Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Petron rai ulang tahun ke-10 di Malaysia – pelanggan dipelawa untuk menyertai sambutan TENtu Happy

    Petron rai ulang tahun ke-10 di Malaysia – pelanggan dipelawa untuk menyertai sambutan TENtu Happy

    Pada 2 April 2022, Petron Malaysia, antara syarikat minyak terbesar negara menyambut ulang tahun syarikat yang ke-10, menandakan sedekad ia telah membekalkan bahan api dan minyak pelincir kenderaan yang berkualiti untuk para pelanggan dini.

    Untuk sedikit trivia, Petron MRR2 Selayang (berhampiran Taman Metropolitan Kepong) merupakan stesen minyak pertama yang dibuka oleh Petron Malaysia pada 2014. Sejak dari itu, hampir 200 stesen minyak telah dibuka – dengan setiap stesen menepati janji Petron Malaysia untuk ‘Fuel Happy’.

    “Kami merekodkan satu kejayaan dengan meraikan ulangtahun ke- 10 kami. Bermula dengan sederhana, kini kami berbangga dengan prestasi Petron Malaysia sebagai salah satu syarikat minyak terkemuka negara.

    “Sejak hari pertama, Petron Malaysia kekal komited dalam mengambil peluang baharu, bercita-cita ke arah kecemerlangan dan berjaya menempuhi cabaran-cabaran terkini bersama-sama. Kami amat berterima kasih kepada pelanggan kami, pekerja, rakan kongsi dan pihak berkepentingan lain yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan yang luar biasa ini,” kata Ramon S. Ang, Pengerusi Petron Malaysia.

    Petron rai ulang tahun ke-10 di Malaysia – pelanggan dipelawa untuk menyertai sambutan TENtu Happy

    Dalam tempoh sepuluh tahun ini, Petron Malaysia telah mengukuhkan komitmennya dalam menyediakan produk dan perkhidmatan yang konsisten serta berkualiti kepada pelanggannya. Antara yang ditawarkan oleh syarikat ini termasuklah bahan api petrol Blaze, yang mematuhi piawaian standard Euro4M, termasuk Blaze 100 yang menggantikan Blaze 97, yang dirumuskan dengan Tri-Activ, sebuah formula mempunyai tiga aksi yang memberikan kuasa, perlindungan enjin dan kilometer lebih baik. Sementara itu, bagi pelanggan diesel, Petron menawarkan Turbo Diesel dan Diesel Max, kedua-duanya juga menepati piawaian standard Euro 5.

    Selain daripada bahan api, Petron juga mempunyai barisan minyak pelincirnya sendiri (Blaze Racing, Rev-X, Rider dan banyak lagi) yang dikhaskan untuk kereta penumpang, motosikal dan juga kenderaan komersil. Bukan itu sahaja,Petron Malaysia juga mempunyai dua pelaburan terbesar di Kilang Penapisan Port Dickson pada 2021.

    Unit Diesel Hydrotreater kini menghasilkan diesel dengan kandungan Sulfur yang lebih rendah memenuhi spesifikasi Euro 5, manakala Kemudahan Import Marin 2 memenuhi keperluan kapal yang lebih besar seterusnya mengurangkan kekerapan import. Kedua-dua projek ini menyumbang kepada pengurangan jejak karbon Petron selaras dengan falsafah syarikat ‘Lindungi alam sekitar kita hari ini untuk hari esok yang lebih baik’.

    Malahan Petron juga mempunyai kilang metil ester sawit dengan kemudahan pengeluaran biodiesel untuk memastikan bekalan diesel yang lebih bersih untuk negara tanpa terganggu. Kilang PME Lumut baru-baru ini telah dianugerahkan sebagai Naib Johan dalam Anugerah Tenaga Negara di bawah kategori Tenaga Boleh Diperbaharui – Biofuel.

    “Kami berjaya memperoleh banyak pencapaian yang hebat dalam tempoh sepuluh tahun ini, dan kami berbangga untuk mengetahui bahawa pencapaian ini telah memberi perubahan positif yang berkekalan kepada kehidupan pemegang kepentingan kami. Komitmen kami untuk menyemarakkan kegembiraan dan memperkasakan komuniti akan boleh berkembang dengan lebih kukuh dari sini,” kata Faridah Ali, Pengurus Besar Petron Malaysia.

    Bagi tanggungjawab sosial korporat (CSR), Petron turut bekerjasama dengan pelbagai entiti swasta dan pertubuhan bukan kerajaan seperti MERCY dan Uncle Kentang untuk menggerakkan sumbangan bahan api, LPG dan minyak enjin kepada masyarakat kurang bernasib baik. Ketika negara dilanda banjir besar baru-baru ini, Petron juga berada di barisan hadapan dalam membawa bantuan yang amat diperlukan kepada pihak berkepentingan yang terjejas.

    Sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan dan rakan kongsi, Petron telah melancarkan sambutan TENtu Happy di stesen minyak Petron di seluruh negara bermula 2 April lalu dari jam 10 pagi hingga 2 petang. Hari Penghargaan Pelanggan juga akan diadakan di stesen minyak terpilih untuk sepanjang tahun 2022. Layari Facebook dan Instagram rasmi Petron Malaysia untuk mendapatkan maklumat terkini.

    Disokong oleh 600 tenaga kerjanya yang berdedikasi dan sokongan rakan kongsi serta pihak berkepentingan, Petron Malaysia bersedia untuk berkembang lebih jauh, meningkat dengan lebih tinggi, dan meneruskan perjalanan ‘Fueling Happy’ dalam dekad yang akan datang dan seterusnya.

     
     
  • BYD Seal EV – pesaing Tesla Model 3 dari China, jarak gerak sehingga 700 km, 530 hp, 0-100 km/j 3.8 saat

    BYD Seal EV – pesaing Tesla Model 3 dari China, jarak gerak sehingga 700 km, 530 hp, 0-100 km/j 3.8 saat

    Pengeluar kenderaan dari China, BYD, telah menunjukkan gambar rasmi pertama untuk kereta elektrik Seal, yang dibina atas e-platform 3.0 sama seperti kereta konsep Ocean-X. Ini adalah kenderaan kedua yang diletakkan dalam barisan kenderaan elektrik Marine Life syarikat itu, dan mengikuti model Dolphin yang diperkenalkan sebelum ini.

    Menurut CarNewsChina, fastback elektrik empat pintu ini mempunyai ukuran 4,800 mm panjang, 1,875 mm lebar, 1,460 mm tinggi dan jarak roda 2,920 mm, sekaligus menjadikan ia pesaing terus kepada Tesla Model 3. Seperti yang boleh dilihat, Seal telah mengekalkan banyak rekaan daripada model konsep Ocean-X.

