Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Subaru Sport Mobility Concept tampil sebagai EV sport boleh offroad, dipamer bersama drone besar

    Subaru Sport Mobility Concept tampil sebagai EV sport boleh offroad, dipamer bersama drone besar

    Tahun ini di Japan Mobility Show, Subaru membawa dua kenderaan yang sangat berbeza. Satu daripadanya adalah kereta elektrik sports, yang dipanggil sebagai Sport Mobility Concept.

    Kereta ini cuma dipamerkan secara statik dan tidak banyak perincian yang dikeluarkan oleh Subaru, selain menyatakan ia mempunyai penggerak elektrik pacuan semua roda serta tempat duduk yang rendah. Untuk bentuknya, kereta konsep dua pintu ini menampilkan bukaan yang lebar, lengkuk roda berpetak, panel kemasan berlapis-lapis serta kedudukan yang tinggi, memberi gambaran ia boleh dibawa meredah jalan lasak.

    Bersebelahan dengan lampu utama terletak jalur LED dengan jalur pencahayaan melintang, dan di belakang juga menggunakan konsep sama, yang seterusnya bersambung dengan garis lengkuk roda. Bahagian unik lain adalah seperti bumbung kaca, yang menjadi antara penyumbang kepada ciri aerodinamiknya, serta rim turbofan.

    Subaru Sport Mobility Concept tampil sebagai EV sport boleh offroad, dipamer bersama drone besar

    Sebelum ini Subaru memang sudah ada mengeluarkan coupe sport pacuan semua roda, seperti XT/Alcyone/Vortex, dan SVX. Selain bahagian hadapan yang pendek, model konsep ini juga seakan mengingatkan kembali kepada model yang disebutkan tadi, serta juga Impreza 22B. Mungkinkah ini kebangkitan semula model-model seperti itu?

    Setakat ini Subaru tidak mengatakan apa-apa, dan tidak mengesahkan sama ada ini adalah pra tonton awal kepada WRX generasi seterusnya. Ada beberapa media antarabangsa mengatakan, ini mungkin adalah permulaan kepada pembangunan BRZ serba baru, melihat kepada saiznya.

    Satu lagi kenderaan konsep yang ditunjukkan oleh Subaru adalah sebuah drone besar yang dinamakan sebagai Air Mobility Concept, menampilkan enam bilah kipas yang tertutu serta ruang khas untuk penumpang. Sekali lagi, tiada perincian yang dikeluarkan untuk konsep ini, tetapi Subaru memberitahu, ia sedang dipersiapkan untuk demonstrasi penerbangan.

    GALERI: Subaru Sport Mobility Concept

    GALERI: Subaru Air Mobility Concept

     
     
  • Honda Sustaina-C dan Honda Pocket Concept – kelahiran semula City Turbo dan Motocompo versi EV!

    Honda Sustaina-C dan Honda Pocket Concept – kelahiran semula City Turbo dan Motocompo versi EV!

    Selain dari model konsep Prelude, Honda turut bermain dengan hati dan perasaan peminatnya di Japan Mobility Show tahun ini menerusi satu lagi model konsep retro yang dijana teknologi elektrik – ini dia Honda Sustaina-C dan Honda Pocket Concept yang dihasilkan dari inspirasi model City hatchback generasi pertama dengan skuter lipat Honda Motocompo!

    Bagi yang belum mengetahui, Honda City Hatchback generasi pertama muncul pada tahun 1981 dan ia menawarkan varian berprestasi dengan enjin 1.0 liter turbo yang dikenali sebagai City Turbo. Apa yang lebih menarik selain rupanya yang comel, City ini turut ditawarkan dengan opsyen sebuah skuter kecil dengan enjin 49 cc digelar Honda Motocompo yang boleh dilipat dan diletakkan pada ruangan khas dalam but belakang.

    Ideanya, anda boleh meletakkan City ini pada satu tempat parkir, kemudian anda boleh bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang sesak menggunakan Motocompo berkenaan.

    Idea yang sama ditampilkan pada Honda Sustaina-C dan Honda Pocket Concept yang didedahkan hari ini. Selain dari rupa Honda Sustaina-C yang jelas mengambil inspirasi City Turbo 1981, ia turut disertakan dengan skuter lipat Honda Pocket Concept yang turut boleh dilipat diletak dalam but belakang!

    Apa yang berlainan, sudah tentulah kedua-dua model kelahiran semula ini dijana oleh unit rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya. Namun Honda tidak mendedahkan sebarang spesifikasi teknikal seperti konfigurasi motor, kuasa dan tork, kapasiti bateri dan sebagainya.

    Namun Honda mendakwa kedua-dua model konsep ini adalah lebih mesra alam dari EV biasa kerana panel-panel badannya diperbuat dari resin akrilik yang dikitar serta diguna semula, yang Honda sifatkan sebagai “mendemonstrasikan konsep mengatasi kekangan ketersediaan sumber yang terhad melalui ‘peredaran sumber’ serta mampu mencapai kemampanan alam sekitar dan kegembiraan dalam kebebasan mobiliti untuk masa hadapan.”

     
     
  • Adaptasi EV di Asia rendah, Toyota masih bangunkan pelbagai teknologi dengan enjin pembakaran dalaman

    Adaptasi EV di Asia rendah, Toyota masih bangunkan pelbagai teknologi dengan enjin pembakaran dalaman

    Dengan meramalkan adaptasi terhadap kenderaan elektrik penuh (EV) yang rendah di rantau Asia, Toyota tidak akan menumpukan terhadap teknologi itu sahaja bagi mensasarkan neutral karbon pada masa hadapan, dan masih akan menawarkan pelbagai unit rangkaian kuasa yang masih dijana oleh bahan api fosil dan dibantu teknologi elektrifikasi.

    Menurut presiden dan CEO Toyota Motor Asia Pacific (TMAP) Hao Quoc Tien, Toyota menjangkakan jualan EV di Asia hanya akan berada pada kadar 20% hingga 30% menjelang tahun 2030. Kadar tersebut jelas rendah berbanding beberapa negara Eropah yang telah mensasarkan untuk mengharamkan penjualan model-model baharu dengan enjin pembakaran dalaman pada tahun yang sama.

    Hao menyatakan kadar adaptasi EV di Asia ini berlainan antara negara dengan menyebut Singapura akan menjadi negara paling tinggi kada penggunaan EV, diikuti Thailand sekitar 25% pada tahun berkenaan. Negara-negara Asia lain termasuk Malaysia dijangka adalah lebih rendah kerana kekurangan fasiliti untuk mengecas.

    Adaptasi EV di Asia rendah, Toyota masih bangunkan pelbagai teknologi dengan enjin pembakaran dalaman

    Oleh itu, Hao menegaskan sebab itulah Toyota melihat bagi mencapai neutral karbon EV bukan satu-satunya jalan penyelesaian. “Katakanlah kami mendapat 30% itu (daripada jualan EV di Asia), jika kami tidak (turut) meningkatkan 70% yang lain, matlamat neutraliti karbon kami akan gagal,” kata Hao dalam pra-taklimat kepada media sebelum bermulanya Japan Mobility Show 2030 di Tokyo semalam.

    “Ini bukan semuanya tentang EV – tidak ada apa yang salah dengan EV, saya fikir teknologinya sangat bagus – tetapi terdapat batasan sebenar (buat masa ini). Mungkin dalam 10 atau 20 tahun lagi, peratusan EV akan lebih tinggi, dan saya fikir ia sepatutnya, tetapi dari sekarang sehingga itu, apa yang perlu kita buat? Itu persoalan utama,” jelasnya lagi.

    Toyota kini sedang berusaha keras untuk mengurangkan kadar pelepasan karbon menggunakan pelbagai teknologi untuk 70% jualan bukan EVnya yang lain, dengan apa langkah yang digelar pendekatan pelbagai-cara kearah kemampanan. Syarikat itu yakin bahawa setiap teknologi mempunyai peranannya dalam membantu mengurangkan pelepasan karbon.

