Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Lexus LM – Alphard dari kayangan didedahkan

    Lexus LM – Alphard dari kayangan didedahkan

    Akhirnya, MPV super mewah yang disebut-sebut sebelum ini sudah pun muncul – Lexus hari ini telah mendedahkan Toyota Alphard versinya, digelar Lexus LM. Seperti yang diketahui, Alphard dan Vellfire bukanlah model yang popular di Eropah mahupun Amerika, namun ia menjadi pilihan utama hartawan di Asia, dan Lexus LM ini juga bukan model global, sebaliknya ia disahkan “akan berada pada pasaran China dan Asia terpilih tidak lama lagi.”

    Jika anda rasa Alphard Royal Lounge itu sudah cukup mewah, mari sini kita tengok bagaimana pula rupa bahagian kabin belakang Lexus LM ini. Secara asasnya, ia mempunyai konfigurasi sama seperti Royal Lounge dengan hanya empat tempat duduk, menampilkan captain seat pada baris kedua dan juga pemisah antara kabin belakang untuk lebih privasi. Tempat duduk mewah untuk bos tersebut boleh dibaringkan sepenuhnya, dibina dengan span urethene berketumpatan tinggi, menawarkan keselesaan seperti sofa mewah. Ia turut disejukkan dengan liang-liang sedutan udara.

    Di hadapan dua tempat duduk mewah tersebut diletakkan skrin bersaiz 26-inci yang mungkin sama besar dengan TV di rumah anda. “Ruang tamu” dalam Lexus LM ini turut lengkap dengan peti sejuk, ruang penyimpan payung. Konsol tengahnya direka dengan menempatkan panel sesentuh bagi mengawal fungsi-fungsi seperti kedudukan tempat duduk, fungsi-fungsi keselesaan, penghawa dingin dan juga sistem audio Mark Levinson.

    Tak cukup puas? Anda boleh memilih opsyen sistem bunyi JBL bersama skrin dua-inci lebih lebar. “Bilik” kabin belakang ini juga dipenuhi dengan balutan-balutan kulit lembut serta hiasan Gin-Sui-Boku (Silver Ink) yang diinspirasikan dari hasil seni lukisan ink wash.

    Selain dari konfigurasi super-mewah ini, Lexus LM sebenarnya turut hadir dengan versi tujuh tempat duduk yang lebih sesuai untuk kegunaan keluarga (gambar tidak disertakan). Model tersebut menampilkan tempat duduk mewah untuk barisan kedua dengan perehat tangan lebih selesa, manakala baris ketiga diberikan tempat duduk jenis bench.

    Seperti yang dijangkakan sebelum ini, Lexus LM diperkenalkan dalam dua varian iaitu LM 350 dan LM 300h. Sama seperti Alphard, model LM 350 diberikan enjin 3.5 liter V6 suntikan bahan api terus 2GR-FKE, manakala versi hibrid LM 350h pula menerima gabungan enjin 2.5 liter kitaran Atkinson berkuasa 150 hp dan motor elektrik 141 hp, bersama satu lagi motor elektrik di belakang berkuasa 67 hp.

    Lexus LM – Alphard dari kayangan didedahkan

    Pembeli juga boleh memilih pacuan untuk Lexus LM mereka, sama ada pacuan roda hadapan atau pacuan semua roda. Bagi memastikan keselesaan berada pada tahap optimum dan melebihi apa yang boleh ditawarkan Alphard, MPV Lexus ini dilengkapi dengan penyerap hentak dengan teknologi injap hanyunan, yang diperkenalkan pertama kali pada Lexus ES.

    Rekaan luar juga menerima sentuhan Lexus sebenar di mana lampu asal Alphard digantikan dengan lampu lebih tirus bersama lampu nyalaan siang LED berbentuk anak panah persis model-model Lexus lain. Ia turut diberikan gril signatur ‘Spindel’ bersama logo Lexus di tengah bagi melengkapkannya sebagai sebuah Lexus sebenar.

    Tiang-B signatur Alphard masih lagi dikekalkan, tetapi tahap premiumnya ditingkatkan lagi dengan kemasan krom seakan dua anak panah bertemu pada bahagian berbentuk-S berkenaan. Lampu belakang pula menerima sedikit sentuhan semula dengan bentuk ‘taring’ krom pada kedua-dua sisi bawah, dan ia terus merentangi pintu tailgate belakang. Lexus hanya menawarkan dua warna badan untuk LM ini iaitu hitam dan putih mutiara.

     
     
  • Mercedes-AMG A35 L 4Matic Z177 – China sahaja

    Mercedes-AMG A35 L 4Matic Z177 – China sahaja

    Memang beruntung pasaran automotif di China, sebab banyak menerima model-model kereta yang memang khas untuk negara berkenaan. Antara yang terkini ialah Mercedes-AMG A 35 L 4Matic, yang pada asasnya merupakan versi jarak roda yang lebih panjang bagi sedan prestasi yang diperkenalkan oleh pengeluar ini pada Mac 2019. Seperti A-Class L Sedan, A 35 L akan dibangunkan oleh Beijing Benz Automotive, syarikat usaha sama antara Daimler dan rakan kongsi dari China, BAIC Motor.