    BYD Seal dibina dengan tetapan elektrikal 800 volt, dan mendapat kuasa daripada bateri Blade yang boleh menawarkan jarak gerak sehingga 700 km, serta sistem pacuan sama dua roda belakang atau empat roda. Versi pacuan roda belakang disediakan dalam dua varian, iaitu yang menghasilkan 150 kW (204 hp) dan 230 kW (312 hp), sementara versi pacuan semua roda pula mendapat motor 160 kW (217 hp) dan 312 hp di belakang, untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 530 hp.

    Dalam versi AWD yang paling berkuasa, BYD Seal dikatakan boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat, sementara jarak gerak 700 km yang dinyatakan itu pula mungkin datang daripada salah satu versi pacuan dua roda belakang yang disebutkan tadi.

    Sebelum Seal ini, BYD pernah mendedahkan SUV elektrik Atto 3, yang juga dibina atas platform sama, dengan bateri Blade dalam dua saiz iaitu 50.1 kWh dengan jarak gerak 320 km dan 60.4 kWh dengan jarak gerak 420 km. Dengan ukuran 4,455 mm panjang, 1,875 mm lebar, 1,615 mm tinggi dan jarak roda 2,720 mm, saiz Atto 3 adalah lebih hampir kepada Hyundai Kona Electric and the Kia Niro EV.

     
     
  • KommuAssist – sistem pemanduan autonomi Tahap 2 untuk Myvi lama, Axia, Bezza, Alphard secara retrofit

    KommuAssist – sistem pemanduan autonomi Tahap 2 untuk Myvi lama, Axia, Bezza, Alphard secara retrofit

    Kebanyakkan model-model baharu terkini sudahpun mempunyai sistem bantuan-pemanduan termaju (ADAS), iaitu sistem pemanduan autonomi yang bukan sahaja membantu pemandu untuk mengelakkan kemalangan dari berlaku, malah dengan sistem yang diklasifikasi pada Tahap 2, ia turut dapat mengurangkan keletihan semasa memandu dengan menyediakan cruise control adaptif serta bantuan stereng untuk mengekalkan kereta dalam lorong.

    Sistem berkenaan kini sudahpun mula ‘dinormalisasikan’ pada model-model mampu milik seperti yang dipadankan pada Perodua Myvi facelift 2022 dan juga Perodua Ativa. Namun adakah anda pernah terfikir, ada tak sistem ADAS ini boleh dipadankan secara retrofit untuk model-model lebih lama?

    Ini mungkin apa yang anda cari – Kommu, syarikat dari Malaysia telah pun memperkenalkan KommuAssist iaitu sistem ADAS dengan kebolehan fungsi pemanduan autonomi Tahap 2 yang boleh dipadankan secara plug and play terus kepada kereta anda.

    Fungsi-fungsi yang dibekalkan oleh KommuAssist ini termasuk cruise control adaptif (ACC) lengkap dengan low-speed follow (LSF), iaitu sistem yang membolehkan cruise control berkenaan berfungsi ketika aliran trafik yang ‘merangkak’ dan berhenti serta bergerak semula, memudahkan anda meredah traffic jam tanpa perlu mengoperasikan pedal pendikit dan padel brek.

    Jumlah masa menahan brek dalam kesesakan untuk sistem ini adalah bergantung kepada model kereta. Contohnya untuk model-model Perodua, fungsi LSF ini boleh menahan brek ketika berhenti sehingga tiga saat – selepas dari masa berkenaan pemandu perlu menahan sendiri pedal brek dan melepaskannya selepas trafik mula bergerak semula.

    Manakala untuk model-model Toyota yang telah pun mempunyai sistem ACC secara standard (dengan sistem stop & go dan brek parkir elektronik) masih akan mengekalkan sistem tersebut. Namun untuk sistem standard ini, pemandu perlu menekan pedal pendikit untuk bergerak semula – dengan KommuAssist, ia ditambah baik; pemandu tidak perlu menekan pedal pendikit, sebaliknya kereta akan mula bergerak apabila mengesan kereta hadapan sudah mula bergerak.

    Menurut Kommu lagi, fungsi ACC ini turut akan membantu kereta membrek sendiri secara lebih aktif sekiranya mengesan objek di hadapan, memberikan fungsi lebih baik terhadap sistem brek kecemasan automatik (AEB) sedia ada yang telah dipadankan secara standard terhadap kereta berkenaan.

    Walaubagaimanapun, bukan semua kereta yang dipasang dengan KommuAssist ini mampu untuk menawarkan fungsi tersebut. Kereta-kereta yang tidak dibekalkan dengan sistem AEB dari kilang, ia hanya mampu untuk memberikan fungsi “semi ACC”.

    KommuAssist – sistem pemanduan autonomi Tahap 2 untuk Myvi lama, Axia, Bezza, Alphard secara retrofit

    Dengan sistem cruise control separa adaptif berkenaan, kereta masih mampu untuk bergerak secara cruising serta menjadikan kereta hadapan sebagai panduan. Namun ia tidak membrek sendiri apabila mengesan kenderaan hadapan mula perlahan, sebaliknya hanya tidak lagi memberikan input pendikit untuk turut memperlahankan kereta berkenaan berdasarkan jarak yang telah ditetapkan.

    Kedua-dua jenis ACC yang ditawarkan dalam sistem KommuAssist ini disasarkan untuk memberikan pemanduan jarak jauh yang lebih selesa kepada pemandu, kerana ia membantu pemandu agar tidak perlu secara berterusan mengawal pedal pendikit dan pedal brek. Walau bagaimanapun, Kommu turut mengegaskan bahawa pemandu masih perlu sentiasa memberikan sepenuh perhatian terhadap jalan raya walaupun KommuAssist sedang aktif beroperasi.

    Selain dari fungsi cruise control ini, KommuAssist turut menampilkan sistem kawalan kekal lorong aktif, yang mampu mengekalkan kenderaan bergerak hanya dalam lorongnya, dalam masa yang sama memantau muka pemandu bagi memastikan pemandu sentiasa menumpukan perhatian mereka kepada jalan raya.

    Bagi membolehkan fungsi-fungsi ini beroperasi, KommuAssist memerlukan KommuVision yang bertindak sebagai ‘otak’ untuk sistem berkenaan. KommuVision menggunakan perisian BukaPilot yang dibangunkan menerusi agen pemanduan sumber terbuka yang digelar sebagai OpenPilot. Manakala untuk input terhadap sistem tersebut, KommuVision turut dilengkapi dengan kamera yang bertindak sebagai ‘mata’ sistem berkenaan.

    KommuAssist – sistem pemanduan autonomi Tahap 2 untuk Myvi lama, Axia, Bezza, Alphard secara retrofit

    Sistem ini juga dibekalkan dengan komponen yang digelar sebagai KommuPower, yang berperanan untuk membekalkan kuasa kepada KommuActuator. KommuActuator ini pula bertindak seakan ‘kaki dan tangan’ kepada sistem ini di mana ia akan menggerakkan sistem stereng kuasa elektrik, brek dan juga sistem pendikit.

