Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Ford dedahkan trak lumba Bronco 4600 kelas stock

    Ford dedahkan trak lumba Bronco 4600 kelas stock

    Ford Performance telah mendedahkan trak lumba Bronco 4600 baru, yang akan menyertai perlumbaan kelas stock Ultra4 di Amerika Syarikat tidak lama lagi. Berbeza berbanding trak Bronco Ultra4 4400 kelas tanpa had yang diubah suai ekstrem sebelum ini, Bronco 4600 pula nampak lebih ‘biasa’ dan menggunakan betul-betul unit kereta produksi.

    “Melakukan perubahan dalam dunia offroad dan bertanding dengan kemampuan offroad kelajuan tinggi Bronco sentiasa menjadi teras kepada warisan jenama Bronco. Trak lumba Bronco 4600 ini memberi penekaran kepada warisan sukan permotoran kami dan bagaimana Bronco 2021 boleh diubah suai bermula dari unit yang keluar dari pusat pameran kepada unit lumba kelas stock Ultra4,” kata pengurus pemasaran Ford SUV, Dave Rivers.

    Bronco 4600 ini dibina atas model asas Bronco 2021 dua pintu dengan pakej Sasquatch, dan dikuasakan oleh enjin V6 twin turbo 2.7 liter EcoBoost yang dipadankan bersama transmisi SelectShift 10 kelajuan. Ia juga digunakan sebagai platform untuk menguji pelbagai aksesori yang dibangunkan oleh Ford Licensed Accessories dan Ford Performance.

    Dengan mengambil input daripada model Bronco R Prototype yang digunakan dalam perlumbaan Baja 1000 2019 dan 2020, Bronco 4600 dipasang dengan suspensi High-Performance Off-Road Stability Suspension (HOSS) System yang terdiri daripada penyerap Fox dengan reservoir kawalan jauh, serta penghenti hentakan pneumatik Fox di semua empat penjuru. Brek menggunakan unit daripada Wilwood Engineering, sementara rim pula adalah Method Race Wheels 202 Forged Beadlock, dibalut tayar BFGoodrich Mud-Terrain T/A KM3 bersaiz 35 inci.

    Hab portal kegunaan berat di hadapan datang daripada 74 Weld, dan ia disambung dengan control arm Triton Engineering serta rak stereng hidraulik Howe dengan sistem penyejuk. Demi memastikan tork dapat sampai kepada roda hadapan dengan cekap, ia menggunakan differential Dana AdvanTEK yang boleh dikunci secara elektronik, bersama halfshaft buatan khas RCV.

    Pada bahagian belakang, gandar standard diganti dengan unit XD60 daripada Dynatrac ProRock, dan dijadikan lengkap dengan Air Locker ARB 35-spline, serta syaf dan hab Spidertrax Spider 9. Untuk bahagian luaran badan, bampar besi hadapan dan belakang datang daripada Ford Performance, winch daripada Warn Zeon dan lampu LED daripada Rigid. Roll cage buatan khas pada kenderaan ini adalah hasil daripada Geiser Brothers.

     
     
  • Subaru Forester 2.0i-L GT Lite Edition – RM163,788

    Subaru Forester 2.0i-L GT Lite Edition – RM163,788

    TC Subaru telah melancarkan Subaru Forester 2.0i-L GT Lite Edition untuk pasaran Malaysia, dengan harga jualan RM163,788 tidak termasuk insurans. Ini adalah harga yang sudah dikira bersama pengecualian cukai yang diberikan sekarang (50% kerana ia diimport sepenuhnya dari Thailand) dan kenderaan didatangkan dengan jaminan lima tahun atau 100,000 km.

    Model GT Lite Edition ini menggunakan asas daripada Forester 2.0i-L, tetapi ia dipasang dengan kit badan yang lebih sporty dan ranggi. Antara bahagian yang ditambah adalah lip bampar di hadapan dan belakang, side skirt, spoiler bumbung dan muncung ekzos yang lebih besar.

    Selain daripada itu, ia sama sahaja seperti varian 2.0i-L, termasuklah kelengkapan seperti rim 17 inci, lampu kabus halogen, lampu utama dan belakang LED, tempat duduk balutan kulit dan boleh dilaras secara elektrik di hadapan, pendingin hawa automatik dua zon, head unit lapan inci dengan enam pembesar suara, kamera 360 darjah dan cruise control.

    Subaru Forester 2.0i-L GT Lite Edition – RM163,788

    Ciri keselamatan juga tidak berubah, di mana varian baru ini dilengkapi tujuh beg udara (depan, tepi, bidai dan kaki pemandu), Vehicle Dynamics Contro, ABS, EBD, BA, cagak Isofix dan brek parkir dengan ciri Auto Vehicle Hold.

    Di bawah hud terdapat enjin boxer empat silinder NA 2.0 liter yang dipadankan bersama transmisi Lineartronic CVT dan sistem pacuan Symmetrical All-Wheel Drive. Enjin ini mampu menghasilkan kuasa sehingga 156 PS pada 6,000 rpm dan 196 Nm tork pada 4,000 rpm.

    Melalui sistem SI-Drive (Subaru Intelligent Drive), pemandu boleh memilih dua mod iaitu Intelligent atau Sport, dan kenderaan ini juga datang dengan ciri Hill Descent Control, Active Torque Vectoring dan X-Mode yang memberikan pilihan mod Snow atau Dirt. Warna yang ditawarkan untuk varian ini semuanya ada tujuh.

     
     
  • Toyota Hilux AT35 2021 diperkenalkan di UK — ubah suai kustom oleh Arctic Trucks untuk off-road ekstrim

    Toyota Hilux AT35 2021 diperkenalkan di UK — ubah suai kustom oleh Arctic Trucks untuk off-road ekstrim

    Perkenalkan, ini trak pikap versi Toyota Hilux Arctic 35 (AT35) 2021 yang mana ubah suainya dilakukan secara sah oleh Arctic Truck untuk tujuan off-road ekstrim, yang menggunakan asas varian Invincible X Double Cab yang dijual di UK.

    Hilux AT35 ini menerima peningkatan agak menyeluruh, dengan ubah suai yang turut dilakukan terhadap suspensi dan penggayaan. Naik taraf utama yang dilakukan termasuk palang anti-olengan boleh laras, penyerap hentak Bilstein dan gelung suspensi baru. Differential depan dan belakang juga diberikan gear baru untuk memudahkan pemanduan off-road.

