Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Proton X50 facelift 2024 – bayangan digital oleh Theophilus Chin berdasarkan Geely Binyue Cool

    Proton X50 facelift 2024 – bayangan digital oleh Theophilus Chin berdasarkan Geely Binyue Cool

    Baru-baru ini Proton sudahpun mula dilihat menguji unit protataip X50 facelift, dan walaupun ia disorokkan dengan pelekat penyamaran, beberapa perincian dilihat jelas bahawa model ini akan diasaskan dari Geely Binyue versi facelift yang dikenali dengan nama Binyue Cool di China.

    Jadi untuk membayangkan rupanya, pakar manipulasi automotif tempatan Theophilus Chin sudahpun menghasilkan lakaran digitalnya sendiri. Menerusi unit protoip yang diuji tersebut dapat dilihat X50 facelift itu menggunakan keseluruhan muka Binyue Cool, menampilkan perubahan drastik yang lebih agresif.

    Ia diberikan lampu utama baharu yang lebih nipis dan tajam, bersama gril hadapan dan gril bampar yang sangat besar dengan elemen mesh, memberikan imej seakan huruf-X persis model-model Lexus. Untuk lakaran digital X50 ini, Theo hanya menukar gril asal Binyue Cool dengan rekaan gril signatur Proton terkini.

    Proton X50 facelift 2024 – bayangan digital oleh Theophilus Chin berdasarkan Geely Binyue Cool

    Kemasan merah bawah gril berkenaan dihasilkan dengan bentuk busur panah pahlawan Melayu seperti pada X50 sedia ada. Kemudian elemen mesh pada gril Binyue Cool digantikan dengan elemen pin krom seperti Proton X90 dan S70 yang baru dilancarkan tahun ini, diinspirasikan dari corak kain songket. Dan logo Geely sudah tentu ditukar menggunakan logo kepala harimau Proton.

    Binyue Cool turut menampilkan perubahan yang besar pada sebelah belakang. Ia diberikan rekaan lampu belakang menampilkan lebih nipis, dan ia kini merentangi sepenuhnya pintu hatch belakang dengan perumah nombor pendaftaran telah dialihkan ke bawah.

    Bampar Binyue Cool juga direka semula dengan lebih garang, menampilkan reflektor yang kini diposisikan menegak dan lebih tinggi pada perumah berbentuk seperti liang ambilan udara. Empat tip ekzos pada bampar masih lagi dikekalkan, dengan diffuser yang direka semula untuk disesuaikan dengan imej baharu ini.

    Untuk menukar bahagian belakang Binyue Cool ini kepada X50 facelift, Theo hanya merubah perkataan ‘GEELY’ di atas bar lampu kepada ‘PROTON’, serta menukar emblem-emblem lain. Unit prototaip yang dilihat sebelum ini juga menunjukkan X50 facelift turut akan menerima spoiler bumbung lebih besar seperti Binyue Cool, namun Theo telah membuang logo ‘S’ pada spoiler tersebut. Logo Proton juga diberikan pada kesemua penutup tengah rim aloi.

    Unit prototaip yang dilihat sebelum ini dilihat masih dalam versi prototaip awalan dengan pemanduan sebelah kiri. Proton X50 sedia ada sudahpun berada lebih tiga tahun dalam pada selepas dilancarkan di Malaysia pada Oktober 2020, jadi model facelift ini paling awal pun mungkin akan diperkenalkan pada akhir tahun hadapan.

    Apa pula pendapat anda? Adakah X50 lebih cantik dengan rekaan Binyue Cool ini, atau yang sedia ada lagi menarik? Kongsikannya bersama kami dalam ruang komen di bawah atau di laman-laman sosial kami.

    GALERI: Spyshot Proton X50 facelift yang diuji di jalan raya awam

     
     
  • Tesla Premium Connectivity kini di M’sia — percuma 30-hari pertama, kemudian dicaj RM36 sebulan

    Tesla Premium Connectivity kini di M’sia — percuma 30-hari pertama, kemudian dicaj RM36 sebulan

    Tesla Premium Connectivity kini telah dilancarkan di Malaysia, yang menawarkan pengalaman pemilikan unik dan tersendiri untuk pemiliknya melalui aplikasi mudah alih Tesla untuk pasaran di sini. Ini diperkenalkan bersekali dengan penyerahan kumpulan terawal Tesla Model 3 ‘Highland’ facelift di Malaysia.

    Premium Connectivity ini dibangun berdasarkan ciri yang ada pada Standard Connectivity yang terdiri daripada ciri berdasarkan tunjuk arah serta WiFi serta tetingkap internet dan Caraoke. Standard Connectivity disertakan di dalam kenderaan Tesla sejak lapan tahun lalu ketika ia mula diserahkan kepada pelanggan, seperti di dalam kenderaan demo dan servis, jelas Tesla.

    Selain semua itu, Premium Connectivity pula membawakan pemvisualan trafik secara langsung, peta satelit, penstriman video dan menyediakan capaian kepada smeua ciri melalui rangakaian selular sebagai tambahan kepada WiFi. Ia dikenakan harga RM35.99 sebulan menerusi langganan.

    Tesla Premium Connectivity kini di M’sia — percuma 30-hari pertama, kemudian dicaj RM36 sebulan

    Premium Connectivity ditawarkan untuk Model 3 dan Model Y secara percubaan percuma untuk tempoh 30 hari selepas penyerahan. Langganan berbayar berasingan masih diperlukan untuk servis penstriman muzik dan media terpilih, selain daripada yang ada untuk Premium Connectivity.

