Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Subaru EyeSight – mengapa ia akan mula ditawarkan di Malaysia menerusi Outback terlebih dahulu?

    Subaru EyeSight – mengapa ia akan mula ditawarkan di Malaysia menerusi Outback terlebih dahulu?

    Minggu lalu, kami telah melaporkan sistem bantuan pemanduan Subaru EyeSight kini sudahpun berada di rantau ASEAN bermula dengan pasaran Singapura terlebih dahulu, manakala Malaysia akan menerima sistem ini pada suku kedua tahun ini, bermula dengan SUV flagship Subaru Outback.

    Untuk pasaran Malaysia, adakah sistem ini akan turut dipadankan pada Subaru XV dan mengapa ia akan diberikan kepada Outback terlebih dahulu? Menurut pengarah urusan Tan Chong International, Glenn Tan, sistem ini ditawarkan kepada Outback terlebih dahulu kerana ia adalah strategi Motor Image di Malaysia bagi membangunkan imej EyeSight itu sendiri.

    EyeSight turut bakal dipadankan pada XV pasaran Malaysia tetapi hanya pada suku kedua 2019 nanti. Glenn Tan menjelaskan, mereka tiada masalah untuk memasang sistem EyeSight ini pada XV CKD (Outback bakal mendarat di Malaysia sebagai model CBU) yang kini dipasang di Serendah, Selangor namun ia perlu memperkuatkan nama EyeSight itu sendiri terlebih dahulu.

    Beliau juga menyatakan, apabila sistem ini diperkenalkan pada XV pasaran Malaysia kelak, varian tanpa sistem berkenaan masih lagi akan ditawarkan, manakala XV yang dilengkapi EyeSight akan dijual pada harga sekitar RM8,000 lebih mahal.

    Berbanding sistem jenama lain seperti Honda Sensing dan Mazda i-activesense, sistem dari Subaru ini tidak menggunakan radar sebaliknya hanya menggunakan dua kamera stereo yang mampu mengenalpasti apa yang berlaku dihadapannya menerusi imej berwarna tiga dimensi.

    Selain dari kos yang lebih rendah dari penggunaan radar, Subaru turut mendakwa kebolehan kamera stereo ini juga adalah sama seperti mata manusia dan sebab itu ia digelar EyeSight yang bermaksud ‘pandangan mata’.

    Sistem Subaru EyeSight ini terdiri dari enam fungsi iaitu sistem brek pra-pelanggaran, Cruise Control adaptif, sistem pengurusan pendikit pra-pelanggaran, amaran keluar laluan, Lane Sway Warning dan juga amaran kereta hadapan mula bergerak.

    Menurut Pusat Penyelidikan dan Analisis Data Kemalangan Trafik Jepun, sistem ini sangat efektif dalam mengurangkan jumlah kemalangan. Penyelidikan terhadap kenderaan Subaru di Jepun mendedahkan bahawa dari 2010 hingga 2014 sebanyak 61% kemalangan telah dikurangkan menerusi kenderaan yang menerima sistem EyeSight.

     
     
  • Mercedes-AMG CLS 53 – teaser sebelum tiba di Detroit

    Pameran North American International Auto Show 2018 di Detroit akan menyaksikan pengenalan Mercedes-AMG CLS 53 4Matic+, dan ia ditunjukkan secara ringkas dalam video teaser ini. CLS 53 akan menjadi model pertama yang menggunakan nombor ’53’, dan mungkin akan memberi sedikit impak kepada nombor ’43’ yang digunakan sebelum ini pada beberapa model.

    Pada bahagian luar, CLS 53 mendapat beberapa perubahan visual daripada CLS biasa untuk menandakannya sebagai sebuah varian prestasi tinggi. Bampar hadapannya mempunyai bahagian bawah yang lebih lebar, kemasan warna perak pada bukaan udara di penjuru serta gril AMG. Kemudiannya, terdapat rim dan brek baru, spoiler kecil atas but, empat muncung ekzos dan lencana tambahan.

    Perincian berkenaan enjin kenderaan ini masih belum diketahui, tetapi ia dijangka menggunakan unit hibrid seperti pada CLS 450, tetapi yang lebih berkuasa. Pada varian tersebut, kuasa yang mampu dihasilkan adalah 367 hp/ 500 Nm, datang daripada enjin petrol enam silinder sebaris turbo 3.0 liter yang dibantu dengan starter/generator 48 volt bersepadu 22 hp dan 250 Nm tork.

    CLS 450 boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.8 saat, jadi bermakna, CLS 53 mungkin menjadi lebih laju. Walaupun begitu, varian CLS baru ini akan kekurangan pada aspek penggunaan bahan api, di mana catatannya adalah 8.4 liter bagi 100 km, berbanding 7.5 liter bagi setiap 100 km oleh CLS 450.

     
     
  • Model konsep Honda Civic Type R Mugen RC20GT di Tokyo Auto Salon 2018 – ganas tahap mengarut

    Model konsep Honda Civic Type R Mugen RC20GT di Tokyo Auto Salon 2018 – ganas tahap mengarut

    Selain dari Spoon, peminat legasi Honda Civic Type R tentunya tertunggu-tunggu FK8 talaan khas dari divisi berprestasi tinggi rasmi Honda iaitu Mugen. Pada acara tahunan kereta ubahsuai Jepun – Tokyo Auto Salon 2018 – Mugen telah mendedahkan Civic Type R FK8 talaan khasnya yang digelar Mugen RC20GT Concept.

