Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • BMW X4 G02 2022 dilancarkan di M’sia – CKD, RM399k

    BMW X4 G02 2022 dilancarkan di M’sia – CKD, RM399k

    Hari ini, BMW Malaysia turut melancarkan BMW X4 facelift G02 2022, selepas setengah tahun model facelift X4 G02 dan X3 G01 diperkenalkan di sini pada Jun lalu. Seperti barisan X3 G01 facelift yang turut dilancarkan pada hari ini, X4 G02 facelift juga adalah model pemasangan tempatan (CKD).

    Bagi peningkatan luarannya, X4 G02 menerima reflektor menegak bersama bampar belakang yang kini diberikan kemasan baharu. Sama seperti X3 LCI – Life Cycle Impulse, atau facelift bagi terma BMW, X4 yang dipertingkatkan ini juga diberikan set corong ekzos baharu.

    X4 G02 untuk pasaran Malaysia ini cuma diberikan satu varian saja iaitu xDrive30i M Sport, dikuasai oleh enjin 2.0 liter turbo empat-silinder petrol yang mampu menghasilkan 252 hp pada antara 5,200 hingga 6,500 rpm dan tork 350 Nm antara 1,450 hingga 4,800 rpm. Ia turut digandingkan dengan kotak gear Steptronic lapan-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda pintar xDrive.

    Bahagian kabinnya juga diberikan semakan terkini dengan papan pemuka yang dipasang dengan kelengkapan spesifikasi tinggi termasuk skrin sensitif sentuhan 10.25-inci BMW Navigation System Professional, sistem bunyi Harman Kardon 16-pembesar suara, panel instrumen resolusi tinggi 12.3 inci, paparan utama berwarna, sistem kawalan suara serta sambungan fungsi BMW ConnectedDrive.

    Kelengkapan lain yang ada pada X4 G02 ini termasuklah suspensi adaptif, stereng sport, pendingin hawa automatik tiga zon, lampu kabus LED, lampu dan pengelap cermin automatik serta kemasan dalam Aluminium Rhombicle dan Pearl Chrome.

    Untuk aspek keselamatan pula, ia ditampilkan dengan beg udara hadapan, sisi (depan sahaja), bidai (depan hingga belakang) dan atas, Dynamic Stability Control (DSC) yang termasuk Dynamic Traction Control (DTC), Cornering Brake Control (CBC), Dynamic Brake Control (DBC) serta Antilock Braking System (ABS) dengan Brake Assist. Ciri lain yang turut diberikan termasuklah kawalan kelajuan dengan fungsi brek, Bantuan Parkir dan kamera pandangan belakang.

    Warna luaran yang diberikan untuk model ini termasuklah Alpine White, Piemont Red, Phytonic Blue dan Carbon Black, yang dipadankan dengan kulit Vernasca dalam rona hitam dengan jahitan kontras. Untuk pilihan warna luaran Alpine White dan Carbon Black, pembeli boleh memilih satu lagi pilihan alternatif upholstery kulit Vernasca dalam rona Tacora Red.

    BMW X4 xDrive30i facelift G02 2022 ditawarkan pada harga atas jalan RM398,800 (termasuk pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan) tanpa insurans, termasuk waranti perbatuan tanpa had selama lima-tahun dengan BMW Service and Repair Inclusive.

     
     
  • Kesesakan trafik di KL pada 2021 turun susulan Covid-19, masa terbuang ‘hadap jem’ 48 jam setahun-laporan

    Kesesakan trafik di KL pada 2021 turun susulan Covid-19, masa terbuang ‘hadap jem’ 48 jam setahun-laporan

    Syarikat perisian yang terkenal dengan teknologi navigasi, TomTom, telah mengeluarkan satu kajian yang digelar “TomTom Traffix Index” untuk tahun 2021 berhubung dengan kesesakan lalu lintas di 404 kawasan bandar yang meliputi 58 buah negara dalam enam benua.

    Menerusi kajian terbabit, ternyata kesesakan lalu lintas di bandar-bandar yang disenaraikan itu berkurangan susulan penularan wabak Covid-19. Ini termasuklah bandaraya Kuala Lumpur yang menduduki tangga ke-210 dalam index tahunan terbabit yang didapati berkurangan secara drastik pada tahun lalu. Menurut kajian terbabit, pemandu di Kuala Lumpur dianggarkan terpaksa membuang masa sekitar 48 jam setahun untuk ‘mengadap’ kesesakan trafik, laporan World Of Buzz.

    Di mana pada tahun lalu, penurunan ketara dalam tahap kesesakan trafik di Kuala Lumpur dengan data menunjukkan purata masa perjalanan berkurangan sebanyak 4 minit setiap hari. Berbanding pada tahun 2020, Kuala Lumpur yang menduduki tangga ke-77 dan direkodkan mencatatkan kerugian masa sekitar 126 jam, manakala pada 2019 pula, bandaraya ini berada di tangga ke-46 dengan kerugian masa dianggarkan sekitar 170 jam.

    Kesesakan trafik di KL pada 2021 turun susulan Covid-19, masa terbuang ‘hadap jem’ 48 jam setahun-laporan

    Manakala tahap kesesakan trafik di Kuala Lumpur untuk tahun 2021 mencecah 21%, bermakna secara puratanya, masa perjalanan adalah 21% lebih lama berbanding semasa keadaan tidak sesak. Sementara itu, tahap kesesakan di Kuala Lumpur ialah 28% pada 2020 dan 37% pada 2019.

    Kajian terbabit turut mendedahkan pada tahun 2019 dan 2020, pada setiap Jumaat dari jam 6 petang hingga 7 malam adalah waktu yang paling ‘sengsara’ untuk memandu. Walau bagaimana pun, pada tahun 2021 pula, hari Rabu pada jam yang sama pula direkodkan sebagai ‘waktu yang paling sesak’.

    Berdasarkan indeks terkini ini, Istanbul direkodkan menduduki tempat pertama dalah kesesakan lalu lintas yang paling teruk dengan dianggarkan masa yang terbuang sekitar 142 jam setahun. Moscow pula berada di tempat kedua dengan 140 jam setahun masa yang terbuang, manakala Kyiv di Ukraine pula menduduki tangga ketiga (128 jam setahun).

    Anda boleh melihat senarai penuh bandar yang tersenarai dalam “TomTom Traffix Index” untuk tahun 2021 menerusi PAUTAN INI.

