Sumber berkenaan mengatakan bahawa pembinaan lebuhraya merentasi Sabah dengan jarak 1,236 km yang akan menelan belanja RM12.8 bilion dari kerajaan pusat tersebut akan menjadi projek seterusnya yang akan dibatalkan.
Secara keseluruhan, Lebuhraya Pan Borneo ini dirancang akan dibina sejauh 2,325 km meliputi Sarawak dan Sabah, di mana fasa pertamanya yang kini sedang dibina dijangka siap pada tahun 2021. Fasa pertama tersebut dibahagikan kepada 11 pakej, kebanyakkan pembinaannya berlangsung di Sarawak.
“Kebanyakkan kerja-kerja di bahagian Sabah masih lagi belum dijalankan, membolehkan ia dibatalkan dengan mudah. Di Sarawak, kerja-kerja pada fasa kedua antara Miri dan sempadan Sabah belum bermula,” kata sumber berkenaan kepada The Star.
Dilaporkan bahawa tujuh pakej telah dirancang di Sabah, bernilai RM3.2 bilion. Lima pakej daripadanya telah pun dimulakan, namun sumber berkenaan mendedahkan ia kini menghadapi masalah “kos berlebihan yang besar” dan kerajaan sebelum ini sudahpun menghadapi masalah bagi menetapkan kos.
Sabah dan Sarawak masih lagi berharap agar projek Lebuhraya Pan Borneo ini diteruskan oleh kerajaan pusat. Minggu lalu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, beliau yakin projek tersebut akan diteruskan, manakala pengerusi Pakatan Harapan Sarawak Chong Chieng Jen menyatakan selepas Pilihanraya Umum ke-14 bahawa projek tersebut akan diteruskan, tetapi kos projek dan kotraktor terlibat perlu diaudit semula.
Schaeffler adalah sebuah syarikat yang terkenal dengan penghasilan bearing, tapi kini mereka semakin giat meningkatkan pengetahuan dalam pembangunan penggerak kenderaan jenis elektrik. Syarikat ini juga merupakan rakan kongsi teknologi bagi Porsche dalam perlumbaan World Endurance Championship (WEC) dan pasukan Formula E Audi Sport ABT Schaeffler.
Dengan pengalaman seperti itu, Schaeffler kini menghasilkan sebuah kenderaan konsep iaitu 4ePerformance. Ia menggunakan asas daripada Audi RS3, dan dikuasakan oleh empat motor elektrik daripada kereta Formula E FE01 ABT Schaeffler. Satu motor itu sahaja sudah boleh menghasilkan 220 kW (295 hp), dan apabila empat digunakan, keseluruhannya ia boleh menjana 880 kW (1,180 hp) dan menghasilkan pecutan 0-200 km/j dalam masa tujuh saat.
Kesemua empat motor elektrik ini menggerakkan empat roda yang ada melalui unit gear pemacu yang berada pada setiap roda, dan diletakkan dalam satu kotak gear yang berada pada setiap gandar. Selain kuasa, ia juga membenarkan pembahagian tork boleh ubah untuk setiap roda. Kuasa pula datang daripada dua bateri dengan kapasiti keseluruhan 64 kWh.
“Kami juga sedang menguji dan membangunkan sistem kawalan dinamik pemanduan sendiri, berasaskan kenderaan sebenar. Banyak yang dapat kami pelajari terutama sekali dalam bahagian sistem kawalan dinamik pemanduan berasaskan perisian (software),” kata pengarah projek khas dan sukan permotoran Schaeffler, Simon Opel.
Kereta ini dibina untuk menggunakan pengetahuan yang dipelajari oleh Schaeffler dalam sukan permotoran dan meletakkannya pada kenderaan produksi. Antaranya adalah seperti sistem komprehensif, pemacu, perisian serta pengurusan bateri. Idea asal datang daripada Lucas Di Grassi dan ketua teknikal syarikat, Peter Gutzmer, dan ia turut melibatkan Schaeffler Motorsports, Schaeffler E-Mobility, Schaeffler Engineering and Compact Dynamics, serta ABT Sportsline.
Seperti biasa, Puspakom meneruskan kempen sempena perayaan besar #drivesafenoregrets Pemeriksaan Kenderaan Sukarela’ (#drivesafenoregrets) percuma bagi pemilik kenderaan persendirian. Bagi menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba, kempen tersebut bakal dianjurkan mulai 1 hingga 11 Jun 2018 dari jam 8 pagi hingga 5 petang di semua cawangan Puspakom di seluruh negara, kecuali di cawangan Shah Alam, Perai, Langkawi, Pasir Gudang dan Lahad Datu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Shukor Ismail, statistik menunjukkan kempen pemeriksaan percuma sempena musim perayaan pada 2017 mencatat hampir 3,000 buah kenderaan persendirian, iaitu peningkatan sebanyak 240% berbanding hanya 828 buah kenderaan pada 2012. Ternyata usaha yang dijalankan oleh Puspakom terbukti berkesan kerana sambutan orang ramai meningkat saban tahun.
