Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Harga minyak 7-13 Dis – Semuanya masih dikekalkan

    Harga minyak 7-13 Dis – Semuanya masih dikekalkan

    Untuk minggu bertarikh 7 hingga 13 Disember 2023, Kementerian Kewangan (MoF) memutuskan untuk terus mengekalkan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel.

    Di mana harga petrol RON 97 dikekalkan pada RM3.47 seliter, setelah mengalami kenaikan sebanyak 10 sen seliter pada 20 September lalu.

    Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada 27 November lalu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, memaklumkan bahawa kerajaan bersedia untuk memperkenalkan mekanisme subsidi bersasar bagi petrol RON 95 pada separuh kedua 2024. Rafizi turut berkata, kerajaan mengambil masa untuk melaksanakan program subsidi bersasar bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar. “Adalah dijangkakan akan ada ketidakpuasan dan masalah sebaik ia dilaksanakan, tetapi kerajaan tidak akan membuat pusingan ‘U’ apabila ia dilaksanakan,” katanya.

     
     
  • Tempahan Proton S70 naik tiga kali ganda selepas dilancar; 900 unit dalam seminggu, kini lebih 3k unit

    Tempahan Proton S70 naik tiga kali ganda selepas dilancar; 900 unit dalam seminggu, kini lebih 3k unit

    Selepas harga sebenarnya diumumkan ketika dilancarkan minggu lalu, tempahan untuk Proton S70 meningkat menepati ramalan yang dibuat oleh syarikat tersebut. Menurut Proton, dalam tempoh masa seminggu pertama, sebanyak 900 unit tempahan baharu diterima untuk sedan segmen-C tersebut atau tiga kali ganda lebih banyak berbanding minggu-minggu sebelumnya.

    Tempahan untuk Proton S70 ini sudah dibuka seawal 1 November lalu, dan ketika dilancarkan pada 28 November tempahan yang diterima adalah sebanyak 1,200 unit. Secara keseluruhan Proton kini sudahpun menerima lebih dari 3,000 unit untuk model yang menggantikan Proton Preve tersebut.

    Proton S70 ditawarkan dalam empat varian bermula dengan varian asas 1.5T Executive dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM73,800, diikuti 1.5T Premium berharga RM79,800, Flagship berharga RM89,800, dan varian paling tinggi Flagship X dijual pada harga RM94,800.

    Sebelum ini Proton turut mensasarkan tempahan akan meningkat sehingga 5,000 unit menjelang akhir tahun ini dengan jangkaan 40% daripadanya dari varian Premium, 40% varian Flagship dan 40% varian Flagship X.

    Tempahan Proton S70 naik tiga kali ganda selepas dilancar; 900 unit dalam seminggu, kini lebih 3k unit

    Dengan harga rasmi yang diumum lebih rendah dari jangkaan, Proton turut meramalkan ramai pelanggan yang telah menempah varian lebih rendah sebelum ini akan bertukar ke Flagship X kerana ia turut ditawarkan dengan kit badan percuma.

    Proton S70 merupakan sedan yang diasaskan dari platform B-segment Modular Achitecture (BMA) yang sama seperti SUV Proton X50. Walaupun dari bahagian luaran ia nampak sama seperti Geely Emgrand untuk pasaran China, Filipina dan beberapa negara Timur Tengah, S70 sebenarnya dibangunkan semula oleh Proton dengan pelbagai perubahan drastik.

    Antaranya enjin 1.5L NA dan kotak gear CVT yang digantikan dengan enjin 1.5L tiga-silinder turbo yang lebih berkuasa dan transmisi klac berkembar automatik tujuh-kelajuan yang lebih responsif, ruang kabin yang lebih sesuai untuk pasaran Malaysia, talaan suspensi “Proton Ride Handling”, kelengkapan keselamatan lebih canggih dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dan pelbagai lagi.

    Untuk perincian lebih lengkap anda bolah baca laporan pelancaran Proton S70 ini pada PAUTAN INI. Kami turut sudah menguji sedan ini di litar ujian Proton tiga minggu sebelum pelancarannya, di mana ulasannya boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    Proton S70 2024 Executive

    Proton S70 2024 Premium

    Proton S70 2024 Flagship X

     
     
  • Stellantis bangunkan enjin pembakaran dalaman guna hidrogen; bangkang idea peralihan penuh kepada EV

    Stellantis bangunkan enjin pembakaran dalaman guna hidrogen; bangkang idea peralihan penuh kepada EV

    Kumpulan automotif Stellantis kini sedang membangunkan enjin pembakaran dalaman yang beroperasi menggunakan hidrogen sebagai salah satu dari empat alternatif penyelesaian kepada pemanduan sifar pencemaran. Perkara ini disebut sendiri oleh CEO Stellantis, Carlos Tavares dalam laporan Autocar.

