Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Kerajaan Johor akan pastikan lubang pada jalan raya di negeri tersebut diperbaiki dalam masa 24 jam

    Bad-road-2

    Kerajaan Johor kini menetapkan lubang pada jalan raya perlu diperbaiki dalam masa 24 jam di negeri tersebut. Syarikat konsesi di negeri itu juga perlu menyediakan talian pusat khas untuk menangani aduan orang ramai menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah Negeri Johor Datuk Ir. Haji Hasni Bin Haji Mohammad, lapor The Star.

    Sejumlah RM390 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri Johor untuk menyelenggara jalan raya dengan jarak keseluruhan 1,942 km dalam negeri tersebut untuk tiga tahun akan datang. “Kesemua syarikat konsesi ini perlu memperbaiki jalan yang berlubang dalam masa 24 jam,” kata Hasni, kemudian mencadangkan kesemua syarikat konsesi menubuhkan pasukan bergerak sendiri untuk memantau jalan raya dalam kawasan mereka.

    “Memperbaiki jalan berlubang merupakan tugas yang penting. Setakat ini, salah sebuah syarikat konsesi yang dilantik telah pun mewujudkan talian pusat mereka dan yang lain sedang dalam usaha melakukan perkara yang sama. Selain memperbaiki lubang, mereka turut bertanggungjawab dalam tugas lain termasuk memastikan papan tanda kekal bersih, memperbaiki jalan yang tidak rata dan memotong rumput,” jelas Hasni lagi.

    Beliau juga turut menjelaskan kawasan sekitar kuari perlu dipantau secara lebih dekat, terutamanya jalan yang biasa dilalui oleh kenderaan berat. “Jalan di sekitar Pasir Gudang dan kawasan bandar di mana banyak dilalui oleh kenderaan berat perlu di pantau,” tambah Hasni.

    Hasni turut memberitahu jawatankuasa kerja raya negeri akan memantau kesemua kerja-kerja pembaikkan yang dilakukan oleh syarikat konsesi. Kempen “lubang jalan raya sifar” telah dilancarkan minggu lalu oleh Menteri Besar Johor Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin untuk memastikan jalan raya dalam negeri tersebut di selenggara dengan betul. DBKL turut mensasarkan perkara yang sama untuk jalan raya sekitar Kuala Lumpur menjelang tahun 2017.

     
     
  • VIDEO: Lampu kabus belakang – bila masa yang perlu anda pasang atau matikan lampu tersebut?

    Lampu kabus belakang menrupakan ciri asing untuk rakyat Malaysia melainkan mereka yang biasa menggunakan kenderaan premium buatan Eropah di mana ciri tersebut sudah lama dilengkapkan pada kereta-kereta sedemikian. Walaubagaimana pun, lampu kabus kini merupakan ciri wajib yang perlu bekalkan untuk kereta-kereta baharu yang dilancarkan bermula tahun 2013, sebagai syarat di bawah undang-undang UN yang telahpun diguna pakai oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia.

    Kebelakangan ini, kerap terjadi pengguna di Malaysia menyalahgunakan ciri tersebut dengan menyalakan lampu kabus pada masa yang tidak sepatutnya. Ini menyebabkan pemandu lain di belakang menjadi silau kerana lampu tersebut yang sangat cerah.

    Berikutan masalah ini, UMW Toyota telah menyiarkan satu video untuk menerangkan bila sepatutnya lampu tersebut perlu digunakan. Secara asasnya, lampu berkenaan hanya perlu dinyalakan dalam situasi kadar penglihatan yang sangat rendah contohnya seperti dalam keadaan jalan berkabus ataupun semasa hujan lebat.

    Tonton video ini, fahamkan, sebarkan, dan sentiasa memandu dengan cermat dan bersopan!

     
     
  • Kerajaan nyatakan tiada lagi keputusan dibuat untuk menaikkan kadar tol Lebuhraya PLUS

    NKVE_KM15

    Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerajaan masih lagi belum membuat keputusan sama ada mahu menaikkan kadar tol untuk Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) atau tidak, lapor The Sun.

    “Menurut kenyataan saya sebelum ini, lapan tol lebuhraya akan dinaikkan tahun ini, tetapi masih lagi belum dilaksanakan. Jika ada apa-apa perkara lain, kami akan mengeluarkan kenyataan,” kata beliau kepada wartawan.

    Mac lalu telah dilaporkan keputusan kenaikkan kadar tol Lebuhraya PLUS hanya akan dibuat pada Jun ini. Pada Disember tahun lalu pula, kementerian tersebut telah menyatakan tiada lagi perbincangan atau keputusan dibuat berhubung perkara berkenaan pada peringkat kementerian dan tiada juga cadangan untuk menaikkan kadar tol pada lapan lebuhraya itu, tetapi kerajaan turut menyatakan jika kadar tol tidak dinaikkan, kerajaan akan menanggung kerugian sebanyak RM593 juta.

    toll booth

    Di bawah perjanjian konsesi (CA), PLUS Malaysia dibenarkan untuk menaikkan sehingga lima pertaus kadar tol setiap tiga tahun bermula dari 2016. Kenaikkan tersebut akan berterusan sehingga perjanjian konsesi tamat pada Disember 2038.

    PLUS mempunyai sejumlah lapan konsesi iaitu Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Persekutuan laluan 2 (FHR2), Lebuhraya Seremban- Port Dickson, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (NSECL), Linkedua Malaysia-Singapura (MSSL), Lebuhraya Butterwotrth-Kulim (BKE) dan Jambatan Pulau Pinang.

     
     
  • Shell Malaysia lancar kempen V-Power yang melindungi enjin dari mendapan dan kakisan

    Shell-V-Power-branding-campaign-1_BM

    Shell Malaysia hari ini melancarkan kempen Shell V-Power terbaharu, disasarkan untuk memberi kesedaran kepentingan menggunakan bahan api yang menjaga bahagian dalaman enjin dari terjadinya mendapan serta kakisan.

    Shell turut menyiarkan video komersial berdurasi 60-saat yang menampilkan kesan CGI yang canggih dengan gaya blockbuster Hollywood untuk menggambarkan formulasi terbaharu petrol V-Power dan V-Power Racing mereka.

    Video berkenaan menayangkan sebuah kereta yang dilindungi oleh Shell V-Power sedang dikejar oleh makhluk gergasi (dibayangkan sebagai mendapan dan kakisan dalam enjin), yang musnah sama sekali ketika kereta tersebut tiba di stesen minyak Shell.

