Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Pemandu Grab dilarang mencari atau menunggu penumpang termasuk di lapangan terbang – JPJ

    Pemandu Grab dilarang mencari atau menunggu penumpang termasuk di lapangan terbang – JPJ

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan arahan baharu dengan menyatakan bahawa pemandu kenderaan e-hailing atau Grab dilarang mencari atau menunggu penumpang di mana-mana lokasi termasuklah di lapangan terbang.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, perkara itu termaktub di bawah syarat-syarat lesen pengendalian e-hailing yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, laporan Bernama.

    Di mana pemandu e-hailing dikehendaki mematuhi salah satu daripada syarat perkhidmatan tersebut iaitu pemandu hendaklah mengambil penumpang yang dilanggan melalui perkhidmatan atas talian mudah alih atau aplikasi yang disediakan oleh syarikat pengendali.

    Arahan tersebut turut menyebut, mana-mana pemandu perkhidmatan e-hailing yang gagal mematuhi mana-mana syarat yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah peruntukan tersebut.

    Menurut JPJ, kenyataan itu dikeluarkan berhubung dakwaan pemandu Grab disaman JPJ di bawah kesalahan menggunakan Lesen Kenderaan Moto (LKM) kerana mengambil pelanggan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada Selasa lalu.

     
     
  • Perodua Aruz – apa beza dengan Toyota Rush?

    Perodua Aruz – apa beza dengan Toyota Rush?

    Seperti diketahui, MPV-SUV tujuh-tempat duduk Perodua Aruz yang bakal dilancarkan tidak lama lagi adalah kembar seiras Toyota Rush yang telah pun diperkenalkan di Malaysia pada Oktober tahun lalu. Jangan pelik dengan situasi ini kerana di Indonesia, Rush turut mempunyai kembarnya yang dijual pada masa yang sama iaitu Daihatsu Terios.

    Malah bukan sahaja pasangan Rush-Terios dijual serentak di pasaran berkenaan, ada lagi model-model lain kedua-dua jenama tersebut (Daihatsu kini merupakan milik penuh Toyota) turut dijual sedemikian, misalnya hatchback segmen A Toyota Agya dan Daihatsu Ayla, serta Toyota Avanza dan Daihatsu Xenia. Namun satu perkara yang boleh diperhatikan, Toyota sentiasa meletakkan model jenama mereka dengan kelengkapan yang lebih banyak, berbanding Daihatsu yang diletakkan sedikit rendah, walaupun sebenarnya Daihatsu yang mengetuai projek-projek kereta kompak untuk pasaran baharu yang penting.

    Jadi bagaimana pula perbezaan antara Toyota Rush dan Perodua Aruz di Malaysia? Untuk pengetahuan anda, Rush dan Aruz kedua-duanya dipasang di kilang Perodua, Rawang, tetapi untuk Rush proses kemasan akhir, pemasangan aksesori dan kawalan kualiti akhir dilakukan di kilang baharu mereka, di Bukit Raja, Klang.

    Perodua Aruz – apa beza dengan Toyota Rush?

    Bekalan enjin dan juga transmisi kedua-dua model ini juga disalurkan oleh pihak yang sama, iaitu kilang Daihatsu Perodua Engine Manufacturing Sdn Bhd (DPEM) dan juga Akashi Kikai Industry (M) Sdn Bhd – kedua-duanya terletak di Sendayan, Negeri Sembilan.

    Pasangan Rush-Aruz di Malaysia juga tidak sepenuhnya sama dengan kembar Rush-Terios di Indonesia. Untuk pasaran tempatan, MPV-SUV ini sebenarnya dibangunkan oleh Perodua dengan talaan suspensi yang lebih keras, sesuai dengan penggunaan di Malaysia yang lebih pada jalan bertar mengambil kira kebolehan mengambil selekoh, berbanding di Indonesia yang memerlukan talaan lebih lembut sesuai dengan permukaan jalan kawasan pedalaman negara berkenaan.

    Boleh dirumuskan bahawa, untuk sistem mekanikal, Aruz dan juga Toyota Rush pasaran Malaysia adalah sama sepenuhnya kerana proses R&D dijalankan oleh Perodua sendiri. Apa yang membezakan mereka adalah pada aspek rekaan perincian dan juga kelengkapan seperti yang akan kami kupas di bawah.

    Rekaan Luaran

    Perodua Aruz – apa beza dengan Toyota Rush?

    Perodua Aruz (atas), bahagian muka Toyota Rush pasaran Malaysia (bawah-kiri) dan Daihatsu Terios pasaran Indonesia (bawah-kanan)

    Perodua masih belum mendedahkan foto penuh Aruz, dan ketika sesi pandu uji media tempoh hari, rakan-rakan kami yang ke sana tidak dibenarkan membawa masuk sebarang kamera. Namun apa yang boleh kami simpulkan adalah perbezaan rupa paling besar antara Aruz dan Rush adalah pada bahagian muka.

    Bonet dan kluster lampu hadapan adalah sama kedua-duanya. Namun perincian antara Aruz dan Rush adalah berbeza. Pertama adalah pada bahagian gril – Aruz menerima lima jalur berbanding hanya empat pada Rush, di mana bar ketiga direka sebagai ‘sayap’ untuk logo Perodua yang terletak di tengah. Sayap krom penuh berkenaan juga direka lebih tebal dari jalur lain yang menghubungkan lampu jalur LED lampu nyalaan siang dengan tebal yang sama, terletak dalam kluster lampu hadapan.

    Bahagian belakang Perodua Aruz (kiri) dan bahagian belakang Toyota Rush (kanan)

    Seterusnya pada lampu utama. Sekali imbas kedua-duanya nampak sama, tetapi jika dilihat dengan lebih teliti, Rush hanya diberikan jalur tunggal, sementara Aruz menerima jalur LED berkembar. Selain itu, Aruz juga menerima rekaan kemasan bampar hadapan yang lebih tersendiri yang tidak sama dengan Rush mahupun Terios di Indonesia.

    Pada bahagian belakang pula, rekaan Aruz dan Rush terutamanya pada bahagian lampu dan kemasan-kemasan pada pintu tailgate adalah serupa. Rush pasaran Malaysia menerima kit badan lebih labuh dari bampar hadapan hingga belakang, yang digelar sebagai rekaan “R-Blade” oleh UMW Toyota, sementara Aruz tampil lebih ringkas tanpa kit yang serupa. Kedua-dua Aruz dan Rush menerima set rim aloi 17-inci dengan kemasan dua tona, namun ia akan menampilkan rekaan yang berbeza.

    Rekaan Dalaman

    Untuk pengetahuan anda, Aruz dibekalkan papan pemuka yang berbeza berbanding Rush. Seperti yang dinyatakan oleh ketua pereka Perodua Muhamad Zamuren dalam wawancara bersama paultan.org sebelum ini, rakyat Malaysia lebih gemarkan rekaan “rumit tetapi ringkas”. Oleh itu, papan pemuka yang terlalu ringkas dari Rush telah direka semula bagi mendapatkan sentuhan yang rumit.

    Untuk itu, bahagian atas papan pemuka tersebut telah dirombak semula dengan memberikan rupa “bentuk-V” atau air terjun yang menyerlah, berbanding permukaan berbentuk-T pada Rush. Bukan itu sahaja, panel dalaman pintu Aruz menerima rekaan unik bagi memadankan rekaan pada papan pemuka. Walau bagaimanapun, panel paparan meter masih lagi berkongsi bersama kembarnya itu.

