Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • 50 kereta paling laris di dunia separuh pertama 2018

    50 kereta paling laris di dunia separuh pertama 2018

    Pernah tertanya-tanya model kenderaan yang mana paling laris jualannya setakat ini? Penganalisa pasaran JATO Dynamics baru-baru ini ada keluarkan senarai pemerhatian bagi 50 model kereta paling laris di dunia bagi tempoh separuh pertama tahun 2018.

    Tempat pertama disandang oleh trak pikap Ford F-Series dengan 534,827 unit terjual, mencatatkan 3% peningkatan bagi tempoh sama tahun lalu. Tempat kedua pula diduduki oleh Toyota Corolla dengan 478,122 unit, manakala Volkswagen Golf mengisi kedudukan ketiga dengan jualan 431,836 unit.

    Bagi Honda pula, model-model seperti CR-V, HR-V/XR-V/Vezel dan Civic semuanya menguasai kedudukan sepuluh teratas; paling utama tentulah Civic, di tempat keempat 412,664 unit jualan. Model Accord dan Jazz/Fit pula berada lebih jauh ke bawah, dengan Jazz/Fit pada tangga ke-34 dengan jualan sebanyak 212,195 unit.

    Kedudukan teratas nampaknya menjadi milik pengeluar dari Jepun. Satu lagi model Toyota, RAV4 berada di belakang Civic dengan jualan 395,816 unit. Camry/Aurion pula mencatatkan peningkatan 13% dengan 313,394 unit. Tetapi itu belum cukup untuk berada dalam kedudukan 10 teratas, kerana ia milik Chevrolet Silverado. Trak pikap Toyota sendiri pula agak jauh di kedudukan ke-39.

    Wakil model di kedudukan paling tinggi bagi Nissan pula ialah X-Trail/Rogue, yang berada sedikit di bawah RAV4 dengan 392,489 unit, menurut 5% di kedudukan keenam. Qahqai/Rogue Sport pula walaupun ditangga yang ke-11 mencatatkan peningkatan 26%, sebanyak 313,149 unit.

    Berikut adalah senarai lengkap kedudukan model dari jenama-jenama automotif utama dunia:

    50 kereta paling laris di dunia separuh pertama 2018

     
     
  • Suzuki Jimny generasi baharu dengan rupa model klasik asli, hasil ubahsuai Jimny Center Niigata, Jepun

    Suzuki Jimny generasi baharu dengan rupa model klasik asli, hasil ubahsuai Jimny Center Niigata, Jepun

    Tidak seperti Toyota 86, Volkswagen Beetle atau Mini, Suzuki Jimny generasi baharu adalah model jelmaan semula yang sebenar kerana bukan sahaja mempunyai rupa yang diinspirasikan dari model klasik asli, malah turut dibangunkan dengan sistem mekanikal yang mengekalkan prinsip asas kejuruteraan dan karekteristiknya.

    Mahu Jimny 2018 jadi lebih serupa dengan Jimny klasik? Pakar restorasi dan kelengkapan Jimny dari Jepun, Jimny Center Niigata telah menghasilkan kit lengkap gril hadapan untuk Jimny baharu yang direka hampir serupa dengan model retro generasi JA12.

    Kit berkenaan terdiri dari gril rekaan semula dengan elemen sarang lebah bersama logo ‘SUZUKI’ (hanya S pada model baharu) dengan harga sekitar RM800, dan anda juga boleh memilih ‘whitewall’ untuk dipadankan pada kesemua tayar. Kelengkapan tersebut mendapat sambutan hangat di Jepun apabila mendapat tempahan yang banyak, namun Jimny Center Niigata tidak menyatakan berapa lama tempoh menunggu bagi mendapatkannya.

    Di Jepun, Jimny masih menggunakan badan standard yang kurang lebar, bersama enjin 660 cc tiga silinder bagi mengekalkannya sebagai sebuah model di bawah undang-undang Kei-Car. SUV ini juga sebenarnya masih kekal dibina menggunakan asas ladder frame; tiga sudut bersama gandar hidup tiga hubungan dan spring gegelung. Digandingkan dengan sistem 4WD separa masa bersama gear peralihan (2H, 4H, 4L), Jimny masih kekal sebagai jentera off-road sebenar, bukan crossover seperti Suzuki Vitara.

    Manakala untuk pasaran luar, ia turut hadir dengan versi “Sierra”, iaitu model yang diberikan bampar lebih agresif, over-fender pada setiap perumah roda, dijana enjin 1.5 liter digabungkan dengan kotak gear lima kelajuan manual atau empat-kelajuan auto.

    ‘Pajero kecil’ ini juga turut diberikan dua cross member tambahan bagi memperkuatkan lagi casis serta meningkatkan ketegaran torsi. Ia direka bagi mendapatkan sudut approach 37 darjah, sudut ramp breakover 28 darjah, dan sudut berlepas 49 darjah, bagi membolehkannya ‘memanjat’ pelbagai permukaan bumi tanpa merosakkan bahagian bawah badan.

