Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Range Rover Velar facelift 2024 di Malaysia – galeri penuh; tiga varian P250; 2.0T 250 PS; dari RM638,800

    Range Rover Velar facelift 2024 di Malaysia – galeri penuh; tiga varian P250; 2.0T 250 PS; dari RM638,800

    Seperti yang pernah dipaparkan sebelum ini, Range Rover Velar facelift 2024 sudah pun berada di pasaran Malaysia dan tempahannya juga telah dibuka sejak September lalu. Kini, kami membawakan pula galeri penuh SUV mewah ini untuk tatapan anda.

    Untuk pasaran Malaysia, tiga varian ditawarkan bagi model L560 yang dikemaskini ini iaitu P250 Dynamic SE M spec, P250 Dynamic SE H spec dan juga P250 Dynamic HSE L spec, yang dijual pada harga bermula RM638,800.

    Ketiga-tiga varian menerima penjana kuasa P250 yang sama iaitu enjin petrol 2.0 liter empat-silinder turbo yang menghasilkan 250 PS (247 hp) dan tork maksima 365 Nm. Ia digandingkan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan dan pacuan semua-roda, yang dikendalikan menerusi sistem Terrain Response 2.

    Range Rover Velar facelift 2024 di Malaysia – galeri penuh; tiga varian P250; 2.0T 250 PS; dari RM638,800

    Pada bahagian luaran, model facelift ini tampil dengan sedikit kelainan. Ia menerima rekaan gril baharu, selari dengan yang ada pada Range Rover terkini. Begitu juga dengan lampu utama Pixel LED dengan DRL, dan di belakang hadir dengan lampu lebih moden dengan apron diperkemaskan. Dua warna baharu iaitu Metallic Varesine Blue dan Premium Metallic Zadar Grey ditawarkan pada versi kemaskini SUV ini.

    Selain itu, Velar facelift juga diberikan rim rekaan baharu, di mana H dan L Spec datang dengan rim Style 1075 10-jejari 22-inci dalam kemasan kelabu gelap berkilat dengan serlahan diamond turned atau hitam kilat sepenuhnya. Manakala M spec pula menerima set rim 1089 Style 20-inci 10-jejari dalam kemasan hitam berkilat.

    Di dalamnya, Velar 2024 menampilkan papan pemuka minimalis yang nampak lebih ‘kosong’ dari sebelum ini. Ia dilengkapi dengan sistem infotainmen Pivi Pro terbaru yang menampilkan skrin sentuh lengkung 11.4-inci terapung. Sistem ini menyokong sambungan tanpa wayar Android Auto dan Apple CarPlay dan boleh dikemaskini secara over-the-air.

    Range Rover Velar facelift 2024 di Malaysia – galeri penuh; tiga varian P250; 2.0T 250 PS; dari RM638,800

    Tiada sebarang suis dan butang fizikal dapat dilihat pada papan pemuka ini. Menurut Range Rover, kawalan untuk sistem pendingin hawa, tetapan tempat duduk dan larasan audio boleh dibuat menerusi butang maya pada bar setiap sisi skrin utama yang sentiasa terpampang. Pemandu turut boleh mengakses mod-mod dalam Terrain Response juga dengan cara yang sama.

    Velar facelift ini juga menampilkan fungsi Active Road Noise Cancellation, iaitu sistem unik yang mampu mengira isyarat radio bagi dimainkan semula pada pembesar suara Meridian dalam kabin, dibuat bagi merendahkan tahap desibel dalam kereta.

    Ia turut diberikan Cabin Air Purification Plus dan juga pencahayaan ambien 30-lampu yang boleh dikonfigurasikan (kedua-duanya untuk L spec) juga merupakan antara perincian keselesaan lain yang turut disertakan pada Velar 2024 ini. Manakala H dan L spec pula diberikan suspensi Adaptive Dynamics.

    JLR turut menawarkan Technology Pack untuk Velar facelift pasaran Malaysia ini. Pek tersebut memberikan perician seperti paparan head-up, sistem kamera sekeliling 3D, bantuan parkir, dan juga fungsi Wade Sensing bagi membantu pemandu meredah air seperti banjir dan sebagainya.

     
     
  • JPJ eBid: KFS dan JWQ dibuka untuk bidaan

    Bagi yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri nombor pendaftaran terkini Kedah, KFS, sedang dibuka bidaan sejak 22 Oktober lalu dan ia berlangsung selama lima hari iaitu sehingga jam 10 malam pada 26 Oktober. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 27 Oktober 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Johor pula, JWQ, bidaannya akan dibuka pada 26 Oktober. Ia berlangsung selama lima hari dan akan berakhir jam 10 malam pada 30 Oktober. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 31 Oktober 2023 ini.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Tesla Supercharger ada di Freeport A’Famosa Melaka

    Tesla Supercharger ada di Freeport A’Famosa Melaka

    Lokasi tersedia untuk Tesla Supercharger kini semakin bercambah di Malaysia, dengan penambahan terkini turut dilihat ada di Freeport A’Famosa Outlet di Melaka. Terletak di medan kereta pusat beli-belah berkenaan, dengan empat unit pengecas V3 yang mampu menyediakan pengecasan pantas sehingga 250 kW DC setiap satunya.

    Ketika ini belum ada perincian tentang kos penggunaan bagi Tesla Supercharger di lokasi berkenaan. Namun, sebagai rujukan, lokasi di Pavilion KL dan Iskandar Puteri mengenakan caj RM1.25 per kWh dengan caj RM4 seminit jika membiarkan kenderaan selepas pengecasan selesai. Sama seperti di lokasi lain, tertera makluman bahawa kemudahan ini hanya untuk kenderaan Tesla sahaja.

    Awal bulan ini, Tesla Malaysia secara rasminya membuka ibu pejabat operas di Cyberjaya yang berfungsi juga sebagai pusat servis dan bilik pameran. Di situ, sebanyak lapan unit Tesla Supercharger dan 12 pengecas Wall Connector dipasang — namun hanya untuk kegunaan dalaman.

     
     
  • BMW X1 sDrive20i xLine 2023 di M’sia – galeri penuh; CKD; 2.0T 204 PS; dari RM239k; kurang RM33k dari iX1

    BMW X1 sDrive20i xLine 2023 di M’sia – galeri penuh; CKD; 2.0T 204 PS; dari RM239k; kurang RM33k dari iX1

    BMW X1 sDrive20i xLine 2023 telah pun diperkenalkan di pasaran Malaysia pada awal bulan ini, dengan harga atas jalan RM238,900 tanpa insurans. Ia didatangkan dengan waranti standard dua-tahun, tetapi jika hendak tambah dengan waranti lanjutan lima-tahun dan pakej penyelenggaran, harganya meningkat menjadi RM259.800. Untuk itu, kami membawakan pula galeri foto penuh untuk SUV mewah ini.

    Seperti X1 generasi kedua (F48) sebelum ini, model generasi ketiga (u11) terkini ini merupakan unit pemasangan tempatan (CKD) di Kulim, Kedah. Versi janaan petrol bagi X1 ini menyertai adiknya dalam versi elektrik, iX1 xDrive30 M Sport, yang ditawarkan dengan harga bermula RM272,370 (atau RM285,800 dengan waranti lanjutan dan pakej penyelanggaran).

