Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Bugatti Divo baharu muncul 24 Ogos ini – 40 unit, €5j

    Bugatti Divo baharu muncul 24 Ogos ini – 40 unit, €5j

    Bugatti memang agresif memperkenalkan jentera terpantas, termahal dan… ekstrem! Selepas model Chiron Sport yang baru saja dipertontonkan di Malaysia pada minggu lalu, ini ada satu lagi jentera yang lebih superb yang bakal diperkenalkan di peringkat global pada 24 Ogos ini di California.

    Model baharu ini dinamakan sempena dengan Albert Dino (gambar di bawah), pelumba Perancis yang memenangi perlumbaan ternama Targa Florio di litar pergunungan di Sicily untuk Bugatti sebanyak dua kali pada akhir 1920s. Bugatti berkata Divo akan “menjadi cahaya dan semangat yang memberikan kuasa untuk downforce dan g-force“.

    Hypercar ini mempunyai pengendalian yang lebih menyerlah di samping karakter yang lebih berdinamik dengan bahasa rekaan yang utuh, tambah syarikat Perancis itu.

    “Bersama Divo, kami mahukan orang di seluruh dunia ini menikmati keseronokan. Dengan projek ini, pasukan Bugatti memiliki peluang untuk menyerlahkan DNA jenama dengan lebih tangkas, pengendalian lebih lincah dan signifikan dalam cara yang berorientasikan prestasi,” ujar presiden Bugatti Stephan Winkelmann.

    Dengan Divo, Bugatti sedang menghidupkan kembali tradisi binaan dan pada dekad pertama dalam sejarahnya, jenama mewah Perancis ini mempunyai kejayaan besar dengan produk yang direka sendiri di bawah pimpinan Jean Bugatti dan dipasang pada casis sedia ada.

    Menurut Autocar, Divo dijangka menerima lonjakan kuasa 1,500 PS dan tork 1,600 Nm hasil dari enjin yang sama dengan Chiron iaitu 8.0 liter quad-turbo W16, tetapi dengan pengurangan berat badan, menambah baik downforce bagi bodywork, meningkatkan suspensi dan beberapa lagi perubahan untuk menaiktaraf pengendalian.

    Divo hanya diproduksi sebanyak 40 unit sahaja. Harganya sekiter lima juta euro atau RM23.6 juta. Lebih mahal dari Chiron Sport yang berharga RM12.5 juta.

    GALERI: Bugatti Chiron Sport

     
     
  • Beberapa jalan di Seremban ditutup 12-14 Julai ini

    Beberapa jalan di Seremban ditutup 12-14 Julai ini

    Ketua Polis Daerah Seremban ACP Thiew Hock Poh telah memaklumkan beberapa jalan utama di sekitar bandar tersebut akan ditutup pada 12 hingga 14 Julai ini, iaitu dari jam 7 pagi hingga 12 tengahari. Penutupan jalan tersebut bertujuan untuk sesi raptai dan perbarisan sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia Peringkat Kebangsaan 2018 di padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS).

    Menurut laporan Bernama, jalan utama yang terlibat ialah Jalan Yam Tuan, Jalan Berhala (Kuil), Jalan Stesen (Lorong Sebelah), Jalan Datuk Sheikh Ahmad, Jalan Lim Kee Siong, Jalan Datuk Hamzah dan Lorong Khalsa.

    Sepanjang penutupan itu, pengguna jalan raya yang ingin memasuki bandar Seremban pada tarikh tersebut dinasihatkan menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Tuanku Antah, Jalan Sungai Ujong, Jalan Datuk Bandar Tunggal, Jalan Tun Dr Ismail, Jalan Tunku Hassan, Jalan Datuk Malek, Jalan Leftenan Adnan, Jalan Kebun Bunga, Jalan Haji Said dan Jalan Zaaba.

    Manakala pilihan alternatif bagi jalan pinggiran Bandar Seremban adalah seperti Jalan Lingkaran Tengah, Jalan Seremban-Tampin, Jalan Seremban-Kuala Pilah, Jalan Pantai-Jelebu dan Jalan Rasah.

    Bagi pengguna jalan raya yang dari arah Jelebu, Kuala Pilah, Rembau, Tampin, Melaka dan bertujuan untuk menghala ke Kuala Lumpur atau ke utara boleh menggunakan laluan alternatif di Lebuhraya LEKAS atau Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

    Selain itu, pengguna jalan raya dari arah Nilai, Mantin, Sepang, Kajang dan Kuala Lumpur untuk menuju ke arah Melaka atau ke selatan boleh menggunakan kedua-dua lebuh raya berkenaan.

     
     
  • BMW Concept X7 iPerformance tiba di Malaysia – dipamer di Bangsar Shopping Centre dari 18-22 Julai

    BMW Concept X7 iPerformance tiba di Malaysia – dipamer di Bangsar Shopping Centre dari 18-22 Julai

    BMW Malaysia bakal mempamerkan model Concept X7 iPerformance di Bangsar Shopping Centre dari 18-22 Julai ini, selepas beberapa bulan Concept 8 Series dipertontonkan di BMW Luxury Excellence Pavilion.

    Pertama kali diperkenalkan pada September tahun lalu, Concept X7 merupakan SUV yang diposisikan di atas X5. Versi produksi bagi X7 (juga dikenali secara dalaman sebagai G07) akan didedahkan tahun ini, dan pengeluar kereta Jerman ini telah bersedia untuk mengeluarkannya menerusi kilang mereka di Spartanburg, Carolina Selatan.

