Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • McLaren Senna bertema gentian karbon – RM5.6 juta

    McLaren Senna bertema gentian karbon – RM5.6 juta

    Semasa Geneva Motor Show nanti, McLaren akan membawa lima model Senna yang diubah suai dengan tema berbeza, dan salah satunya adalah yang menggunakan tema gentian karbon seperti yang didedahkan dalam gambar ini. Ia dihasilkan bersama cabang khas ubah suai jenama itu, McLaren Special Operations (MSO).

    Seperti yang boleh dijangka, hampir keseluruhan bahagian yang boleh dilihat pada McLaren Senna Carbon Theme ini menggunakan gentian karbon, termasuk di bahagian dalam. Menurut McLaren, masa hampir 1,000 jam diperlukan untuk menghasilkan kit khas ini, manakala untuk memasang kenderaan ini pula, ia mengambil masa 300 jam.

    Selain itu, 250 jam lagi diperlukan untuk menghasilkan perincian Solar Yellow pada bahagian tepi pintu, sayap belakang serta bilah aerodinamik aktif pada bahagian hadapan kenderaan ini. Angkup brek warna Laurel Green dan kombinasi warna kuning dan hijau pada kenderaan ini memberi penghormatan kepada warna helmet Ayrton Senna.

    Satu lagi tambahan menarik pada McLaren Senna Carbon Theme ini adalah rim khas Hybrid Carbon-Fibre dari MSO. Ia akan ditawarkan kepada semua 500 pelanggan Senna sebagai pilihan tambahan dan ia dihasilkan dengan gabungan aluminium diperkuat serta gentian karbon. Berat keseluruhan rim yang menggunakan satu nat sahaja di tengah ini cuma 7.5 kg (hadapan) satu unit.

    Masuk ke bahagian dalam, tema sama digunakan, dengan bahagian penyerap gas pintu diwarnakan Laurel Green, manakala kemasan Carbon Black Alcantara dan kulit pada roda stereng mempunyai jahitan warna kontras. Bahagian penyandar kepada juga mempunyai simbol ‘S’ Senna, seperti pada sayap belakangnya.

    McLaren Senna biasa dijual pada harga 750,000 pound (sekitar RM4 juta), dan Carbon Theme ini memerlukan tambahan 300,000 pound (sekitar RM1.6 juta) lagi. Ia dikuasakan oleh enjin V8 4.0 liter twin-turbo, serta padanan transmisi automatik tujuh kelajuan klac berkembar, seterusnya mampu menghasilkan 789 hp dan 800 Nm tork. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 2.8 saat manakala laju maksimum pula adalah 340 km/j.

     
     
  • Parkir kenderaan ikut suka hati, MBSA saman RM3,500

    Parkir kenderaan ikut suka hati, MBSA saman RM3,500

    Pemandu atau pemilik kenderaan yang meletak kenderaan mereka di sekitar Shah Alam sesuka hati akan dikenakan tindakan tunda (bagi kenderaan terbabit) serta saman sebanyak RM3,500. Langkah yang bakal diambil oleh Majlsi Bandara Shah Alam (MBSA) ini adalah berikutan aduan awam yang diterima tentang kenderaan berat seperti bas dan lori yang diparkir sesuka hati sehingga menyebabkan kesesakan.

    Ini termasuklah dikawasan-kawasan seperti di tepi jalan, atas pembahagi jalan, padang, taman-taman serta ditempat terbuka yang lain. Memetik laporan The Star, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, kenderaan-kenderaan ini menjadi penghalang dan menyusahkan penduduk sekitar.

    “Sesetengah daripada mereka meletak kenderaan di persimpangan jalan yang sibuk dan menyebabkan kesesakan lalulintas,” ujar beliau. Tambahnya lagi, kenderaan-kenderaan itu tidak hanya menyakitkan mata untuk dipandang, tetapi turut memberikan tanggapan yang negatif terhadap imej Shah Alam dan ada juga yang samppai merosakkan harta awam.

    “Kebanyakannya meletak kenderaan satu malam,” jelas beliau dan turut menekankan ada juga pihak yang meninggalkan kenderaan mereka ditempat yang tidak sepatutnya sehingga berhari-hari, tak terkecuali yang sampai berminggu-minggu.

    MBSA telah pun melantik pihak penunda untuk mengalihkan kenderaan-kenderaan yang diletakkan secara salah. “Pemilik akan dikenakan saman yang sangat tinggi sebanyak RM3,500 dan RM50 sehari sebagai yuran simpanan sehinggalah kenderaan mereka dituntut kembali dari depot MBSA,” tambah beliau.