     
     
  • Teaser Mercedes-Benz C-Class W206 untuk Malaysia

    <em>Teaser</em> Mercedes-Benz C-Class W206 untuk Malaysia

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah mula menunjukkan C-Class W206 sebelum pelancarannya di sini, menerusi sebuah video di laman Facebook. Pengenalan model generasi kelima terbabit dijangka dalam masa terdekat ini, selepas pernah dilihat di atas lori berdekatan ibupejabat MBM.

    Varian yang akan diperkenalkan nanti adalah C 200 dan C 300, sama dengan penawaran yang diberikan melalui C-Class W205 facelift. Seperti diperhatikan minggu lalu, ia juga akan ditawarkan dalam tingkat kemasan yang sama seperti sebelumnya — Avantgarde untuk C 200, sementara C 300 dalam kemasan AMG Line.

    Model baru ini dapat dibezakan melalui wajah depannya, dengan tiga pendekatan berbeza disediakan. Model asas menggunakan gril louvre menegak, dan C 200 Avantgarde boleh dibezakan melalui elemen hiasan tambahan pada rekaan louvre serta pada grilnya dan apron depan dengan kemasan krom.

    Sementara itu, bagi C 300 AMG Line, ia menerima gril berlian dengan rekaan bintang tiga bucu dalam penyudah krom. Bagi pilihan rodanya pula, C 200 di sini menggunakan rim aloi lima jejari, sementara C 300 menggunakan unit multi-jejari.

    <em>Teaser</em> Mercedes-Benz C-Class W206 untuk Malaysia

    Dari segi enjin, boleh dijangkakan C 200 akan menggunakan unit 1.5 liter turbo, sama seperti generasi W205 sebelum ini yang diperkenalkan sejak 2018. Ketika itu, C 200 W205 dikuasakan oleh unit 1.5 liter turbo empat-silinder dengan janaan 181 hp/280 Nm dengan sistem elektrikal 48-volt dan penghidup-generator bersepadu (ISG).

    Bagaimanapun, unit berkenaan digantikan dengan enjin 2.0 liter pada 2020, dan menjadi versi AMG Line. Model baru ini nanti dijangka akan kembali kepada enjin 1.5 liter, yang kini melengkapi C 200 terkini yang diperkenalkan di Singapura, dalam bentuk baru M254 (201 hp/300 Nm).

    Sementara itu, C 300 sepatutnya bakal menggunakan unit M254 dalam kapasiti 2.0 liter, dan janaan kuasa juga sama seperti sebelumnya dengan 255 hp, dan tork dinaikkan kepada 400 Nm daripada 370 Nm sebelumnya. Kedua-dua varian akan menggunakan transmisi 9G-Tronic sembilan-kelajuan, dengan menyepadukan ISG.

    Di dalam, antara yang melengkapinya adalah paparan skrin sentuh menegak 11.9-inci, serta panel instrumen 12.3-inci terapung dan juga sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX). Spesifikasi lengkapi C-Class terbaru ini akan menyusul tak lama lagi, tentunya.

     
     
  • BMW X3 xDrive30e M Sport PHEV 2022 kini di Malaysia – 292 PS/420 Nm, jarak cas penuh 50 km; RM357k

    BMW X3 xDrive30e M Sport PHEV 2022 kini di Malaysia  – 292 PS/420 Nm, jarak cas penuh 50 km; RM357k

    BMW X3 xDrive30e M Sport G01 telah pun dilancarkan secara rasminya di pasaran Malaysia. Ini merupakan bafrian plug-in hybrid pertama bagi model X3 yang sampai ke pasaran kita, dan ia merupakan SUV facelift kemaskini Life Cycle Impulse (LCI) pemasangan tempatan (CKD). Ditawarkan pada harga RM356,800 dengan waranti perbatuan tanpa had selama lima-tahun dengan pakej servis berkala percuma, atau pun kurang RM2,000 berbanding X3 xDrive30i M Sport.

    SUV ini diberikan enjin B48 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder dengan hamburan kuasa 184 PS pada 5,000 hingga 6,500 rpm dan tork 300 Nm dari 1,350 hingga 4,000 rpm.

    Ia turut digandingkan dengan motor elektrik 80 kW (109 PS) dengan transmisi automatik lapan-kelajuan, dan jumlah keseluruhan kuasa yang terhasil mampu mencecah 292 PS dan 420 Nm. Ia mampu mencapai pecutan 0-100 km/j dalam 6.1 saat dan kelajuan maksimum cecah 210 km/j. Manakala kelajuan maksimum dalam mod elektrik cecah 135 km/j dan penggunaan bahan api kombinasi antara 2.0 hingga 2.6 liter bagi setiap 100 km.

    BMW X3 xDrive30e M Sport PHEV 2022 kini di Malaysia  – 292 PS/420 Nm, jarak cas penuh 50 km; RM357k

    Pek bateri lithium-ion 12 kWh mampu memberikan antara 42 hingga 50 km untuk jarak pacuan elektrik, dan mampu menyokong pengecasan AC pada kadar sehingga 3.7 kW menerusi sambungan Type 2. Tahap pengecasan (SOC) sehingga 80% mampu dicapai dalam tempoh 2.4 jam, sementara pengecasan penuh cecah 3.7 jam.

    Bagi rekaannya, X3 kini tampil dengan gril yang sedikit lebih besar, terdiri daripada satu bingkai tunggal krom. Palang hitam di tengahnya yang menempatkan kamera pula memisahkan dua seksyen berkenaan pada gril.Apron depan juga kini dilengkapi dengan bukaan udara vertikal yang menjadi sebahagian daripada seksyen berbentuk segi tiga pada bamparnya, yang turut menyaksikan rekaan profil baru diberikan pada bahagian bukaan di bawahnya.

    Lampu depan juga diberi rekaan baru dengan 10 mm lebih rata berbanding sebelumnya. Suspensi M Sport turut ditawarkan secara standard selain diberikan aloi ringan 20-inci.

    Di dalamnya, ia diberikan ciri peningkatan yang lebih menyerlah, termasuk paparan infotainmen lebih besar bersaiz 10.25-inci dengan BMW Operating System 7 dan bahagian papan pemuka tengahnya diambil dari 3 Series G20. Konsol tengah juga baharu, diambil dari 4 Series G22 terkini. Turut diberikan BMW Live Cockpit Professional dengan paparan instrumen digital penuh 12.3-inci secara standard.

