Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • PLUS umum kerja perobohan Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau selesai sepenuhnya mengikut jadual

    PLUS umum kerja perobohan Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau selesai sepenuhnya mengikut jadual

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam kenyataan media yang dihantar semalam, memaklumkan bahawa semua kerja-kerja perobohan di tapak Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau kini telah selesai sepenuhnya pada 31 Mac 2018 mengikut jadual.

    Menurut kenyataan terbabit, fasa terakhir proses perobohan iaitu perobohan struktur fizikal bahagian tepi bumbung plaza telah dijalankan selepas laluan utama di tapak Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau dibuka kepada orang ramai pada 13 Mac dan 18 Mac yang lalu.

    Kerja-kerja perobohan struktur fizikal di tapak Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau telah dijalankan sejak 20 dan 21 Februari lalu.

    Bermula 1 Januari lalu, Kerajaan Persekutuan mengumumkan kutipan tol di empat lokasi telah dimansuhkan, selari dengan pengumuman yang dibuat ketika pembentangan Bajet 2018 lalu. Empat tol berkenaan ialah di Batu Tiga dan Sungai Rasau (Selangor), Bukit Kayu Hitam (Kedah) dan Eastern Dispersal Link (EDL, Johor).

     
     
  • Ford Ranger Raptor rasmi dilancarkan di Thailand – trak pikap berprestasi tinggi 213 PS/500 Nm, RM210k

    Ford Ranger Raptor rasmi dilancarkan di Thailand – trak pikap berprestasi tinggi 213 PS/500 Nm, RM210k

    Selepas diperkenalkan untuk peringkat global di Thailand bulan lalu, trak pikap berprestasi tinggi Ford Ranger Raptor dilancarkan pula secara rasmi pada pasaran negara tersebut ketika berlangsungnya Bangkok International Motor Show 2018. Harganya? Di Thai, Ranger Raptor dijual dengan nilai 1.699 juta baht (RM210,000).

    Ia sememangnya agak mahal berbanding varian Ranger T6 lain, tetapi anda perlu ingat, ia bukan trak pikap biasa, tetapi seolah-olah versi ‘Type-R’ dalam barisan model. Ranger Raptor dijana enjin diesel EcoBlue 2.0 liter baharu, yang disuap dengan dua buah pengecas turbo. Walaupun dengan kapasiti lebih kecil, enjin ini mampu mengekstrak 213 PS/500 Nm, berbanding enjin 3.2 liter lima-silinder Duratorq pada Ranger standard yang menghasilkan 200 PS/470 Nm.

    Enjin empat-silinder tersebut digandingkan dengan kotak gear automatik Getrag 10R80 10-kelajuan, menggantikan transmisi 6R80 enam-kelajuan automatik pada Ranger T6 biasa. Kotak gear ini menawarkan nisbah gear yang lebih lebar, bersama daya pecutan dan tindak balas yang lebih pantas serta penukaran gear yang lebih laju.

    Perubahan mekanikal lain yang turut membezakan model lebih liar ini dari versi biasa adalah angkup brek hadapan dengan dua-pot 9.5 mm lebih besar bersama cakera berliang 332 mm, dan juga angkup omboh tunggal 54 mm pada bahagian belakang.

    Manakala untuk suspensi pula, geometrinya telah diubah semula serta menerima pelbagai peralatan berprestasi tinggi. Untuk bahagian hadapan, ia diberikan set penyerap hentak yang menonjol, manakala bahagian belakang pula menerima sistem dengan spring jenis gegelung. Gandar belakang juga dibekalkan dengan Watt’s Linkage bagi memastikan ia hanya bergerak turun-naik, dan mengurangkan peralihan sisi walaupun pada kelajuan tinggi.

    Keempat-empat ‘kaki’ Ranger Raptor ini menerima penyerap hentak 46.6 mm berprestasi tinggi Fox Racing Shox bersama sistem Position Sensitive Damping (PSD). Sistem tersebut mampu menyerap kejutan tinggi apabila trak pikap ini dibelasah pada laluan off-road, serta memberikan keselesaan ketika dipandu pada jalan raya biasa. Ia juga diberikan tayar all-terain dari BF Goodrich bersaiz 285/70, membaluti set rim unik berdiameter 17-inci

    Bahagian luaran, Raptor lebih kecil ini turut dipengaruhi dengan rekaan dari F-150 Raptor. Gril hadapan kemasan dengan tulisan ‘FORD’ besar diberikan pada trak ini. Bampar hadapan pula direka bagi membolehkan ia dipasang terus pada kerangka badan dan ia dibina dengan prestasi ketahanan tinggi dan turut menempatkan lampu kabus LED dan liang aliran udara yang berfungsi.

    Ford Ranger Raptor rasmi dilancarkan di Thailand – trak pikap berprestasi tinggi 213 PS/500 Nm, RM210k

    Flare pada setiap fender pula dibina dari bahan komposit bagi membolehkan ia bertahan dari kerosakan fizikal seperti calar dan lekuk, serta direka bagi disesuaikan dengan pergerakan strok suspensi lebih panjang serta roda yang lebih besar. Manakala pada bampar belakang pula, ia turut dilengkapi dengan bar tunda bersama dua cangkuk penyelamat yang mampu menampung beban 3.8 tan.

    Masuk ke kabin, Ranger Raptor menampilkan imej sebuah model Ford Performance sebenar. Tempat duduk trak ini direka bagi menampung prestasi ketika pemandu berseronok di laluan off-road, disokong dengan roda stereng sport bersama pedal penukar gear dari material magnesium. Secara keseluruhan, kabin ini diberikan upholsteri kulit bersama serlahan jahitan benang biru, manakala kluster paparan pula dibina untuk kawalan pelbagai mod pemanduan.