    Di dalam perkembangan lain, MBSA minggu ini turut memperkenalkan sistem bayaran saman cara mudah menerusi aplikasi Flexi Parking.

     
     
  • KTMB tamatkan tren tambahan hujung minggu bagi ETS laluan Sg. Buloh-Ipoh-Sg. Buloh mulai hari ini

    KTMB tamatkan tren tambahan hujung minggu bagi ETS laluan Sg. Buloh-Ipoh-Sg. Buloh mulai hari ini

    Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah mengeluarkan kenyataan bahawa perkhidmatan tren elektrik (ETS) tambahan yang beroperasi pada setiap hujung minggu bagi laluan Sungai Buloh-Ipoh-Sungai Buloh ditarik semula daripada jadual operasi bermula hari ini.

    Katanya lagi, pembatalan perkhidmatan tambahan itu bertujuan memberi laluan kepada kerja-kerja naik taraf sistem dan infrastruktur Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang (KVDT) dengan hanya satu platform sahaja boleh digunakan di Stesen Sungai Buloh. Langkah itu dijangka dapat meminimumkan gangguan operasi tren dalam memastikan kelancaran perjalanan para penumpang ke destinasi yang dituju.

    Walau bagaimana pun, orang ramai masih boleh membuat perjalanan menggunakan perkhidmatan ETS untuk laluan dari KL Sentral ke Ipoh dan sebaliknya dengan 14 perkhidmatan yang disediakan untuk setiap hari.

    Sebarang pertanyaan berkaitan jadual waktu perjalanan perkhidmatan tren ETS, boleh layari laman sesawang rasmi KTMB di www.ktmb.com.my atau hubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-2267 1200.

     
     
  • Mitsubishi Malaysia anjur promosi Game Changing Deal – bonus tunai sehingga RM17k untuk ASX

    Mitsubishi Malaysia anjur promosi Game Changing Deal – bonus tunai sehingga RM17k untuk ASX

    Tahun Baharu 2018 masih segar lagi, lantas membuatkan Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), berbesar hati untuk memberikan tawaran terhebat iaitu bonus tunai, buat para pelanggannya yang berminat membeli mana-mana model Mitsubishi di pasaran tempatan.

    Menerusi kempen promosi Game Changing Deal, MMM menawarkan bonus tunai sehingga RM17,000 untuk model ASX 4WD yang berharga RM134,300 (atas jalan, tanpa insurans). Manakala bagi varian 2WD pula, bonus tunai yang diberikan mencecah RM15,000. Untuk SUV tujuh-tempat duduk Outlander pula, bonus tunai yang ditawarkan masing-masing bernilai RM4,000 untuk kedua-dua varian 2.0L dan 2.4L.

    Barisan pikap Triton juga tidak ketinggalan dalam kempen ini, di mana bonus tunai sebanyak RM8,000 diberikan untuk varian Triton VGT Adventure X, Triton VGT AT Premium, Triton VGT AT GL, Triton MT dan Triton Quest. Harga bagi varian Triton tersebut adalah antara RM77,390 hingga RM126,990.

    Manakala varian Triton VGT MT yang berharga RM107,600 (atas jalan, tanpa insurans) pula ditawarkan dengan bonus tunai bernilai RM4,000. Untuk varian Triton Athlete yang baru dilancarkan pada pertengahan Januari lalu, ia ditawarkan dengan bonus tunai sebanyak RM2,000.

    Menurut MMM, semua varian Triton (kecuali Triton Quest) hadir dengan waranti selama lima-tahun atau 200,000 km. Untuk Triton Quest, ia diberikan waranti juga selama lima-tahun atau 100,000 km. Bagi model Outlander dan ASX pula, kesemua varian diberikan waranti selama lima-tahun tanpa perbatuan terhad.

     
     
  • Skoda Vision X – SUV konsep urban guna janakuasa gabungan gas asli (CNG), petrol dan hibrid elektrik

    Skoda Vision X – SUV konsep urban guna janakuasa gabungan gas asli (CNG), petrol dan hibrid elektrik

    Pada Geneva Motor Show yang bakal berlangsung bulan ini, pengeluar kenderaan dari Republik Czech iaitu Skoda akan mendedahkan model konsep ‘SUV urban’ yang bakal diletakkan di bawah SUV sedia ada Karoq dan Kodiaq, digelar Vision X. Sebelum ia diperkenalkan kepada umum, imej teaser SUV ini telah ditunjukkan terlebih dahulu bersama berberapa perincian teknikal yang agak menarik.

