Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • PKP Bersyarat (PKPB) dilanjutkan hingga 9 Jun 2020, perjalanan rentas negeri masih tidak dibenarkan – PM

    PKP Bersyarat (PKPB) dilanjutkan hingga 9 Jun 2020, perjalanan rentas negeri masih tidak dibenarkan  – PM

    Dalam perutusan khas Perdana Menteri hari ini, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan dalam tempoh sebulan lagi iaitu hingga 9 Jun 2020. Menurut beliau, hasil pelaksanaan PKPB ini hanya dapat dilihat dalam tempoh beberapa minggu lagi. Sekiranya terdapat peningkatan kes, kemungkinan besar, PKPB akan diteruskan.

    “Walau pun PKPB yang telah dilaksanakan menampakkan keberkesanan dan berjalan lancar, namun usaha kita masih belum berjaya sepenuhnya. Rata-rata rakyat mahu kerajaan mengambil langkah yang wajar.

    “Justeru, atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), saya mengumumkan PKPB dilanjutkan sehingga 9 Jun 2020. Ini bermakna semua peraturan dan SOP yang diumumkan dalam tempoh PKPB masih kekal berkuatkuasa sehingga 9 Jun. Sebarang pembaharuan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

    Walau bagaimana pun, beliau turut menegaskan, larangan pergerakan antara negeri masih berkuatkuasa dalam tempoh tersebut. “Dalam tempoh ini, ada beberapa perayaan utama yang lazimnya akan melibatkan pergerakan orang ramai iaitu Hari Raya Aidilfitri, Pesta Keamatan dan Hari Gawai.

    PKP Bersyarat (PKPB) dilanjutkan hingga 9 Jun 2020, perjalanan rentas negeri masih tidak dibenarkan  – PM

    “Saya hendak mengingatkan kepada semua, larangan pergerakan antara negeri masih berkuatkuasa dalam tempoh ini. Ini bermakna…mintak maaf banyak-banyak, demi menjaga keselamatan kita semua, perjalanan balik kampung tidak dibenarkan. Saya tahu ramai yang agak sedih tak dapat balik berhari raya bersama keluarga, bersabarlah. Bila keadaan dah pulih, saudara sudara boleh balik ke kampung berjumpa keluarga dan sanak saudara,”ujarnya lagi.

    Tambahnya lagi, orang ramai masih boleh menyambut Aidilfitri, Pesta Keamatan atau Hari Gawai, ziarah-menziarahi dibenarkan untuk jiran terdekat, dan keluarga yg tinggal dalam negeri yang sama dengan had maksimum 20 orang. Namun harus mengikut SOP yang ditetapkan seperti sebelum ini termasuk penjarakan sosial, memakai penutup hidung dan mulut serta mementingkan kebersihan.

    Selain itu, beliau turut mengumumkan pasangan suami isteri yang tinggal di negeri berasingan kerana faktor kerja akan diberi kelonggaran untuk membuat perjalanan rentas negeri. Di mana permohonan boleh dibuat menerusi aplikasi Gerak Malaysia atau datang sendiri ke balai polis terdekat.

     
     
  • Proton Satria Neo-X — jelmaan crossover dua pintu

    Proton Satria Neo-X — jelmaan <em>crossover</em> dua pintu

    Kebelakangan ini, semangat dan roh Proton Satria Neo banyak kali diseru semula. Entahkan jadi kebetulan, macam ada isyarat atau panggilan-panggilan bahawa ramai ketika ini yang rindukan hatchback dua-pintu berkenaan. Anda perasan perkara yang sama atau tidak?

    Spotlight paling besar yang diterima Satria Neo – walaupun hanya sebagai tempelan – ialah dalam sebuah filem Netflix yang mendapat perhatian umum dan banyak dibincangkan seminggu dua ini, apa lagi kalau bukan filem Extraction lakonan Chris Hemsworth.

    Oh, sementara tengah menyentuh tentang filem, kalau anda belum tahu, kami juga ada sediakan senarai filem-filem produksi luar negara yang di dalamnya ada memaparkan penampilan model-model Proton. Ada 10 semuanya, bukan main kerap kereta Proton masuk ke layar tivi.

    Proton Satria Neo-X — jelmaan <em>crossover</em> dua pintu

    Kemudian, ia mendapat sentuhan daripada Theophilus Chin, yang kerja rekaan digitalnya banyak kami paparkan di laman ini. Tetapi, dia tidak membayangkan semula Satria Neo sebagai sebuah model baru seperti yang biasa dilakukan. Sebaliknya ia menghasilkan rekaan kacuk antara model berkenaan tetapi dalam versi Proton Iriz Neo dua-pintu. Anda dah tengok yang ini?

    Kali ini, seorang lagi yang namanya tidak perlukan pengenalan panjang jika anda kerap mengikuti laman ini, Saharudin Busri (@saharudindesign) turut menghalakan perhatiannya kepada Proton Satria Neo. Tetapi, menurut beliau, ini bukanlah rekaan baru sepenuhnya.

