Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Harga BMW di Malaysia naik 1% ke 2% bermula Januari 2024, pakej servis MINI naik 0.3% ke 0.5%

    Harga BMW di Malaysia naik 1% ke 2% bermula Januari 2024, pakej servis MINI naik 0.3% ke 0.5%

    Sekiranya bercadang untuk membeli kereta BMW atau MINI, anda masih ada masa dalam satu bulan sebelum ia menjadi sedikit mahal. Ini kerana BMW Group Malaysia telah mengumumkan bahawa mereka merujuk kembali harga model daripada dua jenama ini bermula 1 Januari 2024.

    Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, syarikat itu memberitahu, “atas sebab kadar inflasi global dan peningkatan kos pengeluaran, kemas kini harga sekitar 2.3% (termasuk BSRI) dan 0.3% (termasuk MSRI) akan dilaksanakan untuk barisan kenderaan BMW dan MINI di Malaysia, bermula 1 Januari 2024.”

    Syarikat itu menyatakan bahawa demi mengekalkan jaminan serta program penyelenggaraan terbaik di dalam kelasnya, harga pakej BMW dan MINI Service and Repair Inclusive (BSRI/MSRI) akan berhadapan dengan peningkatan ini bermula dari tarikh yang dinyatakan, sekaligus menyumbang kepada peningkatan harga keseluruhan kereta.

    Harga BMW di Malaysia naik 1% ke 2% bermula Januari 2024, pakej servis MINI naik 0.3% ke 0.5%

    BMW Group Malaysia turut menambah bahawa dalam bagi model BMW, pembeli boleh menjangkakan kenaikan harga keseluruhan antara 1% ke 2% tidak termasuk BSRI di Malaysia. Sehingga kini, harga akhir masih belum didedahkan, tetapi kami akan menyiarkannya sebaik ia diumumkan.

    Untuk MINI pula, barisan model yang ditawarkan di Malaysia tidak akan menerima sebarang perubahan harga, tetapi peningkatan untuk kadar MSRI 2024 akan dikenakan untuk semua model MINI, dengan peningkatan yang dijangka antara 0.3% ke 0.5%.

    Terma Service and Repair Inclusive yang digunakan oleh syarikat itu merujuk kepada program servis (minyak hitam, penapis, pad brek dll) serta baik pulih. Ia sekarang secara rasminya dikenali sebagai pakej jaminan dan servis BMW, yang memberikan jaminan tanpa had batuan lima tahun dan servis lima tahun atau 100,000 km apabila dipanjangkan.

     
     
  • M’sia bakal perkenalkan mekanisme subsidi bersasar untuk petrol RON95 pada separuh kedua 2024 – Rafizi

    M’sia bakal perkenalkan mekanisme subsidi bersasar untuk petrol RON95 pada separuh kedua 2024 – Rafizi

    Kerajaan bersedia untuk memperkenalkan mekanisme subsidi bersasar bagi petrol RON 95 pada separuh kedua 2024. Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, jangka masa itu akan membolehkan pihak berkuasa memastikan subsidi disampaikan dengan cara yang disasarkan kepada “mereka yang paling memerlukannya,” laporan FMT.

    “Mengetepikan isu mengenai pertindihan membolehkan kerajaan mengambil langkah yang tegas daripada pentadbiran terdahulu,” katanya dalam ucaptama pada Persidangan Prospek Ekonomi Negara (NEOC) di Tun Razak Exchange (TRX) hari ini.

    Tambahnya, memperkenalkan subsidi juga akan membolehkan Putrajaya mengoptimumkan sumbernya. Selain itu, kerajaan perlu mencari cara baharu untuk menguruskan sumbernya dengan lebih baik di samping mengurangkan ketirisan dan pembaziran, dan subsidi petrol RON 95 yang disasarkan adalah selaras dengan usaha ini.

    M’sia bakal perkenalkan mekanisme subsidi bersasar untuk petrol RON95 pada separuh kedua 2024 – Rafizi

    Katanya lagi, sebuah negara apabila T20 menerima 53% daripada subsidi bahan api yang menyeluruh bukan satu model yang mampan dan juga bukan sebuah model yang saksama. “Satu perkara yang tidak dapat dielakkan ialah menangani ketidakcukupan hasil kita dengan meningkatkan kutipan cukai. Membelanjakan lebih banyak wang daripada yang kita miliki tidak pernah kondusif kepada keadaan yang dinamik dan mampan,” tambahnya.

    Rafizi turut berkata, kerajaan mengambil masa untuk melaksanakan program subsidi bersasar bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar. “Adalah dijangkakan akan ada ketidakpuasan dan masalah sebaik ia dilaksanakan, tetapi kerajaan tidak akan membuat pusingan ‘U’ apabila ia dilaksanakan,” katanya.

