Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Mission Winnow Ducati perkenal pasukan MotoGP

    Mission Winnow Ducati perkenal pasukan MotoGP

    Pasukan factory Ducati dalam perlumbaan MotoGP menjadi antara pasukan terawal yang mendedahkan jentera musim baru mereka, dan kini, dengan penaja utama baru, pasukan tersebut akan dikenali sebagai Mission Winnow Ducati. Mission Winnow ini sebenarnya adalah satu jenama milik Philip Morris International (PMI).

    Sinonim dengan Ducati, jentera Desmosedici GP19 yang akan digunakan oleh pasukan ini dicat dengan warna merah yang kelihatan seperti lebih gelap berbanding sebelum ini, dan kebanyakan pelekat penaja lain menggunakan warna putih. Untuk pelumba, khidmat Andrea Dovizioso terus digunakan, dan beliau akan disertai oleh Danilo Petrucci yang sebelum ini berlumba dalam pasukan persendirian.

    “Berlumba sentiasa menjadi sebahagian daripada DNA Ducati. Penyelesaian dan kepakaran yang dikumpul dalam litar menunjukkan satu aset yang berkait terus dengan barisan produk kami, dan projek MotoGP ini adalah penting supaya kami dapat menghasilkan model yang lebih berkemampuan, mengujakan dan selamat untuk ditunggang oleh penggemar Ducati,” kata ketua pegawai eksekutif Ducati Motor Holding, Claudio Domenicali.

    Pengurus kanan Ducati Corse, Luigi Dall’Igna pula memberitahu beliau yakin sekarang beliau mempunyai pasukan yang betul untuk mengoptimakan sumber pembangunan jentera yang digunakan, selain sentiasa meletakkan sasaran yang tinggi dan berhasrat membawa gelaran juara MotoGP balik ke Borgo Panigale.

    Perlumbaan pertama MotoGP hanya akan berlangsung pada 10 Mac di Qatar, tetapi pasukan ini akan membuat penampilan di sesi ujian di Litar Sepang dari 6 hingga 9 Januari ini. Kami juga nanti akan memuat naik gambar yang diperoleh daripada sesi ujian ini.

     
     
  • Mick Schumacher sertai Ferrari Racing Academy

    Mick Schumacher sertai Ferrari Racing Academy

    Anak kepada lagenda Formula 1 Micheal Schumacher, Mick Schumacher nampaknya bakal mengikut jejak langkah ayahnya untuk menyertai pasukan F1 dari Itali, Scuderia Ferrari.

    Mick yang kini berumur 19 tahun menandatangani kontrak untuk menyertai Ferrari Racing Academy sebaik sahaja pulang dari Race of Champion di Mexico City. Jadi dengan ini, Mick bakal berlumba dalam siri Formula 2 untuk tahun ini bersama dua lagi rakan sepasukan iaitu Callum Ilott and Giuliano Alesi.

    Seperti juga ayahnya, Mick memulakan kariernya sebagai pelumba bermula dengan perlumbaan kart sejak tahun 2008. Beliau kemudian naik ke ADAC Formula 4 pada tahun 2015 dan selepas itu Formula 3 Eropah pada 2017. Mick akhirnya berjaya bergelar juara Formula 3 untuk perlumbaan musim 2018 bersama pasukan Prema Racing.

    Mengimbas kembali kejayaan ayahnya, Micheal menyertai Scuderia Ferrari pada tahun 1996 setelah bergelar juara dunia untuk pasukan Benetton pada tahun 1994 dan 1995. Misinya dalam pasukan tersebut adalah untuk mengembalikan gelaran juara pemandu untuk Ferrari kerana kali terakhir pasukan itu mengecapinya adalah menerusi Jody Scheckter pada tahun 1979.

    Schumi kemudian berjaya melakukannya malah bersama rekod yang sangat hebat dengan mempertahankan kejuaraannya dari tahun 2000 hingga 2004, membolehkan dia bergelar juara dunia dengan rekod sebanyak tujuh kali, sekaligus diiktiraf sebagai pemandu Formula paling berjaya sepanjang zaman.

     
     
  • Saman maksimum RM300 serta-merta jika lakukan 6 kesalahan utama sepanjang Ops Selamat 14 2019

    Saman maksimum RM300 serta-merta jika lakukan 6 kesalahan utama sepanjang Ops Selamat 14 2019

    Setiap kali musim perayaan besar, maka Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan Ops Selamat dan untuk Tahun Baharu Cina yang bakal disambut awal bulan hadapan, Ops Selamat 14 2019 telah pun dilancarkan semalam. Kali ini, tindakan yang lebih tegas bakal diambil terhadap pesalah trafik sepanjang Ops Selamat 14 2019 dilaksanakan di seluruh negara mulai 29 Januari hingga 12 Februari ini.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, saman mandatori bernilai RM300 akan mula dikuatkuasakan bagi enam kesalahan utama, laporan Bernama.

    “Enam kesalahan utama yang akan kita berikan saman serta-merta ini iaitu memandu di lorong kecemasan, melebihi had laju, menggunakan telefon, memotong barisan, memotong di garisan berkembar dan tidak mematuhi lampu isyarat,” katanya.

    Dalam pada itu, Noor Rashid juga berkata dua lorong kecemasan lebuh raya PLUS di negeri Perak akan dibuka sempena Ops Selamat 14 ini.

    Saman maksimum RM300 serta-merta jika lakukan 6 kesalahan utama sepanjang Ops Selamat 14 2019

    “Laluan berkenaan ialah laluan antara Simpang Pulai-Gopeng berdekatan Hentian Sebelah Simpang Pulai di antara kilometer (KM) 287 hingga 289.95 dan laluan dari Slim River menghala ke Sungkai di KM367. 3 (arah utara). Langkah itu dibuat bagi memastikan kelancaran jalan raya berikutan laluan berkenaan didapati antara yang mengalami kesesakan teruk setiap kali musim perayaan,” katanya sambil memaklumkan anggota polis juga akan ditempatkan di kedua-dua laluan itu bagi memastikan kelancaran jika berlaku kecemasan.

