Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • HSR dijangka beroperasi pada tahun 2031 – Azmin

    HSR dijangka beroperasi pada tahun 2031 – Azmin

    Umum mengetahui Malaysia dan Singapura telah bersetuju untuk untuk menangguhkan pembinaan Projek Keretapi Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) sehingga akhir Mei 2020, tanpa melibatkan sebarang bayaran pampasan.

    Walau bagaimana pun, pihak kerajaan Malaysia telah bersetuju untuk membayar kos abortif sebanyak S$15 juta kepada kerajaan Singapura pada 31 Januari 2019, ujar Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    “Apabila saya pertama kali bertemu Menteri Pengangkutan dan Menteri Penyelaras Infrastruktur Singapura, Khaw Boon Wan, saya menyampaikan mandat daripada Kabinet Malaysia bahawa kami ingin projek itu ditangguhkan selama sekurang-kurangnya tiga hingga empat tahun,” katanya menerusi laporan Bernama.

    HSR dijangka beroperasi pada tahun 2031 – Azmin

    Bagaimanapun, Azmin berkata, beliau bersetuju dengan Khaw bahawa jika tempoh penangguhan itu melebihi dua tahun, model perniagaan berkenan pasti akan berubah dengan kos yang terus meningkat.

    Ketika ditanya kemungkinan Malaysia membatalkan projek itu, Azmin menjawab, “Saya tidak mahu membuat kesimpulan kerana perjanjian ditandatangani hari ini dengan jelas menyatakan komitmen kami untuk meneruskan projek itu selepas Mei 2020.”

    Kenyataan bersama oleh Singapura dan Malaysia mengenai projek HSR itu berkata, jika pada 31 Mei 2020 Malaysia tidak meneruskan Projek HSR, Malaysia juga akan menanggung kos yang dipersetujui oleh Singapura dalam memenuhi Perjanjian Dua Hala HSR. “Semasa tempoh penangguhan itu, Malaysia dan Singapura akan terus membincangkan cara terbaik untuk Projek HSR dengan tujuan mengurangkan kos,” kata kenyataan itu.

    Stesen HSR seperti yang dicadangkan sebelum ini

    Menurutnya, Perkhidmatan Ekspres HSR antara Singapura dan Kuala Lumpur dijangka bermula 1 Januari 2031 dan bukannya tarikh asal pada 31 Disember 2026.

    Kerajaan Singapura pula memaklumkan di bawah pemahaman baharu itu, projek tersebut dianggap batal jika pembinaan tidak diteruskan pada Mei 2020 dan Malaysia akan membayar balik kepada negara berkenaan untuk kos yang dibazirkan yang mereka lakukan untuk memenuhi perjanjian HSR.

    “Malaysia telah menjelaskan alasannya untuk menangguh projek berkenaan, mereka memutuskan untuk menggantungnya selama setahun dan kami berpendapat kami dapat menguruskannya. Tetapi jika tempoh lebih lama, katakan empat tahun, keadaannya agak sukar kerana ia akan menjejaskan kedua-dua negara dan projek itu sendiri,” ujar Khaw.

     
     
  • Proton sasar kekalkan momentum dengan serap SST

    Proton sasar kekalkan momentum dengan serap SST

    Awal minggu ini, Proton telah mengumumkan bahawa mereka akan menyerap Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi kereta-kereta yang didaftarkan pada bulan September ini – di mana cukai berkenaan mula dikenakan pada 1 September, setelah ‘cuti cukai’ yang bermula 1 Jun lalu apabila GST dikadarkan pada sifar peratus tamat.

    Menurut Proton, langkah ini adalah bagi memastikan prestasi jualan yang baik bermula Jun lalu dengan jumlah 6,173 buah kereta akan terus kekal. Prestasi jualan berkenaan dilihat meningkat pada Julai dengan 8,012 unit sekaligus mencatatkan prestasi terbaik bukan sahaja untuk tahun 2018, malah terbaik untuk Proton sejak 30 bulan lalu. Ia tidak terhenti setakat itu apabila rekod jualan dipecahkan lagi pada Ogos dengan catatan 9,501 unit – terbaik sejak 35 bulan lalu.

    Proton berharap momentum berkenaan dapat dikekalkan dengan meyerap SST pada September ini, serentak dengan promosi-promosi yang dijalankan bersempena Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia. Diskaun bermula RM500 hingga RM1,000 ditawarkan untuk Saga, Iriz dan Persona; manakala Ertiga Xtra yang baru sahaja dilancarkan turut menerima pengurangan harga sehingga RM2,000.

    Langkah ini mungkin dilihat tidak mampan kerana ia mungkin hanya akan menarik sekumpulan pelanggan yang membeli kerana musim jualan murah. Dan mengikut senarai-senarai harga yang dikeluarkan oleh pengeluar-pengeluar lain pula, harga untuk model-model CKD nampaknya turun sedikit dengan SST 10% ini berbanding GST 6% terdahulu.

    Proton sasar kekalkan momentum dengan serap SST

    Walau bagaimanapun, Proton mempunyai rancangannya sendiri menerusi strategi menyerap cukai SST berkenaan. Menurut pengeluar automotif tempatan tersebut, keputusan untuk mengambil langkah sedemikian adalah untuk “menambah perasaan positif sedia ada kepada pembeli kereta terhadap jenama,” seperti yang ditunjukkan pada prestasi jualan baru-baru ini, dan memberi lebih masa kepada konsumer bagi membuat keputusan, “menyahkan elemen terburu-buru dalam membeli kereta.”

    Pelanggan yang gembira berkemungkinan besar akan terus kekal dengan jenama tersebut dengan berkunjung semula ke premis dan pusat servis, yang akan memastikan kereta mereka terus bersama jaringan servis rasmi, menurut Proton lagi. Syarikat tersebut turut berpendapat bahawa pelanggan akan tertarik atas sebab apa yang mereka bayar untuk Proton adalah terus kepada kereta dan bukannya cukai.

