Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Sesuaikan pemilikan kenderaan Mercedes-Benz anda dengan Mercedes-Benz Financial Agility+

    Sesuaikan pemilikan kenderaan Mercedes-Benz anda dengan Mercedes-Benz Financial Agility+

    Pemilikan sebuah kenderaan Mercedes-Benz itu sendiri adalah satu pengalaman yang sangat memuaskan, dan Mercedes-Benz Financial meletakkan sasaran untuk memberikan lebih fleksibiliti kepada pengalaman pemilikan melalui pakej Agility+, yang juga boleh memberikan lebih nilai kepada pengalaman pemilikan anda.

    Untuk tempoh yang terhad, Mercedes-Benz Financial kini menawarkan pakej Agility+ untuk beberapa model tertentu, yang juga akan datang bersama empat pakej servis untuk memudahkan lagi pemilikan kenderaan anda.

    Ia ditawarkan untuk model Mercedes-Benz A 200, C 200, C 300, E 200, GLA 200, GLA 250, AMG GLA 35, serta juga model elektrik penuh EQA250 dan EQS 500. Klik di sini untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan tawaran untuk model-model ini.

    Apabila anda mencari sebuah kereta mewah yang terbaik, Mercedes-Benz S-Class adalah antara pilihannya. Untuk model S 580e, Mercedes-Benz Financial melalui pakej Agility+ menawarkan jaminan lima tahun bersama pakej servis sembilan kali. Klik di sini untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan Agility+ untuk model S-Class.

    Sebagai satu cabang kembangan kepada Agility Financing, Agility+ membawa lebih fleksibiliti kepada pembiayaan kenderaan Mercedes-Benz pilihan anda dengan termasuk sekali pakej servis, sambil menjaga nilai masa hadapan kenderaan tersebut apabila tempoh pemilikan anda sudah tamat.

    Fleksibiliti adalah kata penting di sini, dan apa yang perlu anda lakukan cuma pilih pelan tempoh bayaran semula serta jumlah jarak batuan tahunan model yang anda mahukan, dan kemudiannya tentukan bayaran pendahuluan untuk menentukan jumlah bayaran semula bulanan. Keputusan seterusnya yang perlu anda buat adalah waktu tempoh pemilikan sudah tamat, iaitu sama ada anda mahu bayar jumlah keseluruhan, sambung tempoh pemilikan atau kembalikan kenderaan.

    Bersedia untuk memiliki sebuah Mercedes-Benz baru melalui Agility+, dan nikmati lebih fleksibiliti? Klik pautan di atas untuk mengetahui lebih lanjut.

     
     
  • Toyota Corolla GR Sport – RM152,800, bakal tiba?

    Toyota Corolla GR Sport – RM152,800, bakal tiba?

    Nampaknya macam UMW Toyota sedang bertungkus lumus dalam membuat persiapan untuk melancarkan Toyota Corolla GR Sport yang berasaskan model sedan Corolla. Harga anggarannya juga telah dipaparkan menerusi laman web rasmi mereka. Senarai harga tersebut dikemaskini pada 3 Julai 2023.

    Toyota Corolla GR Sport mungkin bakal ditawarkan pada harga RM152,800, iaitu lebih RM5,000 berbanding model Corolla 1.8G yang berharga RM147,800.

    Menurut senarai harga tersebut, GR Sport Package merangkumi:

    • Bampar Rekaan GR Sport Design Bumper
    • Roda Aloi GR Sport
    • Kemasan Dalaman GR Sport
    • Talaan Suspensi GR Sport

    Walau bagaimana pun, tiada foto Toyota Corolla GR Sport dipaparkan menerusi laman web berkenaan buat masa ini, cuma senarai harganya dilabelkan sebagai “estimated” atau “jangkaan”. Foto yang kami gunakan di atas adalah model bagi pasaran Thailand, yang dipanggil Toyota Corolla Altis GR Sport.

    Barisan GR Sport yang diperkenalkan oleh UMW Toyota Motor buat masa ini adalah Hilux GR Sport dan Corolla Cross GR Sport. Anda juga boleh membeli GR Corolla, yang dijanakan oleh enjin 1.6 liter pengecas turbo dengan kuasa 300 PS dan tork 370 Nm, digandingkan bersama transmisi manual enam-kelajuan dan pacuan semua-roda yang boleh dipecut dari 0-100 km/j dalam 5.3 saat.

    Toyota Corolla GR Sport – RM152,800, bakal tiba?

     
     
  • Nissan Serena J Impul C27 di M’sia – RM169,888

    Nissan Serena J Impul C27 di M’sia – RM169,888

    Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah mengumumkan kehadiran varian baharu Nissan Serena Impul J untuk barisan Serena di pasaran tempatan. Ia ditawarkan pada harga atas jalan RM169,888 tanpa insurans untuk Semenanjung Malaysia.

    Seperti nama yang diberi, varian baharu MPV ini menampilkan kit badan Impul aero yang diperbuat di Jepun, yang dibina mengikut spesifikasi sedia ada Premium Highway Star Package di pasaran ini.

    Untuk luarannya, varian Impul J ini dibezakan dengan beberapa ciri termasuk kemasan krom pada bampar hadapan, serta serlahan krom yang ditambah gril hadapan V-Motion. Pada bahagian belakangnya, kemasan krom turut diberikan pada sudut bawah bampar belakang untuk nampak setanding dengan bahagian hadapan MPV ini, manakala tailgate pula menerima lencana Impul.

    Bukan itu sahaja, ia juga diberikan roda aloi jejari-Y Impul Millennium 18-inci yang diperbuat di Jepun, bersama kemasan hitam dan berkilat. Ia dibaluti tayar Goodyear Eagle F1 Sport.

    Untuk bahagian kabinnya pula, Serena J Impul menerima kemasan spesifik untuk varian ini, dan kemasan tempat duduk dan pintu dibaluti kulik Nappa dalam skim warna burgundy dan hitam.

    Ciri lain masih dikekalkan termasuklah tailgate belakang terpisah untuk memudahkan pemandu dan penumpang memuatkan barangan di dalam ruang kargo jika MPV ini diparkir di kawasan sempit, serta dwi pintu gelangsar larasan kuasa. Turut diberikan tujuh port pengecasan USB, tirai suria binaan-dalam untuk tingkap, suis membuka pintu yang ditempatkan di barisan ketiga serta beberapa ruang storan pada segenap kabin.

    Nissan Serena J Impul C27 di M’sia – RM169,888

    Penjana kuasa bagi varian ini masih dikekalkan, iaitu unit MR20DD 2.0 liter naturally-aspirated empat-silinder sebaris petrol, yang mampu memberikan kuasa 150 hp dan tork 200 Nm. Pacuannya disalurkan ke roda hadapan menerusi Xtronic CVT. Penjimatan bahan apinya didakwa sekitar 14.2 km/liter (70.4 l/100 km), atau pun 852 km untuk satu tangki penuh, kata ETCM.