    GALERI: Suzuki Jimny generasi baharu di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2018

     
     
  • MSO tunjukkan dua tema rekaan untuk McLaren 720S

    MSO tunjukkan dua tema rekaan untuk McLaren 720S

    Cabang ubah suai khas rasmi McLaren iaitu McLaren Special Operations (MSO) telah memperkenalkan dua tema rekaan untuk model 720S iaitu Track Theme (berwarna putih) dan Pacific Theme (warna biru). Kedua-duanya berasal daripada portfolio sama seperti model Velocity Theme yang diperkenalkan tahun lepas.

    McLaren 720S ditawarkan dalam tiga tahap spesifikasi untuk model standard, tetapi pelanggan boleh menambah barangan daripada MSO Defined atau MSO Bespoke Comission. “Kami terharu dengan reaksi yang diterima semasa 720S Velocity ditunjukkan pertama kali. Penghasilan dua lagi tema untuk 720S ini menunjukkan MSO mampu memenuhi sebarang permintaan pelanggan supaya kereta tersebut dapat memuaskan kehendak mereka,” kata pengarah urusan MSO, Ansar Ali.

    Bagi rekaan Track Theme, ia menggunakan warna Anniversary White yang merupakan inspirasi daripada kereta F1 McLaren tahun 80-an. Kemudiannya, ia diserikan lagi dengan kemasan cat tangan warna Carbon Black dan Tarroco Orange pada bonet, pintu, panel belakang, airbrake dan rim. Melengkapkan penampilannya, terdapat lambang Speedy Kiwi pada cermin sisi gentian karbon kenderaan ini.

    MSO tunjukkan dua tema rekaan untuk McLaren 720S

    Semua komponen gentian karbon pada bahagian luar dan dalam kenderaan ini disudahi dengan kemasan satin, dan ia membantu mengurangkan berat serta menguatkan lagi ciri sportnya. Tempat duduk dibalut dengan kulit Alcantara Jet Black, dengan jahitan kontras warna McLaren Orange. Kemudiannya, 720S Track Theme ini turut dipasang dengan harness bar titanium (biasanya 50% lebih ringan daripada besi) yang boleh dipadankan bersama tali pinggang lumba six-point.

    Melihat kepada 720S Pacific Theme pula, ia mendapat inspirasi daripada warna biru laut paling besar di dunia. Warna yang digunakan pada bahagian luar dipanggil sebagai Cerulean Blue manakala pada lekuk pintu pula adalah warna Estoril Blue. Warna istimewa ini kemudiannya diserikan lagi dengan teknik istimewa MSO iaitu meletakkan warna kepada komponen gentian karbon. Jadi, bumbung, splitter, salur udara, perumah cermin sisi, diffuser belakang, deck belakang, bampar serta penutup enjin yang dibuat daripada gentian karbon diwarnakan Cobalt Blue.

    Bahagian dalam 720S Pacific Theme menggunakan tempat duduk biasa tetapi dibalut warna biru bersama jahitan kontras. Warna biru yang sama turut digunakan pada bahagian penanda tengah stereng. Ubah suai khas yang dilakukan pada dua kenderaan ini dilengkapkan dengan plet tanda khas MSO, seterusnya memberitahu ini adalah model istimewa.

    McLaren 720S adalah model generasi kedua bagi McLaren Super Series. Ia diperkenalkan pada bulan Mac 2017 sebagai pengganti 650S dan dikuasakan enjin V8 4.0 liter twin turbo dengan kuasa 720 PS dan 770 Nm tork. Kuasa ini disampaikan ke roda belakang melalui kotak gear tujuh kelajuan klac berkembar SSG dan membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa cuma 2.9 saat, Laju maksimum pula 341 km/j.

     
     
  • Kerajaan perlu beri jaminan bertulis tidak akan ada layanan istimewa untuk kereta nasional ketiga – MCA

    Kerajaan perlu beri jaminan bertulis tidak akan ada layanan istimewa untuk kereta nasional ketiga – MCA

    Berkaitan cadangan terhadap kereta nasional ketiga yang dikatakan tidak akan menggunakan dana awam, Timbalan Presiden parti MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menyatakan, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng perlu memberi jaminan tambahan dan menjadikan perkara itu termaktub dengan jelas di dalam hitam-putih perjanjian yang dibuat, lapor The Star.

    Wee memberikan contoh, misalnya walaupun Proton telah menjadi pemilikan swasta sejak 2016, kerajaan masih perlu untuk menyelamatkan syarikat itu dengan memberi pinjaman mudah sebanyak RM1.5 bilion. Ini bertujuan untuk membolehkan Proton membayar balik hutangnya kepada vendor-vendor, serta menyelamatkan kira-kira 30,000 pekerjaan bagi semua lapisan yang terlibat dengan Proton.

    “Sama ada Proton adalah milik syarikat swasta atau tidak, sepanjang 30 tahun kewujudannya, rakyat Malaysia terpaksa menanggung sebanyak kira-kira RM360 bilion dalam bentuk harga kereta yang tinggi dan pinjaman yang tinggi. Begitu juga dengan premium insurans yang lebih tinggi dan harga alat ganti yang juga lebih tinggi.

    “Menteri Kewangan perlu beri jaminan bahawa tiada lagi layanan istimewa dan perlindungan yang akan diberikan, yang boleh menyebabkan harga kereta menjadi tinggi,” jelas Wee dalam satu kenyataan semalam.