    Dikenakan harga RM35.99 sebulan di Malaysia, ini sebenarnya adalah lebih murah berbanding kadar US$9.99 di Amerika Syarikat, yang jika ditukar ketika ini akan menjadi sekitar RM46.48, menjadikan kadar di Malaysia kini RM10 lebih murah.

     
     
  • BMW R12 dan R12 nineT diperkenal – datang dalam versi cruiser dan roadster, talaan enjin berbeza

    BMW R12 dan R12 nineT diperkenal – datang dalam versi cruiser dan roadster, talaan enjin berbeza

    Mengikuti jejak langkah R nineT yang diperkenalkan pada tahun 2013, kini BMW Motorrad memperkenalkan pula dua model yang membawa konsep klasik yang sama, iaitu R12 yang dipanggil sebagai cruiser klasik, dan R12 nineT sebagai roadster klasik.

    Dua model ini dijadikan ringkas dan pada sama sama memberikan peluang kepada pemilik mengubah suai motosikal mereka, tetapi kerangka yang terlihat jelas adalah serba baru, dibuat daripada besi tubular bridge steel spaceframe yang berbeza berbanding kerangka R nineT sebelum ini. Rangka belakang juga dibuat daripada besi berbentuk bulat.

    Untuk membezakan dua motosikal ini dalam keadaan standard, anda boleh melihat R12 mempunyai tempat duduk lebih rendah, tangki besi bentuk “Toaster Tanks” tahun 70-an, rim 19 inci di hadapan dan 16 inci di belakang, serta panel meter yang cuma menunjukkan informasi penting serta kelajuan sahaja.

    R12 nineT pula datang dengan tempat duduk yang lebih naik ke atas, tangki bahan api aluminium, kedudukan menunggang yang lebih ke hadapan, rim 17 inci depan dan belakang serta dua meter analog yang boleh menunjukkan semua informasi termasuk rpm.

    Walaupun dengan perbezaan ini, pemilik boleh mengubah suai motosikal mereka dan mendapatkan pelbagai aksesori lain untuk R12 dan R12 nineT melalui pilihan yang disediakan oleh BMW Motorrad.

    Penggerak kedua motosikal ini adalah enjin boxer dua silinder penyejukan udara/minyak 1,170 cc bersama transmisi enam gear, tetapi talaannya adalah berbeza dengan R12 menghasilkan 95 hp pada 6,500 rpm dan R12 nineT menghasilkan 109 hp pada 7,000 rpm. R12 disediakan dengan dua mod tunggangan, manakala R12 nineT ada tiga mod.

    Sistem Dynamic Engine Brake Control, ABS Pro dan Dynamic Traction Control diberikan secara standard pada kedua-duanya, tetapi suspensi mempunyai beza dengan R12 mendapat fork teleskopik 45 mm biasa manakala R12 nineT dipertingkat dengan unit boleh laras untuk pra beban spring, lantunan serta mampatan. Di belakang ia menggunakan lengan ayun single sided dengan pendakap Paralever serta penyerap yang boleh dilaras untuk pra beban dan lantunan.

    GALERI: BMW R12 2024

    GALERI: BMW R12 nineT 2024

     
     
  • KTM 1390 Super Duke R 2024 – penampilan baru, enjin dinaik taraf menjadi 1,350 cc, elektronik dipertingkat

    KTM 1390 Super Duke R 2024 – penampilan baru, enjin dinaik taraf menjadi 1,350 cc, elektronik dipertingkat

    Model naked paling berkuasa keluaran KTM diberikan peningkatan menyeluruh bagi model tahun 2024 dan sekarang dipanggil sebagai 1390 Super Duke R 2024. Semua ini dibuat bagi menjadikan model tersebut lebih digeruni, sambil juga meraikan ulang tahun ke 30 Duke.

    Sebagai permulaan, keseluruhan panel badan model ini diubah, termasuk lampu LED hadapan, spoiler tepi tangki, winglet serta penutup subframe belakang. Masih nampak agresif, profailnya sekarang nampak lebih rendah, manakala bentuk tangki bahan api juga telah berubah dan sekarang 1.5 liter lebih besar, menjadi 17.5 liter.

    KTM menukar nama Super Duke ini daripada 1290 kepada 1390 kerana enjin dua silinder V LC8 1,300 cc sebelum ini telah dibesarkan menjadi 1,350 cc dan dipasang dengan cam shift baru pada bahagian head dan throttle body 4 mm lebih besar (60 mm). Hasilnya, kuasa meningkat menjadi 190 hp pada 10,000 rpm dan tork 145 Nm pada 8,000 rpm (sebelum ini 177 hp/140 Nm).

    Suspensi boleh laras sepenuhnya, yang terdiri daripada fork WP Apex Open Cartridge 48 mm dan monoshock WP Apex pada 1390 Super Duke R turut dilaras semula dengan sasaran meningkatkan stabiliti kelajuan tinggi dan kelincahan pada kelajuan rendah, tetapi dalam masa sama tidak menjejaskan keselesaan.

