Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Mazda 2 2021 dinaiktaraf di Jepun – enjin mampatan tinggi, kamera 360° dan istimewa Sunlit Citrus

    Mazda 2 2021 dinaiktaraf di Jepun – enjin mampatan tinggi, kamera 360° dan istimewa Sunlit Citrus

    Untuk model tahun 2021, Mazda telah memperkenalkan versi naiktaraf bagi Mazda 2 di Jepun. Model segmen-B ini menerima beberapa peningkatan bagi senarai kelengkapan dan juga untuk enjin, serta edisi istimewa baharu yang diinspirasikan berdasarkan “a trip to the south under the sun.”

    Untuk sesetengah varian, enjin 1.5 liter Skuactiv-G petrol dipertingkatkan lagi penjimatan bahan apinya hasil aplikasi teknologi Diagonal Vortex Combustion, di mana ia meningkatkan kelajuan aliran campuran udara/bahan api, sekaligus membolehkan pembakaran yang lebih cepat dan lengkap. Selain itu, nisbah mampatannya juga telah dipertingkatkan dari 12:1 ke 14:1.

    Mazda mendakwa pengurangan penggunaan bahan api meningkat sehingga 6.8% mengikut kitaran WLTP, dengan angka kombinasi dicatatkan pada kadar 20.3 km untuk setiap liter. Sekaligus membolehkan model yang dipadankan dengan enjin ini menerima manfaat bagi pengecualian cukai di bawah pematuhan ekonomi bahan api baharu di Jepun. Program kawalan enjin juga telah ditala semula hasil pengalaman membangunkan penjana kuasa SkyActiv-X, secara tidak langsung telah meningkatkan maklumbalas pendikitan dan kawalannya.

    Mazda 2 2021 dinaiktaraf di Jepun – enjin mampatan tinggi, kamera 360° dan istimewa Sunlit Citrus

    Selain itu, output masih kekal pada 110 PS pada tahap 6,000 rpm dan tork 142 Nm pada 3,500 rpm, dengan pacuan disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear manual enam-kelajuan atau automatik enam-kelajuan. Pacuan semua-roda ditawarkan sebagai pilihan, seperti sebelum ini.

    Mazda 2 2021 juga telah dipertingkatkan sistem kamera 360-darjah standard, serta diberikan ciri pilihan baharu termasuk pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi dan ketersambungan tanpa wayar untuk Apple CarPlay (fungsi Android Auto menggunakan wayar masih kekal). Model pacuan-semua roda juga diberikan pencuci tingkap (window deicer) secara standard untuk membersihkan salji yang terkumpul pada cermin hadapan.

    Mazda turut menambah pilihan warna Platinum Quartz Metallic dan varian istimewa Sunlit Citrus dengan serlahan warna kuning pada lingkaran corong udara, jaluran pada corong dan juga jaluran tempat duduk, dipadankan dengan suede upholstery tiruan Grand Lux dan alas lantai dengan warna kuning gading. Malahan kunci juga dengan kemasan serlahan ala lemon yang sama. Mazda 2 baharu ini dijual pada harga bermula dari 1,969,000 yen (RM73,900) hingga 2,442,000 yen (RM91,700).

     
     
  • MINI Vision Urbanaut Concept dalam saiz sebenar

    MINI Vision Urbanaut Concept dalam saiz sebenar

    November tahun lepas, MINI pernah menunjukkan secara digital sebuah kenderaan konsep masa hadapan yang dipanggil sebagai MINI Vision Urbanaut. Kini model saiz sebenar sudah siap dan sedikit perincian awalnya didedah sebelum ditunjukkan kepada umum 1 Julai nanti.

    Panjang keseluruhan van elektrik penuh ini adalah 4.46 meter, bersamaan 200 mm lebih panjang berbanding Volkswagen Kombi. Bahagian dalamnya pula menggunakan rekaan moden, tidak berserabut dan menyediakan ruang luas supaya pengguna dapat bersantai di dalamnya, tidak kiralah waktu bergerak atau tidak.

    Untuk membantu memberi lebih ketenangan, MINI juga telah menyediakan beberapa profail bunyi alam sekitar istimewa pada van ini. Menurut pengarah bunyi kreatif MINI, Renzo Vitale, anda boleh memilih profail Chill, Vibe atau Wanderlust, dengan Chill menyediakan bunyi seperti di dalam hutan, air mengalir dan pelbagai lagi.

    Vibe pula menjadikan kereta lebih meriah, dengan muzik yang bertenaga serta paparan grafik equaliser pada bahagian depan, belakang dan roda kenderaan. Wanderlust pula lebih sesuai untuk perjalanan jauh supaya pengguna dapat lebih menikmatinya.

    Bahagian papan pemuka kenderaan ini mempunyai dua fungsi. Apabila memandu, tingginya akan dinaikkan dan roda stereng dipanjangkan secara elektronik supaya mudah dicapai. Apabila tidak dipandu, papan pemuka boleh berubah bentuk dan dijadikan sebagai katil atau bangku. Panel instrumen OLED pula boleh diubah menjadi lampu dan hiasan meja.

