Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Proton tegaskan pencarian rakan strategik masih belum tamat, selesai dalam separuh pertama 2017

    Proton tegaskan pencarian rakan strategik masih belum tamat, selesai dalam separuh pertama 2017

    Berikutan desas-desus bahawa Proton telah memuktamadkan pencarian rakan strategik asingnya pada 15 Februari 2017, pengeluar automotif nasional tersebut telah mengeluarkan satu kenyataan rasmi menafikan dan mengelakkan orang awam terkeliru dengan laporan-laporan yang tidak tepat mengenai isu ini.

    Menurut kenyataan berkenaan, Proton menegaskan seperti yang telah diumumkan terdahulu, DRB-HICOM akan menamatkan pencarian dan mengumumkan hasilnya dalam separuh pertama tahun 2017. Buat masa ini, syarikat berkenaan sedang menumpukan kepada proses kritikal mencari rakan strategik asing yang tepat, dan satu pengumuman akan di buat pada waktu yang tepat kelak. Walau bagaimanapun, proses pencarian ini akan diselesaikan secepat mungkin.

    Kenyataan tersebut turut menyebut bahawa proses ini adalah amat kompleks dan akan memakan masa. Setelah menerima bidaan, DRB-HICOM akan memulakan perundingan terperinci dengan pembida-pembida. Ini adalah untuk memastikan semua perkara utama yang akan dipertimbangkan ada di dalam bidaan bakal rakan strategik tersebut. Ini merangkumi keserasian strategik, operasi dan budaya.

    DRB-HICOM kemudian akan memulakan proses kelulusan dalaman, termasuk memanggil mesyuarat pemegang saham, selain proses kelulusan daripada pihak berkuasa untuk membolehkan rakan strategik yang dipilih mengambil alih ekuiti di dalam PROTON.

     
     
  • Lexus LS 500h – gambar awal model hibrid disiarkan

    Lexus LS 500h – gambar awal model hibrid disiarkan

    Selepas satu bulan Lexus LS 500 baru membuat penampilan dunia pertama di Detroit Auto Show, Lexus bersedia untuk menampilkan bulan versi hibrid bagi sedan mewah generasi kelima ini, iaitu LS 500h semasa Geneva Motor Show bulah hadapan. Setakat ini, syarikat itu hanya mengeluarkan satu gambar, yang anda boleh lihat di atas.

    Perincian lain masih lagi dirahsiakan, tetapi boleh dijangka akan menggunakan pakej kuasa seperti LC 500h coupé. Kereta tersebut dipacu oleh enjin V6 suntikan terus 3.5 liter Dual VVT-i, dengan kuasa 294 hp pada 6,600 rpm dan 348 Nm tork pada 4,900 rpm, digabungkan bersama motor elektrik dan bateri lithium-ion 44.6 kW, menjadikan kuasa keseluruhan sebanyak 354 hp.

    Sistem yang dipanggil Multi Stage Hybrid pada kenderaan itu juga menampilkan penggunaan kotak gear automatik empat kelajuan, bagi memberikan rasa yang lebih terus kepada pemandu. Transmisi baru ini menggantikan gear pengurangan yang memperkuat kuasa enjin pada hibrid biasa, seterusnya memberikan lebih kuasa pemanduan apabila memecut.

    Sistem ini meniru rasa kotak gear 10 kelajuan – eCVT mempunyai tiga nisbah gear maya, dibahagikan dengan sembilan melalui tiga nisbah pertama kotak gear tersebut. Gear keempat dan terakhir dianggap sebagai gear 10 dalam nisbah maya. Ini membolehkan kelajuan enjin ditingkatkan secara linear dan terus semasa memcut, seterusnya menghapuskan kesan rubber band yang ada pada kotak gear CVT biasa.

    Pada bahagian lain, LS 500h juga boleh dijangka mempunyai kelengkapan sama sepert LS 500 termasuk tempat duduk yang boleh dilaras secara elektronik 28 pergerakan, tempat duduk yang boleh disandar 48 darjah ke belakang, fungsi mengurut, penyejuk dan pemanas pada tempat duduk hadapan dan belakang, skrin paparan 12.3 inci dan head-up display paling besar di dunia – 24 inci.

    Juga diberikan adalah Active Noise Control, sistem bunyi 3D Mark Levinson dengan pembesar suara di bumbung, serta Lexus Safety System + dengan pengesan dan pengelak pejalan kaki. Satu lagi ciri baru adalah Lexus CoDrive yang memberikan ciri pemanduan separa automatik di atas lebuh raya.

    Lexus LS dibina atas platform global baru GA-L – yang pertama kali digunakan pada model LC – menjanjikan kawalan kenderaan lebih lincah dan prestasi yang tidak menjejaskan keselesaan. Penggunaan bahan baru serba ringan dapat mengurangkan lebih 90 kg daripada platform dan badan kenderaan ini sahaja.