    Berbanding A 35 Sedan, A 35 L ini ditambahkan ukuran jarak rodanya sebanyak 60 mm, menjadikannya 2,789 mm berbanding 2,729 mm. Selain itu, model ini masih mirip bagi setiap sudut aspek, termasuk menerima penggayaan AMG untuk bahagian hadapan dengan kehadiran gril twin-louvre, apron hadapan AMG Line dengan canard dan splitter hadapan.

    Untuk bahagian sisinya pula, penampilannya diserikan dengan roda 19-inci, skirt sisi dan lambang AMG pada C-pillar, sementara di belakang pula menampilkan diffuser dan spoiler lip pada boot lid dan juga dua corong ekzos bulat. Sesetengah daripada ciri ini adalah standard untuk pakej AMG Aerodynamic, dengan AMG Night pula menambah perincian rekaan hitam.

    Mercedes-AMG A35 L 4Matic Z177 – China sahaja

    Di dalamnya pula, paparan cermin hadapan disambungkan ke Mercedes-Benz User Experience (MBUX) dengan gaya paparan AMG. Lain-lain ciri pada bahagian dalam yang menonjol termasuklah roda stereng AMG standard atau boleh juga memilih versi Performance yang didatangkan dengan rotary control yang disambungkan ke paparan. Pembeli juga boleh memilih antara dua tema dalaman – hitam/merah klasik dan hitam/kelabu titan.

    Untuk sudut prestasinya, ia menampilkan enjin M260 2.0 liter turbo empat-silinder yang mampu meledakkan kuasa sehingga 302 hp (306 PS) pada 5,800 rpm dan tork 400 Nm dari 3,000-4,000 rpm. Ia turut dipadankan dengan transmisi dwi-klac AMG Speedshift tujuh-kelajuan dengan kuasanya disalurkan ke semua empat roda menerusi sistem pacuan semua-roda pembolehubah Performance 4Matic.

    A 35 L yang memiliki jarak roda lebih panjang ini dikatakan mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam 4.9 saat, iaitu 0.1 saat lebih lambat berbanding model dengan jarak roda standard. Selain itu, ia juga mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 250 km/j. Model ini turut didatangkan dengan lima program pemanduan AMG Dynamic SelectSlippery, Comfort, Sport, Sport + dan Individual – sama seperti A 35.

     
     
  • Putrajaya akan jadi hab dengan stesen ECRL – laporan

    Putrajaya akan jadi hab dengan stesen ECRL – laporan

    Dengan projek ECRL kembali diteruskan seperti yang diumumkan kerajaan, dan landasannya akan melalui Putrajaya sebagai satu daripada 20 hentian yang terlibat, pusat pemerintahan kerajaan pusat itu akan dijadikan hab utama bagi ECRL, lapor The Star.

    Perkara ini bernas, tambahan pula jika pengambil kira projek Kuala Lumpur-Singapore High Speed Rail (HSR) sekiranya berhasil dirunding semula dan diteruskan – Putrajaya memang menjadi satu daripada persinggahannya.

    Ketika ini, Putrajaya dihubungkan melalui KLIA Express Rail Link (ERL), sementara MRT jajaran Sungai Buloh-Serdang-Putra­jaya sedang dalam pembinaan dan dijangka mula beroperasi pada 2022 nanti. ECRL dijadualkan siap pada penghujung 2026.

    “Ini akan mempertingkatkan lagi keterhubungan di sebelah Pantai Barat Semenanjung, serta menyediakan sambungan terus ke KLIA. Ini perkembangan penting sebagai ganti kepada pertukaran laluan tunggal melalui LRT ke terminal pengangkutan bersepadu yang dirancang di Gombak sebelum ini,” jelas Perdana Menteri, Tun Mahathir. Kini ada juga khabar angin untuk menghidupkan semula projek sambungan landasan Putrajaya untuk dihubungkan ke stesen MRT Kajang.

    Projek ECRL yang dipersetujui semula dengan jarak laluan lebih pendek iaitu 640 km tidak lagi akan melalui Gombak. Dari Mentakab, Pahang, laluan baru akan menuju ke Negeri Sembilan (ini tambahan terbaru dengan lima stesen termasuk Putrajaya) sebelum menghala ke Pelabugan Klang melalui Bangi/Kajang dan Putrajaya.

    12 Apil lalu, Malaysia Rail Link (MRL) dan China Communications Construction Company (CCCC) menandatangani perjanjian tambahan yang membolehkan projek ECRL diteruskan. Kos yang terlibat kini ialah RM44 bilion, kurang sebanyak RM21.5 bilion atau 32.8% berbanding perjanjian dahulu pada kadar RM65.5 bilion. Kos bagi setiap kilometer kini ialah RM68.7 juta, berbanding sebelum ini dengan RM95.5 juta.

    MRL dan CCCC juga telah bersetuju untuk mewujudkan syarikat usahasama dengan perkongsian 50:50 untuk menguruskan, mengoperasi dan menyelenggara rangakaian ECRL. “CCCC akan menyediakan sokongan teknikal dan berkongsi risiko operasi selepas projek ini siap. Sebagai tambahan, Malaysia juga boleh memanfaatkan kepakaran CCCC dalam operasi dan penyelenggaraan, sekali gus mempertingkat kelangsungan projek ini untuk jangka masa panjang,” tambahn Tun M.

