Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Pusat ujian kenderaan baharu Thai siap pada 2018

    Pusat ujian kenderaan baharu Thai siap pada 2018

    Thailand melangkah setapak lagi dalam industri automotif dengan membuka pusat ujian kenderaan dan tayar pertama di negara tersebut. Dengan mengikut standard antarabangsa, pusat tersebut dijangka bakal beroperasi tahun hadapan, laporan Bangkok Post.

    Pusat terbabit akan digunakan untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pensijilan. Ia adalah sebahagian daripada misi negara tersebut untuk menjadi hab pembuatan bagi produk auto generasi akan datang, ujar menteri industri Uttama Savanayana, yang menambah keseluruhan pusat tersebut akan siap sepenuhnya pada tahun 2019.

    Dengan kos pembinaan berjumlah 3.7 bilion baht (RM477 juta) pusat ujian ini terletak di kawasan seluas 197 hektar di daerah Chachoengsao iaitu di bawah Koridor Ekonomi Timur (imej di atas adalah ilustrasi semata-mata).

    Selain pengeluar kenderaan, yang mempunyai banyak hab serantau di negara berkenaan, projek ini juga memberikan manfaat buat syarikat tayar sekaligus pasti melonjakkan permintaan terhadap getah. Menurut laporan, sebanyak 70% pengeluaran getah diserapkan kepada industri pembuatan tayar. Uttama berkata, pusat ujian ini juga bakal menjadi pertama seumpamanya dengan standard antarabangsa di Thailand, yang turut diterima pakai oleh kebanyakan pengeluar kenderaan di US, Eropah dan Jepun.

    Somchai Hanhiran, setiausaha tetap industri, pula berkata, fasa pertama pusat ujian ini, yang meliputi 1.4 km trek, dijangka siap sepenuhnya menjelang pertengahan 2018.

    Manakala bagi fasa kedua pula, Thailand merancang untuk membina lima lapangan ujian kecil untuk beberapa jenis produk automotif, tayar dan peralatan yang berkenaan. Kementerian berkenaan turut memohon dana bantuan daripada kerajaan bagi pembinaan fasa kedua, yang dijangka bermula pada tahun 2018.

     
     
  • Proton mampu tembusi pasaran global dengan bantuan rakan strategik asing – pakar geostrategi

    Proton mampu tembusi pasaran global dengan bantuan rakan strategik asing – pakar geostrategi

    Minggu lalu, DRB-Hicom mengesahkan semua pembida bagi menjadi rakan strategik asing (FSP) Proton masih kekal, malahan mensasarkan untuk menamatkan proses penilaian menjelang akhir suku kedua tahun 2017. Walau pun terdapat perkhabaran dari akhbar China, Zhejiang Geely telah menarik diri daripada bidaannya untuk menjadi memiliki pegangan majoriti dalam Proton, namun berita ini dinafikan oleh DRB-Hicom.

    Semalam Bernama melaporkan, FSP Proton mampu memacu jenama tersebut untuk menembusi pasaran global menerusi temubual bersama pakar geostrategi, Azmi Hassan. Di mana beliau melihat kepada tawaran lain yang sama di seluruh dunia, beberapa perkara perlu diketepikan pada peringkat rundingan ini antara DRB-Hicom sebagai pemilik Proton dengan pembida antarabangsa.

    “Dalam usaha memastikan Proton melonjak daripada peserta tempatan ke pasaran global, perlu diambil kira pelbagai dimensi seperti teknologi, platform, model baharu dan pengeluaran yang lebih besar,” katanya.

    Azmi berkata demikian sebagai mengulas kenyataan oleh Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Datuk Seri Syed Faisal Albar, pada minggu lalu yang menafikan laporan media bahawa Proton kini hanya berdepan dengan satu sahaja pembida asing sebagai bakal rakan strategik asing.

    Proton mampu tembusi pasaran global dengan bantuan rakan strategik asing – pakar geostrategi

    Kenyataan berkenaan tidak menamakan pembida tersebut tetapi difahamkan syarikat itu termasuk firma dari China, Geely Automobile Holdings dan pengeluar kereta kedua terbesar di Eropah iaitu Groupe PSA.

    Azmi berkata beliau yakin antara isu perbincangan ialah pinjaman mudah sebanyak RM1.5 bilion yang diperoleh Proton tahun lepas daripada kerajaan yang mempunyai beberapa syarat serta pemindahan semua pembuatannya ke hab di Tanjung Malim.

    Beliau berkata bagi firma dari China, Geely, yang hanya jenama domestik di negara itu, sehinggalah mengambil langkah berani membeli pengeluar dari Sweden, Volvo, satu jenama antarabangsa, yang membolehkan syarikat itu menggandakan pendapatannya baru-baru ini, dengan kelebihan penyelidikan dan pembangunan Volvo untuk memacu jualan jenama Geely.