    “Angka jualan yang memberangsangkan dicapai oleh Proton selama tiga bulan lalu menunjukkan peningkatan keyakinan orang ramai kerana semakin ramai orang yang memilih kereta kami kerana pakej keseluruhan yang ditawarkan. Pelan pemulihan kami kini sedang berjalan jadi kami perlu memastikan pelanggan-pelanggan ini terus kekal dengan memberikan khidmat pelanggan bertaraf tinggi,” kata CEO Proton Edar Abdul Rashid Musa.

    “Dengan melaraskan kadar SST kepada sifar untuk semua kereta Proton, kami memberikan pembeli peluang untuk menikmati harga bebas cukai seperti apa yang pelanggan kami nikmati selama tiga bulan sebelum ini. Ini akan memberikan banyak faedah kepada mereka apabila membeli kereta dan akan membantu Proton bagi mengekalkan momentum jualan yang telah dibina sebelum ini,” tambahnya.

    Proton sasar kekalkan momentum dengan serap SST

    Proton menegaskan bahawa formula kewangan adalah mudah. Dengan menjual lebih banyak kereta, kos jualan, pemasaran dan membina setiap unit seterusnya boleh diagihkan, mengurangkan kos purata. Dengan memulangkan keuntungan ini kepada para pelanggannya, ia akan seolah-olah melabur semula terhadap masa depan jenamanya sendiri, dan ia juga memberi manfaat kepada pembeli kereta, menurut Proton dan menyifatkannya sebagai situasi menang-menang.

    Tambahan pula, kos Proton yang lebih rendah sebagai pembuat kereta nasional turut membantu syarikat itu dalam menyerap SST. Ini kerana mereka tiada pek CBU atau CKD yang dikenakan duti import, dan Proton juga menerima pengecualian maksimum duti eksais untuk Program Rangkaian Perindustrian (ILP). ILP direka bagi menggalakkan pemasangan tempatan, jadi dengan menggunakan komponen dari dalam negara, komponen binaan sendiri, enjin yang dihasilkan secara tempatan dan menjalankan usaha R&D dalam negara akan meningkatkan kadar pengecualian.

    Dengan menggabungkan kesemua faktor tersebut, harga keseluruhan sebelum SST akan membolehkan (semasa transaksi terakhir kepada pengguna) ia lebih rendah dari CBU atau kereta CKD jenama luar. Kos-kos lain seperti pengangkutan, insuran, jualan dan pemasaran serta margin keuntungan yang perlu diambil kira, masih perlu ditolak oleh Proton bagi menampung pengecualian cukai berkenaan.

    Jangan lupa bahawa Proton juga kini sedang giat menaik taraf jaringan pusat-pusat 3S/4S mereka sebelum SUV pertama mereka yang diasaskan dari Geely Boyue menerjah pasaran tidak lama lagi.

     
     
  • Toyota umum harga baru SST – turun hingga 1.04%

    Toyota umum harga baru SST – turun hingga 1.04%

    Hari ini, tiba giliran UMW Toyota Motor pula untuk mengeluarkan senarai harga baru dengan SST bagi barisan model kenderaan syarikat itu yang dijual di Malaysia. Secara keseluruhannya, corak yang dapat dilihat adalah sama seperti kebanyakan harga baru SST dari pengeluar lain.

    Model-model kenderaan penumpang pemasangan tempatan (CKD) rata-ratanya mengalami penurunan. Dalam kes Toyota, ia melibatkan penurunan antara 0.3% hingga 1%. Jika diterjemahkan kepada nilai wang ringgit, antara model yang mencatatkan penurunan paling banyak adalah seperti Vios 1.5 E AT dan Vios 1.5 GX AT, dengan masing-masing kini dijual RM800 lebih rendah.

    Toyota umum harga baru SST – turun hingga 1.04%

    Dari kelompok kenderaan penumpang, model Altis bagaimanapun mengalami peningkatan harga. Ini kerana, ia merupakan model pemasangan dari Thailand. Peningkatan yang dicatatkan ialah 2.21% hingga 2.3% berbanding dengan GST dahulu, atau diterjemakan kepada kenaikan antara RM2,600 hingga RM3,100, bergantung kepada varian.

    Sementara itu, bagi kenderaan komersial, model-model CBU Jepun dan selebihnya, semua menyaksikan peningkatan antara 2.1% hingga 3.27%, atau jika dilihat dari jumlah RM2,600 hinggalah ke RM13,200. Antara model yang mencatatkan kenaikan paling tinggi ialah MPV Alphard dan Vellfire.

     
     
  • “Formula 4 SEA Fueled by Petron” – Ghiretti ungguli saingan di India; Muizz menang perlumbaan ketiga

    “Formula 4 SEA Fueled by Petron” – Ghiretti ungguli saingan di India; Muizz menang perlumbaan ketiga

    Kejuaraan Formula 4 SEA – Fueled by Petron berlangsung di Madras Motor Race Track buat kali pertama dan menyaksikan pelumba Perancis, Alessandro Ghiretti menebus semula nasib malangnya ketika perlumbaan di litar Sepang sebelum ini untuk muncul juara dalam perlumbaan ketiga di India itu.

    Dengan permulaan yang baik dari awal, Ghiretti mengekalkan kelebihan kedudukan itu hingga ke akhir perlumbaan untuk mengumpul mata keseluruhan terkini sebanyak 71 mata sebaik sahaja tamat perlumbaan Acara 3 berkenaan.

    Sementara itu, pelumba Thailand, Kane Shepherd pula memberi saingan sengit kepada Ghiretti, sebelum menamatkan perlumbaan ditempat kedua bagi kali ketiga berturut-turut. Persembahan konsisten ini membolehkan beliau meraih 54 mata keseluruhan setakat ini.

    Berada di kedudukan ketiga di belakang Ghiretti dan Kane dalam pungutan mata selepas perlumbaan itu pula ialah pelumba Malaysia, Muizz Musyafa dengan 50 mata. Awal perlumbaan menyaksikan saingan sengit antara dua pelumba di depan. Bagi Muizz, jalannya juga tidak mudah.

