Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Hyundai Veloster 2022 – varian biasa dihentikan kerana barisan SUV diperluaskan, Veloster N kekal

    Hyundai Veloster 2022 – varian biasa dihentikan kerana barisan SUV diperluaskan, Veloster N kekal

    Hyundai telah mengumumkan rombakan bagi barisan Veloster di Amerika Syarikat untuk tahun 2022, di mana ia hanya menawarkan varian Veloster N sahaja. Model lain termasuk Veloster 2.0, 2.0 Premium, R-Spec, Turbo dan Ultimate dihentikan.

    Langkah ini diambil kerana pengeluar automotif ini mahu memperluaskan lagi barisan SUV di negara berkenaan, termasuk Venue, SUV paling kecil, dan juga Kona facelift. Sementara itu, Veloster N, masih dikekalkan dan tidak perubahan senarai kelengkapan dibuat.

    Hot hatch ini dijanakan oleh enjin 2.0 liter Theta T-GDI pengecas turbo dengan hamburan kuasa 275 hp dan tork 353 Nm. Tork boleh dipertingkatkan sehingga 378 mm selama 20 saat menerusi mod N Grin Shift (NGS), dan juga meningkatkan responsif transmisi dalam durasi yang sama. Dengan dilengkapi transmisi DCT lapan-kelajuan, jentera ini boleh dipecut dari sifar ke 100 km/j dalam 5.6 saat, atau 0.5 saat lebih pantas berbanding manual enam-kelajuan.

    Model yang dilengkapi dengan 8DCT juga menerima suspensi yang dirombak semula dengan spring, bump stop, damper, palang anti-olengan dan camber yang dipertingkatkan. Sekaligus memberikan penambahan berat sebanyak 50 kg dan hasilnya juga telah mengubah kesimbangan berat. Tempat duduk Alcantara N Light Sports Bucket turut ditawarkan secara pilihan, dan beratnya kurang dua kilogram berbanding tempat duduk biasa.

     
     
  • Proton mula vaksin pekerja, jangka selesai awal Ogos

    Proton mula vaksin pekerja, jangka selesai awal Ogos

    Proton mengumumkan yang syarikat itu telah mula memulakan program vaksinasi untuk semua pekerjanya yang masih belum menerima vaksik mereka. Program itu, yang akan dijalankan dalam rentang waktu seminggu untuk memastikan mereka yang memilih untuk vaksin berkenaan boleh mendapatkan dos pertama mereka.

    Jelas Proton, pekerja yang menjalankan operasi di kilang Tanjung Malim dan Shah Alam telah dimaklumkan temujanji mereka melalui aplikasi MySejahtera. Untuk mempercepatkan usaha berkenaan di Tanjung Malim, Proton bekerja sama dengan kerajaan persekutuan dan negeri untuk menggunakan kompleks sukannya sebagai lokasi pusat agihan vaksin bagi industri (PPVIN).

    Pusat berkenaan, yang boleh mengendalikan 800 vaksinasi sehari, akan beroperasi selama enam hari untuk memastikan pekerja Proton serta pembekal yang ada di sana menerima vaksin mereka. Bagi pekerja di Shah Alam pula, mereka akan menerima vaksik di Pusat Perdagangan Shah Alam (SACC), memandangkan tiada ruang yang cukup besar di premis Proton sendiri untuk dijadikan PPV sementara yang mematuhi SOP kesihatan.

    Proton mula vaksin pekerja, jangka selesai awal Ogos

    “Proton berharap dengan vaksinasi pekerja ini, syarikat akan dapat menyumbang kepada penurunan angka jangkitan Covid-19 di Malaysia. Dengan syarikat lain juga mengambil langkah yang sama, ini dapat membantu dalam usaha untuk menghidupkan smeula industri automotif, yang telah tergendala akibat PKP,” jelas CEO Proton, Li Chunrong dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

    Agihan vaksin ini akan diulang semula selepas tiga minggu kemudian untuk membolehkan pekerja mendapatkan dos kedua mereka. Proton menjangkakan akan dapat memvaksin keseluruhan pekerja sepenuhnya menjelang minggu pertama Ogos nanti.

     
     
  • Jazeman Jaafar raih kedudukan podium bersama Sean Gelael di ELMS 4 Jam Monza bagi kelas LMP2

    Jazeman Jaafar raih kedudukan podium bersama Sean Gelael di ELMS 4 Jam Monza bagi kelas LMP2

    Pelumba negara, Jazeman Jaafar bersama rakan sepasukan, Sean Gelael dari Indonesia telah berjaya meraih kedudukan ketiga dalam perlumbaan endurans Siri Le Mans 4 Jam Monza 2021 Eropah dalam kelas LMP2 bersama pasukan Jota Sport yang berpangkalan di UK, Ahad lalu.

    Jentera #82 Oreca 07-Gibson LMP2 yang dipandu oleh mereka berdua berjaya menamatkan 125 pusingan, dengan catatan masa empat jam, satu minit dan 31.344 saat. Mereka berada 29.289 saat di belakang jentera #22 Oreca dari United Autosports yang dipandu oleh Tom Gamble, Jonathan Aberdein dan Philip Hanson, yang berada 5.131 saat di belakang pendahulu James Allen, Will Stevens dan Julien Canal yang memandu jentera #65 Oreca dari G-Drive Racing.

