Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Belanjawan 2024: Kerajaan akan guna EV sebagai kereta rasmi – Vellfire akan digantikan dengan Tesla?

    Belanjawan 2024: Kerajaan akan guna EV sebagai kereta rasmi – Vellfire akan digantikan dengan Tesla?

    Dalam pembentangan Belanjawan 2024 petang tadi, perdana menteri Malaysia merangkap menteri kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan akan menggunkan kereta elektrik penuh (EV) sebagai kenderaan rasmi bagi menggantikan kereta-kereta sedia ada.

    Walau bagaimanapun Anwar tidak memperincikan sama ada ia hanya akan membabitkan kereta-kereta rasmi menteri kabinet atau melibatkan kesemua kenderaan kerajaan. Buat masa sekarang, menteri-menteri kabinet menerima Toyota Vellfire sebagai kereta rasmi. Mungkin ke semua Vellfire tersebut akan ditukar kepada Tesla tidak lama lagi?

    Juga buat masa sekarang tiada lagi sekatan hanya kenderaan pemasangan tempatan (CKD) boleh digunakan sebagai kenderaan rasmi. Banyak model-model EV mewah telah mula diperkenalkan di pasaran tempatan ketika ini, mungkin PM akan memilih Mercedes-Benz EQS untuk kereta rasminya kelak?

     
     
  • Belanjawan 2024: Tambah lorong di laluan Sedenak-Simpang Renggam di Lebuhraya PLUS, RM931 juta

    Belanjawan 2024: Tambah lorong di laluan Sedenak-Simpang Renggam di Lebuhraya PLUS, RM931 juta

    Buat setakat ini, laluan enam hingga lapan lorong di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dari Kuala Lumpur ke selatan hanya berakhir di Melaka. Ini bermakna hampir keseluruhan jajaran lebuhraya berkenaan di Johor hanya mempunyai empat lorong. Keadaan ini bukan sahaja menyebabkan kesesakan di kawasan berkenaan pada waktu sibuk, malah ia juga telah menyebabkan banyak kemalangan maut berlaku.

    Justeru, mengambil kira keperluan peningkatan kenderaan, Kerajaan Madani bersetuju untuk melaksanakan projek pelebaran Lebuhraya PLUS daripada empat kepada enam lorong dilanjutkan dari Sedenak ke Simpang Renggam, Johor. Ia melibatkan kos peruntukan sebanyak RM931 juta di bawah Belanjawan 2024 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim lewat petang ini.

    Sebelum ini, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan pernah berkata Kementerian Kewangan telah mengadakan pembincangan dengan syarikat pengendali lebuhraya terbabit berhubung penambahan lorong daripada empat kepada enam lorong lebuh raya berkenaan membabitkan laluan antara Yong Peng hingga Skudai.

    Selain itu, ia turut menjadi menjadi fokus kerajaan Johor terutama dalam mengatasi kesesakan, akibat pertambahan kenderaan di Lebuhraya PLUS di negeri berkenaan. Malahan sebelum ini kerajaan Johor dilaporkan berulang kali memohon supaya laluan Lebuhraya PLUS antara Yong Peng ke Skudai dinaik taraf kepada enam lorong berikutan kesesakan yang sering dialami sepanjang laluan 70 km tersebut.

     
     
  • Belanjawan 2024: RM1.63 bilion baiki jalan kampung, RM134 juta pasang dan selenggara lampu jalan

    Belanjawan 2024: RM1.63 bilion baiki jalan kampung, RM134 juta pasang dan selenggara lampu jalan

    Bagi mempertingkatkan kualiti keterhubungan dan mengurangkan jurang antara keselesaan pengguna luar bandar, kerajaan juga memperuntukkan sejumlah RM1.63 bilion bagi tujuan pembinaan dan naik taraf jalan kampung dan pedalaman, termasuk di kawasan seperti Bachok, Kelantan; Tambun Tulang, Perlis; dan Kuala Lukut ke Chuah, Port Dickson, Negeri Sembilan.

    Selain itu, RM134 juta disediakan untuk pemasangan 60,000 lampu jalan kampung yang baru, serta untuk menyelenggara 500,000 lampu jalan kampung yang sedia ada.

    Peruntukkan RM57 juta lagi pula disediakan untuk melaksanakan 115 projek termasuk 54 projek baru untuk naik taraf jambatan uzur serta membina jambatan baru.

     
     
  • Belanjawan 2024: Lima stesen LRT3 yang dibatalkan sebelum ini akan diteruskan dengan kos RM5.3 bilion

    Belanjawan 2024: Lima stesen LRT3 yang dibatalkan sebelum ini akan diteruskan dengan kos RM5.3 bilion

    Kerajaan bersetuju untuk meneruskan semula cadangan pembinaan lima stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) atau pun LRT Laluan Shah Alam, yang dibatalkan sebelum ini iaitu stesen Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik. Perkara ini diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2024.

    Katanya, pengekalan stesen-stesen ini dijangka dapat melengkapi dan menambah baik jaringan pengangkutan awam di Lembah Klang yang bakal memanfaatkan dua juta penduduk. Ia memperuntukkan kos tambahan sebanyak RM5.3 bilion untuk meneruskan pembinaan lima stesen berkenaan.

