Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Renault & Geely wujudkan syarikat baharu bangunkan enjin, sistem hibrid untuk Proton, Mitsubishi, Nissan

    Renault & Geely wujudkan syarikat baharu bangunkan enjin, sistem hibrid untuk Proton, Mitsubishi, Nissan

    Kerjasama antara Renault dan Geely nampaknya maju setapak lagi apabila kedua-dua jenama dari Perancis dan China berkenaan mewujudkan satu syarikat baharu bagi bersama-sama membangunkan unit rangkaian kuasa termasuk enjin dan sistem hibrid elektrik.

    Dalam perjanjian yang telah ditandatangani semalam, syarikat baharu tersebut dimiliki bersama dengan Renault memegang 50% saham dan 50% adalah milik Geely. Syarikat tersebut mensasarkan untuk menjadi peneraju teknologi hibrid generasi seterusnya dan solusi untuk unit rangkaian kuasa dengan kadar efisien tinggi bagi memenuhi keperluan pasaran dunia akan datang.

    Seperti yang diumumkan pada 2 Mac 2023 susulan surat niat yang ditandatangani antara Aramco, Geely dan Renault Group, Aramco juga kini sedang menilai untuk membuat pelaburan strategik dalam syarikat teknologi rangkaian kuasa baharu ini. Pelaburan dari Aramco berkenaan akan menyokong pertumbuhan syarikat dan menyumbang kepada penyelidikan dan pembangunan utama merentas penyelesaian bagi bahan api sintetik dan teknologi hidrogen generasi seterusnya.

    Syarikat kerjasama baharu ini akan beroperasi dengan 17 kilang enjin bersama lima pusat R&D di tiga benua, melibatkan 19,000 pekerja dalam organisasi efektif penuh yang distrukturkan secara strategik. Ia akan menyediakan penyelesaian unit rangkaian kuasa untuk pelbagai OEM, bersama model perniagaan yang menarik bagi mengalu-alukan rakan kongsi baharu.

    Renault & Geely wujudkan syarikat baharu bangunkan enjin, sistem hibrid untuk Proton, Mitsubishi, Nissan

    Menurut Renault dan Geely, pemilikan modal syarikat usaha sama itu akan dikawal bersama oleh kedua-dua pihak. Ia mensasarkan untuk menghasilkan sejumlah 5 juta enjin pembakaran dalaman, enjin hibrid dan plug-in hybrid serta transmisi setahun.

    Unit-unit rangkaian kuasa tersebut akan dibekalkan kepada jenama-jenama di bawah kedua-dua kumpulan automotif berkenaan termasuk Renault Group, Geely Auto, Volvo Cars, Proton, Nissan, Mitsubishi Motors, dan Punch Torino.

    Malah syarikat kerjasama ini turut mensasarkan untuk membekalkan solusi teknologi unit rangkaian kuasa untuk pnegeluar-pengeluar kenderaan pihak ketiga pada masa hadapan, dan dalam masa yang sama turut mengalu-alukan rakan kerjasama lain bagi memperkuatkan jaringan nilainya.

    Renault Group dan Geely akan memindahkan Harta Intelek kepada pusat operasi yang membolehkan mereka membangunkan teknologi unit rangkaian kuasa masa hadapan secara autonomi sepenuhnya yang mampu memenuhi semua keperluan pasaran.

    Renault & Geely wujudkan syarikat baharu bangunkan enjin, sistem hibrid untuk Proton, Mitsubishi, Nissan

    Kerjasama ini juga akan diterajui bersama oleh Renault dan Geely, dengan jumlah ahli lembaga pengarah yang sama antara kedua-dua pihak bagi menghasilkan formulasi, strategi serta menetapkan hala tuju syarikat. Ia akan bermula dengan dua pusat operasi utama iaitu Madrid untuk Renault dan Hangzhou untuk Geely.

    Pasukan eksekutif akan ditempatkan di Ibu Pejabat syarikat baharu ini, yang dirancang untuk dibangunkan di United Kingdom untuk menyatukan operasi, membina sinergi, dan menentukan rancangan masa depan. Tranksaksi untuk memuktamadkan kerjasama ini dijangka akan dibuat pada separa kedua 2023.

    Geely Auto dan Renault juga akan memeterai perjanjian perolehan jangka panjang (tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang terpakai) daripada usaha sama untuk enjin pembakaran dalaman, hibrid dan unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (enjin dan transmisi) untuk kenderaan penumpang, usaha sama untuk kenderaan komersial ringan sebagai serta pembangunan bateri hibrid.

    “Menghadapi cabaran automotif hari ini, tiada siapa yang boleh mendakwa mempunyai semua penyelesaian secara bersendirian. Bagi menghasilkan inovasi yang berjaya memerlukan kepakaran dan aset untuk digabungkan. Apabila menyebut berkenaan persaingan global untuk penyahkarbonan pengangkutan jalan, masa kini semakin singkat dan ia bukan lagi perniagaan yang sama,” kata CEO Renault Group, Luca de Meo.

    Renault & Geely wujudkan syarikat baharu bangunkan enjin, sistem hibrid untuk Proton, Mitsubishi, Nissan

    “Hari ini, kami berbangga untuk bergabung tenaga dengan syarikat hebat seperti Geely untuk menubuhkan pemain baharu, menghadapi cabaran, dapat mengganggu permainan dan membuka jalan untuk teknologi enjin pembakaran dalaman emisi ultra-rendah. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Eric Li Shufu atas kepercayaannya: kami kini bersedia untuk bergerak ke hadapan!” tambahnya lagi.

    “Kami gembira untuk memulakan perjalanan ini bagi menjadi peneraju global dalam teknologi hibrid, menyediakan penyelesaian emisi rendah kepada pembuat kereta di seluruh dunia. Kami tidak sabar untuk bekerjasama dengan Luca de Meo dan pasukan Renault.

    “Mengulangi komitmen kami untuk memanfaatkan kepakaran teknologi seluruh kumpulan dan portfolio jenama kami untuk merintis perjalanan ke arah kemampanan dan penciptaan nilai yang lebih besar yang akan membawa kepada pengalaman pengguna yang lebih baik,” kata pengerusi Geely Holding Group, Eric Li Shufu.

     
     
  • JPJ eBid: Siri SD-V dan SJA bakal dibuka bidaan

    Kali ini giliran dua siri nombor pendaftaran terkini dari Sabah bakal dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran tersebut, SD-V, akan dibuka bidaan bermula 20 Julai ini. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 24 Julai. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 25 Julai 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala satu lagi siri nombor pendaftaran terkini dari negeri yang sama, SJA, bakal dibuka bidaan mulai 27 Julai 2023. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 31 Julai, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 1 Ogos 2023.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Pengeluar China akan labur RM6.7 bilion di Thailand untuk pengeluaran EV — 31k EV dijual pada 1H 2023

    Pengeluar China akan labur RM6.7 bilion di Thailand untuk pengeluaran EV — 31k EV dijual pada 1H 2023

    Syarikat pengeluar EV China telah komited untuk melabur sebanyak USD1.44 bilion (sekitar RM6.7 bilion) untuk membangunkan kemudahan pengeluaran di Thailand, lapor Reuters. Kemasukan pelaburan asing di sana dipacu oleh insentif yang disediakan oleh kerajaan Thailand untuk mempergiat industri EV mereka — Thailand mensasarkan EV akan menyumbang kepada 30% daripada pengeluaran tahunan kenderaan menjelang 2030.