    Papan pemuka Perodua Aruz (kanan) dan papan pemuka Toyota Rush (kiri)

    Aruz juga menerima papan kawalan penghawa dingin berbeza dengan Rush – model Toyota berkenaan diberikan dua tombol bersama fungsi automatik, manakala panel Aruz diambil dari Myvi dengan fungsi dua storan memori larasan.

    Model Perodua ini juga diberikan kemasan dalaman yang lebih ‘selamat’, menampilkan tema hitam keseluruhan dengan perincian piano black bersama serlahan berwarna perak bagi model Advance. Ia berbeza dengan Rush yang diberikan kemasan-kemasan berwarna beige pada bahagian bawah, serta corak-corak jahitan palsu pada papan pemuka dan pintu.

    Kelengkapan

    Seperti disebutkan tadi, Aruz dan Rush berkongsi penjana yang sama iaitu enjin 1.5 liter 2NR Dual-VVTi empat silinder, sama seperti Myvi, Avanza dan Vios. Perodua belum mendedahkan angka kuasa, tetapi kami anggarkan ia menghasilkan tenaga yang sama iaitu 105 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 136 Nm pada takat 4,200 rpm. Kuasa akan dialirkan menerusi kotak gear empat kelajuan automatik, memacu gandar belakang.

    Sama dengan Bezza dan Myvi, Aruz juga menerima sistem Eco Idle dengan fungsi auto start-stop untuk enjin, dan Perodua mendakwa ia mencatatkan ekonomi penggunaan bahan api 15.6 km/l, sama seperti apa yang disebutkan Toyota terhadap Rush. Sebagai rujukan, pesaing terdekat mereka, Honda BR-V turut dijana enjin 1.5 liter, tetapi dengan kotak gear CVT memacu roda hadapan.

    Jadi apa yang menyebabkan Toyota Rush lebih mahal sekitar RM20k berbanding Perodua Aruz? Apa yang kami nampak sekarang Rush menerima kelengkapan elektronik lebih canggih seperti sistem penghawa dingin automatik (tetapi hanya Aruz yang menerima fungsi memori) dan pemantau titik buta. Selain itu, ia juga dibekalkan dengan Monitor Paparan Panaromik yang bersepadu dengan sistem infotaimen Toyota, menerima imej sudut mata burung dari empat kamera 360-darjah bagi membantu pemandu ketika memarkir.

    Hari ini Perodua telah mengumumkan bahawa Aruz sudah boleh ditempah dan akan dijual dalam dua varian. Versi asas X akan dijual pada harga anggaran RM72,200, manakala versi tertinggi Advance berharga RM77,200. Toyota juga ditawarkan dalam dua varian, iaitu model 1.5G berharga RM93,000, dan RM98,000 untuk model spesifikasi penuh 1.5S.

    GALERI: Perodua Aruz 1.5AV



    GALERI: Toyota Rush 1.5 S 2018

     
     
  • Nissan Serena, X-Trail X-Tremer terima warna baharu

    Nissan Serena, X-Trail X-Tremer terima warna baharu

    Edaran Tan Chong Motor (ETCM) sudah bersedia menyemarakkan semangat perayaan Tahun Baru Cina lebih awal dengan memperkenalkan warna baru Imperial Red bagi Serena S-Hybrid, lebih tepat lagi untuk varian paling tinggi Premium Highway Star.

    Warna baru ini adalah sebahagian daripada skema warna dua tona yang digunakan pada MPV tujuh tempat duduk tersebut, dengan bahagian bumbung, spoiler belakang dan cermin sisi semuanya diwarnakan hitam. Penampilan ini menyerupai X-Trail X-Tremer yang dilancarkan Februari tahun lepas.

    Selain Serena, ETCM juga menambah lagi pilihan warna X-Trail X-Tremer dengan dua warna baru iaitu Brilliant White dan Tungsten Silver. Sama seperti versi warna Passion Red, warna baru ini dicat pada kebanyakan bahagian badan kenderaan tersebut kecuali bumbung, rel bumbung, spoiler belakang, cermin sisi dan rim aloi 17 incinya yang berwarna hitam.

    Selain daripada pilihan warna baru ini, kedua-dua model tidak mengalami perubahan spesifikasi atau mekanikal. Serena dikuasakan oleh enjin empat silinder MR20DD 2.0 liter berkuasa 150 PS dan 200 Nm tork, dengan padanan transmisi Xtronic CVT dan bantuan motor elektrik 2.6 PS dan 48 Nm tork.

    Bagi varian Premium Highway Star, barangan yang diberi termasuk lampu utama LED, rim 16 inci, head unit Clarion dengan skrin sesentuh 6.75 inci, tempat duduk yang dibalut kulit campuran sama ada warna hitam atau dua tona Truffle Brown dan Chestnut, pengawal pendingin hawa satu zon, pengawal pendingin hawa belakang, sistem masuk dan mula enjin tanpa kunci serta skrin LCD 10.1 inci di bumbung.

    X-Trail X-Tremer pula ditawarkan dalam dua pilihan enjin iaitu 2.0 liter 14 PS/200 Nm dan 2.5 liter 171 PS/233 Nm, dengan kedua-duanya menggunakan transmisi Xtronic CVT. Sistem pacuan All Mode Intelligent 4X4-i pula hanya boleh didapati untuk versi yang menggunakan enjin 2.5 liter.

    Kelengkapan istimewa yang berada pada X-Trail X-Tremer adalah termasuk muka hadapan X-Face, pelindung bampar hadapan krom dan tempat duduk yang dibalut kulit Nappa warna hitam.

    ETCM juga kini memberi peluang kepada pelanggan untuk memenangi sebuah pangsapuri servis bernilai sehingga RM665,000 yang terletak di The ERA, Duta North Kuala Lumpur apabila membeli dan mendaftarkan kenderaan Nissan dari 1 Disember 2018 hingga 31 Disember 2019. Untuk promosi Tahun Baru Cina, pulangan balik sehingga RM12,000 ditawarkan untuk model Nissan yang terpilih.

     
     
  • Perodua Aruz – perbezaan spesifikasi varian X, AV

    Perodua Aruz – perbezaan spesifikasi varian X, AV

    Walaupun belum dilancarkan secara rasmi, Perodua akhirnya sudah pun mendedahkan penawaran bagi model SUV terbaru keluarannya yang bakal dilancarkan tidak lama lagi. Kita telah tahu nama yang akan digunakan model ini iaitu Aruz. Begitu juga telah dimaklumkan bahawa hanya akan ada dua varian akan ditawarkan; Aruz 1.5 X dan varian paling tinggi, Aruz 1.5 AV.

    Harga anggarannya juga sudah diketahui. Bermula dari RM72,200 bagi Aruz 1.5 X hinggalah kepada yang paling tinggi, RM77,200 untuk varian Aruz 1.5 AV. Bermula hari ini juga, Perodua sudah mula mengambil tempahan bagi pelanggan-pelanggan yang ingin berbuat demikian, di seluruh negara.

    Disember lalu kami menyertai sesi pra-tonton secara tertutup bagi model ini. Dan, di sini kami kongsikan perincian dan perbezaan spesifikasi dan kelengkapan antara varian paling asas X dengan penawaran AV yang paling tinggi. Jika anda berminat untuk mengetahui perbezaan spesifikasi antara Aruz dengan pesaing-pesaingnya, sila rujuk di sini.