    Kebanyakan bahan yang digunakan dalam kenderaan ini adalah bahan mesra alam dan boleh dikitar semula. Antara yang banyak digunakan adalah kain kitar semula daripada wool, polyester dan Tencel. Pereka yang terlibat juga memberi banyak fokus kepada “bahan mono” supaya ia mudah dikitar semula apabila tidak digunakan lagi pada kenderaan ini.

     
     
  • Pengusaha alat ganti kenderaan terpakai minta penjelasan KPDNHEP berkenaan operasi waktu PKP

    Pengusaha alat ganti kenderaan terpakai minta penjelasan KPDNHEP berkenaan operasi waktu PKP

    Persatuan Pengusaha Alat Ganti Kenderaan Terpakai Malaysia (MUVATA) telah menggesa kerajaan untuk memberi penjelasan berkenaan kedudukan sebenar pengimport, pengeskport, pemborong dan peruncit alat ganti kenderaan terpakai di bawah sektor alat ganti waktu PKP ini.

    Persatuan tersebut, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan juga menggesa kementerian perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna (KPDNHEP) untuk menjelaskan bahawa perniagaan yang melibatkan alat ganti kenderaan dibenarkan beroperasi di bawah sektor alat ganti, seperti yang dibenarkan bagi bengkel kenderaan dan kedai tayar di bawah peraturan PKP yang ditetapkan pada 1 Jun 2021.

    Ia juga menyatakan kebanyakan ahli di dalam persatuan sudah menerima kebenaran untuk beroperasi daripada sistem pengurusan pintar Covid-19 (CIMS) 3.0 yang berada di bawah pengawasan kementerian perdagangan antarabangsa dan industri (MITI), dengan memilih kategori peruncitan, pengedaran dan pemborongan dan sub sektor bengkel, penyelenggaraan dan alat ganti, tetapi masih berhadapan dengan masalah.

    Pengusaha alat ganti kenderaan terpakai minta penjelasan KPDNHEP berkenaan operasi waktu PKP

    Menurut MUVATA, ada beberapa ahli di Johor Bahru telah diarahkan untuk menutup perniagaan serta merta oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) kerana mereka dikatakan tidak termasuk dalam kategori di bawah sektor alat ganti kenderaan. Dalam kenyataan MUVATA, pegawai MBJB yang mengeluarkan arahan itu memberitahu, istilah alat ganti itu hanya untuk mereka yang terlibat dengan alat ganti baru sahaja.

    Situasi hampir sama juga berlaku kepada ahli persatuan di Perak. Polis telah mengatakan kategori perniagaan yang dipilih dalam borang tersebut tidak tepat, dan disebabkan itu, mereka diarahkan tutup. MUVATA memberitahu, mereka sekarang keliru dan ada yang tidak berani untuk beroperasi kerana takutkan saman yang begitu mahal. Ia juga menambah bahawa “garis panduan sepatutnya lebih jelas dan konsisten, jika tidak akan membebankan industri.”

    Pada aspek operasi, MUVATA berharap pihak berkuasa dapat memahami bahawa operasi perniagaan alat ganti terpakai tidak seperti operasi perniagaan alat ganti baru. Mereka perlu melakukan kerja-kerja menceraikan barang bagi mendapatkan alat ganti yang lebih kecil.

    Pengusaha alat ganti kenderaan terpakai minta penjelasan KPDNHEP berkenaan operasi waktu PKP

    “Kami mahu menyatakan bahawa operasi alat ganti baru dan terpakai adalah sangat perlu, bersama bengkel kerana tiada guna bengkel beroperasi, tetapi tidak boleh mendapatkan alat ganti, baru atau terpakai. Sektor lojistik yang turut melibatkan pengangkutan ubat, makanan dan minuman juga memerlukan servis dan baik pulih kenderaan. Jika bekalan alat ganti terganggu, bengkel juga mengalami masalah,” tulis MUVATA dalam kenyataan mereka.

    Menurut kaji selidik dalaman MUVATA, 20% ahli persatuan mereka telah menyatakan tidak dapat bertahan dan terpaksa menutup terus perniagaan sekiranya PKP terus dilanjutkan. Meskipun sektor alat ganti disenaraikan di bawah kategori khidmat perlu (essential), perniagaan ahli persatuan telah menjunam sehingga 70% sewaktu PKP ini.

     
     
  • Hyundai Alcazar dilancar di India – SUV tiga-barisan terima tiga kemasan, dua enjin; harga dari RM91k

    Hyundai Alcazar dilancar di India – SUV tiga-barisan terima tiga kemasan, dua enjin; harga dari RM91k

    Hyundai Alcazar, model SUV tiga-barisan tempat duduk baharu yang diasaskan dari Creta, kini telah pun dilancarkan di India. Malahan konfigurasi tempat duduknya juga boleh ditatapkan dengan beberapa cara. Pelanggan bukan sahaja boleh memilih antara tiga kemasan (Prestige, Platinum dan Signature), malah ia juga diberikan dua larasan tempat duduk, dua enjin dan dua transmisi.