    Semua aksesori Impul yang diberikan turut menerima waranti tiga-tahun/100,000 km, dan Nissan Serena sendiri diberikan waranti lima-tahun/100,000 km menurut laman web Nissan Malaysia.

    Sebelum ini, model generasi C28 telah pun dilancarkan di Jepun pada November lalu, dan ia juga pernah dikesan diuji di Malaysia pada Mac 2023.

     
     
  • Mitsubishi Triton 2023 – harga semua varian naik

    Mitsubishi Triton 2023 – harga semua varian naik

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah membuat rujukan semula terhadap harga trak pikap Triton, dengan menyaksikan semua varian menerima peningkatan harga antara RM2,500 hingga RM8,300.

    Bermula dengan varian paling asas Triton Quest, ia sekarang dijual pada harga RM83,890 tidak termasuk insurans, iaitu lebih tinggi RM2,500 berbanding sebelum ini. Pergi kepada model double cab, Triton MT, harga barunya adalah RM109,000 (+RM5,800), diikuti Triton AT RM112,890 (+RM4,900).

    Varian atas padanya, Triton MT Premium sekarang RM5,000 lebih mahal, menjadi RM121,200, manakala Triton AT Premium menyaksikan peningkatan lebih tinggi, iaitu sebanyak RM8,000, menjadikan harganya RM134,900. Varian paling tinggi, Triton Athlete dijual pada harga RM154,900 (+RM8,300).

    Berikut adalah harga terbaru Triton (tidak termasuk insurans):

    • Triton Athlete – RM154,900
    • Triton AT Premium – RM134,900
    • Triton MT Premium – RM121,200
    • Triton AT – RM112,890
    • Triton MT – RM109,000
    • Triton Quest – RM83,890
     
     
  • UMW Toyota Motor jual 48,659 unit kenderaan bagi 1H 2023; naik 6%, tempahan Alphard, Vellfire dibuka

    UMW Toyota Motor jual 48,659 unit kenderaan bagi 1H 2023; naik 6%, tempahan Alphard, Vellfire dibuka

    UMW Toyota Motor (UMWT) telah mencatatkan jualan sebanyak 8,559 unit kenderaan Toyota dan 110 unit kenderaan Lexus bagi bulan Jun 2023. Gabungan jualan kedua-dua jenama ini secara terkumpul mencatatkan 8,669 unit, mengatasi jualan Mei yang merekodkan sejumlah 8,004 unit.

    Bagi jumlah jualan tahunan setakat Jun 2023, UMWT mencatatkan keseluruhannya 48,659 unit kenderaan terjual, melibatkan peningkatan 6% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

    “Kami di UMW Toyota Motor sentiasa berusaha untuk memperluaskan sempadan teknologi dan memperbaharui ekosistem mobilti. Pelancaran secara maya model Toyota Zenix serba baru misalnya mewakili kesungguhan kami untuk merangkul inovasi terkini, dalam usaha berterusan kami untuk mempertingkat gaya hidup pelanggan,” ujar Presiden UMWT, Datuk Ravindran Kurusamy.

    Dalam masa yang sama, UMW Toyota Motor juga mengumumkan yang MPV serba baru Toyota Alphard dan Vellfire kini sudah mula dibuka untuk tempahan, dengan harga anggaran RM538,000 atas jalan tidak termasuk insuran untuk Alphard 2.4T Executive Lounge, dan RM438,000 atas jalan tidak termasuk insuran untuk Vellfire 2.5.

    Syarikat itu juga telah mengumumkan musim keenam siri perlumbaan maya GR GT Cup Malaysia. Dianjurkan oleh UMWT dengan hadiah keseluruhan bernilai RM90,000, siri berkenaan merupakan yang pertama dan satu-satunya acara perlumbaan e-sukan yang dianjurkan oleh syarikat pengeluar kenderaan menurut UMWT, dan pusingan akhirnya akan diadakan pada 19 dan 20 Ogos nanti.

     
     
  • Toyota Alphard 2.4T Exec Lounge, Vellfire 2.5L 2023 dibuka untuk tempahan di M’sia, jangkaan dari RM438k

    Toyota Alphard 2.4T Exec Lounge, Vellfire 2.5L 2023 dibuka untuk tempahan di M’sia, jangkaan dari RM438k

    UMW Toyota kini secara rasmi mengumumkan tempahan untuk Toyota Alphard dan Vellfire 2023 sudah dibuka. Model ini baru sahaja didedahkan kepada dunia bulan lalu dan ia dibina atas platform Toyota New Global Architecture (TNGA) versi GA-K yang menjadikannya lebih tegap berbanding model generasi sebelumnya.

    Sama seperti senarai harga yang terdedah awal baru-baru ini, Alphard 2023 ditawarkan di Malaysia dalam versi Executive Lounge dengan enjin empat silinder 1.4L turbo dan transmisi automatik lapan kelajuan. Meskipun tidak dinyatakan secara jelas dalam siaran akhbar, enjin ini besar kemungkinan adalah unit T24A-FTS dengan kuasa 279 PS (275 hp atau 205 kW) dan tork 430 Nm.

    Perlu diketahui bahawa Alphard yang kita terima adalah berbeza dengan apa yang ditawarkan di Jepun. Di sana, Alphard tidak datang dengan enjin turbo, dan pilihan yang disediakan hanyalah enjin NA ataupun hibrid.

    Toyota Alphard 2.4T Exec Lounge, Vellfire 2.5L 2023 dibuka untuk tempahan di M’sia, jangkaan dari RM438k

    Pergi pula kepada Vellfire, pasaran Malaysia menerima versi dengan enjin 2.5L dan transmisi Super CVT-i dengan gear virtual tujuh kelajuan. Tidak dinyatakan sama ada ini adalah enjin NA ataupun hibrid, tetapi MPV yang lebih sporty ini datang dengan Front Performance Brace yang dikatakan dapat membantu penyampaian kuasa lebih cekap sambil memastikan pengendalian serta stabiliti yang mantap.

    Antara kelengkapan standard yang dinyatakan terdapat pada kedua-dua MPV baru ini adalah termasuk lampu utama LED penuh dengan lampu penunjuk arah sequential, tempat duduk balutan kulit, kemasan kayu di dalam, bumbung panoramik penuh, lampu suasana 64 warna serta lampu membaca.

    Di hadapan pemandu terdapat panel instrumen digital 12.3 inci serta head-up display, sementara perincian lain yang dapat membantu keselesaan penumpang adalah seperti tempat duduk yang mempunyai liang udara bersama fungsi penyejuk dan pemanas.

    Alphard Executive Lounge yang datang dengan tetapan tempat duduk 2-2-3 dijadikan lebih mewah dengan terdapat fungsi mengurut pada tempat duduk kapten baris kedua. Tersedia juga sistem Hybrid Long Slide yang membolehkan tempat duduk baris kedua dilungsur sehingga 480 mm (secara elektrik atau manual pada Alphard, manual pada Vellfire).