    Naik taraf berkenaan menjadikan jarak kelegaan tanah Hilux ini meningkat 65 mm, memperbaiki sudut laluannya sehingga sembilan darjah di depan dan belakang. Bahagian dalam ruang lengkung tayar juga dibentuk semula untuk memuatkan rim aloi Arctic Trucks 17-inci, yang dibalut dengan tayar BFGoodrich KO2 All-Terrain 35-inci.

    Toyota Hilux AT35 2021 diperkenalkan di UK — ubah suai kustom oleh Arctic Trucks untuk off-road ekstrim

    Menurut Arctic Trucks, tayar ini memberikan rasa pemanduan yang lebih selamat ketika melalui permukaan yang lembut. Ia juga melancarkan lagi kualiti pemanduan off-road dan permukaan yang lebih mencabar. Lain-lain pertambahan termasuk palang ketinggian di belakang dengan receiver hitch bersepadu dua-inci.

    Dari segi penggayaan, Hilux AT35 menerima fender yang lebih besar, pemijak sisi yang lebih lebar, lencana AT35 dan pelekat hiasan ulangtahun ke-30. Pelanggan juga boleh memilih untuk memasang pelindung bahagian bawah kenderaan, lampu Vision X pada gril dan penutup ruang barangan Truxedo.

    Bagi tujuan off-road lasak, tayarnya boleh dinaiktaraf kepada BFGoodrich KM3 Mud-Terrain yang datang lengkap dengan kit inflation/deflation, serta kompresor prestasi tinggi 12-volt yang dipasang pada ruang enjin.

    Toyota Hilux AT35 2021 diperkenalkan di UK — ubah suai kustom oleh Arctic Trucks untuk off-road ekstrim

    Bagi sistem janaan kuasa pula, ia menggunakan enjin 2.8 liter turbodiesel tanpa sebarang modifikasi. Unit ini menghasilkan sebanyak 204 hp pada 3,000 rpm hingga 3,400 rpm dan 500 Nm tork pada 1,600 rpm hingga 2,800 rpm. Kuasa disalurkan melalui transmisi automatik enam-kelajuan, sementara kemampuan menunda kekal 3,500 kg. Naik taraf ini telah menjadikan Hilux AT35 115 kg lebih berat.

    Semua naiktaraf ini menepati standard Toyota, dan datang dengan jamina lima-tahun atau 160,000 km masih sah. Bagaimana dengan harga? Tidak termasuk harga Hilux, semua ini menelan kos £18,780 (RM105k). Dan, kalau termasuk dengan harga Hilux sekali, ia boleh cecah £63,000, atau RM351k! Berbaloi ke?

     
     
  • Toyota Hilux 2021 dapat 40 aksesori tambahan di UK

    Toyota Hilux 2021 dapat 40 aksesori tambahan di UK

    Di pasaran UK, selain versi Toyota Hilux AT35 2021 terbaru oleh Arctic Trucks, turut diumumkan ialah barisan aksesori bagi trak pikap berkenaan, memberi pilihan kepada pelanggan dengan 40 kelengkapan berasingan untuk mereka hias trak dengan gaya tersendiri.

    Bagi model Invincible dan Invincible X, pelanggan boleh memilih sport bar krom sepenuhnya dan palang sisi dengan pemijak yang disekalikan, serta penutup aliminium boleh gulung untuk ruang belakang. Untuk Invincible X pula, kelengkapan sama dalam kemasan hitam kesat boleh dipilih untuk menjadikan imejnya lebih sporty.

    Aksesori lain termasuklah kotak simpanan berkunci yang sedang elok termuat di bahagian belakang, serta lantai deck dengan permukaan kesat bagi memudahkan naik-turun barang (sehingga 300 kg). Permukaan pada kawasan kargo pula boleh dilindungi dengan polyurethane. Lapis aluminium atau semburan turut ditawarkan.

    Jika inginkan ruang barangan terlindung sepenuhnya, penutup pilihan ada ditawarkan, dengan warna yang sepadan dengan badan Hilux, dan datang bersekali dengan tingkap sisi tersorok serta pencahayaan lampu dalaman LED. Penutup tonneau aluminium boleh juga dipasang, atau dari jenis plastik keras. Semua ini mengambil kira aspek aerodinamik.

    Selebihnya, ciri tow bar kini disediakan dengan adaptor tujuh atau 13-pin sebagai ciri standard. Pelapik lantai pula boleh dipilih dalam bentuk getah keras atau tekstil, dengan kelengkapan lain termasuklah lampu tinggi, rim 18-inci hitam kesat atau 17-inci aloi dan sistem penggera dan dash-cam.

    Aksesori lain yang turut tersenarai ialah pemegang ski atau papan luncur salji, pemegang basikal, scuff plate aluminium dan penghadap lumpur. Semua ini boleh dimasukkan ke dalam pakej pembiayaan kenderaan, dan jika di beli bersama kenderaan baru, akan datang dengan jaminan lima-tahun atau 160,000 km.

     
     
  • SPYSHOT: Proton Saga, Iriz dan Persona edisi R3 dilihat di atas pengangkut, dah nak dilancarkan?

    SPYSHOT: Proton Saga, Iriz dan Persona edisi R3 dilihat di atas pengangkut, dah nak dilancarkan?

    Dah lama kita tak dengar cerita pasal model-model edisi istimewa dari sayap prestasi Proton iaitu R3 bukan? Dulu ada khabar bahawa Proton R3 dah ditutup selepas ia diambil alih oleh Geely, namun sebenarnya tidak dan mereka masih berlumba di Sepang dalam Malaysia Championship Series (MCS), manakala dalam Sepang 1000KM, Proton menjuarai perlumbaan berkenaan dari 2017, 2018 dan 2019.

    Dan terbaharu, pembaca kami Jo Jo dan juga seorang lagi sumber iaitu Fahmi, terserempak model edisi khas R3 untuk Saga, Iriz dan Persona di bawa dengan lori pengangkut. Tanpa sebarang pelekat penyamaran dan seakan stok untuk diagihkan ke bilik pameran, ketiga-tiga model R3 ini mungkin akan dilancarkan tidak lama lagi. Walau bagaimanapun, Jo Jo menyatakan bahawa dia hanya sempar merakam imej Iriz dan Saga.