    Dia diasak rapat oleh pelumba Ireland, Luke Thompson. Muizz sempat dipintas oleh Luke dan hilang kawalan jenteranya sebelum kembali menyertai enam pelumba di kelompok depan. Dengan keluarnya kereta keselamatan selepas itu, kedudukan antara pelumba rapat kembali. Saingan sengit berterusan, walaupun Ghiretti berupaya keluar dari kelompok itu untuk terus mendahului.

    Perlumbaan kedua hujung minggu lalu pula menyaksikan pelumba Jepun, Ryo Komikado dan Alister Yoong dari Malaysia memulakan saingan di petak pertama dan kedua dan diikuti oleh Luke ditempat ketiga. Sejak awal perlumbaan dilepaskan, banyak aksi getir yang berlaku. Antaranya pelumba Australia, Aidan Wright yang menghimpit Muizz hingga terpaksa ke bahagian rumput dan membuka ruang untuk Ghiretti memintas Kane.

    Ghiretti kemudiannya mengambil peluan untuk memintas Luke di selekoh ke enam; asakan yang berterusan untuk beberapa ketika itu akhirnya menyaksikan Luke sedikit terbabas ke kawasan berumput. Jentera Luke pula sedikit terangkat ke udara sebelum dia merapat semula di belakang Kane. Luke bagaimanapun tidak memperoleh kedudukan podium – ia masing-masing menjadi milik Ghiretti, Shepherd dan Muizz.

    Perlumbaan ketiga pula lebih menyebelahi Muizz; bermula di tempat keempat dan tamat di tempat kedua. Aksi-aksi sengit dan mendebarkan menghiasi sepanjang perlumbaan ini. Perebutan kedudukan utama antara Ghiretti, Kane dan Ryo antara yang menarik diperhatikan. Sementara itu Muizz pula dalam perlumbaan ini memberi banyak saingan kepada rakan senegara, Alister yang awalnya berada di depannya.

    Kereta keselamatan keluar lagi di hadapan Ghiretti yang ketika itu berada di kedudukan ketiga. Muizz berjaya menamatkan pusingan berkenaan di kedudukan pertama dan diikuti oleh Kane di tempat kedua.

     
     
  • Hong Leong Yamaha umum senarai harga dengan SST

    Hong Leong Yamaha umum senarai harga dengan SST

    Selari dengan pelaksanaan SST bermula 1 September, Hong Leong Yamaha Malaysia kini mengeluarkan kemaskini senarai harga terkini bagi barisan model keluaran syarikat itu. Berita baiknya, hampir semua harga bagi model-model berkenaan tidak jauh berbeza dari senarai harga terakhir tanpa GST yang dikeluarkan sebelum ini – kecuali bagi tiga model.

    Ini bermakna, secara umumnya, harga bagi hampir semua motosikal Yamaha menurun kira-kira 5.66% jika dibandingkan ketika dikenakan GST dahulu. Antara model yang naik sedikit harganya ialah bagi jentera dengan kapasiti paling besar untuk pasaran Malaysia.

    Hong Leong Yamaha umum senarai harga dengan SST

    Yang dimaksudkan ialah Yamaha MT-09 dan MT-09 Tracer masing-masing kini lebih mahal 3.77% berbanding harga dengan GST sebelum ini. MT-09 dulu dijual pada harga RM47,141, dan dengan SST harganya menjadi RM48,920. Manakala bagi MT-09 Tracer pula, harga dahulu ialah RM51,729 kini menjadi RM53,681.

    Bagi model terbaru yang dilancarkan di Malaysia, Yamaha R15, harga dengan SST-nya pula masih belum dikemaskini. Harga-harga yang dinyatakan ini bagaimanapun tidak termasuk insurans, cukai jalan dan pendaftaran.

     
     
  • Zotye T900 – Range Rover Sport ‘copy ori’ dengan papan pemuka seperti Mercedes-Benz dari China

    Zotye T900 –  Range Rover Sport ‘copy ori’  dengan papan pemuka seperti Mercedes-Benz dari China

    Sebelum ini kami telah menyiarkan imej paten dan juga imej intipan Zotye T800 buatan China yang sekilas pandang tak ubah seperti Range Rover Sport. Nampaknya model tersebut telahpun siap diproduksi dan namanya kini berubah kepada Zotye T900.

    Sekali tengok, SUV ini memang seiras dengan model keluaran British berkenaan. Namun sekiranya anda lihat dengan lebih teliti, bahagian hadapan Zotye ini adalah lebih pendek berbanding Range Rover asli.

    Ini kerana T900 hanya dijana oleh enjin petrol 2.0 liter empat silinder turbo, berbanding model asli yang menerima enjin sehingga 5.0 liter V8. Enjin pada Zotye T900 ini menghasilkan kuasa 230 hp dan tork maksima 350 Nm dan digandingkan bersama kotak gear automatik lapan-kelajuan.

    Perkara lebih menarik berlaku dalam kabin SUV China ini. Ia tidak dipengaruhi oleh Range Rover Sport (kecuali suis putar tukaran gear yang boleh disembunyikan), tetapi rekaannya ‘merojakkan’ dengan lebih banyak elemen pengeluar Eropah contohnya roda stereng rata di bawah seperti diambil dari Porsche, manakala paparan instrumen bersama skrin infotainmen yang bersambung nampak seperti rekaan dari Mercedes-Benz. Ia juga turut menerima bumbung kaca panaromik penuh.

    Zotye T900 ini dijangka akan dijual di China bermula awal tahun hadapan dengan harga bermula 170,000 yuan (RM103k). Sebagai perbandingan, Range Rover Sport asli dijual pada harga bermula 1.02 juta yuan (RM618k) pada pasaran republik tersebut.

    Bukan hanya Range Rover Sport ini menjadi ‘mangsa’ kepada Zotye Auto, jenama tersebut sebelum ini turut menghasilkan sebuah SUV yang kelihatan seperti Porsche Macan diberi nama Zotye T700.

