Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Suzuki V-Strom 1050 tiba di Malaysia – RM78,800

    Suzuki V-Strom 1050 tiba di Malaysia – RM78,800

    Sebagai pilihan kepada V-Strom 1050DE yang dilancarkan Mei lalu, Suzuki Malaysia kini memperkenalkan versi asas kepada model jelajah tersebut, iaitu V-Strom 1050, dijual pada harga RM78,800 tidak termasuk insurans. Ini menjadikan ia RM10k lebih murah berbanding DE yang dijual pada harga RM88,800.

    Perbezaan utama antara dua model ini adalah pada bahagian rim, dengan V-Strom 1050 menggunakan unit aluminium 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang (DE menggunakan jenis spoked 21/17 inci). Suspensi V-Strom 1050 juga mempunyai jarak gerak lebih rendah dan kemudiannya ia tidak mendapat mod tunggangan Gravel (tiga mod lain masih ada).

    Enjin adalah sama, iaitu unit v-twin DOHC 1,037 cc, yang dipadankan bersama transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa maksimum sehingga 105.5 hp dan tork 100 Nm pada 6,000 rpm. Dalam keadaan standard, ia diberikan terus dengan quickshifter.

    Suzuki V-Strom 1050 tiba di Malaysia – RM78,800

    Walaupun boleh dikira sebagai versi yang lebih asas, V-Strom 1050 masih datang dengan pelbagai ciri elektronik termasuk Suzuki Traction Control System (STCS), Motion Track Brake System, Cruise Control System, Hill Hold Control System, Load Dependent Control System, Slope Dependent Control System, Suzuki Easy Start System dan Low RPM Assist.

    Berat keseluruhan V-Strom 1050 adalah 252 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 20 liter. Dua warna ditawarkan untuk pasaran Malaysia, iaitu biru dan oren, sementara aksesori lain seperti beg barangan, pemanas tangan dan lampu kabus disediakan sebagai pilihan tambahan.

     
     
  • Lencongan trafik di laluan hala lorong E18 Plaza Tol Kemuning arah KL pada 27-30 Okt, 11 malam-5 pagi

    Klik untuk besarkan

    Makluman buat pengguna Lebuhraya Shah Alam (KESAS), lencongan trafik sementara akan dilaksanakan di laluan menghala ke lorong E18 Plaza Tol Kemuning (menghala ke Kuala Lumpur), mulai malam ini (27 Okt) hingga 30 Okt 2023, jam 11 malam hingga 5 pagi.

    Ia adalah bagi kelancaran kerja-kerja baikpulih permukaan jalan konkrit di laluan berkenaan. Justeru, trafik menghala ke arah lorong yang terlibat akan dilencongkan sementara sepanjang kerja-kerja baik pulih dilakukan.

    “Para pengguna lebuhraya dinasihati memandu dengan berhati-hati terutamanya pada waktu malam apabila keterlihatan mungkin terjejas serta mematuhi arahan papan tanda yang disediakan di kawasan berkenaan,” kata KESAS menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • Proton X50 – 98,189 unit terjual selepas 3 tahun, harga model edisi terhad R3 akan diumum di karnival esok!

    Proton X50 – 98,189 unit terjual selepas 3 tahun, harga model edisi terhad R3 akan diumum di karnival esok!

    27 Oktober 2020 merupakan detik bersejerah buat Proton apabila SUV segmen-B jenama itu yang paling ditunggu-tunggu, Proton X50 dilancarkan secara rasmi. Dan hari ini selepas genap tiga tahun ia dijual dalam pasaran, Proton mengumumkan bahawa sejumlah 98,189 unit SUV berkenaan sudah diserahkan kepada pelanggan sehingga akhir September 2023!

    Proton X50 benar-benar mencetuskan fenomena yang mengangkat kembali nama Proton. Ia mula boleh ditempah bermula 15 September 2020, dan hanya selepas dua minggu Proton telah menerima lebih dari 20,000 tempahan walaupun harganya belum diumumkan secara rasmi ketika itu.

    Tempoh menunggu untuk SUV ini pernah mencapai sehingga lapan bulan, dan ia mula mendominasi jualan di Malaysia dengan menguasai pasaran SUV segmen-C dan menjadi SUV paling laris dalam negara. Buat masa sekarang X50 berjaya menyumbang sebanyak 21% dari keseluruhan jualan Proton.

    Bagi meraikan ulangtahun tersebut, Proton akan mengadakan Karnival Proton X50 bertempat di ibu pejabatnya, Pusat Kecemerlangan Proton (CoE) di Subang Jaya Selangor pada 28 dan 29 Oktober ini, bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang. Apa yang menarik, Proton turut akan membuat pengumuman harga bagi model edisi terhad X50 R3 ini esok, sempena berlangsungnya karnival berkenaan.

    Karnival tersebut akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik, promosi istimewa yang eksklusif dan pertandingan yang menawarkan hadiah hebat. Pelumba-pelumba pasukan Proton R3 iaitu Leona Chin, Fariqe Hairuman, dan James Veerapen turut membuat kemunculan istimewa bagi memberikan anda ‘taxi ride’ dalam aktiviti pemanduan dinamik.

    Proton turut menganjurkan pertandingan X50 paling cantik untuk disertai pengunjung, manakala untuk kanak-kanak, pelbagai aktiviti yang disediakan termasuk perlumbaan kereta mini 4WD Tamiya dan pertandingan pakaian terbaik.

    Juga terdapat pelbagai gerai-gerai jualan barangan, serta bermacam-macam trak makanan yang menyediakan pelbagai juadah di kernival yang disifatkan sebagai “mini funfair” ini.

    GALERI: Proton X50 R3 Concept

     
     
  • Kawasaki Ninja 7 Hybrid tampil di Tokyo, kuasa 69 PS

    Kawasaki Ninja 7 Hybrid tampil di Tokyo, kuasa 69 PS

    Selepas dilancarkan untuk pasaran Eropah awal bulan lalu, Kawasaki Ninja 7 Hybrid kini membuat penampilan depan khalayak ramai di Japan Mobility Show 2023. Ia dipanggil oleh Kawasaki sebagai sebuah motosikal hibrid dengan pecutan seperti superbike 1,000 cc, dan penggunaan bahan api seperti motosikal 250 cc.

