawalan melayar adaptif. Ciri bantuan menukar lorong, amaran lintasan trafik belakang, tinjauan cermin sisi dan sistem pengesan titik buta juga termasuk sekali.

    Subaru Forester GT Edition ini juga menerima sistem paparan audio lapan-inci dengan sokongan terhadap Apple CarPlay dan Andoroid Auto. Ciri peninjau sekelilih 360-darjah juga memudahkan lagi pemandu mengendalikan SUV ini di tempat sempit.

    Terdapat tujuh pilihan warna ditawarkan kepada pelanggan untuk edisi ini; Crystal White Pearl, Ice Silver Metallic, Jasper Green Metallic, Horizon Blue Pearl, Sepia Bronze Metallic, Dark Grey Metallic dan Crystal Black Silica.

     
     
  • Drift dalam stesen minyak – dua lelaki ditahan polis

    Baru-baru ini tular satu video memaparkan sebuah Subaru BRZ membuat aksi drift dalam kawasan stesen minyak, yang tentunya akan mendatangkan akibat buruk sekiranya kemalangan berlaku pada persekitaran mudah terbakar berkenaan. Sehubungan dengan itu, polis Perlis telah menahan dua lelaki yang dikaitkan dengan video yang tular tersebut, lapor Berita Harian.

    Menurut laporan tersebut, kejadian berkenaan dilakukan dalam kawasan sebuah stesen minyak yang terletak dekat Jejawi, Perlis. Pemangku Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perlis, Asisten Superintendan Mohd Rizal Emran, berkata dua lelaki termasuk pemilik stesen berkenaan, berusia 34 dan 37 tahun itu ditahan selepas tampil menyerah diri di Balai Polis Arau pada jam 8.45 malam tadi.

    Menurutnya lagi, polis turut menyita Subaru BRZ yang dipercayai digunakan untuk melakukan aksi tersebut yang disimpan di perkarangan rumah pemandu terbabit dekat Bintong.

    “Pemilik stesen minyak berkenaan mengaku menganjurkan aksi drift itu, manakala rakannya yang juga pemilik kedai aksesori bertindak memandu kenderaan terbabit.

    “Mereka ditahan kerana melakukan aksi berbahaya yang boleh menyebabkan kemalangan, kebakaran dan kerosakan kepada pelanggan stesen minyak beberapa hari lalu,” katanya ketika dihubungi oleh Berita Harian hari ini.

    Mohd Rizal turut mengesahkan bahawa kedua-dua lelaki itu sudah dibebaskan sementara dengan jaminan polis hari ini dan dijangka didakwa dalam masa terdekat dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) dan 81(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

     
     
  • Pemandu mabuk lawan arus di Kuantan dituduh membunuh, tidak dibenarkan untuk diikat jamin

    Lanjutan dari kes sebuah Toyota C-HR yang dipandu melawan arus oleh seorang pemandu mabuk dan merempuh kenderaan yang dipandu kakitangan Alam Flora pada 25 Mei lalu di Jalan Pintasan Kuantan, Mahkamah Majistret Kuantan mendakwa suspek atas tuduhan membunuh hari ini, lapor Astro Awani.

    Tertuduh yang bernama Teoh Kian Peng, 42 tahun, yang berasal dari Tanah Putih, didakwa di hadapan Majistret Najwa Hashim mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Irwan Herman Kamarudin, 41 tahun. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati mandatori. Mahkamah juga tidak membenarkan tertuduh dijamin.

    Dalam perkembangan berkaitan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Takiyuddin Bin Haji Hassan dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan minggu lalu, langkah segera yang akan diambil ialah memastikan cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang dimuktamadkan oleh Kementerian Pengangkutan dibawa ke persidangan Parlimen terdekat.

    Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam turut senada dengan perkara berkenaan dan telah mengarahkan Kementerian Pengangkutan merangka pindaan akta berkenaan secepat yang mungkin.

    Minggu lalu juga Menteri Pengangkutan Dr. Wee Ka Siong menyatakan bahawa pindaan untuk hukuman lebih berat terhadap mereka yang melakukan kesalahan tersebut perlu disegerakan dan mestilah dimuktamadkan pada pertengahan bulan ini.