    Adakah model ini akan di bawa ke Malaysia? Nampaknya hampir pasti kerana laman khas untuk model berkenaan telah muncul pada laman sesawang rasmi Ford Malaysia untuk sesiapa yang berminat bagi mendaftarkan minat mereka, selepas pendedahan model ini diperingkat global. Dan semestinya trak pikap yang dibina lebih ditumpukan untuk dipandu laju dalam kebun sawit lebih dari membawa sawit itu sendiri ini tidak akan dijual pada harga trak pikap biasa.

    GALERI: Pendedahan Ford Ranger Raptor untuk peringkat global di Thailand

     
     
  • Nissan Serena S-Hybrid – generasi ke-5 tampil di M’sia

    Nissan Serena S-Hybrid – generasi ke-5 tampil di M’sia

    Setelah beberapa bulan ia pernah dikesan sedang diuji, akhirnya Nissan Serena generasi ke-lima ditampilkan sepenuhnya, apabila Edaran Tan Chong Motor (ETCM) mempertontonkan MPV ini buat pertama kalinya di MAI Auto Festival di Bagan Datuk, Perak, hari ini. Walau bagaimana pun, bahagian dalamannya tidak dapat dirakamkan lensa kamera kerana pintunya berkunci dan cermin pula digelapkan, jadi kami hanya hidangkan foto luarannya buat masa ini.

    Dari perkhabaran yang diterima, Serena ini mungkin bakal dilancarkan pada bulan hadapan. Masih berteka-teki tentangnya, MPV ini menggunakan penjana kuasa yang sama seperti C26 Serena, dengan enjin MR20DD 2.0 liter suntikan-terus CVTC-berkembar empat-silinder petrol yang menawarkan 150 PS pada 6,000 rpm dan 200 Nm pada 4,400 rpm.

    Unit ini turut dipadankan dengan Xtronic CVT, yang ditambah dengan motor ECO untuk mengawal fungsi Idling Stop dan berfungsi juga sebagai pengganti semasa nyahpecutan. Motor 1.8 kS/200 A juga membolehkan fungsi “bantuan tork”, menyediakan 50 Nm rangsangan sehingga ke satu saat apabila bergerak dari titik pegun.

    MPV yang dipertontonkankan ini adalah varian Highway Star dengan padanan roda 15-inci dan tayar 195/65. Elemen standard termasuk pintu gelangsar dwi-berkuasa, Paparan Pandangan Sekeliling 360-sudut, tujuh USB port dan Pengesan Objek Bergerak Pintar (I-MOD). Kit keselamatan termasuklah kawalan dinamik kenderaan (VDC), bantuan mula mendaki, enam beg udara dan cagak Isofix.

    Serena spesifikasi Malaysia tidak akan ditampilkan dengan lapan-tempat duduk – ia sah hanya ada tujuh-tempat duduk dengan konfigurasi 2-2-3 (dengan tempat duduk kapten di barisan kedua). Apa yang kami dengar, akan ada lebih dari satu varian Serena ini yang akan ditawarkan untuk pasaran kita, dijangka tiga varian tetapi ia hanya akan disahkan nanti.

    Difahamkan, bahagian hadapannya juga ada sedikit perbezaan. Salah satunya akan sama dengan model asas Serena di pasaran lain, dan satu lagi sama dengan yang anda lihat pada Highway Star, dengan bampar yang lebih bergaya dan gril dua-kepingan V-motion yang lebih menyerlah ini. Buat setakat ini, harganya tidak didedahkan, jadi kenalah nantikan sehingga MPV ini diperkenalkan secara rasmi.

     
     
  • PANDU UJI: Volvo XC60 T8 Twin Engine – SUV saiz sederhana yang imbangkan gaya dan teknologi maju

    PANDU  UJI: Volvo XC60 T8 Twin Engine – SUV saiz sederhana yang imbangkan gaya dan teknologi maju

    Volvo XC60 T8 Twin Engine mungkin menjadi antara model kenderaan baru yang dilancarkan di Malaysia tahun ini yang paling mendapat perhatian dan kerap diperkatakan. Paling tidak daripada pengalaman peribadi dan dari lingkungan rakan-rakan terdekat saya sendiri.

    Ini datangnya dari orang-orang yang pada kebiasaannya melihat kenderaan dari perspektif pengguna biasa – tidak banyak yang hendak diperkatakan, tetapi sedia maklum bahawa kenderaan menjadi sebahagian daripada alat penting bagi pergerakan seharian mereka.

    Tetapi, bila tahu dan mula ternampak gambar atau berita tentang XC60, ramai pula yang teruja dan ingin tahu lebih lanjut tentang SUV berkenaan. Walhal, kalau diikutkan, memang tak susah sebenarnya nak agak kenapa XC60 berjaya menarik perhatian ramai. Jawapannya tentulah kerana ia meninggalkan tanggapan dan kesan sebaik sahaja sesiapapun memandangnya buat lagi pertama.

    Lihat estetika reka bentuk yang ditampilkan, serta kelengkapan teknologi yang ditawarkan. Ini saja sudah cukup untuk meletakkannya dalam liga yang tersendiri. Sama ada ramai yang sanggup untuk ber”setuju” dengan tanda harganya, itu cerita lain.

