Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Hyundai bangunkan beg udara untuk bumbung panaromik – pertama seumpamanya di dunia

    Hyundai bangunkan beg udara untuk bumbung panaromik – pertama seumpamanya di dunia

    Kecederaan akibat tercampak keluar dari bumbung panaromik ketika kemalangan yang melibatkan kereta tersebut terbalik mungkin masih lagi belum tinggi buat masa sekarang kerana jumlah kenderaan yang menggunakannya masih lagi belum banyak. Namun sebagai langkah proaktif, Hyundai Mobis, pengeluar alat ganti untuk jenama Korea berkenaan kini sudahpun mula untuk membangunkan beg udara khas untuk bumbung panaromik.

    Sistem beg udara istimewa tersebut direka bagi mengelakkan penumpang terkeluar dari kenderaan menerusi bumbung panaromik itu ketika kereta terlibat dalam kemalangan dan terbalik. Menurut Pentadbiran Keselamatan Trafik Nasional Amerika Syarikat (NTHSA), sehingga kini seramai 260 orang telah dilaporkan tercampak keluar dari bumbung panaromik dalam kemalangan yang melibatkan kenderaan terbalik.

    Manakala menurut Penyelidik Pasaran P&S pula, pasaran global untuk bumbung panaromik dianggarkan bernilai sekitar enam trillion won (RM22.4 billion) pada 2015 dan dijangkakan akan berkembang purata 11% setahun sehingga 2022.

    Beg udara yang dibangunkan oleh Hyundai Mobis ini akan diaktifkan sekiranya penderia mengesan perubahan sudut putaran ketika kereta sedang terbalik. Ia diletakkan di bahagian belakang bumbung panaromik, dan akan berkembang meliputi kesemua bahagian bumbung kaca berkenaan dalam masa hanya 0.08 saat ketika berlaku kemalangan.

    Menurut Hyundai Mobis lagi, struktur beg udara bumbung panaromik ini lebih rumit berbanding beg udara biasa, dan ia akan meletup dalam keadaan yang stabil pada pemasangan bumbung. Corak ia berkembang ketika meletup juga berbeza bergantung pada keadaan, sama ada ketika bumbung terbuka atau tertutup – ia akan berkembang pada bahagian bawah pelindung cahaya matahari sekiranya ketika bumbung tersebut tertutup.

    Beg udara ini telah diuji pada kenderaan sebenar pada Oktober lalu dan telah lengkap menjalani ujian ketahanan terhadap rintangan haba serta getaran, dan juga telah dirancang untuk pengeluaran besar-besaran. Sejumlah 11 paten telah didaftarkan untuk teknologi ini, dan ia difokuskan untuk dipadankan pada SUV premium.

     
     
  • MKJR saran penjara mandatori untuk pemandu cuai

    MKJR saran penjara mandatori untuk pemandu cuai

    Kemalangan jalan raya yang mengorbankan nyawa acapkali menjadi paparan utama ruangan berita. Saban hari, pasti ada sahaja berita mengenainya dilaporkan. Malahan ia semakin menjadi kebimbangan kerana bagai sukar untuk membendung sifat kurang berhemah di kalangan segelintir pemandu.

    Justeru, Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) menggesa kerajaan memperkenalkan hukuman penjara mandatori terhadap pemandu yang dibuktikan cuai dan tidak berhemah sehingga membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.

    Menurut Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye, undang-undang yang efektif dapat mengekang sikap pemanduan tidak berhemah, terutama dalam kalangan pemandu kenderaan berat, laporan Berita Harian.

    Katanya lagi, cadangan hukuman penjara mandatori lebih panjang adalah tepat pada masanya kerana nasib penumpang dan orang awam kini seolah-olah bergantung kepada ‘belas ehsan’ pemandu bas dan kenderaan berat.

    “Sekiranya kerajaan dan agensi seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tidak mengambil tindakan tegas dan drastik terhadap ‘pembunuh’ yang jelas kelihatan ini, kematian akibat kemalangan mungkin tidak akan berakhir. Langkah radikal itu juga dapat menangani peningkatan kes kemalangan jalan raya akibat kecuaian pemandu sendiri,” katanya.

    MKJR saran penjara mandatori untuk pemandu cuai

    Beliau juga percaya, tindakan tegas perlu untuk menangani masalah itu dengan menimbulkan perasaan bertanggungjawab dalam kalangan pemandu, terutama pemandu kenderaan berat.

    “Mereka perlu tahu bahawa mereka boleh dipenjara jika didapati bersalah memandu secara melulu dan mengakibatkan kematian penumpang atau pengguna jalan yang lain. Bukan itu sahaja, agensi penguat kuasa juga harus melakukan pemeriksaan kerap untuk menahan pemandu yang tidak berhemah,” katanya lagi.

    Ini termasuklah pemeriksaan bagi mengesan pemandu yang mengambil dadah dan alkohol yang boleh membahayakan nyawa pengguna jalan lain.

    Buat masa ini, Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 10 tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM20,000 bagi kesalahan berkenaan.

    Memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan kepada orang lain, boleh didakwa mengikut Seksyen 44 (1) akta sama, yang membawa hukuman penjara tiga hingga 10 tahun dan denda RM8,000 hingga RM20,000.