    Great Wall Motor (GWM) menjadi antara syarikat China yang akan bertapak di Thailand selepas mengambil alih sebuah kilang di Rayong daripada General Motors (GM) pada 2020, dan akan membelanjakan sejumlah 22.6 bilion baht (sekitar RM3 bilion) untuk mengubahnya menjadi pusat pengeluaran serantau bagi EV dan kereta hibrid.

    Bermula tahun depan, Ora Good Cat akan dikeluarkan dari kilang Rayong berkenaan, dan mereka akan turut membawa anak syarikatnya, MIND Electronics, HYCET dan Nobo Auto untuk membangunkan elektronik, penjana kuasa dan kerusi.

    SAIC Motor pula, yang memiliki MG Motor, menjalin kerjasama dengan konglomerat Thailand, Charoen Pokphand Group dan melabur sebanyak 500 juta baht (around RM66.9 juta) untuk memperluas kilang sedia ada bagi pengeluarkan alatan untuk EV dan bateri.

    Pengeluar China akan labur RM6.7 bilion di Thailand untuk pengeluaran EV — 31k EV dijual pada 1H 2023

    BYD juga akan melabur di Thailand, dengan meletakkan sehingga 17.9 bilion baht (sekitar RM2.4 bilion) untuk sebuah kemudahan baru di Rayong, yang dijangka akan mengeluarkan 150,000 kereta setahun bermula tahun 2024 untuk pasaran domestik dan eksport.

    Menurut Thailand Board of Investment (BOI), beberapa lagi perancangan sedang diusahakan, dengan Changan Automobile dijangka melabur sebanyak 9.8 bilion baht (sekitar RM1.3 bilion) untuk membangunkan kilang EV pemanduan sebelah kanan yang pertama di luar China.

    Jenama lain yang dijangka mengikut jejak yang sama ialah Aion — anak syarikat Guangzhou Automobile Corporation (GAC) — yang akan melabur sebanyak 6.4 bilion baht (sekitar RM857 juta) untuk mengeluarkan EV di Thailand, sementara Chery Automobile dikhabarkan akan masuk ke pasaran sana tahun depan dengan minat yang tinggi untuk melabur. Geely juga sedang menilai model EV untuk diimport dan dikeluarkan di Thailand.

    Ketika ini, Thailand merupakan pasaran EV yang besar di Asia Tenggara, dengan 51,000 unit terjual sepanjang 2022. Separuh pertama 2023 pula, sejumlah 31,000 EV telah didaftarkan di sana, dibantu oleh subsidi kerajaan untuk mengurangkan jurang harga antara EV dan kereta biasa.

     
     
  • Perodua Myvi 2018 terpakai di Jepun dijual dengan harga bermula RM53k dalam laman jualan atas talian

    Perodua Myvi 2018 terpakai di Jepun dijual dengan harga bermula RM53k dalam laman jualan atas talian

    Perodua memang ada menjual model-model keluarannya ke pasaran eksport, namun jenama automotif dari Rawang berkenaan tidak pernah secara rasmi masuk ke pasaran Jepun. Namun ini ada satu perkara yang agak menghairankan – satu laman web kereta terpakai di Jepun telah mengiklankan dua buah Perodua Myvi generasi ketiga untuk dijual!

    Myvi berkenaan dijual oleh laman Carsensor.net pada harga 1,600,000 yen atau sekitar RM53k untuk unit yang berwarna Glittering Silver , manakala unit yang berwarna Lava Red pula dijual pada harga RM1,700,000 yen atau sekitar RM56k.

    Kedua-dua unit berkenaan kini berada di Osaka dan laman itu turut memberitahu bahawa ia adalah model 2018. Unit yang berwarna perak kini mencatatkan perbatuan 14,200 km manakala unit berwarna merah pula mencatatkan perjalanan lebih sedikit iaitu hanya 6,222 km.

    Perodua Myvi 2018 terpakai di Jepun dijual dengan harga bermula RM53k dalam laman jualan atas talian

    Berdasarkan tahun, rim 15 inci, bampar, papan meter dan juga emblem yang dipadankan, ini adalah Myvi pre-facelift dalam varian tertinggi AV. Sebagai rujukan, model ini dijual pada harga RM55,300 ketika ia dilancarkan di Malaysia pada 2018.

    Oleh itu, kedua-dua unit ini dijana oleh enjin 2NR-VE 1.5 liter berkuasa 102 hp dan tork maksima 136 Nm, digandingkan dengan kotak gear 4AT dan bukan D-CVT seperti model terkini di Malaysia.

    Pada bahagian luaran ia masih lagi nampak standard. Namun pada bahagian kabin ada beberapa ubahsuai dibuat bagi memudahkan kegunaan harian di Jepun seperti skrin infotainmen yang lengkap sistem navigasi Jepun dan juga pemadanan sistem kutipan tol elektronik Jepun (ETC).

    Berbanding dua model generasi awalan Myvi yang diasaskan dari model Daihatsu Boon/Toyota Passo di Jepun, model generasi ketiga ini adalah dibangunkan sendiri oleh Perodua di Malaysia. Ia menggunakan platform Myvi generasi kedua yang diubahsuai, manakala rekaan badan atas adalah sepenuhnya dihasilkan oleh Perodua.

    Myvi generasi ketiga ini juga direbadge sebagai Daihatsu Sirion khas untuk pasaran Indonesia, tetapi ia masih diproduksi oleh Perodua di Rawang dan kemudian dieksport ke Indonesia.

    Sebelum ini memang ada tular dua buah Myvi generasi ketiga – satu berwarna merah dan satu lagi berwarna perak – dijumpai di Jepun, dipercayai milik sekutu Perodua di sana iaitu Daihatsu Motor Co. (DMC). Mungkin kedua-dua buah Myvi ini adalah unit sama yang tular berkenaan?

    Malah ada juga sebuah lagi Myvi generasi kedua dalam varian 1.5 Extreme berada di Jepun – ia milik seorang rakyat Jepun yang membeli kereta tersebut di Malaysia dan di bawa ke sana, kemudian diubahsuai oleh Fujita Engineering (FEED) yang terkenal menala model-model prestasi Mazda dengan disuap pengecas turbo.