    Wee menegaskan, Lim perlu juga memberi jaminan bahawa kereta nasional ketiga itu tidak akan menerima bantuan kerajaan dalam bentuk pinjaman, geran atau apa saja bentuk lain sekiranya ia berdepan masalah kewangan.

    “Jika menteri boleh memasukkan semua jaminan ini secara bertulis, maka kereta nasional ketiga ini nanti wajar diberikan sokongan oleh semua kita rakyat Malaysia, termasuk saya sendiri,” tambah beliau.

     
     
  • Geely Binyue – nama rasmi untuk SUV segmen-B SX11 di China, pertandingan nama global kini dibuka

    Ingat lagi SUV segmen-B Geely yang dikenali dengan kod nama SX11 tempoh hari? Kini jenama automotif dari China berkenaan telah mendedahkan bahawa crossover tersebut akan digelar sebagai Binyue di republik itu. Manakala untuk pasaran global Geely juga mengumumkan pertandingan untuk memberikan nama untuk SX11 ini menerusi laman Facebook mereka, dan pemenang bakal di bawa ke China untuk “VIP Binyue Experience Tour.”

    Model yang direka untuk berhadapan dengan crossover kompak seperti Toyota C-HR, Hyundai Kona, Mazda CX-3 dan Honda HR-V ini menampilkan rupa yang lebih tajam dan sporty dari abangnya, SUV segmen-C Geely Boyue. Muka model ini masih diberikan gril signatur “expanding cosmos” Geely, diapit dengan lampu hadapan yang direka tajam serta menempatkan jalur LED untuk lampu nyalaan siang.

    Muka garang Binyue tersebut turut disokong dengan rekaan apron hadapan yang terbentuk dari tiga liang udara (dua sisi, tengah) pada bampar dengan rupa yang agresif. Ia juga menerima ‘otot’ pada fender hadapan seperti Boyue, bersama garis bahu yang bersambung terus ke lampu belakang. Selain itu, rekaan ‘bumbung terapung’ yang terhasil dari bentuk cermin tingkap pada tiang-D turut dikekalkan pada SUV kompak ini.

    Geely Binyue – nama rasmi untuk SUV segmen-B SX11 di China, pertandingan nama global kini dibuka

    Untuk bahagian belakang pula, model ini diberikan lampu berbentuk trapezoid yang terhubung antara kedua-dua sisi menerusi bar krom dengan ukiran ‘GEELY’, bersama spoiler bumbung besar dan juga kemasan seakan diffusser serta dua perumah tip ekzos kemasan krom pada bampar.

    Pada bahagian dalaman, SUV ini menerima papan pemuka yang kelihatan ringkas, serta diberikan skrin utama ‘berdiri sendiri’ pada bahagian tengah. Ia turut menerima paparan instrumen utama digital sepenuhnya seperti Boyue, dan diberikan roda stereng rata di bawah bersama tombol gear bersaiz kecil.

    Portal China, autohome.com.cn sebelum ini pernah melaporkan bahawa Binyue mempunyai dimensi ukuran 4,330 mm panjang, 1,800 mm lebar dan 1,609 mm tinggi, dengan jarak roda 2,600 mm. Ini meletakkan Binyue di tengah antara model SUV Vision X3 dan Vision, dan sudah tentu ia lebih kecil daripada Boyue yang bersaing dalam segmen-C.

    Geely telah mengesahkan Binyue bakal dikuasakan oleh enjin petrol tiga silinder 1.5 liter turbo dengan sistem suntikan bahan api terus yang dibangunkan bersama Volvo dan mampu menghasilkan kuasa 161 hp dan tork maksima 255 Nm. Ia dijangka dipadankan bersama transmisi klac berkembar tujuh kelajuan yang juga dibangunkan bersama Volvo, serta didakwa mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat.

    Sebelum ini juga Geely telah membayangkan bahawa Proton bakal menerima model-model yang dibangunkan menggunakan platform BMA berkenaan, dengan kenyataan bahawa ia turut akan diguna oleh jenama luar dan dibina di Asia Tenggara, namun masih belum jelas adakah Binyue ini akan dijelmakan sebagai Proton kerana platform berkenaan turut dijadikan asas untuk sedan segmen-C Geely Binrui.

    Selain dapat memuatkan unit-unit janakuasa terbaharu Geely yang dibina bersama Volvo, platform BMA ini turut boleh menggunakan teknologi keselamatan aktif terkini serta ciri pemanduan autonomous Level 2 dan Level 3.

     
     
  • BMW i8 Coupe baharu tiba di Malaysia – RM1.3 juta

    BMW i8 Coupe baharu tiba di Malaysia – RM1.3 juta

    BMW Malaysia telah melancarkan secara rasmi BMW i8 Coupe baru, beberapa bulan selepas kereta sports hibrid petrol-elektrik yang diperbaharui tersebut membuat penampilan global pertama November tahun lalu bersama versi roadster.

    Perubahan paling besar bagi model baru ini adalah penggeraknya, di mana bateri yang digunakan kini mempunyai kapasiti sel lebih tinggi iaitu 34 Ah (sebelum ini 20 Ah) dan kapasiti tenaga juga lebih tinggi – 11.6 kWh berbanding 7.1 kWh sebelum ini. Hasilnya, jarak gerak menggunakan elektrik sahaja meningkat kepada 55 km, ataupun 50% lebih berbanding model sebelumnya.