    Bermula dengan penjana kuasa, Alcazar mempunyai pilihan unit 2.0 liter Nu empat-silinder petrol yang mampu memberikan sehingga 159 PS pada 6,500 rpm dan tork 191 Nm pada 4,500 rpm. Selain itu, unit 1.5 liter U2 CRD-i empat-silinder turbodiesel dengan 115 PS pada 4,000 rpm dan tork 250 Nm turut ditawarkan.

    Kedua-dua enjin juga boleh dipadankan sama ada dengan transmisi automatik atau manual enam-kelajuan, bergantung pada pilihan kemasan dan larasan tempat duduk. Spesifik untuk varian automatik ialah pemilihan mod pemanduan (Comfort, Eco dan Sport), mod kawalan cengkaman (Snow, Sand dan Mud), pedal penukar gear dan kawalan kelajuan. Berkaitan dengan konfigurasi, semua model Alcazar adalah pacuan roda-hadapan dan didatangkan dengan tangki minyak 50 liter secara standard.

    Untuk dimensinya, Alcazar berukuran 4,500 mm panjang, 1,790 mm lebar, 1,675 mm tinggi dengan jarak roda cecah 2,760 mm, di mana Hyundai mendakwa ia adalah yang terpanjang dalam segmennya. Untuk sesetengah konteks, Perodua Aruz memiliki tambahan +65 mm bagi panjang dan lebih tinggi (+30 mm), tetapi kurang lebar sebanyak 95 mm dan jarak roda juga kurang 75 mm, berbanding SUV Hyundai ini.

    Hyundai Alcazar dilancar di India – SUV tiga-barisan terima tiga kemasan, dua enjin; harga dari RM91k

    Bagi ruang dalamanya, Alcazar boleh dispesifikkan sama ada enam atau tujuh tempat duduk. Di mana konfigurasi enam tempat duduk adalah dengan bentangan kedudukan 2-2-2 di mana barisan kedua mempunyai tempat duduk kapten. Tempat duduk di antara konsol tengah pula ditempatkan pengecas tanpa wayar, ruang storan dan pemegang cawan. Sementara pilihan tujuh tempat duduk pula menerima bangku yang boleh dipisahkan secara nosbah 60:40 dan memiliki perehat tangan di bahagian tengah – kedua-dua tempat duduk dengan bentangan 50:50 untuk barisan ketiga.

    Bagi kelengkapannya, Prestige didatangkan dengan roda aloi potongan-berlian 17-inci dan juga unit LED bagi lampu utama, lampu nyalaan siang, lampu kabus, lampu posisi dan lampu belakang. Senarai kit juga termasuk upholstery fabrik coklat cognac, paparan kluster instrumen Supervision tujuh-inci, sistem pencahayaan ambien 64-warna, bumbung suria panoramik larasan kuasa kawalan-suara, brek parkir elektronik dengan penahan auto dan kemasukan tanpa kunci serta butang penghidup enjin.

    Lain-lain ciri standard yang diberikan termasuklah pendingin hawa automatik dengan corong untuk ketiga-tiga barisan tempat duduk (barisan ketiga dengan fungsi kawalan kelajuan kipas), air purifier dengan paparan AQI (automatik sahaja), port pengecasan USB untuk ketiga-tiga baridsan, skrin sesentuh infotainmen 10.25-inci dengan navigasi, sistem ketersambungan kereta Hyundai Blue Link, serta sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, dan juga sistem bunyi Arkamys bersama enam-pembesar suara.

    Bagi Platinum pula, ia diberikan tambahan aloi 18-inci, lampu puddle, kluster instrumen digital 10.25-inci, upholstery kulit, kusyen perehat kepala untuk barisan kedua, tempat duduk pemandu larasan kuasa lapan-hala, sistem bunyi Bose dengan enam-pembesar suara dan pemijak sisi (automatik sahaja). Varian tertinggi, Signature pula menerima ciri yang lebih lengkap berbanding Platinum, termasuk elemen rekaan luaran dwi-ton dan tempat duduk hadapan dengan ventilasi.

    Hyundai Alcazar dilancar di India – SUV tiga-barisan terima tiga kemasan, dua enjin; harga dari RM91k

    Klik untuk besarkan

    Untuk keselamatan dan bantuan pemandu, semua model Alcazar didatangkan dengan dua beg udara, ABS, EBD, ESC, pengurusan kestabilan kenderaan, bantuan mula mendaki, sistem pemantauan tekanan tayar, sistem kepekaan kelajuan, pengunci pintu automatik penderia-kelajuan, isyarat berhenti kecemasan, kamera pandang belakang, cagak Isofix dan lampu utama automatik.

    Varian Platinum dan Signature menerima tambahan beg udara tirai dan sisi, bersama monitor pandangan sekeliling, pemantauan titik buta, dan tali pinggang hadapan dengan larasan ketinggian. Sementara Signature ditambahkan dengan ciri penderia parkir hadapan.

    Bagi harganya pula, Alcazar bermula pada 1.63 juta rupee (RM91,097) untuk model asas Prestige dengan penjana kuasa petrol, manual dan tujuh tempat duduk. Manakala yang paling mahal pula ialah Signature dengan penjana kuasa diesel, automatik dan enam tempat duduk yang berharga 1.999 juta rupees (RM111,725).

