Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Chery Omoda 5 EV ditemui di Malaysia – unit CBU akan dilancar tahun depan, 224 PS, jarak gerak 450 km

    Chery Omoda 5 EV ditemui di Malaysia – unit CBU akan dilancar tahun depan, 224 PS, jarak gerak 450 km

    Chery Malaysia sebelum ini sudah mengesahkan bahawa Omoda 5 EV akan dilancarkan di negara kita tahun depan, dan nampaknya mereka sedang bersiap sedia untuknya. Seorang pembaca paultan.org, Andy Chan telah menghantar beberapa gambar SUV elektrik tersebut, yang dilihat berada atas treler dan dikatakan semuanya adalah unit pemanduan sebelah kanan.

    Ini sebenarnya bukanlah kali pertama kami melihat Omoda 5 EV versi pemanduan sebelah kanan, kerana sebelum ini ia sudah berada di pameran Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) beberapa bulan lalu. Di sana, pelanggan sudah boleh membuat tempahan untuk EV tersebut.

    Untuk pasaran kita, Omoda 5 EV akan tiba sebagai unit yang diimport sepenuhnya (CBU) dan kita masih belum mengetahui sama ada ia kemudiannya akan dipasang di dalam negara (CKD) ataupun tidak. Model Omoda 5 biasa yang berada dalam pasaran kita sekarang dipacu oleh enjin petrol turbo dan dilancarkan sebagai sebuah model CKD Julai lalu.

    Chery Omoda 5 EV ditemui di Malaysia – unit CBU akan dilancar tahun depan, 224 PS, jarak gerak 450 km

    Berkenaan spesifikasi, Omoda 5 EV akan menggunakan motor elektrik yang terletak di hadapan, berkuasa 224 PS (221 hp atau 165 kw), dan mendapat kuasa daripada bateri lithium ion 61 kWh. Chery memberitahu, SUV ini boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.8 saat dan menggunakan 15 kWh bagi setiap 100 km.

    Bateri ini dikatakan dapat membantu kenderaan untuk pergi 450 km dengan sekali cas penuh berdasarkan standard CLTC yang berbeza berbanding NEDC dan WLTP. Untuk pengecasan pula, melalui cas pantas DC, baterinya boleh naik 0-80% dalam masa 35 minit.

    Antara cara mengenal pasti Omoda 5 EV ini berbanding versi biasa adalah mukanya, yang menggunakan gril tertutup. Selain daripada itu, ia juga tidak menggunakan logo Chery dan mempunyai tulisan Chery di atas hud, dan dilengkapi dengan rim dua tona.

    GALERI: Chery Omoda 5 EV di GIIAS 2023

     
     
  • Lebuhraya Setiawangsa-Pantai dilancar secara rasmi – tol percuma hingga 11.59 malam pada 2 Dis 2023

    Lebuhraya Setiawangsa-Pantai dilancar secara rasmi – tol percuma hingga 11.59 malam pada 2 Dis 2023

    Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) telah pun dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Tinggi pagi tadi. Ia melibatkan baki jajaran sepanjang 16.3 kilometer bermula dari Setiawangsa ke Kerinchi yang dibuka secara rasmi kepada pengguna jam 11:59 malam ini. SPE sebelum ini dikenali sebagai Lebuhraya Duta-Ulu Kelang Fasa-3 (DUKE Fasa-3) akan merentasi utara ke selatan Kuala Lumpur.

    Antara objektif SPE adalah menyediakan laluan alternatif kepada pengguna jalan raya dengan sistem trafik yang lebih baik di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur dan meningkatkan kesalinghubungan dengan lebuh raya serta pengangkutan rel awam sedia ada seperti KTM Komuter, LRT dan MRT.

    “Saya amat berbesar hati mengumumkan tol percuma selama 30 hari sehingga 2 Disember 2023, jam 11.59 malam di Plaza Tol Chan Sow Lin, Plaza Tol Ampang (dari Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur AKLEH menuju ke SPE) dan Plaza Tol Setiawangsa (arah Selatan dan Utara),” katanya menerusi majlis pelancaran SPE. Walau bagaimana pun, beliau tidak mengumumkan kadar tol di SPE selepas tempoh tol percuma berakhir.

    Lebuhraya sepanjang 29.8 km ini menghubungkan Taman Melati dan Klang Gates dari Lebuhraya MRR2 ke Kerinchi Link berhampiran Pantai dan Universiti Malaya. SPE juga diharap memberikan manfaat buat penduduk sekitar Gombak, Taman Melati, Genting Klang, Setiawangsa, Wangsa Maju, Ampang, Kampung Pandan, Bandar Malaysia, Kerinchi dan Pantai.

    Ia mula dibina sejak tahun 2016 dan dikendalikan oleh syarikat konsesinya, Ekovest Bhd. melalui anak syarikat milik penuhnya, Lebuhraya DUKE Fasa 3 Sdn. Bhd. Syarikat ini telah menandatangani perjanjian konsesi dengan kerajaan bagi pembinaan lebuhraya tersebut yang bernilai RM3.738 bilion bagi tempoh konsesi selama 53 tahun enam bulan.

    Lebuhraya SPE ini dibahagikan kepada empat seksyen utama iaitu Kerinchi – Salak (Seksyen 1), Salak – Pandan (Seksyen 2), Pandan – Setiawangsa (Seksyen 3) dan juga Setiawangsa – Taman Melati (Seksyen 4) dengan jarak keseluruhan sepanjang 20.7 km, laluan 3 lorong dua hala dan 7 persimpangan bertingkat.

    Klik untuk besarkan imej jajaran Lebuhraya Setiawangsa-Pantai

    Sebahagian jajaran Lebuhraya SPE iaitu Seksyen 4 (Setiawangsa – Taman Melati) sepanjang 4.4 km telah dibuka kepada pengguna pada 21 Disember 2021.

    Berdasarkan kajian yang telah dibuat oleh pihak perunding trafik, lebuh raya ini dijangka mampu mengurangkan sehingga 30% masalah kesesakan lalu lintas yang sering dihadapi pengguna terutamanya pada waktu puncak melibatkan laluan ke utara, timur, barat dan selatan Kuala Lumpur untuk masuk dan keluar dari Pusat Bandaraya Kuala Lumpur.

    Pembukaan sepenuhnya Lebuhraya SPE ini, pastinya akan membawa impak signifikan terhadap usaha Kerajaan untuk membantu menyuraikan trafik bagi Bandaraya Kuala Lumpur selain usaha menaik taraf kemudahan infrastruktur untuk keselesaan rakyat setempat.

    Sebagai contoh, tempoh perjalanan pada waktu puncak dari Kerinchi ke Taman Melati, Gombak dan sebaliknya dijangka akan mengambil masa hanya 35 minit sahaja berbanding dengan laluan sedia ada yang mengambil masa selama 1 jam 30 minit.

    Malahan hari ini, Lebuhraya SPE telah menerima penganugerahan “Malaysia Book of Records” (MBOR) bagi dua kategori binaan iaitu Longest Double Deck Carriageway on Single Pier Structure (Dual Direction) sejauh 2.104 km dan Longest Elevated Land Bridge sejauh 20.686 km.

    Dalam masa yang sama, KKR turut menasihati semua pengguna Lebuhraya SPE agar sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan memastikan supaya tidak memberhentikan kenderaan di tepi lebuh raya untuk mengambil gambar atau berswafoto. Ini boleh membahayakan bukan saja diri sendiri malah pengguna lebuh raya yang lain juga.

     
     
  • BMW i5 G60E 2024 dikesan di M’sia – eDrive40 M Sport dengan 340 PS, jarak EV 582 km dilancar di PACE 2023

    BMW i5 G60E 2024 dikesan di M’sia – eDrive40 M Sport dengan 340 PS, jarak EV 582 km dilancar di PACE 2023

    Memasuki dua bulan terakhir 2023, BMW Malaysia bakal melancarkan BMW i5 dan kenderaan elektrik (EV) terbabit juga telah dikesan diangkut menggunakan treler di Petaling Jaya. Model i5 ini merupakan versi elektrik pertama bagi 5 Series, yang menerima perubahan rekaan yang besar dan diperkenalkan sebagai model generasi kelapan (G60) pada awal Mei lalu.