    Sebelum ini, beliau pernah mengasilkan satu rekabentuk digital Satria GTi facelift yang pernah dibuat dahulu. Dari asas rekaan tersebut, banyak ubah suai yang dilakukan semula untuk menghasilkan pula rekaan ini,yang dipanggil Satria Neo-X.

    Dan kali ini, Satria Neo dibayangkan pula sebagai sebuah model crossover. Ini adalah lanjutan daripada perkembangan terbaru Proton sendiri yang banyak memberi tumpuan kepada pengeluaran model SUV sejak setahun dua ini — X70 CKD sudah, menyusul selepas ini ialah Proton X50 pula.

    Andaiannya adalah, Satria Neo-X ini adalah idea untuk mengubahsuai platform atau kerangka dari model sedia ada untuk dijadikan sebuah kereta yang lebih besar dan tinggi. Rekabentuk penuh bahagian badan sebenarnya masih sama seperti Satria Neo.

    Cuma untuk menjadikan imejnya lebih padan sebagai sebuah SUV atau crossover, rekaan lampu depan dan bampar diberikan nafas baru – tambahan yang boleh dijangka sudah tentulah rekaan diffuser di bawah sekali. Gril juga lebih ringkas dengan satu jalur krom saja. Selebihnya bukaan “mulut” dan tempat meletak nombor plat dibiarkan besar dalam kemasan hitam.

    Proton Satria Neo-X — jelmaan <em>crossover</em> dua pintu

    Bahagian tepi, elemen body cladding digunakan seperti rekaan lazim model-model crossover yang semakin banyak dalam pasaran tempatan ketika ini. Untuk membuatkannya nampak tinggi, rekaan rim baru dengan saiz yang lebih besar digunakan. Garis bumbung walaupun kekal sama, ia ditambah dengan jalur permukaan serta landasan untuk bawa barang.

    Bahagian belakang kelihatan sangat kemas. Walaupun ringkas, dengan lengkuk hatchback dari Satria Neo yang diberi sentuhan lebih sporty (perhatikan spoiler bersepadu dari bahagian bumbung), pintu ruang belakang ringkas dengan hanya menempatkan lampu belakang dua bahagian serta lencana nama Proton.

    Proton Satria Neo-X — jelmaan <em>crossover</em> dua pintu

    Yang menjadikannya lebih rendah dan lebar ialah rekaan bampar yang ditampilkan. Dengan ketebalan yang ketara, sudut tepi yang menempatkan bukaan udara serta diffuser belakang dengan ekzos berkembar, ia nampak betul-betul menyerap semangat prestasi daripada Satria GTi dahulu.

    Secara keseluruhannya, rekabentuk yang ditampilkan ini nampak cukup menarik dan sporty. Tambahan dengan kesan bumbung terapung hitam yang berbeza dengan warna badan, ia bagaimanapun masih menyimpan rekaan asal Satria Neo seperti yang pernah kita kenal dulu. Jadi, apa pandangan anda tentang rekaan ini? Boleh lawan rekaan Geely?

     
     
  • VIDEO: Thierry Neuville pandu prototaip Hyundai i20N!

    Nampaknya, tarikh pelancaran ahli baharu dalam keluarga model berprestasi tinggi Hyundai N iaitu “adik paling kecil” Hyundai i20 N semakin hampir kerana kali ini bukan lagi imej spyshot, tetapi Hyundai sendiri telah menyiarkan video prototaip model tersebut dipandu oleh pemandu utama mereka dalam kejuaraan rali dunia (WRC), Thierry Neuville.

    Video bertajuk ‘The Evolution of N’ berkenaan memaparkan Neuville memandu tiga buah jentera yang dihasilkan divisi perlumbaan rasmi Hyundai tersebut iaitu jentera perlumbaan sebenar Hyundai i20 N WRC, model prototaip halo dengan enjin tengah Hyundai RM19 serta prototaip model baharu Hyundai i20 N untuk jalan raya yang bakal menerjah pasaran tidak lama lagi.

    Neuville memandu ketiga-tiga kereta tersebut di pusat ujian musim sejuk Hyundai yang terletak di Arjeplog, Sweden. Menurut Hyundai, kesemua jentera produksi jalan raya Hyundai N adalah dihasilkan dengan ujian ekstensif dan mengambil inspirasi dari sukan bermotor bersama elemen yang menjadikan sesebuah jentera ini sebagai kereta rali yang hebat – satu proses yang membolehkan kereta lumba dan jalan raya tersebut berkongsi prestasi tinggi dan mempunyai elemen keseronokan pemanduan yang sama.

    VIDEO: Thierry Neuville pandu prototaip Hyundai i20N!

    “Saya ialah budak lelaki yang bertuah hari ini kerana diberikan peluang untuk memandu prototaip i20 N. Ia kereta yang sangat menarik. Sangat jitu. Sangat mudah untuk dikendali. Sistem elektronik sentiasa membantu pemandu mengawal kereta ini. Pecutan enjin sangat baik. Bunyinya juga sangat mengujakan. Saya tersenyum besar hari ini kerana saya dapat memandu. Ia sangat hebat,” kata Neuville.

