Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Harga minyak 19-25 Oktober – Tiada perubahan

    Harga minyak 19-25 Oktober – Tiada perubahan

    Untuk minggu bertarikh 19 hingga 25 Oktober 2023, Kementerian Kewangan (MoF) telah mengumumkan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel dikekalkan.

    Di mana harga petrol RON 97 dikekalkan pada RM3.47 seliter, setelah mengalami kenaikan sebanyak 10 sen seliter sebulan yang lalu.

    Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada 19 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata harga petrol tidak boleh diturunkan kepada RM1.50 seliter susulan perkembangan membabitkan kadar semasa minyak mentah dunia.

    Katanya, harga semasa petrol di Malaysia masih berada pada tahap rendah, iaitu RM2.05 seliter, berbanding Arab Saudi yang menetapkan pada kadar RM2.84 seliter. Justeru, beliau yang juga Menteri Kewangan menyifatkan tidak wajar jika cadangan diajukan beliau ketika 2018 itu, berterusan dimanipulasi, tanpa mengambil kira perkembangan semasa.

     
     
  • Plat khas EV – JPJ keluarkan notis permohonan cadangan plat kenderaan tanpa gas pencemaran

    Plat khas EV – JPJ keluarkan notis permohonan cadangan plat kenderaan tanpa gas pencemaran

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini telah mengeluarkan notis permohonan cadangan (RFP) untuk pelaksanaan rekaan plat khas (RPK) bagi kenderaan motor tanpa pelepasan gas pencemaran (zero emission vehicle), yang termasuk kenderaan elektrik bateri (BEV) kepada syarikat yang berminat.

    Beberapa syarat ditetapkan untuk syarikat yang mahu menghantar dokumen RFP kepada JPJ, dengan antaranya termasuk mempunyai pengalaman yang mencukupi dalam kewangan, pembangunan dan operasi RPK, wajib hadir ke sesi taklimat dan menanggung sendiri segala kos semasa penyediaan dokumen. Tarikh tutup penyerahan dokumen RFP yang lengkap adalah sebelum atau pada 14 November 2023, jam 10 pagi.

    Pengeluaran plat khas untuk kenderaan jenis ini (EV) pernah diberitahu oleh menteri pengangkutan, Anthony Loke Julai lalu, dengan contoh EV1-EV999 dan selepas itu diikuti oleh EVA, EVB, EVC dan seterusnya, seperti nombor plat biasa yang dikeluarkan mengikut negeri.

    Loke juga ada memberitahu bahawa nombor plat ini akan dihubungkan dengan sistem RFID dan akan bertindak sebagai satu langkah keselamatan. Sebagai contoh, jika berlaku sebarang kemalangan, petindak kecemasan dapat mengenal pasti nombor plat tersebut dan mengetahui ia adalah kenderaan bervoltan tinggi yang memerlukan protokol khas sebagai keselamatan.

    Plat khas EV – JPJ keluarkan notis permohonan cadangan plat kenderaan tanpa gas pencemaran

     
     
  • Polis cari ibu bapa kanak-kanak jatuh dari kereta

    Polis cari ibu bapa kanak-kanak jatuh dari kereta

    Susulan tularnya satu video memaparkan seorang kanak-kanak yang jatuh dari pintu belakang sebuah Honda City yang sedang membuat pusingan-U di Kota Bharu semalam, Polis Kelantan hari ini mengumumkan bahawa pihaknya sedang mencari ibu bapa kanak-kanak malang berkenaan.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintenden Mohd Suhaimi Ali dalam laporan Sinar Harian, kejadian itu berlaku di lampu isyarat Jalan Sultan Yahya Petra berhampiran pasar raya Billion Kota Bharu kira-kira jam 5.42 petang semalam.

    Suhaimi turut menyatakan insiden itu dipercayai terjadi akibat kegagalan pemandu kereta terbabit yang tidak memastikan pintu penumpang sebelah kiri ditutup dengan kemas, serta tidak memastikan kanak-kanak tersebut untuk memakai tali pinggang keledar.

    “Kes tersebut akan disiasat bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang melihat kejadian terbabit diminta tampil membantu siasatan atau boleh menghubungi talian 09-7752355,” katanya.

    Dalam video berdurasi 1.01 minit yang tular dipelbagai media sosial sejak semalam itu, dapat dilihat kanak-kanak tersebut jatuh ke atas jalan raya selepas pintu belakang Honda City berwarna kelabu tersebut terbuka ketika membuat pusingan-U.

    Tambah malang, kanak-kanak berkenaan turut dilanggar sebuah Perodua Ativa berwarna merah yang turut sedang membuat pusingan-U selepas beberapa kereta bejaya mengelak kanak-kanak berkenaan. Si kecil tersebut kemudiannya dilihat bangun kembali selepas dilanggar dan kemudiannya dia diselamatkan oleh seorang penunggang motosikal untuk dibawa ketempat selamat.

    Pemandu kereta Honda City berkenaan dilihat seperti tidak sedar kanak-kanak tersebut telah jatuh dari kereta dan hanya berhenti jauh ke hadapan dari tempat kejadian. Keadaan kanak-kanak tersebut masih belum diketahui sehingga kini.

     
     
  • Lebuhraya GCE dan AKLEH kini laksana Sistem Pembayaran terbuka – bayar tol guna kad debit/kredit

    Lebuhraya GCE dan AKLEH kini laksana Sistem Pembayaran terbuka – bayar tol guna kad debit/kredit

    Selepas menjalani ujian rintis sejak 15 September lalu, kini Sistem Pembayaran Terbuka (SPT) telah pun dilaksanakan di Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).

    Menurut Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas) selaku syarikat konsesi kedua-dua lebuhraya berkenaan, dengan SPT, kini pengguna boleh menggunakan kad debit mahu pun kad kredit untuk transaksi bayaran tol.

    “Pilihan pembayaran tol baharu itu boleh digunakan oleh pengguna kenderaan Kelas 1 (kereta) di lorong yang telah dikenal pasti dengan papan tanda khas pada gantri. Plaza tol yang terkubat ialah Plaza Tol Bukit Jelutong, Plaza Tol Elmina dan Plaza Tol Lagong di Lebuhraya GCE serta Plaza Tol Datuk Keramat di Lebuhraya AKLEH,” kata Prolintas menerusi pengumuman di laman Facebook rasminya.

    Sebelum ini, CEO Kumpulan PROLITAS, Dato’ Mohammad Azlan Abdullah berkata SPT adalah tambahan kepada kaedah pembayaran tol sedia ada seperti kad Touch ‘n Go, SmartTag dan Pengenalan Frekuensi Radio (RFID). “Inisiatif ini akan memberikan kemudahan yang lebih besar dan fleksibiliti untuk pemandu dengan pelbagai pilihan pembayaran tol yang akan menyumbang kepada keseluruhan penambahbaikan industri lebuh raya negara,” jelasnya.