    GALERI: Lexus LC 500h

     
     
  • Lexus NX 200t Black Edition – kemasan hitam, RM312k

    Lexus NX 200t Black Edition – kemasan hitam, RM312k

    Selepas memperkenalkan Toyota Hilux 2.4G Edisi Terhad awal hari ini, UMW Toyota Motors melalui jenama Lexus mengumumkan pula model NX 200t Edisi Khas di laman Facebook mereka.

    Seperti yang dapat dilihat pada gambar, model berkenaan menggunakan NX 200t semasa, dengan tambahan kemasan hitam terutama pada bahagian gril dan perincian lainnya, menyuntik penampilan yang sedikit berbeza padanya.

    Dibandingkan dengan versi biasa dengan enjin 2.0 liter yang menghasilkan 235 hp/350 Nm kuasa dan tork, edisi khas ini menggunakan kemasan hitam bagi menggantikan kemasan krom yang digunakan sebelum ini. Di bahagian tepi, cermin sisi dan bahagian lengkungan roda turut diberi sentuhan yang sama.

    Selain itu, peningkatan dan penambah baikan lain yang diterima oleh model edisi khas ini adalah termasuk bumbung panoramik, Smart Card Key, pintu kuasa untuk bahagian belakang serta rim hitam 18 inci untuk dipadankan dengan penampilan keseluruhannnya.

    Versi edisi khas ini dijual pada harga RM312,000, iaitu hanya RM2,100 lebih mahal berbanding NX 200t. Dengan semua tambahan serta peningkatan ciri yang dilakukan, dan sekiranya anda inginkan penampilan NX yang lebih sporty dan ranggi, versi ini nampak lebih berbaloi.

     
     
  • TUNGGANG UJI: Modenas Elegan 250 – prestasi dan keselesaan untuk perjalanan jauh; berbaloi dimiliki?

    TUNGGANG UJI: Modenas Elegan 250 – prestasi dan keselesaan untuk perjalanan jauh; berbaloi dimiliki?

    Mungkin ramai yang merasakan kehadiran Motosikal & Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) di dalam pasaran motosikal tempatan agak sepi sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini. Jika diukur dari momentum pengenalan model-model baru yang menarik perhatian umum, memang ada kekurangannya.

    Bukannya tak ada model baru, atau lanjutan varian dari model sedia ada oleh Modenas. Sebagai contoh, kapcai Modenas CT115S diperkenalkan pada 2015. Tetapi, dengan pesaing-pesaing lain dalam pasaran yang begitu giat memperkenalkan jentera-jentera dari kategori baru (misalnya motosikal berkapasiti 150 cc), Modenas kelihatan agak ketinggalan dalam merebut dan memenangi tanggapan pengguna umum.

    Sekali lagi, berkenaan enjin 150 cc, bukannya Modenas tidak bergerak ke arah itu. Pengeluar motosikal nasional ini pernah menyuarakan keinginan mereka untuk memperkenalkan enjin berkenaan sebelum ini. Namun, sehingga kini ia masih lagi belum dipasarkan. Dalam tempoh itu juga, Yamaha dan yang terbaru Honda, terlebih dahulu masuk pasaran dengan barisan model 150 cc mereka.

    Mengapa ambil masa yang lama? Enjin 150 cc berkenaan dibangunkan sendiri oleh Modenas, bukannya diambil atau disediakan oleh pengeluar lain. Ia juga menghimpunkan tenaga dan kepakaran tempatan di dalam proses pembangunannya. Kali terakhir kami tanyakan kepada Modenas sendiri, model dengan enjin 150 cc dijangka akan diperkenalkan dalam tahun ini, mungkin seawal April nanti.

    Walaupun begitu, model-model sedia ada tetap dijual dikedai-kedai; pegangan pasaran tahun lalu juga naik sedikit kepada 9% berbanding 7% pada 2015. Sehinggalah hujung tahun lalu, suasa sedikit berubah buat Modenas ketika syarikat ini mengumumkan kerjasama dengan Kymco dari Taiwan.

    Baca laporan lanjut di sini

     
     
  • Pagani Huayra Roadster – kuasa 764 hp, 1,000 Nm tork

    Pagani Huayra Roadster – kuasa 764 hp, 1,000 Nm tork

    Enam tahun selepas pengenalan Pagani Huayra coupe, pengeluar supercar dari Itali itu memperkenalkan pula Huayra Roadster. Menggunakan enjin Mercedes-AMG M158 5,980 cc twin turbo V12 kereta ini boleh menghasilkan sehingga 764 hp pada 6,200 rpm dan 1,000 Nm tork pada 2,400 rpm.

    Jumlah kuasa yang tinggi ini menjadikan Huayra Roadster lebih berpotensi berbanding Pagani paling berkuasa iaitu Huayra BC dengan 750 hp. Huayra Roadster mempunyai berat kering 1,280 kg, dan menurut pengeluarnya, ia 80 kg lebih ringan berbanding Huayra Coupe.

