Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Toyota Alphard 2024 dilancarkan di Malaysia – 2.4L Turbo 8AT, Executive Lounge; harga dari RM538k

    Toyota Alphard 2024 dilancarkan di Malaysia  – 2.4L Turbo 8AT, Executive Lounge; harga dari RM538k

    UMW Toyota Motor (UMWT) telah pun melancarkan Toyota Alphard 2.4T 2024 untuk pasaran tempatan. Ditawarkan pada harga bermula RM538,000 tanpa insurans, MPV mewah tujuh-tempat duduk ini ditawarkan dengan varian tunggal Executive Lounge dan tempahannya telah dibuka sejak Julai lalu.

    Alphard generasi keempat ini telah diberikan enjin baharu T24A- FTS 2.4 liter pengecas turbo intercooler Dual VVT-i empat-silinder sebaris, bagi menggantikan unit terdahulu 2GR-FE 3.5 liter. Dengan ‘jantung’ baharu ini, gabungan pengecas turbo dan intercooler mampu melonjakkan kuasanya hingga 278 PS (205 kW) pada 6,000 rpm. Lebih signifikan lagi apabila tork masimum telah dipertingkatkan sebanyak 19.1% atau 69 Nm, kini menjadi 430 Nm antara 1,700 hingga 3,600 rpm.

    Ia berbeza dengan Alphard baharu untuk pasaran Jepun yang cuma ditawarkan dengan pilihan enjin hibrid atau NA – kedua-duanya menggunakan enjin 2.5 liter empat-silinder.

    Memantapkan lagi prestasinya, lejang pedal pemecut (accelerator pedal stroke) juga dipendekkan, sekaligus meningkatkan lagi daya pecutan apabila input pedal lebih minimum. Bukan itu sahaja, ia juga membantu meningkatkan kecekapan bahan api dengan pelepasan ekzos yang lebih rendah.

    Toyota Alphard 2024 dilancarkan di Malaysia  – 2.4L Turbo 8AT, Executive Lounge; harga dari RM538k

    Pacuan kuasanya disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik lapan-kelajuan Direct-Shift dengan sequential manual selection sama ada menggunakan tuil gear atau pedal penukar gear di belakang roda stereng. Selain itu, untuk penjimatam bahan api, mod ECO turut disediakan.

    Padanan penjana kuasa ini membolehkan Alphard 2.4T Executive Lounge boleh mencapai kelajuan maksimum hingga 180 km/j. Toyota mendakwa, penggunaan bahan apinya sekitar 9.0 liter bagi setiap 100 km.

    Memantapkan lagi pengendalian MPV ini, ia diberikan sistem suspension dengan topang MacPherson dengan penstabil untuk hadapan dan double wishbone juga dengan penstabil di belakang.

    Toyota Alphard 2.4T Executive Lounge ini berukuran 5,010 mm panjang, 1,850 mm lebar, 1,950 mm tinggi dengan jarak rodanya mencecah 3,000 mm, manakala jarak terendah (ground clearance) pula 158 mm.

    Mengenai imej luaran yang diperagakan, pasti ada yang keliru untuk membezakan antara Alphard dan Vellfire. Untuk pengetahuan anda, ada ciri eksklusif yang direka khas untuk membezakan kedua-dua model MPV mewah ini. Wajah hadapan Alphard 2.4T Executive Lounge ternyata lebih garang dengan lampu utama baharu dengan rekaan agak nipis, dengan unit LED yang disambungkan dengan lampu membelok, lampu sudut dan lampu nyalaan siang. Umpama rekaan tiga-dimensi, lampu utama dengan konsep ‘Tri-LED headlamp’ berkenaan disambungkan juga secara terus dengan gril yang besar dengan paten ala berlian kemasan krom.

    Jaluran krom turut merentangi bahagian sisi, dari panel atas tingkap hadapan melunjur ke tingkap belakang. Penampilan elegannya ditambahkan dengan rim aloi ringan rekaan baharu 10-jejari bersaiz 19-inci yang dibaluti tayar Michelin Primacy 225/55 R19.

    Melewati bahagian belakangnya, jaluran krom dari sisi juga menghiasi spoiler. Kemasan yang sama juga ditammpilkan pada atas lampu kombinasi belakang LED dengan logo Toyota dan perkataan Alphard di bahagian tengah sebelum plat nombor. Perkataan Executive Lounge pula ditempatkan di bahagian sisi kiri bawah.

    Ciri luaran lain yang turut diberikan untuk Alphard 2.4T Executive Lounge termasuklah unit LED bagi lampu kabus hadapan dan belakang serta bilah pengelap cermin hadapan automatik dengan penderia hujan.

    Toyota Alphard 2024 dilancarkan di Malaysia  – 2.4L Turbo 8AT, Executive Lounge; harga dari RM538k

    Melangkah masuk ke bahagian kabinnya, terasa bagaikan memasuki ruangan jet peribadi pula. Gabungan kemasan kulit dan ira kayu, berserta dengan dua bumbung kaca panorama tetap yang menyinari kabin dengan cahaya semula jadi, mewujudkan suasana kemewahan. Kokpit pemandu direka dengan teliti bagi memberikan akses mudah kepada suis dan kawalan mekanikal.

    Keselesaan yang optimum pastinya memberikan keutamaan dalam rekaan bahagian kabinnya. Tempat duduknya lebih lebar dan lebih selesa jika dibandingkan dengan Vellfire. Dengan balutan kulit Premium Nappa, tempat duduk pemandu, penumpang hadapan dan barisan kedua turut dilengkapi dengan sistem pemanasan dan pengudaraan, serta fungsi urutan eksklusif.

    Tempat duduk pemandu diberikan lapan-larasan kuasa dengan fungsi memori, manakala empat-larasan kuasa bagi tempat duduk penumpang hadapan. Istimewa untuk barisan pertama, ia diberikan tempat duduk Executive Lounge VIP dengan beberapa fungsi khas termasuk kawalan remote ala telefon pintar dengan panel pelbagai-operasi, perehat tangan dengan VIP Large Type, sistem walk-in larasan kuasa, meja kecil dengan cermin vanity dan ottoman. Untuk barisan ketiga pula, tempat duduknya boleh dipisahkan dengan nisbah 50:50 bagi menambahkan ruang penyimpanan barangan di belakang.

    Alphard 2.4T Executive Lounge juga ditampilkan dengan paparan head-up (HUD) baharu TFT warna penuh bersaiz 12.3-inci, Paparan Pelbagai Informasi (MID) skrin sesentuh 14-inci dengan fungsi paparan audio, dan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Ia juga diberikan roda stereng tilt & telescopic balutan kulit dengan kemasan kayuan yang disertakan bersama suis elektrostatik.

    Teknologi Touch Tracer juga ditampilkan bagi memudahkan pemandu melihat informasi penting kenderaan menerusi paparan, dengan pergerakan mata yang minimal. Hanya perlu tekan perlahan mana-mana butang kawalan pada roda stereng dan fungsi diagram akan muncul pada paparan digital kluster instrumen.

    Buat pertama kalinya, Toyota turut memperkenalkan rocker switch pada pemegang pintu untuk lebih memudahkan operasi mengaktifkan bukaan pintu, hanya tolak ke kiri atau kanan suis terbabit untuk membuka atau menutup pintu. Pintu tailgate juga boleh dibuka secara kawalan remote, selain bukaan secara manual dan suisnya terletak pada sisi lampu belakang, bagi mengelakkan individu yang membuka pintu tersebut berdiri betul-betul di hadapan tailgate dan perlu beralih ke tepi atau berganjak lebih belakang apabila tailgate mula dibuka.

    Toyota Alphard 2024 dilancarkan di Malaysia  – 2.4L Turbo 8AT, Executive Lounge; harga dari RM538k

    Ciri lain yang turut diberikan termasuklah pedal penukar gear, sistem auto stop & start, mod Eco Drive, skrin paparan 14-inci untuk penumpang belakang, sistem bunyi JBL dengan 15-pembesar suara , pengecas tanpa wayar untuk telefon pintar, sistem smart entry & start, lampu pencahayaan bumbung 64-warna dan Digital Inner Mirror untuk cermin pandang belakang.

    Selain itu, tirai suria larasan kuasa untuk tingkap sisi dan bumbung panoramik, Panoramic View Mirror (PVM), perakam video digital depan dan belakang, pintu gelangsar larasan kuasa dengan fungsi ‘senyap’, kawalan suhu automatik untuk depan dan belakang dengan fungsi NanoeTM X serta tujuh unit USB Type-C (dua di hadapan, satu pada bahagian konsol, dua untuk barisan kedua dan dua untuk barisan ketiga).

    Untuk aspek keselamatan, seperti model sebelum ini, Alphard 2.4T Executive Lounge juga didatangkan bersama Toyota Safety Sense (TSS) kini dengan versi ketiga dengan kelengkapan sistem Bantuan Pemandu Termaju yang merangkumi sistem Pra-pelanggaran (PCS), Kepekaan Ketibaan Lorong (LDA), Kawalan Kelajuan Radar Dinamik (DRCC) dengan Bantuan Mengesan Lorong (CTA), Bantuan Isyarat Jalan (RSA) dan sistem Lampu Tinggi Adaptif (AHS).