    BMW X3 xDrive30e M Sport PHEV 2022 kini di Malaysia  – 292 PS/420 Nm, jarak cas penuh 50 km; RM357k

    Untuk keselamatan, barisan X3 kini dilengkapi dengan Bantuan Pemanduan secara standard, yang merangkumi Amaran Menukar Lorong, Amaran Ketibaan Lorong dan Brek Kecemasan Automatik (AEB). Eksklusif untuk PHEV ialah Parking Assistand Plus dengan Park Asist for end-on, parkir secara selari dan sisi, serta keluar automatik.

    Pilihan warna luaran termasuk Alpine White, Brooklyn Grey, Phytonic Blue dan Carbon Black, dan upholstery dalaman dengan rona sama ada kulit Vernasca hitam dengan jahitan biru atau kulit Mokka Vernasca untuk Alpine White dan Carbon Black. X3 juga diberikan naiktaraf perisian kawalan jauh over-the-air, dan dilengkapi dengan BMW Intelligent Personal Assistant yang turut dipertingkatkan.

    Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Hans de Visser berkata, “Tahun lalu, BMW X Portfolio telah menrekodkan lebih 3,200 penghantaran di Malaysia, dengan menyumbangkan lebih 38% daripada jumlah keseluruhan jualan di bawah jenama BMW. Kejayaan ini menunjukkan BMW X Portfolio memiliki pasaran yang utuh di sini, seterusnya menambah keyakinan kami untuk mengembangkan dan merevolusikan industri automotif di sini dengan lebih banyak kemudahan dan infrastruktur pemasangan tempatan.”

    GALERI: BMW X3 xDrive30e LCI G01

     
     
  • Yamaha Tenere 700 World Raid 2022 dapat suspensi lebih panjang, skrin TFT, tangki besar, ABS tiga mod

    Yamaha Tenere 700 World Raid 2022 dapat suspensi lebih panjang, skrin TFT, tangki besar, ABS tiga mod

    Kita sudah melihat Yamaha memperkenalkan beberapa versi Rally Edition untuk Tenere 700, yang menerima beberapa aksesori tambahan, tapi kini, mereka memperkenalkan pula Tenere 700 World Raid. Model ini akan dijual kepada umum dengan harga sekitar USD2,500 (RM10,000) lebih tinggi berbanding Tenere 700 biasa dan dibuat untuk mereka yang mahukan lebih prestasi serta kemampuan jarak jauh untuk motosikal dual purpose ini.

    Dua tangki bahan api tambahan yang berkapasiti 23 liter diletakkan pada bahagian tepi motosikal ini, dan apabila ia digabungkan dengan tangki asal 16 liter, Yamaha memberitahu, Tenere World Raid boleh memberikan jarak perjalanan sehingga 500 km. Pengguna juga diberitahu supaya tidak risau dengan kesan kepada pengendalian kerana tangki ini diletakkan pada kedudukan yang rendah.

    Tempat duduk pada model World Raid ini turut diubah menjadi lebih rata, supaya penunggang dapat melungsur ke depan dan belakang mengikut keadaan dengan lebih mudah. Tingginya sekarang adalah 890 mm dan penunggang juga disediakan dengan pemijak kaki lebih lebar untuk berdiri dengan lebih stabil.

    Antara maklum balas yang kerap diterima berkenaan Tenere 700 adalah suspensi yang mudah bottomed out apabila dibelasah. Bagi mengatasinya, model World Raid ini telah dipertingkat dengan fork Kayaba 43 mm dengan jarak gerak 230 mm (+20 mm). Selain lebih panjang, bahagian dalam fork ini turut menggunakan komponen lebih ringan, boleh dilaras sepenuhnya dan mempunyai skru untuk membuang angin. Turut membantu peningkatan pengendalian adalah steering damper Ohlins boleh laras yang diberikan secara standard.

    Suspensi belakang juga menerima peningkatan yang bersesuaian dan mempunyai jarak gerak lebih 20 mm berbanding monoshock pada model standard, dan dipadankan bersama linkage yang telah dinaik taraf. Unit ini juga boleh dilaras sepenuhnya mengikut kemahuan pengguna.

    Panel meter LCD ringkas pada Tenere 700 kini telah diganti dengan unit TFT lima inci pada versi World Raid ini. Tema paparan pada skrin ini boleh diubah dalam beberapa mod dan ia juga boleh disambungkan kepada telefon bimbit melalui bluetooth dan aplikasi Yamaha MyRide. Berhampiran dengannya terdapat soket USB.

    Yamaha Tenere 700 World Raid 2022 dapat suspensi lebih panjang, skrin TFT, tangki besar, ABS tiga mod

    Cakera serta angkup Brembo pada model ini masih lagi sama, tetapi sistem ABS padanya telah dinaik taraf dengan kini menyediakan tiga pilihan mod. Mod 1 mengaktifkan ABS untuk roda hadapan dan belakang, Mod 2 untuk depan sahaja dan Mod 3 menutupnya secara terus. Bahagian lain yang dipertingkat adalah termasuk penghadang angin hadapan dan panel badan, pelindung enjin serta gril radiator.

    Enjin tidak diusik, dan ia masih lagi menggunakan unit Crossplane CP2 dua silinder selari bersama padanan transmisi enam kelajuan, untuk menghasilkan kuasa 72.4 hp pada 9,000 rpm dan 68 Nm tork pada 6,500 rpm. Rim hadapan menggunakan unit 21 inci sementara di belakang terdapat rim 18 inci.

     
     
  • Proton X50 jadi pilihan MBSJ sebagai kenderaan rasmi

    Proton X50 jadi pilihan MBSJ sebagai kenderaan rasmi

    Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) telah memilih SUV Proton X50 untuk digunakan sebagai kenderaan rasmi dan majlis penyerahannya telah pun disempurnakan baru-baru ini. Sebanyak lapan unit X50 1.5T Executive telah diserahkan oleh Proton yang diwakili oleh Pengarah Jualan Korporat syarikat berkenaan, Fazli Hisham Shukor, kepada Dato’ Johary Anuar selaku Datuk Bandar MBSJ.

    Turut hadir dalam majlis ringkas yang berlangsung di Bengkel Kejuruteraan TP Subang Jaya itu ialah Tuan Haji Mohd Zulkurnain Che Ali, Timbalan Datuk Bandar dan Tuan Ir. Rosli Muhammad Yunus, Timbalan Setiausaha Bandaraya MBSJ.