    Mesej yang ingin disampaikan adalah, formulasi unik dalam V-Power direka untuk melindungi enjin dari mendapan dan kakisan serta membantu enjin anda beroperasi seperti enjin baharu.

    Mendapan dalam enjin terdiri daripada deposit karbon yang terjadi dalam sistem penyampaian bahan api enjin. Manakala kakisan pula boleh terjadi pada permukaan logam dalam sistem bahan api di mana air dan oksigen wujud. Shell mendakwa formulasi mereka mampu untuk melindungi enjin menentang kedua-dua elemen negatif tersebut.

    Kempen V-Power ini sebenarnya ialah kempen turutan daripada program pelinciran Shell sebelum ini, iaitu program waranti enjin Shell Helix yang dilancarkan buat pertama kali di Malaysia, di mana ia diberikan secara percuma dengan pembelian satu botol empat liter minyak pelincir Shell Helix Ultra atau HX7. Program tersebut menawarkan perlindungan waranti kepada enjin yang rosak akibat minyak pelincir sehingga 12 tahun atau 200,000 km, yang mana sampai dahulu.

    Shell juga telah memperkukuh formulasi V-Power Racing yang kini lebih mudah diperolehi di stesen-stesen minyak Shell. V-Power Racing kini dipamerkan dengan lebih menonjol di setiap outlet yang menjualnya dan boleh didapati di lebih banyak lokasi, terutamanya sepanjang Lebuhraya Utara Selatan.

    Shell mengatakan, V-Power Racing selepas ini akan diperkenalkan ke lebih banyak lokasi lagi, memandangkan ia kini mencatatkan jualan yang konsisten walaupun bukan sejenis bahan api yang dijual dengan harga kawalan. Shell kini dalam usaha untuk mengukuhkan identiti V-Power Racing di pam, dengan menggunakan unit nozel pengisi minyak yang baharu dengan rekaan menarik serta warna merah yang lebih menyerlah.

     
     
  • Hyundai Ioniq Hybrid dipamerkan di Malaysia

    Hyundai_Ioniq-2

    Seperti yang dilaporkan beberapa hari lalu, Hyundai Ioniq kini di pamerkan di My Auto Fest 2016 yang berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa dan Konvensyen Mines (MIECC).

    Ioniq merupakan kereta mesra alam pertama di dunia yang menggunakan model dan nama yang sama untuk tiga varian janakuasa berbeza iaitu Ioniq Hybrid, Plug-In Hybrid dan juga Electric yang menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya. Kereta ini baharu sahaja membuat kemunculan sulung peringkat globalnya di Geneva Motor Show 2016 Mac lalu

    Namun, untuk pameran kali ini, Hyundai hanya mempertontonkan Ioniq varian Hybrid dengan konfigurasi pemanduan sebelah kiri. ‘Hyundai Prius’ ini dijana oleh enjin petrol 1.6 liter Kappa GDI empat-silinder berkuasa 105 PS dan tork maksima 147 Nm. Ia digabungkan dengan motor elektrik berkuasa 43 PS dan tork maksima 170 Nm, menerima tenaga dari bateri polimer litium ion berkuasa 1.56 kWh yang ditempatkan di bawah tempat duduk belakang.

    Hyundai_Ioniq-16

    Secara keseluruhan, Ioniq Hybrid mampu menghasilkan kuasa gabungan 141 PS dan tork maksima 265 Nm dengan kelajuan maksima dicatatkan pada 185 km/j. Kesemua kuasa ini dialirkan ke roda hadapan melalui kotak gear klac berkembar enam-kelajuan.

    Menurut Hyundai, Ioniq Hybrid dibawa untuk dipertontonkan kepada rakyat Malaysia sebagai sebahagian usaha untuk mendapatkan reaksi orang ramai terhadap model tersebut. Adakah ia akan dijual di Malaysia? Masih lagi menjadi tanda tanya. Seperti yang diketahui, polisi pemberian diskaun cukai eksais kepada kereta hibrid oleh kerajaan Malaysia buat masa ini memerlukan model tersebut dipasang di Malaysia (CKD). Jadi, jika Hyundai membawa kereta ini sebagai unit CBU, sudah tentu harga yang ditawarkan tidak kompetitif.

     
     
  • Honda Civic generasi ke-10 membuat penampilan pertamanya di Malaysia sebelum dilancarkan

    Honda_Civic-2

    Ia bukanlah kejutan seperti Perdana 2016 dan Toyota Sienta, namun kemuculan Honda Civic generasi ke-10 yang telah diumumkan sebelum ini merupakan salah satu daya penarik untuk pengunjung yang datang ke My Auto Fest 2016.

    Model yang ditayangkan pada hari ini merupakan model tertinggi 1.5L VTEC Turbo. Dapat dilihat, untuk model pasaran Malaysia ini, sedan dengan rekaan belakang fastback ini dilengkapi dengan lampu utama LED sepenuhnya dengan kombinasi lampu nyalaan siang LED, roda aloi dua ton (hitam-aloi digilap) berdiameter 17-inci serta lencana ‘VTEC Turbo’ pada bahagian penutup but belakang. Tiada varian RS seperti spsesifikasi pasaran Thailand untuk pasaran Malaysia, oleh itu model yang ditayangkan ini juga tidak dilengkapi dengan gril hadapan hitam berkilat serta spoiler bersaiz sebenar pada bahagian belakang.

    Agak sukar untuk melihat bahagian dalaman kereta ini kerana cerminnya dilengkapi dengan filem penapis haba yang sangat gelap. Namun, apa yang dapat kami lihat, sedan ini dilengkapi dengan tempat duduk dibalut dengan kulit (dengan kemasan bermotif gentian karbon pada jalur tengah), penukar gear, butang penghidup enjin, penghawa dingin automatik dua zon dan sistem infotaimen Honda Display dengan skrin sesentuh tujuh-inci. Dapat diperhatikan juga, Civic ini dilengkapi dengan liang penghawa dingin bahagian belakang, yang mana ciri ini tidak terdapat pada Civic pasaran Thailand.

    Honda_Civic-15

    Sedan segmen-C yang paling ditunggu-tunggu ini dilengkapi dengan enjin 1.5 liter VTEC Turbo berkuasa 173 hp pada takat 5,500 rpm dan tork 220 Nm maksima bermula 1,700 dan 5,500 rpm. Untuk varian 1.8L pula, ia masih lagi dijana oleh enjin 1.8 liter i-VTEC empat-silinder berkuasa 141 hp pada takat 6,500 rpm dan tork 174 Nm pada takat 4,300 rpm. Tiada lagi kotak gear automatik lima-kelajuan torque-converter untuk Civic pasaran Malaysia di mana kedua-dua enjin tersebut kini dipadankan dengan hanya transmisi CVT automatik.