    Perodua Aruz – perbezaan spesifikasi varian X, AV

    Apa yang lebih dan apa yang kurang? Berikut senarai kelengkapan bagi kedua-dua varian Aruz X dan AV:

    Perodua Aruz 1.5 X – RM72,200

      Mekanikal:

    • Enjin 1.5 liter 2NR-VE Dual VVT-i
    • 1,496 cc, empat silinder, petrol
    • 105 PS pada 6,000 rpm, 136 Nm tork pada 4,200 rpm
    • Transmisi automatik empat-kelajuan torque converter
    • Eco Idle, ciri start/stop automatik bagi enjin
    • Kadar penggunaan minyak 15.6 km per liter
      Luaran:

    • Lampu utama LED dengan fungsi “Follow Me Home”, tanpa On/Off automatik
    • Tanpa lampu kabus halogen hadapan
    • Rim aloi 17-inci dwi tona
    • Tanpa landasan pada bumbung
    • Tanpa diffuser krom pada bampar depan<>/li
      Dalaman:

    • Tempat duduk fabrik
    • Stereng material Urethane dengan butang kawalan audio, tiada balutan kulit
    • Tanpa butang Bluetooth untuk jawab panggilan
    • Unit utama multimedia tujuh-inci, tanpa Smartlink dan tiada HDMI
    • Tayar ganti saiz penuh, dengan rim 17-inci sama
    • Pengimbas TnG binaan dalam
    • Port pengecas bagi ketiga-tiga barisan (USB di barisan satu dan dua, soket 12V di barisan ketiga)
    • Pendingin hawa zon tunggal manual, dengan paparan digital dan memori
    • Stereng larasan tinggi-rendah, bukan teleskopik
    • Corong pendingin hawa belakang (blower sahaja)
    • Sistem tanpa kunci dengan butang Push Start
      Keselamatan:

    • Enam beg udara
    • VSA
    • ABS + EBD + BA
    • Bantuan Mula Mendaki dan Kawalan Menuruni Bukit
    • Isyarat Berhenti Kecemasan
    • Tujuh amaran tali keledar berasingan
    • Dua ISOFIX (hanya pada barisan kedua)

    Perodua Aruz – perbezaan spesifikasi varian X, AV

    Perodua Aruz 1.5 Advance (Tambahan) – RM77,200

      Luaran:

    • Lampu utama LED dengan fungsi “Follow Me Home” dan On/Off automatik
    • Landasan pada bumbung
    • Diffuser krom dan lampu kabus pada bampar hadapan
      Dalam:

    • Kemasan krom dan hitam berkilat pada bahagian papan pemuka dan panel pintu
    • Unit utama multimedia tujuh-inci dengan Smartlink dan HDMI
    • Stereng balutan kulit, dengan butang kawalan audio dan Bluetooth untuk telefon
    • Tempat duduk balutan kulit
    • Tombol gear balutan kulit
    • Perakam video digital (DVR)
      Keselamatan:

    • Advance Safety Assist 2.0 (Front Collision Warning, AEB dengan Pedestrian Detection, Front Departure Warning, Pedal Misoperation Control).
     
     
  • Perodua Aruz – beza spesifikasi dengan Honda BR-V, Toyota Rush dan Proton X70 dalam pasaran Malaysia

    Perodua Aruz – beza spesifikasi dengan Honda BR-V, Toyota Rush dan Proton X70 dalam pasaran Malaysia

    Perodua baru sahaja membuka tempahan bagi SUV terbaru mereka iaitu Aruz, yang boleh didapati dalam dua varian iaitu X dan AV. Dengan harga anggaran yang bermula dari RM72,200 tidak termasuk insurans, model tujuh tempat duduk ini memberi tanda penyertaan semula Perodua dalam segmen tersebut, di mana sebelum ini ia pernah disertai oleh Nautica dan Kembara.

    Sudah tentu, Aruz bukanlah satu-satunya model seperti itu yang berada dalam pasaran sekarang, dan ia perlu bersaing dengan beberapa model lain. Paling jelas pastinya adalah Honda BR-V, iaitu sebuah model yang sudah berada dalam pasaran sejak Januari 2017, dan masih popular di kalangan orang ramai yang memerlukan SUV tujuh tempat duduk permulaan.

    Satu lagi pesaing adalah model yang digunakan sebagai asas untuk Aruz sendiri iaitu Toyota Rush, dengan banyak cirinya adalah sama, terutamanya enjin dan transmisi. Rush diperkenalkan Oktober tahun lalu, dengan harga jangkaan RM93,000, menjadikannya lebih mahal berbanding Aruz.

    Sekadar untuk perbandingan juga, sengaja kami letakkan sekali Proton X70 yang baru dilancarkan dalam pasaran Malaysia, tetapi anda harus ingat SUV ini terletak dalam segmen C dan lebih mahal – bermula dari RM99,800 – jadi janganlah terlalu serius untuk mengambilnya sebagai pesaing terus Aruz. X70 yang kami letak dalam jadual ini juga adalah varian paling tinggi Premium 2WD.

    Perodua Aruz – beza spesifikasi dengan Honda BR-V, Toyota Rush dan Proton X70 dalam pasaran Malaysia

    Melihat kepada saiz, Aruz mempunyai ukuran 4,435 mm panjang, 1,695 mm lebar, 1,705 mm tinggi dan jarak roda pula adalah 2,685 mm. Catatan ini adalah sama dengan Rush, tetapi apabila dibandingkan dengan BR-V, Aruz lebih pendek 18 mm dan kurang lebar 40 mm, tetapi lebih tinggi 39 mm dan jarak roda lebih panjang 23 mm.

    Walaupun jarak roda Aruz lebih panjang, ruang bahagian barangan belakangnya cuma ada 213 liter disebabkan terdapat tiga baris tempat duduk, dan ini adalah 10 liter kurang berbanding BR-V. Dibandingkan dengan X70 pula, Aruz cuma lebih tinggi 11 mm dan lebih panjang 15 mm.

    Aruz dikuasakan oleh enjin empat silinder petrol NA 1.5 liter yang mampu menghasilkan kuasa 104 hp dan 136 Nm tork. Enjin 2NR-VE Dual VVT-i ini turut digunakan pada Myvi, dan dipadankan dengan transmisi automatik empat kelajuan, yang menyampaikan kuasa ke roda belakang. Tetapan yang sama turut digunakan pada Rush, dan kedua-duanya didatangkan dengan fungsi start/stop enjin automatik (Perodua memanggilnya sebagai ‘Eco Idle’).

    BR-V juga dikuasakan oleh enjin 1.5 liter NA, dengan teknologi SOHC i-VTEC, dan ia boleh menghasilkan lebih kuasa berbanding Aruz dan Rush, iaitu 119 h dan 145 Nm tork. Selain itu, transmisi BR-V juga berbeza, di mana ia menggunakan CVT, dan kuasa dihantar ke roda hadapan. Kesemua kenderaan mempunyai catatan penggunaan bahan api antara 15.5 hingga 15.6 kilometer bagi setiap liter.

    Perodua Aruz – beza spesifikasi dengan Honda BR-V, Toyota Rush dan Proton X70 dalam pasaran Malaysia

    Dengan penggunaan enjin 1.8 liter turbo, sudah tentu X70 dapat menyediakan kuasa yang lebih berbanding tiga SUV yang dinyatakan tadi, dengan jumlah yang mampu dihasilkan adalah 182 hp dan 285 Nm tork. Kemudiannya, ia dipadankan bersama transmisi automatik enam kelajuan dan boleh didapati sama ada dalam pacuan dua roda ataupun empat roda.

