Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Zero Motorcycles FXE 7.2 – supermotard elektrik 46 hp

    Zero Motorcycles FXE 7.2 – supermotard elektrik 46 hp

    Zero Motorcycles yang sudah mempunyai beberapa model motosikal elektrik dalam barisan produk mereka kini memperkenalkan satu lagi model baru iaitu FXE 7.2. Ini adalah sebuah motosikal elektrik berbentuk supermotard, dengan harga bermula daripada 11,795 USD (RM49,546).

    Untuk makluman, FXE direka dengan kerjasama Huge Design SF, iaitu sebuah syarikat rekaan industri yang juga terlibat dengan rekaan barangan seperti GoPro dan pelbagai lagi. Ia juga kini adalah produk paling mampu milik yang ditawarkan oleh Zero Motorcycles.

    Menggunakan motor elektrik brushless Z-Force 75-5 penyejukan udara, FXE mampu menghasilkan kuasa yang bersamaan dengan 46 hp pada 4,300 rpm dan 106 Nm tork. Laju maksimum dihadkan kepada 137 km/j dan apabila ditunggang dalam mod bandar, ia boleh memberikan jarak gerak sehingga 165 km sementara apabila digunakan di lebuh raya, ia berkurang menjadi 97 km (90 km/j).

    Bateri lithium ion Z-Force yang digunakan pada motosikal ini mempunyai kapasiti 7.2 kWh, dengan kapasiti nominal 6.3 kWh. Jika menggunakan pengecas 650W biasa, ia mengambil masa 9.7 jam untuk penuh, melalui sumber 110 atau 220 volt, sementara apabila menggunakan pengecas aksesori pula ia mengambil masa 4.1 jam.

    Daripada motor elektrik, kuasa disampaikan kepada roda belakang melalui tali sawat karbon Poly Chain, dengan nisbah sprocket 18/90. Menurut Zero Motorcycles, apabila dibandingkan dengan motosikal enjin pembakaran dalaman biasa, FXE sama seperti motosikal yang memberikan penggunaan bahan api 0.44 l/100 km dalam tunggangan bandar dan 1.10 l/100 km dalam tunggangan atas lebuh raya.

    Kedua-dua suspensi hadapan dan belakang FXE menggunakan unit boleh laras sepenuhnya daripada Showa, dengan di hadapan terdapat fork USD 41 mm sementara di belakang pula unit monoshock dengan tabung piggy-back. Brek adalah daripada J Juan, dengan unit cakera di hadapan dan belakang, dan datang dengan sistem ABS two-channel secara standard.

     
     
  • MAA gesa kerajaan buka semula operasi sektor automotif kerana industri kini sedang terjejas teruk

    MAA gesa kerajaan buka semula operasi sektor automotif kerana industri kini sedang terjejas teruk

    Selepas hampir sebulan setengah Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) berlangsung seluruh negara bermula 1 Jun lalu kerana angka jangkitan wabak Covid-19 yang meningkat, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) membuat rayuan agar kerajaan membenarkan sektor automotif negara beroperasi semula di negeri-negeri yang masih berada Fasa 1 dan 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Menurut MAA, industri automotif negara sangat bergantung kepada pasaran domestik, jadi dengan penghentian operasi produksi dan juga pengedaran produk automotif (yang dirancang akan bermula semula pada Fasa 2 PPN) dan juga jualan kenderaan akan mendatangkan implikasi yang besar kepada seluruh ekosistem automotif negara.

    Presiden MAA Datuk Aishah Ahmad menyatakan bahawa keseluruhan rantaian pembekalan dalam sektor automotif telah terjejas teruk, khususnya dengan penutupan sepenuhnya operasi di negeri-negeri dalam Perintah Pergerakan Diperketat (PKPD) seperti di Selangor dan Kuala Lumpur. “Maklum balas yang diterima dari banyak ahli kami menunjukkan operasi perniagaan walaupun di negeri bukan PKPD kini terjejas kerana ganguan rantaian bekalan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan.

    MAA gesa kerajaan buka semula operasi sektor automotif kerana industri kini sedang terjejas teruk

    Persatuan berkenaan menyatakan bahawa kesan dari pemberhentian operasi kilang automotif, bengkel dan pusat pengedaran alat ganti di Selangor dan Kuala Lumpur akan memberikan kesan yang sangat serius. MAA juga menegaskan bahawa semakin lama operasi dihentikan, semakin besar impak yang akan ditimbulkan pada industri automotif dan negara.

    Menurut MAA lagi, sementara syarikat-syarikat mungkin terkesan dari kehilangan pendapatan, keuntungan, pasaran eksport dan penutupan pelbagai perniagaan, kerajaan juga akan kerugian dalam aspek mengutip duti eksais, duti import, cukai jualan dan cukai jalan kenderaan bermotor yang lebih rendah.

    Tambahnya lagi, Selangor dan Kuala Lumpur mewakili hampir 50% jumlah keseluruhan industri (TIV) Malaysia setahun, kerana banyak syarikat-syarikat automotif utama untuk produksi kenderaan dan komponen terletak di dua negeri ini. Malah, terdapat ahli MAA yang hanya mempunyai satu-satunya pusat atau pusat pengedaran utama (untuk kenderaan dan alat ganti) yang terletak di Selangor dan KL.

    Oleh itu, persatuan berkenaan merayu agar kerajaan membenarkan sektor automotif seperti bengkel dan pusat pengedaran untuk kenderaan penumpang/komersil dan juga perniagaan alat ganti untuk beroperasi semula segera, dengan mengambil kira kapasiti tertentu dan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat di negeri-negeri di bawah PKPD serta negeri di bawah Fasa 1 dan Fasa 2 PPN.