    Model ini mempunyai dua sumber kuasa, dengan yang utama adalah unit enjin pembakaran dalaman dua silinder selari DOHC 451 cc, yang mampu menghasilkan 59 PS pada 10,500 rpm dan tork 43.6 Nm pada 7,500 rpm.

    Ia kemudiannya dibantu oleh motor elektrik 9 kW serta bateri lithium ion 48 volt, mampu menghasilkan 12 PS antara 2,400 hingga 4,000 rpm, dan tork 36 Nm pada 2,400 rpm. Hasil gabungan dua sumber ini, Ninja 7 Hybrid keseluruhannya mampu menghamburkan 69 PS pada 10,500 rpm dan tork 60.4 Nm pada 2,800 rpm.

    Daripada enjin dan motor elektrik ini, kuasa dihantar kepada roda belakang melalui transmisi yang boleh dipilih sama ada mahu menukar gear secara manual ataupun automatik. Satu yang istimewa, Ninja 7 Hybrid datang dengan “Walk Mode”, yang boleh memberi bantuan menggerakkan motosikal secara perlahan bagi memudahkan pengendalian penunggang (sebagai contoh waktu mahu meletakkan motosikal di kawasan parkir).

    Perincian lain Ninja 7 Hybrid adalah termasuk berat 277 kg, tinggi tempat duduk 795 mm, brek hadapan dan belakang jenis cakera (berkembar di hadapan), panel skrin TFT serta grafik khas yang dibuat untuknya.

     
     
  • Honda RS-X Repsol Edition 2023 tiba di M’sia – RM10k

    Honda RS-X Repsol Edition 2023 tiba di M’sia – RM10k

    Tahun ini Boon Siew Honda (BSH) sekali lagi melancarkan RS-X Repsol Edition, yang ditawarkan pada harga RM9,998 tidak termasuk insurans dan terhad hanya 5,000 unit seluruh Malaysia. Ia akan mula berada di wakil pengedar BSH esok.

    Jika dibandingkan dengan RS-X Repsol Edition yang diperkenalkan pada tahun lepas, model tahun ini melihatkan sedikit perubahan grafik, termasuk di bahagian dada, serta tulisan Repsol di bahagian tepi yang lebih besar. Skema warna ikonik jenama ini, iaitu putih, oren dan merah masih dikekalkan.

    Bahagian lain adalah sama sahaja seperti RS-X biasa, bermula dengan enjin, yang menggunakan unit suntikan bahan api satu silinder DOHC 149.16 cc, dan dipadankan bersama transmisi enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 15.8 hp pada 9,000 rpm dan 13.6 Nm tork pada 7,000 rpm. Enjin hanya boleh dihidupkan dengan pemula elektrik.

    Honda RS-X Repsol Edition 2023 tiba di M’sia – RM10k

    Kedua-dua brek hadapan dan belakang RS-X menggunakan sistem cakera dengan angkup satu piston dan dilengkapi dengan ABS one-channel, sementara suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang. Rim adalah unit 17 inci dengan tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada RS-X adalah seperti tangki bahan api 4.5 liter, meter digital dengan penunjuk kedudukan gear, lampu depan dan belakang LED, berat 122 kg dan klac jenis basah. Model ini datang dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km.

     
     
  • JPJ eBid: Siri BRS dan RAT bakal dibuka bidaan

    Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor dari Selangor, BRS, bakal dibuka bidaan mulai 1 November 2023. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 5 November ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 6 November 2023. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Perlis pula, RAT, bidaannya pula bakal dibuka mulai 4 November ini dan akan berakhir jam 10 malam pada 8 November 2023. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 9 November 2023.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Perodua Bezza kereta paling laris di Malaysia untuk 2023 setakat ini, rampas takhta ‘king’ dari Myvi!

    Perodua Bezza kereta paling laris di Malaysia untuk 2023 setakat ini, rampas takhta ‘king’ dari Myvi!

    Perodua baru sahaja mengumumkan bahawa jualan tahunannya untuk sembilan bulan pertama tahun ini telahpun mencapai 233,227 unit, atau naik 18.8% berbanding tempoh sama tahun lalu. Jadi dengan tiga bulan berbaki untuk 2023, Perodua mensasarkan untuk menhasilkan 30,000 unit kereta sebulan bagi mencapai sasaran jualan 314,000 unit yang telah ditetapkan untuk tahun ini.

    Namun sehingga berakhir suku ketiga tahun ini, jualan Perodua bukan dipacu oleh Myvi atau Axia, sebaliknya adalah model yang paling lama dalam barisan modelnya yang dijual buat masa sekarang iaitu Perodua Bezza. Dalam suku ketiga 2023 sahaja, Bezza telah berjaya dijual sebanyak 65,158 unit.

    Jadi ia bukan hanya sedan segmen-A paling laris di Malaysia untuk suku ketiga dan jualan kumulatif tahun sehingga September 2023, malah Bezza kini merupakan kereta paling laris di Malaysia buat masa sekarang! Untuk konteks, jumlah jualan yang dicatatkan oleh Bezza ini adalah 14k unit lebih banyak dai Axia yang kini model kedua terlaris Perodua, dan ia juga 41.3% lebih tinggi dari rekod tempoh sama pada tahun lalu.

    Bezza nampaknya bakal mengatasi rekod Myvi sebagai model paling laris di Malaysia tahun lalu dengan jualan sebanyak 74,840 unit. Menurut naib presiden Perodua Datuk Ahmad Suhaimi Hashim, Bezza kini merupakan model utama yang dihasilkan oleh kilang Perodua di Rawang.

    Perodua Bezza kereta paling laris di Malaysia untuk 2023 setakat ini, rampas takhta ‘king’ dari Myvi!

    Suhaimi turut mendedahkan bahawa kilang Perodua Global Manufacturing plant (PGMSB merupakan kilang kedua Perodua Sg Choh) telah meningkatkan takt time bagi Bezza sebanyak tiga kali untuk tahun ini sahaja, bagi mempercepatkan pengeluaran sedan yang sedang mendapat permintaan tinggi itu.