    Menurutnya Stellantis kini sedang berusaha untuk mempelbagaikan jenis rangkaian kuasa yang boleh digunakan di bawah peraturan penyahkarbonan yang ditetapkan oleh Kesatuan Eropah, dan Tavares mengkritik penggubal undang-undang kerana kaedah ‘kejam’ mereka yang memaksa peralihan dari bahan api fosil kepada EV. Apa yang Stellantis buat ini adalah untuk meluaskan lagi pilihan kepada pengguna agar tidak terbeban dengan pengecasan EV.

    “Persaingan sebenar bermula antara sel bahan api, EV, enjin pembakaran dalaman hidrogen dan juga bahan api sintetik. Kita akan lihat dalam beberapa tahun akan datang apa yang akan menjadi penyelesaian terbaik untuk rakyat,” kata Tavares.

    Walau bagaimanapun Tavares masih boleh memperincikan jenama mana yang bakal menjual kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman hidrogen ini. Buat masa sekarang Stellantis sudah pun menjual model-model van bersaiz sederhana dengan unit rangkaian kuasa sel bahan api hidrogen, lapor Autocar.

    Stellantis bangunkan enjin pembakaran dalaman guna hidrogen; bangkang idea peralihan penuh kepada EV

    Idea untuk mempromosikan penggunaan hidrogen sebagai bahan api ini turut disokong oleh pembuat dan pembekal kenderaan berat di Eropah yang sedang mencari jalan bagi mengelakkan sebarang gangguan terjadi pada operasi mereka. Konsortium dengan nama Pakatan Enjin Hidrogen telah diwujudkan bagi membawa agenda ini, ditubuhkan oleh pelbagai pengeluar seperti Daimler Truck, Claas, Isuzu, JCB dan MAN, dan disertai oleh pembekal seperti Bosch, BorgWarner dan Dana.

    Selain Stellantis, Toyota terlebih dahulu telah memulakan inisiatifnya bagi membangunkan enjin-enjin hidrogen bagi menjadi alternatif kepada EV. Gergasi automotif Jepun itu telah menggunakan enjin 1.6 liter tiga-silinder pada hot-hatch GR Yaris, dan juga pada kereta lumba Corolla Sport yang menyertai perlumbaan lasak lima-jam di negara tersebut.

    Toyota turut telah menghasilkan sebuah enjin prestasi 5.0L V8 berkuasa 455 ps yang beroperasi menggunakan hidrogen, serta turut telah memperkenalkan beberapa model konsep dan prototaip yang menggunakan enjin hidrogen seperti Corolla Cross Hydrogen dan Hiace Hydrogen Prototype.

     
     
  • Mercedes-AMG CLE53 4Matic+ Coupe diperkenal – versi prestasi dengan kuasa sehingga 449 PS, 600 Nm

    Mercedes-AMG CLE53 4Matic+ Coupe diperkenal – versi prestasi dengan kuasa sehingga 449 PS, 600 Nm

    CLE Coupe yang diperkenalkan Julai lalu bagi menggantikan C-Class dan E-Class coupe kini menerima versi prestasi yang dipanggil sebagai Mercedes-AMG CLE53. Ia tiba dengan enjin petrol enam silinder turbo 3.0 liter berkuasa 449 PS (443 hp atau 330 kW) dari 5,800 ke 6,100 rpm.

    Menurut Mercedes-Benz, enjin enam silinder ini adalah unit M256 versi dipertingkat, yang kini dinamakan sebagai M256M. Antara peningkatan yang dibuat adalah termasuk kebuk pembakaran lebih optima dengan lubang masuk dan keluar yang direka semula, piston ring baru serta suntikan bahan api yang dioptimakan semula.

    Pengecas turbo juga adalah baru, dan ia dibantu dengan compressor elektrik tambahan yang dapat meningkatkan tekanan boost sehingga 0.4 bar, menjadi 1.5 bar dan membenarkan tork puncak mencapai 600 Nm semasa overboost dalam tempoh masa sehingga 12 saat. Dalam keadaan biasa, enjin tersebut mampu menghasilkan tork sehingga 560 Nm pada antara 2,200 hingga 5,000 rpm.

    Selain limpahan kuasa, enjin ini juga dijadikan lebih cekap dengan integrated starter generator (ISG) generasi kedua yang bersepadu di dalam transmisi automatik AMG Speedshift TCT 9G. Komponen ini adalah sebahagian daripada sistem elektrik 48 volt dan boleh memberikan pecutan tambahan sementara sehingga 23 PS dan tork 205 Nm, membantu luncuran sekata serta fungsi start-stop yang lebih lancar.

    Mercedes-AMG CLE53 4Matic+ Coupe diperkenal – versi prestasi dengan kuasa sehingga 449 PS, 600 Nm

    Bersama dengan sistem pacuan semua roda boleh ubah AMG Performance 4Matic+ , CLE53 dapat memecut 0-100 km/j dalam masa cuma 4.2 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j, atau 270 km/j apabila dipasang dengan Driver’s Package daripada AMG.

