Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Mercedes-Benz Malaysia catat produksi ke-100,000 unit di kilang pemasangannya di Pekan, Pahang

    Mercedes-Benz Malaysia catat produksi ke-100,000 unit di kilang pemasangannya di Pekan, Pahang

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah mencatatkan satu lagi kejayaan dengan mencapai produksi ke 100,000 unit kereta penumpang menerusi kilang pemasangannya di Pekan, Pahang. Pencapaian yang luar biasa ini menggambarkan komitmen dan dedikasi MBM terhadap kecemerlangan pembuatan dan inovasi dalam industri kereta mewah.

    Ini menunjukkan Mercedes-Benz Malaysia komited untuk terus meningkatkan ekonomi tempatan dengan pelaburan berterusan termasuk melibatkan kos lebih RM500 juta setakat ini untuk kilang pemasangannya di Pekan. Sekaligus mengukuhkan tempatan syarikat itu dalam mengutamakan kualiti pengeluaran kenderaan dan mmeningkatkan pertumbuhan jenama automotif.

    “Mercedes-Benz merupakan pengeluar kenderaan mewah pertama yang mewujudkan kilang pemasangan tempatan di Malaysia. Sejak dibangunkan pada tahun 2004, Kilang Pemasangan Mercedes-Benz di Pekan turut memainkan peranan dalam membentuk landskap automotif di negara ini. Tahun ini, tercatat satu lagi sejarah dalam perjalanan kami di sini, membuktikan komitmen kami bagi memperkukuhkan kedudukan kami dalam segmen kereta mewah,” kata Amanda Zhang, Presiden dan CEO MBM.

    Pada awal tahun ini, MBM turut melakarkan kejayaan dengan memulakan pemasangan tempatan bagi model kenderaan elektrik (EV) EQS 500 4Matic. Melalui pengeluaran tempatan ini, meskipun EQS 500 mempunyai kuasa lebih tinggi, harganya menjadi lebih rendah, iaitu RM648,888 tidak termasuk insurans, berbanding RM698,888 bagi EQS 450+ sebelum ini.

     
     
  • Beli Proton S70 di Proton Petaling Jaya – RM500

    Beli Proton S70 di Proton Petaling Jaya – RM500

    Berminat untuk membuat tempahan untuk sedan Proton S70 yang baru? Anda boleh melakukannya sekarang dengan hanya bayaran tempahan RM500. Anda boleh membuat tempahan bersama Proton Petaling Jaya oleh Regal Motors.

    Ditubuhkan pada tahun 2013, Regal Motors Holdings Sdn Bhd mempunyai pusat 4S di Seksyen 13 Petaling Jaya, serta sebuah outlet 3S di Bandar Sunway. Pusat 4S Proton Regal Motors kami juga telah memenangi Anugerah Berlian tertinggi untuk prestasi jualan dan perkhidmatan keseluruhan pada bulan April 2021.

    • Proton S70 1.5T Executive – RM73,800
    • Proton S70 1.5T Premium – RM79,800
    • Proton S70 1.5T Flagship – RM89,800
    • Proton S70 1.5T Flagship X – RM94,800

    Isi borang di bawah dan SA mesra kami akan menghubungi anda secepat mungkin.

    Klik di sini untuk isi borang.

     

    Comments are Disabled | Leave a comment?

     
  • Harga minyak 2-8 November – Semuanya dikekalkan

    Harga minyak 2-8 November – Semuanya dikekalkan

    Bagi minggu pertama November iaitu 2 hingga 8 November 2023, Kementerian Kewangan (MoF) memutuskan untuk terus mengekalkan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel.

    Di mana harga petrol RON 97 dikekalkan pada RM3.47 seliter, setelah mengalami kenaikan sebanyak 10 sen seliter pada 20 September lalu.

    Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada 19 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata harga petrol tidak boleh diturunkan kepada RM1.50 seliter susulan perkembangan membabitkan kadar semasa minyak mentah dunia.

    Katanya, harga semasa petrol di Malaysia masih berada pada tahap rendah, iaitu RM2.05 seliter, berbanding Arab Saudi yang menetapkan pada kadar RM2.84 seliter. Justeru, beliau yang juga Menteri Kewangan menyifatkan tidak wajar jika cadangan diajukan beliau ketika 2018 itu, berterusan dimanipulasi, tanpa mengambil kira perkembangan semasa.

     
     
  • Kamera keselamatan AWAS akan ditambah di lokasi baharu, penggunaan e-Plate sedang dikaji – MoT

    Kamera keselamatan AWAS akan ditambah di lokasi baharu, penggunaan e-Plate sedang dikaji – MoT

    Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang mengkaji penggunaan kamera keselamatan jalan raya baharu yang menggunakan ciri e-Plate sebagai langkah penambahbaikan dan mengurangkan risiko kemalangan di negara ini.

    Perkara ini dinyatakan oleh Timbalan Menteri MoT, Datuk Hasbi Habibollah, yang berkata ciri baharu yang terdapat di kamera itu dijangka berupaya mengesan pemandu, lesen kenderaan dan menangkap tahap kelajuan kenderaan, sekali gus memudahkan penguatkuasaan, laporan Bernama.

    “Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang meneliti dan menimbang hala tuju baharu berhubung kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS), mungkin akan ditambah kamera ini, tetapi bukan dalam bentuk yang ada sekarang (AWAS), di tempat yang baharu.

    “Namun, ia masih dalam kajian untuk melihat siapa pengguna jalan raya yang langgar peraturan dan lesen kenderaan memandu, jadi masa depan akan ditambah lagi ciri lain pada kamera itu untuk dapat menangkap (merakam) kelajuan,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini bagi menjawab soalan tambahan Datuk Suhaimi Nasir (BN-Libaran) yang ingin tahu perancangan kerajaan dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di Malaysia.

    Kamera keselamatan AWAS akan ditambah di lokasi baharu, penggunaan e-Plate sedang dikaji – MoT

    Beliau menambah, menurut kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati tahap pematuhan pengguna jalan raya di lokasi pemasangan kamera itu mencecah 99%

    Pada awal Jun lalu, beliau turut berkata, setakat ini terdapat 45 kamera AWAS atau sebelum ini dikenali sebagai Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang sedang beroperasi dan dikuatkuasakan.

    Jelasnya, kamera AWAS bukanlah bertujuan memerangkap pengguna jalan raya, sebaliknya ia bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan jalan raya terutamanya di kawasan titik hitam di mana nahas kerap berlaku sebelum ini.

    Di mana penggunaan kamera AWAS membolehkan aktiviti penguatkuasaan berlangsung 365 hari dan 24 jam sehari dan mengurangkan kebergantungan kepada jumlah tenaga manusia iaitu anggota penguatkuasaan.

     
     
  • Honda Prelude Concept adalah model hibrid, bukan EV – mungkin guna platform dan sistem e:HEV Civic?

    Honda Prelude Concept adalah model hibrid, bukan EV – mungkin guna platform dan sistem e:HEV Civic?

    Ketika berlangsungnya Japan Mobility Show 2023 di Tokyo minggu lalu, antara model konsep yang mengejutkan didedahkan oleh Honda adalah model konsep Prelude generasi baharu. Tiada perincian teknikal didedahkan oleh Honda, cuma Prelude Concept ini disifatkan “akan membawa ‘keseronokan memandu’ ke dalam masa depan elektrik penuh”.

    Oleh itu ramai yang beranggapan Honda Prelude ini merupakan kereta sport dua pintu yang dijana oleh kuasa elektrik sepenuhnya dari bateri (BEV). Namun menurut pengurus kanan perhubungan awam American Honda Motor Company, Andrew Quillin mengesahkan bahawa Prelude Concept berkenaan sebenarnya adalah sebuah model hibrid elektrik.

    “Untuk penjelasan…Prelude Concept merupakan model hibrid-elektrik, bukan BEV penuh,” tulis Quillin ketika membalas hantaran di laman sosial X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter). Beliau turut menambah kekeliruan ini terjadi kerana perkara itu tidak dinyatakan dengan jelas dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Honda.

    Honda Prelude Concept adalah model hibrid, bukan EV – mungkin guna platform dan sistem e:HEV Civic?