    “Selain itu, keuntungan bersih Geely melonjak sebanyak 126% pertumbuhan keuntungan bersih terbesarnya dalam lapan tahun dan harga sahamnya meningkat tiga kali ganda sejak 12 bulan lepas. Dan di bawah Geely, Volvo mencatatkan lonjakan dalam jualan kereta di peringkat antarabangsa berbanding sebelumnya,” katanya.

    Proton mampu tembusi pasaran global dengan bantuan rakan strategik asing – pakar geostrategi

    Tambahnya lagi, “Pengeluar kereta dari China itu juga membeli London Taxi Co dan barisan keretanya di China sebenarnya bertaraf dunia, seperti PSA dari Perancis yang besar dan pesaing kuat bagi Proton.”

    Beliau berkata sebenarnya amat penting bagi Proton untuk mempunyai rakan strategik asing yang mempunyai model perniagaan yang baik dengan pasaran yang luas kerana tanpanya, agak “sukar” bagi Proton untuk berkembang ke pasaran Asia pada masa depan.

    “Kita semua tahu mengenai mentaliti orang Asia untuk memiliki kereta. Jadi, ini merupakan potensi yang besar dan dalam ASEAN sahaja jumlah penduduk mencecah 600 juta. Saya ingin melihat Proton melangkaui pasaran ASEAN dengan bakal rakan kongsi strategiknya.

    “Dan juga, amat penting bagi Proton untuk memutuskan mengenai rakan kongsinya tanpa sebarang tekanan politik. Ia perlu hanya berdasarkan kepada keputusan yang tepat dari segi komersial,” katanya.

     
     
  • Triumph Bobber dan Street Scrambler sudah dibuka untuk tempahan di M’sia – dari RM75k dan RM66k

    Triumph Bobber dan Street Scrambler sudah dibuka untuk tempahan di M’sia – dari RM75k dan RM66k

    Tahun 2017 akan menjadi tahun yang meriah bagi Fast Bikes Sdn Bhd, iaitu pengedar rasmi motosikal jenama Triumph di Malaysia, apabila beberapa model baru akan diperkenalkan. Februari lalu, variasi kepada Street Twin, dengan gaya cafe racer iaitu Street Cup, tiba di pusat pameran syarikat itu dan dibuka untuk jualan pada harga RM65,900, dan kali ini dua lagi model baru tiba.

    Satu daripadanya adalah Triumph Bonneville Bobber 2017, yang menampilkan gaya bobber yang sering dihasilkan pembina motosikal kustom, tetapi bagi Triumph, ia datang terus dari kilang sebegitu rupa – satu tempat duduk (boleh laras), penyerap hentak tersembunyi di bawah tempat duduk, lampu bulat depan kecil dan cermin sisi yang melekat di tepi bahagian pemegang.

    Enjin yang digunakan pada model Bobber adalah sama seperti barisan model T120 – unit enjin 1,200 cc dua silinder selari High Torque tetapi dikatakan mempunyai lebih kuasa berdasarkan penukaran kotak angin dua corong baru yang digunakan. Ia kemudiannya dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan.

    Memandangkan Bobber ini hanya boleh menempatkan satu orang sahaja, bahagian suspensi dilaras supaya bersesuaian manakala brek cakera hadapan dan belakangnya dilengkapi dengan sistem ABS. Sistem lain yang digunakan adalah ride-by-wire, Kawalan Cengkaman (TC), pilihan mod tunggangan dan klac Torque Assist.

    Tempahan untuk Triumph Bobber dibuka kepada orang ramai pada harga bermula RM74,900 dan pembeli dijangka menerima motosikal mereka sekitar bulan Julai.

    Triumph Bobber dan Street Scrambler sudah dibuka untuk tempahan di M’sia – dari RM75k dan RM66k

    Sementara itu, turut sama baru tiba di pusat pameran Triumph di Petaling Jaya adalah Street Scrambler 2017. Model ini menggunakan asas daripada model Street Twin dengan enjin dua silinder selari 900 cc berpenyejukan cecair dan kotak gear lima kelajuan yang sama, berkemampuan 54 hp dan 80 Nm. Namun, seperti yang boleh dilihat, gaya yang dibawa adalah berlainan, dengan ekzos yang tinggi di bahagian tepi, rim jenis jejari (19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang) dan suspensi yang lebih tinggi.

    Kerangka yang digunakan juga adalah baru, manakala rim tadi dibalut dengan tayar Metzeler Tourance yang mempunyai bunga lebih tebal, sesuai untuk jalan kasar. Pada bahagian tempat duduk, span berasingan diletakkan bagi penunggang dan penumpang, dan ia dibalut dengan kulit jenis Alcantara. Dengan tetapan sebegini, tempat duduk belakang boleh ditanggalkan sekiranya mahu dan ia boleh diganti dengan rak untuk menempatkan barangan.

    Kelengkapan lain yang digunakan pada Street Scrambler adalah termasuk tempat letak kaki tanpa getah, pad tangki, penghadang lumpur aluminium di bawah enjin, brek ABS yang boleh ditutup, kawalan cengkaman (TC) serta panel untuk nombor plet di tepi. Harga yang ditetapkan untuk tempahan awal Triumph Scrambler 2017 adalah RM65,900.