    Toyota Alphard 2024 dilancarkan di Malaysia  – 2.4L Turbo 8AT, Executive Lounge; harga dari RM538k

    Melengkapkan lagi ciri keselamatan ialah ABS, sokongan brek, penderia parkir hadapan dan belakang, EBD, pemantauan titik buta (BSM) dengan trafik lintasan belakang (RCTA), kawalan bantuan mendaki bukit (HAC), enam unit beg udara, Isofix dan sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).

    Untuk warna luarannya, ia ditawarkan dengan empat rona Platinum White Pearl, Precious Metal, Precious Leo-Blond dan Hitam, dengan pilihan warna dalaman Beige atau Hitam.

    Dengan harga bermula RM538,000 tanpa insurans, Alphard 2.4T Executive Lounge kini didatangkan dengan waranti pengilang lima-tahun dan tanpa had perbatuan. UMWT juga merupakan pengedar eksklusif dengan pusat jualan dan servis rasmi, menyediakan perkhidmatan yang dipercayai dan jaminan alat ganti.

     
     
  • Kamera pengawasan diharap dapat pertingkatkan pematuhan peraturan lampu Isyarat – JSPT

    Kamera pengawasan diharap dapat pertingkatkan pematuhan peraturan lampu Isyarat – JSPT

    Pemasangan kamera pengawasan lampu isyarat atau red light surveillance camera bukanlah baru dilaksanakan. Sebaliknya ia telah mula dipasang di persimpangan yang kerap berlaku perlanggaran undang-undang jalan raya sejak tahun 2014.

    Menurut Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar, pemasangan kamera pengawasan tersebut diharap dapat membantu mempertingkatkan pematuhan peraturan lampu isyarat di kalangan pengguna jalan raya.

    “Pemasangan kamera yang beroperasi 24 jam itu diharap mampu mendidik pengguna jalan raya untuk mematuhi peraturan lalu lintas. Mana-mana pengguna kenderaan yang melanggar lampu isyarat merah, kamera ini akan merakam gambar kesalahan yang dilakukan tidak kira siang atau malam.

    “Pihak JSPT akan menghantar notis pemberitahuan saman ke alamat rumah pemilik kenderaan terbabit,” katanya kepada Sinar Harian.

    Kamera pengawasan diharap dapat pertingkatkan pematuhan peraturan lampu Isyarat – JSPT

    Tambahnya, lampu isyarat merupakan penunjuk atau arahan lalu lintas kepada pengguna kenderaan mahu pun pejalan kaki. Bagi memastikan aliran trafik bergerak lancar dalam laluan yang selamat terutama di persimpangan jalan, ia terbahagi kepada tiga warna asas iaitu hijau untuk meneruskan perjalanan, kuning sedia untuk berhenti dan merah untuk berhenti.

    “Bagaimanapun, masih ada pengguna kenderaan yang tidak mematuhi peraturan lampu isyarat sekali gus meningkatkan risiko kemalangan sehingga membahayakan nyawa. Justeru, kamera ini telah dipasang oleh PDRM melalui JSPT di persimpangan jalan yang kerap berlaku perlanggaran undang-undang dan kemalangan agar mampu mendidik pengguna jalan raya untuk mematuhi peraturan lalu lintas,” ujarnya sambil mengingatkan kesemua pengguna jalan raya untuk patuhi lampu isyarat.

    Dua hari lalu, JSPT turut berkongsikan video pendek menerusi laman Facebook rasminya yang mengingatkan pengguna jalan raya supaya mematuhi lampu isyarat. Katanya, “Tanpa kehadiran anggota polis trafik pun, kami masih boleh memantau tindak tanduk anda. Jangan pula tiada kamera dan anggota polis, anda sesuka hati melanggar peraturan. Sabar itu indah, jalan raya dikongsi bersama. Sayangi diri, jauhi kemalangan.”

     
     
  • EPMB akan bina kilang di Melaka – pasang model BAIC dan GWM, termasuk EV dan jadi hab ASEAN

    EPMB akan bina kilang di Melaka – pasang model BAIC dan GWM, termasuk EV dan jadi hab ASEAN

    EP Manufacturing (EPMB) telah mengumumkan bahawa ia akan memulakan pembinaan fasiliti kilang pemasangan automotif di Melaka seperti yang dirancang sebelum ini, dengan majlis pecah tanah telah pun berlangsung hari ini.

    Langkah seterusnya ini diambil oleh EPMB selepas mengumumkan rancangan berkenaan pada Julai lalu dan telah memperolehi kelulusan bersyarat bagi lesen pembuatan daripada kementerian pelaburan, perdagangan dan industri (MITI) untuk mengilang dan memasang kenderaan cekap tenaga empat roda (EEV) serta kenderaan elektrik (EV) dalam kategori penumpang dan komersial.

    Syarikat itu menyatakan bahawa fasiliti baharu itu akan dibangunkan dalam beberapa fasa di Taman Perindustrian Hicom Pegoh, dengan lebih RM100 juta ditetapkan untuk disalurkan ke dalam projek ini. Apabila siap, kilang pemasangan tersebut akan mempunyai kapasiti untuk mengeluarkan sehingga 30,000 kenderaan setahun dalam fasa pertama operasinya. Ia menambah bahawa projek itu bersedia untuk mewujudkan sekitar 1,000 peluang pekerjaan baharu di Melaka.

    EPMB akan bina kilang di Melaka – pasang model BAIC dan GWM, termasuk EV dan jadi hab ASEAN

    Kilang baharu itu bersedia untuk menghasilkan beberapa model kenderaan dari jenama China iaitu BAIC, terdiri dari SUV BJ40 Plus dan X55II. Rancangan operasi pemasangan tempatan (CKD) bagi kedua-dua model berkenaan telah ditunjukkan pada Ogos lalu ketika EPMB dan BAIC International menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk meneroka pemasangan model-model dengan enjin pembakaran dalaman dan juga EV dari BAIC bagi versi pemanduan sebelah kanan.

    Selain itu, EPMB menyatakan bahawa ia turut akan memasang kenderaan untuk Great Wall Motor Sales Malaysia di kilang itu, menerusi MoU yang ditandatangani oleh kedua-dua pihak awal minggu ini. Turut boleh dilihat pada majlis pecah tanah berkenaan adalah beberapa model keluar Great Wall Motor turut dibawa termasuk Ora Good Cat, GWM Cannon dan Haval H6, memberikan petunjuk model-model yang akan dipasang di fasiliti berkenaan, bersama sebuah BAIC X5511 dalam versi pemanduan sebelah kanan.

    “Kewujudan kemudahan pembuatan kenderaan elektrik (EV) merupakan langkah penting dalam merealisasikan visi komprehensif kami untuk membangunkan rantaian bekalan 360° bagi pasaran EV Malaysia. Dengan kerjasama rapat bersama rakan strategik kami, BAIC, kami bersedia untuk membina kemudahan pembuatan EV yang canggih di Melaka, menandakan permulaan bab seterusnya dalam trajektori pertumbuhan kami,” kata CEO kumpulan EPMB Ahmad Razlan Mohamed.

    “Selain itu, kami amat berharap untuk bekerjasama dengan pelanggan kami yang dihormati, GWM, dalam menyumbang untuk meletakkan Malaysia sebagai hab pusat untuk EV dan EEV di rantau ASEAN,” tambahnya.

    Sebelum ini EPMB turut dilihat berusaha mendapatkan pelbagai perniagaan lain dalam sektor automotif di Malaysia, antaranya menandatangani surat hasrat dengan Lingbox bagi memasang dan mengedarkan model Mini EV di Malaysia dan Indonesia serta dengan Kumpulan Saean untuk membangunkan, mengeluarkan EV segmen A mampu milik untuk pasaran Malaysia. Walau bagaimanapun masih belum ada apa-apa langkah lanjutan dari EPMB bagi usaha-usaha tersebut.

     
     
  • Yadea E8S Pro dilancarkan untuk pasaran Malaysia – skuter elektrik dengan jarak gerak 150 km, RM5,999

    Yadea E8S Pro dilancarkan untuk pasaran Malaysia – skuter elektrik dengan jarak gerak 150 km, RM5,999

    MForce Bike Holdings Sdn Bhd yang merupakan pengedar rasmi untuk motosikal elektrik Yadea dari China melancarkan model Yadea E8S Pro untuk pasaran Malaysia, dijual pada harga RM5,999 tidak termasuk insurans, pendaftaran dan cukai jalan.

    Skuter elektrik ini datang dengan pek bateri graphene 72 volt berkapasiti 38 Ah, memberi kuasa kepada motor berteknologi TTFAR, mampu menghasilkan tork maksimum sehingga 149 Nm, serta membawanya ke kelajuan maksimum 60 km/j.

    Dengan sekali cas penuh, bateri E8S Pro menyediakan jarak gerak sehingga 150 km, dan statusnya, serta informasi lain seperti kelajuan dan cara tunggangan dipaparkan pada panel meter digital berwarna di hadapan penunggang.

    Yadea E8S Pro dilancarkan untuk pasaran Malaysia – skuter elektrik dengan jarak gerak 150 km, RM5,999

    Ia juga datang dengan kelengkapan seperti skuter permulaan biasa, termasuk fork teleskopik, dua penyerap hentak di belakang, brek cakera hadapan dan belakang, lampu jenis LED serta rim 12 inci.