    Menurut Skoda, Vision X akan digerakkan oleh unit janakuasa yang menggunakan gabungan gas asli (CNG), petrol dan sistem hibrid elektrik, membolehkan ia mencatatkan bacaan emisi CO2 serendah 89 g untuk satu km perjalanan. Sistem berkenaan didakwa turut memberikan penghantaran kuasa yang begitu cepat dan responsif, serta kuasa pacuan akan dihantar sama ada ke roda hadapan atau roda belakang, atau ke keempat-empat roda bergantung pada situasi.

    Untuk enjin pembakaran dalaman Skoda Vision X ini, ia dibekalkan dengan enjin 1.5 liter TSI G-TEC empat-silinder turbo yang boleh beroperasi dengan kedua-dua jenis bahan api – petrol atau CNG. Enjin ini berupaya menjana 130 hp/250 Nm dengan menggunakan CNG. Tangki CNG dan tangki petrol bersaiz kecil diletakkan di bawah tempat duduk belakang, manakala satu lagi tangki CNG yang lebih besar diletakkan pada bahagian paling belakang.

    Enjin tersebut akan memacu roda hadapan, manakala motor elektrik akan memacu roda belakang jika diperlukan, contohnya ketika mula memecut atau memberikan traction pada roda belakang ketika melalui permukaan jalan yang licin. Motor tersebut mampu memberikan tork maksima 70 Nm dan disuap oleh bateri lithium-ion 18-volt dan mampu menggerakkan SUV ini sejauh dua kilometer.

    Skoda Vision X – SUV konsep urban guna janakuasa gabungan gas asli (CNG), petrol dan hibrid elektrik

    Autodesk VRED Design 2018.4 Update

    Satu lagi motor eletrik pada SUV ini diletakkan pada bahagian hadapan, yang merupakan generator-penghidup dipacu oleh tali sawat. Skoda Vision X ini merupakan model AWD pertama jenama berkenaan yang berfungsi tanpa aci kardan – membolehkan ia dibina lebih ringan serta motor elektrik berkenaan hanya berfungsi bila diperlukan sahaja.

    Menurut Skoda, mod pacuan roda belakang akan memberikan tork 1,000 Nm pada permukaan jalan – Skoda belum menjelaskan secara terperinci dan kami juga belum dapat memahami sepenuhnya bagaimana ia dapat diberikan. Model ini juga dapat bergerak sejauh 650 km dengan tangki petrol tambahan yang dibekalkan. Ia dapat memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.3 saat sebelum mencatatkan kelajuan maksima 200 km/j.

    Skoda menyatakan mobiliti-electro memainkan peranan yang penting dalam strategi pertumbuhan globalnya. Barisan model Skoda yang menerima teknologi elektrik akan bermula pada 2019 dengan pengenalan model Skoda Superb plug-in hybrid. Kilang jenama ini di Mlada Boleslav bakal memproduksi komponen elektrikal untuk model-model hibrid plug-in untuk berberapa jenama di bawah VW Group tahun hadapan, dan produksi model elektrik sepenuhnya dari Skoda akan menyusul selepas itu.

     
     
  • BMW keluarkan teaser model konsep empat pintu berbadan besar – mungkinkah 8 Series Gran Coupe?

    BMW keluarkan teaser model konsep empat pintu berbadan besar – mungkinkah 8 Series Gran Coupe?

    BMW telah mengeluarkan imej teaser pertama yang menunjukkan sebuah kereta konsep yang akan dibawa ke pameran Geneva Motor Show minggu hadapan. Tiada informasi lain yang datang dengan gambar ini, tetapi ia sendiri menunjukkan sebuah model empat pintu yang besar dan panjang.

    Model 5 dan 7 Series adalah limosin yang formal, jadi mungkinkah BMW sedang menyiapkan sebuah model saloon yang dapat menarik pelanggan Porsche Panamera, seperti Aston Martin Rapide? Garis badan yang digunakan pada model ini cukup tersendiri, dengan hud yang panjang, cermin hadapan condong dan but belakang seperti mempunyai ducktail.

    Selain daripada itu, gambar teaser ini juga menunjukkan sebuah model yang menyerupai 8 Series Concept, yang dijadualkan akan mula produksi pada tahun ini. Jadi, adakah kita sedang melihat sebuah “8 Series Gran Coupe”?

    BMW keluarkan teaser model konsep empat pintu berbadan besar – mungkinkah 8 Series Gran Coupe?

    Sementara itu, Mercedes-AMG juga sedang menyiapkan sebuah kereta empat pintu jenis sama yang juga akan membuat penampilan di Geneva. Model ini akan menjadi satu alternatif kepada CLS, iaitu coupe empat pintu mewah pertama jenama itu.