    Selain dua model ini, Triumph juga akan melancarkan satu model yang ditunggu ramai tahun ini iaitu Street Triple 765. Ia bukan sekadar facelift, tetapi diangkat sebagai model serba baru kerana perubahan yang diberi adalah menyeluruh termasuk pada enjin 765 cc baru, casis serta kelengkapan yang ada padanya.

    GALERI: Triumph Bonneville Bobber 2017

    GALERI: Triumph Scrambler 2017

     
     
  • Teaser Hyundai Kona disiarkan – bakal cabar Honda HR-V dan Toyota C-HR dalam pasaran SUV segmen-B

    <em>Teaser</em> Hyundai Kona disiarkan – bakal cabar Honda HR-V dan Toyota C-HR dalam pasaran SUV segmen-B

    Nampaknya bukan Toyota C-HR sahaja yang perlu disaingi oleh Honda HR-V dan Mazda CX-3 dalam pasaran SUV “sub-kompak” global (segmen-B di Malaysia), kerana Hyundai telahpun secara rasmi mengumumkan wakil mereka untuk masuk ke pasaran tersebut dengan model digelar Hyundai Kona.

    Pengumuman berkenaan hadir bersama teaser yang menayangkan lampu nyalaan siang LED dan lampu isyarat membelok yang direka tirus seolah lampu utama. Jika dilihat pada foto spyshot yang kami siarkan sebelum ini, lampu utama SUV ini diletakkan pada bahagian bawah – seperti gaya yang ditampilkan oleh Citroen, Nissan Juke dan juga Jeep Cherokee. Foto spyshot berkenaan juga turut mendedahkan SUV ini turut diberikan gril “cascading” seperti i30 baharu.

    Seperti juga model-model SUV Hyundai lain, nama model baharu ini diambil dari nama tempat di Amerika – Kona merupakan satu daerah di Kepulauan Hawaii, dan ia menggambarkan imej energetik serta gaya hidup yang unik. Kona juga akan diletakkan di bawah Tucson dan Santa Fe dalam barisan SUV Hyundai.

    Hyundai sebenarnya telah pun mempunyai SUV sub-kompak Creta/ix25 yang hanya dijual di India dan China. Untuk Kona, ia direka dengan penggayaan berbeza dan rupa yang lebih garang, menampilkan “gaya progresif yang menggambarkan gaya hidup pelanggan moden”, menurut Hyundai dan menambah ia adalah “SUV sebenar”. Hyundai turut mendedahkan mereka telah menjual sebanyak lebih dari 1.4 juta unit SUV sejak 2001.

    Berdasarkan imej spyshot sebelum ini juga dapat dilihat bahagian sisi Kona direka lebih sporty dari Creta, dengan bahagian belakang lebih landai yang mungkin mengorbankan sedikit praktikaliti. Lampu belakang juga dilihat menggunakan unit LED dan turut diberikan skid plate SUV tipikal. Boleh dijangkakan, Kona dihasilkan dari platform yang sama denga Creta dan dijana barisan enjin T-GDI dan CRDI Hyundai.

     
     
  • PANDU UJI: Honda Accord 2.4 VTi-L 2017 kekal dinamik, mempertaruhkan imej baharu lebih maskulin

    PANDU UJI: Honda Accord 2.4 VTi-L 2017 kekal dinamik, mempertaruhkan imej baharu lebih maskulin

    Mungkin hadirnya bukanlah begitu mengundang keterujaan, tidak seperti ‘adik-adiknya’ iaitu Honda BR-V yang dilancarkan pada awal tahun ini, juga tidak dilupakan HR-V yang hadir di Malaysia pada tahun lalu, di mana kedua-duanya telah yang mencetus fenomena luar biasa di pasaran tempatan.

    Malah Civic 2016 dan pengenalan City 2017 baru-baru ini juga dilihat menunjukkan angka tempahan dan jualan yang memberangsangkan. Tidak menghairankan apabila Honda Malaysia mampu mencatatkan jualan sebanyak 100,000 unit bagi tahun kewangan semasa (1 April 2016 hingga 31 Mac 2017).

    Waima tidak banyak, mungkin Accord 2017 facelift ini juga memberikan sumbangan dalam jumlah 100,000 unit tersebut, lantas ia memang tidak wajar diketepikan. Ini kerana hadirnya turut memberikan persaingan sengit buat model-model yang sama segmen dengannya, termasuk Toyota Camry dan Nissan Teana.