    Kami dan juga banyak media antarabangsa lain turut beranggapan bahawa Honda Prelude Concept ini merupakan model elektrik penuh kerana kenyataan yang dikeluarkan itu serta tidak kelihatan sebarang paip ekzos pada bahagian belakang kereta ini.

    Dengan penjelasan yang dibuat oleh Quillin ini satu spekulasi boleh dibuat – adakah Prelude turut dihasilkan dengan platform yang sama dengan Civic generasi ke-11? Ini bukan perkara yang mustahil kerana Acura Integra dan Integra Type S pasaran Amerika Syarikat turut menggunakan platform dan unit rangkaian kuasa yang sama dengan Civic Si dan Civic Type R.

    Civic turut mempunyai varian hibrid elektrik yang menghasilkan kuasa lebih besar dari enjin 1.5 liter VTEC Turbo pada model biasa. Ia menggandingkan enjin 2.0 liter empat silinder kitaran Atkinson dengan sistem suntikan bahan api terus berkuasa 143 PS (139 hp) dan tork maksima 189 Nm, bersama dua buah motor elektrik.

    Enjin petrol tersebut tidak memacu terus roda, sebaliknya dalam kebanyakkan masa hanya berfungsi sebagai generator untuk mengecas bateri. Sebuah motor bersaiz kecil dipadankan terus pada aci engkol berfungsi untuk menghidupkan enjin, manakala motor utama yang memacu roda hadapan pula dibekalkan kuasa 184 PS (181 hp atau 135 kW) dan tork maksima 315 Nm.

    Namun ada masa-masa tertentu motor elektrik berkenaan turut bergabung tenaga dengan enjin petrol menerusi transmisi E-CVT.

    Malah untuk pasaran Amerika Syarikat Civic kini tidak lagi ditawarkan dalam bentuk badan coupe dua pintu seperti model generasi kelima hingga ke-10, meninggalkan satu lompong dalam pilihan model-model yang ditawarkan oleh Honda. Mungkin Prelude hadir untuk mengisi kekosongan itu dalam masa yang sama dihasilkan sebagai model global untuk pasaran luar AS?

    GALERI: Honda Prelude Concept di Japan Mobility Show 2023

     
     
  • PACE 2023 berlangsung dari 4-5 November — banyak ganjaran menarik untuk kereta premium baru, terpakai

    PACE 2023 berlangsung dari 4-5 November — banyak ganjaran menarik untuk kereta premium baru, terpakai

    Pameran Premium Auto Car Expo (PACE) anjuran paultan.org bakal kembali lagi tahun ini. Sama seperti penganjurannya sebelum ini, ia bakal berlangsung di Pusat Persidangan Setia City (SCCC) pada hujung minggu ini, 4-5 November 2023 dan bakal membawakan pelbagai jenama kenderaan berserta tawaran menarik untuk kereta premium baru dan terpakai.

    Antara jenama pengeluar yang akan terlibat dalam pameran ini ialah BMW dan MINI (diwakili oleh Auto Bavaria), Mercedes-Benz (diwakili oleh Hap Seng Star), Audi, Volkswagen, Proton, Mitsubishi dan smart (semua ini diwakili oleh EON); Volvo, Subaru, Hyundai, BYD dan Isuzu. Tidak ketinggalan, akan ada juga motosikal premium dari BMW Motorrad.

    PACE 2023 berlangsung dari 4-5 November — banyak ganjaran menarik untuk kereta premium baru, terpakai

    Sebagai tambahan kepada tawaran menarik yang disediakan oleh setiap syarikat dan jenama tersebut, membeli kenderaan di PACE akan membolehkan pengunjung menikmati banyak hadiah lain. Ini kerana, setiap kenderaan yang ditempah ketika acara akan didatangkan dengan baucar bernilai RM2,500 daripada jenama produk automotif sokongan lain yang turut terlibat.

    Apa yang boleh dijangkakan sepanjang dua hari acara ini berlangsung nanti? Ada banyak. Sebagai contoh, baucar RM500 untuk filem penapis haba dan coating kenderaan (V-Kool), baucar RM500 untuk kerusi keselamatan kanak-kanak (Recarro Kids) dan baucar RM500 untuk kerusi kulit kustom (DK Schweiser) adalah antara hadiah yang menanti.

    PACE 2023 berlangsung dari 4-5 November — banyak ganjaran menarik untuk kereta premium baru, terpakai

    PACE 2023 disokong oleh penaja utama Petronas, nama yang tidak asing lagi dalam industri tenaga dengan kehadiran mereka di 50 negara, terutamanya Malaysia sendiri. Acara ini juga ditaja bersama oleh myTukar, yang menawarkan platform penyelesaian penuh bagi jual-beli kenderaan terpakai dengan cara yang paling mudah dan selesa untuk semua.

    Dengan jaminan baucar tambahan serta banyak tawaran menarik lainnya untuk semua pengunjung, ia akan menjadi lokasi terbaik untuk mereka yang ingin mencari kenderaan dengan tawaran yang tiada di tempat atau masa yang lain. Luangkan masa dan berkunjunglah ke PACE 2023 di SCCC hujung minggu ini, 4-5 November 2023. Jumpa kami di sana!

     
     
  • MINI Clubman Final Edition 2023 diperkenalkan di M’sia — kemasan unik, hanya 20 unit, dari RM308k

    MINI Clubman Final Edition 2023 diperkenalkan di M’sia — kemasan unik, hanya 20 unit, dari RM308k

    MINI Malaysia telah memperkenalkan secara rasmi MINI Clubman Final Edition, yang bakal menjadi penawaran terakhir model berkenaan dan tidak lagi akan diperkenalkan dalam generasi baru selepas ini. Hanya 1,969 unit yang dikeluarkan untuk seluruh dunia, dengan Malaysia menerima peruntukan sebanyak 20 unit sahaja.

    Menggunakan asas dari varian Cooper S untuk Clubman, versi Final Edition ini dijual pada harga RM308,488 atas jalan tidak termasuk insurans. Ini lengkap dengan jaminan dua-tahun standard, dan jika ingin dilanjutkan tempoh berkenaan dengan pakej servisnya sekali, harganya akan menjadi RM318,888.

    Harga Final Edition ini lebih mahal RM5,100 berbanding Clubman S, atau RM6,000 lebih mahal dengan lanjutan jaminan dan pakej servis. Antara kelainannya ialah kemasan yang memperingati Clubman pertama yang diperkenalkan pada tahun 1969.

    MINI Clubman Final Edition 2023 diperkenalkan di M’sia — kemasan unik, hanya 20 unit, dari RM308k

    Grilnya hadir dalam kemasan Shimmer Copper, dengan kemasan yang sama dapat dilihat untuk jalur dan di bonet, serta bahagian sisinya. Bahagian sisi ini juga unik, dengan adanya tulisan ‘1969 Final Edition’ sementara di tiang C pula tertera angka ‘1 of 1969’.

    Tulisan ‘Final Edition’ juga tertera di beberapa tempat lain, dengan set rim khusus 18-inci Final Edition diberikan. Kemasan hitam berkilat juga dapat dilihat di bahagian lampu utama dan lampu belakang, pemegang pintu dan hujung ekzos. Tiga warna ditawarkan untuk edisi ini — Nanuq White, Melting Silver III dan Enigmatic Black.

    Di dalam, kemasan kulit Nappa membaluti stereng yang juga ada lencana ‘Final Edition’. Selain itu, lapik kaki juga tertulis angka ‘1 of 1969’ serta lapik pintu khas model ini. Kerusi pula balutan fabrik sport MINI dan kulit maroon gelap, dengan jahitan kontras. Kemasan lain padanya diberikan penyudah Shimmer Copper atau Enigmatic Black.

    Kelengkapan standard Final Edition ini sama dengan varian Cooper S, dengan adanya Comfort Access, kawalan pendingin dua-zon, kamera undur, Parking Assistant, sistem bunyi Harman Kardon dan Driving Assistant (bantuan lampu tinggi, info kelajuan, amaran pejalan kaki dan amaran mendekati objek dengan fungsi brek dalam bandar) serta kawalan melayar dengan fungsi brek adalah ciri standard.