    E8S Pro boleh dinaiki dua orang, dengan penumpang disediakan penyandar kecil di belakang, dan kemudahan lain seperti penyangkut barang serta pelantar kaki yang luas. Tinggi tempat duduk skuter ini adalah 650 mm.

     
     
  • Isuzu Malaysia taja Borneo Safari 2023 sekali lagi

    Isuzu Malaysia taja Borneo Safari 2023 sekali lagi

    Isuzu Malaysia sekali lagi akan kembali sebagai Penaja Berlian bagi acara Borneo Safari 2023. Bezanya tahun ini, syarikat itu akan menyediakan dua unit Isuzu D-Max 1.9-liter Single Cab untuk digunakan sepanjang kembara off-road itu sebagai kenderaan sokongan — dengan sebahagian besarnya untuk kegunaan media.

    Ini adalah tambahan kepada tiga unit Isuzu D-Max X-Terrain yang sudah pun digunakan dalam acara sama sejak edisi tahun lalu. Menurut Isuzu Malaysia, versi Single Cab dipilih untuk menggalas peranan sokongan dalam acara ini kerana kebolehannya sebagai jentera yang kental dan serba boleh.

    “Untuk menakluki acara seperti Borneo Safari yang menghamparkan laluan sukar dalam hutan, ia tidak hanya memerlukan kenderaan dengan sistem 4×4 yang mantap, tetapi juga perlu dihadirkan dengan kemampuan yang sangat tinggi untuk memastikan ia berhasil melepasi cabaran lapan hari dalam keadaan yang ekstrim seperti itu.

    Isuzu Malaysia taja Borneo Safari 2023 sekali lagi

    “Dengan warisan panjang Isuzu D-Max sebagai sebuah trak pikap, ia tidak disangkal lagi menjadi salah kenderaan media yang paling boleh diharap sepanjang edisi terdahulu acara ini, dan telah berhasil mengangkut media dan peralatan mereka menempuhi pelbagai situasi dan keadaan setiap tahun sejak sedekad lalu,” ujarKetua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe.

    Borneo Safari 2023 memasuki penganjurannya bagi tahun ke-31 dan diiktiraf sebagai satu daripada cabaran off-road paling sukar di dunia. Acara ini bakal dilepaskan di hadapan pejabat Lembaga Pelancongan Sabah pada Ahad, 29 Oktober 2023 dan akan menjelajahi kawasan pergunungan Sook dan Ranau sebelum kembali ke Kota Kinabalu selepas seminggu.

    Isuzu Malaysia taja Borneo Safari 2023 sekali lagi

    Isuzu Malaysia juga sekali lagi akan bekerjasama dengan Tourism Malaysia, Lembaga Pelancongan Sabah serta Red Springs Sdn Bhd untuk menerbitkan siri video web yang mempromosikan acara ini khususnya, dan Sabah umumnya sebagai destinasi pengembaraan.

    Sebagai Penaja Berlian bagi acara ini buat sekian kalinya, Okazoe menyerahkan dokumen penajaan dan kunci bagi kenderaan rasmi media berkenaan kepada Presiden Persatuan Pacuan Empat Roda Sabah, Faez Nordin.

     
     
  • Toyota siar gambar teaser, Camry generasi baharu?

    Toyota siar gambar teaser, Camry generasi baharu?

    Toyota USA telah menyiarkan satu gambar teaser yang datang dengan ayat “Apakah yang bakal tiba?”, sementara nama failnya pula tertulis “Satu Permulaan Baru.” Jadi, ia adalah teaser sebuah model baru, tetapi sebenarnya apa?

    Tidak banyak pentunjuk yang diberi, dan kita cuma dapat melihat bahagian hadapannya, yang mempunyai lampu siang LED, tetapi mengikut jangkaan, ia mungkin adalah gambar rasmi pertama Toyota Camry generasi baharu.

    Camry XV70 yang ada sekarang membuat penampilan pertama semasa pameran NAIAS di Detroit pada tahun 2017, yang bermakna dalam masa beberapa bulan lagi, usianya bakal mencecah tujuh tahun. Itu adalah jangka hayat biasa bagi sebuah kereta moden, dengan sepanjang tempoh itu ia turut diberikan facelift untuk menjadikannya lebih segar.

    Di Malaysia, sedan segmen D ini dilancarkan semasa pameran KLIMS pada November tahun 2018, dan seterusnya diberikan facelift pada Februari 2022.

    Kita boleh menjangkakan Camry baru ini juga akan dibina atas platform TNGA (GA-K). Pilihan penggerak yang tersedia adalah termasuk hibrid 2.5L, plug-in hybrid 2.5L seperti RAV4 PHEV dan 2.4L turbi 281 PS/430 Nm. Enjin 2.4 liter itu telah mula digunakan pada model Toyota yang besar, sebagai pengganti kepada enjin V6 3.5L yang mungkin tidak lagi dapat mematuhi peraturan emisi semasa.

     
     
  • Range Rover Sport 2023 kini di Malaysia – varian Dynamic SE, 400 PS/550 Nm, harga dari RM1.7 juta

    Range Rover Sport 2023 kini di Malaysia – varian Dynamic SE, 400 PS/550 Nm, harga dari RM1.7 juta

    Setelah diperkenalkan di peringkat global pada Mei 2022, kini Range Rover Sport 2023 telah pun tiba di pasaran Malaysia. Jaguar Land Rover Malaysia (JLRM) hanya membawa masuk satu varian sahaja ke pasaran tempatan iaitu Dynamic SE. Jika untuk pasaran global, varian yang ditawarkan termasuklah SE, Autobiography dan First Edition, di mana Dynamic SE merupakan varian kedua di dalam barisan Range Rover Sport 2023.

    Model import sepenuhnya (CBU) dari United Kingdom ini merupakan model serba baharu generasi ketiga dan untuk pasaran Malaysia, ia ditawarkan dengan harga atas jalan RM1,698,000 (termasuk cukai) tanpa insurans.

    Range Rover Sport 2023 dengan kod nama L461 ini masih menggunakan enjin 3.0 liter pengecas turbo Ingenium enam-silinder sebaris petrol MHEV yang sama seperti model generasi kedua yang diperkenalkan pada tahun 2013. Namun keseluruhan kuasanya dipertingkatkan, kini mencecah 400 PS dari 5,500 rpm hingga 6,500 rpm dan tork 550 Nm dari 2,000 rpm hingga 5,000 rpm.

    Range Rover Sport 2023 kini di Malaysia – varian Dynamic SE, 400 PS/550 Nm, harga dari RM1.7 juta

    Ia juga dilengkapi transmisi automatik ZF lapan-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda pintar, membolehkannya dipacu dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.7 saat dan mampu mencapai kelajuan maksimum hingga 242 km/j.

    Model terbaharu ini juga memperkenalkan pelbagai teknologi casis yang diberi penambahbaikan untuk memberikan pengalaman pemanduan dinamik. Dirangka berteraskan Seni Bina Longitud Modular (MLA-Flex) logam bercampur, casisnya menghasilkan ketegaran kilasan sehingga 35% lebih tinggi berbanding model terdahulu, sekaligus membentuk asas bagi sistem kawalan casis bersepadu yang ditala khas bagi Range Rover Sport 2023.

    Di samping itu, ia juga diberikan ciri baharu Air Dynamic Suspension bagi meningkatkan lebar jalur suspensi dengan membezakan tekanan di dalam ruangnya. Selain itu, ia juga ditampilkan dengan Adaptive Dynamics yang bertindak untuk memantau lebih 500 kali parameter per saat. Manakala untuk mempertingkatkan kawalan pemanduan secara off-road, ia juga diberikan Off-road Cruise. Ciri tersebut merupakan pertama kali diperkenalkan untuk barisan Range Rover Sport 2023.

    Selain itu, ciri bagi mempertingkatkan keupayaan dan pemanduan dinamik yang turut diberikan untuk Range Rover Sport 2023 ini termasuklah Twin-speed Transfer Box (untuk julat rendah/tinggi), All Terrain Progres Control (ATPC), Open Differential with Torque Vectoring by Braking, Terrain Response 2 dan Automatic Access Height.

    Bagi aspek bantuan pemandu dan keselamatan, Range Rover Sport 2023 didatangkan dengan Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC), Kawalan Menurun Bukit (HDC), ABS, enam beg udara, Brek Kecemasan, Bantuan Titik Buta, Kawalan Kelajuan Adaptif dengan Bantuan Stereng dan Kamera Sekeliling 3D dengan pengesan mengharungi air (yang boleh menyukat kedalaman air).

    Ia juga diberikan Respons Keadaan Pemandu, Bantuan Kekal Lorong, Bantuan Parkir, Bantuan Parkir Hadapan dan Belakang, Pengesan Isyarat Trafik dan Pengehad Kelajuan Adaptif dan Bantuan Perlindungan Penumpang.

    Range Rover Sport 2023 juga telah diberikan peningkatan dari segi dimensinya. Kini ia berketinggian 1,820 mm (+10 mm dari model generasi kedua), panjang 4,946 mm (+95 mm) dan lebar 2,047 mm (+1 mm). Untuk jarak rodanya pula, hasil pengkongsian platform dengan Range Rover L250, ukurannya kini 2,997 mm (+951 mm).

    SUV ini juga diberikan ukuran jarak kelegaan tanah sehingga 216 mm secara standard, dan 280 mm untuk pemanduan off-road. Ia juga boleh mengharungi kedalaman air hingga 900 mm.