    Berkenaan 8 Series Concept, ia sebenarnya ada dipamerkan di Malaysia, iaitu di BMW Luxury Excellence Pavilion sehingga 7 Mac ini. Mereka yang berminat boleh mendaftarkan diri terlebih dahulu sebelum datang dan terus masuk.

    GALERI: BMW 8 Series Concept di Malaysia

     
     
  • Abarth 124 GT SE – bumbung gentian karbon, rim OZ

    Abarth 124 GT SE – bumbung gentian karbon, rim OZ

    Semasa Geneva Motor Show nanti, Abarth akan membawa model Abarth 124 GT SE ini. Ia adalah sebuah model edisi istimewa yang digambarkan sebagai mempunyai dua personaliti – satu dengan “keterujaan roadster sebenar” dan satu lagi dengan bumbung teknikal yang selamat dan ringan.

    Bumbung kenderaan ini diperbuat daripada gentian karbon, dan ia mempunyai cermin belakang yang besar dan pemanas yang cekap untuk menghilangkan kabus dan menjadikan ia terang dalam masa pantas. Beratnya cuma 16 kg dan menyumbang kepada kekuatan keseluruhan kenderaan.

    Menurut Abarth, semasa terpasang lengkap, bumbung ini dapat menjamin suhu di dalam kenderaan dan ciri kedap bunyinya, manakala jika mahu dibuka, ia hanya melibatkan beberapa langkah mudah. Selain daripada itu, model istimewa ini juga menggunakan rim OZ Ultralight 17 inci (3 kg lebih ringan berbanding rim standard).

    Kemudiannya, pengguna juga mempunyai pilihan untuk mendapatkan pelapik cermin sisi yang diperbuat daripada gentian karbon, serta bonet hadapan yang diwarnakan hitam matte. Ini adalah mengambil inspirasi daripada model klasik Abarth 124 Rally, di mana bonet hitam tersebut digunakan untuk mengelakkan silau daripada pantulan cahaya matahari mengenai pemandu. Abarth 124 Spider standard (badan warna putih dan kemasan merah) juga menggunakan bonet hitam.

    Abarth 124 sebenarnya adalah Fiat 124 Spider yang ditala khas, manakala Fiat 124 Spider pula sebenarnya adalah menggunakan asas daripada Mazda MX-5. Abarth 124 ini dikuasakan oleh enjin MultiAir Turbo 1.4 liter 170 hp dan 250 Nm tork. Jumlah ini menunjukkan ia 10 hp lebih berkuasa berbanding Fiat 124 Spider dan pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 6.8 saat. Pilihan transmisi adalah manual enam kelajuan atau automatik Sports Sequential Esseesse.

     
     
  • Honda CR-V untuk Eropah didedah sebelum ke Geneva – pilihan sistem i-MMD hybrid, 7-tempat duduk

    Honda CR-V untuk Eropah didedah sebelum ke Geneva – pilihan sistem i-MMD hybrid, 7-tempat duduk

    Nampak gayanya Honda tidak sabar untuk mempertontonkan model CR-V bagi pasaran Eropah di Geneva Motor Show 2018 yang bakal membuka tirainya dalam beberapa hari lagi. Imej dan sedikit perinciannya telah pun didedahkan, menariknya ia juga bakal menawarkan model hibrid, seperti mana yang pernah dipertontonkan di Frankfurt Motor Show tahun lalu.

    Walau bagaimana pun, Eropah bukanlah yang pertama menerima SUV hibrid itu, kerana China telah pun memulakan penjualannya sejak separuh pertama 2017. Bagi spesifikasi Eropah, CR-V Hybrid akan didatangkan dengan Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) iaitu sistem yang sama seperti dalam Accord Hybrid, yang menampilkan enjin petrol 2.0 liter i-VTEC Atkinson-cycle dan dua motor elektrik.

    Walau bagaimana pun, Honda belum memberikan angka rasmi bagi penjana kuasa hibrid, tetapi jika mengikut Accord Hybrid, keseluruhan kuasanya mampu mencecah 212 hp dan penggunaan bahan api kombinasi dianggarkan 20.4 km per liter. Ia juga menawarkan tiga mod operasi untuk sistem ini – Hybrid Drive, Engine Drive dan EV Drive.

    Pilihan lain yang turut ditawarkan ialah unit petrol 1.5 liter VTEC Turbo, yang mungkin dipadankan sama dengan kotak gear manual enam-kelajuan atau automatik CVT. Pacuan roda-hadapan akan ditawarkan secara standard, namun pelanggan boleh memilih pacuan semua-roda. Pilihan lain untuk Eropah ialah model tujuh-tempat duduk, sama seperti yang ditawarkan di Thailand.

