Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Lexus buka pusat 3S di K.Kinabalu – pertama di Sabah

    Lexus buka pusat 3S di K.Kinabalu – pertama di Sabah

    Lexus Malaysia telah melancarkan bilik pameran pertamanya di Kota Kinabalu, yang dikendalikan oleh Borneo Mobility Sabah. Berlokasi di Batu 5.5, Jalan Tuaran, Lexus Kota Kinabalu ini merupakan pusat 3S kedua untuk bahagian Timur Malaysia selepas pembukaannya di Kuching, Sarawak.

    “Kami sangat teruja untuk melebarkan sayap ke Sabah, mendekatkan jenama unik kecemerlangan automotif kami kepada pelanggan kami di negeri ini dan menawarkan mereka akses kepada kemewahan berhampiran dengan mereka. Lexus berbangga dengan menawarkan pengalaman mengikut kehendak dan pilihan pelanggan pelanggan,” kata Datuk Ravindran Kurusamy, presiden Lexus Malaysia.

    Tambahnya, dengan model-model Lexus baharu yang bakal diperkenalkan dalam tempoh beberapa tahun akan datang, kami gembira kerana kini pelanggan di Sabah dapat merasai sendiri pengalaman tersebut di Lexus Kota Kinabalu.”

    Bilik pameran 3S ini menampilkan rekaan yang minimalis, dengan corak lantai berinspirasikan batik, ditambah pula dengan ciri kayuan yang menjadikan imejnya lebih ke arah seni warisan Malaysia.

    Dengan pembukaan biik pameran di Kota Kinabalu, memudahkan pelanggan di Sabah untuk membeli kenderaan Lexus. Sebelum ini, pelanggan di Sabah terpaksa membeli kenderaan Lexus dari rantau lain, bilik pameran terdekat berada di Sarawak,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat ini.

     
     
  • Proton jual 12,296 kenderaan pada November 2023

    Proton jual 12,296 kenderaan pada November 2023

    Proton telah menyiarkan laporan jualan bulan November 2023, dengan menunjukkan 12,296 buah kenderaan (domestik dan eksport) berjaya dijual bulan lepas, bersamaan penurunan 476 unit (atau sekitar 3.7%) berbanding Oktober 2023. Ini menjadikan jualan keseluruhan tahun ini (YTD) 141,900 unit, yang bermakna ia telah melepasi jumlah tahun lepas, iaitu 141,432 unit, dan masih ada baki satu bulan lagi bagi 2023.

    Daripada 141,900 unit yang diserah kepada pelanggan, 138,876 unit dijual dalam negara, sementara baki 3,024 unit lagi adalah untuk pasaran eksport. Proton menyatakan, jumlah YTD ini mencatat peningkatan 12% dan menjadikan perkongsian pasaran mereka berjumlah 19.7%.

    Melihat kepada model, S70 yang baru sahaja dilancarkan mendapat sambutan baik pasaran dengan lebih 900 tempahan diterima setiap minggu. Semasa pelancarannya, syarikat itu memberitahu, mereka meletakkan sasaran 5,000 tempahan sehingga akhir tahun ini. Sehingga waktu pengumuman terbaru, 3,000 tempahan telah diterima.

    Paling banyak dijual adalah Saga, yang sekali lagi menjadi model paling laku dengan catatan 6,349 unit dan membawa YTD kepada 64,155 unit. Apabila dilihat kepada pasaran sedan segmen A di Malaysia, Saga berada di tempat kedua, di bawah Perodua Bezza.

    Sementara itu, 1,902 unit Persona berjaya dijual pada bulan November 2023, dengan YTD berjumlah 22,557 unit, meletakkan ia sebagai sedan segmen B ketiga terlaris di Malaysia. Untuk Iriz pula, 518 unit terjual bulan lalu, dan YTD kini berjumlah 7,151 unit dan menjadikannya hatchback segmen B keempat terlaris di Malaysia.

    Pergi pula kepada model SUV siri X, X50 mencatat jualan 2,115 unit (YTD 29,096), menjadi SUV segmen B kedua terbanyak. Sejak pelancarannya, 102,325 unit X50 berjaya dijual, menjadikannya sebagai model SUV paling cepat terjual dalam sejarah di Malaysia.

    Proton jual 12,296 kenderaan pada November 2023

    Ia kemudiannya disertai oleh X70 yang mencatat jualan 739 unit (YTD 10,444 unit) dan meletakkannya di tempat kedua dalam segmen SUV, di bawah Honda CR-V. Dilancarkan pada tahun 2018, 95,100 unit X70 telah diserahkan kepada pelanggan sehingga setakat ini.

    X90 terus menjadi SUV segmen D dengan jumlah tertinggi, iaitu 4,285 unit untuk tahun ini, dan 371 unit dijual pada November 2023. Satu lagi model yang duduk paling atas dalam segmennya adalah Exora, meskipun pengeluarannya telah dihentikan Oktober lalu. Sejumlah 302 Exora didaftarkan bulan lepas, membawa YTD kepada 4,212 unit.

     
     
  • Mazda CX-3 pasaran Malaysia diperbaharui – ADAS, lampu LED untuk semua varian 1.5L, 2.0L, dari RM116k

    Mazda CX-3 pasaran Malaysia diperbaharui – ADAS, lampu LED untuk semua varian 1.5L, 2.0L, dari RM116k

    Pengedar kenderaan Mazda di Malaysia, Bermaz Motor telah melancarkan CX-3 versi diperbaharui untuk model tahun tahun 2024, yang membawakan pilihan enjin 1.5 liter dan 2.0 liter di antara tiga varian yang ditawarkan. Ia terdiri daripada 1.5G 2WD Plus pada RM115,720; 2.0G 2WD Plus pada RM126,159; dan 2.0G 2WD High pada RM139,159; semua harga ini tidak termasuk insurans.