    Walaupun peningkatan kuasa datang daripada kapasiti enjin yang sama, bahagian pengecas turbo enjin telah direka semula untuk memberikan “tindak balas lebih cepat tanpa kelambatan,” dan enjin tersebut secara keseluruhannya menurut Pagani, memenuhi tahap emisi Euro 6b dan CARB.

    Kuasa yang terhasil dihantar ke roda belakang melalui kotak gear tujuh kelajuan, klac tunggal keluaran X-Trac, bersama synchroniser karbon baru, dan diletakkan melintang, lengkap bersama differential kawalan elektronik. Menurut Pagani, tetapan ini adalah 40 peratus lebih ringan berbanding kotak gear klac berkembar yang sama.

    “Ini adalah projek paling sukar pernah kami lakukan,” kata pengasas Pagani, Horacio Pagani berkenaan Huayra Roadster. Model roadster ini mempunyai ‘mulut’ yang lebih luas dan jelas, bersama lengkuk roda lebih lebar, roll bar yang direka semula dan bahagian dalam yang dinaik taraf.

    Huayra Roadster ini dapat menjadi lebih ringan berbanding versi coupe hasil daripada pembangunan baru bahan komposit, atau lebih tepat lagi, campuran titanium dan gentian karbon. Kombinasi Carbo-Titanium dan Carbo Triax HP52 bukan sahaja menjadikan kenderaan ini lebih ringan, malah juga lebih tegap. Pagani menyatakan bahawa bahan ini lebih maju berbanding bahan yang digunakan pada kenderaan F1.

    Pagani Huayra Roadster ditetapkan untuk membuat penampilan awam semasa Geneva Motor Show Mac ini. Harganya? Bermula daripada 2,280,000 euro (RM10,724,448) termasuk cukai; semua 100 unit yang akan dikeluarkan sudah ada pembeli yang berpotensi.

    GALERI: Pagani Huayra Coupe

     
     
  • Mazda 6 2017 tiba di Malaysia – dapat tambahan sistem G-Vectoring Control, harga meningkat RM6,553

    Mazda 6 2017 tiba di Malaysia – dapat tambahan sistem G-Vectoring Control, harga meningkat RM6,553

    Dalam senyap, pengedar rasmi kenderaan Mazda di Malaysia, Bermaz telah memperkenalkan Mazda 6 baru untuk pasaran 2017, dengan sedan tersebut diberikan peningkatan pada kelengkapan serta teknologi yang ada padanya. Harga juga meningkat sedikit berbanding sebelum ini.

    RM6,558 ditambah kepada harga semua varian, menjadikan sedan 2.0 liter petrol pada RM170,407, sedan 2.5 liter petrol RM206,896, wagon 2.5 liter petrol Touring RM211,006 dan sedan 2.2 liter diesel RM215,264. Semua harga ini adalah untuk atas jalan, tanpa insurans, termasuk jaminan tiga tahun dan servis percuma tiga tahun.

    Memandangkan Mazda 6 telah diberikan facelift beberapa tahun yang lepas, pembaharuan kali ini tidak melibatkan banyak peningkatan selain lampu penunjuk arah LED pada cermin sisi dan pilihan warna Machine Grey baru. Warna baru ini juga ada diperkenalkan pada SUV CX-9. Di dalam, model Mazda 6 2017 ini boleh dibezakan dengan roda stereng three-spoke yang lebih kurus, juga seperti CX-9.

    Mazda 6 2017 tiba di Malaysia – dapat tambahan sistem G-Vectoring Control, harga meningkat RM6,553

    Turut diperbaharui adalah Active Driving Display pada model 2.5 petrol dan 2.2 diesel – unit paparan head-up-display kenderaan ini kini menggunakan warna penuh dan mempunyai kecerahan, kontras serta definisi yang lebih, manakala tetapan sudut kecondongan, kecerahan dan muatannya boleh disimpan dalam memori bersama tetapan tempat duduk.

    Pada panel meter, paparannya juga dipertingkat dengan unit skrin warna penuh, bersama grafik fungsi suhu dan kompas yang direka semula. Perubahan lain yang boleh dilihat adalah konsol atas yang mempunyai lampu LED.

    Kelengkapan standard untuk model 2.0 liter asas adalah termasuk lampu utama dan lampu kabus halogen, rim 17 inci aloi, sistem tanpa kunci, butang pemula enjin, lampu dan pengelap cermin automatik, tempat duduk dan kemasan kulit, pelarasan tempat duduk hadapan elektronik dengan simpanan memori pada bahagian pemandu, ciri pemalapan automatik pada cermin pandang belakang, kawalan suhu dua zon, sistem informasi dan hiburan MZD Connect, enam pembesar suara dan kamera undur.

