Sebelum ini, BYD SD Motors Malaysia (BYD SDM, sebahagian daripada Sime Darby Motors) telah pun menayangkan teaser bagi Ocean Series dengan tajuk “The New Electric Wave.” Ia merujuk kepada model Dolphin, hatchback elektrik penuh lima-pintu. Malahan sebelum Malaysia, negara jiran termasuk Thailand dan Singapura telah pun melancarkan model Dolphin ini di negara masing-masing.
Kini masanya bakal tiba apabila BYD SDM akan melancarkan EV Dolphin pada 27 Julai ini. Malahan BYD SDM telah membuka pendaftaran minat (ROI) bagi mana-mana individu yang mahu memandu uji EV ini menerusi acara khas yang akan dianjurkan pada 28 hingga 30 Julai ini bertempat di kawasan parkir terbuka di pusat membeli-belah One Utama, Petaling Jaya.
Sewaktu pelancaran Atto 3 di Malaysia pada awal Disember 2022, BYD turut mempertontonkan Dolphin, dan ada perkhabaran menyatakan bahawa ia mungkin boleh dijual pada harga di bawah RM100k, seterusnya menjadikannya sebagai model EV paling mampu milik di Malaysia selepas ini.
Seperti Atto 3, Dolphin juga dihadirkan dengan dua varian iaitu Standard Range dan Extended Range. Walau bagaimana pun, belum dipastikan adakah kedua-dua varian berkenaan bakal dijual di sini atau pun hanya salah satu daripadanya.
Begitu juga dengan perincian penuh untuk varian yang bakal dijual di sini, adakah ia sama dengan penawaran yang diterima di Thailand. Jika di sana, ia ditawarkan dengan kedua-dua varian yang dinyatakan, dengan Standard Range ang menampilkan sebuah motor elektrik di depan yang membekalkan 95 PS (94 hp atau 70 kW) dan 180 Nm tork: pecutan 0-100 km/j dalam masa 12.3 saat. Varian ini menggunakan bateri Blade lithium iron phosphate (LFP) yang dibangunkan oleh BYD sendiri, dengan kapasiti tenaga 44.92 kWh — memberikan jarak 410 km dengan standard NEDC.
Untuk pengecasan, Standard Range menyokong input maksimum 7 kW untuk AC, sementara untuk DC dengan 60 kW, disertakan sekali ciri vehicle-to-load (V2L) untuk menjadi sumber kuasa bagi peranti dan aksesori lain.
Varian paling tinggi pula ialah Extended Range yang menerima dwi-warna badan serta kapasiti bateri yang lebih besar, 60.48 kWh. Ini memberikan jarak perjalanan sehingga 490 km, dengan motor elektrik yang lebih berkuasa yang membekalkan 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan 310 Nm: 0-100 km/j dalam tujuh saat. Untuk pengecasan AC, ia dalam kadar yang sama dengan varian rendah, tetapi untuk DC kadarnya mampu menampung sehingga 80 kW — sokongan V2L adalah standard.
Dari segi kelengkapan, Dolphin hadir dengan lampu utama LED adaptif, cermin sisi dengan pemanas, pilihan rim 16 atau 17-inci, kluster instrumen digital lima-inci, material kulit buatan, sistem infotainmen dengan skrin sentuh 12.8-inci, sokongan Apple CarPlay, sistem tanpa kunci, pendingin automatik, bumbung kaca panoramik dan pengecas telefon tanpa wayar.
Ciri keselamatan pula terdiri daripada sistem pasif biasa (ABS, kawalan cengkaman, ESC) dan disertai oleh ciri aktif seperti kawalan melayar adaptif, brek autonomous kecemasan, peninjau titik buta, amaran lintasan trafik belakang serta amaran dan penghindaran penukaran lorong.
Untuk mengetahui perincian penuh dan harga yang ditawarkan untuk Dolphin di pasaran Malaysia, kita kena nantikan sewaktu ia dilancarkan minggu hadapan. Adakah benar harga bagi Dolphin adalah di bawah RM100k dan mampu memberikan persaingan buat Neta V yang ketika ini menjadi model EV paling mampu milik di Malaysia dengan harga RM99,800. Jika berminat untuk menyertai sesi pandu uji BYD Dolphin ini, sila daftarkan butiran diri anda menerusi PAUTAN INI.
GALERI: BYD Dolphin yang dipertontonkan di Bangkok Internation Motor Show 2023
Untuk pemilik-pemilik trak pikap Ford Ranger di Sabah, ini ada satu peluang untuk anda rasai sendiri kebolehan trak pikap anda dengan bantuan pemandu profesional – Ranger Training Experience akan berlangsung di Perkarangan Kompleks Likas di Kota Kinabalu pda 23 Julai ini!
Program ini dianjurkan oleh pengedar rasmi Ford di Malaysia iaitu Sime Darby Auto ConneXion (SDAC), dan ia sebahagian dari program Ford Ranger Getaways. Ia dirangka bagi membolehkan pemilik Ford Ranger belajar dan mendalami kebolehan Ford Ranger masing-masing tidak kira untuk varian-varian biasa atau Ranger Raptor.
Dua litar akan disediakan dalam program ini iaitu di atas permukaan tar dan juga off-road, di mana jurulatih profesional akan disediakan untuk kedua-dua situasi. Dalam sesi latihan ini peserta akan diajar dengan pelbagai tips asas berguna seperti bagaimana untuk melaras tempat duduk atau bagaimana teknik memutar stereng yang betul dan sebagainya.
Peserta juga berpeluang untuk menguji kemahiran memandu kenderaan 4X4 masing-masing di litar yang direka khas dan diberikan pelbagai halangan.
Dalam sesi ini, anda akan berpeluang untuk mengemudi trak pikap sendiri melalui pelbagai bentuk muka bumi, termasuk laluan dengan sudut kecondongan yang ekstrem, permukaan berlecak dan berbatu serta mencuba pelbagai mod pemanduan. Dan yang paling menarik, peserta juga akan diajar melakukan aksi drfit berkelajuan tinggi menggunakan Ford Ranger masing-masing.
Berminat? Untuk menyertai Ranger Training Experience ini, anda perlu mendaftar dan membuat pembayaran di platform di laman sesawang rasmi SDAC-Ford. Klik PAUTAN INI untuk terus ke platform berkenaan.
Menurut SDAC, setiap peserta yang menyertai program ini turut akan menerima sijil penyertaan dan diserahkan pada hari itu juga. Program ini akan bermula pukul 9.30 pagi dan berakhir pada 2.30 petang pada 23 Julau 2023. Istimewa untuk pemilik Ford Ranger generasi terkini yang belum menebus diskaun 30% untuk Ford Ranger Getaway, kad Inner Circle tersebut boleh digunakan untuk Ranger Training Experience ini.
“Ranger dan Ranger Raptor sangat berkebolehan dan serba boleh, terima kasih kepada pelbagai kemajuan kejuruteraan, teknologi pintar dan ciri keselamatan. Menerusi program Ranger Training Experience dan Ford Ranger Getaways, kami berharap untuk menyediakan lebih banyak cara bagi pelanggan merasai kebolehan sepenuhnya kenderaan mereka serta ‘Live the Ranger Life’ pada tahap sepenuhnya,” kata Turse Zuhair, Pengarah Urusan SDAC-Ford.