    Salah satu tonggak utama Toyota untuk bergerak ke hadapan ialah menawarkan mobiliti bersih untuk semua, dalam masa yang sama tidak meninggalkan mana-mana pihak di belakang. Mewujudkan jaringan yang lebih luas adalah penting untuk mencapai matlamat, terutamanya dalam pasaran yang kurang bersedia atau kurang menyambut baik kehadiran EV. Sekiranya Toyota hanya memandang EV sebagai satu-satunya masa depan, pasaran seperti kita bakal ketinggalan.

    Pelbagai teknologi yang dimaksudkan adalah termasuk enjin pembakaran dalaman (seperti petrol dan diesel), bahan bakar-bio gas asli termampat (CNG), kenderaan elektrik hibrid (HEV, atau sistem hibrid konvensional), kenderaan hibrid plug-in (PHEV, atau model hibrid dengan bateri lebih besar dan boleh dicas seperti EV), kenderaan elektrik bateri (BEV atau EV), serta kenderaan elektrik sel bahan api hidrogen (FCEV).

    Kesemua teknologi ini Toyota sifatkan memainkan peranan masing-masing dalam mencapai neutral karbon tak kira kecil atau besar. Apa pula pandangan anda, adakah langkah yang diambil Toyota ini adalah lebih logik atau sebaliknya?

     
     
  • Lebuhraya SPE dijangka dibuka mulai 1 Nov 2023 – 29.8km, menghubungkan Taman Melati-Kerinchi Link

    Lebuhraya SPE dijangka dibuka mulai 1 Nov 2023 – 29.8km, menghubungkan Taman Melati-Kerinchi Link

    Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengesahkan Lebuhraya Setiawangsa-Pantai Expessway (SPE) dijangka dibuka secara rasmi kepada umum pada 1 November ini.

    Beliau berkata demikian menerusi perkongsian di laman Facebook rasminya selepas meninjau perkembangan terkini di lokasi terbabit. Katanya, beliau memahami kegusaran pengguna jalan raya yang memohon laluan Setiawangsa-Pantai Expressway (SPE) dibuka secepat mungkin bagi membantu menyuraikan masalah kesesakan trafik di beberapa kawasan di Kuala Lumpur.

    “Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama-sama agensi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sentiasa meletakkan keutamaan dalam memberikan kemudahan infrastruktur jalan raya kepada pengguna, namun tidak akan berkompromi dengan faktor keselamatan pengguna jalan raya.

    “Atas dasar itu, KKR telah mengarahkan syarikat konsesi untuk memastikan setiap faktor, spesifikasi dan kemudahan di laluan ini hendaklah dipastikan lengkap dan sempurna sepenuhnya. Ini selari dengan semangat kempen MYJalan yang memfokuskan kepada keselesaan pengguna jalan raya,” tambahnya.

    Katanya lagi, buat masa ini, lebuh raya terbabit sudah 99% siap namun beberapa fasiliti seperti kemudahan tandas awam, lampu jalan membabitkan bekalan elektrik serta sistem kutipan tol dalam persiapan akhir.

    Lebuhraya sepanjang 29.8 km ini menghubungkan Taman Melati dan Klang Gates dari Lebuhraya MRR2 ke Kerinchi Link berhampiran Pantai dan Universiti Malaya. Sebelum ini, SPE dikenali sebagai DUKE Fasa 3 yang diharap memberikan manfaat buat penduduk sekitar Gombak, Taman Melati, Genting Klang, Setiawangsa, Wangsa Maju, Ampang, Kampung Pandan, Bandar Malaysia, Kerinchi dan Pantai.

    Ia mula dibina sejak tahun 2016 dan dikendalikan oleh syarikat konsesinya, Ekovest Bhd. melalui anak syarikat milik penuhnya, Lebuhraya DUKE Fasa 3 Sdn. Bhd. Syarikat ini telah menandatangani perjanjian konsesi dengan kerajaan bagi pembinaan lebuhraya tersebut yang bernilai RM3.738 bilion bagi tempoh konsesi selama 53 tahun enam bulan.

     
     
  • Harga minyak 26 Okt-1 Nov – Semua masih dikekalkan

    Harga minyak 26 Okt-1 Nov – Semua masih dikekalkan

    Kementerian Kewangan (MoF) telah mengumumkan bagi minggu bertarikh 26 Oktober hingga 1 November 2023, harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel dikekalkan.

    Di mana harga petrol RON 97 dikekalkan pada RM3.47 seliter, setelah mengalami kenaikan sebanyak 10 sen seliter sebulan yang lalu.

    Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada 19 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata harga petrol tidak boleh diturunkan kepada RM1.50 seliter susulan perkembangan membabitkan kadar semasa minyak mentah dunia.

    Katanya, harga semasa petrol di Malaysia masih berada pada tahap rendah, iaitu RM2.05 seliter, berbanding Arab Saudi yang menetapkan pada kadar RM2.84 seliter. Justeru, beliau yang juga Menteri Kewangan menyifatkan tidak wajar jika cadangan diajukan beliau ketika 2018 itu, berterusan dimanipulasi, tanpa mengambil kira perkembangan semasa.

     
     
  • Nissan Hyper Force Concept EV – bayangan GT-R generasi baharu dengan kuasa elektrik 1,360 PS!

    Nissan Hyper Force Concept EV – bayangan GT-R generasi baharu dengan kuasa elektrik 1,360 PS!

    Nissan GT-R R35 sudahpun berada lebih dari 15 tahun dalam pasaran selepas diperkenalkan di Jepun pada Disember 2007. Dan tak logik sekiranya model generasi baharu ‘R36’ nanti untuk terus menggunakan enjin pembakaran dalaman bukan? Ini dia, Nissan Hyper Force Concept yang didedahkan di Japan Mobility Show 2023 hari ini yang memberikan gambaran Nissan GT-R generasi baharu yang dijana sepenuhnya dengan kuasa elektrik!

    Menurut Nissan, Hyper Force Concept ini disasarkan bagi “memberikan keseronokan pemanduan terbaik di samping menawarkan prestasi persekitaran yang tinggi dan keselesaan untuk kegunaan harian.” Jadi, model konsep ini menerima dua motor elektrik dengan jumlah kuasa keseluruhan 1,000 kW (1,360 PS) dan menerima bekalan elektrik dari bateri solid sepenuhnya.

    Seperti biasa, kedua-dua motor berkenaan diletakkan masing-masing di gandar hadapan dan belakang bagi memberikan pacuan semua roda, dan agihan tork untuk kesemua roda dibuat menerusi sistem e-4ORCE yang sudahpun diperkenalkan dalam produksi menerusi SUV EV Nissan Ariya.

    Nissan Hyper Force Concept EV – bayangan GT-R generasi baharu dengan kuasa elektrik 1,360 PS!

    Walaupun Nissan tidak menyebut apa-apa berkenaan GT-R dalam kenyataan media yang dikeluarkan, rekaan Hyper Force ini jelas menerima beberapa perincian ikonik GT-R seperti bentuk badan coupe dua-pintu serta lampu belakang dengan rekaan bulat berkembar. Malah pada bahagian tengah gril hadapan turut kelihatan emblem seakan logo GT-R yang dikaburkan.

    Badan Hyper Force Concept ini menampilkan penggunaan karbon berkekuatan tinggi bagi menghasilkan badan yang ringan. Ia juga menerima rekaan luaran yang mampu menjana “daya downforce yang kuat”, dihasilkan oleh sayap perlumbaan Nissan sendiri iaitu Nismo.

    Struktur aerodinamik dua-tingkat di bawah bonet kereta ini menawarkan bukan sahaja downforce, malah memberikan prestasi penyejukkan lebih baik. Ia turut dibantu dengan rekaan diffuser berkembar yang begitu agresif pada bampar belakang.