    Kedua-dua varian dilengkapi dengan banyak ciri premium, malahan untuk varian asas 1.8L, Civic turut dilengkapi dengan penghidup enjin kawalan jauh dan kunci automatik Walk Away. Penghidup enjin kawalan jauh boleh digunakan untuk menghidupkan enjin diluar kereta pada lingkungan jarak 40 meter manakala kunci automatik Walk Away pula akan mengunci kesemua pintu secara automatik setelah pemandu beredar dalam jarak 2.5 meter dari kereta. Brek parkir elektronik dengan fungsi brake hold dan tempat duduk pemandu larasan berkuasa lapan-hala turut dilengkapi secara standard untuk semua varian.

    Ciri keselamatan standard untuk kesemua model juga merangkumi enam-unit beg udara, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSA), Bantuan Mula Mendaki (HSA), Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) dan cagak ISOFIX pada tempat duduk belakang.

    Honda Civic Generasi ke-10 kini sudah boleh mula ditempah dan dijangka akan dilancarkan pada suku kedua tahun ini. Sebelum itu anda boleh membaca dahuluulasan pandu uji awalan kami di Thailand baru-baru ini, dan galeri penuh Civic FB (generasi kesembilan) vs Civic FC (generasi kesepuluh).

    Honda Malaysia kini sedang mempamerkan kereta tersebut di My Auto Fest 2016 yang berlangsung bermula hari ini hingga 22 Mei di Pusat Pameran Antarabangsa dan Konvensyen Mines (MIECC).

     
     
  • UMW Toyota prebiu Toyota Sienta di Malaysia

    Toyota_Sienta-2

    Satu lagi kejutan pada My Auto Fest 2016 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC), UMW Toyota secara rasminya mempamerkan MPV Toyota Sienta sebagai prebiu untuk orang ramai sebelum melancarkannya di Malaysia.

    Sienta baharu sahaja diperkenalkan untuk pasaran ASEAN bulan lalu di Indonesia International Motor Show (IIMS) 2016. MPV ini menampilkan rupabentuk yang lebih ‘funky’ dan moden berbanding MPV yang sedia ada dijual oleh pihak UMW Toyota seperti Avanza dan Innova.

    Unit yang dipamerkan ini dikhabarkan sememangnya unit dengan spesifikasi untuk pasaran Malaysia. Ciri-ciri yang dilengkapi adalah hampir sama dengan varian tertinggi untuk pasaran Indonesia iaitu Spec Q, namun untuk pasaran Malaysia, ia diberikan lencana varian ‘V’. MPV ini turut dipadankan bersama sistem navigasi dengan skrin sesentuh DVD-AVN, tetapi tidak dilengkapi dengan kit badan seperti yang terdapat pada model pasaran Indonesia.

    Toyota_Sienta-14

    Turut dilengkapi pada model spesifikasi Malaysia ini adalah lampu hadapan bi-LED projektor, lampu kabus, lampu belakang LED dan roda dua ton (hitam dan aloi digilap) berdiameter 16-inci. Pada bahagian dalaman, ia didominasi dengan tema hitam dan perang serta dilengkapi dengan sistem kunci pintar, butang penghidup enjin, pintu gelangsar elektrik belakang (kedua-dua belah), penghawa dingin automatik dengan liang penghawa dingin berasingan untuk bahagian belakang dan skrin sistem infotaimen untuk bahagian belakang.

    Untuk ciri keselamatan, Sienta pasaran Malaysia dilengkapi dengan tiga beg udara (termasuk beg udara bahagian lutut pemandu), brek cakera untuk kesemua roda beserta sistem ABS, EBD dan Bantuan Brek (BA), Kawalan Stabiliti Kenderaan (VSC) dan Bantuan Mula Mendaki (VSC). Namun masih lagi belum jelas kesemua ciri keselamatan ini adalah standard untuk semua varian atau untuk varian tertinggi sahaja.

    Sienta dikuaskan dengan enjin 2NR-FE 1.5 liter Dual VVT-i yang sama seperti yang terdapat pada Toyota Avanza facelift, menghasilkan kuasa 107 PS dan tork 143 Nm. Ini berbeza daripada model pasaran Jepun yang dibekalkan dengan pilihan sama ada enjin 2NR-FKE 1.5 liter VVT-iE berkuasa 109 hp/ 136 Nm, ataupun jana kuasa hibrid menggunakan enjin 1NZ-FXE 1.5 liter berkuasa 74 hp/111 Nm. Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear CVT automatik memacu tayar hadapan.

    Setakat ini tiada khabar yang mengatakan Sienta akan dipasang secara CKD di Shah Alam, sebaliknya kesemua MPV baharu untuk pasaran Indonesia dan ASEAN ini akan dipasang di Kilang kedua PT Toyota Motor Manufacturing Indonesia di Karawang, Jawa Barat.

     
     
  • Proton pamer Proton Suprima Active buat pertama kali

    Proton_Suprima_Active-2

    Selain dari Proton Perdana 2016, Proton turut membawakan dua buah crossover konsep mereka iaitu Proton Suprima Active dan Proton Iriz Active My Auto Fest 2016 diadakan Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC).

    Iriz Active sudahpun dipamerkan sebelum ini dua tahun lalu, tetapi Suprima Active ditampilkan kepada umum buat pertama kali hari ini.

    Hatchback segmen-C Proton ini menerima kit badan dengan gaya crossover sepenuhnya, lengkap dengan cladding sepenuhnya di sekeliling badan. Keseluruhan badan kereta ini diwarnakan dengan warna kelabu, diadun dengan serlahan berwarna oren pada sebahagian kemasan iaitu pada bahagian ‘Proton Wing’ gril hadapan, kemasan sekeliling gril bawah, gegelang projektor dalam lampu hadapan, bumbung, penutup cermin sisi, skirt sisi, spoiler bumbung, kemasan nombor pendaftaran belakang serta jejari roda aloi.

    Seperti juga Iriz Active, ketinggian kereta konsep terbaharu ini turut diinjakkan lagi bagi menyerlahkan lagi imej crossover yang dibawa. Kelegaan tanah asal 155 mm dinaikkan kepada 207 mm. Apa yang lebih menarik, Proton mengatakan Suprima Active ini turut bakal ditawarkan dengan pilihan transmisi manual enam-kelajuan selain dari transmisi CVT sedia ada.