     
     
  • Mercedes-Benz Concept GLB ditunjuk di Shanghai

    Mercedes-Benz Concept GLB ditunjuk di Shanghai

    Mercedes-Benz merasakan dalam barisan SUV mereka, terdapat ruang untuk satu lagi model. Jadi mereka telah menghasilkan Concept GLB ini, untuk diletakkan antara GLA dan GLC, dan ia didedahkan sewaktu pameran Auto Shanghai yang masih lagi berlangsung sekarang.

    Walaupun dilabelkan sebagai sebuah kenderaan konsep, kami melihat banyak bahagian pada model ini seperti sudah sedia untuk produksi. Ia sepatutnya memberi petunjuk awal kepada model yang akan masuk ke dalam pasaran pada masa hadapan.

    Menurut Mercedes-Benz, Concept GLB memberikan keutamaan kepada ruang luas serta tahan lasak. Melihat kepada dimensi, ia mempunyai ukuran 4,634 mm panjang, 1,890 mm lebar, 1,900 tinggi (termasuk kotak atas bumbung) dan jarak roda 2,829 mm.

    Jika dibandingkan, GLA sememangnya lebih kecil (panjang 4,417, lebar 1,804 mm, tinggi 1,494 mm dan jarak roda 2,699 mm) tetapi dengan GLC, ia tidak mempunyai banyak beza (panjang 4,656 mm, lebar 1,890 mm, tinggi 1,638 mm dan jarak roda 2,873 mm), sekaligus menunjukkan ia tidaklah begitu kompak sebenarnya.

    Untuk rekaan, anda boleh nampak GLB ini dijadikan lebih ranggi. Walaupun masih dilengkapi dengan gril dua jalur serta grafik lampu Multibeam LED yang sudah biasa dilihat, ia mempunyai keunikan sendiri seperti pada bahagian bawah bampar hadapan.

    Kemudiannya, ia juga nampak lebih tegap dengan hujung bumbung bahagian belakang yang lebih tinggi dan berpetak, manakala beberapa kelengkapan termasuk rim 17 inci dengan tayar pelbagai guna, spotlight LED serta rak bumbung menyerlahkan lagi sisi lasaknya. Lampu belakang hampir sama seperti GLC, dan muncung ekzos terdapat dua di penjuru bampar.

    Mercedes-Benz Concept GLB ditunjuk di Shanghai

    Masuk ke dalam, papan pemuka GLB ini kelihatan mirip seperti unit yang terdapat pada A-Class, CLA dan B-Class. Begitu juga skrin besar Mercedes-Benz User Experience (MBUX) serta tiga corong pendingin hawa di tengah. Rekaan yang unik bagi GLB adalah kemasan aluminium pada papan pemuka, pemegang pintu serta tepi konsol tengah. Warna dominan yang digunakan adalah coklat serta oren.

    Selain penggunaan bahan berkualiti, Mercedes-Benz juga mahu mengetengahkan lebih ciri praktikaliti pada GLB. ia akan menjadi model kompak pertama yang mempunyai tiga baris tempat duduk, dengan keseluruhannya boleh memuatkan tujuh orang. Tempat duduk belakang boleh dilipat 60:40, dan juga boleh dilipat rata. Tempat duduk baris kedua boleh dilaras dan dilipat 40:20:40, dan secara keseluruhannya empat tempat duduk kanak-kanak boleh dipasang pada baris kedua dan ketiga.

    Menggerakkan kenderaan ini adalah unit enjin M260 empat silinder 2.0 liter turbo yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 221 hp (224 PS) dan 350 Nm tork. Ia dipadankan bersama transmisi lapan kelajuan 8G-DCT klac berkembar (juga digunakan pada B-Class), dengan sistem pacuan semua roda 4Matic.

     
     
  • Volkswagen Tarok Concept – trak pikap dengan casis seperti kereta, enjin 1.4L TSI, akan ke New York

    Volkswagen Tarok Concept – trak pikap dengan casis seperti kereta, enjin 1.4L TSI, akan ke New York

    Kita di Malaysia tak pernah nampak trak pikap dari Volkswagen bukan? Jenama Jerman tersebut sememangnya mempunyai model sedemikian yang digelar Volkswagen Amarok, iaitu trak pikap ladder frame tradisional di jana enjin turbodiesel V6 3.0 liter. Namun model trak pikap konsep yang digelar Volkswagen Tarok ini agak berlainan, kerana ia adalah trak pikap yang diasaskan dari kerangka monocoque seperti kereta penumpang biasa.

    Model konsep ini pertama kali membuat kemunculannya di Sao Paolo International Motor Show November tahun lalu, dan ia bakal dipamerkan sekali lagi di New York International Auto Show 2019 nanti. Ia diasaskan dari platform MQB, iaitu asas yang sama untuk kereta-kereta VW lain seperti Golf dan Jetta.

    Dengan dimensi sekitar lima meter, Tarok menerapkan rekaan sebagai sebuah trak pikap double cab. Apa yang menarik dan tidak pernah ada pada trak pikap biasa adalah tempat duduk belakangnya boleh dilipat seperti sebuah hatchback atau wagon, bagi membolehkan ruang bed belakang diletakkan barang yang lebih panjang.

    Volkswagen Tarok Concept – trak pikap dengan casis seperti kereta, enjin 1.4L TSI, akan ke New York

    Volkswagen Tarok ini turut diberikan lampu hadapan LED, bar bumbung, dan juga tayar off-road bagi melengkapkan rupanya sebagai sebuah trak pikap sebenar.