    Proton X50 1.5T Executive dijanakan oleh enjin 1.5 liter pengecas turbo tiga-silinder petrol yang mampu memberikan kuasa hingga 177 PS dan 255 Nm tork dari 1,500 hingga 4,000 rpm. Ia turut digandingkan dengan transmisi DCT tujuh-kelajuan.

    Dilancarkan pada September 2020, ia ditawarkan pada harga RM84,800 (sebelum pengecualian cukai SST sehingga 30 Jun 2022). X50 1.5T Executive ini merupakan varian kedua selepas model asas Standard dan posisinya sebelum dua varian tertinggi iaitu Premium dan Flagship.

    GALERI:Proton X50 1.5T Executive 2020

     
     
  • Susur masuk Persimpangan Tol Kajang dari KL ditutup setiap 10 malam-5 pagi pada 15 Feb-8 Mac – PLUS

    Susur masuk Persimpangan Tol Kajang dari KL ditutup setiap 10 malam-5 pagi pada 15 Feb-8 Mac – PLUS

    PLUS Berhad telah memaklumkan susur masuk ke Persimpangan Tol Kajang dari Kuala Lumpur ditutup secara berkala pada setiap hari Isnin hingga Khamis kepada semua jenis kenderaan mulai 15 Februari hingga 8 Mac 2022, dari jam 10 malam hingga 5 pagi. Penutupan ini bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan dan memotong pokok-pokok besar dapat dijalankan dengan selamat di sepanjang laluan tersebut.

    Sebagai alternatif, pengguna lebuh raya PLUS dari Kuala Lumpur yang ingin menuju Kajang, boleh keluar di Plaza Tol UPM untuk teruskan perjalanan ke Kajang dengan menggunakan Lebuh raya Besraya dan SILK atau membuat pusingan-U di Plaza Tol Bangi sebelum berpatah balik dan masuk semula di Plaza Tol Kajang.

    Dalam masa yang sama, PLUS menasihatkan pengguna lebuh raya yang menggunakan laluan tersebut agar merancang perjalanan dan mematuhi arahan papan tanda yang disediakan oleh PLUS.

     
     
  • Honda CBR500R dan CB500X dengan peningkatan grafik dan prestasi tiba di Malaysia – RM35k, RM36k

    Honda CBR500R dan CB500X dengan peningkatan grafik dan prestasi tiba di Malaysia – RM35k, RM36k

    22YM HONDA CBR500R

    Barisan model CB500 yang diberi peningkatan pada tahun lepas sebagai model keluaran tahun 2022 kini sudah tiba di Malaysia. Walaubagaimanapun, hanya dua model yang diperkenalkan, iaitu CBR500R dan CB500X, dengan harga jualan tidak termasuk insurans masing-masing RM34,499 dan RM36,099, sementara CB500F yang merupakan model naked tiada dalam senarai.

    Bagi CB500 2022 ini, peningkatan utama selain grafik adalah pada bahagian prestasi, di mana kesemuanya mendapat unit fork Showa SSF-BP USD 41 mm dengan pelarasan pra beban bagi menggantikan fork teleskopik 41 mm sebelum ini, sementara di belakang pula ia menggunakan monoshock dengan pelarasan pra beban lima tahap.

    Kemudiannya pada bahagian brek, cakera hadapan dipertingkat dengan set berkembar 296 mm, yang dipadankan bersama angkup dua piston daripada Nissin (berserta ABS two-channel). Melengkapi peningkatan bahagian casis ini adalah lengan ayun serta rim yang lebih ringan.

    Walaupun dengan peningkatan suspensi yang sama, tinggi CBR500R dan CB500X adalah berbeza, dengan catatan jarak dari tanah masing-masing 130 mm dan 180 mm manakala tangki bahan api CB500X adalah sedikit lebih besar iaitu 17.5 liter (CBR500R mendapat tangki 17.1 liter).

    Bahagian enjin tidak berubah dan kedua-duanya masih lagi dipacu oleh unit dua silinder 471 cc bersama padanan kotak gear enam kelajuan dengan klac jenis slip & assist, untuk menghasilkan kuasa maksimum 49.75 hp pada 8,500 rpm dan 44.6 Nm tork pada 7,000 rpm. Tetapan sistem suntikan bahan api PGM-Fi pada model ini bagaimanapun telah dilaras semula dan menepati tahap emisi Euro 5.

    GALERI: Honda CBR500R 2022

    GALERI: Honda CBR00X 2022

     
     
  • Geely Binyue akan terima facelift di China – 1.5L Turbo 4-silinder 181 PS, rekaan Energy Storm lebih garang

    Geely Binyue akan terima facelift di China – 1.5L Turbo 4-silinder 181 PS, rekaan Energy Storm lebih garang

    Model asas untuk Proton X50, iaitu Geely Binyue yang dijual di pasaran China (juga dikenali sebagai Geely Coolray di Filipina) kini bakal menerima satu lagi versi facelift, selepas model yang dikenali sebagai Binyue Pro diperkenalkan pada Julai tahun lalu.

    Kali ini Binyue bukan sahaja akan diberikan perubahan rupa yang agak besar, malah turut akan menampilkan unit rangkaian kuasa yang berbeza. Versi facelift terbaharu berkenaan belum lagi diperkenalkan secara rasmi, tetapi ia telah terdedah menerusi dokumen fail kerajaan China.

    Menerusi imej yang terdedah tersebut, versi baharu ini menampilkan muka hadapan dengan rekaan signatur Energy Storm terkini Geely yang sudah pun diterapkan pada sedan Emgrand L dan juga Boyue X. Secara lebih spesifik, rekaan bampar pada versi baharu Binyue ini adalah lebih seiras dengan Emgrand L gril hadapan dan gril bampar yang sangat besar dengan elemen mesh, memberikan imej seakan huruf-X persis model-model Lexus.

    Geely Binyue akan terima facelift di China – 1.5L Turbo 4-silinder 181 PS, rekaan Energy Storm lebih garang

    Kluster lampu utama hadapan juga dirombak menampilkan rupa yang lebih tajam dan nipis, disertakan dengan jalur LED bina dalam rekaan baharu untuk lampu nyalaan siang. Manakala garis beralun pada penutup bonet hadapan sebelum ini juga telah diolah menampilkan garis lebih tegak, serta diberikan liang tambahan di atasnya.

    Pada profil sisi, setiap garis badan pada versi baharu ini nampak masih kelihatan sama seperti Binyue atau Binyue Pro sedia ada. Cuma untuk perapi krom pada bawah cermin tingkap, ia direka lebih panjang ke hadapan seakan ekor untuk cermin sisi.