    Pakej keselamatan Toyota Safety Sense diberikan secara standard pada Alphard dan Vellfire 2023 ini, dengan termasuk fungsi Dynamic Radar Cruise Control, Lane Departure Alert, Road Sign Assist, Adaptive High-beam System dan Autonomous Emergency Braking.

    Berkenaan warna, UMWT menyediakan empat pilihan warna iaitu Platinum White Pearl, Precious Metal dan Black, manakala Precious Leo-Blond adalah eksklusif untuk Alphard dan memerlukan bayaran tambahan RM1,000. Berkenaan harga, kami hanya menerima harga jangkaan sahaja, iaitu RM538,000 untuk Alphard 2.4T Executive Lounge dan RM438,000 untuk Vellfire 2.5 (tidak termasuk insurans).

    GALERI: Toyota Alphard dan Vellfire 2023

     
     
  • Proton X70 2023 dapat varian baharu 1.5 TGDi Premium X 2WD – warna Quartz Black; dari RM127k

    Proton X70 2023 dapat varian baharu 1.5 TGDi Premium X 2WD – warna Quartz Black; dari RM127k

    Proton telah mengumumkan penawaran varian baharu bagi SUV X70 iaitu X70 1.5 TGDi Premium X. Ia dijual pada harga atas jalan RM126,800 tanpa insurans,iaitu lebih RM3,000 berbanding varian 1.5 TGDi Premium dan kurang RM2,000 dari 1.8 TGDi Premium.

    Bagi spesifikasi dan kelengkapannya, 1.5 TGDi Premium X lebih kurang sama dengan 1.5 TGDi Premium. Ia juga masih mengekalkan enjin yang sama iaitu 1.5 liter pengecas turbo dan sutnikan-terus tiga-silinder petrol yang mampu memberikan kuasa sebanyak 177 PS (174 hp atau 130 kW) dan tork 255 Nm, dipadankan bersama transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan yang memacu roda hadapan.

    Kelengkapan standard termasuk roda aloi 19-inci, lampu utama projektor LED, tailgate kuasa dengan akses bebas-tangan, upholstery kulit Nappa, tempat duduk hadapan larasan kuasa, sistem infotainmen skrin senetuh 8-inci, sembilan pembesar suara, enam beg udara, sistem keselamatan pasif dan bantuan pemandu aktif (AEB, kawalan kelajuan adaptif, amaran ketibaan lorong, pemantauan titik buta).

    Walau bagaimana pun, 1.5 TGDi Premium X diberikan ciri khas termasuk bumbung suria larasan kuasa, yang sebelum ini hanya ditawarkan untuk varian 1.8 TGDi Premium yang memiliki enjin berkapasiti lebih besar iaitu 1.8 liter pengecas turbo empat-silinder. Malahan 1.5 TGDi Premium X turut menerima warna eksklusif iaitu Quartz Black, selain warna sedia ada iaitu Snow White dan Jet Grey.

     
     
  • Kia Picanto facelift didedah secara rasmi – rekaan luar lebih agresif, pilihan enjin NA 1.0L atau 1.2L, FWD

    Kia Picanto facelift didedah secara rasmi – rekaan luar lebih agresif, pilihan enjin NA 1.0L atau 1.2L, FWD

    Kia Picanto generasi ketiga kini diberikan facelift buat kali kedua, dengan membawa penampilan yang lebih menyerlah, inspirasi daripada SUV elektrik EV9. Hatchback segmen A ini sekarang nampak lebih garang dan moden dengan lampu utama berbentuk Y serta gril tengah yang mempunyai jalur krom tebal.

    Di belakang juga lampunya menggunakan rekaan baru, dengan mendapat sambungan jalur LED di bahagian tengah, sementara bampar baru mempunyai pemantul cahaya menegak di setiap penjuru. Menambahkan ciri sporty, terdapat diffuser di bahagian tengah dan muncung ekzos disembunyikan.

    Penampilan agresif ini sebenarnya adalah untuk model GT-Line. Sekiranya mahukan sesuatu yang lebih biasa, versi asas juga ada ditawarkan, seperti yang boleh dilihat melalui model yang terdapat dalam laman web Kia Korea Selatan. Rekaan bamparnya lebih ringkas, dengan di hadapan tidak mempunyai kemasan tambahan di bahagian bukaan bawah, sementara di belakang ia tidak mempunyai diffuser.

    Kia Picanto facelift didedah secara rasmi – rekaan luar lebih agresif, pilihan enjin NA 1.0L atau 1.2L, FWD

    Perubahan di bahagian dalam tidak begitu banyak, dengan papan pemuka masih kelihatan sama, tetapi terdapat skrin sesentuh lapan inci baru di bahagian tengah. Sistem yang digunakan untuk infotainmen boleh disambung dengan Android Auto dan Apple Carplay, dan ia juga boleh disambung kepada internet untuk membolehkan kemas kini perisian secara dalam talian.

    Satu lagi perubahan utama adalah panel instrumen, yang mendapat unit digital 4.2 inci. Turut disediakan adalah pendingin hawa automatik, tempat duduk hadapan dengan ciri pemanas, tempat duduk pemandu berliang serta pelbagai sistem bantuan pemandu (ADAS).

    Ini termasuklah Forward Collision-Avoidance Assist (AEB), Blind Spot Monitoring, Lane Keep Assist, Lead Vehicle Departure Warning, Lane Follow Assist, Rear Cross Traffic Alert, Driver Attention Warning dan Speed Limit Assist.

    Pemilik Picanto baru ini juga boleh menjadikan kenderaan mereka lebih unik dengan pilihan rim bersaiz 14 hingga 16 inci, sembilan warna badan (empat yang baru adalah Signal Red, Smoke Blue, Sporty Blue dan Adventurous Green), balutan dalam fabrik atau kulit (bergantung kepada varian) serta pelbagai jenis kemasan lain.

    Berkenaan enjin, Picanto tidak lagi ditawarkan dengan enjin tiga silinder 1.0 liter turbo T-GDI berkuasa 100 PS (99 hp atau 74 kW), dan sekarang hanya datang dalam dua pilihan enjin NA iaitu tiga silinder 1.0L MPI atau empat silinder 1.2L MPI.

    Kia tidak mendedahkan jumlah kuasa sebenar, tetapi mengikut spesifikasi sebelum ini, enjin 1.0L itu mampu menghasilkan 67 PS (66 hp atau 49 kW), manakala enjin 1.2L berkuasa 84 PS (83 hp atau 62 kW). Transmisi terdiri dari sama ada unit manual lima kelajuan, atau manual automatik lima kelajuan, untuk menghantar kuasa ke roda hadapan. Di Korea Selatan, Picanto hanya datang dengan enjin 1.0L dan transmisi automatik empat kelajuan.

    GALERI: Kia Picanto GT-Line facelift 2023 (pasaran Eropah)

    GALERI: Kia Picanto facelift 2023 (pasaran Korea Selatan)

     
     
  • Peugeot 408 fastback 2023 dikesan diuji di Malaysia

    Peugeot 408 fastback 2023 dikesan diuji di Malaysia

    Peugeot 408 2023 dikesan sedang diuji di Malaysia oleh pengguna Instagram @jw0n. Kelihatan sedan segmen-C dengan gaya konservatif itu kini bertukar menjadi fastback crossover segmen-C seperti mana yang anda boleh lihat menerusi foto ini.