    Jazeman Jaafar raih kedudukan podium bersama Sean Gelael di ELMS 4 Jam Monza bagi kelas LMP2

    Jazeman memikul tanggungjawab memandu dalam kelas LMP2 di Monza sebagai tambahan kepada peranannya sebagai pemandu simpanan dan pembangunan bagi Jota Sport. Ini juga sebahagian daripada peranannya sebagai mentor utama bagi jurutera perintis Malaysia yang telah menyertai pasukan itu melalui Program Tukaran Perintis Teknologi (TTAP) di bawah seliaan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii).

    Pernah memenangi perlumbaan dalam Siri Antarabangsar F3 British, Siri Euro F3 British dan siri Formula Renault 3.5, Jazeman turut membantu Jota Sport memenangi LMP2 pada 2018, sebagai barisan pemandua Malaysia semuanya yang turut disertai Nabil Jefri dan Weiron Tan. Mereka bertiga berentap dalam lima perlumbaan tahun itu, memenangi kategori LMP2 dalam perlumbaan endurans Fuji Enam Jam.

     
     
  • Honda capai jualan 15-juta unit kereta di China hanya dalam masa 22 tahun 6 bulan di pasaran berkenaan

    Honda capai jualan 15-juta unit kereta di China hanya dalam masa 22 tahun 6 bulan di pasaran berkenaan

    Honda hanya mula masuk ke pasaran China pada Januari 1999. Namun hanya selepas 22 tahun dan enam bulan, jenama automotif Jepun berkenaan mengumumkan bahawa jumlah jualan kumulatif mereka di negara berkenaan sudahpun mencecah 15-juta unit!

    Menurut Honda, rekod berkenaan merupakan yang paling pantas pernah mereka catatkan berbanding pasaran automotif negara lain yang telah mereka masuk. Honda turut menyatakan bahawa jualan kumulatif untuk model hibrid mereka kini telahpun mencecah 500,000 unit di China hanya dalam masa empat tahun tujuh bulan selepas jualannya bermula pada 2016.

    Honda memulakan operasi mereka di China dengan menjual model-model global seperti Accord dan CR-V, sebelum mula menawarkan model-model eksklusif hanya untuk pasaran republik berkenaan tidak lama selepas itu. Salah satu contoh model yang hanya terdapat di China adalah Honda Crider yang dilancarkan pada 2013. Model tersebut dihasilkan untuk mengisi satu lagi ruang tengah antara Civic dan Accord.

    Pada 2016, Honda mula menjual model hibrid mereka di China dengan memperkenalkan Accord yang dijana oleh rangkaian kuasa sistem Sport Hybrid i-MMD. Ia kemudiannya diikuti dengan model-model hibrid lain dan buat masa sekarang Honda mempunyai sembilan model hibrid yang dijual pada pasaran berkenaan.

    Honda capai jualan 15-juta unit kereta di China hanya dalam masa 22 tahun 6 bulan di pasaran berkenaan

    Honda juga kini sudah menawarkan model plug-in hybrid (PHEV) pertamanya di China iaitu CR-V PHEV, dan akan diikuti model-model PHEV yang lain.

    Di China, Honda beroperasi dengan dua kerjasama syarikat tempatan. Yang pertama adalah GAC Honda Automobile yang berpangkalan di Guangzhao, wilayah Guangdong ditubuhkan pada 1998 dan kemudian terus memproduksi Accord. Yang kedua pula adalah Dongfeng Honda Automobile yang terletak di Wuhan, wilayah Hubei yang bermula pada 2003 dan kemudian mula menjual CR-V.

    Dengan kedua-dua syarikat kerjasama ini, Honda berjaya mencapai jualan kumulatif satu juta unit di China pada 2006, dan kemudian mencecah jualan 10-juta unit pada 2018. Jumlah jualan terus meningkat pada kadar 1.5 juta unit setahun sehingga mereka berjaya mencatatkan jualan 15-juta unit hari ini.

    Buat masa sekarang, GAC Honda Automobile berupaya memproduksi sebanyak 770,000 unit kereta setahun dengan model-model seperti Accord, Vezel (atau HR-V di Malaysia), Breeze (kembar CR-V yang hanya terdapat di China), Fit (atau Jazz di sini) dan juga Crider.

    Manakala Dongfeng Honda pula mempunyai kapasiti produksi sebanyak 720,000 unit setahun dan menawarkan model-model seperti XR-V (kembar HR-V yang hanya terdapat di China), CR-V, Civic, Inspire (kembar kepada Accord) dan Elysion. Walaupun kedua-dua syarikat ini menawarkan model-model berbeza, mereka masih berkongsi teknologi yang sama.

     
     
  • Mazda CX-5 generasi seterusnya akan jadi model pertama guna platform RWD, enjin enam silinder baru

    Mazda CX-5 generasi seterusnya akan jadi model pertama guna platform RWD, enjin enam silinder baru

    Satu laporan yang dikeluarkan oleh Carsales Australia mendedahkan bahawa CX-5 mendapat banyak petunjuk untuk menjadi model pertama yang menggunakan platform pacuan roda belakang dan enjin enam silinder menegak dengan bantuan elektrik terbaru Mazda.