    Versi yang lebih berprestasi, iaitu 1390 Super Duke R EVO pula dipasang dengan suspensi semi aktif WP Apex, dengan sistem pengurusannya dinaik taraf kepada versi terkini. Kadar serapan suspensi ini boleh dilaras secara automatik mengikut gaya tunggangan dan keadaan jalan, sementara penunggang juga boleh memilih lima mod iaitu Auto, Comfort, Rain, Street atau Sport. Mod Track dan Pro pula hanya tersedia apabila pemilik menaik taraf kepada pakej Suspension Pro.

    Satu lagi sistem elektronik baru yang menarik pada 1390 Super Duke R adalah Factory Start. Sistem ini bekerjasama dengan launch control, dan menurunkan bahagian belakang motosikal semasa masih statik sebelum memecut, seperti jentera yang digunakan dalam perlumbaan MotoGP.

    KTM 1390 Super Duke R 2024 – penampilan baru, enjin dinaik taraf menjadi 1,350 cc, elektronik dipertingkat

    Brek Super Duke R terdiri daripada set berkembar cakera 320 mm dan angkup Brembo Stylema empat piston di hadapan, serta cakera 240 mm tunggal bersama angkup dua piston di belakang. Menaikkan lagi prestasinya, model baru ini dinaik taraf dengan master cylinder Brembo MCS serta clutch cylinder Brembo yang mempunyai ventilasi.

    Untuk mod tunggangan, Super Duke R menyediakan lima mod iaitu Rain, Street, Sport, Performance dan Track (pilihan tambahan), manakala informasi penting motosikal dipaparkan pada skrin TFT warna penuh bersaiz lima inci. Melengkapkan naik taraf untuk model tahun 2024 ini adalah tayar Michelin Power GP yang bukan sahaja mempunyai cengkaman baik, tetapi juga 1.2 kg lebih ringan berbanding tayar sebelum ini.

    GALERI: KTM 1390 Super Duke R 2024

    GALERI: KTM 1390 Super Duke R EVO 2024

     
     
  • Penggunaan lampu hazard sewaktu memandu ketika hujan masih dilarang sama sekali – JSPT Bukit Aman

    Penggunaan lampu hazard sewaktu memandu ketika hujan masih dilarang sama sekali – JSPT Bukit Aman

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman mengulangi amaran yang sama mengenai penggunaan lampu kecemasan, amaran, atau lampu hazard (atau pun ramai yang lebih senang menyebutnya sebagai ‘double signal’) sewaktu memandu ketika hujan.

    Menurut Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, penggunaan lampu hazard tersebut dilihat cenderung mengakibatkan kemalangan jalan raya dan ia hanya dibenarkan untuk waktu kecemasan sahaja.

    “Di Malaysia, perkara ini masih samar-samar disebabkan tiada yang disebutkan dengan jelas dan spesifik tentang penggunaan lampu hazard. Namun, sekiranya pemandu dalam konteks kecemasan (akibat hujan lebat), mereka perlu menghentikan pemanduan jika darjah penglihatan terhad dan tidak berupaya mengawal kenderaan.

    “Lampu hazard ini adalah bertujuan untuk memberi amaran kepada pengguna jalan raya lain serta menarik perhatian kenderaan yang mengekori untuk mengambil tindakan segera dan selamat bagi mengelak pelanggaran,”ujarnya menerusi laporan Kosmo!

    Tambah beliau, selain penggunaan lampu hazard ketika hujan lebat, ia juga sering dilihat digunakan ketika konvoi mengiringi kenderaan jenazah, konvoi rombongan kahwin, konvoi kelab bermotor atau semasa kenderaan ditunda dan kenderaan kecemasan seperti ambulans.

    Penggunaan lampu hazard sewaktu memandu ketika hujan masih dilarang sama sekali – JSPT Bukit Aman

    “Penggunaan lampu hazard ketika kenderaan bergerak akan mengelirukan pengguna lain khususnya sewaktu hujan lebat. la sukar dibezakan sama ada kenderaan tersebut sedang berhenti atau bergerak. Seterusnya, ia sangat berbahaya jika kenderaan yang disangkakan sedang bergerak rupa-rupanya sedang rosak atau tersadai di tengah laluan.

    “Jika lampu hazard dipasang, bagaimana kita (pemandu) ingin memberitahu pengguna jalan raya yang lain arah mana kita ingin membelok?,”tambahnya.

    Cara yang paling tepat untuk memudahkan pemandu lain ‘perasan’ kehadiran kenderaan yang anda pandu ialah dengan menyalakan lampu utama kenderaan anda, ia akan cukup jelas kelihatan semasa hujan lebat. Dan sekiranya jarak penglihatan menurun kurang dari 100 m, pasang lampu kabus (fog lamp) hadapan, dan jika memang diperlukan, lampu kabus belakang juga boleh digunakan, khususnya bagi membantu pemandu kenderaan di belakang anda mengagak jarak antara kenderaan di hadapannya.

    Selain itu, anda juga dinasihati supaya memperlahankan kelajuan kenderaan. Dalam erti kata lain, jangan pandu laju sewaktu hujan lebat. Kelajuan melebihi 80 km/j boleh membuatkan tayar kenderaan tidak begitu mencengkam pada permukaan jalan, malah boleh membuatkan kenderaan yang dipandu hilang kawalan.