    Satu perbezaan yang ada ialah naik taraf skrin sentuh kepada saiz 8.8-inci untuk sistem tunjuk arah MINI yang hadir dengan sokongan Apple CarPlay (sebelum ini saiz 6.5-inci). Tiada perubahan bagi sistem janaan kuasa, dengan enjin 2.0 liter turbocas empat-silinder petrol yang menghasilkan 192 PS (189 hp atau 141 kW) dan 280 Nm tork. Kuasa dihantar ke roda depan melalui transmisi klac berkembar tujuh kelajuan, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.2 saat dan laju maksimum 228 km/j.

    Setiap pembeliannya datang dengan program bantuan tepi jalan selama lima-tahun, termasuk dengan talian hotline 24-jam/365 hari setahun, servis tunda percuma, kenderaan gantian, mobiliti mudah, penginapan, servis penyelesaian mobiliti serta servis penghantaran pulang.

     
     
  • Proton S70 – varian Exec, Premium, Flagship, Flagship X; semua 6 beg udara, ADAS hanya untuk Flagship

    Proton S70 – varian Exec, Premium, Flagship, Flagship X; semua 6 beg udara, ADAS hanya untuk Flagship

    Proton baru sahaja mendedahkan imej awal untuk sedan segmen-C baharu Proton S70 hari ini, dengan mengesahkan sedikit perincian awalan seperti enjin 1.5 liter Turbo dan juga transmisi klac berkembar automotik tujuh kelajuan 7DCT.

    Namun menerusi perbincangan di Facebook Group paultan.org Automotive/Car Discussion, seorang pengguna telah berkongsi slaid pembentangan yang mungkin dari sesi latihan penasihat jualan memaparkan varian-varian untuk S70 ini serta kelengkapan yang dibekalkan.

    Menerusi slaid itu dapat dilihat S70 akan ditawarkan dalam empat varian berbeza iaitu 1.5T Executive, 1.5T Premium, 1.5T Flagship dan 1.5T Flagship X. Jadi keempat-empat varian ini nampaknya menggunakan enjin yang sama, berkemungkinan adalah enjin 1.5 liter tiga silinder PFI, tanpa pilihan enjin 1.5T-GDI seperti pada SUV X50 Flagship dan X70 1.5 T-GDI.

    Proton S70 – varian Exec, Premium, Flagship, Flagship X; semua 6 beg udara, ADAS hanya untuk Flagship

    Pada X50 dalam varian Premium dan ke bawah, enjin tersebut mampu menghasilkan kuasa 150 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 226 Nm bermula 1,500 rpm hingga 4,000 rpm. Walaupun tidak menerima enjin T-GDI yang menghasilkan 177 PS/255 Nm, enjin pada S70 ini masih jauh lebih berkuasa dari model asal Geely Emgrand yang hanya menerima enjin 1.5 liter NA 114 PS/147 Nm di China.

    Untuk kelengkapan, S70 varian 1.5T Executive menerima rim aloi 16-inci dan juga lampu hadapan halogen di sebelah luar. Dalam kabin ia hanya diberikan upholsteri fabrik, meter analog dengan skrin pelbagai informasi monokrom bersaiz 3.25-inci, skrin infotainmen bersaiz 8-inci, sistem cruise control biasa, butang penghidup enjin dan sistem kemasukan pintar tanpa kunci tetapi hanya untuk pintu pemandu.

    Untuk keselamatan pula ia menerima sistem asas brek ABS, EBD dan BA serta kawalan traction, bantuan mula mendaki dan enam beg udara. Ia juga diberikan beberapa kelengkapan keselamatan aktif asas termasuk amaran lintasan trafik belakang (RCTA), amaran pelanggaran belakang, amaran buka pintu dan bantuan kekal lorong.

    Proton S70 – varian Exec, Premium, Flagship, Flagship X; semua 6 beg udara, ADAS hanya untuk Flagship

    Bagi varian 1.5T Premium pula, lampu hadapan ditingkat taraf dengan lampu LED automatik serta diberikan bar lampu pada penutup but yang bersambung dengan lampu belakang. Dalam kabin pula ciri lebih baik untuk model 1.5T Premium ini hanyalah upholsteri kulit sintetik Leatherette, sementara perincian lain adalah masih sama seperti varian Executive.

    Manakala untuk keselamatan, varian 1.5T Premium ini menerima penambahan kamera undur serta penderia parkir di hadapan dan belakang.

    Varian 1.5T Flagship pula di lihat menerima perincian hampir paling lengkap. Pada bahagian luar, bermula varian ini S70 menerima rim aloi lebih besar berdiameter 17-inci serta diberikan bukaan induktif untuk but belakang. Dalam kabin meter analog diganti dengan meter digital penuh dengan skrin 10.25-inci berresolusi tinggi 1920 X 720. Manakala pada skrin infotainmen ia diberoperasi dengan sistem Android dan Atlas serta diberikan fungsi arahan suara.

    Proton S70 – varian Exec, Premium, Flagship, Flagship X; semua 6 beg udara, ADAS hanya untuk Flagship

    Selain itu ia juga menerima tempat duduk pemandu larasan elektrik dan juga pengecas telefon pintar tanpa wayar, kamera pemantau 360 darjah dan juga sistem pemantau tekanan angin tayar (TPMS).

    Untuk keselamatan pula varian 1.5T Flagship ini menerima sistem bantuan pemanduan termaju dengan kebolehan pemanduan autonomi Tahap 2 seperti pada model X90 dengan perincian seperti brek kecemasan automatik, bantuan kekal lorong, cruise control adaptif dengan fungsi stop & go. Walau bagaimanapun pada slaid berkenaan sudah tertulis S70 tidak diberikan sistem bantuan kecemasan mengekalkan lorong dan juga bantuan parkir automatik.

    Varian 1.5T Flagship X menerima semua princian yang sama seperti varian Flagship, dan satu-satunya penambahan dibuat pada varian paling mahal ini adalah pemandanan bumbung suria.

    Walau bagaimanapun ada beberapa perincian masih belum terjawab. Dalam beberapa imej yang bocor sebelum ini S70 dilihat menampilkan dua jenis gril hadapan yang berbeza iaitu gril dengan elemen rekaan infinite weave seperti pada X50 dan X70 dan juga gril dengan elemen rekaan pin krom/kain songket seperti yang didedahkan menerusi set gambar awalan yang disiarkan hari ini.

    Malah sebelum ini turut dapat dilihat S70 mengenakan kit badan yang terdiri dari spoiler bawah bampar hadapan, skirt sisi, diffuser belakang lebih agresif dan spoiler ‘ekor itik’ pada penutup but untuk unit yang menjalani penggambaran iklan.

    Pagi tadi Proton telah mengumumkan bahawa tempahan Proton S70 ini sudahpun dibuka di semua bilik pamerannya seluruh negara dengan bayaran RM500. Ia dijangka akan dilancarkan pada bulan ini, dan sebelum ia pelancaran rasminya Proton akan mengadakan sesi pra-tonton di beberapa ibu negeri utama di Malaysia bermula dari 11 November 2023 bagi membolehkan pelanggan yang berminat melihatnya secara lebih dekat.

    GALERI: Pilihan warna Proton S70 2023

     
     
  • Triumph Tiger 900 terima peningkatan untuk model tahun 2024 – kuasa naik 13%, kelengkapan ditambah

    Triumph Tiger 900 terima peningkatan untuk model tahun 2024 – kuasa naik 13%, kelengkapan ditambah

    Triumph memberikan peningkatan kepada model jelajah Tiger 900 tahun 2024, dengan kini disediakan dalam tiga versi iaitu Tiger 900 GT, GT Pro dan Rally Pro. Prestasi, kemampuan serta keselesaan model ini ditambah baik bagi memberikan lebih kepuasan kepada penunggang.

    Paling utama adalah enjin tiga silinder 888 cc padanya menerima peningkatan kuasa sehingga 13%, menjadikan keseluruhannya 108 PS pada 9,500 rpm dan tork 95 Nm pada 6,850 rpm. Walaupun dengan kuasa yang lebih tinggi ini, penggunaan bahan api dapat dijadikan lebih baik sembilan peratus.

    Bagi menjadikan motosikal ini lebih selamat atas jalan, ia telah ditambah dengan lampu amaran kecemasan, yang boleh menyala secara automatik apabila membrek dengan kuat dan padam apabila kembali bergerak. Selain daripada itu, lampu DRL Tiger 900 2024 ini juga menerima rekaan pencahayaan baru.