    Dengan mengambil kira faktor kos R&D dan juga homologasi kepada pihak berkuasa, berkemungkinan besar tiada sebarang tambahan kuasa akan diberikan pada Saga, Iriz dan Persona R3 ini seperti model-model R3 terdahulu. Namun ia diberikan perician sebagai tribute kepada kereta lumba Proton Iriz dan Saga pasukan Proton R3 yang bertanding dalam siri Malaysia Championship Series (MCS) dan juga perlumbaan Sepang 1000KM (S1K).

    SPYSHOT: Proton Saga, Iriz dan Persona edisi R3 dilihat di atas pengangkut, dah nak dilancarkan?

    Secara keseluruhan, asas penampilan Saga R3 yang dijumpai ini masih menerapkan elemen yang sama dengan model edisi terhad Saga Anniversary Edition yang dilancarkan pada tahun lalu – menampilkan warna badan hitam bersama pelbagai serlahan warna rasmi pasukan Proton R3 iaitu kuning.

    Proton Iriz R3 yang dilihat ini turut menampilkan skema warna yang sama. Namun ada perbezaan yang boleh dilihat antara unit yang dijumpai kedua-dua sumber ini; gambar yang diambil oleh Jo jo menunjukkan Iriz dan Saga R3 berkenaan turut mengenakan pelekat jalur sisi badan pada pintu. Dan pada Iriz, kita boleh lihat jalur tersebut turut memaparkan nombor 83, iaitu nombor perlumbaan sebenar Iriz yang dipandu oleh Farique Hairuman dan Mitchell Cheah di ketika menang dalam S1K dua tahun lalu.

    Ingat lagi logo ‘laurel wreath’ yang menyatakan kemenangan Proton R3 dalam perlumbaan seperti pada model istimewa Proton Waja dan Gen2 Merdeka Millennium Endurance (MME) satu ketika dahulu? Ia turut dipadankan pada Iriz dan Saga R3 ini, dilekatkan cermin suku belakang.

    Apa yang menarik lagi, Iriz R3 ini tidak dipadankan dengan rim bersaiz 15-inci seperti model 1.6 Exec dan Premium. Ia nampaknya diberikan rim 16-inci yang mungkin diambil dari Proton Satria Neo CPS sebelum ini. Namun untuk Saga, ia masih tampil dengan rim 15-inci seperti Anniversary Edition terdahulu.

    Di belakang, imej yang paling jelas kelihatan adalah pada Saga. Tiada perubahan ketara, perbezaan yang boleh dilihat adalah pada emblem di mana logo ‘Saga’ pada sebelah kanan penutup but digantikan dengan logo R3 berwarna kuning.

    Pelancaran Iriz dan Persona R3 ini berkemungkinan adalah penutup kepada model sedia ada. Proton dijangka akan melancarkan kembar sedan dan hatchback berkenaan dalam versi facelift baharu dengan pelbagai kemaskini. Model baharu berkenaan berkemungkinan bukan hanya menerima rupa berbeza, malah turut bakal menerima kotak gear automatik 4AT bagi menggantikan unit CVT sedia ada.

    Manakala menerusi gambar-gambar spyshot sebelum ini, Iriz bakal menerima varian dengan rupa seakan SUV seperti model konsep Iriz Active yang muncul pada tahun 2014 dahulu.

     
     
  • PKP 2.0: Pengusaha kedai aksesori filem penapis haba kenderaan di Perak kesal KPDNHEP arah tutup operasi

    PKP 2.0:  Pengusaha kedai aksesori filem penapis haba kenderaan di Perak kesal KPDNHEP arah tutup operasi

    Ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan kedua (PKP 2.0) yang sedang berlangsung ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengarahkan pengusaha kedai aksesori filem penabis haba kenderaan di Perak untuk menutup operasi. Sedangkan di negeri lain, tiada larangan untuk berbuat demikian. Sekaligus perkara ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan para pengusaha kedai terbabit.

    Perkara ini dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil Perak Datuk Abdul Yunus Jamahri setelah menerima aduan berhubung perkara berkenaan, laporan Bernama.

    “Saya akan merujuk masalah ini dengan KPDNHEP serta Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya. Beliau turut berkata, pengusaha terbabit mendakwa perniagaan mereka diarah tutup oleh KPDNHEP negeri atas alasan PKP sedangkan perniagaan itu dikategorikan di bawah industri automotif yang mendapat kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk beroperasi seperti biasa.

    Jumaat lalu, kerajaan telah membenarkan pasar malam, kedai gunting rambut dan pusat mencuci kereta beroperasi semula dengan prosedur operasi standard (SOP) yang diperketatkan. Malah sebelum ini, bengkel-bengkel kenderaan juga telah dibenarkan beroperasi sepanjang PKP 2.0. Jadi, jika kedai aksesori filem penabis haba kenderaan tidak dibenarkan beroperasi, pasti akan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pengusaha dan para pengguna. Harap ada penyelesaian sewajarnya dan kalau boleh, jangan ada kluster baru pula yang bersangkutan.

     
     
  • Polis ulangi amaran ubahsuai ‘tayar kangkang’ boleh didenda sehingga RM2k atau penjara tak lebih 6 bulan

    #SembangTrafik

    UBAH SUAI KENDERAAN MENGGUNAKAN TAYAR “HELLAFLUSH” BOLEH DIDENDA SEHINGGA RM2,000

    Trend mengubah suai…

    Posted by Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police ) on Saturday, 6 February 2021

    Dah lama kita tak dengar pasal trend ubahsuai ‘tayar kangkang’ kan? Namun baru-baru ini Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mengulangi amaran bahawa mana-mana individu yang didapati bersalah mengubahsuai kereta mereka sedemikian dan menggunakannya di atas jalan raya awam, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih daripada enam bulan.

    Menurut PDRM dalam amaran yang dibuat di laman Facebook rasminya, pengubahsuaian tersebut boleh menyebabkan pemanduan terjejas akibat daripada kegagalan sistem keselamatan dan brek yang tidak berfungsi dengan cekap sehingga merisikokan nyawa pemandu serta pengguna jalan raya lain.

    Tindakan terhadap mereka yang bersalah boleh diambil di bawah Seksyen 6, Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Peraturan 138, Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 170/59, iaitu ubah suai kenderaan tanpa kebenaran Jabatan Pengangkutan Jalan.