    X1 sDrive20i xLine diberikan enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris dengan kuasa cecah 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan tork 300 Nm. Ia digandingkan bersama transmisi dwi-klac Steptronic tujuh-kelajuan yang menyalurkan kuasa ke roda hadapan, membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 7.6 saat dan kelajuan maksimum cecah 236 km/j.

    Ciri standard bagi X1 buatan tempatan ini ialah dengan pakej penggayaan xLine yang merangkumi bampar lebih agresif dengan kemasan visual utamatermasuklah “kidney grille” dengan bingkai Pearl Chrome dan jalur hitam berkilat, panel pelindung bawah badan, kemasan krom bagi bukaan udara serta kemasan kelabu gelap untuk apron bawah.

    Kelengkapan standard untuk X1 termasuklah lampu utama LED adaptif, rim 19-inci jejari-V Style 867 dwi-warna, sistem infotainmen dengan skrin sentuh 10.7-inci, sistem pencahayaan ambien, kawalan suhu dua-zon, balutan kerusi Sensatec, pedal penukar gear, tempat duduk pemandu larasan kuasa dengan fungsi memori dan My Modes.

    Untuk sistem infotainmen, ia berasaskan BMW Operating System 8 dan menyokong Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar serta ConnectedDrive. Selain itu, ia juga diberikan Comfort Access dan pad pengecas tanpa wayar secara standard bersama Digital Key Plus, yang boleh dihubungkan dengan telefon pintar (dengan cip ultra-wideband) untuk membuka kunci kereta.

    Risalah spesifikasi BMW X1 sDrive20i xLine 2023; klik untuk besarkan

    Bagi sistem bantuan pemandu, X1 sDrive20i xLine menerima pakej Bantuan Parkir dan Pemanduan. Ini termasuklah ciri ketibaan lorong dan amaran menukar lorong, amaran pejalan kaki dan pelanggaran, kepekaan trafik lintasan belakang, amaran pelanggaran belakang, info pengehad kelajuan, Kawalan Jarak Parkir Aktif, Bantuan Mengundur, dan kamera pandangan-belakang.

    Walau bagaimana pun, model ini tidak dilengkapi dengan kawalan kelajuan adaptif, yang ditawarkan pada iX1. Varian semua-elektrik itu turut menerima ledakan kuasa dari dwi-motor, penjana kuasa pacuan semua-roda untuk harga premium lebih RM33,470 (atau RM26,000 dengan pakej waranti dan penyelenggaran lanjutan), berbanding model X1 janaan-petrol.

    Lima warna ditawarkan bagi model ini, iaitu Black Sapphire, Alpine White, Cape York Green, Phytonic Blue dan Space Silver, semuanya digandingkan dengan balutan Sensatec rona hitam dan lapik bumbung anthracite.

     
     
  • Neta V CKD pada tahun 2024 – kilang di Negeri Sembilan, bermula dengan pemasangan EV Neta?

    Neta V CKD pada tahun 2024 – kilang di Negeri Sembilan, bermula dengan pemasangan EV Neta?

    Menyusuli perjanjian yang telah ditandatangani Jun lalu, Careplus, bersama rakan kongsinya, GoAuto menyatakan bahawa pemasangan kenderaan dalam negara (kilang di Chembong, Negeri Sembilan) akan bermula pada hujung tahun hadapan. Perkara ini dinyatakan oleh pengarah eksekutif dan CEO kumpulan Careplus, Lim Kwee Shyan kepada The Edge Malaysia.

    “Harapnya kami dapat memulakan pemasangan kenderaan pada penghujung tahun 2024. Kami akan bermula dengan pemasangan sehingga 10,000 kereta Neta, seperti kapasiti kilang sekarang, dan 30,000 unit dalam masa setahun,” tambah Lim.

    Kerjasama di antara Careplus dan GoAuto melibatkan beberapa syarikat, dengan yang pertama adalah melibatkan NexV Manufacturing untuk kilang pengeluaran, dengan mereka telah menyediakan sebidang tanah 74 ekar di Chembong, Negeri Sembilan untuk tujuan tersebut. Tanah itu sekarang dimiliki oleh Careplus dan syarikat itu akan mempunyai pegangan sebanyak 51% untuk kerjasama tersebut.

    Neta V CKD pada tahun 2024 – kilang di Negeri Sembilan, bermula dengan pemasangan EV Neta?

    Syarikat seterusnya adalah Intro Synergy, yang sekarang dimiliki penuh oleh GoAuto, tetapi 30% pegangannya akan dibeli oleh Careplus. Syarikat ini akan bertanggungjawab untuk pengimportan, pengedaran dan penjualan kenderaan elektrik jenama Neta.

    Satu lagi syarikat yang ditubuhkan adalah NexV Synergy, yang akan menyaksikan Careplus memegang hak untuk pusat pengedar EV Neta, dengan pegangan 70% dalam syarikat. Careplus akan menguruskan sepenuhnya urusan pengedaran dan operasi, serta kawalan kewangan penuh, sementara NexV Synergy akan menyewa sebuah kompleks satu tingkat di Careplus Mall untuk dijadikan pusat pameran – lapor The Edge Malasia.

    Antara model yang boleh dijangka tiba adalah Neta V, yang dipertontonkan di Malaysia buat pertama kali Mei lalu, dan kini merupakan EV paling murah di Malaysia, dengan harga RM99,800.

     
     
  • LRT Laluan Kelana Jaya capai kekerapan tren tiga minit pada waktu puncak menjelang hujung Okt ini

    LRT Laluan Kelana Jaya capai kekerapan tren tiga minit pada waktu puncak menjelang hujung Okt ini

    Kementerian Pengangkutan Malaysia (MoT) memaklumkan bahawa perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya dijangka mencapai kekerapan tren tiga minit pada waktu puncak menjelang hujung bulan ini. Di mana, ketika ini kekerapan tren adalah 3.8 minit pada waktu puncak berbanding 4.4 minit pada Disember 2022.

    Peningkatan kekerapan tren tersebut berikutan pengoperasian tiga tren baharu di laluan itu bermula bulan lalu, ujar MoT.

    “Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) sudah melaksanakan beberapa usaha untuk meningkatkan kekerapan perkhidmatan tren. Tiga tren empat gerabak (bagi laluan Kelana Jaya) memulakan operasi pada September lalu.

    “Baki 16 tren lagi akan diterima secara berperingkat sehingga Disember 2024 menerusi projek Kuala Lumpur Additional Vehicles 27 (KLAV27),” katanya dalam jawapan disiarkan di laman sesawang Parlimen, laporan Bernama.

    LRT Laluan Kelana Jaya capai kekerapan tren tiga minit pada waktu puncak menjelang hujung Okt ini

    Manakala bagi laluan Transit Aliran Massa (MRT) Kajang pula, MOT memaklumkan penggantian roda tren sedang dilaksanakan dan kekerapan tren pada waktu puncak disasar akan bertambah baik dari enam minit kepada empat minit pada hujung Januari 2024.

    Selain itu, kementerian memaklumkan Prasarana sedang melaksanakan beberapa inisiatif untuk LRT Laluan Kelana Jaya dan MRT Laluan Kajang termasuk program khas bagi membaik pulih komponen tren yang kerap mengalami masalah.

