Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Produksi enjin Wankel Rotary Mazda cecah 2 juta unit; dari Mazda Cosmo Sport 1967 hingga MX-30 R-EV 2023

    Produksi enjin Wankel Rotary Mazda cecah 2 juta unit; dari Mazda Cosmo Sport 1967 hingga MX-30 R-EV 2023

    Selepas berakhirnya produksi kereta sport Mazda RX-8 pada 2012, Mazda kini kembali memproduksi semula enjin Wankel Rotary menerusi penghasilan SUV hibrid Mazda MX-30 R-EV yang diperkenalkan pada awal tahun ini. Dengan kesinambungan ini, Mazda mengumumkan bahawa produksi enjin Wankel Rotary mereka kini sudahpun melebihi 2 juta unit!

    Paten asal enjin Wankel Rotary ini sebenarnya adalah milik Dr. Felix Wankel dari Jerman yang dibangunkan pada era 50’an. Namun ia berhadapan dengan beberapa masalah terutamanya masalah pelinciran pada bahagian apex seal di setiap bucu rotor yang menyebabkan enjin tersebut tidak dapat dikomersilkan, tetapi kemudiannya berjaya diselesaikan oleh jurutera Mazda.

    Tidak seperti enjin kitaran Otto biasa yang menggunakan omboh bagi menghasilkan putaran pada aci engkol, enjin rotary mengggunakan rotor berbentuk segi-tiga yang berputar dalam perumahnya bagi menyedut udara, menghasilkan mampatan dan letupan kuasa bagi menghasilkan putaran pada roda tenaga.

    Dengan rekaan tersebut membolehkan enjin rotary ini menghasilkan kuasa yang besar walaupun dengan kapasiti lebih kecil dari enjin pembakaran dalaman konvensional yang menggunakan omboh. Malah dengan rekaan yang kompak ia turut memberikan kelebihan terhadap prestasi sesebuah kereta itu secara keseluruhan seperti lebih ringan, titik graviti lebih rendah serta memberikan agihan berat hadapan dan belakang yang seimbang.

    Produksi enjin Wankel Rotary Mazda cecah 2 juta unit; dari Mazda Cosmo Sport 1967 hingga MX-30 R-EV 2023

    Mazda meletakkan enjin wankel rotary berkenaan buat pertama kali pada kereta sport pertamanya iaitu Mazda Cosmo Sport (dikenali juga sebagai 110S untuk pasaran eksport) yang dilancarkan secara rasmi di Jepun pada 30 Mei 1967. Cosmo Sport menjadi pencetus kepada model-model sport rotary Mazda yang lain selepas itu dengan Mazda R100 dan diikuti siri RX selepasnya iaitu Capella RX-2, RX-3, RX-4, SA22 RX-7, FC3S RX-7, FD3S RX-7, dan yang terakhir, RX-8.

    Ia dipertingkat dari masa ke masa dengan penambahan jumlah rotor dan juga pengecas turbo bagi meningkatkan kadar keberkesanan bahan api dan mengurangkan pelepasan karbon. Namun versi terakhir iaitu enjin Renesis 13B tanpa pengecas turbo dan paling efisien pernah dihasilkan masih terpaksa dihentikan pengeluarannya pada 2012 kerana tidak lagi mampu memenuhi piawaian emisi di Eropah.

    Tetapi untuk enjin Wankel Rotary generasi baharu yang digunakan pada MX-30 R-EV, peranan enjin Rotary ini telah pun berubah. Ia bukanlah enjin berkuasa tinggi seperti pada kereta-kereta sport RX terdahulu, sebaliknya ia berfungsi sebagai enjin penambah jarak dengan unit rangkaian kuasa yang dikenali sebagai e-Skyactiv R-EV.

    Dalam kata mudah, enjin rotary pada MX-30 ini berfungsi hanya untuk mengecas bateri bateri lithium-ion seperti “generator pasar malam”, sementara roda digerakkan sepenuhnya oleh motor elektrik. Oleh itu, MX-30 R-EV ini dibekalkan dengan enjin Wankel Rotary yang dikenali dengan kod 8C, berkapasiti 830 cc dan mampu menghasilkan 75 PS (74 hp atau 55 kW) tork maksima 116 Nm.

    Ia merupakan enjin rotary Mazda generasi baharu dan menggunakan sistem suntikan bahan api terus dan juga perumah rotor yang diperbuat dari aluminium, serta liang kemasukan dan port ekzos seperti enjin 13B Renesis pada Mazda RX-8 masih dikekalkan. Enjin 8C ini menerima apex seal yang lebih tebal dengan ukuran 2.5 mm bagi memanjangkan lagi jangka hayatnya.

    Enjin rotary ini masih diletakkan pada bahagian hadapan, sementara bateri lithium-ion dengan kapasti 17.8 kWj diletakkan pada bahagian bawah lantai. Manakala motor elektrik yang memacu roda hadapan pula mampu menghasilkan 170 PS (168 hp atau 125 kW) dan tork maksima 260 Nm – lebih berkuasa tetapi kurang tork berbanding MX-30 EV dengan motor 145 PS (143 hp atau 107 kW) dan 271 Nm.

    “Enjin rotary adalah bahagian istimewa dalam sejarah Mazda dan mewakili ‘semangat mencabar yang tiada henti’ kami. Enjin rotary sangat disukai oleh pelanggan di seluruh dunia, dan kami teruja untuk menyambung semula pengeluaran dan melihatnya kembali,” kata pengarah dan pegawai urusan eksekutif kanan Mazda, Takeshi Mukai.

    Produksi enjin Wankel Rotary Mazda cecah 2 juta unit; dari Mazda Cosmo Sport 1967 hingga MX-30 R-EV 2023

    “Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih yang tulus kepada semua pihak yang telah menyokong kami dalam perjalanan ini—khususnya, pelanggan-pelanggan yang telah membeli kenderaan enjin rotary, peminat enjin rotary kami, dan semua rakan kongsi perniagaan kami yang terlibat dalam pembangunan dan pengeluaran. Melangkah ke hadapan, kami akan terus meneruskan ‘semangat mencabar tanpa henti’ ini, menawarkan kenderaan menarik yang menyediakan kami pelanggan dengan pengalaman pemanduan yang menarik walaupun dalam zaman elektrik,” tambahnya lagi.

    Pada Japan Mobility Show 2023 yang berlangsung di Tokyo baru-baru ini, Mazda telahpun mendedahkan kereta sport konsep Mazda Iconic SP. Mazda memberitahu bahawa kereta konsep berkenaan menerima enjin rotary dua rotor dan juga motor EV menghasilkan kuasa keseluruhan 370 PS.

    Bagaimana sistem berkenaan beroperasi masih belum didedahkan, namun ia mungkin bayangan sebuah sebuah kereta sport RX generasi baharu Mazda kerana dihasilkan dengan banyak perincian diilhamkan dari Mazda RX-7 FD3S, seperti bentuk cermin belakang, pintu dan juga lampu hadapan jenis pop-up!

     
     
  • MyEG dapat lanjutan kontrak 3 tahun dengan JPJ

    MyEG dapat lanjutan kontrak 3 tahun dengan JPJ

    MY EG Services Bhd (MyEG) dan subsidiari milik penuhnya, MY EG Sdn Bhd (MYEGSB) telah mengumumkan lanjutan kontrak selama tiga tahun lagi dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Di mana Kontrak lanjutan itu bermula 23 Mei tahun ini sehingga 22 Mei 2026.