    Polis ulangi amaran ubahsuai ‘tayar kangkang’ boleh didenda sehingga RM2k atau penjara tak lebih 6 bulan

    Budaya ubahsuai ‘tayar kengkang’ yang juga dikenali dengan nama “Stance & Fitment”(Snf) atau “Hellaflush” telah meledak diperingkat dunia sekitar sedekad yang lalu. Ubahsuai ini sebenarnya mengambil inspirasi dari kereta-kereta lumba yang sangat rendah dengan tayar yang tenggelam ke dalam fender.

    Manakala sudut camber tayar yang negatif dan nampak ‘kengkang’ pula dibuat atas berberapa faktor. Antaranya seperti sebab utama tadi; memang ada kereta lumba yang diberikan sedikit sudut camber negatif bagi mengoptimumkan cengkaman tayar ketika mengambil selekoh laju di litar.

    Dengan sudut yang lebih negatif ini juga membolehkan tayar tenggelam ke dalam fender tanpa tersagat. Malah untuk kereta pacuan belakang dengan sistem gantungan bebas (IRS) di belakang akan terus memberikan sudut negatif semula jadi apabila suspensi direndahkan.

    Namun seperti mana-mana juga scene, ada sahaja individu yang membuat modifikasi ini secara berlebih-lebihan. Ada yang mengenakan rim dengan diameter dan juga dimensi yang terlalu lebar, padanan tayar yang terlalu stretch, serta ada juga yang melaras sudut camber yang terlalu negatif. Bukan sahaja merbahaya, malah ada juga yang melaras ketinggian kereta terlalu rendah sehinggakan ia sukar untuk melepasi speed bump, dan menyusahkan pengguna jalan raya yang lain.

    Kereta lumba sebenar Suzuki Swift Sport HKS TRB-04 (kiri) dan Proton Iriz R3 (kanan), perhatikan sudut camber negatif yang tidak melebih-lebih pada tayar

    Menerusi temuramah kami dengan Datuk IR. HJ. Mohamad Dalib lima tahun lalu (ketika itu beliau masih memegang jawatan sebagai Pengarah Jabatan Kejuruteraan Automotif JPJ), JPJ melarang keras ubahsuai dengan tema SnF ini kerana ia adalah bertentangan dengan amalan kejuruteraan kerana rim yang digunakan telah menyebabkan tayar di’tarik’ serta mengubah offset asal rim, seterusnya mengubah pusat graviti (CoG), trek roda (wheel track atau jarak antara titik tengah roda kiri dan kanan), serta lilitan roda (wheel circumference atau jarak satu golekan lengkap tayar).

    Beliau juga menjelaskan bahawa perubahan semua aspek ini akan menyebabkan bukan sahaja penggunaan bahan bakar yang berlebihan, ia juga akan menyebabkan tayar hilang cengkaman terutamanya pada permukaan basah dan akan menyebabkan kemalangan.

    “Tiada masalah untuk pemilik kereta menukar rim asal mereka, tetapi haruslah penukaran tersebut tidak bertentangan dengan amalan kejuruteraan dan tidak mengubah CoG, wheel track dan juga wheel circumference. Penukaran rim yang betul bukan sahaja memberikan rupa yang lebih cantik terhadap kereta, ia juga akan memberikan pengendalian yang lebih baik.” tambah beliau.

     
     
  • Porsche bakal bina fasiliti CKD di Malaysia – laporan

    Porsche bakal bina fasiliti CKD di Malaysia – laporan

    Dalam diam Porsche merancang untuk membangunkan kilang operasi pemasangannya di Malaysia, yang pertama di luar Jerman. Menurut The Edge, fasiliti tersebut mungkin bakal ditempatkan di Kulim, Kedah dan ia adalah jalinan kerjasama dengan Inokom, anak syarikat kepada Sime Darby yang telah menjadi pengedar rasmi bagi pasaran tempatan bagi Porsche sejak 2010.

    “Ada sejumlah besar pelaburan yang bakal masuk ke Malaysia bagi sektor automotif, tetapi buat masa ini kerajaan masih belum mengesahkannya. Ini kerana pandemik COVID-19 dan juga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan kedua (PKP 2.0) membuatkan banyak prinsipal tidak dapat datang ke Malaysia,” ujar sumber yang memaklumkan kepada penerbitan berkenaan.

    Tambahnya lagi, “Pengumuman mengenai usahasama tersebut akan dilakukan. Mereka (pelabur) nama yang besar; jadi kerajaan tidak boleh sekadar mengadakan sidang media dan mengumumkan pelaburan semata-mata.”

    Ada sumber lain turut menyatakan insentif bagi pelaburan ini telah pun diluluskan oleh Kementerian Kewangan, dan Inokom akan membina sebuah kilang baharu khas untuk Porsche di Kulim. Inokom mempunyai banyak pengalaman dalam pengeluaran untuk model pemasangan tempatan (CKD) di fasiliti di Kulim, termasuklah jenama BMW dan Hyundai.

    Apabila perkara ini diajukan oleh The Edge kepada penolong pengarah komunikasi korporat dan jurucakap bagi produksi dan logistik, Christian Weiss, katanya, “ASEAN adalah rantau yang memiliki potensi yang besar, dan kami akan terus mengkaji pilihan bagi memperkembangkan lagi pasaran ini.”

    Sime Darby pula berkata pihaknya mengalu-alukan sebarang kerjasama untuk menambahkan nilai dalam pelan perniagaan strategik dan seumpamanya, serta secara berkala melibatkan rakan kongsi sedia ada dan berpotensi untuk meneroka peluang bertujuan mengembangkan lagi perniagaan mereka.

    Walau pun komen dari Sime Darby dan Posrche tidak mengesahkannya, namun kenyataantersebut juga tidak dinafikan. Apa pun, kena tunggu dan lihat apakah benar perkhabaran ini bakal berlaku tidak lama lagi.

     
     
  • Honda ADV 150 dilancarkan untuk Malaysia – RM12k

    Honda ADV 150 dilancarkan untuk Malaysia – RM12k

    Skuter adventure yang ditunggu-tunggu ramai, Honda ADV 150 kini sudah tiba di Malaysia. Ia ditawarkan dalam dua warna iaitu Vivacity Red dan Matt Charcoal Gray Metallic, dengan harga RM11,999 tidak termasuk insurans dan jaminan dua tahun atau 20,000 km.