    Buat masa ini tiada perkhabaran dari pengedar Peugeot di Malaysia adakah 408 bakal dibawa masuk ke pasaran tempatan, namun unit yang sedang diuji ini kebarangkalian milik Stellantis, yang mengambil alih kilang pemasangan milik Naza di Gurun. Kedah. Di mana kilang berkenaan telah ‘membawa’ kebanyakan model yang dibawa masuk oleh Stellantis untuk diuji di sini, namun sehingga kini tiada satu pun yang dijual di pasaran kita. Adakah 408 ini juga mengalami nasib yang sama? Kita masih menantikan perkembangan selanjutnya.

    Peugeot 408 2023 dijual di Thailand sebagai model plug-in hybrid, berharga 2,790,000 baht atau kalau ikut tukaran mata wang asing sekarang lebih kurang RM371k. Penjana plug-in hybrid ini terdiri daripada enjin 1.6 liter turbo dengan 180 PS dan tork 250 Nm pada 1,750 rpm, dan motor elektrik dengan kuasa 110 PS dan 320 Nm, yang dijanakan oleh bateri lithium-ion yang ditempatkan di bawah lantai but. Jumlah keseluruhan kuasa yang terhasil mencecah 225 PS dan 360 Nm, disalurkan menerusi transmisi automatik lapan-kelajuan.

    Sistem PHEV 408 ini mampu memberikan jarak gerak elektrik sehingga 63 km mengikut kitaran WLTP. Pengecasannya menggunakan punca kuasa AC 7.4 kW mengambil masa sekitar satu jam 55 minit.

    Model fastback ini berukuran 4,687 mm panjang dan 1,848 lebar, iaitu 64 mm lebih panjang tapi kurang 7 mm lebar berbanding Honda CR-V. Manakala jarak rodanya mencecah 2,787 mm.

    Adakah Peugeot 408 ini mempunyai tempat di pasaran Malaysia? Atau pun kehadirannya nanti mungkin ‘overlap’ dengan Peugeot 3008 yang sudah lama dijual di sini?

     
     
  • Honda City facelift 2023 diperkenal di Thailand — Honda Sensing untuk semua varian; harga dari RM84k

    Honda City facelift 2023 diperkenal di Thailand — Honda Sensing untuk semua varian; harga dari RM84k

    Honda City facelift 2023 telah diperkenalkan di Thailand, dan terus ditawarkan dalam lima varian dengan sedikit perubahan — tiada lagi varian S, yang kini digantikan dengan varian baru e:HEV SV.

    Dengan ini, harga Honda City 2023 di sana bermula dengan varian V dengan harga 629,000 baht (RM83,909), diikuti oleh SV dengan 679,000 baht (RM90,579), RS dengan harga 749,000 baht (RM99,917), e:HEV SV dengan 769,000 baht (RM102,555) dan yang terakhir, e:HEV RS dengan 839,000 baht (RM111,921).

    Dengan enjin yang masih sama, varian V, SV dan RS di Thailand masih menggunakan unit 1.0 liter turbocas tiga-silinder petrol yang menjana 122 PS (121 hp atau 90 kW) pada 5,500 rpm dan 173 Nm tork dari 2,000 hingga 4,500 rpm. Enjin ini digandingkan dengan CVT.

    Honda City facelift 2023 diperkenal di Thailand — Honda Sensing untuk semua varian; harga dari RM84k

    Sebaliknya bagi varian e:HEV, ia memanfaatkan sistem hibrid Honda, Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) dengan motor elektrik 109 PS (107 hp atau 80 kW) dan 253 Nm memacu roda depan. Enjin pula akan masuk dengan E-CVT untuk memacu kereta ini dalam kelajuan tinggi, menjadikannya lebih jimat dan cekap.

    Pembaharuan yang dilakukan untuk City 2023 ini adalah terhadap penampilannya. Di depan, ada jalur krom yang lebih nipis, yang selari dengan rekaan baru gril dan bukaan udara di bahagian bawahnya. Gril dengan rekaan jalur adalah untuk varian selain RS, dengan RS hadir bersama rekaan honeycomb. Model RS juga datang dengan skirting, lampu kabus dan apron bawah yang berbeza yang lebih sporty.

    Perubahan lain turut melibatkan rekaan bampar belakang baru, dengan model RS tampil dengan rekaan ala diffuser yang dipadankan dengan spoiler — antena juga dalam warna sama. Pelanggan di Thailand juga boleh memilih dari katalog Modulo dengan tambahan kemasan seperti di bahagian fender, skirting keliling badan, rim Modulo dan spoiler belakang yang lebih menonjol.

    Honda City facelift 2023 diperkenal di Thailand — Honda Sensing untuk semua varian; harga dari RM84k

    Di dalam, City kekal dengan rekaan papan pemuka yang sama. Antara kelainan yang diberikan ialah paparan multi-info 4.2-inci TFT ada untuk varian VTEC Turbo. Model RS pula menerima kemasan balutan campuran kulit dan kulit buatan, manakala varian SV dengan kemasan kulit buatan roda hitam-merah di bahagian konsol tnegah dan panel pintu.

    Selebihnya adala perbezaan penawaran antara varian — VTEC Turbo, V dan SV datang dengan lampu projector automatik, rim aloi 15-inci, pendingin automatik, sistem tanpa kunci, penghidup enjin jarak jauh, sistem idling stop, head unit Advanced Touch lapan-inci (V lebih asas tanpa skrin sentuh), Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, empat pembesar suara, empat beg udara, ABS, EBD, bantuan brek, VSA bantuan mula mendaki, kamera undur multi-sudut (V tiada ciri ini) dan Isofix.

    RS pula menerima kelengkapan tambahan seperti lampu LED, rim 16-inci lebih sporty, paddle shifter, dua output kuasa penumpang belakang, perehat lengan belakang, lapan pembesar suara, enam beg udara dan sistem telematik Honda Connect.

    Varian hibrid e:HEV pula sama kelengkapan dengan SV, tetapi dengan beberapa ciri khas sendiri: rim aloi 16-inci, corong udara belakang, brek parkir elektronik (dengan Auto Brake Hold), paparan tujuh-inci dalam kluster instrumen dan dua slot USB-C di belakang.

    Varian paling tinggi juga ada pertambahan lempu utama LED, rim sporty 16-inci, lapan pembesar suara dan enam beg udara. Ini juga satu-satunya varian yang dilengkapi dengan Honda LaneWatch. Yang menjadikan kemaskini berkenaan penting juga adalah penawaran Honda Sensing yang kini diberikan untuk semua varian City di Thailand — sebelum ini haya untuk e:HEV RS sahaja.