    MAA turut menyebut bahawa pembukaan semula bengkel automotif dan pusat alat ganti di negeri-negeri PKPD adalah sesuatu yang perlu dibuat segera, kerana dengan penutupan yang berterusan akan menyebabkan kesukaran besar kepada semua pengguna, dalam masa yang sama mungkin akan membahayakan keselamatan mereka yang terus menggunakan kenderaan yang rosak atas jalan raya kerana tiada bengkel dan pusat alat ganti yang dibuka, sekaligus turut membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

    Persatuan tersebut juga memohon agar kerajaan membuka pelabuhan dua atau tiga hari seminggu bagi proses menerima dan menyimpan kargo bagi sektor automotif agar tidak berlaku kesesakan, sama seperti yang dipraktikan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

     
     
  • Mercedes-AMG SL R232 – bahagian dalam didedah

    Mercedes-AMG SL R232 – bahagian dalam didedah

    Kempen teaser untuk Mercedes-AMG SL baru diteruskan lagi dengan terbaru, pengeluar dari Jerman itu menunjukkan pula bahagian dalam model R232 ini. Menurut syarikat itu, bahagian dalam ini menggabungkan geometri analog dengan dunia digital, dan dipanggil sebagai “hyperanalogue.”

    Berkenaan geometri, rekaan pelik pada papan pemuka SL R231 sebelum ini telah diganti dengan rekaan lebih simetti yang dikatakan mendapat inspirasi daripada kapal terbang. Ia mempunyai rekaan seperti sayap di bahagian tepi dan kemudiannya dilengkapkan dengan corong pendingin hawa seperti turbin jet.

    Inspirasi yang sama turut digunakan pada panel pintu, dengan rekaan yang bersambung dengan papan pemuka, untuk mewujudkan rasa seperti di dalam kokpit. Pada kedua-dua pintunya, anda akan menemui butang kawalan tempat duduk dan pemegang yang hampir sama seperti EQS baru, serta penutup besi berlubang untuk pembesar suara Burmester.

    Syarikat ini juga menerapkan beberapa ciri yang lebih memberikan fokus kepada pemandu, seperti panel instrumen digital 12.3 inci yang mempunyai pelindung di atasnya supaya pemandu dapat melihat informasi yang terpapar dengan lebih jelas. Kemudiannya, skrin sesentuh di tengah pula boleh dilaras secara elektrik untuk mengelakkan ia silau apabila terkena cahaya matahari.

    Skrin sesentuh ini disambungkan dengan sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) generasi kedua, sama seperti S-Class baru. Disebabkan itu, grafiknya adalah lebih terang dan mempunyai pelbagai fungsi seperti menu Performance dan Track Pace yang mengetengahkan lagi ciri sporty model SL.

    Konsol tengah pula kelihatan hampir sama seperti AMG GT, serta GT Coupe 4-pintu, kerana ia menggunakan bentuk V yang bersambung dengan skrin di atasnya. Walaubagaimanapun, tiada butang khas untuk melaras fungsi khas kenderaan tertentu pada konsol tengah ini, dan pemandu perlu melakukannya melalui butang di stereng, bawah skrin sesentuh atau skrin sesentuh itu sendiri.

    Mercedes-AMG SL R232 – bahagian dalam didedah

    Seperti yang boleh dijangka, bahagian kabin model baru ini diperkemas dengan pelbagai bahan premium dan pelanggan diberikan pelbagai lagi pilihan dalam katalog. Tempat duduk sports atau prestasi boleh dipadankan bersama kulit Nappa satu atau dua tona, dan jahitan sama ada berbentuk berlian atau gentian mikro Dinamica dengan jahitan kontras warna kuning atau merah. Terdapat juga lampu suasana 64 warna serta head-up display sebagai pilihan tambahan.

    SL baru ini membawa semula tetapan tempat duduk 2+2 yang sebelum ini digunakan pada R129 tahun 1989, dan menurut pengeluar itu, tempat duduk belakang boleh digunakan oleh manusia sebenar dengan ketinggian sehingga 1.5 meter. Jika tidak mahu menggunakannya sebagai tempat duduk, pemilik boleh memasang penghadang angin untuk menghalang angin daripada masuk ke bahagian belakang ini dan pergi ke leher penumpang hadapan.

    Satu lagi ciri yang dibawa semula adalah bumbung jenis fabrik, selepas beberapa generasi sebelum ini menggunakan bumbung jenis besi, sementara bahagian-bahagian lain kenderaan adalah serba baru, dengan rekaan yang lebih ringan. R232 juga akan menjadi SL pertama yang mendapat sistem pacuan semua roda 4Matic+, dengan pilihan enjin yang berkemungkinan adalah unit enam silinder dan lapan silinder.


    GALERI: Spyshot Mercedes-AMG SL R232 lapan silinder

    GALERI: Spyshot Mercedes-AMG SL R232 enam silinder

     
     
  • Kia Carnival Hi Limousine dapat pilihan 4-tempat duduk ala-Lexus LM, pengurut kaki – RM317k di Korea

    Kia Carnival Hi Limousine dapat pilihan 4-tempat duduk ala-Lexus LM, pengurut kaki – RM317k di Korea

    Tahun lalu, Kia telah memperkenalkan model Carnival Hi Limousine untuk pasaran negaranya, Korea Selatan, yang ditambah dengan rekaan bumbung tinggi, ruang kepala yang dipertingkatkan (291 mm) dan juga lebih mewah. Kini, MPV terbabit menerima varian baharu yang diberi nama Premium Lounge, model empat-tempat duduk yang lebih kurang macam Toyota Alphard Royal Lounge dan Lexus LM.

    Sama seperti MPV buatan Jepun terbabit, barisan ketiga bagi varian Premium Lounge telah dikeluarkan bagi membolehkan tempat duduk belakang diposisikan lebih belakang, sekali gus memberikan ruang kaki yang lebih luas dan selesa. Bukan itu sahaja, ia diberikan fungsi Premium Relaxation Seat , larasan elektrik sepenuhnya dengan material berkualiti tinggi bagi menyalurkan keselesaan yang lebih jitu buat penumpang.