    Rekaan minimalis estetika menjadi pilihan bagi Range Rover Sport 2023 ini dan daya tarikannya sudah pasti wajahnya yang nampak lebih kemas dan tampan. Ia menampilkan lampu utama LED digital yang merupakan ciri baharu untuk Range Rover Sport 2023. Dengan rekaan lampu hadapan yang bujur, sekilas pandang seperti adiknya, Range Rover Evoque. Pencahayaan luasannya juga dilengkapi dengan lampu nyalaan siang LED, Image Protection dan lampu kabus hadapan.

    Range Rover Sport 2023 kini di Malaysia – varian Dynamic SE, 400 PS/550 Nm, harga dari RM1.7 juta

    Fender hadapan dan corong bonetnya pada model terdahulu telah digantikan dengan jaluran hitam berkilat yang kelihatan lebih ringkas. Menyerlahkan lagi imej wajahnya, ia dipadankan dengan gril hadapan yang lebih nipis dan terdapat jaluran hitam berkilat menghiasi saluran masuk udara sudut yang besar, seperti mana yang ditampilkan pada Velar.

    Untuk rodanya pula, ia diberikan aloi Gaya 5127 dengan rona Satin Dark Grey berukuran 22-inci. Malah tayar simpanannya juga sama saiz dan juga diberikan rim aloi yang sama. Pemegang pintu luaran pula jenis ‘flush’ yang akan keluar apabila pengunci dibuka dan akan ‘masuk semula ke dalam’ setelah pintu dikunci.

    Melewati bahagian belakangnya, penampilannya lebih ringkas. Range Rover Sport tidak diberikan lampu belakang jenis ‘menegak tersembunyi’ seperti mana model adik-beradiknya yang lain. Ia didatangkan dengan lampu belakang LED mendatar dengan palang hitam berkilat bersama perkataan ‘Range Rover’. Bahagian plat nombor pula telah dipindahkan ke bahagian bampar dan turut diberikan paip ekzos berkembar.

    Di dalamnya, imejnya agak sama dengan kabin abangnya, Range Rover 460, termasuk bentangan papan pemuka mendatar dengan corong udara yang nipis. Ada ciri dalaman baharu yang diberikan termasuklah paparan instrumen digital 13.7-inci (12.3-inci pada model terdahulu) dan skrin sesentuh “terapung” 13.1-inci (sebelum ini 10-inci). Selain itu, ia diberikan roda stereng tiga-jejari, konsol tengah yang sedikit tinggi, kawalan suhu empat-zon,

    SUV prestasi sport ini juga diberikan sistem infotainmen Pivi Pro yang menawarkan antara muka yang “flat” dan disepadukan dengan bantuan Amazon Alexa. Ia juga menyokong ketersambungan Bluetooth, Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar serta kemaskini perisian “over-the-air”.

    Ia juga diberikan upholstery Ultrafabrik sebagai pilihan alternatif selain material kulit biasa. Land Rover mendakwa Range Rover Sport 2023 ini menerima lebih 31 mm bagi ruang kaki dan lebih 20 mm untuk ruang lutut untuk tempat duduk penumpang belakang, hasil geometri tempat duduk yang dioptimumkan.

    Range Rover Sport 2023 kini di Malaysia – varian Dynamic SE, 400 PS/550 Nm, harga dari RM1.7 juta

    Ciri lain untuk kabin termasuklah ClearSight Interior Rear View Mirror, dan Cabin Air Purification Pro dengan nanoe X ioniser dan penapis PM2.5 yang bertindak menapis kotoran dan bahan alahan, malah didakwa mampu mengekang virus Covid-19.

    Ia juga diberikan sistem kamera 360-darjah dengan pencahayaan pergerakan, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, pengecas tanpa wayar Qi 15-watt, penyingkir bunyi bising dan sistem bunyi Meridian 1,430-watt dengan 29-speaker (termasuk di dalam perehat kepala).

    Untuk warna luarannya, antara pilihan yang diberikan Range Rover Sport 2023 ialah Firenze Red dan Lantau Bronze, namun pembelinya boleh menentukan sendiri warna pilihan yang disukai untuk luaran dan kabinnya. Sekali lagi, dengan harga atas jalan RM1,698,000 (termasuk cukai) tanpa insurans, tempahan bagi Range Rover Sport 2023 ini telah pun dibuka dan waktu menunggu untuk mendapatkan unit yang ditempah dijangka sekitar 12 bulan.


     
     
  • Mercedes-Benz EQS 580 4Matic 2023 di M’sia – SUV dengan jarak EV 615 km, 544 PS/858 Nm; dari RM700k

    Mercedes-Benz EQS 580 4Matic 2023 di M’sia – SUV dengan jarak EV 615 km, 544 PS/858 Nm; dari RM700k

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah pun melancarkan SUV EQS serba baharu, model ketiga yang dibangunkan dengan platform elektrik yang dipanggil ‘EVA2’ (Electric Vehicle Architecture) selepas EQE dan EQS. Hanya satu varian sahaja yang dibawa masuk ke Malaysia iaitu EQS 580 4MATIC 2023, walau bagaimana pun, untuk pasaran global SUV elektrik tujuh-tempat duduk ini turut menawarkan dua lagi varian di bawahnya iaitu EQS 450+ dan EQS 450 4Matic.

    SUV elektrik EQS 580 4Matic 2023 di Malaysia ditawarkan pada harga atas jalan bermula RM699,888 dengan cukai jualan 10% (untuk Semenanjung Malaysia) dan tanpa insurans.

    Bagi EQS 580 4Matic, ia menerima larasan dwi-motor, yang mampu memberikan keseluruhan kuasa setinggi 544 PS (536 hp atau 400 kW) dan tork 858 Nm. Dengan pecutan 0-100 km/j, ia mampu dicapai dalam masa 4.6 saat dengan kelajuan maksimum cecah 210 km/j. Dikuasakan oleh bateri lithium-ion berkapasiti 108.4 kWh, jarak gerak EV yang boleh dicapai antara 515 hingga 615 km dalam satu pengecasan penuh, mengikut kitaran WLTP. Menurut Mercedes-Benz, penggunaan elektrik untuk SUV mewah ini sekitar 24.1-20.0 kWh bagi setiap 100 km.

    SUV EQS dengan 4Matic memiliki electric drive train (eATS) pada gandar hadapan dan belakang. Manakala Torque Shift pula berfungsi untuk terus mengedarkan tork pemanduan antara mesin elektrik di hadapan dan belakang.

    Mercedes-Benz EQS 580 4Matic 2023 di M’sia – SUV dengan jarak EV 615 km, 544 PS/858 Nm; dari RM700k

    Kesemua barisan SUV EQS dilengkapi dengan bateri lithium-ion dengan 12 modul sel yang disertakan dengan perisian pengurusan bateri inovatif, yang dibangunkan sendiri oleh Mercedes-Benz, membenarkan kemaskini over the air (OTA). Bateri ini dikatakan menepati keperluan Mercedes bagi aspek keselamatan, keupayaan dan ketahanan. Malahan pengeluar kereta ini mendakwa, jangka hayat penyelenggaraan bagi bateri adalah setiap 10 tahun atau 250,000 km dengan mengekalkan kapasiti sebanyak 70%.

    Bagi pengecasan bateri, ia boleh menggunakan pengecas AC 22 kW dengan status pengecasan (SoC) 0% hingga 100% mencecah lima jam 30 minit. Sekiranya menggunakan pengecas pantas DC 200 kW pula, SoC bagi 0% hingga 80% hanyalah 31 minit.

    Selain memiliki prestasi kuasa yang padu, SUV EQS ini juga tampil dengan rekaan bergaya. Bahagian hadapannya menampilkan unit ‘Panel Hitam’ dengan lampu utama Digital LED dan light band yang disepadukan bersama gril radiator hitam dan paten bintang tiga-dimensi yang menyerlahkan rupanya. Ciri istimewa lain yang ditampilkan termasuklah permukaan struktur bagi pencahayaan, termasuk paten haksagon tiga-dimensi yang digabungkan dengan lampu nyalaan siang.

    Imej luaran juga diberikan sentuhan AMG Line Exterior termasuk menampilkan garisan badan yang lebih kemas, menyerlah dan dinamik yang merentangi bahagian hujung hadapan hingga ke A-pillar menghala ke kontur bumbung dan spoiler belakang. SUV EQS ini juga didatangkan dengan roda aloi-ringan pelbagai-jejari AMG 22-inci dengan kemasan hitam berkilat.

    Selain itu, ciri luaran lain yang diberikan termasuklah pemegang pintu jenis ‘flush’ dan bumbung suria panoramik yang diberikan secara standard. Untuk bahagian belakangnya, lampu LED juga diberikan dengan rekaan 3D helix seperti mana untuk wajah hadapannya, dengan bentuk melintang. Diffuser dengan elemen krom kualiti-tinggi dengan spoiler lip di bahagian bawah badan turut diberikan.

    Barisan SUV EQS baharu ini juga diberikan casis yang merangkumi gandar four-link di hadapan dan suspensi multilink di belakang. Jarak kelegaaan tanah untuk SUV ini juga dipertingkatkan sehingga 25 mm. Selain itu, ia juga diberikan mod pemanduan Dynamic Select yang merangkumi Eco, Comfort, Sport dan Individual, dan menampilkan ciri OffRoad khas untuk pemanduan off-road. Ia boleh digunakan dengan atau tanpa ESP®. Ciri standard lain termasuk stereng gandar belakang dengan sudut stereng hingga 10 darjah untuk memberikan pergerakan yang lebih tangkas.