    Baca laporan selanjutnya di sini

     
     
  • Bangkok 2018: Thai kini terima Nissan GT-R secara rasmi – Premium Edition, waranti 3-tahun, RM1.67 juta

    Bangkok 2018: Thai kini terima Nissan GT-R secara rasmi – Premium Edition, waranti 3-tahun, RM1.67 juta

    Sebelum ini, peminat Nissan GT-R R35 di Thailand yang mahu memiliki kereta sport berkenaan perlu mendapatkannya dari pengimport persendirian, lebih kurang apa yang perlu dilakukan oleh peminat jentera berkenaan di Malaysia. Namun ketika berlangsungnya Bangkok Motor Show 2018, Nissan Motor Thailand mengumumkan mereka telahpun mengimport kereta tersebut secara rasmi, dan dijual oleh pengedar berprestasi tingginya, Siam Nissan TKF.

    Pasaran Thailand hanya menerima GT-R dari versi Premium Edition, dijual pada harga 13.5 juta baht (RM1.67 juta). Nissan GT-R R35 facelift terkini yang muncul pada tahun 2016 ini hadir dengan dua lagi versi pada peringkat global iaitu Track Edition dan Nismo, manakala versi Premium Edition ini merupakan model yang direka dengan elemen mewah dan ditumpukan pada aspek keselesaan.

    Ia diberikan lampu hadapan LED automatik, balutan kulit semi-aniline pada tempat duduk berkuasa elektrik dan roda stereng pelbagai fungsi (hitam, tan ivory, merah), cruise control, penghawa dingin automatik dua-zon, sistem kunci pintar bersama butang penghidup enjin, kamera undur dan cermin hadapan akustik.

    Model ini menerima juga sistem audio surround Bose dengan 11-pembesar suara termasuk dua subwoofer yang diletakkan pada bahagian tengah tempat duduk belakang. Manakala untuk memantau pelbagai data prestasi kereta ini, skrin sesentuh utama bersaiz lapan-inci diberikan pada papan pemuka.

    Bangkok 2018: Thai kini terima Nissan GT-R secara rasmi – Premium Edition, waranti 3-tahun, RM1.67 juta

    Walaupun telah sedekad berada dalam pasaran, model terbaharu GT-R ini masih dijana enjin 3.8 liter V6 turbo berkembar VR38DETT, namun versi terbaharu ini mampu mengekstrak 555 PS/632 Nm secara standard. Kuasa dari enjin dialirkan ke kesemua roda menerusi kotak gear GR6 klac-berkembar automatik enam-kelajuan dan juga sistem pacuan semua roda Attesa ETS.

    Model terkini ini juga menerima sistem ekzos titanium baharu (dengan butang senyap bagi memberikan bunyi enjin yang tidak mengganggu penduduk kampung) serta pelbagai komponen yang ditempa, termasuk komponen pada sistem suspensi dan juga rim dari Rays Engineering berdiameter 20-inci.

    Ia diberhentikan dengan sistem brek Brembo yang terdiri dari cakera 390 mm dengan angkup enam-pot di hadapan dan rotor 380 bersama angkup empat omboh di belakang.

    Siam Nissan TKF turut menawarkan waranti selama tiga-tahun untuk setiap GT-R yang dijual oleh mereka, serta menyediakan khidmat menyelenggara jentera berkenaan.

     
     
  • Volkswagen Passenger Cars Malaysia umum jadual servis berkala yang disemak semula – 26% lebih jimat

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia umum jadual servis berkala yang disemak semula – 26% lebih jimat

    Volkswagen Passengger Cars Malaysia (VPCM) hari ini mengumumkan bahawa pakej servis berkala untuk semua kenderaan mereka telah disemak semula dan menamwarkan penjimatan sehingga 26% (dikira berdasarkan tempoh lima tahun atau 75,000 km). Harga baharu selepas proses semakan semula ini bakal berkuatkuasa bermula 1 April 2018.

    Menurut pengarah urusan VPCM Florian Steiner, langkah ini adalah selari dengan usaha syarikatnya bagi mengoptimakan pengalaman memiliki VW dan memberikan lebih ketenangan minda kepada pemilik-pemilik kenderan jenama tersebut.

    “Jadual servis berkala yang disemak semula ini, bersama program penyelenggaraan percuma yang diperkenalkan sejak 1 Januari 2018, akan menjadikan pemilikan Volkswagen sesuatu yang kos-efektif,” tambahnya.

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia umum jadual servis berkala yang disemak semula – 26% lebih jimat

    Jadual servis berkala baharu yang dikemaskini tersebut adalah terpakai untuk semua model lama dan baharu Volkswagen yang dijual di Malaysia. Namun jika anda mempunyai unit yang dibeli dari pengimport persendirian, kereta berkenaan tidak layak untuk menerima faedahnya dari jadual berkenaan.

    VPCM menyatakan semakan semula ini melibatkan pemanjangan sela masa pada berberapa komponen yang kini boleh digunakan dalam tempoh masa yang lebih lama. Oleh itu, pengguna bakal berjimat atas sebab berkenaan, dalam masa yang sama VW akan melakukan segala pemeriksaan rutin dalam proses servis standard.

     
     
  • Undang-undang kawal selia penggunaan laluan basikal di sekitar ibu negara perlu diwujudkan – Loga Bala

    Undang-undang kawal selia penggunaan laluan basikal di sekitar ibu negara perlu diwujudkan – Loga Bala

    Bagi mengawal selia penggunaan laluan basikal di sekitar ibu negara, satu undang-undang baharu perlu diwujudkan. Menurut Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Loga Bala Mohan, setakat ini penggunaan laluan basikal sepanjang 11 kilometer bernilai RM4 juta itu adalah tertakhluk kepada Akta Pengangkutan Jalan sedia ada.