     
     
  • Garmin Run 2023: Beberapa jalan utama di Putrajaya bakal ditutup pada Ahad ini, 22 Oktober 2023

    Jika anda menetap di Putrajaya atau pun berhajat untuk beriadah di sekitar pusat pentadbiran kerajaan pada hujung minggu ini, ada makluman buat anda. Terdapat beberapa jalan utama di sekitar Putrajaya yang akan ditutup pada Ahad ini, 22 Oktober 2023, bagi menjayakan acara larian Garmin Run Asia Series 2023.

    Seperti biasa, garisan pemulaan dan tamat akan berada di antara Istana Kehakiman dan Perbadanan Putrajaya. Untuk kategori 21 km half marathon, ia akan bermula pada jam 5 pagi dan pelari akan merentasi beberapa jambatan terkenal di Putrajaya. Manakala untuk pelari yang mengambil bahagian dalam kategori 10 km pula akan bermula pada jam 6.45 pagi, disusuli dengan kategori 5 km.

    Untuk itu, beberapa jalan akan ditutup dari jam 3 pagi, dan ada juga laluan yang akan ditutup mulai 4.50 pagi. Sila teliti peta di ruangan galeri di bawah untuk maklumat lebih lanjut, bersama dengan senarai penuh jalan yang terlibat dengan penutupan. Ada juga jalan yang masih boleh dilalui oleh kenderaan walau pun terlibat dengan laluan para pelari.

    Jadi, yang memandu di laluan berkenaan, diharap lebih berhati-hati sewaktu pemanduan dan elakkan memandu laju, sila patuhi arahan polis trafik yang bertugas. Untuk para peserta pula, sila berlari di bahu jalan sekiranya laluan tersebut berkongsi dengan kenderaan lain.

     
     
  • Carro Care – myTukar jenamakan semula rangkaian selepas jualan, kerjasama Jardine Cycle & Carriage

    Carro Care – myTukar jenamakan semula rangkaian selepas jualan, kerjasama Jardine Cycle & Carriage

    Carro, syarikat induk myTukar dan platform kereta terpakai dalam talian terbesar dan paling menguntungkan di Asia Tenggara, telah memperkenalkan Carro Care, sebuah perniagaan perkhidmatan selepas jualan yang dijana oleh keupayaan teknologi proprietari.

    Langkah ini adalah sebahagian daripada kerjasama strategik bernilai USD$60 juta (RM284 juta) dengan Jardine Cycle & Carriage (JC&C), salah satu pemain automotif serantau dengan kepakaran mendalam yang relevan dalam pasaran perkhidmatan selepas jualan.

    Carro Care – myTukar jenamakan semula rangkaian selepas jualan, kerjasama Jardine Cycle & Carriage

    Singapura dan Malaysia akan menjadi tumpuan awal Carro Care dengan pelancaran pertamanya di Malaysia. Dengan ini, pusat-pusat baik pulih dan servis kereta myTukar akan dijenamakan semula dan dilengkapi dengan teknologi menyeluruh Carro.

    “Para pelanggan mencari kejujuran, kualiti, dan ketelusan dalam perkhidmatan selepas jualan untuk kereta sama ada untuk penyelenggaraan berkala atau pembaikan segera. Kami yakin bahawa Carro Care dapat memberikan apa yang diperlukan oleh pelanggan dan termasuk kemudahan berasaskan teknologi dan perkhidmatan terbaik yang tidak dapat disaingi pada harga yang lebih berpatutan,” kata SV Balasubramaniam yang baru dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Carro Care.

    Tambah beliau, “Pelanggan akan dapat tahu harga yang telus untuk perkhidmatan yang mereka perlukan dengan terlebih dahulu, serta rekod komprehensif tentang sejarah perkhidmatan dan lawatan mereka dengan kami. Carro Care pasti akan memperkukuhkan lagi tawaran kami yang
    sedia ada kepada pelanggan.”

    Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Carro, Aaron Tan, pula berkata, “Melalui kerjasama dengan JC&C, kami yakin bahawa kami boleh terus mendahului dan memperkukuhkan industri ini di samping menambah baik proses pemilikan kereta secara menyeluruh bagi pelanggan kami.”

     
     
  • Toyota Hilux GR Sport II – selepas Australia kini Eropah juga dapat Hilux lebih lebar, tapi kurang kuasa

    Toyota Hilux GR Sport II – selepas Australia kini Eropah juga dapat Hilux lebih lebar, tapi kurang kuasa

    Selepas Australia, kini giliran pasaran Eropah pula mendedahkan trak pikap Toyota Hilux dengan badan dan juga trek roda lebih lebar – Ini dia, Toyota Hilux GR Sport 11 2024 yang bakal dijual di benua berkenaan bermula separa kedua tahun hadapan.

    Pada bahagian luaran, model pasaran Eropah ini kelihatan hampir sama dengan Toyota Hilux GR Sport 2023 pasaran Australia yang sudah mula dijual bulan lalu. Pada bahagian muka ia diberikan gril dengan skrip ‘Toyota’ pada kedudukan lebih tinggi dan kemasan sebelah bawah berbeza dengan ruang liang udara lebih banyak. Bampar hadapan juga kelihatan jauh berbeza dari model biasa dengan perumah lampu kabus tidak bersegi.

    Bagi menjadikan Hilux GR Sport ini lebih lebar untuk rupa yang jauh lebih agresif, ia diberikan overfender yang jauh lebih lebar berbanding Hilux biasa dalam kemasan Satin Black. Ia bukan hanya untuk kosmetik semata-mata kerana suspensi Hilux GR Sport ini juga telah di ubah bagi memberikan jarak trek roda yang lebih lebar. Logo eksklusif GR pula ditampal pada gril hadapan dan juga pintu tailgate belakang.

    Namun ada beberapa perincian yang berbeza antara model pasaran Hilux GR Sport II Eropah ini dengan Hilux GR Sport Australia. Model di Eropah ini diberikan bar sport aero berwarna hitam pada bed belakang, namun ia tidak diberikan pelindung bawah hadapan dan juga dua cangkuk tunda berwarna merah seperti yang dilengkapkan pada model pasaran Australia.

    Toyota Hilux GR Sport II – selepas Australia kini Eropah juga dapat Hilux lebih lebar, tapi kurang kuasa

    Menurut Toyota Eropah, rekaan luaran baharu pada Hilux GR Sport II ini memberikan kesan aerodinamik yang lebih baik menerusi struktur tirai udara yang terbentuk dari bampar hadapan bersama perumah lampu kabus, memberikan keberkesanan seretan udara yang lebih baik serta mengurangkan golakan udara dalam ruang roda. Aero Sports Bar dan penutup dek yang dipasang turut membantu aspek ini.