    Model konsep ini jelas lebih agresif dari FK8 standard, namun jika anda peminat Civic FD2R Mugen RR, rupa RC20GT ini mungkin mengecewakan anda. Untuk permulaan, bampar asal telah ditukar kepada unit yang menampilkan gril trapezoid yang kelihatan seperti Nissan GT-R atau Audi, diperbuat dari gentian karbon.

    Pelbagai liang udara juga diberikan pada bampar tersebut untuk tujuan aliran udara yang lebih baik, bersama splitter pada setiap sisi. Bonet hadapan juga menerima komponen gantian yang dibuat menggunakan material gentian karbon dan direka sedikit berbeza dengan menempatkan sirip udara tambahan pada kiri dan kanan.

    Model konsep Honda Civic Type R Mugen RC20GT di Tokyo Auto Salon 2018 – ganas tahap mengarut

    Bahagian sisi kereta ini diberikan skirt yang lebih labuh, manakala pada bahagian belakang diberikan imej yang lebih agresif. Spoiler standard FK8 dah cukup ganas? Spoiler baharu yang diberikan Mugen pada hatchback ini jauh lebih ganas (dan tak masuk akal) serta lebih tinggi. Bampar belakang juga direka kelihatan lebih berkotak dengan diffuser yang sangat besar.

    Tip ekzos kembar tiga asal Type R ini juga kini telah digantikan sebuah muffler tunggal yang berada di tengah, dan bampar ini juga diberikan sepasang reflektor bulat yang kelihatan seperti reflektor lori.

    Keseluruhan badan kereta ini diberikan warna kelabu bersama jalur warna rasmi Mugen (merah-kuning-hitam) yang diberikan pada setiap sisi bermula dari fender hadapan hingga bahagian pintu. Manakala rim asal Type R juga telah digantikan dengan rim forged monoblok 20-inci pelbagai jejari dari Mugen.

    Masuk ke kabin, Mugen sekali lagi mempersembahkan rekaan yang tidak masuk akal. Roda stereng asal telah digantikan dengan unit berbentuk segi empat yang nampak seperti roda stereng kereta F1. Papan pemuka juga direka semula dengan menempatkan paparan info digital berbentuk empat segi dan juga satu lagi skrin yang diletakkan pada bahagian konsol tengah. Liang udara penghawa dingin juga direka semula dengan bentuk pelik. Secara keseluruhan, sentuhan semula ini membuatkan kokpit Mugen RC20GT ini kelihatan seperti kokpit KITT dari siri TV Knight Rider.

    Kesemua tempat duduk asal kereta ini juga telah ditukar. Bahagian hadapan diberikan tempat duduk bucket sepenuhnya Recaro-Mugen dan bahagian belakang juga diberikan tempat duduk bucket yang menjadikan bahagian tersebut hanya boleh dinaiki hanya dua orang penumpang. Mugen turut memadankan roll cage penuh pada kabin kereta ini tetapi direka agar tidak mengganggu setiap penumpang pada tempat duduk mereka.

    Mugen telah memberikan sentuhan ringkas pada enjin asal K20C1 2.0 liter DOHC VTEC Turbo pada Civic ini membabitkan bahagian kemasukan udara dan juga sistem penyejukkan. Namun tidak dinyatakan sama ada kuasa asal 320 PS/400 Nm pada enjin berkenaan naik dengan ubahsuai ringkas tersebut.

     
     
  • Toyota Yaris WRC 2018 dapat pakej aerodinamik baru

    Toyota Yaris WRC 2018 dapat pakej aerodinamik baru

    Pasukan TOYOTA GAZOO Racing World Rally baru saja mendedahkan jentara Toyota Yaris WRC 2018 ketika pameran Autosport International di Birmingham, England. Jentera ini akan digunakan dalam Kejuaraan Rali Dunia 2018.

    Tapi taklah semua baru; ini lanjutan daripada unit jentera yang digunakan pada musim sebelumnya, dan merupakan penampilan musim kedua untuk Toyota dalam kejuaran itu. Sebab penampilan pertama tahun lalu dikira berjaya, terutama ketika Rali Sweden dan Raly Finland, jadi jentera ini diperkemas untuk galas saingan musim ini pula.

    Antara perkara-perkara yang diberikan peningkatan termasuk pakej aerodinamik bahagian depan – ini termasuk bahagian bampar dan fender depan. Perubahan ini bertujuan nak imbangkan aspek aeronidamik kereta ini dan hasilkan lebih banyak downforce di bahagian depan. Sistem penyejukan juga ada naik taraf, untuk tampung persekitaran yang lebih panas dalam siri perlumbaan itu nanti.

    Bagi enjin pula, ia kekal seperti pada jentera musim 2017; 1.6 liter yang menjana 380 hp. Semua pembaharuan yang ada ini pula telah diuji selama beberapa bulan hujung tahun lepas, dan jentera berkenaan akan mula beraksi pada 25-28 Januari ini di Rali Monte-Carlo.