    Apa yang ada pada Accord facelift yang muncul di pasaran tempatan pada September lalu? Baru-baru ini, Honda Malaysia telah menganjurkan sesi pandu uji model berkenaan ke Kuantan, Pahang, bersama media permotoran tempatan, sekaligus memberikan peluang kepada kami untuk membongkar apa kelebihan yang ada pada model sedan premium ini.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Benelli RFS150i 2017 dilancarkan, harga dari RM7,407

    Benelli RFS150i 2017 dilancarkan, harga dari RM7,407

    Selepas bertukar pengedar, sebelumnya bersama Benelli Keeway Malaysia dan kini MForce Bike Holdings Sdn Bhd – yang juga merupakan pengedar bagi skuter SYM – Benelli memperkenalkan barisan beberapa model baru untuk pasaran Malaysia. Tidak ketinggalan ialah model supercub RFS150i 2017 ini.

    Ditawarkan dalam dua varian, model ini masing-masing dijual pada harga RM7,407 bagi varian RFS150i, manakala bagi versi RFS150i SE pula, harganya ialah RM7,778 – termasuk GST. Ini merupakan penawaran sulung Benelli di dalam segmen motosikal 150 cc, yang setakat ini didominasi oleh dua sahaja model popular – Yamaha Y15ZR dan Honda RS150R.

    Benelli RFS150i dilengkapi enjin 149 cc silinder tunggal sejukan cecair yang menghasilkan 15.5 hp kuasa pada 8,500 rpm dan 13 Nm tork pada 7,000 rpm. Menjadi keunikannya ialah konfigurasi silinder dengan tiga palam pencucuh – dikenali sebagai B3SP – yang bersekali dengan ECU dan sistem penyuntik minyak pada motosikal ini, direka untuk mendapat kecekapan penggunaan bahan api dan kuasa optimum.

    Benelli RFS150i 2017 dilancarkan, harga dari RM7,407

    Bagi kotak gear pula, motosikal ini menggunakan jenis klac basah dengan enam-kelajuan – sama seperti kebiasaan model dalam segmennya. Nama RFS yang digunakan adalah singkatan kepada “Riders For Speed”. Disebabkan itu juga penggayaan yang dikenakan pada model ini tampak sporty dan agresif.

    Suspensi depan adalah dari jenis fork terbalik, manakala bahagian belakang menggunakan jenis monoshock. Brek pula terdiri daripada jenis hidraulik bagi kedua-duanya, dengan cakera 240 mm di depan serta 220 mm di belakang.

    Motosikal ini dilengkapi dengan tangki minyak berkapasiti 4.8 liter yang terletak di bawah tempat duduknya, dengan berat kering yang dicatatkan ialah 115 kg. Ketinggian tempat duduknya 787 mm, dengan kelajuan maksimum yang mampu dicapai didakwa pada 100 km/j.

    Ada tiga pilihan warna ditawarkan – kuning, merah dan biru – sementara versi SE pula hadir dalam warna matte grey, dan sudah boleh dibeli dari bilik pameran Benelli kini. Bandingan harga dengan pesaingnya pula adalah seperti berikut; Yamaha Y15ZR dijual RM8,210 manakala Honda RS150R pula dari RM8,213 bagi versi standard, serta RM8,372 bagi versi Repsol.

     
     
  • Ford panggil balik 52k unit pikap F-250 2017 ekoran dikesan bergerak sendiri biarpun dalam mod parkir

    Ford panggil balik 52k unit pikap F-250 2017 ekoran dikesan bergerak sendiri biarpun dalam mod parkir

    Ford Motor Company telah mengumumkan panggilan balik bagi model pikap F-250 2017 kerana dikesan mempunyai masalah boleh bergerak sendiri biar pun dalam mod parkir. Menurut Ford, pelanggan yang memiliki pikap ‘super duty’ yang dijanakan oleh enjin 6.2-liter ini dinasihati agar menggunakan brek parking setiap masa bagi mengekalkannya dalam keadaan pegun (tidak bergerak).

    Bagi unit yang terjejas, rod parkir yang rosak itu mungkin membuatkan bahagian mekanikal antara transmisi automatiknya tidak berfungsi apabila pemandu menukarkan tuil gear ke mod parkir. Jika brek parkir tidak berfungsi, ia boleh mendorong kenderaan bergerak sendiri tanpa sebarang amaran dan boleh menyebabkan risiko kemalangan.

    Namun buat masa ini, Ford tidak menerima sebarang laporan mengenai kemalangan yang disebabkan isu tersebut.

    Unit yang terjejas adalah yang dipasang di kilang Pemasangan Ford di Kentucky, Amerika Syarikat (US) antara 9 Oktober 2015 hingga 30 Mac 2017. Ia melibatkan 52,608 unit di Amerika Utara, termasuk 48,421 unit di US dan jajahan terlibat, serta 4,143 unit lagi di Kanada.

     
     
  • Benelli Malaysia lancarkan motosikal jelajah TRK 502 dari RM30,621 dan model sports 302R pada RM23,201

    Benelli Malaysia lancarkan motosikal jelajah TRK 502 dari RM30,621 dan model sports 302R pada RM23,201

    Khabar ketibaannya sudah diketahui sekian lama tapi kini akhirnya motosikal jelajah Benelli TRK 502 dilancarkan secara rasmi di Malaysia, bersama sebuah motosikal sports, 302R. TRK 502 ditawarkan dalam tiga variasi iaitu paling asas pada harga RM30,621, 502 SP lengkap dengan beg barangan di tepi pada RM31,681 dan 502 SP2 yang mendapat tambahan kotak barangan di belakang, atas pada harga RM32,423.