    Mazda sendiri tidak menyatakan secara jelas bahawa CX-5 generasi seterusnya akan mendapat teknologi baru ini, tetapi pengarah pemasaran Mazda Australia, Alastair Doak pernah berkata, “kami tidak boleh berkata apa-apa berkenaan model, tetapi kalau anda fikirkan, segmen kenderaan apa yang paling besar di seluruh dunia sekarang? Jawapannya adalah SUV.”

    Pengarah urusan Mazda Australia, Vinesh Bindi pula pernah menyebut sesuatu berkenaan CX-5. Beliau berkata, “Mazda terus melabur kepada enjin pembakaran dalaman, dengan SkyActiv-X, dan barisan enjin enam silinder generasi baru yang akan menggerakkan model generasi baru, produk platform besar, seperti CX-5 dan atas daripadanya.

    CX-5 adalah antara model yang paling laris keluaran Mazda, dan ia menyumbang kepada hampir 30% daripada jumlah jualan global jenama tersebut pada tahun 2020 (bersamaan 361,051 unit). Jumlah ini adalah dua kali ganda berbanding jumlah CX-30 yang dijual tahun lepas, dan lebih banyak daripada Mazda 3 yang mencatat 239,498 unit.

    Mazda CX-5 generasi seterusnya akan jadi model pertama guna platform RWD, enjin enam silinder baru

    Melihat kepada populariti CX-5 ini, memang masuk akal untuk Mazda memberi keutamaan kepada pembangunan SUV generasi baru, tetapi kami masih tidak mengetahui waktu pelancaran rasminya lagi, jika betul. Laporan sebelum ini pernah memberitahu akan ada model platform besar baru yang akan diperkenalkan pada tahun 2022, dan ini selari dengan strategi yang pernah dibentangkan oleh Mazda.

    Pada Jun lepas, Mazda mengumumkan platform SkyActiv Multi-Solution Scalable Architecture baru, yang akan digunakan bersama unit penggerak enjin menegak pada model bersaiz besar, serta enjin melintang pada model yang lebih kecil seperti Mazda 2.

    Platform ini akan digunakan untuk lima model hibrid, lima model plug-in hybrid dan tiga model elektrik penuh (EV) dari tahun 2022 hingga 2025. CX-5 dan Mazda 6 generasi baru adalah antara yang termasuk dalam pelan ini, tetapi tidak dinyatakan model mana yang akan diperkenalkan dahulu. Melalui apa yang diberitahu awal tadi, rasanya kita sudah boleh membuat jangkaan.

    Mazda CX-5 generasi seterusnya akan jadi model pertama guna platform RWD, enjin enam silinder baru

    Untuk enjin enam silinder pula, Mazda pernah memberitahu November lalu bahawa akan terdapat tiga versi iaitu petrol, diesel dan SkyActiv-X – dengan sokongan kuasa elektrik dalam bentuk plug-in hybrid atau hibrid ringkas 48 volt.

    “Enjin enam silinder baru itu nanti mempunyai sistem hibrid ringkas, jadi ia akan mempunyai… secara asasnya sistem 48 volt… dan seperti jenama lain – seperti Mercedes dan lain-lain – ia boleh menghasilkan sedikit kuasa dan tork untuk membantu enjin,” kata Doak.

    Kuasa yang mampu dihasilkan enjin enam silinder ini masih tidak diketahui tetapi informasi yang bocor sebelum ini menyatakan versi petrol SkyActiv-X 3.0 liter dengan sistem hibrid ringkas boleh menghasilkan 286 PS (282 hp) dan 340 Nm tork sementara versi diesel turbo 3.3 liter pula didakwa menyediakan 286 PS (282 hp) dan 600 Nm tork.

     
     
  • Gangguan bekalan cip akan berlanjutan hingga 2022

    Gangguan bekalan cip akan berlanjutan hingga 2022

    Gangguan bekalan cip semikonduktor menjadi hadangan utama bagi banyak industri sejak penularan pandemik Covid-19, termasuklah turut memberi kesan kepada industri automotif, menyebabkan pengeluar kenderaan baru terganggu kerana kekurangan bekalan.

    BMW sebelum ini memaklumkan pihaknya tidak mengharapkan masalah berkenaan dapat diatasi dalam masa terdekat, sekaligus memberi gambaran bahawa gangguan bekalan ini akan kekal untuk separuh kedua tahun 2021. Kini, CEO Renault, Luca de Meo pula berkongsi pandangan yang sama, dengan mendedahkan bahawa beliau menjangkakan masalah itu akan berterusan hingga tahun depan.

    Memetik laporan Automotive News Europe, beliau berkata dalam sesi pendengaran di parlimen Perancis bahawa gangguan bekalan itu “merupakan masalah struktural yang akan berlangsung hingga 2022.” “Tetap akan berlaku ketegangan dalam sistem walaupun kapasiti pengeluaran kembali pulih.”