     
     
  • JPJ pantau harga lesen yang ditetapkan institusi memandu bagi elak ia membebankan rakyat

    JPJ pantau harga lesen yang ditetapkan institusi memandu bagi elak ia membebankan rakyat

    Sejak kebelakangan ini, isu harga lesen yang dikenakan oleh institusi memandu dilihat tidak sekata, bahkan ada yang mengenakan bayaran yang tinggi hingga membebankan rakyat. Bagi mengelakkan perkara ini terus berleluasa, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melalui Jawatankuasa Pelesenan Institusi Memandu (JKPIM) akan sentiasa memantau isu harga lesen memandu yang ditetapkan institut memandu di negara ini.

    Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPJ Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, institut memandu yang dikesan mengenakan harga tidak munasabah boleh diambil tindakan termasuk menghentikan operasi institusi berkenaan, laporan Bernama.

    Katanya lagi, harga siling bagi mendapatkan lesen memandu di negara ini telah ditetapkan dan perbezaan atau harga yang lebih tinggi daripada yang ditetapkan, mungkin disebabkan beberapa caj tambahan yang dikenakan institusi terbabit.

    “Harga siling untuk mendapatkan lesen motosikal B2 adalah RM350 manakala B pula RM900. Harga lesen bagi kereta transmisi manual (D) adalah RM1,150 sementara bagi kereta transmisi automatik (DA) adalah RM1,250. Institusi Memandu tidak boleh mengenakan harga lesen yang lebih daripada yang ditetapkan tetapi berdasarkan pemantauan yang dilakukan harga yang tinggi disebabkan caj tambahan yang dikenakan institusi berkenaan,” katanya kepada pemberita semalam.

    Wan Ahmad Uzir turut mengulas, kebiasannya caj tambahan dikenakan apabila institusi memandu perlu mengambil dan menghantar pelajar ke sesuatu destinasi dan sebarang caj tambahan perlu diperincikan pihak institusi berkenaan. Katanya lagi, pelanggan berhak untuk membuat aduan sekiranya caj tambahan yang dikenakan tidak relevan atau diselindungi.

     
     
  • Honda Insight generasi baharu – lebih imej dan perincian didedahkan sebelum muncul di Detroit

    Honda Insight generasi baharu – lebih imej dan perincian didedahkan sebelum muncul di Detroit

    Honda telah menyiarkan sedikit gambar dan perincian berkenaan model prototaip Honda Insight generasi baharu tahun lalu, dan sebelum didedahkan pada North American International Auto Show 2018 yang akan berlangsung minggu hadapan, jenama berkenaan sekali lagi menyiarkan imej dan juga maklumat tambahan sedan hibrid tersebut.

    Walaupun ia sebuah model yang didakwa sebagai ‘prototaip’, kereta ini kelihatan seperti sudah bersedia untuk diproduksi – sama seperti prototaip Honda Civic Type R yang didedahkan sebelum model produksi sebenarnya muncul dengan bentuk yang serupa.

    Berbeza dengan Insight generasi terdahulu yang menampilkan bentuk badan lima-pintu yang agak pelik, model generasi baharu ini muncul sebagai sebuah sedan empat-pintu sebenar dengan gaya yang agak sporty. Dapat dilihat, Insight generasi seterusnya berkenaan menerapkan sepenuhnya rekaan signatur terkini Honda sama seperti Civic FC serta Accord generasi baharu yang telah diperkenalkan di Amerika Syarikat.

    Muka Insight generasi baharu ini menerima lampu hadapan tirus dengan jalur krom yang merentangi gril hadapan sama seperti Accord dan Civic. Ia turut dilihat diberikan lampu nyalaan siang LED berbentuk-L yang dibina dalam lampu utama.

    Honda Insight generasi baharu – lebih imej dan perincian didedahkan sebelum muncul di Detroit

    Beralih ke sisi, pengaruh Civic dan Accord dapat dilihat sekali lagi, menampilkan bentuk badan sedan empat-pintu dengan garis badan seperti sebuah coupe. Bahagian belakang pula, Insight menampilkan lampu tirus ‘two-piece‘ yang lebih tersendiri jika dibandingkan dari kedua-dua abangnya tadi.

    Pada bahagian dalaman, Insight diberikan roda stereng balutan kulit, skrin sesentyh kapasitif lapan-inci serta paparan informasi digital sepenuhnya berukuran tujuh-inci. Menurut Honda, sistem infotaimen pada kereta ini menjanjikan operasi yang lebih mesra-pengguna dengan fungsi seperti telefon pintar termasuk ikon shortcut yang boleh diubah mengikut keselesaan pemilik, serta menyokong fungsi Apple CarPlay dan Android Auto.

    Secara keseluruhan, Insight baharu ini tampil sebagai sebagai model kompak premium dan Honda sendiri telah mengesahkan ia akan berada lebih tinggi dari Civic dalam hieraki barisan model. Honda Civic generasi kesepuluh juga tidak akan dihasilkan dalam versi hibrid seperti pada model generasi FB sebelum ini, jadi Insight baharu ini bakal mengisi ‘kekosongan jawatan’ berkenaan.

    “Dengan gaya yang sofistikated, stance yang dinamik, bahagian dalaman yang luas dan prestasi terbaik dalam kelasnya, Insight serba baharu ini merangkumi pendekatan Honda untuk menghasilkan kereta dengan teknologi elektrik tanpa kekurangan tipikal,” kata naib presiden senior jualan automobil dan penguruh besar Divisi Honda American Honda Motor Co., Inc., Henio Arcangeli, Jr.