    Menurut MyEG, kedua-dua syarikat itu masing-masing menerima surat pelantikan daripada JPJ hari ini untuk mengesahkan kedua-duanya adalah ‘ejen pemungut bagi penyediaan perkhidmatan pendaftaran kenderaan, pelesenan pemandu dan kenderaan serta pembayaran elektronik perkhidmatan saman untuk tempoh tiga tahun’, laporan Bernama

    Tambahnya, anggaran nilai lanjutan itu akan bergantung pada bilangan transaksi yang dilakukan sepanjang tempoh itu.

    “Perjanjian mengenai lanjutan kontrak itu akan ditandatangani dan diumumkan oleh syarikat pada masa terdekat,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

    MyEG menambah bahawa lanjutan itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham syarikat untuk tahun kewangan 2023 dan seterusnya.

    Lanjutan kontrak tersebut bermakna bahawa pemilik kenderaan akan dapat memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu serta pembayaran saman trafik melalui platform MyEG sehingga 2026. Bagaimanapun, semasa pengumuman pada Mei lalu, MyEG tidak lagi menjadi penyedia eksklusif dalam segmennya, kerana kerajaan telah memutuskan untuk membuka peluang tersebut kepada penyedia perkhidmatan lain.

     
     
  • Honda SCe Concept buat penampilan di JMS 2023

    Honda SCe Concept buat penampilan di JMS 2023

    Semasa pameran Japan Mobility Show (JMS) yang masih lagi berlangsung di Tokyo, Jepun, Honda turut membawa sebuah motosikal elektrik konsep yang dipanggil sebagai SCe Concept. Ia masih lagi dipanggil oleh Honda sebagai sebuah prototaip, tetapi kelihatan seperti sudah bersedia untuk pasaran.

    Dalam siaran akhbar yang dikeluarkan oleh Honda, SCe Concept diberithau mempunyai dua bateri yang boleh dibawa keluar untuk dicas, dan mampu memberikan kelajuan serta jarak gerak yang baik. Spesifikasi sebenar bagaimanapun masih belum didedah.

    Seperti yang boleh dilihat dalam gambar, SCe Concept datang dengan kelengkapan seperti fork teleksopik, satu penyerap hentak di belakang, brek cakera hadapan, lampu LED dengan jalur DRL, pelantar kaki luas, meter digital besar serta tempat duduk yang boleh dinaiki dua orang.

    SCe Concept adalah satu daripada beberapa model konsep yang dibawa ke JMS 2023, seperti Sustaina-C, Pocket Concept, Prelude Concept dan CI-MEV, sambil memperlihatkan hala tuju Honda dengan penggerak elektrik pada masa hadapan.

     
     
  • Sistem PADU capai 72% siap, sasar laksana subsidi petrol dan diesel terlebih dahulu – Rafizi Ramli

    Sistem PADU capai 72% siap, sasar laksana subsidi petrol dan diesel terlebih dahulu – Rafizi Ramli

    Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mengesahkan Sistem Pengkalan Data Utama (PADU) setakat ini telah mencapai perkembangan 72% dan ia membabitkan gemblengan 29.8 juta data rentas kementerian serta agensi.

    Katanya, selepas pangkalan data itu siap kelak, proses penyaluran subsidi secara bersasar akan dilakukan secara adil kepada isi rumah yang dikenal pasti layak.

    “Saya faham dan saya pasti semua ahli dewan (rakyat) hargai bahawa adalah cukup penting untuk kita yakinkan rakyat serta juga sistem kerajaan bahawa PADU ini benar-benar boleh berlaku adil kepada penerima. Sebab kalau tidak yang ini akan bagi RM50, yang itu bagi RM100. Jadi orang yang dapat (bantuan) itu tercicir kiri kanan.

    “Ia tak ada kesan kepada keluarga sedangkan jumlah yang dibelanjakan oleh kerajaan itu berpuluh-puluh bilion ringgit. Jadi matlamat untuk memastikan kita mula menyatukan bentuk bantuan ini sebahagian dari langkah jangka masa sederhana kerajaan. Saya ingat kita kena melalui proses ini dulu iaitu kita sasarkan (penyaluran) subsidi untuk petrol dan diesel terlebih dahulu, untuk tengok PADU ini betul-betul berlaku adil kepada rakyat,” katanya.

    Sistem PADU capai 72% siap, sasar laksana subsidi petrol dan diesel terlebih dahulu – Rafizi Ramli

    Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2024 peringkat dasar bagi kementerian di Dewan Rakyat semalam, laporan Berita Harian.

    Tambahnya, mekanisme subsidi bersasar sepatutnya dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet pada dua minggu lalu, namun terpaksa ditangguhkan. Pembentangan itu tergendala kerana beliau dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan kerana mengalami serangan jantung.

    “Soal sama ada kerajaan sudah memutuskan mekanisme, ia sepatutnya dibentangkan dalam (mesyuarat) Jemaah Menteri dua minggu lalu. Tetapi saya di hospital. Jadi insya-Allah ia akan akan dibentangkan dan kerajaan akan membuat keputusan dalam masa terdekat,” katanya.

     
     
  • Kia Carnival 2024 didedahkan imej luaran – lampu utama menegak, enjin baharu 1.6L turbo hibrid

    Kia Carnival 2024 didedahkan imej luaran – lampu utama menegak, enjin baharu 1.6L turbo hibrid

    Kia Carnival facelift baharu telah pun didedahkan di Korea Selatan, dengan rekaan luaran baharu yang diinspirasikan dari SUV terkini keluaran jenama ini. Penambahbaikan diberikan selepas tiga tahun pengenalan model generasi keempat – yang masih berada di pasaran Malaysia yang diperkenalkan pada Jun 2020.

    Pada bahagian hadapan, wajah baharunya mirip Sorento facelift dan EV9 dengan rekaan lampu utama LED menegak. Lampu utama baharu ini disambungkan ke lampu nyalaan siang berbentuk-T yang dilanjutkan ke seksyen atas dengan gril yang diprofil semula, termasuk menampilkan kepingan melintang berbanding model pre-facelift dengan kemasan krom yang sarat.

    Untuk bahagian belakangnya, model facelift ini memperkenalkan set lampu baharu yang lebih kurang iras Seltos. Kluster direka semula dengan diposisikan pada sudut kenderana dan kini memiliki palang pencahayaan, dengan permukaan yang lebih ringkas (tiada lagi pemegang tailgate yang terbonjol) dan plat nombor pula ditempatkan lebih bawah berbanding sebelum ini.

    Roda aloi baharu juga diberikan dan pilihan palet warna yang kini ditambah dengan Ivory Silver, Snow White Pearl, Astra Blue, Aurora Black Pearl, Pantera Metal dan Ceramic Silver. Walau bagaimana pun, Kia masih belum mendedahkan ruangb dalamannya, namun dijangkakan ia mempunyai beberapa perubahan untuk kabinnya seiring dengan model terkini Kia yang lain.

    Kia juga menyatakan yang Carnival bakal menerima enjin 1.6 liter pengecas turbo hibrid sebagai salah satu pilihan penjana kuasa, selain enjin petrol dan turbodiesel sedia ada, tetapi masih tiada perincian mengenainya.

     
     
  • United E-Motor TX1800 dan TX3000 tiba di Malaysia

    United E-Motor TX1800 dan TX3000 tiba di Malaysia

    Menuruti pengumuman yang dibuat September lalu, motosikal elektrik United E-Motor dari Indonesia kini tiba di Malaysia, bermula dengan dua model iaitu TX1800 dan TX3000. Harga jualan model yang akan dipasang di Batu Kawan, Pulau Pinang ini bagaimanapun hanya akan diumum 24 Disember nanti.