    Perodua Bezza dilancarkan buat pertama kali pada Julai 2016. Ia adalah Axia dalam versi sedan di mana badan atasnya direka sendiri oleh Perodua – tiada versi Daihatsu atau Toyota untuk Bezza, dan ia hanya dijual di Malaysia. Kali terakhir model ini diberikan facelift adalah pada 2020.

    Bezza generasi pertama ini mungkin bertahan sehingga awal 2025 walaupun Axia sudahpun muncul dalam versi generasi kedua tahun ini, dihasilkan dengan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA).

     
     
  • Daihatsu Vision Copen bukan lagi kei car – diubah menjadi kereta sports kompak, enjin 1.3L, RWD

    Daihatsu Vision Copen bukan lagi kei car – diubah menjadi kereta sports kompak, enjin 1.3L, RWD

    Meskipun permintaan untuk kereta sports dan roadster (dua pintu, bumbung boleh buka) semakin menurun, Daihatsu masih memberi perhatian kepada Copen dan menunjukkan potensinya pada masa hadapan dengan pengenalan model konsep Vision Copen di Japan Mobility Show 2023.

    Sekali pandang kita sudah tahu ini adalah Copen kerana ia masih mengekalkan rekaan seperti model asal termasuk lampu hadapan dan belakang yang berbentuk bulat. Tetapi, ada sesuatu yang lebih istimewa sebenarnya, kerana jika anda perasan, model konsep ini sudah nampak kurang comel dan kedudukannya lebih sporty.

    Memang itu yang dimahukan oleh Daihatsu. Visi mereka untuk kereta ini adalah untuk memberikan keseronokan memandu sambil menikmati prestasi serta rekaan cantik. Disebabkan itu juga, Daihatsu telah menjadikan model konsep ini pacuan roda belakang (sebelum pacuan roda hadapan) serta menaikkan kapasiti enjinnya menjadi 1.3L (sebelum ini 660 cc).

    Dengan ini, Copen bukan lagi kereta kei car, dan sudah menjadi kereta sports sebenar yang kecil sedikit berbanding Mazda MX-5. Ukuran dimensinya adalah 3,835 mm panjang, 1,695 mm lebar dan jarak roda 2,415 mm. Panjang dan lebar kedua-duanya adalah kurang berbanding MX-5, sementara jarak roda lebih 105 mm.

    Bahagian dalam melihatkan susun atur yang kemas dan ringkas, dengan terdapat skrin yang mempunyai permukaan sekata dengan corong pendingin hawa di tengah, butang kawalan di stereng, tombol gear yang besar serta kawalan pendingin hawa pada skrin kapasitif.

     
     
  • Jualan tahunan Perodua cecah 233,227 unit sehingga Sept 2023 – Bezza kini model paling laris di Malaysia

    Jualan tahunan Perodua cecah 233,227 unit sehingga Sept 2023 – Bezza kini model paling laris di Malaysia

    Perodua mengumumkan bahawa sehingga September tahun ini ia telahpun berjaya mencatatkan jualan tahunan sebanyak 233,227 unit, atau naik 18.8% berbanding tempoh sama tahun lalu. Dari jumlah berkenaan, sebanyak 88,537 unit adalah dicatatkan dalam suku ketiga sahaja, naik 28.3% berbanding 69,011 unit yang dicatatkan dalam suku sama pada 2022.

    Bagi perbandingan bulan ke bulan, Perodua telah mendaftar 28,995 unit kenderaan pada bulan September 2023, kenaikan sebanyak 17.7% daripada 24,626 pada September 2022.

    Menurut Perodua peningkatan jualan ini disumbangkan oleh kecekapan operasi pengilangan yang lebih baik, dimana 91,528 unit kenderaan berjaya diproduksi pada suku ketiga tahun ini, naik 21.7% berbanding 75,196 unit pada suku sama tahun lalu.

    Untuk September 2023 sahaja Perodua telah menghasilkan sebanyak 31,447 kenderaan, peningkatan sebanyak 8.2% daripada 29,077 unit pada September tahun lalu.

    Jualan tahunan Perodua cecah 233,227 unit sehingga Sept 2023 – Bezza kini model paling laris di Malaysia

    “Suku ketiga 2023 menjadi titik mula bagi Perodua untuk meningkatkan pengeluaran bulanan melebihi 30,000 unit setiap bulan memandangkan kapasiti bekalan bahan mentah dan alat ganti yang mencukupi bagi memenuhi permintaan,” kata Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

    Secara keseluruhan Perodua telah memproduksi sejumlah 245,341 unit kenderaan sehingga September lalu atau peningkatan sebanyak 18.6% daripada 206,837 unit dalam tempoh yang sama tahun lalu.

    “Peningkatan pengeluaran ini menunjukkan potensi ekosistem automotif Malaysia berikutan penambahbaikan dalam skala ekonomi mereka tanpa berkompromi terhadap aspek kecekapan kos dan kualiti,” katanya lagi dan menambah jangkaan jualan dan pengeluaran Perodua pada suku keempat tahun ini dijangka menjadi yang tertinggi dalam sejarah syarikat.

    “Kami juga terus komited untuk mengurangkan tempoh menunggu pelanggan kami. Kami yakin bermula Januari 2024 ke atas, tempoh menunggu akan dapat diuruskan dengan lebih baik,” katanya.

    Jualan tahunan Perodua cecah 233,227 unit sehingga Sept 2023 – Bezza kini model paling laris di Malaysia

    Daripada 233,227 unit yang telah didaftarkan itu, Bezza menjadi model paling laris Perodua dengan jualan 65,158 unit hanya dalam suku ketiga 2023. Ini menjadikan Bezza bukan hanya juara dalam kelas sedan segmen-A menewaskan Proton Saga, malah ia kini merupakan kereta paling laris di Malaysia sehingga September 2023, naik 41.3% lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu!

    Ia diikuti dengan Axia yang ketinggalah 14 ribu unit di belakang, manakala ‘king’ Myvi kini hanya merupakan model ketiga terlaris Perodua.

    “Perkembangan positif ini telah membantu Perodua menambahbaik kapasiti pengeluaran kami dan memendekkan tempoh penghantaran kenderaan kepada pelanggan yang kami hargai. Kami juga masih di dalam landasan untuk mencapai sasaran pendaftaran sebanyak 314,000 unit tahun ini,” kata Dato’ Sri Zainal.