    SUV EQS baharu ini berdimensi 5,125 mm panjang, 1,959 mm lebar dan tinggi 1,718 mm. Manakala jarak rodanya berkongsi dengan EQS versi sedan tetapi ditambah 20 cm menjadikannya 3,210 mm. Dengan saiz yang boleh dikatakan agak besar ini, memberikannya ruang dalaman yang luas. Barisan ketiga tempat duduknya dengan dua tempat duduk individu masih mampu memberikan keselesaan untuk penumpang.

    Untuk barisan pertama tempat duduk, ruang kepala mencecah 1,035 mm, manakala 1,031 mm pada barisan kedua dan ketiga dengan 900 mm. Barisan kedua tempat duduk boleh dilaras ke hadapan dan belakang secara elektrikal hingga 130 mm secara standard. Sekaligus menghasilkan ruang lutut antara 830 mm dan 960 mm.

    Ruang penyimpanan barangan di belakang sekitar 195 liter sekiranya tempat duduk berada dalam keadaan normal. Namun jika tempat duduk barisan kedua dan ketiga dibaringkan sepenuhnya, kapasitinya mencecah 2,100 liter. Manakala ketinggian tailgate yang dibuka sekitar 1,978 mm.

    Ciri kelengkapan kabin SUV EQS ternyata menjanjikan sisi kemewahan, sofistikated dan elegan. Dengan rekaan dalaman avant-garde, elemen kemasan kayuan dengan Mercedes-Benz Pattern menjalari kabinnya. Daya tarikan utama bahagian kabin SUV EQS sudah tentu dengan kehadiran MBUX Hyperscreen dengan panel paparan melengkung yang terdiri daripada tiga unit skrin untuk pemandu (12.3-inci), tengah (17.7-inci) dan untuk penumpang belakang (12.3-inci). Dengan rekaan zero-layer, MBUX Hyperscreen menawarkan operasi sentuhan intuitif dengan haptic feedback dan force feedback.

    Mod paparan alternatif diberikan dengan mod “Pure EV” yang merupakan graf palang untuk memaparkan status pemanduan (Drive, Accelerate, Charge). Skrin paparan tersebut boleh ditetapkan secara individual dengan tiga gaya paparan (Discreet, Sporty, Classic) dan tiga mod (Navigation, Assistance, Service).

    Mercedes-Benz EQS 580 4Matic 2023 di M’sia – SUV dengan jarak EV 615 km, 544 PS/858 Nm; dari RM700k

    Seksyen hadapan untuk konsol tengah menyertai panel instrumen, menawarkan ruang terbuka antara visual ke senibina pemanduan baharu. Disebabkan ia menggunakan penjana kuasa elektrik, bahagian transmisi tidak diperlukan. Selain itu, turut diberikan corong pendingin hawa nipis dengan rekaan seperti turbin dan skrin hiburan 11.6-inci untuk penumpang belakang.

    Bahagian kabin turut dilengkapi dengan kelengkapan Electric Art termasuk upholstery tempat duduk yang mewah dalam kemasan kulit Nappa hitam/kelabu. Selain itu, pencahayaan dalaman juga diberikan termasuk bila pintu dibuka, pancaran pencahayaan tersebut akan memantulkan paten Mercedes-Benz pada lantai.

    Seperti EQS versi sedan, SUV elektrik ini juga diberikan MBUX (Mercedes-Benz User Experience) generasi kedua. Dengan perisian adaptif, paparan dan konsep operasinya memudahkan pengguna untuk mengendalikannya untuk memaparkan pelbagai infotainmen, fungsi kenderaan dan banyak lagi.

    Bagi hiburan, SUV EQS ini juga diberikan sistem bunyi Dolby Atmos® yang termasuk sistem bunyi sekeliling Burmester® dan 15 unit speaker. Ciri kelengkapan dalaman lain termasuk kawalan suhu automatik Thermotronic, bantuan suara Hey Mercedes, MBUX High-End Rear Seat Entertainment Plus yang merangkumi dua paparan 11.6-inci dengan butang kawalan, tablet MBUX untuk penumpang belakang, MBUX Interior Assistant dan MBUX Augmented Reality Navigation yang membolehkan pemandu mengetahui situasi trafik yang kompleks.

    Ia juga didatangkan dengan pakej Energizing secara standard yang merangkumi Energizing Comfort, Energzing Coach dan Air-Balance Package yang menawarkan aroma yang mengharumkan.

    Untuk bantuan pemanduan dan aspek keselamatan, SUV EQS didatangkan dengan Parking Package bersama kamera 360-darjah secara standard, yang disepadukan ke Bantuan Parkir di dalam MBUX, Pakej Bantuan Pemanduan, fungsi brek kecemasan dan Bantuan Parkir Aktif. Ia juga diberikan tujuh beg udara, ABS, Kawalan Kestabilan, Kawalan Kelajuan Adaptif, Pemantauan Titik Buta Aktif, Pengelak Pelanggaran Hadapan dengan Amaran Trafik, Sistem Pengesan Pejalan Kaki, dan Paparan Informasi Isyarat Trafik.

    Selain itu, ia juga hadir dengan Driving Assistance Package Plus yang terdiri daripada Distronic Plus, Active Lane Keeping Assist, Active Steering Assist, Evasive Manoeuvre Support, PRE-SAFE® Impulse Side, dan penderia belakang utuk bantuan ketibaan lorong.

    Sekali lagi, SUV elektrik EQS 580 4Matic 2023 telah pun tiba di Malaysia dan ditawarkan pada harga atas jalan bermula RM699,888 dengan cukai jualan 10% (untuk Semenanjung Malaysia) dan tanpa insurans.

     
     
  • Menteri jangka EV akan lebih laris dengan petrol lebih mahal selepas subsidi bersasar dilaksanakan kerajaan

    Menteri jangka EV akan lebih laris dengan petrol lebih mahal selepas subsidi bersasar dilaksanakan kerajaan

    Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) Nik Nazmi Nik Ahmad menjangkakan perlaksanaan subsidi bersasar untuk bahan api khususnya petrol bakal menarik minat pemilikan kenderaan elektrik (EV) di seluruh negara, lapor Bernama.

    Beliau mengambil contoh sektor EV di China berkembang pesat apabila pengguna terpaksa membayar kos sebenar untuk bahan api jika terus menggunakan kenderaan bukan mesra alam.

    “Dalam subsidi bersasar, perkara besar adalah berkaitan petrol. Bila ada subsidi bersasar berdasarkan pendapatan isi rumah, pengguna terpaksa membayar kos sebenar (untuk bahan api) dan kemungkinan ramai antara mereka akan beralih kepada EV.

    “Ia juga akan menjadi satu faktor penting negara-negara lain seperti China dapat berkembang dengan sangat cepat,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat semalam.

    Beliau memberikan jawapan tersebut selepas menerima soalan tambahan Wong Chen (PKR-Subang) yang ingin tahu sama ada kerajaan terbuka meningkatkan sasaran jumlah kenderaan EV berbanding 1.5 juta unit menjelang 2040 dan memperkenalkan insentif seperti diguna pakai oleh China.

    Nik Nazmi turut bersetuju dengan saranan Wong bahawa wujud keperluan mengkaji semula sasaran yang ditetapkan supaya lebih agresif bagi memastikan negara mencapai matlamat yang lebih bermakna.

    “Banyak perkara berubah, mungkin kita perlu satu sasaran lebih tinggi,” katanya.

    Menurut Wong, sebanyak 23 juta kenderaan aktif di dalam negara dan sasaran 1.5 juta EV hanyalah tujuh peratus daripada jumlah itu. Justeru, beliau ingin tahu adakah kerajaan akan melihat keperluan untuk perlu meningkatkan sasaran kenderaan EV menjelang 2040 kepada 20 peratus ataupun 30 peratus.

     
     
  • Kutipan tol ke Genting Highlands sah akan dibuat tak lama lagi untuk tampung kos selenggara jalan

    Kutipan tol ke Genting Highlands sah akan dibuat tak lama lagi untuk tampung kos selenggara jalan

    Susulan tularnya gambar struktur menyerupai plaza tol yang sedang dibina di di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya tempoh hari, jurucakap syarikat mengendalikan jalan ke Genting Highlands iaitu Lingkaran Cekap Sdn Bhd telah mengesahkan bahawa pelawat bakal dikenakan bayaran tol untuk ke tanah tinggi itu tak lama lagi.

    “Lingkaran Cekap bertanggungjawab terhadap jalan di Genting, termasuk menyelenggara cerun, tanah runtuh, membersihkan pokok tumbang, memotong rumput, menyelenggara sistem kumbahan serta lampu jalan, dan paling penting menyelenggara jalan,” kata jurucakap tersebut kepada akhbar Sin Chew Daily yang kemudiannya dipetik dalam laporan FMT.

    Menurut jurucakap syarikat itu lagi, jalan raya untuk ke tanah tinggi tersebut dibina oleh Genting Malaysia Bhd pada dan penyelenggaraan turut dibuat oleh syarikat itu sejak ianya siap pada pertengahan 1960’an.