    Perincian aerodinamik lain yang turut dibekalkan termasuk canard hadapan, flip pada bahagian atas fender hadapan, sayap GT ‘leher angsa’ di belakang, dan juga actuator plasma yang menyekat pemisahan udara bagi memaksimumkan cengkaman melalui pengurangan daya angkat roda bahagian dalam ketika mengambil selekoh.

    Untuk roda, Hyper Force Concept ini diberikan rim binaan karbon forged, yang direka bagi meningkatkan lagi aspek aerodinamik serta membantu penyejukan sistem brek.

    Dua mod pemanduan diberikan pada Nissan Hyper Force ini iaitu GT untuk Grand Touring dan R untuk Racing (kalau digabung jadi GT-R kan?). Grafik paparan instrumen akan berubah mengikut mod pemanduan yang dipilih pemandu, dan ia direka bagi memaparkan informasi yang diperlukan oleh pemandu dalam situasi-situasi tertentu.

    Dalam mod GT, kabin kereta ini akan diterangi dengan lampu biru dan skrin-skrin satelit akan bergabung bagi menjadikan satu antaramuka tunggal dan menawarkan kawalan untuk sistem pendingin hawa, audio, suspensi dan juga larasan penstabil.

    Manakala dalam mod R, warna biru akan berubah menjadi merah. Skrin-skrin satelit pula akan memaparkan maklumat seperti cengkaman tayar dan suhu, tekanan udara, suhu cakera brek, agihan kuasa dan pelbagai lagi.

    Grafik-grafik ini adalah dihasilkan oleh Polyphony Digital, iaitu pihak yang sama membangunkan dan menerbitkan simulator pemanduan Gran Turismo untuk pelantar Playstation, yang sebelum ini turut menghasilkan grafik paparan pelbagai informasi pada Nissan GT-R R35.

    Tempat duduk pada Nissan Hyper Force ini turut dibuat menggunakan material gentian karbon yang ringan, serta turut dilengkapi dengan tali pinggang keselamatan empat-poin ala-kereta lumba. Ketika tidak berjalan, pemandu dan penumpang boleh menggunakan sistem realiti terimbuh (AR) dan juga realiti maya (VR) yang disediakan bagi berlumba secara maya di dalam kabin.

    GALERI: Gambar rasmi Nissan Hyper Force Concept 2023

     
     
  • Mitsubishi D:X Concept — Delica PHEV untuk off-road

    Mitsubishi D:X Concept — Delica PHEV untuk off-road

    Ketika pembukaan pameran Japan Mobility Show 2023 yang bermula hari ini di Tokyo, Mitsubishi Motors Corporation (MMC) mempertontonkan buat pertama kali model Mitsubishi D:X Concept, iaitu sebuah MPV crossover elektrik.

    Menurut Mitsubishi, rekaan konsep ini menampilkan teknologi terbaik yang dimiliki jenama itu ketika ini: teknologi elektrifikasi dan jga sistem pacuan semua roda. Ini sebagai tanda ke arah masyarakat yang neutral karbon di masa akan datang. Namun, ia tetap sarat dengan kemampuan pengembaraan dan pemanduan yang boleh dinikmati oleh semua orang.

    Mitsubishi D:X Concept — Delica PHEV untuk off-road

    Mitsubishi D:X Concept ini mengambil ilham serta ingin membayangkan model Delica dari masa depan. Dengan menggabungkan keselesaan melalui ruang kabin yang luas serta prestasi pemanduan sebuah PHEV tanpa had kemampuan untuk melakukan apa saja aktiviti, rekaan ini mendorongkan lagi gaya hidup lincah.

    Tidak hanya memberikan kelainan dan keselesaan terhadap pengguna umum, Mitsubishi D:X Concept juga dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda, bagi membolehkannya turut menggalas pemanduan mencabar di permukaan off-road. Rekaan Delica berkenaan dapat dilihat pada rekaan tingkat yang dipanjangkan dari depan hingga ke belakang, serta tiang D yang ketara.

    Mitsubishi D:X Concept — Delica PHEV untuk off-road

    Rekaan bahagian fender-nya juga menggambarkan ketangkasan dan kelasakannya: ia lebih menonjol dan berotot, memberikan imej kental kepada MPV ini. Wajah depannya pula mengekalkan rekaan Dynamic Shield yang kelihatan cukup meyakinkan dan besar.

    Bahagian dalam antara lain turut menampilkan sistem audio generasi baru yang dibangunkan bersama Yamam Corporation — ada pembesar suara yang ditempatkan di bahagian perehat kepala dan kedudukan lain untuk mendapatkan kesan bunyi 3D. Ruang dalaman berkotak di dalam menyediakan ruang yang sangat luas. Kerusi panoramik yang boleh dipusing dan dinaik/turun, serta bahagian tingkap yang luas menerbitkan lagi rasa keluasan yang luar biasa bagi saiznya.

    Sistem kawalan dinamik kenderaan bersepadu S-AWC juga diterapkan untuk sistem 4WD elektrik yang ada untuknya. Ia memberikan pemanduan dan kawalan yang selamat dan selesa dalam apa juga keadaan jalan dan cuaca. Lebih menarik, walaupun dengan rekaan seperti berkotak ini, ia memberikan pengalaman kabin yang sama seperti kenderaan penumpang pada kebiasaannya.

    Mitsubishi D:X Concept merupakan sebuah kenderaan plug-in hybrid (PHEV). Ia boleh dipacu secara elektrik sepenuhnya untuk keperluan harian, dan apabila diperlukan untuk pengembaraan yang lebih mencabar, pemanduan hibrid akan membantu memudahkan lagi perjalanan. Ia juga hadir dengan beberapa mod pemanduan.

     
     
  • Honda Prelude Concept didedahkan – kereta sport coupe dua-pintu dilahirkan semula sebagai EV

    Honda Prelude Concept didedahkan – kereta sport coupe dua-pintu dilahirkan semula sebagai EV

    Selain Toyota, nampaknya Honda juga sedang “membangunkan” semula pelbagai model-model ikonik mereka yang sudah lama “ditidurkan”. Selepas Integra, hari ini Honda mendedahkan pula model generasi baharu bagi coupe dua-pintu popularnya iaitu Honda Prelude ketika berlangsungnya Japan Mobility Show 2023!

    Model yang digelar sebagai Honda Prelude Concept ini hadir sebagai model elektrik penuh (EV). Dan sama seperti model-model “konsep” mereka sebelum ini seperti Civic dan Integra, Prelude Concept ini juga sebenarnya sudah nampak seperti model produksi sebenar tanpa perincian-perincian merepek.

    “Model ini akan menjadi prelude bagi model masa depan kami yang akan mewarisi ‘keseronokan memandu’ ke dalam era masa depan elektrik sepenuhnya dan merangkumi sifat sporty Honda yang tidak boleh diubah,” tulis Honda dalam kenyataan yang dikeluarkan seolah-olah memberi bayangan model ini akan benar-benar diproduksi tidak lama lagi.

    Honda Prelude Concept didedahkan – kereta sport coupe dua-pintu dilahirkan semula sebagai EV

    Malah model konsep Prelude ini juga akan menunjukkan fokus Honda berkenaan aspek seperti prestasi pemanduan dan respon kereta terhadap pemandu walaupun sudah masuk ke era elektrik penuh. Menurut Honda, fokus ini “menawarkan pengalaman menggembirakan yang membuatkan anda ingin teruskan selama-lamanya dan keseronokan luar biasa yang tidak pernah anda rasai sebelum ini”.

    Seperti model-model Prelude sejak generasi pertama, model konsep ini dihasilkan dengan badan coupe dua-pintu yang cukup sporty. Ia menerima muka dengan bentuk muncung yang tirus, diberikan lampu hadapan nipis dengan ‘kening’ jalur LED di atas.