     
     
  • Nissan B2V – kawal kereta guna gelombang dari otak

    Nissan B2V – kawal kereta guna gelombang dari otak

    Nissan akan membawa sesuatu yang istimewa ke pameran CES 2018 di Las Vegas. Ia adalah satu teknologi yang dapat mentafsir isyarat dari otak, dan digunakan untuk melaras pemanduan kenderaan. Teknologi baru ini dinamakan sebagai Brain-to-Vehicle atau B2V, dan Nissan akan membawa satu simulator ke acara itu untuk demonstrasi.

    “Apabila berkata tentang pemanduan autonomous, kebanyakan orang mempunyai pandangan masa hadapan yang tidak begitu personal, dan manusia sekadar ‘melepaskan’ kawalan kepada mesin (kereta). Tetapi, teknologi B2V adalah berbeza, ia menggunakan isyarat dari otak mereka sendiri, untuk menjadikan pemanduan lebih menyeronokkan,” kata Timbalan Presiden Eksekutif Nissan, Daniele Schillaci.

    Teknologi B2V ini adalah sistem pertama di dunia seumpamanya, dan pemandu perlu memakai satu alat di kepala untuk mengukur gelombang aktiviti otak, yang kemudiannya akan dianalisa oleh sistem autonomous kenderaan. Melalui data yang dikumpul, sistem tersebut dapat mengetahui bila pemandu akan mengambil tindakan, dan melakukannya 0.2 hingga 0.5 saat lebih awal tanpa memberi kesan yang begitu ketara kepada pemandu.

    Nissan B2V – kawal kereta guna gelombang dari otak

    Apa yang dapat dirasakan oleh pemandu hanyalah satu pemanduan yang lebih memuaskan, kereta yang lebih responsif dan kawalan yang lebih tepat. Selain itu, teknologi B2V juga dapat digunakan dalam pemanduan autonomous supaya menghasilkan pemanduan yang natural seperti seseorang pemandu itu sendiri apabila mereka mengawal kenderaan tersebut.

    Menurut penyelidik kanan Nissan di Jepun, Dr. Lucian Gheorghe, antara kemungkinan lain penggunaan B2V ini adalah pelarasan suasana dalam kenderaan. Sebagai contoh, teknologi tersebut boleh menggunakan augmented reality untuk melaras apa yang dilihat oleh pemandu dan menghasilkan suasana yang lebih menyenangkan dalam kenderaan.



     
     
  • Proton rekod 70,991 unit jualan bagi 2017, turun 1.8%

    Proton rekod 70,991 unit jualan bagi 2017, turun 1.8%

    Proton telah mengumumkan prestasi jualan keseluruhannya bagi 2017, dengan mencatatkan rekod sebanyak 70,991 unit berbanding 72,291 unit yang terjual pada 2016. Walau bagaimana pun, jualan runcit meningkat sebanyak 2.5% kepada 68,184 unit pada 2017 berbanding 66,513 unit pada 2016.

    Pertumbuhan yang baik dilihat dari kawasan Pusat, Selatan, Pantai Timur dan Timur Malaysia, di mana masing-masing mencatatkan peningkatan di antara 1% hingga 10% unit yang dijual. Jumlah keseluruhan walau bagaimanapun terjejas oleh jualan flit yang kurang memberangsangkan dengan jualan 2,807 unit pada 2017 akibat permintaan teksi yang rendah.

    Menerusi rekod tersebut, Saga, Persona dan Ertiga mewakili 80% daripada jumlah jualan kereta Proton bagi 2017. Kereta terlaris Proton iaitu Saga mencatatkan jualan yang kukuh melebihi 30,000 unit pada 2017. Manakala Persona turut mencatatkan kenaikan sebanyak 27% dengan 19,510 unit dijual berbanding 15,390 unit tahun lepas. Ertiga turut mendapat penerimaan yang baik di pasaran dengan jualan sebanyak 6,091 unit pada 2017.

    “Antara sebab yang menjadikan jualan kereta kami stabil pada 2017 adalah kerana usaha peningkatan kualiti yang agresif yang dilakukan di peringkat dalaman. Rakan kongsi kami daripada Geely Auto melakukan pemeriksaan audit kualiti yang ketat pada kereta Proton dan dalam masa dua bulan, kami dapat meningkatkan poin kualiti kami sebanyak tiga kali ganda. Audit yang dilakukan diukur menggunakan sistem yang teliti, setanding dengan piawaian antarabangsa kereta-kereta Volvo, yang digunapakai Geely.

    “Kami melihat tahun 2018 dengan lebih positif dan berharap dapat meningkatkan usaha untuk menjadi lebih baik pada tahun ini. Tahun ini merupakan tahun kritikal buat Proton memandangkan kami akan melaksanakan aktiviti-aktiviti yang sejajar dengan Rancangan Perniagaan tiga hingga 10 tahun yang baharu, yakni kunci kepada pemulihan syarikat. Demi meningkatkan jumlah jualan, kami akan mengambil mengambil langkah-langkah yang perlu melalui kempen yang lebih menarik untuk pengguna, dan peningkatan kualiti dari segi produk serta perkhidmatan,” ujar Abdul Rashid Musa, Naib Presiden Jualan & Pemasaran, Proton.

     
     
  • Tomei Hirota Datsun Sunny KB110 akan ke TAS2018

    Pengeluar peralatan prestasi untuk enjin dari Jepun, Tomei Powered Inc akan ke Tokyo Auto Salon (TAS) 2018 yang bermula Jumaat ini (12 Januari 2018) dengan membawa jentera lagenda mereka – Tomei Hirota Datsun Sunny KB110 – sempena meraikan ulangtahun ke-50 mereka.