    Selain itu, ia turut ditambah dengan upholstery kulit Nappa dengan quilt tiga-dimensi untuk tempat duduk belakang. Konsol tengah juga diletakkan di antara tempat duduk terbabit, dengan meja boleh lipat dan juga skrin sesentuh tujuh-inci untuk mengawal larasan tempat duduk, kawalan suhu, pencahayaan kabin, monitor di atas kepala 21.5-inci dan juga pengurut kaki.

    Model Premium Louncg didatangkan dengan pengurut kaki, yang dibangunkan hasil kerjasama syarikat penjagaan kesihatan Korea, Hu-Tech. Bukan itu sahaja, ruang but kini menampilkan rak menggantung pakaian dengan pencahayaan LED termasuk kotak penyimpanan barang di bawahnya. Apa yang membezakannya dengan model Lexus ialah kabin ala gaya limosin dipisahkan antara seksyen hadapan dan belakang.

    Model serba mewah ini juga ditawarkan dengan kos yang lebih tinggi mencecah 24.12 juta won (RM88,000) berbanding model tujuh-tempat duduk, menjadikan harga yang ditawarkan ialah 86.83 juta won (RM317,000).

    Ciri tambahan bagi model Premium Lounge ini juga senada dengan model 2022 yang lain termasuk penggunaan logo Kia yang baharu, selain diberikan bantuan parkir kawalan, brek kecemasan sendiri dengan undur dalam kelajuan perlahan, kamera kawalan pandangan 360-darjah, bilah pengelap cermin automatik dan sistem pendingin hawa dengan fungsi mould-suppressing after-blow.

    Selain itu, ciri baharu yang turut diberikan termasuklah varian Noblesse Outdoor yang menyingkirkan larasan kuasa dan menambah jarak kepanjangan bagi tempat duduk barisan kedua. Ia membolehkan kerusi ditolak ke hadapan, membolehkan penumpang yang berketinggian sehingga 180 cm untuk berbaring di bahagian bonet – dilengkapi dengan tilam udara yang merupakan salah satu daripada pakej aksesori yang dipertingkatkan, termasuk juga dengan tirai dan khemah sebagai penutup bahagian tersebut.

     
     
  • Hyundai Elantra N didedahkan – sedan prestasi dengan enjin 2.0L Turbo, berkuasa 280 PS/392 Nm!

    Hyundai Elantra N didedahkan – sedan prestasi dengan enjin 2.0L Turbo, berkuasa 280 PS/392 Nm!

    Selepas teaser dengan imej luaran tanpa sebarang penyamaran disiarkan bulan lalu, kini sedan berprestasi tinggi dari Korea, Hyundai Elantra N didedahkan sepenuhnya untuk peringkat global. Sedan pertama dalam barisan model N sebenar Hyundai ini bukan hanya menerima enjin yang lebih berkuasa, malah menerima pelbagai tingkat taraf casis yang ekstensif berbanding Elantra standard.

    Seperti juga hot-hatch i30 N dan Veloster N, serta hot-SUV Kona N, Elantra N menerima enjin 2.0 liter empat silinder turbo dengan sistem suntikan terus yang menghasilkan 280 PS dan tork maksima 392 Nm. Berbanding enjin sebelum ini, ia menerima pengecas turbo dengan kipas turbin 5 mm lebih besar iaitu 52-mm, bersama bentuk dan material pada lock silinder yang dioptimakan.

    Ini membolehkan enjin tersebut bukan sahaja lebih tahan, malah memberikan prestasi lebih baik dengan membekalkan tork maksima dengan lengkuk rata bermula 5,500 rpm. Enjin berkenaan digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik DCT lapan-kelajuan, dan pada pasaran tertentu ia masih menerima pilihan kotak gear enam-kelajuan manual.

    Hyundai Elantra N didedahkan – sedan prestasi dengan enjin 2.0L Turbo, berkuasa 280 PS/392 Nm!

    Model yang dilengkapi kotak gear DCT turut diberikan fungsi N Grin Shift (NGS) yang memberikan lebih tujahan boost selama 20 saat dengan satu sentuhan butang bagi menghasilkan kuasa maksima 290 PS. Dengan sistem Launch Control, ia boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.3 saat, sebelum mencatatkan kelajuan maksima 250 km/j. Manakala untuk model manual, ia diberikan mod rev-match automatik membolehkan gear diturunkan dengan agresif tanpa memerlukan kemahiran heel & toe.

    Seperti juga i30 N, Elantra menerima e-LSD pada kotak gear bagi membolehkan kedua-dua roda hadapan ‘mengigit’ permukaan tar dengan lebih cengkaman ketika mengambil selekoh bagi mengurangkan understeer. Buat pertama kali, struktur Integrated Drive Axle (IDA) yang direka pada kereta rali Hyundai i20 WRC dipindahkan ke model produksi jalan raya menerusi Elantra N ini.

    Menerusi IDA, komponen yang terdiri dari drive shaft, hab roda dan galas roda dihasilkan secara bersepadu, serta menampilkan knuckle yang diperbuat daripada aluminium. Ini membolehkan bukan sahaja ia 1.7 kg lebih ringan, malah boleh menahan g-force lateral yang lebih ekstrem, menurut Hyundai.

    Hyundai Elantra N didedahkan – sedan prestasi dengan enjin 2.0L Turbo, berkuasa 280 PS/392 Nm!

    Sebagai sebuah sedan, Elantra N ini masih dihasilkan bagi membolehkan ia membawa keluarga dengan selesa walaupun berada dalam liga kereta prestasi. Oleh itu selain dari sistem suspensi adaptif yang membolehkan ia ditala untuk memberikan keselesaan, ia juga diberikan bush suspensi hadapan jenis dual compound yang sesuai digunakan sama ada untuk pemanduan prestasi dan juga keselesaan ketika membawa penumpang.

    Elantra N bukan hanya menerima kuasa yang lebih besar. Hyundai N memberikan pelbagai ubahsuai bagi membolehkan kerangka badan model berprestasi tinggi ini lebih keras berbanding model biasa bagi memberikan pengendalian dan rasa yang lebih baik.