    Kereta ini dipadankan dengan roda aloi bermotif turbin berdiameter 17-inci dibaluti tayar 215/55R17. Rel bumbung dibalut dengan pelekat berwarna matte silver turut dipadankan untuk melengkapkan konsep yang dibawa oleh Suprima Active ini.

    Tema pada bahagian dalam turut diolah semula untuk disesuaikan dengan rupa luarannya. Bahagian dalam yang berwarna hitam kini turut diadun dengan kemasan berwarna oren pada liang penghawa dingin dan butang-butang kawalan pada konsol tengah. Bahagian-bahagian upholstery pula diadun dengan balutan kulit berwarna beige serta serlahan benang dengan warna yang sama.

    Proton mengatakan kedua-dua buah konsep Active ini “menunjukkan potensi untuk menembusi pasaran crossover yang semakin berkembang, dengan kejuteraan khas semula yang dilakukan untuk memenuhi permintaan pelanggan yang mahukan kedudukan pemanduan yang lebih tinggi dan pilihan gaya hidup.” Jadi, apa pula pendapat anda? kongsikannya bersama kami pada ruangan kome dibawah.

     
     
  • Proton dedah sebahagian Perdana 2016 sebelum dilancarkan – saiz sebenar sedan ini diperlihatkan

    Proton_Perdana-3

    Sempena My Auto Fest 2016 yang bermula hari ini, Proton ‘bermurah hati’ untuk membawa Proton Perdana 2016 ke pameran tersebut sebelum pelancarannya yang dijangka akan berlangsung tidak lama lagi berikutan tempahan untuk model tersebut sudah pun dibuka sebelum ini. Ini merupakan kemunculan rasmi Perdana ke khalayak ramai setelah banyak gambar intipannya tersebar di internet sebelum ini.

    Namun, sedan segmen-D tersebut tidak akan dipamerkan sepenuhnya, sebaliknya kain penutup yang membaluti tubuh kereta ini hanya dibuka sedikit pada bahagian lampu hadapan sebelah kiri dan lampu belakang sebelah kanan.

    Menurut Proton, ‘teaser’ yang mereka bawakan hari ini adalah untuk membolehkan orang ramai mengetahui saiz sebenar Perdana, dan orang ramai boleh membandingkannya dengan sedan segmen-C Honda yang terbaharu iaitu Honda Civic generasi ke-10 yang diletakkan di booth Honda, betul-betul bersebelahan Perdana.

    Berdasarkan kit badan yang terlihat sedikit pada bampar hadapan dan bampar belakang, model yang dibawakan oleh Proton kali ini adalah dari varian 2.4L. Diberitahu oleh Proton sebelum ini, varian 2.0L dan varian 2.4L dibezakan dengan kit badan, di mana varian 2.0 hadir tanpa kit badan secara standard.

    Pendedahan ini juga dapat disaksikan Perdana 2.4L versi produksi bakal dilengkapi dengan lampu hadapan projektor xenon LED bersama lampu nyalaan siang LED dan juga lampu belakang LED sepenuhnya berbentuk-L.

    Antara bahagian kit badan yang terlihat pada teaser kali ini juga adalah splitter pada bampar hadapan dan juga diffuser belakang. Perumah tip ekzos palsu yang ditempatkan pada bampar belakang kini telah diwarnakan mengikut warna badan.

    Proton turut mendedahkan dimensi sedan segmen-D ini. Perdana mempunyai panjang keseluruhan 5,020 mm dan lebar 1,845 mm berbanding Accord generasi kelapan (asas binaan kereta ini) yang mempunyai panjang 4,849 mm, berkemungkinan kerana rekaan semula sepenuhnya dibuat pada bahagian belakang dan hadapan.

    Model ini akan diproduksi di kilang Proton Shah Alam (model Accord Perdana yang digunakan oleh pihak kerajaan sekarang ini di buat di kilang Honda Malaysia, Melaka), dan dijadualkan akan dilancarkan pada bulan ini dimana tempahannya sudah mula dibuka.

    Proton_Perdana-9

    Penjana Perdana juga adalah kekal sama dengan Accord iaitu enjin R20A3 SOHC i-VTEC untuk varian 2.0 liter berkuasa 154 hp/189 Nm dan enjin K24Z2 DOHC i-VTEC untuk varian 2.4 liter berkuasa 177 hp/222 Nm. Kedua-dua enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear lima-kelajuan automatik.

    Sama seperti barisan model lain, Perdana turut akan menerima enjin baharu Proton setelah program pembangunan enjin tersebut lengkap dan mula memasuki produksi pada penghujung 2017. Perdana dijangka dipadankan dengan enjin turbo NE01 2.0 liter empat-silinder yang diperolehi daripada Petronas pada tahun 2012 dan juga enjin turbo 1.5 liter pancitan bahan-api terus (TGDI) yang didakwa mampu menghasilkan kuasa 180 hp/250 Nm. Kedua-dua enjin ini bakal dipadankan dengan kotak gear CVT torque converter automatik baharu.

    My Auto Fest 2016 diadakan Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC) bermula pada hari ini hingga 22 Mei nanti.

     
     
  • PANDU UJI: Mercedes-Benz A 200 AMG Line facelift – serlahan gaya seiring dengan karakteristik pemanduan

    Mercedes_A200_Ext_03

    Jenama mewah sering kali dikaitkan dengan imej yang menawan, prestasi yang mengagumkan dan pengendalian yang lebih berdinamik. Sesuai dengan jenama dan harga yang ditawarkan, pastinya harus bersesuaian.

    Untungnya Mercedes-Benz, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ia sering mengungguli jenama premium mewah di negara kita. Pada saat beberapa jenama pengeluar kenderaan lain termasuk dari luar negara yang mengalami kejatuhan jualan terutamanya akibat kemelesetan mata wang antarabangsa, Mercedes-Benz terus mampu menaikkan kuantiti yang berjaya dijual.

    Perubahan gaya dan prestasi model buatan jenama ini antara pendorong utama mengapa ia makin diterima ramai. Kalau sebelum 10 tahun dahulu, model-model Mercedes-Benz masih menyerlahkan imej ‘tahap senior’ atau pun ‘pakcik-pakcik’.

    Namun perubahan imejnya jauh ketara dalam tempoh kurang dari lima tahun kebelakangan ini. Di mana gayanya telah banyak diolah supaya mampu menarik perhatian golongan muda untuk memilikinya. Malah Mercedes-Benz turut mengakui perubahan radikal telah dilakukan terhadap kesemua barisan modelnya, sama ada bagi kelas kompak hinggalah ke premium.