     
     
  • Subaru WRX 2022 – teaser rasmi akhirnya disiarkan!

    Subaru WRX 2022 – <em>teaser</em> rasmi akhirnya disiarkan!

    Setelah berbagai laporan dan spekulasi, akhirnya Subaru menyiarkan teaser rasmi untuk sedan prestasi baharu berdasarkan Impreza generasi terkini, Subaru WRX 2022, menandakan pendedahan penuhnya akan dibuat tidak lama lagi! Imej yang disiarkan ini memperlihatkan WRX generasi baharu tersebut terselindung di sebalik bayang-bayang, dan hanya menampakkan bahagian bonet hadapan (dan sudah tentu skup bonet ikonik WRX) serta bumbung.

    Garis bumbung model baharu berkenaan nampaknya masih seakan sama dengan model generasi sedia ada. Tetapi sekiranya gambar ini dicerahkan, boleh dilihat bahawa garis tingkap WRX 2022 tersebut menerima rekaan yang berbeza, terutamanya pada bahagian cermin suku belakang.

    Dengan mencerahkan gambar berkenaan juga boleh dilihat WRX generasi baharu ini menerima gril hadapan lebih besar. Skup udara pada bonet juga kelihatan lebih lebar dari sebelum ini. Subaru WRX 2022 ini dikatakan akan menjadi versi produksi dari model konsep Subaru Viziv Performance yang muncul di Tokyo Motor Show 2022.

    Rekaan skup yang terdedah kali ini kelihatan agak sama, jadi boleh dijangka rekaan perincian lain untuk WRX tersebut seperti fender lebih lebar, spoiler kecil di belakang, lampu belakang dan empat tip ekzos turut akan diinspirasikan dari Viziv Performance.

    Model konsep Subaru Viziv Performance

    Seperti juga Impreza, Forester dan Levorg terkini, Subaru WRX generasi seterusnya ini diasaskan dari Subaru Global Platform (SGP). Dalam laporan sebelum ini, model baharu berkenaan dikatakan mempunyai dimensi 4,650 mm panjang, 1,805 mm lebar, 1,450 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,670 mm. Sebagai perbandingan, model generasi sedia ada menampilkan ukuran 4,595 mm panjang, 1,795 mm lebar, 1,475 mm tinggi, dan jarak roda 2,650 mm.

    Untuk penjana, WRX 2022 ini dijangka bakal menerima enjin boxer empat silinder baharu FA24F 2.4 liter turbo, asas yang sama menjana model terkini Subaru Ascent. Untuk WRX, enjin berkenaan dilaporkan akan ditala bagi menghasilkan 290 PS dan tork maksima 412 Nm, jauh lebih berkuasa dari enjin FA20F 2.0 liter turbo pada WRX sedia ada yang menjana 268 PS dan tork 350 Nm.

    Model dengan transmisi automatik dijangka akan terus menggunakan kotak gear CVT, serta ia masih ditawarkan dalam versi kotak gear manual enam-kelajuan. Seperti model generasi pertama GC8, sistem pacuan semua roda semestinya adalah wajib untuk WRX.

    Selepas Subaru WRX 2022 ini didedahkan kelak, boleh dijangka versi lebih berkuasa WRX STI akan menyusul selepas itu. Ia bukan sahaja akan menampilkan rupa yang lebih agresif, malah menerusi pelbagai laporan sebelum ini menyatakan enjin FA24F pada model STI tersebut akan ditala bagi menghasilkan 400 PS dan tork maksima 490 Nm, dengan menjadikan Mercedes-AMG A 45 S W177 yang berkuasa 421 PS dan tork 500 Nm sebagai kayu ukur.

    GALERI: Subaru Viziv Performance Concept di Tokyo Motor Show 2017

    GALERI: Subaru Viziv Performance STI Concept di Tokyo Auto Salon 2018

     
     
  • Moratorium pinjaman tertakluk kadar faedah — Zafrul

    Moratorium pinjaman tertakluk kadar faedah — Zafrul

    Moratorium bayaran balik selama enam bulan di bawah pakej Pemulih bernilai RM150 bilion yang diumumkan oleh Perdana Menteri semalam adalah bertujuan untuk membantu peminjam untuk menangguhkan bayaran semula pinjaman kepada suatu tarikh lain kemudiannya. Tetapi, ini tidaklah ditawarkan tanpa kadar faedah, seperti dijelaskan oleh menteri kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

    Bercakap kepada pemberita ketika taklimat secara maya hari ini, beliau menjelaskan perkara itu bergantung kepada bank untuk di tentukan sekiranya mereka ingin menghapuskan caj faedah. Beliau memaklumkan, kaedah pembayaran semula — termasuk caj kadar faedah — adalah berbeza mengikut setiap kes, dan perlu ditentukan antara bank dan peminjam, lapor The Star.