    Walau pun belum dilancarkan secara rasmi, BMW Malaysia telah mula menerima pendaftaran minat untuk EV ini. Kami juga telah menerima spesifikasi awalnya pada September lalu, yang ditawarkan dengan dua varian, iaitu eDrive40 dan M60 xDrive. Dan model yang anda lihat menerusi foto ini ialah varian M60 xDrive.

    Perincian ringkas mengenai penjana kuasa i5 eDrive40 seperti berikut:

    • Kuasa motor elektrik: 313 PS (308 hp atau 230 kW) dan 400 Nm
    • Kuasa motor elektrik dalam My Mode Sport dan fungsi Sport Boost/Launch Control diaktifkan: 340 PS (335 hp atau 250 kW) dan 430 Nm
    • Kapasiti bateri: 81.2 kWh
    • Jarak gerak: 497 hingga 582 km
    • 0-100 km/j: Enam saat
    • Kelajuan maksimum: 193 km/j

    Untuk i5 M60 xDrive, perincian ringkasnya seperti berikut:

    • Kuasa motor elektrik: 517 PS (510 hp atau 380 kW) dan 795 Nm
    • Kuasa motor elektrik dalam My Mode Sport dan fungsi Sport Boost/Launch Control diaktifkan: 601 PS (593 hp or 442 kW) dan 820 Nm
    • Kapasiti bateri: 81.2 kWh
    • Jarak gerak: 455 ke 516 km
    • 0-100 km/j: 3.8 saat
    • Kelajuan maksimum: 230 km/j

    Berdasarkan foto ini, kemungkinan besar i5 eDrive40 untuk pasaran tempatan akan didatangkan dengan pakej penggayaan M Sport. Ini ditambahkan dengan bampar yang bergaya, kemasan hitam pada bahagian bawah dan corong pengambilan udara, manakala bahagian belakangnya pula menampilkan seksyen panel hitam yang besar mirip dengan model 3 Series dengan M Sport. Rodanya pula bersaiz 21-inci dengan unit aloi 954 gaya aerodinamik BMW Individual.

    Unuk pengecasan, Kedua-dua i5 ini boleh menerima input AC maksimum sehingga 11 kW, dengan cas penuh dari kosong boleh dilakukan dalam masa empat jam 15 minit untuk eDrive40 dan empat jam 25 minit untuk M60 xDrive. Kapasiti mengecas DC maksimum kedua-duanya adalah sama, iaitu 205 kW, dengan tahap 10-80% dapat dicapai dalam masa cuma 30 minit.

    BMW Malaysia juga telah mengesahkan bahawa EV ini akan ditampilkan khas menerusi acara PACE 2023 anjuran paultan.org yang berlangsung pada 4-5 Nov ini di Setia City Convention Centre (SCCC). Dan kita akan tahu perincian penuh dan harga pasarannya apabila ia dilancarkan.

     
     
  • Ducati Hypermotard 698 Mono didedah – enjin satu silinder 77.5 hp, berat 151 kg, suspensi boleh laras

    Ducati Hypermotard 698 Mono didedah – enjin satu silinder 77.5 hp, berat 151 kg, suspensi boleh laras

    Barisan model Hypermotard keluaran Ducati menerima ahli baru apabila Hypermotard 698 diperkenalkan kepada dunia. Ia adalah supermotard pertama dari pengeluar Itali itu yang menggunakan enjin satu silinder, dan menerapkan “karekter sempurna sebuah fun-bike; menyeronokkan dan ringan seperti sebuah supermotard lumba, sofistikated dan berprestasi tinggi seperti semua Ducati.”

    Nadi penggerak Hypermotard 698 adalah enjin baru Superquadro Mono, yang berkapasiti 659 cc, dengan teknologi injap Desmodromic dan injap intake titanium, menghasilkan kuasa 77.5 hp pada 9,750 rpm dan tork 64 Nm pada 8,000 rpm. Transmisi adalah unit enam kelajuan dengan klac jenis slipper.

    Untuk mengawal penyampaian kuasa ini, penunggang disediakan dengan empat mod tunggangan iaitu Sport, Road, urban dan Wet, manakala sistem elektronik lain yang diberikan secara standard adalah termasuk Cornering ABS, Ducati Traction Control (DTC), Ducati Wheelie Control (DWC), Engine Brake Control (EBC) dan Ducati Power Launch (DPL).

    Beberapa pelarasan lain turut disediakan sebagai contoh, untuk kuasa enjin ada tiga tahap, ABS empat tahap (dua dengan fungsi Slide-By-Brake dan satu hanya mengaktifkan ABS pada roda hadapan sahaja) dan Wheelie Control empat tahap (perisian Ducati Performance dengan Wheelie Assist untuk bantuan wheelie lebih lama dijual secara berasingan).

    Hypermotard 698 Mono ini datang dengan rim aluminium 17 inci, yang dipegang oleh suspensi yang terdiri daripada fork USD Marzocchi 45 mm boleh laras sepenuhnya di hadapan dan monoshock Sachs boleh laras sepenuhnya di belakang. Brek pula terdiri daripada unit tunggal cakera 330 mm dengan angkup Brembo M4.32 empat piston di hadapan dan cakera 245 mm dengan angkup satu piston di belakang.

    Berat kering Hypermotard 698 Mono adalah 151 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 12 liter. Selain versi standard, ia juga disediakan dengan versi RVE, yang datang dengan grafik khas serta quickshifter yang boleh digunakan untuk naik dan turun gear.

    GALERI: Ducati Hypermotard 698 Mono

    GALERI: Ducati Hypermotard 698 Mono RVE

     
     
  • JPJ eBid: Siri PRC dan DEW bakal dibuka bidaan

    Kali ini giliran siri nombor pendaftaran terkini dari Pulau Pinang dan Kelantan bakal dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Pulau Pinang, PRC mula dibuka bidaan pada hari ini, 11 November 2023. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 15 November. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 16 November 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Kelantan, DEW, bakal dibuka bidaan mulai 18 November 2023. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 22 November, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 23 November 2023.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Hyundai Tucson 2024 dibuka tempahan di Malaysia – CBU; 3 varian; 2.0 NA/6AT dan 1.6L Turbo 7 DCT

    Hyundai Tucson 2024 dibuka tempahan di Malaysia – CBU; 3 varian; 2.0 NA/6AT dan 1.6L Turbo 7 DCT

    Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) telah mengumumkan tempahan bagi Tucson generasi ke-empat (NX4) akan dibuka dalam penampilan pertamanya pada hujung minggu ini menerusi acara Premium Auto Car Expo (PACE) anjuran paultan.org.

    Tucson terkini akan tiba bagi unit import sepenuhnya (CBU) dari Korea Selatan, dengan penawaran tiga varian untuk pasaran Malaysia. Barisan SUV lima-tempat duduk ini akan bermula dengan 2.0 Lite, diikuti 1.6T Plus dan 1.6T Max. Buat masa ini, harganya belum didedahkan, kena nantikan pelancaran rasminya kelak.

    Dibangunkan dengan platform N3, Tucson yang kita akan terima ini merupakan versi jarak roda panjang, yang telah dilancarkan di Amerika Syarikat. Berbanding model terdahulu, model baharu ini lebih besar dan mempunyai dimensi seperti berikut:

    • Panjang : 4,630 mm
    • Lebar : 1,865 mm
    • Tinggi : 1,665 mm
    • Jarak roda : 2,755 mm
    • Ruang but : 582 liter dan boleh cecah hingga 1,903 liter apabila tempat duduk belakang dibaringkan

    Hyundai Tucson 2024 dibuka tempahan di Malaysia – CBU; 3 varian; 2.0 NA/6AT dan 1.6L Turbo 7 DCT

    Selain sebagai SUV bersaiz besar, rekaan Tucson NX4 ini juga berbeza berbanding model sebelum ini. Dengan bahasa rekaan ‘Sensuous Sportiness’ oleh pengeluarnya, bahagian hadapannya ditampilkan dengan gril parametrik yang disambungkan dengan lampu nyalaan siang LED, manakala lampu utamanya pula mengapit gril yang menonjol. Garisan karakter yang pada sisi SUV juga kelihatan menyerlah. Sementara di bahagian belakang pula, lampunya ditampilkan dengan palang cahaya untuk imej yang lebih menonjol.