    “(Antara masalah itu) penukaran tayar tren dan aktiviti penyelenggaraan yang fokus kepada punca kegagalan tren semasa operasi untuk meningkatkan ketersediaan tren,” katanya.

     
     
  • Terowong Genting Sempah arah barat ditutup hingga 26 Okt untuk diselenggara, setiap 9 malam-5 pagi

    Terowong Genting Sempah arah barat ditutup hingga 26 Okt untuk diselenggara, setiap 9 malam-5 pagi

    ANIH Berhad selaku pengendali Lebuhraya Pantai-Timur 1 (LPT1) memaklumkan bahawa Terowong Genting Sempah arah barat ditutup pada setiap hari, jam 9 malam-5 pagi, sejak semalam (23 Okt) sehingga 26 Okt 2023. Penutupan terowong terbabit adalah bagi kelancaran kerja-kerja penyelenggaran di lokasi.

    Sehubungan itu, pengguna LPT1 yang menuju ke arah barat, akan dilencongkan ke terowong arah timur untuk meneruskan perjalanan. Sila patuhi isyarat papan tanda dan arahan petugas. Terus fokus dalam pemanduan dan sentiasa berhati-hati di jalan raya.

     
     
  • Wanita maut dirempuh sebuah Satria Neo dipandu remaja perempuan berumur 14 tahun di Alor Setar

    Wanita maut dirempuh sebuah Satria Neo dipandu remaja  perempuan berumur 14 tahun di Alor Setar

    Seorang peniaga wanita berusia 32 tahun maut dalam satu kemalangan yang berlaku di Jalan Kuala Kedah, Alor Star semalam selepas motosikal yang dinaikinya dirempuh oleh sebuah Proton Satria Neo yang dipandu oleh seorang remaja berumur 14 tahun, lapor Kosmo.

    Mangsa, Nur Shafiqah Abdullah, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di beberapa bahagian badan, manakala kakaknya Nooraliza Abdullah, 43 yang turut bersama menaiki motosikal tersebut mengalami kesakitan di bahagian dada, pinggang dan kaki kiri.

    Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Syed Basri Syed Ali, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 7.05 malam semalam.

    “Siasatan mendapati, dua beradik yang menaiki motosikal jenis Honda Wave tersebut bergerak dari lampu isyarat Taman Bersatu menghala ke Kuala Kedah manakala kereta Proton Satria dipandu remaja perempuan datang dari arah bertentangan.

    “Kereta tersebut dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke pembahagi tengah jalan sebelum masuk ke arah bertentangan,” katanya dan menambah kereta itu kemudian bertembung dengan motosikal dinaiki Nur Shafiqah dan kakaknya menyebabkan mangsa maut di lokasi kejadian manakala kakaknya pula cedera di beberapa bahagian badan.

    Syed Basri turut menjelaskan bahawa kejadian itu berlaku ketika hujan dan jalan basah, manakala remaja perempuan tersebut yang tidak bekerja dan tidak bersekolah dipercayai memandu kereta milik rakan ibunya.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu kereta tersebut yang gagal mengawal kenderaannya,” katanya.

    Beliau turut memberitahu bahawa pihaknya kini masih berusaha mengesan saksi awam di lokasi kejadian dengan pemeriksaan lanjut akan turut dijalankan terhadap kenderaan terlibat.

    “Pihak kami akan berusaha mengesan pemilik kereta itu dan mengambil tindakan terhadapnya kerana membenarkan kenderaan tersebut dipandu remaja bawah umur,” katanya.

     
     
  • Beberapa jalan di Kajang, Bukit Jalil dan Ara Damansara terjejas akibat banjir lewat petang ini

    Beberapa jalan di Kajang, Bukit Jalil dan Ara Damansara terjejas akibat banjir lewat petang ini

    Hujan lebat yang melanda beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang lewat petang ini telah mengakibatkan banjir di sekitar Kajang, Bukit Jalil-Kinrara dan Kelana Jaya-Ara Damansara di Petaling Jaya.

    Menerusi perkongsian netizen di laman media sosial X, terdapat dua jalan utama di Kajang yang sedang ditenggelami air banjir iaitu di Jalan Reko dan di hadapan KTM Kajang 2.

    Ada netizen turut berkongsikan laluan di terowong yang menghubungkan antara Kelana Jaya-Ara Damansara, yang terletak di belakang pusat membeli-belah Paradigm Mall, turut ditenggelami banjir. Kelihatan ada beberapa kenderaan yang cuba meredah banjir di laluan tersebut.

    Jika jalan yang ingin anda lalui terjejas akibat banjir, sila tangguh perjalanan anda sekiranya boleh dan elak daripada meredah air banjir kerana ia mungkin boleh menyebabkan kerosakan pada kenderaan anda.

    Seperti peringatan kami sebelum ini, anda sangat digalakkan untuk mengambil insurans perlindungan kerosakan kenderaan akibat banjir (special perils). Kerana sekiranya kenderaan anda rosak akibat banjir yang teruk, sudah tentu ia melibatkan kos baik pulih yang sangat tinggi. Jika insuran anda tidak disertakan dengan perlindungan special perils ini, sudah tentu kos pembaikkan tersebut perlu keluar dari poket anda sendiri.

     
     
  • MBPG kuatkuasa larangan parkir depan rumah mulai 1 Jan 2024 – kompaun RM100-RM2k jika melakukannya

    MBPG kuatkuasa larangan parkir depan rumah mulai 1 Jan 2024 – kompaun RM100-RM2k jika melakukannya

    Awal bulan ini tular di laman media sosial mengenai Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) yang mengeluarkan notis kompuan sekiranya ada penduduk meletakkan kenderaan di hadapan rumah (luar pagar) hingga menghalang lalu lintas. Walau bagaimana pun, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu kemudiannya menangguhkan seketika larangan terbabit untuk berbincang semula mengenai isu terbabit.

    Hari ini, MBPG telah mengeluarkan semula notis makluman bahawa larangan meletak kenderaan di hadapan rumah akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2024. Menurut Datuk Bandar Pasir Gudang, Datuk Asman Shah Abd Rahman, perkara ini diputuskan selepas mengadakan mesyuarat khas MBPG pada Rabu lalu.

    Jelasnya, pada dasarnya semua ahli majlis bersetuju dan menerima kertas dasar pelaksanaan itu yang akan dikuatkuasakan pada 1 Januari 2024.

    “Mulai sekarang hingga 31 Disember ini adalah proses kesedaran dan pendidikan kepada semua pihak dengan cara pengeluaran notis pemberitahuan sahaja kepada yang terbabit,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

    MBPG kuatkuasa larangan parkir depan rumah mulai 1 Jan 2024 – kompaun RM100-RM2k jika melakukannya

    Walau bagaimana pun, kompaun melalui peruntukan mengikut Undang-Undang Kecil, Jalan, Parit dan Bangunan MBPG tidak akan terus dikeluarkan kepada penduduk kerana siasatan akan dilakukan terlebih dahulu.

    “Kita akan lakukan siasatan dengan berjumpa pengadu dan pemilik kereta. Notis akan diberikan kepada pemilik kenderaan yang menghalang laluan. Notis itu diberi tempoh sehingga 21 hari untuk pemilik kereta mengambil tindakan penambahbaikkan. Selepas itu, sekiranya tiada tindakan pemulihan MBPG akan kompaun RM100 hingga maksimum RM2,000 bagi kesalahan berulang,” katanya.