    Thierry Neuville adalah pemandu WRC yang setia bersama pasukannya, Hyundai Motorsport sejak ditubuhkan 7-tahun lalu sehingga mereka berjaya bergelar juara WRC dalam kategori pengeluar pada 2019.

    Tahun lalu, Hyundai dilihat menguji i20 N tersebut dengan menyembunyikannya di sebalik badan i20 generasi kedua. Dan selepas model standard generasi ketiga didedahkan pada Februari tahun ini, protaip sebenarnya kemudian dilihat muncul diuji di Nürburgring dua bulan lalu.

    VIDEO: Thierry Neuville pandu prototaip Hyundai i20N!

    Apa yang boleh dilihat pada model prototaip tersebut, i20 N tampil dengan karekter hampir sama seperti i30 Nspoiler belakang lebih besar, kedudukan badan yang lebih rendah, bampar belakang dengan diffuser yang menempatkan tip ekzos berkembar (model standard tip ekzos disembunyikan) rim lebih besar dengan tayar berprofil rendah, serta angkup brek yang juga bersaiz lebih besar berwarna merah di sebalik set roda berkenaan.

    Khabar yang bertiup sebelum ini, i20 N dijangka akan dihasilkan dengan resipi hampir sama dengan i30 N, dibekalkan dengan casis dan suspensi lebih keras, brek lebih besar dan nisbah stereng lebih pantas.

    Ia mungkin akan dijana oleh enjin 1.6 liter Turbo-GDI dengan kuasa sekitar 200 PS dengan kotak gear manual enam-kelajuan – video ini turut mendedahkan bunyi yang dengar seakan sama dengan abang longnya itu. Namun, tidak seperti seterunya dalam WRC untuk musim hadapan iaitu Toyota GR Yaris yang menggunakan sistem AWD untuk versi produksi jalan raya, i20 N dikhabarkan hanya akan memacu roda hadapan.

    GALERI:Spyshot Hyundai i20 N diuji di Nürburgring

    GALERI:Hyundai i20 2021 versi standard

    GALERI:Spyshot prototaip awalan Hyundai i20 N

     
     
  • Harga minyak 9-15 Mei – Semuanya masih kekal

    Harga minyak 9-15 Mei – Semuanya masih kekal

    Buat dua minggu berturut-turut, harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api utama di negara kekal seperti minggu sebelum ini. Bagi minggu bertarikh 9 hingga 15 Mei 2020, harga runcit bagi petrol RON 97 masih tiada perubahan iaitu RM1.55 seliter. Begitu juga dengan RON 95 yang kekal pada harga RM1.25 seliter.

    Manakala untuk harga runcit bagi diesel pula pada paras RM1.40 seliter. Ini bermakna diesel Euro 5, lebih mahal 10 sen daripada diesel Euro 2M, iaitu RM1.50 seliter. Semua harga tersebut efektif sehingga Jumaat hadapan, 15 Mei 2020.

    Menurut Kementerian Kewangan, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyakmentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara..

     
     
  • Hyundai Grand Starex 2020 kini di M’sia – 2 varian bermula RM164k, kit badan & upholsteri kulit standard

    Hyundai Grand Starex 2020 kini di M’sia – 2 varian bermula RM164k, kit badan & upholsteri kulit standard

    Hyundai Sime Darby Malaysia telah memperkenalkan dua varian baharu dalam barisan model facelift MPV 11-tempat duduk Hyundai Grand Starex iaitu Executive Plus dijual pada harga RM163,888 dan Executive Prime berharga RM173,888. Harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran, bersama waranti lima-tahun atau 300,000 km.

    Dengan pengenalan dua model ini, versi asas Executive berharga RM148,888 yang telah diperkenalkan pada Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2018 kini tidak lagi dijual.

    Kedua-dua model ini masih kekal dengan enjin yang sama iaitu unit turbodiesel 2.5 liter empat-silinder VGT yang berkuasa 170 PS pada takat 3,600 rpm dan tork maksima 441 Nm bermula 2,000 hingga 2,250 rpm. Kesemua kuasa dihantar ke roda belakang menerusi kotak gear lima-kelajuan dengan sistem shiftronic.

    Hyundai Grand Starex 2020 kini di M’sia – 2 varian bermula RM164k, kit badan & upholsteri kulit standard

    Kesemua model didatangkan standard dengan rim rekaan baharu 16-inci bersama tayar 215/70R16, lampu hadapan halogen projektor bersama lampu kabus, lampu nyalaan siang LED baharu dengan empat-poin dan kemasan sekeliling hitam, dan juga kit badan lebih labuh lengkap pada bampar hadapan dan belakang serta skrit sisi yang diberikan kemasan kontras berwarna kelabu.

    Pada bahagian dalaman pula, kedua-dua model Grand Starex ini datang standard dengan tempat duduk balutan kulit penuh (berbanding hanya opsyen sebelum ini), dan juga fungsi boleh putar kebelakang untuk tempat duduk baris kedua.

    Selain itu ciri standard lain yang turut dibekalkan termasuk monitor bumbung dan penghembus udara sistem pendingin hawa untuk kabin belakang, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh dan boleh memainkan DVD, empat pembesar suara serta tiga port USB (satu khas untuk mengecaj).