    Honda Insight generasi baharu – lebih imej dan perincian didedahkan sebelum muncul di Detroit

    Honda Insight Prototype

    Model baharu ini akan dijana sistem hibrid dua-motor generasi ketiga Honda digelar Sport Hybrid Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) seperti pada Accord Hybrid dan CR-V Hybrid baharu. Namun, sistem pada Insight ini menggabungkan enjin 1.5 liter kitaran Atkinson (berbanding 2.0 liter pada Accord), motor elektrik dan pek bateri lithium-ion.

    Menerusi sistem ini, Insight boleh dipandu dalam mod elektrik sepenuhnya pada kebanyakkan masa kerana enjin petrol berkenaan turut boleh berfungsi hanya sebagai penjana elektrik untuk mengecas semula pek bateri. Ia juga boleh bergerak tanpa enjin petrol dihidupkan langsung, serta boleh mendapatkan kuasa penuh dengan operasi enjin petrol dan motor elektrik secara serentak.

    Bateri lithium-ion sistem berkenaan diletakkan pada bahagian bawah tempat duduk belakang. Oleh itu, pengguna masih lagi memperolehi ruang kargo penuh serta tempat duduk belakang yang boleh dilipat dengan nisbah 60:40. Menurut Honda, Insight akan membekalkan kuasa paling tinggi dalam kelasnya dalam masa yang sama masih lagi mencatatkan ekonomi penggunaan bahan api gabungan US EPA 21.3 km/l – bacaan yang agak kompetitif dalam segmen hibrid kompak.

    Kesemua varian Insight pasaran Amerika Syarikat bakal dilengkapi dengan pakej Honda Sensing yang merangkumi sistem keselamatan termasuk Collision Mitigation Braking System, Amaran Keluar Laluan, Road Departure Mitigation, Cruise Control Adaptif dengan Low-Speed Follow dan Pengesan Amaran Trafik.

    Honda Insight generasi baharu – lebih imej dan perincian didedahkan sebelum muncul di Detroit

    Pada North American International Auto Show 2017 kami mengumumkan Inisiatif Teknologi Elektrik Honda dengan sasaran untuk menghasilkan dua pertiga jualan kenderaan Honda diseluruh dunia diberikan teknologi elektrik menjelang 2030,” kata Arcangeli.

    “Dengan pelancaran Insight pada lewat 2018 sebagai kereta kelima diberikan teknologi elektrik di bawa kepasaran sejak tahun lalu, kami mendemonstrasikan komitmen kami terhadap sasaran berkenaan,” tegasnya lagi.

    Honda Insight generasi ketiga pasaran Amerika Syarikat berkenaan akan diproduksi di Kilang Honda Greensburg, Indiana, bersama Civic dan CR-V menggunakan komponen yang diperolehi secara domestik dan global.

    Setelah dilancarkan nanti, Insight akan menjadi model kelima diperkenalkan Honda selepas siri Clarity (Clarity Fuel Cell, Clarity Electric dan Clarity Plug-in Hybrid) dan juga Accord Hybrid dalam pelan inisiatif yang diumumkan berkenaan.

     
     
  • Yamaha XMax 250 dipertonton di Malaysia – import dari Indonesia, bakal masuk pasaran Mac tahun ini

    Yamaha XMax 250 dipertonton di Malaysia – import dari Indonesia, bakal masuk pasaran Mac tahun ini

    Selain memperkenalkan model MT-09 yang diperbaharui, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) turut melakukan pra tonton istimewa model XMax 250 semasa acara yang sama. Skuter ini adalah unit import dari Indonesia, dan ia telah dilancarkan di sana pertengahan tahun lalu pada harga 57 juta rupiah (RM16,946).

    Yamaha XMax 250 adalah sebuah skuter yang dikuasakan oleh enjin satu silinder empat strok SOHC suntikan bahan api dengan teknologi Blue Core, dan kuasa sebanyak 22.5 hp pada 7,000 rpm dan 24.3 Nm tork pada 5,500 rpm mampu disampaikan ke tayar belakang melalui kotak gear automatik.

    Sebagai sebuah skuter, XMax 250 menawarkan pelbagai kemudahan dengan antaranya ruang simpanan bawah tempat duduk yang boleh menempatkan dua helmet fullface, penghadang angin hadapan tinggi, dua ruang simpanan kecil di bawah bahagian pemegang (satu daripadanya mempunyai pengecas 12V) dan sistem tanpa kunci berserta penggera.

    Sistem keselamatan skuter ini juga boleh dianggap lengkap dengan brek cakera hadapan dan belakangnya mempunyai sistem ABS, dan sistem kawalan cengkaman (TC) yang boleh ditutup. Lampu LED di depan dan belakang memberikan penyalaan yang lebih terang dan rim 15 incinya dibalut dengan tayar tanpa tiub (tubeless).

    Daripada maklumat yang kami terima, XMax 250 ini telah pun diuji untuk perjalanan jarak jauh (endurance) di Malaysia dan telah sedia untuk pasaran. Walaubagaimanapun spesifikasi betul untuk pasaran Malaysia perlu dinantikan sehingga waktu pelancarannya yang dikata akan berlaku pada bulan Mac tahun ini.