    Bagi kereta yang menyokong sistem penuh ACC KommuAssist, KommuActuator akan digantikan dengan KommuRelay bagi membolehkan ia berkomunikasi dengan kamera ADAS yang dibekalkan secara standard oleh pengeluar dari kilang.

    Seperti yang disebut sebelum ini, sistem KommuAssist berkenaan boleh dipasang secara plug and play kepada kereta anda, tanpa melibatkan sebarang proses pemotongan wayar dan sebagainya. Kommu turut menyatakan bahawa pemasangan sistem ini tidak akan mengubah atau mengurangkan sebarang perincian keselamatan asal kereta tersebut, dan ia boleh dibuka semula dengan mudah.

    Kesemua hardware untuk sistem ini akan terus menerima kemaskini perisian dan firmware sekurang-kurangnya selama setahun selepas pelancaran versi generasi terbaharu.

    Menurut Kommu, model-model yang boleh dipadankan dengan sistem ACC penuh KommuAssist adalah:

    • Perodua Ativa (AV) 2020-2022
    • Perodua Myvi (AV) 2022
    • Toyota Alphard 2019-2020
    • Toyota Camry 2021-2022
    • Toyota Corolla 2020-2022
    • Toyota Prius 2021-2022
    • Lexus ES 2019-2021
    • Lexus NX 2020
    • Lexus UX 2020-2021
    • Lexus RX 2020-2021

    Manakala model-model yang boleh dipadankan dengan sistem separa ACC KommuAssist pula adalah:

    Perodua Axia (GXtra, Style, SE and AV) 2019-2022
    Perodua Bezza (X and AV) 2020-2022
    Perodua Myvi (G, X, H and AV) 2017-2021

    Untuk harga pula, KommuAssist dijual pada harga RM3,499 untuk model-model dalam senarai pertama, menampilkan hardware termasuk KommuVision, KommuPower dan KommuRelay. Manakala model-model dalam senarai kedua pula, kit tersebut dijual pada harga RM3,599, dengan hardware yang sama kecuali KommuRelay digantikan dengan KommuActuator.

    Kommu turut menjemput mereka yang berminat dengan sistem berkenaan untuk mendaftar bagi memandu uji sistem ini, dan mereka turut akan memberikan beberapa soalan dalam sesi temubual.

    Pasti ramai yang tertanya-tanya, adakah sistem yang ditawarkan oleh Kommu ini sah digunakan menurut undang-undang yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)?

    Menurut Kommu, mereka kini sedang bekerjasama dengan JPJ bagi memastikan sistem yang ditawarkan tersebut memenuhi Garis Panduan Kenderaan Berautonomi yang dikawal selia oleh komiti Malaysia Autonomous Vehicle (MyAV) yang diwujudkan oleh Kementerian Pengangkutan, Institut Automotif, Robotik dan IoT (MARii), JPJ dan Futurise.

    Bagaimana pula dengan insuran? Kommu menyatakan bahawa untuk perkara ini pemilik kenderaan sendiri perlu memeriksa dengan syarikat insuran masing-masing. Walau bagaimanapun, pernyataan dalam ruang soalan kerap ditanya (FAQ) Kommu ada ditulis “kami tidak pernah diberitahu bahawa kereta yang telah dipasang dengan KommuAssist ditolak untuk perlindungan.”

    Jadi apa pendapat anda berkenaan KommuAssist ini? Adakah ia berbaloi dipasang pada kereta anda berdasarkan harga dan fungsi ditawarkan? Kongsikannya dengan kami dalam ruang komen di bawah atau di hantaran pada laman sosial kami.

     
     
  • M’sia antara negara paling tertekan untuk memandu

    M’sia antara negara paling tertekan untuk memandu

    Bila memandu dalam keadaan trafik yang sesak, memang cukup menyebalkan. Apatah lagi kalau tika itu, kita mahu cepat sampai ke destinasi kerana ada urusan penting, kecemasan dan sebagainya. Tapi apa nak buat, kalau jalan yang dilalui itu sesak. Kalau nak tahu, Malaysia telah disenaraikan sebagai salah sebuah negara yang paling tertekan untuk memandu, menurut kajian yang dikeluarkan olah Confused.com.

    Tinjauan yang dilakukan itu telah mengambil kira faktor seperti kualiti jalan raya, tahap kesesakan, bilangan kamera kelajuan dan kemalangan maut sebelum memberikan setiap negara skor secara keseluruhan (dengan jumlah penuh 100 mata). Dalam sejumlah 48 negara yang dianalisa, Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah menduduki tempat teratas (skor sebanyak 88/100) dalam carta negara yang paling tertekan untuk memandu.

    Manakala Malaysia menduduki tangga ke-lapan dengan skor sebanyak 72/100, menjadikan kita sebagai wakil ASEAN yang paling teratas di dalam carta ini. Menurut kajian terbabit, negara kita mempunyai lebih kurang 91.5 kenderaan bagi setiap kilometer, dan purata satu kamera kelajuan untuk setiap 995.88 km.


    Klik untuk besarkan imej

    Sebagai perbandingan, negara jiran kita, Singapura, menduduki tempat ke-17 dengan 192.2 kereta untuk setiap km. Bagi kualiti infrastruktur jalan, ia menerima skor sebanyak 90.9/100 (yang tertinggi dalam keseluruhan kajian), berbanding kita dengan 72.4 mata. Berdasarkan sistem permarkahan, kualiti infrastruktur jalan kita sebenarnya setanding dengan Jerman (71.7 mata) dan Sweden (71.9 mata).

    Manakala bagi kadar kemalangan jalan raya, UAE sekali mencatatkan rekod yang kurang memberangsangkan dengan 2,724 kes bagi setiap 100,000 penduduk, diikuti dengan India dan Chile masing-masing 1138 dan 980 kematian. Hong Kong pula menduduki tempat ke-empat dengan 216 kematian bagi setiap 100,000 populasi, sementara Thailand di tempat ke-sembilan dengan 31 kes.


    Klik untuk besarkan imej

    Berkenaan dengan tahap kesesakan, UAE mencatatkan 552.5 kenderaan bagi setiap km dan secara puratanya memiliki 1.45 kamera kelajuan bagi setiap jarak kilometer. Walau bagaimanapun, ini sangat bertentangan dengan skor yang sangat tinggi yang diperolehi Hong Kong iaitu 0.17 kamera setiap km. Manakala negara yang direkodkan sebagai mempunyai kualiti infrastruktur jalan yang paling teruk ialah Zimbabwe, Romania, Brazil dan Filipina.