    Beliau turut mengulas, statistik Op Selamat tahun lalu menunjukkan penurunan kes kemalangan maut iaitu 226 kes berbanding 257 (2017).

    “Ini menunjukkan usaha polis dan agensi berkaitan lain dalam beri kesedaran kepada masyarakat berkaitan pematuhan undang-undang jalan raya telah beri impak positif. Walaupun statistik kes kemalangan meningkat iaitu 21,041 kes tahun lalu berbanding 20,752 (2017), tapi ia seiring dengan pertambahan jumlah kenderaan di seluruh negara.

    “Bagi tindakan saman pula catat peningkatan 130,155 saman yang mana sebanyak 385,547 saman dikeluarkan tahun lalu berbanding 255,392 tahun sebelumnya,” katanya.

    Beliau berkata, analisis terhadap Ops Selamat sebelum ini mendapati, sikap pemandu yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya dan pentingkan diri sendiri jadi punca peningkatan kemalangan.

     
     
  • Toyota C-HR 2019 terima kemaskini, aerokit khas TRD

    Toyota C-HR 2019 terima kemaskini, aerokit khas TRD

    Untuk 2019 dan memasuki tahun keduanya dalam pasaran tempatan, UMW Toyota Motor Sdn Bhd kini memperkenalkan model crossover C-HR yang menampilkan beberapa pembaharuan serta peningkatan – hadir dengan kemaskini kosmetik, begitu juga dengan penawaran aerokit khusus yang dibangunkan oleh TRD.

    Membezakan model tahun 2019 ini antaranya ialah rekaan rim 17-inci dwi-tona baru yang dipadankan. Selain itu, kemasan jalur pada bampar depan dan belakang, serta tambahan kemasan dan bentuk pada bahagian sisi memperkayakan lagi imeh luarannya.

    Untuk tampil lebih garang, aerokit TRD yang direka khusus untuk model ini turut ditawarkan sebagai pilihan – antara bahagian tambahan yang ada bagi kit ini ialah pada bawah bampar depan dan belakang dengan penyudah metalik serta bahagian lengkuk ruang tayar untuk menyuntik imej yang lebih maskulin.

    Toyota C-HR 2019 terima kemaskini, aerokit khas TRD

    Bahagian tambahan ini dibangunkan oleh TRD sendiri, dengan kualiti yang tinggi untuk melengkapkan lagi pakej kualiti CBU pada C-HR. Peralatan berkenaan juga turut datang dengan jaminan berasingan.

    Bagi pilihan warna pula, ada satu tambahan terbaru untuk 2019, iaitu warna Radiant Green Metallic. Lima lagi pilihan warna sebelum ini bagaimanapun masih dikekalkan; Metal Stream Metallic, White Pearl, Blue Metallic, Attitude Black dan Red Mica. Bagi pelanggan yang memilih satu daripada tiga warna ini – Blue Metallic, Radiant Green Metallic dan Red Mica – kenderaan mereka akan dipadankan dengan bumbung berwarna hitam.

    Bagi ruang dalaman pula, tambahan terbaru yang diberikan ialah naik taraf sistem infotainmen, yang kini hadir dengan paparan skrin sentuh 6.75-inci, serta sambungan Apple CarPlay dan Andorid Auto. Ini memberikan ruang untuk aplikasi-aplikasi yang ada dalam telefon pintar pengguna dicapai melalui skrin sentuh berkenaan. Ciri Voice Recognition juga memudahkan lagi operasi pemanduan sedia ada.

    Toyota C-HR 2019 terima kemaskini, aerokit khas TRD

    Toyota C-HR dikuasakan oleh enjin 2ZR-FBE 1.8 liter petrol dan menjana sebanyak 140 PS dan 171 Nm tork maksimum. Unit ini dipadankan pula dengan sistem transmisi Super ECT 7-kelajuan automatik dengan Shiftmatic. Mengiringinya ialah tiga mod pemanduan – Eco, Normal dan Sport.

    Sepanjang 2018, Toyota berjaya menjual sebanyak 4,000 unit C-HR. Dengan pengenalan terbaru ini, tempahan turut dibuka untuk tempahan sejak 16 Januari lalu. Tiada perubahan harga bagi C-HR; RM150,000 bagi pendaftaran persendirian, sama seperti harga selepas SST yang diumumkan tahun lalu.

     
     
  • TAS2019: Jasa ‘Mat Kereta’ kepada negara Jepun

    TAS2019: Jasa ‘Mat Kereta’ kepada negara Jepun

    Disebabkan industri automotif kita pada asalnya dipengaruhi dengan teknologi-teknologi yang dipindahkan dari Jepun, saya percaya kebanyakkan ‘mat-mat kereta’ di Malaysia tentunya mengubahsuai kereta ‘berkiblat’kan Jepun bukan? Begitu juga dengan saya sendiri, sejak zaman sekolah lagi duit belanja dihabiskan dengan material-material seperti DVD seperti Best Motoring, Hot Version dan Option Video, permainan-permainan video Playstation seperti Gran Turismo dan juga bahan-bahan bacaan yang sering memaparkan ubahsuai kenderaan bertemakan JDM bukan sahaja dalam Bahasa Melayu, malah dari Hong Kong, Taiwan dan Jepun sendiri walaupun tidak faham bahasa-bahasa berkenaan.

    Dan tentunya untuk hadir ke Tokyo Auto Salon (TAS) merupkan impian ramai ‘abang-abang JDM’ bukan sahaja dari Malaysia atau saya sendiri, tetapi juga ini adalah acara impian semua pengikut budaya ubahsuai Jepun dari seluruh dunia. Untuk saya, impian ini telah tertunai apabila saya ditugaskan untuk membuat liputan bersama penulis dari laman Bahasa Inggeris, Danny Tan di Tokyo Auto Salon 2019. Untuk pengetahuan anda juga, ini adalah pertama kali laman paultan.org sama ada dari BI atau BM menyampaikan laporan langsung dari Tokyo Auto Salon.