     
     
  • Yamaha MT-09 CKD diperbaharui untuk Malaysia – pelbagai kelengkapan prestasi diberi, harga RM47,388

    Yamaha MT-09 CKD diperbaharui untuk Malaysia – pelbagai kelengkapan prestasi diberi, harga RM47,388

    Kali terakhir Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) melancarkan motosikal berkuasa tinggi adalah dua tahun yang lepas, dan kini, syarikat itu memperkenalkan model MT-09 yang diperbaharui untuk pasaran Malaysia. MT-09 yang dipertingkat ini mula membuat penampilan global pada penghujung tahun 2016 di Eropah, dan kini boleh didapati di negara kita pada harga RM47,388.

    Asas motosikal ini masih sama, iaitu ia masih menggunakan enjin tiga silinder 847 cc, dengan sistem penyejukan cecair, DOHC, mampu menghasilkan kuasa sebanyak 115 PS pada 10,000 rpm dan 87.5 Nm tork pada 8,500 rpm. Transmisi yang digunakan adalah unit enam kelajuan.

    Walaubagaimanapun, banyak bahagian lain dipertingkat pada MT-09 baru ini, bermula dengan penampilannya. Pada bahagian hadapan, unit perumah lampu motosikal ini lebih agresif seperti model yang lebih besar, iaitu MT-10. Dalam unit lampu ini, terdapat dua LED yang bertindak sebagai lampu siang, sementara empat lagi LED adalah untuk lampu biasa.

    Walaupun MT-09 ini nampak lebih agresif, perkara yang lebih menarik tentangnya adalah aspek prestasi turut dipertingkat, di mana ia kini dilengkapi dengan quickshifter, klac assist & slipper, sistem kawalan cengkaman (TC), brek ABS two-channel dan suspensi yang boleh dilaras sepenuhnya di depan (belakang hanya pra beban yang boleh dilaras).

    Selain daripada itu, perkara lain yang diubah adalah sedikit sahaja seperti lampu penunjuk arah yang kini diletakkan di tepi radiator dan penghadang lumpur yang dilekat pada lengan ayun.

    Bahagian lain masih lagi adalah sama, bermaksud MT-09 baru ini turut dilengkapi dengan tiga mod tunggangan, brek cakera berkembar 298 mm di hadapan, cakera 245 mm di belakang, rim 17 inci, tayar 120/70 di hadapan, 180/55 di belakang, berat keseluruhan 193 kg dan tangki minyak 14 liter.

    HLYM menawarkan dua warna untuk MT-09 baru yang dipasang di dalam negara (CKD) ini iaitu Night Fluo (kelabu) dan Tech Black (hitam) dan akan mula berada di 46 pengedar rasmi Yamaha di seluruh Malaysia Februari ini. Waranti yang diberi adalah satu tahun atau 10,000 km.

     
     
  • PANDU UJI: BMW X5 xDrive40e – bagi yang mahukan teknologi hijau dan perlukan praktikaliti sebuah SUV

    PANDU UJI: BMW X5 xDrive40e – bagi yang mahukan teknologi hijau dan perlukan praktikaliti sebuah SUV

    Di Malaysia, seperti yang kita sudah sedia maklum, segmen kenderaan SUV telah berkembang pesat dan menjadi antara pilihan yang popular, terutama untuk kegunaan keluarga. Baik bagi kelompok kenderaan biasa mahupun jenama yang lebih premium, penawaran kenderaan jenis ini terdiri daripada pilihan yang pelbagai.

    Namun, jika kita melihat hanya pada jenama premium, apatah lagi jika mengambil kira model-model SUV yang datang sebagai kenderaan PHEV dengan teknologi plug-in hybrid, jumlahnya kini hanya ada dua. Untuk tempoh beberapa waktu sebelum ini, Volvo XC90 T8 Twin Engine menjadi satu-satunya model SUV plug-in hybrid yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia.

    Bermula dengan pengenalan versi CBU terlebih dahulu pada harga RM453,888 ketika itu, model pemasangan tempatannya – yang dilakukan di kilang Volvo Shah Alam – menyusul pada tahun 2016, dengan harga yang lebih rendah iaitu RM403,888. Dan, dalam penawarannya yang terkini, tingkat kemasan Inscription Plus baru saja diperkenalkan awal Januari.

    Baca laporan lanjut di sini

     
     
  • Toyota Gazoo Racing Festival di Johor 19-20 Januari, aksi perlumbaan dijangka lebih menarik dalam hujan

    Toyota Gazoo Racing Festival di Johor 19-20 Januari, aksi perlumbaan dijangka lebih menarik dalam hujan

    Selepas pusingan kedua selesai di MAEPS, Serdang November lalu, perlumbaan Vios Challenge yang merupakan aktiviti utama dalam Festival Toyota Gazoo Racing (TGR) diteruskan lagi bulan ini (19-20 Januari) di Medini City, Iskandar Puteri, Johor Bahru.

    Setiap litar yang terlibat dalam perlumbaan ini adalah baru bagi pelumba, dan memandangkan semua kereta Toyota Vios yang digunakan adalah sama, saingan bergantung kepada kemampuan serta keberanian setiap pelumba. Aksi yang mendebarkan dapat dilihat dalam setiap pusingan, dan untuk kali ini, ia mungkin bertambah menarik kerana litar dijangka licin akibat hujan.

    Dalam kategori Promotional Class (untuk selebriti), kedudukan pertama kini dikuasai oleh Shawn Lee, walaupun semasa dalam perlumbaan di MAEPS belau telah melakukan kesilapan dan terpusing. Waktu itu, Shukri Yahaya berjaya menamatkan perlumbaan di tempat pertama, sekaligus meletakkan beliau lima mata di belakang Lee secara keseluruhan. Ini kemudiannya diikuti oleh Danny Khoo dan seterusnya Diana Danielle.