    Rupa trak pikap ini dilengkapkan dengan pemadanan rim aloi berdiameter 17-inci yang lebih ringan dan direka lebih aerodinamik dalam kemasan hitam berkilat, dibalut dengan tayar All Terrain Bridgestone Dueler bersaiz 265/65R17. Angkup brek hadapan diwarnakan merah dengan cakera bersaiz 17-inci berbanding 16-inci pada Hliux biasa, manakala brek dram dibelakang digantikan dengan brek cakera dengan rotor berdiameter 15-inci.

    Seperti juga model pasaran Australia, Toyota Hilux GR Sport II ini turut menerima perubahan ketara pada suspensi. Ia bukan hanya menerima penyerap hentak tiub berkembar dengan omboh lebih besar dan spring gegelung berwarna merah yang berlainan dari Hilux standard, malah suspensi tersebut turut menjadikan Hilux GR Sport II ini 20 mm lebih tinggi, serta trek roda 140 mm lebih lebar di hadapan dan 155 mm lebih lebar di belakang.

    Ini membolehkan sudut approach model ini mencapai 30 darjah berbanding 29 darjah sebelum ini, serta jarak kelegaan tanah lebih tinggi bagi memudahkan lagi pemanduan pada laluan off-road lebih lasak.

    Toyota Hilux GR Sport II – selepas Australia kini Eropah juga dapat Hilux lebih lebar, tapi kurang kuasa

    Toyota turut menyatakan bahawa tetapan suspensi baharu ini menjadikan ia sebagai Hilux terbaik dari segi pemanduan tidak kira atas jalan atau off-road, serta menampilkan kestabilan lebih baik dengan daya olengan badan yang dikurangkan dan juga respon stereng yang lebih jitu, membolehkan prestasi pemanduan sporty diberikan tanpa mengorbankan keselesaan untuk kegunaan setiap hari.

    Walau bagaimanapun tiada talaan kuasa lebih besar diberikan pada Hilux GR Sport II, dan ia masih dijana oleh enjin turbodiesel 2.8 liter empat silinder sebaris yang menghasilkan kuasa 204 PS dan tork maksima 500 Nm seperti sebelum ini. Sebagai perbandingan, Hilux GR Sport pasaran Australia dan juga pasaran Malaysia menerima enjin 1G-FTV yang kini menerima talaan kuasa 224 PS dan tork maksima 550 Nm.

    Enjin berkenaan dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan dengan mod manual yang boleh dioperasikan menerusi pedal penukar gear. Toyota tidak mengumumkan sebarang angka prestasi, namun model ini disahkan mempunyai kebolehan menunda sehingga 3,500 kg dan mampu menampung beban sehingga 1,000 kg. Model lebih sporty ini juga didakwa menghasilkan bunyi getaran lebih kecil bagi memberikan lebih keselesaan dalam kabin.

    Untuk bahagian dalaman pula, kabin Hilux GR Sport II ini menerima tema hitam monokromatik dengan tempat duduk sport bersama upholsteri gabungan kulit bersama kemasan-kemasan sued, serlahan perak, jahitan benang kelabu dan juga sulaman logo GR pada perehat kepala hadapan.

    Ia juga diberikan perincian seperti logo GR pada pedal penukar gear, set pedal aloi yang disesuaikan dengan ornamen hidrografik pada papan pemuka dan panel pintu dan tali pinggang keledar berwarna merah. Pemandu pula menerima paparan instrumen dengan grafik GR serta roda stereng balutan kulit GR dengan rekaan sedikit berbeza berbading model pasaran Australia kerana tiada penanda pukul 12 berwarna merah.

    Model pasaran Eropah ini juga tidak diberikan sistem bunyi JBL seperti Hilux GR Sport di Australia. Untuk sistem infotainmen, ia dibekalkan dengan skrin yang menampilkan hubungan Apple CarPlay tanpa wayar dan Android Auto yang masih memerlkan wayar.

    Ia turut diberikan pakej multimedia dengan sistem navigasi berasaskan cloud, yang sentiasa memberikan maklumat trafik masa sebenar bagi membolehkan pemandu membuat rancangan perjalanan yang tepat dan efisien.

    Perisian-perisian pada trak pikap ini seperti perisian untuk sistem telematik Toyota T-Mate dan sistem bantuan pemanduan Toyots Safety Sense juga boleh dikemaskini menerusi sistem over-the-air tanpa memerlukan pemilik membawanya ke pusat servis.

    GALERI: Toyota Hilux GR Sport 2023 pasaran Australia

     
     
  • EV Proton akan diperkenal seawal tahun 2025 – HLIB

    EV Proton akan diperkenal seawal tahun 2025 – HLIB

    Kenderaan elektrik (EV) Proton akan diperkenalkan seawal tahun 2025. Ini adalah menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB), yang mengeluarkan nota kajian mereka, sambil menyatakan masa membeli untuk saham DRB-Hicom.

    “Pihak pengurusan diberikan panduan untuk EV Proton ini diperkenalkan seawal tahun 2025. Tambahan pula, Proton sedang menggunakan pengetahuan dan teknologi Geely untuk membangunkan barisan EV mereka sendiri, kata HLIB, seperti yang dilaporkan oleh The Edge.

    Kita sekarang berada di penghujung tahun 2023 dan 2025 hanya tinggal lebih sedikit daripada satu tahun. Produk besar Proton yang seterusnya adalah sedan S70 dan adakah 2025 kedengaran seperti terlalu awal?

    Menurut bank sama pada Mac 2022, EV pertama Proton akan mula dijual pada tahun 2027. Jadi, jika ramalan 2025 ini adalah benar, nampaknya Proton bekerja keras dalam diam untuk R&D EV mereka dan dapat menjadikan pengeluarannya lebih cepat.

    Apa yang kita tidak ragu adalah kemampuan teknologi dan rangkaian Geely. Rakan kerjasama Proton ini mempunyai barisan model EV mampu milik Geometry di China, dengan pelbagai saiz dan bentuk.

     
     
  • Diesel tanpa subsidi boleh ganggu jualan trak pikap

    Diesel tanpa subsidi boleh ganggu jualan trak pikap

    Dalam Belanjawan 2024, kerajaan mengumumkan bakal memperkenalkan subsidi diesel bersasar mengikut fasa. Seperti yang dinyatakan oleh perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan belanjawan tersebut, subsidi diesel akan terus dinikmati oleh pengguna tertentu seperti syarikat pengangkutan dan logistik, sementara pengguna lain pula akan dikenakan harga yang lebih tinggi.