    Acara ini bermula dari 11 hingga 13 Januari 2019, dan setibanya kami di lapangan terbang Narita, Tokyo pada pagi 10 hb Januari, bahang TAS sudah pun mula terasa. Manakan tidak, ketika beratur di kaunter Imigresen untuk mengecop pasport, wajah-wajah yang beratur boleh dilihat datang dari seluruh dunia seperti ‘Mat Saleh’, dari Asia seperti Hong Kong dan juga dari ASEAN seperti Indonesia, Brunei, Thailand dan Malaysia – masing-masing mengenakan baju-baju penala popular Jepun, tentunya tujuan mereka turut sama iaitu untuk ke TAS.

    Malah ketika menaiki bas dari lapangan terbang ke hotel kami di Hatchobori, pelbagai kereta-kereta ubahsuai sama ada dipandu sendiri atau dibawa menaiki lori, menuju ke Makuhari Messe, di mana TAS akan berlangsung keesokan harinya – seolah-olah mengalu-alukan kedatangan kami.

    Kami difahamkan untuk hari pertama, ia adalah hari untuk media membuat liputan terhadap acara ini. Sekali lagi ketika beratur untuk mengambil pass media, muka-muka yang hadir juga bersifat antarabangsa, kesemua media yang hadir datang dari pelbagai negara dari seluruh dunia. Namun ketika mula masuk ke dewan pameran, nampaknya pengunjung yang hadir bukan setakat media tetapi turut dibanjiri dengan orang awam, mungkin mereka yang dibenarkan masuk ini terdiri dari pembeli tiket premium. Entah, kami pun tak pasti apa yang terjadi, malah mahu ke pusat media juga satu cabaran kerana tiada seorang pun urusetia yang tahu berbahasa inggeris.

    Sebenarnya saya dan Danny menjangkakan Tokyo Auto Salon ini mungkin hampir sama dengan Motor Show biasa yang mana tidak perlulah kami ke kesemua dewan kerana mungkin ada kawasan yang tidak berapa relevan untuk ditinjau. Tapi kami silap, TAS merupakan pertunjukkan yang sangat besar – terdiri dari 11 dewan (setiap satu dewan adalah sebesar sebuah dewan di MAEPS Serdang), yang mana setiap lorong pameran dipenuhi perkara-perkara yang perlu kami tengok.

    Dewan-dewan ini penuh bukan sahaja oleh pengeluar-pengeluar utama seperti Honda bersama Mugen dan Modulo, Nissan bersama Nismo dan Autech dan sebagainya. Nama-nama penala persendirian ‘otai’ seperti HKS, Jun Auto Mechanic, Top Secret, Trust Greddy, Blitz, RE Amemiya dan sebagainya masih menjadi peserta setia Tokyo Auto Salon. Satu lagi yang kami perasan, Jepun sebenarnya mempunyai ratusan lagi tuner yang kami tidak pernah dengar nama mereka namun hadir dengan pelbagai hasil yang begitu bermutu tinggi.

    Apa yang tidak ada dalam 11 dewan ini? Penala-penala yang aktif di lebuh raya awam, nama-nama yang terkenal mencatatkan masa di litar Tsukuba, kereta-kereta lagenda dari era 50’an hingga Y2K kesemuanya berkumpul di Makuhari Messe. Anda suka cenderamata seperti baju-T, rantai kunci dan model-model skala kecil? TAS adalah tempatnya untuk merabakkan poket anda.

    Malah dalam satu tempat ini juga penuh dengan selebriti-selebriti dunia automotif dalam satu masa. Saya sendiri sempat menyaksikan, berselisih bahu dan bergambar dengan sebahagian dari mereka seperti Keiichi Tsuchiya, Manabu Orido, Nomura Ken, Daijiro Inada, ketua jurutera Toyota Tetsuya Tada dan ramai lagi. Oh ya, saya juga beratur menunggu giliran untuk masuk ke tandas di belakang pelumba GT Jepun Juichi Wakisaka! Rasa macam dalam mimpi pun ada.

    Menerusi pemerhatian kami juga, scene ubahsuai di Jepun ini bukanlah seperti yang kita sangka iaitu ‘terperangkap’ dalam era 90’an. Anda masih lagi boleh jumpa Toyota Supra A80, Nissan Skyline GT-R R32, R33 dan R34 dan barisan model-model Sylvia, tetapi kereta-kereta baharu seperti Subaru WRX STI generasi baharu, Toyota 86, Nissan GT-R R35, Honda Civic Type R FK8 adalah lebih banyak diubahsuai. Anda nak tahu? selain jentera rali sebenar yang dipamerkan di Parc Ferme Rally Japan 2019, tiada satu pun Impreza WRX GC8 mahupun Lancer Evolution IX ke bawah dipamerkan pada mana-mana booth di TAS.

    Dan yang paling kami tidak sangka, Suzuki Jimny generasi baharu mempunyai ramai peminat dan paling banyak diubahsuai untuk dibawa ke TAS 2019. Dan saya pasti walaupun ramai di luar Jepun agak kecewa dengan Toyota Supra generasi baharu kerana dikatakan ‘tak cukup Supra’, ‘tak cukup power‘, atau ‘BMW rebadge’, saya pasti kereta ini akan memenuhi Tokyo Auto Salon tahun hadapan.

    Apa yang kami boleh simpulkan scene ubahsuai kenderaan di Jepun ini bukanlah di bawah industri automotif, tetapi sebenarnya ia boleh berdiri dengan sendiri dan mewujudkan satu lagi industri besar dengan nama ‘Industri modifikasi kenderaan’ – ini bukan perkara main-main kerana berdasarkan apa yang kami lihat, ia sememangnya boleh menyumbang kepada ekonomi Jepun dengan jumlah yang besar.