    “Peminjam perlu berbincang dengan bank yang terlibat. Saya tiada jawapan, tetapi caj faedah akan berbeza dari satu bank dan bank yang lain, serta mengikut produk. Setiap bank mempunyai skim yang berbeza untuk peminjam mereka, itu andaian saya. Saya tidak mengurus secara mikro bank-bank ini,” jelasnya.

    Tidak seperti moratorium yang diluluskan ketika PKP pertama tahun lalu, moratorium terbaru ini adalah untuk semua, dari kelompok B40 hinggalah T20 dan juga perusahaan mikro. Untuk layak, tidak perlu disertakan bukti pengurangan gaji atau kehilangan pekerjaan, dan tiada sebarang dokumen diperlukan.

    Permohonan akan dibuka pada 7 Julai, dan peminjam hanya perlu memohon melalui bank mereka dan menandatangani borang persetujuan pinjaman yang melibatkan perubahan berkaitan. Kelulusan adalah secara automatik bagi semua peminjam persendirian. Perusahaan kecil dan sederhada (SME) juga boleh memohon, tetapi bagi syarikat, ia tertakluk kepada penilaian oleh bank (tidak diberikan secara automatik).

     
     
  • Honda Civic Si 2022 hanya ditawarkan sebagai sedan

    Honda Civic Si 2022 hanya ditawarkan sebagai sedan

    Honda Civic varian prestasi khas untuk pasaran Amerika Syarikat, Civic Si untuk generasi sebelum ini sememangnya ditawarkan dalam versi sedan dan coupe. Tetapi untuk model generasi baharu nampaknya ia hanya ditawarkan dalam bentuk badan sedan kerana Civic coupe sudah tidak lagi dihasilkan, dan Honda tidak akan menawarkan varian berkenaan dalam badan Civic Hatchback.

    Perkara ini telah disebut dalam satu pertanyaan dan dijawab oleh akaun rasmi Twitter Honda Kanada dengan kenyataan “hanya versi sedan ditawarkan untuk Si”. Ia turut disahkan lagi dalam laporan oleh Autoblog yang menyatakan tidak akan ada Civic Si dalam badan Hatchback walaupun produksi model lima pintu generasi baharu berkenaan dibuat di Amerika Syarikat dan bukan lagi di UK.

    Agak menghairankan sebenarnya mengapa Civic Si ini tidak ditawarkan dalam versi Hatchback kerana model berkenaan bukan sahaja menampilkan bentuk badan lebuh sporty, malah turut sememangnya ditawarkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan.

    Buat masa sekarang, Civic sedan 2022 dalam empat varian biasa hanya ditawarkan dengan kotak gear CVT, manakala model Si dengan kotak gear manual hanya dilaporkan akan dijual bermula Oktober nanti.

    Juga masih tiada sebarang perincian berkenaan enjin yang akan menjana model Si berkenaan. Untuk model generasi sebelum ini, Civic Si menerima enjin 1.5 liter VTEC Turbo yang sama seperti model standard, tetapi ditala bagi menghasilkan 205 hp dan tork maksima 260 Nm.

    Bagi model standard generasi ke-11, enjin VTEC Turbo yang sama sudah pun menjana 180 hp dan tork maksima 240 Nm, 6 hp/20 Nm lebih berkuasa dari model generasi ke-10. Jadi tak mustahil Si juga akan menerima lebih peningkatan kuasa kuda, atau mungkin sekadar menerima talaan yang diperhalusi.

    GALERI: Honda Civic Sedan 2022

    GALERI: Honda Civic Hatchback 2022

     
     
  • Toyota tambah alat ganti yang dihasilkan semula untuk Supra A70 dan A80 dalam program GR Heritage Parts

    Toyota telah mengumumkan bahawa mereka kini menambah lagi bilangan alat ganti yang diproduksi semula untuk kereta sport Supra generasi ketiga (A70) dan generasi keempat (A80) dalam program GR Heritage Parts yang sebelum ini telah pun dilancarkan pada tahun lalu.

    Program ini bukan hanya ditawarkan untuk pasaran Jepun, Amerika Utara dan Eropah, malah pelanggan dari pasaran lain turut boleh membeli barisan komponen alat ganti berkenaan, dan ia sebelum ini turut menawarkan pelbagai komponen untuk kereta sport 2000GT.

    Antara komponen alat ganti tambahan yang ditawarkan dalam program ini untuk Supra A70 adalah silinder utama untuk pam klac, silinder pelepas klac, hos brek, hos pemanas, dan juga tombol panel kawalan sistem pendingin hawa; kesemua ini akan mula dijual bulan hadapan.

    Ia akan diikuti dengan emblem hadapan yang dibuat semula menggunakan material enamel yang akan mula dijual pada bulan Ogos, selepas itu disusuli dengan perapi-perapi pelindung sisi, emblem belakang, kemasan pintu hadapan serta bushing untuk lengan bawah suspensi hadapan.