    Untuk dalamnya pula, bentangan papan pemuka bagai mewujudkan ‘dwi kokpit’. Ia menampilkan skrin sentuh yang lebar diapit dengan corong udara tengah serta panel untuk akses pantas dan kawalan suhu. Beberapa ruang penyimpanan pada konsol tengah, di mana seksyen berkenaan turut menempatkan perehat tangan, pemilih gear, pemegang cawan dan kawalan untuk fungsi kenderaan.

    Bagi kelengkapannya, 2.0 Lite didatangkan dengan roda aloi 17-inci (tayar profil 235/65), lampu utama LED MFR (Multi Face Reflector) headlamps, lampu belakang jenis mentol, tempat duduk upholstery balutan fabrik, tempat duduk larasan manual, roda stering balutan kulit, paparan pelbagai-inf0 4.25-inci Supervision, skrin sesentuh infotainmen 8-inci dengan Android dan Apple CarPlay tanpa wayar, enam pembesar suara, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin (dengan remote start), kamera pandangan belakang dan pendingin hawa manual.

    Hyundai Tucson 2024 dibuka tempahan di Malaysia – CBU; 3 varian; 2.0 NA/6AT dan 1.6L Turbo 7 DCT

    Untuk aspek keselamatan, varian asas diberikan tujuh beg udara, ABS, ESC, bantuan mula mendaki, penderia parkir belakang, Amaran Pelanggaran Titik Buta (BCW), Amaran Keluar Selamat (SEW) dan Kepekaan Penumpang Belakang (ROA). Tiada sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) diberikan untuk varian ini, tetapi hanya menerima kawalan kelajuan pasif dan penahan auto untuk brek parkir elektronik.

    Bagi varian 1.6T Plus pula, ciri kelengkapannya ditambah dengan aloi 19-inci (tayar profil 235/55), tempat duduk upholstery balutan kulit, tempat duduk pemandu larasan kuasa lapan-cara, pedal penukar gear dan sistem pemantauan tekanan tayar.

    Manakala untuk varian tertinggi pula, 1.6T Max menerima lebih banyak ciri kelengkapan ya ng menarik termasuk penderia parkir hadapan, lampu belakang kombinasi LED, rel bumbung aluminium, tempat duduk hadapan larasan kuasa lapan-cara dengan fungsi pengudaraan dan pemanasan, kluster instrumen digital 10.35-inci, kawalan suhu dwi-zon dengan corong belakang, tailgate bukaan kuasa, cermin pandang-belakang elektrokromic, bilah pengelap cermin dengan penderia hujan dan pad pengecasan tanpa wayar.

    Varian tertinggi ini juga diberikan ROA dengan penderia pergerakan dan merupakan satu-satunya ciri yang didatangkan dengan ADAS. Ia juga diberikan Kawalan Kelajuan Pintar (SCC) dengan fungsi stop & go, Bantuan Mengelak Pelanggaran Hadapan (FCA) dengan sokongan persimpangan, Bantuan Kekal Lorong (LKA), Bantuan Ikut Lorong (LFA), Amaran Kepekaan Pemandu (DAW), Kepekaan Ketibaan Kenderaan Hadapan (LVDA), Bantuan Lampu Tinggi (HBA) dan Bantuan Mengelak Pelanggaran Titik Buta (BCA).

    Kesemua varian juga diberikan pemilih mod pemanduan dengan empat pilihan iaitu Eco, Normal, Sport dan Smart. Malah kesemua varian juga menggunakan enjin dari Smartstream . Butirannya adalah seperti berikut:

    2.0 Lite – Smartstream G2.0 MPI

    • Enjin: 2.0 liter naturally-aspirated empat-silinder sebaris petrol
    • Kuasa enjin: 156 PS pada 6,200 rpm dan 192 Nm pada 4,500 rpm
    • Transmisi: Automatik, enam kelajuan; FWD
    • 0-100 km/j: 11.4 saat
    • Kelajuan maksimum: 181 km/j

    1.6T Plus and 1.6T Max – Smartstream G1.6 T-GDI

  • Enjin: 1.6 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris petrol
  • Kuasa enjin: 180 PS pada 5,500 rpm dan 265 Nm dari 1,500 hingga 4,500 rpm
  • Transmisi: Dwi-Klac tujuh-kelajuan; FWD
  • 0-100 km/j: 8.8 saat
  • Kelajuan maksimum: 201 km/j
  • Akhir sekali, berkenaan warna. HSDM menawarkan Tucson dengan lima pilihan warna iaitu Amazon Gray Metallic, Phantom Black Pearl, Creamy White Pearl, Crimson Red Pearl dan Silky Bronze Metallic. Walau bagaimana pun, dua pilihan warna terakhir itu tidak diberikan untuk varian 2.0 Liter tetapi boleh ditempah untuk kedua-dua varian turbo.

    Jika anda berminat untuk melihat sendiri SUV ini di hadapan mata, jom berkunjung ke PACE 2023 yang berlangsung pada 4-5 Nov ini di Setia City Convention Centre (SCCC).

    Hyundai Tucson 2024 dibuka tempahan di Malaysia – CBU; 3 varian; 2.0 NA/6AT dan 1.6L Turbo 7 DCT

     
     
  • Ford Everest Wildtrak 2023 di Malaysia — 2.0L bi-turbo dengan imej ranggi SUV Wildtrak; dari RM339k

    Ford Everest Wildtrak 2023 di Malaysia — 2.0L bi-turbo dengan imej ranggi SUV Wildtrak; dari RM339k

    Selain Ford Ranger Platinum 2023, Sime Darby Auto Connexion (SDAC) hari ini turut melancarkan sebuah lagi model terbaru untuk pasaran tempatan, Ford Everest Wildtrak Special Edition pada harga RM338,888 atas jalan tidak termasuk insurans.

    Merupakan penawaran paling tinggi bagi SUV tujuh-tempat duduk tersebut, ini merupakan kali pertama Everest diberikan penawaran Wildtrak, yang sebelum ini sangat sinonim dengan Ranger di Malaysia. Untuk itu, Ford Everest Wildtrak 2023 turut didatangkan dalam warna ikonik Wildtrak, iaitu Luxe Yellow.

    Dua lagi warna sedia ada untuk Everest ialah Meteor Grey dan juga Absolute Black. Model ini menggunakan enjin 2.0L Bi-Turbo dengan janaan 210 PS pada 3,750 rpm dan 500 Nm tork pada 1,750-2,000 rpm.

    Ford Everest Wildtrak 2023 di Malaysia — 2.0L bi-turbo dengan imej ranggi SUV Wildtrak; dari RM339k

    Ini dipadankan pula dengan transmisi automatik 10-kelajuan dengan ciri 4WD, dengan enam pilihan mod pemanduan: Normal, Eco, Tow, Slippery, Mud dan Sand. Sesuai dengan namanya, Everest ini dilengkapi dengan penawaran yang biasa ada pada varian Wildtrak untuk Ranger—kemasan hitam berkilau, jahitan oren bagi kerusi yang dibaluti material kulit sintetik, serta lencana Wildtrak untuk kerusi hadapan.

    Di dalam, antara ciri yang ada termasuk teknologi bantuan pemandu seperti Bantuan Parkir Aktif 2.0 yang pertama dalam kelasnya. Skrin sentuh 12-inci juga ada di tengah untuk sistem infotainmen, dan disertai juga dengan kluster instrumen 12.4-inci.

    Ford Everest Wildtrak 2023 di Malaysia — 2.0L bi-turbo dengan imej ranggi SUV Wildtrak; dari RM339k

    Sistem keselamatan ADAS juga lengkap untuk model ini, antaranya dilengkapi dengan ciri seperti AEB, ACC (dengan Stop/Go dengan Lane Centering), Amaran Penukaran Lorong, Amaran Perlanggaran belakang, lampu tinggi automatik dan lain-lain.

    Ford Everest Wildtrak 2023 didatangkan dengan jaminan tiga-tahun atau 100,000 km yang mana dahulu. Ini boleh dilanjutkan dengan tambahan dua-tahun, atau 60,000 km.