    Ia turut diberikan bampar hadapan dengan spoiler bawah yang menyerlah, pembuka pintu tersorok, lampu belakang yang merentangi sepenuhnya penutup, spoiler but ‘ekor itik’, diffuser yang agresif serta set rim aloi berwarna hitam dengan tayar berprofil rendah dengan sistem brek Brembo kelihatan di sebaliknya.

    Namun masih belum ada sebarang perincian spesifikasi berkenaan konfigurasi motor elektrik, kuasa dan tork, kapasiti bateri dan sebagainya untuk Prelude Concept ini didedahkan oleh Honda buat masa sekarang.

    Tahun lalu presiden dan CEO Honda, Toshihiro Mibe ada menyatakan bahawa Honda akan memperkenalkan dua kereta sport dalam rancangan syarikat itu bagi masuk ke era elektrifikasi, satu adalah model khusus dan satu lagi adalah model flagship. Mungkin Prelude EV ini adalah model khusus yang dimaksudkan?

     
     
  • Toyota FT-Se didedahkan – bayangan MR2 EV masa depan, mungkin akan dilengkapi kotak gear manual!

    Toyota FT-Se didedahkan – bayangan MR2 EV masa depan, mungkin akan dilengkapi kotak gear manual!

    Selain dari Mazda RX-7 masa depan, di Japan Mobility Show (JMS) 2023 juga ada Toyota MR-2 masa depan – ini dia model konsep Toyota FT-Se! Menurut Toyota, FT-Se ini adalah sebuah “kereta sport prestasi tinggi BEV (battery EV) yang dicadangkan sebagai salah satu pilihan untuk kereta sport dalam era karbon-neutral.”

    Namun dengan bentuknya seperti sebuah kereta sport enjin tengah dan menampilkan hanya dua tempat duduk, tidak syak lagi ini adalah Toyota MR2 untuk era EV seperti yang disebut beberapa eksekutif Toyota termasuk pengerusinya Akio Toyoda, bagi melengkapkan trio GR86-GR MR2-GR Supra!

    Walaupun rupa FT-Se ini memang sebagai kereta sport sejati, Toyota mendakwa bahawa kebanyakkan ini komponen utamanya dikongsi bersama satu lagi model konsep yang didedahkan di JMS 2023 ini iaitu SUV EV Toyota FT-3e. Dengan berkongsi banyak komponen penting dengan model yang boleh dijual dalam pasaran lebih luas, ini satu lagi petanda bahawa kereta sport ini akan di bawa ke barisan produksi kerana kos pembinaannya dapat dikurangkan.

    Toyota FT-Se didedahkan – bayangan MR2 EV masa depan, mungkin akan dilengkapi kotak gear manual!

    Walau bagaimanapun segala spesifikasi teknikal seperti konfigurasi motor elektrik, kuasa dan tork, kapasiti bateri dan sebagainya masih belum diperincikan oleh Toyota buat masa sekarang. Namun Toyota menyatakan walaupun FT-Se ini sebuah EV, ia mungkin akan disertakan dengan kotak gear manual!

    Teknologi EV dengan kotak gear manual ini sudahpun didedahkan oleh Toyota menerusi divisi mewahnya iaitu Lexus sebelum ini. Sistem berkenaan lengkap dengan pedal klac dan tombol gear dengan paten tukaran-H, serta ia turut menghasilkan bunyi seakan kereta dengan enjin pembakaran sebenar dan enjin boleh ‘mati’ sekiranya pedal klac tidak dilepaskan dengan betul.

    FT-Se ini menampilkan liang aliran udara yang besar seakan mulut pada sebelah depan, walaupun EV biasanya tidak memerlukan liang kemasukan udara pada gril hadapan. Ia turut menampilkan jalur lampu nyalaan siang yang panjang yang bermula dari atas fender hadapan sehingga ke bawah bampar.

    Seperti yang dinyatakan tadi, profil sisi FT-Se ini dihasilkan sebagai kereta sport enjin tengah sebenar seperti Lotus Elise, Ferrari 360 dan versi-versi terdahulu Toyota MR2 dan MRS. Manakala di belakang, ia turut menampilkan liang udara yang besar serta diffuser yang sangat agresif. Lampu belakang pula hanya dihasilkan dari jalur LED.

    Bagi melengkapi rupanya, kereta sport bersaiz kecil ini nampaknya menerima rim dengan diameter 20-inci, dibalut dengan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 bersaiz 265/35R20 di hadapan dan 295/35ZR20 di belakang! Ia juga turut dilengkapi dengan set brek gergasi yang terlihat jelas di sebalik rim.

    Pada bahagian dalaman, FT-Se ini diberikan kabin ringkas seakan kereta lumba. Tiada sebarang butang atau suis fizikal dilihat pada papan pemuka yang direka dengan elemen mendatar serta ada paparan suhu digital diletakkan pada bahagian bawah liang penghembus udara pada sebelah penumpang.

    Toyota FT-Se didedahkan – bayangan MR2 EV masa depan, mungkin akan dilengkapi kotak gear manual!

    Manakala pemandu menerima skrin paparan instrumen digital utama pada sebelah atas, roda stereng berbentuk segi empat serta skrin tambahan pada sebelah kira dan kanannya yang bukan sahaja memberikan maklumat, malah menyediakan pelbagai suis digital untuk mengoperasikan pelbagai fungsi.

    Buat masa sekarang Toyota masih belum membuat kenyataan rasmi adakah FT-Se adalah benar-benar gambaran model kelahiran semula MR2, malah adakah ia benar-benar akan diproduksi juga masih belum jelas. Namun apa yang penting, pasti ramai yang berharap ia tidak hanya akan dibiarkan dalam bentuk konsep sahaja bukan?

    GALERI: Gambar rasmi model konsep Toyota FT-Se 2023

     
     
  • Neta V dilancar untuk pasaran Malaysia – EV 95 PS, jarak gerak 380 km, pilihan dua pakej, RM100,000

    Neta V dilancar untuk pasaran Malaysia – EV 95 PS, jarak gerak 380 km, pilihan dua pakej, RM100,000

    Selepas dipertonton buat pertama kali di Malaysia Mei lalu, Neta V kini dilancarkan secara rasmi dengan harga atas jalan RM100,000. Walaupun menunjukkan sedikit peningkatan berbanding harga yang didedahkan sebelum ini, Neta V ditawarkan dalam pilihan dua pakej percuma dengan kelebihan yang berbeza untuk pelanggan.

    Pakej pertama melibatkan pemberian aksesori penting termasuk pengecas rumah (termasuk pemasangan), fungsi Vehicle To Load (V2L, 3.3 kW), pintu but automatik, filem penapis haba, insurans serta kit badan. Menurut Intro Synergy Sdn Bhd selaku pengedar tuunggal Neta di Malaysia, kit badan yang diberi ini adalah eksklusif untuk pasaran Malaysia.

    Pakej kedua yang boleh dipilih adalah melibatkan bayaran semula pinjaman tanpa faedah sehingga tujuh tahun. Walaupun tidak mendapat barangan dalam pakej pertama, pemilik yang memilih pakej kedua ini boleh menambah aksesori ini dengan bayaran tambahan.

    Neta V dipacu oleh motor elektrik depan yang membekalkan 95 PS (94 hp atau 70 kW) dan 160 Nm tork. Pengeluarnya mendakwa pecutan 0-50 km/j boleh dicapai dalam masa 3.9 saat, dan laju maksimum 120 km/j. Neta V mempunyai ukuran 4,070 mm panjang, 1,690 mm lebar, 1,540 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,525 mm.