    Toyota Gazoo Racing Festival di Johor 19-20 Januari, aksi perlumbaan dijangka lebih menarik dalam hujan

    Melihat kepada satu lagi kategori iaitu Sporting Class pula, Brendan Anthony berjaya menjuarai tempat pertama buat pertama kalinya dalam perlumbaan pertama, namun dalam perlumbaan kedua Patrick Tam dari pasukan Nanoplus pula tamat paling hadapan. Walaubagaimanapun, secara keseluruhan, kedudukan dikuasai oleh Brandon Lim dengan 57 mata manakala Ken Foo di tempat kedua dengan ketinggalan 10 mata.

    Dala kategori Super Sporting, Tengku Djan masih mendahului secara keseluruhan walaupun cuma mendapatkan sembilan mata dalam perlumbaan di MAEPS. Beliau kemudiannya dicabar oleh Mitchell Cheah, William Ho, Mark Darwin, Shafiq Ali, Boy Wong dan Ser Ming Hui, yang sekiranya dikira secara matematik, mampu merampas kejuaraan sekiranya Djan melakukan kesilapan di litar Medini City.

    Perlumbaan di Medini City juga mungkin menjadi lebih menarik kerana faktor cuaca yang dijangka hujan dan mencabar bagi pelumba. Orang ramai boleh menyaksikan perlumbaan ini secara percuma dan aktiviti TGR Festival berlangsung 19 dan 20 Januari ini dari jam 9 pagi hingga 6.30 petang setiap hari. Di bawah adalah galeri gambar semasa acara di MAEPS, Serdang.

    GALERI: Festival Toyota Gazoo Racing di MAEPS Serdang


     
     
  • Hyundai labur dalam Grab – akan guna Ioniq Electric

    Hyundai labur dalam Grab – akan guna Ioniq Electric

    Hyundai Motor Company telah menandatangani satu perjanjian kerjasama strategik dengan penyedia platform perkongsian kenderaan, Grab untuk mengembangkan lagi servis yang semakin digunakan lebih ramai orang di Asia Tenggara tersebut.

    Kedua-dua syarikat ini akan bersama meneroka cara untuk memajukan dan menyediakan servis yang lebih inovatif untuk pelanggan di Asia Tenggara, termasuk mewujudkan platform servis mobiliti baru yang akan menggunakan model kenderaan mesra alam Hyundai, Ioniq Electric.

    Penyertaan kerjasama Hyundai dengan Grab ini adalah sebahagian daripada pelaburan dalam skim pembiayaan Series G yang diwujudkan oleh Grab, dan setakat ini juga telah menarik beberapa pelabur lain seperti Didi Chuxing, SoftBank dan Toyota Tsusho.

    Hyundai labur dalam Grab – akan guna Ioniq Electric

    Selain itu, langkah ini juga selari dengan semangat ‘inovasi terbuka’ yang digunakan oleh Hyundai dengan antara fokusnya adalah untuk mencapai gaya hidup lebih mesra alam, bersih, sentiasa berhubung dan bebas dalam aspek mobiliti.

    Hyundai sebelum ini juga telah meningkatkan servis mobiliti di beberapa lokasi dengan menawarkan nilai yang lebih pintar kepada pengguna seperti contohnya, mereka bekerjasama dengan WaiveCar di Amerika Syarikat untuk menyediakan program perkongsian kenderaan. Di Amsterdam pula, Hyundai ada menguruskan sendiri servis perkongsian kenderaan elektrik menggunakan Ioniq.

     
     
  • Renault Clio R.S.18 – keluaran terhad, guna gaya inspirasi perlumbaan F1, prestasi turut dipertingkat

    Renault Clio R.S.18 – keluaran terhad, guna gaya inspirasi perlumbaan F1, prestasi turut dipertingkat

    Renault Sport telah melancarkan sebuah model edisi khas keluaran terhad Clio R.S.18 yang disasarkan kepada penggemar sukan permotoran dan pengumpul kenderaan jenama ini. Nama model tersebut merujuk kepada pasukan lumba F1 Renault Sport tahun ini, dan kenderaan itu sendiri juga mendapat inspirasi daripada siri perlumbaan berprestij tersebut.

    Asas yang digunakan untuk Clio R.S.18 ini adalah Clio R.S. 220 EDC Trophy – versi paling berpotensi dalam barisan Clio – di mana ia dikuasakan oleh enjin 1.6 liter turbo dengan kemampuan 220 hp dan 280 Nm tork. Kuasa ini disampaikan ke roda hadapan melalui kotak gear klac berkembar enam kelajuan EDC.

    Bagi memberikan model ini penampilan yang tersendiri, Renault Sport telah menggunakan tema warna sama seperti pasukan F1 mereka iaitu hitam dan kuning, bersama lencanca R.S.18 di pintu dan jalur pelekat serta logo baru R.S di atas bumbung. Kebanyakan bahagian luar kenderaan ini berwarna hitam termasuk lencananya, tetapi jalur di gril bawah, kemasan skirting serta penutup tengah rimnya menggunakan warna Sirius Yellow.