    Dengan pengumuman tersebut, kini hanya satu stesen sahaja yang dibatalkan daripada perancangan asal iaitu stesen bawah tanah di Persiaran Hishamuddin, Shah Alam.

    Pada tahun 2018, kerajaan ketika itu telah membuat keputusan untuk meneruskan projek LRT3 dengan pengurangan kos sebanyak 47% iaitu RM16.63 bilion berbanding kos asal sebanyak RM31.65 bilion. Ini termasuklah pembatalan lima stesen LRT3 berkenaan dan mengurangkan jumlah tempahan daripada 42 set kereta api enam-koc kepada 22 set kereta api tiga-koc.

    Perkhidmatan LRT3 sepanjang 37.8 km ini menghubungkan Bandar Utama di Petaling Jaya ke Johan Setia di Klang. Bandar Utama merupakan salah satu hentian bagi MRT Laluan Kajang, manakala salah satu stesen pertukarannya terletak di Glenmarie iaitu bagi LRT Laluan Kelana Jaya.

     
     
  • Belanjawan 2024: Kerajaan terus tanggung bayaran MyLesen B2, e-hailing, teksi untuk golongan B40

    Belanjawan 2024: Kerajaan terus tanggung bayaran MyLesen B2, e-hailing, teksi untuk golongan B40

    Menerusi Belanjawan 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan sebahagian daripada pendapatan yang diraih hasil penjualan nombor pendaftaran plat khas akan digunakan untuk meringankan beban golongan kurang berkemampuan iaitu B40.

    “Kerajaan bersetuju untuk terus menanggung bayaran ujian memandu bagi lesen motosikal kelas B2 (MyLesen B2), e-hailing dan teksi untuk lebih 40,000 belia daripada keluarga kurang mampu.

    “Selain itu, sebahagian hasil penjualan nombor pendaftaran plat khas tersebut juga akan digunakan untuk membiayai 100,000 unit topi keledar termasuk untuk kanak- kanak yang akan diagih secara percuma kepada keluarga kurang mampu,” kata beliau.

    Dana yang sama juga akan digunakan untuk meneruskan ikhtiar FLYsiswa iaitu bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan bagi mengurangkan beban kewangan pelajar yang ingin pulang ke kampung halaman. Ia bakal dimanfaatkan kepada hampir 60,000 pelajar daripada keluarga kurang mampu.

    Walau bagaimana pun, beliau tidak mendedahkan jumlah peruntukan yang disediakan bagi ketiga-tiga perkara yang bakal direalisasikan yang menggunakan hasil sebahagian penjualan nombor pendaftaran plat khas.

     
     
  • Belanjawan 2024: Rebat RM2,400 untuk pembelian motosikal elektrik – pendapatan bawah RM120k

    Belanjawan 2024: Rebat RM2,400 untuk pembelian motosikal elektrik – pendapatan bawah RM120k

    Belanjawan 2024 yang dibentangkan oleh perdana menteri Malaysia merangkap menteri kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan pengumuman rebat sehingga RM2,400 untuk pembelian motosikal elektrik.

    Peruntukan yang dipanggil sebagai Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik ini diberikan kepada mereka yang berpendapatan tahunan RM120,000 ke bawah dan diperkenalkan demi mempromosi penggunaan motosikal kuasa elektrik bagi golongan B40.

    Mereka yang berminat dengan kenderaan elektrik (EV) juga dapat menikmati beberapa lagi peruntukan lain seperti pengecualian cukai sehingga Rm2,500 untuk perbelanjaan berkenaan pengecasan EV serta pengurangan cukai untuk sewaan EV selama dua tahun.

     
     
  • Belanjawan 2024: TNB, Gentari dan Tesla labur lebih RM170 juta untuk pasang 180 pengecas EV

    Belanjawan 2024: TNB, Gentari dan Tesla labur lebih RM170 juta untuk pasang 180 pengecas EV

    Dalam usaha untuk pemperkukuh dan memperluas rangkaian prasarana bagi menyokong penggunaan dan pertumbuhan industri EV di negara ini, kerajaan turut mengalu-alukan pelaburan lebih daripada RM170 juta daripada TNB, Gentari dan Tesla.

    Ini adalah bagi memperluas rangkaian kemudahan pengecasan ke seluruh negara dengan melibatkan pemasangan sebanyak 180 stesen pengecas. Ini kemungkinan akan melibatkan campuran antara pengecas pantas DC dan juga pengecas AC.

    Hal ini adalah penting, antaranya untuk mempergiat penerapan penggunaan EV dalam kalangan rakyat teramai yang sekaligus akan menjadi pemangkin kepada ekosistem pengeluaran dan penggunaannya ke tahap lebih meluas dalam masa terdekat.

     
     
  • Belanjawan 2024: LRT3 bakal menerima 150 bas elektrik dan tiga depoh bas dengan kos RM600 juta

    Belanjawan 2024: LRT3 bakal menerima 150 bas elektrik dan tiga depoh bas dengan kos RM600 juta

    Bagi menyokong keperluan projek Transit Aliran Ringan (LRT) 3, menerusi Belanjawan 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bersetuju untuk memperoleh 150 bas elektrik yang bakal dijadikan sebagai bas perantara.