“Kempen #drivesafenoregrets ini bertujuan untuk mengubah persepsi masyarakat dan meningkatkan kesedaran serta kefahaman masyarakat terhadap aspek keselamatan kenderaan. Kenderaan bukan hanya perlu diselenggara sahaja, tetapi juga menjalani pemeriksaan secara berjadual dalam memastikan keadaan kenderaan beroperasi pada tahap terbaik,” kata Shukor.
Shukor berkata beliau percaya kadar kemalangan dapat dikurangkan sekiranya setiap pemandu mengambil berat terhadap keselamatan kenderaan masing-masing.
“Salah satu punca berlakunya kemalangan jalan raya adalah keadaan kenderaan yang kurang baik. Sebagai contoh, kenderaan yang mengalami kerosakan pada brek tidak dapat berfungsi dengan baik dan akan mengakibatkan kemalangan jalan raya. Justeru, faktor keadaan kenderaan ini perlu diberi perhatian serius. Semua pemandu kenderaan perlu memainkan peranan penting bagi memastikan keselamatan kenderaan mereka terjamin di jalan raya,” jelas Shukor.
Pelanggan yang hadir menjalani pemeriksaan percuma ini akan diberi keutamaan, tanpa perlu menunggu dan membuat sebarang temujanji, serta tidak memerlukan sebarang dokumen.
Pemeriksaan kenderaan sukarela ini merangkumi pemeriksaan 25 perkara termasuk ujian pengeluaran asap, suspensi, gelincir sisi, bahagian atas dan bawah kenderaan, brek dan ketelusan cahaya cermin. Laporan pemeriksaan akan diserahkan kepada pelanggan sejurus selesai pemeriksaan dan boleh dijadikan sebagai rujukan bagi memudahkan pelanggan membuat penyelenggaraan dan pembaikan selanjutnya terhadap kenderaan mereka.
“Unit Pemeriksaan Bergerak kami juga akan menawarkan pemeriksaan percuma di parkir Tesco Shah Alam, Seksyen 13 dan di kawasan Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi pada 3 dan 6 Jun ini dari jam 10 pagi hingga 5 petang. Kami berharap agar lebih ramai pemilik kenderaan persendirian akan mengambil peluang ini untuk memeriksa kenderaan mereka sempena kempen tersebut” ujar Shukor.
Sempena kempen ini, Puspakom juga menganjurkan pertandingan Instagram ‘Snap & Win’, di mana pelanggan berpeluang memenangi hadiah menarik yang ditawarkan. Pelanggan hanya perlu menjalani pemeriksaan percuma ini dan memuat naik gambar di instagram rasmi Puspakom, “puspakom_ontheroad” dengan hashtag #drivesafenoregrets atau #puspakom_ontheroad. Gambar yang diadili sebagai paling kreatif akan memenangi hadiah.
Dalam masa yang sama, Puspakom turut memaklumkan, semua cawangannya akan melanjutkan waktu operasi pada hari Sabtu 9 Jun ini iaitu dari jam 8 pagi sehingga 5 petang bagi memenuhi permintaan yang dijangka tinggi sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri ini.
Semua kakitangan kami telah bersedia dan komited untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan.
Para pelanggan yang mempunyai tarikh luput pemeriksaan yang jatuh pada tarikh tersebut atau cuti umum Hari Raya Aidilfitri boleh mengambil kesempatan ini untuk membuat perancangan awal untuk pemeriksaan kenderaan mereka.
Versi janaan teknologi hibrid untuk Geely Borui iaitu Borui GE telahpun diperkenalkan pada Beijing International Auto Show lalu. Sedan segmen-D yang dibina untuk pasaran China tersebut kini ditawarkan dalam dua janakuasa lebih mesra alam plug-in hybrid (PHEV) serta mild hybrid (MHEV), dan Geely sudahpun mendedahkan lebih perincian dua varian terbaharu tersebut.
Kedua-dua unit janakuasa yang dibina bersama Volvo tersebut menggunakan enjin petrol 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus, menghasilkan 177 hp pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 1,500 hingga 4,000 rpm. Ia dipadankan dengan kotak gear klac berkembar automatik jenis basah tujuh-kelajuan, namun kedua-duanya diberikan sistem hibrid berbeza.