     
     
  • Mercedes-AMG A35 4Matic Edition 1 W177 – RM380k

    Mercedes-AMG A35 4Matic Edition 1 W177 – RM380k

    Mercedes-AMG A 35 versi sedan sudah dilancarkan pada tahun lepas, dan kini tiba pula masa untuk versi hatchback iaitu Mercedes-AMG A35 4Matic. Ia baru sahaja dilancarkan bersama dua buah lagi model kompak iaitu Mercedes-AMG A45S dan juga Mercedes-AMG CLA45.

    Menjadikannya lebih istimewa, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) menawarkan A35 di dalam versi Edition 1, di mana ia dilengkapi dengan pakej AMG Aerodynamics, AMG Night Package serta rim AMG 19 inci. Harga jualan Mercedes-AMG A35 4Matic Edition 1 ini adalah RM379,888 tidak termasuk insurans.

    Enjin yang digunakan pada model hatchback ini adalah sama dengan versi sedan, iaitu unit petrol empat-silinder turbo 2.0 liter M260, yang mampu menghasilkan kuasa 306 hp pada 5,800 rpm dan 400 Nm tork dari 3,000 hingga 4,000 rpm.

    Mercedes-AMG A35 4Matic Edition 1 W177 – RM380k

    Transmisi pula adalah unit AMG Speedshift 7G tujuh-kelajuan yang digabungkan dengan sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic yang mampu menghantar 50% tork ke roda belakang melalui klac multi-plat elektro-mekanikal. Dengan fungsi Race Start, A 35 hatchback boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.7 saat (0.1 saat lebih pantas daripada versi sedan).

    Untuk bahagian brek, model ini menggunakan angkup empat piston serta cakera berliang 350 mm di hadapan, manakala di belakang pula menggunakan angkup satu piston dengan cakera 330 mm. Suspensi adalah unit AMG Ride Control manakala mod pemanduan pula ada empat (Comfort, Sport, Sport+, Individual dan Slippery) melalui AMG Dynamic Select.

    Bahagian dalam juga melihatkan penggunaan pelbagai aksesori AMG, yang termasuk kemasan warna hitam dan perak, plet tepi pintu, alas kaki, tempat duduk larasan kuasa serta stereng yang dibalut dengan kulit Nappa. Barangan lain adalah seperti lampu suasana dan kawalan suhu automatik.

    Pada bahagian keselamatan, model yang dianggap sebagai model permulaan kepada siri AMG ini dilengkapi dengan Active Brake Assist, Active Lane Keeping Assist, Active Parking Assist, Blind Spot Assist, kamera undur, sistem PRE-SAFE serta pemerhati tekanan angin tayar.

    Untuk sistem multimedia, ia adalah unit MBUX, yang boleh disambung dengan Android Auto atau Apple CarPlay, berserta kawalan Touchpad, pengecas tanpa wayar, head-up display dan modul komunikasi LTE untuk penggunaan servis sambungan Mercedes Me.

     
     
  • Projek HSR: Malaysia-Singapura bersetuju untuk tangguh lagi keputusan sehingga 31 Disember 2020

    Projek HSR: Malaysia-Singapura bersetuju untuk tangguh lagi keputusan sehingga 31 Disember 2020

    Sehingga kini, biarpun tiada keputusan muktamad mengenai projek kereta api berkelajuan tinggi KL-Singapura (HSR), namun ini tidak bermakna ia tidak diteruskan, sebaliknya hanya ditangguhkan sahaja.

    Terkini, kerajaan Malaysia dan Singapura telah bersetuju untuk menyambung semula perbincangan mengenai projek HSR dalam masa terdekat.

    Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata perbincangan itu akan merangkumi beberapa cadangan perubahan dalam aspek komersial dan teknikal. Menurut laporan yang disiarkan oleh Bernama, Azmin turut berkata keputusan tersebut dicapai setelah kedua-dua pihak bersetuju untuk melanjutkan tempoh penangguhan keputusan mengenai HSR sehingga 31 Dis 2020.

    “Saya telah diminta oleh Jemaah Menteri untuk mengetuai pasukan Malaysia dalam perbincangan dengan Kerajaan Singapura mengenai projek ini,” kata Mohamed Azmin.