    Selain itu, sebanyak tiga depoh bas akan dibina bagi perkhidmatan berkenaan. Justeru, untuk merealisasikan keperluan ini, sebanyak RM600 juta peruntukan disediakan.

    Menurut Anwar, ia merupakan salah satu cara untuk menggalakkan penerimaan rakyat terhadap penggunaan kenderaan elektrik (EV), selain membantu melonjakkan lagi pembangunan industri EV tempatan.

     
     
  • Belanjawan 2024: Cukai Perkhidmatan naik dari 6% kepada 8% pada 2024, kos servis kenderaan naik

    Belanjawan 2024: Cukai Perkhidmatan naik dari 6% kepada 8% pada 2024, kos servis kenderaan naik

    Dalam Belanjawan 2024 yang sedang dibentangkan oleh perdana menteri Malaysia merangkap menteri kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebut kerajaan bercadang untuk menaikkan cukai perkhidmatan yang kini berada pada kadar 6% kepada 8%.

    “Untuk tidak membebankan rakyat, peningkatan ini tidak termasuk perkhidmatan seperti makanan dan minuman serta telekomunikasi. Kerajaan juga akan meluaskan skop perkhidmatan bercukai meliputi perkhidmatan logistik, pembrokeran, penjajajaminan dan karaoke”, kata Anwar.

    Oleh itu kenaikan cukai perkhidmatan ini sudah tentu akan melibatkan kos upah untuk servis menyelenggara dan pembaikkan kenderaan. Jadi jangan terkejut ya kalau bil servis kereta tahun depan naik!

     
     
  • Belanjawan 2024: RM8.2 bilion perbaiki jalan rosak seluruh negara, RM100 juta tukar lampu jalan LED

    Belanjawan 2024: RM8.2 bilion perbaiki jalan rosak seluruh negara, RM100 juta tukar lampu jalan LED

    Bagi mempertingkatkan tahap kualiti prasaranan dan menggerakkan ekonomi kontraktor terlibat, kerajaan juga akan memperuntukkan sebanyak RM8.2 bilion secara keseluruhannya untuk tujuan memperbaiki semua jalan dan jambatan yang mengalami kerosakan di seluruh negara.

    Daripada jumlah tersebut, pecahan peruntukkan berkenaan terbahagi kepada dua, iaitu sebanyak RM5.4 bilion untuk jalan-jalan negeri, sementara RM2.8 bilion lagi untuk penyelenggaraan jalan-jalan persekutuan.

    Selain itu, sebanyak RM100 juta lagi turut diperuntukkan bagi tujuan menukar lampu jalan, dari jenis bulb biasa kepada jenis LED.

    Selain itu, peruntukan sebanyak RM50 juta turut diberikan kepada pihak berkuasa tempatan untuk tujuan yang sama. Lagi RM50 juta juga akan diberikan untuk menjadikan kawasan yang tinggi kadar kemalangannya agar menjadi lebih selamat melalui pemasangan lampu isyarat pintar bagi aliran trafik lebih lancar.

     
     
  • Belanjawan 2024: Subsidi bersasar diesel dilaksana berperingkat, harga semasa RM3.75 seliter

    Belanjawan 2024: Subsidi bersasar diesel dilaksana berperingkat, harga semasa RM3.75 seliter

    Antara perkara awal berkaitan automotif yang disentuh dalam pembentangan Belanjawan 2024 ialah bahan api diesel — yang antara lain berdepan dengan masalah ketirisan yang serius sejak dulu lagi. Ketika ini, harga subsidi yang ditetapkan untuk diesel ialah RM2.15 seliter berbanding harga pasaran semasa RM3.75 seliter untuk pengguna persendirian.

    Dalam keadaan ini, kerajaan menanggung sebanyak RM1.60 seliter subsidi, dan sekitar RM1.5 bilion ringgit secara keseluruhannya. Apa yang menjadi masalah, menurut PMX ialah, ketirisan kerana subsidi berkenaan bukannya dinikmati oleh pihak dan kelompok yang sepatutnya.

    “Menurut data penggunaan, jualan diesel bersubsidi meningkat sehingga 40 peratus sejak 2019 sedangkan jumlah kenderaan menggunakan diesel hanya meningkat kurang tiga peratus. Ini bermakna, wujud kemungkinan aktiviti penyeludupan yang serius akibat harga diesel Malaysia yang terlalu murah,” ujar PMX dalam pembentangannya.

    “Bagi mengelakkan ketirisan dan penyeludupan, Kerajaan berhasrat untuk merasionalisasikan subsidi diesel secara berfasa. Secara konsepnya, harga diesel bersubsidi akan terus dinikmati oleh pengguna terpilih seperti syarikat pengangkutan barangan. Sementara pengguna lain akan dikenakan harga yang lebih tinggi. Dengan pendekatan tersebut, ia dapat mengurangkan ketirisan subsidi tetapi pada masa yang sama, mengurangkan impak kepada harga barangan untuk rakyat,” tambahnya.