    Sistem berkaitan pemanduan lain yang terdapat pada model ini adalah termasuk tetapan brek yang terdiri daripada cakera 370 mm berliang serta angkup empat piston di hadapan, dan cakera 360 mm dengan angkup satu piston terapung di belakang.

    CLE53 juga datang dengan suspensi AMG Ride Control yang menggunakan spring besi serta penyerap boleh laras adaptif yang mempunyai pilihan tiga mod iaitu Comfort, Sport and Sport+. Turut disediakan adalah stereng AMG yang boleh mengesan kelajuan serta rear-wheel steering yang boleh beroperasi pada sudut sehingga 2.5 darjah.

    Apabila mengambil pakej AMG Dynamic Plus, pemilik akan menerima mod pemanduan Race yang membolehkan tindakan drift. Pakej ini juga termasuk dengan roda stereng prestasi AMG yang dibalut gentian mikro Microcut dan mempunyai butang kawalan program pemanduan serta tetapan dinamik lain, angkup brek warna merah dengan tulisan AMG serta tapak enjin aktif.

    Secara visualnya, CLE53 berkongsi rekaan sama seperti varian di bawah, tetapi dijadikan lebih garang dengan bampar yang lebih agresif serta lubang udara lebih besar. Fender yang lebih kembang digunakan, bagi menempatkan rim 19 inci yang diberi secara standard (boleh dinaik taraf kepada 20 inci) dan jarak antara roda kiri dan kanan bertambah lebar 58 mm di hadapan dan 75 mm di belakang.

    Melalui pilihan tambahan pakej AMG Optics pula, coupe prestasi ini akan menjadi lebih sporty dengan tambahan panel aerodinamik pada bampar hadapan, spoiler belakang yang lebih tebal serta diffuser di antara muncung ekzos kiri dan kanannnya. Model ini juga boleh ditambah dengan pakej AMG Night serta AMG Carbon.

    Perkara sama dibuat pada bahagian dalam, dengan tetapan asasnya sama sahaja seperti CLE Coupe biasa, tetapi dinaik taraf dengan barangan khas AMG. Sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) yang mengawal panel instrumen digital 12.3 inci serta skrin sesentuh 11.9 inci di tengah juga mendapat fungsi khas serta paparan AMG.

    Tempat duduk CLE53 dibalut dengan padanan kulit Artico serta gentian Microcut hitam, dan diserikan dengan grafik AMG serta jahitan merah untuk dipadankan bersama tali pinggang yang juga berwarna merah dan kemasan gentian karbon di beberapa bahagian lain. Sudah tentu, pemilik juga diberi pilihan untuk menaik taraf kepada tempat duduk prestasi AMG ataupun pilihan kemasan dan balutan lain.

     
     
  • Triumph Thruxton 400 mula dilihat – versi cafe racer dengan fairing separuh, pemegang clip-on rendah

    Triumph Thruxton 400 mula dilihat – versi cafe racer dengan fairing separuh, pemegang clip-on rendah

    Kita sudah melihat, dua model baru 400 keluaran Triumph iaitu Speed 400 dan Scrambler 400 menyediakan tarikan tersendiri kepada pelanggan – konsep rekaan sama seperti model yang lebih besar (Speed Twin/Street Scrambler) tetapi dengan enjin yang lebih kecil serta harga lebih mampu milik.

    Sekarang nampaknya dua model yang berkongsi asas sama tersebut akan disertai satu lagi versi iaitu Thruxton 400, seperti yang dilihat melalui gambar spyshot dari Autostreet ini. Ketibaannya memang sudah dijangka dan kita cuma perlu menunggu bila ia akan memasuki pasaran – kemungkinan besar awal tahun depan.

    Seperti yang diketahui, Thruxton adalah model Triumph yang menggunakan penampilan cafe racer, tetapi Speed Triple RR juga menggunakan konsep rekaan sama, dan kita perlu mendengar pengumuman rasmi daripada Triumph untuk mengetahui nama sebenar model yang lebih kecil ini.

    Triumph Thruxton 400 mula dilihat – versi cafe racer dengan fairing separuh, pemegang clip-on rendah

    Daripada gambar, apa yang kita boleh lihat cuma bahagian depan sahaja yang diubah berbanding Speed 400 dan Scrambler 400, dengan mendapat fairing atas berlekuk seperti Speed Triple RR serta pemegang yang dikepit pada bahagian atas fork (clip-on).

    Pada Speed 400 dan Scrambler 400, enjin satu silinder 398 cc suntikan bahan api serta padanan gear enam kelajuannya dapat menghasilkan kuasa sehingga 40 PS pada 8,000 rpm dan tork 37.5 Nm pada 6,500 rpm. Untuk Thruxton 400, sekali lagi kita perlu menunggu pengesahan daripada Triumph sama ada sebarang talaan khas akan dibuat untuknya.

    Di Malaysia, Speed 400 dan Scrambler 400 sudah boleh ditempah, dengan harga masing-masing RM26,900 dan RM29,900, tetapi motosikal cuma akan tiba awal tahun hadapan.