    Pengeluar kenderaan Perancis itu masih di dalam fasa pengurangan jumlah pengeluaran, tetapi de Mateo menjelaskan perkara yang lebih mengecawakan ialah keadaan industri yang tidak konsisten, dengan prospek bekalan “berubah setiap minggu”. Dalam situasi ini, beliau menjangkakan pengeluaran Renault tahun ini akan menurun sebanyak 100,000 unit.

    Kekurangan cip semikonduktor berlaku kerana lonjakan permintaan daripada pelanggan terhadap peranti elektronik sepanjang lockdown pandemik Covid-19 di banyak negara. Ini tidak hanya memberi kesan kepada penurunan pengeluaran kenderaan dan tempoh menunggu yang lama, bahkan kesan sama turut dirasakan oleh pengeluara peranti elektronik lainnya.

     
     
  • Lanjutan had usia kenderaan perkhidmatan awam selama setahun secara automatik, ringankan beban

    Lanjutan had usia kenderaan perkhidmatan awam selama setahun secara automatik, ringankan beban

    Kementerian Pengangkutan Malaysia (KPM) mengumumkan akan memberikan lanjutan selama setahun secara automatik bagi mana-mana kenderaan perkhidmatan awam yang telah mencapai had usia maksimum penggunaan seperti yang ditetapkan dalam syarat lesen/permit kenderaan, termasuk bagi yang telah mendapat lanjutan dalam tahun 2020 sebelum ini.

    Hal ini seperti dinyatakan dalam satu hebahan media rasmi bertujuan untuk membantu pemain-pemain industri pengangkutan awam, khususnya pemilik teksi, bas sekolah dan bas persiaran dalam menempuh tempoh mencabar pandemik Covid-19 ketika ini.

    Dengan pengumuman ini, mana-mana kenderaan perkhidmatan awam yang telah mencapai had usia maksimum penggunaan untuk tempoh bermula dari 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2021 akan diberi lanjutan secara automatik untuk tempoh setahun lagi. Hal ini tertakluk kepada kenderaan yang terlibat menjalani dan lulus pemeriksaan kenderaan di Puspakom bagi memastikan tahap keselamatan dan layak berada di atas jalan.

    Lanjutan ini akan melibatkan semua kelas kenderaan perkhidmatan di bawah seliaan Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Lembaga Perlesenan Kenderaan Kenderaan Perdagangan (LPLP) Sabah dan Sarawak. Untuk bas persiaran/pelancongan, ia juga telah diselaraskan bagi perkhidmatan yang diselia di bawah skop kuasa Kementerian Pelancangan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

    Menurut kenyataan itu, keputusan ini diambil selepas perbincangan di antara Kementerian Pengangkutan dengan persatuan dan pengendali antaranya Persekutuan Persatuan-persatuan Bas Sekolah Malaysia, Pan Malaysia Bus Operators Association (PMBOA) dan beberapa lagi pihak berkepentingan lain.

     
     
  • Volkswagen Arteon R-Line 2.0 TSI 4Motion 2021 dilancar pada 16 Julai – livestream jam 12.30 t/hari

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah mengesahkan bakal melancarkan Arteon R-Line facelift secara rasminya pada 16 Julai 2021 (Jumaat ini), selepas sebulan tempahannya dibuka. Pelancaran yang bakal disiarkan secara langsung menerusi digital akan bermula pada jam 12.30 tengahari, menerusi laman Facebook dan saluran Youtube VPCM sendiri dan juga paultan.org

    Arteon R-Line 2.0 TSI 4Motion yang kini dipasang secara tempatan (model CKD) akan ditawarkan pada harga sekitar RM245k hingga RM255k. Ia lebih mahal berbanding model sedia ada yang berharga RM221,065, tetapi model baharu ini ditawarkan dengan beberapa ciri tambahan yang sepadan dengan kenaikan harganya.

    VPCM turut mengesahkan, ia akan ditawarkan dengan enjin EA888 2.0 liter TCI pengecas turbo empat-silinder yang mampu menghamburkan kuasa 280 PS dari 5,100 hingga 6,500 rpm dan tork 350 Nm antara 1,700 dan 5,600 rpm. Ia turut dipadankan dengan transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan dan juga pacuan semua-roda 4Motion secara standard, yang memberikannya pecutan dari sifar ke 100 km/j dalam hanya 5.6 saat.

    Volkswagen Arteon R-Line 2.0 TSI 4Motion 2021 dilancar pada 16 Julai – <em>livestream</em> jam 12.30 t/hari

    Ciri kelengkapan standard yang diberikan termasuklah lampu utama LED penuh, lampu belakang LED dengan penunjuk arah sequential dan rim Montevideo 19-inci. Malahan Arteon terus menggunakan balutan kulit Nappa dengan corak seperti gentian karbon, serta dilengkapi sistem bunyi Harman Kardon 700 watt 12 pembesar-suara.

    Malah ia turut diberikan sistem masuk tanpa kunci, butang pemula ejin, tempat duduk pemandu larasan kuasa dengan fungsi memori, pengawal suhu automatik tiga zon, lampu dan pengelap cermin automatik, cermin pandang belakang malap sendiri, skrin infotainmen sesentuh Discover Pro 9.2 inci, penyerap adaptif Dynamic Chassis Control (DCC), kamera 360 darjah dan pintu but boleh buka tanpa sentuh.