     
     
  • Ford Ranger Platinum 2023 di M’sia — dari RM184k; lampu LED Matrix, rak fleksibel, kluster digital 12.4-inci

    Ford Ranger Platinum 2023 di M’sia — dari RM184k; lampu LED Matrix, rak fleksibel, kluster digital 12.4-inci

    Pengedar kenderaan Ford di Malaysia, Sime Darby Auto Connexion (SDAC) hari ini memperkenalkan dua penawaran terbaru bagi barisan kenderaan yang dijual di sini. Dua model berkenaan ialah Ford Ranger Platinum dan juga Ford Everest Wildtrak Special Edition. Dua tambahan terbaru ini masing-masing dijual pada harga RM183,888 dan RM338,888 atas jalan dan tidak termasuk insurans di Semenanjung.

    Ford Ranger Platinum merupakan penawaran varian terbaru bagi trak pikap popular berkenaan, dengan sentuhan lebih mewah dan premium. Antara yang membezakannya daripada penawaran Ranger sedia ada sebelum ini ialah rim 20-inci dan lampu utama LED Matrix yang pertama kali diberikan untuk Ranger, begitu juga dengan rekaan gril khusus serta yang paling menarik, sistem rak fleksibel disertai landasan bumbung Swing-in-Place dan ciri Power Roller Shutter.

    Ford Ranger Platinum 2023 di M’sia — dari RM184k; lampu LED Matrix, rak fleksibel, kluster digital 12.4-inci

    Untuk bahagian dalaman, antara pertambahan ciri yang diberikan termasuk kerusi balutan kulit premium dengan liang aliran udara (pertama kali diberikan untuk Ranger) dengan tiga tetapan memori. Selain itu, kluster instrumen digital bersaiz 12.4-inci juga ada, dan skrin infotainmen 12-inci dengan perisian SYNC 4A terkini.

    Sistem hiburan ini juga disudahi dengan sistem audio Bang & Olufsen. Kabin juga hadir dengan lampu suasana, ada juga ciri e-Shifter dan Bantuan Parkir Aktif 2.0.

    Sebagai lanjutan bagi penawaran Ranger generasi terkini, ia menggunakan enjin diesel 2.0L Bi-Turbo yang menghasilkan 210 PS dan 500 Nm tork, dengan kuasa disalurkan menerusi sistem pacuan empat roda dengan kawalan elektrik, dengan transmisi automatik 10-kelajuan dan e-Shifter.

    Model terbaru ini juga didatangkan dengan pilihan warna baru eksklusif hanya untuk varian Platinum, iaitu Equinox Bronze.

    Ford Ranger Platinum ini didatangkan dengan jaminan pengeluar selama lima tahun atau 160,000 km. Jaminan ini juga boleh dilanjutkan kepada enam atau tujuh tahun atau sehingga 40,000 km lagi melalui program Premium Care (EWS). Selain itu, Ford juga menawarkan pilihan untuk Pelan Perkhidmatan Lanjutan (ESP) bagi kedua-dua model tersebut.

     
     
  • Kesalahan cermin gelap tidak akan dipenjara – Loke

    Kesalahan cermin gelap tidak akan dipenjara – Loke

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengesahkan kerajaan tidak akan memenjarakan mana-mana pemilik kenderaan atas kesalahan menggunakan cermin gelap, laporan Harian Metro.

    “Tidak timbul soal bahawa kalau salah guna cermin gelap itu akan dipenjarakan. Saya harap penjelasan ini dapat meleraikan atau memberikan satu penerangan kepada orang ramai bahawa tidaklah sampai kerajaan nak memenjarakan orang sekiranya menggunakan cermin gelap,” katanya sewaktu penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat semalam.

    Beliau berkata demikian meleraikan kekeliruan pengguna media sosial berhubung kenyataan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), yang sesetengahnya menggambarkan seolah-olah individu yang melakukan kesalahan tersebut boleh dihukum penjara.

    Jelas beliau lagi, pemilik kenderaan yang melanggar peraturan cermin gelap akan dikenakan kompaun terlebih dahulu.

    Kesalahan cermin gelap tidak akan dipenjara – Loke

    “Apabila mereka diberikan peluang untuk kompaun, mereka tidak bayar kompaun, maka boleh dibawa ke mahkamah. Itu merupakan satu peraturan general (umum) yang boleh dikenakan sehingga denda termasuk tidak melebihi RM2,000 atau penjara enam bulan,” katanya.

    Pada awal Oktober lalu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sekali lagi telah mengulangi peringatan mengenai pemakaian cermin gelap bagi kenderaan persendirian seperti mana peraturan baharu yang diperkenalkan pada Mei 2019.

    “Di mana peraturan baharu tersebut telah diwartakan di bawah Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 (Pindaan 2019). Ia telah menetapkan bahawa Kadar Ketelusan Cahaya (VLT) bagi cermin kenderaan yang dibenarkan adalah cermin hadapan kenderaan 70%, cermin tepi sisi kiri kanan pemandu 50% dan cermin sisi bahagian belakang dan cermin belakang 0%.

    “Diingatkan bahawa, pemandu atau pemunya berdaftar kenderaan yang melanggar peraturan ini adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan bagi kesalahan pertama. Bagi sabitan berikutnya pula, denda tidak melebihi RM4,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan, atau kedua-duanya akan dikenakan,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • Cukai barang bernilai tinggi mulai Mei 2024 – Kenderaan lebih RM200k kena tambahan 5%-10%?

    Cukai barang bernilai tinggi mulai Mei 2024 – Kenderaan lebih RM200k kena tambahan 5%-10%?

    Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Malaysia bakal melaksanakan Cukai Barang Bernilai Tinggi (HVGT) bermula 1 Mei ini, pada kadar 5% hingga 10%. Pelaksanaan cukai terbabit melalui penggubalan perundangan baharu membolehkan golongan berkemampuan tinggi menyumbang kembali kepada negara melalui pembelian barangan mewah.

    Walau bagaimana pun, ia akan dikenakan ke atas barang bernilai tinggi tertentu seperti barang kemas dan jam berdasarkan nilai ambang harga barangan seperti yang disebutkan oleh Anwar sebelum ini. Namun begitu, HVGT juga akan dilaksanakan ke atas pembelian jet peribadi, kapal layar, dan kenderan mewah, seperti yang dilaporkan oleh The Star. Menurut Timbalan Menteri Kewangan Steven Sim Chee Keong, garis panduan mengenai pelaksanaan cukai ini berdasarkan ambang harga akan dikeluarkan oleh kementeriannya.

    Buat masa ini, kemungkinan barangan mewah seperti barang kemas bernilai lebih RM10,000, jam berharga lebih RM20,000 bakal dikenakan cukai HVGT antara 5% hingga 10%. Tetapi tidak dipastikan adakah kenderaan mewah juga akan menerima cukai tambahan pada kadar yang disebut itu.

    Cukai barang bernilai tinggi mulai Mei 2024 – Kenderaan lebih RM200k kena tambahan 5%-10%?

    Mungkin pengiraan bagi kenderaan mewah begini, contohnya, harga asasnya RM200k, jadi mungkin dengan cukai tambahan 5% (contoh sahaja….), maka harganya akan menjadi RM10k lebih mahal. Jika HVGT yang dikenakan sebanyak 10%, maka tambahan harga menjadi RM20k. Kalau kenderaan tersebut bernilai RM500k, harganya akan menjadi lebih RM25k jika cukai yang dikenakan 5%, atau lebih RM50k jika 10%. Walaupun ini semua pengiraan peratusan yang mudah, ia pasti akan memberi kesan kepada pembeli kereta lebih RM200k, bukan?

    Walaupun begitu, beberapa model popular sudah mempunyai senarai menunggu yang panjang yang melepasi tarikh akhir 1 Mei, jadi kenaikan harga ini mungkin sudah dikenakan kepada pelanggan yang membuat tempahan baharu sekarang. Walaupun untuk model tanpa masa menunggu yang begitu lama, adakah cukai yang akan dilaksanakan ini akan menyebabkan satu lagi fenomena tempahan tergesa-gesa seperti ‘cuti cukai SST’ sebelum ini?

    Tidak mungkin kerajaan akan melanjutkan atau menyerap perbezaan cukai melepasi tarikh pelaksanaan seperti yang dilakukan pada ‘cuti SST’ sebelum ini, memandangkan HVGT bertujuan untuk “mencukai mereka yang berkemampuan.”