     
     
  • Sabah terima 500 kuota bagi Program MyLesen B2 bagi 2023; rekod tertinggi setakat ini – Hajiji

    Sabah terima 500 kuota bagi Program MyLesen B2 bagi 2023; rekod tertinggi setakat ini – Hajiji

    Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengesahkan negeri terbabit telah menerima sebanyak 500 kuota lesen memandu Kelas B2 untuk golongan B40, sekaligus mencatatkan angka tertinggi bagi Program MyLesen B2 tahun ini.

    Menurut beliau, pada peringkat permulaan, sasaran pemberian lesen kelas B2 menerusi program itu ialah Tuaran dan Kinabatangan membabitkan 246 calon yang berjaya dalam ujian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    Di mana Kerajaan Persekutuan menerusi Belanjawan 2023 telah memperuntukkan RM2.7 juta untuk kos bayaran latihan dan ujian bagi lesen memandu Kelas B2 yang memberi manfaat kepada 9,000 orang penerima golongan B40.

    “Kerajaan Negeri berharap inisiatif ini akan turut dinikmati oleh lebih ramai lagi masyarakat kurang berkemampuan atau B40 di negeri ini pada tahun hadapan,” katanya menerusi perkongsian di laman Facebook rasminya.

    Sabah terima 500 kuota bagi Program MyLesen B2 bagi 2023; rekod tertinggi setakat ini – Hajiji

    Tambahnya, program itu adalah antara usaha murni kerajaan membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan lesen memandu Kelas B2 untuk motosikal dalam memperkasa mobiliti rakyat untuk memperluaskan peluang pekerjaan, pendidikan dan ekonomi kalangan masyarakat luar bandar, laporan Berita Harian.

    Beliau menyifatkan usaha diambil Kerajaan Persekutuan itu menunjukkan pentingnya lesen B2 dimiliki dalam memperkasakan mobiliti rakyat untuk memperluaskan peluang pekerjaan, pendidikan dan ekonomi golongan B40.

    Manakala bagi Belanjawan 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan Kerajaan bersetuju untuk terus menanggung bayaran ujian memandu bagi lesen motosikal kelas B2 (MyLesen B2), e-hailing dan teksi untuk lebih 40,000 belia daripada keluarga kurang mampu.

     
     
  • Kesesakan jalan raya yang teruk punca ramai rakyat Malaysia kini mudah hilang sabar – pakar psikologi

    Kesesakan jalan raya yang teruk punca ramai rakyat Malaysia kini mudah hilang sabar – pakar psikologi

    Empat tahun lalu kita digemparkan dengan berita kematian Syed Muhammad Danial yang terlibat dalam satu insiden kemalangan kecil dan perselisihan faham di atas jalan raya berlaku di kilometer 293.6 Lebuhraya Utara Selatan pada 10 Ogos 2019.

    Kes berkenaan telah pun selesai baru-baru ini apabila individu yang menyerang Syed Muhammad Danial, Yew Wei Liang telah disabitkan kesalahan menyebabkan kematian oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam. Banyak pengajaran yang boleh kita ambil dari insiden ini, antaranya kekal perasaan sabar dan cuba untuk berbincang dengan baik untuk menyelesaikan sesuatu konflik di atas jalan raya.

    Walau bagaimanapun, Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Fauziah Mohd Saad berkata faktor peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya disebabkan pertumbuhan ekonomi pesat sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk sememangnya menjadi antara sebab rakyat Malaysia semakin hilang sifat sabar.

    Menurut beliau dalam laporan Sinar Harian, situasi terpaksa berada dalam kenderaan bagi tempoh yang lama terutama ketika memulakan hari dan selepas penat bekerja menimbulkan kegelisahan dalam diri seseorang.

    Kesesakan jalan raya yang teruk punca ramai rakyat Malaysia kini mudah hilang sabar – pakar psikologi

    “Kesabaran pemandu mudah hilang apatah lagi kalau ada pengguna lain yang tidak mengikut peraturan terutamanya semasa kesesakan menyebabkan mereka mudah ‘meletup’. Lebih teruk jika pengguna jalan raya ini mempunyai masalah kesihatan seperti depresi, stres dan kebimbangan melampau. Keadaan ini mempengaruhi tingkah laku di jalan raya,” katanya kepada akhbar berkenaan.

    Beliau turut menambah, tekanan hidup sehingga mengganggu emosi turut menjadi penyumbang kepada perlakuan kurang beretika di jalan raya. “Mereka boleh bertindak agresif dan berisiko menyebabkan ketegangan sehingga tercetus pergaduhan dalam kalangan pengguna jalan raya.”

    Fauziah juga menyatakan bahawa kebergantungan tinggi rakyat Malaysia terhadap kenderaan sendiri turut menyumbang kepada ketegangan ini terutama apabila infrastruktur pengangkutan awam tidak memadai.