    “Memang kita perlukan rang undang-undang untuk kawal selia penggunaan jalan basikal ini, Yang Berhormat tahu setakat ini kita memang belum ada,” katanya Di Dewan Negara semalam, seperti dilaporkan Bernama.

    Ia adalah bagi menjawab soalan tambahan daripada Senator Datuk Mohd Suhaimi Abdullah yang ingin tahu sama ada satu undang-undang baharu perlu diwujudkan sebelum ia dibuka secara rasmi dan adakah penggunaan laluan basikal ini hanya terhad kepada basikal jenis konvensional.

    Loga Bala turut berkata, penggunaan laluan basikal berkenaan hanya dibenarkan kepada penggunaan basikal konvensional sahaja dan tidak akan dibuka kepada penggunaan basikal bermotor atau papan selaju (skateboard).

    Undang-undang kawal selia penggunaan laluan basikal di sekitar ibu negara perlu diwujudkan – Loga Bala

    Tambahnya lagi, laluan basikal itu yang berkongsi dengan jalan kenderaan lain sedia ada, kini masih dalam proses pengauditan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya secara keseluruhan untuk jangka masa panjang.

    Awal Februari lalu, kecoh di laman Facebook apabila ramai netizen menyuarakan rasa tidak puas hati dengan laluan basikal di sekitar ibu kota, yang mengundang bahaya kepada penunggang motosikal. Di mana pembahagi laluan itu didapati boleh mendatangkan bahaya kepada penunggang motosikal dan basikal sendiri, sekiranya mereka mengubah laluan dari lorong masing-masing.

    Justeru, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak mencabut semua pembahagi laluan tersebut dan perancangan untuk menggantikannya dengan material yang lebih selamat sedang dikaji.

     
     
  • DBKL lancar aplikasi ‘DBKL Mobis’ – pengguna boleh semak dan bayar kompaun trafik secara dalam talian

    Bagi kemudahan orang ramai membuat semakan dan membayar kompaun trafik dengan lebih pantas dan secara dalam talian, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melancarkan aplikasi mudah alih ‘DBKL Mobis.

    Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz, aplikasi itu boleh dimuat turun secara percuma menerusi Google Play Store bagi pengguna Android dan App Store untuk pengguna peranti IOS.

    Katanya, aplikasi ini memudahkan orang ramai membuat semakan dan pembayaran serta-merta dengan lebih pantas tanpa perlu hadir ke kaunter atau menunggu notis dihantar ke rumah.

    Beliau berkata aplikasi itu akan dipertingkatkan dengan tambahan dua lagi modul iaitu Modul Semakan dan Bayaran Cukai Taksiran serta Modul Semakan dan Bayaran Lesen Perniagaan yang dijangka siap pada Ogos ini, laporan Bernama

    Malah aplikasi itu turut menyediakan talian Hotline DBKL serta senarai lokasi Pejabat Kaunter Bayaran yang dihubungkan terus kepada aplikasi pandu arah menerusi ‘Waze’ dan ‘Google Map’.

    Tambahnya lagi, penghasilan aplikasi mudah alih inisiatif kakitangan DBKL itu sekali gus meningkatkan produktiviti, kualiti penyampaian perkhidmatan DBKL serta tahap kepuasan pelanggan.

    “Orang ramai disaran merebut peluang tawaran diskaun yang masih berjalan untuk selesaikan bayaran kompaun sebelum ia berakhir pada 30 Jun ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan aplikasi baharu itu hari ini.

     
     
  • Kemalangan maut kereta pemanduan sendiri Uber – kes selesai di luar mahkamah, butiran tidak didedah

    Kemalangan maut kereta pemanduan sendiri Uber – kes selesai di luar mahkamah, butiran tidak didedah

    Uber telah mencapai penyelesaian terhadap kes kemalangan maut membabitkan kereta pemanduan sendirinya yang merempuh seorang wanita berumur 49-tahun di Arizona baru-baru ini, lapor Reuters. Dalam kejadian tersebut, wanita berkenaan, Elaine Herzberg meninggal dunia setelah dirempuh SUV XC90 pemanduan sendiri milik Uber yang sedang diuji ketika dia melintas jalan pada sebatang jalan yang gelap.

    Menurut peguam yang mewakili anak dan suami Herzberg, “perkara ini telah diselesaikan”, dan ianya menamatkan kemungkinan untuk membawa kes berkenaan ke mahkamah. Walau bagaimanapun, perincian bagaimana ia diselesaikan tidak didedahkan dan Uber sendiri tidak mengeluarkan sebarang kenyataan terhadap perkara itu.

    Selepas kejadian tersebut, Uber telah menghentikan semua ujian kereta tanpa pemandunya. Dalam perkembangan yang sama, Toyota turut mengambil langkah yang sama, menghentikan sementara semua ujian kereta tanpa pemandu mereka, manakala pembuat cip Nvidia Corp juga menggantung ujian kereta pemanduan automatik mereka di atas jalan raya awam.

    Kemalangan maut kereta pemanduan sendiri Uber – kes selesai di luar mahkamah, butiran tidak didedah

    Rakaman on-board ketika kejadian itu berlaku mendedahkan Volvo XC90 milik Uber berkenaan tidak dapat mengesan kehadiran pejalan kaki yang sedang melintas jalan pada kawasan yang gelap, seterusnya mengundang persoalan mengapa perkara tersebut berlaku. Menurut laporan juga, SUV berkenaan bergerak dengan kelajuan 61 km/j (38 bsj) pada kawasan 56 km/j (35 bsj) ketika kejadian itu berlaku, dan ia gagal berhenti dari mengelakkan berlakunya kemalangan.