    Varian 2.5 liter petrol pula dilengkapi dengan lampu utama dan kabus LED, rim aloi 19 inci, bumbung suria, pedal penukar gear di stereng, head-up display, sistem penjanaan semula kuasa brek i-ELOOP dan sistem bunyi 11 pembesar suara Bose. Model diesel mendapat kelengkapan yang sama, cuma tiada i-ELOOP.

    Enjin model ini juga dikemas kini, di mana bagi yang menggunakan transmisi automatik enam kelajuan SkyActiv-Drive, tindak balas pendikit dijadikan lebih linear, hasil peningkatan tork yang diperhalusi. Selain itu, sistem G-Vectoring Control turut diserap pada enjin Mazda 6 dan ini adalah satu sistem yang boleh mengawal tork enjin berdasarkan beban pada setiap roda, seterusnya meningkatkan rasa kawalan, stereng dan stabiliti.

    Bagi yang menggunakan enjin diesel 2.2 liter SkyActiv-D pula, ia akan diperbaharui dengan High-Precision DE Boost Control, untuk menajamkan lagi tindak balas pendikit, serta penyerap di bahagian pin piston yang dinamakan sebagai Natural Sound Smoother. Turut diubah adalah pemasaan suntikan bahan api (Natural Sound Frequency Control) untuk mengurangkan ‘knocking’ dan gegaran enjin.

    Selain daripada itu, enjin masih lagi sama. Enjin SKYACTIV-G empat silinder 2.0 liter petrol menghasilkan 153 hp pada 6,000 rpm dan 200 Nm tork pada 4,000 rpm, manakala varian 2.5 liter berkemampuan 185 hp pada 5,700 rpm dan 250 Nm pada 3,250 rpm. Bagi varian diesel yang menggunakan enjin twin-turbo pula, ia berkemampuan 173 hp pada 4,500 rpm dan 420 Nm tork pada 2,000 rpm. Kotak gear automatik SkyActiv-Drive enam kelajuan pula adalah standard untuk semua.

    Harga yang dipaparkan pada laman web Mazda Malaysia masih lagi adalah harga model lama, bermaksud, model lama tersebut mungkin masih lagi dijual sebagai satu alternatif yang lebih murah. Perhatikan spesifikasi dan kelengkapan penuh semua Mazda 6 yang dijual di Malaysia di CarBase.my.

     
     
  • PSA Group kini sedang berbincang dengan General Motors untuk mengambil alih jenama Opel-Vauxhall

    PSA Group kini sedang berbincang dengan General Motors untuk mengambil alih jenama Opel-Vauxhall

    Pemilik jenama Peugeot dan Citroen, PSA Group kini sedang dalam peringkat perbincangan dengan General Motors (GM) untuk mengambil alih jenama Eropah di bawah naungan kumpulan automotif Amerika Syarikat berkenaan, iaitu Opel-Vauxhall. Jika pengambilalihan ini berjaya kelak, PSA Group bakal menjadi kumpulan automotif kedua terbesar di dunia, di bawah Volkswagen Group, mengatasi Pakatan Renault-Nissan yang baharu sahaja memiliki Mitsubishi Motors Corporation.

    Jurucakap PSA mengesahkan syarikatnya kini sedang “meneroka berberapa inisiatif strategik dengan GM dengan mensasarkan peningkatan keuntungannya serta kecekapan operasi, termasuk mungkin akan mengambil alih Opel.” Walau bagaimanapun PSA menambah masih lagi tiada keputusan sebenar dibuat untuk perjanjian ini.

    Menurut Reuters, GM boleh menyimpan kepentingan dalam entiti yang diperbesarkan. Kedua-dua kumpulan telah cuba untuk membentuk pakatan sebelum ini dan berakhir dengan GM menjual kepentingannya kepada PSA pada tahun 2013. Setakat ini, kedua-dua pihak berkongsi produksi kenderaan komersial ringan dan juga berberapa model SUV.

    PSA yang sebelum ini berada di ambang muflis pada 2013 hingga 2014 kini bangkit semula dan merekodkan tahap pendapatan yang tinggi. Di bawah pimpinan Carlos Tavares, kumpulan berkenaan telah menjual 3.15 juta kenderaan tahun lalu. Laporan agensi berita tersebut turut menyebut Tavares telah memberikan respon positif terhadap kerjasama yang boleh meningkatkan skala dan kebolehan PSA bagi mencapai permintaan pelaburan terhadap teknologi elektrik pada kenderaan, teknologi pemanduan dan perkhidmatan perhubungan.

    Selain dari perbincangan untuk mendapatkan Opel-Vauxhall ini, PSA turut disenarai pendekkan oleh Proton untuk mengambil alih 51% pegangan di kilang Tanjung Malim milik syarikat automotif nasional Malaysia itu sebagai timbal balik untuk menjadi rakan strategiknya, bersaing dengan Geely dari China.