    Sumber kuasa untuk dua skuter elektrik ini datang daripada batero lithium ion 60V 28 Ah yang boleh dicas sama ada di motosikal ataupun dibawa keluar, tetapi TX1800 hanya mendapat satu unit, sementara TX3000 menggunakan dua unit.

    Daripada bateri, kuasa tersebut disampaikan kepada motor elektrik 60V 2000W pada TX1800, menghasilkan 106 Nm pada 100 rpm dan laju maksimum 75 km/j, sementara TX3000 menggunakan motor 60V 4200W yang menghasilkan 146 Nm pada 125 rpm dan laju maksimum 90 km/j.

    Bateri dua skuter ini boleh dicas menggunakan sumber AC ataupun DC, dan memandangkan TX1800 datang dengan cuma satu unit, ia boleh dicas dengan lebih pantas, iaitu 0-80% dalam masa 1.5 jam menggunakan pengecas pantas DC, sementara TX3000 akan mengambil masa empat jam bagi tahap yang sama.

    Kelengkapan lain yang tersedia pada dua skuter ini adalah termasuk fork teleskopik, dua penyerap hentak di belakang, ruang simpanan bawah tempat duduk, rim 12 inci, meter digital LCD, soket USB serta lampu hadapan LED.

    Kedua-duanya juga dilengkapi dengan ciri sambungan bluetooth kepada telefon pintar, dan boleh mengeluarkan bunyi tiruan seakan motosikal biasa pada pembesar suara. Berat TX1800 adalah 98 kg manakala TX3000 mencatat 118 kg.

    GALERI: United E-Motor TX1800

    GALERI: United E-Motor TX3000

     
     
  • Kilang produksi tempat duduk Proton milik EPMB di buka di Tanjung Malim; kapasiti 150,000 set setahun

    Kilang produksi tempat duduk Proton milik EPMB di buka di Tanjung Malim; kapasiti 150,000 set setahun

    EP Manufacturing Berhad (EPMB) mengumumkan bahawa kilang penghasilan tempat duduk baharu miliknya di Tanjung Malim, Perak sudahpun beroperasi secara rasmi. Kilang berkenaan akan membekalkan tempat duduk kenderaan untuk jenama automotif nasional iaitu Proton.

    Pelancaran kilang tersebut disaksikan oleh YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, dan CEO Proton Dr Li Chunrong. Kesemua tempat duduk yang dihasilkan kilang ini bukan hanya akan dibekalkan untuk model-model keluaran Proton yang dijual di pasaran tempatan, malah untuk yang dieksport ke negara-negara ASEAN yang lain, dakwa EPMB.

    Kilang berkenaan dibangunkan dengan pelaburan lebih daripada RM30 juta, terletak hanya 2.5 kilometer dari kilang Proton di Tanjung Malim. Kawasan tersebut selepas ini turut akan dijadikan hab global untuk pengeluaran kenderaan
    tenaga baharu (NEV) yang sedang dibangunkan oleh dua pemegang saham utama Proton iaitu DRB- HICOM Berhad dan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) menerusi projek Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV).

    EPMB menyatakan kilang produksi baharu ini merupakan kilang pertamanya untuk tujuan pengeluaran tempat duduk kereta, dan mempunyai kapasiti awal untuk mengeluarkan 150,000 set tempat duduk kereta setiap tahun bagi memenuhi keperluan Proton untuk model-model akan datang.

    Ia adalah salah satu kerjasama pemindahan teknologi dalam ekosistem Proton yang melibatkan perkongsian teknikal antara EPMB dan pengeluar alat ganti kenderaan China Zhejiang Jujin Automobile & Motor-cycle Accessories Co., Ltd., yang kini membekalkan tempat duduk kereta kepada Geely.

    “Pembukaan kilang ini adalah langkah kritikal dalam kerjasama EPMB dengan Proton, yang telah berlangsung hampir empat dekad. Ini adalah kali pertama EPMB melibatkan diri dalam pengeluaran dan pemasangan tempat duduk, dan kami berasa berbesar hati kerana Proton memberi kami peluang ini,” kata CEO Kumpulang EPMB, Ahmad Razlan Mohamed.

    “Kami komited sepenuhnya kepada kejayaan Proton dalam mencapai sasaran mereka, serta pelan hala tuju Proton di pasaran NEV. Bagi EPMB pula, usaha ini akan membolehkan kami mempelbagaikan perniagaan kami daripada pengeluaran produk logam dan plastik, dan membuka aliran perniagaan baru dengan potensi pertumbuhan yang besar,” tambahnya lagi.

    EPMB merupakan sebuah syarikat yang tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia, sebelum ini sudahpun membekalkan pelbagai komponen bukan sahaja untuk Proton dan Perodua, malah untuk pelbagai jenama automotif lain yang menjalankan operasi pemasangan tempatan (CKD) di sini. Baru-baru ini EPMB turut mengumumkan projek pembangunan kilang baharunya di Pegoh, Melaka yang dibina untuk memasang kenderaan-kenderaan dari jenama BAIC dan Great Wall Motor.

     
     
  • Kalle Rovanperä dinobat juara dunia WRC 2023, pertahan gelaran buat kali kedua berturut-turut!

    Kalle Rovanperä dinobat juara dunia WRC 2023, pertahan gelaran buat kali kedua berturut-turut!

    Pemandu rali Finland yang baru berumur 23-tahun, Kalle Rovanperä sekali lagi ditabalkan sebagai juara Kejohanan Rali Dunia (WRC) untuk kali kedua berturut-turut, selepas menerima gelaran berkenaan tahun lalu dan mencatat rekod sebagai juara WRC paling muda dalam sejarah.

    Rovanperä yang masih memandu Toyota GR Yaris Rally1 untuk pasukan Toyota Gazoo Racing menghabiskan Central European Rally (CER) 2023, iaitu pusingan kedua terakhir dalam kalendar WRC tahun ini hanya di tempat kedua bagi mengesahkan kejuaraannya. CER 2023 ditamatkan pada hujung minggu lalu dengan kemenangan berpihak kepada pemandu Belgium dari pasukan Hyundai Motorsport, Thierry Neuville.

    Sebelum bermulanya CER 2023, Rovanperä telah pun mempunyai kelebihan 31-mata berbanding rakan sepasukannya dari Wales, Elfyn Evans. Walau bagaimanapun pertarungan antara pemandu Toyota itu berakhir seawal pagi Sabtu apabila Evans terlibat dalam kemalangan.

    Kalle Rovanperä dinobat juara dunia WRC 2023, pertahan gelaran buat kali kedua berturut-turut!

    “Saya berasa sangat baik,” kata Rovanperä. “Saya rasa tahun ini, bagi saya secara peribadi, lebih penting daripada tahun lepas. Persaingan lebih sengit, dan kami melakukan kerja yang sangat baik. Setinggi-tinggi terima kasih sudah tentu ditujukan kepada Jonne – dia juga juruarah terbaik dunia. Saya akan menikmati yang ini lebih daripada yang pertama.”

    Secara keseluruhan Rovanperä mengutip 235 mata untuk dinobatkan sebagai juara tanpa boleh dicabar oleh Evans yang berada di tempat kedua dengan 191 mata dengan berbaki satu lagi pusingan untuk WRC 2023, iaitu di Rally Japan bulan hadapan. Neuville pula berada di kedudukan ketiga dengan mengutip 184 mata setakat ini.

