Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Kia Optima EX 2019 dipamerkan secara rasmi di M’sia

    Kia Optima EX 2019 dipamerkan secara rasmi di M’sia

    Hujung Mac lalu, Naza Kia Malaysia umumkan pengenalan model Optima EX terbaru, yang ditawarkan di bawah varian GT dan dijual pada harga RM139,888 (atas jalan tanpa insurans). Ia menjadikannya RM30,000 lebih murah berbanding GT – dan hanya menggunakan enjin 2.0 liter, tanpa turbo.

    Enjin 2.0 CVVL ini memberikan kuasa sehingga 163 PS dan tork 196 Nm, dan dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan konvensional. Prestasi enjin ini sedikit rendah berbanding enjin GT yang menggunakan unit 2.0 T-GDi dengan kuasa 245 PS dan 350 Nm – enjin EX kurang 82 PS dan 164 Nm janaan output.

    Kia Optima EX menerima gril “vertical intaglio”, lampu utama LED projektor berkembar, serta corong bawah baharu dengan palang mendatar – sedikit lebih ringkas berbanding GT. Lampu kabus LED yang digunakan bagaimana pun mirip yang ada pda GT. Lain-lain ciri luaran termasuk lampu belakang gabungan LED dan roda aloi pelbagai-jejari 17-inci.

    Di dalam, kabinnya dilengkapi tempat duduk pemandu berkuasa elektrik dengan fungsi memori, tempat duduk fabrik hitam, brek parkir elektrik, kunci pintar dengan butang penghidup enjin dan sistem infotainmen tujuh-inci dengan fungsi Android Auto dan Apple CarPlay.

    Ia turut dilengkapi dengan paparan 360-darjah yang tidak disertakan pada model Optima EX terdahulu. Ada tiga pilihan warna; Aurora Black, Snow White Pearl dan Platinum Graphite dan ia termasuk juga dengan jaminan lima-tahun/tanpa had perbatuan.

     
     
  • Honda CR-V Mugen Concept tampil di Malaysia Autoshow 2019 – rim aloi baharu 19-inci

    Honda CR-V Mugen Concept tampil di Malaysia Autoshow 2019 – rim aloi baharu 19-inci

    Sebelum ini, Honda Malaysia pernah mempamerkan model CR-V Mugen Concept di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2018 yang berlangsung pada November lalu. Namun, kini sekali lagi model yang sama turut dipamerkan di Malaysia Autoshow 2019 yang sedang berlangsung di MAEPS, Serdang, sehingga Ahad ini.

    Apa yang menariknya, kali ini, CR-V Mugen Concept menampilkan pakej Mugen yang lebih lengkap dengan rim aloi baharu 19-inci yang dibaluti tayar Continental 235/55. Berbanding CR-V Mugen Concept yang dipamerkan di KLIMS dengan rim aloi 18-inci sama seperti model standard CR-V yang masih berada dalam pasaran.

    Lain-lain kit badan sports yang membaluti SUV generasi kelima ini termasuk tambahan kepada bahagian bawah bampar dan lencana Mugen di atas gril. Bahagian tepinya pula dipasang dengan panel tambahan yang sama dengan warna badan. Manakala di belakangnya pula terdapat lencana Mugen.

    Model konsep dengan varian 1.5 liter Turbo ini tidak memberikan sebarang perubahan lain untuk bahagian mekanikalnya. Begitu juga dengan bahagian dalamannya yang masih sama seperti model standard. Namun jika ia sah dibawa masuk ke pasaran Malaysia, pastinya CR-V 1.5L Turbo Mugen ini mampu menarik perhatian ramai, apatah lagi dengan padanan warna Passion Red Pearl, yang pertama kali diperkenalkan pada HR-V RS facelift

    Untuk pasaran Malaysia, Honda CR-V ditawarkan dalam tiga varian yang menggunakan enjin 1.5 liter Turbo dengan harga masing-masing RM150,992, RM156,732 dan RM163,191 manakala varian yang menggunakan enjin 2.0 liter NA dijual pada harga RM138,308.

     
     
  • Honda BR-V Special Edition di M’sia Autoshow 2019

    Honda BR-V Special Edition di M’sia Autoshow 2019

    Februari lalu, Honda Malaysia telah mengumumkan edisi istimewa untuk SUV/MPV tujuh-tempat duduk mereka iaitu BR-V Special Edition. Hari ini sempena berlangsungnya Malaysia Autoshow 2019 di MAEPS, Serdang, Honda Malaysia buat pertama kalinya mempamerkan versi istimewa ini pada acara awam.

    Seperti yang kami laporkan sebelum ini, BR-V Special Edition hanya dihasilkan sebanyak 300 unit, berasaskan model varian tertinggi gred V. Ia dijual pada harga RM90,700, dan diberikan berberapa ciri tambahan bagi membezakannya dengan versi biasa.

    Pada bahagian sisi, BR-V Special Edition didatangkan standard dengan Running Board dan kemasan pada bendul pintu. Manakala di belakang, ia hadir dengan spoiler bumbung pada pintu tailgate.

    Honda BR-V Special Edition di M’sia Autoshow 2019

    Model yang dipamerkan pada hari ini hadir dengan warna badan Passion Red Pearl yang menggantikan warna Dark Ruby Red Pearl sebelumnya. Jika anda mahukan warna putih istimewa White Orchid Pearl, bayaran tambahan sebanyak RM300 perlu disediakan.

    Masuk ke kabin, BR-V Special Edition menerima skrin sesentuh bersaiz 6.8-inci, berbanding hanya 6.1-inci pada model V standard. Walaupun mempunyai saiz yang sama dengan skrin pada Jazz dan City, skrin 6.8-inci pada BR-V menampilkan paparan yang berbeza.