    Sama seperti model tahun 2022, crossover segmen B pasaran Malaysia ini masih terus diimport dari Thailand, dan perubahan pada namanya menunjukkan terdapat penambahan kelengkapan dan varian CX-3 Plus kini menggantikan varian Core sebelum ini.

    Semua varian CX-3 ini menggunakan enjin petrol NA, bermula dengan 1.5G 2WD Plus yang mendapat unit empat silinder 1.5 liter Skyactiv-G berkuasa 114 hp pada 6,000 rpm dan tork 149 Nm pada 4,000 rpm, manakala 2.0G 2WD Plus dan 2.0 2WD High kedua-duanya menggunakan enjin petrol 2.0 liter Skyactiv-G yang berkuasa 154 hp pada 6,000 rpm dan 206 Nm pada 2,800 rpm.

    Transmisi yang digunakan pada CX-3 adalah unit automatik Skyactiv-Drive enam kelajuan, yang menghantar kuasa kepada roda belakang, dan sekarang pedal penukar gear di stereng disediakan untuk semua tiga varian. Rim untuk 1.5G Plus dan 2.0G Plus adalah unit 16 inci, dibalut tayar 215/60R16, manakala varian paling tinggi 2.0G High mendapat rim 18 inci rekaan baru bersama tayar 215/50R18.

    Melalui model Plus sekarang, CX-3 mendapat lampu utama dan DRL LED, dengan varian High turut ditambah dengan lampu kabus LED. Semua varian mendapat lampu belakang LED, lampu kabus belakang jenis mentol serta lampu undur LED. Bahagian luar varian Plus turut mendapat cermin sisi boleh lipat automatik serta pengesan undur yang sebelum ini tiada pada varian Core. Varian 2.0 High paling tinggi ditambah dengan pengesan jarak hadapan serta pilihan bumbung suria (RM2,000).

    Di bahagian dalam, varian 1.5G Plus dan 2.0G Plus kini mendapat sambungan Apple CarPlay tanpa wayar, menjadikan ketiga-tiga varian sama, sementara Android Auto masih menggunakan kabel. Infotainmen bagi semua tiga varian masih melalui skrin sesentuh Mazda Connect lapan inci, bersama enam pembesar suara dan dua soket pengecas USB.

    Varian 1.5G Plus dan 2.0G Plus mendapat kamera undur dengan garis bantuan manakala 2.0G High mendapat kamera 360 darjah, pengecas telefon tanpa wayar, head-up display serta cermin pandang belakang malap sendiri.

    Bagi model tahun 2024 ini, CX-3 mendapat pelbagai fungsi dalam kit ADAS i-Activesense, termasuk kawalan lampu tinggi, Blind Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Alert, Lane Departure Warning dan Smart City Brake Support; varian 2.0G High ditambah dengan Driver Attention Alert.

    Jumlah beg udara sekarang ada enam bagi ketiga-tiga varian, naik daripada dua pada varian Core sebelum ini. Berkenaan warna, pilihan yang disediakan adalah Polymetal Grey, Machine Grey, Soul Red Crystal, Jet Black, Platinum Quartz, Snowflake White Pearl dan Aero Gray.

    Sama seperti Mazda 2 2024 yang diperkenal di Malaysia, CX-3 2024 ini boleh didapati dengan penapis filem cermin Activ-E pada harga tambahan RM1,900. Semua varian dijual bersama jaminan lima tahun, 100,000 km dan pakej penyelenggaran percuma lima tahun, 100,000 km.

     
     
  • Mazda 2 facelift 2024 dilancar di Malaysia – bermula RM109k, lampu depan LED auto, cruise control, dll

    Mazda 2 facelift 2024 dilancar di Malaysia – bermula RM109k, lampu depan LED auto, cruise control, dll

    Selepas muncul di Jepun pada Januari lalu dan tiba di Thailand pada Jun lalu, kini versi facelift terbaharu untuk Mazda 2 sudahpun dilancarkan oleh Bermaz Motor secara rasmi di Malaysia. Ini merupakan facelift kali kedua yang diberikan pada model yang muncul pada 2014 tersebut, dan ia menerima perubahan penggayaan dan juga tingkat taraf pelbagai perincian.

    Mazda 2 facelift 2024 pasaran Malaysia ini masih diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand dan masih ditawarkan dalam versi hatchback dan sedan. Ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM108,670, atau RM5,000 lebih mahal berbanding model sebelum ini.

    Pada sebelah luar, perubahan paling ketara adalah pada bahagian muka di mana Mazda 2 2023 ini menerima gril baharu dengan elemen sarang lebah dan diberikan kemasan hitam berkilat pada bingkai tanpa krom, serta gril bawah yang lebih besar dari model sebelumnya. Model pasaran Malaysia ini tidak menerima pilihan gril dengan penutup liang udara besar menjadikannya kelihatan seakan sebuah kereta EV seperti yang ditawarkan di Jepun.

    Manakala di belakang, rupa keseluruhannya masih nampak sama seperti versi sebelum ini, tetapi diberikan rekaan bampar yang sedikit berbeza. Mazda turut memberikan serlahan bar merah yang kecil pada gril hadapan dan juga di atas tip ekzos krom pada bampar belakang pada Mazda 2 facelift ini.