    Tiada sebarang pertempuran untuk merebut gelaran di Rally Japan yang bermula 16 hingga 19 November nanti nampaknya kerana juara WRC untuk kategori pengeluar juga sudah sah milik Toyota di Rally Chile 2023 awal bulan ini. Ini membolehkan gergasi automotif Jepun berkenaan mempertahankan gelaran tersebut sejak 2021, dan yang ketujuh termasuk yang dirangkul pada 1993, 1994, 1999, dan 2018. Menang besar lagi Toyota tahun ini!

     
     
  • Proton, Gentari perkenal pengecas DC 100 kW di COE

    Proton, Gentari perkenal pengecas DC 100 kW di COE

    Sebagai persediaan pelancaran smart #1 dalam masa terdekat, Proton dengan kerjasama Gentari umumkan pengenalan pengecas pantas DC 100 kW di Pusat Kecemerlangan Proton (CoE) yang terletak di Lebuhraya Kesas. Kemudahan itu, yang dipasang di medan kereta pelanggan di luar bilik pameran Kristal Proton adalah terbuka untuk kegunaan semua pelanggan EV, tidak kira jenama.

    “Dengan kemasukan ke pasaran EV Malaysia melalui smart Malaysia tidak lama lagi, sekarang adalah masa yang terbaik untuk Proton mengambil satu lagi langkah positif di dalam segmen yang makin berkembang ini. Kami beruntung mempunyai rakan niaga yang dinamik seperti Gentari, yang telah memasang pengecas DC pertama di lokasi ibu pejabat kami, dan kami teruja untuk teruskan kerjasama ini untuk rangkaian pengedar kami pula selepas ini,” ujar Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah.

    Perkembangan ini adalah susulan daripada MoU antara Gentari dan sub-jenama di bawah Proton, Pro-Net pada Oktober tahun lalu, dengan perancangan untuk Pro-Net menyediakan lokasi dan kemudahan kuasa untuk pengecas DC, sementara Gentari bertanggungjawab untuk prasarana pengecasan dan penyelesaian operasi.

    Menurut Proton, lima pengecas tambahan DC Gentari dijangka akan dipasang menjelang penghujung 2023 sebagai sebahagian daripada fasa pertama program berkenaan, dengan sasaran 20 pengedar untuk dipasangkan pengecas. Sebagai tambahan, empat pengedar smart Malaysia juga telah dipasangkan pengecas DC daripada penyedia lain menjelang pelancaran smart #1.

     
     
  • Jualan EV global menurun: “sekarang baru orang nampak realiti EV” kata Pengerusi Toyota, Akio Toyoda

    Jualan EV global menurun: “sekarang baru orang nampak realiti EV” kata Pengerusi Toyota, Akio Toyoda

    Ketika memegang jawatan Presiden dan CEO Toyota sebelum ini, Akio Toyoda sering dikritik oleh pelbagai pihak kerana seolah-olah melambatkan pembangunan model-model EV syarikatnya. Namun Toyoda ada alasannya tersendiri kerana beliau nampak ada pelbagai cara untuk mencapai sasaran neutral karbon selain dari EV, contohnya seperti teknologi hibrid dan juga hidrogen.

    Dan jelas, laporan Wall Street Journal seperti yang dipetik oleh Carscoop menyebut bahawa jualan EV yang bertumbuh 63% pada tahun lalu kini sudah perlahan kepada 49% tahun ini. Perkembangan itu telah menyebabkan pengeluar-pengeluar automotif Amerika Syarikat yang terlibat dengan EV seperti GM dan Ford kini terjejas serta memperlahankan produksi model-model trak pikap EV mereka.

    “Ada pelbagai cara untuk mendaki gunung bagi mencapai keneutralan karbon,” kata Akio Toyoda yang kini merupakan pengerusi Toyota kepada wartawan ketika berlangsungnya Japan Mobility Show (JMS) 2023 minggu lalu. Beliau turut menambah apa yang terjadi di Amerika Syarikat buat masa sekarang menunjukkan bahawa pendekatan yang dibuat oleh Toyota terhadap EV adalah betul.

    Toyoda juga mendakwa ini turut membuktikan bahawa “jika peraturan dibuat berdasarkan cita-cita, yang akan menderita adalah pengguna biasa”.

    Jualan EV global menurun: “sekarang baru orang nampak realiti EV” kata Pengerusi Toyota, Akio Toyoda

    Minggu lalu juga presiden dan CEO Toyota Motor Asia Pacific (TMAP) Hao Quoc Tien turut menyatakan perkara yang sama kepada media dalam sesi pra-taklimat sebelum bermulanya JMS 2023. Menurut Hao sekiranya Toyota terus menumpukan kepada teknologi EV, ia akan menyebabkan negara-negara Asia Tenggara termasuk Malaysia yang lambat untuk membangunkan fasiliti mengecas tertinggal lebih jauh.

    Hao menyatakan bahawa Toyota kini sedang berusaha keras untuk mengurangkan kadar pelepasan karbon menggunakan pelbagai teknologi untuk jualan bukan EVnya, dengan apa langkah yang digelar pendekatan pelbagai-cara kearah kemampanan. Syarikat itu yakin bahawa setiap teknologi mempunyai peranannya dalam membantu mengurangkan pelepasan karbon.

    Pelbagai teknologi yang dimaksudkan adalah termasuk enjin pembakaran dalaman (seperti petrol dan diesel), bahan bakar-bio gas asli termampat (CNG), kenderaan elektrik hibrid (HEV, atau sistem hibrid konvensional), kenderaan hibrid plug-in (PHEV, atau model hibrid dengan bateri lebih besar dan boleh dicas seperti EV), kenderaan elektrik bateri (BEV atau EV), serta kenderaan elektrik sel bahan api hidrogen (FCEV).

     
     
  • Modenas Z250 ABS, Z650 ABS; Kawasaki Versys 1000 SE, Ninja 1000SX terima warna baru untuk 2024

    Modenas Z250 ABS, Z650 ABS; Kawasaki Versys 1000 SE, Ninja 1000SX terima warna baru untuk 2024

    Edaran Modenas Sdn Bhd hari ini memperkenalkan warna baru untuk beberapa model di bawah edarannya iaitu Modenas Z250 ABS, Modenas Z650 ABS, Kawasaki Versys 1000 SE dan Kawasaki Ninja 1000SX. Model dengan penampilan baru ini sudah mula berada di wakil pengedar rasmi Modenas dan Kawasaki seluruh Malaysia.

    Bermula dengan model paling kecil, Z250 ABS, warna baru ini nampak lebih gelap dengan kebanyakan bahagian dicat kelabu dan warna hijau kini digunakan pada kerangka (sebelum ini warna hitam) serta sedikit jalur pada panel tepi. Harganya sekarang adalah RM20,600 (RM19,500 semasa dilancarkan pada Julai 2022).

    Pergi pula kepada satu lagi model naked, iaitu Modenas Z650 ABS, warna baru ini menjadikannya lebih menyerlah dengan panel tepi, kerangka serta rim yang berwarna merah. Harganya naik RM700, menjadi RM35,900, berbanding RM35,200 pada waktu dilancarkan Julai lalu.

    Dua model yang lebih besar, iaitu Versys 1000 SE dan Ninja 1000SX kini hadir dengan warna hampir serupa, kebanyakannya berwarna hitam dan sedikit kemasan hijau pada panel tepi dan depan, dijual pada harga masing-masing RM81,900 dan RM71,400.

    Selain penyegaran semula penampilan ini, spesifikasi teknikal semua model baru yang dinamakan sebagai model tahun 2024 ini tidak berubah dan ia masih sama seperti sebelum ini. Setiap motosikal didatangkan dengan jaminan dua tahun tanpa had batuan.