    Pada harga sebegitu, Aruz boleh dikatakan agak lengkap, dengan adanya lampu utama LED, rim aloi 17 inci, pendingin hawa satu zon manual dengan corong di belakang, unit audio tujuh inci, pembaca Touch n Go binaan dalam, soket pengecas kuasa pada semua baris tempat duduk serta sistem masuk dan mula kenderaan tanpa kunci. Varian AV tentunya lebih lengkap, ditambah dengan fungsi hidup dan tutup automatik untuk lampu utama, sambungan HDMI pada head unit, tempat duduk kulit dan perakam video (DVR).

    Melihat kepada BR-V pula, barangan standard yang disediakan oleh Honda pada varian E dan V adalah termasuk lampu utama projector halogen, lampu siang LED, rim aloi 16 inci, head unit biasa, pendingin hawa satu zon dengan corong di belakang serta soket pengecas di hadapan. Hanya BR-V varian paling tinggi (V) yang mendapat lampu kabus, tempat duduk kulit, pendingin hawa automatik dan skrin sesentuh 6.1 inci dengan sambungan HDMI.

    Pergi kepada ciri keselamatan pula, Aruz datang dengan enam beg udara, Vehicle Stability Assist, ABS, EBD, Brake Assist, Hill Start Assist, Hill Descent Control dan cagak Isofix secara standard – sama seperti yang ditawarkan pada Rush. BR-V pula cuma dilengkapi dua beg udara tetapi masih mempunyai Vehicle Stability Assist (VSA), ABS, EBD, Hill Start Assist (HSA) dan cagak Isofix di tempat duduk baris kedua.

    Perodua Aruz – beza spesifikasi dengan Honda BR-V, Toyota Rush dan Proton X70 dalam pasaran Malaysia

    Kelebihan utama pada ciri Aruz adalah pakej Advanced Safety Assist (ASA) 2.0 yang diberikan pada varian AV. Ini adalah pakej sama seperti ASA yang diberikan pada Myvi Advance, yang termasuk Pre-Collision Warning, Pre-Collision Braking, Front Departure Alert dan Pedal Misoperation Control, tetapi telah diperelok.

    Dengan ASA 2.0, pengesanan pejalan kaki telah ditambah dan ia boleh berfungsi sehingga kelajuan 50 km/j. Peningkatan lain termasuk laju operasi Pre-Collision Warning sehingga 100 km/j dan sehingga 80 km/j untuk Pre-Collision Braking (dari 30 km/j). Walaupun ASA 2.0 ini mempunyai spesifikasi yang sama seperti Pre-Collision System Toyota Rush, Aruz tidak mempunyai pengesan titik buta dengan amaran trafik dari belakang. SUV Perodua ini juga tidak dilengkapi dengan Panoramic View Monitor dengan empat kamera seperti Rush.

    BR-V tidak mempunyai sistem yang sama seperti ASA 2.0, tetapi masih membolehkan ia mendapat lima bintang dalam ujian keselamatan ASEAN NCAP bersama Aruz, Rush dan X70. Sudah tentu, Advanced Driver Assistance System (ADAS) yang terdapat pada X70 adalah lebih komprehensif dan ia juga dilengkapi dengan sistem yang tiada pada Aruz dan Rush, seperti Adaptive Cruise Control (ACC), Lane Departure Warning (LDW), Door Opening Warning System (DOW) dan Intelligent High Beam Control (HBC).

    GALERI: Teaser Perodua Aruz di KLIMS 2018

    GALERI: Toyota Rush 1.5 S 2018

    GALERI: Toyota Rush 1.5 G 2018

     
     
  • RapidKL terima lebih 20,000 pendaftaran untuk pas tanpa had My50 dan My100, dijangka akan meningkat

    RapidKL terima lebih 20,000 pendaftaran untuk pas tanpa had My50 dan My100, dijangka akan meningkat

    Lebih 20,000 orang telah mendaftar untuk pas perjalanan tanpa had RapidKL, menurut The Star. “Kami menjangkakan lebih ramai lagi orang yang akan mendaftar untuk salah satu pakej yang ditawarkan ini. Ia membolehkan pengguna untuk menggunakan pengangkutan awam (di bawah kendalian RapidKL) dengan lebih mudah dan menjimatkan masa,” ujar RapidKl. Terdapat dua pilihan yang ditawarkan, iaitu My50 dengan nilai RM50, dan My100 bagi nilai RM100.

    Langganan boleh dibuat menggunakan MyKad, MyKid dan MyTentera di kiosk dan fungsi Touch and Go bagi memastikan perkhidmatan itu hanya dinikmati oleh rakyat Malaysia sahaja. Menerusi pas My100, pelanggan boleh menikmati semua perkhidmatan rel dan bas RapidKL termasuk Transit Aliran Massa ( MRT), LRT, Monorel, transit aliran bas BRT Sunway, bas RapidKL dan bas pengantara MRT tanpa had dalam tempoh 30 hari dengan hanya RM100.

    Bagi pas My50 pula, penumpang boleh menaiki semua bas RapidKL dan bas pengantara MRT (tidak termasuk BRT) tanpa had sepanjang 30 hari dengan bayaran RM50.

    Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pas perjalanan tanpa had itu dijangka memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 45% pengguna perkhidmatan Rapid Rail dan hampir 100% pengguna Rapid Bus di Lembah Klang.

    “Pengenalan pas perjalanan ini juga dijangka berupaya menarik sebahagian daripada pemandu kenderaan persendirian untuk berpindah ke pengangkutan awam, seterusnya membantu mengurangkan kesesakan terutama di pusat bandar Kuala Lumpur,” ujarnya.

     
     
  • Perodua Aruz – penjelasan di sebalik namanya

    Perodua Aruz – penjelasan di sebalik namanya

    Keterujaan orang ramai mengenai kehadiran SUV Perodua yang dinamakan sebagai Perodua Aruz kian memuncak setelah hari ini ia mula dibuka tempahan dan harga tentatifnya telah didedahkan. Malah terdapat juga beberapa komen menarik mengenai nama Aruz, tetapi yang pasti, tentu ada alasan yang tersendiri mengapa ia menjadi pilihan Perodua.

    Tak perlu nak berdebat kerana ini adalah jawapan Perodua mengenai pemilihan nama Aruz,”Ia adalah perkataan Bahasa Malaysia iaitu arus yang bermaksud “aliran”. Ia adalah simbolik mewakili “pergerakan dinamik yang sentiasa berterusan,sekaligus menunjukkan peningkatan” dan peningkatan ini pula merupakan keupayaan Aruz untuk “anjakan gaya hidup”, seperti mana slogan yang dipilih untuk SUV ini.

    Berasaskan Toyota Rush, Aruz merupakan SUV tujuh-tempat duduk dengan binaan ‘body-on-frame’. Ia akan dijanakan oleh enjin yang sama dengan Myvi iaitu 1.5 liter 2NR empat-silinder petrol yang dikatakan mampu memberikan penjimatan bahan api sekitar 15.6 km per liter, dipadankan bersama transmisi automatik empat-kelajuan.