    Jelasnya, mulai tahun depan akan memperlihatkan usaha kerajaan kepada pelaksanaan dasar dan dengan penubuhan Pangkalan Data Utama (PADU) pada Januari 2024 memberikan akses kepada data granular yang diperlukan untuk melaksanakan program bersasar seperti rasionalisasi subsidi atau reformasi kebajikan sosial.

    Sudah tentu petrol bukan satu-satunya bahan api yang akan mempunyai mekanisme subsidi yang disasarkan. Malah ia juga akan melibatkan diesel secara berperingkat, seperti mana yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2024. Menurut PM, harga diesel bersubsidi akan terus dinikmati oleh pengguna terpilih seperti syarikat pengangkutan barang dan logistik, manakala pengguna lain akan dikenakan harga yang lebih tinggi.

     
     
  • Bas percuma Pavilion Bukit Jalil kini tambah destinasi ke Astro dan Technology Park Malaysia – Rapid KL

    Perkhidmatan bas percuma ke Pavilion Bukit Jalil (PBJ) yang dikendalikan oleh Rapid KL kini telah menambah destinasi iaitu ke Astro dan Technology Park Malaysia (TPM). Bas berkenaan beroperasi dari jam 11.30 pagi hingga 8.45 malam pada Isnin hingga Jumaat.

    Menurut Rapid KL, perkhidmatan bas percuma ini menyasarkan penumpang yang bekerja di lokasi berkenaan. Selain itu, bas berkenaan juga turut singgah di stesen LRT Awan Besar. Jadi, anda yang berada di PBJ atau mahu ke pusat membeli-belah terbabit, juga boleh menaiki bas percuma ini untuk ke/dari stesen LRT Awan Besar.

    Walau bagaimana pun, waktu operasi yang melibatkan perjalanan ke/dari stesen LRT Awan Besar ke/dari PBJ ialah dari jam 8 pagi hingga 11 malam pada hari biasa, dan 8 pagi hingga 10.50 malam pada hujung minggu. Kekerapan bas adalah setiap 20 minit tetapi bergantung pada keadaan trafik di kawasan sekitar.

     
     
  • Razlan Razali keluar dari pengurusan RNF MotoGP – didesak sebab prestasi dan keputusan kewangan teruk

    Razlan Razali keluar dari pengurusan RNF MotoGP – didesak sebab prestasi dan keputusan kewangan teruk

    Selepas banyak khabar angin yang tersebar, pasukan MotoGP CryptoDATA RNF akhirnya mengesahkan bahawa Razlan Razali telah mengambil keputusan meninggalkan bahagian pengurusan pasukan. Dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan, keputusan Razlan dikatakan “telah dibuat sejak satu bulan yang lalu atas tekanan yang diberikan oleh pemegang saham berikutan prestasi dan keputusan kewangan yang teruk.”

    Pasukan RNF bagaimanapun masih lagi dimiliki 60% oleh CDT Sports and Media SRL, dan 40% oleh Razlan Razali. Berita berkenaan penarikan diri Razlan ini bagaimanapun terletak di perenggan akhir siaran akhbar tersebut, sementara di atasnya terdapat pelbagai penjelasan berkaitan beberapa perkara lain pasukan itu.

    Antaranya adalah pasukan mempunyai kontrak penyertaan MotoGP sehingga tahun 2026 dan tiada sebarang notis pelanggaran atau pembatalan kontrak dibuat. Kemudiannya bagi hubungan dengan Aprilia, RNF menyatakan mereka tiada sebarang hutang dan segala bayaran yang tertangguh sudah diselesaikan sejak awal tahun ini.

    “Spekulasi berkenaan kualiti alat ganti untuk motosikal yang dibekalkan oleh Aprilia mempunyai kaitan dengan hutang ini adalah tidak betul,” kata RNF dalam siaran akhbarnya yang turut menyatakan segala aktiviti dibuat mengikut rancangan serta aturan kontrak dengan pembekal.

     
     
  • Proton S70 – spesifikasi lengkap setiap varian tertiris sebelum pelancaran rasmi esok, 28 Nov 2023

    Proton S70 – spesifikasi lengkap setiap varian tertiris sebelum pelancaran rasmi esok, 28 Nov 2023

    Sebelum ini ada slaid pembentangan yang menunjukkan perbezaan spesifikasi setiap varian Proton S70 yang bakal dilancarkan petang esok, 28 November 2023. Menerusi perkongsian spesifikasi lengkap yang nampak seperti dari brosur rasmi oleh pengguna laman sosial bernama Zheng Feng Yap di paultan.org Facebook Group, perincian sepenuhnya sedan segmen-C baharu Proton ini telah pun terdedah sepenuhnya.

    Untuk anda yang mahukan Proton S70 dengan harga paling murah, varian paling rendah 1.5T Executive datang dengan rim aloi 16-inci dengan tayar 205/55R16 serta perincian asas seperti lampu hadapan halogen tanpa sistem menyala sendiri, cermin sisi tanpa auto-lipat, serta tiada sistem kunci auto dan bar lampu pada penutup but belakang.