    Sistem berkenaan terdiri daripada ciri seperti Collision Mitigation Braking System (CMBS), Lane Keeping Assist System (LKAS), Road Departure Mitigation System dengan Lane Departure Warning (RDM dengan LDW), Auto High-Beam (AHB) dan Lead Car Departure Notification System (LCDN). Adaptive Cruise Control (ACC) juga ada, dan untuk varian e:HEV, ia kini hadir dengan fungsi low-speed follow.

    Selepas Thailand, Malaysia mungkin tidak perlu menunggu lama untuk versi baru City ini diperkenalkan pula, dengan kemaskini yang juga sama boleh dijangka.

     
     
  • Volkswagen Tiguan Allspace 2023 terima IQ.Drive — AEB, ACC, pengecas tanpa wayar; dari RM167k

    Volkswagen Tiguan Allspace 2023 terima IQ.Drive — AEB, ACC, pengecas tanpa wayar; dari RM167k

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah mengemaskini penawaran Tiguan Allspace dengan menyertakan sistem bantuan pemandu IQ.Drive, yang kini standard untuk semua tiga varian yang ada: Life, Elegance dan R-Line 4Motion.

    Dengan pertambahan sistem berkenaan, Tiguan Allspace kini lengkap dengan ciri AEB, kawalan melayar adaptif, peninjau titik buta, amaran lintasan trafik di belakang dan bantuan lorong. SUV ini juga lengkap dengan ciri pengecas telefon tanpa wayar.

    Selain pertambahan ini, semua kelengkapan kekal sama seperti sebelumnya, termasuk sistem janaan kuasa — Life dan Elegance terus menggunakan enjin 1.4 liter turbo empat-silinder TSI yang menjana 150 PS (148 hp atau 110 kW) dan 250 Nm tork, yang digandingkan bersama transmisi enam-kelajuan klac berkembar.

    Volkswagen Tiguan Allspace 2023 terima IQ.Drive — AEB, ACC, pengecas tanpa wayar; dari RM167k

    Varian R-Line 4Motion pula menggunakan enjin 2.0 liter turbocas empat-silinder TSI yang menghasilkan 220 PS (217 hp atau 162 kW) dan 350 Nm. Ini dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan serta sistem pacuan semua roda 4Motion.

    Tiguan Allspace menjadi model terbaru yang dilengkapi dengan ciri IQ.Drive, selepas Golf GTi dan Arteon, dan layak untuk Volkswagen Assurance Package (VAP). Ini datang bersama jaminan lima-tahun, tanpa had perbatuan dan pakej penyelenggaraan percuma untuk tiga tahun atau 45,000 km.

    Bergantung kepada model, VAP dinilaikan dari RM8,000 hingga RM10,000. Pelanggan yang tidak memilih untuk menikmati hal berkenaan hanya akan menerima jaminan dua-tahun dan tanpa had perbatuan — bantuan tepi jalan selama lima-tahun bagaimanapun tetap disertakan.

    Tiguan Allspace kini dijual pada harga RM166,590 atas jalan tidak termasuk insuran bagi bagi varian Life. Ini diikuti Elegance dengan harga RM195,590, dan R-Line 4Motion dengan harga RM247,073.60.

    Semua angka ini tanpa VAP. Jika inginkan lanjutan jaminan dan pakej servis percuma, varian Life dan Elegance akan naik RM8,000, dengan masing-masing menjadi RM174,590 dan RM203,590. VAP untuk varian paling tinggi pula RM10,000, menjadikan harga varian R-Line 4Motion RM257,073.60.

     
     
  • Harga minyak 6-12 Julai – Tiada perubahan

    Harga minyak 6-12 Julai – Tiada perubahan

    Kementerian Kewangan mengumumkan untuk minggu bertarikh 6 hingga 12 Julai 2023, tiada perubahan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel.

    Di mana petrol RON 97 kekal pada harga RM3.37 seliter. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada akhir Mei lalu, kerajaan telah mengumumkan bahawa Pangkalan Data Utama (PADU) dijangka siap menjelang akhir hujung tahun ini, dan ia akan diguna pakai untuk pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON 95 dan diesel tahun depan.

     
     
  • Honda CBR1000RR-R Fireblade SP 30th Anniversary Edition tiba di Malaysia – RM208k, suspensi Ohlins

    Honda CBR1000RR-R Fireblade SP 30th Anniversary Edition tiba di Malaysia – RM208k, suspensi Ohlins

    Boon Siew Honda Malaysia mengumumkan ketibaan CBR1000RR-R Fireblade 30th Anniversary Edition ke pasaran Malaysia, dengan dijual pada harga RM208,000 tidak termasuk insurans. Model ini datang dalam warna istimewa Pearl Glare White.

    Mengambil asas daripada CBR1000RR-R Fireblade SP yang diperkenalkan pada hujung tahun 2021, model ini menggunakan enjin empat silinder 999 cc berkuasa 214 hp pada 14,500 rpm dan tork 112 Nm pada 12,500 rpm. Jika dibandingkan dengan model generasi sebelumnya, model baru ini mendapat pelbagai peningkatan termasuk pada salur intake dan datang terus dengan ekzos Akrapovic.

    Tiga mod tunggangan disediakan, dan penunggang boleh melaras tahap kuasa enjin, wheelie control, engine brake serta kawalan cengkaman mengikut kesesuaian. Unit IMU six-axis akan mengawal sistem kawalan cengkaman, Wheelie Control, Cornering ABS serta steering damper elektronik HESD.

    Sebagai sebuah model SP, suspensi model ini menggunakan unit Ohlins kawalan elektronik, yang terdiri daripada fork NPX 43 mm di hadapan dan monoshock TTX36 di belakang. Brek menggunakan cakera 330 mm berkembar dengan angkup Brembo Stylema di hadapan dan cakera 220 mm serta angkup Brembo dua piston di belakang.

    Menjadikan versi sambutan ulang tahun ini lebih istimewa adalah ukiran nombor keluaran serta tulisan CBR1000RR-R Fireblade 30th Anniversary Edition pada triple clamp atas, serta logo sambutan ulang tahun tersebut pada tangki bahan api, kunci serta ekzos.

    GALERI: Honda CBR1000RR-R Fireblade SP 30th Anniversary 2022

     
     
  • Perodua Bezza generasi kedua akan muncul 2-3 tahun lagi, tampil rekaan lebih berorientasikan ASEAN

    Perodua Bezza generasi kedua akan muncul 2-3 tahun lagi, tampil rekaan lebih berorientasikan ASEAN

    Perodua mengesahkan bahawa model generasi baharu bagi satu-satunya sedan yang dihasilkan jenama berkenaan iaitu Bezza bakal muncul dalam tempoh dua atau tiga tahun dari sekarang.

    Perkara ini disebut oleh presiden dan CEO Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad dalam sidang media Pertandingan Rekaan Sedan Kompak Asia (ACSDC) 2023 di Putrajaya dan dilaporkan oleh akhbar NST. Menurutnya lagi Perodua merancang untuk menghasilkan Bezza generasi baharu tersebut dengan rekaan lebih berorientasikan pengguna di rantau ASEAN.