    Bagi aspek keselamatan, Arteon mendapat enam beg udara, ABS, EBD, BA, Stability Control, Post Collision Braking, Lane Keeping Assist, Blind Spot Monitoring dan Rear Cross Traffic Alert. Walaupun sudah mempunyai kamera hadapan untuk fungsi Lane Keeping, kereta ini masih tidak datang dengan Autonomous Emergency Braking.

    Dengan harga yang disebut ini, adakah anda rasa Volkswagen Arteon terkini mampu mampu memberikan persaingan sengit buat model premium yang lebih kurang sama harganya, termasuk BMW 3 Series G20 dan Mercedes-Benz C-Class W205?

    Volkswagen Arteon R-Line 2021

     
     
  • Mazda tunda pelancaran model enjin rotary? Sistem range extender pada MX-30 didakwa terlalu mahal

    Mazda tunda pelancaran model enjin rotary? Sistem <em>range extender</em> pada MX-30 didakwa terlalu mahal

    Mazda sebelum ini sudah mengesahkan bahawa mereka akan kembali menggunakan enjin wankel rotary pada model produksi mereka, tetapi bukanlah untuk menjana kereta sport, sebaliknya berfungsi seakan “generator pasar malam” untuk sistem hibrid range extender yang hanya akan mengecas bateri untuk motor elektrik.

    Sistem tersebut sebelum ini juga telah disahkan akan diperkenalkan pada Mazda MX-30 dan bakal dijual bermula separa pertama tahun hadapan. Namun menerusi laporan terbaharu, jurucakap Mazda memberitahu Automotive News bahawa tarikh sebenar untuk melancarkan MX-30 dengan sistem hibrid range extender berkenaan masih lagi belum ditentukan.

    Dengan sistem tersebut, MX30 berkenaan dijangka boleh bergerak hampir sekali ganda lebih jauh dari versi elektrik sepenuhnya. Namun media-media Jepun melaporkan teknologi hybrid range extender dengan enjin wankel rotary tersebut mungkin akan digugurkan kerana perlu dilengkapi bateri lebih besar, bersama enjin yang kompleks menyebabkan harganya akan melambung terlalu mahal.

    Buat masa sekarang MX30 telah pun dijual dalam dua versi iaitu dijana oleh elektrik sepenuhnya, dan juga dengan enjin petrol bersama sistem hibrid ringkas.

    Mazda tunda pelancaran model enjin rotary? Sistem <em>range extender</em> pada MX-30 didakwa terlalu mahal

    Untuk model elektrik sepenuhnya, MX-30 berkenaan menerima motor elektrik 107 kW (145 PS) dan tork maksima 271, memacu roda hadapan menerusi transmisi kelajuan tunggal. Ia menerima kuasa elektrik dari bateri lithium-ion 35.5 kWj yang dapat memberikan jarak gerak 224 km dengan satu caj penuh, serta boleh dicaj semula dengan kadar 50 kW (DC).

    Manakala untuk model hibrid ringkas pula, ia menerima enjin petrol 2.0 liter empat-silinder tanpa turbo e-SkyActiv-G, digandingkan bersama sistem M Hybrid 24-volt dan kotak gear enam-kelajuan automatik. Secara keseluruhan ia menjana 155 PS dan tork maksima 200 Nm.

    Sama ada ia digugurkan terus atau hanya ditunda, masa hadapan enjin rotary Mazda untuk sistem hibrid range extender ini masih lagi samar-samar. Mazda juga dilaporkan kini sedang membangunkan sistem hibrid plug-in yang dijangka akan diperkenalkan di antara 2022 hingga 2025 nanti.

    GALERI: Mazda MX-30 di Tokyo Motor Show 2019

     
     
  • WMoto Xtreme 150i dilancar secara rasmi untuk M’sia – harga RM9,588, ABS two-channel, tangki minyak 11L

    WMoto Xtreme 150i dilancar secara rasmi untuk M’sia – harga RM9,588, ABS two-channel, tangki minyak 11L

    Selepas dipertontonkan kepada wakil media April lalu, WMoto Xtreme 150i kini dilancarkan secara rasmi di Malaysia dengan harga RM9,588 tidak termasuk insurans. Model yang mensasarkan terus Honda ADV 150 sebagai pesaing ini juga mendakwa mendapat lima bintang dalam Program Penilaian Motosikal (MyMAP) oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Malaysia (MIROS).

    Pengiktirafan ini dicapai melalui empat kriteria utama – pematuhan kepada peraturan UN ECE, kesesuaian pengeluaran, ciri teknologi keselamatan serta program sokongan. Antara yang membantu adalah Xtreme 150i mempunyai brek ABS two-channel, sementara pesaingnya, ADV 150 cuma mempunyai ABS single-channel.