    Untuk membezakan dua varian tersebut, versi tertinggi Executive Prime ditambah dengan pintu tailgate belakang berkuasa, sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin dan pintu gelangsar bantuan kuasa (hanya sebelah, dua-belah ditawar sebagai opsyen).

    Namun untuk keselamatan kedua-dua varian ini masih berkongsi spesifikasi dengan dibekalkan empat beg-udara, sistem brek ABS dan BA, sistem kestabilan elektronik dan juga sistem traction control. Kedua-dua model ini juga disertakan dengan sistem cruise control, kawalan lampu automatik, kamera undur serta amaran jarak ketika parkir.

    Empat warna badan ditawarkan untuk Grand Starex ini iaitu Creamy White, Moonlight Cloud, Timeless Black, dan Taiga Brown. Untuk lebih perincian berkenaan spesifikasi Grand Starex ini, anda boleh layari laman CarBase.my.

     
     
  • PKPB: Perjalanan rentas negeri selepas 10 Mei perlu dapatkan kebenaran daripada polis – Ismail Sabri

    PKPB: Perjalanan rentas negeri selepas 10 Mei perlu dapatkan kebenaran daripada polis – Ismail Sabri

    Bagi orang ramai yang ingin melakukan perjalanan rentas negeri selepas 10 Mei ini, perlulah mendapatkan kebenaran daripada polis terlebih dahulu.

    Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan masih menetapkan empat hari (7-10 Mei) saja pengecualian pergerakan rentas negeri yang dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), iaitu bertujuan untuk memberi kelonggaran bagi membolehkan mereka yang terperangkap di kampung balik ke kediaman masing-masing.

    Tambahnya lagi, kerajaan juga memberi kelonggaran untuk mereka yang menaiki kenderaan enam tempat duduk untuk membawa enam penumpang, berbanding empat yang dibenarkan sebelum ini.

    “Kita benarkan mereka yang naik motosikal untuk balik juga. Semalam, ada rayuan balik kampung dengan kenderaan enam penumpang, mereka kata kalau hanya dibenarkan empat saja, mereka ada enam orang, dua lagi kena tinggal. Pihak polis juga mempunyai budi bicara, di mana kenderaan yang mempunyai enam tempat duduk dibenarkan balik. Namun, semua pergerakan hanya boleh berlaku dalam empat hari saja.

    PKPB: Perjalanan rentas negeri selepas 10 Mei perlu dapatkan kebenaran daripada polis – Ismail Sabri

    “Kebenaran ini akan tamat 10 Mei (Ahad ini) saja. Ia hanya boleh berlaku di dalam tempoh pengecualian empat hari ini, sementara saja,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Bagi yang ingin merentas negeri selepas 10 Mei ini, Ismail berkata, “Selepas 10 Mei, jika ada yang ingin merentas negeri, berbalik kepada SOP (prosedur operasi standard) asal iaitu perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak polis. Dan kebenaran adalah untuk perkara-perkara yang melibatkan kecemasan semata-mata seperti ada kematian keluarga dan sebagainya. Itu saja. Yang lain masih tidak dibenarkan.

    “Dan suka saya maklumkan bahawa sekatan jalan raya untuk rentas negeri kekal seperti PKP 1, PKP 2 dan PKP 3. Ada pemeriksaan terhadap kenderaan. Dan rentas negeri ini hanyalah untuk sehala sahaja.”

     
     
  • Hap Seng sediakan Young Star Agility bagi kenderaan terpakai Mercedes-Benz – insurans percuma setahun

    Hap Seng sediakan Young Star Agility bagi kenderaan terpakai Mercedes-Benz – insurans percuma setahun

    Hap Seng Star kini menawarkan pembiayaan Young Star Agility untuk membolehkan pelanggan memiliki kenderaan terpakai melalui Mercedes-Benz Certified. Sama seperti Agility Financing bagi kenderaan baru, ia membolehkan pemilik untuk memajak kenderaan mereka untuk satu tempoh yang ditetapkan, dengan beberapa pilihan ditawarkan di hujung tempoh pembiayaan itu.

    Antara kelebihan melalui skim ini ialah bayaran ansuran yang rendah serta nilai terpakai bagi kenderaan dijamin, serta pelanggan boleh memilih kenderaan, jumlah bayaran pendahuluan, terma perjanjian serta jarak perbatuan tahunan mereka sendiri.

    Sebaik tempoh pembiayaan tamat, pengguna akan mempunyai tiga pilihan; membayar baki nilai kenderaan untuk mendapatkan pemilikan penuh, lanjutkan perjanjian dan membuat pembiayaan semula bagi jumlah baki nilai ataupun pulangkan kenderaan. Mereka juga boleh menaik taraf kepada kenderaan Mercedes-Benz yang lebih baru dengan perjanjian yang baru.