     
     
  • Jambatan Pulau Pinang dan JSAHMS tidak retak – LLM

    Jambatan Pulau Pinang dan JSAHMS tidak retak – LLM

    Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengeluarkan kenyataan bahawa berita mengenai keretakan pada Jambatan Pulau Pinang (JPP) dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) di Pulau Pinang adalah palsu.

    Menurut LLM, hasil siasatan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) mendapati kejadian berkenaan tidak berlaku di mana-mana struktur JPP dan JSAHMS.

    “Keretakan tersebut tidak berlaku di JPP dan JSAHMS. Video yang telah lama tular tersebut tidak berlaku di Malaysia. Pihak JKSB juga telah membuat laporan polis berhubung dakwaan palsu tersebut.

    “KKR dan LLM menasihatkan semua pihak supaya tidak berkongsi maklumat yang tidak sahih bagi mengelakkan salah faham dan kebimbangan rakyat Malaysia terutamanya pengguna JPP dan JSAHMS,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh LLM.

    Jambatan Pulau Pinang dan JSAHMS tidak retak – LLM

    Semalam, Kerajaan negeri Pulau Pinang turut menafikan dakwaan berita tersebut. Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Pembangunan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata pihaknya membuat semakan bersama JKSB dan mendapati insiden keretakan jambatan seperti ditularkan berlaku di luar negara pada 2014.

    Beliau turut berkata, pihaknya berharap video tersebut tidak lagi ditularkan sehingga menimbulkan ketakutan kepada masyarakat umum.

    Kelmarin, video tular yang memaparkan sebuah jambatan didakwa JSAHMS yang dikatakan mengalami keretakan itu telah disebarkan bersama mesej memberi amaran kepada pengguna supaya berhati-hati.

    Sekali lagi, tolong jangan kongsi berita atau sebarang maklumat yang tidak sahih. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) acapkali memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat palsu menerusi SMS atau media sosial kerana ia adalah kesalahan di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Jika didapati bersalah, mereka boleh disaman tidak lebih RM50,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

     
     
  • Zeekr 001 FR dilancar di China – RM500k, lebih murah dari Tesla Model S Plaid, 1,300 PS, 0-100km/h 2.37s!

    Zeekr 001 FR dilancar di China – RM500k, lebih murah dari Tesla Model S Plaid, 1,300 PS, 0-100km/h 2.37s!

    Selepas didedahkan September lalu, Zeekr 001 FR iaitu versi yang lebih fokus untuk pemanduan litar untuk Shooting Brake EV Zeekr 001 kini secara rasminya dilancarkan untuk pasaran China. Model yang disifatkan sebagah “EV paling pantas di dunia” oleh divisi EV mewah Geely ini dijual pada harga bermula 769,000 yuan (RM500k), dilancarkan oleh juara F1 2007 Kimi Räikkönen yang kini merupakan ketua penasihat prestasi untuk Zeekr.

    Ini bermakna Zeekr 001 FR ini dijual lebih murah berbanding seteru utamanya iaitu sedan EV prestasi Tesla Model S Plaid berkuasa 1,020 hp yang dijual pada harga 828,900 yuan (RM540k) di negara berkenaan. Bukan sahaja lebih murah, malah ia juga menampilkan kuasa yang lebih besar dari Model S Plaid.

    Secara spesifiknya, Zeekr 001 FR ini dipadankan dengan empat motor elektrik (berbanding hanya tiga pada Model S Plaid), memberikan kuasa keseluruhan 1,265 PS. Sebagai perbandingan, versi paling berkuasa Zeekr 001 sebelum ini dengan hanya dua motor elektrik dibekalkan dengan kuasa 544 PS dan tork maksima 768 Nm.

    Zeekr 001 FR dilancar di China – RM500k, lebih murah dari Tesla Model S Plaid, 1,300 PS, 0-100km/h 2.37s!

    Dengan bekalan kuasa tersebut, Zeekr 001 FR ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 2.37 saat (2.07 jika bermula dengan rolling start), dan mampu mencapai kelajuan maksima 280 km/j. Tak cukup dengan itu, ketika model ini dilancarkan Zeekr turut mengumumkan 001 FR turut menampilkan “mod Raikkonen” membolehkan kuasa keseluruhan 1,300 PS dilepaskan. Walau bagaimanapun, mod ini hanya akan boleh digunakan menerusi kemaskini on-the-air yang akan disediakan selepas ini.

    Tidak seperti Zeekr 001 AWD biasa yang diberikan hanya dua motor iaitu dibekalkan pada setiap gandar, konfigurasi pacuan pada Zeekr 001 FR ini adalah dua motor elektrik pada gandar hadapan dan dua lagi berada pada gandar belakang, di mana setiap motor berkenaan memacu hanya satu roda. Dengan setiap motor memacu setiap roda secara bebas, Zeekr 001 FR ini boleh membuat pusingan seakan sebuah kereta kebal.

    Setiap motor pada gandar hadapan menghasilkan kuasa 155 kW (211 PS), atau 422 PS secara keseluruhan. Manakala setiap motor pada gandar belakang pula menghasilkan kuasa (310 kW) 421 PS atau 842 PS secara keselurahan. Jadi walaupun Zeekr 001 FR ini adalah jentera AWD, ia sebenarnya lebih bersifat seperti kereta pacuan roda belakang dengan agihan tork diuruskan oleh perisian Zeekr Vectoring Control.

    Zeekr 001 FR dilancar di China – RM500k, lebih murah dari Tesla Model S Plaid, 1,300 PS, 0-100km/h 2.37s!

    Zeekr turut menyatakan bahawa ketika kereta ini membuat pusingan kereta kebal, tork puncak yang boleh dicapai pada roda mencecah 10,000 Nm, dan motor pada gandar belakang menggunakan gentian karbon bagi membalut rotor serta jumlah ketumpatan kuasa yang dicatatkan adalah 4.4W/kg

    Motor-motor elektrik berkenaan menerima bekalan kuasa dari bateri CATL Qilin berkapasiti 100 kWj. Dengan asas sistem elektrik 800V, bateri berkenaan boleh dipenuhkan dari 10% hingga 80% dalam masa 15 minit. Dengan satu cas penuh, Zeekr 001 FR ini boleh bergerak sejauh 550 km berdasarkan kitaran CLTC. Untuk pemanduan litar, kereta ini turut dibekalkan dengan sistem Heat Pump 2.0 bagi membolehkan suhu bateri dikekalkan walaupun ia sedang dibelasah semahunya.

    Dengan unit rangkaian kuasa yang lebih buas, Zeekr 001 FR ini menerima sistem brek dari AP Racing menampilkan angkup 10-omboh di hadapan dan empat omboh di belakang, digandingkan dengan cakera karbon seramik dari Brembo. Ia turut diberikan set roda dengan rim aloi forged 22-inci yang dibalut tayar litar Giti GTR2 bersaiz 265/40R22 di hadapan dan 295/40R22 di belakang. Manakala untuk suspensi, 001 FR ini dilengkapi dengan suspensi prestasi tinggi keluaran KW.

    Zeekr 001 FR dilancar di China – RM500k, lebih murah dari Tesla Model S Plaid, 1,300 PS, 0-100km/h 2.37s!

    Selain itu Zeekr 001 FR ini juga menerima kit aero yang diperbuat dari bahan gentian karbon yang didakwa dapat menampung daya sisi sehingga 1.4G. Kit tersebut termasuk spoiler pada bawah bampar hadapan, skirt sisi dan spoiler belakang. Bumbung logam kereta ini juga telah ditukar menggunakan gentian karbon bagi mengurangkan beratnya.