    Kami kongsikan semula TIP MEMANDU KETIKA HUJAN LEBAT yang pernah disiarkan beberapa tahun lalu. Moga ia dapat memberikan panduan kepada anda, selain perlu meningkatkan fokus pemanduan dan amalkanlah pemanduan berhemah.

     
     
  • Perkhidmatan bas GoKL bakal mengenakan caj tambang untuk penumpang warga asing – DBKL

    Perkhidmatan bas GoKL bakal mengenakan caj tambang untuk penumpang warga asing – DBKL

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan pihaknya akan mengenakan caj tambang buat penumpang warga asing yang menaiki bas GoKL.

    “Caj ini akan dilaksanakan secara berperingkat melibatkan empat laluan di sekitar pusat bandar iaitu laluan 01 (hijau), laluan 02 (ungu), laluan 03 (merah) dan laluan 04 (biru). Transaksi pembayaran adalah tanpa tunai iaitu melalui kad Touch ‘n Go, kod QR, kad kredit atau debit.

    “Manakala bagi warganegara Malaysia yang menggunakan MyKad yang mempunyai sistem Touch ‘n Go, dikehendaki membuat pendaftaran MyKad tersebut bagi menikmati perkhidmatan percuma. Perkhidmatan bas GoKL ini adalah percuma untuk semua kanak-kanak berusia 12 tahun dan kebawah,” kata DBKL menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Menurut DBKL lagi, kaunter pendaftaran bagi pemegang MyKad akan dibuka bermula pada 1 Disember ini di tiga lokasi iaitu hentian bas KLCC, hentian akhir Titiwangsa (Pekeliling) dan hentian akhir Pasar Seni, dari jam 7 pagi hingga 12 tengahari dan 2 petang hingga 7 malam. Manakala kaunter yang sama juga akan dibuka setiap hari Rabu mulai 6 Disember ini di Lobi Menara DBKL 1 dari jam 9 pagi hingga 12 tengahari dan 2 petang hingga 4 petang.

    Walau bagaimana pun, DBKL tidak memaklumkan caj tambang yang bakal dikenakan untuk penumpang warga asing.

     
     
  • Perodua sasar pegang 20 peratus bahagian pasaran EV dan hibrid di Malaysia menjelang tahun 2030

    Perodua sasar pegang 20 peratus bahagian pasaran EV dan hibrid di Malaysia menjelang tahun 2030

    Walaupun masih belum menjual sebarang model dengan teknologi elektrifikasi, Perodua sudah pun mensasarkan untuk memegang 20% bahagian pasaran kenderaan elektrik (EV) dan hibrid dalam pasaran kereta baharu Malaysia menjelang 2030.

    Menurut presiden dan CEO Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad dalam laporan Bernama, sasaran itu mungkin boleh dicapai “jika semua pemain industri boleh bekerjasama.”

    “Kami bekerjasama dengan kerajaan dan rakan kongsi yang lain. Kami juga telah dilantik dalam pelan perindustrian baharu untuk menerajui pembangunan EV di Malaysia.

    “Kita perlu menghasilkan produk baharu. Kita belum memuktamadkan masa pengeluarannya, tetapi sasaran yang diberikan oleh kerajaan — 20 peratus menjelang 2025 atau 2030 — akan menjadi kenyataan jika semua pihak memberi kerjasama,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum kerjasama (MoC) di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) selasa lalu.

    Perodua sasar pegang 20 peratus bahagian pasaran EV dan hibrid di Malaysia menjelang tahun 2030

    Menurutnya keseluruhan ekosistem EV ini akan melibatkan pelaburan yang besar dan berharap syarikat-syarikat lain akan dapat membantu mencapai sasaran kerajaan, salah satunya ialah untuk membina 10,000 stesen pengecasan di seluruh negara.

    Minggu lalu Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kerajaan sedang berusaha membina infrastruktur yang diperlukan sebagai sebahagian daripada sasarannya untuk menjadikan EV dan hibrid menyumbang 20 peratus daripada jualan kereta baharu menjelang 2030; 50 peratus menjelang 2040 dan 80 peratus menjelang 2050.

    Bagi Perodua, model hibrid pertamanya (tidak termasuk Ativa Hybrid yang sebenarnya adalah Rocky Hybrid yang diimport dari Jepun dan ditawarkan hanya dalam program langganan) mungkin bakal dilancarkan tahun hadapan.

    Perodua sasar pegang 20 peratus bahagian pasaran EV dan hibrid di Malaysia menjelang tahun 2030

    Teknologi berkenaan dijangka akan diperkenalkan menerusi SUV segmen-B yang kini hanya dikenali dengan kod projek D66B, dikhabarkan merupakan kembar kepada Toyota Yaris Cross yang kini sudah pun dilancarkan di Indonesia dan Thailand.

    Yaris Cross dibina berdasarkan platform Daihatsu New Global Architecure (DNGA) dengan saiz hampir sama seperti Honda HR-V dan Proton X50. Untuk pasaran Thailand ia hanya hadir dalam versi petrol hibrid yang mampu mencapai penggunaan bahan api serendah 26.3 km/l.

    Manakala untuk pasaran Indonesia, selain dari versi hibrid ia turut ditawarkan dalam versi petrol penuh dengan enjin 1.5L 2NR-VE DOHC Dual VVT-i 1.5 liter empat-silinder NA yang sama seperti pada Toyota Vios, Perodua Myvi dan Alza.