    Sebelum ini, MBPG telah mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan penguatkuasaan, tetapi untuk tindakan penguatkuasaan yang difokuskan dan diutamakan adalah berdasarkan aduan yang diterima. Ini kerana setiap aduan yang diterima perlu diberikan maklum balas dan diambil tindakan selanjutnya.

    “Untuk makluman semua, rekod bagi aduan kacau ganggu kenderaan (kenderaan menghalang, kenderaan terbiar/buruk, kenderaan yang diletakkan di simpang jalan/laluan utama dan lain-lain) yang diterima oleh pihak MBPG sebanyak 242 aduan pada tahun 2022. Manakala setakat September 2023 pula, sebanyak 349 aduan diterima,” kata kenyataan tersebut.

     
     
  • Malaysia raih pelaburan EV RM26 bilion sejak 2018; sasar RM20 bilion pada 2025, RM40 bilion pada 2030

    Malaysia raih pelaburan EV RM26 bilion sejak 2018; sasar RM20 bilion pada 2025, RM40 bilion pada 2030

    Menurut Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Malaysia telah meraih sebanyak RM26.2 bilion pelaburan bagi sektor EV yang sudah diluluskan, melalui 59 projek sejak 2018 hingga separuh pertama 2023.

    Perkara ini didedahkan oleh Tengku Zafrul dalam satu hantaran di laman rasmi Facebook-nya yang turut mengandungi ucapan tahniah kepada EP Manufacturing (EPMB), yang baru-baru ini mengumumkan akan memulakan pembinaan kemudahan pengilangan automotif di Melaka.

    Kilang pemasangan berkenaan akan dibangunkan di Taman Perindustrian Hicom Pegoh, dan bakal memasang dan mengeluarkan kenderaan BAIC dan Great Wall Motor (GWM) apabila siap nanti, dengan kapasiti tahunannya mencapai 30,000 unit bagi fasa pertama operasi kelak. EPMB akan melabur sebanyak RM100 juta untuk projek berkenaan yang dijanga akan mewujudkan 1,000 peluang pekerjaan baru di Melaka.

    Ke depan, melalui hantaran yang sama Tengku Zafrul memaklumkan Malaysia mensasarkan untuk menarik pelaburan tambahan sebanyak RM20 bilion bagi sektork EV menjelang 2025, dengan angka berkenaan akan berlipat sekali ganda menjadi RM40 bilion menjelang 2030.

    Kerajaan melalui MITI dan MIDA akan terus memudahcara peluang pelaburan dan mempromosi pertumbuhan segmen automotif EV.

     
     
  • Toyota Land Cruiser Se – SUV elektrik kelas tinggi

    Toyota Land Cruiser Se – SUV elektrik kelas tinggi

    Satu lagi kenderaan yang akan dibawa oleh Toyota ke Japan Mobility Show 2023 adalah Land Cruiser Se. Ia akan menyertai antaranya trak pikap elektrik EPU, skuter elektrik Land Hopper dan kerusi roda elektrik Juu di kawasan pameran.

    Tidak menggunakan binaan badan body-on-frame seperti Land Cruiser 300 dan Land Cruiser Prado 250, dan diganti dengan jenis monocoque, Land Cruiser Se ini boleh menempatkan tujuh orang di dalamnya dan mencatat ukuran panjang 5,150 mm, lebar 1,990 mm, tinggi 1,705 mm dan jarak roda 3,050 mm. Sebagai perbandigan, Land Cruiser Prado mencatat panjang 4,925 mm, lebar 1,980 mm, tingi 1,870 mm dan jarak roda 2,850 mm.

    Banyak menggunakan garis-garis badan lurus dan tajam, kereta konsep ini masih nampak gagah dan terletak tingi. Ia juga nampak lebih canggih dengan rekaan lampu nipis di hadapan dan belakang, sementara bumbung pula nampak seakan terapung dengan tiang yang dihitamkan.

    Sebagai sebuah kenderaan elektrik bateri, Land Cruiser Se mahu “memberikan prestasi pemanduan tork tinggi unik BEV”, sementara kesenyapan yang wujud pada kenderaan elektrik membantu mencipta suasana kabin yang selesa apabila berada di kawasan urban dan atas jalan biasa lain, kata Toyota.

    Sama seperti EPU, perincian teknikal Land Cruiser Se ini masih belum didedahkan. Satu lagi yang perlu diberi perhatian, Toyota tidak memanggil Land Cruiser Se ini sebagai sebuah kereta konsep. Adakah ini bermakna ia sebuah kenderaan elektrik penuh versi produksi baru?

     
     
  • Lagi imej Proton S70 terdedah – ini mungkin varian paling murah dengan harga RM70k hingga RM80k?

    Lagi imej Proton S70 terdedah – ini mungkin varian paling murah dengan harga RM70k hingga RM80k?

    Minggu lalu telah terdedah sepenuhnya imej sedan pengganti Preve iaitu Proton S70 dalam versi varian paling tinggi yang dilihat sedang membuat penggambaran iklan. Dan set imej yang anda lihat dihantar oleh pembaca yang enggan dikenali ini mungkin S70 dalam versi varian paling asas berdasarkan beberapa perincian yang boleh dilihat.

    Pertama sekali, dua unit yang berwarna perak ini dipadankan dengan gril hadapan dengan corak infinite weave, iaitu corak ukiran rumah tradisional melayu seperti pada rekaan Proton X50 dan X70. Ia berbeza dengan varian paling tinggi S70 yang sebelum ini dilihat mengenakan gril yang nampak lebih mewah dengan motif pin krom atau corak kain songket seperti pada Proton X90.

    Kemudian dapat dilihat juga model varian paling asas ini diberikan lampu hadapan jenis projektor, berbanding varian tertinggi yang menerima lampu hadapan jenis LED penuh. Selain itu, S70 yang mungkin dalam versi paling murah ini juga dilihat hadir tanpa kit badan, mengenakan rim aloi berdiameter lebih kecil bersama tayar dengan profil lebih tebal, serta masih menerima penderia parkir pada sebelah hadapan.

    Dijangkakan kesemua varian S70 ini akan dijana oleh unit rangkaian kuasa yang menampilkan enjin petrol 1.5 liter tiga silinder turbo yang digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh-kelajuan. Namun ada kemungkinan varian paling tinggi akan dijana oleh enjin yang dilengkapi sistem suntikan bahan api terus (GDi) dan varian lebih rendah hanya diberikan sistem suntikan bahan api biasa pada port (PFi) seperti pada Proton X50.

    Lagi imej Proton S70 terdedah – ini mungkin varian paling murah dengan harga RM70k hingga RM80k?

    Pada SUV segmen-C tersebut, enjin T-GDi pada varian tertinggi Flagship mampu menghasilkan 177 PS dan tork maksima 255 Nm, manakala enjin turbo PFI yang dipadankan pada varian premium dan ke bawah mampu menghasilkan 150 PS dan tork maksima 226 Nm. Walau bagaimanapun angka kuasa dengan sistem PFI ini masih lebih tinggi berbanding kembar S70 di China dan Filipina iaitu Geely Emgrand yang hanya menerima enjin 1.5 liter NA bersama kotak gear CVT.