    Hirota Sunny berwarna kuning dengan nombor 84 ini merupakan senjata Tomei yang digunakan pada perlumbaan Touring Car yang dikenali sebagai TS-Cup di Jepun pada era 70’an, bertanding dengan jentera-jentera seperti Toyota Starlet KP47 TRD dan juga Honda Civic SB1 Team Yamato.

    Ia masih dijana enjin asal Nissan A12, namun peralatan dalaman enjin yang terdiri dari crankshaft, rod penyambung dan juga piston dari Tomei membolehkan kapasiti 1,200 cc asal dinaikkan kepada 1,300 cc. Ia juga menerima peralatan prestasi lain pada kepala silinder seperti aci sesondol, injap dan juga rocker cover ikonik TOMEI 1300.

    Dengan suapan campuran udara-bahan api dari sistem karburator perlumbaan side-draught Weber DCOE-45, enjin ‘purba’ dengan kapasiti kecil ini mampu menjana 170 ps pada takat 8,500 rpm.

    Hirota Sunny binaan Tomei ini juga dikenali dengan kit badan buatan Wakos yang terdiri dari spoiler hadapan, over fender, dan juga spoiler belakang. Kereta ini juga menampilkan muka yang ditutup dengan ‘topeng’ khas yang membezakannya dengan Sunny KB110 lain.

    Untuk TAS 2018 kali ini juga, rim asal ‘Toyota Sports Corner’ (TOSCO) yang telah digunakan sejak sekian lama pada Sunny berkenaan akan digantikan dengan unit yang lebih patut iaitu rim ‘pisang’ RS Watanabe, yang disumbangkan sendiri oleh Racing Service Watanabe bagi menyokong penampilan Hirota Sunny ke Tokyo tahun ini.

     
     
  • Singapura mansuhkan caj tol bagi kenderaan yang masuk melalui Woodlands mulai 1 Februari ini

    Singapura mansuhkan caj tol bagi kenderaan yang masuk melalui Woodlands mulai 1 Februari ini

    Singapura mengambil langkah memansuhkan caj tol bagi kenderaan yang memasuki republik itu menerusi Pusat Pemeriksaan Woodlands dan mengurangkan caj bagi kenderaan keluar dari negara itu di pusat sama mulai 1 Februari ini.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Johor Datuk Ir Hasni Mohammad, langkah itu juga merupakan tindakan seiring terhadap langkah Malaysia memberhentikan caj tol di Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Timur Johor (EDL) yang berkuat kuasa 1 Januari lepas.

    “Kita menganggarkan sebanyak 20,000 hingga 25,000 kenderaan sehari dari Johor akan mendapat manfaat daripada pelaksanaan ini, sekali gus memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya dan mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya kepada Bernama.

    Buat masa ini, caj tol bagi kenderaan yang memasuki Singapura menerusi Woodlands adalah S$2.70 atau RM8.11 (bagi kereta), S$4 (RM12) untuk van/kenderaan ringan (perdagangan), S$5.30 (RM15.92) bagi kenderaan berat-perdagangan, S$1.40 (RM4.20) untuk teksi dan S$2.20 (RM6.60) bagi bas.

    LTA juga mengumumkan caj tol bagi kereta keluar dari Singapura menerusi Woodlands akan dikurangkan kepada S$1 (RM3) (caj sedia ada S$3.80/RM11.41), van/kenderaan ringan (perdagangan) S$1.50/RM4.50 (S$5.80/RM17.42), kenderaan berat (perdagangan) S$2/RM6 (S$7.70/RM23.13), teksi S$0.50/RM1.50 (S$1.90/RMRM5.70), dan bas S$0.80/RM2.40 (S$3.10/RM9.31).

     
     
  • Guna Bitcoin, Ethereum untuk beli kenderaan Proton?

    Guna Bitcoin, Ethereum untuk beli kenderaan Proton?

    Susulan daripada sekeping gambar yang tersebar di media sosial baru-baru ini, yang menunjukkan pengedar Proton yang dikatakan menerima mata wang kripto, terutamanya Bitcoin dan Ethereum sebagai kaedah pembayaran bagi memberi kenderaan Proton, berikut merupakan penjelasan rasmi daripada Proton.

    Transaksi dalam kaedah berkenaan adalah tidak sah, tegas Proton di dalam satu kenyataan yang dikeluarkan. Tawaran yang ada itu dilakukan secara berasingan atas usaha pengedar terbabit dan ia tidak menerima kelulusan atau pengesahan dari Proton sendiri.

    Pengedar yang terlibat itu kini digantung operasi, dan perkara itu akan disiasat lebih lanjut, seperti dimaklumkan dalam kenyataan yang sama. Proton juga menjelaskan, walaupun syarikat itu terbuka untuk melakukan jualan dengan kaedah yang lebih berinovasi untuk memudahkan pelanggan, syarikat juga ingin mengingatkan rangkaian jualannya agar lebih berhati-hati untuk menjalankan sebarang tawaran atau promosi yang tidak mendapat pengesahan dari Proton.

    Mata wang kripto berkenaan sangat jelas tidak stabil. Ketika artikel ini ditulis, satu Bitcoin bernilai RM67,500, cukup untuk membeli sebuah Proton Preve. Namun, tiga minggu lalu, nilainya RM10,000 lebih dari jumlah itu. Bagi tempoh sama ketika ini tahun lalu pula, ia bernilai RM4,200, hanya cukup untuk digunakan bayaran pendahuluan bagi sebuah Iriz sahaja.