    Antara perkara yang disentuh termasuk gegelang strut empat poin pada bahagian cagak atas suspensi hadapan serta pendakap-pendakap penguat pada subframe hadapan, terowong tengah, tengah dan belakang bawah badan. Satu bar penguat istimewa berwarna merah turut dipasang (boleh dilihat apabila but belakang dibuka) antara cagak suspensi kiri dan kanan untuk menambah ketegaran badan Elantra N ini.

    Hyundai Elantra N didedahkan – sedan prestasi dengan enjin 2.0L Turbo, berkuasa 280 PS/392 Nm!

    Untuk brek, Elantra N menerima cakera bersaiz 360 mm di hadapan, angkup berwarna merah dengan logo N bersama pad brek geseran tinggi. Plat pelindung di belakang cakera brek tersebut bukan sahaja untuk mengelakkan ia terkena debu dan kotoran lain, malah direka bagi membolehkan udara dialirken ke cakera berkenaan dan disejukkan secara maksimum.

    Sedan ini diberikan rim 19-inci dengan rekaan tersendiri, berbeza dari i30 N. Ia juga merupakan model pertama Hyundai N yang diberikan tayar Michelin Pilot Sport 4S dengan saiz 245/35ZR19, berbanding tayar Pirelli P Zero bagi model-model sebelum ini.

    Rupa asas Elantra generasi ketujuh ini sebenarnya sudahpun direka garang. Imej agresif tersebut diperkuatkan lagi pada rekaan Elantra N ini menerusi muka yang diilhamkan dari topi keledar perlumbaan, bersama liang udara sisi dan bawah yang lebih besar, skirt sisi dengan diffuser udara, serta bahagian diffuser pada bampar belakang yang lebih menyerlah dan menempatkan dua tip ekzos oval bersaiz besar di kiri dan kanan.

    Manakala pada but belakang, ia dilengkapi dengan sayap yang dikenali sebagai ‘3 Brigde Spoiler’. Seperti model-model N penuh lain (kecuali Kona N), Elantra N ini terlebih dahulu tampil dalam warna hero Performance Blue seperti jentera lumba Hyundai Motorsport dalam WRC dan WTCR. Ia juga menerima serlahan merah terang dari spoiler bawah bampar hadapan, melalui skirt sisi, sehingga kemasan diffuser di belakang.

    Menurut Hyundai, kit aero pada sedan sport ini bukan hanya untuk cantik, ia juga mampu untuk menambah prestasi dengan mengalirkan udara lebih baik menerusi skirt sisi, manakala spoiler belakang pula memberikan downforce 125% lebih kuat ketika kelajuan maksima, serta dapat mengelakkan bahagian belakang dari terangkat dengan mengelakkan aliran udara melalui bucu belakang, sekaligus memberikan lebih kestabilan pada kelajuan tinggi.

    Pada bahagian kabin, rupa asas dari model Elantra biasa masih kelihatan. Model lebih liar ini menerima perincian unik Hyundai N seperti roda stereng, tombol gear dan set pedal sport. Pembeli turut ditawarkan dengan tempat duduk hadapan bucket N dengan emblem bernyala, yang bukan sahaja lebih ringan, malah ia juga membuatkan posisi duduk 10 mm lebih rendah serta memberikan ruang lutut penumpang belakang lebih luas kerana dihasilkan 50 mm lebih nipis.

    Hyundai Elantra N didedahkan – sedan prestasi dengan enjin 2.0L Turbo, berkuasa 280 PS/392 Nm!

    Pemandu menerima paparan meter digital sepenuhnya yang bukan sahaja memnerikan fungsi asas yang sama seperti Elantra standard, malah diberikan paparan grafik lebih garang bersama tambahan informasi pemanduan prestasi tinggi seperti suhu minyak pelincir dan cecair penyejuk, tork dan boost turbo.

    Untuk infotainmen, Elantra N ini menampilkan skrin 10.3-inci. Selain fungsi biasa yang boleh dijumpai pada model Elantra standard seperti hubungan Apple CarPlay dan Android Auto, skrin tengah ini mempunyai hubungan bersama aplikasi telefon pintar Hyundai N yang mampu memberikan analisis data pemanduan anda di litar serta membuat perbandingan masa setiap lap menerusi N Track Map.

    Juga seperti model-model N penuh lain, Elantra N menerima sistem Linear Variable Exhaust Valve yang memberikan bunyi ekzos dari tahap rendah sehingga tahap 100% agresif dengan bunyi tembakan ‘pop & crackle’. Malah menerusi sistem bunyi Bose, ia turut diberikan N Sound Equaliser yang menurut Hyundai memberikan bunyi enjin maya (atau palsu) yang lebih baik dengan empat tetapan iaitu Sport, High Performance, TCR (kereta lumba touring TCR) dan juga Custom.

    Walaupun telah didedahkan hampir kesemuanya, Hyundai masih belum mengumumkan harga dan tarikh bila Elantra N ini akan mula dijual. Ia dijangka akan mula ditawarkan di pasaran negara asalnya, Korea Selatan (dikenali sebagai Avante N) terlebih dahulu dan diikuti pasaran pada akhir tahun ini.

     
     
  • Kia Ceed 2022 facelift – imej rasmi terbongkar

    Kia Ceed 2022 facelift – imej rasmi terbongkar

    Kia merancang untuk mendedahkan model Ceed facelift 2022 hari ini di Eropah, namun beberapa imej rasminya telah pun terbongkar, menunjukkan tiga bentuk badan iaitu ProCeed shooting brake, hatchback lima-pintu biasa dan juga Ceed Sportswagon. Yang tidak kelihatan di sini ialah XCeed crossover.

    Ternyata pembaharuan yang dibuat untuk versi facelift agak ketara. Sebelum ini, tampil dengan lampu utama projektor tunggal yang dikelilingi oleh empat lampu nyalaan siang (DRL) LED. Kini, ia lebih konvensional dengan bentangan dua-lampu bersama DRL LED sebagai pemisah. Manakala kluster lampu utama lebih kurang sama, dengan “ekor” yang diposisikan ke atas.