    Lima negara yang menduduki tangga teratas dalam senarai negara yang paling kurang tertekan untuk memandu ialah Denmark, diikuti oleh Finland, Jepun, Sepanyol dan Arab Saudi.

    10 negara paling tertekan untuk memandu ialah:

    1. Emiriah Arab Bersatu (UAE)
    2. Bulgaria
    3. Turki
    4. Itali
    5. Hong Kong
    6. Republik Czech
    7. Belgium
    8. Malaysia
    9. Brazil
    10. Argentina

    10 negara yang paling kurang tertekan untuk memandu ialah:

    1. Denmark
    2. Finland
    3. Jepun
    4. Sepanyol
    5. Arab Saudi
    6. Australia
    7. USA
    8. Sweden
    9. Hungary
    10. Slovakia

     
     
  • Mitsubishi Xpander di M’sia naik harga – kenaikan kurang RM2k, kini RM93,318 dengan pengecualian SST

    Mitsubishi Xpander di M’sia naik harga – kenaikan kurang RM2k, kini RM93,318 dengan pengecualian SST

    Sewaktu dilancarkan di Malaysia pada akhir tahun 2020, Mitsubishi Xpander ditetapkan pada harga atas jalan RM91,369 tanpa insurans dan MPV tujuh-tempat duduk pemasangan tempatan (CKD) ini turut menerima pengecualian cukai jualan (SST) sepenuhnya.

    Pengecualian cukai yang diumumkan buat pertama kali pada Jun 2020, dengan 100% untuk kenderaan CKD dan 50% bagi kenderaan import sepenuhnya (CBU), telah pun dilanjutkan beberapa kali, namun ia bakal berakhir pada 30 Jun 2022. Sehingga kini, kerajaan masih tidak bersuara, adakah tempoh lanjutan pengecualian cukai tersebut akan diteruskan seperti mana yang diharapkan oleh syarikat pengeluar kenderaan.

    Walau pun masih ada lagi lebih kurang dua bulan sebelum tempoh berkenaan berakhir, harga kenderaan baharu dengan pengecualian SST bagaikan tidak lagi bermakna. Ia adalah kerana permintaan yang tinggi serta ditambah dengan kekangan pengeluaran (masalah rantaian bekalan komponen, Perintah Kawalan Pergerakan dan bencana banjir) sebelum ini dilihat masih belum pulih sepenuhnya. Sekaligus membuatkan penghantaran kenderaan yang ditempah hanya boleh dilakukan pada suku kedua tahun 2022.

    Selain Toyota yang baru mengumumkan harga baharu tanpa SST bagi barisan model kenderaannya, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) turut melakukan perkara yang sama. MMM telah pun menyemak semula harga barisan model kenderaannya di pasaran efektif 1 April lalu. Ini termasuklah harga Xpander yang dilihat lebih tinggi, walau dicatatkan dengan sifar SST. Harga atas jalannya yang baharu, tanpa insurans bagi varian tunggal Xpander kini ialah RM93,318, iaitu meningkat sebanyak RM1,949 berbanding sebelum ini.

    Mitsubishi Xpander di M’sia naik harga – kenaikan kurang RM2k, kini RM93,318 dengan pengecualian SST

    Memandangkan harga baharu tersebut “disifatkan dengan 0% SST”, kami menghubungi MMM dan syarikat mengatakan bahawa kenaikan harga adalah disebabkan oleh “kekangan kenaikan kos”. Seperti kebanyakan perkara dalam dunia inflasi hari ini, kos bahan dan logistik telah meningkat sedikit sejak Covid-19.

    Walau apa pun, kenaikannya kurang daripada RM2k tidak mengubah nilai saranan Xpander, yang dijanakan oleh enjin 1.5 liter naturally-aspirated dengan 105 PS dan 141 Nm tork pada 4,000 rpm. Unit 4A91 MIVEC ini menghantar pacuan ke gandar hadapan melalui kotak gear automatik empat-kelajuan.

    Untuk kelengkapannya, MPV ini diberikan lampu utama reflektor bi-LED dan lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, roda aloi dua-tona 16-inci, tempat duduk kulit quilted, unit utama skrin sesentuh 9.0-inci dengan Apple Carplay/Android Auto, dashcam dan sistem kamera 360-darjah dan lain-lain.

    Bagi aspek keselamatan pula, ia dilengkapi dengan dua beg udara, ABS/EBD, kawalan kestabilan, bantuan mula mendaki dan cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix.

     
     
  • Pengusaha stesen minyak yang jual petrol RON95 kepada kenderaan asing bakal dikenakan tindakan

    Pengusaha stesen minyak yang jual petrol RON95 kepada kenderaan asing bakal dikenakan tindakan

    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesahkan sedang menyiasat penjualan minyak petrol bersubsidi kepada kenderaan asing yang dilaporkan berlaku di Johor.

    Menurut menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi, pihaknya sentiasa mengeluarkan arahan dari semasa ke semasa kepada pengusaha stesen minyak yang bersempadan dengan Singapura dan Thailand bagi memastikan pematuhan larangan penjualan petrol RON 95 kepada kenderaan asing. Ia adalah bagi mengelak berlaku ketirisan penjualan minyak petrol bersubsidi kepada kenderaan asing, laporan Bernama.

    “Saya juga mengarahkan semua KPDNHEP negeri bersempadan dengan Singapura dan Thailand supaya mempergiatkan pemantauan dan pemeriksaan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961(Akta 122) dan (Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

    “Akta itu memperuntukkan penalti tidak melebihi RM1 juta atau individu didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi perbadanan/syarikat, didenda tidak melebihi RM2 juta,” katanya susulan kebimbangan orang ramai berhubung isu itu selepas viral di media sosial memaparkan gambar kenderaan dengan nombor pendaftaran Singapura mengisi petrol bersubsidi di sebuah stesen minyak dipercayai di sempadan negara.

    Tambah beliau, orang ramai digalakkan membuat aduan dan melaporkan kepada KPDNHEP jika terdapat aktiviti penyelewengan penjualan minyak bersubsidi kepada pihak tidak sepatutnya.

    Pengusaha stesen minyak yang jual petrol RON95 kepada kenderaan asing bakal dikenakan tindakan

    Sebenarnya ini bukanlah perkara baharu, malah telah acapkali berlaku sebelum ini. Umum mengetahui bahawa kenderaan dengan pendaftaran plat asing adalah tidak dibenarkan untuk membeli petrol RON 95 di Malaysia. Peraturan ini telah termaktub sejak 1 Ogos 2010. Ini kerana subsidi yang dibiayai cukai yang lebih tinggi hanya disediakan untuk pengguna RON 95, iaitu untuk pengguna kenderaan berpendaftaran Malaysia sahaja. Manakala untuk kenderaan asing, hanya dibenarkan untuk membeli petrol RON 97 atau RON 100 sahaja.