    Adakah anda merasakan kaedah transaksi dengan mata wang kripto ini lebih mudah untuk pembelian kenderaan? Nyatakan pandangan anda di ruang komen di bawah.

     
     
  • Mercedes-Benz G-Class 2019 – gambar rasmi bocor

    Mercedes-Benz G-Class 2019 – gambar rasmi bocor

    Semakin banyak perincian yang keluar berkenaan Mercedes-Benz G-Class 2019, yang sepatutnya membuat penampilan pertama minggu hadapan. Sebelum ini kita pernah melihat video teaser rasminya, perincian teknologi offroad, dan kini, gambar rasminya pula bocor dan disiarkan dalam laman web Belanda, Autoweek.nl.

    Imej ini menunjukkan bentuk yang dikenali sebelum ini, walaupun bahagian bucunya ‘dilembutkan’ bagi model baru ini. Terdapat lampu utama, gril hadapan serta bampar baru, tapi secara keseluruhannya, model Gelandewagen ini masih mengekalkan bentuk utamanya, dan pasti masih akan digemari penggemar sejatinya.

    Bahagian dalam sebenarnya yang mempunyai banyak perubahan, seperti yang pernah disiarkan bulan lalu. Selain ruang kaki yang lebih luas, ciri moden telah menjadikan bahagian dalamnya lebih mewah, bersama teknologi baru yang termasuk dua skrin digital 12.3 inci, untuk panel instrumen dan skrin tengah.

    Mercedes-Benz G-Class 2019 – gambar rasmi bocor

    Sementara penambahan baru ini masih mengekalkan sifat G-Wagen, konfigurasi rangka jenis ladder membolehkan ia menggunakan tiga pengunci differential 100% dan nisbah offroad rendah. Peningkatan teknologi kejuruteraan yang lain turut menjadikan ia kenderaan offroad yang lebih hebat berbanding dulu.

    Selain jarak kelegaan antara gandar dan ketinggian meredah air yang lebih baik berbanding G-Class sebelum ini, model baru turut mendapat transfer case baru, yang dilekatkan pada flange terus kepada transmisi, serta program pemanduan offroad G-Mode yang boleh mengubah tindak balas stereng, pendikit dan suspensi.

    Spesifikasi enjin masih belum didedahkan, tetapi G-Class 2019 dijangka menggunakan enjin V8 biturbo 4.0 liter yang sama seperti G 500 facelift yang keluar pada tahun 2015. Walaubagaimanapun, bahagian transmisi telah diberitahu akan menggunakan unit automatik 9G-Tronic dengan torque converter spesifik untuk G-Class, bersama perisian tersendiri.

     
     
  • TuneD siar teaser kit untuk Proton Saga FLX

    TuneD siar <em>teaser</em> kit untuk Proton Saga FLX

    September lalu, pengeluar aksesori tempatan –TuneDhadir dengan kit tingkat taraf untuk Proton Saga 2016 yang diperkemas, menampilkan rupa yang jauh lebih menarik dari versi sebelumnya. Nampaknya tidak lama lagi jenama dari Malaysia ini akan menawarkan kit sedemikian untuk pemilik-pemilik model Proton lebih lama iaitu Saga FLX.

    Imej teaser untuk kit tersebut telah pun disiarkan, memaparkan garis bentuk muka model terbabit. Dari imej berkenaan dapat dilihat Saga FLX akan menerima gril baharu yang agak seiras dengan gril TuneD untuk Saga generasi ketiga. Bampar kereta ini juga telah ditukar dengan unit menampilkan liang kemasukan udara agresif pada kedua-dua sisi.

    Berbanding Saga 2016 yang diberikan lampu nyalaan siang mendatar pada bampar, versi untuk Saga FLX ini pula direka secara menegak. Perubahan ini juga menampilkan jalur serlahan melintang berwarna merah merentangi gril utama serta di bahagian bawah lips bampar.

    Tiada perincian lain didedahkan setakat ini, namun untuk pakej Saga 2016, ia turut terdiri dari pelbagai kelengkapan seperti bampar hadapan bersama lampu nyalaan siang LED, bampar belakang bersama reflektor LED, skirt sisi lengkap dengan emblem TuneD, dan juga cat badan keseluruhan yang digelar Fierce Red oleh TuneD.

    Selain itu, TuneD turut menampilkan pelbagai aksesori lain untuk Saga 2016 yang diumumkan sebelum ini, antaranya rim aloi berdiameter 16-inci, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, upholsteri kulit untuk bahagian dalaman, pakej tingkat taraf aspek NVH, dan pelbagai lagi. Selain dari Saga, TuneD turut menghasilkan barisan aksesori untuk model Proton lain seperti Preve dan Persona.

    GALERI: Proton Saga TuneD 2016

     
     
  • Toyota tunjuk kereta autonomous baru untuk 2018

    Toyota tunjuk kereta autonomous baru untuk 2018

    Syarikat penyelidikan artificial intelligence (A.I) milik Toyota, iaitu Toyota Research Institute (TRI) telah menunjukkan sebuah kereta penyelidikan baru untuk pemanduan autonomous, lebih awal daripada acara Consumer Electronics Show (CES) di Las Vegas minggu hadapan. Kereta Platform 3.0 ini menggunakan asas Lexus LS 600hL generasi sebelum ini, dengan kemampuan teknologi bersepadu yang lebih baik.