    Hap Seng sediakan Young Star Agility bagi kenderaan terpakai Mercedes-Benz – insurans percuma setahun

    Setiap kenderaan terpakai Mercedes-Benz Certified akan menerima pemeriksaan 215-perkara termasuk bahagian enjin, casis, struktur badan dan sistem elektrikal; ia juga hadir dengan jarak perbatuan yang disahkan serta sejarah penuh servis dari pusat servis rasmi, dengan penggunaan alat ganti asli. Tayar serta lain-lain bahagian yang boleh haus juga akan diganti jika perlu.

    Sebagai tambahan, semua kereta akan menerima lanjutan satu tahun bagi tempoh asal empat tahun jaminan tanpa had perbatuan yang disediakan, dengan akses kepada bantuan tepi jalan 24-jam. Untuk kelebih keselesaan, syarikat juga menambahkan MobilityPlus*, menawarkan penggantian kereta sekiranya kereta anda memerlukan servis (termasuk tuntutan jaminan) melebihi 48 jam.

    Hap Seng sediakan Young Star Agility bagi kenderaan terpakai Mercedes-Benz – insurans percuma setahun

    Pelanggan juga boleh mendapatkan pakej servis dan penyelenggaraan yang lebih murah dan menambah baucar servis dan penyelenggaraan Mercedes-Benz Malaysia ke dalam perjanjian pembiayaan mereka untuk meringankan lagi tanggungan.

    Bermula sekarang hingga 31 Mei, syarikat turut memberikan pelindungan insurans kenderaan percuma bagi tahun pertama, sempena sambutan Hari Raya. Layari laman web Mercedes-Benz Certified bagi senarai lengkap kenderaan yang ditawarkan, atau periksa sendiri di pusat Mercedes-Benz Certified di Bandar Kinrara dan Balakong.

     
     
  • Vespa Sprint S 150, Primavera S 150 2020 sudah tiba di Malaysia – tempahan awal boleh dibuat melalui Lazada

    Vespa Sprint S 150, Primavera S 150 2020 sudah tiba di Malaysia – tempahan awal boleh dibuat melalui Lazada

    Melalui gambar yang dimuat naik dalam laman Facebook rasmi Vespa Malaysia, model Sprint S 150 dan Primavera S 150 2020 nampaknya sudah tiba di Malaysia dan tempahan awal sudah dibuka melalui laman jualan atas talian Lazada.

    Model tahun 2020 ini masih lagi mempunyai perincian teknikal sama seperti model yang dilancarkan tahun lepas tetapi kemasan serta penampilannya sedikit berbeza. Bagi Sprint S 150 2020, ia datang dalam pilihan warna kuning, putih dan hitam, berserta jalur merah di beberapa bahagian.

    Primavera S 150 2020 pula ditawarkan dalam warna merah dan kelabu, dan beberapa bahagian yang menggunakan kemasan krom sebelum ini diganti dengan warna kelabu gelap. Enjin kedua-dua model ini adalah sama, iaitu unit satu silinder suntikan bahan api empat lejang 150 cc i-Get yang berkuasa 12.9 hp pada 7,750 rpm dan 12.8 Nm tork pada 6,500 rpm. Beza antara keduanya cuma pada bentuk dan kemasan badan.

    Harga jualan sebenar Sprint S 150 dan Primavera S 150 2020 masih lagi belum disiarkan kerana ia belum dilancarkan secara rasmi, tetapi pelanggan yang berminat sudah boleh membuat tempahan awal melalui laman Lazada dengan bayaran RM60 sahaja (ditukar sebagai baucar).

    Jika melihat kepada model yang dilancarkan tahun lepas, harga Sprint S 150 adalah RM17,400 manakala Primavera S 150 pula adalah RM16,400. Itu adalah harga waktu Vespa masih lagi diuruskan oleh Naza Premira Sdn Bhd, sementara sekarang ia telah diambil alih oleh Didi Resources Sdn Bhd sejak 1 Januari 2020.

    Promosi ini ditawarkan sehingga 31 Mei sahaja, sementara baucar itu pula perlu ditebus kembali sebelum 30 Jun 2020 (bermakna anda perlu mengesahkan pembelian sebelum waktu itu). Setiap pembelian yang lengkap melalui Lazada ini juga akan memberikan pemilik baru baju rasmi Vespa serta aksesori yang bernilai RM700 secara percuma.

     
     
  • Pusat servis Modenas dibuka empat hari seminggu

    Pusat servis Modenas dibuka empat hari seminggu

    Berikutan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang oleh kerajaan bermula 4 Mei, Modenas telah menambah hari operasi untuk pusat servis sah terpilih daripada dua hari sebelum ini kepada empat hari seminggu.

    Sudah tentu, prosedur operasi standard (SOP) seperti yang dicadangkan oleh kerajaan akan diikut, termasuk waktu operasi yang lebih singkat, kakitangan yang terhad serta mematuhi langkah-langkah pencegahan seperti penjarakan sosial dan pemantauan amalan kebersihan setiap masa.

    Semuanya ada lima pusat servis Modenas yang termasuk dalam senarai ini iaitu di Subang, Selangor, Ipoh, perak, Gurun, Kedah, Kuantan, Pahang dan Johor Bahru, Johor. Waktu operasi adalah dari jam 10 pagi hingga 3 petang, hari Isnin hingga Khamis.