     
     
  • Potensi kerjasama antara Malaysia dan Tesla bukan sahaja terhad kepada sektor EV – Tengku Zafrul

    Potensi kerjasama antara Malaysia dan Tesla bukan sahaja terhad kepada sektor EV – Tengku Zafrul

    Minggu lalu dilaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mengadakan pertemuan dengan CEO Tesla Elon Must dijangka pada minggu ini. Pertemuan tersebut adalah bagi membincangkan soal berkaitan pelaburan Tesla di Malaysia.

    Walau bagaimana pun, menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, potensi kerjasama di antara Tesla dengan Malaysia tidak hanya terhad kepada sektor automotif dan kenderaan elektrik (EV) semata-mata, malah akan turut meliputi sektor lain.

    Bercakap kepada pemberita pada majlis pra-pelancaran Pameran Mobiliti Elektrik Antarabangsa (IEMS) 2023 yang berlangsung semalam di Kuala Lumpur, Zafrul berkata pertemuan antara Anwar dan Musk dijangka akan berlangsung sebelum hujung minggu ini, laporan Bernama.

    Potensi kerjasama antara Malaysia dan Tesla bukan sahaja terhad kepada sektor EV – Tengku Zafrul

    “Terdapat lebih daripada sekadar sektor EV yang kita bincangkan dalam potensi kerjasama ini. Apa yang kami mahu ialah menarik lebih banyak potensi atau komitmen pelaburan dalam sektor automotif dan sektor lain yang boleh kami pasarkan di Malaysia,” katanya.

    Terdahulu, Tesla mengesahkan bakal melancarkan jenamanya secara rasmi di Malaysia pada 20 Julai ini. Pada Mac 2023 pula, Zafrul mengumumkan inisiatif BEV Global Leaders dan pemohon pertama yang diluluskan ialah Tesla Motors, yang dibenarkan untuk menjual kereta di Malaysia tanpa peraturan AP biasa.

    Pada Mac 2023 pula, beliau mengumumkan inisiatif BEV Global Leaders dan pemohon pertama yang diluluskan ialah Tesla Motors, yang dibenarkan untuk menjual kereta di Malaysia tanpa peraturan AP biasa.

    Sebagai sebahagian daripada usaha itu, Tesla Malaysia perlu memasang sekurang-kurangnya 50 unit pengecas pantas DC dengan kuasa pengecasan minimum 180 kW, dan sekurang-kurangnya 30% (15 unit) daripada pengecas ini perlu terbuka untuk kegunaan umum, termasuk EV dari jenama lain.

     
     
  • Perkhidmatan KTM ETS guna pintu dan platform sementara di KL Sentral bermula 22 Julai 2023

    KTM Berhad telah mengumumkan perubahan pltaform yang digunakan untuk perkhidmatan tren ETS di stesen KL Sentral dan Kuala Lumpur. Perubahan sementara ini adalah untuk kerja-kerja naik taraf landasan dan dilaksanakan mulai 22 Julai 2023.

    Di Stesen keretapi Kuala Lumpur, tren ETS kini berhenti di platform 2 berbanding platform 1. Sementara di Stesen KL Sentral pula, pintu pelepasan dan platform akan bertukar dari Pintu B (di tingkat dua) ke Pintu C dan D (tingkat satu). Penumpang ETS diminta untuk tiba di stesen satu jam sebelum berlepas untuk kelancaran perjalanan.

    Sebelum ini, KTMB telah mengumumkan penawaran diskaun sebanyak 50% untuk penumpang perkhidmatan ETS sepanjang Julai 2023. Semua diskaun ini khas untuk warga Malaysia sahaja. Diskaun terbabit melibatkan laluan ETS dari Padang Besar ke Gemas pada setiap hari Selasa, Rabu dan Khamis iaitu 11-13 Julai, 18-20 Julai dan 25-27 Julai.

    Di mana setiap tarikh mempunyai kod promo yang tersendiri untuk pembelian tiket menerusi dalam talian. Selain itu, sebagai menghargai penumpang warga emas, KTMB turut memberikan diskaun tambahan sebanyak RM5 daripada jumlah tambang perjalanan bagi semua perkhidmatan ETS termasuk kelas perniagaan.

     
     
  • Kawasaki Z900RS Yellow Ball Edition tiba di Jepun

    Kawasaki Z900RS Yellow Ball Edition tiba di Jepun

    Kawasaki mengeluarkan satu varian edisi istimewa untuk Z900RS, yang dipanggil sebagai Yellow Ball Edition. Setakat ini diberitahu hanya untuk pasaran Jepun, model ini dikatakan dapat “menyerlahkan lagi perincian sedia ada pada motosikal.”

    Keistimewaan Z900RS terletak pada penampilannya, bermula dengan tangki serta panel belakang yang menggunakan gabungan warna kuning dan hijau Candy, bersama beberapa lapisan kemasan akhir yang dibuat menggunakan teknik khas.

    Kemudiannya, beberapa perincian khusus lain diberikan pada model keluaran istimewa ini, termasuk logo Kawasaki lama pada tangki, imej model Z1 yang menjadi inspirasi untuk Z900RS pada panel tepi, tempat duduk dibalut kulit berkualiti tinggi, pemegang tepi krom serta cop DOHC di bahagian tepi enjin.

    Ciri teknikal lain model ini masih sama seperti Z900RS biasa, termasuk enjin, yang menggunakan unit empat silinder 848 cc yang mampu menghasilkan 111 hp pada 8,500 rpm dan 98.5 Nm tork pada 6,500 rpm bersama padanan kotak gear enam kelajuan yang dilengkapi klac slip and assist.

    Dalam barisan Z900RS yang ditawarkan di Jepun, versi Yellow Ball Edition ini dijual pada harga 44,000 yen (RM1,456) lebih tinggi berbanding Z900RS Cafe, menjadi 1,562,000 yen (RM51,702), manakala versi paling tinggi adalah Z900RS SE, yang berharga 1,705,000 yen (RM56,435).

    Di Malaysia, Z900RS dijual dalam versi yang diimport sepenuhnya dari Jepun, pada harga RM63,800.

     
     
  • Seorang penunggang motosikal maut dan sembilan lagi cedera akibat berlumba di LEKAS – Polis Nilai

    Seorang penunggang motosikal maut dan sembilan lagi cedera akibat berlumba di LEKAS – Polis Nilai

    Akibat melakukan pelbagai aksi berbahaya ketika menunggang motosikal di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) malam tadi, sekumpulan mat rempit terbabit dalam kemalangan hingga menyebabkan seorang daripadanya maut.

    Perkara ini disahkan oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai DSP Mat Ghani Lateh yang berkata seorang penunggang motosikal maut dan sembilan lagi penunggang cedera selepas terlibat dalam kemalangan di KM 26.9 Lebuhraya LEKAS arah selatan kira-kira jam 11.30 malam tadi.