    Kereta ini telah dibangunkan dengan konfigurasi sensor yang lebih tetap dan tahap prestasi yang dapat meningkatkan pemahaman terhadap keadaan sekeliling. Sistem Luminar LIDAR dengan jarak 200 meter yang sebelum ini hanya digunakan di hadapan, kini meliputi keseluruhan 360 darjah keliling kereta, hasil penggunaan empat pengimbas LIDAR definisi tinggi. Ini memberikan pengesanan objek yang lebih tepat, walaupun dalam keadaan gelap.

    Sementara itu, sensor LIDAR jarak pendek turut dipasang pada bampar hadapan, bampar belakang serta fender depan untuk mengesan objek yang lebih kecil serta pendek seperti kanak-kanak atau serpihan atas jalan. Institut ini juga mendakwa pakej sensor pada kenderaan ini menjadikan ia kereta autonomous ujian yang mempunyai daya tanggapan paling tinggi atas jalan sekarang, dan platform ini dapat dimasukkan dengan pelbagai teknologi lain.

    Toyota tunjuk kereta autonomous baru untuk 2018

    Semua teknologi ini telah diletakkan dalam satu pakej yang lebih selaras, dan ia mempunyai paduan lebih baik dengan rekaan LS. Syarikat ini juga telah bekerjasama dengan jurutera Calty Design Research dan Toyota Motor North America (TMNA) untuk meletakkan sensor serta kamera yang lebih kompak, dengan panel bumbung tahan cuaca dan suhu.

    Bumbung ini mengambil inspirasi rekaan daripada helmet motosikal offroad, dengan permukaan hadapan yang tajam dan menjadi lebih aerodinamik di belakang. Di antara permukaan yang bertemu dengan bumbung, terdapat kemasan krom. Kemasan ini dapat menjadikannya lebih kemas, berbanding kebanyakan kenderaan autonomous lain yang mempunyai kesan sambungan dan sensor LIDAR berpusing yang terkeluar.

    Turut diperkemas adalah seni bina kompter untuk operasi fungsi pemanduan autonomous, yang sebelum ini menggunakan hampir keseluruhan ruang but yang ada. Bahagian elektronik dan pendawaian telah dimuatkan dalam satu kotak kecil yang mempunyai logo TRI berlampu LED.

    Toyota tunjuk kereta autonomous baru untuk 2018

    Pengeluaran skala kecil untuk kenderaan ujian Platform 3.0 ini akan bermula musim luruh ini di Pusat Pembangunan Prototaip di ibu pejabat penyelidikan dan pembangunan TMNA di York Township, Michigan, menggunakan stok model LS yang ada. Jumlah yang kecil ini dapat menjadikan ia terus fleksibel, memandangkan TRI menggunakan dua generasi kenderaan ujian dalam masa satu tahun, dan lebih banyak pembangunan akan dijalankan.

    Dua jenis kenderaan ujian akan dibina, dengan satu menggunakan tetapan pengawal dua kokpit seperti yang pernah diperkenalkan sebelum ini. Rekaan ini akan digunakan untuk menguji pendekatan Guardian TRI, yang mana boleh menukar mod pemanduan dari manual ke autonomous sambil mengekalkan pemandu keselamatan sebagai sokongan. Kenderaan di dalam gambar ini menggunakan tetapan pengawal satu kokpit yang akan digunakan untuk menguji fungsi Chaffeur autonomous sepenuhnya.

     
     
  • Volvo XC60 2018 T8 Inscription telah dilihat di Malaysia

    Volvo XC60 2018 T8 Inscription telah dilihat di Malaysia

    Volvo XC60 generasi kedua sekali lagi telah dilihat di Malaysia, kali ini oleh seorang pembaca, Daniel Chew. Dua unit yang diletak secara terbuka ini dilihat di perkarangan Puspakom baru-baru ini, kemungkinan sedang menjalani ujian type approval di sana.

    Berdasarkan pada gambar-gambar ini, Volvo XC60 terbaru nanti akan ditawarkan dalam varian T8 Twin Engine plug-in hybrid. Ini kerana, unit yang dilihat itu menggunakan lambang T8 dengan agak jelas di bahagian belakang. Diikuti juga dengan logo kecil pada bahagian sisi, serta soket pengecas yang ada pada fender kiri.

    Volvo XC60 2018 T8 Inscription telah dilihat di Malaysia

    Sistem janaan kuasanya terdiri dari enjin petrol Drive-E 2.0 liter supercaj dan turbocaj yang menghasilkan 320 hp pada 5,700 rpm dan 400 Nm dari 2,200 hingga 5,400 rpm. Ini bila digandingkan dengan motor elektrik dengan janaan 87 hp/240 Nm, akan menghasilkan output keseluruhan 408 hp dan 640 Nm.

    Komponen lain yang turut menyumbang kepada sistem ini ialah crankshaft-mounted starter generator (CISG) dengan kuasa 34 kW serta transmisi Aisin AW TG-81SD automatik lapan-kelajuan. Volvo mendakwa ia mampu mencapai kelajuan 0-100 km/j dalam tempoh 5.3 saat, manakala kelajuan maksimum 230 km/j serta penggunaan minyak gabungan pada kadar 2.1 liter bagi setiap 100 km.

    Selain itu, unit yang dilihat ini juga memberi petunjuk kepada tingkat kemasan yang akan melengkapi model berkenaan – kit Inscription menghiasi kedua-dua unit yang dilihat ini. Bahagian gril, kemasan apron bawah serta kit sisi semuanya menerima kemasan krom. Tidak ketinggalan ialah bahagian hujung ekzos bersepadu, serta penggunaan rim 19 inci 10-jejari aloi.