    Juga, adakah cukai ini juga terpakai untuk pembelian EV, yang hampir dijual tanpa cukai di Malaysia (selain daripada cukai jualan 10% untuk model CBU)? Bagaimana pula dengan kenderaan import yang mempunyai harga yang jauh lebih stabil? Patutkah kita menjangkakan lebih banyak kenderaan akan dijual pada harga RM199,999 tidak lama lagi? Bagaimana pula denggan kenderaan terpakai? Pastinya banyak persoalan yang masih belum terjawab.

    “Pada ketika ini, Kementerian Kewangan sedang memuktamadkan dasar dan aspek perundangan untuk mengenakan cukai barangan bernilai tinggi. Sebarang perubahan kepada dasar cukai perlu mengambil kira kesan terhadap ekonomi dan kos sara hidup rakyat,” kata PM dalam jawapan bertulis parlimen bertarikh 1 Nov.

    Jika anda mencari kenderaan premium, jangan lupa kunjungi acara PACE 2023 yang bakal berlangsung hujung minggu ini (4-5 Nov) di Setia City Convention Centre. Pelbagai tawaran menarik menanti anda, dan mungkin inilah peluang untuk anda ‘mengelak’ dikenakan Cukai Barang Bernilai Tinggi yang akan diperkenalkan tahun hadapan.

     
     
  • Pengecas EV di Malaysia kini mencecah 1,430 unit – 620 lokasi, sekitar 303 unit pengecas pantas DC

    Pengecas EV di Malaysia kini mencecah 1,430 unit – 620 lokasi, sekitar 303 unit pengecas pantas DC

    Perkembangan mengenai data rangkaian pengecas kenderaan elektrik di peringkat negara yang dikendalikan oleh PlanMalaysia seperti yang ditunjukkan dalam EVM Asia Expo September lalu, telah pun beroperasi secara rasmi. Dikenali sebagai MEVnet, pangkalan data berkenaan telah pun dipaparkan secara dalam talian, dilancarkan semalam (1 November 2023) oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan dan Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah (JPBD).

    Pangkalan data berkenaan memaparkan topografi rangkaian pengecas EV awam yang berada di seluruh negara. Ia bertujuan untuk menyediakan maklumat berkaitan bagi pihak berkepentingan untuk pengurusan yang cekap dan titik lokasi stesen pengecasan yang berpotensi.

    Selain itu, ia juga membolehkan orang ramai untuk melihat perkembangan rangkaian pengecasan awam, yang menyasarkan bakal mempunyai 10,000 unit pengecas EV di seluruh negara menjelang tahun 2025, seperti mana yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 yang diumumkan pada tahun 2021.

    Pengecas EV di Malaysia kini mencecah 1,430 unit – 620 lokasi, sekitar 303 unit pengecas pantas DC

    Menerusi pangkalan data berkenana, dilihat peningkatan jumlah pengecasan awam atau petak pengecasan kenderaan elektrik (EVCB). Buat masa ini, terdapat 1,430 unot pengecas yang beroperasi di 620 lokasi di seluruh negara, meningkat sebanyak 184 berbanding 1,246 unit yang dipaparkan pada September lalu.

    Daripada jumlah itu, sebanyak 1,127 unit adalah pengecas AC (naik dari 1,007 pada September), manakala pengecas pantas DC pula mencecah 303 unit (239 unit pada September). Ia juga melibatkan 567 pengecas di dalam bangunan (indoor), dan 863 unit di luar bangunan (outdoor), berbanding 500 unit indoor dan 746 outdoor.

    Pangkalan data berkenaan juga memaparkan pecahan mengikut negeri, dengan Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mendahului angka jumlah pengecas. Buat masa ini, Kuala Lumpur memiliki 386 pengecas di 132 lokasi (AC 330, DC 56), sementara Selangor dengan 507 pengecas di 225 lokasi (AC 402, DC 105).

    Klik untuk besarkan

    Dengan pertambahan jumlah pengecas bermakna infrastruktur itu kini berada dalam 14.3% bagi keseluruhan pembangunan untuk mencapai sasaran 10,000 unit. Dengan 184 pengecas tambahan pada bulan sebelum ini, menunjukkan peningkatan yang signifikan untuk mencapai sasaran. Persoalannya, mampukah ia berjaya memenuhi sasaran mengikut garis masa yang ditetapkan?

    Secara kebetulan, bilangan lokasi yang dikenal pasti sesuai untuk pelabur menubuhkan EVCB juga telah meningkat. Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming telah menyatakan pada bulan lalu bahawa 10,596 lokasi bersesuaian telah dikenal pasti, tetapi tetapi pangkalan data MEVnet telah memaparkan 10,789 lokasi cadangan EVCB. Daripada jumlah ini, 4,058 berada di Selangor, manakala KL dengan 1,255 lokasi.

     
     
  • Mitsubishi Triton akan ada versi plug-in hybrid yang baru dibangunkan; EV selepas lima tahun lagi

    Mitsubishi Triton akan ada versi plug-in hybrid yang baru dibangunkan; EV selepas lima tahun lagi

    Menurut laporan carsales.com.au dari Australia, Mitsubishi ketika ini sedang membangunkan sistem plug-in hybrid untuk enjin petrol serba baru untuk kegunaan Triton generasi terkini yang diperkenalkan Julai lalu. Dalam wawancara bersama wakli bahagian kejuruteraan Mitsubishi, Kaoru Sawase, turut dinyatakan bahawa sistem janaan elektrik sepenuhnya tidak akan tiba dalam tempoh lima-tahun terdekat ini.

    Berkaitan sistem PHEV untuk Triton, belum ada sebarang perincian didedahkan. Bahkan tarikh pelancarannya juga belum diketahui. Bagaimanapun, disahkan bahawa sistem berkenaan bukanlah dari model yang sedia ada seperti Outlander PHEV, yang menggunakan tataletak sistem kuasa transverse berbanding Triton yang hadir dengan tetapan longitud.

    Sawase memaklumkan Triton baru ini akan menerima “sistem PHEV P2” yang memanfaatkan sebuah motor elektrik di antara enjin dan transmisi, dengan klac pemutus untuk membolehkan pemanduan EV sepenuhnya jika diperlukan. “Mitsubishi Motors sedang mengkaji dan membangunkan sistem tersebut. Ketika ini, masih belum ada tarikh pengenalannya,” ujarnya.

    Mitsubishi Triton akan ada versi plug-in hybrid yang baru dibangunkan; EV selepas lima tahun lagi

    Beliau menambah, penggunaan rekaan modular P2 adalah lebih selari dengan keperluan Triton yang perlu mempunyai keupayaan off-road, dengan memanfaatkan transmisi julat rendah. “Setakat ini, teknologi HEV kami adalah dalam rekaan janaan transverse, berdasarkan pacuan roda depan atau pacuan semua roda,” jelasnya.

    “Triton pula memerlukan rekaan sistem janaan longitud dengan kemampuan off-road juga sangat berbeza jika dibandingkan dengan Outlander. Jadi, untuk mendapatkan kemampuan off-road seperti yang diharapkan daripadanya, yang tidak dimiliki oleh teknologi PHEV kami ketika ini, Triton memerlukan sistem yang lain,” tambahnya, dengan memberi contoh sistem P2 berkenaan ada digunakan pada model Land Rover dan Jeep.

    Tentang mengapa Mitsubishi memilih sistem PHEV petrol, seorang jurucakap syarikat itu yang menyertai Sawase memaklumkan yang versi diesel untuk sistem berkenaan akan menjadi terlalu mahal. “Kami sangat faham yang permintaan untuk PHEV dengan enjin diesel, tetapi kerana faktor kos, itu agak mustahil,” jelasnya.

    Mitsubishi Triton akan ada versi plug-in hybrid yang baru dibangunkan; EV selepas lima tahun lagi

    “Juga, ketika meneroka pasaran, enjin petrol lebih mudah untuk menembusi pasaran berbanding diesel. Disebabkan inilah enjin petrol dengan PHEV lebih masuk akal,” tambahnya. Sebagai contoh, Ford sudah menunjukkan Ranger dengan sistem PHEV, dan BYD Ute dengan sistem sama dijangka akan didedahkan tak lama lagi.