    Beliau juga memberikan petunjuk harga diesel tanpa subsidi yang dijangka perlu dibayar apabila bahan api tersebut tidak diberikan subsidi. Anwar berkata, harga diesel dengan subsidi sekarang, yang ditetapkan pada RM2.15 per liter sebenarnya jika mengikut harga pasaran adalah RM3.75 bagi setiap liter, dan ini bermakna kerajaan menanggung RM1.60 bagi setiap liter diesel yang dijual.

    Sementara subsidi bersasar ini akan menjimatkan perbelanjaan kerajaan, dalam masa sama ia mungkin boleh menjejaskan jualan trak pikap kuasa diesel, kata Gabungan Persatuan Syarikat Kereta dan Kredit Malaysia (FMCCAM). Presiden FMCCAM, Datuk Tony Khor berkata, ini adalah disebabkan oleh kos tinggi yang perlu dihadapi oleh pelanggan dan syarikat yang menggunakan trak pikap.

    Diesel tanpa subsidi boleh ganggu jualan trak pikap

    “Pastinya, jualan pikap akan terjejas. Orang sekarang membeli trak pikap kerana diesel murah, tetapi jika harga tinggi dikenakan, perniagaan mereka mesti akan terjejas,” beliau memberitahu New Straits Times.

    Khor mendesak kerajaan untuk menjelaskan aspek pelaksanaan subsidi bersasar ini serta kumpulan yang akan menerimanya. “Kami masih menunggu penjelasan lanjut daripada kerajaan,” kata Khor.

    Beliau berkata, perniagaan kecil yang menggunakan trak pikap untuk mengangkat barang juga akan menerima kesan, memandangkan kebanyakan kenderaan seperti itu didaftarkan atas nama persendirian dan tidak termasuk dalam dua kumpulan yang dinyatakan akan menerima subsidi tersebut.

     
     
  • Wajarkah bengkel kenakan kos upah berganda sekiranya pelanggan bawa alat ganti sendiri?

    Wajarkah bengkel kenakan kos upah berganda sekiranya pelanggan bawa alat ganti sendiri?

    Baru-baru ini tular satu notis yang ditampal pada sebuah bengkel yang menyatakan pelanggan yang datang membawa komponen alat ganti sendiri akan dikenakan caj upah pemasangan sekali ganda lebih mahal dari caj upah biasa yang dikenakan.

    Pelbagai pendapat dari warga net berkenaan perkara ini – ada yang bersetuju dan ada yang tidak. Gambar notis imej yang sama turut dikongsikan di FB Group paultan.org Automotive/Car Discussion Group oleh akaun bernama Azri Izmi, dan dia sudahpun mendapatkan penjelasan dari pemilik bengkel mengapa notis itu dikeluarkan.

    “Dia menerangkan bahawa sebahagian pelanggan membawa alat ganti sendiri dan mereka fikir mereka dapat menjimatkan kos, tetapi kebanyakkannya (7 dari 10 pelanggan) membawa alat ganti berkualiti rendah atau alat ganti yang tidak dapat dipadankan pada kenderaan mereka dan apabila mereka kembali semula tak lama selepas itu, mereka akan menyalahkan bengkel kerana servis atau pengurusan yang ‘lemah’,” kata Azri dalam hantaran tersebut.

    Azri turut menyatakan bahawa dia faham apa yang dialami oleh pemilik bengkel tersebut kerana dia juga mempunyai perniagaannya sendiri, serta menambah bengkel tersebut terkenal di tempatnya kerana menawarkan pembaikan dan servis yang baik dengan harga berpatutan.

    Wajarkah bengkel kenakan kos upah berganda sekiranya pelanggan bawa alat ganti sendiri?

    Sejak adanya platform jualan atas talian, pembeli sekarang lebih mudah untuk membandingkan harga satu-satu alat ganti yang dijual dengan apa yang ditawarkan oleh pihak bengkel sendiri. Namun ada pelbagai risiko sekiranya anda membeli alat ganti di platform-platform sebegini, antaranya kemungkinan terbeli alat ganti tiruan berkualiti rendah, komponen yang mempunyai kecatatan dari kilang atau terbeli komponen dengan spesifikasi yang tidak sama dengan spesifikasi alat ganti asal kereta anda.

    Risiko-risiko ini bukan hanya menyusahkan anda sendiri, malah turut akan melibatkan bengkel kerana perlu membuat kerja berulang kali dan juga akan melibatkan masa sekiranya komponen yang tidak boleh digunakan tersebut perlu ditukar menyebabkan kereta anda ‘tersangkut’ dipremis mereka.

    Apa pun, semua perkara boleh dibawa berbincang. Jadi sebelum membuat apa-apa kerja pembaikan, berbincanglah dengan bengkel sama ada boleh atau tidak anda membawa komponen alat ganti sendiri dan berapa kadar upah yang akan dikenakan. Sekiranya tiada persetujuan dicapai, cuba cari bengkel lain yang anda rasa berbaloi dengan apa yang anda inginkan.

     
     
  • Tren ETS tambahan disediakan sempena perayaan Deepavali Nov ini – jualan tiket sudah dibuka

    Tren ETS tambahan disediakan sempena perayaan Deepavali Nov ini – jualan tiket sudah dibuka

    Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah mengumumkan menyediakan perkhidmatan tambahan dua unit tren elektrik (ETS) bagi laluan stesen KL Sentral-Padang Besar-KL Sentral sempena sambutan perayaan Deepavali yang bakal disambut 12 November ini. Penjualan tiket tren tambahan berkenaan telah dibuka sejak semalam (17 Oktober).

    Menurut KTMB, perkhidmatan tambahan itu akan beroperasi selama lima hari bermula dari 9 hingga 13 November. Di mana tren nombor 9283 akan bergerak dari Padang Besar pada jam 11 pagi dan sampai di KL Sentral jam 4.36 petang. Manakala tren nombor 9286 pula akan bergerak dari KL Sentral pada jam 5.05 petang dan sampai di Padang Besar jam 10.34 malam pada hari yang sama. Satu perjalanan tambahan setiap hari menjadikannya lima perjalanan tambahan ke selatan dan lima perjalanan tambahan ke utara sepanjang tempoh tersebut.

    Selain itu, KTMB turut menawarkan promosi diskaun perkhidmatan tren ETS sebanyak 15% untuk tarikh tertentu selama 10 hari dari 16 hingga 31 Oktober ini.

    Tren ETS tambahan disediakan sempena perayaan Deepavali Nov ini – jualan tiket sudah dibuka

    KTMB berkata, tawaran itu tertakluk kepada 200 penumpang pertama bagi kadar tambang kategori dewasa untuk mana-mana laluan ETS dan tidak termasuk kelas perniagaan serta terbuka kepada warganegara Malaysia sahaja.