    Pada sebelah dalam, Zeekr 001 FR ini menerima tempat duduk hadapan sport, upholsteri Alcantara dan juga kemasan-kemasan berwarna merah. Pemandu diberikan paparan instrumen dengan skrin 8.8-inci, manakala untuk infotainmen dan kawalan-kawalan lain ia diberikan skrin utama 15.5-inci.

    Model ini juga menerima telefon dan sistem navigasi satelit yang menggunakan satelit Geely iaitu GeeSAT 1 yang telah dilancarkan ke orbit bermula Jun tahun lalu. Manakala untuk sistem infotainmen, Zeek 01 menggunakan sistem Zeekr OS 5.0. Ia juga menerima sistem pemanduan separa autonomi ala-sistem Tesla Autopilot yang digelar NZP (Navigation Zeekr Pilot).

    Menurut Zeekr model ini hanya akan diproduksi sebanyak 99 unit sebulan, dan setiap pembeli akan diberikan latihan pemanduan khas untuk memandu kereta ini.



     
     
  • Alami cara baharu menempah kereta idaman anda di Mercedes-Benz Store — jaminan harga terbaik

    Alami cara baharu menempah kereta idaman anda di Mercedes-Benz Store — jaminan harga terbaik

    Adakah anda sudah bersedia untuk menempah kereta idaman anda yang seterusnya secara dalam talian? Mercedes-Benz Malaysia sememangnya sudah, melalui Mercedes-Benz Store yang kini sudah di dalam talian. Ianya cara mudah untuk membeli dan memilih Mercedes-Benz baharu anda — ringkas sepenuhnya, dengan jaminan tawaran menarik di seluruh negara.

    Masa selalu amat berharga, jadi untuk mencari cara melakukan sesuatu perkara dengan mudah, baik dan lebih pantas adalah sangat penting. Dengan Mercedes-Benz Store, anda kini boleh menempah kereta baharu Mercedes-Benz pada bila-bila masa, di mana juga dengan jaminan harga terbaik di seluruh negara.

    Hanya dengan satu klik mudah, anda akan diberikan akses kepada setiap satu model Mercedes-Benz yang ada di seluruh negara. Dengan serta-merta, anda boleh mengetahui adakah model yang anda inginkan — termasuk gandingan warna dalaman dan luaran kegemaran — tersedia pada bila-bila masa. Ini tentunya lebih baik daripada terpaksa berkunjung dari satu bilik pameran ke bilik pameran lain untuk bertanyakan tentang stok yang tersedia.

    Semua ketelusan ini tentang ketersediaan stok di seluruh negara serta harga yang standard untuk semua akan menjadikan pengalaman pembelian anda cukup mudah dan bermakna. Tidak perlu lagi meninjau terlebih dahulu untuk mengetahui tawaran mana yang terbaik, kerana anda sudah diberi jaminan untuk harga terbaik dari awal. Lebih mudah, kan?

    Bahkan jika anda belum pasti model mana yang ingin dipilih, Mercedes-Benz Store boleh membantu untuk membuat keputusan penting itu. Anda boleh memilih dua model berbeza untuk dibandingkan, dengan semua perincian penting dipaparkan untuk pertimbangan anda. Ia sangat mudah dicapai dan sangat-sangat membantu.

    Sebagai pilihan, ada juga beberapa model yang khusus untuk dalam talian sahaja di Mercedes-Benz Store — model khusus yang hanya boleh ditempah dalam talian. Jadi periksa inventori semasa yang ada, mungkin ada kejutan untuk anda.

    Keselesaan bermula dari rumah, dalam talian atau di bilik pameran. Alami cara baharu untuk menempah kereta idaman anda di Mercedes-Benz Store hari ini.

     
     
  • Rapid KL sediakan perkhidmatan bas ke SIC untuk Petronas Grand Prix of Malaysia 2023 pada 10-12 Nov

    Rapid KL sediakan perkhidmatan bas ke SIC untuk Petronas Grand Prix of Malaysia 2023  pada 10-12 Nov

    Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus), selaku pengendali perkhidmatan pengangkutan bas Rapid KL dan perantara LRT serta MRT, sekali lagi telah dilantik sebagai penyedia rasmi perkhidmatan bas bagi acara sukan berprestij Petronas Grand Prix of Malaysia 2023 yang bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 10 hingga 12 November 2023.

    “Rapid KL akan menyediakan perkhidmatan bas tersebut dari tiga lokasi iaitu Pasar Seni serta KLCC yang mana kedua-dua lokasi ini dihubungkan dengan rangkaian pengangkutan rel Rapid KL, dan Hub Bus KLIA 2 khusus untuk mereka yang menggunakan perkhidmatan udara ke Malaysia untuk menyaksikan acara sukan permotoran ini,” kata Rapid KL.

    Klik untuk besarkan

    Menurut Rapid KL, kaunter pembelian tiket telah pun mula dibuka sejak 25 Oktober lalu di Stesen LRT KLCC, KL Sentral, Masjid Jamek, dan Pasar Seni, di kaunter kad konsesi MyRapid Pasar Seni, di Kaunter 10 Aras 1 Hab Pengangkutan Gateaway KLIA 2, dan secara dalam talian di laman shop.myrapid.com.my.

    Harga tiket bagi sehala ialah RM20 dan dua hala RM35 sekiranya dari Pasar Seni atau KLCC, manakala RM12 sehala jika dari KLIA 2. Bas pertama akan berlepas jam 8 pagi dan terakhir jam 1 tengahari. Manakala bas pertama berlepas pulang jam 4 petang dan terakhir jam 7 malam. Kekerapan bas pula setiap 30 minit.

    “Rapid KL juga akan menyediakan perkhidmatan bas perantara percuma di dalam kawasan SIC ketika berlangsungnya Petronas Grand Prix Malaysia 2023 pada tarikh berkenaan,” tambahnya.

     
     
  • Kawasaki Ninja ZX-10R, ZX-4RR 40th Anniversary Edition dipamer di JMS 2023, grafik popular 90-an

    Kawasaki Ninja ZX-10R, ZX-4RR 40th Anniversary Edition dipamer di JMS 2023, grafik popular 90-an

    Japan Mobility Show yang masih lagi berlangsung di Tokyo, Jepun menyaksikan penyertaan bukan sahaja pengeluar kereta, tetapi motosikal seperti Kawasaki, yang membawa antara yang istimewa, ZX-10R dan ZX-4RR 40th Anniversary Edition.

    Model yang dibuat khas untuk sambutan ulang tahun ke-40 nama Ninja ini menggunakan corak warna khas hijau, putih dan biru, yang diambil daripada ZXR-750 tahun 80-an dan turut dipopularkan oleh ZX-7RR yang digunakan dalam perlumbaan.

    Selain corak warna khas serta logo sambutan ulang tahun yang dilekatkan pada beberapa bahagian tertentu termasuk tangki, dua motosikal edisi khas ini turut menerima kerangka yang dicat warna perak, menampakkan ia seperti dibuat daripada aluminium, berbeza dengan unit standard yang menggunakan warna hitam.

    Tertulis sebagai model tahun 2024, Kawasaki memberitahu model ini tidak akan melibatkan sebarang perubahan teknikal, dan ia akan masih sama seperti versi standard. Bila ia akan memasuki pasaran bagaimanapun masih belum didedahkan.

    Sebagai makluman, ZX-10R adalah sebuah motosikal yang menggunakan enjin empat silinder 998 cc dengan kuasa 203 PS dan tork 114.9 Nm, sementara ZX-4RR pula menggunakan enjin empat silinder 399 cc, dengan kuasa 77 PS dan tork 39 Nm.