    GALERI: Range Rover Sport sebenar

     
     
  • Perodua Alza facelift 2018 diperkenalkan secara rasmi – tempahan kini dibuka, harga bermula RM51,490

    Perodua Alza facelift 2018 diperkenalkan secara rasmi – tempahan kini dibuka, harga bermula RM51,490

    Sebelum ini Perodua pernah mengesahkan bakal memperkenalkan model serba baharu bagi MPV tujuh-tempat duduknya, Alza, walau pun masih berteka-teki tentang jangkaan masa pelancarannya. Namun demikian, langkah memperkenalkan versi facelift ternyata tepat pada masanya, selepas kali terakhir Perodua melancarkan model yang dipertingkatkan pada tahun 2014.

    Malah Perodua memilih tarikh 31 Ogos 2018 sebagai detik keramat untuk memperkenalkan Alza 2018 ini kepada umum melalui iklan sempena Merdeka. Ia hadir dengan wajah yang diperbaharui, pastinya dengan suntikan yang lebih segar. Ia didatangkan dalam varian Standard (MT), Standard (AT), SE (AT) dan Advance (AT) dengan harga atas jalan bermula dari RM51,490 hingga RM62,690 (tanpa insurans).

    Walau pun begitu, ia masih mengekalkan penjana kuasa yang sama iaitu enjin 1.5 liter 3SZ-VE DVVT dengan pilihan kotak gear manual lima-kelajuan (bagi varian Standard MT) dan transmisi automatik empat-kelajuan pada varian yang lain.

    Bagi imej luaran, semua varian dilengkapi dengan lampu kabus depan, spoiler belakang, filem tingkap keselamatan dan solar, pengesan belakang dan roda aloi 15-inci dengan kemasan warna perak bagi varian Standard dan titanium pada varian SE dan Advance.

    Manakala varian SE dan Advance juga tampil dengan gaya yang lebih berani dan menonjol, termasuk kehadiran bampar depan, gril depan bar berkembar dan skirt sisi baharu. Bukan itu sahaja, bampar belakang baharu dan garisan hiasan turut menghiasi sudut belakang varian ini.

    Untuk bahagian kabinnya pula, ciri-ciri baharu yang ditawarkan termasuklah stereng balutan kulit, grafik panel instrumen dan kluster tengah yang direka semula, serta kunci kawalan jauh two-motion (tekan sekali untuk membuka pintu pemandu, tekan dua kali untuk membuka kesemua pintu).

    Perodua Alza facelift 2018 diperkenalkan secara rasmi – tempahan kini dibuka, harga bermula RM51,490

    Selain itu, aliran penyaman udara ke barisan tempat duduk ketiga bertambah baik dengan adanya ciri baharu termasuk sirip tetap yang terletak di antara corong udara tengah hadapan serta penambahbaikan kepada sistem penyejatan dan saluran pertukaran haba. Varian Standard dan SE turut dilengkapi dengan sistem audio baharu dengan fungsi USB dan Bluetooth.

    Manakala ciri tambahan bagi varian SE dan Advance termasuklah rekaan baharu tempat duduk kulit, manakala Advance secara eksklusif dilengkapi dengan monitor pasang-siap di bumbung dan sistem multimedia dengan skrin sesentuh berasaskan Android dengan fungsi pintar (Smart Link), Bluetooth, navigasi dan kamera undur.

    Untuk ciri keselamatan, Alza 2018 ini didatangkan dengan dua beg udara hadapan, ABS dengan Pengedaran Kuasa Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek dan poin ISOFIX untuk tempat duduk kanak-kanak di barisan tengah, sekaligus memberikan model ini penarafan keselamatan empat-bintang oleh ASEAN NCAP.

    Manakala pilihan warna yang ditawarkan ialah Granite Grey (warna baharu dan eksklusif untuk varian SE dan Advance sahaja), Ivory White, Glittering Silver, Mystical Purple dan Electric Blue.

    Malahan Perodua buat kali pertamanya akan memperkenalkan pelbagai aksesori GearUp yang unik untuk Perodua Alza baharu ini termasuk aksesori luaran, balutan tempat duduk bercorak quilt dan pelindung matahari.

    Akan mula dipamerkan di bilik pameran Perodua di seluruh negara secara berperingkat mulai 6 September ini, tempahannya juga kini telah pun mula dibuka. Alza 2018 ditawarkan dengan waranti lima-tahun/150,000km (yang mana tiba terdahulu).

    GALERI: Perodua Alza Advance 2018

    GALERI: Perodua Alza 2018 dengan aksesori GearUp

     
     
  • Subaru WRX S4 STI Sports – pengendalian lebih baik dengan suspensi Bilstein, sentuhan semula STI

    Subaru WRX S4 STI Sports – pengendalian lebih baik dengan suspensi Bilstein, sentuhan semula STI

    Subaru telahpun mendedahkan Subaru WRX S4 STI Sports yang bakal menerjah pasaran Jepun pada 21 September ini. Namun jangan terkeliru, ini bukanlah salah satu edisi atau varian dari model paling berkuasa WRX STI, tetapi model WRX yang lebih rendah dari versi S4 tetapi menerima sentuhan Subaru Technica International seperti BRZ dan Levorg STI Sports.

    Menurut Subaru, WRX S4 STI Sports ini menggabungkan keselesaan pemanduan, ketangkasan pengendalian dan juga kestabilan yang tinggi. Ia dicapai dengan melengkapkan kereta ini bersama suspensi DampMatic II dari Bilstein untuk bahagian hadapan dan juga penyerap hentak pasif di belakang serta set spring baharu, kemudian kesemuanya ditala semula oleh STI.

    STI turut memadankan pengapit khas pada cagak rak stereng, bagi membolehkan pemasangannya lebih tegar seterusnya meningkatkan respon stereng itu sendiri.

    Bagi membezakan rupa model tertinggi ini dengan WRX S4 biasa, ia diberikan lencana STI pada gril hadapan, fender hadapan dan bahagian belakang serta kemasan hitam berkilat pada spoiler dagu hadapan, spoiler pada but belakang, antena sirip yu dan juga penutup cermin sisi. Penampilan sedan sport ini dilengkapkan dengan pemadanan rim aloi 18-inci pelbagai jejari berwarna kelabu, dibaluti tayar 245/40R18.