    Perincian baharu lain yang turut dapat dilihat adalah rekaan rim aloi 16-inci yang lebih segar dalam kemasan dua tona (hitam dan krom), lampu hadapan LED yang kini menerima fungsi automatik on/off, pengelap cermin dengan penderia hujan dan juga cermin sisi auto-lipat.

    Hatchback dan sedan segmen-B ini masih menerima lampu belakang dan lampu kabus belakang menggunakan mentol biasa, empat penderia parkir dan juga kamera undur yang dibawa dari versi sebelum ini.

    Tiada perubahan besar dilihat pada bahagian kabin. Semuanya masih nampak serupa kecuali beberapa tingkat taraf seperti skrin untuk sistem infotainmen Mazda Connect yang kini lebih besar bersaiz lapan-inci, cermin pandang belakang yang sudahpun diberikan fungsi auto-malap dan juga telah menerima fungsi cruise control.

    Mazda 2 facelift 2024 dilancar di Malaysia – bermula RM109k, lampu depan LED auto, cruise control, dll

    Model pasaran Malaysia ini datang dengan kemasan papan pemuka berwarna hitam, upholsteri tempat duduk gandingan leatherette dan sued hitam, serta serlahan jahitan benang merah. Manakala perincian lain seperti sistem pendingin hawa automatik zon tunggal, enam pembesar suara dan sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin adalah sama seperti sebelum ini.

    Untuk keselamatan, Mazda 2 pasaran Malaysia ini juga masih dibekalkan dengan dua beg udara bersama beberapa sistem keselamatan pasif lain seperti sistem brek ABS, EBD dan BA, sistem kestabilan elektronik dan kawalan traction, pengingat tali pinggang keledar untuk semua tempat duduk, isyarat berhenti kecemasan, bantuan mula mendaki dan juga fungsi kunci automatik walkaway.

    Model terbaharu Mazda 2 ini masih kekal digerakkan oleh unit rangkaian kuasa yang sama seperti sebelum ini. Ia menampilkan enjin 1.5 liter empat silinder NA Skyactiv-G berkuasa 114 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 149 Nm pada takat 4,000 rpm.

    Kuasa disampaikan pada roda hadapan menerusi kotak gear enam-kelajuan automatik Skyactiv-Drive dengan mod manual yang boleh dioperasikan menerusi pedal penukar gear. Sistem Mazda i-Stop yang mematikan/menghidupkan semula enjin pada kelajuan pepura dan juga G-Vectoring Control Plus (GVC Plus) bagi membantu pemandu masuk ke selekoh secara sempurna juga masih ditampilkan pada Mazda 2 ini.

    Bagi pilihan warna badan, rona Platinum Quartz dan Snowflake White Pearl ditawarkan pada badan hatchback dan sedan. Begitu juga dengan warna signatur Soul Red Crystal juga boleh dipadankan pada kedua-dua jenis badan tersebut, tetapi dengan harga RM500 lebih mahal.

    Manakala warna Polymetal Grey dan Airstream Blue hanya ditawarkan istimewa untuk Mazda 2 hatchback, dan warna Aero Gray hanya eksklusif untuk Mazda 2 sedan. Setiap pembelian disertakan dengan perlindungan waranti selama lima-tahun atau 100,000 km dan juga servis percuma untuk tempoh sama. Manakala filem penapis haba Activ-e Film pula ditawarkan secara opsyen berharga RM1,900.

     
     
  • Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2023 – Operasi LRT Bukit Jalil dilanjutkan hingga 1 pagi pada 9 Dis

    Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2023 – Operasi LRT Bukit Jalil dilanjutkan hingga 1 pagi pada 9 Dis

    Rapid KL telah mengumumkan bahawa operasi stesen LRT Bukit Jalil akan dilanjutkan sehingga jam 1 pagi pada 9 Disember 2023.

    Ia adalah sempena dengan perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 di antara pasukan JDT menentang Terengganu yang bakal berlangsung pada 8 Disember ini, jam 9 malam di Stadium Nasional Bukit Jalil.

    Walau bagaimana pun, para penumpang diingatkan untuk menggunakan kad Touch ‘n Go bagi memudahkan perjalanan. Sila pastikan baki tambah nilai di dalam kad berkenaan mencukupi.

     
     
  • KKR terima 5,440 aduan menerusi MYJalan setakat 30 Nov – 26% melibatkan jalan kendalian JKR, LLM

    Sebanyak 5,440 aduan telah diterima menerusi aplikasi MYJalan setakat 30 November lalu, menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 1,435 ialah aduan berkenaan jalan seliaan KKR dan 4,005 adalah di bawah tanggungjawab pihak berwajib yang lain.

    “Menerusi Belanjawan 2024, KKR bakal menerima peruntukan sebanyak RM2.8 bilion yang disediakan untuk menyelenggara jalan raya dan jambatan di laluan Jalan Persekutuan selari hasrat KKR untuk terus memperkasakan kempen MYJalan.

    “Selain itu, pemerhatian turut diberikan untuk Smart Traffic Light yang dilengkapi dengan kamera pintar (kecerdasan buatan) di persimpangan jalan yang terpilih di seluruh negara terutamanya di kawasan tumpuan orang ramai,” katanya.,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

    Aplikasi MYJalan dilancarkan pada pertengahan Ogos lalu, memberikan peluang kepada orang ramai menyalurkan maklumat supaya kerosakan jalan raya dan kemudahan lain termasuk lampu jalan dan lampu isyarat dapat dibaik pulih.

    Alexander berkata, “Kempen MYJalan dipilih sebagai inisiatif kerajaan dilaksanakan Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam memupuk rasa cinta kepada infrastruktur jalan raya yang lama menjadi nadi penggerak rakyat dan ekonomi.”