    Sementara itu, bagi Benelli 302R, ia dijual kepada umum pada harga RM23,201 dan semua harga yang disebutkan tadi adalah termasuk GST, tetapi tanpa cukai jalan, pendaftaran dan insurans.

    Benelli TRK 502 dikuasakan oleh enjin dua silinder selari 500 cc, DOHC, lapan injap dan mempunyai sistem suntikan bahan api. Dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan, enjin ini dikatakan mampu menghasilkan sebanyak 47 hp pada 8,500 rpm dan 45 Nm tork pada 5,000 rpm.

    Tugas menyerap hentakan pada motosikal ini dilaksanakan oleh fork terbalik dengan jarak pergerakan 150 mm pada bahagian hadapan dan di belakang terdapat pula monoshock yang boleh dilaras pra bebannya dan mempunyai jarak pergerakan 45 mm.

    Kedua-dua tayar hadapan dan belakang TRK 502 mempunyai angkup brek dua piston terapung, tetapi di bahagian hadapan, cakeranya adalah bersaiz 320 mm manakala di belakang pula bersaiz 260 mm. Turut disediakan sekali untuk keselamatan adalah sistem ABS, yang mempunyai suis jika perlu ditutup. Berat motosikal ini adalah 210 kg dan tinggi tempat duduknya adalah 815 mm.

    TRK 502 didatangkan dengan tangki minyak 20 liter, memudahkan pengguna supaya tidak perlu kerap berhenti untuk mengisi minyak. Bagi yang gemar berjalan jauh, versi SP didatangkan dengan kotak sisi manakala SP2, selain kotak sisi, turut ditambah dengan kotak belakang (atas).

    Terdapat tiga warna yang ditawarkan bagi TRK 502 – putih, kelabu dan hitam. Saingan terus bagi TRK 502 adalah Honda CB500X yang dijual pada harga RM31,893 untuk model standard dan RM35,391 untuk model ABS CB500XA.

    Benelli Malaysia lancarkan motosikal jelajah TRK 502 dari RM30,621 dan model sports 302R pada RM23,201

    Pada majlis pelancaran yang sama, turut diperkenalkan adalah Benelli 302R, sebuah motosikal sports yang menggunakan enjin dua silinder selari 300 cc, DOHC, lapan injap dan berpenyejukan cecair. Kuasa yang mampu dihasilkan motosikal ini adalah 37.5 hp pada 10,000 rpm manakala tork pula berada di tahap 27.4 Nm pada 9,000 rpm.

    Motosikal ini disasarkan untuk menjadi sebuah sportsbike dengan pengendalian yang bagus, oleh itu, pada bahagian hadapannya terdapat fork terbalik dengan jarak pergerakan 120 mm dan monoshock 45 mm di belakang. Untuk memberhentikannya terdapat cakera brek 260 mm di hadapan, 240 mm di belakang dan sistem ABS.

    Ciri lain 302R adalah kapasiti tangki minyak 14 liter, berat kering 190 kg dan ditawarkan dalam pilihan empat warna – merah/putih, hitam/merah dan perak/hijau. Motosikal ini juga dilihat akan memberi saingan sengit kepada Kawasaki Ninja 300, yang dijual pada harga sekitar RM27,000.

     
     
  • Perang harga minyak tidak akan dimulakan – KPDNKK

    Perang harga minyak tidak akan dimulakan – KPDNKK

    Jika sebelum ini ramai telah membayangkan ‘perang harga’ yang bakal menguntungkan pengguna akan bermula setelah kerajaan mengumumkan akan menetapkan harga siling bahan api pada setiap minggu bermula 29 Mac lalu, hakikatnya ia tidaklah seindah yang disangka.

    Menurut kenyataan terbaharu dari Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainuddin menerusi laporan Bernama, pemilik stesen minyak yang mahu menawarkan harga promosi bagi bahan api di premis mereka perlu terlebih dahulu mengemukan permohonan kepada kementeriannya. Mereka (pemilik stesen minyak) tidak boleh sewenang-wenangnya membuat tawaran harga promosi, yang akal mencetuskan perang harga.

    “Kami tidak mahu tawaran tersebut mempunyai elemen kejutan yang akan membuatkan pengguna rasa tertipu. Sebagai contoh, mereka menawarkan harga rendah tetapi apabila pengguna datang mereka menyatakan tawaran tersebut hanya untuk lima pelanggan terawal, ini akan membuatkan orang ramai marah,” katanya.