    Pusat servis Modenas dibuka empat hari seminggu

    Pelanggan walaubagaimanapun perlu membuat temu janji terlebih dahulu sebelum datang ke pusat servis, melalui http://bit.ly/mcobookaservice, http://bit.ly/jomservis atau menghantar mesej WhatsApp ke talian Modenas Careline di 019-5708135. Wakil yang bertugas kemudiannya akan mengesahkan slot waktu serta tarikh untuk pelanggan hadir.

    Dalam masa sama, Modenas mengumumkan bahagian alat ganti mereka juga telah memulakan operasi untuk menyokong rangkaian stokis, dan pelanggan boleh mendapatkan alat ganti tulen melalui pusat servis serta wakil pengedar berdaftar Modenas di seluruh negara.

     
     
  • Toyota Prius Albermo SP42 – Ferrari palsu dari Jepun

    Toyota Prius Albermo SP42 – Ferrari palsu dari Jepun

    Tempoh hari, kami ada menaikkan satu artikel Albermo XR51 iaitu kit badan dari Jepun yang akan menukar Toyota RAV4 anda kepada SUV yang mirip kepada Lamborghini Urus. Namun sebenarnya, kit Albermo dari Ceaser Inc. ini dihasilkan dalam dua versi, satu lagi adalah Albermo SP42 yang akan merubah Toyota Prius ZVW51 menjadi seakan Ferrari Portofino.

    Seperti Albermo XR51, SP42 ini turut mengekalkan penggunaan lampu hadapan model asalnya, bersama cagak-cagak bagi membolehkan anda memindahkan penderia parkir dan penderia sistem Toyota Safety Sense dengan mudah. Hidung bampar ‘Ferrari palsu’ ini turut diberikan logo Albermo yang kelihatan sekali imbas macam logo kuda Ferrari, namun ia sebenarnya logo seekor burung jenjang.

    Toyota Prius Albermo SP42 – Ferrari palsu dari Jepun

    Pada bahagian belakang, kit ini turut dibekalkan dengan “half spoiler” dan juga diffuser pada bampar yang lebih agresif. Keseluruhan kit ini dijual pada harga 178,000 yen (RM7.2k) tanpa cat dan juga kos pemasangan.

    Selain dari menjual kit, anda juga boleh membeli sebuah model lengkap Albermo SP42 ini yang dihasilkan dari sebuah Toyota Prius facelift dari varian S, kemudian diberikan kit badan lengkap Albermo SP42, sistem audio dengan skrin Alpine 9-inci yang turut mempunyai fungsi navigasi dan paparan kamera undur, karpet kaki Pentagon dengan logo Prius yang disulam, pembaca tol elektronik bina dalam ETC 1.0, spring dari RS*R untuk merendahkan badan kereta ini, serta rim Rays Volk Racing G025 19-inci yang dibalut tayar Nitto NT555 bersaiz 225/35R19.

     
     
  • Ferrari tangguh lancar model baharu kerana COVID-19

    Ferrari tangguh lancar model baharu kerana COVID-19

    Menurut laporan yang disiarkan oleh Automotive News Europe, Ferrari merancang untuk melancarkan dua model baharu pada tahun ini. Walau bagaimana pun, disebabkan wabak pandemik COVID-19 telah merebak di seluruh dunia, sekaligus turut menjejaskan jadual pengeluaran syarikat terbabit, maka jenama ini perlu menangguhkan pelancaran tersebut dalam tiga hingga empat bulan.

    Ia turut terdorong dengan pengeluar kereta Itali ini yang mahu melihat langkah pengurangan kos dan peruntukan modal bagi tahun ini disebabkan krisis kesihatan tersebut. CEO Ferrari Loius Camilleri berkata keputusan syarikat membuat penangguhan pelancaran beberapa model terbabit adalah “tepat pada waktunya”.

    Terdapat beberapa perkhabaran yang kurang menyenangkan di sebalik penangguhan pelancarannya ini, ia disebabkan Ferrari menjangkakan penyusutan jualan sebanyak 4-15% untuk tahun ini, berbanding tahun lalu. Meski pun begitu, Ferrari masih berhasrat untuk melancarkan empat daripada lima model baharunya yang pernah didedahkan pada tahun 2019, dengan penghantaran model F8 Tributo telah pun dimulakan. Sementara tiga lagi model dijangka akan memulakan penghantaran kepada pelanggan pada separuh kedua tahun 2020.

    Pada 2019, Ferrari telah mendedahkan model F8 Tributo, diikuti dengan SF90 Stradale, 812 GTS, F8 Spider dan Roma. Malah turut mendedahkan jentera lumba yang dipertingkatkan iaitu 488 Challenge Evo dan 488 GT3 Evo.

     
     
  • Alfa Romeo Giulia, Stelvio Quadrifoglio 2020 dilancar

    Alfa Romeo Giulia, Stelvio Quadrifoglio 2020 dilancar

    Alfa Romeo telah memperkenalkan Giulia dan Stelvio Quadrifoglio 2020, di mana model ini diberikan penambahan kelengkapan dan sistem keselamatan. Untuk penampilan, ia sekarang mendapat lampu belakang LED yang lebih gelap, kemasan hitam pada lencana dan rim 21 inci untuk Stelvio.