     
     
  • Shell akan bina hab pengecas EV prestasi tinggi di Genting Highland dengan empat pengecas DC 360 kW

    Shell akan bina hab pengecas EV prestasi tinggi di Genting Highland dengan empat pengecas DC 360 kW

    Shell Malaysia telah mengumumkan rancangannya untuk membina hab pengecas EV prestasi tinggi (HPC) di Resorts World Genting, Genting Highlands, Pahang yang bakal mula beroperasi pada awal tahun hadapan. Ini merupakan projek Shell Malaysia dengan kerjasama Porsche Malaysia dan Genting Malaysia Berhad.

    Menurut syarikat tersebut, selepas ia siap dibina kelak, hab HPC di Resorts World Genting akan menjadi yang terbaru dalam rangkaian Shell Recharge dari 136 stesen pengecasan di bandar dan di sepanjang lebuh raya di Semenanjung Malaysia.

    Hab pengecasan di Resorts World Genting ini akan menampilkan 10 ruang pengecas, terdiri daripada empat pengecas pantas DC 360 kW dan enam pengecas AC 22 kW. Kedua-dua jenis pengecas tersebut akan dilengkapi dengan penyambung jenis CCS2 dan Type 2.

    Untuk menggunakan pengecas DC 360 kW, pelanggan akan dikenakan yuran pengesahan sebanyak RM10 dan RM2.80 setiap kWj. Jika anda membiarkan kereta di petak pengecas selepas cas penuh/tidak mengecas (idle), tiada bayaran untuk 15 minit pertama tetapi 15 minit pertama selepas itu bayaran RM10 akan dikenakan. Penggunaan pengecas ini akan dihadkan maksimum RM400 untuk satu sesi pengecasan.

    Shell akan bina hab pengecas EV prestasi tinggi di Genting Highland dengan empat pengecas DC 360 kW

    Manakala bagi pengecas AC 22 kW pula, yuran pengesahan adalah RM8 diikuti dengan kadar RM1.30 setiap kWj. Caj idle pula adalah percuma untuk 15 minit pertama, dan RM2 untuk setiap 30 minit selepas itu. Pengecas AC 22 kW dihadkan kepada maksimum RM200 setiap sesi pengecasan.

    “Dengan penambahan 10 ruang pengecasan di puncak bukit Resorts World Genting, kami terus mengorak langkah ke arah komitmen berterusan bagi membolehkan penyelesaian pengangkutan bersih-sifar di Malaysia,” kata pengurus besar Shell Mobility Seow Lee Ming.

    Shell Malaysia juga telah mengumumkan harga terkini untuk lokasi 180 kW HPC sedia ada, yang akan berkuat kuasa mulai 15 Disember berikutan pengumuman ParkEasy mengenai penukaran kepada harga berasaskan kWj untuk pengecas AC Shell Recharge.

    Shell akan bina hab pengecas EV prestasi tinggi di Genting Highland dengan empat pengecas DC 360 kW

    Untuk stesen pengecasan Shell Recharge 180 kW, yuran pengesahan ialah RM5, dan kadar RM2.20 setiap kWj akan dikenakan. Caj idle adalah percuma untuk 15 minit pertama, dan akan menjadi RM8 untuk setiap 15 minit selepas itu.

    Untuk masa yang terhad, ParkEasy menawarkan tawaran pakej kredit untuk pakej ParkEasy Plus bersama Shell Recharge, untuk digunakan di Resorts World Genting HPC dan juga di semua stesen Shell Recharge. Tawaran ini bermula dari 15 Disember 2023 hingga 15 Februari 2024, di mana satu pakej berharga RM600 untuk jumlah kredit caj sebanyak RM720 dengan tempoh sah setahun dan kredit bonus sebanyak 120 mata.

    Jika ia dibeli dalam tempoh ini, tawaran pakej ParkEasy Plus juga menawarkan pulangan tunai 10% untuk transaksi pengecasan AC, dan diskaun 15% untuk transaksi HPC. Pulangan tunai dan diskaun hanya sah di lokasi Shell Recharge sahaja, dan tawaran itu tidak boleh diperbaharui.

    Shell akan bina hab pengecas EV prestasi tinggi di Genting Highland dengan empat pengecas DC 360 kW

    Jika anda belum mempunyai aplikasi ParkEasy lagi, anda boleh menggunakan kod rujukan kami R88W3N2T apabila anda memuat turun aplikasi ParkEasy dan anda akan mendapat sejumlah kredit percuma untuk mencubanya.

    “Perkongsian kami dengan Shell Recharge adalah bukti komitmen kami untuk membolehkan perjalanan rentas sempadan jarak jauh menggunakan EV, menghubungkan tiga negara – Thailand, Malaysia dan Singapura,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Auto Performance Christopher Hunter, mewakili Porsche Malaysia.

    “Dengan pertumbuhan pantas penggunaan kereta EV di Malaysia dan di seluruh rantau ini, ini akan membantu mempromosikan pelancongan yang mampan dan menyediakan kemudahan kepada pengunjung kami di Resorts World Genting,” kata Naib Presiden Kanan pembangunan hartanah dan projek Genting Malaysia Berhad Gary Chen Wing Kong.