    Sebagai perbandingan, acara untuk industri automotif mainstream Tokyo Motor Show hanya diadakan dua kali setahun, tetapi Tokyo Auto Salon dijadikan acara tahunan yang diadakan saban tahun tanpa gagal!

    TAS2019: Jasa ‘Mat Kereta’ kepada negara Jepun

    Menurut kenyataan rasmi dari pihak peganjur TAS 2019 sendiri, acara tahun ini telah mencatatkan jumlah kunjungan seramai 330,666 orang, meningkat dari 319,030 pada tahun lalu. Pada pemerhatian kami, mungkin sekitar 10-15% peratus pengunjung yang datang adalah dari luar Jepun, dan anda bayangkan apa yang TAS sumbang kepada industri pelancongan sekitar Tokyo seperti penginapan, industri makanan tempatan dan juga industri pengangkutan.

    Itu belum lagi pendedahan antarabangsa yang datang dari pelbagai media luar serta pengunjung-pengunjung luar yang hadir dan memuatnaik segala yang mereka saksikan ke laman-laman sosial.

    Dalam perkara ini, pada saya yang berjasa tentulah ‘mat-mat kereta’ di Jepun. Mereka adalah asas kepada industri ubahsuai kenderaan ini kerana jika tiada permintaan yang tinggi, industri ini sudah tentu tidak boleh jadi sebesar sekarang, dan Jepun tidak dikenali dengan budaya automotif JDM mereka yang kini mempunyai ikutan di seluruh dunia.

    Mereka senang nak beli kereta? Undang-undang disana lebih bertoleransi dengan ubahsuai? Tidak. Untuk pengetahuan anda, Jepun antara negara yang rakyatnya agak sukar memiliki kereta. Ia bukan kerana harga kereta tersebut, sebaliknya kos-kos sampingan seperti parkir dan harga petrol yang mahal sememangnya mendorong rakyat mereka untuk menggunakan pengangkutan awam yang direka begitu efisien. Harga barang-barang prestasi di sini juga tidaklah murah.

    Anda juga perlu ingat, Jepun juga sebuah negara yang begitu tinggi sopan santun dan disiplin, sehinggakan ingin bercakap dalam tren pun perlu berbisik-bisik, bayangkan apa tanggapan masyarakat mereka terhadap seorang pemilik Honda Civic Type R EK9 dengan muffler J’s Racing yang boleh dengar pada jarak 500 meter sebelum tiba. Pendek kata, memang sudah lumrah jadi ‘mat kereta’ ini berlapar untuk kereta dan sering dipandang serong masyarakat. Tapi abang-abang kereta di Jepun ini terus istiqamah dan kini mampu mengangkat dunia modifikasi JDM ini sebagai salah satu aset negara mereka sendiri!

    Untuk laporan terperinci model-model yang kami pilih di TAS 2019, anda boleh bacanya pada PAUTAN INI. Selain dari itu, jom cuci mata dengan galeri Tokyo Auto Salon 2019 yang kami sediakan di bawah.

     
     
  • TAS2019: Honda HR-V Modulo X Concept didedahkan

    TAS2019: Honda HR-V Modulo X Concept didedahkan

    Selain dari Honda Civic Versatilist dan juga Honda S660 Neo Classic Racer, sayap aksesori rasmi Honda turut mendedahkan model konsep yang nampak relevan untuk diproduksi iaitu crossover segmen-B Honda Vezel (dikenali sebagai HR-V di Malaysia) Modulo X Concept di Tokyo Auto Salon 2019.

    Model yang dipamerkan ini diasaskan dari model JDM Vezel Touring. Pakej penggayaan baharu ini terdiri dari bampar hadapan yang memberikan elemen ‘X’ besar pada muka, perumah lampu kabus baharu, bar krom pada gril dan kemasan-kemasan berwarna hitam.

    Bahagian belakang juga diberikan bampar baharu bersama dua tip ekzos dan juga liang udara palsu. Penampilan baharu pada Vezel ini dilengkapkan dengan set rim aloi 18-inci dengan balutan tayar Michelin Premacy.

    TAS2019: Honda HR-V Modulo X Concept didedahkan

    Bahagian dalaman model ini turut tampil lebih sporty dengan pemadanan tempat duduk semi-bucket yang diberikan sulaman Modulo X dan juga set karpet kaki istimewa Modulo X.

    Selain dari rupa, Honda turut menyatakan bahawa kereta ini juga menerima talaan suspensi lebih sporty. Buat masa sekarang, barisan model Vezel JDM diketuai oleh model yang dijana oleh enjin 1.5 liter VTEC Turbo. Kesemua aksesori baharu ini dijangka akan diperkenalkan secara rasmi dalam pasaran bermula hujung bulan ini.

     
     
  • BMW Motorrad terus catat peningkatan jualan – 1,130 model baru dijual pada tahun 2018 di Malaysia

    BMW Motorrad terus catat peningkatan jualan – 1,130 model baru dijual pada tahun 2018 di Malaysia

    BMW Motorrad sekali lagi mencatat peningkatan jumlah jualan pada tahun 2018, sekaligus menjadikannya tahun ke lapan berturut-turut ia terus naik. Untuk tahun 2018, 165,566 buah motosikal dan skuter berjaya diserahkan kepada pelanggan dan ini mengatasi jumlah tahun sebelumnya sebanyak 164,153 buah.

    Menurut ketua BMW Motorrad, Dr Markus Schramm, syarikat meletakkan sasaran untuk mencapai tahap 200,000 pada tahun 2020. “Jumlah jualan pada tahun 2018 menunjukkan strategi perkembangan motosikal kami berkesan. Kejayaan ini dapat dicapai hasil pengenalan enam model baru serta barisan produk BMW Motorrad yang kuat. Kami masih mempunyai rancangan yang bagus untuk tahun seterusnya,” kata Schramm.