    Model facelift baharu ini menampilkan rombakan rekaan yang lebih besar pada bahagian belakang. Lampu belakang SUV kompak ini menampilkan rekaan yang lebih nipis, dan ia kini merentangi sepenuhnya pintu hatch belakang dengan perumah nombor pendaftaran telah dialihkan ke bawah.

    Bampar juga direka semula dengan lebih garang, menampilkan reflektor yang kini diposisikan menegak dan lebih tinggi pada perumah berbentuk seperti liang ambilan udara. Empat tip ekzos pada bampar masih lagi dikekalkan, dengan diffuser yang direka semula untuk disesuaikan dengan imej baharu.

    Dalam dokumen yang sama, model facelift terbaharu Geely Binyue di China ini nampaknya menerima enjin yang berlainan. Enjin 3G15TD 1.5 liter tiga-silinder turbo GDI berkuasa 177 PS/255 Nm pada Binyue/Proton X50 Flagship sedia ada tidak lagi digunakan, sebaliknya digantikan dengan enjin BHE15-EFZ 1.5L empat-silinder turbo berkuasa 181 hp.

    Persoalan kenapa model ini diberikan enjin lain, apa kotak gear yang digunakan atau apa perincian lain yang ditawarkan pada model baharu ini, semuanya kita perlu tunggu sehingga versi facelift terbaharu Geely Binyue tersebut diperkenalkan secara rasmi kelak. Anda rasa ada sebahagian perincian dari model baharu ini akan dibawa ke Proton X50 untuk versi facelift nanti? Bahagian mana yang anda rasa patut Proton ambil? Kongsikannya pada ruangan komen.

     
     
  • Honda City Hatchback RS e:HEV 2022 – harga diumum RM108k; hibrid i-MMD 109 PS/253 Nm, Honda Sensing

    Honda City Hatchback RS e:HEV 2022 – harga diumum RM108k; hibrid i-MMD 109 PS/253 Nm, Honda Sensing

    Selepas dua bulan model dengan enjin petrol sepenuhnya Honda City Hatchback dilancarkan, hari ini Honda Malaysia mengumumkan secara rasmi harga untuk varian paling sporty dijana unit rangkaian kuasa hibrid iaitu City Hatchback RS e:HEV. Model ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM107,783, termasuk pengecualian cukai jualan sehingga 30 Jun 2022.

    Seperti model baharu Honda yang lain, ia menerima perlindungan waranti selama lima tahun tanpa had perbatuan, serta diberikan servis percuma (kos upah sahaja) sebanyak lima kali.

    Jadi, ia secara rasmi dijual dengan harga RM20,000 lebih mahal berbanding model tertinggi versi petrol iaitu City Hatchback 1.5V. Berbanding model sedan City RS e:HEV pula, model dengan badan tanpa but yang lebih sporty ini adalah sekitar RM2,000 lebih mahal.

    City Hatchback hibrid ini digerakkan oleh unit rangkaian kuasa yang sama seperti versi sedan RS e:HEV. ia menerima unit rangkaian kuasa hibird i-MMD (intelligent-Multi Mode Drive) yang terdiri dari enjin 1.5 liter i-VTEC kitaran-Atkinson berkuasa 98 PS dan tork maksima 127Nm.

    Honda City Hatchback RS e:HEV 2022 – harga diumum RM108k; hibrid i-MMD 109 PS/253 Nm, Honda Sensing

    Ia digandingkan dengan dua motor elektrik iaitu unit motor generator (MGU) yang bertindak sebagai motor penghidup dan pengecas semula bateri hibrid, bersama satu lagi motor utama yang digelar sebagai Traction Motor.

    Tiada kotak gear konvensional diberikan pada sistem i-MMD ini kerana kebanyakkan masa termasuk semasa mula bergerak, tayar hadapan dipacu oleh Traction Motor berkenaan yang menyediakan 109 PS dan tork maksima 253 Nm bermula dari 0 rpm, manakala enjin petrol hanya bertugas untuk mengecas bateri lithium-ion.

    Namun ia masih diberikan transmisi kelajuan tunggal yang membolehkan enjin petrol memacu roda hadapan ketika cruising. Ini membolehkan City Hatchback RS e:HEV ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 175 km/j, dengan penggunaan bahan api 3.6 liter untuk setiap 100 km. Macam mana sebenarnya sistem i-MMD ini berfungsi? Anda boleh ketahuinya dalam artikel pandu uji kami terhadap City RS e:HEV versi sedan pada PAUTAN INI.

    Sebagai model yang paling sporty dan paling tinggi, City RS e:HEV diberikan imej agresif menerusi gril hadapan dan cermin sisi dalam kemasan hitam berkilat, perumah lampu kabus dengan elemen bersirip, serta rim 16-inci dalam kemasan dua-tona. Kelengkapan dari varian 1.5 V seperti lampu hadapan LED sepenuhnya bersama lampu kabus hadapan LED juga diberikan pada model RS ini.

    Honda City Hatchback RS e:HEV 2022 – harga diumum RM108k; hibrid i-MMD 109 PS/253 Nm, Honda Sensing

    Bahagian kabin model RS ini turut diberikan upholsteri gabungan kulit dan sued, set pedal aloi, pelapik bumbung hitam, pencahayaan merah pada suis kawalan pendingin hawa, serta paparan meter separa digital dengan skrin instrumen tujuh-inci.

    Serlahan jahitan benang merah turut diberikan pada roda stereng, papan pemuka, sarung tuil gear bagi memberikan imej lebih sporty pada kabin versi RS ini. Malah, tempat duduk City Hatchback RS ini juga diberikan sedikit fabrik berwarna merah pada setiap sisi tempat duduk hadapan, berbanding hitam sepenuhnya pada sedan RS.

    Juga sama seperti sedan, hanya model RS diberikan brek parkir elektronik dan brek cakera pada roda belakang (tuil manual biasa dan brek dram pada roda belakang untuk model petrol). Walau bagaimanapun, hanya varian RS pada City Hatchback ini yang menerima liang pendingin hawa belakang. Pada model sedan, liang penghembus udara sejuk untuk penumpang belakang berkenaan diberikan pada setiap varian secara standard.

    Bagi aspek keselamatan pula, model RS ini berkongsi kelengkapan dengan model petrol 1.5 V untuk perincian seperti enam beg udara dan juga kamera titik buta Honda LaneWatch. Namun model paling mahal ini ditambah dengan pakej sistem bantuan pemanduan termaju Honda Sensing.