    GM pula sebaliknya gagal untuk membuat keuntungan dari Opel. Walaupun tahun lalu pasaran kenderaan baharu Eropah merekodkan jualan tertinggi sejak 2007, Opel gagal untuk mendapatkan pulangan modal. Sebelum ini, GM cuba untuk menjual Opel kepada pengeluar komponen dari Kanada iaitu Magna semasa dalam krisis kewangan, tetapi membatalkan perjanjian pada 2009 tersebut.

    Menurut Reuters lagi, tindakan GM untuk menjual Opel akan menjadi demonstrasi paling dramatik oleh CEO Mary Barra dalam strateginya untuk mengutamakan keuntungan lebih dari bahagian pasaran. Sejak mengambil alih pimpinan di dalam GM pada Januari 2014, Barra telah membuat keputusan untuk memberhentikan operasi di bahagian pasaran yang tidak menguntungkan GM iaitu di Rusia dan Indonesia, berhenti dari menjual Chevrolet di Eropah, dan mengurangkan jualan kepada syarikat kereta sewa yang kurang menguntungkan di Amerika Syarikat yang hanya untuk menaikkan bahagian pasaran.

     
     
  • Penunggang motosikal di Putrajaya dapat petrol percuma dua kali sebulan; langkah ringankan beban

    Penunggang motosikal di Putrajaya dapat petrol percuma dua kali sebulan; langkah ringankan beban

    Jika anda tinggal di sekitar Putrajaya dan menunggang motosikal, ini mungkin berita baik untuk anda. Belia UMNO Putrajaya memperkenalkan program pemberian petrol percuma dua kali sebulan bagi pengguna motosikal dengan kapasiti 150 cc ke bawah di kawasan itu, seperti dilaporkan Bernama.

    Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menjelaskan, program berkenaan yang dilaksanakan pada minggu kedua dan ketiga setiap bulan adalah bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan penduduk sekitar, terutama golongan belia.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata program berkenaan yang bermula semalam adalah merupakan lanjutan kepada usaha yang dijalankan sejak bulan lalu di Labuan dan Kuala Lumpur, dengan sambutan menggalakkan daripada orang awam.

    “Program ini telah diadakan dua kali di Labuan, kemudian di Bandar Tun Razak, Segambut, Bukit Bintang, Setiawangsa dan Lembah Pantai di Kuala Lumpur,” jelas beliau. “Usaha ini akan diteruskan ke kawasan-kawasan lain selepas ini, bergantung kepada keadaan ekonomi,” tambahnya.

    Kira-kira 200 motosikal diisikan petrol pada program “Jom Isi Minyak” yang dianjurkan semalam, bermula dari 6 petang.

     
     
  • Citroen Space Tourer 4X4 E Concept – sedia untuk buat penampilan di Geneva Motor Show Mac ini

    Citroen Space Tourer 4X4 E Concept – sedia untuk buat penampilan di Geneva Motor Show Mac ini

    Dengan hanya beberapa minggu saja lagi sebelum Geneva Motor Show bermula, Citroen telah menunjukkan Space Tourer 4X4 E Concept, sebuah kenderaan yang menggabungkan kebolehan offroad, kepelbagaian dan keselesaan, mendapat inspirasi daripada koleksi kenderaan gaya hidup ‘E’ Citroen.

    Gaya yang dibawa adalah serba ranggi dan dinamik, dengan terdapat skid plate di hadapan dan belakang, rel bumbung dan tayar yang diikat rantai supaya boleh bergerak di dalam salji. Ia kemudiannya dicat dengan warna putih istimewa dan mempunyai grafik camouflage. Juga boleh dilihat adalah lambang 4×4 di bawah cermin sisi dan penutup but.

    Untuk masuk ke bahagian dalam, penumpang boleh menggunakan pintu belakang jenis gelungsur, dan akan disambut dengan suasana yang lapang, hasil penggunaan bumbung panoramik luas dan ia boleh menempatkan sehingga sembilan orang penumpang. Tempat duduk Citroën Advanced Comfort® disediakan untuk menjamin keselesaan.

    Kelengkapan bantuan dan berteknologi pada kenderaan ini juga agak banyak, dengan antaranya sistem navigasi 3D Citroen Connect Nav, skrin sesentuh 7 inci, head-up display, kamera top rear vision, sistem pengesan titik buta, penghad kelajuan dengan pengenalan tanda jalan, fungsi lampu tinggi automatik, sistem amaran keluar lorong, brek aktif, amaran risiko perlanggaran dan Adaptive Cruise Control.

    Keistimewaan sebenar Space Tourer 4×4 E Concept adalah kemampuan offroad. Kuasa penggeraknya datang daripada enjin diesel BlueHDi 150 S&S, dan disampaikan melalui kotak gear manual enam kelajuan keluaran Automobiles Dangel, iaitu sebuah syarikat pakar kenderaan yang boleh dipandu di pelbagai permukaan.

    Bagi memberikan lebih kebebasan, kotak gear ini mempunyai dua tetapan kawalan gandar iaitu Auto 4WD dan R.Lock. Ia boleh dikawal melalui tombol yang terdapat pada papan pemuka.