    Masuk ke kabin, model ini menerima pelbagai lagi lencana STI seperti pada bendul sisi, paparan pelbagai info dan roda stereng. Pemandu dan penumpang hadapan pula dapat menikmati tempat duduk dari Recaro dengan balutan kulit “Bordeaux” dan baldu, manakala upholsteri pada bahagian lain seperti roda stereng, tombol dan gaiter gear, panel dalaman pintu turut menerima material kulit dengan serlahan jahitan berwarna merah.

    Subaru WRX S4 STI Sports – pengendalian lebih baik dengan suspensi Bilstein, sentuhan semula STI

    Tiada peningkatan kuasa dinyatakan, jadi model ini masih dijana oleh enjin boxer FA20 2.0 liter empat-silinder suntikan bahan terus dengan pengecas turbo berkuasa 300 PS pada takat 5,600 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 2,000 hingga 4,800 rpm. Kuasa dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem Symmetrical AWD Subaru, dan sebelum itu diterima oleh kotak gear automatik Sport Lineartronic CVT.

    Model JDM ini ditawarkan dalam lima warna – perak, putih, kelabu, merah dan biru WR – dan bakal dijual pada harga 4,093,200 yen termasuk cukai-cukai yang telah ditetapkan pada pasaran negara matahari terbit tersebut.

     
     
  • Daihatsu Malaysia perkenalkan van panel Gran Max 1.5L dengan transmisi automatik secara rasmi

    Daihatsu Malaysia perkenalkan van panel Gran Max 1.5L dengan transmisi automatik secara rasmi

    Daihatsu Malaysia kini telah memperkenalkan model van panel Gran Max 1.5 dengan transmisi automatik untuk pasaran tempatan. Model ini juga sudah dibuka untuk tempahan bermula pertengan Ogos lalu. Merupakan sebuah kenderaan komersial ringan untuk kegunaan perniagaan, ini merupakan model pertama Daihatsu bagi segmen berkenaan yang dilengkapi dengan transmisi automatik (AT).

    Sejak mula bertapak di Malaysia pada 1980, Daihatsu (Malaysia) Sdn Bhd telah menjual sejumlah 67,254 unit kenderaan komersial ringan (LCV) di sini. Direka untuk memenuhi keperluan perniagaan kecil dan sederhana (SME), penawaran van panel terbaru ini mampu menampung berat keseluruhan sebanyak dua tan, termasuk beban.

    Daihatsu Gran Max ini menggunakan enjin 1.5 liter DVVT DOHC yang menghasilkan kuasa maksimum 71kW pada 6,000 rpm manakala tork 134 Nm pada 4,400 rpm – dengan sistem suntikan minyak elektrik (EFI). Van ini juga menggunakan sistem pacuan roda belakang, dan dipadankan dengan sistem transmisi automatik empat-kelajuan.

    “Walaupun produk ini dipasang di kilang ADM Jakarta, ketiga-tiga cabang Daihatsu di Jepun, Indonesia dan Malaysia telah bekerja sama untuk menjalankan kajian terhadap faktor tempatan masing-masing. Cara pemanduan kenderaan komersial berbeza dengan kereta biasa, jadi kami ingin memudahkan lagi urusan pelanggan dengan menawarkan versi automatik ini,” jelas Pengarah Urusan Daihatsu Malaysia dan Pemangku Presiden & CEO MBM Resources, Dr. Iqbal Shaharom.

    Sebagai langkah untuk meningkatkan ciri keselamatan model ini, Daihatsu turut melengkapinya dengan ciri ABS serta dua beg udara SRS untuk pemandu dan penumpang.

    Daihatsu Gran Max Panel Van (AT) terbaru ini dijual pada harga RM69,888, tidak termasuk insurans. Ia juga didatangkan dengan jaminan tiga tahun atau 100,000 km. Bagi pelanggan yang menempah awal sebelum 30 September ini, mereka akan menikmati pakej penyelenggaraan percuma selama setahun.

     
     
  • Audi A1 Sportsback varian paling asas di Jerman – rim besi dan penutup plastik, tiada radio, bermula RM104k

    Audi A1 Sportsback varian paling asas di Jerman – rim besi dan penutup plastik, tiada radio, bermula RM104k

    Di Malaysia, Audi dilihat sebagai jenama premium, perkara ini sebenarnya sama seperti di negara asalnya di mana kedudukannya adalah lebih tinggi dari Volkswagen dan sebaris dengan BMW serta Mercedes-Benz. Namun dengan situasi pasaran yang semakin mencabar, jenama-jenama ini mula untuk memperkenalkan model-model ‘entry level’ bagi memperluaskan bahagian pasaran, contohnya Mercedes-benz A-Class, BMW 1 Series serta Audi A1.

    Nampaknya Audi sudah mula memecahkan satu lagi tradisi, dengan memperkenalkan model entry level dengan kelengkapan paling asas Audi A1 Sportback yang sekitar RM15k lebih murah dari varian S line.

    Pada bahagian luaran, model asas ini hanya diberikan lampu hadapan halogen, rekaan bampar hadapan lebih ringkas dan juga rim besi berdiameter 15-inci dengan penutup plastik sembilan-jejari. Namun pembeli masih lagi ditawarkan dengan opsyen lampu LED dan juga rim aloi bersaiz 15- dan 16-inci jika sudi untuk membayar lebih.

    Masuk ke kabin, hatchback ini diberikan tempat duduk biasa dengan balutan fabrik, manakala pada papan pemuka tiada suis digital diberikan untuk sistem penghawa dingin manual. Paling ketara, kereta ini bukan sahaja tiada skrin infotainmen, malah ia langsung tiada radio dan juga pembesar suara.

    Walau bagaimanapun, papan instrumen masih kekal dengan skrin digital tanpa pilihan meter-meter analog. Audi juga menawarkan kelengkapan opsyen pada bahagian dalaman – pilihan tempat duduk sports serta pelbagai upholsteri kulit dan fabrik serta roda stereng rata di bawah – dengan bayaran tambahan.