    Sistem tersebut memberikan fungsi seperti brek kecemasan automatik dengan pengesan pejalan kaki, penunggang basikal dan kenderaan arah bentetangan, cruise control adaptif, bantuan pengekal tengah lorong dan lampu tinggi automatik.

    Model ini juga menerima servis Honda Connect yang memberikan fungsi seperti pengesan pelanggaran dan penggera automatik, amaran kelajuan dan geofencing, pengesan lokasi kereta dan juga panggilan kecemasan. Sistem ini turut boleh dihubungkan kepada aplikasi pada telefon pintar membolehkan pemilik memeriksa status kenderaan mereka, mengawal pelbagai fungsi dalam jarak jauh serta pengingat untuk servis seterusnya.

    GALERI: Honda City Hatchback RS e:HEV 2022

     
     
  • UMW Toyota jual 7,528 kenderaan pada Januari 2022 – 40% jualan Corolla Cross adalah daripada model hibrid

    UMW Toyota jual 7,528 kenderaan pada Januari 2022 – 40% jualan Corolla Cross adalah daripada model hibrid

    UMW Toyota Motor (UMWT) yang kini merupakan jenama bukan nasional nombor satu di Malaysia (enam tahun sebelum ini cuba berada di tempat kedua) telah memulakan tahun 2022 dengan baik apabila berjaya menjual 7,528 buah kenderaan Toyota dan Lexus pada bulan Januari 2022, sekaligus mencatat 96% peningkatan berbanding bulan sama tahun lepas (3,845 unit).

    Syarikat itu memberitahu, Vios adalah model paling laris dalam kategori kenderaan penumpang, dengan mencatat 28% daripada jualan keseluruhan. Jumlah besar datang daripada kenderaan komersial, termasuklah trak pikap, yang mana pesaingnya iaitu Honda tidak mempunyai sebarang model jenis tersebut. Hilux menyumbang 38% daripada jumlah jualan bulan lepas.

    Berkenaan dengan Corolla Cross Hybrid pemasangan tempatan (CKD) yang baru saja diperkenalkan 14 Januari lalu, UMWT memberitahu, ia telah mencatat 40% daripada keseluruhan jualan Corolla Cross, sementara selebihnya adalah daripada model enjin biasa. Jumlah 40% tersebut, bagi sebuah model hibrid sebenarnya adalah tinggi, dan kita masih perlu melihat sama ada UMWT boleh mengekalkan momentum tersebut pada masa hadapan.

    UMW Toyota jual 7,528 kenderaan pada Januari 2022 – 40% jualan Corolla Cross adalah daripada model hibrid

    Jika melihat kepada Honda, iaitu satu jenama yang cukup konsisten dengan pengenalan model hibrid di Malaysia, mereka cuma menjual tidak lebih daripada 10% versi hibrid bagi sesebuah model. Satu lagi perbezaan adalah Corolla Cross Hybrid yang berharga RM136,550 diletakkan sebagai varian paling tinggi sementara Honda kadang-kadang meletakkan model hibrid di tengah-tengah (City RS e:HEV bagaimanapun diletakkan sebagai varian paling tinggi).

    UMWT yakin dengan nilai jualan semula model hibrid mereka, dengan menyatakan bahawa baki model hibrid sebelum ini, iaitu Camry Hybrid adalah lebih tinggi berbanding varian petrol sedan segmen D tersebut.

     
     
  • GALERI: Kia Carnival 2022 di Malaysia – satu varian 2.2D, GUV 11-tempat duduk, berharga RM196,341

    GALERI: Kia Carnival 2022 di Malaysia – satu varian 2.2D, GUV 11-tempat duduk, berharga RM196,341

    Mahu dikenali sebagai Grand Utility Vehicle (GUV) dan bukannya Multi Purpose Vehicle (MPV), Kia Carnival 2022 telah pun mula dibuka tempahan di pasaran negara ini pada Disember lalu dengan harga RM196,341 dan dilancarkan secara rasminya bulan lalu. Ia hanya ditawarkan dengan varian tunggal 2.2D dengan 11-tempat duduk.

    Model import sepenuhnya (CBU) yang dibawa masuk dari negara kelahirannya, Korea Selatan, ini turut menerima 50% pengecualian cukai sehingga 30 Jun 2022, juga didatangkan dengan waranti selama lima tahun atau 100,000 km bersama servis penyelenggaraan percuma lima-tahun/100,000 km. Difahamkan produksi bagi model pemasangan tempatan (CKD) hanya akan bermula pada Mei 2022.

    Carnival 2022 ini diberikan enjin 2.2 liter turbodiesel Smartstream yang mampu menghasilkan kuasa 199 hp (202 PS) pada takat 3,800 rpm dan tork maksima 441 Nm bermula 1,750 hingga 2,750 rpm. Kuasa dihantar kepada kotak gear automatik lapan-kelajuan bagi memacu roda hadapan.

    GALERI: Kia Carnival 2022 di Malaysia – satu varian 2.2D, GUV 11-tempat duduk, berharga RM196,341

    Antara kelengkapan standard yang diberikan untuk Kia Carnival pasaran Malaysia ini termasuk lampu hadapan projektor LED berkembar bersama lampu nyalaan siang LED, lampu kabus LED, bersama lampu kombinasi belakang dan lampu kabus belakang yng masih mneggunakan mentol biasa.

    Selain itu, ia turut didatangkanh dengan lampu dan pengelap cermin automatik dan rim 18-inci jejari-Y bersama tayar 235/60R18. Carnival generasi baharu untuk pasaran Malaysia ini juga menerima logo baharu Kia yang diletakkan pada bonet, pintu tailgate, penutup tengah rim dan juga pada beg udara roda stereng.

    Bagi kabinnya pula, ia menerima papan pemuka yang direka bersama konsol tengah tinggi, pemilih gear jenis tombol putar serta skrin sesentuh 12.30-inci untuk sistem infotainmen, dengan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay. Untuk panel instrumen, ia menggandingkan meter analog bersama paparan pelbagai info dengan skrin TFT-LCD 4.2-inci.