    Penambahbaikan turut dilakukan pada motor elektrik, di mana unit yang masih lagi disambung kepada kotak gear automatik dua kelajuan ini sekarang mampu menghasilkan kuasa 141 hp (105 kW), iaitu peningkatan sebanyak 12 hp (9 kW).

    Walaupun bahagian elektrikal telah dipertingkat, enjin petrol tiga silinder 1.5 liter BMW TwinPower Turbo padanya masih lagi sama, dengan kemampuan 228 hp dan 320 Nm tork. Ia disampaikan ke roda belakang melalui transmisi Steptronic enam kelajuan.

    Digabungkan kuasa daripada enjin ini dengan kuasa elektrik, i8 baru ini mampu menghasilkan 369 hp, dan membolehkan ia memecut dari keadaan pegun ke 100 km/j dalam masa cuma 4.4 saat, dan mencecah kelajuan maksimum 250 km/j. Penggunaan bahan api pula terletak pada 1.8 l/100 km dan mengeluarkan 42 g/km karbon dioksida.

    Untuk bahagian luarnya, i8 baru ini datang dengan Air Shutter pada bahagian bonet, dan ini merupakan satu ciri aerodinamik aktif yang boleh dibuka atau ditutup bergantung kepada keperluan untuk penyejukan dan aerodinamik itu sendiri.

    Aliran udara pada bahagian hadapan kenderaan juga telah diperelok untuk mendapatkan kesan yang lebih baik, di mana udara akan dihalakan ke tepi kereta, berhampiran lengkuk roda dan ke bawah kereta, dan bukannya melalui laluan udara keluar di bonet.

    Model baru ini juga ditambah dengan lencana ‘Coupe’ pada bahagian C-pillar, dan dipasangkan dengan rim aloi ringan 20 inci yang mempunyai rekaan seperti unit pada i8 Roadster. Untuk kemasan akhir, pelanggan mempunyai pilihan warna Jet Black, Crystal White dengan kemasan Frozen Grey ataupun Donington Grey.

    BMW i8 Coupe baharu tiba di Malaysia – RM1.3 juta

    Selain daripada itu, kebanyakan bahagian luar kenderaan ini masih lagi sama seperti sebelumnya. Ia masih lagi menggunakan pintu yang terbuka ke atas, Air Curtain di bahagian bawah bampar, bahagian bawah kenderaan yang tertutup, skirting tepi berlekuk, serta salur udara di antara dua lampu belakang belakang dan rangka bumbung.

    Masuk ke dalam, i8 Coupe ini didatangkan dengan tombol gear yang dikelilingi seramik dan bezel untuk tombol iDrive. Terdapat juga kemasan ‘Drycarbon’, lapik bumbung anthracite dan tempat duduk yang dibalut kulit ‘Spheric’. Papan pemukanya masih mempunyai bentuk sama, tetapi diberikan dengan tambahan pilihan warna untuk heads-up display dan Navigation System Professional versi terkini.

    Sistem navigasi ini bekerja sama dengan sistem operasi iDrive, Touch Controller pada konsol tengah, skrin 8.8 inci serta sistem bunyi Harman Kardon 600-watt. Kelengkapan lain yang ada pada kenderaan ini adalah termasuk lampu utama LED dengan bantuan lampu tinggi, Park Distance Control, tempat duduk larasan kuasa, sistem pencahayaan suasana dalam dan pengawal pendingin hawa dua zon.

    Harga yang ditetapkan untuk BMW i8 baru ini adalah RM1,310,800 tidak termasuk insurans. Turut diberi adalah jaminan selama lima tahun tanpa had batuan bersama program servis berkala percuma, program jaminan tayar dua tahun, bantuan tepi jalan, BMW Service Online dan keahlian untuk BMW White Card (dengan akses untuk aplikasi BMW Group Loyalty+).

    Satu lagi alternatif yang diberi untuk pemilikan BMW i8 baru ini adalah Balloon Financing Plan daripada BMW Credit, yang membenarkan anda memiliki kenderaan ini dengan pelan bayaran bulanan bermula RM15,088 (menggunakan rujukan pinjaman sebanyak 80% untuk tempoh lima tahun).

     
     
  • Kereta nasional ketiga akan guna dana sektor swasta

    Kereta nasional ketiga akan guna dana sektor swasta

    Tak habis lagi pasal projek kereta nasional ketiga ini rupanya. Selepas dikhabarkan akan diambil kira di dalam semakan semula Dasar Automotif Nasional (DAN) akan datang, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyatakan pula bahawa projek itu tidak akan menggunakan dana awam.

    Bernama melaporkan, Lim menyatakan bahawa projek kereta nasional ketiga yang dicadangkan oleh Tun Mahathir itu akan menggunakan dana dari sektor swasta. “Jika ia datang dari sektor swasta (dari pelaburan), maka itu tidak menjadi masalah,” jelas Lim dalam sesi Dewan Rakyat sebelum ini.