    Model paling asas ini juga dijana dengan enjin paling asas iaitu unit petrol turbo 1.0 liter tiga silinder dengan sistem suntikan bahan api terus berkuasa 116 PS/200 Nm, digandingkan bersama kotak gear manual enam-kelajuan. Ini membolehkan kereta ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 203 km/j. Versi automatik dengan kotak gear DCT enam-kelajuan turut disediakan namun dengan harga yang lebih mahal.

    Di Jerman, Audi A1 Sportsback ‘kosong’ ini dijual pada harga 21,700 Euro atau sekitar RM104k. Agak-agak kalau model ini ditawarkan di Malaysia, ada ke yang sanggup beli kereta tanpa radio dengan harga lebih RM100k?

     
     
  • Toyota Corolla Touring Sports – wagon generasi baru

    Toyota Corolla Touring Sports – wagon generasi baru

    Selepas model Corolla Hatchback generasi baharu diperkenalkan awal tahun ini, Toyota kini memperkenalkan pula satu lagi versi model ikonik tersebut – bukan sedan, tetapi wagon yang diberi nama Toyota Corolla Sports Touring.

    Menurut Toyota, model ini direka di studio Pusat Rekaan Toyota Eropah yang terletak di Zaventem, Belgium dan turut dibangunkan di benua berkenaan, disasarkan untuk mereka yang “inginkan praktikaliti dan gaya tanpa kompromi.” Jenama tersebut turut mendakwa bahawa wagon ini bukan variasi dari model hatchback, sebaliknya adalah model yang dibangunkan secara tersendiri.

    Walau bagaimanapun, jika diamati dari muka hingga ke pintu hadapan, rekaan wagon ini adalah seiras dengan versi hatchback. Namun berbanding hatchback yang mempunyai dua garis bahu – garis utama naik ke tiang-C, manakala satu lagi bermula dari pintu belakang hingga lampu belakang – model Touring Sports ini hanya mempunyai satu garis bahu yang bermula dari fender hadapan hingga lampu belakang.

    Toyota Corolla Touring Sports – wagon generasi baru

    Seperti juga model-model wagon baharu dalam pasaran, bahagian belakang kereta ini tidak direka petak, tetapi menerapkan rekaan shooting brake dengan garis bumbung tirus kebelakang, bersama cermin belakang yang lebih leper. Toyota belum lagi mendedahkan rekaan belakang sepenuhnya wagon ini, namun menerusi imej sedia ada dapat dilihat lampu LED belakang yang tirus mungkin menerima rupa yang hampir seiras dengan versi hatchback.

    Bagi menyerlahkan lagi penampilan sebuah kenderaan utiliti, Corolla Touring Sports diberikan kemasan seperti rel bumbung berwarna perak, kemasan hitam disekeliling gril hadapan, serta pilihan warna badan dua-tona dengan bumbung dan tiang menerima cat berwarna hitam.

    Bukan sekadar bahagian storan belakang yang ditambah dengan kapasiti muatan 598 liter berbanding 507 pada model hatch standard, malah model wagon ini juga sebenarnya mempunyai jarak roda lebih panjang dengan dimensi 2,700 mm, berbanding 2,640 mm pada model hatchback. Menurut Toyota, ini membolehkan kereta berkenaan mempunyai ruang kelegaan lutut yang paling luas dalam kelasnya.

    Seperti juga model hatchback, Touring Sports ini juga hadir dengan tiga pilihan janakuasa. Enjin konvensional hanya ditawarkan dengan pilihan unit petrol turbo 1.2 liter berkuasa 116 hp, manakala untuk versi 1.8 liter dan 2.0 liter tanpa induksi paksaan, ia hadir bersama padanan sistem hibrid elektrik masing-masing berkuasa 122 hp dan 180 hp.

    Dibina berasaskan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) GA-C, unit janakuasa diletakkan serendah mungkin manakala bateri hibrid pula berada pada bahagian tempat duduk belakang, memberikan pengalaman pemanduan yang lebih mengujakan. Menurut Toyota lagi, buat pertama kali penyerap hentak dengan teknologi Suspensi Adaptif Bervariasi (AVS) diperkenalkan menerusi Corolla Touring Sports ini.

    Ciri-ciri lain yang turut ditampilkan pada model ini termasuk meter pemandu 3-D, paparan Head-up premium, sistem bunyi premium JBL GreenEdge dan Toyota Touch Multimedia System yang memberikan fungsi pengecas telefon pintar tanpa wayar.

     
     
  • Tempoh percubaan RFID bermula – kami hantar kereta untuk pemasangan pelekat dan mencubanya sendiri

    Tempoh percubaan RFID bermula – kami hantar kereta untuk pemasangan pelekat dan mencubanya sendiri

    Bermula semalam, pemasangan pelekat bagi program tempoh percubaan bagi sistem RFID Touch ‘n Go telah dimulakan. Ini sistem pembayaran elektronik terbaru yang akan digunakan di plaza tol, sebagai tambahan kepada kad Touch ‘n Go dan SmartTag.

    Jadi, kami telah pun membuat pemasangan pelekat tersebut semalam. Dan ini perkara yang anda perlu tahu tentangnya. Perantinya adalah dalam bentuk pelekat yang nampak ringkas dan kecil, tentunya bersekali dengan cip elektronik khas yang akan memancarkan gelombang. Satu tag atau pelekat hanya untuk kegunaan satu kereta. Kalau anda ada lebih dari satu kereta, semuanya perlukan pelekat RFID berasingan.

    Peranti pelekat ini akan dihubungkan kepada aplikasi Touch ‘n Go eWallet pemiliknya – yang menyimpan kadar nilai wang semasa untuk kegunaan bayaran tol. Ketika kereta dengan kit RFID ini melalui plaza tol, pengimbas yang terletak di bahagian atas akan membawa gelombang frekuensi daripada pelekat berkenaan dan akan menolak nilai tol yang dikenakan dari eWallet yang dihubungkan padanya.