    Dalam bentuk konsep, SUV ini kelihata besar, dengan menampilkan gril ‘kidney’ yang disambungkan dengan lampu utama laser bersama signatur X biru (juga terdapat pada Concept 8 Series). Malah kelihatan Air Breathers pada bahagian sisi, lampu belakang LED berbentuk-J dan roda 23-inci.

    Concept X7 bersaiz besar ini turut memberikan keluasan ruang dalaman dengan susunan tempat duduk 2-2-2. Dengan campuran material premium, pencahayaan ambien, paparan penuh dan beberapa poin untuk pencahayaan semulajadi yang membantu menambahkan lagi suasana lebih mewah yang disasarkan.

    Mengikut butiran awal, X7 sebenar yang ditetapkan untuk jualan akan memiliki dimensi 5,100 mm panjang, 2,020 mm lebar, 1,800 mm tinggi dan jarak roda 3,010 mm. Ia akan menggunakan platform CLAR (Cluster Architecture) dengan pilihan enjin enam- dan lapan-silinder seperti varian M50d, xDrive40i, xDrive50i and xDrive30d.

     
     
  • Kia Stinger kini dilancarkan di Malaysia – 3.3L V6 GT dan 2.0L GT-Line, harga bermula dari RM239,888

    Kia Stinger kini dilancarkan di Malaysia – 3.3L V6 GT dan 2.0L GT-Line, harga bermula dari RM239,888

    Setelah dipertontonkan buat pertama kali di Malaysia penghujung tahun lalu, kini Kia Stinger dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan. Bagi Kia, ini bukan sembarangan model. Stinger dihasilkan untuk membawa saingan pengeluar kenderaan Korea Selatan itu di dalam segmen kenderaan sedan sport – dengan memertaruhkan estetika rekaan serta prestasi yang belum pernah dilihat dalam barisan model Kia sebelum ini.

    Dari segi reka bentuk luaran, Kia Stinger tampil menawan dengan pendekatan fastback dan gran turismo yang agresif dan sporty sekali gus. Garis bumbung yang lebih rendah di bahagian belakang, dengan baris bahu yang membuatkannya tampil lebih lebar menyumbang kepada ketegapan atau stance pada model ini.

    Kia Stinger kini dilancarkan di Malaysia – 3.3L V6 GT dan 2.0L GT-Line, harga bermula dari RM239,888

    Rekaan bahagian belakang juga lebih lebar. Boleh bayangkan model-model pesaing lain untuk mendapatkan gambaran lebih jelas bagi segmen ini, sebagai contoh Audi A5 Sportback. Bahagian depan Stinger diberikan identiti tersendiri melalui penggunaan gril “tiger nose”, dilengkapkan juga oleh penggunaan lampu LED sepenuhnya dengan perincian hitam untuk menjadikan penampilannya lebih premium.

    Ada dua varian yang akan ditawarkan untuk pasaran Malaysia; Kia Stinger 2.0L GT-Line dan 3.3L V6 GT. Bagi model paling asas, ia dilengkapi enjin 2.0 liter Theta II T-GDi empat-silinder dengan turbo twin-scroll yang menghasilkan sebanyak 251 hp pada 6,200 rpm dengan 353 Nm tork dari 1,400-4,000 rpm. Ini memberikan prestasi pecutan 0-100 km/j dalam masa 6 saat.

    Bagi model dengan prestasi yang lebih mantap pula, enjin yang digunakan ialah 3.3L V6 Lambda T-GDi dengan turbo berkembar, menghasilkan sebanyak 365 hp pada 6,000 rpm dan 510 Nm tork dari 1,300 rpm-4,500 Nm. Daya pecutan 0-100 km/j pula hanya dalam masa 4.9 saat.

    Harga bagi varian Kia Stinger 2.0L GT-Line ialah RM239,888 manakala bagi varian 3.3L V6 GT pula ialah RM309,888. Semua harga ini merupakan harga atas jalan, tidak termasuk insurans.

    Bagi sistem transmisi pula, Stinger dipadankan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik yang direka oleh Kia sendiri. Model ini menggunakan sistem pacuan roda belakang. Kotak gear ini juga menampilkan buat pertama kali penggunaan pengubah tork Centrifugal Pendulum Absorber (CPA) pada model 2.0L GT-Line bagi mengurangkan gegaran torsional pada sistem pemacu – sebuah teknologi yang biasanya digunakan dalam industri penerbangan serta aplikasi enjin perlumbaan.

    Dimensi keseluruhan Kia Stinger adalah seperti berikut; jarak antara roda yang panjang dengan 2,905 mm, panjang dengan jarak 4,830 mm manakala kelebarannya pula ialah 1,870 mm. Kapasiti ruang barangan yang tersedia pula ialah 406 liter – paling luas dalam kelas yang sama.

    Ruang dalamannya tampil mewah dan minimal dalam masa yang sama. Dengan ilham dari penggayaan kapal terbang, kemasan berkualiti serta warna menonjol digunakan untuk menyuntik elemen moden. Bagi model paling tinggi 3.3L V6, material kulit Nappa digunakan untuk membalut tempat duduknya, sementara untuk model asas 2.0L pula menggunakan material kulit biasa. Kedua-dua model dilengkapi dengan kerusi 8-larasan untuk pemandu, dengan sokongan lamdar 4-larasan mekanikal.