    Tentang Triton versi elektrik sepenuhnya, Sawase memaklumkan sistem janaan elektrik ketika ini mampu untuk memberikan kuasa puncak, tetapi hanya mempunyai kemampuan terhad untuk penyampaian kuasa yang berterusan. “Untuk pemanduan off-road, misalnya di atas pasir atau lumpur atau pemanduan jarak jauh, kenderaan memerlukan output yang berterusan,” ujarnya.

    Walaupun pengeluar lain seperti Ford, Tesla, Chevrolet, RAM dan Rivian telah menunjukkan bawah trak pikap elektrik sepenuhnya boleh dihasilkan, namun Mitsubishi tidak menjangkakan teknologi itu akan diperkenalkan kepada pelanggan mereka sekurang-kurangnya dalam lima tahun akan datang.

     
     
  • Honda Malaysia tawar rebat hingga RM20k untuk Nov 2023 – WR-V, HR-V dan Civic turut diberikan diskaun!

    Hujung tahun adalah masa terbaik untuk mendapatkan ganjaran pembelian terbaik, dan seperti biasa Honda Malaysia turut menawarkan promosi yang mungkin dapat membuatkan tulang rusuk anda ‘bergetar’.

    Untuk sepanjang November 2023, Honda Malaysia membawakan promosi bulanan “Last Hoo-Ray Bonanza”, dengan nilai rebat yang boleh tahan besar, ini termasuk membabitkan model baharu seperti WR-V, HR-V dan Civic.

    Kempen ini adalah untuk kereta yang didaftarkan sepanjang November 2023, dengan jumlah penjimatan sehingga RM20,000. Barisan model yang terlibat ialah City, City Hatchback, Accord serta CR-V, dan kesemuanya adalah model tahunan 2023. Bulan ini juga menyaksikan model tambahan yang memasuki senarai promosi iaitu WR-V, HR-V dan Civic.

    Seperti biasa, diskaun terbesar sudah tentu untuk sedan segmen-D Accord yang menerima rebat sehingga RM20,000. Jika berminat SUV, anda boleh memilih CR-V yang diberikan diskaun sebanyak RM8,000. Boleh pilih antara empat varian iaitu 2.0L 2WD, 1.5L TC-P 2WD, 1.5L TC-P 4WD dan Black Edition.

    Honda Malaysia tawar rebat hingga RM20k untuk Nov 2023 – WR-V, HR-V dan Civic turut diberikan diskaun!

    Manakala City Hatchback pula, diberikan diskaun sebanyak RM2,500 untuk kelima-lima variannya iaitu S, E, V, V-Sensing dan RS. Manakala untuk City sedan pula, diberikan rebat dari RM2,000 (untuk varian S dan RS) hingga RM4,000 (E dan V). Sebagai tambahan, sesiapa yang membeli City E dan V bakal menerima baucar lapisan tingkap Ecotint bernilai RM2,200 secara percuma. Insentif istimewa untuk City E dan V ini sah sehingga 31 Disember 2023.

    Untuk yang teringin memiliki SUV kompak WR-V, semua varian menerima rebat hingga RM1,500 kecuali 1.5L V yang hanya diberikan diskaun RM500 sahaja. Manakala abangnya, HR-V pula diberikan diskaun sebanyak RM2,000 untuk kesemua varian. Akhir sekali, Civic dambaan ramai pula diberikan diskaun hingga RM2,500.

    Selain diskaun, Honda Malaysia juga memberikan lebih banyak ganjaran menarik termasuk baucar servis, kadar faedah rendah dan baucar petrol. Tunggu apa lagi, jika berminat, jangan lupa segera ke mana-mana bilik pameran Honda untuk pandu uji dan tempahan.

     
     
  • Tesla Supercharger Sunway Pyramid — RM1.25 per kWh, RM4 seminit ‘idle fee’, RM5 sejam parkir

    Tesla Supercharger Sunway Pyramid — RM1.25 per kWh, RM4 seminit ‘idle fee’, RM5 sejam parkir

    Tesla Malaysia hari ini secara rasminya melancarkan kemudahan Supercharger yang pertama di negeri Selangor, bertempat di hadapan Sunway Pyramid, dengan majlis ringkas tersebut disempurnakan oleh oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

    Pemasangan pengecas di lokasi berkenaan sebelum ini pernah kami laporkan, dan ia merupakan antara tambahan kepada beberapa lagi stesen sama yang diperkenalkan bulan lalu, antaranya di Iskandar Puteri, Johor dan juga Freeport A’Famosa Melaka.

    Terdapat empat pengecas Tesla Supercharger yang disediakan khas untuk pelaggan Tesla sahaja setakat ini. Kadar bayaran yang dikenakan pula sama seperti di lokasi lain: RM1.25 per kWh, dengan RM4 seminit turut dikenakan bagi kereta yang dibiarkan di tapak tersebut selepas selesai pengecasan. Selain itu, bayaran parkir RM5 sejam juga di kenakan kepada pelanggan.

    Tesla Supercharger Sunway Pyramid — RM1.25 per kWh, RM4 seminit ‘idle fee’, RM5 sejam parkir

    Kemudahan di Sunway Pyramid ini memanfaatkan Supercharger V3 yang menyediakan output pengecasan sehingga 250 kW, dan membolehkan model seperti Tesla Model 3 menerima jarak sehingga 282 km hanya dengan hanya 15 minit pengecasan.

    Awal Oktober lalu, Tesla Malaysia baru sahaja melancarkan ibu pejabatnya di Cyberjaya, yang turut menempatkan lapan stesen Supercharger dan 12 pengecas Wall Connector, walaupun ia hanya untuk kegunaan dalaman sahaja.

     
     
  • Permintaan EV di Eropah menurun, VW hentikan rancangan pembinaan kilang bateri Giga baharu

    Permintaan EV di Eropah menurun, VW hentikan rancangan pembinaan kilang bateri Giga baharu

    Pengerusi Volkswagen Group Oliver Blume mengumumkan bahawa syarikatnya akan menghentikan terlebih dahulu rancangan untuk membuka kilang bateri keempat untuk kenderaan elektrik (EV) buat masa sekarang kerana permintaan terhadap model sedemikian dilihat semakin menurun tahun ini, lapor Reuters.

    Sebelum ini Volkswagen dilihat sedang mencari tapak bagi pembinaan kilang giga untuk bateri EV berkenaan di Timur Eropah dan telah membuat keputusan tahun lalu ketika mempertimbangkan beberapa lokasi di Republik Czech, Hungary, Poland atau Slovakia.

    Manakala pada awal tahun ini, Volkswagen Group menyatakan pihaknya tidak akan membuat keputusan tergesa-gesa bagi memilih lokasi berkenaan. Namun pada Rabu lalu pegawai dari Republik Czech menyatakan bahawa mereka akan menawarkan tanah yang dicadangkan kepada Volkswagen itu kepada pelabur lain kerana sudah tidak mampu untuk menunggu lebih lama.

    Volkswagen sebelum ini telah pun memilih beberapa tapak bagi pembangunan kilang sel bateri iaitu di Salzgitter (Jerman), Valencia (Sepanyol), dan St. Thomas (Kanada), dikatakan mempunyai potensi produksi keseluruhan sehingga 200 gigawatt-jam setahun.

    Permintaan EV di Eropah menurun, VW hentikan rancangan pembinaan kilang bateri Giga baharu

    “Berdasarkan keadaan pasaran, termasuk pasaran BEV (kenderaan elektrik bateri) di Eropah yang lembap…buat masa ini tiada rasional perniagaan untuk membuat keputusan di mana tapak selepas ini,”kata Blume dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh wakil VW Republik Czech iaitu Skoda Auto.

    Blume dilaporkan telah berjumpa dengan pegawai-pegawai dari Republik Czech minggu ini kerana negara berkenaan kini sedang mencari peluang pelaburan dan memutamadkan semua urusniaga penting dalam sektor automotif ketika industri kenderaan global yang kini sedang beralih dari bahan api fosil kepada teknologi tenaga baharu.

    “kami tak boleh terus untuk menahan penggunaan tanah bagi projek ini,” kata Perdana Menteri Republik Czech Pter Fiala. Menteri Industri negara tersebut Jozef Sikela pula memberitahu bahawa dia kini sedang berbincang dengan lima pelabur, dengan dua daripadanya sebesar skala projek Volkswagen.