    Ditawarkan dalam dua varian, buat masa ini Aruz ditawarkan dengan harga tentatif bermula dari RM72,200 bagi varian 1.5 X dan RM77,200 bagi varian 1.5 Advance (AV). Harga ini adalah untuk Semenanjung Malaysia, atas jalan tanpa insurans. Ia turut didatangkan dengan jaminan kilang selama lima tahun atau 150,000 km.

    GALERI: Teaser SUV Perodua di KLIMS 2018

    GALERI: Toyota Rush 1.5 S 2018

     
     
  • Hyundai tunjuk teknologi buka, hidupkan kenderaan guna cap jari – lebih cekap berbanding kunci biasa

    Hyundai tunjuk teknologi buka, hidupkan kenderaan guna cap jari – lebih cekap berbanding kunci biasa

    Hyundai telah mendedahkan lebih lagi informasi berkenaan teknologi buka dan hidupkan kenderaan menggunakan cap jari yang akan digunakan buat pertama kali pada SUV Santa Fe yang akan dilancarkan suku pertama tahun ini di China. Teknologi ini bukanlah sesuatu yang baru kerana telefon pintar sekarang pun sudah banyak yang menggunakan cap jari, tapi untuk automotif, ya.

    Untuk membuka kenderaan, pemandu perlu meletakkan jari pada pengesan yang terletak di pemegang pintu, dan informasi berkenaan cap jari itu akan dikenal pasti dan dihantar kepada pengawal cap jari yang berada dalam kenderaan. Pemandu juga boleh menghidupkan kenderaan dengan menyentuh butang pemula yang sudah dilengkapkan dengan pengesan cap jari.

    Selain daripada itu, teknologi ini juga menyediakan suasana pemanduan khas untuk penggunanya. Apabila cap jari itu sudah dikenal pasti, ciri-ciri pada kenderaan akan diubah mengikut kegemaran tuan punya cap jari tersebut, termasuk kedudukan tempat duduk, ciri ketersambungan kenderaan serta sudut cermin sisi.

    “Pada masa hadapan, Hyundai Motor merancang untuk mengembangkan lagi penggunaan teknologi ini untuk membenarkan pelarasan pelbagai lagi ciri seperti pendingin hawa, kedudukan stereng dan lain-lain. Ini seterusnya akan memberikan kualiti pemanduan yang lebih baik untuk setiap pengguna kenderaan Hyundai,” kata presiden bahagian penyelidikan dan pembangunan Hyundai, Albert Biermann.

    Satu soalan penting tentunya adalah keselamatan apabila menggunakan teknologi ini. Menurut Hyundai, sistem yang mereka gunakan ini juga mempunyai teknologi capacitance recognition, yang boleh mengesan perbezaan dalam tahap elektrik pada bahagian berbeza di hujung jari, seterusnya dapat mencegah penggunaan cap jari palsu.

    Selain itu, Hyundai turut memberitahu kebarangkalian teknologi ini mengenal pasti cap jari yang salah sebagai cap jari yang telah didaftar hanya satu dalam 50,000, menjadikannya lima kali lebih cekap berbanding kunci biasa, termasuklah juga kunci pintar. Sistem Hyundai ini juga disokong dengan ‘kemas kini dinamik’, sekaligus meningkatkan lagi kecekapannya.

     
     
  • Schumacher The Official Apps – aplikasi rai harijadi ke-50 lagenda juara dunia Formula Satu tujuh kali

    Schumacher The Official Apps – aplikasi rai harijadi ke-50 lagenda juara dunia Formula Satu tujuh kali

    Hari ini, 3 Januari 2019 merupakan hari jadi ke-50 lagenda Formula 1 yang masih hidup – juara dunia tujuh kali, Micheal Schumacher. Tetapi seperti yang diketahui, Schumi masih lagi belum pulih dari kecederaan yang dialami ketika bermain ski pada 29 Disember 2013, yang menyebabkan beliau koma.

    Sejak itu, keadaan kesihatan Schumacher dirahsiakan oleh ahli keluarganya, dan beliau dikatakan dirawat di rumahnya yang terletak di Switzerland setelah berberapa kali menerima pembedahan di Hospital Grenoble, berdekatan kawasan pergunungan Alps. Namun malam tadi, ahli keluarga Micheal Schumacher membuat pengumuman tergempar berkenaan keadaannya dan mereka akan meraikan ulangtahun kelahiran pemandu dari Jerman tersebut dengan peminat tahun ini.

    “Anda boleh memastikan bahawa dia (Schumacher) dirawat oleh pihak yang terbaik dan kami lakukan seinsaniah yang mungkin untuk membantunya. Tolong fahami bahawa kami menuruti kehendak Micheal dan menyimpan perkara yang sensitif seperti kesihatan, ia adalah sentiasa, dalam privasi,” tulis kenyataan keluarganya yang disiarkan oleh Reuters.

    Schumacher The Official Apps – aplikasi rai harijadi ke-50 lagenda juara dunia Formula Satu tujuh kali

    Jika anda benar-benar peminat Micheal Schumacher, anda pasti tahu bahawa beliau sememangnya sentiasa merahsiakan kehidupan peribadinya, dan sepanjang karier profesional sebagai pelumba, Schumi sangat jarang dikaitkan dalam apa-apa kontroversi peribadi.

    Turut diumumkan, satu aplikasi mudah alih telah dilancarkan oleh yayasan Micheal Schumacer, Keep Fighting Movement bagi membolehkan semua peminat meraikan hari jadi jaguh dunia berkenaan yang ke-50 hari ini. Aplikasi Schumacher The Official Apps berkenaan kini sudah boleh dimuat turun sama ada di Google Playstore dan Apple Apss Store bermula hari ini.

    Menerusi aplikasi tersebut, anda boleh melawat muzium maya yang mempamerkan koleksi jentera-jentera dan juga detik-detik manis Schumacher sepanjang bergelar pelumba. Dua pasukan yang pernah diwakili Schumacher, Ferrari dan Mercedes-Benz turut akan mengambil bahagian dalam sambutan hari lahirnya tahun ini.

    Muzium Ferrari di Maranello, Itali, akan mempamerkan foto-foto Schumacher ketika berlumba untuk Scuderia Ferrari Marlboro dari 1996 hingga 2006, begitu juga dengan Muzium Mercedes-Benz yang terletak di Stuttgart, Jerman.

    Micheal Schumacher mula tampil dalam Formula 1 pada musim 1991 dengan pasukan Jordan. Secara keseluruhan, beliau telah memandu dalam 308 perlumbaan, dengan menjuarai 91 Grand Prix, mendapat 68 kedudukan pole, serta bergelar juara dunia sebanyak tujuh kali – dua kali berturut-turut dengan pasukan Benetton (1994-1995) dan empat kali dengan Ferrari (2000-2004).

    Schumacher mengumumkan persaraannya pada 2006, tetapi kembali semula memandu untuk Mercedes-Benz atas pujukan pakar strateginya, Ross Brawn pada tahun 2010. Beliau kemudian bersara sepenuhnya pada tahun 2012 dengan tambahan sedikit lagi rekod kemenangan.

     
     
  • Volkswagen tunjukkan konsep pengecas mudah alih

    Volkswagen tunjukkan konsep pengecas mudah alih

    Volkswagen melalui cabang pengeluar komponen mereka telah menunjukkan satu konsep Stesen Pengecas Mudah Alih (MCS) yang secara ringkasnya, seperti pek bateri (power bank) kapasiti tinggi dan boleh diletakkan di mana-mana kawasan di dalam bandar. Lokasi itu pula boleh dikenal pasti secara atas talian atau aplikasi khas.