    Di Filipina, Emgrand merupakan sedan segmen-B yang bersaing dengan model seperti Honda City dan juga Toyota Vios. Namun dengan saiz yang menghampiri sedan segmen-C, Proton nampaknya menghasilkan S70 bagi menggantikan tempat Preve untuk bertanding terus dengan Honda Civic dan Toyota Corolla.

    Mengambil saiz Emgrand sebagai rujukan, sedan baharu Proton yang dijual satu tangga lebih tinggi dari sedan segmen-B Persona ini menampilkan dimensi 4,638 mm panjang, 1,820 mm lebar, 1,460 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,650 mm. Jika dibandingkan dengan Honda Civic FE, S70 hanya 40 mm lebih pendek tetapi 18 mm lebih lebar, bersama jarak roda yang sepenuhnya sama dengan Proton Preve.

    Varian paling tinggi Proton S70 yang dilihat sedang menjalani penggambaran iklan sebelum ini

    Bagi membolehkan ia bertanding dalam kelas segmen-C, sebab itulah ia menggunakan nama S70 dan bukan S50 serta menerima enjin dengan pengecas turbo. Malah bagi S70 dalam varian lebih tinggi, ia turut akan menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) yang turut tidak disertakan pada Emgrand di China dan Filipina.

    Kami juga menjangkakan S70 turut akan menampilkan harga seperti Preve iaitu harga seperti segmen-B tetapi dengan ciri seperti segmen-C. Preve sebelum ini dijual pada harga bermula RM59,990 sehingga RM72,990 ketika ia dilancarkan pada 2012, manakala Proton Persona dijual pada harga bermula RM47,800 untuk varian 1.6L Standard CVT hingga RM58,300 untuk varian tertinggi 1.6L Premium CVT.

    Dengan Proton X50 yang kini dijual pada harga RM86k hingga RM113k, boleh jadi S70 dalam varian paling asas ini akan dijual bermula RM70k? Apa pun, tak lama dah kita perlu tunggu kerana model ini bakal dilancarkan secara rasmi bulan hadapan!

     
     
  • Toyota EPU – trak pikap EV konsep bersaiz sederhana

    Toyota EPU – trak pikap EV konsep bersaiz sederhana

    Toyota telah mendedahkan salah satu kenderaan yang mereka akan bawa ke Japan Mobility Show hujung bulan ini di Tokyo, Jepun. Ia dalah sebuah trak pikap elektrik konsep, yang dinamakan sebagai EPU. Ia akan menyertai kenderaan lain di tapak pameran seperti Land Cruiser SE, skuter elektrik Land Hopper serta kerusi roda elektrik Juu.

    EPU diberitahu adalah sebuah trak pikap yang menggunakan badan monocoque, dengan ukuran 5,070 mm panjang, lebar 1,910 mm, tinggi 1,710 mm dan jarak roda 3,350 mm. Jika dibandingkan dengan Hilux, ia lebih pendek 255 mm, kurang lebar 190 mm dan lebih rendah 105 mm. Di dalam, ia boleh menempatkan lima orang.

    Menurut Toyota, binaan monocoque pada EPU ini membenarkan penghasilan ruang barangan pelbagai guna, dan salah satu gambar yang disiarkan menunjukkan pintu bahagian ruang barangan belakang trak konsep tersebut boleh dilungsur, sekaligus dapat menempatkan barang yang lebih panjang.

    Menurut Toyota, kabin belakang EPUC “disambungkan dengan gagah kepada pelantarnya” untuk menyokong kepelbagaian guna dan gaya hidup termasuk aktiviti luar. Seperti kebanyakan kereta elektrik lain, Toyota memberitahu trak pikap ini tidak akan mengeluarkan bunyi mempunyai titik graviti yang rendah, memberikan “stabiliti pengendalian hebat dan selesa.”

    Di bahagian dalamnya, roda stereng biasa yang berbentuk bulat diganti dengan jenis yoke yang terpotong separuh dan di belakangnya terdapat dua skrin yang berlapis. Turut diletakkan pada bahagian kiri skrin yang di tengah adalah butang pemula enjin, brek parkir serta pilihan gear.

    Toyota masih belum mendedahkan sebarang spesifikasi teknikal, jarak gerak atau prestasi untuk EPU ini, tetapi sekurang-kurangnya ia boleh memberi gambaran kepada kita kemungkinan kepada produk elektrik pengeluar daripada Jepun ini.

     
     
  • Proton Exora 2024 hasil rekaan oleh Saharudin Design

    Proton Exora 2024 hasil rekaan oleh Saharudin Design

    Selepas 14 tahun, pengeluaran Proton Exora dihentikan minggu lalu. Ketika ini, masih belum ada sebarang makluman sama ada model berkenaan akan diteruskan untuk generasi terbarunya atau tidak. Apa pun, Saharudin Design memberikan sedikit suluhan terhadap rekaan MPV tersebut yang dibayangkan semula melalui lakaran digital ini.

    Masih mengekalkan rekabentuk umum yang sama, Exora yang ditampilkan ini lebih segar dengan DRL berbentuk C di bahagian lampu utama, dengan lampu kabus diletakkan lebih ke bawah. Panel besar dengan logo Proton mengambil tempat grilnya, dan disertai juga oleh bukaan udara di bawah dengan mesh bercorak berlian (seperti pada SUV X90).

    Rekaan lain yang boleh dilihat ialah bahagian atas bonet yang dihadirkan bukaan udara, garis bumbung yang lebih rendah dan nipis serta penggunaan rim lebih besar. Ada juga “sirip” kecil di bahagian tiang C yang mencadangkan penampilan ala bumbung terapung.

    Bahagian belakang rekaan ini pula menampilkan lengkung tayar yang lebih ketara, dengan garis badan yang juga cukup menonjol. Sama seperti di depan, lampu belakang juga hadir dengan elemen rekaan bentuk C. Bahagian belakang ini juga nampaknya menampilkan rekaan yang lebih menarik dan matang dari rekaan lama sebuah Exora.

    Jika akan ada lagi MPV Exora generasi baru, adakah rekaan ini cukup menarik untuk dijadikan kenyataan? Atau elok kekal sahaja menggunakan MPV daripada Geely, sama seperti model-model semasa Proton ketika ini?

     
     
  • Penganalisa ramal Proton bakal kembali jadi jenama no.1 di Malaysia, DRB-Hicom akan ‘tuai’ keuntungan

    Penganalisa ramal Proton bakal kembali jadi jenama no.1 di Malaysia, DRB-Hicom akan ‘tuai’ keuntungan

    Selepas termetarainya perjanjian kerjasama antara Proton dan gergasi automotif China, Geely pada 2017, jenama automotif nasional berkenaan dilihat semakin pulih dari masalah kewangan yang dihadapi sebelum itu. Malah dalam penyelidikan Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research yang dilaporkan oleh The Star baru-baru ini, pemilik saham majoriti Proton iaitu DRB-Hicom bakal ‘menuai’ keuntungan dari Proton untuk tahun-tahun akan datang.

    HLIB Research menyatakan Proton mensasarkan jualan tahunan sebanyak pada tahun 2030 dan akan mencecah 500,000 unit pada 2035, bakal menjadi peneraju kembali dalam pasaran automotif di Malaysia, serta menjadi tiga jenama automotif terlaris dalam ASEAN.