    Walaupun boleh dihasilkan dalam tiga saiz iaitu XS, M dan L, Space Tourer 4×4 E Concept ini ditampilkan dalam versi kompak XS, dengan panjang badan hanya 4.6 m dan tinggi 1.9 m. Meskipun versi 4×4 ini mempunyai badan lebih tinggi, ia masih di bawah 2.0m, seterusnya membolehkan ia masuk ke kebanyakan tempat letak kereta biasa.

     
     
  • SPAD tiada kuasa halang teksi motosikal Dego Ride

    SPAD tiada kuasa halang teksi motosikal Dego Ride

    Susulan kerajaan telah meminta perkhidmatan teksi motosikal Dego Ride dihentikan serta-merta, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar berkata pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk mengekang perkhidmatan teksi motosikal kerana tidak diperuntukkan oleh undang-undang sedia ada.

    Katanya, isu ini perlu dibincangkan dalam sidang parlimen akan datang, laporan Bernama.

    “Motosikal tidak termasuk dalam senarai pengangkutan awam yang membawa penumpang bagi tujuan meraih pendapatan,” katanya kepada pemberita semalam.

    Pada masa sama, Syed Hamid mengingatkan pengusaha teksi motosikal berkenaan agar bersedia menghadapi tindakan undang-undang kerana beroperasi tanpa lesen.

    Semalam, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai memberi amaran kepada syarikat perkhidmatan ‘Dego Ride’ agar tidak mencabar undang-undang negara setelah diarahkan menghentikan perkhidmatan tersebut atas faktor keselamatan.

    Katanya, perkhidmatan Dego Ride menyalahi Seksyen 23 Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 dan Seksyen 16 dan 47 Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang pengusaha syarikat tersebut boleh dihadapkan ke mahkamah. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan SPAD akan melancarkan operasi penyamaran bagi membanteras perkhidmatan teksi motosikal itu.

     
     
  • Toyota Hilux 2.4G AT Edisi Terhad kini dibuka untuk tempahan – harga bermula dari RM126k, aksesori tulen

    Toyota Hilux 2.4G AT Edisi Terhad kini dibuka untuk tempahan – harga bermula dari RM126k, aksesori tulen

    UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) kini mengumumkan penawaran Toyota Hilux 2.4G AT Edisi Terhad untuk pasaran Malaysia. Hilux dari varian ini tampil dengan imej lebih menonjol dan gagah, disumbangkan oleh tambahan dari pakej Toyota Genuine Accessories. Ia kini dibuka untuk tempahan pada harga RM126,000 dan akan mula berada di bilik pameran Toyota seluruh negara pada 17 Februari.

    Antara kemasan baru yang diterapkan kepada model edisi terhad ini ialah penggunaan gril hitam yang sedikit sebanyak menjadikan rupa bahagian depannya lebih garang, serta penggunaan Bumper Guard yang memberi mencadangkan bahawa trak pikap ini serasi dengan cabaran off-road, jika perlu.

    Imej ini dilengkapi dengan pelindung lampu utama yang datang dengan kemasan kelabu gelap. Ini diikuti di bahagian pelindung lampu kabus serta kemasan akhir pada bonet – juga hadir dengan warna sama. Jika cermin sisi pada varian biasa berwarna krom, bagi edisi terhad ini sebaliknya menggunakan rekaan gentian karbon sebagai ganti.

    Toyota Hilux 2.4G AT Edisi Terhad kini dibuka untuk tempahan – harga bermula dari RM126k, aksesori tulen

    Lampu belakang juga disertakan dengan pelindung dalam warna kelabu gelap. Jalur hiasan turut didapati pada permukaan bonet, sementera pelekat hitam pada bahagian bumbung menyumbang kepada kelainan ketara yang membezakan varian edisi khas ini daripada varian biasa sebelumnya. Bahagian sisi dan belakang turut menerima rekaan jalur khas.

    Pada bahagian lengkung tayar juga disertakan dengan fender lanjutan warna hitam, bertujuan melindungi badan kenderaan daripada lantunan batu yang mungkin terpelanting daripada bahagian tayar ketika dalam perjalanan.

    Semua aksesori ini dipasang oleh pusat aksesori UMW Toyota Motors sendiri. Semuanya sudah diuji dengan piawaian tinggi oleh Toyota, dan datang dengan jaminan terhadap kerosakan pengilangan (manufacturing defects). Bagi spesifikasi teknikal serta enjin, semua kekal sama seperti yang ada pada versi yang dilancarkan sebelum ini.

    Selain model edisi terhad ini, UMW Toyota Motors juga memperkenalkan Hilux 2.4G STD 2017, dengan pilihan kotak gear manual atau automatik, dengan tanda harga yang lebih rendah – RM108,500 (atas jalan, termasuk insurans).