    Kesesakan jalan raya yang teruk punca ramai rakyat Malaysia kini mudah hilang sabar – pakar psikologi

    Dalam insiden yang membabitkan Syed Muhammad Danial dan Yew Wei Liang empat tahun lalu, media-media melaporkan bahawa ia bermula dengan perebutan lorong tol sebelum tercetus pergaduhan dan adegan kejar-mengejar yang membawa kepada kematian mangsa.

    Hakim Mahkamah Tinggi, Julia Ibrahim, membuat keputusan bagi mensabitkan kesalahan Yew semalam mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan (KK) selepas meneliti dan memperhalusi keterangan tertuduh, saksi pendakwaan serta pembelaan, selain hujahan pada setiap peringkat secara keseluruhan.

    Beliau berkata, beban membuktikan hak pertahankan diri daripada ancaman kecederaan terletak kepada tertuduh mengikut Seksyen 105 Akta Keterangan 1950, dan menambah tertuduh gagal membuktikan ada ancaman kecederaan terhadapnya dan isteri daripada mangsa.

     
     
  • Puspakom keluarkan jadual unit pemeriksaan bergerak Dis 2023 – termasuk luar kawasan di Sabah/Sarawak

    Puspakom keluarkan jadual unit pemeriksaan bergerak Dis 2023 – termasuk luar kawasan di Sabah/Sarawak

    Puspakom telah mengeluarkan jadual Disember 2023 bagi unit pemeriksaan bergerak untuk Semenanjung Malaysia dan juga ujian luar kawasan di Sabah dan Sarawak.

    Trak unit pemeriksaan bergerak itu bakal ke Perak, Johor, Terengganu, Kelantan, Pahang dan Negeri Sembilan. Tujuan bagi insiatif ini adalah untuk mereka yang tinggal jauh dari cawangan Puspakom. Perkhidmatan yang ditawarkan termasuklah rutin pemeriksaan, tukar nama hakmilik, dan banyak lagi.

    Klik untuk besarkan

    Walau pun tidak menampilkan trak besar seperti di Malaysia Timur, Puspakom tetap tidak melupakan pelanggan di pekan kecil di sekitar Sabah dan Sarawak. Namun unit bergerak itu tetap akan membawa kelengkapan yang diperlukan untuk pemeriksaan kenderaan. Antara daerah yang bakal dikunjungi termasuk Ranau, Kota Belud, Semporna, Kunak, Kapit, Limbang, Lawas dan Marudi.

    Puspakom berkata pelanggan boleh terus ke lokasi yang disenaraikan pada tarikh yang disediakan, tanpa perlu membuat temujanji secara dalam talian, seperti yang diamalkan di cawangan Puspakom lain.

    Unit pemeriksaan bergerak ini beroperasi dari jam 8 pagi hingga 6 petang, dan ada sesetengah lokasi, ia bermula dari jam 8 pagi hingga 1 tengahari. Sila semak dahulu jadual yang diberikan sebelum anda ‘menyerbu’ unit pemeriksaan bergerak Puspakom ini.

     
     
  • Proton ingin naikkan pengeluaran, eksport melangkaui ASEAN — 500k dari Tg Malim, 50% untuk eksport

    Proton ingin naikkan pengeluaran, eksport melangkaui ASEAN — 500k dari Tg Malim, 50% untuk eksport

    Proton sedang berusaha untuk meningkatkan jumlah pengeluarannya kepada 500,000 unit, dengan 50% daripadanya adalah untuk pasaran eksport. Perkara ini didedahkan oleh CEO Proton, Dr Li Chunrong ketika majlis pelancaran sedan S70 baru-baru ini.

    Ini adalah susulan daripada pertanyaan paultan.org tentang kenapa Proton mengambil masa terlalu lama untuk menembusi pasaran Thailand dan Indonesia, sedangkan ada laporan sebelum ini menyebut bahawa Geely ingin menjadikan Proton satu daripada tiga jenama teratas di rantau ASEAN.

    Beliau menjawab dengan pertama sekali memaklumkan bahawa angka pengeluaran kenderaan di Thailand dan Indonesia adalah lebih daripada sejuta unit. Itu menjadikan persaingan di dua pasaran berkenaan sangat ketat berbanding di Malaysia. “Jadi, jika ingin bersaing di sana, kita perlu bersedia dengan produk sendiri dahulu, ini yang penting,” ujar Li.

    CEO Proton itu turut mengakui yang kemasukan Proton sebelum ini ke Thailand dan Indonesia tidak begitu menguntungkan. “Kerana sebelum ini keadaan tidak menyebelahi kami di Thailand dan Indonesia. Jadi kami tidak mahu perkara itu berulang, maka disebabkan itu persediaan rapi diperlukan, kemudian barulah kita masuk sekali lagi.”