    Kejadian ini juga berkemungkinan akan menggagalkan pembangunan serta ujian kereta tanpa pemandu, dan CEO Toyota North America, Jim Lentz berkata bahawa risiko yang ada ini pastinya akan mempunyai impak terhadap penghasilan teknologi pemanduan sendiri tersebut.

    “Mungkin ada kesilapan pada kenderaan, dari sistem, dan beratus atau 500 atau beribu orang akan kehilangan nyawa dalam kemalangan seperti yang kita lihat di Arizona,” kata Lentz ketika ditemubual oleh Reuters ketika berlangsungnya New York Auto Show.

    “Persoalan besar untuk kerajaan adalah: Berapa banyak risiko yang mereka sanggup ambil? Jika anda boleh menyelamatkan 34,000 nyawa, adakah anda akan sanggup untuk kehilangan 10 atau 100 atau 500 atau seribu nyawa? Saya rasa jawapannya buat masa sekarang adalah mereka tidak sanggup mengambil sebarang sebarang risiko – dan ini akan benar-benar melambatkan adaptasi pemanduan automatik,” jelasnya.

     
     
  • Hyundai Tucson 2019 gugurkan turbo, DCT di USA

    Hyundai Tucson 2019 gugurkan turbo, DCT di USA

    Hyundai Tucson generasi ke-tiga kini telah pun berusia tiga tahun. Sejak diperkenalkan pada April 2015, inilah masa yang sesuai untuk pesaing Honda CR-V ini menerima peningkatan. Walau bagaimana pun, masanya belum tiba kerana Tucson facelift terlebih dahulu diperkenalkan di New York International Auto Show.

    Model peningkatan pertengahan jangka hayat ini telah menerima beberapa perubahan gaya – dari bahagian hadapan, CUV (crossover utility vehicle) ini menerima bampar baharu dan lampu utama LED yang direka semula dengan lampu nyalaan siang LED baharu. Gril signitur pula nampak lebih menyerlah dan bersudut berbanding sebelum ini. Pilihan roda pula dari size 17- hingga 19-inci, dan semuanya rekaan baharu. Di belakang pula, lampunya berbentuk sedikit berbeza dan menampilkan grafik baharu.

    Terdapat juga kelainan di bahagian dalam. Misalnya, bahagian atas papan pemuka kini semuanya baharu – sistem Paparan Audio kini dengan unit “terapung” dan menyokong fungsi Apple CarPlay dan Android Auto. Corong udara juga direka semula, namun semua yang berada di bawah (kawalan suhu dan lain-lain) masih kekal.

    Hyundai Tucson 2019 gugurkan turbo, DCT di USA

    Dengan sedikit kos ekstra, pelanggan boleh memilih pengecas USB dan pad pengecas tanpa wayar Qi. Ia juga menampilkan Blue Link Connected Car System, dengan servis percuma selama tiga tahun. Ini termasuklah Remote Start dengan kawalan suhu, kawalan pengunci pintu, pengesan kereta, Bantuan Tepi Jalan Yang Dipertingkatkan dan Perlindungan Kecurian Kenderaan. Sesetengah elemen ini boleh dikawal dengan menggunakan aplikasi jam pintar Android Wear dan Apple Watch.

    Bagi prestasinya, Tucson 2019 ini menerima dua enjin di USA – 2.0 liter suntikan terus empat-silinder (164 hp/205 Nm) dan 2.4 liter empat-silinder (yang menggantikan 1.6 T-GDi, di USA sahaja) dengan hamburan kuasa 181 hp dan tork 237 Nm. Tucson N prestasi tinggi dilaporkan sedang dalam perancangan, mungkin berkongsi enjin dengan i30 N iaitu 2.0 liter turbo dengan kuasa 275 hp dan 353 Nm.

    Kini, kedua-dua enjin 2.0 dan 2.4 liter naturally-aspirated dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan dengan mod manual Shiftronic. Juga menampilkan overdrive lock-up torque converter untuk penjimatan bahan api yang lebih efisien.

    Hyundai Tucson 2019 gugurkan turbo, DCT di USA

    Untuk pasaran lain masih menerima unit petrol 1.6 T-GDi (174 hp) dengan padanan kotak gear manual enam-kelajuan atay pun automatik dwi-klac tujuh-kelajuan (juga FWD atay AWD), tetapi versi yang ditala leboh rendah 130 hp bakal menerima manual enam-kelajuan dan pacuan roda-hadapan. Enjin 2.0 liter turbodiesel pula masih dipadankan sama ada kotak gear manual enam-kelajua atau automatik lapan-kelajuan yang baharu dibangunkan, di mana penjana kuasa 1.6 liter diesel menghasilkan 113 hpor 131 hp kini menyertai barisan yang sama.

    Bagi keselamatam, sistem Forward Collision-Avoidance Assist (FCA) dan Lane Keeping Assist (LKA) ditampilkan secara standard. Pilihan keselamatan lain termasuk FCA dengan Pedestrian Detection, High Beam Assist, Surround View Monitor, Advanced Smart Cruise Control dengan Stop-and-Go dan Driver Attention Warning.

    “Dari perspektif rekaan, orang ramai akan mengiktiraf keharmonian generasi antara Santa Fe 2019 dan Tucson yang diberi suntikan lebih segar. Unsur signitur dari Hyundai yang mengalir pada beberapa permukaan gril hinggalak ke bahagian belakang menghasilkan kesan yang dramatik dan mewakili DAN Hyundai,” ujar ketua pereka Hyundai Motor AMerika Chris Chapman.