     
     
  • smart #1 tiba di Malaysia, sedia dilancar dan diserah

    smart #1 tiba di Malaysia, sedia dilancar dan diserah

    Ini bukan lagi rahsia: smart #1 bakal dilancarkan di Malaysia, dengan perkembangan terkini seperti yang dapat dilihat, perkara itu semakin hampir. Kelompok pertama EV berkenaan kini sudahpun tiba di Malaysia dan dalam persiapan akhir untuk pelancaran dan serahan kepada pelanggan.

    smart #1 awalnya tampil untuk khalayak umum pada Julai lalu ketika acara EVx 2023. Ia sejak itu mula ditunjukkan bahagian luarannya, dan disusuli pula bahagian dalamannya pada Ogos. Untuk pasaran tempatan, akan ada dua varian yang diperkenalkan, smart #1 Premium dan versi Brabus, yang baru sahaja didedahkan minggu lalu.

    Bagi varian Premium, ia dilengkapi dengan motor elektrik di belakang dengan janaan 272 PS (200 kW) dan 343 Nm tork yang memacu roda belakang. Pecutan 0-100 km/j boleh dicapai dalam masa 6.7 saat. Varian paling tinggu pula Brabus, hadir dengan tambahan motor kedua di depan, menjadikannya pacuan AWD dengan kuasa 428 PS (315 kW) dan 543 Nm tork, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 3.9 saat.

    EV ini menggunakan bateri lithium nickel manganese cobalt oxide (NMC) 66-kWh yang menyediakan jarak perjalanan 440 km dalam kitaran WLTP. Kadar pengecasan maksimumnya ialah 150 kW DC: dengan pengecas yang serasi, kadar bateri dari 10-80% boleh dicapai dalam masa 30 minit.

    Walaupun DC adalah pilihan yang paling ideal untuk mana-mana EV, sumber utama untuk pengecasan sebenarnya adalah melalui AC, dan smart #1 turut ada kelebihan dengan 22 kW AC berbanding kebanyakan model biasa yang hanya menyediakan kemampuan 11 kW.

    Bagi harga pula, smart #1 dianggarkan akan dijual pada harga sekitar RM200k, kedua-duanya sudah boleh ditempah melalui aplikasi Hello dengan yura sebanyak RM1,000.

     
     
  • Belanjawan 2024: Kemaskini secara langsung bagi hal-hal berkaitan automotif dan pengangkutan

    Belanjawan 2024: Kemaskini secara langsung bagi hal-hal berkaitan automotif dan pengangkutan

    Belanjawan 2024 bakal dibentangkan petang ini bermula jam 4pm oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim di parlimen. Kami akan membuat liputan dan menumpukan perhatian terhadap hal-hal berkaitan automotif dan pengangkutan yang terangkum di dalamnya.

    Pembentangan tahun lalu menyaksikan beberapa perkara telah diberi perhatian oleh kerajaan. Sebagai contoh berkaitan lesen motosikal B2 percuma, lesen PSV untuk pemandu e-hailing, dan beberpaa hal lagi tentang infrastruktur pengangkutan awam dan jalan raya seluruh negara.

    Dan jangkaan kali ini tentulah lebih menyeluruh: jika belanjawan tahun lalu merupakan lanjutan dan kesinambungan daripada pembentangan oleh kerajaan yang sebelumnya kerena PMX waktu itu baru saja mengambil alih tampuk pemerintahan negara, belanjawan tahun ini akan ditanggapi lebih kritis kerana merupakan yang “pertama” di bawah Kerajaan Madani, dan akan menunjukkan hala tujunya untuk Malaysia ke hadapan.

    Seperti biasa, perkembangan berkaitan EV juga sentiasa menjadi tumpuan, dengan perkembangan yang banyak berlaku kebelakangan ini — antaranya berkaitan Tesla dan juga percambahan banyak jenama dan model EV yang semakin banyak dalam pasaran tempatan — serta tumpuan berkaitan subsidi minyak antara yang menarik perhatian.

    Teruskan bersama kami dalam artikel ini yang akan dikemaskini secara langsung dan dari semasa ke semasa untuk rujukan semua. Senarai perkara terbabit adalah seperti berikut:

      Subsidi minyak

    • Subsisi bersasar bagi diesel akan diperkenalkan secara berperingkat. Harga pasaran ketika ini ialah RM3.75 seliter untuk pengguna persendirian. Subsidi antaranya akan diberikan kepada penyedia perkhidmatan logistik. Ini dilakukan bagi mengelakkan kerugian akibat ketirisan dan penyeludupan diesel.
    • Jalan raya

    • Peruntukan sebanyak RM8.2 bilion disediakan bertujuan untuk memperbaiki semua kerosakan jalan di seluruh negara. Daripada jumlah ini, RM5.4 bilion adalah untuk jalan-jalan negeri, dan RM2.8 bilion untuk jalan-jalan persekutuan.
    • RM100 juta juga diperuntukkan untuk menukar lampu jalan kepada jenis LED.
    • RM50 juta untuk majlis tempatan untuk berbuat perkara sama.
    • RM50 juta untuk menjadikan kawasan yang kerap kemalangan, lebih selamat. Dan memasang lampu isyarat pintar agar aliran lebih lancar.
    • Berkaitan kenderaan elektrik