     
     
  • Chery Omoda E5 EV didedah di Malaysia – lancar suku pertama 2024, 204 PS, 430 KM, pencabar BYD Atto 3

    Chery Omoda E5 EV didedah di Malaysia – lancar suku pertama 2024, 204 PS, 430 KM, pencabar BYD Atto 3

    Selepas Chery Omoda 5 dilancarkan di Malaysia Julai lalu, tak lama lagi versi elektrik penuh (EV) untuk SUV segmen-B ini iaitu Chery Omoda E5 turut akan dilancarkan ke pasaran tempatan. Sebelum ia dijual secara rasmi, Chery Malaysia terlebih dahulu membuat sesi pra-tonton untuk media tempatan hari ini.

    Unit yang didedahkan ini sudah lengkap dalam versi pemanduan sebelah kanan, manakala spesifikasinya pula adalah sangat hampir dengan spesifikasi sebenar model pasaran Malaysia kelak. Namun ia masih dalam versi pra-produksi (perhatikan panel-panel plastik yang masih tidak mempunyai tekstur) dihasilkan hanya dua unit, di mana satu lagi telah dipinjamkan kepada Kementeri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI).

    Tidak seperti pasaran Indonesia yang menerima Omoda E5 ini dalam versi pemasangan tempatan, kita di Malaysia akan menerima unit yang diimport sepenuhnya (CBU) dari China. Ia dijangka akan dilancarkan di sini pada suku pertama 2024.

    Chery Omoda E5 EV didedah di Malaysia – lancar suku pertama 2024, 204 PS, 430 KM, pencabar BYD Atto 3

    Omoda E5 ini masih menggunakan platform yang sama dengan Omoda 5 petrol. Selain dari unit rangkaian kuasa yang sepenuhnya berbeza, Omoda E5 ini juga diberi beberapa perincian dan rekaan khusus yang lebih sesuai untuk sebuah EV.

    Perbezaan paling ketara pada bahagian luaran adalah pada bahagian mukanya. Model ini tidak diberikan gril utama ikonik seperti Omoda 5 kerana ia tidak memerlukan unit radiator, digantikan dengan hanya satu bar hitam berkilat yang bersambung dengan kemasan lampu nyalaan siang.

    Bahagian yang kini kelihatan lebih kemas dan ringkas berkenaan menempatkan soket plag untuk mengecas SUV EV ini, disorokkan dengan penutup pada bahagian tengah muka. Namun ia masih diberikan liang udara dengan penutup aktif pada bahagian bampar yang tertutup dalam keadaan biasa bagi meminimakan kesan seretan udara, dan dibuka secara automatik bagi menyejukkan motor elektrik ketika ia dipandu laju.

    Chery Omoda E5 EV didedah di Malaysia – lancar suku pertama 2024, 204 PS, 430 KM, pencabar BYD Atto 3

    Omoda E5 ini juga diberikan set rim aloi 18-inci dengan rekaan yang lebih tertutup dan aerodinamik, serta rekaan diffuser bawah bampar belakang yang lebih ringkas tanpa perumah untuk tip ekzos.

    Pada bahagian kabin pula rekaan yang jelas berbeza adalah pada bahagian konsol terowong, di mana model EV Omoda E5 ini tidak menampilkan tombol gear konvensional, membolehkan bahagian tersebut diberikan ruang storan lebih banyak dan nampak lebih ringkas.

    Manakala untuk memilih bergerak ke hadapan, mengundur atau parkir, pemandu disediakan dengan suis tangkai yang diletakkan pada konsol stereng ala-tuil gear Mercedes-Benz. Selain itu ia diberikan upholsteri kulit hitam serta skrin berkembar masing-masing bersaiz 12.3-inci untuk paparan instrumen digital dan skrin infotainmen, dikuasakan dengan Qualcomm 8155 system on chip (SoC).

    Dan satu perincian yang agak menarik, Omoda E5 ini tidak diberikan butang pemula seperti butang penghidup enjin pada model Omoda 5 – pemandu hanya perlu meletakkan kunci dalan poket, tekan pedal brek dan SUV ini sudah boleh dipandu. Selesai memandu, pemandu hanya perlu meletakkan gear pada posisi ‘P’ dan terus keluar dari kenderaan.

    Enjin dan kotak gear Omoda 5 diganti dengan motor elektrik tunggal berkuasa 201 hp dan tork maksima 340 Nm. Menurut Chery, motor berkenaan direka lebih kompak bagi memberikan ruang frunk yang lebih besar pada but hadapan, dan ia disejukkan oleh minyak.

    Motor berkenaan hanya memacu roda hadapan bagi membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.6 saat. Manakala untuk menggerakkan motor berkenaan Omoda E5 diberikan bateri lithium logam fosfat berkapasiti 61 kWj. Ini membolehkan SUV ini bergerak sejauh 430 km dalam kitaran ujian WLTP serta menggunakan kuasa 14.5 kWj untuk perjalanan 100 km.

    Bateri tersebut boleh dicas dengan sistem AC 9.9 kW atau pengecas pantas DC80 kW yang boleh memenuhkan kuasa dari 0-85% dalam masa 35 minit. Ia juga boleh berfungsi sebagai “powerbank bergerak” untuk membolehkan pelbagai peralatan elektrik beropersi menerusi sistem V2L 3.3 kW.