    Awal minggu ini Hong Leong Investment Bank Research ada menerbitkan laporan yang menyatakan bahawa Proton bakal memintas kedudukan Perodua sebagai jenama automotif nombor 1 di Malaysia dengan jangkaan jualan mencecah 310,000 unit menjelang 2030 dan 500,000 unit pada 2035.

    Namun dengan prestasi jualan yang ditunjukkan oleh Perodua pada suku ke-3 tahun ini boleh dijangka ia bakal mencapai sasaran jualan berjumlah 314,000 untuk tahun ini yang berbaki lagi tiga bulan, 4,000 unit lebih banyak dari apa yang disasarkan Proton pada 2030. Mungkin Proton perlu membuat sasaran lebih tinggi untuk berada kembali di tangga teratas?

     
     
  • Sistem pembayaran terbuka untuk perkhidmatan LRT, MRT dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2025

    Sistem pembayaran terbuka untuk perkhidmatan LRT, MRT dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2025

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, telah mengeluarkan kenyataan bahawa sistem pembayaran terbuka melibatkan rangkaian perkhidmatan rel di Lembah Klang dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2025.

    Katanya, buat masa ini, Prasarana sedang memuktamadkan pelan pelaksanaan tersebut untuk rangkaian Rapid Rail merangkumi Laluan LRT Kelana Jaya, Laluan LRT Ampang, Laluan MRT Kajang, Laluan MRT Putrajaya dan Monorail.

    “Sistem baru ini akan memperkenalkan penggunaan MyDebit dan Kad Kredit sebagai mod pembayaran tambahan di gantri selain kaedah pembayaran sedia ada menggunakan kad Touch ‘n Go atau token. Kerja-kerja rekaan dan pembangunan (design and development) dijangka bermula pada Mac 2024.

    “Prasarana akan mengambil tempoh 11 bulan iaitu sehingga Februari 2025 untuk menyiapkan 50% daripada gantri di setiap stesen untuk menerima kaedah pembayaran terbuka. Menjelang Ogos 2025, semua gantri di setiap stesen akan siap,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

    Tambahnya, sekiranya perlu, sistem ini akan terus diperkembangkan dengan membolehkan penggunaan mod pembayaran yang lain seperti Kod QR dalam fasa pelaksanaan seterusnya.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) di Dewan Rakyat hari ini,
    yang meminta beliau menyatakan peratusan pelaksanaan sistem pembayaran terbuka dalam rangkaian pengangkutan awam Lembah Klang terutamanya rangkaian Prasarana seperti LRT, MRT dan bas Rapid KL.

    Dalam masa yang sama, beliau turut mengumumkan perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang bakal menawarkan mod pembayaran terbuka mulai pertengahan November 2023. Ini termasuk penggunaan kad kredit, kad debit, Touch ‘n Go dan Kod QR melalui aplikasi mobile KTMB (KITS).

     
     
  • Perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang tawar mod pembayaran terbuka mulai pertengahan Nov ini – Loke

    Perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang tawar mod pembayaran terbuka mulai pertengahan Nov ini – Loke

    Perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang bakal menawarkan mod pembayaran terbuka mulai pertengahan November 2023. Ini termasuk penggunaan kad kredit, kad debit, Touch ‘n Go dan Kod QR melalui aplikasi mobile KTMB (KITS).

    Perkara ini disahkan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang berkata, penaiktarafan sistem tiket atau Automatic Fare Collection (AFC) kini hampir selesai di kesemua 57 stesen KTMB di sekitar Lembah Klang, laporan Bernama.

    “Mulai pertengahan November 2023, pengguna KTMB dapat menikmati kemudahan baru di kesemua 57 stesen KTMB Komuter di Lembah Klang. Semua stesen itu akan dilengkapi dengan alat pengimbas di gantri yang menyokong kaedah pembayaran terbuka termasuk kad kredit, kad debit, Touch ‘n Go dan Kod QR melalui KITS. Jumlah kos projek adalah sebanyak RM29 juta,” katanya.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) di Dewan Rakyat hari ini,
    yang meminta beliau menyatakan peratusan pelaksanaan sistem pembayaran terbuka dalam rangkaian pengangkutan awam Lembah Klang terutamanya rangkaian Prasarana seperti LRT, MRT dan bas Rapid KL.

    Justeru, dengan pelaksanaan mod pembayaran yang lebih meluas ini, pastinya memudahkan lagi kelancaran perjalanan para penumpang KTM Komuter.

    Dua minggu lalu, KTMB memaklumkan kad Komuter Link dan MyRailLife tidak lagi boleh digunakan dan pengguna perlu menggunakan aplikasi KITS, selain mod pembayaran yang dinyatakan di atas.

     
     
  • Hyundai Santa Fe facelift 2023 ditemui di Malaysia – masih adalah model generasi keempat, CKD

    Hyundai Santa Fe facelift 2023 ditemui di Malaysia – masih adalah model generasi keempat, CKD

    Nampaknya Hyundai Santa Fe facelift sudah mula keluar dari kilang Sime Darby Inokom, dan pembaca kami, Justin Lee menemui beberapa unit sedang diangkut atas treler. Walaupun sudah lama mengetahui model ini akan dilancarkan untuk pasaran Malaysia – sejak pengumuman dibuat awal bulan lalu – kita masih belum menerima sebarang petunjuk berkenaan tarikh pelancaran rasminya.

    Santa Fe facelift yang akan dilancarkan untuk pasaran kita ini masih adalah model generasi keempat (dilancarkan di Malaysia pada tahun 2019), sebelum model facelift diperkenalkan pada peringkat global pada tahun 2020. Kemudiannya, sekarang ini juga sudah ada model generasi kelima, diperkenalkan pada Julai lalu.

    Antara perubahan yang dibuat untuk model facelift ini adalah tiada lagi lampu kabus pada bahagian bawah bampar dan yang tinggal hanyalah lampu jenis bertingkat di hadapan. Anda juga boleh mengenali model facelift ini dengan lebih mudah melalui lampu DRL LED yang mempunyai pencahayaan berbentuk T.