    Volvo XC60 2018 T8 Inscription telah dilihat di Malaysia

    Walaupun tak ada gambar ruang dalamannya, dan memandangkan XC60 ini dilengkapi kit Inscription, tombol gear kristal dari Orrefors kemungkinan besar akan digunakan. Selebihnya, dijangka ciri-ciri seperti sistem infotainmen Sensus, kawalan pendingin dua zon dan paparan instrumen 12 inci akan turut melengkapinya. Nampak macam kedua-duanya menggunakan upholstery warna hitam di dalam kabin.

    Model ini jangka akan dilancarkan dalam masa terdekat. Menurut pengedar rasmi, Sisma Auto, anggaran harga Volvo XC60 baru ini untuk pasaran Malaysia ialah antara RM330k hingga RM380k. Harga ini sebenarnya lebih tinggi jika dibandingkan dengan model generasi pertamanya yang masih dijual; mungkin juga merupakan unit CBU terlebih dahulu.

    Volvo XC60 2018

     
     
  • SUV pertama Proton dari Geely Boyue bakal muncul akhir 2018 dengan harga mampu milik – laporan

    SUV pertama Proton dari Geely Boyue bakal muncul akhir 2018 dengan harga mampu milik – laporan

    Sekali lagi, khabar mengatakan SUV pertama Proton yang akan diasaskan dari Geely Boyue akan membuat kemunculan sulung dalam bentuk produksi sebenar pada suku keempat tahun ini. Berita terbaharu berkenaan dilaporkan oleh portal Malaysian Reserve yang menyebut ada sumber memberitahu SUV dengan pemanduan sebelah kanan tersebut dijangka boleh dipandu uji pada Oktober 2018, setelah segala kelulusan diperolehi dari pihak-pihak berkuasa berkaitan.

    “Proses tersebut termasuk penarafan dari Program Penilaian Kereta Baharu (NCAP) dan SIRIM sebelum ia boleh dijual dipasaran. Proses tersebut akan mengambil masa sekurang-kurangnya setahun, untuk mendapatkan kelulusan-kelulusan ini,” kata sumber tersebut kepada portal berita berkenaan. Kenyataan ini jelas sama dengan apa yang dikatakan oleh Proton sendiri tahun lalu.

    Boyue pasaran China dengan pemanduan sebelah kiri yang mendarat di Malaysia tahun lalu membuat penampilan awam pertamanya pada Jun 2017. Sebelum dijual di pasaran tempatan, ia terlebih dahulu perlu disesuaikan dengan keadaan di sini serta berberapa perkara perlu direka semula bagi menjadikan ia sebuah Proton.

    “Mana-mana produk yang dibawa dari Geely dan dari luar Malaysia, ia akan mengambil masa, kerana produk ini asalnya adalah pemanduan sebelah kiri, jadi untuk ditukar kepada pemanduan sebelah kanan perlu mengambil sedikit masa,” kata pengarah urusan DRB-Hicom, Datuk Seri Syed Faisal Albar September lalu.

    Boyue yang dijumpai di Lebuhraya Elite semalam, tetapi masih dalam versi pemanduan sebelah kiri

    “Tahap program CKD yang akan kami jalankan untuk produk baharu ini juga akan diperincikan, dan ini termasuk penghasilan versi pemanduan sebelah kanan serta komponen tempatan yang akan dihasilkan disini.

    “Dalam struktur yang ada di Malaysia, sekiranya lebih banyak komponen dalam negara yang digunakan, maka banyaklah insentif yang diterima. Ini adalah antara perkara yang perlu diambil kira,” tambah Faisal.

    Program penghasilan Boyue untuk versi Proton ini adalah salah satu inisiatif oleh Proton dalam perancangannya untuk kembali bangkit dan ia merupakan pelan strategik yang holistik bagi kembali menjana keuntungan. Dari segi harga pula, sumber berkenaan menyatakan ia akan ditetapkan dalam julat yang mampu milik.

    “Geely Boyue sekarang ini dijual pada harga sekitar RM68,500 (110,000 yuan) di China, manakala saingannya seperti Honda CR-V dan Mazda CX-5 dijual pada harga lebih dari RM100,000. Tetapi ciri-ciri yang ditawarkan, harga mampu milik dan rekaan menarik (Boyue versi Proton tersebut) akan mengubah pasaran SUV,” dakwa sumber tersebut lagi.

    Laporan berkenaan turut menyebut bahawa kilang Proton di Tanjong Malim akan mampu untuk menyokong produksi SUV ini pada pertengahan 2018. Untuk pengetahuan anda, Boyue merupakan sebuah SUV yang direka oleh bekas pereka Volvo, Peter Horbury. Ia merupakan SUV segmen-C dengan bentangan lima-tempat duduk, berukuran 4.5 meter panjang.

    Untuk pasaran China, Boyue dijana dengan berberapa pilihan enjin termasuk 2.4 liter NA berkuasa 162 hp/210 Nm dan juga versi 1.8 liter turbo berkuasa 163 hp/250 Nm. Enjin-enjin tersebut dipadankan dengan sama ada transmisi enam-kelajuan manual atau automatik, bergantung pada pilihan enjin.

    Model pasaran China juga diberikan pelbagai ciri menarik antaranya skrin sesentuh lapan-inci dengan sokongan Apple CarPlay/Android Auto dan juga kelengkapan keselamatan aktif seperti amaran keluar lorong serta cruise control adaptif. Wakil kami telah pun menguji SUV ini di China tahun lalu, dan anda boleh baca ulasannya DI SINI.