    Untuk keselesaan penunggang dan juga penumpang semasa perjalanan jarak jauh, tempat duduk Tiger 900 2024 telah direka semula manakala pemegang kini menerima sistem baru dengan penyerap. Setiap model mempunyai tempat duduk standard yang boleh dilaras sebanyak 20 mm sementara bagi pemegang, unit pada Rally Pro telah ditarik 15 mm ke belakang.

    Tidak ketinggalan adalah panel meter, yang menerima unit TFT tujuh inci baru bersama My Triumph Connectivity System yang diberikan secara standard untuk semua versi Tiger 900. Melalui sistem ini, pengguna boleh menyambungkan motosikal kepada telefon bimbit untuk memberikan fungsi notifikasi serta kawalan muzik, panggilan serta navigasi.

    Melengkapkan naik taraf bagi model tahun 2024 adalah di bahagian penampilan, dengan panel badan serta rekaannya dijadikan lebih kemas dan bersepadu, sambil mengekalkan rupa agresif serta kedudukan yang lebih kepada jenis jelajah/kembara.

    Triumph Tiger 900 terima peningkatan untuk model tahun 2024 – kuasa naik 13%, kelengkapan ditambah

    Untuk pengetahuan, Tiger 900 GT dan 900 GT Pro adalah versi yang lebih kepada penggunaan atas jalan biasa, didatangkan dengan rim aluminium 17 inci depan dan belakang bagi GT dan 19 inci di hadapan, 17 inci di belakang bagi GT Pro.

    Jarak gerak suspensi Marzocchi pada kedua-dua versi ini adalah sama, iaitu 180 mm di hadapan, dan 170 mm di belakang, tetapi GT Pro mendapat fork 45 mm USD boleh laras sepenuhnya serta monoshock dengan pelarasan pra beban elektronik dan lantunan. Tinggi tempat duduk GT dan GT Pro adalah antara 820 ke 840 mm manakala beratnya pula adalah 222 kg.

    Pergi kepada Tiger 900 Rally Pro yang lebih berkemampuan untuk meredah jalan lasak, ia didatangkan dengan rim spoekd 21 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, sementara suspesi dinaik taraf dengan unit Showa boleh laras sepenuhnya di hadapan dan belakang, menghasilkan jarak gerak masing-masing 240 mm dan 230 mm. Tinggi tempat duduk Rally Pro adalah antara 860 ke 880 mm dan mencatat berat 228 kg.

    Kelengkapan lain yang tersedia pada Tiger 900 adalah termasuk transmisi enam kelajuan dengan klac assist & slip, empat mod tunggangan pada GT (tambahan mod Rider pada GT Pro dan Off-Road Pro pada Rally Pro), angkup brek Brembo Stylema berkembar di hadapan, Cornering ABS, Cornering Traction Control, cruiser control serta penghadang angin boleh laras.

    GALERI: Triumph Tiger 900 GT/GT Pro 2024

    GALERI: Triumph Tiger 900 Rally Pro 2024

     
     
  • Yamaha MT-09 2024 terima pelbagai peningkatan

    Yamaha MT-09 2024  terima pelbagai peningkatan

    Sepuluh tahun selepas MT-09 diperkenalkan buat kali pertama kepada dunia dan melalui beberapa kali peningkatan, Yamaha kini mendedahkan model tahun 2024, yang dipanggil sebuah sebuah model generasi baru. Banyak peningkatan dibuat, tetapi asas casis dan enjinnya masih lagi sama.

    Bermula dengan penampilan, rekaan semua panel badan pada MT-09 2024 ini adalah baru, termasuklah lampu hadapan LED yang kini lebih kompak dan kembali menggunakan DRL melintang di bawah. Tangki bahan api masih lagi berkapasiti 14 liter, tetapi bentuknya diubah sedikit.

    Sebagai sebuah motosikal yang dibuat untuk menjadi lincah dan stabil, ergonomik memainkan peranan penting dan ia telah diperhalusi pada model baru ini dengan melibatkan perubahan pada kedudukan pemegang (lebih rendah) serta tempat letak kaki. Tempat duduk leper pada MT-09 sebelum ini sekarang sudah diganti dengan unit berasingan antara penunggang dan penumpang. Tingginya sekarang adalah 825 mm.

    Panel meter TFT pada MT-09 2024 dinaik taraf dengan unit lima inci baru, yang mempunyai lima tema paparan dan boleh disambungkan kepada aplikasi MyRide di telefon bimbit untuk paparan fungsi notifikasi, panggilan, muzik dan navigasi.

    Tiga mod tunggangan yang disediakan sebelum ini iaitu Sport, Street dan Rain masih ada, tetapi sekarang ia ditambah dengan dua lagi mod yang tahap kuasa serta campur tangan elektroniknya boleh ditetapkan sendiri oleh penunggang. Kawalan untuk semua fungsi pada motosikal dan skrin boleh dibuat melalui butang baru di sebelah kiri pemegang.

    Sejak 2021, MT-09 sudah dilengkapi unit pengukur inertia (IMU) 6-axis, yang memberikan input kepada sistem Traction Control (tiga mod), Slide Control System (SCS), Front Wheel Lift Control System (LIF) dan Brake Control System (BC).

    Yamaha MT-09 2024  terima pelbagai peningkatan

    Kini, ia dipertingkat lagi Back Slip Regulator, yang boleh membantu stabiliti motosikal apabila roda belakang terkunci semasa brek dengan kuat. Selain daripada itu, lampu penunjuk arah MT-09 2024 juga sudah boleh tutup sendiri manakala apabila membrek kuat, Emergency Stop Signal (ESS) akan menyala.

    Bahagian lain masih sama seperti MT-09 yang menerima perubahan besar pada tahun 2020 dan diperkenalkan di negara kita pada tahun 2021, bermula dengan bahagian enjin iaitu unit CP3 tiga silinder 889 cc, bersama kotak gear enam kelajuan dengan klac A&S dan quickshifter, menghasilkan kuasa 119 hp pada 10,000 rpm dan tork 93 Nm pada 7,000 rpm.

    Suspensi MT-09 2024 masih lagi menggunakan fork USD 41 mm serta monoshock yang boleh dilaras, manakala brek menggunakan pam utama radial Brembo untuk menghantar tekanan minyak kepada set berkembar angkup empat piston dan cakera 298 mm di hadapan. Di belakang menggunakan cakera 245 mm dan angkup satu piston. Berat keseluruhan MT-09 2024 adalah 193 kg.

     
     
  • Kia Carnival 2023 11-tempat duduk CKD dilancar – RM198,500 sebelum 1 Dis, RM213,888 selepas itu

    Kia Carnival 2023 11-tempat duduk CKD dilancar – RM198,500 sebelum 1 Dis, RM213,888 selepas itu

    Pengedar jenama Kia di Malaysia iaitu Dinamikjaya Motors Sdn Bhd hari ini mengumumkan bahawa versi pemasangan tempatan (CKD) untuk MPV Kia Carnival generasi keempat dalam konfigurasi 11-tempat duduk kini sudahpun dilancarkan untuk pasaran tempatan.

    Dengan ini, tiada lagi unit CBU untuk Kia Carnival bagi pasaran Malaysia dengan kesemua model 7-, 8- dan 11-tempat duduk telah pun diproduksi di kilang Inokom yang terletak di Kulim, Kedah. Bagi model 11-tempat duduk CKD ini, ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran 213,888.00, namun bagi pelanggan yang menempahnya bermula hari ini, 1 November hingga 31 Disember 2023, Dinamikjaya menawarkan harga pengenalan istimewa iaitu RM198,500.

    Sebagai perbandingan, model 11-tempat duduk CBU yang diimport terus dari Korea sebelum ini dijual pada harga RM199,840.80. Walau bagaimanapun model 11-tempat duduk CKD ini masih jauh lebih murah berbanding model 7- dan 8- tempat duduk CKD yang dijual pada harga bermula RM233,528,80 hingga RM261,228.80.