Siri teaser Hyundai Malaysia untuk Ioniq 6 diteruskan lagi dengan yang terbaru menunjukkan kiraan hari, yang mengikut hantaran pada hari ini, tertulis tinggal empat hari lagi. Ini membawa kita kepada hari Jumaat, yang mungkin akan menjadi hari pelancaran model tersebut untuk pasaran kita.
Jika mahu melihatnya depan mata, anda boleh terus pergi ke acara EVx 2023 hujung minggu ini di Pusat Konvensyen Setia Alam, yang bermula 22 Julai hingga 23 Julai. Ioniq 6 akan berada di sana bersama pelbagai lagi kereta elektrik dan masuk adalah percuma.
Hasil daripada penggunaan bateri 77.4 kWh, Hyundai Ioniq 6 boleh memberikan jarak gerak sehingga 614 km dengan sekali cas penuh. Turut membantu kecekapannya adalah rintangan angin yang berkadar cuma 0.21 Cd, menjadikannya sebagai antara kereta produksi paling aerodinamik di dunia.
Platform E-GMP Ioniq 6 menggunakan sistem elektrikal 800 volt, dan apabila menggunakan sistem pengecas DC maksimum, tahap baterinya boleh naik 10-80% dalam masa cuma 18 minit, menjadikannya sebagai antara EV yang paling pantas untuk dicas di dunia.
Dengan ketibaan yang sudah diberitahu sejak tahun lepas, Kawasaki Versys 650 2023 yang dijenamakan semula sebagai Modenas oleh EMOS kini dilancarkan untuk pasaran Malaysia, bermula pada harga RM38,400 bagi warna Metallic Spark Black dan RM39,100 untuk warna Candy Limegreen/Metallic Flat Spark Black. Jaminan yang diberikan adalah selama dua tahun tanpa had batuan, bersama bantuan tepi jalan 24 jam percuma.
Model terbaru ini pertama kali ditunjukkan kepada dunia semasa pameran EICMA tahun 2021, dan menerima pelbagai peningkatan. Bermula pada bahagian penampilan, semua panel badannya adalah baru, termasuklah lampu hadapan yang kini menggunakan LED dan kemudiannya, penghadang angin boleh laras secara manual disediakan secara standard.
Di sebalik kepalanya terdapat panel instrumen TFT baru bersaiz 4.3 inci, yang selain menunjukkan pelbagai informasi penting melalui paparan berwarna, ia juga boleh disambungkan kepada telefon bimbit secara bluetooth menggunakan aplikasi Kawasaki Rideology. Sekiranya ada panggilan atau mesej, notifikasi akan dipaparkan pada skrin.
Sistem keselamatan motosikal ini juga telah dinaik taraf, dengan kini ia mendapat kawalan cengkaman KTRC. Dua mod disediakan pada sistem ini bagi membenarkan penunggang menyesuaikannya dengan tunggangan dan keadaan, dan ia juga boleh ditutup sepenuhnya jika mahu.
Bahagian lain Versys 650 masih dikekalkan sama, termasuklah enjin dua silinder selari DOHC 649 cc bersama kotak gear enam kelajuan, menghasilkan kuasa 65.7 hp pada 8,500 rpm dan tork 61 Nm pada 7,000 rpm. Suspensi menggunakan fork teleskopik 41 mm dengan pelarasan pra beban dan lantunan di hadapan, serta monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang.
Berat keseluruhan Versys 650 2023 adalah 219 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 21 liter serta tinggi tempat duduk 845 mm. Rim bersaiz 17 inci hadapan dan belakang, manakala beg barangan pula dijual secara berasingan.
Dua motosikal 650 cc Kawasaki yang dijenamakan semula sebagai Modenas iaitu Ninja 650 dan Z650 versi terbaru tahun 2023 kini tiba di Malaysia, dilancarkan oleh Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) pada harga masing-masing bermula RM34,500 dan RM35,200 tidak termasuk insurans. Dua model ini diperkenalkan kepada dunia hujung tahun lepas dan menerima pelbagai peningkatan untuk menjadikannya lebih moden.
Paling utama adalah pada bahagian keselamatan, di mana dua model ini sekarang menerima tambahan sistem kawalan cengkaman Kawasaki Traction Control (KTRC), sebagai tambahan kepada sistem ABS dual-channel. Sistem ini mempunyai tiga mod yang boleh dipilih, termasuk satu adalah untuk ditutup sepenuhnya.
Kemudiannya di bahagian kokpit terdapat panel paparan TFT 4.3 inci berwarna penuh, yang bukan setakat boleh menunjukkan informasi penting motosikal, tetapi juga boleh disambung kepada telefon pintar melalui aplikasi Kawasaki Rideology untuk akses kepada beberapa lagi fungsi tambahan.
Untuk enjin, unit dua silinder selari 649 cc sama seperti sebelum ini telah menerima beberapa perubahan termasuk pada bahagian intake dan juga ekzos untuk menjadikan ia melepasi tahap emisi Euro4. Kuasa maksimum kedua-dua model ini adalah sama, iaitu 50.2 hp pada 8,000 rpm, tetapi tork Z650 adalah sedikit lebih dengan catatan 65.7 Nm pada 6,500 rpm, sementara Z650 adalah 64 Nm pada 6,700 rpm.
Dari enjin, kuasa dialihkan kepada roda belakang melalui kotak gear enam kelajuan, bersama klac jenis assist & slipper serta pacuan rantai. Kelengkapan lain dua model ini adalah termasuk fork teleskopik dan brek cakera berkembar 300 mm di hadapan, monoshock serta brek cakera tunggal di belakang, dan tangki bahan api 15 liter. Disebabkan panel badan lebihan, Ninja 650 mempunyai berat yang lebih, iaitu 193 kg, berbanding 188 kg bagi Z650.
Model terbaru ini juga menerima beberapa perubahan pada gayanya, dengan antaranya pada bahagian penghadang angin hadapan, tempat duduk serta fairing bagi Ninja 650, dan perumah lampu serta panel tepi bagi Z650, selain grafik terkini. Selain daripada itu, semua lampu model ini juga adalah menggunakan LED, termasuk lampu utama.
Ninja 650 2023 ditawarkan dalam warna Metallic Matte Graphenesteel Gray pada harga RM35,200 dan Lime Green/Ebony pada harga RM35,900, sementara Z650 2023 disediakan dalam pilihan warna Metallic Spark Black pada harga RM34,500 dan Metallic Matte Graphenesteel Gray berharga RM35,200. Semua harga ini tidak termasuk insurans dan diberikan dengan jaminan dua tahun tanpa had batuan serta bantuan tepi jalan percuma.
Chery Malaysia mengumumkan bahawa SUV segmen-B Chery Omoda 5 sudah pun terjual sebanyak 3,000 unit hanya selepas 10-hari dilancarkan di sini.
Menurut syarikat itu dalam kenyataan yang dikeluarkan, ini membuktikan bahawa Omoda 5 telah ‘melangkaui jangkaan’ pelanggan di sini dan ‘merupakan bukti permintaan pasaran yang kukuh dan keyakinan pelanggan terhadap penawaran produk Chery Malaysia.’