    Kia Stinger kini dilancarkan di Malaysia – 3.3L V6 GT dan 2.0L GT-Line, harga bermula dari RM239,888

    Rekaan corong pendingn hawa juga diilhamkan dari rekaan yang terdapat pada kapal terbang, bulat dengan kemasan krom satin untuk memberikan sentuhan halus yang menjadikannya lebih peribadi. Begitu juga dengan pancahayaan lembut yang menyambut penumbang ke dalam kabin, semuanya bertujuan untuk memberikan sentuhan yang lebih terperinci.

    Paparan skrin TFT LCD 7-inci yang jelas terletak ditengah kluster meter pemandu, memaparkan maklumat pemanduan seperti G-Force ketika diselekoh, suhu minyak enjin, setting untuk pemandu dan lain-lain. Bagi sistem bunyi, Stinger menggunakan sistem Harman Kardon dengan 15-pembesar suara.

    Casis Kia Stinger menggunakan 55% keluli kukuh termaju. Suspensi depanny pula menggunakan jenis MacPherson dengan diameter penyerap hentak yang besar, bearing roda kukuh serta strut brace diperbuat daripada aluminium. Di belakang pula ia menggunakan suspensi multi-link yang dipasang pada sub-kerangka belakang yang diperkukuh untuk mendapatkan ketahanan yang diperlukan.

    Model ini mewarisi sebahagian rekaannya dari kereta konsep GT, dan dilengkapkan dengan ciri Vehicle Dynamic Control (VDC) yang turut menampilkan sistem Dynamic Torque Vectoring Control. Sistem ini memantau input dari pemandu dan keadaan jalan sebelum mengagihkan kuasa secara automatik dan masa-nyata dalam membantu pemandu mengawal kenderaan dengan yakin – juga membantu mengurangkan risiko understeer.

    Lain-lain ciri penting dan menarik yang melengkapi model ini ialah Electronically-Controlled Suspension (ECS) dan Rack-mounted Motor-Driven Power Steering (R-MDPS). Selain itu, ciri-ciri maju yang biasa ditawarkan juga tidak ketinggalan, seperti Hill-Start Assist Control (HAC), Antilock Braking System (ABS), Traction Control System (TCS) dan Cornering Brake Control (CBC), Blind-spot Collision Warning (BCW), Rear Cross-Traffic Collision Warning dan tujuh beg udara. Kia Stinger menerima penarafan Euro NCAP 5-bintang.

    Model asas 2.0L menggunakan tayar 225/45R-18 dengan rim 18-inci semua musim, manakala versi 3.3L V6 dilengkapi dengan tayar Michelin Pilot Sport 4 bersaiz 225/40R-19 di depan dan 255/35R-19 di belakang yang direka khusus untuk Stinger. Breka pula kedua-duanya menggunakan cakera brek Brembo empat-piston bagi brek depan (cakera 13.8-inci) serta dua-piston bagi brek belakang (cakera 13.4-inci) – dengan angkup aluminum sepenuhnya.

    Lain-lain ciri yang ada pada Stinger adalah seperti Head-Up Display (HUD) berwarna, Dynamic Bending Light (DBL), Around View (AVM) dengan Driving Rear-View (DRM) Monitors, Integrated Memory System (IMS) untuk pemandu, pengecas telefon tanpa wayar dan cermin sisi elektrokromik untuk mengawal silau lampu kenderaan lain.

    Kia Stinger ini ditawarkan di dalam empat plihan warna menarik, terdiri daripada HiChroma Red, Deep Chroma Blue, Panthera Metal dan Aurora Black. Kemasan dalaman model 3.3L V6 hadir dalam pakej merah, sementara model 2.0L GT-Line dalam warna hitam.

    Untuk maklumat lanjut berkaitan Kia Stinger, layari laman web CarBase.my.

    Kia Stinger GT

     
     
  • Proton sahkan projek kerjasama dengan Indonesia untuk menghasilkan kereta ASEAN masih berjalan

    Proton sahkan projek kerjasama dengan Indonesia untuk menghasilkan kereta ASEAN masih berjalan

    Proton berkata perjanjian yang dimeterai dengan syarikat Indonesia, PT Adiperkasa Citra Lestasi, pada tahun 2015 untuk membangun dan mengeluarkan kereta ASEAN masih berjalan. Menurut pengerusi Proton merangkap pengarah urusan DRB-Hicom Kumpulan Datuk Seri Syed Faisal Albar, pihaknya masih meneruskan perbincangan mengenai perkara tersebut.

    “Ia tidak melibatkan kos dan kita akan mengkaji perkara itu dengan mendalam,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Beliau yang ditemui selepas memberi taklimat kepada Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), turut berkata Proton diyakini terus menjadi kereta nasional Malaysia kerana telah mendapat keyakinan bank, pembekal dan peniaga.

    Proton sahkan projek kerjasama dengan Indonesia untuk menghasilkan kereta ASEAN masih berjalan

    “Sehubungan itu, kami akan memikirkan mengenai Proton terlebih dahulu dan tidak akan ada perubahan dalam hala tuju mengenai perkara itu,” katanya.

    Tambahnya lagi, baru-baru ini Proton telah mengundang Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memandu uji SUV pertama keluarannya, yang dihasilkan berasaskan Geely Boyue.

    “Tun Mahathir menyukai SUV yang kami pinjamkan kepadanya sebelum ini, yang secara tidak langsung menunjukkan keyakinan beliau terhadap teknologi Geely dalam Proton,” katanya.

    Syed Faisal turut berkata Geely telah menjemput Dr Mahathir untuk melawat fasiliti syarikat itu di China semasa lawatan Perdana Menteri ke negara itu yang dijadualkan bulan depan.