    Kemudiannya, ia juga menggunakan gril lebih lebar di antara lampu utamanya (yang di bahagian bawah), berserta kemasan dalam yang lebih menonjol. Melengkapkan penampilan segarnya di hadapan adalah bampar baru yang mempunyai kemasan warna kontras dengan badan.

    Pergi ke belakang, lampu LED yang direka semula disambungkan antara keduanya dengan jalur lampu di tengah, sementara bampar menerima kemasan yang lebih ranggi. Perubahan pada badan Santa Fe ini juga menjadikan dimensinya berubah sedikit, menjadi 4,785 mm panjang (+15 mm), 1,900 mm lebar (+10 mm) dan 1,685 mm tinggi (+5 mm), sementara jarak roda kekal 2,765 mm.

    Pada bahagian kabin, rekaan asas papan pemuka Santa Fe 2021 ini masih kelihatan sama seperti sebelumnya. Namun rombakan besar dibuat pada konsol terowong tengah di mana ia kini kelihatan lebih tinggi dan lebih landai, dan tombol gear tradisional digantikan dengan butang ‘shift-by-wire’.

    Selain daripada itu, facelift ini juga memberikan Santa Fe tombol pemilih Terrain Mode buat pertama kali, yang boleh diubah kepada mode pemanduan Eco, Sport, Comfort dan Smart, manakala sistem pacuan semua roda menyediakan mod Sand, Snow dan Mud.

    Santa Fe sebelum ini ditawarkan di Malaysia dengan enjin sama ada unit petrol empat silinder NA 2.4 liter atau diesel empat silinder 2.2 liter turbo. Versi petrol datang dengan transmisi automatik enam kelajuan seentara versi diesel mendapat transmisi automatik lapan kelajuan – pacuan sama ada dua roda atau empat roda bergantung kepada varian.

    GALERI: Hyundai Santa Fe facelift 2021

     
     
  • Toyota Land Cruiser 70 Series facelift 2024 – casis ladder frame asal, 2.8L Turbodiesel dari Hilux, ada TSS

    Toyota Land Cruiser 70 Series facelift 2024 – casis ladder frame asal, 2.8L Turbodiesel dari Hilux, ada TSS

    Ogos lalu Toyota telah memperkenalkan satu lagi versi facelift baharu untuk Land Cruiser 70 Series yang telah diproduksi sejak 1984 – ya, ia adalah model dengan casis ladder frame yang sama telah dijual selama 39-tahun dan diberikan pelbagai pembaharuan. Jika sebelum itu model ini hanya dijual dipasaran tertentu seperti Australia dan Afrika, versi facelift 2024 ini pula kembali ditawarkan di pasaran Jepun.

    Jadi Toyota turut membawa model ini untuk dipamerkan di Japan Mobility Show 2023 yang bermula semalam di Tokyo Big Sight, memberikan peluang untuk kami membeleknya dengan lebih terperinci.

    Untuk versi yang menerima penyegaran terbaharu ini, bahagian yang paling ketara berubah adalah pada bahagian mukanya. Bagi model 2024 ini, ia tampil dengan rekaan lampu hadapan dan gril, bampar kedua-dua fender hadapan dan juga penutup bonet baharu diinspirasikan dari Land Cruiser J40 yang ikonik, digandingkan dengan perincian-perincian moden.

    Toyota Land Cruiser 70 Series facelift 2024 – casis ladder frame asal, 2.8L Turbodiesel dari Hilux, ada TSS

    Lampu hadapan 70 Series 2024 ini telah menggunakan teknologi LED, manakala bampar pula nampak lebih lasak dan seperti dipadankan terus pada casis. Manakala rekaan sisi yang bermula dari pintu sehingga belakang adalah masih sama seperti 70 Series sebelum ini, termasuk kemasan liang udara ikoniknya yang berada di bawah cermin tingkap sisi paling belakang.

    Untuk bahagian belakang pula, lampu utama yang sebelum ini direka menegak telah di alih pada bampar belakang dan diposisikan secara melintang. Manakala pada panel badan yang sebelum ini menempatkan lampu belakang asal telah ditutup dengan panel kemasan.

    Menurut Toyota, model yang dikemaskini ini menampilkan dimensi 4,890 mm panjang, 1,870 mm lebar, 1,920 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,730 mm. Casis ladder frame yang digunakan masih lagi sama seperti sebelum ini tetapi telah dipertingkat bagi memberikan pemanduan atas jalan raya yang lebih selesa dan masih mengekalkan kemampuan meredah laluan off-road.

    Toyota Land Cruiser 70 Series facelift 2024 – casis ladder frame asal, 2.8L Turbodiesel dari Hilux, ada TSS

    Pada sebelah dalam, model yang diperbaharui ini menerima rekaan gandingan klasik dan moden. Rekaan papan pemuka nampaknya masih sama seperti unit yang dipadankan pada model pasaran Australia dan Afrika Selatan sebelum ini, tetapi Toyota menyatakan bahawa ia kini menerima sentuhan semula bagi memberikan ergonomik dan praktikaliti lebih baik.

    Papan pemuka berkenaan turut didatangkan dengan panel instrumen yang diberikan skrin paparan pelbagai info 4.2-inci. Tiada instrumen digital penuh diberikan, malah enjin juga perlu dihidupkan dengan memutarkan kunci tanpa menggunakan butang.

    Konsol tengah Land Cruiser ini dilengkapi dengan skrin sesentuh 6.7-inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto. Pada panel pintu sebelah dalam, bahagian tanpa pelindung dengan warna badan di atas dan juga pelapik pintu masih dikekalkan seperti model klasik, namun bahagian pemegang pintu dengan suis-suis kawalan yang nampak lebih moden.

    Model pasaran Jepun ini menerima enjin turbodiesel 1GD-FTV 2.8 liter empat silinder yang sama seperti Toyota Hilux, yang pertama kali dipadankan pada casis ladder frame LC 70 Series ini. Enjin berkenaan menghasilkan kuasa 204 PS dan tork maksima 500 Nm, dan digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik.

    Ia turut dibekalkan dengan sistem pacuan empat roda di mana peralihan dari pacuan roda belakang kepada 4WD boleh dibuat menerusi tuil manual yang diletak sebelah tombol gear. Bagi varian lebih tinggi, tuil manual berkenaan diganti dengan suis elektronik.