    Untuk ciri-ciri lain, versi Special Edition ini masih berkongsi dengan model gred V, termasuk rim aloi 16-inci, upholsteri kulit, penghawa dingin automatik dengan unit untuk kabin belakang, dua-beg udara, sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin, kamera undur dan sistem VSA. Unit janakuasa juga tidak berubah dengan enjin 1.5 liter i-VTEC berkuasa 120 PS/145 Nm, bersama kotak gear CVT automatik memacu roda hadapan.

     
     
  • Honda CB650R dan CBR650R tiba di Malaysia – harga jualan masing-masing RM43,499 dan RM45,499

    Honda CB650R dan CBR650R tiba di Malaysia – harga jualan masing-masing RM43,499 dan RM45,499

    Bukan setakat kereta, pengeluar motosikal juga ada membuat penampilan di Malaysia Autoshow 2019. Ini termasuklah Boon Siew Honda yang turut melancarkan dua model baru iaitu CB650R dan CBR650R dengan harga pasaran masing-masing RM43,499 dan RM45,499 tidak termasuk insurans.

    Dua model ini pertama kali diperkenalkan kepada dunia semasa pameran EICMA hujung tahun lalu, dan dilancarkan sebagai pengganti kepada CB650F dan juga CBR650F sebelum ini. Kedua-dua model baru ini juga masih menggunakan enjin empat silinder DOHC 649 cc sama, yang mampu menghasilkan kuasa 94 hp pada 12,000 rpm dan 64 Nm tork pada 8,500 rpm. Transmisi pula adalah unit enam kelajuan dengan klac slip and assist.

    Melihat kepada CBR650R yang mempunyai fairing penuh, ia telah diterapkan dengan lebih banyak inspirasi daripada CBR1000R bersama lampu depan jenis LED dan ia adalah lebih ringan 6 kg. Kedudukannya pula lebih sporty dengan pemegang 30 mm lebih ke hadapan manakala pemijak kaki ditinggikan dan diletakkan sedikit ke belakang.

    Antara kelengkapan lebih berprestasi yang telah diletakkan pada model baru ini adalah termasuk fork Showa USD 41 mm SPF, monoshock belakang dengan pelarasan pra beban 10 tahap, lengan ayun aluminium, angkup brek empat piston dengan cakera 310 mm di depan serta angkup satu piston dengan cakera 240 mm di belakang.

    Walaupun mempunyai bentuk badan yang berlainan, kapasiti tangki dua motosikal ini masih lagi sama iaitu 15.4 liter sementara CBR650R mempunyai tambahan berat 5 kg menjadi 207 kg (berat CB650R adalah 202 kg). Rim pula adalah unit 17 inci dengan tayar 120/70 di hadapan dan 180/55 di belakang.

    GALERI: Honda CB650R 2019


    GALERI: Honda CBR650R 2019


     
     
  • Aksesori GearUp untuk Aruz ditambah – boleh dimasukkan sekali dalam jumlah pinjaman sewa beli

    Aksesori GearUp untuk Aruz ditambah – boleh dimasukkan sekali dalam jumlah pinjaman sewa beli

    Semasa pelancaran Aruz awal tahun ini, Perodua juga telah mendedahkan senarai aksesori GearUp untuk model tersebut. Kini, beberapa lagi aksesori ditambah dalam senarai tersebut dan ia didedahkan waktu pameran Malaysia Autoshow yang berlangsung di MAEPS, Serdang.

    Aksesori baru yang diperkenalkan adalah termasuk skirt hadapan dan belakang dengan jalur merah, pada harga RM700 setiap satu, penutup bahagian kargo berharga RM250, pelapik tempat duduk dengan jahitan merah berharga RM950 serta perehat tangan tengah dengan ruang simpanan di dalam, berharga RM180.

    Selain daripada lima aksesori baru ini, Perodua sememangnya sudah menawarkan aksesori lain untuk Aruz yang termasuk pakej utiliti (visor pada pintu, lapik kaki serta alas untuk bahagian barangan) berharga RM450, serta pelapik kedap bunyi bawah hud dan dalam pintu dengan masing-masing berharga RM80 dan RM455.

    Aksesori lain yang ditawarkan adalah seperti visor pintu (RM160), scuff plate krom (RM150), pelindung bampar belakang (RM160), pelapik tempat barangan belakang (RM140), sistem pemerhati tekanan angin tayar yang boleh disambung kepada aplikasi dalam telefon pintar (RM430), beg barangan kecil (RM37) dan magnet pemegang telefon (RM30).

    Semua harga ini adalah untuk Semenanjung Malaysia manakala untuk Sabah dan Sarawak ia ditambah antara RM3 hingga RM20. Selain daripada itu, pembeli kenderaan baru Perodua juga boleh memasukkan sekali harga aksesori GearUp ini dalam jumlah pinjaman sewa beli dan disokong dengan jaminan selama enam bulan.

     
     
  • Mazda CX-8 muncul di Malaysia Autoshow 2019

    Mazda CX-8 muncul di Malaysia Autoshow 2019

    Seperti yang kami laporkan dua hari lalu, Mazda CX-5 yang diberikan tambahan satu lagi baris tempat duduk, digelar CX-8 kini telah pun membuat penampilan awamnya yang pertama di Malaysia. Dipamerkan oleh Bermaz di Malaysia Autoshow 2019, model ini adalah untuk prebiu kepada orang ramai sebelum dilancarkan pada pasaran tempatan tidak lama lagi.