    • TNB, Gentari dan Tesla akan labur lebih RM170 juta untuk memasang 180 pengecas EV.
    • Rebat sehingga RM2,400 untuk beli motosikal elektrik.
    • Pelepasan cukai pendapatan sehingga RM2,500 untuk pengecas EV dilanjutkan hingga 2027.
    • Prasarana akan membeli 150 bas elektrik untuk menyokong operasi LRT3 dengan perbelanjaan RM600 juta.
    • Kerajaan Persekutuan akan mula menggunakan kenderaan elektrik sebagai kenderaan rasmi.
    • Pelepasan cukai pendapatan sehingga RM2,500 untuk kelengkapan EV dilanjutkan hingga 2027.
    • Pengecualian cukai bagi kos sewaan EV untuk dua tahun.
    • Putrajaya jadi model bandar rendah karbon di Malaysia.
    • Panel solar untuk bumbung bagi bangunan kerajaan dengan kerjasama TNB, Gentari.
    • Pendapatan daripada jualan nombor pendaftaran khas akan digunakan untuk bantu rakyat

    • Sebahagian daripada pendapatan daripada jualan nombor pendaftaran khas akan digunakan untuk rakyat yang memerlukan.
    • Kerajaan terus tanggung kos ujian lesen B2, e-hailing, teksi — beri manfaat kepada 40k belia.
    • 100k helmet, termasuk untuk kanak-kanak, akan diedarkan percuma kepada yang perlu.
    • Prasarana luar bandar

    • RM1.63 bilion untuk bina dan naik taraf jalan kampung dan pedalaman.
    • RM134 juta untuk pemasangan 60k lampu jalan, selenggara lebih 500k yang sedia ada.
    • RM57 juta untuk 115 projek termasuk 54 untuk naik taraf/bina jambatan.
    • Jajaran LRT3 terima semula lima stesen

    • Kerajaan meluluskan cadangan untuk menyertakan semula stesen LRT3 yang dibatalkan sebelum ini, dengan kos RM5.3 bilion.
    • Stesen yang terlibat ialah Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik.
    • Satu-satunya stesen yang tidak disambung semula ialah Persiaran Hishamuddin, Shah Alam.
    • LRT Penang

    • LRT Pulau Pinang ke Seberang Perai — anggaran awal akan memerlukan kos RM10 bilion, seperti dirancang oleh kerajaan negeri.
    • Akan dilaksanakan melalui kerjasama awam-swasta.
     
     
  • Toyota Estima generasi baharu akan muncul pada 2025 sebagai MPV EV, guna platform e-TNGA?

    Toyota Estima generasi baharu akan muncul pada 2025 sebagai MPV EV, guna platform e-TNGA?

    Selain dari kembar Alphard dan Vellfire, Toyota sebelum ini mempunyai satu lagi model MPV besar iaitu Estima (juga dikenali sebagai Previa atau Tarago pada pasaran-pasaran tertentu). Walau bagaimanapun, produksi MPV dengan bentuk unik seperti kepala kereta api laju tersebut telah pun dihentikan pada tahun 2019 selepas dijual dalam tiga generasi bermula 1990.

    Namun ada khabar dari Jepun bertiup bahawa Estima bakal dilahirkan semula, dan akan mula perkenalkan pada 2025, lapor portal automotif Jepun Best Car Web. Berbanding Alphard/Vellfire yang masih menggunakan enjin pembakaran, Best Car mendakwa Estima bakal muncul sebagai MPV elektrik sepenuhnya (EV).

    Portal itu turut memperincikan Estima generasi baharu ini akan diasaskan dari platform e-TNGA, membolehkan ia ditawarkan dalam versi pacuan roda hadapan atau pacuan semua roda, serta menampilkan bateri yang membolehkan ia bergerak sejauh 600 km dengan satu cas penuh.

    Malah Best Car turut mendakwa Toyota Estima EV ini mungkin akan dijual pada harga bermula 6.5 juta hingga 7 juta yen (RM205,500 hingga RM221,300).

    Walau bagaimanapun ini bukan kali pertama Estima didakwa akan dihasilkan semula oleh Toyota. Pada 2021 Best Car Web turut telah melaporkan bahawa Estima akan dihasilkan dalam versi generasi baharu yang dijana elektrik sepenuhnya dan ia akan didedahkan pada tahun ini, tetapi berita berkenaan ternyata tidak benar.

    Malah pada 2021 ketika pengerusi Toyota, Akio Toyota mendedahkan 16 model-model konsep EV Toyota yang dirancang untuk diproduksi pada masa akan datang, tiada satu pun model yang bakal dihasilkan sebagai MPV tujuh-tempat duduk. Walau bagaimanapun sekiranya Estima EV ini menjadi kenyataan, ia mungkin menjadi MPV pertama Toyota yang dijana oleh kuasa elektrik sepenuhnya.

     
     
  • Yamaha YZF-R15M Monster Energy Edition diperkenal untuk pasaran Malaysia – terhad 600 unit, RM14,998

    Yamaha YZF-R15M Monster Energy Edition diperkenal untuk pasaran Malaysia – terhad 600 unit, RM14,998

    Setelah lebih satu tahun YZF-R15M dilancarkan untuk pasaran Malaysia, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) kini memperkenalkan warna baru untuk model sports permulaan tersebut, yang dipanggil sebagai Monster Energy Edition. Ia sebagai tambahan pilihan kepada warna perak yang diperkenalkan sebelum ini.