    Ini termasuklah pengenalan pasukan BMW Motorrad WorldSBK pada tahun 2019, untuk bersaing dalam perlumbaan FIM World Superbike Championship menggunakan S 1000 RR 2019. Jerman adalah pasaran paling besar bagi BMW Motorrad dengan catatan jualan 23,824 unit, diikuti Perancis 16,615 unit dan Itali 14,110 unit.

    Untuk pasaran Asia, China adalah pasaran yang mencatat jumlah jualan paling tinggi iaitu 7,561 unit (naik 35% berbanding tahun sebelumnya) diikuti India 2,187 unit. Di Malaysia sendiri, BMW Motorrad berjaya menjual 1,130 buah motosikal pada tahun 2018, dan ini bersamaan dengan peningkatan 7% berbanding tahun 2017. Daripada jumlah ini, paling banyak dijual adalah R 1200 GS Adventure iaitu 300 unit.

    Dalam pasaran seluruh dunia, BMW Motorrad telah menjual secara keseluruhannya 84,000 unit model siri R dan lebih 51,000 daripadanya adalah R 1200 GS/GS Adventure. Melihat kepada motosikal bawah 500 cc pula, 24,363 unit G 310 R dan G 310 GS berjaya dijual dan ini bersamaan dengan 14.84% daripada jumlah jualan keseluruhan (global) BMW Motorrad pada tahun 2018.

     
     
  • Kalendar MotoGP 2019 sudah keluar – bermula 10 Mac

    Kalendar MotoGP 2019 sudah keluar – bermula 10 Mac

    Adakah anda antara orang yang merasakan seperti sesuatu tidak kena apabila musim perlumbaan MotoGP tahun 2018 sudah berakhir? Jangan risau kerana tidak lama lagi musim 2019 akan bermula dan MotoGP telah mengeluarkan kalendar pusingan untuk tahun ini.

    Jumlah pusingan dan turutan untuk perlumbaan tahun 2019 sebenarnya adalah sama seperti 2018, iaitu 19 pusingan dengan yang pertama akan bermula di Qatar pada 8, 9 dan 10 Mac ini. Ia kemudiannya akan diikuti Argentina GP, Americas GP, Spanish GP, French GP, Italian GP, Catalan GP, Dutch GP, German GP, Czech GP, Austrian GP, British GP, San Marino GP dan Aragon GP.

    Thai GP juga akan terus berada dalam kalender MotoGP dan ia kemudiannya akan diikuti pula oleh perlumbaan Japanese GP dan Australian GP. Pusingan di Malaysia hanya akan berlangsung pada 3 November dan ini adalah perlumbaan yang kedua terakhir. Pusingan terakhir akan diadakan di Valencia 17 November.

    Sudah tentu, kita sebagai rakyat Malaysia pasti tidak sabar untuk melihat aksi Hafizh Syahrin yang bersaing dalam kategori premier dan beberapa lagi pelumba tempatan lain dalam kategori Moto2 dan Moto3, tetapi drama lain juga bakal menarik perhatian seperti pertukaran pelumba dan pasukan. Tidak lupa juga, Petronas Yamaha Sepang Racing Team kini mempunyai pasukan dalam semua kategori.

     
     
  • Perodua Axia generasi baru dari imej asal X-Concept

    Perodua Axia generasi baru dari imej asal X-Concept

    Ketika di KLIMS18 tahun lalu, Perodua ada perkenalkan rekaan X-Concept, sebuah kajian reka bentuk hatchback kompak untuk digunakan pada masa depan. Walaupun tidak disebut untuk model yang mana, ada yang beranggapan X-Concept berkenaan kebarangkalian besar akan digunakan untuk model Axia generasi akan datang. Axia kini sudah menempuh usia lima tahun berada dalam pasaran.

    Kalau betul, maka imej render yang dipaparkan ini mungkin boleh dijadikan bayangan petunjuk bagaimana penampilan Axia generasi baru nanti. Sekali pandang, rekaan X-Concept secara keseluruhannya masih dikekalkan, dengan perbezaan sedikit sebanyak perincian lain dari sudut rekaannya.

    Antaranya, bahagian atas gril dan ruang masukan udara di bawahnya tidak menggunakan corak X, dan dipadankan dengan rupa yang lebih bersahaja. Pada gril juga, sedikit pengaruh dari Aruz boleh kelihatan; dengan beberapa palang, dan palang tengah dengan logo Perodua nampak lebih tebal.

    Perodua Axia generasi baru dari imej asal X-Concept

    Ada juga kemasan krom yang menghala ke arah lampu utama, dan turut lengkap dengan kemasan hitam di bawah kluster utama untuk menonjolkan kerangka gril yang lebih jelas. Pada bucu bampar juga ada menempatkan perumah bagi lampu kabus, dalam tema hitam.

    Rim pula sekali lagi dipinjam dari Alza dalam versi terbaru, dan diberian skim warna yang juga baru. Bagaimanapun, jika X-Concept tampil dengan warna tiga-tona untuk bahagian luarannya, rekaan digital yang dihasilkan ini pula menggunakan hanya dua warna – badan warna merah dan c-pillar warna hitam untuk mengekalkan kesan “bumbung terapung”. Perincian lain termasuk pemegang pintu dan cermin sisi dari Aruz.

    Dimensi X-Concept ini pula adalah seperti berikut; 3,750 mm panjang, 1,665 mm lebar, dan 2,460 mm jarak antara roda. Ukuran ini berada di antara Axia (3,640 mm panjang, 1,620 mm lebar, 2,455 mm jarak roda) dan Myvi (3,895 mm panjang, 1,735 mm lebar, 2,500 mm jarak roda). Seperti yang dijelaskan oleh perekanya, size X-Concept adalah untuk tujuan dijadikan kereta kompak global dari segmen A. Kalau betul ini adalah rekaan mirip Axia generasi akan datang, boleh diterima atau tidak? Apa komen anda?