    Untuk pasaran Malaysia, CX-8 akan ditawarkan dalam dua konfigurasi kerusi iaitu tujuh-tempat duduk (2-3-2) dan enam-tempat duduk (2-2-2). Varian asas datang dengan tujuh-tempat duduk, diikuti oleh versi enam-tempat duduk, dengan captain seat untuk barisan tengah. Secara keseluruhan, empat varian ditawarkan di mana dua varian teratas menerima balutan kulit bagi tempat duduknya serta perehat lengan pada konsol tengah (tempat duduk fabrik untuk varian yang lebih rendah). Papan pemuka untuk model ini pula diambil terus dari CX-5.

    Versi yang dipamerkan hari ini hingga 14 April nanti di MAEPS, Serdang ini adalah dari versi tujuh-tempat duduk dengan upholsteri kulit perang gelap, berbeza dengan balutan kulit putih seperti yang ditayangkan kepada media Februari lalu.

    Mazda CX-8 muncul di Malaysia Autoshow 2019

    Untuk sistem janakuasa pula, dua jenis enjin ditawarkan untuk pasaran Malaysia. Tiga varian di bawah akan dijana enjin 2.5 liter NA SkyActiv-G berkuasa 192 hp/257 Nm, dengan kotak gear automatik enam kelajuan memacu roda hadapan. Manakala versi tertinggi akan diberikan enjin turbodiesel 2.2 liter SkyActiv-D menjana 188 hp/450 Nm, dan satu-satunya varian ditawarkan dengan sistem AWD.

    Semua varian juga menerima rim aloi 19-inci, lampu hadapan LED automatik, lampu kabus LED, lampu belakang LED, sistem pintar tanpa kunci, kawalan pendingin hawa tiga-zon, kerusi pemandu larasan 10-cara, sistem infotainmen MZD Connect, enam beg udara, kawalan kestabilan dinamik, ABS dengan EBD dan bantuan brek, kawalan cengkaman dan bantuan mula mendaki.

    Pakej keselamatan Mazda i-Activesense masih belum ditetapkan sebagai standard atau tidak, namun teknologi G-Vectoring Control dan sistem melahu i-Stop sudah disahkan akan diberikan pada CX-8 pasaran Malaysia.

    Menurut Bermaz, spesifikasi untuk pasaran tempatan mungkin sedikit berbeza dari model yang akan dipamerkan hari ini, dan mereka bermurah hati untuk turut mendedahkan bahagian dalamannya pada masa-masa terpilih kepada orang ramai (11 pagi-12 petang, 1 petang-2 petang, 3 petang-4 petang, 5 petang hingga 7 petang) dari 12 hingga 14 April. Mereka yang berminat dengan CX-8 ini turut boleh mendaftarkan minat pada acara berkenaan.

    Khabar yang kami terima, CX-8 ini akan dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia, dan Bermaz merancang untuk mengeksportnya ke pasaran lain di rantau ini. Tiada sebarang angka disebut untuk membayangkan harga jualannya kelak, namun kita mungkin boleh membuat jangkaan berdasarkan harga CX-5 di mana varian asas 2.0L 2WD dijual pada harga bermula RM132k, manakala varian tertinggi 2.2L turbodiesel AWD dijual dengan harga RM174k.

     
     
  • BMW i3s dilancarkan di Malaysia – mula dari RM279k

    BMW i3s dilancarkan di Malaysia – mula dari RM279k

    Hari ini ada sebuah lagi kereta elektrik sepenuhnya yang dilancarkan untuk pasaran tempatan. BMW i3s, yang merupakan versi lebih sporty bagi model BMW i3 ini akan dijual pada harga anggaran RM279,000. Kereta kecil ini menggunakan janaan kuasa motor elektrik hybrid synchronous yang ditempatkan di belakang yang dipakejkan bersama elektronik kuasa bersepadu, unit pengecas serta fungsi generator untuk janaan semula tenaga melalui brek (sehingga 50 kW).

    Motor elektriknya menyediakan 181 hp (135 kW) dan 270 Nm tork, dengan bacaan 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat dan laju maksimum 160 km/j. Antara yang diperbaharui bagi aspek ini berbanding model i3 ialah kawalan motornya dan pembaharuan bahagian roller bearing yang digunakan, menjadikan penyaluran kuasa lebih baik.

    BMW i3s juga dilengkapi dengan mod Sport khusus yang boleh dipilih melalui sistem Driving Experience Control. Mod berkenaan turut merangkumi program cengkaman yang mengizinkan sedikit situasi drift pada tayar ketika tahap cengkaman pada tahap yang rendah.

    BMW i3s dilancarkan di Malaysia – mula dari RM279k

    Kereta ini menggunakan bateri lithium-ion yang terletak di bahagian lantai, dengan output 42.2 kWh (output) dengan kapasiti 120 Ah. Ini memberikan jarak perjalanan sekiar 260 km bagi satu cas penuh, atau 345 km jika mengikut ujian kitaran WLTP. Ini bateri dengan kapasiti yang paling tinggi diperkenalkan untuk barisan kenderaan BMW i3 setakat ini.

    Untuk mengecas, boleh dilakukan melalui kaedah AC atau DC. Bagi AC, ia menggunakan pengecas siap pasang dan sambungan Type 2. Bagi DC, pemilik perlu menggunakan sambungan Sistem Pengecas Gabungan, yang merupakan lanjutan kepada penyambung Type 2 dengan dua pin tambahan di bawah.

    Dengan BMW i Wallbox Connect yang menyediakan 11 kW tiga-fasa, kuasa pengecas AC, proses mengecas dari kosong hingga 80% (sekitar jarak perjalanan 180 km), masa yang diperlukan ialah sekitar 3 jam enam minit. Jika ingin mengecas di tempat selain rumah anda, boleh gunakan rangkaian ChargEV di seluruh negara yang juga merupakan sebahagian daripada BMW ChargeNow yang termasuk di dalam program BMW 360° Electric. Bergantung lokasi, pengecas ChargeEV mempunyai output antara 3.7 kW, 7.0 kW atau 22 kW.