    Ini bukanlah kali pertama beliau berkata demikian. Jun lalu, Lim memaklumkan Channel NewsAsia; “Saya beritahu Perdana Menteri yang kita tak mempunyai wang untuk itu, dan beliau faham. Jadi, ia bukan dari dana awam, ia bukan seperti Proton dahulu, bukan. Jika ada pihak swasta yang mahu melakukannya menggunakan duit mereka sendiri di Malaysia, saya fikir itu sesuatu yang wajar dipertimbangkan – tetapi bukan dari dana awam,” jelas Lim ketika itu.

    Projek kereta nasional ketiga ini mula diperkatakan selepas Tun Mahathir menyatakan hasratnya di Persidangan Nikkei di Tokyo, Jun lalu. Sejak itu, ia menjadi topik yang kerap dibincangkan. Antara cadangan awalnya adalah untuk mendapatkan kerjasama dari pengeluar Jepun seperti Nissan, Toyota dan Daihatsu (walaupun Daihatsu memang sudah melakukan usahasama dengan Perodua, dan Toyota merupakan syarikat induknya).

     
     
  • Mazda 6 2018 dilancar di Malaysia – tiga pilihan enjin termasuk diesel, harga antara RM156k dan RM197k

    Mazda 6 2018 dilancar di Malaysia – tiga pilihan enjin termasuk diesel, harga antara RM156k dan RM197k

    Bermaz Auto telah mendedahkan harga rasmi bagi Mazda 6 facelift 2018 yang dipertontonkan buat pertama kali di Malaysia minggu lalu di Pulau Pinang. Model ini membawa sedikit perubahan kosmetik di luar, terutamanya bahagian hadapan yang menggunakan konsep seperti CX-5 baru.

    Ini termasuk gril baru dengan keliling krom yang bersambung ke bahagian bawah lampu (sebelum ini ke bahagian atas), lampu LED hadapan dengan grafik baru, lampu siang LED yang direka semula, bukaan udara penjuru bampar yang lebih tajam serta rekaan rim 19 inci baru (untuk 2.5L dan 2.2L).

    Pergi ke belakang pula, kereta ini menggunakan rekaan lampu baru, bersama kemasan krom yang bersambung dengannya dari tengah. Bahagian bawah bampar juga kini tiada kemasan yang berwarna hitam, dan muncung ekzos menggunakan rekaan baru dan diletakkan lebih ke penjuru.

    Perubahan pada bahagian dalam adalah lebih komprehensif, dengan penggunaan papan pemuka yang lebih leper dan mendatar, skrin infotainmen Mazda Connect yang dibesarkan kepada lapan inci dan diletakkan lebih tinggi, butang kawalan pendingin hawa baru serta tempat duduk hadapan yang telah direka semula dengan bentuk yang lebih lebar, lebih berketumpatan tinggi, dan menggunakan span urethane yang lebih menyerap gegaran.

    Antara teknologi baru yang ditawarkan pada model 2018 ini adalah monitor yang memaparkan imej 360-darjah, paparan tolok TFT LCD Multi Info bersaiz 4.6 inci serta paparan ‘head-up’ Active Driving Display ke cermin hadapan. Semua ciri ini bagaimanapun hanya tersedia untuk varian 2.5L dan 2.2L.

    Melihat kepada ciri keselamatan, semua varian Mazda 6 2018 ini dilengkapi dengan enam beg udara, brek ABS, EBD, BA, Dynamic Stability Control (DSC), Traction Control System (TCS), Emergency Stop Signal (ESS), Hill Launch Assist (HLA), Auto Hold Function dan cagak Isofix. Turut dikekalkan adalah sistem G-Vectoring Control (GVC) seperti sebelum ini.

    Mazda 6 2018 dilancar di Malaysia – tiga pilihan enjin termasuk diesel, harga antara RM156k dan RM197k

    Bagi varian 2.5L dan 2.2L, ia kemudiannya ditambah lagi dengan ciri baru yang termasuk lampu LED Adaptive, Blind Spot Monitoring (BSM), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Lane Departure Warning (LDW), Lane Keep Assist System, Driver Attention Alert (DAA) dan Smart City Brake Support (SCBS).

    Pergi kepada enjin, varian asas 2.0L menggunakan unit SkyActiv-G empat silinder petrol 1,998 cc berkuasa 162 hp dan 213 Nm tork, varian 2.5L menggunakan unit SkyActiv-G empat silinder petrol 2,488 cc berkuasa 192 hp dan 258 Nm tork manakala varian 2.2L menggunakan unit SkyActiv-D empat silinder diesel 2,191 cc berkuasa 188 hp dan 450 Nm tork. Semua enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik SkyActiv-Drive enam kelajuan yang menghantar kuasa ke tayar hadapan.

    Harga untuk Mazda 6 2018 ini bermula dari RM156,190.60 untuk model 2.0L Sedan, RM189,698.47 untuk 2.5L Sedan, RM193,472.06 untuk 2.5L Touring (wagon) dan RM197,401.47 untuk 2.2D Sedan (diesel). Ia turut didatangkan dengan jaminan lima tahun atau 100,000 km, serta pakej penyelenggaraan percuma selama tiga tahun atau 60,000 km.