Jenama dari China berkenaan kembali ke pasaran Malaysia dengan melancarkan dua produk awalan serentak 6 Julai lalu iaitu Omoda 5 dan juga SUV segmen-D tujuh tempat duduk Tiggo 8 Pro.
Ketika dilancarkan Chery Malaysia menawarkan waranti tambahan untuk enjin selama 10 tahun atau 1 juta km yang mana sampai dulu untuk 3,000 pelanggan terawal. Oleh itu untuk pelanggan selepas ini, waranti enjin yang diberikan adalah sama dengan waranti kenderaan iaitu 7 tahun/150,000 km.
Namun sekiranya ada pelanggan yang mahukan waranti enjin 10 tahun/1 juta km berkenaan, mereka masih boleh mendapatkannya dengan bayaran tambahan RM2,000. Manakala servis percuma selama lima tahun (secara berselang-seli, hanya untuk kos buruh) masih diberikan standard untuk semua pelanggan.
Omoda 5 merupakan model yang berhadapan terus dengan dua SUV segmen-B yang menguasai pasaran Malaysia sekarang iaitu Proton X50 dan Honda HR-V. Ia menampilkan dimensi 4,400 mm panjang, 1,830 mm lebar, 1,585 mm tinggi serta jarak roda sejauh 2,630 mm, atau 70 mm lebih panjang dan 40 mm lebih lebar dari HR-V.
Model pasaran Malaysia ini dijana oleh enjin 1.5 liter empat silinder dengan pengecas turbo menghasilkan kuasa 156 hp dan tork maksima 230 Nm. Kuasa dialirkan sepenuhnya ke roda hadapan menerusi kotak gear CVT automatik yang diberikan sembilan kelajuan maya.
Chery Malaysia menawarkan dua varian Omoda 5 di sini yang dipasang secara tempatan (CKD), dijual pada harga bermula RM108,800 untuk varian asas Omada 5 C dan RM118,800 untuk varian tertinggi Omoda 5 H. Untuk pembeli Chery Omoda 5 C, ia hanya ditawarkan dalam tiga warna badan iaitu Khaki White, Dark Black dan Phantom Grey.
Untuk varian H pula, ketiga-tiga warna tersebut diberikan tambahan serlahan-serlahan merah. Varian tertinggi ini turut ditawarkan dengan tema warna dua tona (bumbung hitam) dan serlahan merah tetapi hanya untuk warna badan Khaki White tetapi memerlukan bayaran tambahan sebanyak RM2,000.
Walaupun baru dilancarkan semula ke pasaran Malaysia, Chery sudahpun mempunyai jaringan pengedar dengan 23 bilik pameran yang sudah pun beroperasi dan lapan outlet lagi akan memulakan perniagaan menjelang akhir Ogos ini. Jaringan servis selepas jualan juga kini sudah beroperasi dengan 22 pusat servis yang sudah beroperasi serta “alat ganti tersedia secara startegik ditempatkan di seluruh Semenanjung dan Malaysia Timur”, menurut Chery Malaysia.
“Sebagai pengeluar automotif dengan pengalaman pembuatan yang luas dan keupayaan inovatif, Chery berdedikasi untuk menyampaikan produk berkualiti tinggi yang memenuhi keperluan pengguna Malaysia. Kami sangat menitikberatkan kualiti, keselamatan dan prestasi produk, berinovasi dan menambah baik teknologi kami secara berterusan untuk terus mendahului permintaan pasaran,” kata Leo Chen, Naib Presiden eksekutif Chery Malaysia.
Hyundai bakal melancarkan dua model kenderaan elektrik (EV) di Indonesia pada tahun hadapan, laporan CNN Indonesia. Kedua-dua model EV berkenaan akan diproduksi di kilang pengeluaran jenama tersebut yang terletak di Bekasi, Indonesia.
Buat masa ini, Hyundai telah memasarkan dua model lama Kona Electriq dan Ioniq, namun kedua-duanya telah tiada dalam pasaran sana dan hanya tinggal Ioniq 5 sahaja yang masih dijual.
“Tahun depan, kami mahu melancarkan dua lagi kereta elektrik di Indonesia. Kami mahu semua kereta elektrik di Korea dibawa ke Indonesia,” kata ketua Hyundai Motor Asean HQ Youngtack Lee. Dua model Hyundai EV yang akan dikeluarkan dan dilancarkan di Indonesia masih belum didedahkan oleh Lee.
Hyundai Ioniq 6 masih dikaji untuk pasaran Indonesia
Sebagai tambahan kepada Ioniq 5, Hyundai Motors Indonesia (HMID) juga mengkaji Ioniq 5 sebagai model berpotensi untuk dilancarkan di pasaran sana, namun tiada kenyataan rasmi dikeluarkan berhubung perkara ini.
Kedua-dua model Hyundai EV itu juga berkemungkinan menggunakan bateri yang dihasilkan secara tempatan di Indonesia, menurut laporan itu. Hyundai dan pembuat bateri LG mengumumkan usaha sama pada 2021 untuk pembinaan kilang di Karawang, Jawa Barat yang akan mengeluarkan sel bateri, yang akan digunakan untuk Hyundai dan Kia EV berdasarkan platform E-GMP.
Pada Mei tahun ini, pembuat kereta itu melancarkan kilang pemasangan bateri Hyundai Energy Indonesia di Bekasi, untuk pengeluaran pek bateri yang akan disesuaikan dengan sel bateri yang dikeluarkan di kilang Karawang. Pengeluaran di dua tapak pengeluaran bateri ini akan dimulakan pada 2024, kata Lee sebelum ini.
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan penutupan penuh laluan (arah selatan) dan pengaktifan laluan kontra (arah utara) di antara KM 0.3 hingga KM 1.78 di Lebuhraya Linkedua pada 26 Julai 2023 bermula jam 7 pagi hingga 2 petang.
Di mana ia melibatkan laluan di antara Kompleks Sultan Abu Bakar dan Immigration Checkpoints Authority (ICA) Singapura.
Menurut PLUS, penutupan lorong dan pengaktifan aliran kontra berkenaan adalah bagi melaksanakan Latihan Simulasi Kecemasan Tumpahan Kimia yang dikendalikan oleh Jabatan Alam Sekitar.
Justeru, para pengguna dinasihatkan supaya memandu berhati-hati, mematuhi arahan papan tanda dan juga petugas trafik sepanjang tempoh latihan tersebut serta merancang perjalanan.
Menurut hantaran satu pengedar Volkswagen di Malaysia, varian paling berkuasa untuk VW Golf Mk8 iaitu Golf R bakal ditawarkan dalam versi pemasangan tempatan (CKD) tidak lama lagi. Menurut pengedar berkenaan, tempahan untuk model tersebut kini sudahpun dibuka namun maklumat lain seperti tarikh pelancaran dan juga anggaran harga belum diperincikan.
Ketika dilancarkan di Malaysia pada Februari 2022, Volkswagen Golf Mk8 ditawarkan dalam tiga varian iaitu R-Line, GTI dan R. R-Line dan GTI terus ditawarkan dalam versi CKD yang dipasang di Pekan, Pahang, sementara Golf R pula diimport sepenunhya. Namun pada awal tahun ini R-Line tidak lagi dijual oleh Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM).