    BMW i3s dilancarkan di Malaysia – mula dari RM279k

    Lain-lain perkara yang menyumbang kepada dinamik pemanduan pada BMW i3s adalah penggunaan gelung dan penyerap hentak serta palang anti-olengan yang direka khas, dengan kedudukan badan kenderaan yang 10 mm lebih rendah.

    Ciri lain termasuk sistem kawalan kestabilan dan cengakaman yang dipertingkat, begitu juga dengan ciri kawalan brek diselekoh dan kawalan brek dinamik. Badan kereta ini diperbuat daripada bahan plastik yang diperkukuh (CFRP) sementara modul janaan kuasa menggunakan aluminium sepenuhnya.

    Wajah depan kereta ini lebih garang terutama pada rekaan bamparnya yang hadir dengan perincian hitam berkilat. Ciri standard pula terdiri daripada lampu utama LED sepenuhnya dan rim 20-inci (Style 431) dengan kombinasi tayar depan bersaiz 175/55 dan 195/50 di belakang.

    Di dalam, ia menggunakan rekaan dalaman dikenali sebagai BMW i Interior Design Suite yang menampilkan kemasan balutan Dark Truffle Leather Vernasca dengan alas bumbung Carum Spice Grey. Kabin pula dilengkapi dengan unit TFT-LCD 5.7-inci paparan instrumen digital dan satu lagi unit skrin 10.25-inci yang disambung kepada sistem infotainmen BMW Navigation System Professional dengan sistem operasi iDrive.

    Aspek keselamatan, i3s datang dengan pakej Driving Assistant Plus yang merangkumi kamera pandang belakang, kawalan jarak parkir, kawalan cruise aktif dengan fungsi Start/Stop, amaran perlanggaran pejalan kaki dan lain-lain. BMW ConnectedDrive turut disediakan.

    Seperti dinyatakan awal tadi, harga anggaran bagi BMW i3s ini ialah RM279,000 dan ditawarkan dengan Balloon Financing Plan dari BMW Malaysia. Berdasarkan 80% ambilan pinjaman bagi tempoh lima tahun, ansuran kereta ini bermula dari RM3,188. Ia juga datang dengan jaminan lima-tahun dengan jadual servis berjadual, jaminan dua tahun untuk tayar serta capaian kepada bantuan tepi jalan BMW dan hotline kemalangan.

     
     
  • Proton Iriz dan Persona 2019 dipertontonkan di Malaysia Autoshow 2019 hujung minggu ini

    Proton Iriz dan Persona 2019 dipertontonkan di Malaysia Autoshow 2019 hujung minggu ini

    Proton turut mengambil kesempatan mempertontonkan model Iriz dan Persona facelift 2019 dalam penganjuran Malaysia Autoshow 2019 yang berlangsung hari ini hingga 14 April di MAEPS, Serdang. Malah Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, dengan diiringi Dato’ Sri Syed Faisal Albar, Pengerusi Proton serta Dr. Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, berbesar hati untuk mendedahkannya bagi tatapan khalayak umum.

    “Proton amat berterima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, kerana berbesar hati memperkenalkan Proton Iriz dan Proton Persona 2019 ini di Pameran Auto Malaysia. Barisan jurutera dan pereka bentuk syarikat telah bekerja keras selama 18 bulan untuk menambahbaik kedua-dua model ini.

    “Kami yakin bahawa pembeli kereta Malaysia akan dapat melihat dan merasai sendiri hasil usaha mereka apabila mereka melangkah masuk ke dalam setiap satu daripada kereta ini. Setakat ini, lebih 8,000 tempahan (untuk kedua-dua model ini) telah diterima dan kami percaya bahawa angka ini akan bertambah sebaik sahaja kereta tersebut mula dijual,” kata Dr Li Chunrong.

    Bagi Iriz 2019, ia ditawarkan dengan lima varian – Standard 1.3L MT, Standard 1.3L CVT, Executive 1.3L CVT, Executive 1.6L CVT dan Premium 1.6L CVT. Ia juga masih kekal dengan dua pilihan enjin iaitu 1.6 liter VVT berkuasa 107 hp/150 Nm dan juga 1.3 liter VVT berkuasa 94 hp/120 Nm. Kedua-duanya dipadankan dengan kotak gear CVT, dan lima-kelajuan manual hanya untuk model 1.3 liter.

    Walau pun tiada perubahan untuk enjin dan transmisi, untuk Iriz 2019 ini, Proton mendakwa telah menambah baik prestasi brek, NVH Rating, dan juga lebih menjimatkan bahan api. Bukan itu sahaja, kualitinya telah dipertingkatkan berdasarkan standard penilaian yang dikenali sebagai GCPA Rating, yang ditetapkan oleh Geely.

    Manakala bagi Persona 2019, ia menawarkan varian Standard 1.6 MT, Standard 1.6 CVT, Executive 1.6 dan 1.6 Premium. Ia masih mengekalkan enjin 1.6 liter VVT naturally-aspirated empat-silinder dengan hamburan kuasa 107 hp pada 5,750 rpm dan tork 150 Nm pada 4,000 rpm. Ia menampilkan kotak gear CVT dan manual lima-kelajuan yang hanya untuk model Standard 1.6 MT. Namun Proton telah melakukan talaan semula pada enjin, kotak gear CVT dan brek bagi meningkatkan ekonomi bahan api, tahap kesenyapan dalam kabin dan juga kuasa membrek.