    Enjin 2.4 liter 2GD-FTV baru yang digunakan menjana kuasa yang 47% lebih tinggi berbanding enjin 2.5 liter yang digantikannya. Output pula ialah 150 PS pada 3,400 rpm dan tork 400 Nm antara 1,600 dan 2,000 rpm; bagi tork, ia 54% lebih tinggi berbanding enjin lama berkenaan.

    Bagi transmisi, ia menggunakan kotak gear enam-kelajuan yang dikawal secara elektronik, untuk lebih lancar dan cekap. Ini termasuk logik Super ECT dengan Deceleration Downshift Control, serta AI Shift Control yang akan membuat pilihan gear bersesuaian mengikut suasana pemanduan.

     
     
  • Dego Ride bakal mohon operasinya dapat kelulusan kerajaan bagi bantu golongan B40 tambah pendapatan

    Dego Ride bakal mohon operasinya dapat kelulusan kerajaan bagi bantu golongan B40 tambah pendapatan

    Pengasas dan ketua pegawai eksekutif Dego Ride, Nabil Feisal Bamadhaj akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bulan hadapan untuk memohon kelulusan bagi perkhidmatan ‘teksi motosikal’ mereka selepas operasi syarikat tersebut diarahkan untuk dihentikan serta merta baru-baru ini, lapor Bernama.

    Menurut Nabil, cadangan berkenaan termasuk berkaitan tujuan syarikat itu memperkenalkan perkhidmatan Dego Ride iaitu bagi membantu kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40), yang menurutnya adalah sejajar dengan rancangan kerajaan.

    “Idea ini bertumpu kepada kumpulan B40, yang memiliki motosikal sebagai pelaburan pertama mereka dan di situlah hadirnya Dego Ride, untuk memberi peluang kepada mereka memperoleh atau menjana pendapatan secara sendiri,” katanya ketika dihubungi agensi berita tersebut.

    Nabil juga berharap kerajaan akan memberikan kelulusan kepada Dego Ride melalui cadangan tersebut dan mempersoalkan mengapa Malaysia tidak boleh mengamalkan sistem sedemikian sedangkan Indonesia, Thailand dan malah Sepanyol telah melaksanakan operasi yang serupa.

    Nabil juga menjelaskan, Dego Ride yang dilancarkan pada November tahun lepas setakat ini mempunyai kira-kira 6,000 penunggang yang berkhidmat dengan mereka. Dego juga mengenakan tapisan ketat terhadap penunggangnya bagi memastikan mereka tidak pernah melakukan kesalahan jenayah dan lalu lintas serta mendakwa mereka sebagai “perkhidmatan pengangkutan paling murah” dengan menawarkan caj RM2.50 bagi tiga kilometer pertama.

    Sebagai respon kepada arahan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai untuk menghentikan operasinya, Nabil turut meminta kesemua penunggangnya supaya menghentikan operasi mereka dengan serta-merta.

    Liow turut memberikan respon kepada permintaan Nabil dan mengajak Dego Ride tampil dalam tempoh tujuh hari untuk berbincang dengan kementeriannya, namun menegaskan Kementerian Pengangkutan tetap dengan keputusan mengharamkan perkhidmatan itu berikutan isu keselamatan penumpang dan menyalahi Seksyen 23 Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 serta Seksyen 16 dan 47 Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

     
     
  • Nilai Autopass di sempadan Singapura perlu cukup untuk RRC bagi elak dikenakan penalti bermula 15 Feb

    Nilai Autopass di sempadan Singapura perlu cukup untuk RRC bagi elak dikenakan penalti bermula 15 Feb

    Menjelang Caj Jalan Raya Timbal Balas (RRC) sebanyak S$6.40 yang bakal dikenakan pada semua kenderaan bernombor pendaftaran asing yang memasuki Singapura melalui pusat pemeriksaan Tuas atau Woodlands bermula hari ini, pengguna dari Malaysia dinasihatkan untuk memastikan kad Autopass mereka sentiasa mempunyai jumlah yang mencukupi.

    Menurut laporan Bernama, Lembaga Pengangkutan Darat Singapura (LTA) akan mengenakan penalti lebih berat kepada pemandu kenderaan yang mengelak bayaran tol, fi serta caj. Tindakan LTA ini sebenarnya telah bermula pada 1 Ogos tahun lalu, yang mengenakan denda komposisi S$50 untuk pesalah kali pertama, manakala pesalah berulang perlu membayar S$100.

    Pemandu kenderaan yang tidak mahu membayarnya akan didakwa di mahkamah serta berdepan dengan denda tidak lebih S$1,000 atau penjara tidak lebih tiga bulan untuk kesalahan pertama, jika sabit kesalahan.

    Menurut LTA ketika mengesahkan RRC ini pada 16 Januari lalu, caj berkenaan adalah sebagai timbal balik caj jalan raya Malaysia sebanyak RM20 yang dikenakan terhadap kenderaan bernombor pendaftaran asing yang memasuki Johor, berkuat kuasa 1 Nov 2016. Setakat ini, hanya teksi dengan nombor pendaftaran asing dikecualikan dari RRC berkenaan.