Bua masa sekarang, Golf R yang dibawa terus dari Jerman dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM431,162. Sekiranya benar-benar Golf R ini dipasang di Malaysia, ia akan mencatatkan sejarah sebagai Golf R pertama yang diproduksi luar dari ‘home of the Golf’ di Wolfsburg. Dan boleh dijangka, model CKD ini akan dijual pada harga lebih rendah berbanding CBU.
Volkswagen Golf R Mk8 dijana oleh enjin petrol EA888 2.0 liter empat silinder berkuasa 320 PS (315 hp atau 235 kW) dan tork maksima 400 Nm, berbanding Golf GTI yang hanya menghasilkan 245 PS/370 Nm. Ia masih dipadankan dengan kotak gear klac berkembar DSG tujuh-kelajuan, namun kuasanya dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem AWD 4Motion, berbeza dengan GTI yang hanya memacu roda hadapan.
Kami jangkakan model CKD ini kelak akan menampilkan konfigurasi dan kuasa yang sama dengan versi CBU, namun ia mungkin akan menerima peningkatan perincian iaitu sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) IQ.Drive yang sudahpun ditawarkan pada Golf GTI bermula Mac lalu. Sejak dilancarkan ke pasaran tempatan, Golf R CBU tidak pernah dilengkapi dengan sebarang sistem ADAS.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub mengumumkan bahawa pemilik bengkel kenderaan kini perlu mempamerkan senarai nama mekanik yang bekerja dan juga kelayakan sijil kemahiran masing-masing di kawasan yang mudah dilihat oleh pelanggan di premis mereka, lapor Bernama.
Menurutnya syarat itu adalah antara beberapa penambahbaikan yang terkandung dalam Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) (Pindaan) 2022 yang telah berkuat kuasa di seluruh negara pada 1 Julai lepas, dan langkah ini diambil bagi membolehkan pengguna mendapat maklumat dalam memilih bengkel yang mempunyai mekanik berkelayakan.
Beliau turut menambah bahawa langkah ini juga akan menggalakkan pengusaha bengkel mempersijilkan mekanik yang sedang bertugas atau menggajikan mekanik yang mempunyai sijil kemahiran.
“Selain itu, kriteria lain ialah pengusaha perlu menyatakan dengan jelas mengenai kategori alat ganti yang digunakan sama ada baharu, terpakai atau yang telah dibaik pulih untuk diguna semula. Ini bagi memastikan pengguna mengetahui jenis kategori alat ganti yang digunakan untuk pembaikan atau pengubahsuaian kenderaan mereka,” kata menteri berkenaan.
Beliau juga memberitahu bahawa pindaan peraturan juga mengkehendaki pengusaha menyatakan dengan jelas mengenai kategori alat ganti yang digunakan sama ada baharu, terpakai atau yang telah dibaik pulih untuk diguna semula.
Mengulas lanjut, Salahuddin berkata pindaan peraturan berkenaan telah diwartakan pada 22 Jun 2022 selepas beberapa siri libat urus dengan pihak industri dan sepatutnya berkuat kuasa pada 1 Julai tahun sama, namun penguatkuasaannya ditangguhkan selama setahun bagi membolehkan pihak industri membuat persiapan sebelum penguatkuasaan ke atas peraturan itu dibuat sepenuhnya bermula pada 1 Julai 2023.
“Tempoh penangguhan bagi penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) (Pindaan) 2022 telah tamat pada 30 Jun 2023 dan peraturan ini telah berkuat kuasa sepenuhnya oleh Bahagian Penguatkuasa KPDN di seluruh negara pada 1 Julai 2023.
“Sekiranya berlaku pelanggaran atas ketidakpatuhan kepada peraturan ini boleh dikenakan tindakan seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599),” katanya.
Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.
Siri plat nombor dari Negeri Sembilan, NDY, telah pun dibuka bidaan sejak 15 Julai 2023. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 19 Julai ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 20 Julai 2023. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.
Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Sarawak pula, QCQ, bidaannya pula bakal dibuka mulai 22 Julai ini dan akan berakhir jam 10 malam pada 26 Julai 2023. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 27 Julai 2023.
Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.
Sempena dengan majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023, Ibu Pejabat Polis Kontijen Perak bakal menawarkan pengurangan saman trafik terpilih sebanyak 50% pada Ahad ini, 16 Julai. Program berkenaan akan berlangsung di Bulatan Sultan Azlan Shah, Ipoh, dari jam 8.30 pagi hingga 3 petang.
Walau bagaimana pun, pemberian diskaun saman ini tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya dan saman memotong di garisan kembar
Ini termasuk juga dengan saman Kemalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan lori, saman ubahsuai ekzos dan saman Ops Selamat tahun semasa.
Jadi, jika anda berada di Ipoh atau daerah sekitarnya, jangan lupa ambil peluang ini untuk mendapatkan kadar diskaun bagi saman trafik terpilih. Jangan peram lama saman trafik yang diterima itu, jadilah rakyat yang lebih bertanggungjawab.
Semalam Honda WR-V 2023 telah pun dilancarkan untuk pasaran Malaysia dan ia ditawarkan dengan empat varian, bermula model asas 1.5 S (RM89,900), diikuti varian pertengahan 1.5 E (RM95,900), 1.5 V (RM99,900) dan model spesifikasi tertinggi 1.5 RS (RM107,900).
SUV kompak ini menerima enjin yang sama seperti Honda City dan varian asas HR-V Grade S iaitu unit L15ZF 1.5 liter naturally-aspirated (NA) DOHC i-VTEC empat-silinder petrol yang menghasilkan kuasa 121 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 145 Nm pada takat 4,300 rpm, digandingkan dengan kotak gear CVT automatik dan hanya memacu roda hadapan.
Seperti model Honda lain yang diperkenalkan di pasaran tempatan, WR-V turut ditampilkan dengan pilihan kit badan Modulo dan ia boleh dipadankan untuk kesemua varian. Jadi, tidak kira varian yang mana jadi pilihan, pelanggan boleh ‘menghensemkan’ lagi imej WR-V dengan padanan kit badan Modulo ini.
Pakej Modulo terdiri daripada di bawah spoiler, hadapan, belakang dan sisi SUV kompak ini, termasuk kemasan paip ekzos. Pek komponen ini ditawarkan pada harga RM3,175.
Terdapat tiga pakej yang ditawarkan, yang terdiri daripada kelengkapan kosmetik dan utiliti. Pakej Urban 1.0 (RM954, ditawarkan untuk semua varian) ditambahkan dengan pelindung pintu, pelekat tingkap (untuk C-pillar), kemasan pemijak belakang dan pelindung panel belakang untuk melindungi sudut kemasan bahagian but.
Turut ditawarkan ialah pakej urban (RM1,116) yang terdiri daripada set Urban dengan menambah satu kelengkap iaitu kemasan pemijak hadapan (atau scuff plate, jika anda mahu). Ia ditawarkan untuk varian S,E dan V. Bagi varian RS, ia telah pun sedia ada scuff plate hadapan secara standard.