    Omoda E5 ini menampilkan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) yang sama dengan Omoda 5. Jadi ia dilengkapi dengan fungsi seperti brek kecemasan automatik dengan amaran pelanggaran hadapan, amaran dan pengelak keluar lorong, cruise control adaptif dan pelbagai lagi. Penambahan pada model EV ini hanyalah sistem pemantau pemandu yang tidak diberikan pada model petrol.

    Tiada sebarang petunjuk harga diberikan oleh pihak Chery Malaysia, namun kami menjangkakan ia mungkin diletakkan sebagai pencabar untuk BYD Atto 3 serta mungkin dijual dengan harga sedikit rendah. Untuk konteks, BYD Atto 3 dijual pada harga RM149,800 untuk varian asas Standard Range dengan bateri 49.92 kWj (345 km WLTP) dan RM167,800 untuk varian Extended Range dengan bateri 60.48 kWj (420 km WLTP).

    Chery Omoda E5 EV didedah di Malaysia – lancar suku pertama 2024, 204 PS, 430 KM, pencabar BYD Atto 3

    Dari segi saiz Omoda E5 ini adalah sedikit kecil dengan dimensi 4,400 mm panjang, 1,830 mm lebar, 1,590 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,630 mm, berbanding Atto 3 dengan dimensi 4,455 mm panjang, 1,875 mm lebar, 1,615 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,720 mm.

    Dari segi unit rangkaian kuasa pula, Omoda E5 ini menampilkan tork lebih besar (340 Nm vs 310 Nm) tetapi dengan kuasa 204 PS (201 hp atau 165 kW). Atto 3 ER mampu memecut dari pegun hingga 100 km dalam masa 0.3 lebih cepat, tetapi Omoda E5 boleh bergerak 10 km lebih jauh dengan kapasiti bateri sedikit lebih besar.

    Untuk mengecas pula, input AC untuk Omoda E5 adalah lebih besar pada 9.9 kW berbanding 7 kW pada Atto 3 ER. Manakala untuk DC pula kedua-duanya adalah sama dengan input maksima 80 kW. Jadi apa pendapat anda? Adakah anda rasa Omoda E5 ini boleh “bersepah” di atas jalan raya seperti BYD Atto 3 buat masa sekarang?

     
     
  • Harga minyak 30 Nov-6 Dis – Masih tiada perubahan

    Harga minyak 30 Nov-6 Dis – Masih tiada perubahan

    Kementerian Kewangan (MoF) memutuskan untuk terus mengekalkan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel bagi minggu bertarikh 30 November hingga 6 Disember 2023.

    Di mana harga petrol RON 97 dikekalkan pada RM3.47 seliter, setelah mengalami kenaikan sebanyak 10 sen seliter pada 20 September lalu.

    Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada 27 November lalu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, memaklumkan bahawa kerajaan bersedia untuk memperkenalkan mekanisme subsidi bersasar bagi petrol RON 95 pada separuh kedua 2024. Rafizi turut berkata, kerajaan mengambil masa untuk melaksanakan program subsidi bersasar bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar. “Adalah dijangkakan akan ada ketidakpuasan dan masalah sebaik ia dilaksanakan, tetapi kerajaan tidak akan membuat pusingan ‘U’ apabila ia dilaksanakan,” katanya.

     
     
  • Tesla Malaysia buka pusat servis pertama di Cyberjaya

    Tesla Malaysia buka pusat servis pertama di Cyberjaya

    Tesla Malaysia kini mula menyerahkan Tesla Model 3 Highland facelift di ibu pejabatnya di Cyberjaya hari ini. Dalam sesi pagi tadi juga syarikat itu mengumumkan pembukaan pusat servis pertamanya, yang terletak di banguna berasingan di lokasi yang sama, di Persiaran APEC.

    Pusat servis dengan keluasan 22,000 kaki persegi itu akan menyediakan pengalaman servis sehenti untuk pemilik Tesla, termasuk dengan sokongan diagnosis jarak jauh over-the-air (OTA) dan talian pelanggan 24/7. Pemilik boleh membuat tempahan temujanji melalui aplikasi Tesla.

    Dibuka setiap Isnin hingga Jumaat, dari 9 pagi hingga 6 petang, kemudahan ini mempunyai 10 ruang servis. Menurut syarikat itu lagi, setiap juruteknik boleh melakukan servis ke atas sebuah kereta setiap jam, menjadikan lapan kereta sehari untuk setiap juruteknik, dengan kapasiti servis maksimum sebanyak 80 kereta sehari.

    Tesla Malaysia buka pusat servis pertama di Cyberjaya

    Ketika ini, terdapat enam juruteknik bertugas di sana, dan jumlah itu akan ditambah lagi nanti. Pusat servis ini juga menempatkat empat Supercharger 250 kW V3 dan tiga Wall Connector AC, sebagai tambahan kepada 12 Supercharger dan 12 Wall Connector yang disediakan di bangunan utama, yang hanya untuk tujuan kegunaan dalaman syarikat sahaja.

    Untuk kenderaan Tesla yang diimport secara persendirian dan bukan melalui saluran rasmi, Tesla Malaysia memaklumkan unit berkenaan tidak boleh dibawa untuk servis di kemudahan berkenaan, memandangkan jaminan adalah tertakluk kepada di mana lokasi kereta berkenaan didaftarkan.