    Volkswagen kini merupakan antara jenama yang terjejas akibat permintaan EV yang kian menurun, dan ia hanya mendapat tempahan sebanyak 150,000 unit berbanding 300,000 pada tahun lalu.

     
     
  • Perodua Myvi DMM 204 Speedster kembali berlumba di Sepang 1000KM tahun ini dengan sasaran sama!

    Perodua Myvi DMM 204 Speedster kembali berlumba di Sepang 1000KM tahun ini dengan sasaran sama!

    Ingat lagi Perodua Myvi generasi ketiga pasukan JV Motorsport yang menyertai perlumbaan ketahanan Sepang 1000KM (S1K) tahun lalu? Untuk S1K edisi tahun ini, ‘King Myvi’ tersebut disahkan akan kembali berlumba!

    Bagi tahun ini beberapa rombakan pasukan dan pelumba telah dibuat, kesemuanya didedahkan dalam majlis perasmian yang dibuat ketika berlangsungnya International Automodified (IAM) 2023 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hujung minggu lalu.

    Untuk tahun ini, pasukan yang mengendalikan Myvi tersebut dikenali dengan nama DMM 204 Speedster, diketuai oleh Datuk Dr. Zahari Husin sebagai Prinsipal Pasukan. DMM 204 Speedster terbentuk dari tajaan utama dari DMM Performance iaitu sub jenama wakil penjual Perodua DMM Sales Sdn Bhd, bersama sokongan dari 204 Autoworks dan M’s Racing serta banyak penaja lain.

    Dua orang pelumba yang memandu Myvi ini dalam S1K tahun lalu juga telah bertukar posisi di mana Shafiq Rosli ditugaskan sebagai pengarah perlumbaan, dan juara S1K 2018/2019 Fariqe Hairuman a.k.a Wak Tempe kini mengambil tugas sebagai pengarah teknikal perlumbaan.

    Perodua Myvi DMM 204 Speedster kembali berlumba di Sepang 1000KM tahun ini dengan sasaran sama!

    Satu-satunya pelumba yang kekal adalah Faiz Sulaiman, yang akan dibantu oleh dua orang pemandu baharu iaitu Ashraff Dewal dan Aiman Haziq. Ashraff merupakan seorang pelumba berpengalaman yang pernah memandu kereta lumba GT sebelum ini. Manakala Aiman Haziq pula terpilih menerusi program pencarian pemandu Myvi S1K menewaskan 15 pelumba lain.

    Pasukan ini masih menggunakan Myvi yang sama dari perlumbaan tahun lalu yang menerima beberapa kemaskini perincian. Pada sebelah luar ia telah diberikan rekaan grafik badan baharu yang disiapkan oleh Wrap Autowerks. Livery berkenaan menggunakan warna-warna seperti Ocean Green dan Red True Blood yang diispirasikan dari warna korporat Perodua.

    Tiada kit aero ekstrim dipadankan pada kereta ini dan ia hanya dipadankan dengan kit badan asal Myvi generasi ketiga pre-facelift dalam varian 1.5 AV. Lampu kabus asal telah dicabut dan diganti dengan corong seakan mengalirkan udara ke ruang roda hadapan.

    Cangkuk perlumbaan sentiasa terpasang di bampar hadapan dan belakang dan ia turut menampilkan kill switch pada fender hadapan sebelah kanan bagi memudahkan kerja-kerja recovery sekiranya berlaku apa-apa ketika berlumba di litar.

    Perodua Myvi DMM 204 Speedster kembali berlumba di Sepang 1000KM tahun ini dengan sasaran sama!

    Rupa Myvi S1K ini dilengkapkan dengan rim 15-inci dari jenama rim aloi ringan tempatan iaitu Raxer Wheels, dibalut dengan tayar Yokohama Advan Neova AD08 R bersaiz 195/50R15. Dan pada roda hadapan, brek asal Myvi telah dicabut bagi digantikan dengan set brek lebih besar bersama angkup empat omboh dari Brembo.

    Untuk tahun ini, Myvi S1K ini menerima tajaan sistem suspensi baharu dari satu lagi jenama suspensi prestasi tempatan iaitu Fawster. Selain dari memberikan talaan pengendalian yang diperlukan, set suspensi ini turut dapat merendahkan badan Myvi S1K berkenaan bagi memberikan stance yang lebih agresif.

    Bagi melayakkannya untuk bertanding dalam kelas SP2V, Myvi ini masih dijana oleh enjin standard kilang 2NR-VE 1.5 liter Dual VVT-i dengan kuasa asal sekitar 102 hp dan tork maksima 136 Nm. Hanya sedikit ubahsuai yang dibenarkan dalam kategori ini antaranya adalah menukar sistem ekzos dan penuras udara lebih berprestasi dengan kotak udara standard dari kilang masih perlu digunakan.

    Ia juga masih menggunakan kotak gear standard automatik empat kelajuan 4AT sama seperti Myvi 2018-2022 yang dibekalkan kilang Akashi Kikai di Sendayan, Negeri Sembilan. Turut dapat dilihat dalam ruang enjin ini termasuk pelbagai komponen asal dari kilang termasuk radiator, kipas penyejuk, hatta sekali dengan pemampat pendingin hawa kerana ia masih lagi ada aircond di dalam kabin.

    Perodua Myvi DMM 204 Speedster kembali berlumba di Sepang 1000KM tahun ini dengan sasaran sama!

    Selain dari header ekzos yang berkilat bersembunyi di bawah pelindung panas standard, perkara ‘asing’ yang boleh dilihat pada ruang enjin Myvi ini hanyalah pemancut sistem pemadam api yang diwajibkan oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) untuk perlumbaan bertaraf nasional seperti S1K.

    Tahan ke gandingan ini dalam pelumbaan nanti? Tak perlulah kami ulas lebih banyak kerana Myvi ini telah terbukti dapat menghabiskan perlumbaan S1K tahun lalu dengan ‘dilanyak’ selama 8 jam 35 minit, dan berjaya menduduki kedudukan ke-10 dalam kelas SP2 V dan tempat ke-38 dari 68 kereta secara keseluruhan, bersaing dengan model-model yang jauh lebih kompetitif seperti Suzuki Swift dan Honda Jazz!

    Myvi S1K ini turut menerima beberapa kemaskini untuk bahagian kabin. Ia kini nampak lebih kemas kerana tiada lagi gugusan meter tambahan di bahagian atas tengah papan pemuka, skrin android yang sebelum ini dihubungkan kepada soket OBDII kotak komputer enjin juga telah dicabut dan digantikan dengan radio asal, serta kill switch telah dialih dari bahagian bawah ke atas.

    Untuk mengetahui segala maklumat dari meter-meter tambahan dan skrin android sebelum ini yang sudahpun ‘dilupuskan’, pemandu kini menerima sistem paparan yang lebih canggih iaitu Racing Dash keluaran Ecu Master yang dibekalkan oleh RnR Autosport.

    Tempat duduk pemandu OMP dari tahun lalu juga nampaknya telah ditukar menggunakan tempat duduk perlumbaan yang dibekalkan oleh Recaro Malaysia. Kesemua karpet dan pelapik bumbung serta semua tempat duduk asal telah dicabut keluar bagi dipadankan dengan set rollcage – bukan sebarang rollcage, tetapi ia merupakan rollcage yang dibina menepati piawaian FIA seperti yang disyaratkan untuk perlumbaan berkelas nasional.

    Perincian keselamatan lain yang turut kelihatan pada kabin Myvi S1K DMM 204 Speedster ini termasuk tali pinggang perlumbaan dari Beltenick serta pemadam api di sebelah pemandu yang diperlukan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.

    Perlumbaan Sepang 1000KM 2023 bakal berlangsung pada akhir bulan ini iaitu pada 23 hingga 26 November. Dengan pengalaman yang telah dikutip pada tahun lalu, Myvi S1K ini berpotensi untuk mencatatkan keputusan lebih baik dalam perlumbaan tahun ini!

     
     
  • Royal Enfield Himalayan 450 2024 didedah – enjin satu silinder penyejukan cecair 452 cc, 40 hp, 40 Nm

    Royal Enfield Himalayan 450 2024 didedah – enjin satu silinder penyejukan cecair 452 cc, 40 hp, 40 Nm

    Sebelum dilancarkan secara rasmi 7 November ini, Royal Enfield telah mendedahkan lebih awal model Himalayan 450 yang dipanggil sebagai sebuah model adventure serba baru oleh syarikat tersebut. Ia juga adalah model pertama Royal Enfield yang menggunakan enjin penyejukan cecair.