     
     
  • MINI Clubman Sterling Edition diperkenalkan semula – terhad 40 unit, tempahan dalam talian, dari RM268,888

    MINI Malaysia telah memperkenalkan semula MINI Clubman Sterling edition, yang turut pernah dilancarkan dengan unit terhad pada Ogos lalu. Jika pelancaran kali pertamanya hanya menawarkan 20 unit sahaja, kali ini ia juga terhad sebanyak 40 unit – dengan tempahan secara dalam talian menerusi laman web khas mula 11 Januari 2018.

    Clubman Sterling Edition ditawarkan pada harga atas jalan RM268,888 tanpa insurans dan termasuk dengan waranti selama empat-tahun/perbatuan tanpa terhad, pakej servis percuma empat-tahun/60,000 km dan program Bantuan Tepi Jalan lima-tahun. Seperti sebelum ini, pihak yang berminat boleh membayar yuran tempahan sebanyak RM2,000.

    Untuk bahagian luarannya, ia disimbahi warna perak (Melting Silver) bersana perumah cermin sisi dan bumbung diwarnakan hitam (Matte Black Jack). Selain itu, ia diserlahkan lagi dengan simbol Black Union Jack pada bahagian scuttle sisi bagi mengingatkan asal-usulnya dari Britain. Ditambah pula dengan rim khas MINI Yours Masterpiece bersaiz 18-inci didatangkan dalam warna hitam.

    Manakala di dalamnya pula, diserlahkan dengan kombinasi warna biru (Indigo Blue) dan merah bata (Pure Burgundy). Ruang kabin berwarna Pure Burgundy itu juga hadir dengan ciri iluminasi MINI Yours yang membolehkan pemilik untuk memilih 12 warna yang telah ditala ke bahagian kemasan, untuk disesuaikan dengan mood dan kecenderungan pemandu serta penumpangnya.

    Ia turut ditampilkan dengan tempat duduk balutan upholsteri kulit lembut dan mewah Chester berwarna biru yang dihasil untuk memberi keselesaan kepada tangan pemandu melalui jahitan berbentuk diagonal. Bukan itu sahaja, reka bentuk tempat duduk sport itu menyerlahkan warisan British pada MINI. Pada masa yang sama memberikan interpretasi yang kontemporari ke atas karekteristik corak berliannya.

    Roda sterengnya juga dibaluti kulit Nappa yang lembut dan disempurnakan lagi menerusi jahitan tangan berwarna aluminium. Di bahagian bawah stereng, terdapat lencana Union Jack yang menjadi signaturnya.

    Malah turut dilengkapi dengan MINI Connected iaitu sistem infotainmen yang tercanggih. Ia juga hadir dengan skrin LCD resolusi tinggi 6.5-inci yang dipasang pada bahagian tengah speedometer bersama grafik yang menghiasi sekelilingnya. Antara muka Spotify yang intuitif juga ada pada skrin MINI, manakala semua fungsi kawalan mudah diakses menggunakan MINI controller yang kecil tetapi padat dengan pelbagai ciri.

    Untuk bahagian mekanikalnya, Clubman Sterling ini dijanakan oleh enjin 2.0 liter empat-silinder dengan kuasa 192 hp dan tork 280 Nm. Ia dipadankan dengan transmisi Steptronic lapan-kelajuan. Dari 0-100 km/j hanya mengambil masa 7.1 saat dan kelajuan maksimum yang mampu dicatatkan pada 228 km/j. Manakala penggunaan bahan apinya dianggarkan 5.9 liter bagi setiap 100 km.

    “Ini merupakan kali pertama dalam industri automotif Malaysia apabila kami memperkenalkan MINI Clubman Sterling Edition baharu eksklusif menerusi dalam talian dan kami berbangga ia berjaya dijual keseluruhan 20 unit. Dalam kurang daripada dua minggu sejak dilancarkan, MINI edisi terhad ini habis ditempah secara menerusi dalam talian membuktikan rakyat Malaysia sangat menghargai eksklusiviti kereta premium sebegini,” ujar Han Sang Yun, pengarah urusan dan CEO BMW Group Malaysia.

    Sambungnya lagi, “Disebabkan respon yang memberangsangkan ini, MINI Clubman Sterling Edition baharu kembali lagi sempena dengan sambutan Tahun Baharu dan ia didatangkan dengan teknologi baharu untuk pengalaman yang lebih unit. Tambahan pula, MINI edisi terhad ini memang cukup menguja dan mampu menjadi penanda aras bagi segmen kompak premium dan ia akan berterusan.”

     
     
  • Volvo XC90 T8 Twin Engine Inscription Plus kini di Malaysia – sistem Bowers & Wilkins; dari RM414k

    Volvo XC90 T8 Twin Engine Inscription Plus kini di Malaysia – sistem Bowers & Wilkins; dari RM414k

    Volvo XC90 T8 Twin Engine Inscription Plus merupakan varian baharu bagi barisan SUV plug-in hybrid di Malaysia, yang menyertai Inscriotion sedia ada. Dijual pada harga atas jalan RM413,888 tanpa insurans, varian baharu ini adalah lebih RM10,000 berbanding Inscription, namun didatangkan dengan elemen yang diberikan sedikit penambahbaikan.