    Syarikat itu juga mengumumkan bahawa pihaknya akan melancarkan bengkel baik pulih badan kenderaan Tesla yang diiktiraf, tidak lama lagi, dan akan membuat pengumuman apabila kemudahan pertama tersebut yang akan terletak di kawasan Sungai Besi, sedia untuk beroperasi.

     
     
  • B40 belanja RM243 sebulan untuk RON95, T20 RM399 – subsidi blanket tidak pergi kepada kumpulan sasaran

    B40 belanja RM243 sebulan untuk RON95, T20 RM399 – subsidi blanket tidak pergi kepada kumpulan sasaran

    Anda ada kira perbelanjaan petrol bulanan anda? Menurut timbalan perdana menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kumpulan B40 membelanjakan secara puratanya RM243 sebulan untuk RON95 manakala T20 pula RM399 sebulan.

    Zahid memetik satu kajian berkenaan impak program subsidi petrol, dan ucapan beliau dibaca oleh pemangku menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali semasa pelancaran acara Symposium on Cost of Living semalam, seperti yang dilaporkan oleh NST.

    Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berkata, meskipun subsidi bahan api telah membantu menstabilkan harga, memastikan bekalan yang berterusan serta memudahkan perbelanjaan rakyat, sebahagian daripadanya telah dinikmati oleh kumpulan berpendapatan tinggi dan bukan warga negara. Disebabkan itu, kerajaan tidak mempunyai sebab untuk meneruskan cara sekarang ini, iaitu subsidi menyeluruh (atau blanket).

    B40 belanja RM243 sebulan untuk RON95, T20 RM399 – subsidi blanket tidak pergi kepada kumpulan sasaran

    “Hasil kajian ini menunjukkan cara subsidi menyeluruh ini tidak menjangkau kumpulan sasaran yang sepatutnya secara cekap,” kata beliau sambil menambah subsidi diesel turut disalah guna.

    “Ia telah disalah guna oleh kumpulan tertentu, yang mengambil kesempatan terhadap subsidi diesel, membawa kepada penyelewengan dan penyeludupan ke pasaran gelap. Disebabkan itu, kerajaan tidak patut meneruskan cara sekarang dan ia tidak adil bagi kumpulan sasaran yang betul-betul memerlukan bantuan,” tambah beliau sambil menambah bahawa tahun lepas subsidi berjumlah RM91.9 bilion.

    “Untuk tahun ini, peruntukan untuk subsidi adalah RM64 bilion, tetapi kerajaan menjangkakan jumlah ini akan mencecah RM80.9 bilion mengikut perbelanjaan sekarang. Senario sekarang tidak optimal secara fiskal, oleh sebab itu kerajaan yang bertanggungjawab perlu mengambil tindakan untuk memperbaiki cara penyampaian bantuan bersasar untuk rakyat,” kata beliau.

     
     
  • Tesla Model 3 Highland facelift – unit terawal RWD dan Long Range diserah kepada pelanggan di Malaysia,

    Tesla Model 3 Highland facelift – unit terawal RWD dan Long Range diserah kepada pelanggan di Malaysia,

    Hari ini penyerahan Tesla Model 3 Highland facelift di Malaysia telah bermula, dan pelanggan mula menerima kenderaan baru mereka ibu pejabat Tesla Malaysia di Cyberjaya, dengan lebih lagi penyerahan akan dibuat sepanjang hari ini.

    Setakat ini 20 pelanggan telah mengambil EV baru mereka pagi tadi, dan penyerahan seterusnya akan dibuat pada waktu petang dengan keseluruhannya 100 pelanggan dijangka menerima kenderaan mereka hari ini.

    Selain daripada itu, Tesla Malaysia juga telah melancarkan Premium Connectivity untuk pasaran kita melalui aplikasi mudah alih Tesla, untuk ciri yang menggunakan data termasuk stream muzik dan media, gambaran trafik langsung serta pelbagai lagi, pada harga RM35.99 sebulan. Untuk 30 hari pertama selepas menerima kenderaan, ia ditawarkan secara percuma.

    Servis Premium Connectivity dihubungkan kepada aplikasi Tesla, dan bagi model Tesla yang dibeli melalui saluran tidak rasmi sebelum ini, ia akan dijual dengan harga mengikut pasaran di mana kenderaan tersebut pertama kali didaftarkan. Sebagai contoh, jika kereta tersebut datang daripada United Kingdom, ciri itu akan dijual dalam mata wang pound sterling.

    Menurut Tesla Malaysia, pelanggan yang membeli kenderaan melalui Tesla Malaysia juga akan dijemput untuk menyertai Tesla Owners Club Malaysia, yang memberikan pelbagai keistimewaan kepada ahli, sebagai tambahan kepada peluang untuk berhubung dengan komuniti pemilik Tesla lain.

    Pemilik Model 3 di Malaysia pada masa ini mempunyai akses kepada empat lokasi Supercharger dan enam lokasi pengecas destinasi. Menurut Tesla Malaysia, kumpulan pengecas baru yang seterusnya akan diberitahu atas talian dalam masa beberapa bulan akan datang, meliputi beberapa negeri.

    Tesla Model 3 Highland facelift boleh menerima cas sehingga 250 kW DC bagi versi Long Range AWD, dan menyediakan jarak gerak sehingga 513 km mengikut kitaran WLTP, manakala versi asas RWD boleh menerima sehingga 170 kW DC dan memberi jarak gerak sehingga 629 km (WLTP).