    Xtreme 150i digerakkan oleh enjin satu silinder suntikan bahan api 149.3 cc yang menghasilkan kuasa 12 hp pada 8,500 rpm dan 11.8 Nm tork pada 5,000 rpm. Enjin ini mendapat penarafan emisi Euro 4 dan dilengkapi dengan sistem start-stop untuk membantu penjimatan bahan api.

    Satu lagi kelebihan ketara Xtreme 150i adalah tangki bahan api yang besar, iaitu 11 liter di mana sekiranya mengikut kiraan teori, boleh membawa kepada perjalanan sejauh 400 km. Rim menggunakan saiz 14 inci, sementara suspensi pula terdiri daripada fork USD di hadapan dan monoshock di belakang.

    Skuter ini juga didatangkan dengan pelbagai kelengkapan canggih seperti semua lampu jenis LED bersama DRL, meter LCD digital penuh, dua soket kuasa (satu 12V dan satu lagi USB) serta penghadang angin hadapan yang boleh dilaras.

    Secara keseluruhannya, Xtreme 150i mencatat berat 143 kg, dengan tinggi tempat duduk 765 mm dan jarak dari tanah 180 mm. Ada dua warna yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia, iaitu merah dan kelabu, dan setiap satunya datang dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km.

    GALERI: WMoto Xtreme 150i

     
     
  • Hyundai Staria masuk pasaran Thailand – 11 tempat duduk, enjin diesel 2.2 liter, harga dari RM222k

    Hyundai Staria masuk pasaran Thailand – 11 tempat duduk, enjin diesel 2.2 liter, harga dari RM222k

    Perniagaan Hyundai di Thailand lebih banyak memberi fokus kepada MPV, dengan satu-satunya model yang dijual sekian lama cumalah Starex/H-1. Disebabkan itu, tidak peliklah apabila mereka menjadi pasaran pertama di luar Korea Selatan yang menerima Staria baru.

    Seperti yang dijangka, Staria tiba di Thailand dalam versi 11 tempat duduk (bukan Premium), dan dua varian iaitu S dan SEL. Harganya bermula dari 1,729,000 baht (RM222,100) untuk model asas dan pergi sehingga 1,999,000 baht (RM256,800). Sebagai perbandingan, H-1 sebelum ini cuma dijual pada harga 1,329,000 baht (RM170,800).

    Walaupun jauh lebih mahal, Staria datang dengan pelbagai peningkatan berbanding H-1, bermula dengan gaya yang lebih moden. Di hadapan terdapat jalur LED penuh dari tepi ke tepi, gril sama warna seperti badan dan menempatkan lampu utama LED, serta lampu belakang nipis menegak (unit Parametric Pixel LED pada varian SEL).

    Hyundai Staria masuk pasaran Thailand – 11 tempat duduk, enjin diesel 2.2 liter, harga dari RM222k

    Rim antara dua varian yang ditawarkan juga adalah berbeza – varian S mendapat rim 17 inci warna perak sementara varian SEL mendapat rim 18 inci yang menggunakan warna dua tona. Bahagian dalam pula menampilkan ciri sama moden seperti penampilan luarannya, dengan dua skrin, butang kawalan tersusun serta corong pendingin hawa yang mempunyai rekaan jalur penuh sepanjang papan pemuka.

    Kedua-dua varian mendapat panel instrumen digital, iaitu unit gabungan LCD dan MID 4.2 inci bagi varian S manakala varian SEL mendapat unit berwarna penuh 10.25 inci. Sistem infotainmen adalah sama untuk kedua-dua varian, dan ia menampilkan skrin sesentuh lapan inci dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto sementara pengecas telefon tanpa Qi tanpa wayar pula cuma diberi pada varian SEL.

    Kelengkapan standard lain adalah termasuk sistem masuk tanpa kunci, butang pemula enjin, pendingin hawa automatik dengan kawalan khas untuk bahagian belakang, balutan fabrik, pelindung cahaya matahari di belakang, kamera undur, enam pembesar suara serta tujuh soket USB. Varian SEL mendapat tambahan tempat duduk pemandu larasan kuasa, balutan kulit, cermin pandang belakang malap sendiri, lampu dalaman LED serta kamera 360 darjah.

    Pada aspek keselamatan, semua varian datang dengan enam beg udara, pengawal stabiliti serta cagak ISOFIX pada dua tempat duduk. Varian SEL kemudiannya ditambah dengan pakej SmartSense yang termasuk Autonomous Emergency Braking dengan pengesan kenderaan dari depan, Adaptive Cruise Control, Lane Centring Assist, Blind Spot Monitoring, sistem pemerhati tekanan angin tayar, kamera titik buta, amaran pintu buka serta peringatan tempat duduk belakang.

    Kuasa penggerak datang daripada enjin empat silinder 2.2 liter diesel turbo yang mampu menghasilkan 177 PS pada 3,800 rpm dan 431 Nm tork antara 1,500 hingga 2,500 rpm. Kotak gear automatik lapan kelajuan diberikan secara standard dan ia datang bersama pemilih gear jenis butang dan pedal penukar gear di stereng. Pada bahagian bawah badannya, Staria baru ini menggunakan suspensi belakang multilink, menggantikan solid axle sebelum ini, dan ia sepatutnya meningkatkan lagi kawalan MPV ini.