Aksesori terakhir dipanggil Utility (RM1,052), dan ia merangkumi penutup pelindung pemegang pintu, alas kargo belakang dan organiser untuk but, penutup kereta dan lapisan filem keselamatan reflektif (digunakan pada panel menghadap ke belakang pintu bahagian dalam).
Selain itu, ia juga menawarkan pakej Protection (RM3,007), untuk salutan bahagian tingkap dan badan kereta serta turut diberikan set lock nuts untuk tayar.
Honda Malaysia baru saja melancarkan model terbaru WR-V untuk pasaran Malaysia. Ia sebuah SUV kecil, yang diposisikan penawarannya di bawah HR-V. Dengan kehadiran WR-V, Honda melengkapkan barisan penawaran SUV-nya untuk pasaran tempatan bagi segmen A yang sebelum ini kosong.
Ada empat varian ditawarkan: varian paling asas 1.5 S dijual pada harga RM89,900; 1.5 E berharga RM95,900; 1.5 V pula berharga RM99,900; dan varian paling lengkap 1.5 RS pula ditawarkan pada harga RM107,900. Semua harga ini ialah harga atas jalan dan tidak termasuk insuran. Jika diperhatikan julat harga berkenaan, ia agak bertindih dengan model sedan/hatchback Honda City.
Dan, bukan hanya harga antara dua model ini yang ada persama, tetapi sistem janaan kuasa juga sama. Honda WR-V 2023 menggunakan unit L15ZF 1.5 liter (NA) DOHC i-VTEC empat-silinder petrol yang menghasilkan kuasa 121 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 145 Nm pada takat 4,300 rpm. Ini digandingkan dengan kotak gear CVT automatik yang memacu roda depan.
Dari segi dimensi pula, WR-V sangat mirip dengan saiz Perodua Ativa, dengan ukuran 4,060 mm panjang, lebar 1,780 mm, tingggi 1,608 mm (varian S hanya 1,576 mm) dan jarak roda sejauh 2,485 mm.
Berbanding Ativa, WR-V ini 5 mm lebih pendek, 70 mm lebih lebar, 27 mm lebih rendah dengan jarak antara roda yang juga 40 mm lebih pendek.
Tetapi, dari sudut enjin dan janaan kuasanya, Honda WR-V 2023 mengatasi janaan kuasa Ativa, yang hanya digerakkan oleh enjin 1.0L turbo tiga-silinder yang hanya menghasilkan sebanyak 97 hp dan tork 140 Nm.
Banyak lagi perkara yang perlu anda tahu berkaitan Honda WR-V 2023 ini. Untuk memudahkan semua, kami sentuh secara ringkas perkara-perkara yang ada dan tak ada pada WR-V ini. Semoga bermanfaat.
Pengeluar kereta sports dari United Kingdom, iaitu Caterham telah memperkenalkan sebuah model konsep baru yang dipanggil sebagai Project V. Ia adalah sebuah kereta coupe dua tempat duduk, yang menggunakan rekaan Anthony Janarelly, dan dibuat oleh Italdesign.
Mencatat berat cuma 1,190 kg, kereta ini menggunakan casis komposit gentian karbon dan aluminium, sementara panel badan pula dariada bahan komposit. Ukurannya adalah 4,255 mm panjang, 1,893 mm lebar, 1,226 mm tinggi dan jarak roda 2,581 mm.
Menggerakkan Project V adalah motor permanent magnet synchronous 272 PS/400 V, yang mendapat kuasa daripada bateri lithium ion 55 kWh. Jarak gerak maksimumnya adalah 400 km, dan boleh dicas 20-80% dalam masa 15 minit menggunakan pengecas DC 150 kW. Daripada aspek prestasi, ia boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa bawah 4.5 saat dan mencecah kelajuan maksimum 230 km/j.
Memegang rodanya adalah suspensi double wishbone di hadapan dan belakang, dengan geometri yang boleh dilaras, sementara stereng pula mengguakan kuasa elektrik dan cakera brek datang bersama angkup prestasi tinggi. Rim berlainan saiz digunakan, iaitu 19 inci di hadapan, dan 20 inci di belakang, dan dibalut tayar Michelin Pilot Sport 4S, masing-masing bersaiz 235/35R19 dan 285/30R20.
Informasi penting kereta dipaparkan pada panel instrumen digital di hadapan pemandu, manakala unit infotainmen boleh disambungkan kepada telefon pintar dengan fungsi mirroring. Tiga mod pemanduan disediakan, iaitu Normal, Sport dan Sprint, dengan masing-masing mempunyai karekter maklum balas pecutan serta kuasa stereng yang berbeza.
Menurut Caterham, dengan ujian yang sudah dijalankan, Project V berkemungkinan dapat diperkenalkan dalam versi produksi pada hujung tahun 2025 atau awal tahun 2026, dengan harga yang disasarkan bermula dari 80,000 pound (RM475,320).
Selepas dipertonton buat pertama kali Mei lalu, Hyundai Exter akhirnya dilancarkan secara rasmi untuk pasaran India, sebagai SUV paling murah jenama itu. Ditawarkan dalam lima varian iaitu EX, S, SX, SX (O) dan SX (O) Connect, model ini dijual pada harga bermula 599,900 rupee (RM33k) sehingga 999,990 rupee (RM55k).
Jika melihat kepada segmennya, Exter ini boleh dikira agak kompak dengan ukuran panjang 3,815 mm, lebar 1,710 mm, tinggi 1,631 mm dan jarak roda 2,450 mm. Ia datang dalam pilihan dua enjin, bermula dengan petrol empat silinder NA 1.2 liter Kappa berkuasa 83 PS (82 hp atau 61 kW) pada 6,000 rpm dan tork 113.8 Nm pada 4,000 rpm, dihantar kepada roda hadapan.
Enjin ini dipadankan bersama transmisi sama ada manual atau automatik lima kelajuan, untuk menghantar kuasa kepada roda hadapan. Enjin kedua adalah unit 1.2 liter yang boleh menggunakan bahan api petrol ataupun gas asli mampat (CNG). Kuasa enjin ini bagaimanapun adalah sedikit kurang, iaitu 69 PS (68 hp atau 50.5 kW) dan tork 95.2 Nm, dan cuma datang dengan transmisi manual lima kelajuan.
Suspensi Exter datang dalam tetapan MacPherson untuk hadapan dan torsion beam di belakang, sementara stereng pula menggunakan sistem kuasa elektrik dan brek terdiri daripada cakera di hadapan dan dram di belakang. Saiz rim adalah antara 14 hingga 15 inci, bergantung kepada varian.
Untuk kelengkapan, varian SX (O) Connect paling tinggi datang dengan lampu utama projector halogen, DRL LED, lampu belakang LED, rim 15 inci, balutan tempat duduk gabungan kulit dan fabrik, panel instrumen digital, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh lapan inci (sambungan Android Auto dan Apple CarPlay), bumbung suria boleh buka, sistem kunci pintar, pengecas telefon tanpa wayar, pendingin hawa automatik dengan corong di belakang, dua kamera dashcam serta kotak barangan yang disejukkan.