    Tempoh percubaan RFID bermula – kami hantar kereta untuk pemasangan pelekat dan mencubanya sendiri

    Untuk memudahkan anda, bayangkan eWallet ini adalah versi elektronik atas talian bagi kad Touch ‘n Go anda. Ia tidak dihubungkan kepada kad kredit atau akaun bank anda; sebaliknya anda perlu menambah nilai dalam eWallet berkenaan. Berapa yang anda “topup”, banyak itulah nilai yang akan ada. Untuk tambah nilai, mudah saja. Boleh gunakan kad kredit atau perkhidmatan perbankan atas talian (CIMB Clicks, Maybank2U dll) dan tiada kos tambahan dikenakan.

    Selepas pendaftaran untuk tempoh percubaan ini dibuka bulan lalu (pelaksanaannya akan bermula Januari 2019), kereta Hafriz Shah dari editorial Bahasa Inggeris kami telah terpilih untuk menjadi antara yang terawal dipanggil untuk pemasangan pelekat RFID berkenaan. Tempoh percubaan ini hanya terbuka kepada pengguna lebuhraya di Lembah Klang sahaja, bagi kenderaan dari Kelas 1.

    Tiada bayaran yang dikenakan bagi mereka yang terpilih bagi pelekat berkenaan, bagaimanapun mereka perlu menambah nilai eWallet sendiri. Bagi yang terpilih, anda perlu membuat temujanji untuk pemasangan pelekat itu, yang mengambil masa tak sampai 15 minit.

    Tempoh percubaan RFID bermula – kami hantar kereta untuk pemasangan pelekat dan mencubanya sendiri

    Dan, anda perlu ke lokasi pemasangan yang ditetapkan; pemasangan akan dilakukan oleh petugas TnG. Anda tak boleh datang sekadar untuk mengambil pelekat berkenaan dan ingin memasangnya sendiri di rumah.

    Ini kerana, pelekar RFID itu perlu diuji terlebih dahulu dilokasi pemasangan. Daripada maklumat yang diperoleh ketika sesi pemasangan semalam, TnG menerima kira-kira 100,000 pendaftaran daripada mereka yang berminat untuk program ini. Bagaimanapun hanya 10,000 pengguna bertuah akan terpilih untuk tempoh percubaan ini.

    Ketika ini, setiap lokasi pemasangan menampung 60 kereta sehari, dan akan dinaikkan kepada 100 kereta sehari selepas ini. Selain pejabat NPE Pantai Dalam, empat lokasi lain untuk tujuan ini ialah di Customer Experience Centre di Bangsar South, R&R Awan Besar Kesas, tol Loke Yew Besraya dan Salak Selatan di MEX.

    Tempoh percubaan RFID bermula – kami hantar kereta untuk pemasangan pelekat dan mencubanya sendiri

    Setakat ini, 16 lebuhraya sudah mempunyai lorong untuk RFID; jumlahnya akan bertambah nanti. Untuk mengenal pasti lorong yang betul, anda hanya perlu lihat logo “RFID Tag”. Ada lorong yang akan berkongsi juga dengan bayaran TnG dan SmartTag.

    Bagaimana sekiranya anda terlupa dan tetap menggunakan SmartTag di lorong yang membaca kedua-dua peranti ini? Jangan risau, pemotongan terhadap RFID akan diberi keutamaan, dan bukan ke atas kedua-duanya sekali gus. Pelekat RFID ini akan dilekatkan pada bahagian lampu utama atau pun pada cermin besar kereta anda. Tetapi, jika untuk cermin besar hadapan, ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian.

    Ia tidak boleh dilekatkan di bahagian dalam, kerana pengimbas sukar menembusi filem penapis haba yang digunakan. Ia juga tidak boleh dilekatkan berhampiran bahagian besi pada kerangka badan kereta di keliling cermin utama berkenaan. Dan kalau hendak dilekatkan di luar, pastikan ia dilekatkan di luar “zon oeprasi” pengilap cermin kereta anda.

    Tempoh percubaan RFID bermula – kami hantar kereta untuk pemasangan pelekat dan mencubanya sendiri

    Jadi, pilihan terbaik adalah untuk melekatkannya pada bahagian lampu utama, kerana isyarat dan gelombangnya boleh dibaca dengan jelas. Pelekatnya pula lutsinar; namun dapat dilihat jalur dan cip elektronik yang ada padanya.

    Beri perhatian juga sekiranya kereta anda menggunakan sistem lampu LED kerana ia mungkin akan mengganggu pancaran cahayanya. Kami sempat melihat sebuah Audi A4 dengan lampu Matrix LED kembali semula untuk mengalih kedudukan pelekat berkenaan.

    Selepas pemasangannya, TnG akan menghantar SMS dalam tempoh 24 jam untuk memaklumkan RFID anda telah diaktifkan. Sepanjang yang sempat dicuba, kami dapati sistem berkenaan berfungsi dengan baik. Anda boleh memandu sekitar 50 km/j ketika melalui lorong RFID dan ia akan membacanya tanpa sebarang masalah.

    Tempoh percubaan RFID bermula – kami hantar kereta untuk pemasangan pelekat dan mencubanya sendiri

    RFID ini dapat dikesan dalam jarak 2 meter berbanding hanya 1.5 meter bagi SmartTag. Tiada bunyi beep selepas anda melalui, begitu juga tiada paparan jumlah baki eWallet anda akan kelihatan. Anda akan melalui gerbang tol dengan lebih cepat. Dan pelekat ini tidak memerlukan sumber kuasa seperti bateri untuk beroperasi.

    Jadi, inilah perkara yang anda perlu tahu tentang cara RFID ini berfungsi. Jika anda antara 10,000 pengguna yang terlibat dengan tempoh percubaan ini, jangan lupa untuk biasakan diri dengan senario-senario yang kami nyatakan ini. Kongsikan juga penagalaman anda nanti.

     
     
  • JPJ sedia senarai 45 kamera AWAS yang beroperasi

    JPJ sedia senarai 45 kamera AWAS yang beroperasi

    Seperti yang kita sedia maklum, bermula 1 September 2018, keseluruha aspek operasi bagi Automated Enforcement System (AES) dan Automated Awareness Safety System (AWAS) telah diambil alih sepenuhnya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    Untuk itu, jabatan berkenaan telah mengeluarkan senarai lokasi yang menempatkan semua 45 kamera AWAS yang aktif beroperasi; 29 daripadanya adalah untuk memantau kesalahan had laju, sementara baki 16 laki adalah untuk mengesan perlanggaran lampu isyarat.