    Manakala untuk Supra A80 pula komponen tambahan yang diproduksi semula termasuk penderia oksigen (O2 sensor) yang akan mula dijual pada bulan Julai, diikuti dengan bampar hadapan seawal bulan Ogos. Walau bagaimanapun Toyota turut memberitahu produksi semula komponen-komponen ini akan dibuat dalam jumlah terhad kerana ia adalah projek yang dibuat dengan kerjasama khas dari vendor-vendor mereka, jadi pelanggan perlu mendapatkannya sebelum kehabisan stok.

    Senarai penuh alat ganti yang ditawarkan ini boleh anda semak di laman sesawang rasmi GR Heritage Parts. Buat masa sekarang 2000GT merupakan model yang menerima pilihan alat ganti yang diproduksi semula paling banyak antara tiga model yang ditawarkan dalam program ini.

    Toyota juga mengalu-alukan pelanggan untuk membuat cadangan komponen alat ganti yang mana lagi perlu mereka hasilkan semula, namun mereka akan menilai semula senarai cadangan berkenaan berdasarkan permintaan yang diterima.

     
     
  • Penutupan laluan plaza tol Jelapang Utara dilanjutkan

    PLUS telah mengumumkan lanjutan penutupan sementara laluan masuk di plaza tol Jelapang Utara di Ipoh. Penutupan tersebut, yang bermula sejak bulan Mei sepanjang tempoh PKP 3.0 di bawah arah pihak polis, sepatutnya ditamatkan pada 28 Jun. Ia kini dilanjutkan untuk satu tempoh yang tidak dinyatakan.

    Penutupan ini akan memberi kesan kepada pengguna yang ingin memasuki Lebuhraya Utara Selatan menuju ke Pulau Pinang. PLUS juga telah mencadangkan dua laluan alternatif untuk memasuki lebuhraya itu, bergantung arah pengguna dari mana di Meru.

    Satu melalui Persimpangan Meru (laluan putaran besar yang melintasi Bandar Meru Raya dan perkuburan Islam) dan satu lagi fi persimpangan berhampiran Carsem, yang lebih dekat jika datang dari arah Jelapang. Kedua-duanya akan membawa pengguna memasuki Lebuhraya Utara Selatan.

    Warga Malaysia ketika ini masih belum dibenarkan untuk melakukan perjalanan rentas negeri sejak 10 Mei lalu, dua hari sebelum PKP 3.0 bermula. Ini kemudiannya diperketatkan kepada PKP penuh bermula 1 Jun, yang menyaksikan hanya pergerakan 10 km radius dibenarkan.

    Bila kita akan dibenarkan untuk merentas negeri semula? Setakat ini, tiada sebarang tarikh diberikan dan mungkin saja bukan dalam masa terdekat. Kita masih di dalam fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN); pergerakan rentas daerah hanya akan dibenarkan selepas kita memasuki fasa 3 kelak, manakala pergerakan rentas negeri hanya boleh dilakukan selepas kita memasuki fasa keempat. Untuk ini berlaku, kes harian perlu turun ke angka 500 dan 60% populasi negara sudah divaksin — jangkaannya mungkin pada Oktober nanti.

     
     
  • SPYSHOT: Volkswagen ID. Buzz produksi terdedah

    SPYSHOT: Volkswagen ID. Buzz produksi terdedah

    Kali pertama Volkswagen memberitahu mereka akan mengeluarkan van ID.Buzz kepada pasaran adalah empat tahun lalu, dengan menunjukkan model konsep terlebih dahulu. Sekarang dengan ID.3 dan ID.4 sudah memasuki fasa produksi, mungkin tiba pula waktu untuk ID.Buzz seterusnya.

    Bukti kepada perkara ini sudah ada. Pengguna Instagram dengan nama @red.david telah menghantar gambar model prototaip dengan badan versi produksi kepada jurugambar risikan kami, CarPix. Model tersebut kelihatan hampir lengkap dan mempunyai banyak persamaan dengan model konsep I.D. Buzz Cargo yang didedah sebelum ini.

    Sudah tentu, Volkswagen belum mahu menunjukkan semua bahagian van ini kepada orang ramai waktu ia diuji, dan mereka telah menggunakan pelekat bagi menyembunyikan logo jenama serta bentuk beberapa bahagian seperti gril. Lampu juga bukanlah lampu sebenar jika anda perhatikan lebih terperinci.

    Di sebalik pelekat yang digunakan bagi memperdaya orang ramai ini, anda boleh melihat bentuk sebenar yang menghampiri model konsep. Bukan sahaja di hadapan, belakang juga sama. Selain daripada itu, kita juga boleh melihat ID.Buzz produksi ini duduk lebih rendah dan lebih pendek berbanding T6 Multivan di sebelahnya. Model ini dalam gambar adalah versi panel yang tidak mempunyai cermin tepi di belakang.

    ID.Buzz menggunakan platform Modular Electric Toolkit (MEB) sama seperti ID.3 dan ID.4, dan pilihan enjin juga mungkin sama. Ini termasuklah motor elektrik 150 kW (204 PS) di belakang dalam keadaan standard, serta pilihan pacuan semua roda dengan tambahan motor di hadapan. Pada ID.4 GTX, versi pacuan semua roda mampu menghasilkan kuasa 80 kW (109 PS) dan memberikan kuasa keseluruhan 220 kW (299 PS). Pilihan bateri pula antara 48 hingga 111 kWh, dengan jarak gerak yang boleh mencecah 550 km.