    Kia Carnival 2023 11-tempat duduk CKD dilancar – RM198,500 sebelum 1 Dis, RM213,888 selepas itu

    Menurut Dinamikjaya, spesifikasi untuk Kia Carnival 11-tempat duduk CKD ini masih lagi sama seperti versi CBU sebelum ini. Ia menampilkan konfigurasi tempat duduk yang disusun secara 2-3-3-3, di mana tempat duduk kecil untuk barisan kedua- dan ketiga hanya untuk kegunaan sementara, tetapi masih dilengkapi tali pinggang keledar, boleh dilipatkan untuk memberikan akses laluan di bahagian tengah. Cagak tempat duduk ISOFIX pula hanya diberikan pada dua tempat duduk pada baris kedua.

    Antara kelengkapan yang diberikan adalah termasuk rim aloi 18-inci, lampu hadapan dwi-LED automatik, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus hadapan LED, lampu belakang dan lampu kabus belakang jenis mentol, pengelap cermin untuk cermin belakang dan penderia parkir hadapan dan belakang. Kedua-dua pintu gelangsar belakang dan pintu taligate belakang datang dengan sistem bantuan kuasa serta kunci pintar dengan fungsi buka/tutup satu butang.

    Manakala dalam kabin ia menerima perincian seperti sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, paparan instrumen dengan skrin TFT LCD 4.2-inci, sistem pendingin hawa tiga-zon (dua di hadapan dan satu di belakang), tujuh port USB, pad pengecasan telefon pintar tanpa wayar serta sistem infotainmen skrin sesentuh 12.3-inci dengan Android Auto dan Apple CarPlay.

    Kia Carnival 2023 11-tempat duduk CKD dilancar – RM198,500 sebelum 1 Dis, RM213,888 selepas itu

    Apa yang berbeza upholsteri kulit Tan pada model CBU sebelum ini diganti dengan kulit hitam pada versi CKD, dan sistem anti-pinch pada tingkap cermin pintu gelangsar untuk model pemasangan tempatan ini sudah tiada.

    Unit rangkaian kuasa juga masih sama di mana ia hanya ditawarkan dengan enjin Smartstream D2.2 empat-silinder turbodiesel yang menghasilkan kuasa 202 PS (199 hp) dan tork maksima 440 Nm, digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan bagi memacu hanya roda hadapan.

    Untuk keselamatan pula, ia datang dengan tujuh beg udara, sistem brek ABS, EBD dan BA, ESC, Traction Control, kawalan brek pelbagai-pelanggaran, bantuan mula mendaki, brek parkir elektrik dengan fungsi auto-hold, amaran pelanggaran titik buta dan pengelak pelanggaran trafik lintasan belakang. Masih tiada lagi sistem brek automatik ditawarkan pada versi CKD ini.

    Empat warna badan ditawarkan untuk model ini iaitu Astra Blue, Snow White Pearl, Meteor Gray dan Jet Black. Setiap pembelian diberikan waranti pengeluar selama lima-tahun atau 100,000 km, serta pakej servis percuma juga selama lima tahun/100,000 km.

    Jika anda mahu melihat Kia Carnival 11-tempat duduk CKD ini, ia kini sedang dipamerkan di Bermaz Auto Showcase yang berlangsung di Centre Court, Pavilion Bukit Jalil bermula 1 hingga 5 November 2023, dibuka dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.

     
     
  • MYJalan terima 3,750 aduan berkaitan masalah jalan antara 1 Ogos hingga 30 Okt 2023 – Menteri KKR

    MYJalan terima 3,750 aduan berkaitan masalah jalan antara 1 Ogos hingga 30 Okt 2023 – Menteri KKR

    Kementerian Kerja Raya (KKR) telah menerima sebanyak 3,750 aduan melalui aplikasi MYJalan yang direkodkan sejak 1 Ogos hingga 30 Oktober lalu. Aduan berkenaan berkaitan masalah jalan berlubang, kerosakan papan tanda dan perabot jalan.

    Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, daripada jumlah keseluruhan aduan itu, hanya 26.77% atau 1,004 aduan membabitkan jalan kendalian agensi KKR, manakala baki 73.23% atau 2,749 aduan lagi membabitkan jalan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

    “Daripada 1,004 aduan membabitkan jalan seliaan agensi KKR, 789 aduan diselesaikan, manakala baki 215 aduan masih dalam proses tindakan,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2024 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat semalam.

    MYJalan terima 3,750 aduan berkaitan masalah jalan antara 1 Ogos hingga 30 Okt 2023 – Menteri KKR

    Dalam masa yang sama, tambahnya, KKR akan terus mempergiatkan kempen MYJalan yang dibangunkan berteraskan prinsip “No Wrong Door Policy” dan “Action Speaks Louder Than Words”.

    Untuk hal lain, beliau turut berkata, KKR akan melaksanakan pemasangan Smart Traffic Light yang dilengkapi dengan kamera pintar di persimpangan jalan terpilih di seluruh negara terutamanya kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai.

     
     
  • Produksi Proton S70 bermula, tempahan dibuka – 1.5L Turbo, transmisi 7DCT, sedan segmen-C ganti Preve

    Produksi Proton S70 bermula, tempahan dibuka – 1.5L Turbo, transmisi 7DCT, sedan segmen-C ganti Preve

    Ini dia berita rasmi pertama dari Proton untuk sedan baharunya sudah tiba – Proton hari ini mengesahkan model berkenaan diberi nama sebagai Proton S70 iaitu sedan segmen-C untuk berhadapan dengan Honda Civic dan Toyota Corolla Altis, dan tempahannya sudah mula dibuka!

    Produksi S70 di kilang Tanjung Malim kini juga sudah bermula dengan upacara perasmian barisan produksi sudahpun di disempurnakan oleh Setiausaha Agung Kementerian Pelaburan, Perdagangan, dan Perindustrian (MITI), Dato’ Hairil Yahri Yaacob.

    Menurut Proton, S70 akan dijual dengan tagline “Intelligence that Evolves”, dan pelanggan yang berminat sudah boleh ke bilik-bilik pameran Proton di seluruh negara untuk menempahnya dengan bayaran deposit RM500. Walau bagaimanapun senarai varian yang ditawarkan dan juga harga masih belum diumumkan.

    Apa yang pasti, Proton telah mengesahkan bahawa S70 dijana oleh enjin 1.5 liter turbo dan digandingkan bersama kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan 7DCT, serta pelbagai sistem bantuan pemanduan.

    Kemaskini:
    Kami sudahpun menerima maklumat berkenaan varian-varian untuk S70 ini, dan anda boleh bacanya pada PAUTAN INI.

    Produksi Proton S70 bermula, tempahan dibuka – 1.5L Turbo, transmisi 7DCT, sedan segmen-C ganti Preve

    “Kami mempunyai harapan tinggi bahawa ia akan menjadi popular di kalangan peminat Proton sedia ada dan yang baru, serta membantu kami kembali ke puncak segmen pasaran yang sebelum ini dipimpin oleh model seperti Proton Wira, Waja, dan Prevé,” kata CEO Proton, Dr. Li Chunrong.

    Model ini dijangka akan dilancarkan pada bulan ini, dan sebelum ia pelancaran rasminya Proton akan mengadakan sesi pra-tonton di beberapa ibu negeri utama di Malaysia bermula dari 11 November 2023 bagi membolehkan pelanggan yang berminat melihatnya secara lebih dekat.

    Proton S70 ini merupakan model keempat yang dihasilkan oleh Proton bersama Geely selepas X70, X50 dan X90. Seperti diketahui, ia diasaskan dari Geely Emgrand yang sudahpun dijual dipasaran China dan Filipina, dan menerusi perincian yang disahkan oleh Proton hari ini, S70 nampak memang dihasilkan dengan spesifikasi lebih tinggi dari Emgrand.

    Ini kerana Emgrand hanya menerima enjin 1.5 liter NA dan juga kotak gear CVT, berbanding S70 yang menerima enjin turbo dan transmisi DCT. Emgrand juga tidak diberikan sebarang sistem bantuan pemanduan termaju. Namun Proton masih belum mengesahkan enjin 1.5 Turbo berkenaan dari versi T-GDi atau PFI.

    Produksi Proton S70 bermula, tempahan dibuka – 1.5L Turbo, transmisi 7DCT, sedan segmen-C ganti Preve

    Pada X50, enjin 1.5 tiga-silinder turbo dengan sistem T-GDi yang diberikan pada varian Flagship menghasilkan kuasa 177 PS dan tork maksima 255 Nm, manakala enjin 1.5 Turbo PFI bagi varian Premium dan ke bawah menghasilkan 150 PS dan tork maksima 226 Nm.