    Ia didatangkan dengan bateri lithium-ion 38.5 kWh yang memberikan jarak bergerak 380 km mengikut kitaran NEDC. Untuk pengecasan, AC dengan Type 2 pada kadar maksimum 6.6 kW akan memerlukan masa lapan jam untuk cas penuh. Pengecasan pantas DC juga ada (dengan CCS2) pada kadar 100 kW dan mampu mengecas dari 20-80% dalam masa 30 minit.

    Neta V ditawarkan dalam pilihan lima warna iaitu Sakura Pink, Sky Blue, Moonlight Green, Midnight Grey dan White Storm. Jaminan yang diberi adalah selama lima tahun atau 150,000 km untuk komponen biasa, lapan tahun atau 180,000 km untuk komponen voltan tinggi EV termasuk bateri dan pengecas, serta 10 tahun atau 200,000 km untuk badan.

     
     
  • Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak bakal dilebarkan pada Q2 2024, dari Plaza Tol Gombak ke CSR Bentong

    Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak bakal dilebarkan pada Q2 2024, dari Plaza Tol Gombak ke CSR Bentong

    Cadangan pelebaran Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) telah pun diluluskan oleh kerajaan, di mana ia melibatkan laluan dari Plaza Tol Gombak ke persimpangan Central Spine Road (CSR) Bentong.

    Perkara ini disahkan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad yang berkata, kerja-kerja pelebaran laluan terbabit akan dilaksanakan pada suku kedua (Q2) 2024 oleh pemegang konsesi Lebuhraya KLK, ANIH Berhad.

    “Selaku pemegang konsesi, cadangan pelebaran Lebuhraya KLK dijangka akan dapat menyediakan lebuh raya yang selesa, cepat, mudah dan cekap serta menangani isu kesesakan yang sering berlaku di Lebuhraya Karak terutamanya pada musim perayaan, cuti umum dan hujung minggu,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro

    Kenyataan itu bagi menjawab pertanyaan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) berkaitan rancangan jangka pendek dan panjang kerajaan supaya kesesakan lebuh raya seperti di Tol Bentong dan Tol Gombak dapat dikurangkan.

    Dalam masa yang sama, Khairil Nizam turut bertanyakan adakah kerajaan bersetuju dengan pemasangan lampu solar di lebuh raya yang tiada kemudahan lampu jalan.

    Abdul Rahman menjawab, ANIH Berhad sudah melaksanakan obligasi mereka bagi memasang lampu di Lebuhraya KLK seperti yang terkandung dalam perjanjian konsesi. “Pemasangan lampu jalan dari Terowong Genting Sempah ke persimpangan Central Spine Road Bentong adalah termasuk dalam skop kerja pelebaran yang akan dilaksanakan,” katanya.

     
     
  • Pusat Baik Pulih Kereta myTukar USJ — teknologi dipatenkan periksa 160-poin, terbesar Asia Tenggara

    Pusat Baik Pulih Kereta myTukar USJ — teknologi dipatenkan periksa 160-poin, terbesar Asia Tenggara

    Yang membezakan myTukar daripada pesaingnya dalam pasaran kenderaan terpakai — bukan hanya di Malaysia tetapi juga di rantau Asia Tenggara — adalah kerena mereka menjalankan pemeriksaan setiap kenderaan yang akan dijual secara terperinci menggunakan pelbagai pendekatan dan teknologi tersendiri yang telah dipatenkan.

    Ini dapat dilihat misalnya melalui operasi yang dijalankan di Pusat Baik Pulih Kereta myTukar (myTukar Refurbishment Center). Ketika ini, myTukar mempunyai dua lokasi pusat baik pulih ini: satu di Ulu Tiram, Johor dan satu lagi yang sempat kami kunjungi terletak di USJ, Selangor. Kedua-dua pusat ini adalah yang terbesar di Asia Tenggara. Dan, jika mengambil kira di Indonesia dan Singapura pula, keseluruhannya ada 14 pusat myTukar seperti ini yang sedang beroperasi.

    Pusat Baik Pulih Kereta myTukar USJ — teknologi dipatenkan periksa 160-poin, terbesar Asia Tenggara

    Pusat Baik Pulih Kereta myTukar di USJ meliputi kawasan seluas 95,832 kaki persegi, juga yang terbesar di Asia Tenggara. Dibuka sejak tahun 2022, pusat ini menggajikan lebih daripada 180 orang pekerja semuanya. Dan, di sinilah kenderaan terpakai yang bakal dijual kepada pelanggan akan dihantar untuk dinilai, diperbaiki apa yang perlu untuk menjadikannya seperti baru sebelum diluluskan dan disahkan keadaannya yang terbaik sebelum diiklankan atau dijual.

    Pemeriksaan 160-poin adalah wajib untuk semua kenderaan myTukar. Ini mungkin biasa kita dengar, tetapi ada dua teknologi tambahan yang dijalankan di kemudahan ini untuk memastikan dengan lebih terperinci keadaan kenderaan yang ada. Teknologi yang dimaksudkan ialah computer visioning dan juga acoustic engineering yang dibangunkan sendiri oleh myTukar.

    Ia adalah ujian tambahan menggunakan teknologi dan aplikasi khusus untuk menjalankan pemeriksaan — sebagai contoh, melalui ujian bunyi di dalam kabin atau enjin bagi mengenal pasti sebarang hal tidak berada dalam keadaan seperti sepatutnya. Ini membolehkan pemeriksaan yang lebih terperinci dijalankan ke atas setiap kenderaan dengan keupayaan dan kepekaan yang lebih mendalam berbanding deria manusia.

    Satu lagi kelebihan penting yang perlu disebutkan ialah adanya seorang pakar cat yang bertindak untuk memastikan campuran warna yang akan digunakan ke atas setiap bahagian kenderaan (jika perlu) adalah sama dengan warna asal, atau warna di bahagian lain kenderaan yang sama supaya warna akhir keseluruhan kenderaan itu kelak adalah sekata. Campuran warna tersebut perlu ditentukan secara manual dan diuji terlebih dahulu, dan orang yang bertanggungjawab untuk memastikan hal ini ialah Jumpei Yamamoto dari Jepun, seorang pakar warna dan cat yang turut mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Jepun.

    Terdapat 10 ruang persediaan untuk memeriksa kenderaan yang perlu dicat semula, bagi memastikan permukaan badannya rata menggunakan teknik dry sanding. Dan jika ada kesan kemek, itu perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum boleh dilanjutkan kepada aktiviti mengecat. Untuk semburan cat, terdapat lima kebuk khusus untuk ini. Campuran warna yang tepat akan digunakan, dan kereta yang siap dicat akan dibiarkan selama dua hari di dalam oven dengan pancaran lampu UV bagi tujuan pengeringan.

    Pusat Baik Pulih Kereta myTukar USJ — teknologi dipatenkan periksa 160-poin, terbesar Asia Tenggara

    Selain itu, pemeriksaan tayar juga dilakukan di sini, begitu juga dengan penelitian bahagian dalaman dan kabin kenderaan. Sebagai contoh, jika ada kereta yang perlu ditukar pembalut kerusinya — mungkin kerana sudah rosak atau kulit yang digunakan sudah kering — pembalut asal kerusi berkenaan akan dibuka sepenuhnya, dan digantikan dengan material baru yang setara mengikut bentuk dan potongan asal juga.

    Pemeriksaan pendawaian dalam kenderaan juga akan dilakukan bagi mengelakkan sebarang masalah yang tidak diingini selepas kereta sampai ke tangan pembeli nanti. Kereta tersebut kemudiannya akan menjalani sesi pandu uji pula di sekitar premis sebagai langkah akhir untuk memastikan semua perkara adalah seperti yang sepatutnya, sebelum ia dicuci.

    Selesai semua ini, barulah sesebuh kenderaan itu disahkan atau diiktiraf lulus (certified) untuk di jual kepada pelanggan. Ia kemudiannya akan dibawa masuk ke ruang fotografi, dengan platform boleh putar, untuk diambil gambar dan periciannya — ini adalah standard untuk semua kenderaan, dan hasilnya adalah apa yang boleh dilihat di dalam laman web jualan kenderaan terpakai myTukar. Semua proses dinyatakan ini dilakukan dengan penuh teliti dan telus untuk memudahkan pelanggan.