    Kutipan tol ke Genting Highlands sah akan dibuat tak lama lagi untuk tampung kos selenggara jalan

    Walau bagaimanapun, jurucakap berkenaan tidak dapat mengesahkan bila tol ini akan bermula dan berapa kadar yang akan dikenakan, sambil menepis dakwaan kutipan tol pada kadar RM2.50 dan RM3 mulai Jun 2024. Ini kerana lebih banyak perbincangan perlu diadakan sebelum pengumuman rasmi dibuat dan kadar tol akan mengambil kira kos dan kerja penyelenggaraan untuk jalan itu.

    FMT turut melaporkan bahawa berdasarkan laporan tahunan 2022, Genting memiliki 49.4% kepentingan dalam Lingkaran Cekap.

    Terdahulu, gambar plaza tol berkenaan telah dikongsi oleh pemilik akaun Facebook bernama Vincent Chow dalam Eat Sleep Touge (Chat & Chill) Facebook group. Binaan yang masih nampak dalam bentuk struktur kerangka besi tersebut dilihat berada di Gohtong Jaya.

     
     
  • KL dilanda banjir lagi petang ini – Jalan Pahang, Ampang, Pudu, Parlimen, Bangsar, Syed Putra

    KL dilanda banjir lagi petang ini – Jalan Pahang, Ampang, Pudu, Parlimen, Bangsar, Syed Putra

    Pusat bandaraya Kuala Lumpur dan banjir kini bagaikan ‘irama dan lagu’. Sekiranya hujan lebat berlaku, pastinya ada jalan utama yang dinaiki banjir. Termasuklah petang ini selepas hujan lebat turun lebih sejam di ibu kota KL, seperti yng dilaporkan oleh Jabatan Penerangan WPKL.

    Untuk petang ini, sebanyak 12 jalan utama digenangi air banjir dan pastinya berlaku kesesakan teruk di lalun berkenaan. Jalan-jalan yang terlibat ialah:

    • Jalan Kinabalu
    • Jalan Pahang
    • Jalan Ampang
    • Jalan Pudu
    • Jalan Melaka
    • Jalan Parlimen
    • Jalan Tuanku Abdul Halim
    • Jalan Cheras
    • Jalan Chan Sow Lin
    • Jalan Damansara
    • Jalan Bangsar
    • Terowong Syed Putra

    Jika jalan yang ingin anda lalui terjejas akibat banjir, sila tangguh perjalanan anda sekiranya boleh dan elak daripada meredah air banjir kerana ia mungkin boleh menyebabkan kerosakan pada kenderaan anda.

    Seperti peringatan kami sebelum ini, anda sangat digalakkan untuk mengambil insurans perlindungan kerosakan kenderaan akibat banjir (special perils). Kerana sekiranya kenderaan anda rosak akibat banjir yang teruk, sudah tentu ia melibatkan kos baik pulih yang sangat tinggi. Jika insuran anda tidak disertakan dengan perlindungan special perils ini, sudah tentu kos pembaikkan tersebut perlu keluar dari poket anda sendiri.

     
     
  • Persimpangan Bertingkat Alam Damai di Lebuhraya SUKE mula dibuka jam 12.01 t/malam ini, 20 Oktober

    Persimpangan Bertingkat Alam Damai di Lebuhraya SUKE mula dibuka jam 12.01 t/malam ini, 20 Oktober

    Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd (Prolintas) selaku syarikat konsesi bagi Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) telah mengumumkan bahawa Persimpangan Bertingkat Alam Damai di lebuhraya berkenaan akan dibuka kepada pengguna mulai jam 12.01 tengah malam ini, 20 Oktober 2023.

    Menurut Prolintas, persimpangan yang dibina secara bertingkat sepanjang 1.5 kilometer ini bakal menyediakan akses secara terus antara jajaran utama Lebuhraya SUKE dengan Jalan Alam Damai bagi memberikan kemudahan laluan alternatif kepada pengguna dari arah Sri Petaling dan Ulu Kelang untuk ke kawasan Alam Damai dan sebaliknya.

    “Pembukaan Persimpangan Bertingkat Alam Damai ini dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di Alam Damai, Taman Connaught, Taman Len Seng, Taman Bukit Anggerik dan kawasan sekitarnya.

    Persimpangan Bertingkat Alam Damai di Lebuhraya SUKE mula dibuka jam 12.01 t/malam ini, 20 Oktober

    “Selain itu, ia turut menambah baik kesalinghubungan ke beberapa lokasi strategik seperti Ampang, Pusat Bandaraya Kuala Lumpur, Sungai Besi dan Bukit Jalil sebagai alternatif untuk Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) atau Jalan Loke Yew yang sering berlaku kesesakan pada waktu puncak,” kata Prolintas menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Persimpangan Bertingkat Alam Damai ini adalah bahagian yang terakhir dibuka di Lebuhraya SUKE, sekali gus menjadi pelengkap kepada keseluruhan jajaran Lebuhraya SUKE. Untuk rekod, Fasa 1 dan Fasa 2 Lebuhraya SUKE sepanjang 24.4 kilometer melibatkan jajaran utama dari Persimpangan Sri Petaling sehingga Persimpangan Bukit Antarabangsa, masing- masing telah dibuka kepada pengguna pada 16 September 2022 dan 16 Jun 2023.

    Dengan pembukaan Persimpangan Bertingkat Alam Damai ini, kutipan tol di laluan susur keluar dan masuk baharu itu juga akan berkuatkuasa serentak, dengan kadar bayaran RM2.30 sehala.

     
     
  • Sistem AP harus dikekalkan, mengekang lambakan EV yang tidak patuhi piawaian keselamatan – Zafrul

    Sistem AP harus dikekalkan, mengekang lambakan EV yang tidak patuhi piawaian keselamatan – Zafrul

    Sistem permit import (AP) untuk kereta perlu dikekalkan bagi memastikan keutamaan diberikan kepada industri tempatan dan pembangunan industri automotif seiring aspirasi Dasar Automotif Nasional 2020, kata Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

    Menteri Perlaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu turut berkata ia juga bagi mengekang lambakan kenderaan import sepenuhnya (CBU) termasuk kenderaan elektrik (EV) yang tidak mematuhi piawaian keselamatan dan berbahaya kepada pengguna jalan raya.

    Zafrul berkata demikian ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini, laporan Bernama. Beliau menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berhubung isu mengenai langkah kerajaan untuk tidak memansuhkan sistem AP, mengecualikan cukai termasuk duti eksais dan import terhadap semua jenis EV termasuk kenderaan komersil dan motosikal.

    Sistem AP kembali menjadi perbualan sejak kebelakangan ini kerana Tesla diberi AP francais tanpa mempunyai rakan kongsi tempatan dengan pegangan saham bumiputera. Ini membolehkan syarikat EV milik Elon Musk mempraktikkan model perniagaan terus kepada pengguna, tiada peniaga, tiada rakan kongsinya di Malaysia.

    Selain itu, Tesla menjadi pemohon pertama yang berjaya dalam program BEV Global Leaders anjuran MITI, yang disertakan dengan konsesi.

     
     
  • Honda Civic Type R FL5 – lebih 200 tempahan diterima untuk 19-unit pertama di Malaysia, undian dibuat esok

    Honda Civic Type R FL5 – lebih 200 tempahan diterima untuk 19-unit pertama di Malaysia, undian dibuat esok

    Ketika dilancarkan di Malaysia bulan lalu dengan harga RM399,900, tentu ramai yang rasa Honda Civic Type R ini terlalu mahal bukan? Namun untuk individu-individu yang ‘kenal barang’, harga berkenaan tidak menjadi masalah.

    Ketika dilancarkan, Honda Malaysia turut mengumumkan bahawa Malaysia hanya menerima 20-unit (1 unit milik Honda Malaysia, 19 selebihnya untuk dijual) Type R FL5 dari kilang Yorii Honda di Saitama, Jepun tahun ini, dan mereka yang berminat perlu meletakkan tempahan dengan deposit terlebih dahulu di pengedar-pengedar Honda sebelum ia ditutup pada 15 Oktober.

    Kemudian pada 20 Oktober (esok), semua nama pelanggan yang menempah akan dikumpulkan dan Honda Malaysia akan membuat undian bagi menentukan siapa yang layak untuk membeli 19-unit Civic Type R FL5 tersebut. Dan menurut Honda Malaysia, ia sudah pun menerima tempahan lebih dari 200 pelanggan yang berminat untuk membeli model produksi pacuan roda hadapan terpantas di Litar Nürburgring berkenaan!

    Honda Civic Type R FL5 – lebih 200 tempahan diterima untuk 19-unit pertama di Malaysia, undian dibuat esok

    Kami diberitahu bahawa undian ini akan dijalankan secara tertutup, namun ia akan dipastikan untuk patuh audit bagi memastikan semua pihak berpuas hati.

    Bagi yang ramai tertanya-tanya, hebat sangat ke Type R FL5 ini sampai ramai yang sanggup membayar sehingga RM400,000 untuk sebuah Civic? Hakikatnya, FL5 bukan sahaja Type R produksi paling berkuasa pernah dihasilkan Honda setakat ini, malah ia adalah Type R terakhir dari Honda yang menggunakan enjin pembakaran dalaman dan kotak gear manual sebelum beralih ke teknologi elektrik selepas ini.