    S70 diasaskan dari platform B-segment Modular Architecture (BMA) yang sama seperti X50. Berdasarkan spesifikasi Emgrand, dimensi S70 ini adalah 4,638 mm panjang, 1,820 mm lebar, 1,460 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,650 mm. Jika dibandingkan dengan Honda Civic FE, S70 hanya 40 mm lebih pendek, dan ia adalah 18 mm lebih lebar. Manakala jarak rodanya pula adalah sama sepenuhnya dengan sedan segmen-C Proton sebelum ini iaitu Proton Preve.

    Menerusi imej rasmi yang disiarkan, S70 ini nampaknya menerima gril hadapan dengan elemen rekaan kain songket seperti X90, dan diberikan perincian seperti paparan instrumen digital, bumbung suria dan sebagainya. Setakat ini apa pendapat anda berkenaan Proton S70 ini? Kongsikannya bersama kami pada ruang komen di bawah atau pada media-media sosial kami.

    GALERI: Pilihan warna Proton S70 2023

     
     
  • JPJ eBid: ANG dan VLP akan dibuka untuk bidaan

    Bagi yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri nombor pendaftaran terkini Perak, ANG, akan dibuka bidaan mulai esok, 2 November 2023 dan ia berlangsung selama lima hari iaitu sehingga jam 10 malam pada 6 November. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 7 November 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari WP Kuala Lumpur pula, VLP, bidaannya akan dibuka pada 3 November. Ia berlangsung selama lima hari dan akan berakhir jam 10 malam pada 7 November. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 8 November 2023 ini.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Geely Manufacturing Base Xi’an — teknologi IR 4.0, tempat lahir smart #1, smart #3 termasuk untuk M’sia

    Geely Manufacturing Base Xi’an — teknologi IR 4.0, tempat lahir smart #1, smart #3 termasuk untuk M’sia

    Ketika Zhejiang Geely Holding Group (Geely) mengambil alih 50% pegangan dan kepentingan dari Daimler untuk menghidupkan serta merancakkan semula jenama smart pada 2019, ia menandakan era baru bagi smart yang sama sekali berbeza daripada apa yang pernah ditempuhi sebelumnya.

    Sebelum itu, smart sangat dikenali sebagai sebuah jenama pengeluar berasal dari Jerman, yang sinonim dengan penghasilan kereta kompak urban dengan rekaan unik hasil kerjasama antara pereka dan pengeluar jam Swatch dan Mercedes-Benz (Daimler-Benz AG sebetulnya, sebagai syarikat pengeluar kenderaan jenama Jerman itu).

    Untuk memahami DNA awal penghasilan kenderaan smart ini, ia ditanamkan dengan sangat jelas pada nama tersebut: Swatch-Mercedes-Benz-Art. Tidak kisah kalau pun nama atau makna singkatan ini hanyalah sebuah mitos yang diada-adakan kemudiannya, ia merangkum dengan cermat falsafah yang mendasari produknya untuk sekian lama. Benih inilah yang telah menjadi arah tuju dalam menghasilkan rekaan kenderaan unik yang niche tersebut, seperti yang sempat dikeluarkan dan menjadikannya terkenal sejak tahun 1998.

    Geely Manufacturing Base Xi’an — teknologi IR 4.0, tempat lahir smart #1, smart #3 termasuk untuk M’sia

    Kata “seni” agaknya menjadi perkara yang menuntut perhatian khusus terhadap model-model smart ketika itu: siapa yang boleh melupakan rekaan model smart ForTwo atau ForFour, misalnya? Rekaan smart sejak dulu membawa sekali aspirasi premium dalam pakej yang kecil, dengan rekaan ikonik dan sangat khusus. Tetapi, semua itu adalah sejarah. Masuknya Geely ke dalam bingkai peristiwa berkaitan smart sejak empat tahun lalu itu pula sedang menuliskan sejarahnya yang baru.

    Hasil daripada kerjasama tersebut tentunya membuka lembaran baru untuk smart. Pertama, smart selepas ini hanya akan hadir sebagai kenderaan elektrik sahaja. Dan dari situ, pembahagian peranan yang selalu dicanangkan adalah dengan Daimler dari Jerman akan bertanggungjawab terhadap aspek reka bentuk luaran dan dalam model terbaru smart, manakala Geely pula akan bertanggungjawab terhadap teknologi EV dan pengeluaran model-model akan datang. Dan, tiada lagi rekaan-rekaan comel yang radikal seperti dulu.

    Susulan daripada perjanjian tersebut, Geely memberi komitmen untuk membuka sebuah kilang pengeluaran baru khusus untuk teknologi kenderaan generasi baru smart EV. Dan, sejak 20 Julai 2021, kemudahan yang dikenali sebagai Pusat Pengeluaran Geely (Geely Manufacturing Base) yang terletak di Xi’an, China mula beroperasi. Hujung September lalu kami berpeluang berkunjung ke kilang berkenaan untuk memahami kemampuan pengeluaran kenderaan smart di sana.

    Geely Manufacturing Base Xi’an — teknologi IR 4.0, tempat lahir smart #1, smart #3 termasuk untuk M’sia

    Berdiri di atas kawasan seluas 2,260 ekar dengan melibatkan pelaburan sebanyak RMB 7.8 bilion, kilang Geely di Xi’an ini menempatkan teknologi revolusi industri 4.0 yang canggih dan memuatkan empat bengkel utama — tempaan (stamping), kimpalan, mengecat dan juga pemasangan — dengan sebahagian besar daripadanya dikendalikan secara automatik oleh robot. Kilang ini menjadi projek terbesar Geely, baik bagi keluasan kawasan dan juga pelaburan keseluruhannya, serta kelengkapan teknologi yang paling canggih, setakat ini.

    Dalam kapasiti maksimumnya, kilang ini mempunyai kemampuan pengeluaran 60 unit sejam, dengan purata pengeluaran sebuah kereta dalam seminit, atau 1,000 unit sehari untuk jumlah maksimum operasinya. Kapasiti pengeluaran maksimumnya dalam setahun adalah sebanyak 300,000 unit.

    Ia juga mampu mengendalikan pemasangan bagi tiga platform kenderaan yang berbeza dalam satu masa, dengan enam bahagian atas kenderaan yang berlainan. Ketika kunjungan kami, kilang berkenaan sedang menjalankan pemasangan bagi tiga model semasa, iaitu smart #1, smart #3 dan juga Geely Xingyue, yang menjadi model pertama yang dipasang sejak memulakan operasi pada 2021 — semuanya berjalan serentak dalam masa yang sama.

    Geely Manufacturing Base Xi’an — teknologi IR 4.0, tempat lahir smart #1, smart #3 termasuk untuk M’sia

    Satu lagi kecanggihan di kilang berkenaan adalah kendalian automatik bagi sebahagian besar operasinya. Terdapat sejumlah 800 robot yang membantu di dalam kilang tersebut, misalnya bagi kerja-kerja menyusun dan memindahkan bahagian kenderaan, terutama bahagian-bahagian bersaiz kecil. Menariknya, dalam keadaan gelap pun sistem robotik yang ada ini masih boleh berfungsi. Bahagian tempaan pula dijalankan secara automatik sepenuhnya. Disebabkan operasi pengilangan automatik ini jugalah tenaga kerja manusia yang boleh dilihat sewaktu operasi di kilang tersebut hanya sedikit.

    Antara faktor utama yang akan mempengaruhi tempoh pengeluaran sesebuah kereta pula adalah kemampuan kemudahan mengecat badan kenderaan. Bayangkan situasi ini: pelanggan menempah warna badan kenderaan yang berbeza-beza, serta dalam corak pasaran kebelakangan ini, ada pula penawaran yang melibatkan pilihan dua tona warna, yang berbeza antara bahagian bumbung dan badan kereta. Semua ini akan memberi kesan kepada tempoh pengeluaran, dan selalu melibatkan kos tambahan yang tinggi.