    Dijangkakan Honda CR-V dengan enjin 1.5-liter VTEC Turbo bagi pasaran Eropah bakal memulakan penghantarannya pada musim luruh tahun ini, sementara model hibrid pula pada awal 2019.

     
     
  • Honda Civic Type R akan menyerang pelbagai litar di Eropah untuk mencatat rekod, disertai Jenson Button

    Honda Civic Type R akan menyerang pelbagai litar di Eropah untuk mencatat rekod, disertai Jenson Button

    2017 Honda Civic Type R sets new lap record at the Nürburgring

    Tidak cukup dengan gelaran kereta pacuan hadapan produksi terpantas di litar The Green Hell Nürburgring Nordschleife, Honda mengumumkan satu skuad perlumbaan khas sudahpun ditubuhkan tahun ini bagi membolehkan Civic Type R FK8 mencatatkan rekod masa terpantas pada pelbagai litar ikonik lagi di Eropah.

    Senarai lengkap pemandu yang akan menyertai skuad ini belum lagi dimuktamadkan, namun menurut Honda, bekas juara Formula 1 yang kini memandu NSX Super GT, Jenson Button disahkan terbabit dalam pasukan berkenaan bersama pemandu WTCR Tiago Monteiro (Portugal) dan Esteban Guerrieri (Argentina) serta seorang lagi pemandu NSX Super GT, Bertrand Baguette (Belgium).

    Usaha ini adalah lebih kurang sama dengan cabaran yang dilakukan oleh Honda pada 2016, menggunakan Civic Type R FK2R yang mencatatkan masa terpantas di litar Silverstone (UK), Spa-Francorchamps (Belgium), Monza (Itali), Estoril (Portugal) dan Hungaroring (Hungary). Ketika itu, pasukan tersebut disertai oleh pemandu-pemandu kejuaraan Touring Car British (BTCC) dan juga kejuaraan Touring Car dunia.

    Untuk cabaran 2018 ini, litar yang sah akan ‘diserang’ adalah Silverstone, Spa-Francorchamps dan Estoril. Litar-litar lain yang turut akan disenaraikan akan diumumkan kemudian. Kereta sebenar yang akan digunakan pada cabaran ini bakal dipamerkan sepanjang Geneva Motor Show 2018 yang akan berlangsung bulan ini.

    Honda Civic Type R akan menyerang pelbagai litar di Eropah untuk mencatat rekod, disertai Jenson Button

    2017 Honda Civic Type R sets new lap record at the Nürburgring

    Tahun lalu, Honda Civic Type R FK8 mencatatkan masa 7 minit 43.8 saat di Nürburgring bagi mengesahkan ia sebagai ‘King of the Ring’ yang baharu, merampas takhta berkenaan dari Volkswagen Golf GTI Clubsport S (7 minit 47.19 saat). Catatan berkenaan juga menunjukkan Type R generasi baharu ini 6.83 saat lebih pantas berbanding model FK2R generasi sebelumnya.

    Atas kertas, Civic Type-R FK8 yang dijana enjin 2.0 liter VTEC DOHC Turbo ini mungkin hanya 10 PS lebih berkuasa dengan tork puncak yang sama (320 PS/400 Nm) berbanding model generasi terdahulu.

    Namun perubahan besar yang dilakukan pada sistem suspensi antara kedua-dua Type-R berkenaan di mana FK2 menggunakan suspensi jenis torsion beam pada bahagian belakang manakala FK8 diberikan suspensi jenis multi-link, membolehkan ia lebih laju dan lebih stabil di selekoh. Kotak gear manual enam-kelajuan model baharu ini juga menerima nisbah akhir lebih rendah membolehkan ia memecut lebih pantas, selain pakej aerodinamik lebih baik yang turut membantu.

    GALERI: Honda Civic Type R FK8 di Nürburgring

    GALERI: Honda Civic Type R FK8 pasaran Malaysia

     
     
  • PANDU UJI: Mercedes-Benz SLC 300 AMG Line – beri tumpuan terhadap gaya dan perincian pemanduan

    PANDU UJI: Mercedes-Benz SLC 300 AMG Line – beri tumpuan terhadap gaya dan perincian pemanduan

    Agak sukar untuk mencari titik “damai” ketika memikirkan tentang penawaran yang ada pada sebuah kereta roadster seperti Mercedes-Benz SLC 300 AMG Line ini. Dari satu sisi, aspirasi pemanduan yang ditawarkan menjadi tunjang utama yang sama ada akan benar-benar membuatkan pemandunya jatuh hati atau pun boleh jadi sebaliknya.