    Proton sahkan projek kerjasama dengan Indonesia untuk menghasilkan kereta ASEAN masih berjalan

    Pada pertengahan Jun lalu, Tun Mahathir berkata, Proton kini bukan lagi jenama kereta nasional Malaysia. Katanya ketika mengulas perkara itu, Proton bukan lagi jenama kereta nasional selepas hampir separuh ekuitinya dijual kepada syarikat asing iaitu Geely. Syarikat China itu ketika ini memiliki kepentingan 49.9% dalam Proton, sementara DRB-Hicom masih mengekalkan pegangan sebanyak 50.1%.

    “Saya yang memulakan jenama kereta nasional itu dan berpendapat ia mesti dimiliki oleh rakyat Malaysia sendiri. Pada awal pertubuhan Proton, kami ada menerima pelaburan kecil dari Jepun, misalnya dari Mitsubishi Motor Corporation. Namun kini, selepas Proton telah dijual kepada syarikat China,” ujar Tun Mahathir.

    Oleh yang demikian, beliau menyuarakan hasratnya agar Malaysia memulakan projek kereta nasional yang baharu. “Kita juga akan bekerjasama dengan negara lain Asia Tenggara seperti Thailand, Jepun atau Korea, kerana mereka mempunyai keupayaan untuk menghasilkan kereta berkualiti yang boleh dijual di pasaran dunia. Malah kami juga mahu capaian (untuk menjual kenderaan) ke pasaran dunia,” sambungnya lagi.

     
     
  • Porsche Cayenne generasi ketiga dilancar di Malaysia – dua varian ditawarkan, harga bermula dari RM745k

    Porsche Cayenne generasi ketiga dilancar di Malaysia – dua varian ditawarkan, harga bermula dari RM745k

    Porsche Cayenne generasi ketiga sebenarnya sudah dipertontonkan di Malaysia beberapa kali tahun ini, iaitu pada bulan Januari dan juga di Sepang bulan Mac yang lalu. Kini, ia akhirnya dilancarkan secara rasmi, dan orang ramai diberi pilihan dua varian iaitu Cayenne dan Cayenne S.

    Cayenne asas dijual pada harga RM745,000 (termasuk duti, tapi tanpa insurans dan kos pendaftaran lain), manakala Cayenne S pula dipasarkan pada harga RM890,000. Harga yang disiarkan ini adalah dengan kadar sifar GST, dan akan digunakan untuk semua kenderaan yang dibeli sebelum 31 Ogos, bersama jaminan empat tahun dan pakej penyelenggaraan percuma – turut ditawarkan adalah Porsche 350 Financing.

    Untuk model asas Cayenne, enjin yang digunakan adalah unit V6 3.0 liter turbo-tunggal berkuasa 335 hp antara 5,300 hingga 6,400 rpm dan 450 Nm tork pada antara 1,340 hingga 5,300 rpm, manakala Cayenne S mempunyai lebih kuasa – 434 hp antara 5,700 hingga 6,600 rpm dan 550 Nm tork antara 1,800 hingga 5,500 rpm hasil daripada penggunaan enjin V6 2.9 liter twin-turbo.

    Kedua-dua enjin dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan Tiptronic S dan sistem pacuan semua roda aktif secara standard. Walaubagaimanapun, Cayenne S ditambah lagi dengan sistem Porsche Traction Management (PTM) bersama pembahagi tork roda hadapan/belakang boleh ubah.

    Melihat kepada prestasinya, Cayenne boleh melengkapkan pecutan 0-100 km/j dalam masa cuma 6.2 saat, dan mencapai kelajuan maksimum 245 km/j, manakala varian S pula boleh melakukan pecutan sama dalam masa lebih pantas – 5.2 saat, dan laju maksimum 265 km/j.

    Bersama kenderaan ini, pemilik boleh mendapat Sport Chrono Package yang dapat memberikan pecutan 0-100 km/j yang 0.3 saat lebih pantas. Pakej tambahan ini juga didatangkan bersama mod PSM Sport dan butang Sport Response di stereng yang dapat menjadikan Cayenne ini lebih responsif selaman 20 saat.

    Turut datang secara standard pada kedua-dua varian adalah suspensi multi-link, dengan sistem sokongan lain seperti Porsche 4D Chassis Control, suspensi udara, rear-axle steering, Porsche Dynamic Chassis Control (PDCC), Porsche Active Suspension Management (PASM) dan Porsche Active Aerodynamics.

    Porsche Cayenne generasi ketiga dilancar di Malaysia – dua varian ditawarkan, harga bermula dari RM745k

    Cayenne asas dipasang dengan angkup brek empat piston di hadapan dan dua piston di belakang, manakala Cayenne S mendapat unit lebih besar – enam piston di hadapan dan empat piston di belakang. Cakera brek varian S juga adalah lebih besar (390 mm berbanding 350 mm pada varian biasa). Selain daripada itu, pemilik juga boleh memilih Porsche Surface Coated Brake (PSCB) yang memberikan cakera brek bersalut tungsten carbide bersama angkup 10 piston di hadapan dan empat piston di belakang.

    Pada bahagian kelengkapan, Cayenne datang dengan Porsche Advanced Cockpit, di mana dengannya, terdapat dua skrin tujuh inci yang mengapit meter analog pada panel instrumen. Skrin sesentuh 12 inci yang terdapat di tengah papan pemuka pula disambung dengan sistem infotainmen Porsche Communication Management (PCM) dan juga fungsi Porsche Connect.