    Tucson 2019 merupakan model kelima daripada enam model baharu atau kejuruteraan semula bagiCUV Hyundai yang diperkenalkan menjelang tahun 2020.Bagi pasaran kita, empat varian Tucson ditawarkan, bermula model asas 2.0 Elegance, 2.0 Premium AWD, 1.6 T-GDI dan 2.0 CRDi diesel. Jadi, anda rasa adakah kita memerlukan Tucson facelift di sini?

     
     
  • Mazda CX-3 facelift 2018 muncul di New York

    Mazda CX-3 <em>facelift</em> 2018 muncul di New York

    Setelah tiga tahun dalam pasaran, SUV segmen-b Mazda CX-3 kini telah pun masuk ke fasa facelift – kemunculan sulungnya untuk versi kemaskini berkenaan dibuat ketika berlangsungnya New York International Auto Show (NYIAS) 2018. Tiada perubahan besar diberikan pada SUV kompak ini, namun penyegaran yang dilakukan cukup untuk membuatkannya terus relevan bersaing dalam pasaran.

    Mazda telah memberikan berberapa sentuhan semula pada bahagian luaran bagi menaikkan elemen elegan serta memberikan imej yang lebih berkualiti tinggi. Gril hadapan masih menampilkan bentuk sama, tetapi jalur nipis yang merentangi gril berkenaan kini diganti dengan enam jalur yang lebih tebal.

    CX-3 ini turut menerima jalur kemasan krom pada lips hadapan sehingga ke bahagian bawah pintu, yang menurut Mazda dapat mewujudkan imej ia sedang meluru kehadapan. Kluster lampu belakang pula masih lagi sama, tetapi elemen grafik pada lampu utama nampak lebih bulat, manakala pada unit di pintu tailgate nampak lebih melintang.

    Mazda CX-3 <em>facelift</em> 2018 muncul di New York

    CX-3 facelift 2018 menerima rekaan rim 18-inci baharu, menampilkan corak lima jejari berkembar. Kemasan pada kesemua tiang cermin tingkap model baharu ini kini menerima warna hitam berkilat berbanding hitam biasa sebelum ini, dan Mazda turut menawarkan warna badan baharu Soul Red Crystal bagi melengkapkan pakej transformasi luarannya.

    Masuk ke kabin, anda mungkin nampak papan pemukanya masih sama. Tetapi jika diperhatikan betul-betul, liang penghawa dingin panjang pada bahagian tengah sebelum ini telah digantikan dengan unit yang lebih pendek. Mazda turut telah menggantikan brek tangan konvensional kepada sistem brek parkir elektronik. Rekaan tersebut bukan sahaja membolehkan lebih banyak ruang storan diwujudkan, malah perehat tangan juga boleh dimuatkan pada bahagian itu.

    Pemandu dan penumpang hadapan kini menikmati tempat duduk yang lebih lebar serta diberikan span urethene yang lebih tumpat serta lebih menyerap getaran. Tempat duduk tersebut turut menawarkan sokongan yang lebih baik dan cukup selesa untuk perjalanan jauh. Penumpang belakang pula diberikan perehat tangan pada bahagian tengah, yang turut menempatkan pemegang cawan.

    Mazda CX-3 <em>facelift</em> 2018 muncul di New York

    Mazda turut memberikan panel pintu, cermin belakang dan juga pelapik bumbung yang lebih tebal bersama penebat pintu yang lebih baik bagi memberikan kabin yang lebih senyap. Material pada papan pemuka dan panel pintu juga diberikan kemasan seperti baldu dari Mazda 6 untuk perasaan yang lebih premium.

    Buat pertama kali, model tertinggi untuk pasaran Amerika Syarikat menerima balutan upholsteri kulit penuh, bersama kemasan jalur berwarna merah disekeliling liang penghawa dingin. Pilihan warna turut diringkaskan untuk varian lebih tinggi, dengan warna asas kelabu yang boleh dipadankan sama ada dengan tempat duduk berwarna hitam atau putih.

    Mazda CX-3 facelift ini masih dijana enjin petrol empat silinder 2.0 liter SkyActiv-G tanpa bantuan turbo. Namun menurut Mazda enjin tersebut telah ditala semula bagi meningkat tork pada semua takat rpm.

    Enjin berkenaan turut direka bagi mengurangkan geseran dalaman serta kecekapan bahan apinya ditingkatkan. Kesemua ini membolehkan ia berfungsi lebih responsif dan juga diperhalusi dengan menjana 148 hp/201 Nm (kuasa untuk model pasaran Amerika Syarikat).

    Model ini juga masih diberikan pilihan kotak gear enam-kelajuan automatik atau enam-kelajuan manual, bersama pilihan pacuan hadapan atau semua roda.

    Suspensi dan stereng turut ditala semula bagi mendapatkan karekter penyerapan lebih optimun dan juga tindak balas yang lebih baik, manakala sistem G-Vectoring Control (GVC) turut kekal dibekalkan bagi memberikan pemanduan yang lebih lancar. Mazda turut menawarkan pilihan tayar baharu yang mampu menyerap hentakan dari permukaan jalan serta mengurangkan jarak membrek.