    KPDNKK tidak mempunyai masalah jika mana-mana pengusaha stesen minyak mahu menawarkan harga promosi termasuk menjual bahan api pada harga lebih rendah tetapi perlu mengikut prosedur operasi standard, kata Hamzah. Sebelum ini, kementerian berkenaan turut menjangkakan harga bahan api akan terapung antara 5-10 sen pada setiap penetapan harga terkini dengan mekanisma harga siling baharu ini.

    Kebimbangan ini juga turut disuarakan oleh Persatuan Peniaga Petroleum Malaysia (PDAM) yang mengatakan bahawa sebahagian pengedar, tertutamanya peruncit kecil, tidak akan mampu bertahan lama kerana mereka tidak mampu menawarkan diskaun atas sebab margin keuntungan yang kecil.

    Mekanisma harga bahan api baharu ini menetapkan harga baharu akan diumumkan pada setiap hari Rabu, dan harga berkenaan akan berkuatkuasa pada hari berikutnya. PDAM pada mulanya tidak bersetuju dengan mekanisma baharu berkenaan, tetapi kemudiannya mengalu-alukannya.

     
     
  • AWAS, Kejara mula diimplementasikan – 2 daripada 21 kesalahan akan dikenakan tindakan terlebih dahulu

    AWAS, Kejara mula diimplementasikan – 2 daripada 21 kesalahan akan dikenakan tindakan terlebih dahulu

    Mulai 1 April lalu, Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) telah pun diimplementasikan di seluruh negara. Walau bagaimana pun, buat masa ini hanya dua daripada 21 kesalahan yang akan dikenakan tindakan oleh sistem berkenaan.

    Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Nadzri Siron, dua kesalahan itu adalah memandu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat merah, laporan Bernama.

    “Antara kesalahan lain ialah memandu di bawah pengaruh alkohol dan memandu melebihi had muatan bagi kenderaan perdagangan,” katanya kepada pihak media Sabtu lalu.

    Nadzri menjelaskan dua mata demerit akan dikenakan kepada pemandu kenderaan persendirian, manakala enam mata dikenakan bagi pemandu kenderaan perdagangan jika memandu melebihi had laju yang dirakam menerusi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

    “Selepas mencapai 20 mata demerit kita akan menggantung lesen pemandu berkenaan selama enam bulan dan selepas itu jika mata demerit mencecah 40, lesen tersebut akan digantung selama lapan bulan dan seterusnya berdepan tindakan pembatalan lesen,” katanya.

    Nadzri berkata pihaknya akan berusaha untuk memastikan gabungan AWAS dan KEJARA dilaksanakan sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

    “Buat masa ini kita kena didik rakyat, bagi kesedaran mengenai dua kesalahan pertama itu terlebih dahulu…kerana sistem ini dilaksanakan bukan untuk menyusahkan rakyat,” katanya.

    Bulan lepas, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata melalui pelaksanaan gabungan AWAS dan KEJARA itu, pengguna jalan raya diharapkan akan lebih berhemat dalam pemanduan sekali gus mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan.

    Katanya kerajaan tiada pilihan selain mengetatkan penguatkuasaan dan undang-undang jalan raya memandangkan kemalangan maut di Malaysia semakin meningkat.

     
     
  • SYM Cruisym 300i 2017 dipertontonkan kepada umum

    SYM Cruisym 300i 2017 dipertontonkan kepada umum

    SYM Cruisym 300i merupakan sebuah skuter maxi terkini yang diperkenalkan di Malaysia, dan mensasarkan untuk memberikan nilai serta pilihan tambahan kepada peminat skuter tempatan. Minggu lalu, model berkenaan dipertontonkan secara rasmi kepada umum ketika siri jelajah Gempaq Penang 2.0 yang berlangsung di Ekspo Seberang Jaya.

    Walau pun harga jualannya masih belum diumumkan, ada beberapa perincian berkaitan skuter ini yang sudah kita ketahui. Ia dilengkapi dengan enjin 278.3 cc silinder tunggal SOHC dengan sejukan udara serta EFI yang menghasilkan 26.9 hp pada 7,750 rpm dan 27.3 Nm tork pada 6,750 rpm. Transmisi pula menggunakan CVT dengan centrifugal dry clutch.

    Skuter Taiwan ini menggunakan sistem suspensi jenis teleskopik di depan, dan swingarm di belakang. Keupayaan membrek pula disediakan melalui sistem cakera dengan diameter 260 mm di depan dan 240 mm di belakang. Lampu LED juga digunakan untuk lampu isyarat dan lampu brek, manakala dari jenis halogen untuk lampu utama.

    Skuter ini seberat 198 kg, dan mungkin ditawarkan dalam tiga pilihan warna; putih, merah dan kelabu. Memandangkan skuter ini masih menunggu kelulusan untuk dijual secara sah, harga jualannya masih belum dapat diumumkan, buat masa ini. Pesaing terdekatnya, Kawasaki J300 bagaimanapun dijual pada harga RM31,498.

     
     
  • Modenas Kriss MR2 110 – dilancarkan minggu ini?