    Turut hadir adalah sistem infotainmen terkini Porsche Communication Management yang disambungkan kepada skrin sesentuh 12.3 inci. Barangan lain yang ada pada Cayenne ini adalah lampu utama LED (Porsche Dynamic Light System/Plus ditawarkan sebagai pilihan tambahan), paparan Direct Touch Control pada konsol tengah, tempat duduk larasan kuasa dan balutan kulit serta Park Assist. Kedua-dua varian yang dilancarkan ini datang dengan rim 12 inci, dan tayar berbeza saiz – 285/40 di hadapan dan 315/35 di belakang.

    GALERI: Porsche Cayenne

    GALERI: Porsche Cayenne S

     
     
  • SPYSHOT: Mercedes-Benz S-Class W223 dikesan

    SPYSHOT: Mercedes-Benz S-Class W223 dikesan

    Pembangunan bagi generasi akan datang Mercedes-Benz S-Class W223 diteryskan dan dijangka akan diperkenalkan pada tahun 2020, dengan lebih banyak penampilan model prototaip dikesan oleh jurufoto risikan kami.

    Masih dibaluti penyamaran, untuk spyshot kali ini kelihatan gril hadapannya yang ditempatkan sedikit rendah pada bampar hadapan. Lampu utamanya pula lebih tajam dan terletak sedikit bawah berbanding model semasa S-Class W222.

    Dipandang daripada sudut tepi, profilnya tidak melibatkan perubahan yang radikal namun tindakan syarikat ini meletakkan “kotak” pada pemegang pintu model prototaip ini mencetuskan tanda tanda. Malahan kelihatan alur yang agak panjang merentasi bahagian badan, sehingga ke sisi bawah tingkap.

    Manakala pada bahagian belakangnya, penutup lampu sementara pada kluster memberikan bayangan bentangan mendatar berbanding pada model semasa – seakan menjadi tren pada model terbaharu jenama ini. Cermin belakang yang panjang dan dua corong ekzos juga antara yang kelihatan pada model yang diuji ini.

    Bahagian dalaman S-Class juga pertama kali kelihatan walau pun masih ditutup kerana mungkin ia masih dalam proses awal dalam proses pembangunan kenderaan. Pada kabin hadapannya, kelihatan satu paparan untuk pemandu tanpa ditampilkan unit kedua.

    Mungkin juga ia akan menampilkan panel ultra-lebar, dwi-skrin, atau pun ini sekadar ciri bagi model yang dalam pembangunan awal. Walau bagaimana pun kelihatan saluran udara yang diletakkan sedikit tinggi. Manakala bahagian kabin belakangnya juga masih ditutupi, tapi kelihatan bumbung matahari yang agak besar menjadi sorotan utama.

    S-Class baharu ini bakal diproduksi di fasiliti Factory 56 milik jenama ini, dan mungkin didatangkan dengan enjin enam- atau lapan-silinder. Varian hibrid juga mungkin akan ditawarkan, walau tidak kelihatan port pengecasan pada model prototaip ini.

     
     
  • Nissan akui berlaku kecuaian dalam ujian penggunaan minyak dan pembebasan sisa pembakaran dari enjin

    Nissan akui berlaku kecuaian dalam ujian penggunaan minyak dan pembebasan sisa pembakaran dari enjin

    Nissan mengakui berlaku salah kira terhadap ujian bagi pembebasan sisa pembakaran dari sistem ekzos serta penggunaan bahan api bagi 19 model keluarannya yang dijual di Jepun. Reuters melaporkan, contoh ujian terhadap persekitaran bagi pembebasan sisa pembakaran enjin dan penggunaan minyaknya ketika pemeriksaan terakhir kenderaan didapati tidak selari dengan piawaian di Jepun. Laporan pemeriksaan itu berdasarkan ukuran atau penetapan yang telah diubah.

    Perkembangan terbaru ini bagaimanapun tidak memberi kesan kepada kenderaan Nissan yang dieksport ke luar negara, memandangkan peraturan itu hanya menjadi keperluan spesifik untuk pasaran di Jepun. Syarikat itu telah menggantung pengeluaran kenderaannya di Jepun Oktober lalu untuk mengatasi masalah ini, dan mengumumkan ia akan disambung pada bulan berikutnya.

    Masalah itu timbul ketika pemeriksaan wajib sukarela sebagai susulan kepada skandal pemeriksaan tahun lalu, dan antara model yang terlibat ialah seperti Note dan Juke. Daripada kira-kira 2,200 contoh ujian yang dilakukan di enam kilangnya, 1,200 unit di lima lokasi didapati terdapat unsur-unsur pemalsuan, jelas Nissan.

    Nissan akui berlaku kecuaian dalam ujian penggunaan minyak dan pembebasan sisa pembakaran dari enjin

    Penemuan yang dapat dikesan adalah seperi kelajuan pemanduan kenderaan, tempoh pemanduannya serta suhu luaran didapati tidak selari dengan peraturan ujian. Sementara itu, kelengkapan ujian juga di dapati tidak diselaraskan (calibrate) dengan betul, jelas laporan itu. Bagaimanapun, panggilan semula tidak diperlukan, memandangkan hal itu tidak menjejaskan aspek keselamatan model-model terlibat.

    Ketika ini, data menunjukkan kejadian pemalsuan seperti ini berlaku sejak 2013 dan melibatkan 10 pekerja. Antara punca yang dikenal pasti adalah penggunaan pemeriksa yang tidak bertauliah disebabkan kekurangan pekerja, dan perkara itu masih berterusan walaupun masalah pertama mula timbul sejak September lalu.