     
     
  • Penumpang LRT Kelana Jaya Laluan Ampang pada 2 Julai yang alami simptom Covid digesa buat swab test

    Penumpang LRT Kelana Jaya Laluan Ampang pada 2 Julai yang alami simptom Covid digesa buat <em>swab test</em>

    Rapid KL telah memaklumkan, terdapat satu lagi kes positif Covid-19 dikesan yang melibatkan seorang penumpang yang menaiki LRT Kelana Jaya Laluan Ampang pada waktu puncak pagi dan petang 2 Julai lalu. Justeru, pengendali tren berkenaan menggesa mana-mana penumpang yang mengalami simptom Covid-19 supaya melakukan ujian saringan iaitu ujian calitan atau swab test.

    Menurut Rapid KL, penumpang tersebut menaiki tren LRT dari stesen Maluri pada jam 10 pagi menuju ke stesen Bangsar. Kemudian beliau menaiki LRT untuk perjalanan pulang dari Bangsar ke Maluri pada jam 4 petang hari yang sama. Penumpang terbabit telah disahkan positif Covid 19 pada hujung minggu dan memaklumkan pada Rapid KL menerusi Facebook Messenger.

    Dalam masa yang sama, semua para pengguna perkhidmatan Rapid KL diingatkan untuk sentiasa memakai pelitup muka dan mematuhi SOP sepanjang masa untuk membantu mencegah penularan pandemik Covid-19. Malah Rapid KL turut mengingatkan bahawa mereka yang sudah menjalani swab test supaya mengasingkan diri daripada orang lain sehingga mendapat keputusan mengesahkan anda negatif.

     
     
  • Plaza tol Seremban Utara tutup susulan PKPD – PLUS

    PLUS telah mengumumkan penutupan sementara Plaza tol Seremban Utara sehingga 22 Julai ini. Menurut pengendali Lebuhraya Utara-Selatan itu, arahan penutupan tersebut dikeluarkan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM), susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah berkenaan, yang melibatkan kawasan Ampangan, Labu, Lenggeng, Pantai, Rantau, Rasah, Seremban dan Setul mulai 9 Julai lalu.

    Menurut PLUS lagi, terdapat beberapa sekatan di persimpangan Seremban/Labu. Laluan bertingkat dari Bukit Kepayang ke lebuhraya menuju ke arah Kuala Lumpur juga telah ditutup. Trafik akan dilencongkan ke pusingan-U di hadapan laluan berkenaan dan akan keluar ke lebuhraya menerusi laluan bertingkat bertentangan, yang turut menempatkan salah satu lokasi sekatan jalan raya (SJR). Malahan terdapat juga SJR yang ditempatkan untuk melakukan pemeriksaan kenderaan yang datang dari arah Kuala Lumpur.

    Jika anda hendak masuk/keluar ke/dari ibu negeri Negeri Sembilan yang sedang dilaksanakan PKPD, pastikan anda mempunyai kelulusan yang diperlukan sebelum berbuat demikian. Sila terus patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

     
     
  • Nissan Skyline GT-R V-Spec II Nür 2002 terjual RM2.3 juta dalam lelongan – R34 paling mahal setakat ini!

    Nissan Skyline GT-R V-Spec II Nür 2002 terjual RM2.3 juta dalam lelongan – R34 paling mahal setakat ini!

    Sejak kebelakangan ini, harga model-model JDM (Japan Domestic Market) lagenda dari era 90’an dan awal Y2K dilihat ‘naik mencanak’ di negara kita. Fenomena ini bukan hanya berlaku di Malaysia, ia sebenarnya berlaku secara global.

    Antara sebabnya adalah kerana sebahagian model-model berkenaan kini sudahpun ‘halal’ untuk diimport ke Amerika Syarikat kerana sudahpun berstatus klasik dan tidak perlu melalui proses homologasi yang ketat, menyebabkan permintaannya menjadi tinggi, sedangkan model-model berkenaan kini semakin ‘pupus’.

    Hujung minggu lalu, satu lagi rekod tercipta untuk jentera JDM klasik moden – lelongan Yahoo!Auction di Jepun telah berjaya menjual sebuah Nissan Skyline R34 GT-R V-Spec II Nür 2002 dengan harga 60,500,001 yen (termasuk cukai) atau sekitar RM2.3 juta – rekod Skyline R34 paling mahal setakat ini!

    Unit yang sama sebenarnya telah terjual dalam pada harga 35.2 juta yen (sekitar RM1.32 juta) dalam lelongan BH Auction di Tokyo Auto Salon 2018. Ia kemudiannya timbul semula di laman lelongan Yahoo!Auction baru-baru ini, dengan harga permulaan 50 juta yen (sekitar RM1.88 juta).

    Nissan Skyline GT-R V-Spec II Nür 2002 terjual RM2.3 juta dalam lelongan – R34 paling mahal setakat ini!

    Namun ini bukan bermaksud semua Skyline GT-R R34 boleh dijual pada harga sebegini buat masa sekarang, kerana kereta yang terjual pada harga RM2.3 juta ini mempunyai keistimewaannya tersendiri. Apa yang istimewanya?