    Elemen terbesar yang ditampilkan ialah dengan kehadiran sistem bunyi premium Bowers & Wilkins bersama 19 pembesar suara dan 12-saluran, 1,400 watt Class D amplifier. Sistem ini tidak ada pada kedua-dua model import sepenuhnya (CBU) dan pemasangan tempatan (CKD) bagi XC90, yang hanya didatangkan dengan sistem bunyi 10-pembesar suara 330 watt – masih kekal standard pada Inscription.

    Selain itu, Inscription Plus juga didatangkan dengan beberapa elemen yang ada pada Inscription, termasuklah kulit upholstery Nappa hitam, tempat duduk Comfort, sistem infotainmen Sensus Connet, panel instrumen Paparan Digital Adaptif 12.3-inci dan kawalan suhu empat-zon. Walau bagaimana pun, kedua-dua varian XC90 tidak lagi didatangkan dengan kamera pandangan-sekeliling, yang sebelum ini ditawarkan pada unit CBU dan CKD.

    Untuk bahagian luarannya, ia turut menampilkan roda aloi 10-jejari 20-inci dan kit lengkat Inscription, termasuk gril perak dan hitam dengan kekemasan krom berkilat di sekelilingnya, side moulding dengan perkataan ‘Inscription’ serta dwi-paip ekzos.

    Bagi prestasinya, ia turut memberikan lonjakan output sehingga 407 hp dan tork 640, hasil padanan penjana kuasa petrol T8 Twin Engin 2.0 liter empat-silinder super- dan turbocharged Drive-E, motot elektrik gandar belakang dan crankshaft-mounted starter generator (CISG) yang diposisikan antara enjin dan transmisi automatik torque convertor lapan-kelajuan.

    Volvo XC90 T8 Twin Engine Inscription Plus kini di Malaysia – sistem Bowers & Wilkins; dari RM414k

    Klik untuk besarkan

    Sistem bantuan pemanduan dan keselamatannya pula didatangkan dengan tujuh beg udara, Kawalan Kelajuan Adaptif, Keselamatan Bandar dengan Amaran Pelanggaran Hadapan dan Pengesan Pejalan kaki dan Penunggang Basikal dengan Brek Auto Penuh, Amaran Penukaran Lorong, Kawalan Kestabilan Olengan dan Bantuan Menurun Bukit.

    Pendekatan dua varian ini adalah lebih kurang sama seperti yang dilakukan pada S90 CKD, yang turut didatangkan dengan varian Inscription (RM368,888) dan Inscription Plus (RM388,888). Seperti yang dilihat, jurang perbezaan harga berbanding varian XC90 adalah agak besar – di mana varian tertinggi S90 turut menerima sistem bunyi Bowers & Wilkins dan juga Actice Chassis dengan suspensi udara di belakang (XC90 hadir dengan suspensi udara hadapan dan belakang sebagai standard).

     
     
  • Kenderaan dengan cukai jalan Sabah/Sarawak yang ingin digunakan di Semenanjung hanya sah tiga bulan

    Kenderaan dengan cukai jalan Sabah/Sarawak yang ingin digunakan di Semenanjung hanya sah tiga bulan

    Sebelum ini, riuh tentang kenderaan yang berada dan digunakan di Semenanjung tapi menggunakan cukai jalan Sabah/Sarawak (yang kadarnya lebih rendah), dan itu adalah satu kesalahan. Untuk faham lebih lanjut, anda boleh rujuk artikel berkaitan yang kami terbitkan sebelum ini.

    Tetapi, bagaimana pula dengan situasi di mana pemilik kenderaan yang didaftarkan di Sabah/Sarawak (dengan cukai jalan di sana) yang berpindah untuk tinggal dan bekerja di Semenanjung dan membawa bersama kenderaan mereka? Katakanlah, baki cukai jalan yang masih sah ialah dalam tempoh enam bulan lagi, sebelum cukai jalan sedia ada itu luput tarikh atau “mati”. Apa yang perlu dilakukan sebenarnya, agar ia tidak melanggar peraturan?

    Menurut Pengarah Jabatan Kejuruteraan Automotif, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk IR. HJ. Mohamad Dalib, kenderaan yang didaftarkan di Sabah/Sarawak yang kemudiannya dihantar untuk digunakan di Semenanjung boleh menggunakan cukai jalan sedia ada itu hanya bagi tempoh tiga bulan sahaja.

    “Dengan syarat, mereka perlu sentiasa menyimpan invois atau dokumen penghantaran (shipping document) kenderaan terbabit, dan mempamerkannya jika perlu sepanjang tempoh tiga bulan itu,” jelas beliau.

    “Dalam peraturan sedia ada, cukai jalan kenderaan adalah berdasarkan lokasi di mana ia didaftarkan atau di mana ia disimpan (kegunaan semasa). Jadi, bagi kenderaan dari Sabah/Sarawak yang ingin digunakan di Semenanjung, mereka perlu menggunakan cukai jalan Semenanjung selepas tempoh tiga bulan itu tamat,” tambahnya.

    Bagaimana pula jika cukai jalan sedia ada itu mempunyai baki tempoh enam bulan lagi? Dalam tempoh tiga bulan yang diberikan itu, pemilik perlu merujuk kepada JPJ, dan hanya dikehendaki membayar baki cukai jalan bagi tempoh yang terlibat sahaja (dari tempoh pembaharuan cukai jalan yang terakhir).

    Diharap penjelasan ini sedikit sebanyak memberikan manfaat kepada semua. Sekiranya anda mempunyai sebarang keraguan atau pertanyaan lain tentang hal-hal berkaitan isu pengangkutan jalan raya, kongsikan bersama kami di ruang komen.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024