    GALERI: Volkswagen I.D. Buzz Concept

     
     
  • Toyota RAV4 2022 di Australia – lampu kabus LED, tempat duduk kuasa, enjin start-stop kini standard

    Toyota RAV4 2022 di Australia – lampu kabus LED, tempat duduk kuasa, enjin start-stop kini standard

    Toyota Australia telah mengumumkan sedikit naiktaraf untuk RAV4 2022, di mana setiap model dalam barisannya, termasuk model petrol dan hibrid kini menerima pengayaan dan teknologi yang dipertingkatkan. Produksi bagi model ini akan bermula pada Disember 2021, tetapi dijangka harga dan fotonya akan didedahkan tidak lama lagi.

    Kini, semua varian dinaiktaraf dengan lampu kabus LED secara standard, sementara model hibria akan menerima rekaan lampu utama baharu dengan ‘meningkatkan’ penglihatan untuk waktu malam. Bagi model petrol pula, ia diberikan sistem enjin start-stop secara standard, dan juga rekaan roda aloi baharu untuk kebanyakan varian.

    Di dalamnya, varian RAV4 Cruiser akan ditambah dengan tempat duduk hadapan larasan kuasa lapan-hala, termasuk tiga-fasa fungsi ventilasi dan cermin pandang belakang digital. Suis pintu untuk model GXL, Cruiser dan Edge juga tampil dengan ciri iluminasi buat pertama kali.

    Bagi model tertinggi RAV4 Edge pula, ia menerima sistem keselamatan yang dipertingkatkan dengan tambahan brek sokongan parkir, selain sistem kepekaan lintasan-trafik belakang sedia ada.

    Toyota RAV4 Hybrid Cruiser

    Pilihan bukan-hibrid termasuklah penjana kuasa 2.0 liter atau 2.5 liter empat-silinder. Untuk enjin 2.0 liter, ia memberikan 173 PS pada 6,600 rpm dan tork 203 Nm pada 4,400 hingga 4,900 rpm. Sementara bagi enjin 2.5 liter pula, ia mampu menghasilkan sejumlah 207 PS pada 6,600 rpm dan tork 243 Nm pada 4,000 hingga 5,000 rpm.

    Transmisi manual enam-kelajuan ditawarkan untuk model asas, tetapi untuk yang lain akan menerima CVT. Hanya varian tertinggi 2.5 Edge akan menerima kotak gear automatik lapan-kelajuan. Manakala model hibrid pula menerima veris tunggal dengan enjin 2.5 liter, di mana ia mampu menghasilkan 218 PS untuk model 2WD atau 222 PS bagi model AWD.

    Timbalan presiden operasi jualan, pemasaran dan francias Toyota Australia, Sean Hanley berkata, “RAV45 adalah gabungan antara gaya dan praktikaliti, dan penjana kuasa hibrid pula sangat sesuai untuk pembeli dan peningkatan ini menambahkan lagi daya tarikannya.”

     
     
  • Syarikat e-hailing AirAsia bakal guna Alphard, Vellfire?

    Syarikat e-hailing AirAsia bakal guna Alphard, Vellfire?

    Ketua pegawai eksekutif AirAsia Group, Tony Fernandes, melalui laman media sosial beliau telah menunjukkan satu gambar awal barisan kenderaan syarikat e-hailing baru beliau yang akan beroperasi tidak lama lagi.

    Dalam gambar itu terdapat 10 MPV yang terdiri daripada model Toyota Vellfire dan Alphard, dan memberikan petunjuk bahawa kenderaan tersebut akan digunakan oleh AirAsia untuk menghantar penumpang.

    Fernandes turut memberitahu, “ride-hailing gaya AirAsia adalah berbeza daripada Grab dan Uber. Budaya berbeza, kabin berbeza dan banyak lagi.” Uber sekarang sudah tiada di Malaysia selepas Grab membeli semua kepentingan syarikat itu yang berkaitan dengan e-hailing serta penghantaran makanan di Asia Tenggara.

    Dalam muat naik tersebut, Fernandes turut menyatakan, “AirAsia sentiasa adalah sebuah syarikat penghantar, menghantar (melalui kapal terbang) orang ke destinasi sekitar dunia, [dan sekarang] menghantar makanan, pakej, produk fintech serta juga pembelajaran atas talian. Sekarang, pergi ke jalan pula.” Beliau bagaimanapun tidak memberitahu perincian lebih lanjut.

    Selain daripada berita e-hailing atas jalan biasa ini, Bloomberg juga sebelum ini pernah mengeluarkan laporan bahawa AirAsia mempunyai perancangan untuk mengadakan servis teksi terbang dan ia akan sedia tahun hadapan.