    A post shared by Modenas (@modenas.malaysia) on

    Nampaknya, Modenas sedang bersiap-siap untuk memperkenalkan sebuah lagi model baru syarikat itu. Selepas melancarkan tiga model skuter tahun lalu – sudah tentu kita belum lupa tentang Modenas Karisma 125, Modenas Elegan 250 dan Kymco Downtown 250i – kali ini tiba pula giliran untuk sebuah kapcai. Ia dikenali dengan nama Modenas Kriss MR2 110.

    Melalui laman Instagram rasmi Modenas, empat gambar teaser kapcai terbaru itu sudah didedahkan kini. Model Kriss bukanlah sebuah model yang asing lagi. Ia bahkan antara model kapcai keluaran tempatan yang mampu bersaing dengan model-model popular pengeluar lain dalam segmen yang sama – baik dari segi jumlahnya di atas jalan serta ketahanannya.

    A post shared by Modenas (@modenas.malaysia) on

    Kemudian, pada penghujung 2011, Modenas memperkenalkan pula Kriss MR1, ketika itu harga jualan yang diumumkan ialah RM2,948. Dengan slogan “Motosikal Untuk Rakyat”, ia menjadi kapcai yang dijual pada harga yang cukup rendah jika dibandingkan dengan harga kapcai-kapcai lain dalam sesaran enjin yang sama.

    Kini, selepas lebih lima tahun, apa yang kita boleh harapkan daripada versi terbaru MR2 ini nanti? Dari maklumat yang dipapar di Instagram berkenaan, model terbaru ini nampak jauh lebih kemas berbanding MR1 dahulu, yang sangat ketara lebih ringkas untuk menepati golongan sasarannya.

    A post shared by Modenas (@modenas.malaysia) on

    Dari imej teaser yang ada, Modenas Kriss MR2 nampak lebih mantap. Imejnya lebih sporty, dan di dalam satu gambar yang ada kelihatan ia dilengkai juga dengan sport rim berbanding rim biasa pada versi MR1 dulu. Rekaan grafik yang disertakan juga tampil kemas, dengan pemegang penumpang belakang yang disediakan dalam warna hitam berkilat.

    Pada bahagian lampu utama, ia diberikan sentuhan dwi-tona; kemasan hitam menghiasi bahagian atasnya. Lampu isyarat pula kini beralih tempat. Jika pada MR1 dulu, lampu isyaratnya terletak pada bahagian sisi lampu utama, kini ia dipindahkan ke bahagian badan cover set depan – kelihatannya seperti lebih besar dan menyumbang kepada imej barunya yang lebih segar.

    A post shared by Modenas (@modenas.malaysia) on

    Bagaimana pula dengan spesifikasi? Walaupun hadir dengan enjin 110 cc, perincian lanjut berkaitan itu masih belum didedahkan. Khabarnya, ia akan ditawarkan dalam dua warna; merah dan biru. Bila ia akan diperkenalkan secara rasmi? Jika merujuk post teaser berkenaan, ia akan dipertontonkan secara menyeluruh pada Khamis ini, 6 April 2017.

    Jika dengan penggunaan nama “MR” itu bermaksud Modenas ingin kekal menawarkan motosikal ini dengan semangat yang sama seperti MR1 dulu, maka kami menjangkakan tanda harganya juga akan mencerminkan hasrat yang sama. Walaupun mungkin sedikit tinggi daripada MR1, ia perlu jadi berbaloi dengan semua peningkatan yang dilakukan, yang setakat ini nampak ada banyak perbezaan dari versi lamanya. Ikuti perkembangan seterusnya bersama kami.

     
     
  • Buru, saman pelajar di sekolah tidak benar – KP JPJ

    Buru, saman pelajar di sekolah tidak benar – KP JPJ

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Ketua Pengarahnya Datuk Seri Nadzri Siron menafikan anggotanya mengeluarkan saman kepada pelajar sekolah dan meminta mereka membayar saman seperti didakwa pada gambar yang tular di media sosial baru-baru ini.

    Menerusi laporan Bernama, Nadzri menjelaskan gambar yang tular tersebut merupakan sebahagian daripada kempen keselamatan dan penguatkuasaan terhadap pelajar sekolah di seluruh negara bulan lalu yang dilaksanakan secara Strategi Lautan Biru Kebangsaan antara Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Kementerian Pendidikan dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia.

    Beliau menjelaskan lagi bahawa sebanyak tiga sekolah akan dipilih untuk program itu di setiap negeri. Semasa kempen tersebut berjalan, pelajar yang dikesan mempunyai rekod kesalahan akan diberi notis arahan temu siasat bagi membolehkan JPJ menjalankan pemeriksaan lanjut serta memberi khidmat nasihat kepada mereka.

    “Tujuan utamanya ialah untuk memberi kesedaran kepada pelajar dan ibu bapa mengenai peraturan jalan raya selain kepentingan mempunyai lesen yang sah,” katanya.