    Untuk pasaran lain seperti Australia, Land Cruiser 70 Series facelift 2023 ini masih ditawarkan dengan pilihan enjin turbodiesel 4.5 liter V8 berkuasa 205 ps/430 Nm bersama kotak gear manual lima kelajuan.

    Sistem keselamatan untuk Land Cruiser 70 Series ini juga dipertingkat bagi kekal relevan untuk dijual. Oleh itu Toyota memberikan sistem bantuan pemanduan termaju Toyota Safety Sense (TSS) pada SUV klasik ini yang memberikan fungsi seperti amaran keluar laluan, bantuan pengenal tanda trafik, lampu tinggi automatik dan lain-lain.

     
     
  • Toyota Crown Sport SUV 2024 versi PHEV didedahkan

    Toyota Crown Sport SUV 2024 versi PHEV didedahkan

    Tahun lalu, Toyota mengumumkan Crown baharu ditawarkan dengan empat gaya bentuk badan, iaitu
    Crossover, Sport, Sedan dan Estate. Sport merupakan versi SUV di dalam famili Crown, dan versi hibrid telah pun diperkenalkan awal bulan ini. Manakala Crown Sport elektrifikasi yang dipamerkan dalam Japan Mobility Show 2023 yang sedang berlangsung ini, adalah versi plug-in hybrid. Difahamkan versi PHEV ini belum dijual di peringkat domestik, tetapi dijangka akan memasuki pasaran pada Disember ini.

    Di bawah hudnya, versi hibrid diberikan enjin 2.5 liter series parallel hybrid system dengan E-Four, dan Toyota berkata unit A25A-FXS ini boleh mencapai jarak perjalanan 21.3 km untuk setiap liter, mengikut kitaran WLTC. Versi PHEV juga menggunakan penjana kuasa 2.5 liter, tetapi menerima motor pacuan berketumpatan yang lebih tinggi yang juga membolehkan pengalihan beban depan/belakang.

    PHEV juga menampilkan bateri lithium-ion berkapasiti besar yang baru dibangunkan. Walau pun tidak mendedahkan angka kapasitinya, Toyota berkata ia mampu memberikan jarak mod EV yang lebih jauh dan sesuai untuk pemanduan seharian.

    Dengan ukuran 4,720 mm panjang, 1,880 mm lebar dan 1,565 mm tinggi, SUV Crown ini memiliki imej luaran yang menyerlah, bagaikan muka jerung dengan lampu hadapan yang nipis, seperti yang diberikan pada model Prius terkini, dan fender belakang pula terkeluar dari D-pillar menghala ke roda belakang.

    Untuk rodanya pula, SUV ini diberikan unit 21-inci, dan selain daripada sistem suspensi yang dikonfigurasikan khas untuk memberikan pemanduan yang lebih sporty, SUV Crown juga menampilkan stereng belakang dinamik (DRS) untuk memberikan ketangkasan yang lebih baik pada kelajuan rendah dan menambah kestabilan pada kelajuan yang lebih tinggi.

    Di dalamnya, ia diberikan papan pemula dengan gaya ala ‘island architecture’ dengan elemen kontras pelbagai warna, termasuk serlahan merah pada model yang dipamerkan. Pembeli juga diberikan lima pilihan kombinasi warna dalaman dengan dua-rona.

    Selain itu, ia juga diberikan skrin digital bersama dengan dua panel. Ciri baharu yang turut diberikan termasuklah sound-regulating ceiling, pertama dari Toyota, di mana bunyi di dalam kabin akan mewujudkan ruang yang membolehkan penumpang masih boleh berbual dengan lebih selesa.

    Crown Sport akan menyertai Sedan, yang akan diperkenalkan November ini, manakala Crown Estate pula dirancang akan dilancarkan sebelum tahun fiskal 2024 Toyota berakhir.

     
     
  • Model EV serba baru akan dilancarkan di PACE 2023

    Model EV serba baru akan dilancarkan di PACE 2023

    Sama seperti sebelum ini, acara Premium Auto Car Expo (PACE) anjuran paultan.org menjanjikan pelbagai tawaran menarik untuk kereta baru dan juga terpakai. Walaubagaimanapun, acara tahun ini yang akan berlangsung 4-5 November di Pusat Konvensyen Setia City bakal menyediakan sesuatu yang lebih istimewa.

    Ini kerana PACE 2023 bukan setakat akan mempamerkan kenderaan yang sedia ada dalam pasaran, tetapi juga ketibaan model baru. Ya, sebuah model baru akan dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia di acara tahun ini, dan ia adalah sebuah kenderaan elektrik (EV). Setakat ini, itu sahaja yang boleh kami beritahu, tetapi anda boleh melihat gambar awalnya seperti di atas.

    Untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan kereta baru ini, datang ke PACE 2023 pada 4 dan 5 November ini. Selain pengenalan model baru ini, pelbagai lagi kenderaan premium, dari bermacam jenama akan turut serta dalam acara ini. Sebagai tambahan kepada tawaran yang diberikan pengeluar, anda juga akan menerima baucar RM2,500 sekiranya menempah kenderaan baru di PACE 2023.

     
     
  • Suzuki Swift Concept 2024 didedah – bakal jadi model produksi generasi ke-4, enjin 3-silinder hibrid ringkas

    Suzuki Swift Concept 2024 didedah – bakal jadi model produksi generasi ke-4, enjin 3-silinder hibrid ringkas

    Sedar tak sedar, Suzuki Swift generasi ketiga sudahpun berusia hampir tujuh tahun dalam pasaran selepas diperkenalkan pada 2016. Jadi sebelum model produksi sebenar Swift generasi keempat muncul, ini dia Suzuki mendedahkan Swift Concept 2024 ketika berlangsungnya Japan Mobility Show 2023 bagi memberikan gambaran sebenar model serba baharu itu.

    Walaupun ia digelar ‘concept’, Swift ini sebenarnya sudah menampilkan rupa seakan sudah bersedia untuk diproduksi. Suzuki masih belum mendedahkan spesifikasi sebenar bagi model baharu ini. Namun menerusi maklumat yang diberi, ia digerakkan dengan enjin tiga-siinder sebaris bersama sistem hibrid ringkas. Spesifikasi yang hampir sama sebenarnya sudahpun ditawarkan pada model generasi ketiga sedia ada.