     
     
  • Proton S70 – 1,200 unit telah ditempah ketika dilancarkan, sasaran 5,000 unit pada akhir tahun

    Proton S70 – 1,200 unit telah ditempah ketika dilancarkan, sasaran 5,000 unit pada akhir tahun

    Ketika pelancaran sedan segmen-C S70 semalam, Proton mendedahkan ia telah menerima 1,200 tempahan dari pelanggan untuk membeli model berkenaan setakat ini, dan angka tersebut dijangka bakal meningkat selepas harga rasminya diumumkan.

    Proton S70 ditawarkan dalam empat varian bermula dengan varian asas 1.5T Executive dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM73,800, diikuti 1.5T Premium berharga RM79,800, Flagship berharga RM89,800, dan varian paling tinggi Flagship X dijual pada harga RM94,800.

    Proton mensasarkan tempahan akan meningkat sehingga 5,000 unit menjelang akhir tahun ini dengan jangkaan 40% daripadanya dari varian Premium, 40% varian Flagship dan 40% varian Flagship X. Proton turut menjangkakan ramai pelanggan yang telah menempah varian lebih rendah sebelum ini akan bertukar ke Flagship X kerana harga yang diumum adalah lebih rendah dari jangkaan serta ditawarkan dengan kit badan percuma.

    Proton S70 merupakan sedan yang diasaskan dari platform B-segment Modular Achitecture (BMA) yang sama seperti SUV Proton X50. Walaupun dari bahagian luaran ia nampak sama seperti Geely Emgrand untuk pasaran China, Filipina dan beberapa negara Timur Tengah, S70 sebenarnya dibangunkan semula oleh Proton dengan pelbagai perubahan drastik.

    Antaranya enjin 1.5L NA dan kotak gear CVT yang digantikan dengan enjin 1.5L tiga-silinder turbo yang lebih berkuasa dan transmisi klac berkembar automatik tujuh-kelajuan yang lebih responsif, ruang kabin yang lebih sesuai untuk pasaran Malaysia, talaan suspensi “Proton Ride Handling”, kelengkapan keselamatan lebih canggih dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dan pelbagai lagi.

    Untuk perincian lebih lengkap anda bolah baca laporan pelancaran Proton S70 ini pada PAUTAN INI. Kami turut sudah menguji sedan ini di litar ujian Proton tiga minggu sebelum pelancarannya, di mana ulasannya boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    Proton S70 2024 Executive

    Proton S70 2024 Premium

    Proton S70 2024 Flagship X

     
     
  • JPJ eBid: QD dan QBG bakal dibuka untuk bidaan

    Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri, kedua-duanya dari Sarawak, yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor QD, bakal dibuka bidaan 2 Disember 2023. Diberikan tempoh bidaan selama empat hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 6 Disember ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 7 Disember 2023. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran QBG, bidaannya pula bakal dibuka mulai 3 Disember ini dan akan berakhir jam 10 malam pada 7 Disember 2023. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 8 Disember 2023.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Proton jangka sedan S70 akan terjual melebihi X50

    Proton jangka sedan S70 akan terjual melebihi X50

    Proton menjangkakan sedan S70 yang baru dilancarkan semalam akan terjual melebihi SUV X50. Perkara ini dikongsikan oleh Timbalan Presiden Jualan, Edmund Lim dalam sidang media di selepas pelancarannya semalam. Ini sesuatu yang mencabar, memandangkan SUV lebih popular dalam pasaran tempatan ketika ini.

    Beliau menjelaskan yang jualan SUV segmen B itu ketika ini sekitar 2,000 unit sebulan, sementara sasaran untuk S70 — yang berkongsi platform BMA dan enjin 1.5L MPI Turbo dengan X50 — adalah antara 2,000 hingga 3,000 unit sebulan. Jika berhasil, S70 akan mengatasi X50 untuk menjadi model paling laris Proton selepas Saga.

    Dengan Honda City yang ketika ini purata jualannya sebulan sekitar 2,400 unit untuk sedan segmen B, agak mencabar untuk S70 mengambil alih tampuk pendahulu tersebut. Namun, dengan penawaran harga antara RM73,800-RM94,800, ia mungkin menjadi faktor pilihan bagi lebih ramai pelanggan, sekaligus melonjakkan lagi angka jualannya untuk mengatasi City dan Vios.

    Proton jangka sedan S70 akan terjual melebihi X50

    Namun, jika dilihat dari sudut jualan segmen C, S70 sudah pasti mampu berada teratas. Dengan jualan 2,000 sebulan, S70 bahkan akan mengatasi jualan Civic berkali ganda, kerana harganya yang bersaing sama kelas dengan City. Hal ini sama saja dan pernah kita lihat dilakukan terhadap X70 — saiz bersaing dengan CR-V, tetapi harga sekolompok dengan HR-V.

    Proton S70 ditawarkan dalam empat varian — Executive, Premium, Flagship dan Flagship X. Varian paling asasnya tampil cukup meyakinkan, dengan harga yang memberi nilai terbaik kepadanya dengan angka RM73,800. Premium pula dijual pada harga RM79,800, manakala Flagship pada harga RM89,800. Flaghsip X hanya melibatkan pertambahan sedikit dengan RM94,800.

    Ikuti juga laporan pandu uji ringkas serta pelancaran Proton S70.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025