    Adakah kilang Geely di Xi’an ini mempunyai penyelesaian untuk mengatasi masalah tersebut? Jawapannya, ya. Kemudahan ini terdiri daripada sistem dengan 12 saluran mengecat, yang mana lima daripadanya adalah saluran ‘penukaran pantas’. Lima saluran khas ini membolehkan penukaran warna dengan pantas dan fleksibel untuk kumpulan pengeluaran dalam jumlah yang lebih kecil.

    Geely Manufacturing Base Xi’an — teknologi IR 4.0, tempat lahir smart #1, smart #3 termasuk untuk M’sia

    Ini membolehkannya melayani permintaan untuk pilihan warna khusus — misalnya dua tona warna dengan bumbung hitam yang warna badannya berbeza — dengan lebih cepat tanpa mengganggu proses pengeluaran sedia ada. Sistem ini menurut Geely merupakan satu pendekatan yang sangat penting dan mampu membantu mereka untuk memendekkan tempoh pengeluaran bagi bahagian yang melibatkan kerja-kerja mengecat.

    Selain itu, kilang ini juga memiliki litar ujian sendiri. Dengan jarak keseluruhan 3.2 km (yang terpanjang di China), ia melibatkan 10 kemudahan ujian berbeza yang dijalankan secara dalaman oleh Geely untuk setiap model kenderaan yang dikeluarkan dari situ. Antarnya ialah litar untuk pecutan 120 km/j dengan laluan lurus sejauh 1.2 km, ujian kedalaman air serta simulasi untuk hujan lebat dengan tekanan air 0.5 bar secara berterusan selama enam minit. Semua ini ada tersedia sebagai kemudahan ujian dalaman.

    Lebih penting lagi, kilang Geely di Xi’an ini juga diiktiraf sebagai “Zero Carbon Factory”, yang bermaksud keseluruhan operasi pengeluarannya adalah menggunakan kaedah mesra alam untuk mencapai neutraliti karbon. Sebagai tambahan, kilang ini mempunyai kawasan hijau dengan keluasan 296,550 meter persegi. Ia juga dilengkapi dengan sistem janaan kuasa super photovoltaic dengan kapasiti 51-megawatt, yang menjana dan menghasilkan sebanyak 53.76 juta kWh elektrik setahun.

    Geely Manufacturing Base Xi’an — teknologi IR 4.0, tempat lahir smart #1, smart #3 termasuk untuk M’sia

    Kesan daripada semua ini adalah pengurangan emisi yang setara dengan penanaman semula 3,196 hektar hutan setiap tahun. Dalam masa mendatang, 55% kuasa elektrik yang dihasilkan oleh kilang ini juga akan dibekalkan semua kepada bekalan kuasa tempatan untuk dimanfaatkan oleh kawasan sekitar. Selain itu, sisa air industri dari kilang akan menjalani tiga tingkat perawatan, dengan kadar penggunaan semula air dari sisa berkenaan mencapai 44%.

    smart #1 yang bakal dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia juga datang dari kilang Geely di Xi’an ini. Begitu juga dengan smart #3, yang dijangka turut akan diperkenalkan untuk pasaran tempatan nanti.

    Walaupun pemasangan dan teknologi EV dikendalikan oleh Geely, semua kualiti dan standard pengeluaran dipastikan untuk berada setaraf dengan apa yang dipraktikkan oleh Mercedes-Benz sebagai jenama kenderaan premium, pasaran di mana smart akan ditempatkan, termasuk dalam pasaran Malaysia.

     
     
  • Hyundai Tucson 2023 dilihat di Malaysia – enjin 1.6L turbo 177 hp/264 Nm untuk pasaran tempatan?

    Hyundai Tucson 2023 dilihat di Malaysia – enjin 1.6L turbo 177 hp/264 Nm untuk pasaran tempatan?

    Hyundai Tucson generasi ke-empat sudahpun lama berada di pasaran antarabangsa, didedahkan buat kali pertama pada September 2020. April tahun lalu kelibat pertama SUV segmen-C itu dilihat berada di Malaysia, namun tiada apa-apa berita dari Hyundai Malaysia yang kami terima berkenaan bila model ini akan dilancarkan.

    Hari ini kami menerima satu lagi set gambar Hyundai Tucson yang berlegar di atas jalan raya Malaysia menggunakan trade plate yang sempat dirakam oleh pembaca paultan.org Jackson Lim ketika unit berkenaan berhenti di sebuah stesen minyak.

    Jika sebelum ini dapat dilihat model yang tiba di Malaysia ini adalah dari versi jarak roda panjang seperti model pasaran Amerika Syarikat, gambar yang diterima kali ini mendedahkan satu lagi maklumat penting iaitu lencana 1.6T yang dilekat pada pintu tailgate belakang.

    Hyundai Tucson 2023 dilihat di Malaysia – enjin 1.6L turbo 177 hp/264 Nm untuk pasaran tempatan?

    Di Amerika Syarikat Tucson ditawarkan dalam tiga jenis unit rangkaian kuasa iaitu enjin Smartstream 2.5 liter NA berkuasa 187 hp/241 Nm, dan juga versi dengan sistem hibrid elektrik (HEV) dan plug-in hybrid (PHEV) di mana kedua-duanya menerima enjin petrol 1.6 liter turbo 177 hp/264 Nm dan kotak gear enam-kelajuan automatik.

    Walau bagaimanapun model pasaran Malaysia ini mungkin hanya akan dijana enjin 1.6 liter turbo tanpa sebarang sistem bantuan elektrifikasi. Jadi ia boleh bertanding terus dengan model-model SUV segmen-C arus perdana di sini seperti Honda CR-V dan juga Proton X70 yang menerima enjin 1.5 liter turbo.

    Apa pun kita tunggu sahaja informasi rasmi dari Hyundai Malaysia sekiranya model ini benar-benar akan dilancarkan di sini. Apa pendapat anda, adakah lebih baik model ini ditawarkan dalam versi hibrid atau dengan enjin NA 2.5 liter?

    GALERI: Hyundai Tucson 2022 jarak roda panjang pasaran Amerika Syarikat

     
     
  • Cadangan lesen motosikal B2 dinaiktaraf ke kelas B secara automatik dimuktamadkan akhir tahun ini – JPJ

    Cadangan lesen motosikal B2 dinaiktaraf ke kelas B secara automatik dimuktamadkan akhir tahun ini – JPJ

    Cadangan untuk menggabungkan lesen memandu motosikal bagi kelas B2 kepada B secara automatik akan dimuktamadkan akhir tahun ini. Perkara ini disahkan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Aedy Fadly Ramli yang berkata buat masa ini kajian tersebut berada di peringkat akhir penelitian oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) bersama pihaknya.

    Pelaksanaan cadangan tersebut dijangka akan dibentangkan kepada Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selewat-lewatnya hujung tahun ini, sebelum pengumuman dilakukan, laporan oleh Bernama .

    “Cadangan berkenaan melibatkan dasar dan JPJ menunggu keputusan daripada MOT sebelum ia dibentang untuk dilaksanakan. Setakat ini kementerian belum umumkan apa-apa keputusan, tapi insya-Allah saya rasa tak ada masalah, mungkin dalam tahun ini kita akan umumkan,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau berkata, sebarang keputusan berhubung penggabungan lesen berkenaan tidak perlu dibawa ke Dewan Rakyat untuk diluluskan.

    Pada Ogos lalu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata pihaknya akan membawa cadangan untuk menaik taraf lesen memandu motosikal bagi kelas B2 kepada B secara automatik ke Kementerian Pengangkutan untuk penelitian. Beliau berpendapat tidak ada masalah berhubung cadangan itu kerana penunggang motosikal yang mempunyai lesen B2 memang memiliki pengalaman menunggang kenderaan berkenaan.

     
     
  • 26 pengusaha stesen minyak Petron sertai program GTSP 2022 terima surat penghargaan dari PDRM

    26 pengusaha stesen minyak Petron sertai program GTSP 2022 terima surat penghargaan dari PDRM

    Seramai 26 pengusaha stesen minyak Petron telah menerima surat penghargaan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di atas sumbangan mereka di dalam menjayakan program Go-To-Safety-Point (GTSP) pada tahun 2022.

    Sebagai syarikat minyak pertama yang bekerjasama dengan PDRM untuk melaksanakan GTSP, Petron kini sudah mempunyai lebih 760 stesen minyak yang berfungsi sebagai lokasi selamat untuk memberi bantuan kecemasan awal.