    Suzuki juga telah mendedahkan dimensi hatchback konsep ini, iaitu panjang 3,860 mm, lebar 1,695 mm, tinggi 1,500 mm dan jarak roda sejauh 2,540 mm. Saiz berkenaan nampaknya juga adalah sama pada model generasi sedia ada.

    Suzuki Swift Concept 2024 didedah – bakal jadi model produksi generasi ke-4, enjin 3-silinder hibrid ringkas

    Sekali tengok kita masih kenal bahawa hatchback ini adalah sebuah Swift, namun ia sebenarnya menerima perubahan rupa yang agak besar. Lampu hadapan (bersama lampu nyalaan siang bina dalam berbentuk-J) model konsep 2024 ini diletakkan lebih rendah dari sebelum ini.

    Penutup bonet kini direka seakan kulit kerang, dan mewujudkan garis sisi badan yang bercantum dengan lampu belakang. Manakala gril hadapan dan perumah lampu kabus juga lebih kecil dari Swift generasi sedia ada, membolehkan satu lagi ‘mulut’ liang udara diberikan pada bahagian bawah bampar hadapan.

    Bahagian kemasan hitam pada tiang-C hatchback ini yang memberikan kesan seakan bumbung terapung kini lebih besar. Lampu belakang, pintu tailgate dan bampar belakang semuanya direka semula, tetapi masih nampak ada kaitan dengan model generasi ketiga.

    Suzuki Swift Concept 2024 didedah – bakal jadi model produksi generasi ke-4, enjin 3-silinder hibrid ringkas

    Perubahan total turut dilihat dibuat pada sebelah dalam di mana ia diberikan skrin yang diletakkan secara berdiri sendiri di tengah atas papan pemuka. Liang penghawa dingin tengah yang sebelum ini bulat telah direka leper dan dipindahkan ke bawah skrin.

    Tiada lagi suis putar untuk kawalan pendigin hawa, dan ia kini telah diganti dengan suis togol dan butang-butang. Rekaan roda stereng juga berbeza terutama pada bahagian suis-suis kawalan yang kini nampak lebih banyak.

    Suzuki nampaknya tidak memberikan paparan instrumen digital pada model generasi baharu ini, namun rekaan papan meternya jelas berbeza serta diberikan skrin pelbagai info di bahagian tengah.

     
     
  • Lexus LF-ZC Concept – bayangan sedan EV premium; IS generasi seterusnya, lawan terus Tesla Model 3?

    Lexus LF-ZC Concept – bayangan sedan EV premium; IS generasi seterusnya, lawan terus Tesla Model 3?

    Sama seperti kebanyakkan jenama-jenama Eropah lain, tahukah anda Lexus juga menjadikan 2030 sebagai tahun sasaran untuk menjual 100% kenderaan elektrik di benua berkenaan? Oleh itu pada Japan Mobility Show tahun ini, Lexus telah mendedahkan dua kereta konsep EV dengan ruang pameran bertemakan “memaksimakan pengalaman elektrifikasi”.

    Model konsep yang anda lihat ini digelar sebagai Lexus LF-ZC (Lexus Future Zero-emission Catalyst) Concept, dihasilkan sebagai sebuah sedan premium. Oleh itu, tidak syak lagi ini adalah bayangan bagi Lexus IS generasi seterusnya dan akan digerakkan oleh unit rangkaian kuasa elektrik penuh.

    Lexus mengesahkan bahawa produksi bagi model sebenarnya nanti akan bermula pada 2026. Jika IS sedia ada berhadapan dengan model seperti BMW 3 Series dan Mercedes-Benz C-Class, versi EV ini sudah tentu akan berada dalam segmen yang sama dengan Tesla Model 3.

    Menurut Lexus lagi, LF-ZC ini menggunakan “bateri prismatik prestasi tinggi generasi seterusnya” yang disasarkan bagi mencapai dua kali ganda jarak gerak berbanding model-model EV konvensional yang ada dalam pasaran sekarang. Sasaran itu juga melibatkan rekaan badan yang membolehkan ia mencapai pekali geseran di bawah 0.2 Cd.

    Menerusi perincian yang didedahkan, model konsep ini dihasilkan dengan dimensi panjang 4,750 mm, lebar 1,880 mm, dan tinggi 1,390 mm, bersama jarak roda sejauh 2,890 mm. Jadi ia adalah lebih besar dari model generasi ketiga sedia ada yang sudahpun berada dalam pasaran sejak 2013 serta menerima facelift besar kali terakhir pada 2020.

    Perincian teknikal untuk model konsep ini tidak didedahkan, namun Lexus menjanjikan dinamik pemanduan bertahap tinggi, reka bentuk tanpa kompromi dan perkhidmatan eksklusif baharu, digandingkan bersama ciri ketukangan yang boleh diharapkan dari jenama mewah Jepun tersebut.

    Untuk bahagian kabin, LF-ZC ini menggunakan konsep Bamboo CMF (warna, material dan kemasan akhir) yang fokus terhadap sumber sekeliling, menggandingkan material tradisional dengan usaha penjagaan alam sekitar serta kelestarian sosial.

     
     
  • Toyota FT-3e Concept – SUV EV generasi akan datang

    Toyota FT-3e Concept – SUV EV generasi akan datang

    Turut mengambil bahagian dalam acara Japan Mobility Show 2023 yang sedang berlangsung di Tokyo ialah FT-3e Concept yang dipamerkan di ruang pameran Toyota yang dipamerkan bersebelahan jentera lumba FT-Se. Dengan penampilan yang menarik perhatian seperti MR2 EV tersebut, FT-3e turut memberikan bayangan sebagai SUV EV keluaran Toyota yang akan datang.

    Walau bagaimana pun, informasi mengenainya tidak banyak yang dibongkarkan. Toyota menggelarkannya sebagai “konsep EV generasi akan datang yang bakal memperkasakan kehidupan harian pelanggan dengan pengalaman pemanduan baharu dan perkhidmatan yang dikuasakan oleh teknologi inovatif.” Memerhatikan FT-3e Concept ini, ia kelihatan agak tersendiri, jauh lebih moden berbanding bZ Compact SUV Concept yang hampir keluar pada tahun lepas.