    Bagi mendapatkan gaya lebih sporty, pelanggan boleh memilih pakej oleh Mopar yang memberikan gril hadapan yang mempunyai kemasan V di dalam, pelindung cermin sisi serta spoiler belakang diperbuat daripada gentian karbon. Perincian seperti muncung ekzos dan angkup brek masih lagi sama seperti sebelum ini, tetapi sekarang model ini mendapat pilihan warna baru iaitu 6C Villa d’Este Red, GT Junior Ocra dan Montreal Green.

    Pada bahagian dalam terdapat roda stereng dan tombol gear yang dibalut dengan kulit, tali pinggang yang boleh dipilih dalam warna hijau atau merah, tempat duduk gabungan kulit dan Alcantara, serta konsol tengah yang mempunyai ruang simpanan lebih besar. Tempat duduk rangka Carbon Sparco disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Alfa Romeo Giulia, Stelvio Quadrifoglio 2020 dilancar

    Sistem infotainmen dipertingkat dengan unit skrin sesentuh 8.8 inci, yang mempunyai servis ketersambungan serta rekaan interface baru. Ia hanya disediakan secara eksklusif untuk model Quadrifoglio, dengan bahagian Performance memaparkan data penting seperti penyampaian tork, tekanan turbo, kuasa dan chronometer digital.

    Enjin masih lagi menggunakan unit petrol V6 2.9 liter, yang ditala untuk menghasilkan 510 hp dan 600 Nm tork pada 2,500 rpm. Ia dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan yang menghantarkan kuasa kepada semua tayar melalui sistem AWD Q4 yang dilengkapi sistem Alfa Active Torque Vectoring.

    Kelengkapan lain yang diberikan khas untuk model Quadrifoglio ini adalah Alfa Active Suspension, mod pemanduan Alfa DNA Pro, splitter Alfa Active Aero (Giulia sahaja) dan Alfa Chassis Domain Control. Pemilik yang mahukan bunyi lebih unik boleh mendapatkan ekzos Akrapovic yang mempunyai dua mod dan kemasan muncung gentian karbon.

    Alfa Romeo Giulia, Stelvio Quadrifoglio 2020 dilancar

    Akhir sekali, Giulia dan Stelvio Quadrifoglio kini juga didatangkan secara terus dengan Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) yang dibangunkan bersama Bosch, dan boleh menawarkan sistem pemanduan autonomous tahap 2.

    Dalam sistem ini terdapat Lane Keep Assist, Active Blind Spot Assist, Active Cruise Control, Traffic Sign Recognition and Intelligent Speed Control, Traffic Jam Assist and Highway Assist, serta Driver Attention Assist. Ciri lain seperti Forward Collision Warning dan Autonomous Emergency Braking masih lagi dikekalkan.

     
     
  • Subaru Malaysia umum beberapa bilik pameran dan pusat servis terpilih kembali beroperasi seperti biasa

    Subaru Malaysia umum beberapa bilik pameran dan pusat servis terpilih kembali beroperasi seperti biasa

    TC Subaru Sdn Bhd, selaku pengedar eksklusif kenderaan Subaru di Malaysia telah mengumumkan pembukaan semula beberapa bilik pameran dan pusat servis di seluruh negara sejak 6 Mei lalu.

    Bilik pameran dan pusat servis yang telah kembali beroperasi ialah Motor Image Petaling Jaya, Motor Image Kuala Lumpur, Motor Image Cheras, Subaru Old Klang Road (AAW Nexus), Subaru Setapak (Karrus Automotive), Subaru Kluang (AJ Premium Motors), Subaru Muar (AJ Premium Motors), Subaru Cheng (AJ Premium Motors) dan Subaru Puchong (SV Prestige).

    Begitu juga dengan Subaru Kajang (SV Prestige), Subaru Seremban (SV Prestige), Subaru Putrajaya (SS Auto Venture), Subaru Kepong (Robust Synergy), Subaru Sitiawan (Ipoh Auto City), Subaru Ipoh (Ipoh Auto City) dan Subaru Langkawi (Carcomobile Carriage). Selain itu, TC Subaru turut membuka Motor Image Johor Bahru mulai hari ini. Untuk mengetahui waktu operasi setiap premis, bolehlah melayari laman web rasmi https://www.subaru.asia/my.

    Subaru Malaysia umum beberapa bilik pameran dan pusat servis terpilih kembali beroperasi seperti biasa

    Walau bagaimana pun terdapat beberapa pusat servis yang telah dibuka semula tetapi dengan waktu operasi yang lebih pendek untuk tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu Motor Image Petaling Jaya, Motor Image Cheras dan Motor Image Georgetown yang beroperasi dari jam 9 pagi hingga 4 petang. Manakala Motor Image Bukit Mertajam pula beroperasi dari jam 9 pagi hingga 2 petang.