     
     
  • Go Auto jalin kerjasama jangka panjang dengan SIRIM

    Go Auto jalin kerjasama jangka panjang dengan SIRIM

    Go Automobile Manufacturing Sdn Bhd (GAM) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan SIRIM Berhad untuk menjalin kerjasama strategik jangka panjang antara kedua-dua pihak. Ia merangkumi empat bidang utama iaitu pembangunan dan peningkatan produk, teknologi, tenaga manusia dan pasaran atau industri.

    MoU ditandatangani oleh Pengarah Eksekutif Go Auto Group, YBhg Dato’ SM Azli SM Nasimuddin Kamal bersama Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, YBhg Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani.

    Kerjasama ini akan membolehkan GAM memperoleh akses kepada kemudahan penyelidikan SIRIM. Kedua-dua pihak juga akan bekerjasama dalam kepakaran teknikal, pemindahan teknologi dan latihan teknikal bagi melaksanakan projek atau produk di bawah usahasama ini.

    “Go Auto sangat teruja dengan kerjasama dengan SIRIM ini. Dengan kepakaran mereka yang lebih daripada 40 tahun dalam bidang penyelidikan dan pembangunan teknologi, ia dapat memastikan kami untuk mengamalkan standard dan kualiti industri yang tinggi.

    “Pengilangan yang kami lakukan juga akan dapat memenuhi serta mematuhi keperluan pengawal-seliaan dan pasaran. Secara tidak langsung ini membolehkan kami mengurangkan kos pengeluaran serta kos untuk menjalankan R&D,” jelas SM Azli SM Nasimuddin.

    Antara bidang kerjasama termasuk pembangunan dan penambahbaikan keupayaan dan kapasiti bateri cas semula berasaskan lithium-ion untuk menggantikan bateri asid plumbum bagi pasaran automotif; pembangunan teknologi kenderaan hijau termasuk bateri untuk basikal dan motosikal serta pembangunan bateri sodium-ion sebagai alternatif kepada bateri lithium-ion.

    Bidang usahasama lain termasuk Prototaip Pantas (Rapid Prototyping) dan percetakan 3D untuk pelajar TVET MARA, dan kemudahan Pengesahan Kelulusan Jenis Kenderaan (Vehicle Type Approval Testing) untuk e-mobiliti seperti yang dimandatkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

    “Kerjasama ini tepat pada masanya, sebagai inisiatif menyokong aspirasi dan usaha kerajaan dalam mengubah perniagaan Malaysia untuk menghadapi cabaran Industri 4.0. Kami berazam untuk memanfaatkan Porgram Pembangunan PKS SIRIM dan Industri 4.0 dalam bidang Additive Manufacturing, Artificial Intelligence, Smart Manufacturing dan peranti Internet of Things (IOT),” ujar Prof Ir Dr Ahmad Fadzil.

     
     
  • Benimar Tessoro – motorhome RM556k tiba di M’sia

    Benimar Tessoro – motorhome RM556k tiba di M’sia

    Penggunaan motorhome di Malaysia boleh dikatakan masih baru, tetapi pengimport motorhome jenama Benimar iaitu Luxe Motorhomes & Caravans nampaknya yakin terhadap permintaan kenderaan jenis ini, memandangkan sembilan unit Benimar Mileo telah pun diserahkan kepada pelanggan sejak ia dilancarkan tahun lepas.

    Sekarang, syarikat itu telah menambah model Tessoro kepada barisan kenderaan yang ditawarkan dan ia boleh didapati dalam enam rekaan, dengan harga antara RM555,805 hingga RM590,670 tidak termasuk insurans dan cukai jalan. Model yang anda lihat dalam gambar ini adalah Tessoro 463 yang dijual pada harga RM583,492.

    Tessoro 463 adalah sebuah model yang dibina menggunakan casis Ford Transit dan ia mempunyai ukuran 7.38 meter panjang, 2.30 meter lebar dan 2.89 meter tinggi. Kuasa yang menggerakkan kenderaan seberat 3,170 kg ini datang daripada enjin turbodiesel 2.0 liter berkuasa 170 hp dan transmisi automatik.

    Sama seperti variasi Tessoro yang lain, Tessoro 463 ini mempunyai empat tempat duduk penumpang dan empat tempat tidur. Semua model dikatakan mempunyai berat asas bawah 3,500 kg, jadi ia boleh dipandu oleh sesiapa sahaja yang mempunyai lesen kelas D di Malaysia.

    Semua model Tessoro juga mempunyai binaan 99% bebas-kayu dengan plastik kaca yang diperkuat pada badannya, serta penebat XPS 25 mm pada bahagian dinding dan 53 mm pada lantai serta bumbung. Sumber air bersih disimpan dalam tangki 120 liter berserta pemanas yang terasing dan ia datang bersama tangki 105 liter untuk air buangan.

    Model Tessoro ini juga dibina mengikut spesifikasi United Kingdom, di mana ia dilengkapi dengan beg udara pemandu dan penumpang hadapan, ABS, stability control, traction control, hill assist, curve assist, cruise control, kunci kawalan jauh bersepadu dengan immobiliser serta penggera karbon dioksida dan asap.