    “Hasil siasatan awal di tempat kejadian berlaku semasa kesemua penunggang yang terlibat bergerak dari arah Nilai menuju ke Seremban melalui LEKAS. Apabila sampai di lokasi kejadian, salah sebuah motosikal telah gagal dikawal sebelum terbabas dan berlanggar sesama sendiri.

    “Seorang penunggang meninggal dunia di tempat kejadian. Manakala lima penunggang parah dan empat lagi cedera ringan. Kesemua mangsa berusia 18 hingga 20 tahun telah dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban,”katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Menurut Mat Ghani lagi, kes berkenaan diklasifikasikan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian berkenaan diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Balai Polis Daerah Nilai, Inspektor Zarina Aiffin di talian 013-823 8336.

    “Dalam masa yang sama, kami juga ingin menasihati pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika memandu mahu pun menunggang motosikal bagi menjamin keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain,” tambahnya lagi.

     
     
  • Saladin Mazlan kembali ke arena rali antarabangsa – sertai Rd.3 Kejohanan Rali Thailand RAAT 2023

    Saladin Mazlan kembali ke arena rali antarabangsa – sertai Rd.3 Kejohanan Rali Thailand RAAT 2023

    Tangkap layar dari video HashrulSubZero

    Selepas 12 tahun menyepi dari sebarang kejohanan rali peringkat antarabangsa, pemandu rali berpengalaman dari Malaysia, Saladin Mazlan mengumumkan akan ke Thailand bulan ini untuk bertanding di pusingan ketiga Kejohanan Rali Thailand RAAT 2023.

    Rali berkenaan akan berlangsung di Wilayah Lopburi, terletak di utara Bangkok bermula 22 hingga 23 Julai nanti. Saladin akan memandu Subaru Impreza WRX GC8 yang disediakan oleh Secret Service Garage (SSG) dari Malaysia, bergandingan dengan juru arah Thailand, IttIpon Simaraks. Walaupun sudah lama tidak bertanding dalam peringkat antarabangsa, Saladin menetapkan sasaran untuk muncul juara keseluruhan perlumbaan berkenaan.

    Malah, anak Saladin sendiri iaitu Ibrahim Saladin turut akan menyertai rali ini dengan memandu Proton Satria Neo 1.6 dalam spesifikasi Group N (produksi). Pelumba yang baru berusia 22 tahun itu akan bergandingan dengan juruarah yang sudah lama bergandingan dengan ayahnya iaitu Arish Qutb.

    Saladin Mazlan kembali ke arena rali antarabangsa – sertai Rd.3 Kejohanan Rali Thailand RAAT 2023

    Ini merupakan penampilan kedua Ibrahim dalam kancah rali antarabangsa. Digandingkan dengan juruarah yang sangat berpengalaman di peringkat global serta kereta yang lincah dan kompetitif dalam kelasnya, Ibrahim juga menjangkakan saingan sengit akan diberikan dalam rali kali ini.

    Ibrahim dan Saladin telah melakukan sesi shakedown di litar rali Tanamera hujung minggu lalu sebagai persediaan sebelum berangkat ke Thailand minggu hadapan. Dalam sesi tersebut, Saladin yang terkenal dengan gaya pemanduan agresif dilihat masih berbisa seperti sebelum ini.

    Manakala Ibrahim juga telah mendapat rentaknya dalam menyesuaikan diri dengan kereta yang baru diterima, dan dapat berkomunkasi dengan baik bersama Arish. Talaan pada kedua-dua kereta juga telah dibuat menerusi sesi ini.

    Saladin Mazlan merupakan pemandu rali yang mula mencipta nama pada era 90’an, dan pernah memandu dalam pasukan Proton PERT. Namun untuk peringkat antarabangsa, Saladin meneroka jalannya sendiri dengan mendapat tempat memandu Subaru Impreza WRX GC8 untuk pasukan Subaru Rally Team Japan di WRC Safari Rally pada tahun 2000.

    Pada 2001, Saladin bertanding dalam WRC untuk kategori Super 1600, memandu Ford Puma 1600 dengan pasukannya sendiri, Saladin Rallying. Manakala pada 2002, Saladin memandu Hyundai Accent WRC untuk pasukan Hyundai MSD Team Asia di beberapa pusingan Kejohanan Rali Asia Pasifik.

    Selain dari Saladin dan Ibrahim, kontinjen Malaysia ke pusingan ketiga Kejohanan Rali Thailand RAAT 2023 ini turut akn disertai oleh seorang lagi ‘otai’ rali negara iaitu Hj. Sutan Mustafa Salihin memandu Subaru Impreza WRX STi GDB dan juga Ezamin Ezham Ismail memandu Perodua Myvi X4.

     
     
  • Lebuhraya Pantai Barat – Seksyen 11 laluan Beruas-Taiping Selatan bakal dibuka hujung tahun ini

    Lebuhraya Pantai Barat – Seksyen 11 laluan Beruas-Taiping Selatan bakal dibuka hujung tahun ini

    Pembinaan Seksyen 11 bagi Lebuhraya Pantai Barat (WCE) dari Beruas ke Taiping (Selatan) buat masa ini telah mencapai 88% siap. Laluan berkenaan dijangka bakal beroperasi penghujung tahun ini, laporan Bernama.

    Menurut Pengurus Operasi West Coast Expressway Sdn Bhd (WCESB), Syed Muhd Naguib Syed Mohd, pembinaan kini membabitkan elemen kejuruteraan, tol, kerja-kerja pembinaan cerun dan kerja-kerja mekanikal.

    “Selain itu, laluan sepanjang 35.5 km juga merentasi Hutan Simpan Bubu, dan sebagai langkah memelihara alam sekitar dan ekosistem di situ, dua pembetung kekotak dibina untuk haiwan liar melintasi kawasan tersebut,” tambahnya.

    WCE menghubungkan Selangor dan Perak dengan laluan sepanjang 233 km. Pembinaannya dibahagikan kepada 11 seksyen, dengan empat daripadanya telah pun dibuka.

    Lebuhraya WCE ini juga menyasarkan pembukaan empat lagi seksyen tahun ini iaitu SKVE, Banting, Assam Jawa dan Taiping Selatan menjelang hujung tahun ini. Syed Muhd turut berkata jajaran juga sedang dijalankan melibatkan Seksyen 8 dari Hutan Melintang ke Teluk Intan, Seksyen 9 dari Lekir ke Changkat Chermin dan Seksyen 10 dari Changkat Chermin ke Beruas, yang telah dibuka kepada pengguna jalan raya.

    Untuk laluan Perak pula, Lebuhraya WCE merancang untuk membina kawasan rehat dan rawat (R&R) iaitu R&R Teluk Intan (arah utara dan selatan), R&R Sungai Wangi (arah selatan), R&R Ayer Tawar (arah utara) dan R&R Sg Nyior (arah utara dan selatan). Jajaran itu juga akan menyediakan dua hab kemudahan mengecas kenderaan elektrik (EV) iaitu di Lekir dan Teluk Intan.