    YZF-R15M Monster Energy Edition ini bagaimanapun hanya akan ditawarkan dalam jumlah yang terhad, iaitu 600 unit sahaja, dengan harga jualan RM14,998 tidak termasuk insurans. Harga ini adalah sama seperti YZF-R15M warna perak yang diperkenalkan sebelum ini.

    Bahagian lain motosikal ini masih lagi sama, bermula dengan enjin yang menggunakan unit satu silinder suntikan bahan api SOHC, VVA 155 cc bersama padanan transmisi enam kelajuan dengan klac jenis slip & assist, menghasilkan 19 hp pada 10,000 rpm dan 14.7 Nm tork pada 7,500 rpm.

    Sebagai sebuah motosikal versi prestasi, R15M didatangkan terus dengan quickshifter, sistem kawalan cengkaman (boleh ditutup), ABS two-channel serta panel paparan LCD yang boleh disambungkan kepada telefon pintar melalui aplikasi Y-Connect.

    Meter LCD ini juga menyediakan dua pilihan paparan, iaitu Street untuk keadaan biasa, dan Track yang boleh memaparkan catatan masa pusingan di litar. Beberapa kemasan unik turut diberikan pada R15M, termasuk lencana R15M, penutup atas fork dengan logo R15M, tempat duduk khas serta angkup brek Bybre warna emas.

    Kelengkapan lain pada R15 V4 ini adalah sama seperti R15 sebelumnya, termasuklah fork USD di hadapan, monoshock, brek cakera 282 mm di hadapan dan 220 mm di belakang, tangki bahan api 11 liter, berat 140 kg dan lengan ayun aluminium.

     
     
  • Isuzu D-Max facelift 2023 – gaya lebih rugged, meter digital, enjin sama, RM98k-RM161k di Thailand

    Isuzu D-Max facelift 2023 – gaya lebih rugged, meter digital, enjin sama, RM98k-RM161k di Thailand

    Isuzu D-Max generasi ketiga telah pun menerima kemaskini di Thailand, di mana trak pikap yang ditawarkan dengan varian Hi-Lander dan V-Cross untuk versi single-cab dua-pintu dan double-cab empat-pintu. Di Malaysia, D-Max telah dipertingkatkan pada awal tahun ini, menampakkan lampu utama dan lampu nyalaan siangnya agak mirip dengan versi yang diperkenalkan di sana.

    Di Thailand, barisan facelift ini bermula dengan D-Max Hi-Lander 1.9 L 6MT ditawarkan pada harga bermula 758,000 baht (RM97,693) sehinggaD-Max Hi-Lander 1.9 ZP 6AT berharga 928,000 baht (RM119,580) untuk single-cab dua-pintu. Manakala bagi versi double-cab empat-pintu pula, ia bermula dengan D-Max Hi-Lander 1.9 L DA 6MT berharga 865,000 baht (RM111,462), hingga D-Max Hi-lander 1.9 ZP 6AT pada harga 1,040,000 baht (RM134,049).

    Manakala tiga lagi varian bagi barisan Hi-Lander dengan enjin yang lebih besar berkapasiti 3.0 liter, bermula dengan D-Max Hi-lander 3.0 ZP 6MT berharga 1,036,000 baht (RM133,522), diikuti dengan D-Max Hi-lander 3.0 M 6AT yang ditawarkan pada harga 1,144,000 baht (RM147,441).

    Model facelift ini juga disertai oleh barisan V-Cross dengan kapasiti enjin 3.0 liter diesel, yang ditawarkan pada harga bermula 917,000 baht (RM117,755) untuk single-cab dua-pintu, serta versi 3.0 Z 6MT 4×4 dengan harga 1,257,000 baht (RM161,447) untuk varian V-Cross Double Cab 3.0 ZP 6AT 4×4. Dengan peningkatan bagi model facelift ini, harga D-Max di Thailand telah meningkat antara 30,000 hingga 40,000 baht (RM3,888 hingga RM5,185), menurut Headlight Magazine.

    Untuk penjana kuasanya, D-Max V-Cross masih terus menggunakan unit 4JJ3-TCX 3.0 liter empat-silinder sebaris turbodiesel dengan hamburan kuasa 190 hp pada 4,500 rpm dan tork 450 Nm dari 1,600 rpm hingga 2,600 rpm. Transmisi sama ada automatik enam-kelajuan dengan sequential manual override atau manual enam-kelajuan dan pacuan semua-roda.

    Sementara itu, bagi D-Max Hi-Lander di Thailand menerima enjin 1.9 liter RZ4E-TC empat-silinder sebaris turbodiesel dengan hamburan kuasa 150 hp pada 3,600 rpm dan tork 350 Nm dari 1,800 rpm hingga 2,600 rpm. Juga digandingkan dengan transmisi sama ada automatik enam-kelajuan dengan sequential manual override atau manual enam-kelajuan dan pacuan semua-roda.

    Perubahan gaya untuk D-Max ini melibatkan kemasan pada V-Cross yang kini diberikan gril hadapan, bampar hadapan dan lampu utama baharu, bersama lampu belakang dan tailgate baharu. Ia juga menerima dua rekaan baharu bagi roda untuk saiz 18-inci, serta warna jingga baharu yang dinamakan sebagai Namibu Orange Mica.