    Mercedes_A200_Ext_21

    Antara model yang pastinya berjaya menarik perhatian golongan muda ialah barisan A-Class 2016 iaitu facelift terkini yang dilancarkan pada Mac lalu. Ini termasuklah A 200, A 250 Sport, dan Mercedes-AMG A45 serta varian terbaharu yang diperkenalkan iaitu A 180 Urban Line.

    Untuk mengetahui adakah ia benar-benar menepati cita rasa golongan masa kini, kami sempat menguji varian A 200 AMG Line baharu ini.

    Daripada pandangan hadapan hingga melewati bahagian belakang, tidak dinafikan, ia cukup sporty. Malahan sentuhan yang lebih segar jelas kelihatan pada bampar hadapan berbentuk anak panah walau pun ia diilhamkan dari konsep A-Class pada tahun 2011.

    Ditambah pula dengan padanan lampu hadapan projektor rekaan baharu bersama teknologi LED yang mengapit gril baharu berbentuk berlian. Ia turut ditampilkan dengan lampu nyalaan siang LED. Dengan elemen yang ada termasuk lencana Mercedes-Benz yang nampak gah ini membuatkan sifat penuh kemewahan sangat menjalari bahagian hadapan.

    Bahagian sisinya kelihatan garisan berkarakter yang menggambarkan ciri aerodinamik yang lebih optimum. Malah garisan itu yang melunjur dari bahagian tengah pintu hadapan ke pintu belakang secara menaik. Ia juga dilengkapi dengan skirt sisi yang menyerlahkan lagi sifat sporty.

    Padanan rim bersaiz 18-inci yang dibaluti tayar 225/40R18 Continental ContiSport5 kelihatan cukup bergaya diperagakan. Tambahan pula pemegang pintu dengan perumah cermin sisi (bersama indikator) yang dicat sama dengan warna badan.

    Mercedes_A200_Ext_12

    Melewati bahagian belakangnya pula, rekaan baharu pada lampunya juga cukup menyerlahkan lagi penampilannya. Apatah lagi dengan kehadiran trim ekzos dua tip yang kelihatan tersembunyi pada bampar belakang.

    A 200 ini masih kekal dengan ukuran 4,299 mm panjang, 1,780 mm lebar, setinggi 1,434 mm dan jarak roda 2,699 mm. Ia juga menampilkan ruang kargo berkapasiti 341 liter.

    Secara keseluruhannya, imej luaran yang ditampilkan memang cukup menguja. Bancuhan ciri sporty, elegan dan mewah bersatu, secara tidak langsung memuncakkan lagi aura A 200 ini. Apatah lagi dengan warna badan bagi unit pandu uji ini iaitu South Sea Blue. Dari kejauhan sudah mampu memusatkan pandangan orang sekeliling.

    Selain warna ini, A 200 turut tampil dengan rona standard iaitu Cirrus White, Mountain Grey, Cosmo Black dan Polar Silver. Jika ingin menampakkan kelainan, warna ini turut boleh dijadikan pilihan iaitu Elbaite Green, Orient Brown, Jupiter Red, dan Northern Light Violet.

    Mercedes_A200_Int_23

    Imej yang dipertaruhkan juga merajai bahagian kabinnya. Pastinya bahagian papan pemuka menjadi perhatian utama. Kalau diikutkan, tiada pembaharuan yang dibawa pada bahagian ini. Malah rekaannya masih kelihatan mirip dengan adik-beradiknya iaitu dari barisan A-Class.

    Ia hanya dibezakan dengan grafik pada tulisan di butang-butang kawalan kekemasan ‘anodised’ yang direka agar kelihatan lebih mewah. Plastik sentuhan lembut pada papan pemuka juga menampilkan imej elegan. Malah ia juga dilatari lapisan kulit lembut untuk menyerlahkan lagi gayanya.

    Konsol tengah masih menjadi pusat untuk tiga corong utama bagi penghawa dingin kawalan manual, selain turut menempatkan skrin informasi tunggal lapan-inci yang turut berfungsi sebagai system hiburan, pemain CD, dan butang kawalan penghawa dingin. Sementara itu, roda stereng tiga-jejari teleskopik ala sport balutan kulit dengan butang kawalan audio menyerlahkan gayanya.

    Balutan fabrik dan kulit Alcantara pada tempat duduk turut menambahkan keselesaan. Malahan rona hitam dengan jahitan kontras merah yang pada tempat duduk, roda stereng, perehat tangan dan panel pintu memberikan kesan yang lebih sporty lagi. Tempat duduk hadapan juga boleh dilaras secara elektronik dengan fungsi memori. Di bawah tempat duduk penumpang hadapan juga terdapat tempat penyimpanan barang (seperti laci).

    Kekemasan aloi pula terdapat pada pedal kawalan pendikit, brek dan pedal penukar gear di belakang roda stereng. Tuil gear di belakang stereng telah mengetepikan tuil gear konvensional. Sistem brek parkir elektronik juga digunakan lebih sesuai bagi hatchback mewah ini. Ia turut menampilkan kawalan kelajuan, tetapi tiada butang penghidup enjin sebaliknya menggunakan kunci secara konvensional untuk menghidupkan enjin.

    Walau pun berada di tempat duduk belakang juga selesa, namun tiada penghawa dingin disediakan pada bahagian tersebut. Rasanya tidak menjadi masalah kerana corong penghawa dingin di hadapan masih boleh mengalirkan suhu sejuk pada segenap ruang memandangkan kabinnya bersaiz kecil.

    Mercedes_A200_Ext_29

    Bagi penjana kuasanya, A 200 menggunakan enjin yang sama dengan adik terbaharu dalam keluarga A-Class, A 180 Urban Line. Padanan enjin 1.6 liter empat-silinder 16-injap DOHC dengan suntikan terus bahan api dan pengecas turbo serta VVT membuatkan jentera hatchback ini mampu meledakkan kuasa sehingga 156 hp pada 5,300 rpm dan tork puncak 250 Nm pada 1,250 Nm. Walau pun menggunakan enjin yang sama dengan adiknya itu, A 200 ini sebenarnya mempunyai 36 hp dan 50 Nm lebih daripada A 180.