Bagi sistem MHEV, ia diberikan motor penghidup generator dipandu dengan tali sawat (BSG) 48-volt yang dihubungkan kepada sebuah bateri kecil diletakkan pada bahagian belakang. Secara keseluruhan, model MHEV ini menjana kuasa 190 hp dengan tork maksima 300 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.9 saat. Malah penggunaan bahan apinya juga dicatatkan hanya pada 5.8 liter setiap 100 km.
Selain dari memmberikan kuasa dan tork tambahan kepada enjin apabila diperlukan, BSG berkenaan turut berperanan dalam sistem start-stop automatik, penghasilan semula kuasa ketika membrek atau meluncur dan juga mengecas semula bateri. Namun, sistem hibrid ringkas tersebut tidak membolehkan Borui GE MHEV ini bergerak dengan hanya menggunakan kuasa elektrik semata-mata.
Manakala untuk Borui GE PHEV, ia diberikan sistem hibrid yang lebih menyeluruh. Secara keseluruhan sistem PHEV berkenaan membekalkan kuasa 257 hp dan tork maksima 425 Nm, cukup untuk mengerah sedan berkenaan memecut dari kedudukan pegun hingga 100 km/j dalam masa hanya 7.4 saat. Penggunaan bahan api juga lebih ekonomik dengan hanya 1.6 liter setiap 100 km.
Sistem lebih rumit ini juga membolehkan Borui GE PHEV bergerak dengan hanya kuasa elektrik dalam jarak 60 km , selain dari mod hibrid (enjin petrol dan motor elektrik beroperasi sekali) dan battery save (bateri di cas ketika berjalan bagi digunakan kemudian).
Memerlukan kuasa elektrik yang lebih besar, versi ini PHEV ini juga diberikan bateri yang lebih besar dari MHEV, dan ia mampu dicas ketika meluncur, membrek dan juga menggunakan pengecas plug-in.
Secara standard, Borui GE PHEV diberikan pengecas 3.3 kW, namun pembeli ditawarkan dengan opsyen pengecas 6.6 kW yang lebih berkuasa. Menurut Geely, bateri untuk sistem tersebut mampu dicas penuh dalam masa hanya 1.5 jam menggunakan pengecas biasa 220-volt.
Kedua-dua model PHEV dan MHEV direka dengan bentuk hampir sama, begitu juga dengan dimensinya. Borui GE diukur dengan 4,986 mm panjang, 1,861 mm lebar dan 1,513 tinggi dengan jarak roda 2,870 mm. Untuk pengendalian, kerangka kereta ini diberikan suspensi double wishbone pada bahagian hadapan, suspensi multi-link di belakang, stereng berkuasa elektrik dan juga brek cakera untuk kesemua roda.
Dua set roda boleh diberikan untuk kedua-dua model bergantung kemasan yang dipilih , terdiri dari rim 17-inci dengan tayar 215/55R17 dan juga rim 18-inci dengan tayar 235/45R18. Namun untuk tangki bahan api pula berbeza antara kedua-duanya – 70 liter untuk MHEV dan hanya 50 liter untuk PHEV.
Dari segi kelengkapan pula, Borui GE diberikan lampu hadapan dan belakang LED, bumbung suria panaromik, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, upholsteri kulit, tempat duduk larasan berkuasa dengan fungsi memori dan pengurut, lampu suasana serta sistem penghawa dingin automatik dua zon bersama penyegar udara.
Namun, itu semua adalah kelengkapan biasa yang turut boleh ditemui pada sedan segmen-D lain. Kabin Borui GE diberikan dua skrin – pertama paparan instrumen digital dengan skrin LCD untuk pemandu yang hadir dengan dua pilihan – tujuh- atau 12.3-inci – bergantung kepada varian kemasan. Yang kedua pula adalah skrin infotainmen yang boleh juga boleh dipilih dalam dua saiz iaitu 10.2- atau 12.3-inci.
Sistem infotainmen berkenaan menerima sokongan servis hubungan 4G, ekosistem pintar GKUI, pengenal suara pintar, sistem navigasi Garmin serta jaringan media atas talian komprehensif. Varian-varian terpilih turut akan dilengkapi dengan sistem audio Harman Kardon bersama lapan- atau 14-pembesar suara. Untuk pengetahuan anda, pembesar suara pada papan pemuka kereta ini direka dengan inspirasi diambil dari sebuah jambatan yang popular di China.
Pelbagai ciri keselamatan dan bantuan pemandua elektronik turut diberikan pada Borui GE ini, antaranya cruise control adaptif, brek kecemasan automatik, bantuan kekal lorong, lampu tinggi automatik pintar, pemantau titik buta, pengesan papan tanda had laju, paparan heads-up, bantuan parkir, dan yang paling menarik kunci dengan paparan skrin.