     
     
  • Mitsubishi Triton 2024 dapat lima bintang dalam program penilaian keselamatan ASEAN NCAP

    Mitsubishi Triton 2024 dapat lima bintang dalam program penilaian keselamatan ASEAN NCAP

    Mitsubishi Triton terbaru adalah trak pikap pertama yang diuji melalui protokol penilaian ASEAN NCAP (Program Penilaian Kenderaan Baru untuk Kenderaan Asia Tenggara) 2021-2025 dan telah menerima keputusan lima bintang. Menerima jumlah markah 74.71 mata, dalam kertas penilaian itu tertulis Triton sebagai menunjukkan “prestasi luar biasa.”

    Ciri keselamatan standard yang disediakan pada trak pikap Mitsubishi yang diperkenalkan kali pertama Jun lepas ini adalah termasuk sekurang-kurangnya tiga beg udara (maksimum tujuh), ABS, ESC, sistem peringatan tali pinggang untuk pemandu dan penumpang hadapan (pengesan tali pinggang belakang disediakan sebagai pilihan tambahan) dan perlindungan pejalan kaki.

    Terdapat juga beberapa teknologi bantuan keselamatan yang ditawarkan sama ada secara standard atau pilihan tambahan, seperti Autonomous Emergency Braking, Lane Departure Warning, Forward Collission Warning, Blind Spot Monitoring dan lampu tinggi automatik.

    Dalam kategori penumpang dewasa, Triton berjaya mengutip 26.01 mata (daripada keseluruhan 32 mata), manakala bagi perlindungan penumpang ia mencatat 44.72 mata (keseluruhan 51 mata). Sementara itu bagi kategori bantuan keselamatan, trak pikap ini berjaya mencatat 15.16 daripada 21 mata dan bagi penilaian keselamatan penunggang motosikal ia mencatat 8.18 daripada 16 mata keseluruhan. Dengan kutipan mata keseluruhan 74.71 mata, Triton diberikan tahap lima bintang.

    “Dengan Mitsubishi menawarkan ciri keselamatan yang disebut seperti di atas, ASEAN NCAP percaya Mitsubishi meletakkan nilai tinggi pada kepentingan ciri keselamatan penumpang serta pengguna jalan raya lain termasuk penunggang motosikal,” tertulis dalam siaran akhbar program tersebut.

     
     
  • Toyota Sport Crossover Concept didedah di Eropah – EV yang dibangun bersama BYD, dilancar pada 2025

    Toyota Sport Crossover Concept didedah di Eropah – EV yang dibangun bersama BYD, dilancar pada 2025

    Toyota telahpun mendedahkan model konsep EV yang digelar sebagai Toyota Sport Crossover Concept di Eropah ketika melangsungkan forum Knshiki di Brissels, Belgium. Sebelum ini model yang sama telahpun didedahkan di Auto Shanghai 2023 yang berlangsung pada April lalu dengan nama bZ Sport Crossover Concept.

    Menurut Toyota versi produksi Sport Crossover ini akan dijual di Eropah pada 2025. Ia adalah model yang dibangunkan oleh syarikat kerjasama BYD Toyota EV Technology (BTET) di China, dan merupakan salah satu dari enam model EV yang akan dijual di Eropah menjelang tahun 2026.

    Model konsep ini menggunakan konsep rekaan signatur terkini Toyota yang menampilkan muka dengan jalur lampu hammerhead yang kini sudah digunakan pada model-model produksi seperi Toyota Crown, Prius dan Camry. Ia tampil dengan badan seperti fastback yang begitu aerodinamik, ditambah dengan soiler ekor itik pada but belakang. Rekaan lampu belakang pula dibuat dengan jalur menyala seperti rekaan lampu hadapan.Toyota Sport Crossover Concept didedah di Eropah – EV yang dibangun bersama BYD, dilancar pada 2025

    Unit yang di bawa ke Eropah tesebut mengenakan warna bada berbeza dari bZ Concept di China sebelum ini, dan ia tidak dilengkapi dengan penderia Lidar yang sepatutnya diletak pada bahagian bumbung serta tiada panel kemasan pada fender hadapan.

    Gambar bahagian dalaman juga belum disiarkan dengan jelas, tetapi boleh dilihat ia diberikan kabin ringkas bersama roda stereng bebentuk yok.

    “Ia akan memberikan bayangan menarik untuk pelanggan yang pertama kali membeli kereta elektrik dan alternatif selain SUV yang bergaya. Ia menawarkan keselesaan maksima digandingkan dengan pratikalii sebuah kenderaan lima pintu, ruang but dan juga ruang kaki yang besar,” kata Toyota.

     
     
  • Polis, JPJ bakal tawar diskaun saman sempena ulangtahun k’jaan MADANI di Bukit Jalil pada 8-10 Dis

    Polis, JPJ bakal tawar diskaun saman sempena ulangtahun k’jaan MADANI di Bukit Jalil pada 8-10 Dis

    Sempena dengan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang bakal dianjurkan pada 8 hingga 10 Disember 2023, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal membuka kaunter pengurangan kadar kompaun saman trafik. Program berkenaan akan berlangsung di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil pada tarikh yang berkenaan.

    Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, pihaknya menawarkan diskaun saman sebanyak 50% untuk pelbagai jenis kesalahan. Walau bagaimana pun, ia tidak termasuk dengan kesalahan trafik tahun 2023 yang melibatkan kemalangan, kes mahkamah dengan status waran tangkap atau pun masih dalam perbicaraan, dan kesalahan yang tidak boleh dikompaun.

    “Saman ini hanya boleh dibayar menerusi kaunter semakan dan pembayaran yang berada di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil dari jam 9 pagi hingga 4 petang pada 8 Disember (Jumaat) dan dari 9 pagi hingga 6 petang pada 9-10 Disember,”katanya.