    Di dalamnya, panel instrumen juga diberikan rekaan baharu, disepadukan dengan paparan pelbagai-informasi tujuh-inci dan roda stereng juga kini diberikan pedal penukar gear. Upholstery dalaman menampilkan kulit sintetik Coolmax, sama ada dengan pilihan warna hitam atau coklat dan hitam.

    Bagi aspek keselamatan, D-Max V-Cross menerima kelengkapan ADAS yang merangkumi lampu tinggi automatik, kawalan kelajuan adaptif kelajuan penuh, amaran pelanggaran hadapan, AEB, brek kecemasan pelbagai-pelanggaran dan amaran ketibaan lorong.

    Turut diberikan amaran trafik-lintasan belakang, AEB undur, amaran titik buta, bantuan mula mendaki, kawalan cengkaman, kawalan kestabilan, ABS, cagak ISOFIX pada tempat duduk belakangm amaran pemakaian tali pinggang keledar penumpang hadapan dan tali pinggang keledar tiga-poin untuk tempat duduk belakang.

    Di Thailand, Isuzu D-Max yang dinaiktaraf ini boleh didapati dengan pilihan warna Bohemian Silver Metallic, Gray Ilay Opec, Namibu Orange Mica, Bavarian Black Mica, dan Dolomite Pearl White (dengan kos tambahan 7,000 baht).

     
     
  • Beberapa jalan utama di Putrajaya ditutup sempena Hari Sukan Negara 2023, mulai 6 petang 13 Okt-15 Okt

    Beberapa jalan utama di Putrajaya ditutup sempena Hari Sukan Negara 2023, mulai 6 petang 13 Okt-15 Okt

    Sempena sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2023 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Putrajaya hujung minggu ini, terdapat beberapa jalan akan ditutup mulai 6 petang ini (13 Oktober) sehingga jam 11.59 tengah malam pada 15 Oktober 2023.

    Jalan-jalan yang terlibat ialah Dataran Putrajaya, Simpang Menara IKhlas hinggga Menara KBS, Jalan Kemerdekaan, Simpang Tun Hussein hingga Persiaran Perdana, Lebuh Setia, dan Jalan Tun Hussein hingga Persiaran Perdana.

    Justeru, anda dinasihati untuk rancang perjalanan bagi melancarkan pergerakan trafik dan sila patuhi arahan polis trafik dan petugas acara.

    Untuk yang mengambil bahagian dalam acara dan aktiviti yang disediakan, beberapa kawasan parkir awam terbuka juga ada berhampiran dengan lokasi utama HSN yang berlangsung di hadapan Istana Kehakiman Putrajaya. Antara kawasan parkir tersebut ialah berhampiran Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (atau lebih dikenali sebagai Masjid Besi), dan tapak pasar malam/bazaar Ramadan berhampiran Hotel Dorsett.

    HSN 2923 akan dilancarkan secara rasminya oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pagi esok. Banyak acara menarik disediakan termasuklah Fit Malaysia larian dan berbasikal, acara berjalan kaki, Mega Aerobic Challenge, jualan barangan sukan, memanah, sukan tradional dan banyak lagi.

    Kalau nak tengok perlawanan bola sepak antara pasukan Malaysia menentang India sempena Piala Merdeka malam ni pun boleh kerana ada skrin besar akan disediakan untuk menayang siaran secara langsung perlawanan terbabit.

     
     
  • Penyambung jalan dan keadaan licin jadi punca penunggang motosikal jatuh di jejambat Kg Pandan

    Penyambung jalan dan keadaan licin jadi punca penunggang motosikal jatuh di jejambat Kg Pandan

    Seorang pengguna laman sosial X (dulunya dikenali sebagai Twitter), Ts Rezza Danial berkongsi pengalaman beliau melihat beberapa buah motosikal jatuh di hadapan mata sewaktu melalui satu bahagian di atas jejambat Kampung Pandan, berhampiran susur masuk ke lebuh raya MEX di MyTown.

    Beberapa video dimuat naik oleh Rezza, yang ketika itu sedang berteduh daripada hujan di bawah jejambat yang disebutkan, dan menurut beliau, dalam masa tidak sampai lima minit pun, tiga orang penunggang motosikal sudah terjatuh di kawasan itu.

    Penyebab yang diberitahu adalah penyambung jalan, yang dikatakan bukan sahaja sangat licin pada waktu hujan, tetapi dalam waktu kering juga adalah sama. Ini mengakibatkan tayar motosikal hilang cengkaman dan jatuh meskipun tidak ditunggang laju.

    Penyambung jalan seperti ini dipanggil sebagai expansion joint, dan ia memang satu rekaan biasa bagi sesebuah jambatan, bagi membolehkan penguncupan dan pengembangan permukaan apabila suhu berubah. Ia juga kerap digunakan bagi bahagian jalan yang diperbuat daripada konkrit bersambung.

    Penyambung ini biasanya dijadikan sama rata dengan jalan dan disalut dengan lapisan anti gelincir. Walaubagaimanapun apabila sudah lama, ia boleh hilang dan mendedahkan permukaan besi yang licin – itulah keadaan yang dilihat berlaku di kawasan ini. Ia juga pernah dilihat boleh menjadi lebih teruk sehingga menyebabkan lubang yang besar.