    “Tiger nose” juga telah dipertingkatkan dan lebih menyerlah, dengan bahagian tengahnya diletakkan dua kepingan kemasan berasingan – satu kepingan kecil di atas dan satu lagi di bawahnya. Dua kepingan kemasan lain pula ditempatkan di corong pengambilan bawah, dan “corong pengambilan sisi” – yang sebelum ini secara menegak di bahagian sisi – kini dialirkan ke flank dan secara visual bagai disambung ke roda.

    Kemasan corong pengambilan bawah adalah berbeza untuk varian prestasi GT, yang ditunjuk pada ProCeed di sini. Ia hadir dengan kemasan merah, sama seperti model GT semasa, malahan serlahan merah juga diberikan pada skirt sisi. Lencana GT juga diletakkan pada gril, dan semua model turut diberikan logo Kia baharu.

    Untuk bahagian belakang Ceed, ia turut menampilkan rekaan lampu yang baharu. Kini ia dipenuhi dengan dot pada rekaan honeycomb dan rasanya gaya pencahayaan sebegini belum pernah dilihat sebelum ini. Logo Kia yang baharu pula ditempatkan di antara lampu tersebut.

    Bagi bentuk badannya, dari ketiga-tiga kereta yang ditunjukkan ini, kita dapat lihat penawaran varian yang bakal diberikan. Di mana ProCeed adalah versi GT, dan kebarangkalian digandingkan dengan enjin 1.6 T-GDi yang mampu memberikan kuasa 204 PS/265 Nm, dengan padanan kotak gear manual enam-kelajuan atau automatik dwi-klac tujuh-kelajuan. Manakala hatchback jingga pula merupakan kemasan GT-Line, sementara SW pula ialah versi plug-in hybrid.

    Model semasa SW PHEV diberikan enjin 1.6 GDI dengan DCT enam-kelajuan, digabungkan bersama motor elektrik 44.5 kW dan bateri polimer Li-ion 8.9 kWh. Menjadikan jumlah keseluruhan kuasanya mencecah 141 PS/265 Nm, dan jarak elektriknya didakwa mampu mencecah hingga 47 km.

     
     
  • Harley-Davidson Sportster S 2021 didedahkan — enjin 1,250 cc V-Twin, 121 hp, 127 Nm tork, sejukan cecair

    Harley-Davidson Sportster S 2021 didedahkan — enjin 1,250 cc V-Twin, 121 hp, 127 Nm tork, sejukan cecair

    2021 Sportster S – Scotland Photo Shoot

    Harley-Davidson telah mendedahkan model RH1250S Sportster S 2021, model kedua dalam barisan motosikal yang menggunakan enjin Revolution Max 1250T V-twin. Enjin berkenaan pertama kali digunakan pada Pan America 1250 2021 (yang dijual dari harga RM99,900 di Malaysia).

    Penggayaannya kekal dengan imej streetbike seperti yang pernah ditunjukkan oleh Harley-Davidson sebelum ini, dengan mambawa kembali penampila ala motosikal cruiser dari siri VR. Enjin berkenaan juga adalah yang terkini dari aspek teknologi. Dengan kapasiti 1,250 cc dan menghasilkan 121 hp pada 7,500 rpm dan 127 Nm tork pada 9,000 rpm. Ia juga memanfaatkan ciri DOHC, empat-injap setiap silinder dengan pacuan rantai dan variable valve timing (VVT).

    Suspensi pula menggunakan tetapan moden, dengan unit fork terbalik Showa 43 mm larasan penuh serta monoshock Showa di belakang, yang juga jenis larasan penuh. Brek depan dan belakang menggunakan brek hidraulik cakera tunggal, dengan bahagian depan menggunakan angkup empat-omboh, serta ciri angkup monoblock condong dengan ABS di selekoh sebagai standard.

    Saiz tayar digunakan ialah 17-inci di depan dan 16-inci di belakang, dengan saiz tayar 160/70 dan 180/70. Ketinggian pelana pula 753 mm, dengan kapasiti tangki minyak 11.8 liter, menjadikan beratnya ialah 228 kg. Kelengkapan lain yang ada termasuklah skrin TFT-LCD empat-inci dengan sambungan Bluetooth. Maklumat yang dipaparkan pula termasuk tunjuk arah. Kemudahan lain yang tersedia termasuk slot pengecas USB-C dan sistem lampu LED keseluruhannya. Tidak ketinggalan ialah sistem penggera.

    Empat mod tunggangan disediakan — Road, Sport, Rain dan mod Custom. Ada tiga pilihan warna ditawarkan, termasuk Vivid Black, Stone Washed White Pearl dan Midnight Crimson.

     
     
  • Program isi minyak guna RFID kini di 5 stesen Shell

    Program isi minyak guna RFID kini di 5 stesen Shell

    Bulan Mei lalu, Touch ‘n Go (TnG) — dengan kerjasama Shell Malaysia — mengumumkan akan mula menjalankan program Isian Semula TNG RFID di beberapa stesen Shell terpilih di Lembah Klang. Sebelum ia dilancarkan untuk pengguna umum, sistem bayaran tanpa sentuh itu kini telah masuk fasa percubaan di lima stesen Shell bermula semalam, dari 13 Julai hingga 12 Ogos nanti.

    Lima stesen yang terlibat itu ialah Shell Bandar Sri Menjalara, Shell Mint Hotel, Shell NKVE Damansara, Shell Taman Connaught dan Shell Taman Tun Dr Ismail. Pengguna yang terlibat dalam program percubaan ini akan menerima “cashback” bernilai RM20 dalam e-dompet mereka untuk mencuba pilihan pembayaran terbaru ini.

    Kaedah ini membolehkan pelanggan membuat bayaran untuk isian semula minyak di pam tanpa memerlukan interaksi dengan aplikasi di telefon atau sistem lain ketika itu — bayaran dibuat melalui e-dompet TnG yang dihubungkan kepada RFID.