    Renault Clio R.S.18 – keluaran terhad, guna gaya inspirasi perlumbaan F1, prestasi turut dipertingkat

    Pada bahagian dalam, ciri sporty yang sedia ada ditambah dengan roda stereng yang dibalut kulit Alcantara, corong pendingin hawa dengan kesan seperti gentian karbon serta plet tepi pintu yang mempunyai nombor edisi keluaran terhadnya. Selain hitam seperti bahagian luar, bahagian dalam turut menggunakan selingan warna merah yang sporty.

    Memandangkan ia sudah menggunakan asas Clio yang paling berkuasa, kuasa enjin tidak diganggu, tetapi bahagian casis turut dipertingkat menjadi lebih rendah dan tegap manakala kawalan stereng pula lebih tajam dan terus. Turut diberi secara terus adalah ekzos Akrapovic yang mempunyai bunyi lebih berkuasa dan menghasilkan pecutan lebih baik.

     
     
  • Gambar Geely Boyue pemanduan sebelah kanan palsu

    Gambar Geely Boyue pemanduan sebelah kanan palsu

    Gambar yang mendakwa sebuah Geely Boyue dilihat di pusat servis Proton dan persidangan pengedar muncul di Facebook baru-baru ini. Ini menjadi petunjuk bahawa kerja-kerja untuk mempersiapkan model berkenaan untuk pasaran tempatan – yang dijangka mula dijual hujung tahun ini – sedang giat dijalankan, begitu juga dengan persiapan terhadap rangkaian jualan dan servis oleh Proton.

    Satu daripada gambar yang tersebar itu menunjukkan apa yang didakwa sebagai prototaip pemanduan sebelah kanan (RHD) bagi SUV tersebut, dan berita ini turut dikongsi dan dihebahkan oleh beberapa laman berita.

    Malangnya, ia bukanlah seperti apa yang dapat kita lihat sekali pandang; jika anda teliti dengan lebih cermat, bahagian label kedudukan gear “P-R-N-D” yang ditampilkan itu adalah terbalik, begitu juga dengan butang-butang yang ada – ia sebuah gambar yang diterbalikkan, bukan gambar papan pemuka prototaip RHD seperti yang didakwa.

    Ini selari dengan laporan sebelum ini yang menyebut bahawa versi pemanduan sebelah kanan model Boyue hanya akan sedia untuk diuji pada Oktober, selepas semua aspek pertukaran (dari LHD ke RHD) mendapat kelulusan pihak berkuasa terlibat selesai. Proses itu, termasuk kelulusan daripada ASEAN NCAP dan SIRIM, dijangka diperoleh dalam tempoh setahun.

    Pemanduan kanan palsu bagi Geely Boyue (kiri), model asal pemanduan kiri Boyue (kanan)

    Apapun, untuk mengubah sebuah kereta pemanduan sebelah kiri kepada pemanduan sebelah kanan bukanlah semudah mengalihkan kedudukan stereng dan pedal yang ada semata-mata. Selain daripada papan pemuka yang baru, bahagian pemilih gear, butang tingkap kuasa dan malah tempat duduk depan, semua ini perlu ditukar kepada mekanikal yang sepatutnya – kerja-kerja ini mengambil masa yang lama.

    Lupakan kit aftermarket bagi model dari AS seperti Ford F-150 CKD yang dijual oleh Hamawangsa Kredit, atau kenderaan Perancis dengan pembuka bonet dan kotak fius di sisi yang salah yang membuatkan bahagian glovebox menjadi sangat kecil – semua ini tetap memerlukan proses pertukaran ke RHD yang betul untuk mengelakkan masalah-masalah lain.

    Bahkan, pengeluar seperti Mercedes-Benz juga sukar untuk mendapatkan kualiti yang sepatutnya bagi unit yang menjalani pertukaran sisi pemandu ini – kedudukan stereng tidak tepat ditengah dan dinding bahagian kaki terlalu padat.

    Apapun, sementara menunggu versi RHD yang sebenar siap, ikuti dahulu laporan pandu uji yang kami sediakan sebelum ini berkaitan model Geely Boyue.

     
     
  • Mitsubishi Eclipse Cross buat kemunculan sulung di Singapura – 1.5L DOHC MIVEC turbo, 163 ps/250 Nm

    Mitsubishi Eclipse Cross buat kemunculan sulung di Singapura – 1.5L DOHC MIVEC turbo, 163 ps/250 Nm

    Tidak dapat dinafikan, segmen crossover kompak antara yang yang paling sengit jika dilihat pada senarai kenderaan yang dibawa oleh pengeluar-pengeluar ke Singapore Motor Show tahun ini. Honda HR-V, Toyota C-HR dan Mazda CX-3 antara model yang telah berada dalam pasaran tetapi masih dibawa ke acara berkenaan.

    Hyundai pula melancarkan senjatanya untuk segmen tersebut iaitu Kona serta tidak ketinggalan juga Mitsubishi yang telah memperkenalkan ayam tambatan baharunya buat pertama kali – Eclipse Cross – untuk bersaing dengan senarai nama tadi dalam pasaran Singapura.

    Mitsubishi Eclipse Cross membuat kemunculan sulungnya di Tokyo November tahun lalu. Jika anda peminat Mitsubishi, anda tentu ingat akan nama ‘Eclipse’ sebagai sebuah coupe yang popular sebelum ini, lebih-lebih lagi setelah ia diketengahkan dalam siri filem The Fast and The Furious. Bagi mereka yang belum mengetahui, Mitsubishi kini tidak lagi menghasilkan sedan (sebab itulah tiada lagi Lancer mahupun Galant generasi baharu) dan jenama tersebut kini menumpukan perhatian terhadap pembinaan SUV.