    Pada bahagian kabin, ia menerima papan pemuka dengan paparan instrumen digital, sistem infotaimen dengan skrin sesentuh kaca 9.2-inci, kawalan penghawa dingin digital. Sedikit kelainan Tarok dengan trak pikap biasa, ia hadir dengan bumbung panaromik penuh.

    Dengan platform MQB, Tarok diberikan enjin 1.4 liter empat-silinder TSI berkuasa 150 PS bersama kotak gear enam-kelajuan automatik yang diletakkan secara melintang seperti kereta biasa. Ia tidak diberikan sistem 4WD seperti trak-trak pikap ladder frame lazim, namun kuasa masih boleh dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem AWD sepenuh masa 4Motion Volkswagen.

    Lima mod pemanduan disediakan untuk unit janakuasa ini iaitu Comfort, Sport, Normal, Eco dan Individual. Walaupun tidak kelihatan begitu lasak, Volkswagen mendakwa bahawa Tarok mempunyai kebolehan menunda maksimum 1 tan.

    Menurut Volkswagen lagi, model konsep ini akan dijelmakan dalam versi produksi “dengan hampir tiada perubahan”. Setelah ia masuk ke pasaran kelak, Tarok turut akan menerima pilihan enjin turbodiesel 2.0 liter TDI. Kemunculan Tarok di New York nanti adalah untuk mendapatkan respon orang ramai bagi trak pikap “kompak dan versatil” berkenaan.

    Tarok bukan satu-satunya trak pikap yang direka dengan kerangka sebegini, kerana Honda Ridgeline telah menggunakan konsep yang hampir sama dan telah berada dalam pasaran Amerika sejak tahun 2004. Kita di Malaysia berkemungkinan besar tidak akan menerima model-model sebegini, tetapi sebagai pengguna apa pendapat anda? Adakah pasaran tempatan memerlukan model seperti Volkswagen Tarok ini?

     
     
  • Audi AI:ME – kereta autonomous untuk bandar besar

    Audi AI:ME – kereta autonomous untuk bandar besar

    Audi telah menunjukkan model AI:ME semasa pameran Auto Shanghai tahun ini, di mana ia memberi petunjuk awal kepada konsep pengangkutan autonomous untuk bandar besar pada masa hadapan. AI:ME ini adalah kenderaan siri AI yang ketiga daripada jenama itu, dengan yang pertama adalah AIcon, diikuti PB18, manakala satu lagi akan ditunjukkan pada bulan September nanti.

    Sementara AIcon dicipta lebih kepada pemanduan jarak jauh dan PB18 untuk kegunaan dalam litar lumba, AI:ME pula dibangunkan lebih kepada pergerakan urban. Disebabkan itu, ia mempunyai bentuk kompak, berukuran 4.3 meter panjang, 1.9 meter lebar, 1.52 meter tinggi dan jarak roda 2.77 meter.

    Penggerak kenderaan ini terdiri daripada motor elektrik yang menghantarkan kuasa sebanyak 168 hp (170 PS atau 125 kW) kepada roda belakang. Daripada jumlah ini anda boleh melihat ia bukanlah kenderaan elektrik yang paling laju atau pantas, kerana itu bukanlah fokus utamanya, dan Audi percaya ia akan lebih dipandu pada kelajuan antara 20 hingga 70 km/j sahaja di dalam kawasan bandar.

    Selain daripada itu, Audi juga mahu memastikan kenderaan ini mampu bergerak untuk tempoh masa yang panjang. Jadi, ia menggunakan bateri berkapasiti 65 kWh, manakala berat yang ringan dan penjanaan semula kuasa brek turut membantu mengurangkan penggunaan tenaga.

    AI:ME mempunyai kelengkapan pemanduan autonomous Level 4. Ia membenarkan pemandu menyerahkan tugas mengendali kenderaan sepenuhnya kepada sistem itu, dalam kawasan yang bersesuaian. Disebabkan ia masih lagi tidak mencapai Level 5 seperti AIcon, kenderaan ini masih dilengkapi dengan roda stereng serta pedal kawalan untuk pemanduan secara manual.

    Sistem pemanduan autonomous yang ada pada kenderaan ini turut memberi kesan kepada rekaan luar, di mana sistem lampu yang disediakan memainkan peranan penting bukan sahaja untuk menerangi jalan, tetapi juga berkomunikasi dengan pengguna jalan lain.

    Sebagai contoh, pada kebanyakan permukaan yang mempunyai corak seperti permata, terdapat elemen LED atau micro matrix projector yang boleh memancarkan cahaya bersimbol unik untuk memberitahu pejalan kaki, kenderaan ini membenarkan mereka melintas. Selain daripada itu, ia juga boleh memancarkan grafik ke atas jalan untuk membantu menerangi jalan bagi pengguna lain dan menterjemah petunjuk (seperti lampu kecemasan) daripada kenderaan lain untuk memberitahu pengguna lain.

    Audi AI:ME – kereta autonomous untuk bandar besar

    Bentuk keseluruhan kenderaan ini lebih banyak menggunakan garis-garis yang beralun, dan kaca cermin hadapannya seakan bersambung terus dengan bumbung, sehingga ke belakang. Pintu pula menggunakan bukaan jenis suicide, yang memberi lebih ruang untuk masuk dan keluar. Rim adalah unit 23 inci.