    Buat masa ini, RON 95 berharga RN2.05 seliter di Malaysia, jauh lebih murah berbanding harga bagi RON 97 yang mencecah RM3.91 seliter. Sebagai perbandingan, RON 95 di Singapura berharga sekitar SG$3 (RM9.31) seliter dan RON 98 pula SG$3.47 (RM10.77) seliter.

    Bukan itu sahaja, selain pematuhan RON 95 tidak dibenarkan dijual untuk kenderaan asing, kenderaan dari Singapura juga seharusnya mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh negara berkenaan iaitu Pematuhan Tangki Tiga-Suku, di mana di bawah Akta Kastam 1960 di Singapura, menetapkan bahawa kenderaan yang meninggalkan negara berkenaan perlulah mempunyai bahan api minimum tiga suku daripada tangki penuh.

    Pematuhan berkenaan juga menetapkan denda sejumlah SG$500 jika gagal berbuat demikian. Namun tidak dipastikan, adakah peraturan berkenaan benar-benar dilaksanakan secara serius mahu pun tidak. Begitu juga dengan pematuhan yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia bahawa semua stesen minyak di negara ini terutamanya yang terletak bersempadan dengan negara jiran dilarang untuk menjual petrol bersubsidi kepada kenderaan asing.

    Walau bagaimana pun, pematuhan ini bagai ‘dipandang sepi’ oleh segelintir stesen minyak terbabit. Oleh itu, seharusnya pihak berwajib perlulah lebih serius untuk menangani isu dan dan mengambil tindakan yang lebih drastik agar ia dapat dibendung, bukannya berlarutan bertahun lamanya.

     
     
  • Modenas kini rasmi jadi pengedar Kawasaki di M’sia

    Modenas kini rasmi jadi pengedar Kawasaki di M’sia

    Selepas melalui tempoh peralihan selama enam bulan, berakhir 31 Mac lalu, Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS), yang juga merupakan pengedar rasmi Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) kini secara rasminya dilantik sebagai pengedar eksklusif baru bagi motosikal Kawasaki di Malaysia.

    Sepanjang tempoh peralihan ini, EMOS telah pun memerhati, mempelajari dan menyesuaikan sepenuhnya operasi perniagaan dengan rakan kongsi teknikalnya, Kawasaki Motors, Ltd. (KMC) untuk memastikan pemindahan pengetahuan sebanyak yang mungkin. KMC kini memiliki 30% ekuiti dalam MODENAS bersama DRB-HICOM Berhad sebagai pemegang saham majoriti syarikat motosikal nasional itu.

    Dengan ekuiti yang lebih besar dalam Modenas, Kawasaki kini akan mengambil bahagian secara aktif dalam operasi di Modenas, dan bukan hanya sebagai pemegang saham. Dengan berakhirnya tempoh peralihan, Modenas akan mula memasang model Kawasaki terpilih dan sementara model dengan enjin yang lebih besar pula akan diimport sepenuhnya.

    Sebagai pengedar eksklusif, EMOS melalui pengedarnya bukan sahaja akan menjual motosikal Kawasaki, tetapi juga akan mengedarkan alat ganti dan aksesori di Malaysia. Selain itu, EMOS juga akan menyediakan perkhidmatan pelanggan yang meliputi semua perkara teknikal dan isu panggilan semula.

    Bagi semua tujuan itu, EMOS telah mempersiapkan 13 pengedar di seluruh negara dengan tiga di utara, satu di pantai timur, tiga di bahagian selatan, satu di Sarawak dan lima di Lembah Kelang.

     
     
  • Kemaskini isu alat ganti Proton – semua 147 pusat 3S/4S ada bekalan komponen penting selama 1 bulan

    Kemaskini isu alat ganti Proton – semua 147 pusat 3S/4S ada bekalan komponen penting selama 1 bulan

    Lanjutan dari pengumuman yang dibuat bulan lalu, Proton kini memberitahu bahawa kesemua 147 jaringan pusat servis 3S dan 4S bertauliahnya di seluruh negara sudah pun mempunyai bekalan sekurang-kurangnya untuk sebulan bagi 22 jenis stok alat ganti yang diklasifikasikan sebagai komponen fast-moving.

    Kemaskini tindakan itu dibuat menerusi laman sosial jenama tersebut, dan turut memberitahu bahawa lima pusat servisnya kini sudahpun mempunyai stok alat ganti fast-moving selama tiga bulan, seperti yang dirancang sebelum ini. Lima pusat servis berkenaan adalah Atiara Johan, Lesydear Automobile, Pantai Baharu, LHM One Stop Car dan The Apple Auto.

    “Selepas mendengar banyak maklum balas dari pelanggan, kami secara agresif memperbaiki servis selepas jualan kami bagi memenuhi jangkaan mereka. Masih banyak lagi langkah untuk dibuat dalam masa beberapa bulan akan datang, dan kami jangka untuk membuat lebih banyak penambahbaikkan dalam tempoh tersebut, tetapi untuk masa sekarang ia akan mengurangkan kegusaran pelanggan dan tempoh menunggu untuk komponen servis,” kata naib presiden Proton untuk jualan dan selepas jualan, Edmund Lim.

    Langkah ini dibuat selepas Proton mengakui isu kadar ketersediaan alat ganti yang rendah untuk servis selepas jualan di pengedarnya, yang menyebabkan beberapa kereta pelanggan tersangkut di pusat servis rasmi sementara menunggu alat ganti yang diperlukan tiba.

    Malah ada juga pelanggan melaporkan bahawa kereta mereka hanya separa siap ketika diservis kerana ketiadaan stok alat ganti tertentu, menyebabkan mereka terpaksa datang semula ke pusat servis untuk kali kedua apabila stok sudah tersedia bagi menyudahkan kerja tersebut.

    Walaupun isu ini menyebabkan kekecohan yang jelas, namun Proton menyatakan bahawa ia tidaklah seteruk yang digambarkan. Walau bagaimanapun, timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Roslan Abdullah menyatakan bahawa syarikatnya memandang serius perkara berkenaan dan sedang berusaha untuk membetulkan masalah tersebut.

     
     
  • Harga Toyota Corolla 2022 di M’sia naik dengan SST – bermula RM131k untuk 1.8E dan RM142k untuk 1.8G

    Harga Toyota Corolla 2022 di M’sia naik dengan SST – bermula RM131k untuk 1.8E dan RM142k untuk 1.8G

    UMW Toyota Motor (UMWT) hari ini telah mengumumkan senarai harga baharu untuk barisan model Toyota Corolla generasi ke-12 di Malaysia. Harga berkenaan mula berkuatkuasa bermula hari ini iaitu 1 April 2022, dan termasuk cukai jualan dan servis (SST).