    Pusat Baik Pulih Kereta myTukar di Malaysia ketika ini mampu menguruskan proses baik pulih untuk 700 unit sebulan. Sebagai purata, ia melibatkan 23 unit kenderaan sehari. Manakala, setiap kenderaan yang diproses untuk baik pulih ini pula memerlukan tempoh selama tujuh hari dari mula hingga akhir. Semua ini adalah bagi memastikan kereta yang sampai ke tangan pelanggan selepas itu adalah sebaik kenderaan baru.

    Perniagaan lepas jualan dan khidmat teknikal myTukar juga akan dijenamakan semula sebagai Carro Care dalam masa terdekat ini sebagai sebahagian daripada kerjasama strategik dengan Jardine Cycle % Carriage. Ringkasnya, melalui semua ini, myTukar ingin menjadikan pengalaman jual beli dan pemilikan kenderaan terpakai sama baiknya dengan pembelian kereta baru — baik dari segi layanan, jaminan serta memberikan kelegaan fikiran kepada pelanggan.

     
     
  • Mercedes-AMG GLA45S 4Matic+ facelift 2024 – 421 PS/500 Nm, gaya dan kelengkapan ditambahbaik

    Mercedes-AMG GLA45S 4Matic+ facelift 2024 – 421 PS/500 Nm, gaya dan kelengkapan ditambahbaik

    Selepas tiga tahun Mercedes-AMG GLA45 berasaskan GLA generasi H247 diperkenalkan, kini crossover prestasi tinggi telah menerima kemas kini pertengahan kitaran hayat, dengan memperkenalkan varian tunggal GLA45S 4Matic+.

    Crossover prestasi tinggi ini masih mengekalkan ‘jantung’ sedia ada iaitu unit M139 2.0 liter [engecas turbo petrol empat-silinder sebaris, dengan hamburan kuasa 421 PS pada 6,750 rpm dan tork 500 Nm dari 5,000 hingga 5,250 rpm, yang menyalurkan pacuan ke semua roda menerusi sistem pacuan semua-roda 4Matic+. Ia juga digandingkan dengan AMG Torque Control dan transmisi automatik dwi-klac AMG Speedshift DCT lapan-kelajuan.

    Dengan kelengkapan tersebut, GLA45S 4Matic+ mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam 4.3 saat, dengan kelajuan maksimum yang boleh dicapai hingga 270 km/j, juga sama dengan model pre-facelift sebelum ini. Penggunaan bahan apinya didakwa sekitar 10.0 per liter bagi setiap 100 km, dan pelepasan CO2 pula sekitar 227 g/km.

    Kemaskini bahagian luaran untuk GLA45S 4Matic+ facelift ini termasuk rekaan apron hadapan baharu dengan logo AMG pada bonet, gerbang roda dengan warna badan, rekaan lampu signitur baharu untuk lampu utama LED dan lampu belakang (dengan piliham lampu Multibeam LED), dan tiga pilihan rekaan roda ditawarkan, dari saiz 19- hingga 21-inci.

    Di dalamnya, GLA45S 4Matic+ facelift menawarkan tempat duduk sport secara standard atau pun AMG Performance secara pilian, di mana kulit sintetik Artico dan upholstery gentian mikro Microcut boleh dipilih dalam rona Bahia Brown. Pemandu juga menerima roda stereng pelbagai-fungsi AMG Performance generasi terkini.

    Warna baharu untuk kulit Artico termasuklah Sage Grey dan hitam, sementara pilihan Red Pepper dan hitam untuk tempat duduk. Elemen kemasan di dalam GLA45S 4Matic+ kini termasuklah kayuan pori-terbuka.

    Infotainmen untuk GLA45S 4Matic+ facelift turut dipertingkatkan, kini menerima larasan infotainmen MBUX terkini yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, selain turut diberikan port pengecas USB dan port tambahan USB-C.

     
     
  • Mazda Iconic SP didedahkan – model konsep RX-7 masa depan; hybrid enjin rotary dan sistem EV!

    Mazda Iconic SP didedahkan – model konsep RX-7 masa depan; hybrid enjin rotary dan sistem EV!

    Kami melaporkan terus dari Japan Mobility Show 2023 yang kini sedang berlangsung di dewan Tokyo Big Sight, dan ini adalah model konsep yang agak mengejutkan didedahkan oleh Mazda – memperkenalkan kereta sport RX-7 untuk masa depan, Mazda Iconic SP Concept!

    Sekilas pandang, asas rekaan model konsep ini sememangnya diinspirasikan dari Mazda RX-7 terakhir iaitu generasi FD3S yang diproduksi bermula pada 1992 dan tamat pada 2002. Profil sisi badan, bentuk pintu dan juga cermin belakang memang tak syak lagi adalah dari FD3S, malah lampu hadapannya juga direka dengan konsep pop-up seperti kereta sport ikonik Mazda tersebut!

    Cuma untuk pintu, gaya bukaannya agak futuristik dengan naik sekitar 45 darjah ke atas seperti Lamborghini. Badan Iconic SP ini disembur dengan warna Viola Red, yang menurut Mazda menyerlahkan falsafah syarikat “memperkayakan kehidupan dalam gerakan untuk mereka yang kami layani” berdasarkan keinginan jenama terebut bagi “menghargai warna merah.”

    Mazda Iconic SP didedahkan – model konsep RX-7 masa depan; hybrid enjin rotary dan sistem EV!

    Dari segi dimensi, Mazda Iconic SP ini dihasilkan dengan 4,180 mm panjang, 1,850 mm lebar, 1,150 mm lebar dan jarak roda sejauh 2,590 mm. Jadi berbanding FD3S asli, model konsep ini adalah 105 mm lebih pendek dan 90 mm lebih lebar. Ia juga lebih besar dari Mazda Miata MX-5 generasi sedia ada yang dihasilkan dengan dimensi 3,915 mm panjang dan 1,730 mm lebar.

    Bukan hanya rupanya sahaja yang diinspirasikan dari Mazda RX-7, malah unit rangkaian kuasa Iconic SP ini turut menampilkan enjin Wankel Rotary seperti kereta-kereta sport ikonik Mazda sebelum ini! Menurut Mazda, kereta sport baharu ini menampilkan sistem EV dengan enjin rotary dua-rotor yang boleh digerakkan sama ada dengan bahan bakar fosil biasa (petrol) atau menggunakan hidrogen.

    Secara asasnya, ini adalah unit rangkaian kuasa hibrid kerana enjin rotary berkenaan turut akan dibantu dengan motor elektrik. Malah sekiranya dengan cas bateri hibrid yang mencukupi, kereta sport ini boleh bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya tanpa enjin rotary dihidupkan.

    Bagaimana konfigurasi sistem ini berfungsi masih belum didedahkan sepenuhnya oleh Mazda, namun tak mustahil adalah sistem yang sama dengan paten yang difailkan oleh Mazda sebelum ini. Dalam paten tersebut dapat dilihat enjin rotary berkenaan diletakkan pada kedudukan yang rendah dan hampir ke bahagian tengah kereta sama seperti RX-7 sebelum ini bagi memberikan titik graviti rendah dan agihan nisbah berat sempurna antara hadapan dan belakang.

    Paten itu juga menunjukkan kuasa dari enjin dialirkan ke roda belakang, dan ia turut dibantu dengan sebuah motor elektrik yang diletak pada gandar belakang. Satu lagi motor elektrik dilihat diletakkan pada gandar hadapan, menjadikan kereta sport pacuan belakang ini turut diberikan cengkaman sistem pacuan semua roda apabila diperlukan.