    Spesifikasi model yang ditawarkan pada ADV 150 pasaran Malaysia ini adalah sama sahaja seperti model pasaran Indonesia (antara negara terawal menerimanya), termasuklah sistem kunci pintar, brek cakera depan dan belakang dengan ABS two-channel, lampu LED penuh depan dan belakang serta suspensi belakang Showa dengan tabung.

    ADV 150 digerakkan oleh enjin sama seperti PCX 150, iaitu unit satu silinder suntikan bahan api PGM-Fi SOHC 149.3 cc, bersama padanan transmisi automatik V-Matic untuk menghasilkan kuasa 14.6 hp pada 8,500 rpm dan 13.9 Nm tork pada 6,500 rpm.

    Enjin ini turut didatangkan dengan fungsi Idling Sto System (ISS) dan segala operasi motosikal serta fungsinya boleh dilihat melalui panel meter LCD yang terdapat di hadapan penunggang. Di sebalik meter itu pula terdapat penghadang angin yang boleh dilaras pada dua kedudukan secara manual.

    Kelengkapan lain ADV 150 adalah tangki bahan api 8.0 liter, rim 14 inci di hadapan dan 13 inci di belakang dengan tayar 110/80 dan 130/70, fork teleskopik di hadapan, ruang simpanan 28 liter di bawah tempat duduk, soket pengecas USB serta tinggi tempat duduk 795 mm.

     
     
  • Benelli 752S kini di Malaysia – 76 hp, harga RM37,888

    Benelli 752S kini di Malaysia – 76 hp, harga RM37,888

    Diperkenalkan kepada dunia buat pertama kali pada tahun 2018, kini Benelli 752S sudah tiba di Malaysia dengan harga jualan RM37,888 tidak termasuk insurans. Motosikal naked ini ditawarkan dalam tiga warna iaitu merah, hitam dan hijau, bersama jaminan dua tahun atau 20,000 km.

    Benelli 752S digerakkan oleh enjin dua silinder selari 754 cc, bersama padanan transmisi enam kelajuan dan mampu menghasilkan kuasa 76 hp pada 8,500 rpm dan 67 Nm tork pada 6,500 rpm. Enjin ini menepati tahap emisi Euro 4 dan menggunakan sistem penyejukan cecair.

    Bagi memastikan kualiti tunggangan yang berkualiti, Benelli telah memilih fork USD daripada Marzocchi untuk 752S, sementara di belakang ia menggunakan monoshock bersama lengan ayun. Tiada pelarasan untuk fork sementara untuk monoshock ia boleh dilakukan untuk pra beban sahaja.

    Pergi kepada brek pula, 752S dilengkapi dengan sistem ABS two-channel, dan tugas penghentian dilaksanakan set berkembar cakera 320 mm berserta angkup Brembo di hadapan dan cakera 260 mm serta angkup dua piston di belakang. Rim menggunakan unit 17 inci dengan tayar 120/70 di hadapan dan 180/55 di belakang.

    Perincian lain Benelli 752S adalah termasuk tangki bahan api 14.5 liter, berat 226 kg, tinggi tempat duduk 810 mm, panel instrumen jenis TFT-LCD, lampu LED di semua bahagian dan kerangka jenis Trellis. Ia kini sudah boleh didapati di semua wakil pengedar rasmi Benelli di Malaysia.

     
     
  • Oliver Solberg diberi tempat untuk pandu Hyundai i20 WRC, bertarung dalam kelas utama di Finland bulan ini

    Oliver Solberg diberi tempat untuk pandu Hyundai i20 WRC, bertarung dalam kelas utama di Finland bulan ini

    Anak bekas juara Kejohanan Rali Dunia (WRC) 2003, Petter Solberg iaitu Oliver Solberg yang baru sahaja berumur 19-tahun telah disahkan akan membuat penampilannya pertamanya dalam kategori tertinggi WRC di Arctic Rally Finland pada 26 hingga 28 Februari ini.

    Oliver bersama juru arahnya, Aaron Johnston bakal mengemudi jentera Hyundai i20 N Coupe WRC yang sama seperti Ott Tanak dan Thierry Neuville, tetapi diletakkan dalam pasukan satelit Hyundai 2C Competition bersama pemandu tetap pasukan berkenaan, Pierre-Louis Loubet untuk pusingan kedua WRC 2021 ini.

    Oliver sebenarnya sudah pun mendapat kontrak dua tahun dengan Hyundai bagi memandu jentera i20 R5 (selepas ini akan bertukar ke i20 N Rally2) untuk mengejar kejuaraan kategori WRC2 bermula pada musim ini.

    Dia diberikan peluang untuk memandu jentera dalam kategori paling tinggi tersebut setelah mempamerkan prestasi yang memberangsangkan tahun ini dengan jentera R5 berkenaan – walaupun hanya menjadi naib juara perlumbaan ‘pemanas badan’ Artic Lapland Rally dan tidak bernasib baik untuk menamatkan pusingan pertama WRC 2021 di Monte Carlo bulan lalu, prestasi Oliver membuka mata banyak pihak setelah mencatatkan masa lebih pantas dari jentera WRC walaupun hanya memandu kereta R5 pada SS tertentu.

    Oliver Solberg diberi tempat untuk pandu Hyundai i20 WRC, bertarung dalam kelas utama di Finland bulan ini

    Oliver Solberg telah pun menguji Hyundai i20 N Coupe WRC berkenaan di Lapland Ahad lalu, dan kini tidak sabar untuk menanti hari perlumbaan sebenar berkenaan. Artic Lapland Rally di Finland ini menggantikan Rali Sweden dalam kalendar WRC 2021 sebagai rali yang berlangsung sepenuhnya di atas permukaan ais dan salji, setelah Sweden membatalkan penyertaan mereka kerana masih terjejas berhubung masalah Covid-19.

    “Ini benar-benar mimpi buat buat saya. Memikirkan saya hanya baru bermula dalam masa empat tahun dan sekarang saya di sini. Ia seakan mimpi untuk memulakan penampilan pertama saya dengan kereta WRC dari kejohanan rali dunia,” kata Oliver.

    “Keadaan salji dan ais sepatutnya konsisten, yang mana ia adalah cara yang baik untuk belajar berkenaan kereta baru. Kadar konsisten ini akan membantu saya untuk memahami cengkaman dan bagaimana perubahan pada kereta akan memberikan kesan,” jelasnya.