    Bermula 1 April 2022, harga barisan model Toyota Corolla di Malaysia adalah seperti berikut:

  • Corolla 1.8E – RM130,888
  • Corolla 1.8G – RM141,888
  • Insentif pengurangan cukai SST yang diberikan oleh kerajaan hanya akan berakhir pada 30 Jun 2022, jadi mengapa UMWT sudahpun mengeluarkan harga lengkap dengan SST bermula April? Menurut wakil dari UMWT, ini kerana tempahan untuk Corolla di Malaysia sebenarnya sudahpun penuh sehingga akhir Jun nanti. Sekiranya anda membuat tempahan untuk membeli Corolla pada hari ini, anda hanya akan menerima kereta anda paling cepat pada Julai nanti.

    Harga Toyota Corolla 2022 di M’sia naik dengan SST – bermula RM131k untuk 1.8E dan RM142k untuk 1.8G

    Dengan harga baharu ini, model 1.8G adalah RM2,000 lebih mahal berbanding harga pada Jun 2020 (RM139,888), yang telah dikemaskini ketika itu menampilkan sistem infotainmen baharu dengan skrin Display Audio sembilan-inci yang menyokong Android Auto, Apple CarPlay dan Miracast. Corolla 1.8E – tanpa tingkat taraf sistem Display Audio – turut naik dalam jumlah yang sama berbanding RM128,888 sebelum ini.

    Tiada sebarang perubahan pada spesifikasi Corolla 2022 ini. Ia masih dijana oleh enjin petrol 1.8 liter NA empat-silinder berkuasa 139 PS pada takat 6,400 rpm dan tork maksima 172 Nm pada takat 4,000 rpm. Enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear CVT automatik dengan tujuh-kelajuan maya bagi memacu roda hadapan. Model tertinggi G pula hadir dengan pedal penukar gear pada roda stereng.

    Bagi sistem keselamatan standard, Corolla pasaran Malaysia ini dibekalkan dengan tujuh-beg udara, sistem brek ABS bersama EBD dan BA, traction control, kawalan kestabilan, bantuan mula mendaki, lampu isyarat berhenti kecemasan, sistem amaran tekanan tayar, pengingat pemakaian tali keledar untuk penumpang hadapan dan belakang, cagak tempat duduk ISOFIX, serta penderia parkir hadapan dan belakang.

    Model 1.8 G pula diberikan sistem tambahan seperti sistem pra-pelanggaran (PCS), amaran keluar lorong (LDA) dengan bantuan sterteng dan pengesan lorong, dynamic radar cruise control, lampu tinggi automatik dan pemantau titik buta.

    Harga Toyota Corolla 2022 di M’sia naik dengan SST – bermula RM131k untuk 1.8E dan RM142k untuk 1.8G

    Model 1.8G juga menerima kelengkapan tambahan lain termasuk paparan instrumen Optitron, paparan pelbagai informasi TFT tujuh-inci (hanya 4.2-inci untuk varian E), sistem pendingin hawa dua zon, tempat duduk balutan kulit (hanya fabrik pada varian E), pelindung matahari belakang.

    Monitor pandangan panaromik 3D dan juga kamera perakam digital hadapan dan belakang juga adalah standard untuk model 1.8G, tetapi kedua-duanya turut boleh dipadankan secara opsyen untuk model 1.8E.

    Lima warna ditawarkan untuk Toyota Corolla pasaran Malaysia ini iaitu Silver Metallic, Celestite Gray Metallic, Attitude Black, Red Mica Metallic, dan juga warna premium Platinum White Pearl yang memerlukan anda menambah bayaran sebanyak RM800.

    Seperti biasa, pembelian Toyota Corolla ini akan dilindungi oleh waranti pengeluar selama lima tahun, tanpa had perbatuan.

     
     
  • Lebih 11k pengguna seberangi tambak M’sia-S’pura dalam 7 jam pertama — sesak di Woodlands, Tuas

    Lebih 11k pengguna seberangi tambak M’sia-S’pura dalam 7 jam pertama — sesak di Woodlands, Tuas

    Selepas dua tahun, sempadan tambak antara Malaysia-Singapura akhirnya dibuka kepada semua pengguna yang telah lengkap divaksin tanpa perlu menjalani ujian Covid-19 atau kuarantin. Kali terakhir tambak berkenaan dibuka untuk kegunaan orang ramai adalah sebelum 18 Mac 2020 ketika bermulanya penularan wabak dan perintah larangan pergerakan.

    Seperti dijangkakan, ribuan pengguna menunggu di pintu keluar Woodlands di Singapura sejak malam semalam untuk menjadi antara yang terawal menyeberang. Pihak berkuasa imigresen turut melaporkan barisan panjang kereta dan motosikal di pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas.

    “Hampir semua pengguna telah menyiapkan dokumen perjalanan mereka, dan melepasi pemeriksaan imigresen dengan lancar. Keseluruhannya, pelepasan imigresen tidak lagi menyaksikan barisan menjelang 1 pagi,” ujar pihak berkuasa di sana, seperti yang dilaporkan oleh CNA.

    Lebih 11k pengguna seberangi tambak M’sia-S’pura dalam 7 jam pertama — sesak di Woodlands, Tuas

    Pihak berkuasa Singapura memaklumkan lebih daripada 11,000 pengguna diluluskan di dua pusat pemeriksaan berkenaan dalam tempoh tujuh jam pertama pembukaan sempadan berkenaan. Menurut wartawan CNA, aliran trafik di kedua-dua arah sangat lancar pada awal pagi dan tiada sebarang kesesakan dilaporkan antara 6 pagi hinga 9 pagi. Keadaan mungkin berbeza hujung minggu ini.

    Bagi kenderaan berpendaftaran Singapura yang memasuki Malaysia, kerajaan telah mengisytiharkan tempoh satu minggu bagi pengecualian Caj Jalan bermula 1-7 April. Ini bermakna, caj RM20 yang kebiasaannnya akan dikecualikan bagi pengguna kad Touch ‘n go dan kereta dengan pelekat permit kemasukan RFID (VEP). Sebagai tambahan, tiada tol dikenakan kepada semua kenderaan di tambak Johor dan Second Link untuk tempoh seminggu ini.

    Dengan insuran perjalanan bagi warga Malaysia yang melawat Singapura tidak lagi diwajibkan, kenderaan luar yang memasuki republik itu perlu mempunyai VEP yang sah, pengesahan emel daripada pihak berkuasa pengangkutan darat Singapura serta kad Autopass. Kad ketibaan SG perlu diisi, dan bukti vaksinasi lengkap perlu ditunjuk.

    Selamat kembali ke tanah air kepada warga negara Malaysia.