    WCE dijangka akan selesai dibina menjelang tahun 2025n dan dijangka akan dilalui oleh 300,000 kenderaan. “Bagi musim perayaan Aidilfitri, jumlah trafik dijangka meningkat sebanyak 100,000 kenderaan sehari dan 85,000 pada Raya Aidiladha,” kata Syed Muhd.

     
     
  • Maxus MIFA 9 dilancar di Singapura – MPV EV China, bermula RM980k, jarak gerak 435 km, 245PS/350 Nm

    Maxus MIFA 9 dilancar di Singapura – MPV EV China, bermula RM980k, jarak gerak 435 km, 245PS/350 Nm

    MPV berkuasa elektrik sepenuhnya (EV) dari jenama China, Maxus MIFA 9 sudah pun dilancarkan di Singapura dengan harga bermula SGD282,999 (RM979,679). Ia ditawarkan dengan bateri 90 kWj yang membolehkan MPV tersebut bergerak sejauh 435 km dengan satu cas penuh.

    Model ini juga sudahpun dilancarkan di Thailand ketika berlangsungnya Bangkok International Motor Show (BIMS) pada Mac lalu, dikenali sebagai MG Maxus 9 di sana. Untuk pasaran negara tersebut, MPV ini dijual pada harga bermula 2,499,000 baht (RM331,900) untuk model asas, dan sehingga 2,699,000 baht (RM358,400) untuk varian tertinggi yang ditawarkan.

    Pengedar Maxus di Malaysia turut sudah mengesahkan bahawa MPV ini bakal mendarat di Malaysia tidak lama lagi, namun bila tarikh sebenar ia akan dilancarkan di sini belum dimuktamadkan lagi.

    Maxus MIFA 9 dilancar di Singapura – MPV EV China, bermula RM980k, jarak gerak 435 km, 245PS/350 Nm

    Maxus MIFA 9 ini menampilkan dimensi panjang 5,270 mm, lebar 2,000 mm, tinggi 1,840 mm dan jarak roda sejauh 3,200 mm. Dengan saiz ini membolehkan MIFA bertanding terus dengan Toyota Alphard dan Vellfire, malah jarak rodanya juga adalah 200 mm lebih jauh dari kedua-dua MPV mewah Jepun itu. Menurut laporan dari Car Buyer, MIFA 9 merupakan MPV Premium EV yang pertama dijual di pasaran Singapura.

    Ia menerima motor berkuasa 180 kW (245 PS) dan tork maksima 350 Nm bagi memacu roda hadapan, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.2 saat dan mencatatkan kelajuan maksima 180 km/j. Ia boleh menerima sistem pengecas DC dengan kadar maksimum 120 kW, membolehkan cas 30-80% dipenuhkan dalam masa 30 minit. Dengan pengecas AC 11 kW pula, bateri tersebut boleh dipenuhkan dari 5% ke 100% dalam masa 8.5 jam.

    Secara keseluruhan, MIFA 9 ini menampilkan konfigurasi tujuh tempat duduk. Pada baris kedua, ia diberikan tempat duduk pilot larasan berkuasa dengan fungsi pemanas, liang penyejuk dan pengurut, serta perehat kaki dan perehat tangan larasan kuasa enam-hala.

    Pemandu menerima paparan instrumen digital penuh dengan skrin tujuh-inci, manakala di tengah papan pemuka diberikan skrin utama 12.3 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Sistem pengecas tanpa wayar dibekalkan untuk penumpang hadapan, manakala di kabin belakang setiap baris tempat duduk diberikan port pengecas USB. Port kuasa 220 Volt turut di tempatkan di baris ketiga bagi membolehkan peralatan elektrik lebih berkuasa digunakan.

    Untuk keselamatan pula MPV ini menerima kamera panaromik 360 darjah, pemantau titik buta 360 darjah, cruise control adaptif, brek kecemasan automatik, amaran lintasan trafik belakang dan bantuan kekal lorong.

    Selepas ini Maxus MIFA 9 turut bakal menerima varian yang lebih mewah untuk pasaran Singapura, yang diberikan tempat duduk baris kedua ‘gaya kapalterbang’ dengan dilengkapi meja yang boleh dilipat.

    GALERI: MPV MG Maxus 9 EV di Bangkok International Motor Show 2023

     
     
  • Sistem MLFF diharap dapat dilaksana seawal hujung 2024, KKR masih berunding dengan syarikat konsesi

    Sistem MLFF diharap dapat dilaksana seawal hujung 2024,  KKR masih berunding dengan syarikat konsesi

    Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berharap sistem pembayaran tol Aliran Pantas Pelbagai Lorong atau Multi Lane Fast Flow (MLFF) dapat dilaksanakan seawal penghujung 2024, berbanding tahun 2025 yang dijangka sebelum ini.

    Katanya, buat masa ini, kementeriannya masih dalam proses rundingan bersama syarikat konsesi lebuhraya, laporan The Edge Malaysia.

    “Pelbagai lagi perkara berkaitan perlu diperhalusi, sebab ia melibatkan syarikat konsesi yang banyak serta melibatkan dari segi perundangan, segi kawal selia, persediaan membangunkan sistem itu dan teknologi yang terlibat,” katanya dalam rancangan temu bual Naratif Khas yang bertajuk OPS: Pengurusan Trafik Efisien dan Moden di Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam tadi.

    Tambah beliau, dengan adanya sistem MLFF, ia akan lebih memudahkan pengguna lebuh raya membayar kadar tol dengan menggunakan sistem tol gantri yang dilengkapi kamera pengesan.

    Sistem MLFF diharap dapat dilaksana seawal hujung 2024,  KKR masih berunding dengan syarikat konsesi

    Pada hujung Mac lalu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengumumkan pelaksanaan Proof of Concept bagi sistem MLFF dengan memilih Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) sebagai lokasi pertama akan menggunakan gabungan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) dan Automatic Number Plate Recognition (ANPR) selewat-lewatnya hujung Oktober ini. Manakala Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) pula akan menjadi lokasi kedua pelaksanaan POC bagi menilai sistem MLFF.

    Sebelum melaksanakan MLFF, kerajaan akan mengimplementasikan sistem pembayaran tol terbuka, yang dijangka bermula pada September tahun ini.

    Sebanyak 12 lebuhraya telah pun bersetuju untuk melaksanakan sistem pembayaran tol terbuka ini iaitu Lebuhraya BESRAYA, Lebuhraya Pantai Baharu (NPE), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) dan Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE).

    Selain itu, ia juga akan dilaksanakan di Jambatan Pulau Pinang, Lebuhraya Butterworth-Kulim, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya SPRINT, Lebuhraya Shah Alam, Terowong SMART, Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) dan Lebuhraya DUKE.