    Pada bahagian dalaman pula, model paling asas ini juga cuma diberikan panel meter analog, roda stereng urathene tanpa sebarang balutan, tempat duduk pemandu larasan manual, tiada perehat tangan tengah, pendingin hawa manual, upholsteri fabrik serta tiada pilihan mod Normal, Sport dan Comfort untuk stereng.

    Untuk sistem infotaimen pula, varian 1.5T ini masih menerima skrin sesentuh bersaiz lapan inci dengan hubungan telefon pintar dan Bluetooth serta empat pembesar suara, tetapi tidak diberikan kamera undur dan penderia parkir hadapan.

    Klik untuk besarkan

    Walau bagaimanapun, versi paling murah ini masih menerima penghidup enjin jarak jauh, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, tiga mod pemanduan (Eco, Sport, Comfort), liang penghembus udara kabin belakang, cruise control,lampu nyalaan siang LED dan fungsi auto pada semua cermin tingkat tetapi tanpa sistem anti-trap.

    Manakala untuk fungsi keselamatan pula, Proton S70 paling mampu milik ini masih diberikan tiga penderia undur di belakang, enam-beg udara, sistem brek dengan ABS, EBD dan BA, kawalan kestabilan elektronik dan kawalan traction, brek parkir elektrik dengan fungsi auto-hold, bantuan mula mendaki serta fungsi-fungsi kelematan aktif seperti amaran pelanggaran belakang, bantuan tukar lorong, amaran lintasan trafik belakang dan amaran buka pintu.

    Beralih kepada varian 1.5T Premium, ia mula menerima lampu hadapan LED automatik, bar lampu merentangi but belakang, cermin sisi auto-lipat, roda stereng dan tempat duduk balutan leatherette, sistem penghawa dingin automatik, cermin tingkap dengan fungsi anti-trap, kamera undur dan tambahan dua penderia parkir hadapan. Perincian lain masih lagi sama seperti 1.5T Executive.

    Varian 1.5 Flagship pula adalah varian hampir lengkap dengan semua perincian paling mahal ditawarkan. Menerusi varian ini ia ditingkat taraf dengan rim aloi 17-inci dengan tayar 205/50R17 serta sistem kunci but automatik sekiranya kunci dekat dengan kereta.

    Klik untuk besarkan

    Masuk ke kabin, ia diberikan pengecas telefon pintar tanpa wayar, manakala pemandu menerima mod pilihan talaan stereng, paparan instrumen digital penuh dengan skrin 10.3-inci dan tempat duduk pemandu larasan kuasa.

    Bagi sistem infotaimen, model Flagship ini menerima enam pembesar suara serta skrin sesentuh lebih besar bersaiz 12.3-inci. Skrin tersebut memberikan fungsi seperti arahan suara “Hi, Proton”, navigasi, ramalan cuaca dan streaming muzik atas talian menerusi sistem 4G dan wi-fi bina dalam.

    Aplikasi telefon pintar Proton Link juga boleh dihubungkan pada S70 yang memberikan fungsi seperti pemantau status kenderaan serta kawalan jauh pelbagai sistem pada kereta. Ia juga datang dengan sistem pemantau angin tayar dan juga kamera pemantau 360 darjah dengan paparan 3D.

    Sistem bantuan pemanduan penuh diberikan pada varian ini merangkumi fungsi seperti brek kecemasan automatik, amaran pelanggaran hadapan, cruise control adapatif pintar dengan fungsi stop & go serta kawalan stereng, kawalan kekal di tengah lorong dengan amaran keluar jalan, pengenal tanda trafik jalan serta lampu tinggi pintar.

    Tidak banyak perbezaan diberikan pada varian 1.5T Flagship ini dengan varian tertinggi 1.5T Flagship X. Bagi anda yang membeli S70 paling mahal ini, ia hanya menerima tambahan perincian seperti bumbung suria, dan perakam video digital (dashcam). Proton juga menawarkan warna badan eksklusif Quartz Black hanya pada varian Flagship X ini.

    Dengan pelbagai perincian tambahan yang diberikan untuk varian lebih tinggi menjadikan S70 1.5T Executive merupakan varian paling ringan dengan berat keseluruhan ditimbang pada 1,300 kg. Manakala varian paling mahal 1.5T Flagship X pula adalah 19 kg lebih berat dengan 1,319 kg.

    Proton S70 – spesifikasi lengkap setiap varian tertiris sebelum pelancaran rasmi esok, 28 Nov 2023

    Masih tiada sebarang petunjuk rasmi dari Proton berkenaan harga jualan bagi keempat-empat varian Proton S70 ini, dan ia hanya akan diketahui ketika pelancarannya esok. Namun ada penganalisis menjangkakan varian asas S70 1.5T Executive mungkin akan dijual lebih murah dari Honda City dan Toyota Vios iaitu di bawah RM85,000.