    Disebabkan tidak banyak tugas memandu yang diperlukan untuk menggerakkan kenderaan ini, bahagian dalamnya adalah lebih ringkas dan lebih kepada ruang santai. Banyak tempat meletak barang disediakan, dan penumpang juga boleh menggunakan permukaan bermagnet untuk meletakkan cawan atau piring besi di atasnya.

    Kelengkapan lain yang disediakan adalah skrin 3D OLED pelbagai guna, teknologi pengesan bola mata, Virtual Reality, pengawal bunyi aktif, Artificial Intelligence, cermin elektrokromik dan campuran bahan premium serta boleh kitar semula.

     
     
  • MITI nafi ABDC campuri urusan penetapan harga kereta – bertindak tentukan kadar insentif sahaja

    MITI nafi ABDC campuri urusan penetapan harga kereta – bertindak tentukan kadar insentif sahaja

    Pada awal Januari lalu, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengeluarkan kenyataan bahawa sejak akhir tahun lalu, beberapa syarikat pengeluar kereta terpaksa melancarkan model kereta masing-masing dengan harga jangkaan sahaja. Ini berikutan kelewatan kelulusan harga kereta baharu oleh pihak berkuasa iaitu Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

    Walau bagaimana pun, baru-baru ini menteri MITI Datuk Darell Leiking menegaskan Jawatankuasa Pembangunan Perniagaan Automotif (ABDC) tidak mencampuri urusan penetapan harga kereta oleh pengeluar. Sebaliknya ABDC hanya menentukan kadar insentif yang akan diterima bagi setiap kenderaan yang akan dilancarkan, yang mana dikemukakan kepada jawatankuasa itu, seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Tanpa menjelaskan lebih lanjut mengenai jumlah anggaran kadarnya, katanya, setiap insentif yang diberikan akan mempengaruhi harga yang akan ditawarkan kepada pelanggan. “ABDC hanya meluluskan kadar insentif yang akan diterima pengeluar ke atas model yang dikemukakan kepada kami. Selepas ia dimuktamadkan, kami akan kemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk tindakan seterusnya.

    MITI nafi ABDC campuri urusan penetapan harga kereta – bertindak tentukan kadar insentif sahaja

    “ABDC bukan jawatankuasa yang menentukan harga kerana ia adalah hak pengeluar. Kami tidak campur tangan. Cuma apa yang dimuktamadkan kami adalah insentif. Insentif berkenaan akan menyaksikan harga turun sedikit selepas ia ditolak daripada harga yang dikemukakan kepada kami. Jadi pengguna akan mendapat harga lebih rendah,” katanya.

    Beliau turut menambah, ABDC kini bersidang dua kali sebulan berbanding sekali sebelum ini bagi mempercepatkan proses kelulusan insentif kepada pengeluar.

    “Jika dulu kita buat sekali sebulan, mereka yang mengemukakan permohonan jika ada maklumat tidak mencukupi terpaksa menunggu ke bulan depan. Jadi, dua kali sebulan akan mempercepatkan urusan kelulusan,” katanya. Pertemuan yang lebih kerap itu membolehkan peserta industri mendapat penjelasan mengenai kelulusan Program Hubungan Industri (ILP) dan Insentif Khusus (CI) bagi kenderaan cekap tenaga (EEV).

     
     
  • TINJAUAN AWAL: Toyota Yaris di M’sia – dari RM72k

    Toyota Yaris 2019 akan dilancarkan secara rasmi minggu ini. Tapi boleh tahan banyak juga maklumat yang sudah terdedah dan diketahui setakat ini. Antaranya ada tiga varian yang akan ditawarkan, serta harga anggaran yang bakal dikenakan.

    Varian tertinggi ialah Yaris 1.5 G yang ditawarkan pada harga anggaran (atas jalan tanpa insuran) RM84,888. Selain itu, dua lagi pilihan ialah varian peringkat pertengahan, Yaris E pada harga RM77,888 dan yang paling asas, Yaris J pada harga RM71,888

    UMW Toyota turut akan menawarkan dua lagi varian iaitu versi paling asas Yaris J berharga RM71,888 dan model pertengahan Yaris E berharga RM77,888. Secara ringkasnya, Yaris yang akan bersaing sebagai kereta hatchback segmen B sebenarnya merupakan “adik” kepada Vios; ia berkongsi banyak persamaan dengan model sedan berkenaan.

    Untuk mengetahui lebih lanjut kelebihan dan kekurangan Yaris 2019 ini, sila tonton video info ringkas yang kami sediakan ini dan kongsikan pandangan anda sama ada ia merupakan satu penawaran yang berbaloi atau sebaliknya?

     
     
  • Volkswagen I.D. Roomz tampil di Shanghai – SUV EV dengan sistem pemanduan autonomous Level 4

    Volkswagen I.D. Roomz tampil di Shanghai – SUV EV dengan sistem pemanduan autonomous Level 4

    Barisan model janaan elektrik keluaran Volkswagen yang menggunakan nama I.D. sekarang semakin bertambah, dan terbaru, SUV I.D. Roomz menyertai senarai ini dan diperkenalkan waktu acara Auto Shanghai 2019.

    Ia boleh bergerak dengan tahap autonomous Level 4, dengan dijana oleh sepasang motor elektrik untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 306 PS yang datang daripada pek bateri 82 kWh dan boleh digunakan untuk jarak sehingga 450 km mengikut ukuran WLTP. Bateri SUV elektrik ini boleh dicas untuk mencapai tahap 80% dalam masa setengah jam melalui sumber kuasa DC 150 kW.