Ia juga hadir dengan tujuh beg-udara, cagak tempat duduk Isofix, pemantau tekanan angin tayar dan juga kamera 360-darjah. Geely Borui GE MHEV ditawarkan dalam lima tahap kemasan berbeza dan akan dijual di China pada harga bermula 136,800 yuan (RM84,941) hingga 179,800 yuan (RM111,640). Manakala Borui PHEV pula ditawarkan dengan hanya tiga tahap kemasan, dijual pada harga bermula 166,800 yuan (RM103,568) hingga 199,800 yuan (RM124,058) setelah menerima subsidi tempatan.
Geely seperti yang diketahui merupakan pemilik Volvo, dan terdapat berberapa elemen rekaan jenama Sweden tersebut diterapkan pada sedan dari China ini, contohnya pada paparan instrumen digital. Selain itu, jenama ini juga kini merupakan rakan strategik jenama automotif nasional kita, Proton dan kini kedua-dua syarikat tersebut sedang membangunkan SUV pertama Proton diasaskan dari Geely Boyue. Jadi, agak menarik juga sekiranya Borui ini dijelmakan dalam bentuk Perdana generasi berikutnya bukan? Apa pendapat anda?
Mengenai pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mulai 1 September ini, Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin, kertas cadangannya akan dikemukakan kepada kerajaan dalam tempoh dua minggu.
Beliau berkata sistem SST yang akan diperkenalkan semula itu akan mempunyai sedikit pembaharuan untuk menjadikannya lebih cekap dengan matlamat utama untuk menurunkan harga barangan untuk rakyat, laporan Bernama.
Daim turut memberi gambaran awal bahawa sistem SST yang akan dinaik taraf itu mampu meraih hasil yang mencukupi untuk menampung kehilangan hasil kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dimansuhkan, katanya menerusi Buletin Utama TV3 semalam.
“Jabatan Kastam buat laporan kepada saya, masih awal, mungkin pendapatan akan kurang daripada RM5.0 bilion, tetapi harga minyak naik. Dalam Bajet (harga minyak dijangka) US$52, sekarang naik US$70. Minggu lepas US$80, setiap US$1 yang naik, kita dapat RM300 juta. Itu hasil untuk menampung kekurangan,” jelasnya.
Mengulas keraguan sama ada harga barangan dan perkhidmatan akan menjadi lebih murah selepas pelaksanaan semula SST, katanya faktor nilai mata wang ringgit akan turut memainkan peranan ke atas barangan yang kebanyakannya diimport.
Ternyata Mercedes-Benz S-Class W222 bakal tiba di pasaran Malaysia selepas kelibatnya dikesan sedang diuji di Malaysia, seperti mana foto yang dirakamkan oleh pembaca Soon Aik Seng. Malah Mercedes-Benz Malaysia (MBM) berjanji akan membawa masuk model tersebut pada pertengahan tahun ini.
Model yang diuji ini kelihatan hadir dengan pakej AMG Line, lampu utama Multibeam LED (dengan lampu tinggi Ultra Range) dan roda aloi 10-jejari 20-inci. Seperti mana S 400 h yang hadir di sini sebelum ini, dijangkakan model ini juga bakal hadir dengan pelbagai teknologi yang lebih menarik.
Ini termasuklah kawalan roda stereng sentuhan-sensitif, pengecas telefon pintar tanpa wayar hadapan dan belakang dan sistem kawalan keselesaan Energizing baharu yang boleh mengawal suhu, penyegar udara dan haba panas pada tempat duduk, aliran udara dan fungsi mengurut mengikut mood yang dikehendaki.
Ciri bantuan pemandu juga telah dipertingkatkan, dengan kawalan kelajuan adaptif Distronic yang kini boleh memperlahankan kenderaan di selekoh dan simpang, dan ia boleh beroperasi dalam kelajuan sehingga 210 km/j. Ia turut mendatangkan Bantuan Stereng Aktif dengan Bantuan Penukaran Lorong Aktif dan Bantuan Berhenti Kecemasan Aktif, termasuk Bantuan Brek Aktif dengan lintasan trafik dan brek kecemasan termasuk Bantuan Stereng untuk Mengelak.
Bagi variannya, S 400 h tidak ditampilkan, namun ia hadir dengan pilihan baharu S 450. Menurut MBM, sejak senarai harganya dikeluarkan dari laman web, model pemasangan tempatan (CKD) bagi S 450 bakal menjadi RM699,888 untuk atas jalan tanpa insurans, menjadikan ia RM100,000 lebih mahal berbanding S 400 h.
Ia memang telah dijangkakan, kerana S 400 h hadir dengan pengecualian cukai kerana ia adalah model hibrid, maka harganya sudah pasti berbeza, malah S 450 juga merupakan model yang lebih berkuasa. Ia dijanakan oleh enjin baharu 3.0 liter pengecas turbo enam-silinder, didatangkan dengan integral starter/alternator (ISG) berkuasa 48-voltan yang menyalurkan 21 hp/250 Nm ledakan elektrik apabila diperlukan – efektif menukarkannya menjadi mild hybrid.