    Ledakan enjin dengan pengecas turbo ini boleh diperoleh secara pantas malah cukup responsif. Tanpa perlu memberikan tekanan pada pedal pendikit, kuasa yang dihamburkan sungguh jinak. Walau bagaimana pun, jentera boleh bertindak sedikit agresif dan liar jika dalam kelajuan yang agak tinggi namun masih boleh dikawal dengan mudah.

    Dengan padanan transmisi DCT tujuh-kelajuan dan pacuannya disalurkan menerusi roda hadapan, A 200 ini mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 7.8 saat, malah berkeupayaan mencecah kelajuan maksimum sehingga 224 km/j. Walau bagaimana pun, apa yang penulis rasakan, kotak gear DCT tidaklah selancar DSG. Ini kerana kotak gear DCT lambat dalam bertindak balas, malah boleh dikatakan agak lembap. Jadi ‘feel’ pemanduan agak terencat dengan kelemahan ini.

    Namun dalam kelajuan yang agak tinggi, terasa kesan olengan badannya yang sedikit ketara. Suspensi talaan AMG dengan menampilkan spring yang lebih keras ini antara penyumbang faftor olengan tersebut tetapi dalam masa yang sama ia membekalkan kestabilan yang lebih mantap. Terutamanya ketika jentera dalam kelajuan yang tinggi atau di selekoh. Kesan understeer juga mudah diatasi. Malah dengan suspensi talaan AMG ini, jentera A 200 ini direndahkan sedikit sebanyak 15 mm bagi kestabilan yang lebih optimum.

    Mercedes_A200_Ext_31

    Bagi memantapkan lagi pengendaliannya, seperti mana varian A-Class yang lain, A 200 ini turut ditampilkan dengan pilihan mod pemanduan “Comfort”, “Eco”, “Sport” dan “Individual” dengan pemilihan menerusi butang kawalan pada sistem Dynamic Select. Di mana sistem ini akan mengubah talaan enjin, stereng, transmisi dan juga penghawa dingin mengikut mod pemanduan yang dipilih.

    Jika inginkan pemanduan biasa terutamanya di kawasan bandar, mod “Eco”, “Individual” dan “Comfort” memang cukup sesuai. Manakala pemanduan yang lebih agresif, pastinya pemilihan mod “Sport” mengubah rasa yang lebih mantap. Malahan kawalan pedal penukar gear juga menambahkan keseronokan pemanduan terutamanya di kawasan yang mempunyai pelbagai corak laluan termasuk berselekoh dan berbukit.

    Diulang sekali lagi, dalam pemanduan yang laju, karakter A 200 ini memang boleh bertukar menjadi lebih agresif dan lebih bertenaga. Tetapi ia boleh menghasilkan kesan olengan dan rasa bumpy yang mungkin kurang menyenangkan terutamanya bagi penumpang di belakang.

    Namun begitu, mengendalikannya masih terasa keselesaannya. Kabinnya seakan serap bunyi. Di mana bunyi-bunyi dari luar termasuk enjin dan seretan angin seperti tidak menyerap masuk ke dalam kabin.

    Mercedes_A200_Ext_39

    Mengikut ujian NEDC, A 200 ini mampu mencapai penggunaan bahan api sekitar 5.1 liter bagi setiap 100 km dan pelepasan emisi CO2 pula mencecah 119 gram bagi setiap km.

    Tiada perubahan daripada segi aspek keselamatan, A 200 ini juga dilengkapi dengan tujuh beg udara, ABS dengan EBD, lampu brek adaptif, sistem bantuan untuk elak pelanggaran, bantuan parkir undur, pengesan parkir hadapan dan belakang, kawalan kestabilan, sistem brek kecemasan, dan Isofix.

    A 200 AMG Line ini dijual pada harga atas jalan RM205,888 (berserta GST dan tanpa insurans). Ia turut didatangkan dengan waranti selama empat tahun bersama perbatuan tanpa had.

    Secara konklusinya, A 200 AMG Line ini merupakan model kompak hatch yang tidak mengecewakan. Malahan ia bersifat praktikal serta mempunyai paras rupa yang cukup menarik. Secara tidak langsung, berupaya memberikan persaingan sengit buat model pesaingnya iaitu BMW 120i M Sport yang berharga sedikit murah darinya iaitu RM202,800 (tanpa insurans).

     
     
  • Bosch lancar kempen ‘Satu Bahagian Rosak Mampu Memusnahkan Segalanya’ di Malaysia

    Bosch (01) - Bosch launches 'One Wrong Part Ruins Everything' campaign in Malaysia

    Bosch Malaysia melancarkan bengkel #GetItRight, salah satu daripada kempen utama ‘Satu Bahagian Rosak Mampu Memusnahkan Segalanya’. Ia menggalakkan para pemandu menitikberatkan cara pemanduan kenderaan di samping kepentingan mengunakan alat-alat ganti kenderaan kerana ia mampu membawa perubahan.

    Mengikut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 2015, statistik kemalangan trafik menunjukkan nisbah kadar kematian ke bilangan penduduk di Malaysia kini berada pada tahap membimbangkan iaitu 24.0 ke 100,000 – melebihi lima kali ganda berbanding negara jiran, Singapura.

    “Kebanyakan pengguna jalan raya seringkali tidak menyedari bahawa bahagian terkecil dalam kenderaan mampu menjejaskan keselamatan pemandu dan penumpang. Bosch Malaysia memperkenalkan kempen ini dengan harapan untuk mengurangkan bilangan kemalangan jalan raya melalui kesedaran kepentingan melengkapkan kenderaan dengan alat-alat ganti kenderaan yang berkualiti dan dipercayai.

    “Sebagai pembekal alat-alat ganti terkemuka dunia, Bosch menggunakan teknologi kejuruteraan inovatif Jerman agar kenderaan di Asia dapat bergerak dengan lebih selamat,” kata Pang Yoon Kong, Pengurus Automotive Aftermarket Bosch Malaysia.

    Turut hadir di bengkel tersebut ialah selebriti terkenal Malaysia, Awal Ashaari.

    Bosch (04) - Bosch launches 'One Wrong Part Ruins Everything' campaign in Malaysia

    Awal turut berkongsi beberapa tips pemeriksaan kereta mudah di mana ia boleh dilakukan sendiri. “Perkara pertama yang saya periksa adalah keadaan pengelap cermin kereta. Dengan Bosch Advantage Wiper, saya boleh menukar pengelap cermin dengan cepat dan tidak perlu membawa kereta saya ke bengkel.”

    Bengkel berkenaan menampilkan satu sesi pemeriksaan kereta DIY (do-it-yourself) #StartWithBosch di mana para peserta mempelajari rutin asas pemeriksaan kenderaan, termasuk pemeriksaan tahap minyak enjin, cecair brek, kitaran hidup bateri dan keadaan pengelap cermin kereta.