    Bayaran RRC akan dikutip bersama-sama Permit Kemasukan Kenderaan (VEP), tol dan bayaran tetap Kadar Bayaran Elektronik (ERP) semasa keluar di kedua-dua pusat pemeriksaan darat itu.

    Sebelum ini, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memandang positif langkah yang diambil Singapura ini dan menggalakkan rakyat Malaysia yang memasuki Singapura agar menggunakan pengangkutan awam.

    Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai pula menyatakan Malaysia menghormati keputusan Singapura berhubung perkara tersebut, tetapi pihaknya akan terus berbincang dengan Singapura berhubung keputusan untuk mengenakan caj RRC berkenaan.

     
     
  • Subaru XV 2018 didedahkan oleh majalah Jepun

    Subaru XV 2018 didedahkan oleh majalah Jepun

    Ini merupakan Subaru XV baharu yang dijangka akan dipamerkan di Geneva Motor Show pada bulan hadapan, walau bagaimana pun ia telah didedahkan oleh sebuah majalah Jepun. Namun kami tidak begitu yakin 100% kesahihan imej ini, tetapi nampak macam betul.

    Walau pun imej teaser rasminya belum disebarkan oleh Fuji Heavy Industries, namun tidaklah sukar untuk membayangkan imej XV baharu ini – gabungkan dengan imej Subaru Impreza hatchback generasi baharu yang cukup ranggi, dengan gaya dari XV sedia ada (dengan rel bumbung, lapisan hitam, dan pelindung di bawah), tambah pula kelegaan tanah yang dipertingkatkan, dan akan dapatlah imej seperti di atas. Imej yang didedahkan ini juga menunjukkan rim yang mengikut tema XV dengan warna hitam-perak.

    Subaru juga pernah mengumumkan bahawa XV akan terus dibina seperti model sebelum ini, iaitu menggunakan sebahagian besar komponen yang sama seperti Impreza serta menggunakan platform serupa iaitu Subaru Global Platform, yang memberikan pelbagai peningkatan kepada prestasi keseluruhannya menerusi pelbagai tingkat taraf yang dilakukan pada kerangka asas.

    XV generasi baharu ini dijangka bakal menerima lampu hadapan dan belakang berbentuk-C serta menerapkan konsep rekaan ‘Dynamic x Solid’ yang diberikan pada model konsep XV tahun lalu

    Ada laporan menyebut, XV akan menerima dua pilihan enjin boxer untuk pasaran tempatan iaitu 1.6 liter (115 hp) dan 2.0 liter (154 hp). Jika benar, mungkin ia sama dengan enjin FB 1.6L dan 2.0L yang ditawarkan pada Impreza sedan/hatch di Jepun dan Singapura.

    Menurut pengarah eksekutif Tan Chong International, Glenn Tan dalam laporan sebelum ini, XV generasi baharu ini bakal tiba ke pasaran Malaysia tahun ini. Beliau juga menyatakan kilang milik syarikatnya di Segambut telah pun bersedia untuk mula memproduksi mana-mana model yang menggunakan Subaru Global Platform seperti XV pada bila-bila masa.

    GALERI: Subaru XV Concept

     
     
  • Mitsubishi Eclipse Cross – nama untuk crossover terkini Mitsubishi, lagi gambar teaser dikeluarkan

    Mitsubishi Eclipse Cross – nama untuk crossover terkini Mitsubishi, lagi gambar teaser dikeluarkan

    Sebelum ini kami ada melaporkan bahawa Mitsubishi akan memperkenalkan sebuah crossover kompak baru semasa Geneva Motor Show, tetapi namanya pada waktu itu masih belum diketahui. Kini, ia sudah ada, dan Mitsubishi menamakannya sebagai Eclipse Cross.

    Nama Eclipse sebelum ini pernah digunakan pada model sports Mitsubishi, tetapi kini menjadi milik model crossover yang dikata akan terletak atas daripada ASX dan bawah pada Outlander.

    Selain nama, gambar lain yang dikeluarkan bersama juga menunjukkan bahawa model ini memang membawa banyak persamaan gaya seperti model konsep XR-PHEV II, yang sebelum ini pernah dipertontonkan juga di Geneva, pada tahun 2015.

    Antara penggayaan yang menjadi tumpuan adalah lampu belakang bersama light guide yang terletak tinggi, dan bersambung di tengah dengan garisan lampu LED. Pada bahagian hadapan pula, terdapat gril berwarna kelabu yang bersambung dengan bukaan besar di bahagian bawah bampar.

    Setakat ini masih belum ada kenyataan rasmi berkenaan enjin yang digunakan pada model ini tetapi ramai yang menjangkakan ketibaan enjin sama seperti model ASX dan diikuti plug-in hybrid (PHEV) pada masa seterusnya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025