    “Saya dah banyak kali memandu di atas salji dan saya faham permukaan jenis ini dengan agak baik. Sasaran saya di Lapland ini adalah untuk belajar dan menimba pengalaman. Saya mahu keluar pada setiap peringkat untuk lebih memahami i20 Coupe WRC ini lebih dari ketika saya bermula. Dalam masa yang sama, saya juga mahu melihat peningkatan pada masa, itu juga penting buat saya,” kata Oliver lagi.

    Oliver Solberg diberi tempat untuk pandu Hyundai i20 WRC, bertarung dalam kelas utama di Finland bulan ini

    “Kami sangat berminat nak tengok tahap prestasinya, sudah tentu, tetapi kami tak mahu letakkan sebarang tekanan pada bahunya dalam penampilan pertama WRC. Dia perlu berseronok dalam rali ini dan ambil pengalaman sebanyak yang mungkin,” kata prinsipal pasukan Hyundai Motorsport, Andrea Adamo.

    “Ini merupakan kali pertamanya dalam peringkat tertinggi dunia rali tetapi ia lebih kepada ujian berbanding perkara lain. Dia perlu menyesuaikan diri dan berkenalan dengan sifat semulajadi kereta berkenaan yang laju dalam keadaan bersalji berkenaan.

    “Kami harap untuk melihat dia tiba, di penghujung Power Stage, dengan keseronokan dan kegembiraan yang tinggi. Ini adalah sasaran utama,” jelas Adamo.

     
     
  • Suzuki Hayabusa 2022 didedah – dalaman enjin diberi peningkatan, boleh cecah 300 km/j, lebih canggih

    Suzuki Hayabusa 2022 didedah – dalaman enjin diberi peningkatan, boleh cecah 300 km/j, lebih canggih

    Suzuki Hayabusa 2022 kini sudah didedah secara rasmi. Model generasi ketiga ini sekarang diangkat oleh Suzuki sebagai Hayabusa paling aerodinamik dan paling maju pernah dihasilkan, selepas diterapkan dengan pelbagai peningkatan.

    Bentuk asas model generasi ketiga ini masih lagi menampakkan ia adalah sebuah Hayabusa tetapi dijadikan lebih moden dengan lebih banyak rekaan tajam. Setelah diuji dalam terowong angin, Suzuki mendakwa ia mampu memberikan kecekapan rintangan angin antara yang terbaik bagi motosikal yang boleh digunakan atas jalan biasa.

    Enjin pula masih adalah sama, iaitu unit empat silinder yang berkapasiti 1,340 cc, tetapi bahagian dalamnya telah dipertingkat, termasuk piston dan connecting rod, untuk menghasilkan padanan terbaik antara prestasi, kecekapan dan ketahanan. Jumlah kuasa sebenar tidak didedahkan tetapi ia diberitahu boleh mencecah kelajuan maksimum hampir 300 km/j.

    Melalui sistem moden pendikit ride by wire dan unit pengukur inertia (IMU), Hayabusa 2022 dapat disiapkan dengan teknologi terkini, bermula dengan enam mod tunggangan iaitu tiga yang sudah tetap dan tiga lagi dapat ditukar mengikut kemahuan pengguna.

    Kemudiannya, ciri elektronik yang disediakan adalah termasuk Anti-Lift Control System, Bi-Directional Quickshifter, Engine Brake Control, Motion Track Traction Control, Launch Control, Sloper Dependent Control, Active Speed Limiter, Motion Track Brake, Hill Hold Control dan Cruise Control.

    Semua fungsi serta operasi sistem motosikal ini boleh dilihat melalui panel instrumen yang masih lagi menggunakan tolok analog di bahagian tepi sementara di bahagian tengahnya terdapat skrin TFT-LCD. Penunggang juga boleh melihat data aktif untuk sudut condong motosikal, tekanan brek, tahap pecutan dan kedudukan pendikit.

    Suzuki Hayabusa 2022 didedah – dalaman enjin diberi peningkatan, boleh cecah 300 km/j, lebih canggih

    Hayabusa 2022 menggunakan suspensi daripada Kayaba, dengan kedua-dua bahagian depan dan belakang boleh dilaras sepenuhnya. Brek pula adalah daripada Brembo, dengan angkup Stylema serta cakera 320 mm berkembar di hadapan, serta angkup Nissin satu piston di belakang. Rekaan rim adalah baru, dan dibalut dengan tayar Bridgestone Battlax Hypersport S22.

    Perincian lain untuk Hayabusa 2022 adalah termasuk tangki bahan api 20 liter, transmisi enam kelajuan, berat 264 kg, tinggi tempat duduk 800 mm dan jarak roda 1,480 mm. Ia ditawarkan dalam tiga warna iaitu Glass Sparkle Black & Candy Burnt Gold, Metallic Matte Sword Silver & Candy Daring Red dan Pearl Brilliant White & Metallic Matte Stellar Blue.

     
     
  • Harga minyak 6-12 Feb 2021 – Petrol naik sebanyak tiga sen seliter, diesel pula naik empat sen seliter

    Harga minyak 6-12 Feb 2021 – Petrol naik sebanyak tiga sen seliter, diesel pula naik empat sen seliter

    Kementerian Kewangan telah mengumumkan kenaikan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api di negara ini untuk minggu bertarikh 6 hingga 12 Februari 2021. Di mana harga runcit bagi petrol mengalami kenaikan sebanyak tiga sen seliter dan empat sen seliter bagi diesel.

    Ini menjadikan petrol RON 97 bakal berharga RM2.23 seliter, berbanding RM2.20 seliter pada minggu sebelumnya. Manakala RON 95 pula, daripada RM1.90 seliter, bakal menjadi RM1.93 seliter.

    Untuk diesel pula, gred Euro 2M pula bakal menjadi RM2.11 seliter dan Euro 5 pula berharga RM2.21 seliter. Kesemua harga baharu ini akan efektif mulai 12.01 tengah malam ini sehinggalah Jumaat hadapan, 12 Februari 2021.