     
     
  • JPJ eBid: JWK dan PQX bakal dibuka bidaan

    Bagi yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri nombor pendaftaran terkini Johor, JWK, bakal dibuka bidaan mulai 12 Julai lalu dan ia berlangsung selama lima hari iaitu sehingga jam 10 malam pada 16 Julai. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 17 Julai 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Pulau Pinang pula, PQX, bidaannya akan dibuka pada 16 Julai. Ia berlangsung selama lima hari dan akan berakhir jam 10 malam pada 20 Julai. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 21 Julai 2023 ini.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • ETCM lancar Nissan Puchong yang dinaiktaraf – kini sebagai bilik pameran mengikut konsep NRC-NEXT

    ETCM lancar Nissan Puchong yang dinaiktaraf – kini sebagai bilik pameran mengikut konsep NRC-NEXT

    Demi meningkatkan pengalaman pelanggan, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah mengumumkan pembukaan bilik pameran Nissan baharu yang dinaik taraf di Puchong, Selangor. Pembukaan besar-
    besaran bilik pameran Konsep Runcit Nissan (NRC) baharu ini adalah sejajar dengan hala
    tuju perniagaan ETCM dalam menyampaikan rancangan global yang dipertingkatkan untuk menginovasi bilik pameran Nissan. Di samping itu, ia turut memberikan pengalaman jenama Nissan global kepada para pelanggan semasa mereka berada di bilik pameran.

    Dilancarkan secara rasmi oleh Rupesh Shah, Pengurus Besar Selepas Jualan, Pembangunan Rangkaian Peniaga, NIBU – ASEAN, NISSAN MOTOR ASIA PACIFIC CO., LTD, bilik pameran Nissan baharu ini menggabungkan identiti korporat Nissan dengan logo Nissan baharu, menurut konsep NRC-NEXT, iaitu konsep runcit Nissan global terkini dan terbaharu dengan tujuan memberi pengalaman jenama yang lebih tinggi kepada pelanggan Nissan.

    Bahagian luar bilik pameran ini diserlahkan dengan papan tanda Nissan berwarna merah yang ikonik, manakala para pelanggan yang ke bilik pameran dapat merasai tahap keselesaan persekitaran premium yang baharu dengan susun atur dalaman dan reka bentuk perabot yang moden. Pelanggan juga akan dapat melihat semua model Nissan termasuk ‘Star Car’ terkini yang dipamerkan. Pada masa ini, ‘Star Car’ terkini ialah Serena Hybrid J-IMPUL Baharu yang dilancarkan baru-baru ini.

    Bilik pameran yang baharu ini mempunyai kawasan binaan seluas 7,502 kaki persegi. Ia mampu mempamerkan sehingga enam model Nissan dan menyediakan rangkaian kenderaan pandu uji, tempat penyerahan kenderaan baharu yang khusus, ruang istirehat pelanggan yang selesa dengan sambungan WiFi dan sudut hiburan kanak-kanak.

    Pelanggan juga dialu-alukan untuk memandu uji model yang ada supaya mereka dapat merasai keseronokan memandu kenderaan Nissan. Untuk kemudahan pelanggan, pandu uji boleh juga diaturkan di rumah atau di pejabat pelanggan.

    Terletak di No 2G, Jalan Bandar Tiga, Pusat Bandar Baru, Puchong, waktu operasi bagi bilik pameran ini ialah 9 pagi hingga 7 malam pada setiap Isnin hingga Sabtu. Manakala untuk Ahad dan cuti umum pula, ia dibuka dari jam 10 pagi hingga 5 petang. Manakala pusat perkhidmatan selepas jualan Tan Chong Express Auto Service (TCEAS) Puchong Jaya pula tidak jauh dari bilik pameran ini, hanya lima minit perjalanan.

     
     
  • Lotus Emira dengan enjin AMG 2.0L Turbo 360 hp, transmisi DCT didedahkan di Goodwood minggu ini

    Lotus Emira dengan enjin AMG 2.0L Turbo 360 hp, transmisi DCT didedahkan di Goodwood minggu ini

    Ketika diperkenalkan pada Julai 2021, model terakhir Lotus dengan enjin pembakaran dalaman iaitu Emira disebut akan dijana oleh dua jenis enjin. Versi dengan enjin 3.5 liter V6 supercharged sudah pun mula dijual, manakala model dengan enjin produksi 2.0 liter empat-silinder turbo yang dihasilkan oleh Mercedes-AMG bakal didedahkan buat pertama kali di Goodwood Festival of Speed (GFOS) 2023 yang bermula minggu ini.

    Secara spesifiknya, enjin AMG yang digunakan untuk Emira ini adalah unit M139 yang sama digunakan pada model-model ’45’ Mercedes-AMG seperti A45, GLA45 dan CLA45. Versi paling berkuasa enjin dengan lencana S pada model-model 45 AMG berkenaan menghasilkan 421 PS dan tork maksima 500 Nm.

    Dengan kotak gear DCT lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda, Mercedes-AMG A45S mampu memecut dai 0-100 km/j dalam masa hanya 3.9 saat. Walau bagaimanapun spesifikasi enjin M139 yang akan disumbat pada Emira ini belum lagi didedahkan sepenuhnya, namun Lotus ada memberitahu bahawa ia akan menghasilkan kuasa berjumlah 360 hp dan hanya akan diberikan kotak gear DCT untuk memacu roda belakang.

    Lotus Emira V6 yang didedahkan di Malaysia tahun lalu

    “Enjin 2.0 liter ini merupakan enjin produksi empat silinder sebaris paling berkuasa di dunia digandingkan dengan DCT AMG yang terkenal bersama pedal penukar gear serta mod-mod pemanduan. Ia berprestasi tinggi, sangat efisien kerana teknologi yang canggih, serta memberikan kadar emisi rendah dan prestasi linear. Paling utama, ia telah ditala sendiri oleh jurutera di Hethel yang sangat berpengalaman bagi memberikan pengalaman Lotus sebenar,” kata Gavan Kershaw, pengarah atribut kenderaan di Lotus Cars.

    Bagi model 3.5 liter V6, Emira masih menggunakan enjin Toyota yang sama seperti Exige dan Evora sebelum ini iaitu enjin Toyota 2GR-FE yang disuap dengan supercharger Edelbrock 1740. Ia menghasilkan kuasa 405 PS (400 hp) dan tork maksima 420 Nm.

    Dua transmisi boleh dipilih untuk enjin V6 ini iaitu kotak gear manual enam kelajuan atau kotak gear automatik konvensional dengan torque converter juga enam-kelajuan (dengan tambahan tork 10 Nm). Versi manual untuk enjin ini mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.3 saat. Versi 1st Edition model ini telah pun diperkenalkan di Malaysia tahun lalu dengan harga RM1.13 juta

    Emira 2.0L Turbo bukan hanya akan dipamerkan dipentas utama reruai Lotus di GFOS 2023 ini, bahkan ia akan turut serta merekodkan masa dalam Hill Climb ikonik acara berkenaan. Lotus turut akan membawa model-model baharunya yang sedang dijual dalam pasaran sekarang iaitu SUV elektrik Eletre dan juga Hypercar elektrik Evija.