Kuasa dianggarkan pada 362 hp dan tork 500 Nm, semuanya disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik 9G-Tronic sembilan-kelajuan. Terdapat juga kemungkinan kita akan menerima enjin lama 3.0 liter turbo V6 dari model sedia ada S 400, dengan sama ledakan kuasa, namun tanpa motor ISG 48-voltan. Kita hanya akan tahu mengenainya bila tiba masanya kelak.
Model yang tidak diteruskan, S 400 h, adalah bagi memberikan peluang pengenalan terhadap S 560 e-plug in hybrid, dengan enjin petrol 3.0 liter turbo V6 bersama kuasa 362 hp dan 500 Nm, dipadankan dengan motor elektrik 121 hp/440 Nm dan bateri lithium-ion 13.5 kWh yang memberikan penjimatan bahan api dengan anggaran 2.1 liter per 100 km dan 50 km bagi penggunaan semua-elektrik.
Selepas mengumumkan pengenalan semula jenama motosikal Itali, MV Agusta untuk pasaran Malaysia tahun lalu, serta pelancaran barisan model-model motosikal Demak yang antaranya dari asas skuter buatan China, syarikat tempatan yang juga pengedarnya, DNC Asiatic kini menamatkan operasi kilangnya di Olak Lempit, Selangor. Awalnya, para pekerja diminta berhenti sementara kilang akan penamatkan operasi secara rasmi pada 31 Mei ini.
Sumber yang enggan dinamakan memaklumkan paultan.org bahawa kilang berkenaan akan dijual untuk membayar semula hutang dan pinjaman bank yang ada. Kemudahan dengan keluasan 260,000 kaki persegi itu bertujuan untuk pemasangan skuter, kapcai dan kendearan komersil tiga dan empat roda lainnya, seperti yang pernah diperkenalkan sebelum ini.
Selain kilang di Malaysia, DNC Asiatic juga mempunyai kilang pemasangan di Sri Lanka, juga untuk mengeluarkan barisan skuter kecil. Nasib kemudahan pemasangan di sana bagaimanapun masih belum diketahui lagi – mungkin akan turut ditutup hujung tahun ini atau awal tahun depan.
Bagi MV Agusta pula, DNC Asiatic sebelum ini sempat menandatangani perjanjian untuk memasang motosikal jenama itu di Malaysia, dan sempat juga membuka sebuah pusat MV Agusta Lifestyle Centre di Kuala Lumpur. Semua motosikal yang ingin dipasang di sini akan diedarkan oleh Moto Varese Asiatic.
Dengan perkembangan terbaru ini, semua operasi MV Agusta di Malaysia juga akan ditamatkan tidak lama lagi. Kelulusan sedang dinantikan daripada ibupejabat MV Agusta untuk memindahkan jenama berkenaan kepada sebuah syarikat tempatan lain. Namun, perkara itu terlalu awal untuk dipastikan.
Selepas mesyuarat kabinet yang berlangsung pagi tadi, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut mengumumkan bahawa harga bahan api RON 95 dan diesel akan terus pada kadar terkini manakala untuk RON97 pula akan diapungkan mengikut harga pasaran semasa.
Ini bermaksud bahawa petrol RON 95 akan kekal pada harga RM2.20 seliter dan diesel Euro 2M pula kekal pada harga RM2.18 seliter, begitu juga diesel Euro 5 dijual pada harga RM2.28 seliter.
Sementara itu untuk petrol RON 97, ia kini dijual pada harga RM2.47 seliter, namun bila ianya akan diapungkan dan dilaras mengikut harga pasaran semasa belum lagi dinyatakan. Berbeza dengan RON 95, RON 97 juga dijual dengan 6% GST – bermaksud ia mungkin akan dijual pada harga RM2.33 seliter setelah GST dikadarkan pada 0% bermula 1 Jun ini.
Sebelum Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan negara, harga bahan api di Malaysia berubah setiap minggu dan ditetapkan berdasarkan harga pasaran minyak dunia. Kali terakhir harga tersebut berubah adalah pada minggu keempat bulan Mac dengan kenaikan 10 sen seliter untuk semua jenis bahan api, dan selepas itu ia dilihat kekal sehingga berlangsungnya Pilihanraya Umum ke-14, 9 Mei lalu.