Semua varian Exter dilengkapi dengan enam beg udara, amaran tali pinggang (semua tempat duduk), auto-lock dengan pengesan kelajuan dan cagak ISOFIX, manakala ESC, ABS, EBD, Brake Assist, Hill Start Assist, kamera undur dan pemerhati tekanan angin tayar diberikan pada varian tertentu.
Warna utama yang digunakan untuk bahagian dalam adalah hitam, tetapi ia mempunyai beberapa tema dengan perbezaan pada kemasannya. Pilihan pertama adalah Cosmic Blue, yang dipadankan bersama bahagian luar yang menggunakan warna sama (bumbung hitam boleh dipilih). Seterusnya adalah Light Sage, dengan pilihan warna luar Ranger Khaki atau Atlas White, dan akhir sekali adalah Silver, yang boleh dipadankan dengan warna luar Starry Night, Fiery Red, Atlas White atau Titan Grey.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengesahkan Tesla Inc bersetuju untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat penting pengeluar kereta elektrik (EV) di rantau ini.
Menerusi mesyuarat secara maya yang berlangsung pagi tadi, katanya, pengasas dan CEO SpaceX yang juga merupakan CEO Tesla, Elon Musk turut bersetuju untuk membuka ibu pejabat (HQ) Tesla di Cyberjaya.
“Ini adalah hal yang menyakinkan kepada pemacuan ekonomi negara. Justeru, dengan kemasukan Tesla ke Malaysia, ia akan memacu ekosistem EV negara. Saya memberi jaminan kepada Musk. Saya meminta Menteri Pelaburan, Perdangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz supaya memberi ruang dan perhatian untuk memenuhi keperluan mereka,” katanya.
Dalam mesyuarat yang turut dihadiri oleh Zafrul dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, Anwar turut mengucapkan tahniah dan dokongan kerajaan atas pembukaan ibu pejabat, pusat servis dan pusat pengalaman jenama kenderaan elektrik Tesla milik Musk di Selangor pada tahun ini.
“Malaysia akan terus memperkasa komitmen dalam soal pelepasan karbon sifar bersih atau ‘net-zero emissions’ seawal-awalnya pada tahun 2050. Malahan Malaysia mempunyai pelan dan ekosistem yang komprehensif, serta sumber yang berdaya saing dalam menyokong industri tenaga bersih termasuk mobiliti elektrik,” katanya lagi menerusi laman Facebook rasminya.
Selain itu, perbincangan turut membabitkan penyertaan syarikat SpaceX dalam perkhidmatan satelit Starlink yang dapat menyumbang kepada capaian internet yang lebih laju dan meluas terutamanya di kawasan pedalaman, yang hanya memerlukan infrastruktur fizikal dan tanah yang minima bagi meningkatkan rangkaian internet global.
“Inisiatif ini akan meningkatkan keupayaan dan kesejahteraan rakyat, terutamanya dari aspek pendidikan dan potensi teknologi pertanian serta penjanaan pendapatan,” tambah Anwar.
Terdahulu, Tesla mengesahkan bakal melancarkan jenamanya secara rasmi di Malaysia pada 20 Julai ini. Pada Mac 2023 pula, Zafrul mengumumkan inisiatif BEV Global Leaders dan pemohon pertama yang diluluskan ialah Tesla Motors, yang dibenarkan untuk menjual kereta di Malaysia tanpa peraturan AP biasa.
Pada Mac 2023 pula, beliau mengumumkan inisiatif BEV Global Leaders dan pemohon pertama yang diluluskan ialah Tesla Motors, yang dibenarkan untuk menjual kereta di Malaysia tanpa peraturan AP biasa.
Sebagai sebahagian daripada usaha itu, Tesla Malaysia perlu memasang sekurang-kurangnya 50 unit pengecas pantas DC dengan kuasa pengecasan minimum 180 kW, dan sekurang-kurangnya 30% (15 unit) daripada pengecas ini perlu terbuka untuk kegunaan umum, termasuk EV dari jenama lain.
Selepas beberapa teaser disiarkan, akhirnya model prestasi elektrik penuh pertama dari divisi perlumbaan dan prestasi Hyundai iaitu Hyundai N kini didedahkan secara rasmi – memperkenalkan, Hyundai Ioniq 5 N! Model ini didedahkan ketika berlangsungnya Goodwood Festival of Speed 2023 di UK, dan menyaksikan buat pertama kali pengeluar automotif Korea Selatan ini menyertai festival sukan permotoran bersejarah yang ikonik tersebut.
Menurut Hyundai, walaupun ini merupakan model EV, ia tetap dibina berasaskan tiga falsafah utama Hyundai N iaitu nakal di selekoh, kebolehan di litar lumba, dan kereta sport yang boleh digunakan setiap hari. Kesemua aspek tersebut dihasilkan menerusi teknologi yang dipelajari Hyundai N dalam sukan permotoran sebenar dan unit-unit prototaip ‘makmal bergerak‘ sebelum ini.
Seperti namanya, Ioniq 5 N ini diasaskan dari crossover EV Ioniq 5 standard. Dari sebelah luar, anda boleh lihat Ioniq 5 N ini nampak lebih gagah dari model biasa kerana badannya 50 mm lebih lebar dan ia 20 mm lebih rendah. Perubahan ini bukan kerana mahukan aspek estetik semata-mata, ia sebenarnya terhasil kerana model ini memerlukan tayar dan juga diffuser belakang yang lebih lebar untuk prestasi pemanduan yang lebih baik.
Muka Ioniq 5 ini nampak lebih agresif dengan bampar hadapan yang diberikan liang ambilan udara besar, menampilkan tirai dan sayap udara berfungsi untuk memberikan aliran udara kepada sistem penyejuk, dan juga lips spoiler lebar yang diletakkan pada bahagian bawah bampar.
Juga terdapat ‘sayap’ yang diletakkan pada bahagian bawah skirt sisi. Manakala di belakang ia diberikan spoiler bumbung lebih besar bersama lampu brek ketiga berbentuk segi-tiga, dan bampar belakang juga nampak lain dari versi biasa dengan diffuser yang sangat menonjol bersama reflektor dengan corak seakan chequered flag. Hyundai turut memberikan pengelap cermin belakang untuk model N ini (tiada pada model biasa).
10 warna badan ditawarkan untuk model ini iaitu Performance Blue Matte, Performance Blue, Abyss Black Pearl, Cyber Gray Metallic, Ecotronic Gray Matte, Ecotronic Gray , Atlas White Matte, Atlas White, Gravity Gold Matte dan Soultronic Orange Pearl. Ia disertai dengan serlahan-serlahan hitam serta jalur-jalur warna oren yang kelihatan seperti merah.
Bagi melengkapkan rupanya, model N penuh ini menerima rim forged aluminium 21-inci berbanding pilihan rim aloi 19- dan 20-inci pada model biasa, dan dibalut dengan tayar Pirelli P-Zero bersaiz 275/35R21. Brek-brek gergasi juga kelihatan disebalik set rim besar tersebut di mana bahagian hadapan diberikan cakera bersaiz 400 mm dan angkup empat-omboh, dan di belakang dibekalkan dengan cakera 360 mm dan angkup omboh tunggal.