    Polis, JPJ bakal tawar diskaun saman sempena ulangtahun k’jaan MADANI di Bukit Jalil pada 8-10 Dis

    Klik untuk besarkan

    Manakala bagi JPJ pula, belum diperincikan jumlah diskaun yang bakal diberikan. Kebiasaannya, pengurangan kadar saman diberikan kepada semua saman bagi kesalahan yang boleh dikompaun seperti disenaraikan di dalam Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan (Pengkompaunan Kesalahan) 2003, kecuali kepada kes-kes yang telah didaftarkan di mahkamah termasuk yang berstatus waran tangkap yang belum Dilepaskan Tanpa Dibebaskan (DNAA).

    Di mana semua Notis Saman yang telah dikeluarkan adalah berdasarkan kepada kadar kompaun semasa yang terdapat dalam sistem mySIKAP JPJ, terhadap kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334), serta Kaedah-Kaedah dan Perintah-Perintah di bawahnya, termasuklah kes yang masih dalam tindakan senarai hitam (blacklist).

    Untuk yang berada di sekitar Lembah Klang atau pun yang berdekatan, bolehlah berkunjung ke Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di Stadium Bukit Jalil hujung minggu ini. Selain kaunter pembayaran saman oleh PDRM dan JPJ, banyak acara dan aktiviti menarik turut dianjurkan oleh 14 kementerian di bawah Kerajaan MADANI.

     
     
  • Toyota Urban SUV Concept petunjuk model EV yang akan masuk pasaran Eropah tahun depan, FWD/AWD

    Toyota Urban SUV Concept petunjuk model EV yang akan masuk pasaran Eropah tahun depan, FWD/AWD

    Semasa forum Kenshiki di Brussels, Belgium, Toyota telah menunjukkan Urban SUV Concept, yang memberikan petunjuk awal kepada model elektrik (EV) produksi yang akan dilancarkan di pasaran Eropah pada tahun 2024.

    Model yang namanya masih belum diberitahu ini akan memasuki segmen B dan menjadi salah satu daripada enam EV yang termasuk dalam perancangan. Tidak banyak perincian yang didedah setakat ini, melainkan model produksi diberitahu akan ditawarkan dengan pacuan dua roda dan semua roda, serta dua kapasiti bateri.

    “Toyota telah mencapai keunggulan dalam segmen SUV-B melalui Yaris Cross hibrid elektrik yang merupakan model terbaik di dalam kelasnya. Pembangunan model baru ini mendapat input daripada pengalaman kami bersama SUV elektrik dan mempunyai keperluan pelanggan Eropah. Ia juga akan menyediakan kualiti, ketahanan dan keboleh percayaan yang sudah menjadi tanda unik Toyota,” kata syarikat itu dalam kenyataan media yang dikeluarkan.

    Menggunakan lekuk-lekuk serta garis badan yang menjadikan bentuknya nampak tegap, model ini mendapat lampu hadapan bermotifkan C di hujungnya dan bersambung di bahagian tengah, menyamai konsep yang digunakan pada Prius, C-HR serta beberapa model Toyota terbaru lagi. Bahagian bawah bampar juga mempunyai lampu menegak.

    Lampu belakang mempunyai saiz kecil, dan juga disambungkan antara unit sebelah kiri dan kanan. Tiada gambar kabin yang didedahkan, tetapi Toyota memberitahu, bahagian dalamnya adalah fleksibel dan mudah diubah mengikut keperluan pengguna atau barang yang mahu diisi. Perincian lebih model baru ini akan diberitahu tahun hadapan.

     
     
  • Toyota Hilux Hybrid 48V diperkenal – enjin diesel 2.8L turbo dapat tambahan kuasa motor 16 PS dan 65 Nm

    Toyota Hilux Hybrid 48V diperkenal – enjin diesel 2.8L turbo dapat tambahan kuasa motor 16 PS dan 65 Nm

    Toyota Hilux 2024 telah pun didedahkan, dan ia mendapat penggerak mild-hybrid yang terdiri daripada enjin diesel turbo 2.8 liter serta sistem hibrid ringkas 48 volt yang memberi tambahan 16 PS dan 65 Nm dengan starter generator yang mendapat kuasa daripada bateri lithium ion 48 volt. Enjin diesel itu sahaja mampu menghasilkan 204 PS pada 3,400 rpm dan 500 Nm dari 1,600 rpm hingga 2,800 rpm.

    Menurut Toyota, bateri 48 volt itu mempunyai berat cuma 7.6 kg dan dicas semula melalui penjanaan semula kuasa semasa membrek, selain turut menyumbang kepada daya henti. Motor hibrid ringkas padanya direka untuk bertahan dengan kegunaan lasak, sesuai bagi kenderaan komersial dan dua tensioner tali sawat baru serta bahan yang lebih tahan digunakan untuk memperbaiki pemanduan dan mengurangkan bunyi – kata Toyota.

    Selain daripada itu, Toyota juga mendakwa bahawa penambahan sistem hibrid ringkas pada Hilux ini menjadikan maklum balas pendikit lebih baik manakala penggunaan bahan api menjadi lebih cekap sehingga 5% berbanding model biasa yang menggunakan enjin diesel tanpa bantuan elektrik.

    Toyota Hilux Hybrid 48V diperkenal – enjin diesel 2.8L turbo dapat tambahan kuasa motor 16 PS dan 65 Nm

    Motor elektrik ini juga dapat membantu semasa pemanduan offroad, dengan memberikan pecutan yang lebih lancar manakala penjanaan semula kuasa brek menjadikan pemanduan turun bukit selamat, kata Toyota. Kadar rpm waktu melahu juga dapat diturunkan dari 720 rpm ke 600 rpm. Binaan kalis air yang dibuat pada bateri 48V dan converter DC-DC pada Hilux Hybrid ini membenarkan ia meredah air sehingga kedalaman 700 mm.