    Sistem ini sangat berbeza dengan sistem hibrid e-Skyactiv R-EV yang telahpun digunakan pada Mazda MX-30 R-EV yang telah didedahkan pada Januari lalu. Dalam sistem tersebut, enjin rotary satu rotor pada SUV tersebut berfungsi hanya untuk mengecas bateri hibrid, manakala roda hadapan hanya dipacu oleh motor elektrik.

    Kuasa keseluruhan Iconic SP ini disahkan pada kadar 370 PS. Dan dengan berat kereta yang ditimbang pada 1,450 kg (hampir 200 kg lebih berat dari FD3S kerana motor elektrik dan bateri hibrid yang dibekalkan), nisbah kuasa kepada berat kereta ini adalah pada kadar 3.9.

    Dalam kenyataan rasmi yang disiarkan hari ini, dengan jelas Mazda menyebut bahawa model konsep Iconic SP ini “menampilkan kuasa tinggi dihasilkan dari sistem EV rotary dua-rotor, bentuk dengan pusat graviti rendah serta agihan berat sekitar 50:50 bagi mencapai prestasi pemanduan yang cemerlang”.

    Mazda juga menyatakan bahawa kuasa elektrik dari bateri hibrid kereta sport konsep ini boleh digunakan untuk membekalkan kuasa ketika “menikmati aktiviti luar yang menyeronokkan dan juga ketika berlakunya bencana.”

    Rekaan dalaman Iconic SP ini turut dilihat menerima pengaruh yang kuat dari RX-7 FD3S. Ia menampilkan tempat duduk bucket yang diletak sangat rendah bersama terowong dan konsol tengah tinggi. Manakala papan pemuka direka ringkas dengan elemen mendatar, dipadankan bersama roda stereng deep dish tiga-jejari rata di bawah.

    Mazda Iconic SP didedahkan – model konsep RX-7 masa depan; hybrid enjin rotary dan sistem EV!

    Turut boleh dilihat ia diberikan skrin infotainmen utama di tengah papan pemuka, suis pemilih gear ‘PNDR’ yang disusun seperti pelaras equalizer bersama butang penghidup enjin di sebelahnya, serlahan jahitan benang merah, serta sebahagian panel pintu dan papan pemuka yang menerima kemasan warna badan.

    “Mazda akan sentiasa menyajikan kenderaan yang mengingatkan orang ramai bahawa kereta adalah kegembiraan sebenar dan bahagian yang amat diperlukan dalam kehidupan mereka. Sebagai sebuah syarikat yang cintakan kereta yang menghasilkan pengalaman mobiliti memberi inspirasi, kami komited untuk membentuk masa depan bersama rakan kerjasama kami berkongsi matlamat yang sama, serta peminat kami, di mana semua orang boleh dengan bangganya berkata, ‘kami suka kereta.’ Dengan kemahuan yang begitu kuat, Mazda komited untuk memperkayakan kehidupan dalam gerakan bagi mereka yang kami berkhidmat,” kata presiden dan CEO Mazda, Masahiro Moro.

    Walau bagaimanapun, Mazda masih belum membayangkan sama ada projek Iconic SP ini akan diteruskan sehingga ke peringkat produksi atau tidak. Namun menerusi teknologi yang ditunjukkan, sistem hibrid enjin rotary dengan dua motor elektrik ini tidak lagi bermasalah dengan undang-undang pencemaran udara yang ketat buat masa sekarang!

    GALERI: Gambar rasmi Mazda Iconic SP Concept 2023

     
     
  • Toyota Land Cruiser Se Concept – SUV EV tujuh tempat duduk, platform monocoque, rekaan moden

    Toyota Land Cruiser Se Concept – SUV EV tujuh tempat duduk, platform monocoque, rekaan moden

    Bersama dengan EPU Concept, Toyota juga telah mempamerkan satu lagi model konsep, iaitu Land Cruiser Se Concept di tapak pameran Japan Mobility Show 2023. Ya, ini adalah sebuah Land Cruiser EV yang mungkin akan memasuki fasa pengeluaran tidak lama lagi.

    Walaupun menggunakan nama Land Cruiser, model konsep ini tidak lagi menggunakan platform ladder frame, dan diganti dengan jenis monocoque. Menurut Toyota, LC Se ini dapat menawarkan pengendalian yang sangat responsif, yakin untuk berhadapan permukaan mencabar dan menyediakan prestasi pemanduan dengan tork tinggi, seperti yang boleh dijangka dari sebuah EV.

    Model konsep ini dinyatakan sebagai sebuah SUV besar dengan tiga baris tempat duduk, tetapi bahagian dalamnya masih belum ditunjuk. Toyota sekadar memanggilnya sebagai sebuah SUV dengan ruang kabin selesa, yang dapat memenuhi keperluan pengguna sedunia yang pelbagai.

    Berkenaan gaya dan bentuk, ia mempunyai rekaan tersendiri tanpa mengikuti banyak tanda daripada Land Cruiser sebelumnya. Antara yang jelas adalah kemasan hitam menegak di bawah lampu hadapan, seperti Land Cruiser 300, serta garis tingkap menaik seperti Prado 250 Series.

    Untuk saiz, Land Cruiser Se mencatat ukuran panjang 5,150 mm, lebar 1,990 mm, tinggi 1,705 mm dan jarak roda 3,050 mm. Sebagai perbandigan, ia hampir dengan Land Cruiser Prado yang mencatat panjang 4,925 mm, lebar 1,980 mm, tingi 1,870 mm dan jarak roda 2,850 mm.

    Perincian lain masih belum didedah, dan kita perlu menunggu maklumat selanjutnya daripada Toyota pada masa hadapan. Setakat ini, apa pendapat anda dengan Land Cruiser elektrik ini?

     
     
  • Toyota EPU Concept petunjuk Hilux EV masa hadapan

    Toyota EPU Concept petunjuk Hilux EV masa hadapan

    Unit sebenar Toyota EPU Concept yang didedahkan beberapa hari lalu melalui gambar teaser kini sudah dipamerkan di Tokyo Mobility Show 2023 (TMS 2023, dulunya dikenali sebagai Tokyo Motor Show). Meskipun tidak dinyatakan secara rasmi, nama EPU itu boleh digambarkan sebagai Electric Pick-Up, sementara Toyota sendiri cuma memberitahu ia adalah “trak saiz sederhana generasi seterusnya.” Mungkin ini adalah gambaran kepada Hilux EV masa hadapan.

    Rakan sekerja kami yang berada di TMS 2023 memberitahu, EPU Concept nampak lebih besar berbanding di dalam gambar dan mencatat ukuran 5,070 mm panjang, lebar 1,910 mm, tinggi 1,710 mm dan jarak roda 3,350 mm. Jika dibandingkan dengan Hilux Double Cab, ia 255 mm lebih pendek, 10 mm lebih lebar, 105 mm lebih rendah dan mempunyai jarak roda 265 mm lebih panjang.

    Berbeza dengan Hilux sekarang yang menggunakan platform ladder frame, EPU Concept diberitahu dibina atas platform monocoque dan Toyota mendakwa, ia dapat memberikan ketahanan tinggi, sesuai bagi sebuah trak pikap, dan pada masa sama masih boleh menjadi sebuah EV yang praktikal dan bergaya. Lantai yang rata menjadikan ruang barangan boleh disesuaikan untuk pelbagai kegunaan.

    Sebagai sebuah EV, EPU Concept dikatakan mempunyai tahap kesenyapan yang cemerlang, serta titik graviti yang rendah, menjadikan stabiliti kawalan serta keselesaannya lebih baik berbanding trak pikap biasa. Di dalam, ia menampilkan stereng jenis yoke, serta dua skrin yang berlapis.

    Buat masa sekarang, Toyota masih belum mendedahkan sebarang spesifikasi teknikal, jarak gerak atau catatan prestasi model konsep ini. Bagi anda macam mana? Adakah rekaan seperti ini boleh diterima sebagai pengganti Hilux di masa hadapan?