     
     
  • Citroën DS5 facelift di BSC, harga dijangka RM199k

    Citroën DS5 facelift di BSC, harga dijangka RM199k

    Nampaknya Naza Euro Motors sudah bersedia untuk membawa masuk kenderaan terbaru jenama DS daripada Citroën ke Malaysia. Ini diketahui apabila DS5, iaitu versi facelift Citroën DS5 sebelum ini ditemui berada di ruang pameran Citroën di pusat beli-belah Bangsar (BSC).

    Tempahan untuk kenderaan ini sudah dibuka, dengan harga jangkaan berada sekitar RM198,888, atas jalan termasuk GST dan insurans. Jaminan pengilang selama lima tahun/120,000 km turut diberikan kepada pemilik baru kenderaan ini.

    Model facelift ini boleh dibezakan dengan model sebelum ini melalui pertamanya adalah gril hadapan ‘DS Wings‘ yang bersambung dengan lampu utama xenon yang menampilkan grafik, modul LED serta penunjuk arah baru, seperti model DS3 yang terbaru. Corong udara tepi juga mempunyai bentuk baru, manakala rim 18 incinya kini menggunakan rekaan dua tona ‘Adelaide‘ dan dibalut dengan tayar Michelin Pilot Sport 3.

    Citroën DS5 facelift di BSC, harga dijangka RM199k

    Pada bahagian lain, tidak banyak yang berubah, tetapi di dalamnya terdapat sistem informasi dan hiburan Touchdrive yang boleh mengawal kebanyakan fungsi daripada navigasi hinggalah muzik. Di bahagian tengah papan pemuka pula terdapat skrin sesentuh tujuh inci, seterusnya membolehkan 12 butang dibuang daripada kenderaan ini. Turut ditambah adalah sambungan Apple CarPlay dan MirrorLink.

    Untuk kelengkapan lain, barangan standard seperti sebelum ini masih lagi sama, cuma ia ditambah dengan sistem pengesan titik buta, sistem pemasukan tanpa kunci, butang pemula enjin, pengawal suhu automatik dua zon, bumbung kaca dengan lampu, sambungan Bluetooth, head-up display, enam pembesar suara, sistem bunyi Denon T&H dan enam beg udara.

    d

    Enjin empat silinder turbo petrol 1.6 liter Prince THP pada DS5 kini mempunyai 9 PS lebih, menjadi 165 PS pada 6,000 rpm dan tork puncak berada pada tahap 240 Nm pada 1,400 rpm. Dipadankan bersama transmisi automatik enam kelajuan yang diperbaharui, DS5 mampu memberikan penggunaan bahan api 5.9 L/100 km dan melepaskan 30 g kurang karbon dioksida bagi setiap kilometer (135 g/km).

    Pada bahagian casis, penyerap pada kenderaan ini kini dilengkapi dengan preloaded linear valves (PLV), untuk serapan lebih linear dan pergerakan mampatan yang lebih panjang, manakala kesan bunyi suspensi juga dapat dikurangkan.

     
     
  • MRT jajaran SSP kini memasuki 5.3% kadar pembinaan

    MRT jajaran SSP kini memasuki 5.3% kadar pembinaan

    Tahap perkembangan keseluruhan pembinaan MRT jajaran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) kini dalam kadar 5.3% pembangunannya. Pengarah projek, Datuk Amiruddin Ma’aris berkata, kadar perkembangan itu masih mengikut jadual awal yang ditetapkan, lapor Bernama.

    “Setakat ini, projek berkenaan mengikut jadual seperti dalam rancangan sejak bulan lalu. Kerja-kerja pembinaan telah dimulakan bagi kedua-dua bahagian bertingkat di utara dan selatan jajaran berkenaan, laluan bawah tanah jajaran serta depotnya,” tambah beliau.

    Antara kerja-kerja yang sedang dijalankan di seksyen bertingkat berkenaan ialah pemindahan kemudahan, pembersihan tapak serta proses pemasangan cerucuk dan tiang. Bagi bahagian laluan bawah tanah sepanjang 13 km pula, Amiruddin berkata kerja-kerja juga telah dimulakan, dalam kadar 6% untuk tujuan itu, termasuk kerja-kerja menggali terowong menggunakan tunnel boring machine (TBM).

    “Sebanyak 12 TBM digunakan untuk tujuan itu untuk laluan bawah tanah disepanjang jajaran SSP. Daripada jumlah itu, lapan daripadanya merupakan mesin yang digunakan kembali manakala empat lagi adalah mesin baru,” jelasnya.

    Amiruddin menjelaskan, projek sepanjang 52.2 km yang meliputi 26 laluan bertingkat dan 11 laluan bawah tanah, akan mula beroperasi pada Julai 2022. “Dengan perkembangan terkini, fasa MRT jajaran SSP dari Kwasa Damansara ke stesen MRT Kampung Batu akan mula beroperasi pada Julai 2021,” tambah beliau.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.21
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.93 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.13 (+0.03)
Last Updated Sep 18, 2025