     
     
  • Renault Captur EMEL Edition ditampilkan motif renda

    Renault Captur EMEL Edition ditampilkan motif renda

    Menghargai nilai estetika fesyen dalam gaya hidup moden masa kini, Renault Malaysia telah bekerjasama dengan EMEL, gabungan pereka fesyen tempatan untuk menghasilkan corak rekaan yang menarik pada badan Captur edisi khas ini. Dengan memilih motif renda, Renault Captur EMEL Edition tampil dengan corak grafik renda Chantilly, pada bahagian bonet, panel hadapan dan pintu. Walau bagaimana pun, ia bukan untuk dijual.

    Ini merupakan sebahagian daripada Colourfulraya Contest 2018, yang berlangsung mulai 29 Mac hingga 15 Mei 2018. Antara hadiah yang ditawarkan termasuklah produk daripada Panasonic Beauty dan pakaian daripada EMEL, dan hadiah utama berupa Renault Captur. Pemenang dipilih secara mingguan, iaitu merangkumi enam lakaran dan 66 hadiah untuk direbut bagi setiap minggu. Lakaran terakhir akan diumumkan pada 16 Mei dan majlis penyampaian hadiah pada 25 Mei.

    Sebagai pengetahuan, Renault Captur merupakan crossover segmen-B yang dijanakan oleh enjin petrol 1.2 liter pengecas turbo dengan hamburan kuasa 120 hp dan tork 190 Nm, yang disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik dwi-klac EDC enam-kelajuan. Crossover ini mampu mencapai 10.9 saat untuk pacuan 0-100 km/j, dan kelajuan maksimum sehingga 192 km/j.

    Elemen standard yang didatangkan termasuklah lampu utama automatik, bilah pengelap cermin dengan pengesan hujan, MediaNav dengan skrin sesentuh tujuh-inci, auxiliary audio, Bluetooth, navigasi satelit, kamera undur dan kemasukan tanpa kunci. Aspek keselamatan pula meliputi kawalan kestabilan elektronik, kawalan cengkaman dan bantuan mula mendaki. Harga atas jalan standard bagi Renault Captur ialah RM109,000 tanpa insurans, termasuk waranti pengilang lima-tahun dan tanpa had perbatuan.

     
     
  • Bangkok 2018: Suzuki Swift 1.2L baharu – kuasa 83 PS

    Bangkok 2018: Suzuki Swift 1.2L baharu – kuasa 83 PS

    Bukan selalu ada model baru Suzuki di Bangkok Motor Show, tapi kali ini jenama itu membawa Swift generasi baru ke pameran tersebut. Model ini dikategorikan sebagai kereta Eco yang lebih murah di sana, dan ia dikuasakan oleh enjin Dualjet K12M 1.2 liter NA empat-silinder.

    Ia kemudiannya dipadankan bersama kotak gear automatik CVT (tiada pilihan kotak gear manual), menghasilkan kuasa 83 PS dan tork maksima 103 Nm pada tahap 4,400 rpm. Enjin MPI ini juga dilengkapi dengan sistem start/stop dan boleh menggunakan bahan api campuran Ethanol E20.

    Jika diperhatikan sebenarnya, enjin baharu ini juga dilihat kurang berkuasa dari model sebelumnya. Ini adalah kerana undang-undang Kereta Eco Thai kini sudah masuk ke peringkat kedua dan semua kenderaan di bawah regulasi berkenaan perlu mencapai penggunaan bahan api 23 km/l dan kadar emisi CO2 100 g/km.

    Swift generasi baru ini mempunyai berat hanya antara 875 ke 910 kg, dan ia akan memberi saingan kepada hatchback Eco lain seperti Mazda 2, Mitsubishi Mirage, Nissan March dan paling popular, Toyota Yaris. Empat trim ditawarkan iaitu GA, GL, GLX dan GLX-Navi, dengan harga antara 499,000 baht (RM61,736) hingga 629,000 baht (RM77,820).

    Model asas Swift GA didatangkan dengan lampu hadapan reflektor, rim besi, dua pembesar suara, tiada cermin solek, tiada pemegang tangan untuk penumpang belakang, tiada cermin tingkap berkuasa pada bahagian belakang serta tiada kunci kawalan jauh bersama sistem kunci pusat. Namun ia tetap diberikan dengan dua-beg udara, ABS dan ESP.

    Model GLX yang dijual pada harga 609,000 baht (RM75,373) pula menerima kelengkapan standard seperti roda stereng balutan kulit dengan larasan teleskopik bersama butang kawalan audio, cruise control, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, penghawa dingin automatik, enam pembesar suara, panel LCD pada meter, lampu kabus, lampu nyalaan siang LED, lampu hadapan LED projektor dan pelbagai lagi.

    Bangkok 2018: Suzuki Swift 1.2L baharu – kuasa 83 PS

    Model GLX yang anda lihat dalam gambar ini menggunakan rim 16 inci dan kemasan luar yang lebih sporty bersama garisan merah di bahagian gril barunya. Jika memilih GLX-Navi pula, pemilik diberikan tambahan skrin infotaimen tujuh-inci bersama sistem navigasi, dan turut menyokong fungsi Apple CarPlay serta Mirrorlink.

    Malangnya, nampak seperti tiada harapan untuk Swift baru ini (termasuk model turbo dan Swift Sport) masuk ke Malaysia kerana Suzuki sudah keluar dari pasaran kita sejak bekerjasama dengan Proton beberapa masa dulu. Saksikan juga dalam galeri di bawah ini sebuah Swift yang menggunakan corak grafik pasukan MotoGP Suzuki.