    Seperti yang diketahui, Civic Type R FL5 ini diasaskan dari Civic generasi ke-11 dalam bentuk badan hatchback. Ia menerima kejuruteraan semula pada casis dengan diberikan suspensi lebih baik, badan lebih lebar bersama kit aero lebih agresif dan pelbagai lagi.

    Model generasi baharu ini masih menerima enjin petrol 2.0 liter VTEC Turbo K20C1 seperti model generasi FK8 terdahalu, namun ditala semula bagi memberikan kuasa lebih besar. Malaysia menerima talaan kuasa yang sama seperti model pasaran ASEAN lain iaitu 319 PS pada tahap 6,500 rpm dan tork maksima 420 Nm bermula 2,600 hingga 4,000 rpm.

     
     
  • Tesla Pavilion Damansara Height kini mula dibuka

    Tesla Pavilion Damansara Height kini mula dibuka

    Selepas pembukaan Ibu pejabat Tesla di Cyberjaya pada awal Oktober, dan bersekali dengan pengenalan Tesla Model 3 Highland 2023 hari ini, Tesla Malaysia turut membuka satu lagi bilik pamerannya di Pavilion Damansara Height. Ini merupakan Tesla Flagship Experience Centre yang pertama jenama itu yang dibuka di negara ini.

    Terletak di dalam bangunan komersial terbaru di Kuala Lumpur yang juga baru sahaja dibuka kepada umum pada 9 Oktober lalu, bilik pameran tersebut mempunyai buka keluasan sekitar 3,000 meter persegi disasarkan untuk menampung permintaan bagi pelanggan di sekitar Bangsar dan Damansara Height.

    Tesla Pavilion Damansara Height kini mula dibuka

    Bilik pameran ini akan mempamerkan semua produk Tesla — ketika ini melibatkan Model Y dan Model 3 — serta beberapa produk penyelesaian pengecasan dan jualan cenderahati. Pelanggan boleh berkungjung ke premis berkenaan untuk mengetahui sebarang maklumat berkaitan produk Tesla. Ia terletak di unit L2.27.11, Pavilion Damansara Height dan dibuka setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.

    Di lokasi berkenaan juga, di ruang parkir B1, juga ada kelihatan sebaris Tesla Destination Charger, yang merupakan pengecas AC. Satu lagi jenis pengecas, seperti yang ada di Pavilion KL, ialah Tesla Supercharger yang merupakan pengecas pantas DC.

     
     
  • Persimpangan Alam Damai di SUKE bakal dibuka

    Fasa 2 Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) telah pun dilancarkan pada Jun lalu. Jajaran sepanjang 7.8 km dengan memiliki satu plaza tol menghubungkan Sri Petaling dan Bukit Jalil ke persimpangan Cheras-Kajang untuk Fasa 1 SUKE.

    Sewaktu dilancarkan tempoh hari, persimpangan Alam Damai yang terletak dalam jajaran Fasa 2 masih dalam pembinaan. Dan syarikat konsesinya, Prolintas berkata, persimpangan terbabit akan siap sepenuhnya pada suku ketiga (Q3) 2023, dijangka pada Ogos.

    Namun kini Q3 telah pun berakhir dan kita telah memasuki suku ke-4 (Q4) atau pun yang terakhir untuk tahun 2023, secara tidak langsung pembukaan persimpangan Alam Damai bagaikan ‘terlajak’ dari jadual pembukaan yang direncana sebelum ini.

    Walau bagimana pun, kelmarin, laman Fecabook Prolintas telah mula menyiarkan ‘teaser’ pembukaan persimpangan Alam Damai menerusi video pendek yang dikongsikan. Namun tidak dimaklumkan tarikh sebenar ia bakal dibuka, jadi kenalah kita tunggu pengumuman selanjutnya dari Prolintas.

     
     
  • Tesla Model 3 ‘Highland’ facelift kini dilancarkan di M’sia — varian asas RM189k, Dual Motor dari RM218k

    Tesla Model 3 ‘Highland’ facelift kini dilancarkan di M’sia — varian asas RM189k, Dual Motor dari RM218k

    Selepas pembukaan ibu pejabat Tesla Malaysia di Cyberjaya beberapa minggu lalu, Tesla hari ini memperkenalkan pula Tesla Model 3 Highland untuk pasaran tempatan secara rasmi.

    Mula didedahkan pada September lalu, Model 3 yang diperbaharui itu, yang dikenali dengan nama Highland, menjadi model kedua Tesla untuk pasaran tempatan. Ia ditawarkan dalam dua varian, iaitu versi Rear-Wheel Drive dengan harga bermula RM189,000 dan Dual Motor All-Wheel Drive dengan harga permulaan RM218,000.

    Dilengkapi dengan motor tunggal di belakang, Model 3 Rear Wheel Drive (RWD) memberikan jarak maksimum 513 km (WLTP) dengan sekali cas, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.1 saat dan kelajuan maksimum 201 km/j.

    Tesla Model 3 ‘Highland’ facelift kini dilancarkan di M’sia — varian asas RM189k, Dual Motor dari RM218k

    Model 3 Dual Motor All-Wheel Drive pula dilengkapi dua motor dan bateri dengan kapasiti lebih besar, membolehkannya memberikan jarak 629 km dengan sekali cas (WLTP). Walaupun dengan laju maksimum yang sama, pecutan 0-100 km/j varian ini adalah lebih pantas dengan 4.4 saat.

    Rekaan luaran pula hanya menampilkan sedikit berbezaan berbanding versi sebelumnya. Lampu utama kini lebih tirus dan lampu DRL LED menjadi lebih ketara. Tiada lagi lampu kabus, dan ini digantikan oleh bukaan udara di tengahnya. Lampu belakang juga baru, serta bampar dengan rekaan baru.

    Sebagai standard, Model 3 ini datang dengan warna luar Pearl White Multi-Coat, dengan pilihan warna lain dikenakan kos tambahan. Tambah RM5,000 misalnya jika pelanggan mahukan warna Solid Black atau Deep Blue Metallic, ada pilih daripada dua warna baru Stealth Grey (RM7,500) dan Ultra Red (RM11,000).

    Model spesifikasi tempatan dilengkapi juga dengan rim Photon 18-inci sebagai standard, manakala rim Nova 19-inci disediakan sebagai pilihan dengan tambahan RM7,500. Set Autopilot juga ditawarkan untuk Model 3, tetapi jika ingin dinaik taraf kepada Enhanced Autopilot ia memerlukan tambahan kos RM16,000, dan untuk Full Self-Driveng dengan tambahan kos RM32,000.

    Model 3 asasnya datang dengan kemasan ruang dalaman hitam, dengan tambahan kos RM5,000 untuk pilihan lain. Kabinnya juga disifatkan lebih senyap dengan penggunaan gelas akustik bagi cermin belakang serta ciri penebat bunyi lainnya kali ini. Ia memperbaiki tahap kesenyapan terhadap angin dan persekitaran sebanyak 30%, 25% bagi kesan bunyi permukaan dan 20% lebih senyap untuk bunyi jalan.

    Ruang dalaman juga dihadirkan dengan material lebih premium dan kontras. Papan pemuka menerima rekaan baru dengan pencahayaan LED dan kemasan kustom, begitu juga dengan stereng yang kini lengkap dengan petunjuk lampu isyarat.

    Pemilih gear juga tak ada lagi dan digantikan dengan kawalan pemilihan gear dalam skrin sentuh. Jika skrin bermasalah, butang pemilih gear fizikal yang terletak di bahagian depan bumbung, di panel antara pelindung matahari pemandu dan penumpang depan boleh digunakan.

    Antara kemaskini lain termasuklah skrin sentuh di tengah yang lebih responsif dan pantas, serta pengenalan skrin kabin untuk penumpang belakang, membolehkan mereka untuk mengawal stereo dan AC atau menonton filem atau main permainan video.

    Sambungan Wi-Fi juga dipertingkatkan. Untuk audio, varian RWD datang dengan sembilan pembesar suara dan amplifier tunggal, sementara varian lebih tinggi dengan 17-pembesar suara dengan dua amplifier dan dua subwoofer, berbanding hanya 14 sebelum ini.

    Berikut senarai spesifikasi Model 3 Highland berserta pilihan yang ditawarkan:

      Tesla Model 3 Rear-Wheel Drive

    • Pecutan 0-100 km/h: 6.1 saat
    • Laju maksimum: 201 km/h
    • Jarak (WLTP): 513 km
    • Tesla Model 3 Dual Motor All-Wheel Drive

    • Pecutan 0-100 km/h: 4.4 saat
    • Laju maksimum: 201 km/h
    • Jarak (WLTP): 629 km
    • Pilihan lain:

      Warna luaran

    • Pearl White Multi-Coat: Standard
    • Solid Black: RM5,000
    • Deep Blue Metallic: RM5,000
    • Stealth Grey: RM7,500
    • Ultra Red: RM11,000
    • Rim

    • Rim Photon 18-inci: Standard
    • Rim Nova 19-inch Nova: RM7,500
    • Warna dalaman

    • Hitam: Standard
    • Hitam dan putih: RM5,000
    • Sistem bantuan pemanduan

    • Enhanced Autopilot (dengan fungsi Autopilot, Auto Lane Change) – RM16,000
    • Full Self-Driving (semua fungsi Basic Autopilot dan Enhanced Autopilot) – RM32,000

    Serahan pertama Model 3 Higland dijangka akan dimulakan sebelum hujung tahun ini.