    Untuk imej luaran dan dalaman yang lebih segar, Iriz dan Persona 2019 telah menerima sentuhan rekaan baharu, hasil kerjasama kumpulan reka bentuk Proton dan pereka-pereka dari studio rekan bentuk Geely lain di seluruh dunia. Antara ciri baharu yang ditampilkan termasuklah ethereal bow serta corak infinite weave yang telah dipadankan pada gril hadapan serta bampar hadapan dan belakang baharu termasuk perkataan “Proton” dalam rekaan 3D melintang di tengah dan ternyata ia cukup menonjol.

    Untuk bahagian dalamnya pula, antara elemen yang ditampilkan ialah padanan unit stereo pintar pada varian Premium 1.6AT, ciri pertama dalam kelasnya yang menggunakan kad eSIM untuk memastikan kereta tersebut kekal bersambung ke Internet. Turut ditawarkan adalah aplikasi bagi penstriman muzik, navigasi dan pengecaman suara serta turut boleh diakses melalui skrin sentuh tujuh-inci dengan paparan warna penuh dan memori dalaman sebanyak 16GB. Pengguna telefon pintar Android juga akan dapat menikmati fungsi mirroring penuh melalui aplikasi sambungan yang mudah, membolehkan mereka mengakses data yang disimpan pada peranti mudah alih mereka.

    Menurut Proton, secara keseluruhannya, sebanyak 367 penambahbaikan telah dilakukan terhadap Iriz 2019 ini, manakala untuk Persona 2019 pula, melibatkan 303 penambahbaikan pada pelbagai bahagian kereta tersebut. Difahamkan, kedua-dua model terbabit akan dilancarkan serentak bulan ini. Namun buat masa ini, harganya masih belum didedahkan. Nantikan perincian penuh mengenainya apabila ia dilancarkan kelak.

    GALERI: Proton Iriz Premium 1.6L CVT 2019

    GALERI:Proton Persona facelift 2019 1.6 CVT Premium

     
     
  • Honda Civic Type R FK8 Mugen Concept muncul di M’sia Autoshow 2019 – penampilan sulung di ASEAN

    Honda Civic Type R FK8 Mugen Concept muncul di M’sia Autoshow 2019 – penampilan sulung di ASEAN

    Kami berpeluang melihat sendiri model prototaip Honda Civic Type R Mugen di Tokyo Auto Salon (TAS) 2019 pada Januari lalu, dan ketika berlangsungnya Malaysia Autoshow 2019 yang bermula hari ini, sebuah lagi FK8 Mugen telah membuat penampilan yang diberi nama Civic Type R Mugen Concept.

    Menurut Honda Malaysia, kereta berkenaan bukan sahaja membuat kemunculan sulungnya di sini, malah buat pertama kali di Asia Tenggara.

    Unit yang dipamerkan hari ini sedikit berlainan dengan versi yang kami saksikan di TAS 2019 tempoh hari. Sebahagian besar ciri – spoiler dan pelindung liang udara bampar hadapan, gril gentian karbon dengan emblem Mugen, liang udara bonet enjin dengan pemisah tengah, skirt sisi lebih labuh, penutup cermin sisi gentian karbon, lampu belakang LED Mugen dengan grafik istimewa dan juga diffuser lebih besar pada bampar belakang – masih lagi sama.

    Honda Civic Type R FK8 Mugen Concept muncul di M’sia Autoshow 2019 – penampilan sulung di ASEAN

    Namun spoiler belakang aluminium Mugen yang kelihatan seperti spoiler gentian karbon pada Civic Type R Mugen RC20GT tidak diberikan pada versi konsep yang tampil pada hari ini.

    Begitu juga dengan ekzos yang masih lagi kekal dengan tiga tip standard berbanding versi Mugen menampilkan hanya dua tip. Walau bagaimanapun, rim 20-inci dengan tayar 245/30ZR20 dan nat-nat dari Mugen seperti RC20GT diterima oleh kereta ini, bersama cakera-cakera brek yang ditebuk.

    Warna badan juga berbeza di mana unit prototaip yang muncul di TAS 2019 adalah berwarna Championship White, manakala versi konsep di Malaysia ini pula adalah berwarna Carnival Red. Versi ini turut tampil dengan pelekat jalur sisi badan Mugen yang hampir sama seperti RC20GT.

    Honda Civic Type R FK8 Mugen Concept muncul di M’sia Autoshow 2019 – penampilan sulung di ASEAN

    Masuk ke kabin, Type R Mugen Concept ini tidak diberikan tempat duduk bucket Mugen, sebaliknya masih mengekalkan tempat duduk asli. Tetapi tombol gear titanium asal telah digantikan dengan unit dari Mugen yang dibaluti kulit berwarna merah, bersama roda stereng Mugen yang diperbuat dari material gentian karbon. Karpet kaki dan juga scuff plate Mugen juga diberikan pada model konsep ini.

    Tiada sebarang data mekanikal didedahkan hari ini. Dalam keadaan standard, Honda Civic Type R FK8 ini sudahpun mempunyai bekalan kuasa 310 PS dan tork maksima 400 Nm dari enjin K20C1 2.0 liter empat-silinder VTEC Turbo. Kuasa disampaikan ke roda hadapan hanya menerusi kotak gear manual enam-kelajuan nisbah rapat lengkap dengan short shifter dan LSD helical.

    Honda Malaysia juga tidak menyatakan bahawa model ini atau kit badan ini akan dijual atau tidak pada pasaran tempatan, kerana setakat ini mereka hanya sekadar menayangkan konsep rekaan Mugen tersebut.