    Pertama, ini adalah model GT-R V-Spec II Nür yang dihasilkan hanya 1,000 unit dan ‘Nür’ pada nama model ini bermaksud litar ‘The Green Hell’ Nürburgring. Jadi berbanding GT-R biasa, enjin petrol enam-silinder sebaris 2.6 liter turbo berkembar RB26DETT pada model berkenaan menerima tingkat taraf spesifikasi N1 yang terdiri dari pelbagai tingkat taraf termasuk dinding silinder lebih tebal, saluran air untuk sistem penyejukkan dirombak semula, pam air dan pam minyak pelincir dipertingkat, serta kesemua rod penghubung pada omboh diseimbangkan semula.

    Dari luar, enjin ini dapat dibezakan dengan penggunaan penutup kepala enjin (rocker cover) berwarna emas, pengecas turbo bersama manifold ekzos lebih lawas (bagi memberikan kuasa dan tork lebih baik), manakala bilah turbin di dalam pengecas berkenaan diberikan unit dari keluli, berbanding bilah seramik yang lebih ringan serta responsif (tetapi lemah sekiranya kuasa ditala lebih tinggi) pada model standard.

    Spesifikasi Nür ini hanya ditawarkan untuk model asas V Spec II dan M-Spec sahaja. Menurut Bingo Media iaitu rakan media rasmi untuk BH Auction, dari 1,000 unit yang menerima spesifikasi Nür ini, 700 unit daripanya adalah berasaskan V Spec II, dan unit dilelong ini adalah salah satu unit dari 160 buah yang berwarna putih.

    Ciri-ciri lain yang unik pada V-Spec II Nür ini termasuk diberikan plat VIN berwarna emas, lencana-lenaca istimewa, bonet dari material gentian-karbon bagi mengurangkan berat pada bahagian hadapan, serta diberikan suspensi lebih keras bagi meningkatkan tindak balas casis, dan juga brek Brembo yang lebih besar untuk kuasa pemberhentian lebih baik. Bahagian dalaman model ini pula kekal minimalis, hanya diberikan perincian sedikit berbeza contohnya kemasan-kemasan berwarna iridium dan juga paparan meter kelajuan dengan bacaan maksima 300 km/j.

    Satu lagi perkara penting yang menyebabkan unit ini terjual dalam harga yang cukup tinggi adalah kerana unit ini adalah disifatkan sebagai kereta baru, dan bukan terpakai. Ini kerana selain meter perbatuan yang hanya mencatatkan jarak perjalan 10 km, ia juga belum pernah didaftarkan dan tidak pernah menerima nombor plat pendaftaran.

     
     
  • PKPD Selangor/KL/Seremban: Puspakom umum hanya cawangan Sg Besar, Selangor sahaja yang beroperasi

    PKPD Selangor/KL/Seremban: Puspakom umum hanya cawangan Sg Besar, Selangor sahaja yang beroperasi

    Puspakom Sdn Bhd telah mengumumkan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang sedang dilaksanakan di beberapa daerah di Selangor dan beberapa lokaliti di Kuala Lumpur, semua cawangannya di kawasan terbabit tidak beroperasi sehingga 16 Ogos 2021. Walau bagaimana pun, hanya cawangan Puspakom di Sg. Besar, Selangor sahaja yang masih terus beroperasi kerana ia terletak di daerah yang tidak dikenakan PKPD.

    Manakala di Negeri Sembilan, Puspakom Seremban tidak beroperasi sehingga 22 Julai 2021 juga kerana pelaksanaan PKPD di daerah berkenaan.

    “Bagi pelanggan yang telah membuat temujanji di cawangan Puspakom yang tidak beroperasi, semua bayaran temujanji akan dikembalikan secara automatik.

    PKPD Selangor/KL/Seremban: Puspakom umum hanya cawangan Sg Besar, Selangor sahaja yang beroperasi

    “Untuk makluman orang ramai, semua Pusat Pemeriksaan Puspakom di seluruh negara termasuk Perkhidmatan Bergerak yang tidak dikategorikan di dalam kawasan PKPD kekal seperti biasa. Untuk pusat pemeriksaan yang beroperasi, hanya pelanggan yang mempunyai temujanji sahaja dibenarkan untuk pemeriksaan mengikut tarikh, masa dan tempat yang telah dipilih. Tiada perkhidmatan memeriksa akan diberikan kepada pelanggan walk-in,”ujar Puspakom menerusi kenyataannya.

    Menurut Puspakom lagi, para pelanggan yang hadir pemeriksaan disarankan untuk sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dan memastikan MySejahtera diimbas sebelum masuk ke premis. Malahan Puspakom berhak melarang masuk mana-mana pelanggan yang gagal mematuhi arahan yang ditetapkan.

    “Segala perubahan tentang operasi Puspakom (sama ada beroperasi semula atau penutupan dilanjutkan) adalah berdasarkan pengumuman terkini Kerajaan. Orang ramai boleh mengikuti Facebook PUSPAKOM Sdn Bhd atau melayari www.puspakom.com.my untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung operasi PUSPAKOM dari semasa ke semasa,” tambah kenyataan terbabit.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025