    Pelanggan pertama sekali perlu mengaktifkan RFID Fuelling, untuk sekali sahaja. Cara gunanya juga mudah — buka e-dompet, tekan ikon Shell dan aktifkan butang isian semula. Dari situ, pengguna boleh memilih jumlah isian semula dan hubungkan dengan kad BonusLink untuk mendapat mata ganjaran. Akhir sekali, masukkan nombor enam-digit OTP yang diberikan dan pengaktifan pun selesai. Pelanggan hanya perlu memastikan jumlah dalam e-dompet mereka mempunyai baki mencukupi untuk isian semula itu.

    Program isi minyak guna RFID kini di 5 stesen Shell

    Bagi proses isian semula, pelanggan hanya perlu ke ruang pam spesifik yang ada tanda RFID, letak kenderaan dalam petak sepatutnya, lihat skrin LED (di atas atau di atas tanah, bahagian depan ruang tersebut). Sebaik sahaja pengimbas mengesan kenderaan anda, sistem akan “reserve” pam berkenaan, dan bila skrin memaparkan ikon hijau, pelanggan mempunyai 80 saat untuk memulakan proses isian semula tersebut.

    Selesai, transaksi berkenaan akan terpampang dalam History dalam e-dompet pelanggan. Apa berlaku jika pelanggan pam kurang daripada jumlah yang dimasukkan? Sebarang jumlah yang berbaki akan dikembalikan ke e-dompet pengguna.

    Untuk mendapatkan “cashback” RM20, mereka yang terlibat dalam program ujian ini perlu membuat sekurang-kurangnya dua transaksi Isian Semula RFID dan membelanjakan minumum RM10 setiap kali dalam tempoh sebulan ujian berkenaan berlansung. Mereka juga perlu kongsikan pengalaman mereka melalui satu kaji selidik ringkas melalui emel sebelum 15 Ogos.

     
     
  • Laluan ditutup, aliran kontra di Linkedua M’sia-SG

    Laluan ditutup, aliran kontra di Linkedua M’sia-SG

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan laluan di antara KM7.2 hingga KM8.5 (Arah Utara) di antara Tanjung Kupang dan Lima Kedai di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) ditutup selama tiga hari mulai jam 8 malam pada 14 Julai 2021 (Rabu) sehingga jam 6 pagi pada 16 Julai 2021 (Jumaat).

    Ia adalah bagi memberikan laluan untuk kerja-kerja pelancaran rasuk jambatan dan kerja berkaitan dilaksanakan oleh kontraktor Projek Pembangunan Gerbang Nusajaya di laluan terbabit.

    Walau bagaimana pun, aliran kontra akan diaktifkan di laluan terbabit bagi kelancaran trafik. Justeru, pengguna lebuhraya yang menghala ke Kuala Lumpur atau Johor Bahru dinasihatkan supaya merancang perjalanan mereka dengan menggunakan Aplikasi PLUS untuk mendapatkan maklumat trafik terkini melalui paparan CCTV yang disediakan.

    Para pengguna juga boleh mendapatkan bantuan pasukan PLUSRonda dengan menekan butang SOS pada aplikasi tersebut. Dalam masa yang sama, mereka juga dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan ketika melalui kawasan terbabit.

     
     
  • Vinfast buka pejabat operasi di Amerika dan Eropah, bakal jual kereta elektrik dari Vietnam di California

    Vinfast buka pejabat operasi di Amerika dan Eropah, bakal jual kereta elektrik dari Vietnam di California

    Jenama automotif dari Vietnam, Vinfast telah pun mengambil langkah yang besar dalam rancangannya untuk masuk ke pasaran Barat. Syarikat milik konglomerat paling besar di Asia Tenggara, Vingroup berkenaan kini mengumumkan sudahpun membukan pejabatnya di Amerika Utara dan juga di Eropah, seperti yang dilaporkan oleh Reuters.

    “VinFast telah pun mewujudkan pejabat wakil di lima pasaran antarabangsa dan bakal membuka bilik pameran di California. CEO VinFast USA sudahpun di pindahkan ke Amerika Syarikat dari Vietnam baru-baru ini,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Vingroup tersebut.

    Sebelum ini, VinFast telah dilaporkan akan dilancarkan di AS dan Kanada pada waktu yang sama, manakala Jerman, Perancis dan Belanda dinamakan sebagai pasaran Eropah yang berpotensi, dan disasarkan pada 2022.

    Vinfast buka pejabat operasi di Amerika dan Eropah, bakal jual kereta elektrik dari Vietnam di California

    Di Vietnam sendiri, model berkuasa petrol pertama mereka telahpun diperkenalkan pada tahun 2019, dan mereka berjaya menjual sebanyak 30,000 unit kereta pada tahun lalu dalam pasaran domestik. Syarikat tersebut belum lagi beroleh keuntungan, tetapi menyatakan pada April lalu bahawa mereka akan mempertimbangkan untuk menawarkan pelaburan awam di AS atau bergabung dengan syarikat pemerolehan tujuan khas (SPAC).

    VinFast akan menumpukan untuk menjual model-model elektrik sepenuhnya (EV) di barat. Ia mensasarkan jualan sebanyak 56,000 unit EV pada 2022, tetapi kemudiannya pengerusi Vingroup Pham Nhat Vuong memberitahu dalam mensyuarat agong tahunan bulan lalu bahawa ia akan dikurangkan kepada 15,000 unit kerana masalah bekalan cip yang terjejas secara global buat masa sekarang.

    Vinfast buka pejabat operasi di Amerika dan Eropah, bakal jual kereta elektrik dari Vietnam di California

    Dalam satu temuramah bersama Reuters April lalu, CEO VinFast USA, Van Anh Nguyen menyatakan bahawa syarikat mereka bergantung kepada skim pajakan bateri dan merancang untuk menjalankan kebanyakkan jualannya di AS secara dalam talian. Ini bermaksud VinFast akan mengurangkan kos kerana tidak perlu mewujudkan jaringan pengedarnya di pasaran tersebut.