    Bukan setakat Rezza, pengguna lain turut berkongsi perkara yang sama, dengan salah seorang daripadanya, iaitu Boy Flow mengatakan seorang penunggang sudah pun terkorban di jalan itu 9 September tahun lalu.

    Seorang lagi pengguna dengan nama Syamel pula mengatakan beliau sudah membuat laporan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkenaan jalan tersebut, tetapi ia masih belum selesai dan mempersoalkan adakah mereka mahu menunggu sehingga ada anak menteri yang terjatuh barulah mahu mengambil tindakan.

    Bagi penunggang motosikal, tambahkan waspada anda apatah lagi sekarang sudah musim hujan. Penyambung jalan seperti ini ada di merata tempat dan sentiasa amalkan cara tunggangan yang berhati-hati. Dalam masa sama, pastikan juga keadaan motosikal anda baik, terutamanya bahagian tayar dan brek, dan cari tempat yang selamat untuk berteduh sewaktu hujan.

     
     
  • Piala Merdeka Malaysia vs India – operasi LRT Bukit Jalil dilanjutkan hingga 12.30am

    Piala Merdeka Malaysia vs India – operasi LRT Bukit Jalil dilanjutkan hingga 12.30am

    Rapid KL telah mengumumkan bahawa operasi stesen LRT Bukit Jalil akan dilanjutkan sehingga jam 12.30 tengah malam ini. Ia adalah sempena dengan perlawanan bola sepak Piala Merdeka di antara pasukan Harimau Malaya menentang India yang bakal berlangsung malam ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

    “Tren tambahan akan disediakan sejurus tamat perlawanan bola sepak terbabit,” kata Rapid KL menerusi Facebook rasminya.

    Walau bagaimana pun, para penumpang diingatkan untuk menggunakan kad Touch ‘n Go bagi memudahkan perjalanan. Sila pastikan baki tambah nilai di dalam kad berkenaan mencukupi.

     
     
  • Proton tamatkan produksi enjin Campro CFE Turbo; produksi Proton Exora juga akan berhenti selepas ini

    Proton tamatkan produksi enjin Campro CFE Turbo; produksi Proton Exora juga akan berhenti selepas ini

    Proton nampaknya telah menamatkan penghasilan enjin Campro 1.6 liter empat silinder Turbo (dikenali juga dengan nama Charged Fuel Efficiency atau CFE) dengan produksi unit terakhir dikeluarkan dari barisan produksinya di Tanjong Malim semalam.

    Tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat oleh Proton berkenaan perkara ini, namun ia dapat disahkan menerusi satu video pendek disiarkan oleh akaun TikTok Kelab Pemilik Exora Malaysia (EOCM) yang memaparkan satu ‘upacara’ ringkas dibuat di kilang tersebut bagi memperingati unit terakhir enjin berkenaan.

    Buat masa sekarang satu-satunya model Proton yang masih menggunakan enjin CFE ini adalah MPV tujuh-tempat duduk Proton Exora. Proton sebelum ini sudah mengesahkan bahawa salah satu modelnya yang sedang dijual dalam pasaran akan ditamatkan produksi menjelang akhir tahun ini, dan dengan pemberhentian pengeluaran enjin CFE ini sudah dapat dipastikan bahawa Exora adalah model yang dimaksudkan.

    @eocmalaysia_official Selepas 12 tahun, enjin CFE kini secara rasmi telah ditamatkan pengeluarannya pada hari ini. #onthisday #camprocfe #protonexora #mediaeocm #eocmalaysiaofficial #fyp ♬ original sound – @K_AZ

    Enjin CFE ini merupakan enjin Campro 1.6L dalam versi yang disuap dengan pengecas turbo, diperkenalkan buat pertama kali menerusi Proton Exora Bold pada akhir 2011. Ia kemudiannya turut dipadankan pada sedan segmen-C Proton Preve yang diperkenalkan pada tahun 2012, diikuti versi hatchbacknya iaitu Suprima S pada tahun berikutnya.

    Ia ditala bagi menghasilkan 140 PS pada takat 5,000 rpm dan tork maksima 205 Nm bermula 2,000 hingga 4,000 rpm. Walaupun prestasinya agak mengujakan, enjin ini dihambat dengan masalah hos penyejuk minyak pelincir (OCH) yang selalu pecah, serta agak kuat ‘menelan’ petrol.

    Sebelum ini Proton sudahpun menyatakan sebarang pembangunan lanjutan untuk enjin CFE ini sudahpun ditamatkan, dan syarikat berkenaan kini menumpukan perhatian terhadap enjin 1.5 liter tiga-silinder yang dibangunkan oleh Geely dan Volvo bagi model-model baharunya kelak.

    Enjin 1.5 liter tersebut sudahpun diproduksi secara tempatan sejak tahun lalu, dan ia kini berada dalam perut model-model seperti Proton X50, X70 dan X90. Sedan baharu Proton yang akan menggantikan tempat Preve yang akan dilancarkan bulan hadapan turut dijangka akan menerima enjin 1.5 liter Turbo tersebut walaupun model asasnya di China iaitu Geely Emgrand hanya menerima enjin 1.5 liter NA.