    Tidak begitu jelas dengan apakah konsep yang dibawakan, tetapi ‘3’ pada namanya mungkin membayangkan ia sebagai crossover elektrik masa hadapan yang akan diposisijan di bawah bZ4X, di mana nombor digunakan sebagai penanda kelas/saiz, sama seperti kereta sedan bZ3 yang lebih kecil. Walau bagaimanapun, boleh dikatakan, FT-3e kelihatan lebih besar berbanding bZ4X secara peribadi (biarpun tiada dimensi rasmi diberikan).

    Keunikan yang ada pada model konsep ini ialah paparan digital pada luarannya, di mana ia boleh digunakan sebagai paparan indikator untuk pengecasan bater, suhu dalaman dan kualiti udara dalaman.

    Prototaip yang dipamerkan ini juga kelihatan lengkap dengan dalaman yang berfungsi sepenuhnya, lebih ‘bersedia’ berbanding Land Cruiser Se Concept yang turut dipamerkan. Di mana Land Cruiser Se Concept masih dalam peringkat kajian rekaan awal. Jadi, kemungkinan besar FT-3e lebih hampir untuk diproduksi. Apa pun kita nantikan perkembangannya sebagai model produksi tidak lama lagi.

     
     
  • Honda CI-MEV boleh gerak sendiri, dua tempat duduk

    Honda CI-MEV boleh gerak sendiri, dua tempat duduk

    Selain Prelude Concept, Sustaina-C dan Pocket Concept, Honda juga membawa memperkenalkan CI-MEV, sebuah kenderaan boleh gerak sendiri di Japan Mobility Show. Menurut pengeluar Jepun itu, CI-MEV direka untuk pergerakan pendek, di kawasan yang tidak mempunyai pengangkutan awam serta mereka yang mempunyai kesukaran fizikal untuk bergerak.

    “Jika ada produk yang menawarkan pengangkutan mudah akses, jarak pendek, orang boleh pergi ke pelbagai tempat, lebih jauh, lebih cepat dan dengan lebih kasual. Dan jika semua orang boleh menikmati pergerakan dengan bebas dan membesarkan radius kawasan tinggal, mereka akan dapat lebih peluang untuk bertemu orang baru, yang mana kami percaya dapat memperbesar kemungkinan kepada orang,” kata presiden dan CEO Honda, Toshihiro Mibe.

    CI-MEV menggunakan bentuk kereta mikro petak, yang boleh menempatkan dua orang di dalamnya dan mempunyai pusingan radius yang kecil kerana saiznya yang kompak. Ia juga dilengkapi dengan pandangan 360 darjah yang menggunakan kamera di A-pillar, bawah cermin sisi dan tepi badan.

    Sistem ini beroperasi dengan Honda CI (Cooperative Intelligence), serta teknologi pemanduan automatik lain yang membolehkan ia bertindak sendiri. Cara penggunaannya adalah mudah, dengan hanya memberitahu tujuan, dan seterusnya ia akan pergi sendiri sambil mengenal pasti keadaan jalan serta trafik.

     
     
  • Boleh kemuka tuntutan jika terbabit kemalangan di lebuhraya akibat kecuaian syarikat konsesi – KKR

    Boleh kemuka tuntutan jika terbabit kemalangan di lebuhraya akibat kecuaian syarikat konsesi – KKR

    Tahukah anda, sekiranya anda terbabit dalam kemalangan di lebuhraya akibat keadaan atau halangan pada infrastruktur berkenaaan, anda boleh kemukakan tuntutan kepada syarikat konsesi lebuhraya tersebut.

    Itu yang dikatakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, yang menambah pengguna perlu membuktikan kemalangan itu berpunca akibat kegagalan syarikat konsesi lebuh raya melakukan tindakan segera terhadap sebarang permasalahan pada infrastruktur terbabit, laporan Berita Harian.

    “Banyak kes (syarikat) konsesi membuat bayaran akibat kecuaian mereka, seperti lopak dan sebagainya. Mangsa boleh membuat tuntutan jika kemalangan berlaku disebabkan keadaan jalan raya itu sendiri.

    “Jika kemalangan akibat mengantuk dan kecuaian sendiri, kita akan siasat laporan dan tuntutan berkenaan kerana pembayaran tidak dibuat secara terus sejurus tuntutan dikemukakan. Justeru, pengguna boleh mendapatkan khidmat untuk membuat tuntutan jika berlaku kemalangan di lebuhraya,” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat semalam.

    Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai jenis tuntutan yang boleh dikemukakan kepada syarikat konsesi kerana kemalangan di lebuh raya.

    Boleh kemuka tuntutan jika terbabit kemalangan di lebuhraya akibat kecuaian syarikat konsesi – KKR

    Katanya lagi, pelbagai tindakan dilakukan bagi mengurangkan risiko kemalangan akibat objek atau halangan di lebuhraya, termasuk serpihan tayar lori yang berpunca daripada penggunaan tayar celup tidak mematuhi piawaian yang mudah pecah dan tertanggal dengan kebanyakannya digunakan lori bermuatan berat untuk perjalanan jauh.

    “Syarikat konsesi sudah diarahkan membuat rondaan lebih kerap bagi memastikan tiada objek atau halangan di lebuhraya, termasuk serpihan tayar lori bagi keselamatan pengguna. Rondaan rutin membabitkan pasukan ronda juga dilaksanakan mengikut pusingan ditetapkan, selain pemantauan melalui kamera litar tertutup di lokasi tertentu dan diselia pusat kawalan trafik konsesi yang beroperasi 24 jam.

    “Operator di pusat kawalan trafik konsesi akan memaklumkan pasukan peronda lebuhraya untuk membuat kerja pembersihan segera sekiranya terdapat objek atau serpihan tayar menghalang trafik,” katanya.

    Selain itu, katanya, syarikat konsesi juga melakukan kerja penyenggaraan dan pembersihan lebuhraya secara berkala bagi memastikan kebersihan dan selamat untuk digunakan. Dalam masa yang sama, pengguna juga digalakkan membuat aduan halangan atau kerosakan lalu lintas dengan menghubungi talian hotline lebuh raya terbabit.