    Dari satu sisi yang lain, aspek praktikaliti – terutama ketika mengambil kira ruang untuk meletak barangan, sekrianya ada – ia menjadi satu aspek kekurangan yang mungkin akan membuatkan sesetengah orang berasa sedikit terganggu.

    Tetapi, sekiranya anda dapat memahami tujuan kenderaan begini dihasilkan, mungkin anda akan lebih tenang dan dapat menikmati setiap kelebihan yang ada padanya dengan pengalaman yang lebih positif tanpa terlalu terbawa-bawa oleh apa kurang padanya. Perkara yang menjadi satu kelebihan pada model ini ialah perincian pemanduan serta prestasi yang ditawarkan oleh model ini.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Harga minyak 1 hingga 7 Mac – petrol dan diesel naik

    Harga minyak 1 hingga 7 Mac – petrol dan diesel naik

    Masuk bulan Mac, harga bahan api petrol dan diesel akan kembali naik selepas turun untuk dua minggu berturut-turut sebelum ini.

    Bagi petrol, RON95 akan naik sebanyak 3 sen untuk tempoh seminggu ke hadapan, menjadikan harga jualannya RM2.20 seliter. RON97 pula akan naik lebih lagi iaitu sebanyak 4 sen dan akan dijual pada harga RM2.47 seliter.

    Bagi diesel pula, ia mencatatkan peningkatan paling tinggi iaitu sebanyak 5 sen. Dengan itu, diesel Euro 2M akan dijual pada harga RM2.18 seliter manakala bagi diesel Euro 5 pula akan dijual pada harga RM2.28 seliter. Harga baru ini akan berkuatkuasa tengah malam nanti hingga Rabu minggu depan.

     
     
  • Modenas Pulsar NS200 terbakar – penjelasan Modenas

    Modenas Pulsar NS200 terbakar – penjelasan Modenas

    Semalam telah tersebar satu gambar di laman Facebook Modenas Pulsar RS200, NS200, V15 Malaysia, yang dimuat naik oleh Zulkifli Nasir, menunjukkan motosikal Pulsar NS200 beliau terbakar secara tiba-tiba. Menurut post yang dibuat, beliau menyatakan masalah bermula dengan enjin mati, kemudiannya terdapat asap keluar dari bawah tempat duduk seterusnya keluar pula api dari kecil sehinggalah besar dan merebak ke seluruh motosikal.

    Berikutan perkara itu, Modenas sendiri telah mengeluarkan kenyataan hari ini, dengan memberitahu memang berlaku litar pintas pada motosikal Pulsar NS200 milik Zulkifli. Walaubagaimanapun, siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak Modenas dan kenyataan rasmi yang lebih tepat dan sahih akan dikeluarkan apabila siasatan selesai.

    Modenas juga menyatakan pihak khidmat selepas jualan mereka mengambil serius perkara ini, dan telah memberikan sebuah motosikal Pulsar kepada Zulkifli untuk kegunaan sementara, sehingga siasatan penuh lengkap.

     
     
  • Hyundai Kona Electric – jarak gerak elektrik 470 km

    Hyundai Kona Electric – jarak gerak elektrik 470 km

    Seperti yang dijanjikan, Hyundai Kona elektrik akhirya diperkenalkan. Ini adalah model yang dijana oleh kuasa daripada bateri dan menggunakan asas sama seperti crossover kompak Kona yang pertama kali diperkenal pada bulan Jun 2017 lalu. Hyundai Kona Electric adalah SUV kompak elektrik penuh pertama di Eropah dan hanya akan dipasarkan di benua itu buat masa ini.

    Model tersebut ditawarkan dalam dua versi penjana kuasa iaitu bateri 64 kWh yang mampu memberikan jarak gerak 470 km dan kuasa 204 PS, manakala satu lagi versi menggunakan bateri 39.2 kWh yang memberikan jarak gerak 300 km dengan satu kali cas penuh dan kuasa maksimum 135 PS. Tork dan kelajuan maksimum keduanya adalah sama, iaitu 395 Nm dan 167 km/j, tetapi pecutan 0-100 km/j masing-masing adalah 9.3 saat dan 7.6 saat.

    Apabila menggunakan pengecas pantas 100 kW DC (CCS), masa yang diambil untuk mencapai tahap bateri 80% penuh adalah 54 minit, manakala apabila menggunakan pengecas biasa 7.2 kW AC (Type 2) yang disediakan pula, ia akan mengambil masa 9 jam 40 minit untuk pek bateri yang besar dan 6 jam 10 minit untuk pek bateri yang kecil.