    Li juga memaklumkan ada banyak lagi pasaran lain untuk diteroka oleh Proton, dan menambah adalah berkemungkinan untuk meluaskan jumlah pasaran yang boleh dieksport oleh Proton. Beliau juga menjelaskan bahawa pemegang saham Proton — DRB-Hicom (50.1%) dan Geely (49.9%) — sedang berbincang untuk mengeluarkan 500,000 unit kereta di Malaysia, dengan 50% daripadanya adalah untuk eksport. “Sebagai pihak pengurusan, kami mesti beri sokongan. Dunia sangat luas, dan bukan hanya ada Thailand dan Indonesia (untuk pasaran eksport Proton),” ujar Li.

     
     
  • JPJ eBid: ANH dan PRD akan dibuka untuk bidaan

    Bagi yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri nombor pendaftaran terkini Perak, ANH, bakal dibuka bidaan mulai esok, 7 Disember 2023 dan ia berlangsung selama lima hari iaitu sehingga jam 10 malam pada 11 Disember. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 12 Disember 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Pulau Pinang pula, PRD, bidaannya akan dibuka pada 10 Disember. Ia berlangsung selama lima hari dan akan berakhir jam 10 malam pada 14 Disember. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 15 Disember 2023 ini.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Bas perantara MRT untuk Kuang, Kundang, BRP, Gamuda Gardens ke stesen Sg Buloh mulai 15 Dis

    Bas perantara MRT untuk Kuang, Kundang, BRP, Gamuda Gardens  ke stesen Sg Buloh mulai 15 Dis

    Berita baik untuk penduduk sekitar Kuang, Kundang, Bukit Rahman Putra (BRP) dan kawasan perumahan baharu Gamuda Gardens.

    Rapid KL telah mengumumkan laluan baharu bas perantara MRT akan dimulakan bagi kawasan utara Sg Buloh untuk ke Stesen Sg Buloh bagi MRT Laluan Putrajaya. Perkhidmatan ujian selama tiga bulan ini akan bermula pada 15 Disember 2023. Tambangnya hanya RM1 dan kekerapannya adalah 35 minit untuk waktu puncak dan 45 minit di luar waktu puncak. Waktu operasinya dari 6 pagi hingga 11.30 malam.

    Bas T154 akan berhenti di beberapa lokasi sepanjang laluan dari stesen MRT ke Pasar Kg Baru Kuang, termasuk Bukit Rahman Putra, Kampung Gombak, Gamuda Luge, Kundang Jaya, Kundang Lakes Club, Tasik Biru, Taman Masgenuine dan Yamaha.

    Dengan kemudahan ini, pastinya memudahkan lagi pengguna untuk ke stesen MRT tanpa perlu memandu dan parkir. Selain Laluan Putrajaya, anda juga boleh menggunakan Laluan Kajang dari stesen MRT Kwasa Damansara.

     
     
  • Toyota sebagai jenama automotif terkemuka 2023, BMW atasi Tesla, Merc di tangga ke-2 – Interbrand

    Toyota sebagai jenama automotif terkemuka 2023, BMW atasi Tesla, Merc di tangga ke-2 – Interbrand

    Toyota telah diangkat sebagai jenama automotif terkemuka dan paling berharga di dunia menerusi laporan Best Global Brand 2023 oleh Interbrand. Pengeluar kereta Jepun ini menduduki tangga ke-enam dalam keseluruhan senarai termasuk 100 jenama, dan menjadi NO.1 bagi jenama automotif. Manakala jenama automotif lain yang berada di kedudukan teratas termasuklah Mercedes-Benz di tempat kedua dan BMW di tangga ketiga.

    Di luar kedudukan Top 10 untuk keseluruhan senarai, jenama automotif lain yang turut menjadi pilihan termasuklah Tesla, Honda, Hyundai, Audi, Porsche, Volkswagen, Ford, Nissan, Ferrari dan Kia. Secara keseluruhannya, hanya 13 jenama dari sektor automotif yang mengambil bahagian dalam laporan Best Global Brands 2023, berbanding 15 pada tahun 2022.

    Menurut Interbrand, metodologi untuk menentukan nilai jenama adalah berdasarkan tiga analisis utama, termasuk prestasi kewangan produk atau perkhidmatan berjenama, peranan yang dimainkan oleh jenama dalam keputusan pembelian serta kekuatan daya saing jenama dan keupayaannya untuk memupuk kesetiaan, dengan itu memastikan permintaan dan keuntungan yang mampan pada masa hadapan.

    Dengan nilai jenama mencecah USD64.5 bilion (+8% dari 2022), Toyota mengekalkan kedudukan teratasnya dalam segmen automotif mendahului Mercedes-Benz di tempat kedua dengan USD61.4 bilion (+9% dari 2022), walaupun Toyota telah meningkat ke tempat ke-tujuh keseluruhan daripada ke-lapan tahun lepas.