     
     
  • Perodua Bezza Limited Edition dilancar – RM44,890

    Perodua Bezza Limited Edition dilancar – RM44,890

    Perodua telah memperkenalkan sebuah model istimewa, iaitu Bezza Limited Edition semasa pameran Malaysia Autoshow 2019 yang berlangsung dari hari ini sehingga Ahad di MAEPS, Serdang. Ia hanya dikeluarkan terhad 50 unit, dan cuma boleh ditempah sewaktu acara yang berlangsung selama empat hari ini. Harganya adalah RM44,890 tidak termasuk insurans.

    “Perodua Bezza Limited Edition merupakan model yang menggambarkan personaliti pemilik yang lebih unik dan sporty. Dengan aksesori GearUp yang eksklusif untuk model ini, anda akan lebih menonjol dan menyerlah di khalayak ramai semasa memandu sedan kegemaran Malaysia,” kata pengarah urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Dato’ Dr Zahari Husin.

    Bezza Limited Edition menggunakan asas daripada Bezza 1.3 Premium X AT. Keseluruhan bahagian badannya menggunakan warna utama Ivory White, dan diserikan dengan kit badan GearUp berwarna hitam matte, jalur merah di kelilng kereta, spoiler belakang hitam matte, bumbung hitam serta rim kelabu gelap.

    Penampilan sporty ini kemudiannya diperlengkap dengan lapik cermin sisi warna merah serta grafik geometri atas bonet dan tepi kereta. Masuk pula ke dalam, anda boleh melihat sarung tempat duduk GearUp dengan kemasan jahitan merah, corong pendingin hawa berwarna merah serta karpet GearUp.

    Memandangkan ia menggunakan asas daripada model 1.3 Premium X AT, Bezza Limited Edition ini dikuasakan oleh enjin 1NR-VE Dual VVT-i 1,329 cc serta padanan kotak gear automatik empat kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 95 PS pada 6,000 rpm dan 121 Nm tork pada 4,000 rpm. Kelengkapan lain yang ada padanya termasuk dua beg udara hadapan, brek ABS dengan EBD, pengesan undur, cagak Isofix, sistem kunci pintar dan sistem audio dengan sambungan USB dan Bluetooth.

     
     
  • Proton X70 CKD ikut jadual, akan diperkenal tahun ini

    Proton X70 CKD ikut jadual, akan diperkenal tahun ini

    Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Berhad, Dato’ Seri Syed Faisal Albar dalam satu sesi bersama media semalam mengesahkan Proton X70 versi pemasangan tempatan (CKD) ketika ini berjalan mengikut jadual. Seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini, model CKD SUV pertama Proton itu dijangka akan diperkenalkan tahun ini, bagi menggantikan penawaran model CBU ketika ini.

    “Kerja-kerja naik taraf dan persiapan di kilang Proton di Tanjung Malim untuk menampung pemasangan CKD X70 berjalan seperti dirancang dan hampir selesai. Selepas ini, ujian pemasangan kenderaan akan dilakukan serta memperkemaskan proses terlibat untuk memastikan kualiti berada pada tahap tertinggi. Begitu juga dengan untuk mempersiapkan vendor-vendor terlibat untuk tujuan ini,” ujar beliau.

    Berkaitan kadar kandungan tempatan (local content) yang akan dilakukan terhadap X70 CKD nanti, tidak ada anggaran peratusan yang didedahkan. “Tetapi, ciri seperti sistem GKUI yang digunakan ketika ini antara perkara yang akan diberikan kemaskini dan disesuaikan untuk pengguna tempatan,” tambah beliau. Sebagai contoh, sistem peta yang menjadi sebahagian daripada sistem berkenaan pada X70 ketika ini menggunakan versi dari Baidu yang dibangunkan di China.

    Ditanya berkaitan pelaburan yang dilakukan oleh DRB-Hicom ke atas Proton selepas Geely menjadi rakan strategiknya dan sama ada DRB-Hicom masih melakukan pelaburan ke dalam syarikat itu, Syed Faisal menjelaskan, bagi semua pelaburan ke atas Proton bersama Geely dilakukan dalam dua cara.

    Pertama, berdasarkan peratusan pegangan saham dan kepentingan – iaitu melibatkan kedua-dua syarikat, DRB-HICOM dan Geely, dan cara kedua yang menjadi kaedah utama pelaburan ialah melalui pinjaman bank. Dalam maksud lain, kedua-dua syarikat berkepentingan berkenaan terlibat secara langsung dalam pelaburan untuk Proton. Berapa agaknya harga X70 CKD nanti?

     
     
  • VIDEO: Petronas Primax 95 dengan Pro-Drive baharu – prestasi enjin mengagumkan dan lebih menjimatkan

    Pada Januari lalu, Petronas telah melancarkan bahan api baharunya, Primax 95 dengan Pro-Drive yang didatangkan dengan ciri “Dual Friction Modifier” yang pertama di dunia.

    Menurut Petronas, teknologi yang digunakan oleh Primax 95 dengan Dual Drive telah dirumuskan bersama ciri Dual Friction Modifier. Di mana bahan api baharu ini berkeupayaan mengurangkan geseran dalam enjin sebanyak 20% berbanding bahan api dengan modifier tunggal. Kesannya, enjin kenderaan menjadi lebih lancar dan responsif. Kedua, ia juga hadir dengan Double Detergent yang berupaya membersihkan sehingga 99% deposit karbon.

    Selain itu, petrol baharu ini juga hadir dengan ciri anti-hakisan enjin yang kini menyediakan dua kali lebih perlindungan kepada enjin. Ujian dan pemerhatian Petronas ke atas kenderaan juga mendapati, tenaga bateri yang tersisa masih berbaki 2% berbanding penggunaan petrol biasa. Ia juga menggunakan kurang tenaga bateri dan bahan api bagi satu jarak perjalanan yang sama.