    Tesla Model 3 Highland Standard 2023

    Tesla Model 3 Highland Dual Motor 2023

     
     
  • Honda City kini ditawarkan dengan pinjaman sehingga 100%, tidak perlu sediakan deposit untuk tempahan

    Honda City kini ditawarkan dengan pinjaman  sehingga 100%, tidak perlu sediakan deposit untuk tempahan

    Honda Malaysia (HM) telah mengumumkan Honda City kini ditawarkan dengan pinjaman sehingga 100%. Ini bermakna anda boleh memandu pulang sedan segmen-B ini tanpa menyediakan ‘bayaran muka’ atau deposit. Berbanding sebelum ini, dengan 90% pinjaman dan 10% deposit.

    Program ini adalah dengan kerjasama Bank Muamalat dan Maybank. Di mana anda perlu ditentukan kelayakan terlebih dahulu bagi proses pemohonan pinjaman. Walau bagaimana pun, program ini tidak menyebut City Hatchback, jadi rasanya ia hanya untuk versi sedan sahaja.

    Dalam promosi bulanan sepanjang Oktober 2023, HM menawarkan rebat bernilai RM1,500 untuk pembelian City. Ia memang ganjaran tunai biasa, namun memandangkan kita menghampiri penghujung 2023, jadi terdapat beberapa penawaran lain yang turut diberikan termasuk kadar pinjaman yang rendah, baucer penyelenggaran, dan baucer petrol.

    Bukan itu sahaja, bagi anda uang memilih varian City E dan V, akan menerima baucer lapisan cermin gelap Ecotint bernilai RM2,200 dan tawaran ini hanya sah sehingga 31 Disember 2023. Untuk mengetahui lebih lanjut, segeralah berkunjung ke mana-mana wakil pengedar Honda berhampiran.

    Honda City e:HEV RS 2023

     
     
  • Produksi Proton Exora akhirnya tamat – 196,583 unit MPV segmen-C dihasilkan selama 14-tahun!

    Produksi Proton Exora akhirnya tamat – 196,583 unit MPV segmen-C dihasilkan selama 14-tahun!

    Seperti yang dijangkakan, selepas unit terakhir enjin Campro CFE disiapkan minggu lalu, produksi untuk satu-satunya model yang masih menggunakan enjin tersebut iaitu Proton Exora juga ditamatkan. Tiada lagi pengumuman rasmi dari Proton, namun menerusi gambar yang tular semalam, unit terakhir Exora yang dibuat di Kilang Pengeluaran Medium (MVF) Proton sedang disiapkan.

    Pekerja kilang berkenaan ‘meraikan’ kerangka terakhir MPV tersebut dengan menulis “14 years, Last MPV Exora, #196583, 18/10/23 TQ Proton!” pada penutup bonet hadapan yang belum dicat. Ya, Exora yang dilancarkan secara rasmi pada April 2009 telah diproduksi di kilang berkenaan selama 14 tahun sebanyak 196,583 unit!

    Exora bukan sahaja MPV pertama yang dihasilkan oleh Proton, malah ia adalah MPV pertama dari jenama tempatan (Juara dan Perodua Rusa didaftarkan sebagai van). Pembangunan MPV yang dikenali dengan kod P6-20A ini dibuat pada zaman Proton dipimpin oleh Tan Sri Syed Zainal Abidin, dan ia adalah hasil sepenuhnya kejuruteraan tempatan, disesuaikan untuk penggunaan rakyat Malaysia.

    Dengan berakhirnya produksi Proton Exora ini bermakna tiada lagi penawaran MPV segmen-C di Malaysia dari mana-mana jenama selepas ini. Exora sebelum ini mendominasi jualan segmen berkenaan dan menjadi model paling laris dalam kelasnya selama bertahun-tahun, sehingga ia kekal sebagai satu-satunya MPV segmen-C yang dijual di sini tanpa saingan.

    Produksi Proton Exora akhirnya tamat – 196,583 unit MPV segmen-C dihasilkan selama 14-tahun!

    Proton Exora 2009

    Proton mengemaskini penawaran Exora dari tahun ke tahun. Ia pernah dijual dalam versi paling murah iaitu Standard MT pada 2015 dengan harga RM56,888, dan pernah ditawarkan dalam versi paling mahal iaitu Exora Prime pada 2011 yang menampilkan konfigurasi enam-tempat duduk termasuk tempat duduk kapten pada baris kedua, 12 tahun sebelum kewujudan Proton X90!

    Kali terakhir Exora dikemaskini adalah pada tahun lalu yang menampilkan logo ‘Thundercats’ baru Proton (Exora sempat berada dalam tiga zaman logo Proton yang berbeza!), dijual pada harga bermula RM62,800 hingga RM69,800.

    Ketika diperkenalkan pada 2009, Exora hanya tampil dengan enjin Campro CPS 1.6 liter yang menghasilkan 125 hp dan tork maksima 150 Nm. Mengambil respon orang ramai yang mengatakan enjin berkenaan tidak cukup kuasa (era yang sama menyaksikan Toyota menjual Avanza dengan hanya enjin 1.3 liter), Proton menawarkan enjin CamPro Charged Fuel Efficiency (CFE) 1.6L yang disuap pengecas turbo bagi menghasilkan kuasa 138 hp/205 Nm.

    Produksi Proton Exora akhirnya tamat – 196,583 unit MPV segmen-C dihasilkan selama 14-tahun!

    Proton Exora 2023

    Enjin berkenaan diperkenalkan menerusi Exora Bold 2011, dan MPV tersebut menjadi model Proton pertama yang menerima enjin turbo dari kilang sebelum unit rangkaian kuasa sama ditawarkan pada sedan Proton Preve pada tahun 2012, diikuti versi hatchbacknya iaitu Suprima S pada 2013.

    Enjin CFE itu juga menjadikan Exora sebagai antara MPV segmen-C paling berkuasa dalam pasaran. Namun walaupun prestasinya agak mengujakan, enjin ini dihambat dengan masalah hos penyejuk minyak pelincir (OCH) yang selalu pecah, serta agak kuat ‘menelan’ petrol.

    Exora juga merupakan antara MPV yang paling selamat dizamannya dengan menerima pengiktirafan empat-bintang dalam ujian pelanggaran keselamatan Program Penilaian Kereta Baharu Australasian (ANCAP), yang dilihat lebih ketat berbanding ujian ASEAN NCAP yang dibuat di Malaysia.

    Model konsep SUV Proton Lekiu (kiri) dan konsep trak pikap Proton (kanan), kedua-duanya diasaskan dari Exora

    Proton turut menghasilkan pelbagai prototaip menerusi MPV ini, antaranya prototaip yang dijana oleh unit rangkaian kuasa Range Extender Electric (REEV) pada 2010, dan dijadikan asas kepada model konsep SUV Lekiu pada 2010 serta model konsep trak pikap Proton pada 2015.

    Pada 2019, sebuah Exora dengan sistem pemanduan autonomi ditunjukkan di Putrajaya, dan terbaharu Exora digunakan sebagai stesen pengesan EV bergerak oleh Gentari.

    Dalam tempoh 14 tahun dan pengeluaran hampir 200,000 ribu unit, Exora yang digunakan sebagai pengangkutan keluarga sudah tentu rapat dengan rakyat Malaysia. Anda ada kenangan dengan Exora? Kalau sudi kongsikanlah pada ruangan komen di bawah atau di laman-laman sosial kami!

     
     
  • KL banjir kilat lagi — jalan sekitar Cheras dan ibu kota naik air, Rolls-Royce tenggelam, SMART ditutup

    KL banjir kilat lagi — jalan sekitar Cheras dan ibu kota naik air, Rolls-Royce tenggelam, SMART ditutup

    Hujan lebat yang turut sejak sekitar jam 4 petang tadi telah mengakibatkan beberapa jalan di Kuala Lumpur dinaiki air. Melalui beberapa hantaran yang dikongsikan di laman Facebook Jabatan Penerangan WPKL, beberapa jalan yang dimaksudkan berada di kawasan Cheras, termasuklah Jalan Cheras, Jalan Peel dan Jalan Permaisuri. Dan, dalam salah satu gambar yang dikongsikan, kelihatan sebuah Rolls-Royce juga hampir tenggelam.

    Selain itu, ada bahagian di Lebuhraya Bukit Jalil juga mengalami situasi yang sama. Beberapa jalan di tengah ibu kota juga turut dilaporkan banjir berikutan hujan lebih yang turun lebih sejam petang ini. Antara jalan yang terlibat ialah Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Hang Tuah.

    Dua laluan terowong juga dilaporkan terkesan, iaitu terowong Yaacob Latif dan juga terowong SMART di susur keluar Cheras dan Taman Desa. Oleh kerana keadaan itu, terowong SMART juga ditutup kepada lalu lintas sebagai persediaan operasi banjir.

    Bulan ini sahaja sudah dua kali air naik akibat banjir kilat susulan hujan lebat, juga melibatkan kawasan sama seperti Cheras dan juga pusat bandar. Jika anda memandu, berhati-hatilah dan peka dengan perkembangan semasa serta persekitaran. Juga, jangan lupa untuk menyertakan pelindungan bencana alam untuk insurans kenderaan anda.