    Melalui penggunaan sumber kuasa ini juga, I.D. Roomz boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 6.6 saat, sebelum mencapai laju maksimum yang dihadkan pada 180 km/j. Untuk mendapatkan sistem pemanduan autonomous Level 4, kenderaan ini perlu diletakkan dalam mod ID. Pilot dan setelah itu, pengguna juga boleh memusingkan semua tempat duduk 25 darjah ke dalam untuk berhadapan antara satu sama lain.

    Mod pemanduan automatik penuh ini juga membenarkan pemandu untuk memasang mod ID. Pilot Relax, di mana penumpang boleh meletakkan tempat duduk dalam pelbagai posisi yang dimahukan, termasuk dibaringkan sepenuhnya. Setiap tempat duduk boleh dilaras secara berasingan.

    Di hadapan pemandu, tiada papan pemuka seperti kereta biasa, sebaliknya ia menggunakan kokpit digital yang terdiri daripada panel kaca penuh di belakang stereng dan stereng itu sendiri juga dipasang dengan skrin digital untuk kawalan fungsi dan informasi tertentu.

    Selain pemandu, penumpang juga boleh melihat informasi semasa kenderaan di beberapa bahagian sekitar kabin termasuk cermin hadapan, bahagian atas panel pintu, penjuru bumbung panoramik serta konsol bumbung yang juga boleh menghasilkan cahaya dan diubah mengikut mod susunan tempat duduk dan pemanduan.

    Volkswagen I.D. Roomz tampil di Shanghai – SUV EV dengan sistem pemanduan autonomous Level 4

    Satu lagi ciri istimewa pada I.D. Roomz adalah bahagian dalamnya menggunakan fabrik daripada bahan asli kitar semula yang dipanggil sebagai AppleSkin. Ia terdiri daripada 50% sisa produk epal yang dikeringkan sehingga menjadi serbuk, dan dicampur dengan 50% polyurethane dan dipanaskan.

    Beberapa bahagian dalam kabin kenderaan ini juga diwarnakan putih keemasan untuk melengkapi bentuk dan grafik dalam kenderaan itu, di mana gentian mikro digunakan pada lapik bumbung dan tiang sekelilingnya. Sifat menyerap cahaya pada gentian karbon ini membantu menjadikan penggunaan lampu lebih berkesan pada suasana keseluruhannya.

     
     
  • MINI Malaysia perkenalkan Cooper S Countryman Pure – dari RM229k, versi PHEV dengan pakej Wired RM18k

    MINI Malaysia perkenalkan Cooper S Countryman Pure – dari RM229k, versi PHEV dengan pakej Wired RM18k

    Mini Malaysia kini memperkenalkan dua varian terbaru untuk pasaran tempatan, MINI Countryman Plug-In Hybrid (PHEV) dan MINI Cooper S Countryman Pure. Kedua-dua varian ini masing-masing dijual pada harga RM 250,888.00 dan RM228,888.00. Sementara itu, pakej Wired bagi model plug-in hybrid berkenaan pula dijual pada harga RM18,000.00

    Dengan menampilkan rekabentuk versi ALL4, MINI Countryman Plug-In Hybrid Wired antara lain menggunakan rim 19-inci, kemasan dalaman Leather Cross Punch Carbon Black, skrin sentuh 8.8-inci resolusi tinggi serta head-up unit (HUD).

    Ia dilengkapi enjin petrol 1.5L TwinPower Turbo yang menghasilkan janaan 134 hp dan 220 Nm tork, dengan padanan transmisi automatik 6 kelajuan Steptronic. Turut hadir ialah motor elektrik dengan janaan 87 hp dan 165 Nm – menyumbang kepada output keseluruhan sistem sebanyak 221 hp dan 385 Nm tork. Ia mampu memecut dari kelajuan 0 hingga 100 kmj dalam masa 6.8 saat, mencapai kelajuan maksimum 198 kmj dengan penggunaan bahan api 2.1 liter bagi setiap 100 km.

    MINI Malaysia perkenalkan Cooper S Countryman Pure – dari RM229k, versi PHEV dengan pakej Wired RM18k

    Bagi model MINI Cooper S Countryman Pure pula dijual pada harga RM20,000 lebih rendah berbanding varian dengan spesifikasi lebih tinggi Cooper S Countryman Sports yang masih lagi berada dalam pasaran. Pengenalan terbaru ini menggunakan enjin 2.0 liter turbocaj empat-silinder dengan janaan 189 hp dan 280 Nm bersama transmisi automatik lapan-kelajuan Steptronic. Pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.4 saat dengan laju maksimum 224 km/j.

    Kelengkapan standard bagi versi Pure ini termasuk lampu utama LED dengan lampu selekoh, rim 18-inci Black Pin, kemasan dalaman Leather Cross Punch Carbon Black, perincian dalam dalam warna Hazy Grey, kawalan pendingin hawa dua zon, kerusi larasan elektrik dan sistem infotainmen dengan skrin sentuh 6.5-inci.