    Program GTSP merupakan inisiatif kerajaan yang diterajui oleh PDRM di bawah program “United Against Crime” yang bertujuan untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat secara amnya. Pada tahun 2022, stesen minyak Petron melaporkan sebanyak 36 insiden GTSP, termasuk keganasan rumahtangga, kemalangan jalan raya, kehilangan kesedaran dan beberapa insiden lain yang seumpama dengannya.

    Ketua Perniagaan Runcit Petron, Puan Shaliza Mohd Sidek berkata, “Syarikat Petron adalah rakan kolaborasi yang lama bekerjasama dengan PDRM dalam program GTSP. Tahun ini menandakan ulang tahun ke-10 kami bersama PDRM dalam pelaksanaan program ini.

    “Kami bukan sekadar berazam untuk melindungi keselamatan komuniti setempat, tetapi kami juga mahu pelanggan kami berasa selamat apabila mereka singgah di stesen minyak Petron. Dengan latihan berkala yang konsisten, semua kakitangan di stesen minyak adalah terlatih dan mampu menawarkan bantuan awal kepada pelanggan semasa keadaan kecemasan.”

    Kempen GTSP Petron menunjukkan komitmen teras syarikat terhadap keselamatan masyarakat awam di bawah tonggak kelestarian sosial. Semua stesen minyak Petron mempunyai pelekat tingkap GTSP untuk pengenalpastian lokasi GTSP serta sudut ‘de-stress’ untuk pelanggan berehat/bertenang sementara menunggu ketibaaan pihak berkuasa yang berkenaan. Sudut ‘de- stress’ ini dilengkapi dengan kemudahan penting seperti peti pertolongan cemas, kerusi, dan selimut.

    “Saya kagum dengan komitmen teguh Petron terhadap inisiatif GTSP ini. Dedikasi mereka yang berterusan untuk mempromosikan keselamatan awam terbukti melalui pemasangan paparan struktur seni unik bersertakan mesej GTSP, dan hanya pada tahun lepas, mereka melancarkan 10 reka bentuk mural menggunakan peribahasa Melayu untuk menggalakkan kesedaran keselamatan jalan raya,” kata Dato’ Azman Ayob, Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Pencegahan Jenayah Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman pada majlis pengiktirafan GTSP Petron semalam.

     
     
  • myTukar rai sambutan ulang tahun keenam dengan trilogi filem pendek ala K-Drama dan filem seram Thai

    myTukar rai sambutan ulang tahun keenam dengan trilogi filem pendek ala K-Drama dan filem seram Thai

    Tahun ini myTukar menyambut ulang tahunnya yang keenam. Untuk itu, syarikat tersebut menerbitkan tiga video iklan bersiri yang menampilkan keselesaan dan kualiti kenderaan myTukar Certified, melalui sentuhan drama tv popular.

    Semua iklan berkenaan meminjam ciri dan gaya yang sinonim dengan filem Asian, dari drama keluarga Korea yang kemudiannya beralih pula kepada genre seram Thai yang mendebarkan. Sebagai penutup trilogi itu, selera gaya Hong Kong yang melibatkan kisah tiga segi pula dihamparkan.

    Tiga iklan pendek untuk platform digital itu semuanya dirakan di Malaysia, melibatkan pasukan produksi dari Singapura dan Malaysia, serta campuran barisan pelakon dari Thailand dan Korea Selatan. “Dengan mengambil selera khalayak peminat drama, kami selindungkan iklan kami sebagai genre filem dan semuanya bersifat advertorial. Untuk kereta terpakai yang memudahkan pemilikan oleh pelanggan (dan bebas drama!) serta slogan ‘As Good As New’, myTukar adalah pilihan pertama,” ujar Ketua Pemasaran Serantau Carro, Katherine Teo.

    Iklan pendek berkenaan adalah untuk meraikan pencapaian myTukar, yang sudah berkembang daripada sebuah lot rumah kedai ketika dimulakan pada 2017 dahulu dan kini menjadi rangkaian dengan lebih 2,600 pengedar berdaftar, 10 pusat jualan, 23 pusat pemeriksaan, lima bengkel dan dua pusat baik pulih kenderaan. Pada 2022, syarikat tersebut mencapai pertumbuhan pendapatan yang mengagumkan sebanyak 85%, serta pertumbuhan 215% bagi sektor runcit dan jualannnya.

    Sementara itu, syarikat induknya, Carro pula menyambut ulang tahun kelapan pada Oktober tahun ini. Ditubuhkan pada 2015, Carro tumbuh daripada sebuah syarikat pemula di Singapura dan kini menjadi pasar dalam talian bagi kereta terpakai yang paling menguntungkan di Asia Tenggara, dengan rekod positif EBITDA sebanyak USD4 juta bagi tahun kewangan 2023. Syarikat itu terlibat di dalam pelbagai sektor perniagaan, termasuk insurans, pinjaman dan lepas jualan di seluruh rantau Asia Pasifik.

    Sebagai meraikan ulang tahun ini, Carro dan myTukar menawarkan promosi berganda untuk pelanggan di seluruh rantau ini, terutama di Singapura, Malaysia, Indonesia dan Thailand. Di Malaysia, myTukar menawarkan enam iPhone 15 terkini (128 GB) bernilai RM4,999 setiap satu kepada enam pelanggan. Apa yang perlu dilakukan ialah membeli kereta myTukar Certified untuk layak memenangi cabutan bertuah. Tawaran ini sah untuk tempoh terhad sehingga 30 November 2023 (tertakluk kepada terma dan syarat).

    Untuk menonton iklan digital ini, layari saluran Youtube myTukar atau laman Instagram.

     
     
  • Produksi Mazda CX-8 di Jepun tamat pada Disember 2023 – model CKD Malaysia diteruskan hingga 2026

    Produksi Mazda CX-8 di Jepun tamat pada Disember 2023 – model CKD Malaysia diteruskan hingga 2026

    Mazda telah mengumumkan bahawa produksi untuk SUV CX-8 di Jepun akan ditamatkan pada Disember 2023, selepas hampir enam tahun ia membuat kemunculan sulung global pada September 2017. Pengumuman ini dibuat sehari selepas Mazda Australia membuat kenyataan bahawa pasaran berkenaan tidak lagi akan menerima CX-8 menjelang akhir tahun ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan itu, produksi CX-8 ini dihentikan sebagai salah satu strategi baharu Mazda Australia bagi memperkenalkan model-model baharu dengan teknologi elektrifikasi bermula sekarang hingga 2025. Kenderaan-kenderaan yang dimaksudkan itu termasuk yang menggunakan teknologi hibrid elektrik (HEV), plug-in hybrid (PHEV) dan juga elektrik sepenuhnya menggunakan bateri (BEV).

    Walau bagaimanapun, model MX-30 EV turut termasuk dalam senarai model yang akan digugurkan pada pasaran Australia, stok-stok akhir CX-8 dan MX-30 masih akan dijual di negara berkenaan pada suku pertama 2024.

    Produksi Mazda CX-8 di Jepun tamat pada Disember 2023 – model CKD Malaysia diteruskan hingga 2026

    Manakala di Jepun, produksi CX-8 ini dihentikan berkemungkinan besar adalah bagi memberikan laluan kepada model dengan platform pacuan roda belakang baharu Mazda CX-80, iaitu model yang termasuk dalam kumpulan Large Product terbaharu Mazda seperti CX-60 dan CX-90 yang telah pun diperkenalkan.

    Namun pemberhentian produksi CX-8 di Jepun ini tidak akan menjejaskan pasaran Malaysia kerana SUV tiga-baris tempat duduk itu terus diproduksi secara pemasangan tempatan (CKD) di Kulim, Kedah sejak ia dilancarkan pada akhir 2019. Kami sudah pun mendapatkan pengesahan dari pengedar rasmi Mazda di Malaysia iaitu Bermaz Motor yang menyatakan produksi CX-8 di sini akan diteruskan sehingga 2026.

    Mazda CX-8 CKD ini ditawarkan dalam lima varian di Malaysia (tiga varian dengan enjin petrol NA, satu dengan enjin petrol turbo dan satu turbodisesel), dengan harga atas jalan tanpa insuran bermula RM185,360.40 hingga RM221,360.40.