    “Kami menjangkakan Proton akan melancarkan model baharu setiap tahun untuk tempoh enam tahun, dengan pelaburan keseluruhan RM6 bilion, termasuk peruntukan untuk pembangunan produk, keberkesanan produksi dan juga pembesaran kapasiti,” kata badan penyelidik itu dalam nota kajiannya.

    Ia turut menambah bahawa Proton kini sedang memulakan pembangunan kenderaan generasi baharu yang mengutamakan teknologi-teknologi CASE iaitu C – Connected services (perkhidmatan terhubung), A – Autonomous vehicles (kenderaan pemanduan berautonomi), S – Shared mobility (perkongsian mobiliti) dan E – Electrification (elektrifikasi).

    Penganalisa ramal Proton bakal kembali jadi jenama no.1 di Malaysia, DRB-Hicom akan ‘tuai’ keuntungan

    Proton juga kini dilihat sudah memulakan inisiatif kenderaan elektrik (EV) dengan menjadi pengedar kepada jenama smart, yang akan mula menjual SUV EV smart #1 pada akhir tahun ini diikuti pasaran ASEAN lain pada tahun hadapan, serta dijangka bakal memperkenalkan EV dengan jenamanya sendiri menjelang 2025.

    “Proton juga bekerjasama dengan Gentari untuk pembangunan EV, mobiliti dan ekosistem tenaga baharu. Ia akan memanfaatkan pengetahuan dan teknologi Geely untuk membangunkan rangkaian EVnya sendiri,” kata HLIB Research.

    Dalam perkembangan terkini, HLIB Research menyatakan bahawa Proton dijangka akan mencatatkan pertumbuhan jualan untuk tahun kelima berturut-turut menjelang akhir tahun ini. Rekod jualan Proton menunjukkan ia sudahpun berjaya menjual sebanyak 116,800 kenderaan hanya dalam lapan bulan pertama tahun ini.

    HLIB Research menyatakan sekiranya Proton dapat mencapai sasaran jualannya iaitu 150,000 unit tahun ini, syarikat ini akan merekodkan pertumbuhan sebanyak 6.1% berbanding tahun lalu. Jangkaan sasaran jualan itu bakal dapat dicapai dengan dibantu model X90 yang baru dilancarkan serta sedan segmen-C Proton S70 yang bakal dilancarkan tak lama lagi.

    Penganalisa ramal Proton bakal kembali jadi jenama no.1 di Malaysia, DRB-Hicom akan ‘tuai’ keuntungan

    “Ambil maklum bahawa Proton berjaya memperoleh keuntungan sebanyak RM74 juta pada tahun kewangan 2021 (FY21) dan terus mencatatkan keuntungan lebih kukuh sebanyak RM200 juta pada FY22,” tulis laporan penyelidikan itu lagi.

    “Kami kekal positif terhadap tinjauan DRB-Hicom mengenai potensi pertumbuhan jualan automotif yang kukuh, memanfaatkan barisan model menarik daripada Proton.

    “DRB-Hicom juga akan mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan untuk kenderaan Honda dan Mitsubishi,” tulis HLIB Research lagi.

    Untuk konteks, DRB-Hicom turut mempunyai saham terbesar dalam Honda Malaysia Sdn. Bhd dan juga Mitsubishi Motors Malaysia. Sementara dalam Proton, DRB-Hicom memegang kepentingan sebanyak 50.1% dan 49.9% selebihnya adalah milik Geely.

    Penganalisa ramal Proton bakal kembali jadi jenama no.1 di Malaysia, DRB-Hicom akan ‘tuai’ keuntungan

    Laporan HLIB Research ini turut memaklumkan selepas penstrukturan semula dibuat pada 2017, kualiti kenderaan-kenderaan keluarannya kini meningkat dengan mencatatkan markah demerit di bawah 700 berdasarkan Audit Produk Pelanggan Global (GCPA), berbanding 6,388 markah demerit pada 2018 walaupun ia kini menghasilkan kereta yang lebih banyak.

    “Kami menjangkakan peningkatan berterusan dalam kualiti produk dan kecekapan kos kerana Proton menggabungkan pengeluarannya ke Tanjung Malim dari Shah Alam menjelang 2026, dengan pelaburan ke kilang pengeluaran yang lebih lengkap,” tulis nota itu dan menambah selain dari meningkatkan kualiti produk, pengurusan baharu Proton turut sedang berusaha memperbaiki aspek perkhidmatan pelanggannya.

    “Pengurusan telah memulakan transformasi rangkaian pengedar, termasuk meningkatkan pusat 3S-4S, menyegarkan rupa dan pendigitalan, bimbingan dan latihan pengedar, sokongan modal kerja, pelan perniagaan pengedar, pengurusan aduan serta kerjasama dengan pengedar,” kata HLIB Research lagi.

    Hasil analisa yang yang dibuat HLIB Research ini agak selari dengan visi yang didedahkan oleh CEO Proton, Dr Li Chunrong pada 2020. Menurutnya Proton boleh memintas kedudukan Perodua untuk menjadi jenama automotif nombor satu di Malaysia menjelang 2027, dan kemudian akan cuba masuk kembali ke pasaran-pasaran ASEAN.

     
     
  • Tesla Supercharger kini di Iskandar Puteri, empat unit

    Tesla Supercharger kini di Iskandar Puteri, empat unit

    Satu lagi kemudahan pengecasan stesen Supercharger Tesla yang baru dibuka bulan ini ialah di Johor, yang terletak di kompleks Sunway Big Box di Persiaran Medini 5, Bandar Sunway Iskandar Puteri. Supercharger di lokasi ini dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari, dan ruang parkir kenderaan pula percuma.

    Pembukaan stesen Tesla Supercharger di Johor ini akan menampung keperluan pengguna Tesla di negeri itu dan juga Singapura. Caj yang dikenakan kini adalah sama seperti di lokasi Pavilion KL: RM1.25 per kWh. Begitu juga dengan bayaran jika membiarkan kenderaan setelah selesai pengecasan, yang dikenakan RM4 seminit.

    Ini merupakan stesen Tesla Supercharger kedua di Malaysia selepas Pavilion Kuala Lumpur yang telah dibuka sejak kemasuka jenama itu di Malaysia pada Julai lalu.

    Barisan Tesla Supercharger yang ada di kemudahan Johor ini adalah empat unit pengecas V3 dengan output sehingga 250 kW, yang membolehkan Model Y mendapatkan sehingga 270 km jarak perjalanan hanya dengan 15 minit pengecasan.

    Sepanjang Oktober, Tesla Malaysia juga ada beberapa perkembangan lain: pembukaan ibu pejabatnya di Cyberjaya pada awal bulan, dan minggu lalu pula menyaksikan pengenalan Model 3 Highland dan pembukaan bilik pamerannya di Pavilion Damansara Height.

     
     
  • Polis Jeli sedang mengesan pemandu Suzuki SX4, treler pandu secara bahaya di Lebuhraya Timur-Barat

    Polis Jeli sedang mengesan pemandu Suzuki SX4, treler pandu secara bahaya di Lebuhraya Timur-Barat

    Polis Dearah Jeli, Kelantan, sedang mengesan pemandu Suzuki SX4 berwarna merah dan sebuah treler kuning yang didapati memandu secara berbahaya di Lebuhraya Timur-Barat, Jeli.