    Sementara itu, nilai jenama BMW sebanyak USD51.2 bilion (+10% dari 2022) sudah memadai untuk mengekalkannya di tempat ketiga dalam kalangan jenama automotif, turut meningkat kepada tangga ke-10 keseluruhan berbanding tempat ke-13 pada 2022. Pengeluar kereta yang berpangkalan di Munich itu juga mengatasi Tesla, yang turun ke tangga ke-empat dalam kalangan jenama automotif dan kekal di tempat ke-12 keseluruhan dengan nilai jenama sebanyak USD49.9 bilion (+4% dari 2022).

    Manakala Honda mengekalkan kedudukan kelimanya bagi jenama automotif dengan nilai mencecah USD24.4 bilion (+7% dari 2022) dan berada di tempat ke-27 keseluruhan. Ia diikuti oleh Hyundai dan Audi, kedua-duanya kekal masing-masing di tempat ke-enam dan ke-tujuh.

    Porsche yang satu lagi pengeluar kereta Jerman yang mencatatkan peningkatan dalam nilai jenama dengan mengatasi Volkswagen dan Ford untuk berada di tempat ke-lapan dengan USD16.2 bilion. Bagi tiga jenama terakhir, Nissan, Ferrari dan Kia tiada perubahan pada kedudukan mereka dari segi nilai jenama dalam kalangan jenama automotif. Berbanding dengan laporan tahun lepas, Land Rover dan MINI tidak disenarai pendek pada 2023.

     
     
  • Kempen Semua Boleh Setel tawarkan pulangan tunai 10% untuk pembelian selain bahan api — KK Mart dll

    Kempen Semua Boleh Setel tawarkan pulangan tunai 10% untuk pembelian selain bahan api — KK Mart dll

    Mungkin ramai yang menggunakan aplikasi Setel hanya untuk urusan beli minyak di Petronas, tetapi aplikasi berkenaan sebenarnya boleh dimanfaatkan lebih daripada itu. Untuk mempromosi kegunaannya yang bukan berkaitan bahan api, syarikat itu menganjurkan kempen hujung tahun “Semua Boleh Setel” yang menawarkan pulangan tunai 10% untuk jenama rakan niaga dan 3% untuk yang lain-lain.

    Bermula sekarang hingga 12 Januari 2024, pengguna Setel boleh mendapatkan pulangan tunai 10% untuk jenama rakan niaga seperti KK Mart, Mydin, Village Grocer, Plus R&R, Ben’s Independent Grocer, Pasaraya OTK, OldTown White Coffee, Tealive, Chatime, Pasta Panas, Cafe Mesra, Bake With Yen, BSC Fine Foods, Leisure Grocer dan redBus. Pulangan tunai ini dihadkan kepada RM5 sebulan.

    “Setel telah mencapai tahap penting dengan membolehkan transaksi tanpa tunai di lebih 1.5 juta cawangan runcit dan melayani pelbagai keperluan selain berkaitan bahan api. Hari ini, kami teruja untuk memulakan kempen ‘Semua Boleh Setel’ dengan kerjasama rakan strategik kami. Usaha ini bertujuan untuk meraikan pelanggan kami melalui promosi pulangan tunai, menjadikannya satu lagi pencapaian dalam misi untuk mewujudkan pengalaman mobiliti yang terangkum,” jelas CEO Setel, Mazlin Erawati Ab Manan.

    Kempen Semua Boleh Setel tawarkan pulangan tunai 10% untuk pembelian selain bahan api — KK Mart dll

    Selain daripada itu, pengguna Setel juga boleh menikmati pulangan tunai 3% bagi pelbagai transaksi di kedai runcit lain, medan kereta, cukai jalan, dan servis bantuan automotif 24/7.

    • Pulangan tunai sehingga RM300 untuk takaful/insurans kenderaan: Terima pulangan tunai sehingga 10% untuk setiap takaful kenderaan atau polisi insurans yang dibeli, dihadkan pada RM300. Tiada perbelanjaan minimum diperlukan untuk polisi insurans.
    • Pulangan tunai 50% untuk parkir: Pelanggan boleh mendapatkan pulangan tunai 50%, dihadkan pada RM2 bagi setiap transaksi, dan tuntut manfaat ini sehingga tiga kali sepanjang tempoh kempen.
    • Pulangan tunai RM20 untuk bateri kereta.
    • Pulangan tunai 3% untuk bayaran selain bahan api: Dari sekarang hingga 31 Disember, pengguna Setel boleh mendapatkan pulangan tunai 3%, dihadkan kepada RM5 sebulan, ketika menggunakan Setel untuk parkir, cukai jalan, pengecasan EV, bantuan automotif atau bayaran di kedai runcit atau dalam talian.
    • Pulangan tunai hingga RM800 untuk membeli atau menjual kereta: Bermula sekarang hingga 31 Disember, dapatkan pulangan tunai Setel bernilai RM350 untuk menjual kereta melalu myTukar dan RM450 pulangan tunai Setel untuk memberi kereta melalui myTukar.
    • Sehingga 3X mata ganjaran Mesra untuk bahan api: Nikmati sehingga 3X mata ganjaran Mesra bagi setiap 1 liter bahan api yang dibeli. Dapatkan cara baru untuk meraih mata ganjaran dari 1.5X, 2X dan sehingga 3X mata ganjaran.
    • 3X mata ganjaran untuk Kedai Mesra dan Deliber2Me: Sekarang hingga 31 Disember, dapatkan 3X mata ganjaran Mesra untuk setiap RM1 yang dibelanjakan dengan maksimum 500 mata sebulan dan transaksi minimum RM1.
     