     
     
  • Toyota Vios 2022 kini dijual dengan harga termasuk SST – bermula RM78k untuk 1.5J, GR Sport RM98k

    Toyota Vios 2022 kini dijual dengan harga termasuk SST – bermula RM78k untuk 1.5J, GR Sport RM98k

    UMW Toyota telah mengeluarkan senarai harga terbaru untuk Vios facelift, yang akan diguna bermula hari ini, 1 April 2022. Keseluruhan model Vios kini dijual dengan harga termasuk SST, dan menurut UMW Toyota, ini dilakukan kerana tempahan yang dibuat sekarang cuma akan dapat dipenuhi menjelang hujung bulan Jun (bagi menyelesaikan tempahan sedia ada), iaitu pada waktu pengecualian SST sudah tamat.

    Bermula 1 April, barisan Vios di Malaysia dijual pada harga:

    • Vios 1.5J – RM77,600
    • Vios 1.5E – RM85,600
    • Vios 1.5G – RM90,400
    • Vios GR-S 1.5 – RM98,100

    Sebelum ini, dengan pengecualian SST, Vios 1.5J dijual pada harga RM74,623, sementara 1.5E pula RM82,593 dan 1.5G RM87,584. Vios GR Sport pula dijual pada harga RM95,284 sebelum harga baru ini dikeluarkan.

    Tiada perubahan spesifikasi atau mekanikal yang dibuat pada model ini, bermakna ia akan terus dipacu oleh enjin empat silinder 1.5 liter Dual VVT-i 2NR-FE bersama transmisi CVT untuk menghantar kuasa sehingga 107 PS pada 6,000 rpm dan 140 Nm tork pada 4,200 rpm kepada roda hadapan.

    GALERI: Toyota Vios GR Sport

     
     
  • Toyota Yaris 2022 di M’sia dikemaskini harga dengan SST – dari RM74k, model tertinggi 1.5G kini RM87,600

    Toyota Yaris 2022 di M’sia dikemaskini harga dengan SST – dari RM74k, model tertinggi 1.5G kini RM87,600

    Nampak gayanya cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bagai tiada harapan untuk ‘bersambung cuti’ dan bakal tamat pada 30 Jun 2022. Terkini, UMW Toyota Motor telah mengeluarkan senarai harga yang disemak semula (efektif 1 April 2022) untuk tiga model semasanya iaitu Yaris, Vios dan Corolla.

    Mulai 1 April ini, barisan Yaris pasaran Malaysia ditetapkan pada harga bermula seperti berikut:

  • Yaris 1.5J – RM73,800
  • Yaris 1.5E – RM83,300
  • Yaris 1.5G – RM87,600
  • Berbanding dengan harga sewaktu dilancarkan, ternyata ia meningkat masing-masing sebanyak RM2,860, RM2,920 dan RM2,792. Untuk makluman, ia adalah harga anggaran dan boleh berubah pada masa hadapan. Perbezaannya tidaklah melibatkan nilai yang besar dan tidak dipastikan adakah kenaikan harga tersebut juga bakal melibatkan peningkatan spesifikasi.

    Peruntukan untuk suku kedua bagi Yaris telah pun dipenuhi, jadi pelarasan harga ini dijangka untuk suku ketiga dan seterusnya. Di mana buat masa ini, tidak dipastikan adakah kerajaan akan melanjutkan tempoh pengecualian SST seperti yang diharapkan oleh kebanyakan syarikat pengeluar kereta.

    Toyota Yaris 2022 di M’sia dikemaskini harga dengan SST – dari RM74k, model tertinggi 1.5G kini RM87,600

    Ketiga-tiga varian Yaris dikuasakan oleh unit 2NR-FE 1.5 liter empat-silinder dengan Dual VVT-i yang mampu memberikan output 107 PS pada 6,000 rpm dan tork 140 Nm pada 4,200 rpm. Ia dipadankan dengan CVT (dengan mod Shiftmatic tujuh-kelajuan) yang menyalurkan pacuan ke roda hadapan.

    Untuk aspek keselamatan, varian E dan G menerima Toyota Safety Sense yang merangkumi sistem pra-pelanggaran (PCS), kepekaan ketibaan lorong (LDA), pemantauan titik buta (BSM) dengan Kepekaan Trafik Lintasan Belakang (RCTA) serta paparan pandangan panoramik 3D (PVM).

    Ia diberikan tiga pilihan warna luaran iaitu Red Mica Metallic, Platinum White Pearl dan Silver Metallic. Harga yang disebutkan itu turut didatangkan dengan waranti lima-tahun dengan perbatuan tanpa had secara standard.

     
     
  • EON, myTukar, Bank Muamalat lancar Step-Up Auto Financing-i – bayaran bulanan awal lebih rendah

    EON, myTukar, Bank Muamalat lancar Step-Up Auto Financing-i – bayaran bulanan awal lebih rendah

    EON, myTukar dan Bank Muamalat telah bekerjasama mewujudkan Muamalat Step Up Auto Financing-i, iaitu satu skim pembiayaan kenderaan berperingkat yang menawarkan bayaran ansuran bulanan lebih rendah untuk tiga tahun pertama. Bank tersebut memberitahu, melalui skim ini, pelanggan dapat mengurangkan beban aliran tunai permulaan dan memiliki kereta idaman mereka.

    Muamalat Step Up Auto Financing-i ini bagaimanapun cuma eksklusif untuk barisan kenderaan Proton dan Mitsubishi di bawah rangkaian Edaran Otomobil Nasional (EON). Kerjasama dengan myTukar membawa makna pelanggan boleh menjual kenderaan mereka kepada pakar kenderaan terpakai tersebut pada penghujung tempoh pegangan selama tiga tahun, pada satu harga yang telah dipersetujui di awal pemilikan. Ia adalah seperti satu skim ‘nilai masa hadapan terjamin’ yang ditawarkan oleh pihak lain.

    Meskipun skim seperti ini sebenarnya sudah menjadi kebiasaan bagi pembiaya persendirian daripada jenama premium seperti Mercedes-Benz dan BMW, Bank Muamalat pula adalah bank pertama yang menawarkan pembiayaan dengan bayaran tempoh awal lebih rendah bersama nilai beli balik yang terjamin. Menurut Bank Muamalat, melalui Step Up Auto Financing-i ini, bayaran bulanan boleh menjadi 33% lebih rendah berbanding pembiayaan biasa dan ia mematuhi syariah.

    EON, myTukar, Bank Muamalat lancar Step-Up Auto Financing-i – bayaran bulanan awal lebih rendah

    Selepas tempoh pemilikan selama tiga tahun, pelanggan boleh memilih untuk sama ada terus melakukan bayaran bulanan pada satu kadar baru, atau tukar dan jual kenderaan mereka untuk diganti dengan unit baru melalui myTukar.

    “Kami teruja untuk bekerjasama dengan EON dan myTukar untuk menawarkan pakej pembiayaan ini kepada pelanggan. Kami sentiasa mempunyai visi untuk menghasilkan satu ekosistem kenderaan atas talian bersepadu; kerjasama ini membawa kami satu langkah lebih ke hadapan memandangkan kami dapat menjadikan pembiayaan kenderaan lebih mampu milik,” kata presiden dan CEO Bank Muamalat, Khairul Kamarudin.