    VinFast telah pun mendedahkan tiga SUV EV mereka pada Januari lalu. Model-model yang pada mulanya di gelar VF31, VF31 dan VF33 trsebut kini diberi nama VF e34, VF e35 dan VF e36. Menurut VinFast lagi model VF e35 dan VF e36 hanya akan dilancarkan pada Mac 2022 nanti. Perincian berkenaan tiga SUV tersebut boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    GALERI: VinFast VF e34

    GALERI: VinFast VF e35

    GALERI: VinFast VF e36

     
     
  • Jaguar Land Rover ramal jualan suku kedua 2021 50% lebih teruk dari jangkaan asal akibat krisis bekalan cip

    Jaguar Land Rover ramal jualan suku kedua 2021 50% lebih teruk dari jangkaan asal akibat krisis bekalan cip

    Jaguar Land Rover menjadi antara beberapa pengeluar terbaru yang menyuarakan kebimbangan terhadap kekurangan bekalan cip semikonduktor, dan memaklumkan serahan kenderaan pada suku kedua akan 50% lebih teruk berbanding jangkaan awalnya, lapor Automotive News Europe.

    “Kekurangan bekalan cip ketika ini sangat dinamik dan sukar diramal,” ujar JLR dalam satu kenyataan yang difailkan kepada bursa saham India oleh syarikat induk Tata Motors pada Selasa. “Masalah kapasiti struktural yang lebih meluas hanya akan dapat diselesaikan sekiranya pelaburan pembekal dalam kapasiti baru mula berjalan dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang. Jadi kami menjangkakan kekurangan bekalan cip akan berterusan hingga hujung tahun nanti dan mungkin juga lebih dari itu.”

    Pengeluar lain seperti Nissan, Hyundai dan Volkswagen juga menyuarakan amaran pengurangan stok dalam inventori berikutan krisis bekalan, yang bermula sejak Disember lalu ketika permintaan terhadap peranti elektronik peribadi naik mendadak disebabkan pandemik dan “lockdown” di seluruh dunia. Kebakaran kilang pengeluar utama di Jepun, cuaca sejuk di US serta sitausi kemarau berlanjutan di Taiwan memburukkan lagi keadaan.

    Gangguan bekalan ini telah menyebabkan penurunan angka pengeluaran kilang kereta di seluruh dunia, dengan jutaan kenderaan digugurkan daripada produksi. Firma perunding AlixPartners Mei lalu meramalkan krisis ini akan melibatkan kerugian kepada industri sebanyak US$110 bilion (RM461 bilion), memaksa banyak pengeluar untuk mengubah strategi mereka dengan komponen elektronik.

     
     
  • BMW X5 G05, X6 G06 Black Vermillion Edition didedah

    BMW X5 G05, X6 G06 Black Vermillion Edition didedah

    Sama anda suka ataupun tidak, gril double kidney pada model-model baru BMW sekarang sememangnya mendapat banyak perhatian, terutamanya disebabkan oleh saiznya. Bagi X5 G05 dan X6 G06, ia masih lagi tidak mendapat gril baru ini, tetapi BMW telah mengeluarkan satu edisi khas yang dipasang dengan gril yang juga sama menyerlah.

    Edisi ini dipanggil sebagai Black Vermillion, di mana bahagian luarnya menggunakan warna hitam metalik Frozen Black, sementara grilnya pula diwarnakan merah. Mungkin ia nampak sedikit pelik, tetapi sekurang-kurangnya memberikan pandangan berbeza berbanding tiga calit warna M yang banyak dibuat sendiri oleh pemilik BMW pada gril kenderaan mereka sekarang.

    Pada model X6, gril ini dijadikan lebih menonjol dengan pencahayaan Iconic Glow. Kelengkapan lain yang diberikan pada dua model edisi khas ini adalah termasuk pakej luaran M Sport, kemasan hitam berkilat Shadow Line, rim M Style 742 22 inci berwarna Orbit Grey serta angkup brek berwarna merah.

    Masuk pula ke dalam, model edisi Black Vermillion ini dipasang terus dengan cermin lebih gelap, lapik bumbung Alcantara, logo khas pada konsol tengah, tombol gear Crafted Clarity serta kemasan kayu Fineline Black dengan corak aluminium bersilang. Bahagian lain di dalam juga dibalut dengan kulit Merino Black BMW Individual bersama jalur merah dan karpet dengan kemasan merah di tepi.

    Satu lagi model yang lebih besar, iaitu X7 G07 juga diperkenalkan dalam versi khas dipanggil sebagai BMW X7 Edition, tetapi ia tidak mendapat kemasan menyerlah seperti edisi Black Vermillion. Model ini menerima warna luar Frozen Black, kemasan Shadow Line, rim BMW Individual Style 758 22 inci berwarna Orbit Grey serta angkup brek hitam. Turut dipasang adalah cermin gelap, lapik bumbung Alcantara serta tombol gear Crafted Clarity.

    GALERI: BMW X7 Edition

     
     
  • Nissan GT-R ‘R36’ masih akan guna platform dan enjin R35 serta bakal buat kemunculan sulung pada 2023?

    Nissan GT-R ‘R36’ masih akan guna platform dan enjin R35 serta bakal buat kemunculan sulung pada 2023?

    Biasanya satu-satu generasi kereta-kereta dari Jepun hanya bertahan sekitar enam hingga tujuh tahun dalam produksi dan kemudian akan digantikan dengan model generasi baharu. Namun untuk model produksi paling berkuasa dalam barisan model Nissan buat masa sekarang, GT-R generasi R35 sudahpun berada lebih dari satu sekad dalam pasaran, tanpa pengumuman rasmi dari Nissan bila ia akan digantikan dengan model generasi baharu.

    Namun terdapat pelbagai spekulasi dan juga khabar angin yang berlegar berkenaan model ‘R36’ berkenaan. Terbaharu, portal automotif Jepun, Best Car Web menyatakan bahawa kereta sport generasi seterusnya berkenaan akan dihasilkan seperti Nissan Z generasi baharu yang bakal diperkenalkan pada 17 Ogos nanti, iaitu menggunakan asas model 370Z sedia ada yang diperhalusi.