     
     
  • VIDEO: MSF Saga Cup – apa spesifikasi Proton Saga generasi pertama ini catat 2 minit 49 di Litar Sepang?

    Membesar di Johor Bahru, pengalaman menonton perlumbaan siri Saga Clubman di Litar Pasir Gudang adalah antara yang paling menyeronokkan bagi saya. Malah kadang-kala menonton Saga-Saga tersebut berlatih ketika ‘trackday’ terbuka pada hari minggu lebih menghiburkan apabila melihat aksi bagaimana kereta-kereta sememangnya lebih laju seperti Honda Civic EG dan EK menggunakan enjin DOHC VTEC juga ‘kena tapau’ dengan kereta nasional pertama Malaysia berkenaan.

    Perlumbaan one-make Proton Saga ini bukan sahaja popular di Pasir Gudang, malah ia turut dijalankan di Litar Batu Tiga Speedway Shah Alam serta melahirkan ramai pelumba-pelumba tempatan yang kini bertaraf antarabangsa, contohnya Alex Yoong dan Tengku Djan Ley. Litar Shah Alam dah ‘arwah’, manakala Litar Pasir Gudang kini ditutup untuk pengubahsuai dan masih lagi belum jelas bila ia akan dibuka semula. Namun, legasi perlumbaan Saga ini sebenarnya masih wujud apabila siri perlumbaan ‘grassroot‘ Malaysia Speed Festival (MSF) menghidupkan semula siri tersebut.

    Saga Cup dalam MSF menampilkan undang-undang yang hampir sama dengan perlumbaan Saga di Shah Alam dan Pasir Gudang dahulu. Setiap jentera bertanding perlu menggunakan enjin asal Saga iaitu 4G1X dengan kapasiti di bawah 1,500 cc, kotak gear OEM dengan kelengkapan klac asal (nisbah akhir boleh diubah tetapi penggunaan gear straight-cut adalah dilarang), cakera dan angkup brek OEM, serta penggunaan unit karburator asal Saga untuk enjin Megavalve. Kesemua jentera juga perlu menggunakan tayar yang dibekalkan oleh Hankook pada perlumbaan musim ini.

    Peraturan ini dirangka bukan sahaja untuk mengekalkan Saga Cup sebagai perlumbaan bajet rendah, ia juga akan mengerah kreativiti pasukan misalnya penukaran camshaft dengan durasi lebih tinggi dibenarkan, tetapi bagaimana talaan terbaik dapat dibuat memandangkan suapan bekalan petrol dan bahan api hanya dibenarkan menggunakan karburator asal Saga.

    Perlumbaan ini juga memerlukan pasukan untuk menala jentera masing-masing dengan hanya kelengkapan asas serta memaksa pemandu berlumba dengan kemahiran tertinggi untuk memenangi perlumbaan memandangkan kesemua jentera dihadkan dengan spesifikasi yang sama. Tidak hairanlah mengapa perlumbaan ini walaupun berbajet rendah, ia masih menarik ramai pemandu-pemandu senior untuk kembali semula berlumba dalam kategori berkenaan, dan menyajikan hiburan mendebarkan untuk penonton.

    Walaupun dengan pengubahsuaian yang ringkas, kereta-kereta yang bertanding dalam kategori ini sebenarnya tidaklah perlahan. Untuk rekod, lap terpantas pernah dicatatkan dalam MSF Saga Cup dalam litar penuh SIC adalah 2 minit 49 saat. MSF 2018 pusingan ketiga baharu sahaja berakhir hujung minggu lalu, manakala pusingan keempat akan berlangsung pada 31 Ogos ini. Untuk maklumat lanjut dan keputusan penuh perlumbaan, layari laman sesawang rasmi MSF Racing atau laman Facebook rasmi mereka.

     
     
  • Hyundai Elantra facelift 2019 dikesan buat pertama kali

    Hyundai Elantra facelift 2019 dikesan buat pertama kali

    Nampaknya Hyundai Elantra facelift bakal diperkenalkan kelak, selepas laman web penerbitan Korea, Naver, telah mendedahkan sedan segmen-C yang dipertingkatkan ini buat pertama kalinya. Foto yang dipaparkan ini menunjukkan perbezaan yang begitu ketara dari segi penggayaan berbanding model semasa, malah hampir juga disalah anggap sebagai model generasi akan datang.

    Elantra yang dipertingkatkan ini menerima bahagian hadapan yang disemak semula, bermula dari lampu utama tringular dengan LED projektor berkembar dan lampu nyalaan siang LED. Bagi varian rendah, ia ditampilkan dengan lampu utama projektor halogen dengan tiga lampu nyalaan siang LED (rujuk foto di bawah), dan kini lensanya ‘menembusi’ ke dalam gril baharu. Malah lampu kabus didatangkan dalam bentuk segitiga, di sebelah corong udara.

    Pada bahagian belakang, lampunya juga telah direka semula dengan unit dwi-LED yang lebih nipis, memberikan gaya pada sedan ini nampak lebih lebar. Malahan penampilan boot lid yang lebih tajam dan lencana Elantra juga menyerlahkan lagi gayanya. Pemegang plat pula diposisikan sedikit bawah, iaitu di sebelah kanan lampu kabus dan diffuser baharu.

    Di dalamnya, Hyundai dijangka melakukan sedikit perubahan pada Elantra agar ia kelihatan lebih bergaya, terdapat perkhabaran menyatakan pengecas tanpa wayar adalah salah satu elemen yang bakal ditampilkan. Bagi enjin pula, mungkin ia kekal sama, termasuk engin 2.0 liter MPi dan 1.6 liter empat-silinder pengecas turbo GDI. Malah terdapat perkhabaran, varian mild-hybrid dengan sistem elektrikal 48 V yang sama pada Tucson facelift juga akan diperkenalkan.