    Sebagai langkah pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan, TC Subaru telah mengimplementasikan beberapa langkah berjaga-jaga untuk para pelanggan. Ini termasuklah para pelanggan yang tidak dibenarkan menunggu di pusat servis termasuk membawa kanak-kanak.

    Bukan itu sahaja, setiap kenderaan yang dihantar kenderaan untuk diselenggara atau dibaiki akan menjalani proses pembasmi kuman sebelum dan selepas kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan. Malah pemeriksaan suhu badan dan mewajibkan pemakaian penutup mulut dan hidung juga diwajibkan sebaik sahaja memasuki premis.

    Malah, demi keselamatan para pelanggan, TC Subaru juga memperkenalkan inisiatif ‘pandu uji di rumah’ di mana konsultan jualan akan membawa model kenderaan yang dipilih oleh pelanggan untuk dipandu uji di rumah pelanggan terbabit. Penjarakan sosial dan penggunaan hand sanitizer juga diamalkan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

     
     
  • Ada 98 sekatan jalan raya untuk pantau pergerakan rentas negeri, patah balik jika ingkar – PDRM

    Ada 98 sekatan jalan raya untuk pantau pergerakan rentas negeri, patah balik jika ingkar – PDRM

    Pergerakan rentas negeri untuk mereka yang terkandas di kampung dan mahu pulang ke rumah masing-masing telah pun bermula semalam. Selain telah mengeluarkan jadual perjalanan bagi setiap negeri di Semenanjung Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga memantau dan memeriksa kenderaan menerusi 98 sekatan jalan raya yang dilaksanakan.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan jumlah sekatan jalan raya berkenaan akan ditambah dari semasa ke semasa mengikut keperluan.

    “Kita mendirikan sekatan jalan raya untuk pastikan mereka yang terbabit perjalanan itu mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan arahan dikeluarkan. Mereka yang ingkar dan tidak mengikut jadual ditetapkan untuk perjalanan berkenaan akan diarah untuk patah balik. Polis juga tidak mempunyai masalah sekiranya sekatan jalan raya perlu ditambah di mana-mana negeri pada bila-bila masa,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Ada 98 sekatan jalan raya untuk pantau pergerakan rentas negeri, patah balik jika ingkar – PDRM

    Tambahnya, “Perjalanan rentas negeri hanya dilaksanakan bagi mereka yang terkandas di sebuah lokasi sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu. Maksud terkandas ialah orang yang bergerak dan berada di sebuah tempat sebelum PKP dikuatkuasakan. Contohnya, mereka berada di kampung dan mahu pulang ke kediaman masing-masing di bandar.”

    Beliau turut berkata, bagi mereka yang ingkar, boleh dikenakan tindakan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 5) 2020 dan berdepan denda RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.

    Pergerakan rentas negeri ini bermula pada semalam, 7 Mei, untuk mereka yang bergerak dari Kuala Lumpur, manakala untuk mereka yang bergerak dari Perak, Johor dan Kelantan pula adalah hari ini, 8 Mei. Pada 9 Mei pula, adalah bagi yang bergerak dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang. Manakala 10 Mei untuk yang bergerak dari Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu.

     
     
  • VIDEO: Mekanik di India hasilkan motosikal elektrik patuh penjarakan sosial cegah penularan Covid-19

    Menyedari perlunya ada penjarakan sosial bagi mencegah penularan wabak Covid-19, seorang mekanik di India telah menghasilkan sebuah motosikal elektrik yang patuh kepada saranan tersebut.

    Partha Saha, 39 dari Agartala, Tripura telah menyiapkan motosikal berkenaan berasaskan sebuah motosikal yang dibeli dari penjual besi buruk. Casis asas motosikal tersebut telah dikerat dan dipanjangkan dengan rod logam bagi membolehkan tempat duduk penunggang dan pembonceng di jarakkan sejauh satu meter.

    Kemudian, enjin petrol asal motosikal tersebut tidak lagi digunakan, sebaliknya Saha memadankan sebuah motor elektrik DC berkuasa 750 watt yang diletakkan berhampiran dengan roda belakang, dijana oleh 48-volt yang diposisikan di belakang penunggang. Menurutnya, motosikal ini mampu mencapai kelajuan maksima 40 km/j, dan satu cas penuh yang mengambil masa tiga-jam membolehkan ia bergerak sejauh 80 km.

    Dalam laporan AFP, Saha menjelaskan bahawa dia menghasilkan motosikal ini untuk menghantar adiknya ke sekolah sebaik sahaja sekatan perjalanan di India ditarik semula kelak kerana tidak mahu adiknya itu bersesak-sesak di dalam bas.

    Tapi rasanya dengan ahli keluarga tak payah la penjarakan sosial sangat sebab duduk satu rumah kan? Lain lah kalau digunakan untuk khidmat bonceng penumpang yang seperti yang dibuat oleh Gojek di Indonesia. Apa pun, rekaan Saha ini telah mendapat pujian dari ketua menteri Tripura menerusi satu hantaran Twitter yang menyifatkan rekaan unik tersebut boleh menyebarkan kesedaran ketika pandemik Covid-19 ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025