    Pengerusi lembaga pengurusan Volkswagen Group Components, Thomas Schmall berkata “steseen pengecas mudah alih ini boleh diletakkan di mana-mana kawasan yang memerlukan, sama ada dengan terdapat sambungan kepada kuasa elektrik utama ataupun tidak. Fleksibiliti ini membolehkan pendekatan baru untuk pengembangan infrastruktur pengecas kenderaan.

    “Sebagai contoh, dengan pengecas mudah alih ini, pengurusnya boleh mengenal pasti tempat mengecas yang tetap sebelum membuat pelaburan untuk membangunkan rangkaian penuh. Sebagai tambahan, dengannya juga kita boleh membuat satu tempat mengecas yang besar secara sementara – di mana dan apabila perlu,” tambah Schmall.

    Volkswagen tunjukkan konsep pengecas mudah alih

    Setiap tempat mengecas boleh digunakan untuk pengecasan pantas DC sehingga 100 kW. Selain mengecas kenderaan elektrik, motosikal elektrik juga boleh menggunakan stesen ini. Empat kenderaan boleh dicas secara serentak, dan stesen mengecas tersebut mempunyai dua penyambung DC dan dua penyambung AC. Kapasiti bateri simpanannya boleh mencecah 360 kWh, dan ini cukup untuk mengecas sehingga 15 buah kenderaan dengan purata masa 17 minit untuk setiap kenderaan (pengecasan pantas).

    Apabila kapasiti bateri simpanan dalam stesen pengecas mudah alih ini sudah berkurangan sehingga mencecah 20% sahaja, ia akan ditukar dengan stesen yang dicas penuh. Selain daripada itu, terdapat juga kemungkinan ia boleh disambung kepada sumber kuasa dan dicas kembali.

    Stesen mengecas mudah alih ini akan mula dipasang separuh tahun pertama 2019 ini di Wolfsburg sebagai projek paling awal, dan akan memberi sokongan kepada pengembangan insfrastruktur pengecas di kawasan bandar. Menjelang 2020, pengecas ini juga akan digunakan di dalam bandar dan komuniti, serta juga acara-acara besar tertentu.

     
     
  • Kerajaan belum buat keputusan untuk harga bahan api

    Kerajaan belum buat keputusan untuk harga bahan api

    Kerajaan masih belum membuat keputusan untuk harga baharu bahan api selepas mesyuarat pertama Kabinet bagi 2019 yang berlangsung semalam, menurut The Star. Sebelum ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata, harga bahan api, termasuk petrol RON 95, akan diapungkan dan ditentukan secara mingguan mulai 1 Januari 2019.

    Langkah ini dikatakan mampu memberikan manfaat kepada pengguna bagi menikmati kadar rendah harga bahan api disebabkan penurunan harga minyak mentah dunia. Walau bagaimana pun, sistem baharu ini nampaknya ditangguhkan seketika untuk kerajaan menyemak sistem berkenaan dan membuat keputusan.

    Bermula tahun baharu, harga bahan api kekal tidak berubah seperti yang diumumkan pada Disember 2018, dengan RON 97 dijual apda harga RM2.50 per liter, RON 95 pada RM2.20 per liter dan diesel Euro 2M pula RM2.18 per liter.

    Kerajaan belum buat keputusan untuk harga bahan api

    Laporan turut mendedahkan pengusaha stesen minyak telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menyuarakan kebimbangan terhadap sistem apungan mingguan ini. Malah turut mengemukakan cadangan untuk dipertimbangan bagi memastikan mereka tidak mengalami kerugian yang teruk apabila sistem baharu ini dilaksanakan.

    “Kami dimaklumkan Kabinet akan berbincang dan membuat keputusan untuk isu petrol ini,” ujar presiden Persatuan Pengedar Petrol Malaysia (PDAM) Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz. Beliau menambah persatuan terbabit telah menjelaskan masalah mereka kepada Perdana Menteri mengenai perkara itu, dan berharap dapat memperoleh keputusan yang terbaik.

     
     
  • 10 laporan pandu uji paling popular sepanjang 2018

    Sebelum ini, kami telah kongsikan 10 artikel atau berita paling popular yang menjadi tumpuan pembaca di laman paultan.org/bm sepanjang tahun 2018. Macam mana pula dengan laporan pandu uji dan tunggang uji, mana satu yang berjaya tersenarai dalam kedudukan 10 teratas dan merekodkan paling banyak kunjungan? Untuk itu, di sini kami senaraikan 10 laporan pandu uji dan tunggang uji paling popular 2018.

    10. Ujian penggunaan minyak varian Perodua Myvi

    10 laporan pandu uji paling popular sepanjang 2018

    Perodua Myvi berterusan menjadi tumpuan sebaik pelancarannya pada hujung tahun 2017 dahulu. Dan kami di paultan.org telah menyediakan banyak laporan yang mencakupi pelbagai aspek berkaitan model berkenaan. Satu daripadanya yang berjaya masuk ke dalam senarai 10 paling popular ialah cerita berkaitan kadar penggunaan minyaknya. Apa beza antara varian 1.3L dan 1.5L?

    9. Kia Picanto 2018

    Dalam segmen kereta kompak dalam pasaran, ketika ini terdapat beberapa pesaing yang menonjol. Myvi mungkin yang paling popular, tetapi Kia Picanto juga ada kelebihan yang tersendiri. Ia akan menjadi tarikan kepada mereka yang tak mahu mengikut selera kebanyakan orang dan ingin tampil berbeza. Harganya pula walau sedikit mahal, sesuai dengan penawaran spesifikasi yang ditawarkan.

    8. Toyota Harrier 2.0T

    10 laporan pandu uji paling popular sepanjang 2018

    Ini antara SUV yang tampil dengan ciri premium dan sangat teliti pembuatannya yang pernah kami cuba sepanjang tahun lalu. Ini ditambah pula dengan penggunaan enjin baru 2.0L turbo dan tak sama dengan unit-unit yang dibawa masuk oleh pengimport persendirian, Toyota Harrier secara tak langsung meletakkan jenama itu kembali dalam minda kelompok yang ingin mencari SUV dalam segmen berkaitan. Ia wajar dipertimbangkan dalam senarai pendek anda.

    7. Yamaha NVX 155 cc

    10 laporan pandu uji paling popular sepanjang 2018

    Senarai 10 paling popular ini nampak seimbang jika dilihat dari perwakilan antara laporan pandu uji kereta dengan laporan tunggang uji motosikal. Dan, satu model yang menjadi sebutan ramai tahun lalu tentulah skuter sporty dari Yamaha ini, NVX 155. Sehingga ke hari ini, jika anda perhatikan di atas jalan raya, popularitinya memang jelas kelihatan. Mungkin skuter paling menarik yang ada di pasaran setakat ini.

    6. Benelli RFS150i

    10 laporan pandu uji paling popular sepanjang 2018

    Kalau bercakap tentang kapcai, genre yang paling meninggalkan kesan sejak beberapa tahun kebelakangan ini tentulah model-model dengan kapasiti enjin 150 cc. Dua pesaing paling utama tentulah Yamaga Y15ZR dan juga Honda RS150R. Tetapi, Benelli juga tidak mahu ketinggalan di dalam “perlumbaan” ini. Untuk itu, mereka memperkenalkan Benelli RFS150i. Bagaimana prestasinya?