    Ia susulan satu video berdurasi 32 saat yang dikongsikan di laman FacebooK DashCam Malaysia yang memaparkan kejadian tersebut, dirakamkan oleh kereta yang hampir-hampir bertembung dengan dua kenderaan berkenaan.

    “Pada 20 Oktober 2023 jam lebih kurang 7 malam, telah tular satu rakaman video berdurasi 32 saat di laman media sosial Facebook yang memaparkan satu kejadian sebuah motokar disyaki jenis Suzuki berwarna merah bersama sebuah treler berwarna kuning yang dipandu secara merbahaya di Jalanraya Timur Barat, Jeli.

    “Siasatan lanjut mendapati kejadian tular tersebut berlaku pada hari yang sama anggaran waktu sekitar tengahari, di mana kedua-dua kenderaan tersebut telah dipandu secara merbahaya dengan memotong di garisan berkembar di KM120 Jalanraya Timur Barat, Jeli,” kata polis Jeli.

    Tambahnya, perbuatan ini boleh mendatangkan bahaya pada diri sendiri dan pengguna jalanraya yang lain. “Pihak polis IPD Jeli memohon jika ada pemandu kenderaan yang melihat kejadian untuk memberikan maklumat lanjut bagi membantu mengesan kedua-dua kenderaan yang dipandu secara merbahaya.

    “Pemilik atau pemandu kedua-dua kenderaan terlibat diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” ujarnya lagi.

    Inilah antara punca kemalangan jalan raya apabila ada pemandu yang tidak bertimbang rasa, tidah tahu hendak bersabar, mementingkan diri sendiri dan ‘hati kering’ dengan selamba memandu secara melulu hingga mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.

     
     
  • LLM tidak pernah terima permohonan projek pembinaan plaza tol di Gohtong Jaya

    LLM tidak pernah terima permohonan projek pembinaan plaza tol di Gohtong Jaya

    Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Seri Jalaluddin Alias, mengesahkan pihaknya tidak pernah menerima permohonan daripada mana-mana pihak berkaitan projek pembinaan plaza tol di Gohtong Jaya, Genting Highlands.

    Menurut beliau, memandangkan pembinaan itu dibuat diatas tanah persendirian dan berkemungkinan pihak berkenaan merasakan tidak perlu membuat permohonan kepada Kerajaan Negeri Pahang, Kementerian Kerja Raya (KKR) atau LLM, laporan Harian Metro.

    “Tanah itu adalah tanah persendirian namun sebarang pembinaan masih lagi tertakluk kepada undang-undang. Ingin ditegaskan pembinaan plaza tol itu tidak ada kena mengena dengan LLM. LLM juga tidak pernah menerima sebarang permohonan berkaitan pembinaan itu,” katanya.

    Tambah beliau, arahan pemberhentian kerja pembinaan daripada Kerajaan Negeri Pahang adalah hak dan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri itu. “Sekiranya pihak berkenaan mahu meneruskan kerja pembinaan plaza tol, mereka perlu memohon mengikut prosedur yang sudah ditetapkan,” katanya.

    Minggu lalu, tular gambar struktur menyerupai plaza tol yang sedang dibina di di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya. Dalam masa yang sama, jurucakap syarikat mengendalikan jalan ke Genting Highlands iaitu Lingkaran Cekap Sdn Bhd telah mengesahkan bahawa pelawat bakal dikenakan bayaran tol untuk ke tanah tinggi itu tak lama lagi.

    Walau bagaimana pun Kerajaan Negeri Pahang telah mengeluarakan arahan kerja-kerja pembinaan plaza tol berkenaan dihentikan. Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berkata, sebarang usaha projek pembangunan atau kemajuan di tanah persendirian haruslah mendapat Kebenaran Merancang daripada pihak berkuasa tempatan (PBT). Beliau berkata, setakat ini, pihak Majlis Perbandaran Bentong (MPB) dan kerajaan negeri Pahang tidak menerima apa-apa permohonan berkenaan pembinaan plaza tol ini.

    “Oleh itu, arahan henti kerja telah dikeluarkan oleh MBK agar pihak pemaju menghentikan sebarang usaha-usaha lanjut pembinaan sehinggalah pihak pemaju menghantar permohonan untuk diteliti sebelum dinilai dan diluluskan,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

     
     
  • Toyota Vellfire 2.5L 2024 kini di Malaysia; dari RM438k – RM100k lebih murah berbanding Alphard 2.4T

    Toyota Vellfire 2.5L 2024 kini di Malaysia; dari RM438k – RM100k lebih murah berbanding Alphard 2.4T

    Serentak dengan pelancaran Alphard 2.4T Executive Lounge di Malaysia, UMW Toyota Motor (UMWT) turut melancarkan Toyota Vellfire 2.5L 2024. MPV mewah tujuh-tempat duduk ini ditawarkan pada harga atas jalan bermula RM438,000 tanpa insurans, menjadikannya RM100k lebih murah berbanding ‘kembarnya’, Alphard. Tempahannya juga telah dibuka sejak Julai lalu.

    Walau pun merupakan model terbaharu generasi keempat, Vellfire 2.5L 2024 hanya menggunakan penjana kuasa yang sama seperti sebelum ini. Ia dikuasakan oleh unit 2.5 liter 2AR-FE empat-silinter sebaris DOHC dengan Dual VVT-i. Walau bagaimana pun, dengan filosofi kaizen Toyota, juruteranya telah meningkatkan kuasa puncaknya sebanyak 2 PS, kini mencecah 182 PS (134 kW) pada 6,000 rpm, sementara tork pula 235 Nm pada 4,100 Nm.

    Kuasanya disalurkan ke roda hadapan menerusi Super i-CVT tujuh-kelajuan dengan Sport Sequential Shiftmatic. Kelajuan maksimum yang boleh dicapai oleh MPV mewah ini mencecah 170 km/j.

    Seperti Alphard, Vellfire 2.5L 2024 juga dibangunkan dengan platform GA-K baharu yang memberikannya ketaegaran kerangka yang lebih padu, dalam masa yang sama menjadi faktor penting dalam pengendaliannya. Berbanding dengan model terdahulu, ketegaran struktur kenderaan telah dipertingkatkan sebanyak 50%. Memantapkan lagi pengendalian MPV ini, ia diberikan sistem suspension dengan topang MacPherson dengan penstabil untuk hadapan dan double wishbone juga dengan penstabil di belakang.

    Toyota Vellfire 2.5L 2024 kini di Malaysia; dari RM438k – RM100k lebih murah berbanding Alphard 2.4T

    Vellfire 2.5L 2024 juga memiliki pendakap prestasi hadapan (front performance brace) yang bersambung dengan sokongan radiator. Ia menambahkan lagi ketegaran badan MPV ini untuk meningkatkan lagi penghantaran kuasa, menghasilkan pecutan yang lebih lancar, pengendalian yang unggul, dan kestabilan yang sempurna.

    Selain itu, demi menambahkan lagi ketegarannya, ukuran anti-getaran dipertingkatkan bagi meminimakan getaran akibat geseran permukaan jalan raya. Ini termasuklah penggunaan sesendal getah pada barisan kedua tempat duduk bagi mengurangkan getaran sebanyak 30% berbanding model terdahulu.