Bukan sahaja projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Singapura-Kuala Lumpur, projek Transit Aliran Massa laluan tiga (MRT 3) Lembah Klang juga nampaknya diumumkan untuk dihentikan oleh kerajaan sebagai langkah untuk berjimat cermat, menurut laporan The Star.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pagi ini selepas mesyuarat kabinet diadakan. Menurut beliau lagi kerajaan kini menyemak semula kesemua projek yang dimulakan oleh pentadbiran bekas Perdana Menteri sebelum ini, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Projek MRT 3 tersebut dirancang bagi menggunakan sistem rel automatik tanpa pemandu, dan dijangka akan memberikan perkhidmatan di laluan Greater Kuala Lumpur/Lembah Kelang dengan sistem transit bersepadu. Ia juga sebelum ini dijangka akan siap menjelang 2025, bagi memberikan khidmat pengangkutan meliputi Bandar Malaysia, Ampang, KL Ecocity, Bukit Kiara dan sentul.
Jika projek berkenaan siap, Lembah Klang bakal mempunyai dua jajaran MRT. Yang pertama adalah jajaran Sungai Buloh-Kajang (SBK) yang lengkap dalam dua peringkat. Peringkat pertama sudahpun beroperasi pada Disember 2016, manakala fasa kedua siap pada Julai tahun lalu. Pembinaan untuk jajaran Sungai Buloh-Putrajaya kini telah pun bermula dan ia dijangka akan lengkap pada 2022.
Selepas membuat penampilan globalnya yang pertama Mac lalu di New York International Auto Show (NYIAS) Mac lalu, Mazda CX-3 facelift 2018 akan mula dijual untuk pasaran Jepun bermula esok. Ini termasuk penawaran bagi enjin diesel baru.
Tiada lagi enjin 1.5 liter SkyActiv-D turbo empat-silinder ditawarkan. Ia diganti dengan enjin 1.8 liter diesel yang lebih cekap dan bersih. Dilengkapi dengan penyuntik yang berfungsi dengan lebih terperinci serta pengecas turbo variable-geometry, enjin ini boleh menghasilkan 116 PS pada 4,000 rpm dan 270 Nm dari 1,600 rpm hingga 2,500 rpm – pertambahan sebanyak 11 PS dan 20 Nm.
Transmisi pula ada pilihan kotak gear automatik enam-kelajuan atau manual, dengan sistem pacuan dua roda atau semua roda. Bergantung kepada sistem pacuan berkenaan, CX-3 diesel ini mampu memberikan penggunaan bahan api antara 19.2 dan 23.2 km bagi setiap liter menggunakan kitaran Worldwide Harmonised Light Vehicles Test Procedure (WLTP) yang baru.
Selain itu, pilihan enjin 2.0 liter SkyActiv-G yang sebelum ini tidak ditawarkan untuk pasaran Jepun kini diperkenalkan di sana. Unit ini hadir dengan kemaskini berbanding unit sama yang digunakan pada CX-5; termasuk piston rendah geseran serta penyuntik minyak yang lebih cekap, untuk memberikan maklum balas yang lebih cepat dan lebih penjimatan dalam kegunaan sebenar.
Enjin ini menjana 150 PS pada 6,000 rpm dan 195 Nm pada 2,800 rpm, dengan bacaan penggunaan minyak mengikut WLTP antara 15.2 dan 16.2 km bagi setiap liter. Transmisi manual hanya untuk versi pacuan dua roda, dan versi pacuan semua roda hanya dengan gear automatik.
Aspek casis turut diberi pembaharuan, dengan menggunakan teknologi dari model-model generasi akan datang Mazda. Antaranya, spring dan penyerap hentak yang baru serta palang anti-olengan, sementara stereng kuasa elektrik dan sistem G-Vectoring Control juga beri talaan baru untuk lebih lancar.
Mazda turut memberikan panel pintu, cermin belakang dan juga pelapik bumbung yang lebih tebal bersama penebat pintu yang lebih baik bagi memberikan kabin yang lebih senyap. Material pada papan pemuka dan panel pintu juga diberikan kemasan seperti baldu dari Mazda 6 untuk rasa yang lebih premium.
Dari segi penampilan rekaan luaran, tidak banyak perubahan dilakukan. Bagi aspek keselamatan pula, CX-3 baru ini menjadi model pertama yang dilengkapi dengan ciri Advanced Smart City Brake Support (SCBS) yang diperkemas, dengan pengesan pejalan kaki waktu malam. Ia juga turut menerima fungsi Start & Go baru bagi Mazda Radar Cruise Control (MRCC). Kamera 360 darjah dan cermin pandang belakang dengan ciri anti-silau automatik merupakan ciri standard.
Satu lagi berita baik untuk semua rakyat Malaysia, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut mengumumkan bahawa kerajaan akan memberikan diskaun tol bagi semua lebuhraya di negara ini, selama dua hari sebelum Hari Raya Aidilfitri.