     
     
  • Volkswagen Touareg 2019 diperkenalkan di Beijing

    Volkswagen Touareg 2019 diperkenalkan di Beijing

    China adalah pasaran terbesar Volkswagen, dan disebabkan itu, Volkswagen telah memilih untuk memperkenalkan buat pertama kalinya kepada dunia, Touareg 2019 di sana. Ini juga adalah kali pertama Volkswagen melakukan pengenalan pertama dunia untuk model kenderaan mereka di negara tersebut.

    Touareg generasi ketiga ini duduk di atas platform MLB Evo baru, yang turut digunakan untuk Audi Q7 terbaru, Porsche Cayenne serta Bentley Bentayga. Pada bahagian luar, konsep rekaan terkini jenama itu jelas digunakan, termasuk gril krom lebar dan jalur pada lampu IQ.Light yang bersambung dengan garisan gril.

    Touareg baru ini lebih panjang, lebih lebar dan lebih rendah berbanding sebelumnya, dengan ukuran 4,878 mm panjang, 1,984 mm lebar dan 1,702 mm tinggi. Jarak roda pula adalah 2,894 mm. Walaupun dengan dimensi yang lebih ini, ia masih dapat dijadikan 106 kg lebih ringan hasil penggunaan pelbagai bahan termasuk 48% aluminium dan 52% besi teknologi tinggi.

    Pada bahagian dalam, papan pemuka didominasi oleh tetapan Innovision Cockpit – paparan ini bersepadu di dalam papan pemuka dan menggabungkan panel instrumen Digital Cockpit 12 inci serta skrin sesentuh tengah 15 inci. Ditambah dengan sistem informasi dan hiburan Discover Premium, kenderaan ini tidak perlu menggunakan banyak butang kawalan.

    Menurut Volkswagen, perubahan dimensi ini turut memberi manfaat kepada ruang dalaman, dengan bahagian but dapat dibesarkan menjadi 810 liter, daripada 697 liter – dan ini adalah waktu tempat duduk tegak. Pengguna juga mempunyai pilihan untuk menambah penutup bahagian kargo kawalan kuasa supaya nampak lebih kemas.

    Bagi model baru ini, terdapat beberapa penambahan ciri keselamatan termasuk Night Vision, Front Cross Traffic Assist, Active All-wheel Steering, Roll Stabilisation dengan anti-roll bar elektromekanikal dan head-up display. Terdapat juga Roadwork Lane Assist yang menampilkan ciri stereng semi automatik dan dapat mengekalkan kenderaan dalam laluan, memecut dan membrek pada kelajuan sehingga 60 km/j.

    Apabila dilancarkan nanti, Eropah akan cuma mendapat dua enjin diesel turbo V6 berkuasa 231 PS dan 286 PS, manakala pasaran lain boleh mendapat enjin V6 petrol turbo 340 PS dan V8 turbo diesel 421 PS. Volkswagen juga sedang membangunkan versi plug-in hybrid dengan kuasa 367 PS untuk pasaran China.

     
     
  • LRT Kuching dijangka beroperasi pada 2024 – kos RM10.7b, pembinaan akan bermula tahun hadapan

    LRT Kuching dijangka beroperasi pada 2024 – kos RM10.7b, pembinaan akan bermula tahun hadapan

    Bandar Kuching, Sarawak, yang kian maju pastinya memerlukan sistem pengangkutan yang diberi penambahbaikan. Justeru, projek Transit Aliran Ringan (LRT) dilihat satu alternatif terbaik bagi memberikan kemudahan untuk masyarakat setempat dan pelancong dari luar. Menelan kos sebanyak RM10.7 bilion, projek LRT Kuching ini dijangka bermula tahun depan dan perkhidmatan itu dijadualkan beroperasi menjelang 2024.

    Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, pembinaan akan bermula selepas kajian menyeluruh dijalankan berdasarkan senario trafik semasa, permintaan trafik dan koridor transit keutamaan, laporan Bernama.

    Katanya lagi, perkhidmatan LRT sepanjang 155.2 kilometer itu merangkumi tiga laluan utama iaitu laluan Kota Samarahan ke Damai melalui Sungai Batu sepanjang kira-kira 62.4 kilometer yang menghubungkan 28 stesen.

    LRT Kuching dijangka beroperasi pada 2024 – kos RM10.7b, pembinaan akan bermula tahun hadapan

    “Laluan dua iaitu laluan Serian-Senari sepanjang kira-kira 82 kilometer dengan 26 stesen, bermula di Serian melalui Siburan dan berakhir di Senari. Laluan ini akan mempunyai stesen pertukaran dengan opsyen Kota Samarahan-Damai di Bulatan Simpang Tiga. Sementara itu, Laluan Tiga sepanjang 10.8 kilometer pula akan menghubungkan 13 stesen,” kata Ketua Menteri.

    Kos pembinaan keseluruhan laluan Kota Samarahan-Damai termasuk ‘rolling stock’ dianggarkan RM4.5 bilion sementara laluan Serian-Senari ialah RM5.4 bilion, dan laluan ke sekitar pusat bandaraya pula ialah RM819 juta.

    Abag Johari turut berkata, tren LRT itu akan menggunakan teknologi Bahan Bakar Hidrogen yang lebih menjimatkan kos dan mesra alam.

    “Teknologi ini masih baharu kepada industri kereta api dan ia dijangka menjadi yang pertama seumpamanya dilaksanakan di rantau ini. Tren ini adalah mesra alam kerana ia menggunakan hidrogen dengan bahan produk hanya air dan wap,” kata beliau sambil menambah projek LRT itu akan mewujudkan peluang-peluang ekonomi dan membuka peluang perdagangan serta memudahkan akses kepada pasaran dan perkhidmatan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025