     
  • Syarikat konsesi tol di Malaysia protes projek MLFF diberikan secara terus kepada pihak ketiga

    Syarikat konsesi tol di Malaysia protes projek MLFF diberikan secara terus kepada pihak ketiga

    32 konsesi lebuhraya di Malaysia telah menyatakan protes terhadap langkah kerajaan untuk memberikan projek multi-lane fast flow (MLFF) secara terus, lapor Free Malaysia Today.

    Merujuk kepada sumber yang dikatakan mempunyai maklumat berkaitan perkara itu, FMT melaporkan bahawa kerajaan Malaysia telah menandatangani “perjanjian pelantikan” dengan KJS-SEP Synergy, sebuah syarikat yang dikaitkan dengan YTL Corporation, untuk projek bernilai RM3.46 bilion tanpa berunding dengan konsesi lebuhraya yang akan menanggung kos terbabit.

    Persatuan Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) telah menghantar surat bantahan kepada Kementerian Kerja Raya, dan mendakwa langkah tersebut melanggar persetujuan individual mereka dengan kerajaan, memetik sumber berkenaan. PSKLM sedang mendapatkan nasihat perundangan berkaitan hal ini, memandangkan kerajaan telah menawarkan konsesi bagi tempoh 20-tahun kepada KJS-SEP Synergy.

    Persatuan itu menambah, dengan menawarkan konsesi kepada pihak ketiga selain daripada konsesi sedia ada, penganugerah projek secara terus terbaru itu adalah bertentangan dengan perjanjian sedia ada.

    “Kementerian menyediakan kertas lain dalam masa terdekat untuk menyelesaikan pelantikan itu tanpa persetujuan daripada konsesi sedia ada. Mereka bahkan tidak diberikan perincian pelantikan tersebut. Tanpa semua maklumat berkenaan, adalah tidak adil untuk kerajaan melakukan perkara tersebut tanpa persetujuan pihak berkepentingan yang ketika ini masih termaktub dalam kontrak,” jelas sumber yang bercakap kepada FMT.

    Syarikat konsesi tol di Malaysia protes projek MLFF diberikan secara terus kepada pihak ketiga

    Dalam perkembangan berasingan, PSKLM telah menghantar surat rasmi yang ditandatangani oleh 18 syarikat konsesi, dengan penjelasan bagaimana perjanjian baru ini bertentangan dengan apa yang sudah dimeterai bersama antara mereka dan kerajaan sebelum ini.

    Kerisauan utama berkenaan projek dengan anggaran nilai RM3.46 bilion projek terbabit, yang didakwa oleh PSKLM boleh dikurangkan sebanyak 30% lagi, ialah syarikat individu dibenarkan untuk membina dan melaksanakan sustem MLFF sendiri. Pemberian projek tersebut adalah sebuah monopoli menurut sumber itu, yang mendakwa pendapatan tahunan toll adalah sekitar RM6 bilion.

    “Selepas pelaksanaan, syarikat itu akan meraih semula kos pelaksanaan dengan bayaran tahunan antara RM650 juta hingga RM800 juta daripada konsesi yang terlibat,” ujarnya, yang menambah bahawa syarikat itu tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam industri berkenaan, manakala persaingan kos pula boleh dipertikaikan kerana tiada kajian kos-manfaat yang dijalankan.

    Syarikat konsesi tol di Malaysia protes projek MLFF diberikan secara terus kepada pihak ketiga

    Sebagai tambahan, sumber berkenaan turun menyatakan yang operasi tol ketika ini dan proses pengesahan mereka bolah semua syarikat konsesi akan diambil alih oleh KJS-SEP, dan berpotensi menimpulkan masalah integriti berkaitan trafik dan keuntungan tol memandangkan prosesnya dikawal oleh sebuah syarikat sahaja tanpa semak-imbang.

    Pada Oktober, The Edge Malaysia melaporkan bahawa cadangan sektor swasta untuk pelaksanaan MLFF tidak mendapat sambutan hangat.

    Laporan itu menyebut, konsesi syarikat-syarikat lebuh raya tidak gembira dengan cadangan adanya pihak ketiga yang mengutip tol bagi pihak mereka kerana mungkin berlaku ketirisan, yang boleh memberi kesan kepada kutipan tol keseluruhannya. Kadar ketirisan kenderaan yang tidak membayar tol ketik ini ialah 0.01%, dan sumber itu mempersoalkan kemampuan kutipan oleh pihak ketiga dalam mengekalkan kadar serendah itu dengan pelaksaan sistem tol terbuka.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025