Dalam sidang media pasca mesyuarat kabinet yang berlangsung pagi tadi, Tun Dr Mahathir berkata, diskaun tol sebanyak 50% akan diberikan kepada para pengguna lebuhraya. Hari Raya Aidilfitri kali ini dijangka bakal disambut pada 15 Jun 2018. Ini bermakna diskaun tol terbabit kemungkinan besar dilaksanakan pada tarikh 13 hingga 14 Jun ini, iaitu dua hari sebelum 1 Syawal.
Ternyata pengumuman mengenai diskaun tol ini adalah salah satu langkah yang dilihat tepat bagi mengurangkan kos perbelanjaan rakyat khususnya yang bakal menyambut kedatangan Syawal ini. Walau bagaimana pun, Tun Dr Mahathir tidak mengulas mengenai konsesi tol di seluruh negara.
Pada 17 Mei lalu, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz selaku salah seorang ahli Majlis Penasihat Kerajaan berkata, pihaknya akan membuat pengumuman mengenai konsesi tol dalam tempoh terdekat ini.
“Keputusan akan dilakukan secepat mungkin kerana mereka (pemegang kepentingan) sepatutnya perlu kembali kepada kami minggu hadapan. Usaha adalah sangat, sangat tegang buat masa sekarang. Kesemua kami adalah sangat komited untuk hadir dengan penyelesaian yang memberikan faedah terbaik untuk semua rakyat Malaysia yang menantikan perkara yang lebih baik. Kami harap kami dapat merealisasikannya,” ujarnya.
Menerusi sidang media pasca mesyuarat kabinet yang berlangsung pagi ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengumumkan bahawa Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan kembali dilaksanakan mulai 1 September 2018, dan setakat ini ia dikhabarkan akan kekal pada kadar 10%, iaitu kadar yang sama sebelum ia digantikan dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada April 2015.
SST dikembalikan bagi menggantikan Cukai Barangan dan perkhidmatan (GST) yang dimansuhkan mulai 1 Jun ini.
Pada 19 Mei lalu, ketua Ahli Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin berkata SST akan diperkenalkan semula dalam masa dua ke tiga bulan akan datang. Beliau turut menambah bahawa dengan pengenalan semula SST dijangka RM30 billion akan dikutip bagi menggantikan perolehan dari GST.
Mengikut maklumbalas daripada pemain-pemain industri automotif mengenai pelaksanaan semula SST ini, ini berkemungkinan akan menyebabkan harga kereta lebih mahal ketika era GST. Malah Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Datuk Aishah Ahmad turut berpendapat, “Sebelum GST diimplementasikan, SST adalah pada kadar 10%. Jika kita mengambil kira angka ini, kami jangka harga kenderaan akan naik, selepas SST. Ini merupakan jangkaan mudah jika kadarnya sama.”
Walau bagaimana pun, MAA turut menjangkakan kerajaan akan merendahkan kadar SST agar ia lebih rendah dari GST (6%) bagi membolehkan kenderaan dijual lebih murah dan menggalakkan masyarakat untuk membelinya. “Kami akan melihat kehadapan berkenaan keputusan kerajaan terhadap SST. Ketika GST diimplementasi, harga kereta turun sedikit,” jelasnya.
Jadi, sementara ada tempoh tiga bulan ini dengan GST sifar dan sebelum SST kembali dilaksanakan, adalah masa yang terbaik untuk anda membeli kenderaan yang diingini. Malahan kebanyakan pengeluar kenderaan telah pun mengumumkan harga semakan baharu bagi barisan model yang ada di pasaran Malaysia, iaitu harga sebelum SST diimplementasikan.
Harga baharu yang diumumkan tersebut adalah harga atas jalan tanpa insuran. Penjimatan bermula serendah RM4,782 jika anda membeli trak pikap Isuzu D-Max Single Cab 2.5L 4×4 manual sehingga RM10,291.20 untuk varian tertinggi SUV MU-X 2.5L 4×4.
Klik untuk besarkan
Isuzu D-Max Single Cab 2.5L 4×4 manual berkenaan akan dijual pada harga hanya RM80,889.20 setelah GST dikenakan pada kadar sifar (RM85,671.20 pada harga semasa), manakala MU-X 2.5L 4×4 pula dijual pada harga RM172,709.20 bermula bulan hadapan, berbanding RM183,000.40 sekarang.
Jika anda membuat perkiraan berdasarkan jadual diatas, pengurangan harga tersebut tidaklah tepat sehingga 6%. Ini kerana GST hanya melibatkan harga jualan, dan tidak termasuk bayaran proses lain seperti bayaran pemeriksaan Puspakom untuk model CBU, bayaran pendaftaran dan pelbagai lagi.