    Sebelum ini pada 5 September 2018, kedua-dua kerajaan telah bersetuju untuk menggantung pembinaan projek dua hala itu sehingga 31 Mei 2020 bagi mencari cara terbaik untuk meneruskan projek tersebut. Kerajaan Malaysia telah menyemak semula projek itu dengan MyHSR Corp untuk mengenal pasti pilihan pengurangan kos seperti mengkaji semula dan mengoptimumkan penjajaran, lokasi stesen dan model perniagaan.

    Susulan perkara ini, Kementerian Pengangkutan Singapura turut mengesahkan bahawa kerajaan Malaysia telah memaklumkan kepada republik berkenaan bahawa ia mahu mencadangkan beberapa perubahan kepada projek HSR dan meminta lanjutan tujuh bulan bagi membolehkan kedua-dua pihak membincangkan cadangan Malaysia itu.

    Projek HSR: Malaysia-Singapura bersetuju untuk tangguh lagi keputusan sehingga 31 Disember 2020

    Atas semangat kerjasama dua hala, kementerian itu berkata Singapura bersetuju kepada “lanjutan akhir” penggantungan Projek HSR bagi tempoh tujuh bulan lagi hingga 31 Dis 2020.

    “Kami berharap dapat menerima cadangan rasmi Malaysia mengenai perubahan kepada Projek HSR tidak lama lagi, agar kedua-dua belah pihak boleh memulakan perbincangan dengan segera,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

    Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan turut berkata lanjutan tempoh itu akan menyediakan masa yang mencukupi kepada Malaysia untuk membentangkan cadangannya dan bagi kedua-dua pihak untuk menilai implikasi cadangan perubahan itu.

    “Saya tetap optimis bahawa HSR yang menghubungkan kedua-dua ibu kota itu akan memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” kata Khaw yang juga merupakan Menteri Penyelaras bagi Infrastruktur dalam catatannya di laman Facebook beliau.

    Ditandatangani pada Disember 2016, projek HSR KL-Singapura melibatkan laluan trek berkembar sepanjang 350 km dengan melibatkan lapan hentian – Singapura, Iskandar Puteri, Batu Pahat, Muar, Ayer Keroh, Seremban, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

    Sebanyak 10 gerabak dijangka akan digunakan bagi setiap keretapi, dengan kapasiti 100 orang dalam setiap satunya. Kelajuan maksimum yang boleh dicapai ialah 300 km/j, dengan tempoh perjalanan dari KL ke Singapuran hanya memakan masa 90 minit.

     
     
  • Proton lantik Roslan Abdullah sebagai Naib Presiden jualan dan pemasaran merangkap CEO Proton Edar

    Proton lantik Roslan Abdullah sebagai Naib Presiden jualan dan pemasaran merangkap CEO Proton Edar

    Mulai 1 Jun 2020, Proton telah melantik Roslan Abdullah sebagai Naib Presiden, jualan dan pemasaran baharu syarikat tersebut. Pada masa yang sama, beliau turut dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Proton Edar Sdn Bhd (PESB), anak syarikat milik penuh Proton yang menguruskan pengedaran kereta-kereta Proton dan menyediakan perkhidmatan jualan dan selepas jualan kepada pelanggan.

    Menurut Proton, Roslan yang telah hampir tiga dekad berkecimpung di dalam sektor automotif, turut mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang luas berkaitan landskap automotif di Malaysia. Jawatan yang pernah dipegang oleh beliau termasuklah di bahagian kewangan, operasi dan jualan.

    Sebelum menyertai Proton, pemegang Ijazah Kewangan & Perakaunan dari University of Brighton, United Kingdom ini memantau operasi di DRB-HICOM Defense Technologies Sdn Bhd (DEFTECH). Malah sebelum itu, Roslan juga pernah memegang jawatan sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Operasi (COO) Honda Malaysia serta Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Modenas.

    “Syarikat amat mengalu-alukan kehadiran beliau untuk menjadi sebahagian daripada Proton dan kami mengharapkan agar beliau dapat membantu meningkatkan prestasi Proton pada waktu yang mencabar ini,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton.

    Dr Li turut berpendapat, pelantikan Roslan dilihat dapat mengukuhkan lagi kedudukan Proton bagi mencapai matlamat dan objektif jangka panjang syarikat pengeluar kereta nasional pertama negara.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025