    ACSDC 2023 dianjurkan sendiri oleh Perodua dengam kerjasama Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) bagi mengumpulkan rekaan sedan yang memenuhi selera pengguna ASEAN, serta untuk mempromosikan rekaan yang bagus dan merangsang daya saing di kalangan pereka kereta.

    Zainal turut menyatakan pertandingan ini disasarkan untuk menarik lebih banyak idea yang bertenaga serta mencungkil lebih ramai bakat muda yang meminati reka bentuk automotif, dan menambah dengan penyertaan peserta dari negara ASEAN lain ia akan membolehkan pelbagai idea diserap dari serata pelusuk rantau ini untuk menghasilkan rekaan Bezza generasi seterusnya.

    Perodua Bezza generasi kedua akan muncul 2-3 tahun lagi, tampil rekaan lebih berorientasikan ASEAN

    Beliau menjelaskan pertandingan ini akan mengambil masa selama tujuh bulan sebelum lapan peserta akhir dipilih. Peserta-peserta yang berjaya ke peringkat seterusnya itu akan menghasilkan model skala penuh bagi rekaan mereka dan membuat pembentangan berkenaan setiap rekaan pada model tersebut.

    Bos Perodua itu turut menegaskan pertandingan ini bukan hanya akan menjadi platform bagi mengumpulkan inspirasi rekaan, malah itu turut akan menyumbang bagi membawa Malaysia menjadi hab seterusnya untuk rekaan automotif dalam rantau ini.

    Menurut pengarah MRM Husaini Ismail pula berkata menerusi pertandingan ini juga peserta berpeluang untuk memenangi hadiah dan insentif berjumlah lebih dari RM100,000.

    Bagi Bezza generasi sedia ada, ia diasaskan dari hatchback Perodua Axia generasi terdahulu serta ditawarkan dengan enjin berkapasiti 1.0 dan 1.3 liter (Axia hanya hadir dengan enjin 1.0L). Badan atas model berkenaan dihasilkan sepenuhnya oleh Perodua di fasiliti R&D yang terletak di Rawang, dan model ini hanya dijual di Malaysia tanpa dijelmakan dalam versi Daihatsu atau Toyota untuk pasaran lain.

    Perodua Bezza generasi kedua akan muncul 2-3 tahun lagi, tampil rekaan lebih berorientasikan ASEAN

    ‘Resipi’ yang bakal digunakan untuk Bezza generasi baharu berkenaan mungkin sama dengan sebelum ini, dengan menjadikan Axia generasi kedua yang baru dilancarkan pada Februari lalu sebagai asas.

    Bagi Axia 2023 berkenaan, ia dibangunkan menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA). Model ini masih hanya menerima enjin 1KR-VE 1.0L VVT-i tiga-silinder berkuasa 67 hp/91 Nm, namun kotak gear automatik empat kelajuan sebelum ini telah digantikan dengan transmisi D-CVT.

    Axia juga telah diberikan sistem bantuan pemanduan ASA 3.0 yang memberikan fungsi seperti AEB, amaran pergerakan kereta depan dan lain-lain. Ia juga menerima beberapa perincian yang lebih canggih dari Myvi seperti panel instrumen digital sepenuhnya dengan skrin 7.0-inci.

     
     
  • MRT Laluan Kajang bakal sediakan koc khas wanita

    MRT Laluan Kajang bakal sediakan koc khas wanita

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke bakal mengumumkan fasa percubaan koc wanita bagi perkhidmatan MRT Laluan Kajang dalam masa terdekat ini. Ia sebagai salah satu inisiatif untuk penumpang wanita demi keselesaan dan keselamatan mereka.

    “Koc wanita yang dilaksanakan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sejak beberapa tahun lalu memang satu perkhidmatan diminati golongan wanita.

    “Kita faham pengguna pengangkutan awam terutama wanita ada kebimbangan keselamatan dan ada rasa tidak selesa kalau berpusu-pusu dalam satu gerabak bimbang diganggu dan sebagainya jadi kita akan cuba perkenalkan koc wanita untuk MRT,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

    Jelasnya, memang ada kekangan dan cabaran apabila memperkenalkan koc wanita dalam MRT.

    “Berbeza dengan komuter KTMB, perjalanannya antara bandar jarak jauh dan tidak banyak stesen. KTMB ada enam koc tetapi MRT dan LRT ada empat koc saja jadi kalau dedikasikan satu koc untuk wanita maka dari segi operasi agak mencabar dan transit pergerakan penumpangnya agak cepat dan sukar kita kawal.

    “Apapun kita akan cuba perkenalkan koc wanita ini untuk MRT dan kita lihat apakah maklum balas daripada rakyat nanti,” katanya.

    Pada 28 April 2010, koc wanita diperkenalkan dalam perkhidmatan tren Komuter dan berjaya menarik minat 60% penumpang wanita.

     
     
  • BYD lancar pakej servis selepas jualan untuk Malaysia – pilihan tempoh tiga ke lapan tahun, dari RM1.7k

    BYD lancar pakej servis selepas jualan untuk Malaysia – pilihan tempoh tiga ke lapan tahun, dari RM1.7k

    Sime Darby Motors selaku pengedar rasmi kenderaan BYD di Malaysia telah memperkenalkan beberapa pakej servis untuk pemilik kenderaan jenama itu, yang mengikut selang masa tertentu. Ia antaranya adalah Service Standard Package dan Service Plus Package, dengan harga yang berbeza mengikut tempoh yang dipilih.

    Bagi Service Standard Package, ia ditawarkan untuk tempoh masa tiga, enam atau lapan tahun, atau apabila mencecah 60,000 km, 120,000 km atau 160,000 km. Harganya masing-masing adalah antara RM1,688 ke RM4,888. Dalam pakej ini, antara perkara yang dimasukkan sekali adalah servis minyak reducer, penukaran penapis pendingin hawa, servis bendalir brek, servis coolant dan servis pendingin hawa.

    Pergi pula kepada Service Plus Package, ia ditawarkan untuk tempoh masa enam tahun atau lapan tahun, bersama jarak batuan masing-masing 120,000 km atau 160,000 km. Harganya adalah antara RM7,888 hingga RM12,888.

    Melalui pakej ini, anda akan mendapat servis tambahan yang termasuk penukaran cecair pencuci cermin, penukaran pengelap cermin (depan dan belakang), penukaran bateri kunci kawalan jauh, penukaran bateri 12V, penukaran pad brek (depan dan belakang) serta penukaran cakera brek (depan dan belakang).

    Selain pusat servis, BYD juga mempunyai tiga pusat cat dan badan di sekitar Semenanjung Malaysia, iaitu di Pulau Pinang, Bukit Jelutong dan Johor Bahru. Menurut Sime Darby Motors, ia boleh menerima kerja baik pulih badan kecil dan besar, dan dilengkapi dengan dengan pelbagai peralatan canggih.