    Jadi, Nissan GT-R generasi baharu berkenaan mungkin masih akan menggunakan platform R35 sedia ada yang diberikan kejuruteraan semula, bersama badan atas yang menerima rekaan baharu, bersama pelbagai komponen, suspensi dan juga teknologi yang ditingkat taraf.

    Langkah berkenaan dilihat agak logik jika diambil kira dari segi dana. Ini kerana untuk membangunkan platform baharu, khususnya kereta sport bukanya murah. Malah kereta sport juga bukan model yang boleh dijual dengan jumlah yang banyak seperti kereta penumpang biasa, seterusnya tidak memberikan keuntungan yang benar-benar besar. Dengan menggunakan platform sedia ada, ia dapat menjimatkan banyak kos pembangunan untuk kereta sport tersebut.

    Nissan GT-R ‘R36’ masih akan guna platform dan enjin R35 serta bakal buat kemunculan sulung pada 2023?

    Best Car Web turut menyebut bahawa GT-R R36 juga masih akan menggunakan enjin petrol V6 VR38DETT 3.8 liter turbo berkembar dari GT-R R35, namun dikhabarkan ia bakal diberikan sistem hibrid ringkas. Enjin tersebut dijangka akan menghasilkan 600 PS dan tork maksima 652 Nm, sama seperti talaan GT-R Nismo sedia ada, dan ia akan dialirkan ke kesemua roda menerusi kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan dan sistem AWD.

    Sistem hibrid ringkas yang diberikan bukanlah faktor utama bagi membolehkan GT-R generasi baharu berkenaan wujud dalam peruntukan undang-undang pencemaran udara yang semakin ketat. Nissan bakal menggunakan kuota ekonomi bahan api purata korporat (CAFE) dan menghasilkan lebih banyak kenderaan dengan rangkaian kuasa e-Power dan elektrik sepenuhnya bagi memberikan ruang yang cukup untuk GT-R terus wujud.

    Namun, belum ada lagi petunjuk apa solusi yang akan digunakan Nissan bagi melepasi had undang-undang pencemaran bunyi. Menurut portal berkenaan lagi, model GT-R R35 sedia ada akan dihentikan pada musim luruh 2022, manakala model gantian generasi baharu ini akan diperkenalkan pada 2023 nanti.

     
     
  • Kawasaki Ninja ZX-25R dapat warna baru di Indonesia

    Kawasaki Ninja ZX-25R dapat warna baru di Indonesia

    Setelah sekitar satu tahun berada dalam pasaran, Kawasaki Ninja ZX-25R diberikan pilihan warna baru di Indonesia. Ia terdiri daripada Lime Green, Passion Red, Metallic Matte Graphene Steel Grey dan Metallic Spark Black. Di negara itu, ZX-25R dijual pada harga bermula 98.95 juta rupiah (RM28,582) untuk varian asas dan pergi sehingga 116 juta rupiah (RM33,540) untuk model SE dengan ABS.

    Selain daripada perubahan warna ini, bahagian lain masih lagi dikekalkan. ZX-25R dipacu oleh enjin empat silinder DOHC 249.8 cc, bersama padanan transmisi enam kelajuan dengan quickshifter untuk menghasilkan kuasa 51 PS pada 15,500 rpm dan 22.9 Nm tork pada 14,500 rpm.

    Walaupun cuma adalah model 250 cc, ZX-25R didatangkan dengan sistem elektronik canggih yang termasuk pilihan dua mod tunggangan (Full atau Low), kawalan cengkaman KTRC serta throttle valve elektronik. Sebagai keselamatan, kunci motosikal ini juga datang dengan sistem immobilizer.

    ZX-25R dibangunkan atas kerangka trellis serba baru untuk menjamin tunggangan sporty seperti siri sports bike ZX-6R dan ZX-10R, manakala brek pula menggunakan unit cakera tunggal 310 mm berserta angkup monoblock di hadapan dan cakera 220 mm di belakang. Tayar adalah bersaiz 110/70 di hadapan dan 150/60 di belakang.

    Perincian lain untuk ZX-25R adalah suspensi USD SFF-BP 37 mm tanpa pelarasan di hadapan, monoshock Horizontal Back-link dengan pelarasan pra beban di belakang, berat keseluruhan 182 kg, tangki bahan api 15 liter, jarak roda 1,380 mm dan jarak dari tanah 125 mm.

    Selain Indonesia, Thailand juga telah menerima model sports ini, sementara untuk pasaran Malaysia masih belum ada berita ketibaannya. Sudah tentu, keadaan pandemik sekarang ini juga tidak membantu dan tugasan antara Kawasaki Jepun, Kawasaki Motors Malaysia dan Modenas juga masih belum diumumkan secara rasmi.

     
     
  • Prolintas sediakan food bank di 6 jajaran lebuhrayanya

    Prolintas sediakan <em>food bank </em> di 6 jajaran lebuhrayanya

    Kumpulan Syarikat Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) telah menghebahkan kepada umum bahawa pihaknya turut menyediakan food bank di kesemua enam jajaran lebuh raya seliaannya bermula 12 Julai 2021 (semalam). Ia adalah bertujuan untuk membantu masyarakat memerlukan ketika menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

    Menurut Prolintas, food bank itu mula dilaksanakan di Hentian Sebelah Plaza Tol Sungai Balak, Lebuhraya Kajang SILK (SILK) dan ia akan turut diwujudkan dalam tempoh terdekat di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dan Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA), Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH).

    Antara barangan keperluan yang disediakan termasuklah minyak masak, beras, tepung, susu, gula dan sardin. Justeru, Orang awam yang memerlukan bantuan dialu-alukan datang dan mengambil barangan mengikut keperluan di Lebuhraya Kajang Silk. Prolintas juga akan menghebahkan lebih lanjut mengenai aktiviti food bank ini menerusi laman media sosial rasmi syarikat ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025