    Proton S70 merupakan sedan yang diasaskan dari platform B-segment Modular Achitecture (BMA) yang sama seperti SUV Proton X50. Walaupun dari bahagian luaran ia nampak sama seperti Geely Emgrand untuk pasaran China, Filipina dan beberapa negara Timur Tengah, S70 sebenarnya dibangunkan semula oleh Proton dengan pelbagai perubahan drastik.

    Antaranya enjin 1.5L NA dan kotak gear CVT yang digantikan dengan enjin 1.5L tiga-silinder turbo yang lebih berkuasa dan transmisi klac berkembar automatik tujuh-kelajuan yang lebih responsif, ruang kabin yang lebih sesuai untuk pasaran Malaysia, talaan suspensi “Proton Ride Handling”, kelengkapan keselamatan lebih canggih dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dan pelbagai lagi. Kami turut sudah menguji sedan ini di litar ujian Proton dua minggu lalu di mana ulasannya boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    GALERI: Proton S70 Flagship dan Flagship X 2023

     
     
  • JPJ keluarkan 23,748 saman memandu tanpa lesen, 17,447 cukai jalan tamat tempoh dalam operasi 14 hari

    JPJ keluarkan 23,748 saman memandu tanpa lesen, 17,447 cukai jalan tamat tempoh dalam operasi 14 hari

    Satu lagi operasi besar-besaran yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah membawa kepada penemuan banyak kesalahan trafik, dengan yang paling tinggi adalah memandu tanpa lesen.

    Menurut pengarah kanan bahagian penguatkuasaan JPJ, Datuk Lokman Jamaan, 23,748 sama dikeluarkan untuk kesalahan tersebut semasa Ops Patuh Bersepadu 2023 yang diadakan di seluruh negara selama 14 hari, berakhir Jumaat lalu. Sepanjang dua minggu operasi, JPJ telah memeriksa 554,372 buah kenderaan.

    Cukai jalan tamat tempoh adalah kesalahan kedua tertinggi, dengan 17,447 saman dikeluarkan, lapor The Star. Lokman turut menambah bahawa 13,857 saman dikeluarkan untuk kesalahan kenderaan tidak mempunyai perlindungan insurans.

    Pelbagai notis lain turut dikeluarkan termasuk kesalahan teknikal (12,191), tiada lesen vokasional (4,902) dan kenderaan melebihi muatan (2,329). Menyatakan kebanyakan pesalah adalah berumur antara 15 ke 35 tahun, Lokman turut menambah bahawa jabatan juga mengambil tindakan terhadap 4,797 warga asing atas pelbagai kesalahan trafik.

     
     
  • Kajian pembinaan LRT di JB dilaksanakan, kertas cadangan bakal diserahkan kepada k’jaan persekutuan

    Kajian pembinaan LRT di JB dilaksanakan, kertas cadangan bakal diserahkan kepada k’jaan persekutuan

    Kerajaan Johor menerusi beberapa agensi termasuk Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) sedang melaksanakan kajian pelaksanaan pembinaan transit aliran ringan (LRT) di bandar raya Johor Bahru (JB) dan kertas cadangan mengenai projek ini bakal diserahkan kepada kerajaan persekutuan dalam tempoh waktu terdekat ini.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, kerajaan Johor risau dengan kesesakan di bandaraya JB yang semakin kritikal apatah lagi apabila Projek Sistem Transit Rapid (RTS) antara JB-Singapura dijadualkan mula beroperasi pada 2027, dijangka akan menyebabkan trafik di pusat bandaraya semakin sesak, laporan Berita Harian.

    “LRT adalah kaedah pengangkutan sesuai sebagai langkah penyuraian trafik selain mengkoordinasi sistem pengangkutan di pusat bandaraya JB apabila RTS dan Projek Landasan Berkembar Sistem Tren Elektrik Gemas-Johor Bahru beroperasi masing-masing pada 2027 dan 2025.

    “Mengikut kajian awal yang dibuat, Johor Bahru memerlukan tiga jajaran LRT membabitkan laluan Skudai, Tebrau dan Iskandar Puteri membabitkan laluan sejauh kira-kira 30 kilometer. Sebenarnya kajian sudah pun siap dan saya akan meneliti cadangan terbaik dan paling sesuai yang dihasilkan agensi negeri sebelum kita serahkan kepada Kerajaan Persekutuan sebagai penilaian,” katanya yang akan mempengerusikan Mesyuarat Khas LRT Johor itu pada Khamis ini.

    Kajian pembinaan LRT di JB dilaksanakan, kertas cadangan bakal diserahkan kepada k’jaan persekutuan

    Mohamad Fazli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Pasir turut berkata, cadangan pelaksanaan LRT di Johor Bahru sudah beberapa kali diutarakan Kerajaan Johor malah pernah mendapat makluman daripada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

    Minggu lalu, dalam pembentangan Belanjawan Johor 2024, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan mahu Kerajaan Pusat menyegerakan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dan transit aliran ringan (LRT) di bandaraya JB berikutan kesesakan kritikal di pusat bandaraya berkenaan.