    Pengguna jalan raya yang menghampiri kawasan kamera berkenaan akan dimaklumkan dengan papan tanda yang dipasang, dua dan tiga kilometer sebelum tiba dilokasi tepat. Bagi kamera untuk lampu isyarat pula, papan tanda akan dipasang antara 50 hingga 1,000 meter dari kedudukan kamera.

    Di bawah sistem AWAS, yang turut merangkumi sistem mata demerit Kejara, pengguna yang melakukan kesalahan trafik (melanggar had laju atau lampu merah) akan dikenakan saman RM300 yang mesti dilunaskan dalam masa 60 hari. Mereka juga akan mengumpul mata demerit bergantung kepada kesalahan yang dilakukan, dengan 20 mata pertama akan menyebabkan mereka dikenakan amaran oleh JPJ.

    20 mata demerit seterusnya akan menyebabkan lesen pengguna digantung selama enam hingga lapan bulan. Dalam peringkat berikutnya – ketiga dan keempat – kesalahan 20 mata bagi setiap peringkat itu masing-masing boleh menyebabkan lesen digantung antara lapan hingga 10 bulan, dan sepuluh bulan hingga setahun.

    Lesen anda juga berhak dibatalkan sekiranya ia telah digantung tiga kali dalam tempoh lima tahun. Mereka dengan lesen percubaan juga tidak terkecuali; 20 mata pertama akan menyebabkan lesen ditarik balik.

    Dalam sebuah laporan The Star, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata; “pesalah yang tidak menjelaskan saman akan dipanggil ke mahkamah. Jika gagal hadir, mereka akan disenarai hitam daripada sebarang urusan dengan JPJ sehinggalah kes berkenaan selesai. Ini termasuk untuk mendapatkan cukai jalan, atau mendapat/memperbaharui lesen.”

    “Saya ingin tekankan, sebab utama pelaksanaan kamera AWAS ini adalah untuk mendidik dan melindungi pemandu, terutama ketika melalui zon-zon operasi ini,” tambah beliau.

     
     
  • SST: Harga MINI – semua model JCW naik RM7,000 manakala varian Countryman pula turun RM5,000

    SST: Harga MINI – semua model JCW naik RM7,000 manakala varian Countryman pula turun RM5,000

    Selain harga kenderaan BMW, BMW Malaysia turut menyiarkan senarai harga baru dengan SST untuk barisan model MINI yang mula dikuat kuasakan bermula 1 September. Seperti yang boleh disaksikan di bawah, barisan model F54 Clubman iaitu Cooper Clubman, Cooper S Clubman dan John Cooper Works Clubman semuanya naik masing-masing RM4,000, RM5,000 dan RM7,000

    Bagi model F60 Countryman pula, dua model yang berada dalam barisan model tersebut telah menyaksikan penurunan harga sebanyak RM5,000 berbanding harga waktu pelaksanaan GST, iaitu Countryman Sports dan varian plug-in hybrid. Model JCW Countryman pula kini dijual pada harga RM7,000 lebih mahal.

    SST: Harga MINI – semua model JCW naik RM7,000 manakala varian Countryman pula turun RM5,000

    Sementara itu, beberapa model yang dilancarkan waktu ‘cuti cukai’ sebelum ini iaitu F56 3 pintu, F55 5 pintu dan JCW 3 pintu, semuanya menyaksikan peningkatan harga kerana sekarang dikenakan cukai SST berbanding waktu pelancaran, tiada cukai SST atau GST.

    Senarai harga baru MINI ini juga dimasukkan sekalil dengan barangan pilihan tambahan. Sebagai contoh, terdapat piihan tempat duduk kulit Dinamica untuk Cooper S 5 pintu, yang akan memerlukan tambahan RM5,000 kepada harga jualan kereta. Untuk tiga model JCW iaitu model 3 pintu, Clubman dan Countryman pula didatangkan dengan piilhan bumbung panoramik, yang memerlukan tambahan RM9,000.

     
     
  • LPT3 tetap diberi keutamaan – Tim. Men. Kerja Raya

    LPT3 tetap diberi keutamaan – Tim. Men. Kerja Raya

    Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir mengesahkan kerajaan akan memberi keutamaan kepada pembinaan projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) berbanding projek mega lain untuk kemudahan penduduk di Terengganu dan Kelantan, laporan Bernama.

    Menurutnya, sebarang keputusan untuk melaksanakan projek lebuh raya sepanjang 147 kilometer dari Kampung Gemuroh, Kuala Terengganu, Terengganu ke Pengkalan Kubor, Kelantan itu turut mengambil kira kedudukan kewangan kerajaan.

    “Kerajaan akan mengambil perhatian serius berkenaan isu ini, malah menghargai YB dari Terengganu dan Kelantan yang memperjuangkan isu LPT3 ini. Saya berharap kalau keadaan fiskal dan kewangan boleh diperbaiki dalam masa terdekat, isu ini akan diberi keutamaan, bukannya projek mega lain,” katanya ketika sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Negara, hari ini.

    Beliau menjawab soalan tambahan Senator Engku Naimah Engku Taib yang ingin mengetahui status LPT3 selain berharap kerajaan dapat meneruskan projek itu.

    Mohd Anuar berkata, kementerian akan berbincang dan mendapatkan nasihat daripada kementerian dan agensi pusat lain seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Jabatan Peguam Negara sebelum membuat sebarang keputusan lanjut mengenai projek itu.

    Menurutnya, Kajian Kemungkinan Awalan projek LPT3 yang siap pada 2009 mendapati tiga daerah di Terengganu akan terbabit dalam projek berkenaan iaitu Kuala Terengganu, Setiu dan Besut manakala di Kelantan lima daerah iaitu Pasir Puteh, Bachok, Pasir Mas, Kota Bharu dan Tumpat

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025