    MPV premium mewah ini berukuran 5,005 mm panjang, 1,850 mm lebar, 1,950 mm tinggi dengan jarak roda 3,000 mm, manakala jarak terendah (ground clearance) pula 161 mm.

    Juga seperti Alphard 2.4T Executive Lounge, barisan perekanya turut mengadaptasikan tema ‘Forceful x IMPACT LUXURY‘ buat Vellfire 2.5L 2024 untuk mewujudkan sentuhan kemantapan bagi MPV ini. Wajah hadapannya tampak garang dengan sistem pencahayaan nipis yang ditampilkan dengan lampu utama ‘Tri-LED’ penuh bersama lampu membelok, lampu sudut dan lampu nyalaan siang yang juga menggunakan unit LED.

    Walau bagaimana pun, rekaan gril Vellfire 2.5L 2024 lebih ringkas, tidak begitu menyerlah seperti mana ‘kembarnya’. Sudut hujung bawah bampar yang menempatkan lampu kabus LED juga berbeza, ditampilkan dengan unit pencahayaan di bahagian bawah, panel hitam di atasnya dan dikelilingi jaluran krom separa yang bersambung kiri ke kanan hingga merentasi bawah bahagian bampar. Ciri luaran lain termasuk bilah pengelap cermin hadapan automatik dengan penderia hujan.

    Jaluran krom turut merentangi bahagian sisi, dari panel atas tingkap hadapan melunjur ke tingkap belakang. Penampilan elegannya ditambahkan dengan rim aloi ringan rekaan baharu 10-jejari bersaiz 19-inci yang dibaluti tayar Dunlop Sport Maxx 225/55 R19.

    Untuk bahagian belakangnya pula, jaluran krom dari sisi juga menghiasi spoiler. Kemasan yang sama juga ditammpilkan pada atas lampu kombinasi belakang LED dengan logo Toyota dan perkataan Vellfire di bahagian tengah sebelum plat nombor. Ciri yang membezakannya dengan Alphard 2.4T Executive Lounge, Vellfire 2.5L 2024 ditampilkan dengan jaluran krom pada bahagian lampu kabus belakang yang merentangi kiri ke kanan pada bahagian bawah bampar, sinonim dengan wajah hadapannya.

    Toyota Vellfire 2.5L 2024 kini di Malaysia; dari RM438k – RM100k lebih murah berbanding Alphard 2.4T

    Memasuki bahagian kabinnya, bentangan kokpit memang mirip dengan Alphard 2.4T Executive Lounge, yang sama membawakan konsep dalaman ala jet peribadi. Kemasan kokpit menampilkan gabungan kemasan kulit dan ira kayuan menyerlahkan imej mewah dan elegan. Vellfire 2.5L 2024 turut dua bumbung kaca panorama, roda stereng tilt & telescopic balutan kulit dengan kemasan kayuan dengan fungsi pemanas dan suis elektrostatik serta Paparan Pelbagai Informasi (MID) skrin sesentuh 14-inci dengan fungsi paparan audio, dan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Selain itu, ia diberikan sistem bunyi JBL dengan 15-pembesar suara , pengecas tanpa wayar untuk telefon pintar, sistem smart entry & start, lampu pencahayaan bumbung 64-warna dan Digital Inner Mirror untuk cermin pandang belakang, tirai suria larasan kuasa untuk tingkap sisi dan bumbung panoramik, Panoramic View Mirror (PVM), perakam video digital depan dan belakang, pintu gelangsar larasan kuasa, kawalan suhu automatik untuk depan dan belakang serta tujuh unit USB Type-C (dua di hadapan, satu pada bahagian konsol, dua untuk barisan kedua dan dua untuk barisan ketiga).

    Ciri kelengkapan eksklusif yang diperoleh Alphard 2.4T Executive Lounge seperti paparan head-up (HUD) baharu TFT warna penuh bersaiz 12.3-inci, auto stop & start system, pedal penukar gear di belakang stereng, kawalan suhu dengan fungsi NanoeTM X, dan fungsi ‘senyap’ untuk pintu gelangsar tidak diberikan untuk Vellfire 2.5L 2024.

    Walau pun ciri kelengkapan dalamannya tidaklah begitu eksklusif seperti kembarnya, namun keselesaan optimum cukup dititik beratkan dalam rekaan bahagian kabinnya. Tempat duduk balutan kulit sintetik diberikan untuk Vellfire 2.5L 2024, dengan tempat duduk pemandu, penumpang hadapan dan barisan kedua turut dilengkapi dengan sistem pemanasan dan pengudaraan.

    Tempat duduk pemandu diberikan lapan-larasan kuasa dengan fungsi memori, manakala empat-larasan kuasa bagi tempat duduk penumpang hadapan. Akses laluan di bahagian tengah untuk barisan kedua dengan Executive Power Seat dengan VIP Large Type dan Ottoman memudahkan penumpang untuk ke barisan ketiga, tidak seperti Alphard. Ia turut diberikan meja kecil pada bahagian sisinya. Untuk barisan ketiga pula, tempat duduknya boleh dipisahkan dengan nisbah 50:50 bagi menambahkan ruang penyimpanan barangan di belakang.

    Buat pertama kalinya, Toyota turut memperkenalkan rocker switch pada pemegang pintu untuk lebih memudahkan operasi mengaktifkan bukaan pintu, hanya tolak ke kiri atau kanan suis terbabit untuk membuka atau menutup pintu. Pintu tailgate juga boleh dibuka secara kawalan remote, selain bukaan secara manual dan suisnya terletak pada sisi lampu belakang, bagi mengelakkan individu yang membuka pintu tersebut berdiri betul-betul di hadapan tailgate dan perlu beralih ke tepi atau berganjak lebih belakang apabila tailgate mula dibuka.

    Untuk aspek keselamatan, Vellfire 2.5L 2024 turut diberikan Toyota Safety Sense (TSS) kini dengan versi ketiga dengan kelengkapan sistem Bantuan Pemandu Termaju yang merangkumi sistem Pra-pelanggaran (PCS), Kepekaan Ketibaan Lorong (LDA), Kawalan Kelajuan Radar Dinamik (DRCC) dengan Bantuan Mengesan Lorong (CTA), Bantuan Isyarat Jalan (RSA) dan sistem Lampu Tinggi Adaptif (AHS).

    Melengkapkan lagi ciri keselamatan ialah ABS, sokongan brek, penderia parkir hadapan dan belakang, EBD, pemantauan titik buta (BSM) dengan trafik lintasan belakang (RCTA), kawalan bantuan mendaki bukit (HAC), enam unit beg udara, Isofix dan sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).

    Vellfire 2.5L 2024 hanya ditawarkan dengan tiga pilihan rona luaran Platinum White Pearl, Precious Metal, dan Hitam, dengan pilihan warna dalaman Beige atau Hitam.

    Sekali lagi, Vellfire 2.5L 2024 ditawarkan pada harga bermula RM438,000 tanpa insurans, kurang RM100k berbanding Alphard 2.4T Executive Lounge. Walau bagaimana pun, ia turut diberikan waranti pengilang lima-tahun dan tanpa had perbatuan.

    GALERI: Toyota Vellfire 2.5L 2024