    Masih sama seperti versi yang lain, Hilux Hybrid ini dibina atas kerangka body-on-frame, dan kemampuan mengangkat barangnya kekal 1,000 kg dan daya tarik adalah 3,500 kg. Kelegaan dari tanah bagi model hibrid double cab adalah 310 mm.

    Sistem keselamatan yang datang dengan Hilux Hybrid terdiri daripada pakej Toyota Safety Sense, yang termasuk Pre-Collision System dengan kemampuan mengesan pejalan kaki di waktu malam, mengesan penunggang basikal di waktu siang serta mengesan kenderaan atau pejalan kaki yang datang dari simpang, seterusnya mengeluarkan bunyi amaran atau brek jika perlu.

    Kemudiannya, Lane Departure Alert kini dapat mengesan bahagian tepi jalan, sebagai tambahan kepada garis jalan sahaja, manakala Adaptive Cruise Control dengan bantuan tanda jalan dapat membantu pemandu melaras kelajuan mengikut had dan memperlahankan kenderaan apabila menghampiri selekoh.

    Untuk kelengkapan dalam kabin, Hilux Hybrid mendapat sistem Toyota Smart Connect yang menyediakan navigasi berasaskan cloud dengan kawalan suara untuk multimedia, pendingin hawa serta membuka/menutup kunci menggunakan aplikasi telefon. Skrin infotainmen lapan incinya boleh disambungkan dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Menurut Toyota, Hilux Hybrid ini akan mula memasuki pusat pameran di Eropah pertengahan tahun hadapan, manakala Australia pula separuh tahun pertama 2024 dan dijangka mendapat varian 4×4 SR5 dan Rouge Double Cab.

     
     
  • Chery buka pusat 4S di Kuantan – yang pertama di Pantai Timur, dikendalikan oleh Evenergy Auto

    Chery buka pusat 4S di Kuantan – yang pertama di Pantai Timur, dikendalikan oleh Evenergy Auto

    Chery telah membuka pusat 4S di Kuantan, yang merupakan fasiliti pertama seumpamanya di Pantai Timur. Pusat 4S berkenaan dikendalikan oleh Evenergy Auto dan berlokasi di Kawasan Perindustrian Semambu, dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada hujung minggu lalu.

    Sewaktu pelancaran pusat 4S terbabit, Chery turut mempertontonkan Omoda E5, pertama kali dipamerkan di bilik pameran. Versi elektrik bagi SUV Omoda 5 telah dipertontonkan kepada pihak media pada minggu lalu dan dijangka akan dilancarkan di Malaysia pada suku pertama (Q1) tahun 2024. Pesaing bagi BYD Atto 3 Extended Range ini ditawarkan dengan jarak gerajk 430 km (WLTP) dengan dijanakan oleh bateri lithium iron phosphate (LFP) 61 kWh, di mana motor elektrik hadapannya menghamburkan kuasa 224 PS dan tork 340 Nm. Pecutan dari 0-100 km/j boleh dicapai dalam 7.6 saat.

    Bateri tersebut boleh dicas dengan sistem AC 9.9 kW atau pengecas pantas DC80 kW yang boleh memenuhkan kuasa dari 0-85% dalam masa 35 minit. Ia juga boleh berfungsi sebagai “powerbank bergerak” untuk membolehkan pelbagai peralatan elektrik beropersi menerusi sistem V2L 3.3 kW. Perincian penuh mengenai Omoda E5 boleh DIBACA DI SINI.

    Sementara itu, mereka yang berada di ibu kota Pahang dan sekitarnya boleh menantikan lebih banyak pengecas EV. “Sasaran yang ditetapkan oleh Majlis Perbandaran Kuantan untuk memasang 160 stesen pengecas menjelang tahun 2025 akan mempercepatkan lagi penggunaan kenderaan elektrik dalam kalangan rakyat Pahang,” kata MB dalam majlis tersebut.

    GALERI: Chery Omoda E5 EV di Malaysia

     
     
  • Kerajaan jalankan kaji selidik subsidi bersasar — untuk umum, pelaksanaan RON95 pada 2H 2024

    Kerajaan jalankan kaji selidik subsidi bersasar — untuk umum, pelaksanaan RON95 pada 2H 2024

    Kerajaan ketika ini sedang menjalankan kaji selidik berkaitan bantuan dan subsidi bersasar, bermula sekarang hingga 31 Disember 2023. Terbuka kepada umum dan boleh dicapai di sini, kaji selidik berkenaan dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), bertujuan bagi mendapatkan pandangan rakyat untuk dipertimbangkan sebelum subsidi bersasar berkenaan diperkenalkan.

    Melalui kaji selidik berkenaan, kerajaan berharap agar mendapat pandangan menyeluruh yang lebih merangkum tentang bagaimana warga Malaysia memahami pelaksanaan subsidi bersasar ini, mengenal pasti kaedah praktikal untuk mengagihkan bantuan yang diinginkan oleh warga Malaysia, serta untuk mendapatkan pandangan berkaitan daripada orang ramai.

    Jadi, tidak kira apa pandangan anda tentang subsidi bersasar ini, luangkan masa anda dan nyatakan pandangan tersebut kepada kerajaan. Tahun depan, kerajaan merancang untuk memperkenalkan mekanisme subsidi bersasar bagi petrol RON95 pada separuh pertama 2024.