    Kod promo boleh didapati menerusi saluran media rasmi dan laman sesawang KTMB www.ktmb.com.my manakala pembelian tiket dengan memasukkan kod berkenaan boleh dilakukan melalui laman sesawang, kios dan aplikasi KTMB Mobile (KITS).

    KTMB menasihatkan orang ramai untuk merancang perjalanan dan membuat pembelian lebih awal bagi menikmati tambang fleksi yang lebih menjimatkan serta elakkan pembelian tiket di saat akhir.

     
     
  • PLUS umum penutupan susur keluar UPM ke Sg Besi hingga 23 Oktober; Isnin-Jumaat, 10 malam-5 pagi

    PLUS umum penutupan susur keluar UPM ke Sg Besi hingga 23 Oktober; Isnin-Jumaat, 10 malam-5 pagi

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan jalan susur keluar UPM ke Sg Besi di Persimpangan Bertingkat UPM ditutup sementara pada setiap hari Isnin hingga Jumaat sejak semalam (17 Okt) sehingga 23 October 2023, dari jam 10 malam hingga 5 pagi.

    Menurut PLUS, penutupan susur berkenaan adalah bagi membolehkan kerja-kerja penebangan pokok-pokok besar menggunakan jentera khas dapat dijalankan dengan selamat sepanjang laluan tersebut.

    “Sebagai alternatif, pengguna Lebuhraya PLUS dari Sg Besi yang ingin menuju ke UPM dinasihatkan untuk keluar dari lebuh raya menggunakan Plaza Tol Kajang dan menggunakan Lebuhraya SILK untuk ke UPM,” kata PLUS.

     
     
  • Budak tercampak keluar dari Honda City di Kelantan – ibu bapa tolong tingkatkan keselamatan anak anda!

    Budak tercampak keluar dari Honda City di Kelantan – ibu bapa tolong tingkatkan keselamatan anak anda!

    Satu lagi video tular di laman media “X” (dulu dikenali sebagai Twitter) yang dikongsikan di laman Facebook Info Malaysia yang memaparkan insiden seorang kanak-kanak dalam lingkungan 3-4 tahun yang tercampak keluar dari kenderaan yang dinaikinya. Insiden berkenaan dipercayai berlaku jam 5.42 petang tadi, di Kelantan, dirakamkan oleh dashcam salah seorang pengguna jalan raya.

    Di mana kanak-kanak berkenaan telah tercampak keluar dari Honda City yang membuat pusingan-U, sebelum dia nyaris dilanggar oleh kenderaan di belakangnya. Mangsa yang bergegas bangun kemudian dilanggar oleh Perodua Ativa (mujur agak perlahan) yang menyebabkan dia tercampak semula ke atas jalan. Ada seorang penunggang motosikal pantas meluru menyekat laluan bagi mengelakkan kanak-kanak tersebut dilanggar sekali lagi.

    Kelihatan kanak-kanak itu yang nampak terpinga-pinga bangun semula dan berlari menuju ke arah sebuah motosikal. Kemudian penunggang motosikal berkenaan pantas mengangkat kanak-kanak terbabit dan membawanya ke tepi jalan untuk menyerahkan semula kepada pemandu Honda City yang mungkin ibu si kecil itu.

    Walau pun penulis agak seriau menonton video ini, namun terpaksa mengulang tayangnya beberapa kali untuk ‘melihat’ pemandu City berkenaan yang kelihatan hanya turun dari keretanya setelah kanak-kanak tersebut diselamatkan. Persoalannya… mengapa tidak terus turun dari kereta dan meluru ke arah kanak-kanak tersebut setelah menyedari si kecil itu tercampak keluar? Jawapannya hanya ada pada pemandu terbabit.

    Insiden sebegini bukanlah baru 2-3 kali berlaku. Sudah banyak kali! Mengapa masih ada di antara kita sebagai orang dewasa yang ‘kurang kesedaran’ mengenai betapa pentingnya keselamatan penumpang terutamanya kanak-kanak? Jika tidak menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak di dalam kenderaan, sila pastikan anda menggunakan fungsi ‘child lock’ untuk pintu penumpang belakang. Atau anda tidak menyedari kewujudan ciri keselamatan berkenaan? Apa pun…Kecuaian mampu mengundang padah!

     
     
  • Nissan X-Trail facelift 2024 didedahkan – Rouge pasaran AS kini dengan sistem Google bina-dalam

    Nissan X-Trail facelift 2024 didedahkan – Rouge pasaran AS  kini dengan sistem Google bina-dalam

    Nissan X-Trail generasi keempat kini sudah pun berusia tiga tahun selepas ia diperkenalkan buat pertama kali pada Jun 2020. Jadi ia kini sudahpun masuk ke fasa facelift, dan ia akan diperkenalkan pada pasaran Amerika Syarikat di mana SUV tersebut dikenali dengan nama Nissan Rouge di sana.

    Rouge facelift 2024 ini menampilkan sedikit penyegaran rupa pada sebelah luar dan dalaman, serta teknologi. Pada bahagian muka, model ini diberikan gril baharu dengan rekaan jalur krom melintang yang menjadikan rupanya seakan lebih lebar. Namun lampu utama dengan konfigurasi dua baris masih dibawa dari versi sebelumnya.

    Di belakang, sekali tengok model 2020 dan juga 2024 ini nampak sama, namun jika diperhatikan lebih teliti ia berbeza pada bahagian bampar terutamanya pada bahagian diffuser bawah. Model kemaskini ini juga menampilkan lencana-lencana sebelah luar dengan kemasan satin.

    Nissan X-Trail facelift 2024 didedahkan – Rouge pasaran AS  kini dengan sistem Google bina-dalam

    Empat varian kemasan ditawarkan di Amerika Syarikat bermula varian asas S, SV, SL dan varian tertinggi Platinum. Bagi varian tertinggi Rouge Platinum, ia menerima kemasan hitam berkilat pada perapi ruang roda, kemasan pelindung bawah sisi badan dan juga kemasan bahagian muka, bersama set rim 19-inci rekaan baharu.

    Manakala varian tengah SV pula menerima set rim berdiameter 18-inci. Antara warna badan yang ditawarkan pada Rouge facelift ini termasuk Everest White Pearl, Deep Ocean Blue Pearl, Baja Storm dan beberapa pilihan warna dua-tona.

    Pada bahagian dalaman pula, versi kemaskini ini menerima beberapa tema warna dan juga tekstur pada panel pintu, tempat duduk, konsol tengah dan juga perapi pada papan pemuka sebelah penumpang. Bagi varian Platinum, ia turut ditawarkan dengan opsyen upholsteri kulit berwarna Chestnut Brown baharu.