    Pemilik Kona Electric juga mempunyai pilihan untuk mengecas kenderaan mereka menggunakan soket kuasa biasa di rumah yang bersesuaian menggunakan kabel ICCB (in-cable control box), dengan soket pengecasnya terdapat di bahagian depan, berhampiran logo Hyundai yang terdapat di bahagian itu.

    Kona Electric mempunyai modul operasi shift-by-wire yang membenarkan operasi intuitif pada penjana elektriknya. Operasi kenderaan boleh diubah secara mudah dengan hanya menekan butang penukar mod pemanduan. Apabila sistem ini digunakan, Hyundai dapat menyediakan ruang barangan yang lebih besar kerana tiada penyambung mekanikal pada transmisinya.

    Bagi sistem penjanaan semula kuasa brek pada Kona Electric ini, ia boleh dilaras oleh pemandu, bergantung kepada berapa banyak yang mahu dijana semula, dengan menggunakan pedal penukar gear di belakang stereng.

    Hyundai Kona Electric – jarak gerak elektrik 470 km

    Secara keseluruhannya, model yang menggunakan kuasa elektrik ini mempunyai penampilan ranggi sama seperti Kona biasa tetapi bahagian grilnya ditutup penuh, sekaligus dapat memberikan ciri aerodinamik yang lebih baik. Rim pula adalah unit aloi 17 inci.

    Berkenaan saiz pula, panjang 4,180 mm yang dicatat oleh Kona elektrik ini menunjukkan ia 15 mm lebih panjang berbanding Kona biasa dan tingginya juga 20 mm lebih, menjadi 1,570 mm. Lebarnya adalah 1,800 mm dan jarak roda adalah 2,600 mm. Ruang barangan yang disediakan adalah sebanyak 332 liter, termasuk bahagian khas untuk meletakkan kabel pengecas.

    Untuk model ini, Hyundai telah melengkapkannya dengan segala sistem bantuan pemandu yang ada termasuk Smart Cruise Control dengan Stop & Go, Forward Collision-Avoidance Assist dengan pengesan pejalan kaki, Lane Keeping Assist, Lane Following Assist, Blind-Spot Collision Warning serta Rear Cross-Traffic Collision Warning, Driver Attention Warning dan Intelligent Speed Limit Warning.

     
     
  • Kia Optima facelift 2019 buat kemunculan di Eropah – diperkenalkan dalam bentuk sedan dan Sportswagon

    Kia Optima facelift 2019 buat kemunculan di Eropah – diperkenalkan dalam bentuk sedan dan Sportswagon

    Kia Optima generasi keempat versi facelift 2019 bakal membuat penampilan pada Geneva Motor Show bulan hadapan. Model yang disegarkan ini bakal didedahkan serentak dalam versi sedan dan juga Sportswagon. Selain dari peningkatan yang diberikan pada rupa, model yang bakal dijual pada suku ketiga 2018 ini juga turut diberikan berberapa perubahan pada sistem mekanikal.

    Model pasaran Eropah ini nampaknya menampilkan rupa yang sedikit berbeza denga versi K5 Korea yang baharu sahaja didedahkan bulan lalu. Bahagian yang paling nyata adalah pada gril ‘hidung harimau’ model ini, yang diberikan elemen mesh berbanding jalur menegak pada model di Korea.

    Selain itu, Optima facelift ini menerima bampar hadapan dan belakang baharu, lampu belakang LED, serta sentuhan semula diberikan pada lampu hadapan dan lampu kabus. Pembeli turut bakal ditawarkan dengan warna Runway Red baharu, serta rim aloi pula boleh dipilih dari diameter 16 hingga 18 inci.

    Kia Optima facelift 2019 buat kemunculan di Eropah – diperkenalkan dalam bentuk sedan dan Sportswagon

    Walau bagaimanapun, bahagian dalaman Optima Eropah ini adalah seiras dengan K5 di Korea. Ia menerima roda stereng rekaan baharu, kemasan krom satin serta lampu suasana dengan enam warna. Tema warna dalaman serta upholsteri yang ditawarkan untuk model ini termasuk hitam, hitam dua-tona, fabrik atau kulit kelabu, dan juga kain atau kulit perang.

    Untuk sistem infotaimen, Optima 2019 diberikan pilihan sama ada dengan skrin sesentuh bersaiz 7- atau 8-inci, dengan sokongan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto serta turut berfungsi dengan Monitor Pandangan Sekeliling (AVM). Ia juga diberikan sistem pengecas tanpa wayar untuk mengecas semula telefon pintar.