    GALERI: Kia Carnival 2022 di Malaysia – satu varian 2.2D, GUV 11-tempat duduk, berharga RM196,341

    Untuk konfigurasi tempat duduk, 11-kerusi berkenaan disusun dalam empat barisan iaitu 2-3-3-3. Baris kedua dan baris ketiga boleh dilipat dengan nisbah 40:20:20, dengan tempat duduk tengah untuk kedua-dua baris tersebut direka sebagai tempat duduk sementara yang boleh disimpan bagi memberikan ruang laluan untuk berjalan merentasi baris. Kerusi baris akhir adalah kerusi jenis bench yang boleh dilipat bagi memberikan lebih ruang kargo.

    Kelengkapan lain yang turut diberi adalah sistem kemasukan tanpa kunci bersama butang penghidup enjin, kawalan pendingin hawa tiga zon, tempat duduk hadapan larasan kuasa, balutan kulit tiruan Saddle Brown, pengecas telefon pintar Qi tanpa wayar, enam pembesar suara, sistem kamera 360 darjah serta pintu gelangsar dan pintu but bukaan kuasa tanpa sentuhan.

    Bagi aspek keselamatan, ia dilengkapi enam beg udara, kawalan stabiliti, cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix pada baris kedua, penderia parkir hadapan dan belakang, kamera pemantau 360-darjah, pemantau titik buta dan amaran lintasan trafik belakang. Walau bagaimanapun, model ini tidak diberikan sebarang sistem bantuan pemandu seperti brek kecemasan automatik (AEB) atau Adaptive Cruise Control.

    Enam warna badan ditawarkan untuk Kia Carnival ini iaitu Snow White Pearl, Silky Silver, Aurora Black Pearl, Panthera Metal, Astra Blue dan Flare Red. Kami juga telah memandu uji GUV 11-tempat duduk ini yang boleh dikatakan memiliki imej luaran yang menarik, anda boleh membawa ulasan tersebut menerusi PAUTAN INI.

     
     
  • Toyota bZ4X tiba di Malaysia pada 2023 – SUV elektrik penuh dengan jarak gerak 460 km, sekitar RM250k?

    Toyota bZ4X tiba di Malaysia pada 2023 – SUV elektrik penuh dengan jarak gerak 460 km, sekitar RM250k?

    Selepas kerajaan mengumumkan pengecualian duti dan cukai terhadap kenderaan elektrik (EV) selama dua tahun bermula tahun ini, pengeluar-pengeluar automotif mula membuat perancangan bagi membawa model-model EV mereka ke sini secepat mungkin. Namun bukan semuanya akan dilancarkan tahun ini, kerana ada juga jenama yang tidak terburu-buru dengan pengumuman tersebut.

    Antaranya ialah Toyota – SUV elektrik penuh terbaharu mereka iaitu bZ4X sah akan dilancarkan di Malaysia, tetapi hanya akan tiba di sini sekitar 2023 nanti. Namun model dari divisi mewah mereka iaitu Lexus UX 300e akan tiba lebih awal dan bakal dilancarkan lewat tahun ini.

    Toyota bZ4X merupakan model elektrik penuh pertama bukan sahaja dalam siri bZ (Beyond Zero), malah ia adalah model permulaan untuk pilihan model-model elektrik lebih luas yang bakal ditawarkan oleh Toyota selepas ini. Model berkenaan dihasilkan dalam versi pacuan hadapan dan juga pacuan semua roda, namun untuk pasaran Malaysia model mana yang bakal di bawa masih belum diperincikan.

    Toyota bZ4X tiba di Malaysia pada 2023 – SUV elektrik penuh dengan jarak gerak 460 km, sekitar RM250k?

    Bagi bZ4X pacuan hadapan, ia digerakkan oleh motor elektrik tunggal berkuasa 204 PS (201 hp atau 150 kW) membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.4 saat. Manakala untuk model pacuan semua roda, ia diberikan dua motor elektrik, masing-masing untuk memacu gandar hadapan dan belakang, berkuasa 109 PS (107 hp atau 80 kW).

    Secara keseluruhan, model AWD ini dibekalkan dengan kuasa 218 PS (215 hp atau 160 kW), membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.7 saat. Namun kedua-duanya menerima bateri 71.4 kWj yang sama, dengan jarak gerak sekitar 460 km untuk sekali cas. Ia boleh dicas semula menggunakan pengecas AC sehingga 6.6 kW dan pengecas DC sehingga 150 kW.

    Toyota bZ4X tiba di Malaysia pada 2023 – SUV elektrik penuh dengan jarak gerak 460 km, sekitar RM250k?

    Selain dari spesifikasi, sebarang petunjuk berkenaan harga juga masih lagi samar. Di UK, Toyota bZ4X ini dijual dalam empat kemasan, dengan harga bermula £41,950 (RM238,000) untuk varian Pure, diikuti dengan varian lebih baik Motion, dijual pada harga £45,750 (RM259,000).

    Dengan insentif pengecualian cukai oleh kerajaan, kita boleh jangkakan bahawa Toyota bZ4X ini mungkin akan dijual pada harga sekitar RM250k di Malaysia kelak. Namun untuk petunjuk lebih jelas, mungkin kita perlu tunggu pelancaran bZ4X di pasaran Thailand yang dijadualkan tahun ini, yang mungkin akan menampilkan spesifikasi hampir sama untuk model pasaran Malaysia.

     
     
  • MSF SuperMoto Pusingan 3 — Hafizh Syahrin dan Azlan Shah pamer saingan sengit di Litar Tangkak

    MSF SuperMoto Pusingan 3 — Hafizh Syahrin dan Azlan Shah pamer saingan sengit di Litar Tangkak

    Litar Tangkak hujung minggu lalu menyaksikan pertembungan sengit antara pelumba Hafizh Syahrin dan Azlan Shah dalam Pusingan 3 Siri MSF SuperMoto 2021-2022, yang mengatasi kehangatan cabaran daripada pelumba SuperMoto terkenal Malaysia, Daniel Haikal dan Khairi Zakaria.

    Ketika sesi latihan pada Sabtu dengan catatan masa tidak rasmi, masa terbaik dicatatkan oleh Hafizh Syahrin dengan 40.9 saat dalam litar dengan jarak 1.03 km itu, mengatasi masa terbaik oleh Gabit Salleh sebelum ini dengan catatan 41. 681 saat.

    Dengan pengalaman dalam MotoGP baru-baru ini, tidak sukar untuk menjangkakan Hafizh akan memberikan aksi meyakinkan seperti ini. Beliau yang menunggang jentera TM Racing SMX450, sebuah motosikal yang dibangunkan oleh TM Racing SpA dari Pesaro, Itali, dengan hanya 600 buah motosikal dihasilkan secara teliti.