    Varian SL dilengkapi dengan pengecas telefon pintar tanpa wayar, skrin sesentuh 12.3-inci untuk sistem infotainmen, dan paparan instrumen digital dengan skrin 12.3-inci. Manakala varian SL dan Platinum pula menerima sistem infotaimen yang diintegrasi bersama aplikasi Google bina dalam termasuk Google Assistant dan Google Maps.

    Nissan X-Trail facelift 2024 didedahkan – Rouge pasaran AS  kini dengan sistem Google bina-dalam

    Ini membolehkan pengguna menggunakan aplikasi Google dengan lebih lancar tanpa perlu menghubungkan telefon pintar. Ia juga boleh menggunakan informasi-informasi dari akaun Google, contohnya alamat atau tempat yang telah disimpan oleh pengguna di Google Maps akan secara mudah boleh dipilih pada skrin infotaimen Nissan Rouge ini.

    Hubungan Apple CarPlay dan Android Auto masih lagi ada, di mana varian SL dan Platinum diberikan sistem hubungan tanpa wayar. Varian S dan SV pula hanya diberikan skrin sesentuh 8.0-inci, dan Apple CarPlay hanya boleh dihubungkan dengan wayar.

    Selain dari sistem Google bina dalam, varian SL dan Platinum juga diberikan sistem Amazon Alexa bina dalam, Radio Hybrid (sokongan data untuk radio standard membolehkan pemandu terus mendengar stesen radio yang sama tanpa gangguan walaupun berada di kawasan luar isyarat serta memberikan lirik lagu dan paparan kulit album), SiriusXM dan 360L.

    Bagi model 2024 ini, servis NissanConnect diberikan secara percuma selama tiga-tahun berbanding hanya enam-bulan sebelum ini. Manakala sistem telematik kini diberikan secara standard pada varian SV dan ke atas, dan ia boleh dihubungkan kepada aplikasi telefon pintar MyNissan.

    Aplikasi MyNissan ini juga kini telah dipertingkat membolehkan pengguna mengawal larasan sistem penghawa dingin serta pemanas tempat duduk dan roda stereng. Nissan juga menyatakan bahawa Rouge facelift 2024 ini merupakan model pertama Nissan di Amerika Syarikat yang dibekalkan dengan port USB Type-C.

    Untuk keselamatan, kini semua varian menerima sistem bantuan pemanduan Nissan Safety Shield 360. Ia menampilkan fungsi seperti brek kecemasan automatik dengan pengesan pejalan kaki, amaran titik buta, amaran lintasan trafik belakang, amaran keluar lorong, bantuan lampu tinggi dan brek belakang automatik.

    Manakala varian SV pula dilengkapi dengan sistem ProPILOT Assist, iaitu sistem yang menggabungkan cruise control pintar dan juga bantuan stereng, serta mampu berfungsi dalam situasi stop & go. Varian SL dan SV lebih istimewa kerana sistem ProPILOT Assist yang dibekalkan turut dihubungkn kepada Navi-Link yang membolehkan kelajuannya dikawal secara automatik dan proaktif pada selekoh dan persimpangan lebuhraya menggunakan data dari sistem navigasi.

    Nissan X-Trail facelift 2024 didedahkan – Rouge pasaran AS  kini dengan sistem Google bina-dalam

    Tiada sebarang perubahan pada unit rangkaian kuasa di mana Nissan Rouge ini masih dijana oleh enjin 1.5L VC-Turbo yang menghasilkan kuasa 201 hp dan tork maksima 305 Nm. Enjin unik ini menerima sistem nisbah mampatan yang akan sentiasa berubah mengikut keadaan bagi memberikan kuasa dan kadar efisien yang paling optima.

    Kuasa dipindahkan ke kotak gear CVT Xtronic, dan pelanggan diberikan pilihan untuk memilih versi pacuan roda hadapan atau pacuan semua roda pada semua varian kemasan.

    Nissan Rouge facelift 2024 ini akan mula dijual bermula awal 2024 nanti, dan harganya juga akan diumumkan kemudian. Sementara itu di Malaysia, bilik-bilik pameran Nissan di sini masih lagi menjual X-Trail model generasi ketiga T32. Agak-agaknya bila model generasi keempat ini akan dibawa ke pasaran tempatan?

     
     
  • Toyota FT-Se Concept beri bayangan kereta sports elektrik, FT-3e SUV EV generasi masa hadapan

    Toyota FT-Se Concept beri bayangan kereta sports elektrik, FT-3e SUV EV generasi masa hadapan

    Toyota mahu manyatakan bahawa peralihan kepada kenderaan elektrik (EV) tidak membawa makna ia adalah pengakhiran kepada kereta sports, dan dua kenderaan konsep akan dibawa ke Japan Mobility Show minggu depan sebagai bukti.

    Salah satu daripadanya adalah FT-Se, yang mana beberapa gambar teaser telah dikeluarkan, menunjukkan bahagian belakangnya yang lebar, tegap dan melibatkan garis-garis badan yang rumit. Menurut Toyota, kereta sports elektrik ini dibuat rendah dan lebar, dengan bentuk badan yang licin dan aerodinamik.

    Di bahagian dalam, kereta tersebut mendapat kokpit canggih, yang dikatakan dapat menawarkan kawalan yang intuitif serta pengalaman memandu yang lebih mengasyikkan. Tumpuan utama adalah pada profail panel instrumen rendah yang dapat menyediakan pandangan hadapan lebih tinggi untuk pemandu serta pelapik lutut rekaan baru yang dapat menjadi alas apabila memandu dengan bersemangat.

    Toyota FT-Se Concept beri bayangan kereta sports elektrik, FT-3e SUV EV generasi masa hadapan

    Ciri teknikal masih belum didedah tetapi Toyota memberitahu FT-Se akan menerapkan kemampuan teknikal yang dipelajari daripada Toyota Gazoo Racing, dan sebagai tanda, lencana cabang sukan permotoran itu dilekatkan pada spoiler belakang kereta sports konsep tersebut.

    Satu lagi kereta konsep yang akan dibawa oleh Toyota ke pameran di Tokyo itu adalah FT-3e, sebuah SUV elektrik yang akan berkongsi banyak komponen (termasuk platform) dengan FT-Se. Dipanggil sebagai model generasi seterusnya, kenderaan elektrik bateri (BEV) ini nampak mempunyai saiz hampir seperti bZ4X dan berpotensi menjadi penggantinya di masa hadapan.

    Menurut Toyota, bahagian luar FT-3e menggabungkan kedua-dua penggayaan serta estetik masa hadapan, sambil pada masa sama mengekalkan garis badan seringkas yang boleh. Ia juga akan dilengkapi dengan panel paparan digital di bahagian tepi badan, yang boleh memaparkan informasi seperti tahap bateri, suhu serta kualiti udara apabila pemandu mendekati kenderaan tersebut.