     
     
  • TAS2019: Toyota Century GRMN – 5.0 liter V8 hibrid, kereta mewah untuk boss yang berjiwa perlumbaan

    TAS2019: Toyota Century GRMN – 5.0 liter V8 hibrid, kereta mewah untuk boss yang berjiwa perlumbaan

    Sebelum ini tular gambar boss Toyota iaitu Akio Toyoda yang ‘bergaya’ dengan kereta mewah Toyota Century berwarna puith istimewa untuknya, diberikan talaan Gazoo Racing serta menerima lencana GRMN. Ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2019, Toyota mendedahkan bahawa Century berkenaan bukan cuma ada sebuah, tetapi lebih dari itu dan unit yang dipamerkan pada khalayak umum tersebut adalah berwarna hitam.

    Bagi mereka yang belum mengetahui, Toyota Century adalah model khas yang dikeluarkan oleh Toyota bagi kegunaan VIP-VIP Jepun seperti menteri dan sebagainya. Century telah dihasilkan sejak tahun 1967 di mana model generasi pertamanya dijana enjin V8 dari kapasiti 2.6 liter hingga 4.0 liter, manakala generasi keduanya dikuasakan dengan enjin V12 5.0 liter!

    Toyota Century GRMN ini dihasilkan dari model generasi ketiga. Bagi versi ‘asas’ Century generasi terbaharu ini, tiada lagi enjin V12 dan digantikan dengan V8 5.0 liter bersama gabungan motor elektrik dari Toyota Hybrid System II (THS II) dengan kuasa keseluruhan 431 PS.

    Tiada perincian didedahkan untuk model istimewa ini, namun hanya dengan mata kasar dapat dilihat rim klasik asal telah digantikan dengan rim aloi sport BBS pelbagai jejari berdiameter 19-inci dengan tayar Yokohama bersaiz 245/45R19. Sistem brek hadapan juga telah diubahsuai menggunakan angkup GRMN berwarna putih dan cakera yang lebih besar.

    Dari segi rupa, elemen-elemen krom dikurangkan dan gril krom dengan rekaan petak-petak digantikan dengan gril sarang lebah berwarna hitam. Pada bahagian belakang pula, bahagian bawah bampar yang sebelum ini diberikan kemasan krom digantikan dengan diffuser angin, serta ditambah dengan lip spoiler kecil pada penutup but diperbuat dari gentian karbon. Kemudian lencana-lencana GRMN dilekatkan pada tempat-tempat yang sepatutnya bersama jalur merah pada sekeliling bawah badan.

    Kalau anda perasan, Toyota Century ini telah pun mempunyai nombor pendaftaran. Jadi berkemungkinan ia adalah sebuah kereta syarikat yang mungkin membawa orang-orang besar Toyota selain unit berwarna putih milik Akio Toyoda sendiri.

     
     
  • Ducati Diavel 1260 mula masuk fasa pengeluaran

    Ducati Diavel 1260 mula masuk fasa pengeluaran

    Ducati Diavel mula diperkenalkan pada tahun 2010, dan kini melalui model baru Diavel 1260, ia sudah pun memasuki generasi kedua. Pengeluaran untuk model baru ini, dalam dua versi iaitu asas dan S sudah pun bermula di kilang Ducati di Bologna, dan ia akan tiba di wakil pengedar bermula pada bulan Februari.

    Kini, Diavel menggunakan enjin Testastretta DVT 1260 dengan pemasaan injap Desmodromic, dan ia adalah unit V-twin 1,262 cc yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 159 hp pada 9,500 rpm (versi Amerika cuma berkuasa 157 hp) dan 129 Nm tork pada 7,500 rpm, dihantar ke roda belakang menggunakan sistem rantai melalui kotak gear enam kelajuan serta klac jenis slipper.

    Kedudukan model baru Diavel ini adalah lebih menegak, kerana peletak kaki ditarik ke belakang sedikit berbanding kedudukan pada XDiavel sebelum ini, bersama tuil-tuil kawalan berhampirannya. Tinggi tempat duduk boleh dianggap rendah iaitu 780 mm, manakala beratnya pula adalah 244 kg, dan menggunakan tayar belakang selebar 240 mm (rim 17 inci 8.0 inci).

    Keseluruhan bahagian utama motosikal ini masih dipegang kerangka Trellis, dan untuk suspensi, model asas Diavel 1260 akan datang dengan fork USD 50 mm boleh laras sepenuhnya di hadapan dan monoshock belakang dengan pelarasan pra beban dan lantunan. Model 1260 S pula akan diberi dengan suspensi lebih baik iaitu unit fork USD 48 mm Ohlins di hadapan dan monoshock Ohlins boleh laras sepenuhnya di belakang, bersama quickshifter (boleh digunakan untuk naik dan turun gear).

    Pada bahagian brek, kedua-dua model masih menggunakan unit daripada Brembo, tetapi berbeza spesifikasi iaitu angkup M4.32 untuk model asas manakala model S mendapat angkup Monobloc M50. Sistem Cornering ABS Evo daripada Bosch diberikan standard untuk kedua-dua model, bersama sistem bantuan lain seperti traction control dan mod tunggangan.

    Barangan tambahan lain yang diberikan kepada Diavel S adalah suis kawalan yang bercahaya, lampu siang LED, sistem Ducati Multimedia yang boleh menyambungkan fungsi telefon pintar kepada skrin TFT-LCD 3.5 inci di motosikal serta rim Marchesini.

     
     
  • PLUS cadang untuk pasang kamera had laju di Jambatan Pulau Pinang, dipantau PDRM dan JPJ

    PLUS cadang untuk pasang kamera had laju di Jambatan Pulau Pinang, dipantau PDRM dan JPJ

    Bagi mengelakkan kemalangan terus berlaku di Jambatan Pulau Pinang, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan menghantar kertas cadangan kepada kerajaan untuk memasang kamera had laju di laluan berkenaan. Selain itu, kamera CCTV juga akan ditambah di beberapa lokasi lain di enam lebuh raya kendalian syarikat itu.