    GALERI: Kawasaki ZX-4RR 40th Anniversary Edition


    GALERI: Kawasaki ZX-4RR 40th Anniversary Edition

     
     
  • Suzuki Cars Malaysia lancar pusat 3S pertama di Johor

    Suzuki Cars Malaysia lancar pusat 3S pertama di Johor

    Baru-baru ini Naza Eastern Motors telah melancarkan pusat 3S Suzuki yang pertama di Johor, yang terletak di Permas Jaya. Pembukaan fasiliti baharu ini, serentak dengan pelancaran Swift Sport Silver Edition, turut menyaksikan pengenalan Suzuki Lifestyle Corner, ruang khas untuk peminat Suzuki.

    Suzuki Lifestyle Corner membolehkan para pemiliknya ‘menyuaipadankan’ Jimny atau Swift Sport mereka dengan pelbagai aksesori dan cenderahati rasmi Suzuki. Dengan kawasan seluas 7,252 kaki persegi, fasiliti ini menempatkan ruang pameran yang boleh mempamerkan sehingga enam unit kenderaan, serta pusat servis yang boleh mengendalikan sehingga 12 kenderaan sehari.

    “Kami telah memulakan perjalanan untuk mencipta ruang yang benar-benar memenuhi semangat Suzuki, direka dengan teliti untuk memberikan pelanggan kami yang dihargai pengalaman yang benar-benar mengasyikkan.

    “Pusat 3S di Permas Jaya bersedia untuk menjadi rumah kedua bagi keluarga Suzuki Cars di Johor, mencerminkan persekitaran mesra dan mesra bilik pameran Petaling Jaya,” kata Mohamad Irwan Shahril, Ketua Pegawai Eksekutif Naza Eastern Motors.

     
     
  • Suzuki Swift Sport Silver Edition dilancar – terhad hanya di Malaysia, tip ekzos Akrapovic, RM145,900

    Suzuki Swift Sport Silver Edition dilancar – terhad hanya di Malaysia, tip ekzos Akrapovic, RM145,900

    Pengedar Suzuki di Malaysia, Naza Eastern Motors (Naza) kini memperkenalkan model edisi terhad hot-hatch Suzuki Swift Sport Silver Edition, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM145,900. Walaupun harganya masih sama seperti versi biasa, model yang diproduksi di Jepun (CBU) tetapi hanya ditawarkan khas di Malaysia ini menerima beberapa kemasan penggayaan yang lebih agresif dan sistem infotainmen lebih baik.

    Seperti namanya, model ini hanya datang dengan warna badan Premium Metallic Silver, dan kemudiannya diberikan pelekat hitam dengan corak gentian karbon pada bahagian bawah sisi badan dan jalur berkembar pada penutup bonet hadapan. Ia turut menerima serlahan jalur merah disekelilig gril hadapan dan kemasan diffuser di belakang.

    Dan paling menarik, penutup cermin sisi, kemasan pada pintu belakang dan tiang C serta spoiler bumbung semuanya diperbuat dari gentian karbon sebenar. Tip ekzos berkembar asal juga sudah ditukar dengan tip kemasan gentian karbon dari Akrapovic.

    Suzuki Swift Sport Silver Edition dilancar – terhad hanya di Malaysia, tip ekzos Akrapovic, RM145,900

    Kemasan-kemasan ala-gentian karbon turut dapat dilihat pada bahagian kabin iaitu pada papan pemuka (pada bahagian tengah, panel suis penghawa dingin dan panel instrumen) dan juga perumah suis cermin tingkap pada keempat-empat pintu. Swift Sport Silver Edition ini juga menerima set karpet kaki dengan serlahan merah dan skrin infotainmen 10-inci dari Soundstream menggantikan skrin 7-inci pada model biasa.

    Perincian lain masih lagi sama dimana ia dijana oleh enjin K14C 1.4 liter turbo Boosterjet berkuasa 140 hp pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 230 Nm bermula 2,500 hingga 3,500 rpm, ditawarkan hanya dengan kotak gear automatik enam-kelajuan.

    Dengan menggunakan platform Heartect sebagai asas, Swift Sport ini dihasilkan 80 kg lebih ringan dari model generasi sebelumnya dengan berat hanya 970 kg. Ini membolehkan ia mencapai nisbah tork kepada berat sekitar 4.2 kg/Nm, sekaligus pecutan 0-100 km/j dapat dicapai dalam masa 8 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 205 km/j.

    Suzuki Swift Sport Silver Edition dilancar – terhad hanya di Malaysia, tip ekzos Akrapovic, RM145,900

    Untuk kelengkapan luaran, model pasaran Malaysia ini menerima perincian seperti lampu hadapan automatik dengan projektor LED, lampu kabus hadapan halogen, kemasan seakan karbon pada spoiler bampar hadapan, skirt sisi dan diffuser bampar belakang, sistem kunci pintar, kamera undur, pembuka but belakang elektromagnetik dan juga rim aloi 16-inci dengan tayar Yokohama Advan A13 195/50R16.

    Pada bahagian dalaman pula pembeli Swift Sport di Malaysia menerima tempat duduk separa bucket dan roda stereng rata di bawah dengan upholsteri kulit dan serlahan benang merah, kemasan-kemasan serlahan merah-hitam pada panel pintu dan papan pemuka, serta set pedal aluminium.

    Perincian lain yang turut dibekalkan termasuk cruise control, tuil brek tangan manual, panel instrumen analog dengan takometer latar belakang merah, skrin MID ditengah yang turut memberikan bacaan boost turbo dan daya G-Force, butang penghidup enjin, enam pembesar suara dan juga sistem pendingin hawa automatik.

    Bagi sistem keselamatan pula, Suzuki Swift Sport dibekalkan dengan enam beg-udara, cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix, penderia parkir belakang, Hill Hold Assist, sistem brek ABS, EBD dan EBA, serta Program Kestabilan Elektronik (ESP). Setiap pembelian model ini menerima perlindungan waranti pengeluar selama tiga tahun atau 100,000 km

     
     
  • Proton X50 R3 – harga diumum RM125,300, rim 18-inci ringan, kit aero R3, warna Satin Black, hanya 200-unit

    Proton X50 R3 – harga diumum RM125,300, rim 18-inci ringan, kit aero R3, warna Satin Black, hanya 200-unit

    Proton hari ini secara rasmi mengumumkan harga untuk model edisi terhad X50 R3 yang dihasilkan sempena ulangtahun ke-20 sayap perlumbaan dan talaan rasminya itu. Model ini dihasilkan hanya 200-unit diasaskan dari varian tertinggi X50 1.5 T-GDi Flagship.

    Bagi menghasilkan model edisi terhad ini, ia menerima pakej pengayaan dari R3 yang bernilai RM12,000. Jadi harga atas jalan tanpa insuran rasmi untuk Proton X50 R3 ini adalah RM125,300, berbanding X50 Flagship biasa yang dijual pada harga RM113,300.

    Model istimewa ini sudahpun didedahkan buat pertama kali pada Mei lalu, ketika itu ia masih dalam bentuk konsep. Manakala versi yang didedahkan hari ini di Pusat Kecemerlangan Proton (CoE) sempena Karnival X50 adalah versi sebenar yang akan diterima oleh pelanggan.

    Proton X50 R3 – harga diumum RM125,300, rim 18-inci ringan, kit aero R3, warna Satin Black, hanya 200-unit

    Semua unit X50 R3 ini keluar dari kilang dengan warna badan asal Jet Grey, dan kemudian ia dibalut sepenuhnya dengan pelekat badan berwarna Satin Black, serta diberikan kit-kit aerodinamik istimewa. Logo R3 dilekat pada gril, manakala di bawah bampar hadapan, spoiler dagu asal X50 menerima satu lapisan sayap khas – ia direka dengan konsep asli R3 seperti pada Satria Neo R3 sebelum ini, bersama tiga bilah ‘taring’ di tengah.