Ini antara perincian yang boleh nampak dengan mata kasar. Disebaliknya pula, kerangka Ioniq 5 N ini juga telah dipertingkat. Berbanding Ioniq 5 biasa, kerangka Ioniq 5 N ini menerima 42 titik kimpalan yang lebih banyak bersama bahan perekat badan 2.1 meter lebih panjang.
Cagak-cagak motor elektrik dan bateri juga dipertkuatkan, manakala subframe belakang dan hadapan juga dipertingkat dengan ketegaran sisi lebih kuat.
Untuk unit rangkaian kuasa, Ioniq 5 N yang masih diasaskan dari platform E-GMP ini menerima dua buah motor elektrik masing-masing pada gandar hadapan dan belakang – jadi Ioniq 5 N ini merupakan jentera produksi jalan raya pertama Hyundai N yang menampilkan sistem AWD, memberikan peluang bagi sayap perlumbaan itu memindahkan pengetahuan mereka dari Kejohanan Rali Dunia (WRC) yang telah disertai sejak 2014 kepada model produksi yang dijual di bilik pameran.
Kedua-dua motor berkenaan dipadankan pada gandar pacuan berintegrasi (IDA) yang diinspirasikan dari jentera WRC sebenar, bagi memastikan ia tahan asakan dari motor elektrik berkuasa tinggi. Motor yang memacu gandar hadapan menghasilkan kuasa 226 PS, manakala motor pada gandar belakang pula berkuasa 385 PS.
Secara keseluruhan, ia menghasilkan kuasa gabung 609 PS, dan meningkat kepada 650 PS bersama tork maksima 770 Nm apabila mod N Grin Boost (NGB) diaktifkan. Ini membolehkan Ioniq 5 N tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.4 saat (3.5 saat jika NGB tidak digunakan), sebelum mencapai kelajuan maksima 260 km/j (Ioniq 5 biasa hanya mampu dipandu sehingga 185 km/j).
Tork yang diberi untuk memacu gandar hadapan dan belakang adalah sentiasa bervariasi bergantung pada keaadaan dan ia dikawal oleh N Torque Distribution yang boleh dilaras sehingga 11 tahap. e-LSD turut dipadankan pada gandar belakang bagi mengoptimakan prestasi dan kawalan ketika mengambil selekoh.
Pedal pendikit dan pedal brek pada Ioniq 5 N ini juga diambil perhatian dengan dipadankan N Pedal. Sistem ini dihasilkan bagi membolehkan pemandu merasai pengendalian yang responsif seperti jentera rali Hyundai i20 N WRC, menggunakan perisian pintar yang direka bagi memberikan turn-in ke selekoh yang lebih pantas serta tahap sensitif pedal pendikit yang lebih baik.
Sistem ini juga bekerjasama dengan sistem regenerative braking pada Ioniq 5 N ini dimana ia dapat memindahkan berat ketika kereta menyah pecut, seterusnya membolehkan ia masuk ke selekoh dengan lebih tajam.
Pengetahuan dari SS rali juga memberikan fungsi N Drift Optimizer pada Ioniq 5 N ini. Menerusi fungsi ini, pemandu dapat melakukan aksi drift dengan lebih lama, malah turut boleh memulakan drift dengan aksi clutch kick seperti jentera enjin pembakaran dalaman pacuan roda belakang yang diberikan kotak gear manual menerusi fungsi Torque Kick Drift.
Seperti yang sudah diumumkan sebelum ini, Ioniq 5 N turut dilengkapi dengan sistem N Active Sound + dan juga N e-Shift, iaitu sistem yang akan memberikan bunyi seakan bunyi enjin sebenar dan rasa tukaran gear seperti kotak gear DCT – dan ia kedengaran jelas dalam video rasmi pendedahannya ini!
Menurut Hyundai, sistem ini dibangunkan bukan hanya untuk memberikan sensasi pemanduan seperti kereta sport dengan enjin pembakaran dalaman biasa, malah ia turut akan memberikan tindak balas dan juga kawalan lebih tepat kepada pemandu.
Bagi menghasilkan N Active Sound ini, Ioniq 5 N diberikan 10-pembesar suara (lapan dalam kabin dan dua lagi di luar) bagi memberikan tiga tema bunyi berbeza iaitu Ignition, Evolution dan Supersonic. Bagi bunyi Ignition, ia memberikan bunyi seakan enjin petrol 2.0 liter turbo pada model Hyundai N sebelum ini (i30 N, Kona N dan sebagainya), lengkap dengan dengan bunyi pop & bang!
Untuk tema bunyi Evolution pula akan memberikan bunyi elektrik yang diinspirasikan dari bunyi model konsep RN22e dan N 2025 Vision Gran Turismo Concept. Manakala bagi Supersonic, ia menghasilkan bunyi seakan jet pejuang yang akan memberikan “sensasi pemanduan seperti juruterbang jet pejuang”, dakwa Hyundai. Kesemua tema bunyi ini boleh dilaras sendiri oleh pemandu bagi disesuaikan dengan selera masing-masing.
Untuk N e-Shift pula, ia akan berfungsi secara integrasi dengan N Active Sound. Rasa seakan tukaran gear kotak gear DCT tersebut dihasilkan dengan kawalan terhadap kuasa tork motor elektrik Ioniq 5 N ini. Hyundai menyatakan sistem ini direka bagi membolehkan pemandu menggunakan teknik memandu laju kereta dengan enjin pembakaran dalaman pada Ioniq 5 N ini, dan ia rasa lebih seperti sebuah kereta dengan enjin petrol berbanding EV.
Tidak cukup dengan itu, Ioniq 5 N turut menerima sistem N Launch Control untuk anda ‘berlepas’ seperti roket dan disediakan dalam tiga tahap cengkaman berbeza. Sekiranya anda memandu di litar, fungsi Track SOC (state of charge) akan membantu anda mengira kadar penggunaan kuasa untuk setiap pusingan lap.
Jika anda mahu memandu di litar dengan lama, fungsi N race boleh digunakan dan dalam dua mod; mod Endurance akan mengawal kadar kuasa bagi membolehkan anda memandu dengan jarak lebih jauh dalam litar, manakala mod Sprint akan mengutamkan penghasilan kuasa lebih besar tetapi dengan jarak gerak lebih pendek.
Mod-mod dalam litar ini bergantung kepada sistem penyejukkan bateri istimewa Ioniq 5 N. Ia ini diberikan pakej radiator N dengan bahagian penyejukan yang lebih besar serta menerima penyejuk minyak dan penyejuk bateri serta menerima perisian seperti N Battery Preconditioning dan N Race bagi menyelia dan mengurus kelengkapan-kelengkapan tersebut.
Ioniq 5 N ini juga diberikan sistem regenerative braking digelar N-Brake Regen yang bukan sahaja membolehkan kuasa kinetik ditukarkan kepada kuasa elektrik ketika membrek, malah ia juga membantu memberikan kuasa pemberhentian yang lebih baik. Menurut Hyundai sistem pada Ioniq 5 N ini direka khas bagi membolehkan ia menghasilkan kuasa nyah pecut maksima 0.6 G, iaitu yang paling besar pernah ditawarkan dalam industri.