     
     
  • Ford akui sistem ekzos F-150 Raptor Ecoboost 2021 diilhamkan dari sistem ekzos Nissan GT-R R35

    Ford akui sistem ekzos F-150 Raptor Ecoboost 2021 diilhamkan dari sistem ekzos Nissan GT-R R35

    2021 Ford F-150 Raptor

    Ford Raptor F-150 generasi pertama pada asalnya dijana oleh enjin V8 6.2 liter dengan kuasa 411 hp dalam varian tertinggi SVT. Model generasi kedua Raptor F-150 tersebut pula menampilkan enjin lebih berkuasa dengan janaan 450 hp/691 Nm – walaupun angka kuasanya meningkat, ia sebenarnya datang dari enjin lebih kecil EcoBoost V6 3.5 liter dengan dua pengecas turbo.

    Tiada sebarang masalah prestasi pada enjin berkenaan, malah ia menampilkan pecutan yang jauh lebih baik. Namun apa yang kurang berbanding enjin terdahulu adalah bunyinya – ia tidak lagi mengaum sama seperti enjin V8, dan mengurangkan sedikit aspek sensasi pemanduan.

    Model generasi ketiga F-150 Raptor yang baru didedahkan minggu ini masih menggunakan enjin V6 EcoBoost yang sama, namun ia kini menerima sistem ekzos yang diolah sepenuhnya bagi memberikan yang jauh lebih garang. Menurut jurutera sistem rangkaian kuasa Ford, Jeff Nichols dalam temuramah bersama portal Road & Track, mereka turut mengambil sistem ekzos Nissan GT-R R35 sebagai contoh bagi menghasilkan ekzos baharu untuk Raptor 2021 ini.

    “Kami luangkan masa yang banyak mendengar suara pelanggan. Ketika kami hasilkan trak generasi kedua, pelanggan sukar untuk menerima enjin V6. Dan ia terus sukar. Kami luangkan masa dan pelaburan yang banyak untuk sistem ekzos trak ini. Matlamatnya adalah untuk memberikan profil bunyi dan pengalaman yang sangat berbeza kepada pelanggan berbanding trak generasi kedua.

    Ford akui sistem ekzos F-150 Raptor Ecoboost 2021 diilhamkan dari sistem ekzos Nissan GT-R R35

    2021 Ford F-150 Raptor

    “Kami pergi dan lihat pada berberapa sistem ekzos laluan sama panjang tradisional dan berberapa karekter ekzos yang kami rasa sangat bagus dalam industri. Kami lihat sistem pada siri kenderaan Quadrifoglio dari Alfa Romeo, dan kami turut membuat tanda aras pada Nissan GT-R,” kata Nichols.

    Sistem ekzos laluan sama panjang selalunya diberi pada enjin dengan dua kepala selinder seperti V6 dan V8, dan ia juga sistem yang sama digunakan pada Nissan GT-R R35 dan Alfa Romeo Quadrifoglio. Sistem berkenaan dihasilkan dengan memastikan laluan gas ekzos pada kedua-dua kepala silinder sehingga ke hujung tip ekzos adalah sama, dan perlu diberikan laluan paip-X yang bersilang antara satu sama lain, bagi menghasilkan prestasi dan bunyi yang garang.

    Namun untuk menghasilkan sistem ekzos sedemikian yang boleh dipadankan pada trak pikap prestasi seperti Raptor ini bukanlah mudah. Ini kerana suspensi ala-rali Baja pada model ini memerlukan jarak pergerakan suspensi yang besar serta memerlukan ruang bawah dan yang banyak.

    Tambahan pula, Raptor F-150 turut ditawarkan dengan set roda opsyen berdiameter 37-inci, roda paling besar pernah diberikan pada sebuah trak pikap tugas ringan produksi. Malah kelengkapan mekanikal lain termasuk transmisi turut perlu diambil kira.

    Ford akui sistem ekzos F-150 Raptor Ecoboost 2021 diilhamkan dari sistem ekzos Nissan GT-R R35

    “Adalah sangat jarang untuk sebuah trak yang diberikan laluan ekzos pada bahagian tengah kenderaan. Biasanya ia hanya offset pada satu bahagian sisi. Oleh kerana itu, bila anda buat laluan ekzos pada hanya sebelah sisi ia sudah lagi tidak sama panjang apabila bertemu. Profil karekter bunyi, denyutan, telah berkurangan separuh kerana itu,” jelas Nichols.

    Jadi Ford menghasilkan satu laluan ‘gelung trombon’ 360 darjah pada laluan ekzos sebelah penumpang, bagi memastikan ia sama panjang dengan laluan sebelah pemandu sebelum sampai ke tabung tengah. “Apabila ia sampai untuk bertemu di poin-X di belakang, panjang laluan antara kedua-duanya adalah hampir sama. Ia menjajarkan denyutan ekzos dalam turutan utama, menyebabkan profil bunyi trak ini sangat berbeza,” kata Nichols.

    Raptor F-150 generasi ketiga ini juga merupakan model pertama Raptor yang diberikan sistem ekzos aktif. Ia menampilkan injap dalam paip ekzos yang dapat merubah bunyi dalam empat mod berbeza bergantung kepada mod pemanduan iaitu Quiet, Normal, Sport dan Baja.

    Kalau anda perhatikan, tabung yang berada ditengah pada sistem ekzos Raptor ini sebenarnya adalah muffler utamanya. Ia tidak boleh diletakkan pada bahagian belakang kerana akan mengganggu pergerakan gandar belakang dan jarak kelegaan tanah trak pikap ini.

    Ford akui sistem ekzos F-150 Raptor Ecoboost 2021 diilhamkan dari sistem ekzos Nissan GT-R R35

    2021 Ford F-150 Raptor

    “Biasanya, anda letak muffler di bahagian belakang, anda ada empat set tip ekzos, dan anda ada sebelah yang senyap dan sebelah yang bising. Kami betul-betul tak mahu ganggu sudut berlepas trak ini. Pakej yang kami buat adalah benar-benar kerana kami mahukan semuanya berada di tengah trak yang kami rasa ia adalah terbaik,” kata Nichols.

    Muffler berkenaan mempunyai dua laluan masuk tetapi ada tiga laluan keluar. Jika injap pada sistem ekzos aktif itu dibuka sepenuhnya, gas akan melaluinya dengan tebatan bunyi yang minima, dalam masa yang sama gas ekzos dari setiap kepala selinder tidak akan bertemu sebelum paip-X.