    Mempunyai pengalaman yang luas dalam merekabentuk dan pembuatan sistem pengelap berkualiti sejak 1927, Bosch memperkenalkan Bosch Advantage Wiper baharu yang menampilkan “getah tropika” eksklusif tahan rekah dan kerosakan daripada pendedahan ozon dan cahaya matahari dalam jangka panjang.

    Direka bentuk khas untuk Asia, walaupun di bawah keadaan cuaca tidak menentu di Malaysia, Bosch Advantage Wiper baharu mampu memberi ketahanan mengelap luar biasa, pelaksanaan yang baik hampir seperti ia mula-mula dipasang, walaupun selepas 200,000 kitaran mengelap.

    Dilengkapi dengan pembinaan keluli secara keseluruhan, Bosch Advantage Wiper baru menyediakan rintangan kakisan unggul dan perlindungan terhadap semua cuaca. Menonjolkan ciri tanpa gangguan, Bosch Advantage Wiper baru termasuk plug penyesuai “Fast-fit” amat serasi bagi memenuhi lebih 95% kenderaan di Asia.

    Bosch Advantage Wiper kini boleh didapati pada harga RM35 sepasang di Lazada dan kedai-kedai aksesori kereta utama.

     
     
  • Volvo dedah model konsep 40.1 dan 40.2, prebiu untuk SUV XC40 dan sedan S40 generasi seterusnya

    Selepas imej teaser Snapchat disiarkan sebelum ini, Volvo akhirnya mendedahkan dua kereta konsep yang dibina mensasarkan pasaran untuk golongan yang lebih muda, Volvo 40.1 dan 40.2. Konsep dalam bentuk SUV dan Notchback tersebut akan diprebiu sebagai barisan untuk model paling kecil dalam keluarga Volvo iaitu siri 40, di mana versi produksi konsep tersebut dijangka akan menembusi pasaran tahun hadapan. Untuk itu, model konsep ini mungkin akan diperkenalkan dengan nama Volvo XC40 dan S40 untuk versi produksi kelak.

    Kedua-dua kereta ini dibina berdasarkan platform Compact Modular Architecture (CMA), iaitu versi lebih kecil platform Scalable Product Architecture (SPA) yang digunakan oleh S90, V90 dan XC90 terbaharu. Platform terbaharu ini akan menamatkan kebergantungan Volvo terhadap Ford, di mana V40 sedia ada dibina berasaskan platform Global C yang turut digunakan pada Ford Focus.

    Seperti yang disebut sebelum ini, kedua-dua model konsep tersebut dibina untuk pengguna yang lebih muda. Jadi rekaan kedua-duanya tidak seperti model-model lebih besar terbaharu Volvo seperti S90 dan XC90 yang lebih lembut, sebaliknya menampilkan rupa yang lebih tajam dan garang. Konsep sedan pada 40.2 dilihat lebih tersendiri, futuristik, dengan sepasang lampu hadapan “Tukul Thor” Volvo mengapit gril hadapan yang besar dan liang kemasukan hadapan berbentuk tulang ditempatkan di bahagian bawah.

    Pada bahagian sisi, cermin tingkap depan dan belakang kelihatan seperti bersambung bersama cermin hadapan. Ruang arca yang besar dan lekukan yang dalam pada bahagian bawah pintu menjadikan rekaan sedan ini berada dalam kelasnya tersendiri. Rupa keseluruhan 40.2 ini juga mengingatkan pada S60 Cross Country, iaitu sebuah crossover sedan Volvo menampilkan roda yang besar dengan kelegaan tanah yang tinggi serta bahagian but yang direka pendek. Tiang-C yang lebar dengan lampu belakang berbentuk-C melengkapkan sedan ini dengan rekaan yang luar biasa.

    Walau bagaimanapun, SUV 40.1 menampilkan rupa yang hampir kepada sebuah model produksi. Bahagian hadapannya direka dengan bentuk yang lebih konvensional dengan lampu hadapan berbentuk trapezoid, tiga unit liang kemasukan udara pada bampar hadapan dan bonet berbentuk kulit kerang. Permukaan badan kereta ini juga tampil dengan rekaan lebih lembut, dan bahagian belakangnya dilengkapi dengan lampu berbentuk seakan lampu belakang V90. Warna dua ton 40.1 ini juga memberikan imej yang lebih ‘funky‘.

    Barisan model baharu ini dijangka akan menggunakan enjin Drive-E 2.0 liter empat silinder dan juga enjin 1.5 liter turbo tiga silinder petrol dan diesel. Model ini juga berkemungkinan akan dikuasakan dengan enjin T5 Twin Engine plug-in hybrid berkuasa 180 hp dari enjin tiga-silinder dan digabungkan dengan motor elektrik 55 kW, menghasilkan kuasa keseluruhan 250 PS dengan tork maksima hampir 400 Nm dialirkan kepada kotak gear klac berkembar.

    “Model siri 40 baharu ini mempunyai potensi untuk memperbaiki pasaran kami dalam segmen penting yang sedang berkembang,” kata presiden dan CEO Volvo Håkan Samuelsson. “Program unit janakuasa elektrik termasuk kedua-dua enjin kompak Twin Engine plug-in hybrid dan juga elektrik sepenuhnya juga akan menjana platform CMA ini,” tambah beliau lagi.

     
     
  • Yamaha XV950CR Cafe Racer 2016 di M’sia – RM55,000

    2016-Yamaha-XV950CR-EU-60th-Anniversary-Studio-001-e1463619236259

    Pengedar rasmi Yamaha di Malaysia, Hong Leong Yamaha, telah mengumumkan kemasukan model Yamaha XV950CR Cafe Racer 2016 di negara ini. Dijual pada harga RM55,000 termasuk GST, model street-cruiser ini tampil dengan gaya motosikal perlumbaan klasik Amerika.

    Memilih warna perlumbaan Yamaha iaitu kuning, hitam dan putih, Yamaha XV950CR 2016 ini dijanakan oleh enjin 942 cc penyejuk-udara, empat-injap V-twin dengan kuasa 52.1 PS pada 5,500 rpm dan tork 79.5 Nm pada 3,000 rpm. Sistem bahan apinya diselia oleh EFI, dan kuasanya disalurkan menerusi kotak gear lima-kelajuan.