Sistem N-Brake Regen tersebut masih berfungsi walaupun ABS sedang aktif dengan memberikan kuasa nyah pecut maksima 0.2 G. Manakala untuk sistem brek konvensional, cakera berdiameter 400 mm yang dibekalkan pada model ini menampilkan material ringan dan direka bagi memaksimakan aliran udara.
Ioniq 5 N ini menerima bateri litihium -ion 84-kWj baharu yang dikawal oleh unit inverter dua-peringkat. Jarak gerak untuk model ini masih belum diumum, namun bateri berkenaan boleh dipenuhkan dari 10-80% dalam masa hanya 18-minit menerusi pengecas pantas DC 180 kW. Ia masih menampilkan fungsi V2L (vehicle-to-load) bagi membolehkan kuasa elektriknya digunakan untuk mengoperasikan peralatan elektrik yang lain.
Untuk kabin, Ioniq 5 N ini menerima roda stereng rekaan baharu dengan logo N serta butang-butang mod pemanduan serta mod N Grin Boost. Ia juga diberikan konsol tengah berbeza yang dipanjang bahagian bawah supaya lebih kuat, serta meneriam pelapik untuk sokongan lutut.
Ia juga diberikan tempat duduk bucket yang direka 20 mm lebih rendah dari biasa dan ‘memeluk’ badan pemandu ketika meredah selekoh dengan laju. Motif-motif rekaan chequered flag juga boleh dilihat pada bahagian dalaman ini seperti pada scuff plate, pedal aloi dan juga perehat kaki.
Nissan Almera facelift 2024 telah pun dilancarkan di Filipina, selepas model ini diperkenalkan di pasaran Thailand pada Mei lalu. Terdapat tiga varian ditawarkan di negara itu iaitu 1.0 EL Turbo manual berharga PHP 839,000 (RM69,975), 1.0 VE Turbo CVT berharga PHP 1,059,000 (RM88,323) dan 1.0 VL Turbo CVT berharga PHP 1,149,000 (RM95,797), laporan Autoindustriya.
Ketiga-tiganya diberikan enjin yang sama iaitu 1.0 liter pengecas turbo tiga-silinder petrol yang mampu menghamburkan kuasa 100 PS pada 5,000 rpm dan tork 152 Nm dari 2,400 rpm hingga 4,000 rpm. Ia turut digandingkan sama ada kotak gear manual lima-kelajuan untuk varian asas atau Xtronic CVT untuk dua lagi varian.
Bagi kelengkapan ciri keselamatan untuk Almera 2024 di Filipina, ia ditampilkan dengan enam beg udara, ABS dengan EBD, bantuan brek, kawalan dinamik kenderaan (kawalan kestabilan), cagak Isofix dan bantuan mula mendaki.
Turut diberikan sistem bantuan yang merangkumi amaran titik buta, kepekaan trafik lintasan belakang, amaran ketibaan lorong, bantuan lampu tinggi, paparan pandangan sekeliling (kamera 360-darjah) dan brek kecemasan autonomous. Sebagai tambahan, varian tertinggi VL diberikan sistem pemantauan tekanan tayar.
Nissan Almera facelift 2023 pasaran Thailand
Varian asas EL turut diberikan meter instrumen analog dan paparan pelbagai-informasi kecil, sementara VE dan VL pula menerima panel kombinasi digital dan analog dengan paparan pelbagai-informasi tujuh-inci. Untuk infotainmen, varian VE dan VL turut diberikan unit skrin sesentuh lapan-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto bersama ketersambungan USB. Sementara itu, varian EL pula menerima unit utama double-DIN dengan ketersambungan Bluetooth, USB dan auxiliary audio.
Almera facelift 2024 di Filipina turut ditampilkan dengan kelengkapan Nissan Connect Services, yang boleh boleh digunakan bersama peranti mobil Apple iOS dan Android.
Ia membolehkan pemiliknya untuk mengawal terus dengan kenderaan dan menerima isyarat kecurian. laporan kondisi kenderaan, fungsi kawalan start/stop enjin, pengingatan penyelenggaran, pengaktifan pencahayaan, kepekaan kelajuan, pengesan kenderaan MyCar Finder dan notifikasi pelanggaran automatik serta butang panggilan kecemasan SOS sekiranya pemandu perlu menghubungi perkhidmatan kecemasan bila berlaku kemalangan.
Bukan setakat Lebuhraya PLUS yang menjadi pilihan untuk dijadikan ‘trek lumba haram’, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) turut popular di kalangan mat rempit. Ia menjadi lokasi untuk kumpulan mat rempit terutamanya pada hujung minggu untuk berlumba dan mempamerkan aksi berbahaya.
Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, sepanjang tahun 2023 sahaja, dua kes kemalangan maut membabitkan kumpulan penunggang motosikal direkodkan di laluan berkenaan, laporan Harian Metro.
“Selain laluan Lebuhraya Utara- Selatan (PLUS), Lebuhraya LEKAS antara lokasi yang dikesan menjadi pilihan kumpulan ‘mat rempit’. Lebuhraya LEKAS yang melalui negeri ini bermula dari KM 13.7 hingga KM 43.
“Bagi tempoh Januari hingga 11 Julai 2023, sebanyak 127 kemalangan dilaporkan dengan dua daripadanya membabitkan ‘mat rempit’. Kedua-duanya adalah kemalangan maut dengan masing-masing meragut satu nyawa,” katanya.
Beliau menambah, bagi mengekang aktiviti jalanan, pelbagai usaha dilakukan oleh pihak polis termasuk mengadakan pelbagai operasi penguatkuasaan.
“Sepanjang tahun ini sahaja, sebanyak 11 operasi dijalankan terutama Op Cegah Samseng Jalanan di laluan itu. Sebanyak 444 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan membabitkan penunggang motosikal.
“Manakala sebanyak 20 motosikal disita daripada operasi berkenaan dengan seorang ditahan atas kesalahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Katanya lagi, penunggang motosikal yang menunggang dan memotong secara ‘zig-zag’ yang didapati melanggar undang-undang di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987 iaitu memandu secara berbahaya dan melulu, jika disabitkan kesalahan, pemandu atau penunggang boleh dipenjara sehingga lima tahun serta dikenakan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000. Jika pemandu adalah pemegang lesen memandu percubaan (P), lesen boleh dibatalkan.
“Bagi kesalahan berikutnya, boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan didenda minimum RM10,000, maksimum RM20,000 serta hilang kelayakan lesen memandu sehingga tempoh 10 tahun,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau turut meminta semua pengguna jalan raya agar memandu dengan berhati-hati dan patuhi undang-undang serta peraturan lalu lintas.
“Saya juga menggesa ibu bapa supaya memantau aktiviti anak masing-masing terutama yang menggunakan motosikal kerana kebanyakan yang terbabit dengan mat rempit ini terdiri daripada remaja berusia 16 tahun hingga awal 20-an,” tambahnya.
Pada 10 Julai lalu, akibat melakukan pelbagai aksi berbahaya ketika menunggang motosikal di LEKAS, sekumpulan mat rempit terbabit dalam kemalangan hingga menyebabkan seorang daripadanya maut di tempat kejadian.