    VIDEO: Petronas Primax 95 dengan Pro-Drive baharu – prestasi enjin mengagumkan dan lebih menjimatkan

    Sebelum ia dilancarkan, Primax 95 dengan Pro-Drive yang direka sepenuhnya di Malaysia ini turut diuji di Amerika Syarikat, malah telah melibatkan proses pembangunannya selama dua tahun. Ia juga telah menjalani begitu banyak proses ujian dalam pelbagai peringkat untuk memastikan kualitinya adalah lebih berbanding teknologi yang sebelum ini hanya menggunakan Friction Modifier tunggal.

    Malah antara ujian yang dilakukan sebelum dilancarkan adalah melibatkan pengalaman pengguna dengan memberikan mereka peluang untuk mencuba dan merasai sendiri kelebihan bahan api ini, tanpa dimaklumkan ia adalah bahan api terbaharu Petronas. Pengalaman tersebut turut dikongsikan menerusi rakaman video di atas.

    Rata-rata pengguna yang terpilih dalam sesi ujian yang dilakukan pada 21 November lalu turut berkongsi pendapat yang sama iaitu bahan api yang diuji ini mampu memberikan prestasi enjin yang lebih mengagumkan. Ini termasuklah ia membantu enjin mendapatkan kuasa pecutan yang lebih lancar, dan pemanduan yang lebih berdinamik termasuk ketika memotong kenderaan lain dan juga melalui jalan berbukit.

    Malah ia juga didapati mampu memberikan penjimatan ekonomi yang lebih optimum. Dua faktor terpenting ini dilihat mampu menjadi penanda aras bagi menentukan sama ada pengguna terus setia dan juga mampu menarik perhatian pengguna baharu untuk memilih Primax 95 dengan Pro-Drive ini.

     
     
  • Touch ‘n Go RFID: Pemasangan percuma kini ditawarkan di 9 pusat membeli-belah terpilih

    Touch ‘n Go RFID: Pemasangan percuma kini ditawarkan di 9 pusat membeli-belah terpilih

    Anda terlepas dengan program percubaan Touch ‘n Go RFID tahun lalu? Jangan risau, kali ini masih ada peluang yang usah dilepaskan. Kalau dulu, nak sertai program tersebut, perlu membuat permohonan menerusi dalam talian. Tapi kini, anda boleh berkunjung sahaja ke sembilan cawangannya di sekitar Lembah Klang dan tidak perlu membuat sebarang temujanji, hanya walk-in sahaja. Malah pemasangannya juga masih lagi ditawarkan secara percuma.

    Dokumen yang perlu dibawa ialah Mykad dan salinannya, lesen memandu (atau passport bagi bukan warga negara Malaysia) dan salinan sijil pemilikan kenderaan atau cover note insurans kenderaan yang masih sah.

    Seperti mana yang pernah dijelaskan sebelum ini, pelekat RFID, yang tertanam dengan cip frekuensi radio, akan dilekatkan sama ada di cermin hadapan atau lampu utama kenderaan anda. Ia adalah unik untuk setiap kenderaan, cuaca dan kalis haba.

    Peranti pelekat ini akan dihubungkan kepada aplikasi Touch ‘n Go eWallet pemiliknya – yang menyimpan kadar nilai wang semasa untuk kegunaan bayaran tol. Ketika kereta dengan kit RFID ini melalui plaza tol, pengimbas yang terletak di bahagian atas akan membaca gelombang frekuensi daripada pelekat berkenaan dan akan menolak nilai tol yang dikenakan dari e-wallet yang dihubungkan padanya.

    Touch ‘n Go RFID: Pemasangan percuma kini ditawarkan di 9 pusat membeli-belah terpilih

    Untuk mengetahui baki e-wallet ini, ia boleh disemak menerusi aplikasi yang disediakan. Manakala untuk tujuan menambah nilai pula, ia boleh dilakukan sama ada menerusi perkhidmatan pembankan dalam talian dan kad debit/kredit.

    Kini pengguna RFID akan menerima rebat sebanyak 20% untuk 10 laluan tol terawal sehingga 30 Jun ini. Cawangan pemasangan ini (secara walk-in) beroperasi setiap hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam di lokasi berikut:

  • Aeon Big Bukit Rimau, Shah Alam
  • Aeon Big, Kepong
  • Berjaya Times Square, KL
  • Empire Shopping Gallery, Subang Jaya
  • Sunway Velocity Mall, Cheras
  • Tesco, Pusat Bandar Puchong
  • Tesco Extra, Cheras
  • Tesco, Setia Alam
  • Tesco Bukit Tinggi, Klang
  • Jadi, sementara ia masih percuma dan cawangan pemasangannya pula diperluaskan, maka jangan lepaskan peluang ini. Pada September lalu, kami juga telah menjadi kumpulan pertama yang terlibat dengan program percubaan RFID ini dan ternyata ia cukup efektif serta disifatkan relevan untuk dilaksanakan secara lebih menyeluruh. Tapi kalau anda ada pengalaman tersendiri mengenai penggunaan RFID (bagi yang telah memasangnya), boleh juga berkongsinya dengan kami menerusi ruangan komen di bawah.

     
     
  • Toyota Yaris 1.5 G 2019 sudah mula dipamerkan di PJ – versi tertinggi dengan harga anggaran RM84,888

    Toyota Yaris 1.5 G 2019 sudah mula dipamerkan di PJ – versi tertinggi dengan harga anggaran RM84,888

    Walaupun ia belum dilancarkan secara rasmi, nampaknya Toyota tidak sabar untuk menjual hatchback segmen-B mereka – Toyota Yaris – yang kini telah dipamerkan di bilik pameran mereka di Seksyen 19 Petaling Jaya. Jika anda tidak berkesempatan untuk pergi sendiri, nah, kami bawakan galeri penuh Yaris berkenaan.