    Bagi model GT line yang lebih sporty dan juga versi GT sebenar dengan prestasi lebih berkuasa, Optima dibekalkan dengan lampu kabus LED baharu serta penutup cermin sisi, kemasan pada bendul sisi, gril hadapan dan rim aloi 18-inci dengan kemasan hitam berkilat. Model GT Line akan menerima tip ekzos berkembar, manakala model GT pula dipadankan dengan dua tip ekzos krom.

    Kia Optima facelift 2019 buat kemunculan di Eropah – diperkenalkan dalam bentuk sedan dan Sportswagon

    Untuk bahagian dalaman versi lebih sporty ini pula, kedua-duanya diberikan tempat duduk kulit dengan upholsteri dua-tona berwarna hitam dan merah, manakala model GT diberikan logo khas dengan serlahan jahitan hitam atau kelabu pada tempat duduk hadapan.

    Optima ini juga akan dilengkapkan dengan sistem keselamatan Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) terkini yang terdiri dari Bantuan Pengelak Pelanggaran Hadapan (FCA) bersama pengenalpasti pejalan kaki, Bantuan Kekal Lorong (LKA), Bantuan Lampu Tinggi (HBA) dan juga Amaran Perhatian Pemandu (DAW).

    Versi 2019 ini, tiada lagi enjin turbodiesel 1.7 liter CRDi diberikan, sebaliknya digantikan dengan enjin U3 turbodiesel 1.6 liter CRDI baharu. Enjin tersebut merupakan unit yang sama diberikan pada Kia Ceed baharu, berupaya menjana 136 PS dan tork maksima 320 Nm.

    Kia Optima facelift 2019 buat kemunculan di Eropah – diperkenalkan dalam bentuk sedan dan Sportswagon

    Bagi barisan enjin petrol pula, Optima kini diberikan pilihan enjin turbo 1.6 liter T-GDI berkuasa 180 PS dan digandingkan bersama kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan. Model asas pula kekal diberikan enjin tanpa turbo 2.0 liter CVVL berkuasa 163 PS, manakala model GT masih dijana enjin turbo 2.0 liter T-GDi berkuasa 245 PS.

    Model diperkemas ini turut menerima lima mod pemanduan – Eco, Comfort, Sport dan Smart – yang akan menala respon berbeza pada unit janakuasa serta tindak balas pada sistem stereng berdasarkan mod yang dipilih.

     
     
  • Royal Enfield Thunderbird X 300, 500 dilancar di India

    Royal Enfield Thunderbird X 300, 500 dilancar di India

    Royal Enfield baru sahaja melancarkan variasi tambahan kepada model Thunderbird mereka, yang dikenali sebagai Thunderbird X di India. Model ini didatangkan dalam dua pilihan enjin yang sama seperti Thunderbird standard, iaitu unit satu silinder 350 cc dan 500 cc.

    Bezanya, Thunderbird X ini mempunyai penggayaan yang berlainan, bermula dengan bahagian pemegang yang lebih rendah dan dekat kepada penunggang, tempat duduk binaan satu unit, rim aloi 19 inci di hadapan, 18 inci di belakang dan tayar jenis tanpa tiub (pertama kali bagi motosikal produksi Royal Enfield).

    Di antara Thunderbird X 350 dan X 500, semua kelengkapan adalah sama kecuali enjinnya. Thunderbird X 350 menggunakan enjin satu silinder empat strok 346 cc dengan sistem bahan api karburator manakala Thunderbird X 500 menggunakan enjin satu silinder empat strok 499 cc dengan sistem suntikan bahan api elektronik. Kuasa masing-masing adalah 19.8 hp/ 28 Nm untuk X 350 dan 27.2 hp/ 41.3 Nm untuk X 550. Transmisi kedua-duanya adalah unit lima kelajuan.

    Pada bahagian hadapan Thunderbird X ini terdapat fork 41 mm, brek cakera 280 mm dan angkup dua piston, manakala di belakang pula terdapat dua penyerap hentak gas, brek cakera 240 mm dan angkup satu piston. Setakat diperkenalkan sewaktu pelancarannya, tiada sistem ABS pada motosikal ini.

    Antara kelengkapan lain pada Thunderbird X adalah lampu depan dan belakang LED, meter jenis analog, ekzos yang diwarnakan hitam, tangki bahan api 20 liter, berat keseluruhan 197 kg dan jarak kelegaan dari tanah 135 mm. Harga untuk Thunderbird X 350 di India adalah 1.56 lakh (RM9,397) manakala X 500 pula adalah 1.98 lakh (RM11,927)

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025