    Menurut Pengarah Urusannya, Datuk Azman Ismail, buat masa ini Jambatan Pulau Pinang tidak mempunyai kamera had laju dan cadangan pemasangan itu bertujuan mengelak kemalangan berlaku, laporan Berita Harian.

    “Setakat ini, hanya kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di jambatan berkenaan bagi memantau aliran trafik, namun kita mencadangkan untuk menambah kamera had laju. Cadangan terbabit akan diserahkan kepada kerajaan selepas laporan penuh siasatan kemalangan membabitkan kenderaan utiliti sukan (SUV) terhumban ke dalam laut dari Jambatan Pulau Pinang pada hujung minggu lalu, diperoleh,” ujarnya hari ini.

    PLUS cadang untuk pasang kamera had laju di Jambatan Pulau Pinang, dipantau PDRM dan JPJ

    Walau bagaimana pun, katanya lagi, PLUS hanya melaksanakan pemasangan kamera tetapi pemantauannya kelak akan dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    Tambahnya lagi, pihaknya juga akan melihat semula keperluan untuk mengurangkan kadar had laju dan ketinggian tembok penghadang di Jambatan Pulau Pinang bergantung kepada laporan siasatan. Buat masa ini, had laju di jambatan itu ialah 80 kilometer sejam dan tembok berkenaan juga mengikut piawaian antarabangsa British Standard (BS 5400) yang ketinggiannya satu meter.

    Dalam pada itu, Azman berkata kadar kemalangan maut di Jambatan Pulau Pinang merekodkan penurunan sebanyak 54% iaitu enam kes pada tahun lalu berbanding 13 kes pada 2017. Manakala bagi kes kemalangan biasa pula, sebanyak 332 kes direkodkan tahun lalu berbanding 345 kes pada tahun sebelumnya, iaitu pengurangan sebanyak empat peratus.

     
     
  • Pelabur bagi projek kereta nasional ketiga dijangka akan dipilih pada 28 Januari ini – laporan

    Pelabur bagi projek kereta nasional ketiga dijangka akan dipilih pada 28 Januari ini – laporan

    Dalam mesyuarat Majlis Pembangunan Negara (MPM) yang akan berlangsung pada 28 Januari ini, syarikat yang bakal menerajui projek kereta nasional ketiga dijangka akan dipilih. Menurut laporan Berita Harian, dalam mesyuarat yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, MPM juga dijangka memuktamadkan pemilihan senarai rangkaian vendor tempatan, yang akan menyokong operasi pengeluaran projek.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT), Datuk Dr Mohd Yusoff Sulaiman,buat setakat ini ada lebih 10 pelabur swasta yang mengemukakan cadangan terbabit dalam pengeluaran model sulung kereta hibrid di bawah projek kereta nasional ketiga itu.

    Katanya lagi, tanpa menggunakan dana kerajaan, konsep pengeluaran dengan menggembleng tenaga dan kepakaran tempatan itu berupaya memberi ‘nafas’ baharu kepada rantaian syarikat vendor, yang sebelum ini menghasilkan pelbagai komponen kereta berteraskan konsep futuristik.

    “Sejak Disember lalu, apa yang diperkatakan (menerusi penerbitan eksklusif BH mengenai model pertama kereta nasional ketiga) itu, selari matlamat MPM kerana kita ingin memperkasa keseluruhan ekosistem, termasuk syarikat vendor dan pembangunan sumber manusia. Oleh itu, tunggu sedikit masa lagi, keputusan untuk memuktamadkan syarikat swasta bagi menerajui pengeluaran kereta nasional ketiga dijangka diumumkan pengerusi,” ujarnya.

    Pelabur bagi projek kereta nasional ketiga dijangka akan dipilih pada 28 Januari ini – laporan

    Tambahnya lagi, pengeluaran model pertama kereta nasional ketiga itu tidak semestinya membabitkan pembinaan kilang baharu, sebaliknya bakal memaksimumkan kemudahan, kepakaran dan teknologi sedia ada, menerusi pembabitan syarikat yang dipilih.

    Justeru, ia boleh ‘hidup’ tanpa dana daripada kerajaan kerana syarikat peneraju bakal mewujudkan konsortium dengan pelabur swasta lain dan berupaya mengurangkan risiko perniagaan.

    “Antara pelabur yang menyatakan minat dalam pengeluaran projek kereta nasional ketiga ini ialah Sime Darby Auto Engineering (SDAE), kerana mereka mempunyai kemampuan dalam pemasangan enjin kenderaan Jerman, BMW. Yang turut menyatakan minat ialah SilTerra Malaysia Sdn Bhd yang berpangkalan di Kulim. Syarikat ini mempunyai kepakaran dalam pengeluaran mikrocip, justeru kita cuba untuk memaksimumkan kapasiti sedia ada.

    “Projek kereta nasional ketiga akan melebarkan jaringan sistem automotif, menerusi kesalinghubungan dengan maklumat pembangunan, supaya teknologi dan reka bentuk futuristik kenderaan ini menyuntik kelainan yang ketara berbanding model sedia ada,” katanya.

    Pelabur bagi projek kereta nasional ketiga dijangka akan dipilih pada 28 Januari ini – laporan

    Mengulas kewajaran pengeluaran kereta hibrid, Mohd Yusoff berkata, ia selari unjuran perkiraan kos penyelenggaraan dan bahan api menjelang 2025, yang menyaksikan tiada perbezaan antara kereta dengan enjin pembakaran dalaman (ICE) dan hibrid. Ia adalah kenderaan yang menggunakan lebih daripada satu sumber tenaga, sama ada petrol ataupun diesel, bersama-sama dengan sebuah motor elektrik yang dijana bateri.