    Sekiranya injap tersebut tertutup, gas ekzos akan dialirkan ke kebuk bahagian bawah muffler berkenaan, kemudian keluar menerusi satu laluan lebih kecil yang menuju ke paip-X, memberikan bunyi yang senyap. Injap berkenaan adalah bervariasi sepenuhnya, menjadikan perubahan antara bunyi kuat dan perlahan sangat lancar.

    “Ia adalah system yang sangat bising, dan ia mengeluarkan bunyi yang sangat-sangat sedap. Saya tak pernah lagi nampak sistem yang sama, pembekal juga tak pernah lagi jumpa sistem yang sama, semua orang teruja nak mencubanya,” kata Nichols lagi.

    GALERI: Ford F-150 Raptor EcoBoost V6 2021

     
     
  • Nissan Pathfinder 2022 kini dengan 8-tempat duduk

    Nissan Pathfinder 2022 kini dengan 8-tempat duduk

    Selain trak pikap Frontier 2022 yang baru saja didedahkan, Nissan untuk memperkenalkan SUV Pathfinder generasi kelima dalam satu acara maya hari ini. SUV dengan kerangka monocoque flagship Nissan ini meminjam banyak kemaskini reka bentuk yang pernah dilihat pada model Patrol/Armada.

    Pathfinder menggunakan pendekatan rekaan terbaru Nissan untuk SUV, antaranya dengan gril V-motion dengan tiga jalur di bahagian atas dan rekaan lampu utama dalam bentuk C yang tersendiri. Lengkung bahagian fender depan dan belakang yang ketara menjadikan SUV ini nampak berotot dan teguh.

    Terus dengan tema ranggi dan perkasa, tiang C padanya diberikan warna badan untuk mendapatkan kesan visual bumbung terapung dalam warna hitam, pertama kali diberikan pada model ini. Di belakang, lampu LED trapezoidal disertai dengan jalur hitam, serta lencana nama model berkenaan. Bahagian nombor plat kini diposisikan lebih rendah pada kawasan skid plate bampar.

    Nissan menawarkan 14 kombinasi warna, termasuk dalam skim dua tona. Antara warna baru termasuklah Sacrlet Ember yang dilihat ini, dan Obsidian Green Pearl, tampil menyerlah dengan rim aloi rekaan segar dalam saiz 20-inci.

    Nissan Pathfinder 2022 kini dengan 8-tempat duduk

    Rekaan bersegi dan imej ranggi yang sama turut dilanjutkan ke bahagian dalamnya. Permukaan yang ada nampak kukuh, dengan rekaan pada corong udara dan penyudah pada pintu memberikan kesan visual yang teguh untuk SUV ini. Konsol tengah yang diangkat lebih tinggi pula membolehkan lebih ruang tersedia di bahagian bawahnya.

    Kelengkapan lain termasuk paparan instrumen digital 12.3-inci dan head-up display 10.8-inci, juga pertama kali ditawarkan oleh Pathfinder. Sisten infotainmen NissanConnect dengan skrin sentuh serta ciri Apple CarPlay dan Android Auto datang standard, sementara unit dipertingkat dengan skrin sembilan-inci lengkap dengan Apple CarPlay/Android Auto tanpa wayar, hotspot WiFi, pengecas Qi tanpa wayar, sistem bunyi Bose dengan 13-pembesar suara, NissanConnect Services, sistem tunjuk arah terperinci dan sistem kamera 360-darjah resolusi tinggi.

    Pembeli boleh memilih kemasan fabrik, kulit atau kombinasi kulit untuk balutan kerusinya, dengan pilihan warna dan material baru. Terdapat tujuh “suasana” dalaman disediakan, termasuk dengan perincian gangsa dengan sistem pencahayaan ambient yang baru.

    Nissan Pathfinder 2022 kini dengan 8-tempat duduk

    Tiga barisan tempat duduk tersedia padanya, menjadikannya SUV dengan lapan-tempat duduk dengan barisan ketiga. Untuk pertama kali, barisan kedua pada Pathfinder ini datang dengan kerusi kapten dengan konsol tengahnya boleh dialih dengan mudah. Kerusi standard barisan kedua juga lengkap dengan fungsi EZ-Flex untuk memudahkannya dilipat.

    Dengan semua kerusi dinaikkan, ruang but yang tersedia ialah 470 liter, yang menurut Nissan cukup untuk menempatkan kotak beku 114 liter atau empat beg golf. Peningkatan lain termasuk penggunaan cermin utama dengan akustik yang lebih baik, cermin barisan kedua yang lebih tebal, serta penebat bunyi pada lantai untuk menjadikan kabin lebih senyap dan selesa. Kerusi pemandu datang dengan ciri larasan elektrik 10-hala, kerusi berliang dengan pemanas di depan serta kawalan pendingin tiga-zon juga boleh dipilih untuk kerusi belakang.

    Enjinnya menggunakan unit sama, 3.5 liter NA V6, menghasilkan 284 hp dan 351 Nm tork. Bagaimanapun, transmisi CVT sebelum ini telah digantikan dengan kotak gear automatik ZF sembilan-kelajuan. Sistem Intelligent 4WD pula menampilkan tujuh mod pemanduan dan permukaan berbeza; Standard, Sport, Eco, Snow, Sand, Mud/Rut dan Tow.

    Nissan Pathfinder 2022 kini dengan 8-tempat duduk

    Nissan mendakwa pemanduannya kini lebih sporty dan stabil melalui penggunaan sistem stereng kuasa elektrik dual-pinion baru dan lebar tayar 255 mm. SUV ini boleh juga menunda beban sehingga 2,700 kg, angka yang disifatkan terbaik dalam kelasnya, dibantu dengan ciri Trailer Sway Control.

    Pathfinder baru ini juga lengkap dengan ciri keselamatan Nissan Safety Shield 360, termasuk brek kecemasan autonomous dengan pengesan pejalan kaki dan brek undur, amaran penukaran lorong, peninjau titik buta, amaran lintasan trafik di belakang dan lampu tinggi automatik antaranya lainnya.

    Varian lebih tinggi turut dilengkapi dengan ProPilot Assist, dengan tambahan ciri kawalan melayar adaptif, sementara varian Platinum yang paling lengkap turut datang dengan fungsi Navi-link yang bertindak memperlahan kenderaan ketika selekoh di lebuhraya, susur keluar atau simpang. Selain itu, 10 beg udara datang sebagai ciri standard.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.40
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 16, 2024