    “LRT JB adalah antara sistem paling berkesan bagi mengatasi kesesakan kritikal di bandar raya ini dengan kerajaan negeri menerima banyak pandangan dan cadangan pakar pengangkutan supaya mewujudkan sistem perkhidmatan itu, apatah lagi ia memang sesuai dibangunkan di kawasan bandar.

    “Jadi kita mengharapkan kertas cadangan yang akan diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan berkenaan LRT Johor Bahru itu akan menjadi katalis kepada pembinaan pengangkutan berkenaan di pusat bandaraya,” kata Onn.

     
     
  • Jalan Balik Pulau-Teluk Bahang kembali dibuka – kerja baikpulih cerun runtuh siap awal dari dijadualkan

    Jalan Balik Pulau-Teluk Bahang kembali dibuka – kerja baikpulih cerun runtuh siap awal dari dijadualkan

    Selepas empat bulan kejadian tanah runtuh di Laluan FT006 Jalan Balik Pulau–Teluk Bahang Pulau Pinang pada Julai lalu, laluan berkenaan telah pun dibuka kembali kepada semua jenis kenderaan.

    Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, “Kerja pembinaan di tapak Seksyen 46.8 dan Seksyen 45.40 telah siap sepenuhnya. Apa yang lebih membanggakan adalah kerja pembaikan ini siap sepenuhnya pada 6 November 2023, iaitu 51 hari lebih awal daripada jangkaan tarikh siap asal iaitu pada 26 Disember 2023.”

    Jelas beliau, kerja-kerja pembaikan cerun ini menggunakan Kaedah Tie Back Wall manakala kerja-kerja pembinaan sistem saliran menggunakan jenis Cascade and Toe Drain.

    “Kementerian Kerja Raya telah meluluskan kerja pembaikan di Seksyen 46.8 ini yang menelan belanja sebanyak RM1.073juta, manakala Seksyen 45.40 sebanyak RM 726 ribu,” katanya lagi.

    Tambahnya, selari dengan semangat kempen MYJalan yang dilaksanakan, Kementerian sentiasa berusaha memastikan kerja-kerja pembaikan dan penyenggaraan jalan raya yang mengalami kerosakan dilaksanakan dengan terancang demi memastikan pembangunan infra berada dalam keadaan selamat dan selesa untuk digunakan.

     
     
  • Calon Anugerah Kereta Tahunan Eropah 2024 – 4 BYD, 3 Honda, 2 Toyota, 2 BMW, 2 Mercedes, 2 Hyundai

    Calon Anugerah Kereta Tahunan Eropah 2024 – 4 BYD, 3 Honda, 2 Toyota, 2 BMW, 2 Mercedes, 2 Hyundai

    Calon-calon bagi Anugerah Kereta Tahunan Eropah 2024 sudah pun diumumkan, dengan jumlah 28 kereta tersenarai untuk bersaing merebut anugerah kereta terbaik di benua berkenaan buat masa sekarang.

    Model-model yang dipilih masuk ke dalam senarai calon ini adalah model-model baharu yang sedang dijual sekarang atau sebelum akhir tahun ini di lima negara atau lebih dalam pasaran Eropah.

    Seperti tahun-tahun sebelum ini, pemenang akan dipilih menerusi dua peringkat undian di mana undian peringkat pertama akan dibuat untuk memilih tujuh calon akhir, dan keputusannya akan diumum pada 27 November ini.

    Undian peringkat kedua pula akan memilih pemenang Trofi Anugerah Kereta Tahunan yang akan diumumkan pada 26 Februari 2024 ketika belangsungnya Geneva Motorshow.

    Juri-juri aktif untuk anugerah ini terdiri dari 59 ahli juri dari 22 negara, namun organisasi berkenaan mengesahkan dua juri dari Rusia masih lagi digantung.

    Senarai penuh calon Anugerah Kereta Tahunan Eropah adalah seperti berikut:

  • BMW 5 Series
  • BMW XM
  • BYD Atto 3
  • BYD Dolphin
  • BYD Han
  • BYD Seal
  • Fiat 600e
  • Ford Bronco
  • Honda CR-V
  • Honda e:NY1
  • Honda ZR-V
  • Hyundai Ioniq 6
  • Hyundai Kona
  • Jeep Grand Cherokee
  • Kia EV9
  • Lexus RZ
  • Lucid Air
  • Mercedes-Benz E-Class
  • Mercedes-Benz EQE SUV
  • Nio ET7
  • Peugeot 3008
  • Renault Espace
  • Renault Scenic
  • smart #1
  • Toyota C-HR
  • Toyota Prius
  • Volkswagen ID.7
  • Volvo EX30
  •  
     
  • MG MG4 di Malaysia – hatchback EV bakal dilancar?

    MG MG4 di Malaysia – hatchback EV bakal dilancar?