     
     
  • Perbandingan spesifikasi Harley-Davidson X440 dan Triumph Speed 400 – kuasa, kelengkapan jauh beza

    Dalam dunia motosikal sekarang sedang hangat tentang kemunculan dua model kapasiti pertengahan yang dikeluarkan oleh pengeluar terkemuka, Harley-Davidson dan Triumph dengan kerjasama dua pengeluar motosikal terbesar di India, iaitu Hero Motocorp dan Bajaj Motorcycles. Ia adalah Harley-Davidson X440 dan Triumph Speed 400 (dan juga Scrambler 400).

    Dengan spesifikasi penuh yang sudah dikeluarkan apabila kedua-duanya dilancarkan buat pertama kali di India, menarik untuk kita lihat di manakah perbezaannya dan mungkin boleh membantu sekiranya anda berkira-kira untuk memiliki sebuah motosikal klasik moden kelas ini. Walaupun masih awal, ketibaan dua model ini ke pasaran Malaysia adalah tidak mustahil.

    Melihat pertama sekali kepada penampilan, Speed 400 yang dihasilkan oleh Triumph dengan kerjasama Bajaj nampak lebih premium dengan kemasan brushed aluminium, penutup bahagian tepi enjin powder coated, fork berwarna emas, cermin sisi di hujung pemegang serta cat dua tona pada tangki.

    Pergi pula kepada dimensi, Speed 400 menyediakan tempat duduk yang lebih rendah iaitu 790 mm berbanding 805 mm pada X440, manakala jarak roda pula X440 lebih panjang (1,418 mm vs 1,377 mm). Dalam keadaan sedia ditunggang, X440 adalah lebih berat, dengan catatan 190.5 kg, manakala Speed 400 adalah 176 kg. Tangki bahan api X440 adalah 0.5 liter lebih besar, iaitu 13.5 liter, berbanding 13 liter pada Speed 400.

    Pada bahagian enjin, kedua-duanya menggunakan unit satu silinder dengan sistem suntikan bahan api tetapi dengan kapasiti yang berbeza iaitu 398 cc untuk Speed 400 dan 440 cc untuk X440. Walaupun nampak enjin Speed 400 lebih kecil, ia sebenarnya lebih berkuasa dengan mampu menghasilkan 39.5 hp pada 8,000 rpm dan 37.5 Nm pada 6,500 rpm. Enjin X440 pula cuma mampu menghasilkan 27 hp pada 6,000 rpm dan 38 Nm pada 4,000 rpm.

    Penggunaan nisbah mampatan yang lebih tinggi, iaitu 12:1 pada Speed 400 (berbanding 9.5:1 pada X440) mungkin antara sebab enjinnya menjadi lebih berkuasa, dan ia juga mendapat kelebihan lain seperti DOHC dan sistem penyejukan cecair. Untuk transmisi, kedua-duanya menggunakan unit enam kelajuan.

    Kami menjangkakan terdapat rasa tunggangan yang berbeza antara dua motosikal ini memandangkan ia menggunakan tetapan suspensi yang berlainan di belakang (dua penyerap hentak dengan lengan ayun besi petak pada X440 dan satu penyerap hentak dengan lengan ayun cast aluminium pada Speed 400), sementara fork hadapan adalah sama iaitu unit 43 mm USD (tanpa pelarasan).

    Selain daripada itu, X440 juga datang dengan rim berbeza saiz, iaitu 18 inci dengan tayar 100/90 di hadapan, dan 17 inci dengan tayar 140/70 di belakang, sementara pada Speed 400, kedua-duanya adalah unit 17 inci (tayar 110/70 dan 150/60). Brek kedua-dua model ini menggunakan tetapan cakera hadapan dan belakang, bersama angkup dari Bybre serta sistem ABS secara standard, tetapi saiz cakera X440 adalah lebih besar (320 mm/240 mm vs 300 mm/230 mm).

    Satu lagi perbezaan besar antara dua model ini adalah pada bahagian meter, di mana Speed 400 masih lagi menggunakan unit gabungan analog dan LCD, sementara X440 mendapat unit TFT 3.5 inci, yang boleh disambung kepada telefon pintar dan memberikan paparan navigasi bagi varian paling tinggi.

    Melihat kepada kelengkapan lain, kedua-duanya mendapat semua lampu jenis LED, tetapi Speed 400 mendapat satu lagi kelebihan pada sistem keselamatan, di mana ia datang dengan kawalan cengkaman yang boleh ditutup menggunakan suis pada pemegang.

    Akhir sekali berkenaan harga, kita masih belum dapat membuat perbandingan kerana harga untuk Speed 400 masih belum didedahkan, tetapi untuk X440, ia ditawarkan dalam tiga varian dengan harga antara 229,000 rupee (RM13,029) hingga 269,000 rupee (RM15,305).

    GALERI: Harley-Davidson X440

    GALERI: Triumph Speed 400

     
     
  • Harga Honda Civic 2023 dengan enjin VTEC Turbo di Malaysia naik RM1,200, varian RS e:HEV kekal sama

    Harga Honda Civic 2023 dengan enjin VTEC Turbo di Malaysia naik RM1,200, varian RS e:HEV kekal sama

    Semalam tular senarai harga untuk Honda HR-V yang naik RM1,100 bermula hari ini, 5 Julai 2023. Namun setelah kami buat semakan di laman web rasmi Honda Malaysia hari ini, bukan hanya harga HR-V yang naik, malah harga Civic dan City Hatchback turut naik.

    Untuk harga baharu City Hatchback, anda boleh semak pada PAUTAN INI. Manakala untuk Civic FE, dapat dilihat kesemua varian yang dijana oleh enjin 1.5L VTEC Turbo naik RM1,200, sementara model hibrid RS e:HEV pula masih lagi kekal.

    Ketika dilancarkan pada Januari 2022, Honda Civic generasi ke-11 ini diperkenalkan dengan harga tanpa cukai jualan (SST) menerusi insentif yang ditawarkan oleh kerajaan sewaktu negara berhadapan dengan pandemik Covid-19. Harga model ini kemudiannya disemak semula selepas 30 Jun 2022 apabila insentif berkenaan tamat.

    Harga Honda Civic 2023 dengan enjin VTEC Turbo di Malaysia naik RM1,200, varian RS e:HEV kekal sama

    Untuk kemaskini terbaharu, bermula hari ini varian paling asas Honda Civic 1.5L E dijual pada harga RM131,900, naik RM1,200 berbanding RM130,700 sebelum ini. Ia diikuti model 1.5 V dijual pada harga RM144,900 (sebelum ini RM143,700), manakala varian tertinggi untuk model dijana enjin turbo iaitu 1.5L RS kini dijual pada harga RM151,900 (sebelum ini RM150,700).

    Semua harga yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran. Dan seperti yang disebut tadi, Civic dengan unit rangkaian kuasa hibrid i-MMD iaitu RS e:HEV masih kekal dijual pada harga RM166,900.

    Awal tahun ini Honda Malaysia ada mengeluarkan kenyataan bahawa ia tidak bercadang menaikkan untuk menaikkan harga model-model baharu keluarannya, namun dengan keadaan ekonomi sedia ada terutamanya nilai ringgit yang kini dilihat semakin lemah, langkah ini nampaknya tidak boleh dielakkan.