     
     
  • Mitsubishi Triton 2023 guna casis ladder frame dan enjin 4-silinder turbodisel bersih baru; lancar 26 Julai

    Mitsubishi Triton 2023 guna casis ladder frame dan enjin 4-silinder turbodisel bersih baru; lancar 26 Julai

    Awal sebelum pengenalan rasmi Mitsubishi Triton generasi keenam pada 26 Julai ini di Thailand, pengeluar Jepun itu telah mendedahkan beberapa perincian berkaitan trak pikap berkenaan. Sebelum ini, ada teaser sudah dikeluarkan menunjukkan rekaan Triton, yang dipamerkan sebagai XRT Concept awal Mac lalu.

    Menurut Mitsubishi, Triton terbaru ini dibangun menggunakan ladder frame dengan suspensi depan double wishbone, dan jenis leaf spring di belakang. Tetapan yang sama digunakan untuk Triton sebelum ini, dan Mitsubishi masih belum mendedahkan apa pembaharuan yang telah dibuat, selain menyatakan ia “pembangunan baru” dan suspensi pula dengan “rekaan baru”.

    Ada khabar angin bertiup mengatakan casis ladder-frame Triton baru ini akan dikongsi bersama Nissan Navara, walaupun diberi kemaskini yang banyak untuk disesuaikan dengan kegunaan Mitsubishi. Untuk model XRT Concept, yang menjadi cerminan kepada model baru Triton ini, garis tingkapnya nampak menyerupai bahagian sama pada Navara, sementara garis J yang sebelum ini memisahkan kabin dan ruang karga juga tiada lagi. Satu kelebihan platform baru ini ialah jarak antara roda, dengan ukuran pada Navara ialah 3,150 mm, lebih 150 mm berbanding Triton sedia ada.

    Perlu dinyatakan, leaf spring untuk suspensi belakang Triton baru ini adalah berbeza daripada Navara, yang menggunakan tetapan five-link dengan gegelung spring untuk bahagian belakang — double wishbone sama untuk bahagian depan. Pengeluarnya bagaimanapun menjamin prestasi pemanduan dan keselesaan tahap tinggi.

    Info baru untuk enjin juga ada: Triton baru ini bakal menggunakan enjin turbodiesel bersih yang baru. Tetapi, tiada perincian lanjut yang diberikan setakat ini, namun ada laporan yang menyebut unit 4N15 akan digantikan dengan unit 4N16 yang lebih baru.

    Unit 4N15 empat-silinder mempunyai kapasiti 2,442 cc dan menghasilkan 181 PS (178 hp atau 133 kW) dan 430 Nm tork. Sementara itu, unit 4N16 yang lebih baru, juga dengan empat-silinder, mempunyai sesaran yang lebih kecil dengan 2,439 cc dan ketika ini digunakan untuk Caravan generasi keenam (atau dikenali sebagai Urvan NV350).

    Dalam Caravan, enjin berkenaan menghasilkan sebanyak 132 PS (130 hp atau 97 kW) dan 370 Nm, walaupun untuk Triton nanti angka ini dijangka lebih besar. Menurut Mitsubishi, enjin turbodiesel bersih baru itu nanti akan memberi peretasi persekitaran yang lebih baik dengan mengurangkan kehilangan geseran, dan memberikan output lebih tinggi.

    Seperkara lain, untuk Caravan, enjin berkenaan digandingkan bersama transmisi automatik tujuh-kelajuan daripada Jatco. Jika ini juga digunakan oleh Triton, maka ia merupakan naik taraf daripada kotak gear automatik enam-kelajuan sebelum ini.

    Sementara itu, dalam video yang disertakan, ditunjukkan pembangunan yang dijalankan terhadap Triton untuk permukaan sukar. Satu daripada paparannya juga menunjukkan sedikit bahagian dalaman, yang akan hadir dengan sistem infotaimen dengan skrin sentuh berdiri, seperti dalam teaser sebelumnya. Panel instrumen dengan meter analog juga kelihatan.

     
     
  • Kawasaki ZX-25R diperkenal dengan penampilan baru

    Kawasaki ZX-25R diperkenal dengan penampilan baru

    Di negara jiran, Indonesia, Kawasaki telah memberikan penampilan baru kepada model sport Ninja ZX-25R varian ABS SE, dengan kini ditawarkan dalam warna Candy Plasma Blue/Metallic Spark Blue dan Candy Persimmon Red. Varian asas bagi model ini pula cuma ditawarkan dalam warna hitam, manakala varian lebih tinggi iaitu ZX-25RR disediakan dalam warna Lime Green.

    Bahagian lain motosikal ini tidak diubah, dan ia masih sama seperti model yang diperkenalkan pada Oktober tahun lepas, yang mendapat peningkatan panel instrumen TFT berwarna penuh, dengan Circuit Mode dan boleh disambung kepada telefon bimbit melalui aplikasi Rideology App.

    Enjin masih lagi unit empat silinder DOHC 249.8 cc, bersama padanan transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 51 PS pada 15,500 rpm dan 22.9 Nm tork pada 14,500 rpm. Bagi versi SE ini, ia datang dengan brek ABS dual-channel serta quickshifter yang boleh digunakan untuk naik dan turun gear, secara standard.

    Kawasaki ZX-25R diperkenal dengan penampilan baru

    ZX-25R dibangunkan atas kerangka trellis untuk menjamin tunggangan sporty sementara brek pula menggunakan unit cakera tunggal floating 310 mm berserta angkup monoblock empat piston di hadapan dan cakera 220 mm dengan angkup dua piston di belakang. Tayar adalah bersaiz 110/70 di hadapan dan 150/60 di belakang.

    Walaupun cuma adalah model 250 cc, ZX-25R didatangkan dengan sistem elektronik canggih yang termasuk pilihan dua mod tunggangan (Full atau Low), kawalan cengkaman KTRC serta throttle valve elektronik. Berat keseluruhannya adalah 182 kg manakala tangki bahan api mempunyai kapasiti 15 liter.

    Bagi pasaran Malaysia, model ini dikatakan akan dilancar pada pertengahan tahun ini, tapi nampaknya ia masih lagi belum berlaku. Pada bulan Oktober tahun lepas, CEO Modenas, Roslan Roskan memberitahu bahawa model yang akan dibawa adalah versi terkini dengan meter TFT, dan ia akan dipasang di Malaysia.