     
     
  • Rebat menarik dengan kadar faedah tahunan serendah 2% dari Volvo Sisma Auto Bukit Bintang, 28-29 Okt

    Rebat menarik dengan kadar faedah tahunan serendah 2% dari Volvo Sisma Auto Bukit Bintang, 28-29 Okt

    Sambutan ulang tahun sangat bermakna, dan untuk itu Volvo Cars Sisma Auto sedang meraikan ulang tahun keenam bagi bilik pamerannya di Bukit Bintang dengan acara jualan pada 21 dan 22 Oktober ini, dan telah dilanjutkan hingga hujung minggu 28-29 Okotber 2023.

    Acara jualan sempena sambutan ulang tahun ini akan menampilkan tawaran eksklusif tempoh terhad untuk pelbagai barisan kenderaan Volvo di sepanjang sambutan berkenaan. Dari potongan harga menarik hinggalah kepada pilihan pembiayaan istimewa, pastinya akan ada sesuatu untuk setiap peminat Volvo yang ingin membeli sebuah kenderaan Volvo baharu.

    Buat tempahan bagi Volvo XC90, XC60, S90, S60, V60 plug-in hybrid atau XC40 B5 mild hybrid dan anda akan menerima Volvo Service Agreement 5 Plus (VSA5+) bernilai RM12,900 secara percuma, perisian pengoptimuman Polestar bernilai RM3,888 percuma serta rebat segera sebanyak RM7,000.

    Ada banyak lagi tawaran untuk dinikmati jika menempah kenderaan elektrik sepenuhnya Volvo. Tempah Volvo XC40 atau C40 Recharge Pure Electric dengan Volvo Car Finance dan anda akan diberikan pengurangan jumlah prinsipal masing-masing sebanyak RM25,000 dan RM16,000.

    Selain itu, 50 pelanggan terawal yang mengesahkan kehadiran mereka ke sambutan jualan ulang tahun ini juga akan menikmati baucar tambahan bagi aksesori bernilai RM2,000 ketika menempah sebuah kenderaan Volvo baharu ketika sambutan itu diadakan.

    Dan, ada lagi. Sambutan ulang tahun keenam di Volvo Cars Sisma Auto juga adalah tempat di mana anda akan dapat menjadi antara yang terawal meneroka barisan model terkini yang baharu saja diperkenalkan di Malaysia, termasuklah barisan PHEV 2024, yang hadir dengan warna baharu Vapour Grey. Anda juga akan dapat mengetahui dengan lebih lanjut tentang ciri keselamatan canggih yang disertakan.

    Rebat menarik dengan kadar faedah tahunan serendah 2% dari Volvo Sisma Auto Bukit Bintang, 28-29 Okt

    Di sini, anda boleh mengambil bahagian untuk pandu uji dan menerima tunjuk ajar daripada perunding jualan yang berpengetahuan di Sisma Auto, yang akan berada di lokasi untuk menjawab sebarang pertanyaan berkaitan kenderaan Volvo. Akan ada juga tawaran tempoh terhad untuk aksesori, yang boleh dibeli untuk menjadikan Volvo anda unik dan berbeza.

    Ketika menyertai acara jualan ulang tahun Volvo Cars Sisma Auto ini, anda juga boleh menikmati hidangan ringan dan persekitaran yang hangat untuk berehat dan menikmati kunjungan anda. Pelanggan yang membeli kenderaan Volvo daripada Volvo Cars Sisma Auto turut layak untuk mendapatkan servis pelayanan cawangan, yang termasuk pilihan ambil dan hantar bagi servis lepas jualan.

    Jangan lepaskan peluang untuk menikmati tawaran ini yang berlangsung sempena sambutan ulang tahun keenam bilik pameran Volvo Cars Sisma Auto. Ingat, 50 pelanggan terawal yang mengesahkan kehadiran mereka melalui pautan ini, akan menikmati baucar tambahan bernilai RM2,000 untuk aksesori ketika menempah kenderaan baharu Volvo.

     
     
  • Stesen Pengecas Pantas EV Modular Mudah-Alih di Hentian Sebelah Behrang, PLUS – pertama di M’sia

    Stesen Pengecas Pantas EV Modular Mudah-Alih di Hentian Sebelah Behrang, PLUS – pertama di M’sia

    Stesen Pengecas Pantas Kenderaan Elektrik (EV) Modular Mudah-Alih dengan sistem simpanan kuasa bateri telah pun dilancarkan di Hentian Sebelah Behrang (arah utara), Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) pagi tadi. Ia merupakan sistem pengecas pantas modular yang pertama di Malaysia hasil kerjasama PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan penyedia penyelesaian tenaga bersih Gentari Sdn Bhd (Gentari), melalui anak syarikat milik penuh, Gentari Green Mobility Sdn Bhd (Gentari Green Mobility).

    Menteri Kerja Raya (KKR) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang menyempurnakan majlis pelancarannya pagi tadi, berkata, ia juga sejajar dengan aspirasi Kerajaan Madani menuju ke arah negara neutral karbon, termasuk membangunkan infrastruktur pengecas pantas kenderaan elektrik (DCFC) di rangkaian lebuh raya utama negara. Ia juga merupakan antara inisiatif yang giat diteroka oleh KKR.

    “KKR melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah meluluskan projek rintis pengecas pantas modular seumpama ini di empat lokasi di Lebuhraya PLUS yang melibatkan 16 poin DCFC untuk disiapkan dalam tahun 2023.

    “Empat lokasi tersebut adalah di Hentian Sebelah Behrang (arah utara dan arah selatan) di Perak serta Hentian Sebelah Senawang (arah utara dan arah selatan) di Negeri Sembilan. Setiap lokasi akan mempunyai kapasiti pengecasan DC 300kW yang menyediakan empat poin pengecasan,” katanya menerusi kenyataan yang dikongsikan menerusi Facebook rasminya.

    Stesen Pengecas Pantas EV Modular Mudah-Alih di Hentian Sebelah Behrang, PLUS – pertama di M’sia

    Tambah beliau, pada tahun 2024, dijangka tiga lokasi tambahan stesen pengecas pantas modular akan dibangunkan iaitu di R&R Ajil (arah Utara dan arah Selatan) dan Perasing, yang terletak di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), di Terengganu.

    Di samping itu, beberapa poin pengecas Alternating Current (AC) di stesen minyak PETRONAS sedia ada yang terletak di kawasan rehat dan rawat (R&R) dan hentian sebelah, akan dinaik taraf kepada poin pengecas DC Pantas (DCFC). Gentari juga akan membangunkan poin pengecas DCFC di stesen minyak PETRONAS sepanjang Lebuhraya PLUS dan lokasi berdekatan, yang dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2024.