    Langkah ini adalah selari dengan usaha kerajaan untuk mengoptimumkan sumber dan mengurangkan pembaziran dan ketirisan. Selain petrol, subsidi bersasar juga akan memberi kesan kepada diesel, yang akan diperkenalkan secara berperingkat. Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memaklumkan yang Pangkalan Data Utama (PADU), sebuah pangkalan data sosio-ekomomi akan menjadi komponen penting untuk membawa perubahan dalam pelaksanaan kebajikan sosial di negara ini. Setakat Oktober 2023, pangkalan data berkenaan sudah 72% siap.

     
     
  • Jumlah pengguna pengangkutan awam di M’sia meningkat; purata harian 1.1j, tertinggi sejak pandemik

    Jumlah pengguna pengangkutan awam di M’sia meningkat; purata harian 1.1j, tertinggi sejak pandemik

    Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), selaku pengendali perkhidmatan rel dan bas terbesar negara telah mencatatkan peningkatan penggunaan pengangkutan awam yang konsisten dengan hampir 1.1 juta jumlah penggunaan sehari setakat 30 November 2023.

    Daripada jumlah itu, perkhidmatan Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) yang merangkumi perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel di Lembah Klang mencatatkan purata penggunaan harian sebanyak 835,119, manakala purata penggunaan perkhidmatan Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) adalah sebanyak 258,710 pengguna. Angka penggunaan harian tertinggi adalah 1,200,433 pengguna yang telah dicatatkan pada 22 November 2023.

    Prasarana berkata, ia merupakan angka tertinggi penggunaan harian perkhidmatan-perkhidmatan kendalian Prasarana yang dicatatkan semenjak negara dilanda pandemik COVID-19. Pada awal tahun 2020, purata penumpang yang menggunakan perkhidmatan Prasarana adalah kira-kira 1.2 juta orang sehari.

    Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, Prasarana turut berkata, inisiatif-inisiatif berterusan yang diambil oleh pihaknya bersama Rapid Rail dan Rapid Bus bagi mempertingkatkan pengalaman pengguna secara keseluruhannya, termasuk dari segi ketersediaan perkhidmatan dan keadaan fasiliti serta kemudahan awam, telah menyumbang kepada peningkatan pengguna harian yang konsisten.

    Buat masa ini, pihak Rapid Rail sedang dalam usaha berterusan bagi menambahbaik perkhidmatan rel dalam memastikan perjalanan yang lancar tanpa gangguan bagi penumpang di kesemua laluan kendaliannya.

    “Semenjak bulan September tahun ini, Rapid Rail telah memulakan pengoperasian empat buah tren baharu bagi LRT Laluan Kelana Jaya di bawah projek KLAV27 (Kuala Lumpur Additional Vehicle). Baki 15 buah tren akan diterima secara berperingkat sehingga bulan Disember 2024. Pada ketika ini, LRT Laluan Kelana Jaya secara purata beroperasi dengan 48 buah tren dengan kekerapan purata 3 minit,” kata Prasarana.

    Jumlah pengguna pengangkutan awam di M’sia meningkat; purata harian 1.1j, tertinggi sejak pandemik

    Manakala bagi penggunaan MRT Laluan Putrajaya dan Laluan Kajang juga menunjukkan angka yang memberangsangkan. Purata penggunaan MRT Laluan Putrajaya yang dilancarkan sepenuhnya pada bulan Mac tahun ini adalah sebanyak 127,872 pada bulan November, berbanding 122,720 pada bulan sebelumnya.

    MRT Laluan Kajang pula mencatatkan purata penggunaan harian seramai 225,705 pada bulan November, satu peningkatan daripada purata penggunaan harian sebanyak 219,576 pada bulan sebelumnya. Angka ini dijangka akan bertambah menjelang bulan Januari 2024 apabila bilangan tren ditambah kepada 36 buah dengan kekerapan 4 minit.

    Bagi perkhidmatan bas pula. Rapid Bus bakal menambah bilangan bas di sekitar Lembah Klang bagi memenuhi permintaan yang meningkat serta demi menyelaraskan pengoperasian bas agar lebih efisyen. Dijangka sebanyak 1,000 buah bas akan beroperasi setiap hari menjelang hujung tahun ini, peningkatan daripada 762 buah pada awal tahun ini.

    Selain itu, Rapid Bus juga melaksanakan projek percubaan laluan-laluan bas di sekitar Kuala Lumpur dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Projek percubaan lorong bas di Jalan Ampang (Jalan Rhu ke persimpangan Jalan Tun Razak) telah mencatat peningkatan jumlah pengguna sebanyak 15% di koridor tersebut. Baru-baru ini, dua projek percubaan lorong bas baharu telah dilaksanakan iaitu Jalan Genting Klang dan Jalan Ampang (persimpangan Jalan Tun Razak ke Jalan Rhu).

    Dari segi fasiliti serta kemudahan awam di stesen-stesen termasuk lif dan eskalator, pada ketika ini 99% kemudahan beroperasi secara normal. Namun, pembaikan fasiliti dan kemudahan adalah usaha berterusan di bawah program penyelenggaraan berasaskan keadaan (condition-based maintenance).

    Prasarana berkata, pihaknya komited dalam menambahbaik kesemua perkhidmatan rel dan bas serta fasiliti kemudahan awam di bawah kendaliannya secara berterusan bagi kemudahan dan keselesaan pengguna serta menggalak penggunaan pengangkutan awam, selari dengan agenda pengangkutan awam yang mensasarkan penggunaan pengangkutan awam sebanyak 40% menjelang tahun 2030.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025