Dengan hanya berbaki beberapa hari saja lagi model Audi Q8 bakal membuat penampilan sulungnya di China, pengeluar Jerman itu mendedahkan pula perincian tambahan yang ada pada SUV berkenaan. Lakaran terbaru yang ada kini menampilkan pula rekaan bahagian depannya – sebelum ini, lakaran belakang telah ditunjukkan.
Apa yang dapat dilihat dari lakaran berkenaan ialah gril dengan kerangka tunggal yang lebih bersegi, bahagian bukaan udara yang lebih besar pada sisi bampar, rekaan lampu utama yang lebih tirus, garis lekuk pada bonet, cermin sisi yang kecil serta rim besar. Semua ini diwarisi antaranya dari model konsep Q8 dan Q8 sport yang pernah ditunjukkan sebelum ini.
Spyshot model ini dengan pelekat samaran yang pernah dilihat mencadangkan versi sebenarnya akan tampil dengan sentuhan rekaan yang lebih bersahaja dan tidak terlalu agresif berbanding imej dalam lakaran yang ditunjukkan.
Audi Q8 terbaru ini dibangun menggunakan platform MLB Evo yang turut digunakan pada Q7, Bentley Bentayga, Porsche Cayenne dan Volkswagen Touareg baru. Dalam bentuk konsepnya sebelum ini, ada dua pilihan enjin yang diberikan – 3.0 liter TFSI V6 dengan sistem mild-hybrid 48V yang menjana 476 hp bagi Q8 sport dan enjin 448 hp plug-in hybrid bagi Q8 Concept.
Transmisi automatik lapan-kelajuan dan sistem pacuan semua roda quattro dijangka akan turut ditawarkan sebagai ciri standard.
Barisan Mercedes-AMG semakin berkembang tahun ini apabila varian GT Coupe 4-pintu diperkenalkan di Geneva Motor Show pada Mac lalu. Walau pun belum sahih model ini bakal tiba di negara kita, namun entri yang dimuatnaik oleh Mercedes-Benz Malaysia menerusi Instagram baru-baru ini bagai memberikan isyarat, model prestasi ini mungkin tiba di sini.
Malahan entri terbabit juga menampilkan beberapa foto GT Coupe 4-pintu dengan kapsyen “more space, more power, more goose pimples” walau pun tidak menyebut adakah model tersebut bakal tiba di negara ini. Berdasarkan laman Instagram berkenaan, entri terakhir mengenai model berkenaan adalah dibuat pada 15 Mac lalu. Mengundang spekulasi sungguh kan…
Mengenai model ini, terdapat beberapa versi dihasilkan, namun untuk sebuah jentera dengan lencana Mercedes-AMG, model asasnya dijana enjin petrol turbo 3.0 liter enam-silinder sebaris yang diambil dari CLS 53. Jadi, model Mercedes-AMG GT 53 4Matic+ ini berupaya menjana 429 hp (435 PS) pada takat 6,100 rpm dan tork maksima 1,800 hingga 5,800 rpm.
Seperti juga pada CLS 53, model ini turut diberikan motor starter-alternator EQ Boost berkuasa 22 PS/250 Nm (sebahagian dari sistem elektrikal 48 V kereta ini) yang diletakkan antara enjin dan kotak gear sembilan-kelajuan automatik AMG Speedshift TCT 9G.
Sistem tersebut turut dihubungkan kepada pemampat tambahan elektrik (seperti supercharger) yang membantu pengecas turbo konvensional pada takat rpm rendah. Kesemua sistem ini membolehkan jentera berkenaan memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 285 km/j.
Selain itu, Mercedes-AMG GT 4-Door turut hadir dengan versi yang dijana enjin 4.0 liter V8 bersama dua pengecas turbo jenis twin-scroll. Enjin tersebut turut diberikan sistem nyah-aktif silinder untuk menjimatkan penggunaan bahan api dan digandingkan dengan kotak gear automatik sembilan-kelajuan AMG Speedshift MCT 9G.
Dua versi talaan kuasa diberikan untuk enjin ini. Yang pertama adalah versi Mercedes-AMG GT 63 4Matic+ yang mampu menjana 577 hp (585 PS) pada takat 5,500 higga 6,500 rpm dan tork maksima 800 Nm bermula 2,350 hingga 5,000 rpm. Model ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.4 saat dan mencatatkan kelajuan maksima 310 km/j.
Bukan itu sahaja, ia turut menampilkan versi Mercedes-AMG GT 63 S 4Matic+ yang dijana enjin sama tetapi menghasilkan kuasa 630 hp (639 PS) bermula 5,500 rpm hingga 6,500 rpm dan tork maksima 900 Nm bermula 2,500 hingga 4,500 rpm. Kuasa berkenaan membolehkan jentera ini memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa hanya 3.2 saat sebelum mencatatkan kelajuan maksima 315 km/j.