    Dalam pusingan kelayakan, Daniel Haikal menjadi pelumba pertama yang mencatatkan bacaan masa di bawah 42 saat dengan memperoleh 41.677 saat, dan diikuti oleh Azlan Shah dengan 41.639 saat — hanya 0.04 saat di depan! Yang mengejutkan adalah Osama Abdrubeh Mutahhar dari kategori Advanced yang mencatatkan 41.953 saat. Beliau menjadi penunggang kategori berkenaan yang pertama yang juga mencatatkan masa bawah 42 saat. Hafizh yang bermula dari kedudukan terakhir menamatkan dengan masa 41.074 saat, menjadi rekod baru bagi litar berkenaan. Zhafir Zamani dalam kategori All Stars juga mengejutkan dengan 42.617 saat.

    MSF SuperMoto Pusingan 3 — Hafizh Syahrin dan Azlan Shah pamer saingan sengit di Litar Tangkak

    Perlumbaan 1 menyaksikan Azlan dengan jentera KTM mendahului di selekoh pertama, sebelum dipintas oleh Hafizh di selekoh kedua. Daniel Haikal bermula tidak cantik dan ketinggalan ketika di selekoh kedua, sebelum terpaksa berhempas pulas dengan aksi mendebarkan dalam usahanya untuk kembali mendaki tangga kedudukan.

    Azlan bagaimanapun cuba mengejar Hafizh, namun di pusingan ketujuh semua itu berakhir apabila brek depannya mula terlebih panas dan prestasinya terganggu. Ini membolehkan Daniel merapatkan kedudukan dengannya. Dan pada pusingan 15, mereka bertemu kedudukan yang saling hampir. Hafizh menamatkan perlumbaan dengan kelebihan 10 saat di hadapan.

    Bagi Perlumbaan kedua, pasukan Azlan telah memperbaiki masalah brek yang dihadapi. Sekali lag Hafizh bermula di depan, dan Azlan di sebelahnya, tetapi kali ini Osama berada di kedudukan ketiga di barisan pertama. Bagaimanapun, Osama tidak bermula dengan baik, dan bertembung secara fizikal dengan Daniel dan Khairi Zakaria yang mengapitnya, menyebabkan Osama hampir terjatuh di selekoh pertama.

    MSF SuperMoto Pusingan 3 — Hafizh Syahrin dan Azlan Shah pamer saingan sengit di Litar Tangkak

    Di depan, Azlan dan Hafizh saling bersaing di selekoh pertama — seterusnya memberikan persembahan dan saling mencabar yang mengujakan untuk ditonton. Daniel terus kekal di belakang mereka berdua dan cuba menghampiri di setiap pusingan.

    Bagi kategori Super Rookie pula, 17 pelumba hobi berentap, menjadikan jumlah penyertaan yang terbesar setakat ini. Pendahulu kejuaraan, Ng Hoi Yew #67 masih gagal mengatasi “cabaran” Litar Tangkak yang menghantuinya sejak Pusingan 2 sebelum ini. Philip Tang juga bermula dengan masalah, menyaksikan pelumba lain memintasnya dari awal sebelum kembali menunggang dengan bersungguh dan mengejar.

    Perlumbaan berkenaan dimenangi oleh anak jati Johor, James Ki. Walaupun dikenakan penalti kerana bermula awal dalam Perlumbaan 1, itu tidak menghalangnya untuk berada di depan, dan memberi saingan sengit kepada pemenang tempat kedua, Ahmad Farhan. Lee Yi Long juga sempat menunjukkan kemampuan sebenarnya dengan muncul pelumba di kedudukan ketiga.

    Keputusan rasmi

    All Stars Pro
    1. Hafizh Syahrin #55B, TM SMX450?
    2. Azlan Shah #25, KTM SMR450?
    3. Daniel Haiqal #99, Team KMTR All Stars, Husqvarna FS450

    All Star Legends
    1. Keith Chia #75, Team KMTR All Stars, Husqvarna FS450
    2. Oh Kah Beng #37, Most Fun Gym (MFG), KTM SMR 450

    Advanced
    1. Amy Nordin #4, Horizon Racing Team, Husqvarna FS450?
    2. Md Syafiq Asyraf #23, Team SuperSlide JD, Husqvarna FX450?
    3. Osama Abdrubeh Mutahhar #44, Husqvarna FS450

    Super Rookie
    1. James Ki #88, Most Fun Gym (MFG), Husqvarna FS450
    2. Ahmad Farhan #66, Team KMTR All Stars, Husqvarna FX350
    3. Lee Yi Loong #56, Del Racing Wee Biker, Husqvarna FS450

     
     
  • Sempadan Malaysia-Thai mungkin buka bulan depan?

    Sempadan Malaysia-Thai mungkin buka bulan depan?

    Akhbar Bangkok Post melaporkan bahawa pihak berkuasa Thailand kini sedang merangka pelan untuk membuka semula sempadan negara tersebut dengan Malaysia. Langkah itu dibuat untuk merancakkan semula sektor pelancongan dan ekonomi selatan Thai yang sebelum ini banyak bergantung terhadap pelancong dari Malaysia.

    Timbalan jurucakap kerajaan Rachada Dhnadirek berkata Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) dan pusat operasi kecemasan pelancongan dan sukan melibatkan pusat pemeriksaan sempadan Songhkla, Yala, Narathiwat dan Satun telah pun diberikan arahan oleh Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-cha.

    Pusat-pusat berkenaan kini diarahkan semula untuk menyediakan langkah-langkah pencegahan ketika pandemik dalam persediaan untuk membuka semula sempadan Malaysia-Thailand mengikut dasar kerajaan berkenaan gelembung perjalanan antara Malaysia dan Thailand.

    Di bawah polisi berkenaan, pelancong dari Malaysia akan dibenarkan untuk masuk ke Thailand di bawah skim “uji dan pergi”, tanpa perlu dikenakan kuarantin ketika tiba di sana. Walau bagaimanapun, pelawat masih perlu melepasi dua ujian RT-PCR selepas tiba di Thailand.

    Sebelum sempadan dibuka semula, agensi-agensi Thailand akan menyediakan proses imigrasi, ujian, hotel dengan standard SHA+ dan perniagaan dengan Tetapan Bebas Covid. Ia termasuk pengangkutan awam, tempat-tempat pelancongan, restoran dan kedai serbaneka, kata Dr Suthep Phetmak, Ketua Inspektor yang ditugaskan di Zon Kesihatan Awam 12.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025