    Bahagian bawah sisi turut diberikan skirt yang juga direka seakan sayap bagi disesuaikan dengan spoiler hadapan. Bampar belakang masih nampak sama, namun bahagian atas dan juga kemasan diffuser di bawah diasingkan dengan kemasan jalur yang lebih menyerlah.

    Manakala di pintu hatch belakang, ia menerima emblem ‘R3 Limited Editon’ dan spoiler asal X50 yang bersaiz kecil diganti dengan unit sayap berkembar yang lebih besar serta diberikan kemasan gentian karbon – spoiler ini kelihatan seiras dengan spoiler ‘S’ untuk Geely Binyue pasaran China.

    Wajib untuk model-model R3 adalah serlahan-serlahan kuning pada badan, iaitu warna rasmi perlumbaan untuk jentera lumba dari Malaysia. Serlahan kuning berkenaan diberikan pada spoiler depan, skirt sisi, jalur kemasan bampar belakang, kemasan busur panah pada gril (biasanya merah pada X50 standard), jalur pada penutup cermin sisi dan juga jalur pelekat pada bonet hadapan.

    Penampilan model istimewa ini dilengkapkan dengan rim aloi yang dihasilkan secara flow formed 18-inci lima jejari berkembar yang sekitar 2 kg lebih ringan dari rim asal X50. Rim berkenaan menerima kemasan hitam berkilat serta diukir dengan logo R3 pada bahagian bibir dan di penutup tengah.

    Ada beberapa perubahan bahagian luar untuk versi sebenar ini berbanding versi konsep sebelum ini antaranya ia tidak direndahkan dengan spring sport, dan rim pada versi konsep sebelum ini hanya diberikan pelekat ‘Race Rally Research’ pada bibir rim.

    Manakala pada sebelah dalam emblem R3 Limited Edition, set karpet kaki R3 dan juga sulaman logo R3 pada perehat kepala tempat duduk hadapan masih dikekalkan dari versi konsep kepada model produksi sebenar ini. Namun set pedal aloi yang dilihat sebelum ini tidak diberikan.

    Pakej aksesori R3 ini turut disertakan dengan filem penapis haba untuk cermin tingkap dan bumbung panaromik. Lain-lain perincian dari varian Flagship masih dikekalkan pada X50 R3 ini, termasuk enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus meghasilkan 177 PS dan tork maksima 255 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac automatik berkembar tujuh-kelajuan 7DCT.

    Kami difahamkan sekitar 180 unit Proton X50 R3 ini telah ditempah dengan bayaran deposit ketika berlangsungnya Malaysia Autoshow 2023 Mac lalu, dan kini ada baki sekitar 20 unit lagi untuk direbut. Penghantaran pertama untuk pelanggan terawal yang menempah model ini akan bermula bulan hadapan.

    GALERI: Proton X50 R3 Concept

     
     
  • Nissan Fairlady Z RZ34 Liberty Walk – kit badan lebar ala-Fairlady 240ZG, rim ‘pisang’ RS Watanabe R-Type!

    Nissan Fairlady Z RZ34 Liberty Walk – kit badan lebar ala-Fairlady 240ZG, rim ‘pisang’ RS Watanabe R-Type!

    Nissan Z generasi baharu (atau masih dikenali sebagai Fairlady Z untuk pasaran domestik Jepun) dengan kod casis RZ34 seperti yang diketahui menampilkan rupa retro diinspirasikan dari model generasi pertamanya iaitu Datsun 240Z S30Z. Maka dengan itu pengeluar kit badan lebar dari Jepun, Liberty Walk hari ini mendedahkan kit badan khas yang dihasilkan untuk model berkenaan, juga diinspirasikan dari varian khas S30Z iaitu Fairlady 240ZG HS30!

    Bagi yang belum mengetahui, Fairlady 240ZG merupakan model homologasi perlumbaan yang dihasilkan pada 1971 bagi membolehkan ia menyertai perlumbaan dalam kategori FIA Group 4 dengan asas aerodinamik dari kilang lebih baik. Oleh itu, model istimewa ini datang standard dengan penutup lampu hadapan, muncung hadapan yang lebih tajam (digelar sebagai G-Nose) untuk lebih aerodinamik, serta fender flare yang dirivet pada badan bagi membolehkan kereta lumba sebenar tampil dengan trek roda lebih lebar.

    Pada RZ34, ia sebenarnya sudahpun menampilkan lampu hadapan yang diinspirasikan dari model 240ZG ini. Jadi untuk kit Liberty Walk ini ia bermula dengan bampar hadapan yang direka semula, menampilkan muncung lebih tajam dan rendah, menyerupai 240ZG asli.

    Nissan Fairlady Z RZ34 Liberty Walk – kit badan lebar ala-Fairlady 240ZG, rim ‘pisang’ RS Watanabe R-Type!

    Ia kemudiannya disertakan fender flare lebih lebar yang juga dilekat pada fender asal menggunakan rivet, serta spoiler ‘ekor itik’ pada penutup but belakang menyerupai spoiler asli Fairlady 240ZG. Bagi melengkapkan kit badan ini, Liberty Walk turut memberikan bonet hadapan yang direka bersama sepasang sirip dan juga spoiler pada bawah untuk disesuaikan dengan fender yang kini lebih lebar.

    Selain itu demo car Liberty Walk ini turut diberikan cermin sisi dengan rekaan retro, serta set rim ‘pisang’ RS Watanabe lapan jejari ‘R-Type’ yang sinonim dengan kereta-kereta klasik Jepun era 60’an hingga 80’an. Dan ia turut dipadankan dengan set suspensi udara yang membolehkan badan kereta ini direndahkan serapat mungkin dengan permukaan jalan, dan boleh ditinggikan semula dengan mudah menggunakan suis kawalan jika diperlukan.

    Pengaruh perlumbaan retro turut diberikan pada kabin RZ34 Liberty Walk ini dengan menggantikan set tempat duduk asal kepada set tempat duduk bucket dengan rekaan perlumbaan era 60’an hingga 70’an yang dihasilkan oleh Bride. Ia tidak kelihatan janggal kerana papan pemuka asli RZ34 ini turut diinspirasikan dari papan pemuka S30Z yang menampilkan meter ‘tiga-beradik’ pada bahagian tengah.

    Liberty Walk tidak memperincikan ubahsuai unit rangkaian kuasa RZ34 ini. Dalam keadaan standard, Nissan Z baharu ini dibekalkan dengan 400 hp dan tork maksima 475 Nm dari enjin VR30DDTT 3.0 liter V6 dengan pengecas turbo berkembar. Ia ditawarkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan manual atau sembilan-kelajuan automatik, dan kuasa hanya dialirkan ke roda belakang.

    Bagi yang berminat dengan kit badan dari Liberty Walk ini, ia sudahpun mula dijual. Set lengkap meliputi bampar hadapan, bampar belakang bonet hadapan, spoiler belakang dan fender flare lebar dijual pada harga 932,800 yen (RM30k) bagi komponen yang diperbuat dari FRP, dan 1,158,300 yen (RM37k) untuk set yang diperbuat dari material karbon CFRP.

    Liberty Walk turut menawarkan set yang tidak disertakan dengan fender flare, dijual pada harga 657,800 yen (RM21k) untuk versi FRP, dan 883,300 yen (RM28k) untuk versi dengan komponen karbon CFRP.