     
     
  • JPJ eBid: Siri VLN dan NEA bakal dibuka bidaan

    Kali ini giliran siri nombor pendaftaran terkini dari Negeri Sembilan dan WP Kuala Lumpur bakal dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari WP Kuala Lumpur, VLN mula dibuka bidaan pada hari ini, 27 Oktober 2023. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 31 Oktober. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 1 November 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Negeri Sembilan, NEA, bakal dibuka bidaan mulai 29 Oktober 2023. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 2 November, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 3 November 2023.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Kimi Räikkönen sertai divisi EV premium Geely, Zeekr sebagai ketua penasihat prestasi; lancar Zeekr 001 FR

    Kimi Räikkönen sertai divisi EV premium Geely, Zeekr sebagai ketua penasihat prestasi; lancar Zeekr 001 FR

    Zeekr telah mengumumkan bahawa juara Formula 1 2007, Kimi Räikkönen kini telah menyertai divisi kenderaan elektrik premium (EV) Geely berkenaan.

    Pengumuman ringkas itu dibuat menerusi laman media sosial X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter) jenama EV China tersebut dan menyebut Räikkönen akan memegang jawatan sebagai ketua penasihat prestasi, bukan sebagai duta yang menghiasi iklan semata-mata.

    Kimi Räikkönen akan memulakan tugas pertamanya dengan menyertai pelancaran model Zeekr 001 FR di Beijing, China pada 27 Oktober ini. Zeekr 001 FR merupakan model tingkat taraf dari 001 standard dengan prestasi litar yang jauh lebih serius dan menjadi pesaing terus kepada Tesla Model S Plaid.

    FR merupakan akronim kepada Future Roads, dan digerakkan dengan empat motor elektrik. Konfigurasi pacuan pada Zeekr 001 FR ini adalah dua motor elektrik pada gandar hadapan dan dua lagi berada pada gandar belakang, di mana setiap motor berkenaan memacu hanya satu roda. Dengan setiap motor memacu setiap roda secara bebas, Zeekr 001 FR ini boleh membuat pusingan seakan sebuah kereta kebal.

    Keempat-empat motor elektrik tersebut memberikan kuasa keseluruhan 1,265 PS – sebagai perbandingan, versi paling berkuasa Zeekr 001 sebelum ini dengan hanya dua motor elektrik dibekalkan dengan kuasa 544 PS dan tork maksima 768 Nm.

    Ini membolehkan Zeekr 001 FR tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 2.37 saat (2.07 jika bermula dengan rolling start), dan mampu mencapai kelajuan maksima 280 km/j.



     
     
  • Dasar hapus kereta lama tidak boleh dilaksana di Malaysia kerana tidak praktikal – Anthony Loke

    Dasar hapus kereta lama tidak boleh dilaksana di Malaysia kerana tidak praktikal – Anthony Loke

    Sudah lebih satu dekad dasar untuk menamatkan hayat kenderaan lama diperkatakan oleh pelbagai pihak, tetapi sebarang usaha bagi melaksanakan langkah berkenaan masih belum dibuat. Namun bagi mereka yang masih bergantung kepada kereta-kereta lama sebagai pengangkutan harian mungkin boleh menarik nafas lega dengan kenyataaan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke hari ini.

    Menurut Loke dalam laporan Bernama, Malaysia tidak melaksanakan dasar untuk menamatkan hayat kenderaan lama memandangkan langkah itu tidak praktikal, kerana ia mengambil kira keadaan sosioekonomi negara dan keperluan hidup rakyat terhadap pergantungan kepada kenderaan persendirian.

    “Kita tidak mempunyai dasar untuk menamatkan hayat kenderaan seperti beberapa negara (lain). Kalau buat satu dasar untuk scrap (menghapuskan) kereta lama, ia akan beri kesusahan kepada rakyat.

    “Data penjualan kereta juga meningkat, sekali gus menunjukkan keadaan ekonomi yang baik. Itu (ialah) indikator (yang menunjukkan) bahawa kita masih bergantung kepada penggunaan kenderaan persendirian, belum ada dasar menghalang pemilikan kenderaan (lama),” katanya.

    Walau bagaimanapun, Loke menjelaskan kerajaan sentiasa menggalakkan rakyat untuk memilki kenderaan elektrik (EV) atau menggunakan pengangkutan awam bagi mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke arah negara bebas pelepasan karbon menjelang 2030.

    Dasar hapus kereta lama tidak boleh dilaksana di Malaysia kerana tidak praktikal – Anthony Loke

    Untuk itu, Loke berkata kerajaan akan terus membangunkan dan melabur dalam sistem pengangkutan awam untuk menjadikan perkhidmatan itu lebih baik.

    “Dari segi nisbah pengangkutan awam kepada kenderaan persendirian, penggunaan sistem pengangkutan awam masih sangat rendah iaitu kira-kira kurang daripada 20 peratus.

    “Kami berharap dapat meningkatkan penggunaan sistem pengangkutan awam, tetapi sudah pasti ia memerlukan banyak usaha dan masa serta pelaburan daripada kerajaan,” katanya dan menambah usaha sedang diambil untuk menggalakkan industri EV di Malaysia.

    Loke turut mendedahkan 15 juta daripada 30 juta kenderaan di Malaysia ialah motosikal yang menyumbang kepada pelepasan karbon yang besar, justeru sebagai permulaan, kerajaan akan memberikan rebat hingga RM2,400 untuk pembelian motosikal elektrik seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 baru-baru ini.

     
     
  • Proton S70 – bahagian dalam kelihatan sama seperti Emgrand, guna suspensi belakang torsion beam

    Proton S70 – bahagian dalam kelihatan sama seperti Emgrand, guna suspensi belakang torsion beam

    Ini ada lagi gambar Proton S70, yang dihantar oleh seorang pembaca paultan.org. Kali ini, kita dapat melihat secara kasar bahagian dalam serta bawah sedan segmen C ini, yang dijangka dilancar pada bulan November tahun ini.

    Tidak begitu mengejutkan, bahagian dalam S70 ini kelihatan sama seperti model yang diguna sebagai asas, iaitu Geely Emgrand, meskipun ia menggunakan kedudukan stereng di sebelah kanan. Ini termasuklah bahagian konsol tengah, serta skrin sesentuh di tengah.

    Bentuk perumah panel instrumen juga kelihatan sama, tetapi agak sukar untuk kita mengetahui sama ada ia menggunakan panel instrumen digital penuh ataupun tidak. Stereng juga sama, tetapi diganti dengan logo Proton di tengah.

    Proton S70 – bahagian dalam kelihatan sama seperti Emgrand, guna suspensi belakang torsion beam

    Satu lagi gambar yang dihantar oleh pembaca ini menunjukkan bahagian belakang, dari bawah, sekaligus menampakkan tetapan torsion beam, sama seperti Emgrand yang dijual di Filipina. X50 yang menggunakan platform B-MA yang sama juga menggunakan torsion beam di belakang, dan tetapan MacPherson di hadapan.

    Penggunaan platform ini juga membenarkan penggunaan enjin tiga silinder 1.5L turbo daripada SUV itu. Ia mampu menghasilkan kuasa 177 PS dan tork 255 Nm, sekaligus lebih tinggi berbanding enjin empat silinder 1.5L NA pada Emgrand pasaran Filipina (102 PS/142 Nm).

    Untuk rekaan luar, melalui gambar yang tersebar sebelum ini, kita dapat melihat S70 ini secara kasarnya memang mengikut bentuk Emgrand, tetapi diberikan dengan perincian tersendiri pada gril hadapan (corak infinite weave atau pin krom, mengikut varian) serta tulisan Proton di bahagian panel tengah yang menyambungkan dua lampu belakang.