    Model yang dipamerkan tersebut adalah dari varian tertinggi Yaris 1.5 G yang ditawarkan pada harga anggaran (atas jalan tanpa insuran) RM84,888. UMW Toyota turut akan menawarkan dua lagi varian iaitu versi paling asas Yaris J berharga RM71,888 dan model pertengahan Yaris E berharga RM77,888.

    Lima warna disediakan untuk semua varian Yaris iaitu Super White, Silver Metallic, Attitude Black, Red Mica Metallic dan warna hero Citrus Mica Metallic seperti yang anda lihat ini serta iklan-iklan lain di media sosial dan Billboard di tepi Lebuhraya Persekutuan dengan Janna Nick disebelahnya.

    Toyota Yaris 1.5 G 2019 sudah mula dipamerkan di PJ – versi tertinggi dengan harga anggaran RM84,888

    Yaris merupakan versi hatchback yang diasaskan dari model sedannya iaitu Vios. Jadi ia turut menampilkan unit janakuasa sama seperti sedan segmen-B berkenaan iaitu enjin 2NR-FE 1.5 liter Dual VVT-i berkuasa 107 PS/140 Nm, digandingkan bersama kotak gear CVT automatik dengan mod manual yang diberikan tujuh nisbah gear maya.

    Kelengkapan luaran yang disertakan untuk varian G ini adalah termasuk lampu hadapan projektor, rim aloi dua-tona berdiameter 16-inci dibaluti tayar 195/50R16 dan lampu belakang LED.

    Unit yang dipamerkan ini juga nampaknya hadir dengan kit badan opsyen berharga RM2,800 yang terdiri dari spoiler dagu pada bampar hadapan, skirt sisi, spoiler bumbung pada pintu tailgate belakang serta lips tambahan pada bampar belakang. Pembeli juga boleh untuk tidak memilih spoiler bumbung pada kit ini bagi mendapatkan harga lebih rendah iaitu hanya RM2,450.

    Toyota Yaris 1.5 G 2019 sudah mula dipamerkan di PJ – versi tertinggi dengan harga anggaran RM84,888

    Rekaan Vios juga diterapkan pada bahagian dalaman. Yaris menerima papan pemuka yang diambil terus dari kembar sedannya itu, dan hadir dengan skrin sesentuh untuk sistem infotaimen DVD-AVX dan paparan imej dari kamera 360-darjah, paparan instrumen Optitron bersama paparan pelbagai info 4.3-inci, penghawa dingin automatik zon tunggal, upholsteri fabrik, port USB kabin belakang serta roda stereng dengan suis pelbagai fungsi.

    Pakej keselamatan juga serupa dengan Vios, menampilkan tujuh-beg udara, bantuan mula mendaki serta pemantau titik buta dengan amaran lintasan trafik belakang.

    UMW Toyota nampaknya kini mula menerapkan strategi lebih agresif untuk memasarkan Yaris generasi terkini ini dengan menghasilkannya secara pemasangan tempatan di kilang baharu mereka terletak di Bukit Raja, Klang. Ini membolehkan model ini dijual dengan harga lebih kompetitif, dan berbanding Vios, Yaris dijual RM2,400 sehingga RM5,300 (bergantung pada varian) lebih murah dari versi sedannya itu. Berminat? Jangan lupa untuk daftarkan minat anda pada PAUTAN INI.

     
     
  • Modenas batalkan projek enjin 150 cc yang heboh dulu

    Modenas batalkan projek enjin 150 cc yang heboh dulu

    Dalam sesi media hari ini, ada satu perkembangan berkaitan Modenas sebelum ini yang akhirnya diberi pengesahan dengan jelas oleh DRB-Hicom. Masih ingat dengan enjin 150 cc yang Modenas bangunkan sendiri dulu? Ramai yang tunggu-tunggu tapi tak juga diperkenalkan walaupun khabarnya dah siap dan sedang diuji.

    Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Berhad, Dato Seri Syed Faisal Albar mengesahkan bahawa projek enjin berkenaan telahpun dibatalkan. Sebabnya? Berdasarkan enjin yang sedia ada ketika itu, untuk menjadikannya menepati peraturan piawaian Euro 4 dan Euro 5 yang diperlukan oleh enjin-ejin baru ketika ini, dan Modenas merasakan tidak berbaloi untuk meneruskan projek berkenaan.

    Lepas pembatalan projek ini, apa yang sedang di usahakan oleh Modenas? Tiada perancangan akan datang yang dikongsi, melainkan pelaburan RM1.3 juta untuk mewujudkan 45 buah pusat Modenas Service Plus untuk tahun ini.

    Modenas batalkan projek enjin 150 cc yang heboh dulu

    Syarikat itu juga sedang menilai semula aspek insentif yang diberikan kepada pengedarnya agar menjadi lebih kompetitif dalam pasaran semasa. Dan, lebih penting, selepas kerjasama dengan Bajaj dengan pengenalan beberapa model tahun lalu, Modenas ketika ini juga berhasrat dan sedang mempertimbangkan rakan strategik baru untuk meningkatkan lagi daya saing Modenas.

    Selepas pengenalan model-model bersama Bajaj tahun (yang terakhir model Dominar 400), Modenas terus menyepi lagi sehinggalah kini. Terbaru, Ketua Pegawai Operasi syarikat itu juga sudah berganti, dengan Roslan Roskan menggalas tanggungjawab ke atas Modenas dan baru seminggu melaporkan diri. Sepertinya ada perkembangan dalaman Modenas yang sedang direncanakan ketika ini. Harapnya tak lama sangat jenama ini menyepi.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025