    Sekali lagi kami senaraikan harga untuk Honda Civic 2023 pasaran Malaysia bermula 5 Julai 2023 bagi memudahkan rujukan anda:

  • Civic 1.5L E – RM131,900
  • Civic 1.5L V – RM144,900
  • Civic 1.5L RS – RM151,900
  • Civic e:HEV 2.0L RS – RM166,500 (tidak berubah)
  • GALERI: Honda Civic 1.5 RS 2023

    GALERI: Honda Civic 1.5 V 2023

    GALERI: Honda Civic RS e:HEV 2023


     
     
  • Honda City Hatchback 2023 di Malaysia – harga naik RM300 untuk varian petrol; RS e:HEV dikekalkan

    Honda City Hatchback 2023 di Malaysia – harga naik RM300 untuk varian petrol; RS e:HEV dikekalkan

    Selepas mengumumkan kenaikan harga bagi barisan Honda HR-V 2023 di Malaysia, kini tibalah pula giliran harga baharu bagi City Hatchback pula dikemaskinikan. Ia melibatkan kenaikan harga sehingga RM300 untuk kesemua varian, kecuali bagi model spesifikasi tertinggi 1.5L RS yang masih kekal RM109,800 tanpa insurans.

    Bermula dengan varian asas, 15L S kini berharga RM78,900 (sebelum ini RM78,600), 1.5L E pula RM86,900 (sebelum ini RM86,600), 1.5L V berharga RM91,900 (sebelum ini RM91,600), dan 1.5L V Sensing kini RM95,900 (sebelum ini RM95,600); kesemuanya adalah harga atas jalan tanpa insurans. Seperti HR-V, terdapat pertambahan surcaj sebanyak RM300 untuk warna luaran Platinum White Pearl.

    Walau pun melibatkan kenaikan harga, namun tiada perubahan spesifikasi untuk City Hatchback di Malaysia. Varian petrol – S, E, V, dan V Sensing – dijanakan oleh enjin 1,498 cc naturally-aspirated empat-silinder petrol yang mampu menghamburkan kuasa 121 PS pada 6,600 rpm dan tork 145 Nm pada 4,300 rpm, menyalurkan pacuan ke roda hadapan menerusi continuously variable transmission.

    Honda City Hatchback 2023 di Malaysia – harga naik RM300 untuk varian petrol; RS e:HEV dikekalkan

    Honda City Hatchback 1.5 V

    City Hatchback RS e:HEV pula digerakkan oleh unit rangkaian kuasa yang sama seperti versi sedan RS e:HEV. Ia menerima unit rangkaian kuasa hibird i-MMD (intelligent-Multi Mode Drive) yang terdiri dari enjin 1.5 liter i-VTEC kitaran-Atkinson berkuasa 98 PS dan tork maksima 127Nm.

    Ia digandingkan dengan dua motor elektrik iaitu unit motor generator (MGU) yang bertindak sebagai motor penghidup dan pengecas semula bateri hibrid, bersama satu lagi motor utama yang digelar sebagai Traction Motor.

    Tiada kotak gear konvensional diberikan pada sistem i-MMD ini kerana kebanyakkan masa termasuk semasa mula bergerak, tayar hadapan dipacu oleh Traction Motor berkenaan yang menyediakan 109 PS dan tork maksima 253 Nm bermula dari 0 rpm, manakala enjin petrol hanya bertugas untuk mengecas bateri lithium-ion.

    Berikut merupakan harga terkini bagi barisan Honda City Hatchback 2023 di Malaysia:

    • 1.5L S – RM78,900
    • 1.5L E – RM86,900
    • 1.5L V – RM91,900
    • 1.5L V Sensing – RM95,900
    • 1.5L e:HEV RS – RM109,800

    Honda City Hatchback e:HEV 1.5 RS 2022

     
     
  • Purem Aapico akan bekalkan sistem ekzos untuk Proton – komponen dikilangkan di Malaysia

    Purem Aapico akan bekalkan sistem ekzos untuk Proton – komponen dikilangkan di Malaysia

    Dengan termeterainya perjanjian kerjasama strategik antara Proton dan Aapico Hitech minggu ini, salah sebuah syarikat pengeluar komponen automotif terbesar dari Thailand berkenaan turut mengumumkan bahawa satu lagi kerjasama Aapico akan masuk ke pasaran Malaysia, iaitu pembekalan sistem ekzos kawalan emisi kepada Proton.

    Tugas tersebut akan dilaksanakan menerusi Purem Aapico, iaitu syarikat kerjasama antara pembekal komponen ekzos dari Jerman Purem International dan juga Aapico Hitech. Kedua-dua syarikat itu telah menandatangani perjanjian kerjasama di Thailand pada Ogos tahun lalu, dengan Purem (yang juga merupakan sebahagian dari Eberspacher Group) memegang 51% saham, dan selebihnya dimiliki oleh Aapico.

    Kerjasama ini mensasarkan untuk mengilang dan membekalkan sistem serta komponen ekzos untuk pelbagai pengeluar kenderaan komersil dan juga penumpang bukan hanya di Thailand, malah untuk pasaran ASEAN. Produksi di Thailand akan dibuat di kilang baharu yang sedang dibangunkan di Amata City Rayong, yang terletak kira-kira 100km di tenggara Bangkok.

    Purem Aapico akan bekalkan sistem ekzos untuk Proton – komponen dikilangkan di Malaysia

    Walaupun tahun lalu dinyatakan bahawa produksi sistem ekzos untuk pengeluar automotif antarabangsa tersebut akan dibuat di Thailand bermula suku ketiga 2023, komponen untuk Proton ini akan diproduksi di Malaysia oleh operasi Purem Aapico di sini, yang telah diwujudkan pada awal tahun ini dengan nama serta struktur pegangan saham yang sama seperti Purem Aapico Thailand.

    Presiden dan CEO Aapico Hitech Yeap Swee Chuan yang berasal dari Malaysia memberitahu bahawa kerjasama ini telah menggunakan modal pelaburan permulaan bernilai RM30 juta untuk perniagaan di sini. “Kilang sudah hampir siap. Kami menghabiskan masa kira-kira lima bulan untuk menyiapkannya dan kami sudah pun mula memproduksi komponen ekzos untuk Proton,” katanya ketika menjawab soalan yang diajukan oleh paultan.org.

    Purem Aapico bukan hanya akan membekalkan sistem ekzos kepada Proton, malah ia kini turut mengintai peluang untuk membekalkan komponen kepada OEM lain. Dengan adanya syarikat tersebut di Malaysia, ia akan menjadi pembekal ekzos alternatif selain dari Faurecia Exhaust International, iaitu pembekal ekzos dari Perancis yang kini beroperasi di sini dengan kerjasama DRB-Hicom menerusi syarikat Faurecia Hicom Emissions Control Technologies yang telah bertapak sejak 2012.