    GALERI: Hyundai Elantra 1.6 Turbo Sport 2017

     
     
  • Yamaha Y15ZR GP Edition 2018 – harga jualan RM8.6k, percuma model mini istimewa dan gelang kecergasan

    Yamaha Y15ZR GP Edition 2018 – harga jualan RM8.6k, percuma model mini istimewa dan gelang kecergasan

    Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) telah melancarkan satu model edisi terhad baru untuk Y15ZR yang dikenali sebagai GP Edition 2018, dengan harga cadangan jualan RM8,588 tidak termasuk insurans. Selain daripada motosikal itu sendiri, pemilik juga akan menerima model mini dan gelang kecergasan secara percuma.

    Seperti yang boleh dilihat, Y15ZR GP Edition 2018 ini menggunakan grafik yang sama seperti jentera MotoGP yang digunakan oleh Valentino Rossi dan Maverick Vinales tahun ini, dengan lambang Movistar tersebut berwarna putih, berbanding hijau kekuningan sebelum ini.

    Selain daripada grafik itu, semua bahagian lain motosikal masih lagi sama, iaitu ia dikuasakan oleh enjin 150 cc empat lejang, satu silinder dengan empat injap serta sistem suntikan bahan api. Ia menghasilkan kuasa sebanyak 15.1 hp pada 8,500 rpm dan tork sebanyak 13.8 Nm pada 7,000 rpm. Kotak gear yang menyalurkan kuasa pula hadir dengan lima-kelajuan.

     
     
  • Kia Picanto X-Line di M’sia – akan dilancarkan di sini?

    Kia Picanto X-Line di M’sia – akan dilancarkan di sini?

    Tahun lalu ketika berlangsungnya Frankfurt Motor Show, Kia telah mendedahkan model Picanto yang diberi sentuhan diinspirasikan SUV digelar Picanto X-Line. Nampaknya model tersebut sudah pun mula dipamerkan di Malaysia.

    Model ini direka dengan elemen lebih lasak berbanding Picanto biasa, seakan apa yang dilakukan oleh Honda terhadap model Jazz X-Road. Bampar hadapan model ini diolah semula dengan mengalihkan sedikit kedudukan lampu kabus, manakala serlahan lime green diberikan pada gril dan juga perumah lampu kabus. Liang udara pada bampar yang terletak di bawah gril “hidung harimau” kereta ini juga dibesarkan.

    Unit yang tiba di Malaysia ini hadir dengan warna badan Titanium Silver bersama jalur Piala Dunia FIFA 2018 pada bonet hadapan dan belakang di mana Kia adalah penaja rasmi kejohanan tersebut. Ia turut diberikan skid plate palsu pada bampar hadapan dan belakang, serta pelindung-pelindung sisi pada termasuk pada ruang roda.

    Kia Picanto X-Line di M’sia – akan dilancarkan di sini?

    Bagi melengkapkan rupanya, Picanto X-Line diberikan roda aloi 16-inci dibaluti tayar 195/45/R16 untuk meninggikannya, berbanding model biasa yang hanya dipadankan dengan rim 14-inci.

    Kami tidak dapat masuk ke dalam kabin kereta ini, namun dari luar dapat diperhatikan bahawa Picanto X-Line diberikan roda stereng rata di bawah (sama seperti Picanto GT-Line), sistem penghawa dingin automatik zon tunggal, tempat duduk dengan balutan kulit, serta bumbung suria berkuasa.

    Picanto X-Line ini juga dilihat mempunyai penderia pada cermin pandang belakang, menandakan ia dilengkapi dengan sistem brek kecemasan automatik (AEB). Bulan lalu, brosur terkini untuk Picanto pasaran Malaysia telah tersiar menunjukkan sistem yang sama akan diberikan pada Picanto varian asas KX dan juga varian tertinggi GT-Line.

    Walaupun rupa X-Line ini lebih lasak, penjananya dijangka sama dari versi biasa iaitu enjin empat-silinder 1.2 liter Kappa II NA berkuasa 84 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 122 Nm pada takat 4,000 rpm. Kuasa juga akan hanya disampaikan pada roda hadapan menerusi kotak gear empat-kelajuan automatik.

    Tiada pengesahan adakah Picanto X-Line ini akan dilancarkan di Malaysia atau tidak, namun sebagai rujukan, model asas 1.2 liter EX Picanto ini dijual pada harga bermula RM47,079 tanpa GST.

     
     
  • Sabah bakal mulakan projek rintis pembinaan jalan raya dengan teknologi terkini berasaskan getah

    Sabah bakal mulakan projek rintis pembinaan jalan raya dengan teknologi terkini berasaskan getah

    Kadamaian yang terletak di daerah Kota Belud menjadi lokasi pertama untuk Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah untuk memulakan projek rintis pembinaan jalan raya dengan menggunakan teknologi terkini berasaskan getah.

    Menurut Menterinya Ewon Benedict, projek rintis itu akan melibatkan pembinaan jalan raya sepanjang dua kilometer dan kerja-kerja pembinaan akan dimulakan selepas agensi terlibat iaitu Lembaga Getah Malaysia, Lembaga Industri Getah Sabah, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan pejabat daerah Kota Belud selesai mengadakan perbincangan teknikal, laporan Bernama.