    “Selari dengan hala tujuh EON untuk memimpin dan menjadi penyedia servis automotif yang cemerlang, kami percaya kolaborasi ini akan memperbaiki lagi pegangan pasaran kami. Sebagai pengendali rangkaian kenderaan Mitsubishi dan Proton yang terbesar di seluruh negara, EON dapat menawarkan pelbagai jenis kenderaan daripada dua jenama yang sangat dikenali. EON menawarkan dua model Mitsubishi dan enam model Proton untuk dipilih oleh pelanggan dalam skim ini,” kata CEO EON, Akkbar Danial.

     
     
  • Tukar kupon parkir yang belum diguna pada kredit Selangor Smart Parking – 2-3 April, Dewan Sivik MBPJ

    Tukar kupon parkir yang belum diguna pada kredit Selangor Smart Parking – 2-3 April, Dewan Sivik MBPJ

    Seperti yang pernah dimaklumkan sebelum ini, pembayaran parkir awam di negeri Selangor ditukarkan ke transaksi digital mulai hari ini, 1 April 2022. Justeru, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengumumkan pihaknya sekali lagi bakal menganjurkan program Penukaran Kupon Parkir kepada kredit aplikasi Selangor Smart Parking. Di mana penduduk Petaling Jaya yang memiliki kupon parkir MBPJ yang masih belum digunakan untuk memindahkan lebihan baki yang ada kepada kredit aplikasi Selangor Smart Parking (SSP).

    Program ini dijalankan oleh syarikat milikan penuh Kerajaan Negeri Selangor iaitu SSDU Innovation Sdn Bhd (SSDU), yang bakal diadakan pada 2 hingga 3 April ini, dari jam 10 pagi hingga 5 petang bertempat di Dewan Sivik, Petaling Jaya.

    Di mana pemegang kupon parkir berkenaan dikehendaki memuat turun aplikasi SSP yang boleh didapati menerusi Google PlayStore, Apple Appstore atau Huawei Store, dan berdaftar dengan SSP sebagai pengguna untuk menukar kupon yang masih belum dipakai berkenaan.

    Tukar kupon parkir yang belum diguna pada kredit Selangor Smart Parking – 2-3 April, Dewan Sivik MBPJ

    “Kerajaan Negeri ambil maklum mengenai kerisauan rakyat yang masih memiliki kupon parkir yang masih belum digunakan akan terbatal dan mengalami kerugian setelah kita kuatkuasakan penggunaan SSP ini. Justeru, kami memberikan jaminan baki nilai kupon berkenana yang masih belum tamat tempoh boleh dipindah nilai ke akaun SSP masing-masing,” kata Ng Sze Han, exco Selangor yang mengendalikan pengangkutan awam dan majlis perbandaran tempatan negeri.

    Walau bagaimana pun, sekiranya anda tidak dapat menghadiri program berkenaan, anda boleh datang terus ke Leading Innovative Technologies & Systems (LITS) at F-4-G, Jalan Multimedia 7/AG, I-City, Shah Alam untuk proses pemindahan baki nilai kupon berkenaan ke aplikasi SSP.

    “Selain itu, pengguna juga boleh hadir ke pejabat PBT masing-masing untuk menjalankan proses pindah nilai tersebut dari 1 hingga 30 April 2022. Untuk proses ini, hanya kupon di bawah selian PBT tersebut yang boleh dipindah nilai,” sambung Ng lagi.

     
     
  • GALERI: Volkswagen Golf R Mk8 di M’sia – hot hatch AWD dengan 320 PS, 400 Nm tork, harga RM358k

    GALERI: Volkswagen Golf R Mk8 di M’sia – hot hatch AWD dengan 320 PS, 400 Nm tork, harga RM358k

    Semasa pelancaran Golf GTI Mk8 dan pengenalan Golf R-Line Mk8 Februari lalu, Volkswagen Malaysia juga membuat kejutan dengan melancarkan Golf R Mk8, yang dijual pada harga RM357,584 tidak termasuk insurans.

    Sedang Golf GTI dan dan Golf R-Line dipasang di Pekan, Pahang, Golf R pula diimport sepenuhnya (CBU) dan harganya mencatat peningkatan yang tinggi berbanding Golf R Mk 7.5 yang dijual pada harga RM295,990 sebelum ini.

    Walaupun begitu, kelengkapannya agak banyak, bermula dengan enjin petrol empat silinder 2.0 liter turbo EA888 yang dipadankan bersama transmisi automatik klac berkembar DSG tujuh kelajuan serta sistem pacuan AWD 4Motion, menghasilkan kuasa 320 PS dan 400 Nm tork. Pecutan 0-100 km/j pula boleh dilakukan dalam masa 4.8 saat sebelum mencecah kelajuan maksimum 250 km/j.

    Sistem pacuan 4Motion pada Golf R Mk8 kini menawarkan beza pengagihan tork yang lebih tinggi melalui R-Performance Torque Vectoring, dengan differential belakangnya boleh menghantar sehingga 100% kuasa dari gandar belakang kepada salah satu roda untuk meningkatkan kelincahannya.

    Turut membantu pengagihan tork melalui brek adalah sistem pengunci differential elektronik XDS, yang dikawal oleh Vehicle Dynamicx Manager yang menawarkan empat mod pemanduan iaitu Comfort, Sport, Race dan Individual. Model pasaran Malaysia dipasang dengan rim Adelaide 19 inci bersama tayar 235/35.

    Di dalam, Golf R masih menggunakan susun atur seperti Golf Mk8 yang lain, dengan skrin sesentuh 10 inci Discover Pro untuk sistem infotainmen, dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, serta panel instrumen digital penuh yang paparannya boleh diubah, di hadapan pemandu.

    Pendingin hawa mempunyai kawalan suhu automatik tiga zon, dan turut diberi adalah lampu suasana yang mempunyai lima warna, lampu utama dan pengelap cermin automatik, cermin pandang belakang malap sendiri serta cermin sisi dengan fungsi pemanas.

    Tempat duduk sport pada Golf R dibalut dengan kulit Nappa dan ia boleh dilaras secara elektronik dan datang dengan larasan lumbar serta fungsi memori. Sistem bunyi terdiri daripada unit Harman Kardon 480 watt dengan 10 pembesar suara.

    Golf R Mk8 yang dijual oleh Volkswagen Passenger Cars Malaysia datang dengan jaminan lima tahun tanpa had batuan dan bantuan tepi jalan lima tahun. Ia juga diberi dengan pakej penyelenggaraan percuma selama tiga tahun, dengan selang servis setiap 15,000 km.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.40
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 16, 2024