    Enjin tersebut adalah unit satu silinder 452 cc, dengan sistem suntikan bahan api dan tetapan DOHC, digabungkan bersama tranmsisi enam gear untuk menghasilkan kuasa 40 hp pada 8,000 rpm dan tork 40 Nm pada 5,500 rpm.

    Hasil penggunaan pendikit jenis ride-by-wire, motosikal ini dapat disediakan dengan beberapa mod tunggangan, bagi menyesuaikannya dengan tunggangan serta keadaan jalan. Selain daripada itu, penunggang juga boleh menutup sistem brek ABS pada Himalayan 450 jika mahu.

    Pada bahagian kokpit tersedia panel instrumen LCD empat inci, yang boleh disambung kepada telefon pintar, untuk memberikan fungsi kawalan muzik dan panggilan, serta paparan navigasi melalui aplikasi Royal Enfield dan Google Maps. Kawalannya boleh dibuat melalui butang di bahagian kiri pemegang.

    Sama seperti Himalayan sebelumnya, model baru ini dilengkapi rim spoked 21 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, bersesuaian dengan karekternya sebagai sebuah motosikal adventure yang boleh meredah pelbagai permukaan.

    Memegang roda tersebut adalah fork USD 43 mm di hadapan, serta monoshock dengan pelarasan pra beban, yang menyediakan jarak gerak 200 mm. Tugas memberhentikan motosikal dilaksana unit cakera tunggal 320 mm dengan angkup dua piston di hadapan, dan cakera tunggal 270 mm dengan angkup satu piston di belakang – ABS dual-channel datang secara standard.

    Royal Enfield Himalayan 450 2024 didedah – enjin satu silinder penyejukan cecair 452 cc, 40 hp, 40 Nm

    Tempat duduk Himalayan 450 telah direka semula dengan unit yang berasingan antara penunggang dan penumpang. Dalam keadaan standard, ia boleh dilaras dengan tinggi antara 825 mm hingga 845 mm, sementara pilihan tempat duduk yang lebih rendah pula menyediakan pelarasan antara 805 mm ke 825 mm.

    Beberapa varian diperkenalkan untuk Himalayan 450 ini, dengan senarai kelengkapan yang berbeza dan antara warna yang ditawarkan adalah termasuk Hanle Black, Kamet White, Slate Himalayan Salt, Slate Poppy Blue dan Kaza Brown.


     
     
  • Husqvarna Norden 901 2024 terima peningkatan ciri

    Husqvarna Norden 901 2024 terima peningkatan ciri

    Motosikal adventure Husqvarna Norden 901 diberikan peningkatan bagi model keluaran tahun 2024. Ia melibatkan tambahan beberapa ciri serta kemas kini sistem, dan diberitahu oleh pengeluar dari Sweden itu bahawa ia dapat “menawarkan prestasi serta keselamatan yang lebih baik.”

    Sistem pertama yang dinaik taraf adalah Cornering Motorcycle Traction Control (MTC), di mana sekarang penunggang boleh memilih pelarasan 10 tahap gelinciran roda belakang. Walaubagaimanapun, ia cuma disediakan untuk mereka yang menambah Explorer Mode sahaja (pilihan tambahan).

    Kemudiannya, beberapa lagi kelengkapan ditambah kepada motosikal ini, termasuk soket USB serta lampu kecemasan. Sistem ekzos juga telah diubah untuk menjadikan Norden 901 2024 ini mematuhi tahap emisi Euro 5+.

    Husqvarna Norden 901 2024 terima peningkatan ciri

    Bahagian lain motosikal yang mula diperkenalkan di pasaran pada tahun 2021 ini masih lagi sama, termasuk enjin yang menggunakan unit dua silinder selari bersama padanan kotak gear enam kelajuan dengan klac slipper, mampu menghasilkan 105 hp pada 8,000 rpm dan tork 100 Nm pada 6,500 rpm.

    Selain empat mod tunggangan yang disediakan, Norden 901 juga datang dengan quickshifter yang boleh digunakan untuk naik dan turun gear, Cornering ABS, steering damper, cruise control, lampu LED serta tangki bahan api berkapasiti 19 liter.

    Sebagai sebuah motosikal yang boleh digunakan untuk meredah jalan offroad, Norden 901 dipasang dengan rim spoked 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, dan ia dipegang oleh suspensi WP Apex yang boleh dilaras, dengan jarak gerak 220 mm di hadapan, dan 215 mm di belakang.

     
     
  • Chery Malaysia miliki 22 pusat servis di seluruh negara

    Chery Malaysia miliki 22 pusat servis di seluruh negara

    Chery Malaysia telah menguar-uarkan di Facebook rasmi mereka bahawa buat masa ini pihaknya telah pun mempunyai 22 pusat servis di seluruh negara, dengan 21 daripadanya terletak di Semenanjung Malaysia, dan satu di Kuching, Sarawak. Syarikat ini juga berkata, lebih banyak pusat servis bakal dilancarkan, seiring dengan pelancaran lebih banyak model baharunya di pasaran tempatan.

    Buat masa ini, barisan model Chery untuk pasaran tempatan hanya ada Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro, yang kedua-duanya dilancarkan pada Julai lalu. Pada bulan lalu, Chery Malaysia turut mendedahkan mereka akan melancarkan tiga SUV baharu dalam tempoh dua tahun akan datang.

    Ini termasuklah SUV Omoda 9, nama lain bagi Exeed RX, bersama dengan siri produk baharu iaitu Jaecoo 7 dan 8. Ketiga-tiga model ini akan dijual dalam unit pemasangan tempatan (CKD) yang kebarangkalian dipasang di kilang Inokom, Kulim, Kedah. Namun Chery Malaysia juga sebenarnya berpotensi untuk membina fasiliti pemasangan sendiri.

    Selain itu, model EV buatan Chery, Exlantix juga sedang dipertimbangkan untuk dibawa masuk ke pasaran Malaysia, termasuk juga dengan SUV ET dan sedan ES. Berkenaan dengan EV, Omoda 5 EV akan dilancarkan di Malaysia pada tahun hadapan, dengan model import sepenuhnya (CBU), dan buat masa ini, belum dipastikan adakah ia akan dipasang secara tempatan mahu pun tidak.

     
     
  • Honda dan GM batalkan pembangunan EV lebih murah

    Honda dan GM batalkan pembangunan EV lebih murah

    Honda dan General Motors (GM) mengumumkan bahawa projek pembangunan bersama kenderaan elektrik (EV) yang lebih mampu milik yang dirancang oleh kedua-dua pengeluar automotif ini sejak ia dimuktamadkan setahun lalu telahpun dibatalkan, lapor Reuters.

    Projek kerjasama ini sepatutnya bakal menjual produk pertamanya bermula 2027, namun ia dihentikan kerana kedua-dua pihak mengakui bukan mudah untuk menghasilkan produk sedemikian.

    “Selepas kajian dan analisis yang mendalam, kami telah membuat keputusan bersama untuk menghentikan program ini. Setiap syarikat kekal komited terhadap kemampuan dalam pasaran EV,” kata kedua-dua syarikat itu dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan.

    Honda dan GM batalkan pembangunan EV lebih murah

    “Selepas mengkajinya selama setahun, kami memutuskan bahawa ia agak sukar untuk dilaksanakan sebagai perniagaan, jadi pada masa ini kami menamatkan pembangunan EV mampu milik,” kata CEO Honda Toshihiro Mibe dalam satu wawancara bersama Bloomberg.

    Kerjasama Honda dan GM ini sebenarnya sudahpun menghasilkan Honda Prologue, iaitu SUV EV yang telah didedahkan pada Oktober tahun lalu dan dijadualkan untuk dijual bermula awal 2024.

    Prologue diasaskan dai platform EV modular Ultium dari GM yang datang bersama teknologi bateri, menampilkan dimensi panjang 4,877 mm, lebar 1,989 mm, tinggi 1,643 mm dan jarak roda sejauh 3,094 mm. Ia digerakkan dengan dua motor menghasilkan pacuan semua roda dengan kuasa keseluruhan 288 hp dan tork maksima 451 Nm.