    “Pelaksanaan projek rintis berkenaan adalah bukti kerajaan negeri sekarang begitu komited dalam usaha menaik taraf jalan raya di kawasan luar bandar. Saya berharap projek rintis pembinaan jalan raya berasaskan getah di Kadamaian ini akan dapat disiapkan menjelang tahun depan,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Sambungnya lagi, pembinaan jalan raya berasaskan getah diperkenalkan ini adalah untuk menaik taraf jalan raya di luar bandar menggunakan teknologi itu termasuk melihat kemungkinan keperluan menggunakannya dalam menyelenggara jalan-jalan utama di Sabah.

    Di Semenanjung, kerajaan pimpinan Barisan Nasional sebelum ini telah mula melaksanakan projek pembinaan jalan raya dengan teknologi penurapan jalan raya melalui kaedah Asfalt Terubahsuai Getah Bekuan (CMA) sejak tahun lalu. Jalan Persekutuan FT 001 dari Kampung Desa Bertemu Jodoh hingga ke Kampung Kwong Sai melakar sejarah apabila terpilih sebagai lokasi pertama projek penggunaan CMA sejauh 10 kilometer.

     
     
  • Tambahan laluan servis bas percuma di Georgetown

    Kerajaan negeri Pulau Pinang hari ini melancarkan satu lagi perkhidmatan bas percuma di bawah program Congestion Alleviation Transport (CAT) di sekitar Georgetown untuk membantu meredakan kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan.

    ADUN Komtar, Teh Lai Heng yang juga merupakan setiausaha politik kepada Ketua Menteri berkata, tiga buah bas digunakan untuk perkhidmatan itu, bagi 12 laluan yang telah dikenal pasti – dikenali sebagai CAT George Town 2 – dari pukul 6 pagi hingga 11 malam setiap hari, lapor Bernama.

    “Laluan lapan kilometer yang bermula dan berakhir di Terminal Bas Komtar akan melalui Jalan Penang, Jalan Utama, Jalan Pangkor, Jalan Sultan Ahmad Shah, Jalan Larut, Jalan Anson, Jalan Perak, Jalan MacAlister dan Jalan Dr Lim Chwee Leong dengan kekerapan setiap 20 minit, bergantung kepada trafik.

    “Kami akan bermula dengan tiga buah bas dahulu dan akan menambah bilangan itu sekiranya ada peningkatan permintaan daripada pengguna,” ujar Teh. Sebelum ini, kerajaan negeri P. Pinang telah memperkenalkan perkhidmatan bas percuma meliputi kawasan Air Itam, Balik Pulau, Bukit Mertajam dan Nibong Tebal.

    Antara laluan yang akan dilancarkan bagi perkhidmatan sama kelak ialah Batu Kawan, Pulau Tikus/Tanjung Tokong, Bertam, Bayan Baru, Alma, Sungai Dua (USM) dan Seberang Jaya.

     
     
  • Nissan GT-R50 akan muncul di Goodwood – hanya akan diproduksi 50 unit, harga bermula RM4.2 juta

    Nissan GT-R50 akan muncul di Goodwood – hanya akan diproduksi 50 unit, harga bermula RM4.2 juta

    Hampir dua minggu lalu, Nissan telah mendedahkan model prototaip GT-R50, iaitu GT-R R35 yang menerima badan rekaan semula dari Italdesign iaitu firma rekaan dari Itali. Model tersebut dibina bagi meraikan 50 Italdesign pada tahun ini, dan GT-R sendiri juga akan berumur 50 tahun pada 2019. Terbaharu, Nissan mengumumkan bahawa kereta berkenaan akan membuat kemunculan awam pada Goodwood Festival of Speed bermula 12 Julai ini.

    “Goodwood Festival of Speed merupakan masa yang sesuai untuk menunjukkan Nissan GT-R50 oleh Italdesign, yang menggabungkan kuasa dan kesenian bagi meraikan 50 tahun menginspirasikan impian pelanggan kami,” kata Alfonso Albaisa, naib presiden senior rekaan global Nissan.

    “Sama sperti prototaip itu sendiri, Goodwood adalah untuk meraikan rekaan, prestasi, sedikit kepuasan dan penuh dengan cinta terhadap sejarah dan masa hadapan kreativiti automotif. Ini merupakan saat yang sempurna untuk memperlihatkan kenderaan unik yang akan menyulam imaginasi masyarakat untuk memasang impian yang lebih besar.” katanya lagi.

    Nissan GT-R50 masih menggunakan casis serta enjin VR38DETT 3.8 liter V6 turbo berkembar sama seperti R35 Nismo 2018 sedia ada. Namun dengan tingkat taraf seperti pemadanan pengecas turbo spesifikasi GT3 bersama intercooler yang lebih besar, crankshaft, piston, connecting rod dan bearing yang lebih tahan lasak, profil camshaft yang lebih agresif, serta sistem kemasukan udara dan ekzos yang dirombak, ia kini mampu menghasilkan kuasa 720 PS dengan tork maksima 780 Nm.

    Hanya sebuah GT-R50 wujud buat masa sekarang, dan prototaip berkenaan dibina dengan tangan. Sekiranya ia mendapat permintaan tinggi ketika kemunculan di Goodwood serta penampilan-penampian global lain selepas ini, Nissan dan Italdesign akan membuat keputusan untuk memproduksinya, dan setiap satunya akan dihasilkan mengikut kehendak pelanggan. Namun ia akan terhad kepada 50 unit seluruh dunia, dan harganya akan bermula pada €900,000 atau sekitar RM4.2 juta mengikut kadar tukaran wang semasa.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025