    Berasaskan model standard Yamaya XV950 Bolt, Yamaha XV950CR Cafe Racer 2016 ini didatangkan dengan tempat duduk tunggal, dan tempat duduk belakang dilindungi oleh penutup boleh tanggal. Plat nombor kekemasan logam dan sepit udang (fork) hadapan tertutup dengan but getah dengan gaya retro-racer.

    Yamaha XV950CR Cafe Racer 2016 ini boleh didapati di semua pengedar Yamaha pada harga jualan RM55,000, termasuk GST, dan tanpa pendaftaran, cukai jalan dan insurans. Yamaha XV950R Bolt pula dijual pada harga RM52,500 dan hanya boleh didapati dengan warna matte grey.

     
     
  • VIDEO: Pandu uji Honda Civic FC 2016 di Thailand

    Dua minggu lalu, kami dibawa oleh Honda Malaysia ke Chiang Mai untuk menguji Honda Civic 2016 spesifikasi Thailand. Untuk mengetahui prestasi dan pembaharuan yang ditampilkan oleh Civic generasi-10 ini, anda boleh membaca ulasan pandu uji tersebut. Malah hujung minggu lalu, team Paultan.org turut terserempak dengan Civic 2016 ini yang sedang menjalani penggambaran video di Putrajaya.

    Jika Civic generasi ke-sembilan mempertaruhkan elemen yang elegan dan lari dari imej sporty tidak seperti Civic generasi sebelumnya terutamanya yang ke-lapan, bagi Civic generasi ke-10 ini, ia seakan kombinasi antara elegan dan sporty. Malah Civic 2016 juga lebih panjang dan lebar tetapi lebih rendah berbanding generasi sebelumnya. Malah banyak garisan berkarakter menjalari permukaannya, di samping lampu utama LED pada varian 1.5 Turbo RS untuk spesifikasi Thailand.

    RS itu juga menerima padanan gril hitam pekat dan spoiler belakang, tetapi difahamkan kita tidak akan dua elemen tersebut. Sebaliknya kita akan menerima pilihan aksesori Modulotermasuk kit badan dan spoiler.

    Klik untuk besarkan imej

    Dijangka akan dilancarkan pada suku kedua (Q2) tahun ini, Honda Malaysia juga telah mengesahkan kita akan menerima varian 1.8 NA dan 1.5 Liter Turbo, kedua-duanya dipadankan dengan transmisi CVT. Di mana transmisi ini adalah bagi menggantikan kotak gear automatik lima-kelajuan pada generasi terdahulu. Malah penggunaan bahan api dan emisi juga telah dipertingkatkan.

    Ia juga akan dilengkapi dengan enam beg udara dan tempat duduk pemandu larasan berkuasa lapan-cara, VSA, brek parkir elektronik dengan fungsi penahan brek, penghidup enjin kawalan jauh dan juga kunci automatik walk away.

    Seperti mana yang semua sedia maklum, tempahan Civic 2016 ini telah pun mula dibuka di semua 88 cawangan pengedar Honda bertauliah di seluruh negara. Malah Honda Malaysia akan mempertontonkan Civic 2016 ini buat pertamanya di Malaysia untuk tatapan umum di My Auto Fest 2016 yang bakal berlangsung pada 20 hingga 22 Mei ini (jam 10 pagi hingga 9 malam) di Pusat Pameran Antarabangsa dan Konvensyen Mines (MIECC).

    GALLERY: Honda Civic 1.5 Turbo RS, spesifikasi Thai


    GALLERY: Honda Civic 1.8 E, Thai-spec

     
     
  • BMW X1 dan X4 CKD terima insentif EEV, xDrive20d baharu untuk X1 – RM229k hingga RM397k

    BMW-X1-Malaysia-4

    Bulan lalu, BMW Malaysia mengumumkan model X1 dan X4 akan menyertai model pemasangan tempatan (CKD) mereka yang lain dan mula diproduksi pertengahan tahun ini. Hari ini BMW Malaysia baru mengumumkan harga bagi F48 X1 versi CKD iaitu dari RM228,800, manakala CKD bagi F26 X4 pula RM396,800.

    Model import X1 yang dilancarkan di Malaysia pada Oktober lalu, dengan versi petrol sDrive20i (2.0L, 192 hp/280 Nm) dijual pada harga RM279,800. Perbezaan sebanyak RM51,000 bagi versi CBU dengan RM228,000 versi CKD, memandangkan pemasangan tempatan turut menerima insentif Kenderaan Jimat Tenaga (EEV). Sama seperti versi CBU petrol X1, varian ini juga menerima kekemasan Sport Line dan pacuan roda-hadapan.

    Selain sDrive, varian X1 baharu ini turut menerima xDrive20d, dengan pacuan 4WD, dijanakan oleh enjin diesel 2.0L dan lebih bergaya dengan kekemasan xLine. Ia dijual pada harga RM255,800.

    F48-BMW-X1-Malaysia-008

    X1 CKD ini akan dilengkapi dengan BMW ConnectedDrive, termasuk BMW Navigation dengan paparan 6.5-inci dan kawalan sentuh iDrive untuk sDrive. Manakala varian xDrive20d pula menerima paparan 8.8-inci dengan fungsi skrin berasingan, Navigation Plus termasuk paparan utama dan kawalan sentuh iDrive. Kedua-duanya juga menerima Parking Assistance.

    Bagi X4, varian xDrive28i telah pun mula dipasarkan di Malaysia sejak Ogos 2014, dan versi CKD pula akan menerima varian yang sama (2.0L, 245 hp/350 Nm) pada harga RM396,800. Berbanding harga model CBU iaitu RM465,800. Ia juga akan menerima elemen BMW ConnectedDrive termasuk sistem Driver Assistance (Lane Departure Warning, Person Warning dan Approach Control Warning).

    Semua adalah harga atas jalan tanpa insurans, dengan waranti dari BMW Malaysia selama lima-tahun tanpa had perbatuan, program servis berjadual percuma dan waranti Tayar BMW. Kedua-dua model ini akan ditampilkan di BMW xDrive Xperience 2016 yang bakal berlangsung pada hujung minggu ini (21-22 Mei) dan minggu hadapan (28-29 Mei) di semua pusat pengedar BMW.

    Pada bulan lalu, BMW 3 Series Gran Turismo, X3 dan 5 Series turut menerima status EEV selepas 1 dan 3 Series menerimanya lebih awal. Harganya juga lebih rendah berbanding model CBU.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.30
DIESEL
EURO 5 B10 RM3.35 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.55 (0.00)
Last Updated Jun 27, 2024