    GALERI: Kawasaki Ninja ZX-25R 2023 pasaran Indonesia

    GALERI: Kawasaki Ninja ZX-25R ABS SE 2023 pasaran Indonesia

    GALERI: Kawasaki Ninja ZX-25RR 2023 pasaran Indonesia

     
     
  • BMW CE 02 diperkenal – skuter elektrik urban 15 hp

    BMW CE 02 diperkenal – skuter elektrik urban 15 hp

    Selepas CE 04 (dijual di Malaysia pada harga RM59,500), BMW Motorrad kini memperkenalkan kepada dunia sebuah lagi skuter elektrik, iaitu CE 02. Mahu mengelak daripada perkataan e-bike dan e-scooter, pengeluar dari Jerman ini bagaimanapun memanggil skuter ini sebagai sebuah eParkourer (parkour adalah satu istilah bagi sukan lasak melompat atau mengatasi halangan).

    Sebagai sebuah skuter elektrik, CE 02 direka untuk kegunaan bandar dengan kuasa maksimum cuma 15 hp. Dengan pakej sebegini, CE 02 boleh digunakan bagi mereka yang berumur 16 tahun ke atas dengan lesen pelajar dan sementara, manakala versi 5 hp pula dikeluarkan untuk remaja 15 tahun yang memegang lesen ‘AM’.

    CE 02 versi paling berkuasa boleh ditunggang sehingga laju maksimum 95 km/j dan mempunyai berat 132 kg. Ia menyediakan dua mod tunggangan iaitu “Flow” yang lebih santai dan Surf” yang lebih agresif. Apabila ditambah pula dengan modul “Highline”, ia akan memberikan satu lagi mod iaitu “Flash.”

    Modul Highline itu juga datang sekali dengan pengecas pantas 1.5 kW, yang menggantikan pengecas 0.9 kW standard. Skuter ini menggunakan fork teleskopik di hadapan, monoshock di belakang serta brek cakera di hadapan dengan ABS.

    Turut diberikan terus adalah ASC (Automatic Stability Control), RSC (Recuperative Stability Control) serta sistem bantuan undur untuk memudahkan pengguna meletakkan skuter ini. Tinggi tempat duduk adalah 750 mm dan kelengkapan lain yang disediakan adalah seperti sistem kunci pintar serta semua lampu jenis LED.

    Informasi penting skuter ini dipaparkan pada skrin TFT-LCD 3.5 inci dan ia juga datang dengan soket USB-C. Selain memaparkan informasi penting, sistem skrin ini juga boleh disambung kepada telefon pintar melalui aplikasi BMW Motorrad Connected dan BMW Motorrad Connected Services.

     
     
  • Rekod ‘pemanduan kereta 2 roda paling jauh’ Faidzal Alang dan Proton Saga diiktiraf Buku Rekod Malaysia

    Rekod ‘pemanduan kereta 2 roda paling jauh’ Faidzal Alang dan Proton Saga diiktiraf Buku Rekod Malaysia

    Ingat lagi dulu Proton pernah menggunakan khidmat pemandu dari British iaitu Russ Swift untuk mendemonstrasikan aksi-aksi pemanduan tepat untuk model-model seperti Proton Saga Knight dan Waja? Salah satu aksi yang popular dibuat oleh Russ sudah tentulah memandu dengan hanya dua roda di atas permukaan jalan dan dua lagi terangkat di atas.

    Untuk demonstrasi seperti itu, Proton sekarang tidak perlu lagi khidmat pemandu luar kerana rakyat Malaysia sendiri sudah boleh melakukannya, antaranya pemandu rali dan lagak ngeri dari Ipoh, Faidzal Alang.

    Dan ketika berlangsungnya Karnival MSF-Proton Merdeka Race di Litar Antarabangsa Sepang Ogos tahun lalu, Faidzal berjaya membuat rekod Malaysia dengan melakukan aksi yang digelar “Ski Driving Stunt” dengan jarak 2.9 km di atas litar berkenaan.

    Rekod berkenaan kini sudah pun diiktiraf oleh Buku Rekod Malaysia, dan pengiktirafan tersebut sudah pun diserahkan ketika berlangsungnya Karnival Ulangtahun ke-38 Proton Saga di Pusat Kecermelangan Proton (CoE) semalam.

    “MSF berbangga untuk menjadi sebahagian dari usaha mencatat rekod ini. Kerjasama antara Proton + Faidzal Alang + MSF telah membuahkan hasil yang sukar untuk dijelaskan, ia mungkin nampak mudah tetapi ia memerlukan kemahiran, perancangan dan asas kereta yang baik. Tahniah kepada Faidzal Alang dan Proton untuk Rekod Nasional dalam Buku Rekod Malaysia!” kata MSF dalam hantaran facebook yang dibuat.

     
     
  • Menteri MoT mohon peruntukan RM10j pada 2024 bagi perluaskan program MyLesen B2 – sasar 30k peserta

    Menteri MoT mohon peruntukan RM10j pada 2024 bagi perluaskan program MyLesen B2 – sasar 30k peserta

    Kementerian Pengangkutan (MoT) akan memohon peruntukan sebanyak RM10 juta dari Kementerian Kewangan (MoF) tahun hadapan bagi membolehkan lebih ramai individu dari golongan B40 memperoleh lesen motosikal menerusi program MyLesen B2.

    Menteri MoT Anthony Loke berkata, peruntukan tersebut dapat memberikan manfaat buat lebih 30,000 individu yang layak menyertai program tersebut, berbanding 9,000 individu setahun seperti sebelum ini, laporan Bernama.

    “Kami bercadang untuk memohon lebih banyak peruntukan tahun depan iaitu dua kali ganda atau tiga kali ganda (daripada peruntukan tahun ini sebanyak RM2.7 juta), mungkin RM10 juta. Inisiatif ini bertepatan dengan usaha kerajaan untuk mendidik orang ramai tentang kesedaran pematuhan peraturan jalan raya dan budaya keselamatan jalan raya dalam kalangan belia,” kata Loke.

    FAQ tentang MyLesen B2. Klik untuk besarkan

    Tambah beliau, program MyLesen B2 merupakan komitmen dan usaha kerajaan untuk membantu golongan B40 meningkatkan taraf sosioekonomi dan pendapatan isi rumah melalui peluang dalam sektor ekonomi gig dan banyak lagi.

    “Usaha itu juga didorong oleh hasrat kerajaan untuk sentiasa mempergiatkan aktiviti advokasi dan penguatkuasaan keselamatan jalan raya bagi mengurangkan kadar kemalangan selaras dengan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mengurangkan kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya sebanyak 50% menjelang 2030,” katanya.

    Merujuk kepada FAQ rasmi seperti di atas, program ini menawarkan lesen motosikal kelas B2 (motosikal tidak melebihi 250 cc) kepada mereka yang memenuhi keperluan. Mereka yang layak tidak akan dikenakan bayaran kerana kos latihan dan peperiksaan (termasuk ulangan) akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.