    Kedua-dua kereta ini menampilkan pelbagai kecanggihan inovasi termasuk MINI Connected generasi terbaru dengan teknologi SIM 4G. Bagi MINI Connected, ia meliputi Intelligent Emergency Call, TeleServices, MINI Online, MINI Concierge Service, Apple CarPlay, Remote Services dan eDrive Services (eksklusif untuk MINI Countryman Plug-In Hybrid Wired).

     
     
  • Mercedes-Benz GLS 2020 – imej pesaing terus BMW X7 bocor di internet sebelum didedahkan secara rasmi

    Mercedes-Benz GLS 2020 – imej pesaing terus BMW X7 bocor  di internet sebelum didedahkan secara rasmi

    SUV paling besar dalam keluarga Mercedes-Benz – GLS – generasi terkini bakal didedahkan secara rasmi tidak lama lagi, tetapi nampaknya imej model berkenaan telah terlebih dahulu bocor di internet. Set foto ini telah disiarkan oleh Almuraba, dan SUV yang akan berhadapan terus dengan BMW X7 ini nampaknya menampilkan rupa seakan adiknya yang, GLE W167.

    Seperti juga model-model terkini Mercedes-Benz, GLS diberikan gril berbentuk oktagon dengan dua bar krom. Rekaan lampu LED dan dan juga apron bahagian bawah juga kelihatan seperti GLE jika ditengok sekali imbas.

    Bahagian belakang turut menerapkan konsep yang sama, di mana GLS diberikan lampu LED yang tidak jauh beza dari GLE, kecuali pada grafik dalamannya. Perbezaan ketara pada SUV ini tentulah pada badannya, yang kelihatan jauh lebih besar dan panjang.

    Masuk ke kabin, bayangan GLE masih boleh dilihat. Ia menerima papan pemuka dengan dua skrin gergasi 12.3-inci yang berfungsi sebagai paparan instrumen digital serta sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX). Pemandu menerima roda stereng tiga jejari dengan kemasan panel hitam dan kayu.

    Mercedes-Benz GLS ini dibina berdasarkan platform terkini Modular High Architecture (MHA) yang juga asas sama dengan GLE. Jadi ia dijangka tampil dengan berat badan lebih ringan dari model sebelum ini.

    Empat pilihan janakuasa akan telah dikhaskan untuk platform berkenaan, terdiri dari enjin-enjin empat-, enam- dan lapan-silinder dan dijangka GLS akan diberikan pilihan dua enjin paling besar dari senarai tersebut. Platform tersebut turut direka bagi menempatkan konfigurasi pacuan belakang atau AWD, serta boleh menerima unit janakuasa elektrik.

    GLS juga mungkin akan ditawarkan dalam versi petrol dan diesel dari barisan enjin enam-silinder, manakala untuk lapan silinder pula adalah enjin V8 4.0 liter turbo berkembar. Versi lebih liar AMG juga dijangka diperkenalkan, dikuasakan oleh enjin V8 turbo berkembar M176 yang ditala semula. Bagi model sebelum ini, Mercedes-AMG telah pun menawarkan model GLS 63 dengan enjin 5.5 liter V8 turbo berkembar.

     
     
  • Kerajaan nafi bakal laksana dasar ELV – Loke

    Kerajaan nafi bakal laksana dasar ELV – Loke

    Baru-baru ini terdapat ura-ura mengatakan kerajaan akan melaksanakan dasar Tempoh Jangka Hayat Kenderaan (ELV). Walau bagaimana pun, hari ini, kenyataan terbabit disangkal oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, yang menurutnya kerajaan tidak bercadang untuk menimbang pelaksanaan dasar tersebut yang mewajibkan kenderaan lama lulus pemeriksaan sebelum dapat memperbaharui insurans dan cukai jalan.

    Memetik laporan Bernama, Loke berkata, walaupun ada kajian dilakukan mengenai perkara itu sebelum ini, namun kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan dasar ELV tersebut.

    “Orang ramai tidak perlu bimbang kerana selain belum ada dasar seperti ELV, kerajaan juga tidak bersedia menimbang dasar seperti itu,” katanya yang mengulas laporan akhbar berbahasa Cina yang memetik kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automatif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) Datuk Madani Sahari bahawa kerajaan dijangka mengumumkan semakan dasar kereta nasional pada suku kedua tahun ini dan mempromosikan ELV.

    Loke turut berkata, dasar semasa ialah mewajibkan semua jenis kenderaan tanpa mengira usia, menjalani pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer sekiranya gagal memperbaharui cukai jalan melebihi tempoh setahun. Ini adalah sebahagian proses mengaktifkan semula cukai jalan dan insurans kenderaan.

     
     
  • Terengganu sediakan kos RM7j untuk program lesen percuma 2019 – terima lebih 49,000 permohonan

    Terengganu sediakan kos RM7j untuk program lesen percuma 2019 – terima lebih 49,000 permohonan

    Bagi menunaikan janji yang diperkatakan pada hujung tahun lalu, kerajaan Terengganu setuju untuk memperuntukkan RM7 juta untuk pelaksanaan program Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera (LMTS) 2019. Ia bakal memberikan manfaat kepada 25,000 belia berusia antara 16 hingga 40 tahun di negeri tersebut.

    Memetik laporan Berita Harian, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata belia yang layak akan diberikan bantuan RM300 untuk mengambil lesen motosikal secara percuma.

    Walau bagaimana pun, sejak gerak kerja program itu berjalan awal tahun ini, lebih 49,000 permohonan diterima di seluruh negeri untuk menyertai program itu, sekali gus memaksa kerajaan negeri melakukan saringan.