    Pasaran kenderaan elektrik di Malaysia nampaknya akan menerima saingan baru apabila MG4 Electric ditemui atas jalan raya oleh Fadlul Fikri. Model ini dijual di China sebagai MG4 Mulan, dan membawa bentuk hatchback saiz segmen C. Ukurannya hampir seperti Volkswagen ID.3 dengan catatan panjang 4,287 mm, lebar 1,836 mm, tinggi 1,504 mm dan jarak roda 2,705 mm.

    Unit yang ditemui di Malaysia ini nampak seperti daripada spesifikasi rendah, memandangkan ia cuma menggunakan rim aloi satu tona warna dan bukannya dua tona seperti kereta yang dipamerkan di Bangkok Motor Show. Lampu hadapan dan belakangnya masih menggunakan rekaan sama.

    Melihat kepada pasaran Thailand, MG4 Electric menggunakan motor elektrik 170 PS/250 Nm, yang mendapat kuasa daripada bateri 51 kWh dan boleh mencatat jarak gerak sehingga 425 km mengikut kitaran NEDC. Ia boleh dicas menggunakan sumber AC sehingga 4.4 kW dan DC 88 kW (10-80% dalam masa 35 minit).

    MG MG4 di Malaysia – hatchback EV bakal dilancar?

    Untuk MG4 Mulan di China pula, ia mendapat tambahan pilihan bateri 64 kWh yang boleh dicas menggunakan pengecas pantas DC sehingga 135 kW, serta pilihan motor yang lebih berkuasa – 204 PS.

    Di Thailand, MG4 Electric ditawarkan dalam dua varian; D pada harga 869,000 baht (RM111,376), dan X 969,000 baht (RM124,193). Kelengkapan yang diberi untuk varian X adalah termasuk lampu LED depan dan belakang, pengecas tanpa wayar, kamera keliling 3D, pakej ADAS lengkap serta sistem sambungan i-SMART.

    Di United Kingdom pula terdapat MG4 EV XPower, yang merupakan versi prestasi dengan tetapan dua motor dan kuasa 435 PS/600 Nm, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat. Casis model ini juga ditambah baik dan menggunakan brek cakera di semua roda.

    GALERI: MG 4 Electric X di 2023 Bangkok International Motor Show

     
     
  • Honda RS-X tiba dalam warna baharu – dari RM9,698

    Honda RS-X tiba dalam warna baharu – dari RM9,698

    Selepas versi Repsol 2023 diperkenalkan bulan lalu, Boon Siew Honda (BSH) hari ini memperkenalkan pula warna baru untuk RS-X. Harga yang disiarkan oleh BSH adalah RM9,698 untuk warna Radiate Grey Metallic dan RM9,748 untuk Trico White Edition.

    Sejak dilancarkan pada tahun 2021, ini adalah kali kedua RS-X diberikan pembaharuan warna, dengan warna baru ini menyaksikan penampilan lebih gelap, dengan rim hitam bagi warna Radiate Grey Metallic, sementara Trico White Edition membawa gabungan warna yang sudah dikenali bagi Honda, dengan rim yang berwarna emas.

    Bahagian lain masih lagi sama, bermula dengan enjin, yang menggunakan unit suntikan bahan api satu silinder DOHC 149.16 cc, dan dipadankan bersama transmisi enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 15.8 hp pada 9,000 rpm dan 13.6 Nm tork pada 7,000 rpm. Enjin ini hanya boleh dihidupkan dengan pemula elektrik.

    Honda RS-X tiba dalam warna baharu – dari RM9,698

    Kedua-dua brek hadapan dan belakang menggunakan sistem cakera dengan angkup satu piston (ABS diberikan standard), sementara suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang. Rim adalah unit 17 inci dengan tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada RS-X adalah seperti tangki bahan api 4.5 liter, meter digital dengan penunjuk kedudukan gear, lampu depan dan belakang LED, berat 122 kg dan klac jenis basah. Model ini datang dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km.

     
     
  • JPJ eBid: VLS dan BRT dibuka untuk bidaan

    Bagi yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri nombor pendaftaran terkini Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, VLS, telah pun dibuka bidaan mulai hari ini, 24 November 2023 dan ia berlangsung selama lima hari iaitu sehingga jam 10 malam pada 28 November. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 29 November 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Selangor pula, BRT, bidaannya akan dibuka pada 26 November. Ia berlangsung selama lima hari dan akan berakhir jam 10 malam pada 30 November. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 1 Disember 2023 ini.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Kerajaan sasar pemilikan EV dan hibrid di Malaysia meningkat sebanyak 80% menjelang 2050 – Tg Zafrul

    Kerajaan sasar pemilikan EV dan hibrid di Malaysia meningkat sebanyak 80% menjelang 2050 – Tg Zafrul

    Kerajaan menyasarkan pemilikan kenderaan elektrik (EV) dan hibrid di Malaysia mampu mencapai 80% menjelang tahun 2050. Justeru, untuk merealisasikan sasaran ini, kerajaan perlu melakukan usaha yang berterusan untuk membangunkan ekosistem EV, ujar Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

    Menurutnya lagi, sasaran pemilikan EV dan hibrid adalah sebanyak 20% daripada jualan kereta baharu menjelang 2030, naik ke 50% menjelang 2040 dan seterusnya sebanyak 80% menjelang 2050, laporan Berita Harian.