     
     
  • Perodua mulakan kempen sifar kemalangan untuk staf

    Perodua mulakan kempen sifar kemalangan untuk staf

    Perodua telah memulakan kempen sifar kemalangan bagi 10,300 pekerja di seluruh negara bagi fasa kedua terhadap kempen keselamatan jalan raya lima-tahun yang dilancarkan Oktober lalu. Melalui Kempen Sifar Kemalangan Perodua ini, syarikat itu mensasarkan sifar kemalangan melibatkan staf-stafnya yang bergerak ulang-alik dari rumah ke tempat kerja, dan begitu juga dengan kemalangan industrial ketika bertugas, menjelang tahun 2021.

    Presiden dan CEO Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, usaha ini menekankan agar pekerja-pekerja Perodua menunjukkan contoh terbaik ketika berada di jalan raya. Perodua juga berharap, perkara-perkara yang dipelajari secara dalaman daripada kempen ini akan dapat diserap ke dalam kempen lima-tahun berkenaan.

    “Dengan pengurangan atau penyisihan sepenuhnya kemalangan ditempat kerja sentiasa menjadi keutamaan, kini kami ingin melanjutkannya ke luar premis pula. Kami percaya tabiat memandu yang bertanggungjawab bermula dari rumah dan untuk itu, kami ingin menerapkan seberapa banyak pendidikan yang perlu kepada semua pekerja agar mereka dapat menjadi contoh yang baik,” tambah beliau.

    “Kami menggunakan pendidikan sebagai pendekatan kerana kami yakin ramai pemandu di Malaysia sedar tentang peraturan yang ada, tetapi mungkin mereka tidak faham sebab disebaliknya. Pendidikan akan mengambil masa, tetapi kesannya lebih mendalam,” jelas Aminar.

     
     
  • Honda HR-V facelift di Eropah dengan enjin 1.5L turbo

    Honda HR-V <em>facelift</em> di Eropah dengan enjin 1.5L turbo

    Eropah sering kali menerima model Honda baru agak lambat berbanding benua lain. Tetapi kelebihannya, mereka menerima barangan yang tidak boleh didapati di tempat lain. Sama juga keadaannya dengan HR-V facelift ini, yang baru sahaja tiba di sana sedangkan penampilan pertamanya sudah dilakukan di Jepun enam bulan lalu. Namun, model di Eropah ini mendapat enjin serta beberapa kelengkapan baru.

    Akhirnya, Honda telah memasukkan enjin 1.5 liter VTEC Turbo dari Civic kepada HR-V dan ia akan dipasarkan pada tahun 2019 bersama pilihan enjin 1.6 liter i-DTEC Turbodiesel serta unit 1.5L NA i-VTEC petrol seperti sekarang. Enjin ini turut mendapat dinding silinder kurang geseran yang mampu mengurangkan kesan penggunaan jangka masa panjang serta meningkatkan kecekapannya.

    Jumlah kuasa masih lagi 130 PS dan 155 Nm tork, dan ia mampu memecut dari pegun ke 100 km/j dalam masa 10.7 saat melalui kotak gear manual enam kelajuan dan 11.2 saat apabila menggunakan transmisi CVT. Penggunaan bahan api juga menurun dari 5.7 kepada 5.3 liter bagi setiap 100 km, bersama pengeluaran karbon dioksida dari 134 kepada 121 gram bagi setiap kilometer.

    Honda HR-V <em>facelift</em> di Eropah dengan enjin 1.5L turbo

    HR-V Eropah juga akan dipasang dengan lebih banyak bahan kedap bunyi di sekeliling kereta, termasuk sekitar dinding yang memisahkan ruang enjin dan kabin, lengkuk roda, struktur but serta panel pintu depan dan belakang. Ada juga beberapa model yang akan menerima sistem Active Noise Cancellation (ANC) untuk mengurangkan bunyi.

    Pada bahagian lain, HR-V Eropah ini menerima peningkatan sama seperti model facelift di negara lain, dengan lampu utama projector halogen dan lampu siang LED secara standard, gril berwarna krom gelap, bukaan udara di penjuru bampar yang lebih ke dalam bersama lampu kabus bulat, kemasan krom gelap di belakang dan lampu belakang smoked. Varian yang lebih tinggi pula akan menerima lampu LED penuh, lampu belakang tiub LED dan rim aloi 17 inci lima cabang (unik untuk pasaran Eropah).

     
     
  • Honda Civic 2019 diberi wajah baru untuk pasaran AS

    Honda Civic 2019 diberi wajah baru untuk pasaran AS

    Rasa macam baru saja Honda Civic FC masuk pasaran dunia, kini di Amerika Syarikat diperkenalkan pula versi facelift bagi tahun 2019. Ini kurang beberapa bulan sebelum usianya mencecah tiga tahun – model ini diperkenalkan untuk pasaran AS pada September 2015 lalu.

    Untuk itu, Civic generasi ke-10 itu akan diberi pembaharuan. Apa yang ditambah? Selain daripada penggayaan yang dipertingkat, kedua-dua Civic Sedan dan Coupe 2019 nanti turut akan menerima pakej keselamatan Honda Sensing sebagai ciri standard bagi beberapa peringkat kemasan yang ditawarkan.

    Di depan, bahagian “sayap” pada grilnya kini datang dengan kemasan hitam berkilat (menggantikan warna krom) serta bahagian bawah yang direka semula. Ia tampil sebagai satu rekaan yang bersepadu berbanding pendekatan tiga bahagian terpisah sebelum ini. Menurut Honda juga, lampu utama LED dan halogennya juga diberikan kemaskini.