    Mohd Yusoff berkata, dengan jangkaan penurunan harga bateri dan komponen hibrid dalam tempoh enam tahun akan datang, syarikat automotif tempatan perlu turut proaktif bergerak ke arah itu.

    “Ini projek besar dalam industri automotif kerana kita mahu jadikan Cyberjaya sebagai lokasi perintis, yang berupaya menampung kapasiti penggunaan kenderaan autonomi dan menyokong keperluan komunikasi V-2-I (kereta kepada infrastruktur). Sehubungan itu, ia bukan sekadar mengenai pengeluaran kereta, sebaliknya pembangunan ekosistem menyeluruh, sekali gus memberi kesan limpahan ekonomi kepada sektor berkaitan,” katanya.

     
     
  • Kementerian Kerja Raya terima peruntukan tambahan RM90 juta untuk selenggara cerun di jalan persekutuan

    Kementerian Kerja Raya terima peruntukan tambahan RM90 juta untuk selenggara cerun di jalan persekutuan

    Kementerian Kerja Raya (KKR) bakal menerima peruntukan tambahan RM90 juta daripada Kementerian Kewangan (MOF) bagi kerja penyelenggaraan cerun di sepanjang Jalan Persekutuan seluruh negara.

    Menurut menterinya, Baru Bian, dengan penambahan itu, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan bagi tujuan tersebut RM110 juta yang sebelum ini kementerian itu hanya menerima RM20 juta pada Belanjawan 2019, Bernama.

    Katanya daripada jumlah itu, KKR akan mengagihkan kira-kira 10 hingga 15% untuk penyelenggaraan dan pembaikan di laluan Persekutuan FT059 di Jalan Tapah-Cameron Highlands.

    “Kementerian Kewangan telah memberi jaminan akan menyediakan peruntukan tambahan untuk kerja penyelenggaraan cerun di Jalan Persekutuan seluruh Malaysia,” katanya.

    Kementerian Kerja Raya terima peruntukan tambahan RM90 juta untuk selenggara cerun di jalan persekutuan

    Selain itu, pada tahun ini, sebanyak 10 lokasi penyelenggaraan cerun secara kerja pembaikan dan 59 lokasi secara kerja pencegahan telah dikenal pasti untuk dilaksanakan dengan jumlah anggaran kos RM19.4 juta di Jalan Tapah-Cameron Highlands.

    “Laluan Persekutuan FT059 di Jalan Tapah-Cameron Highlands merupakan jalan utama dan pihaknya akan terus memberi perhatian terhadap penyelenggaraan jalan dan cerun di samping jalan alternatif iaitu laluan FT185 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley-Lojing-Gua Musang dan laluan FT102 Jalan Pos Betau, Lembah Bertam untuk menuju ke Cameron Highlands,” katanya.

    Tambahnya lagi, pada 2018, KKR menyiapkan kerja penyelenggaraan cerun runtuh di satu lokasi dan 30 lokasi secara kerja pencegahan dengan jumlah kos RM9.3 juta di sepanjang jalan Tapah-Cameron Highlands.

    Dalam pada itu, bagi mengurangkan risiko kejadian runtuhan cerun, beliau berkata KKR turut melaksanakan penilaian dan pemetaan tahap bahaya dan risiko cerun melalui pengumpulan data menggunakan teknologi terkini seperti Light Detection and Raging (LIDAR) dan Sistem Amaran Awal dan Masa Nyata (EWS).

    “Sistem-sistem ini dapat mengesan tanda awal keruntuhan cerun dan maklumat berkaitan dapat disebarkan untuk keselamatan pengguna jalan raya di kawasan terlibat. Antara kawasan yang menggunakan sistem ini di Jalan FT059 ini dan di Sabah,” katanya.

     
     
  • Yamaha MT-15 tiba di Indonesia – murah daripada R15

    Yamaha MT-15 tiba di Indonesia – murah daripada R15

    Selepas Thailand, kini Indonesia pula menerima model naked terbaru daripada Yamaha iaitu MT-15. Walaupun sudah mempunyai beberapa model naked 150 cc yang lain seperti Xabre (dipanggil sebagai M-Slaz di Thailand) dan Vixion, MT-15 ini masih mempunyai gayanya yang tersendiri.

    Penampilannya membawa kesinambungan gaya daripada keluarga MT seperti MT-07, MT-09 dan MT-10, dengan kedudukan yang tegak, tempat duduk bersambung depan dan belakang (M-Slaz terpisah) dan tangki yang tinggi. Selain daripada itu, MT-15 juga datang dengan senarai kelengkapan yang lebih tinggi.

    Enjinnya adalah sama seperti yang digunakan pada R15, iaitu unit satu silinder suntikan bahan api 155 cc SOHC dengan teknologi VVA dan penyejukan cecair, dan ia dipadankan bersama transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 19 hp pada 10,000 rpm dan 14.7 Nm tork pada 8,500 rpm. Penukaran gear juga dijadikan lebih lancar dan berkesan dengan penggunaan klac jenis assist & slipper.

    Pada bahagian depan, MT-15 menggunakan fork jenis USD manakala di belakang pula adalah monoshock. Kedua-dua brek hadapan dan belakang adalah jenis cakera manakala rim pula adalah 17 inci dengan tayar saiz 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang. Perincian lain MT-15 adalah termasuk tangki 10.4 liter, meter digital, berat 133 kg dan lampu depan dan belakang LED.

    Melihat kepada harga, MT-15 di Indonesia di jual pada harga 34.95 juta Rupiah (RM10,162) dan sebagai perbandingan, harga ini lebih tinggi berbanding Xabre (30.7 juta Rupiah) dan Vixion R (29.5 juta Rupiah). Dalam barisan model lain Yamaha di Indonesia, harga MT-15 adalah lebih hampir kepada R15 (35.9 juta Rupiah), sekaligus memberikan kita gambaran bagaimana harganya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025