    Justeru, kerajaan komited sepenuhnya untuk menyokong ekosistem EV negara dan menjadikan mobiliti hijau sebahagian daripada pengangkutan arus perdana.

    Kerajaan sasar pemilikan EV dan hibrid di Malaysia meningkat sebanyak 80% menjelang 2050 – Tg Zafrul

    “Pasaran EV mempunyai potensi pertumbuhan yang tinggi di ASEAN terutamanya di Malaysia. Pasaran EV di ASEAN dijangka bakal mencecah AS$2.7 bilion menjelang 2027 dengan purata kadar pertumbuhan tahunan (CAGR) industri EV sebanyak 33%.

    “Justeru, adalah penting untuk Malaysia bergerak ke hadapan dan mencapai sebahagian besar daripada kadar potensi pertumbuhan EV di ASEAN, sekali gus menjadi antara pemain EV utama di rantau ini,” katanya selepas merasmikan acara E-Mobility Asia 2023 semalam.

    Tambahnya, Jawatankuasa Pemandu EV Kebangsaan (NEVSC) yang dipengerusikannya bersama beberapa kementerian berkaitan lain juga akan terus menyusun strategi dan melaksanakan pembangunan dan ekosistem EV secara holistik.

    Kerajaan sasar pemilikan EV dan hibrid di Malaysia meningkat sebanyak 80% menjelang 2050 – Tg Zafrul

    “Walaupun ekosistem EV negara kini berada dalam keadaan baik dan bergerak ke hadapan, tetapi perjalanan masih lagi jauh untuk memastikan ekosistem yang mantap.

    “Malaysia akan memerlukan anggaran sekitar RM637 bilion dalam bentuk pelaburan baharu sehingga 2050 untuk beralih kepada tenaga boleh diperbaharui (RE). Buat masa ini, tahap semasa RE di Malaysia adalah pada 25%, semakin hampir dengan sasaran 31% menjelang 2025,” katanya lagi.

    Selain itu, kataya, MITI dan agensinya Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sedang berusaha membawa lebih banyak pelaburan semikonduktor.

    “Antara 2018 dan Jun 2023, MIDA meluluskan 59 projek bernilai RM26.2 bilion dalam EV dan ekosistem yang berkaitan untuk pemasangan kenderaan, pembuatan bahagian dan komponen pengecasan. Di mana Malaysia telah menjadi destinasi yang sangat menarik di rantau ini untuk semua pelabur EV kerana ekosistem sedia ada yang sangat kondusif untuk pembangunan EV dan komponen berkaitan,” katanya.

     
     
  • Qabil Irfan juara dunia FIM MiniGP 2023 kategori 160

    Qabil Irfan juara dunia FIM MiniGP 2023 kategori 160

    Perlumbaan FIM MiniGP World Champion yang berlangsung di Valencia, Sepanyol menyaksikan pelumba muda dari Malaysia, Qabil Irfan membolot gelaran juara dalam kategori 160 cc mengalahkan 34 pelumba lain dari 17 negara.

    Bermula dengan mencatat masa terpantas dalam sesi kelayakan, Qabil yang berusia 11 tahun kemudiannya menunjukkan prestasi baik semasa perlumbaan dan berjaya memenangi semua tiga perlumbaan bagi kategori beliau.

    Ini adalah kali kedua Qabil bertanding dalam FIM MiniGP World Champion, dengan pada tahun lepas beliau mendapat tempat keempat dalam kategori sama. Dengan kemenangan ini, tahun depan Qabil akan naik ke kategori 190 cc.

    Qabil Irfan juara dunia FIM MiniGP 2023 kategori 160

    Selain Qabil, Malaysia turut menghantar empat lagi pelumba lain untuk bertanding dalam perlumbaan bertaraf dunia ini iaitu Farish Hafiy, Emil Idzhar dan Adi Putra untuk kategori 190 cc, dan Airel Marzuki dalam kategori 160 cc.

    FIM MiniGP melibatkan siri di beberapa negara dan kemudiannya yang terbaik akan dipilih untuk bersaing di peringkat dunia. Semua pelumba menggunakan motosikal Ohvale yang sama, dengan tiada modifikasi enjin dibenarkan dan dikawal selia secara ketat oleh FIM.

     
     
  • Proton tunjuk teknologi kawalan kualiti di kilang Tanjung Malim; guna pelbagai mesin ketepatan tinggi

    Proton tunjuk teknologi kawalan kualiti di kilang Tanjung Malim; guna pelbagai mesin ketepatan tinggi

    Buat masa sekarang hanya Proton Saga masih dipasang di kilang lama Proton yang terletak di Hicom Shah Alam, sementara semua model-model terkini dengan teknologi jauh lebih canggih dipasang di kilangnya yang terletak di Tanjung Malim. Dan untuk memasang kereta-kereta lebih moden ini, fasiliti berkenaan juga haruslah jauh lebih moden.