    5. BMW G310 GS

    10 laporan pandu uji paling popular sepanjang 2018

    Melalui motosikal ini, ia merupakan kali pertama BMW menawarkan barisan produknya dalam segmen motosikal dengan sesaran enjin yang lebih rendah begini. Tetapi, ia bukanlah dibina sepenuhnya oleh pengeluar Jerman itu, melainkan ia merupakan jalinan kerja sama dengan sebuah pengeluar dari India, TVS Motorcycle. Menariknya, motosikal ini tidak menghampakan; keseronokan menunggang kini boleh dinikmati dalam pakej yang kecil.

    4. Modenas Pulsar NS200

    10 laporan pandu uji paling popular sepanjang 2018

    Ini satu lagi contoh corak dan jalinan kerjasama seperti yang dilakukan oleh BMW. Cuma, kali ini ia melibatkan pengeluar motosikal tempatan, Modenas yang menjalinkan usahasama dengan sebuah lagi pengeluar motosikal yang terbesar di India, Bajaj. Tanda harga menarik, dan Pulsar NS200 ini dirasakan mampu dijadikan motosikal peralihan daripada kapcai kepada jentera yang kapasiti enjinnya lebih besar.

    3. Mazda CX-5

    10 laporan pandu uji paling popular sepanjang 2018

    Satu model SUV antara yang semakin mendapat perhatian daripada pengguna di Malaysia. Dalam penampilan facelift terbarunya, banyak juga pembaharuan yang diberikan kepada Mazda CX-5 ini. Tambahan pula ia versi pemasangan CKD, dengan pengenalan ciri GVC yang semakin sinonim dengan kenderaan Mazda ketika ini. Bosan dengan SUV popular yang terlalu banyak di atas jalan raya Malaysia? Maka bolehlah tinjau model ini.

    2. Yamaha MT-09 2018

    10 laporan pandu uji paling popular sepanjang 2018

    Bagi tunggang uji, motosikal ini meraih paling banyak pembaca. Dan ia bukan kapcai, tetapi sebuah jentera dari barisan “motosikal besar” keluaran Yamaha. Dengan penampilan baru, dan tentunya tanda harga yang berpatutan, mungkin ramai yang menaruh hati untuk melamar motosikal ini. Apa kami fikir tentang jentera ini, adakah ia terlalu garang dan “jahat”?

    1. Nissan Serena S-Hybrid 2018

    10 laporan pandu uji paling popular sepanjang 2018

    Apa jenis kenderaan yang paling popular dalam kalangan pembaca bahasa Melayu? Jika merujuk kepada senarai ini, maka jawapannya ialah sebuah MPV, Nissan Serena S-Hybrid 2018. Untuk model ini, banyak juga liputan yang kami lakukan, termasuk tiga video yang antara lain menunjukkan perbezaannya dengan versi lama C26 dahulu. Adakah ia sebuah kereta keluarga yang berbaloi? Jika dilihat dengan teliti, ia memang menawarkan banyak nilai dan kelebihan kepada pemiliknya.

     
     
  • Perodua Aruz – harga jualan diumum, RM72k-RM77k

    Perodua Aruz – harga jualan diumum, RM72k-RM77k

    Perodua Aruz, model SUV terbaru pengeluar tempatan itu, hari ini mula dibuka untuk tempahan di seluruh negara. Selain itu, harga anggarannya juga telah didedahkan. Ditawarkan dalam dua varian, SUV tujuh-tempat duduk berkenaan hadir dengan tanda harga bermula dari RM72,200 bagi varian 1.5 X dan RM77,200 bagi varian 1.5 Advance (AV). Harga ini adalah untuk Semenanjung Malaysia, atas jalan tanpa insurans. Lengkap dengan jaminan kilang selama lima tahun atau 150,000 km.

    Dengan pengumuman rasmi dari Perodua ini, harga Perodua Aruz berada pada tahap RM20k lebih rendah berbanding model yang dibangunkan seiringan, Toyota Rush yang diumumkan harga anggarannya ketika pengenalan bermula dari RM93k hingga RM98k. Aruz juga lebih murah berbanding Honda BR-V, yang dijual antara RM81k hingga RM88k.

    Kelengkapan standard bagi Aruz termasuk lampu utama LED, rim aloi 17-inci, corong pendingin hawa untuk barisan kedua, sistem tanpa kunci dan butang Push Start, pengimbas Touch n Go binaan dalaman, slot pengecas bagi semua barisan, enam beg udara dan kamera undur.

    Aruz AV pula menerima tambahan lampu LED automatik, landasan pada bumbung, kemasan kulit, stereng balutan kulit dengan kawalan telefon, perakam video digital (DVR) dan input HDMI. Varian tertinggi ini juga dilengkapi dengan sistem keselamatan Advanced Safety Assist (ASA) 2.0.

    Ia sama dengan sistem ASA yang ada pada Myvi sebelum ini, tetapi kali ini hadir dengan penambah baikan; termasuk di dalamnya ciri Pre-Collision Warning, Pre-Collision Braking, Front Departure Alert dan Pedal Misoperation Control, tetapi dengan tambahan pengesanan pejalan kaki bagi pra-perlanggaran.

    ASA 2.0 juga memperkenalkan tahap kelajuan pengaktifannya yang lebih luas – sehingga 80 km/j (dulu hanya 30 km/j), pengesanan pejalan kaki/membrek sehingga 50 km/j – sama seperti yang dilihat pada sistem Toyota Rush.

    Model terbaru Perodua ini dilengkapi dengan enjin Dual VVT-i cekap tenaga (EEV), dengan ciri Eco Idle dan kadar penggunaan minyak 15.6 km/l. Enjin ini dijangka berkongsi unit 2NR yang sama ditawarkan pada model Myvi, yang turut digunakan oleh Toyota Rush. Toyota juga mendakwa penggunaan minyak model Rush mampu mencapai 15.6 km/j, dan menggunakan transmisi automatik empat-kelajuan, pacuan roda depan.

    Perodua Aruz ditawarkan dalam lima pilihan warna – Granite Grey, Electric Blue, Glittering Silver, Ivory White dan Amazon Green. Hijau berkenaan merupakan warna baru yang diperkenalkan untuk model ini, sementara putih merupakan warna solid. Apa pandangan tentang harga yang diumumkan ini?

    GALERI: Toyota Rush 1.5 S 2018

    GALERI: Toyota Rush 1.5 G 2018

     
     
  • ECRL mungkin boleh diteruskan tapi skala dikecilkan, perbincangan dengan China masih diteruskan – PM

    ECRL mungkin boleh diteruskan tapi skala dikecilkan, perbincangan dengan China masih diteruskan – PM

    Pada Ogos lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengesahkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bernilai berbilion Ringgit dibatalkan. Walau bagaimana pun, perkembangan terkini melaporkan projek berkenaan berkemungkinan mampu diteruskan dalam skala yang lebih kecil sekiranya China bersetuju dengan langkah berkenaan.

    Laporan Berita Harian, yang memetik temubual antara Tun Mahathir dengan akhbar Sin Chew Daily semalam, berkata Malaysia dan China masih membincangkan perkara berkenaan dan sehingga kini masih belum menemui jalan penyelesaian terbaik.