    Bahagian belakang kini menempatkan perincian krom pada bahagian bawah bampar versi sedan, serta rekaan rim terbaru bagi kedua-dua model – termasuk rim 18-inci pada model dengan tingkat kemasan Touring untuk pasaran AS.

    Varian Sport dikuasakan oleh enjin 2.0 liter DOHC i-VTEC yang dipadankan dengan CVT automatik dengan G-Shift Control atau manual enam-kelajuan di sana. Perincian tambahan lain adalah seperti skrin paparan audio tujuh-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Apa pun, pembaharuan model facelift ini hanya melibatkan Civic Sedan dan Coupe sahaja buat masa ini. Civic Hatcback, Si dan Type R kekal sama seperti versi sedia ada. Menarik tak wajah baru Civic ini?

     
     
  • Pasukan MotoGP SIC-Yamaha ambil Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo sebagai pelumba untuk 2019

    Pasukan MotoGP SIC-Yamaha ambil Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo sebagai pelumba untuk 2019

    Pengarah urusan pasukan Yamaha Factory Racing, Lin Jarvis telah mengesahkan pasukan satelit baru SIC-Yamaha yang akan berlumba dalam MotoGP tahun depan bakal menggunakan khidmat Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo sebagai pelumba. Beliau telah memberitahu perkara ini kepada wartawan World Feed, Simon Crafar.

    “Saya tidak mahu mengatakan kami tidak mempunyai suara, tetapi akhirnya nanti keputusan muktamad berkenaan pelumba ini akan dilakukan oleh pasukan itu sendiri. Mereka adalah pasukan persendirian. Sudah tentu, mana-mana pelumba yang mereka pilih perlu mendapatkan kelulusan daripada kami sama ada mereka berada di tahap yang betul dan mempunyai kapasiti untuk menunggang jentera M1 itu nanti,” jelas Jarvis.

    Selain itu, Jarvis turut menyatakan keyakinan terhadap Morbidelli kerana beliau adalah seorang juara dunia, penunggang akademi dan mempunyai bakat. Tambah Jarvis, pelumba dari Itali itu juga dijangka dapat menunjukkan prestasi lebih baik menggunakan M1 berbanding jentera Honda dalam pasukan EG 0,0 Marc VDS sekarang.

    Melihat kepada Quartararo pula, Jarvis berkata, “Quartararo akan menjadi seorang rookie, tapi beliau muda – cuma 19 tahun – dan berbakat. Prestasinya mungkin tidak begitu baik dalam setahun dua dulu, tapi tahun ini beliau menunjukkan keyakinan. Kes seperti Syahrin telah menunjukkan ada kalanya anda boleh membuat pilihan, dan jika pelumba itu ada bakat dan dibawa masuk tanpa harapan tinggi, mereka akan menunjukkan prestasi baik.”

    Berkenaan dengan kelengkapan yang akan dibekalkan oleh Yamaha kepada pasukan itu, ramai yang tertanya. Jawab Jarvis, “ia akan menjadi sesuatu seperti pasukan Tech 3 atau mungkin juga lebih daripada itu. Seperti yang diketahui, pasukan Tech 3 pada tahun hadapan akan bertukar kepada jentera KTM.

    GALERI: Franco Morbidelli


    GALERI: Fabio Quartararo

     
     
  • Rancangan mansuhkan tol ditangguh sementara waktu

    Rancangan mansuhkan tol ditangguh sementara waktu

    Kerajaan menyatakan bahawa kutipan tol akan diteruskan ketika ini kerajaan tidak berhasrat untuk menyerap kesan kewangan sekiranya kutipan tol dimansuhkan, lapor The Sun.

    Di dalam manifesto PRU14 lalu, Pakatan Harapan (PH) menyatakan akan memansuhkan tol lebuhraya secara berperingkat. Oleh kerana ia akan membuatkan kerajaan menanggung kos sehingga RM400 bilion sekiranya pemansuhan itu dilakukan, menteri Kerja Raya, baru Bian memaklumkan bahawa kerajaan PH menangguh sementara langkah itu sehingga satu masa yang akan dimaklumkan nanti – bergantung kepada kedudukan kewangan semasa negara.

    “Selepas mempertimbangkan faktor ini, kerajaan bersetuju untuk menangguh cadangan pemansuhan tol sehingga keadaan ekonomi kembali stabil dan mengizinkan. Kerajaan bagaimanapun akan mengkaji pilihan yang lebih praktikal untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat,” jelas beliau di Dewan Rakyat.

    Bulan lalu, CEO KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan telah memaklumkan, kutipan tol di lebuhraya tidak boleh dimansuhkan dalam tempoh 100 hari memandangkan kerajaan mempunyai keutamaan perbelanjaan kewangan yang lebih penting, yang perlu didahulukan ketika ini. Proses itu juga rumit, kerana melibatkan beberapa pihak berkepentingan.

    “Saya fikir kerajaan juga mahu berlaku adil kerana penghapusan tol dan pampasan kepada pemegang konsesi akan memindahkan beban kepada pembayar cukai dan saya rasa (berlaku adil) adalah keutamaan kerajaan,” katanya sebelum ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025