    Wan Sukairi berkata, mereka yang gagal kali ini akan diberi keutamaan untuk permohonan program LMTS pada tahun depan.

    “Kita harap tahun depan kerajaan negeri dapat melaksanakan program ini dengan bajet yang akan dikemukakan dan dicadangkan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) nanti. Kerajaan juga sudah menyatakan komitmen untuk melaksanakan program ini setiap tahun. Bagi mereka yang gagal kali ini, boleh memohon sekali lagi tahun depan dan mereka akan diberi keutamaan,” katanya.

     
     
  • Suzuki Katana 2019 tiba di Malaysia – harga RM85k?

    Sejak beberapa tahun ini pengedar rasmi Suzuki di Malaysia memang agak senyap. Mereka kurang berhubung dengan pihak media, dan pejabat urusan di Glenmarie juga sudah ditutup. Tapi, operasi mereka sebenranya masih lagi berjalan, dengan lebih tertumpu kepada motosikal kapasiti tinggi import, dan ibu pejabat di Pulau Pinang.

    Tahun ini secara globalnya, Suzuki mempunyai sebuah model penting, di mana ia sudah mempunyai nama yang dikenali tetapi ini adalah generasi baru. Model yang dikatakan adalah Katana 2019. Ia baru sahaja didedahkan kepada dunia hujung tahun lalu, dan jangan terperanjat, ia sudah pun tiba di Malaysia.

    Suzuki Malaysia telah memuat naik beberapa gambar yang menunjukkan Katana sudah sampai di ibu pejabat mereka, dan setakat yang dapat dilihat cuma ada satu unit sahaja. Kami buat tekaan, ini mungkin untuk latihan teknikal ataupun untuk dibawa ke pameran jelajah mereka. Maklumat bila ia dilancarkan di sini masih belum diketahui.

    Tetapi, ada wakil pengedar Suzuki yang telah mula meletakkan harga awal untuk tempahan Katana ini dan ia tertera RM85,000. Sudah tentu, ini bukanlah harga rasmi, tapi kalau melihat kepada langkah-langkah yang diambil oleh Suzuki Malaysia sebelum ini, ia kedengaran masuk akal. Kalau anda mahu tahu, sebelum ini juga Suzuki Malaysia mempunyai harga yang mesra pengguna melalui model berkapasiti tinggi mereka yang diimport sepenuhnya daripada Jepun, tapi kurang mendapat sambutan mungkin kerana model itu sendiri tidak menarik.

    Katana baru menggunakan enjin yang diambil daripada GSX-R1000 – unit empat silinder sebaris DOHC 999 cc dengan kuasa 150 hp dan transmisi enam kelajuan, dan ia mempunyai pelbagai kelengkapan moden lain seperti suspensi USD di hadapan, monoshock di belakang, set brek cakera Brembo berkembar di hadapan dan satu di belakang, serta meter jenis digital.

    GALERI: Suzuki Katana 2019

     
     
  • ECRL: Terengganu akan ada enam stesen; penglibatan kontraktor tempatan juga meningkat kepada 40%

    ECRL: Terengganu akan ada enam stesen; penglibatan kontraktor tempatan juga meningkat kepada 40%

    Berikutan perubahan jajaran laluan bagi projek ECRL selepas kerajaan umumkan bakal diteruskan dengan penjimatan kos, ada khabar angin bertiup mengatakan bahawa jajaran berkenaan tidak akan melibatkan hentian di Terengganu.

    Namun, perkara ini disanggah oleh Tun Daim Zainuddin. Jelas beliau, penduduk Terengganu tidak perlu khuatir atau keliru dengan pembaharuan jajaran yang dilakukan itu kerana negeri terbabit akan menerima enam stesen ECRL yang akan dibina di sana.

    Projek berkenaan diumum bakal diteruskan selepas kerajaan dapat mengurangkan kos keseluruhan projek sebanyak RM21.5 bilion, menjadi hanya RM44 bilion berbanding kos asal RM65.5 bilion sebelum ini, seperti dilaporkan oleh Bernama.

    ECRL: Terengganu akan ada enam stesen; penglibatan kontraktor tempatan juga meningkat kepada 40%

    “Rancangannya ialah akan ada enam stesen di Terengganu, dibahagi kepada stesen untuk penumpang, kargo dan untuk kedua-duanya sekali. ECRL akan melalui Terengganu dan tidak akan melangkau negeri itu seperti yang dicanang oleh sesetengah pihak,” jelas Daim. Berdasarkan cadangan baru perubahan jajaran ECRL itu, enam stesen yang dimaksudkan akan dibina di Terengganu ialah di Chukai, Kemasik, Dungun, Pengkalan Berangan, Kuala Terengganu dan Kampung Raja.

    Projek ECRL ini akan disambung semula selepas perjanjian tambahan (SA) antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) ditandatangani. Selain pengurangan kos, jajaran baru dari Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Kelawang-Bangi/Kajang-Putrajaya dan ke Port Klang juga bakal menyaksikan jarak yang lebih pendek; 648 km berbanding 688 km.

    Tun Daim turun memaklumkan, dengan perjanjian tambahan antara MRL dan CCCC itu, keterlibatan kontraktor tempatan juga akan meningkat kepad 40% berbabnding hanya 30% sahaja sebelum ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025