    Bagi kilang di Tanjung Malim ini, antara teknologi canggih yang digunakan adalah sistem kawalan kualiti dengan ketepatan jitu. Sebagai salah satu jenama di bawah kumpulan Geely, Proton kini menggunakan kaedah markah demerit Audit Produk Pelanggan Global (GCPA) yang sama seperti apa yang digunakan oleh kilang Geely dan Volvo bagi menentukan tahap kualiti produk yang dikeluarkan oleh kilang mereka.

    Teknologi-teknologi kawalan kualiti berkenaan telah ditunjukkan oleh Proton dalam satu video yang baru sahaja dimuat naik pada laman Facebook rasminya. Menurut Proton, kawalan kualiti bermula dari proses pemasangan yang menggunakan mesin-mesin dan robot-robot berketepatan tinggi.

    Produksi untuk sesebuah kereta di kilang Proton Tanjung Malim ini dimulakan dari proses stamping bagi menghasilkan komponen untuk kerangka dan badan kereta. Mesin yang didakwa merupakan mesin stamping mekanikal terbesar di Malaysia itu dibantu oleh tujuh robot tangkas dengan tahap automasi 83% bagi “mengatur pergerakan panel logam dengan ketepatan milimeter membentuk satu simfoni keberkesanan dan kesempurnaan diperkukuhkan oleh teknologi industri 4.0”.

    Selepas komponen-komponen tersebut siap, ia perlu melepasi beberapa fasa pemeriksaan kualiti menggunakan geosystem dari Leica yang mampu mengesan ketepatan sehingga 21 mikron.

    Komponen-komponen berkenaan kemudiannya dibawa ke barisan produksi pemasangan di mana ia dicantum menggunakan pelbagai robot seperti lengan pemeriksa robotik, automatic servo turntable dan adaptive spot welding dari Bosch dengan centreline servo gun yang dipandu alat ketepatan menggunakan laser memberikan kadar ketepatan kimpalan yang diperakui setinggi 99.8%.

    Proton mendakwa dengan kelengkapan pemasangan ini sahaja sudah dapat memastikan setiap panel dapat “dipasang dengan sangat sempurna tanpa sebarang kekurangan”. Namun Proton masih menggunakan alat ujian ketepatan tinggi bagi memastikan setiap komponen tersebut dipasang dengan baik dengan menggunakan pengimbas dengan resolusi 30 megapiksel dengan ketepatan sehingga 0.07 mm.

    Tidak cukup dengan itu, jurutera Proton turut menggunakan mesin pengukur koordinat 3D automatik sepenuhnya Carl Ziess Carmet dengan ketepatan lebih halus iaitu sehingga 0.05 mm. Mesin ini dapat mengukur keselurhan kadar ketepatan pemasangan sesebuah kerangka yang siap dalam masa 4.5 jam.

    Untuk pemeriksaan kualiti cat, ia dilakukan secara insani oleh pekerja-pekerja Proton yang membuat pemeriksaan menggunakan alat pengukut pada setiap lapisan terhadap aspek ketebalan cat, kilauan, kekerasan, daya lekat, kekasaran, keserataan dan ketepatan warna.

    Bagi pemasangan komponen mekanikal kenderaan, Proton membuat pemeriksaan menyeluruh menerusi sistem yang digelar sebagai “11 Gerbang Kualiti”. Menerusi kaedah ini, setiap satu proses yang siap perlu melalui satu gerbang pemeriksaan bagi memastikan tiada kecacatan berlaku pada pemasangan, dan pembetulan boleh dibuat sekiranya ada kesilapan yang ditemui. Setelah dipastikan semuanya bagus, barulah ia boleh bergerak ke proses seterusnya.

    Bagi memastikan ketepatan dan mengurangkan jumlah kesalahan yang dibuat, kilang ini juga menggunakan pelbagai kaedah pemasangan lain seperti sistem kawalan rangkaian pengeluaran automatik, sistem pengurusan tork automatik untuk 90% tugas mengetatkan skru dan bolt, dan juga kenderaan panduan automatik (AGV).

    Selepas siap keseluruhan pemasangan komponen, setiap kenderaan akan diperiksa menggunakan tablet khas bagi membuat ujian diagnostik. Kesemua sistem akan dipastikan berfungsi dengan baik dan pantas seperti yang sepatutnya menggunakan kaedah ini.

    Kenderaan-kenderaan itu juga akan dibawa untuk ujian simulasi dalam litar yang menampilkan pelbagai keadaan pemanduan dunia sebenar, dan akhir sekali ia akan dibawa ke ujian pancuran air bagi memastikan tiada sebarang kebocoran dalam kabin.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025