    “Melangkah ke hadapan, Kementerian juga akan meneruskan kolaborasi bersama syarikat konsesi dan pemain industri bagi merealisasikan sasaran membina 1,000 DCFC di lebuhraya. Ini sejajar aspirasi kempen MYJalan yang antara lain bertujuan memberikan kemudahan kepada pengguna jalan raya,” katanya lagi.

    “Sebagai pengendali lebuh raya terbesar di Malaysia dan rakan strategik negara, PLUS komited untuk menyokong dan menyumbang kepada agenda kelestarian negara. Kami berganding bahu bersama-sama Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia serta pemain industri utama untuk menyokong pelan hala tuju pembangunan infrastruktur stesen pengecas EV, di mana kami mensasarkan untuk menyediakan 100 stesen pengecas EV DCFC di seluruh rangkaian Lebuhraya PLUS menjelang tahun 2025 untuk membentuk ekosistem yang kondusif bagi rakyat untuk beralih kepada penggunaan EV.

    Stesen Pengecas Pantas EV Modular Mudah-Alih di Hentian Sebelah Behrang, PLUS – pertama di M’sia

    “Kerjasama PLUS dengan Gentari adalah salah satu pelan strategik kami untuk meningkatkan penyediaan kemudahan pengecasan EV, mempercepatkan pelaksanaan pelan serta rancangan dalam menyokong Malaysia bergerak ke arah negara berkarbon neutral menjelang tahun 2050,” kata Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar.

    Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Gentari dan Ketua Pegawai Eksekutif, Gentari Green Mobility, Shah Yang Razalli berkata, “Gentari bersama rakan kongsi kami, EV Connection Sdn. Bhd. (EVC) amat teruja dengan kolaborasi ini untuk memperkenalkan Stesen Pengecas Pantas Kenderaan Elektrik Modular Mudah Alih. Inisiatif perintis ini menggabungkan penggunaan inovatif sistem BESS dan tenaga solar, dan kami berharap untuk terus mengorak langkah ke arah masa hadapan yang lebih lestari.”

    Sejak diperkenalkan pada Jun 2022 sehingga kini, Gentari telah menyediakan lebih daripada 180 poin pengecasan di Malaysia dan lebih daripada 160 poin pengecasan di India, melalui rakan stategik syarikat. Dengan misi menjadi rakan penyelesaian tenaga bersih yang terbaik di Asia Pasifik menjelang tahun 2030, Gentari berhasrat untuk menguasai lebih daripada 10% pasaran poin pengecasan kenderaan EV di pasaran-pasaran utama di Asia Pasifik.

     
     
  • Puspakom Langkawi berpindah ke lokasi sementara mulai 22 Okt – Kompleks Kilim, Jalan Air Hangat

    Untuk yang berada di sekitar Langkawi dan ingin mendapatkan perkhidmatan Puspakom, ini ada makluman buat anda. Syarikat pemeriksaan kenderaan tersebut telah mengumumkan operasi bagi Puspakom Langkawi akan berpindah ke lokasi sementara mulai 22 Oktober ini.

    Lokasi sementara terbabit terlelat di Kompleks Kilim, Jalan Air Hangat, Kampung Belanga – sila rujuk peta di atas. Hari terakhir operasi di Puspakom Langkawi adalah pada 19 Oktober, di mana pusat berkenaan dibuka hingga jam 5 petang. Kemudian operasi akan berpindah ke Kompleks Kilim untuk minggu yang seterusnya.

    Walau bagaimana pun, temujanji boleh dilakukan seperti biasa menerusiwww.mypuspakom.com.my.

     
     
  • Moto Morini Calibro 650 masuk pasaran Eropah

    Moto Morini Calibro 650 masuk pasaran Eropah

    Moto Morini memperkenalkan cruiser baru untuk pasaran Eropah, iaitu Calibro 650. Mempunyai iras seperti Honda Rebel 500, Calibro 650 direka oleh pusat rekaan syarikat itu di Trivolzio, Itali. Tempat duduk boleh datang dengan jenis tunggal ataupun untuk dua orang.

    Antara ciri rekaan utama yang digunakan adalah termasuk lampu hadapan LED bentuk bulat dengan perumah serta penghadang angin kecil di atasnya, batang fork yang ditutup dengan getah, peletak kaki yang sedikit ke hadapan serta pemegang yang tinggi.

    Memacu motosikal ini adalah enjin dua silinder selari 649 cc dengan sistem suntikan bahan api dan penyejukan cecair, yang digabungkan bersama transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 59 hp pada 8,250 rpm dan tork 56 Nm pada 7,000 rpm.

    Moto Morini Calibro 650 masuk pasaran Eropah

    Kedua-dua brek hadapan dan belakang Calibro menggunakan unit cakera, dan didatangkan standard dengan ABS dual-channel. Rim hadapan bersaiz 18 inci dan di belakang terletak rim bersaiz 16 inci. Bagi memudahkan penyelenggaraan, motosikal ini datang dengan sistem pacuan tali sawat untuk menghantar kuasa daripada enjin ke roda belakang.

    Untuk suspensi, di hadapan terdapat fork teleskopik sementara di belakang terletak dua penyerap hentak dengan pelarasan pra beban. Tinggi tempat duduk cuma 720 mm. Di hadapan penunggang terdapat meter paparan gabungan analog dan digital.

     
     
  • Jualan kenderaan September 2023 turun 6.4% – MAA

    Jualan kenderaan September 2023 turun 6.4% – MAA

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan kenderaan bagi bulan September 2023, yang menyaksikan 68,156 buah kenderaan diserahkan kepada pelanggan bulan lepas. Jumlah ini adalah 4,653 unit lebih rendah berbanding 72,809 unit (asalnya 71,745 unit) yang dilaporkan oleh persatuan tersebut pada bulan Ogos, bersamaan pengurangan sebanyak 6.4%.

    MAA berkata, penurunan pada bulan lepas adalah disebabkan oleh pelanggan yang mengambil pendekatan untuk tunggu dan lihat semasa pengumuman Belanjawan 2024, yang dibentangkan oleh perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu.

    Jika dibandingkan dengan bulan sama pada tahun 2022, jumlah jualan pada bulan September adalah 4.6% (atau 2,996 unit) lebih tinggi berbanding 65,160 unit yang dicatat pada tahun lepas. Sementara itu, jumlah keseluruhan industri (TIV) untuk sembilan bulan pertama 2023 kini berada pada 571,767 unit, lebih tinggi 57,318 unit (atau 11.1%) berbanding 514,449 yang dicatat pada tempoh sama tahun lepas.

    Berdasarkan unjuran, jangkaan TIV penuh tahun ini sebanyak 725,000 sepatutnya boleh dicapai. Bagi bulan Oktober, MAA menjangkakan jualan berada pada tahap yang sama seperti bulan September.