    “Apa yang kita cuba lakukan kini adalah memastikan kita tidak berbelanja terlalu besar dan China tidak mengalami kerugian,” katanya yang turut menyatakan Malaysia kini dalam dilema sama ada ingin membatalkan projek ECRL atau meneruskannya dengan perbelanjaan yang besar.

    “Malaysia bagaimanapun akan cuba sedaya upaya untuk meminda projek berkenaan atau mencari alternatif lain. Kita sedang berunding secara rasmi atau tidak rasmi bersama mereka (China). Bagi mereka, jika ia adalah kontrak yang menguntungkan, mereka tidak mahu melakukan sebarang perubahan,” katanya.

    ECRL mungkin boleh diteruskan tapi skala dikecilkan, perbincangan dengan China masih diteruskan – PM

    Pelan laluan asal ECRL

    Projek ECRL yang bernilai RM81 bilion itu diluluskan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Oktober 2016. Projek pembinaan itu akan dikendalikan oleh China Communication Construction Company Ltd (CCCC) manakala pembiayaan itu akan disediakan oleh Export-Import Bank of China (Exim Bank of China). Di mana Malaysia akan memperoleh sebahagian daripada pinjaman daripada Exim Bank of China dengan syarat bahawa CCCC membina laluan kereta api.

    Ia merangkumi laluan sepanjang 600.3 kilometer bagi fasa pertama melibatkan empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor. Laluan ECRL bermula di terminal pengangkutan bersepadu (ITT) Gombak akan berakhir di Wakaf Bharu, Kelantan, dengan 23 stesen perhentian di antaranya.

    Menurut Tun Mahathir lagi, “Tetapi, perkara ini tidak mudah untuk dilaksanakan kerana kita terikat dengan kontrak. Ini kerana kita tidak mempunyai wang untuk membayar China, kita sudah pun membayar sejumlah wang kepada China selepas penangguhan itu.”

    Katanya lagi, ECRL adalah satu pembaziran kerana kerajaan tidak akan mendapat apa-apa pulangan daripada projek itu selain kerajaan tiada cara untuk membayar cukai syarikat konsesi itu. Di mana kerajaan tidak pernah menerima sesen pun keuntungan daripada perkhidmatan kereta api Pantai Timur biarpun penggunaannya berat.

    ECRL mungkin boleh diteruskan tapi skala dikecilkan, perbincangan dengan China masih diteruskan – PM

    “Dalam projek ECRL, terdapat beberapa individu yang miskin yang mana mereka tidak menjalankan perniagaan besar seperti mereka di kereta api Pantai Timur, jadi anda tidak boleh mendapatkan pelaburan anda semula. Pulangan daripada projek itu hampir kepada ‘sifar’ dan kita perlu membayar hutang sebanyak RM55 bilion,” katanya.

    Dr Mahathir juga menafikan bahawa dia adalah pemimpin ‘pro-Jepun, anti-China’, dengan menyatakan bahawa dia mempertahankan China ketika dia menghadiri forum di Jepun.

    “Mereka bertanya mengenai perasaan saya terhadap China, saya berkata bahawa Malaysia sentiasa berhubung dengan China dan kita adalah rakan dagang, kita sentiasa mesra dengan China,” katanya sambil menambah China datang ke Malaysia untuk berdagang berabad lalu tetapi tidak pernah menjajah Malaysia, tidak seperti Portugis.

    “Jadi, negara mana yang harus (anda) takutkan? China atau Eropah? Orang Cina mengenal saya sebagai rakan mereka. Sekarang, saya dikatakan tidak ramah kepada mereka, semata-mata kerana kerajaan sedang mengkaji projek ECRL dan Paip Gas Trans-Sabah (TSGP)?

    “Kerajaan China memahami masalah kewangan kita, bukannya kita tidak mahu projek ini, tetapi ini adalah projek yang teruk pada awal lagi dan kita tidak mampu untuk menampung perbelanjaannya,” katanya sambil menambah bahawa dia akan ke China jika perlu.

     
     
  • Volvo bakal tawar kamera pantau kesihatan pemandu – diperkenalkan selewat-lewatnya hujung tahun ini

    Volvo bakal tawar kamera pantau kesihatan pemandu – diperkenalkan selewat-lewatnya hujung tahun ini

    Menurut laporan Car Magazine UK, Volvo bakal menawarkan pilihan kamera pemantau sikap dan biometrik pemandu akhir tahun ini. Ketua pegawai digital Volvo, Atif Rafiq menyatakan bahawa kamera pintar berkenaan bakal memberikan pelbagai faedah kepada pemilik sama seperti apa yang ditawarkan pada telefon pintar mahupun mana-mana peranti mudah alih untuk memantau kesihatan mereka.

    Teknologi ini bakal diperkenalkan dalam masa 12 bulan akan datang dan ia tawarkan sebagai opsyen kerana ada pelanggan akan menganggap privasi mereka mungkin terganggu kerana sentiasa dipantau oleh kamera tersebut.

    “Kamera menghadap pemandu ini akan ditawarkan sebagai opsyen dalam kereta kami pada 2019. Ia sangat canggih sekarang ini: ia boleh mengenalpasti tahap glukos pemandu dengan hanya melihat anak mata, jadi ia akan menghubungi orang kesayangan atau hospital jika ia mengesan masalah kesihatan. Kereta tersebut juga mengetahui keadaan dan mengurangkan stress anda ketika perjalanan pulang dari tempat kerja,” kata Rafiq.

    Volvo bakal tawar kamera pantau kesihatan pemandu – diperkenalkan selewat-lewatnya hujung tahun ini

    Volvo telah menguji sistem ini sejak sekitar lima tahun lalu. Pada 2014, mereka telah merakam pemandu di Shanghai bagi memahami bagaimana reaksi manusia ketika menghadapi trafik bandar sibuk yang menyebabkan stress.

    Jenama Sweden itu juga kini sedang menguji kamera berkenaan keatas projek kereta pemanduan sendiri XC90 Drive Me. Pada 2017 kamera tersebut sudah mampu untuk mengesan sikap pemandu dan boleh mengambil alih pemanduan manual kepada pemanduan automatik, membuktikan kebolehan utama sistem berkenaan kearah versi produksi sebenar yang sedang bersedia untuk dilancarkan pada tahun ini.

    Volvo percaya bahawa masyarakat akan secara cepat menerima teknologi ini setelah menyedari imej yang diambil tersebut tidak akan dikongsi, dan teknologi biometrik ini mempunyai pelbagai faedah pada masa akan datang.

    Volvo bakal tawar kamera pantau kesihatan pemandu – diperkenalkan selewat-lewatnya hujung tahun ini

    “Kamera boleh digunakan untuk perbualan video dan juga tujuan pengenalan identiti. Kereta anda mengenali anda dan secara automatik akan melaras aplikasi Google, sistem penghawa dingin dan kedudukan tempat duduk untuk anda. Ia sangat pintar,” jelas Rafiq kepada Car Magazine.

    Buat masa sekarang, ada pengeluar telah pun memasarkan kereta mereka dengan sistem infotaimen yang dilengkapi teknologi AI membolehkan anda bercakap dengan mereka; sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) pada Mercedes-Benz A-Class W177 dan GKUI pada Proton X70 misalnya. Nampaknya sistem dari Volvo ini bakal membolehkan kereta ‘melihat’ anda dan kenal siapa tuan mereka menerusi wajah, malah tahu sama ada anda sedang marah, gembira atau sakit.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025