    Jadi untuk menyambung legasi Eclipse, ia telah dijelmakan dalam bentuk crossover menerusi Eclipse Cross ini dan didakwa Mitsubishi sebagai SUV Coupe lima-pintu. Boleh dikatakan, versi pasaran Singapura ini tampil dengan rupa yang sama seperti model yang muncul di Jepun tahun lalu.

    Mitsubishi Eclipse Cross buat kemunculan sulung di Singapura – 1.5L DOHC MIVEC turbo, 163 ps/250 Nm

    Crossover ini berukuran 4,405 mm panjang, 1,805 mm lebar dan 1,685 mm tinggi, iaitu lebih panjang sebanyak 110 mm, 35 mm lebih lebar dan 60 mm lebih tinggi berbanding ASX, namun memiliki jarak roda yang sama iaitu 2,670 mm.

    Bahagian hadapan muka SUV kompak ini menonjolkan gril signatur Dynamic Shield Mitsubishi. Ia diapit dengan kluster lampu utama dan lampu kabus, sementara profil berbentuk-baji, garis badan, dan cermin depan serta juntaian belakang yang sedikit pendek menambahkan lagi imej dinamiknya.

    Pada bahagian belakang, lampu LED model ini merentasi bahagian cermin belakang, seperti gaya Honda CR-Z. Manakala lampu ketiga pula terletak di palang pembahagi, dan disambungkan pada lampu belakang. SUV ini diberikan rim aloi dua-tona bersaiz 18-inci, dibaluti tayar 225/55R18.

    Masuk ke kabin, anda dihidangkan dengan konsol tengah yang direka bertebing, dilingkari dengan kekemasan logam berwarna perak. Ia juga ditampilkan dengan Touchpad Controller, seperti Remote Touch Pad dari Lexus, yang mendominasi bahagian tengah. Selain itu, sistem sokongan Smartphone Link Display Audio turut menyokong fungsi Apple CarPlay dan Android Auto.

    Mitsubishi Eclipse Cross buat kemunculan sulung di Singapura – 1.5L DOHC MIVEC turbo, 163 ps/250 Nm

    Perincian lain yang turut dilengkapkan pada model pasaran Singapura ini termasuk paparan pebagai info TFT LCD bersaiz 4.2-inci, sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin, pedal penukar gear pada stereng, lampu hadapan yang dilengkapi fungsi auto high beam serta welcome dan coming home, brek parkir elektronik dengan fungsi auto hold dan juga monitor paparan kamera 360 darjah.

    Model pasaran Singapura ini hanya menerima unit janakuasa DOHC MIVEC 1.5 liter turbo dengan sistem suntikan bahan api terus, tanpa pilihan enjin 2.2 liter turbodiesel. Enjin 4B40 berkenaan mampu mengekstrak 163 ps pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 250 Nm yang bermula seawal 1,800 rpm hingga 4,500 rpm.

    Untuk pelanggan di republik ini, kuasa berkenaan hanya disalurkan menerusi kotak gear INVECS III CVT automatik dengan mod sport lapan-kelajuan maya ke roda hadapan, tanpa pilihan pacuan semua roda. Untuk pasaran lain, Eclipse Cross turut menerima sistem pacuan semua roda kawalan elektronik dengan sistem kawalan dinamik Super All-Wheel Control (S-AWC) bersama Active Yaw Control (AYC).

    Untuk pasaran Singapura, ia dilengkapi standard dengan sistem keselamatan seperti sistem Forward Collision Mitigation (FCM), isyarat berhenti kecemasan, ABS dan ASC serta tujuh beg-udara.

     
     
  • Mercedes-Benz M’sia lantik Nicol David sebagai duta

    Mercedes-Benz M’sia lantik Nicol David sebagai duta

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah melantik ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David, sebagai duta jenama. Pencapaian beliau yang begitu cemerlang dalam sukan skuasy sejak sekian lama serta personalitinya yang penuh karismatik, sangat bersesuaian dengan jenama kenderaan premium No.1 di negara ini.

    “Kami berbesar hati mengumumkan perlantikan Datuk Nicol sebagai duta jenama baharu kami. Beliau bukan sahaja seorang atlet yang berwibawa, bahkan layak diangkat sebagai role model untuk semua rakyat Malaysia. Pencapaian beliau termasuk pernah memegang gelaran ratu skuasy dunia sebanyak lapan kali serta banyak lagi kejayaan yang pernah dilakarkan begitu membanggakan,” ujar Mark Raine, Timbalan Presiden, Pemasaran & Jualan Kenderaan Penumpang, MBM.

    Bagi Nicol pula, pemilihan beliau sebagai duta jenama Mercedes-Benz di negara ini amat menguja kerana nilai jenama ini dianggap sebagai cerminan dirinya sendiri. “Saya sering berjuang memburu kecemerlangan tanpa kompromi, dan jenama ini yang turut mempunyai sejarah kejayaannya yang tersendiri, juga sama seperti saya. Malah saya juga merupakan peminat jenama ini terutamanya bagi model GLA yang menjadi kegemaran saya. Ia kombinasi yang praktikal, dinamik dan mempunyai gaya yang tersendiri. Saya sangat teruja dapat bekerjasama Mercedes-Benz.”

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025