     
     
  • Adient Malaysia buka kilang baru bernilai RM10 juta di Melaka, eksport perehat kepala ke Thai dan Indonesia

    Adient Malaysia buka kilang baru bernilai RM10 juta di Melaka, eksport perehat kepala ke Thai dan Indonesia

    Pembekal komponen automotif tempatan, Adient Automotive Seating telah mengumumkan pembukaan kilang busa baharunya bernilai RM10 juta terletak di Alor Gajah, Melaka yang menghasilkan sistem penahan kepala untuk tempat duduk kenderaan bagi pasaran eksport dan tempatan.

    Buat masa sekarang, komponen yang dihasilkan berkenaan sudah pun eksport untuk kegunaan di pasaran Thailand dan juga Indonesia. Menurut syarikat tersebut, kilang baharu ini dilengkapi dengan teknologi pembuatan busa termaju, serta dibantu janaan tenaga boleh diperbaharui menerusi sistem pengumpulan air hujan dan juga panel solar.

    Selain itu, kilang berkenaan turut menampilkan kelengkapan kilang yang menerima pengiktirafan kadar penggunaan kuasa lima bintang bagi memastikan ia menghasilkan pencemaran karbon yang rendah serta pencahayaan yang menggunakan teknologi LED sepenuhnya.

    Adient turut mendakwa bahawa fasiliti baharu mereka ini merupakan yang pertama di Malaysia dilengkapi dengan Hydra Manufacturing System, iaitu teknologi pintar yang memungut pelbagai data yang banyak dari pelbagai kelengkapan pada masa sebenar.

    Adient Malaysia buka kilang baru bernilai RM10 juta di Melaka, eksport perehat kepala ke Thai dan Indonesia

    Data-data ini boleh diakses sama ada di lapangan mahu pun secara jarak jauh, membolehkan pekerja-pekerja mengesan kemungkinan untuk berlaku kerosakan pada produk yang sedang dihasilkan serta puncanya secepat yang mungkin.

    Selain dari pendekatan menggunakan teknologi ini, pengarah urusan Adient Malaysia, AJ Dabydin turut menyatakan bahawa ia masih menerapkan tenaga manusia sebagai asas penting kepada sistem automasi yang direka.

    “Ada keperluan untuk mengasah semula dan meningkatkan kepakaran operator untuk interaksi manusia dan mesin yang efektif serta kemudian memastikan mereka selamat menerusi susun atur kilang yang membolehkan jarak fizikal satu-meter dan juga laluan logistik yang dibuat secara berhati-hati,” katanya.

    “Sejak 1983, kami telah melabur secara konsisten untuk menambahbaik serta mengembangkan kebolehan serta kapasiti operasi pembuatan kami di Malaysia dan dengan kilang busa baharu kami di Alor Gajah, kami telah naik untuk menjadi hab eksport automotif untuk rantau Asia Tenggara. Menerusi inisiatif sendiri, kami akan memacu lokalisasi komponen, membangunkan pembekal tempatan, dan menghasilkan lebih banyak peluang pekerjaan serta hasil eksport untuk rakyat Malaysia dan Malaysia,” tambah Dabydin.

     
     
  • Honda Prologue – SUV elektrik baharu untuk Amerika Syarikat, bakal dipasarkan pada awal tahun 2024

    Honda Prologue – SUV elektrik baharu untuk Amerika Syarikat, bakal dipasarkan pada awal tahun 2024

    Honda telah mendedahkan nama untuk kenderaan elektrik pertamanya yang bakal memasuki pasaran Amerika Syarikat pada awal tahun 2024. Honda Prologue bakal menjadi salah satu daripada dua SUV elektrik-bateri yang pengeluar ini akan perkenalkan di Amerika Utara, di mana satu lagi akan ditawarkan di bawah lambang Acura.

    Prologue dan model Acura yang belum diberi nama itu akan menjadi model pertama yang dibangunkan hasil kerjasama strategik antara Honda dengan General Motors. Selain nama, tiada perincian lain yang didedahkan, namun Honda berkata info lebih spesifik untuk kenderaan baharu tersebut akan dikeluarkan pada bulan yang akan datang.

    Apa yang diketahui kenderaan terbabit dibangunkan dengan platform EV modular keluaran GM dan akan menggunakan teknologi bateri Ultium keluaran Amerika. Walau bagaimana pun, rekaan luaran dan dalaman bagi kedua-dua model berkenaan dilakukan oleh Honda bagi memastikan tahap konsisten untuk semua barisan produknya.

    Honda Prologue – SUV elektrik baharu untuk Amerika Syarikat, bakal dipasarkan pada awal tahun 2024

    Syarikat ini turut berkata, Prologue, seperti nama yang diberi, akan dielektrifikasikan, sebagai pendahulu bagi pengenalan model EV siri baharu untuk separuh pertama dekad ini. Ia akan menjadi asas untuk platform EV modular global e:Architecture baharu, yang dijangka akan digunakan untuk beberapa model dengan bentuk badan dari crossover hingga ke sedan. Kemudian model ini juga akan memasuki pasaran lain secara lebih meluas di seluruh dunia.

    Dengan Prologue yang bakal diperkenalkan, Honda berkata mereka akan terus memperkenalkan sistem hibrid hingga ke lebih banyak model teras sebagai kaedah untuk mendekatkan pelanggan ke peralihan yang tidak dapat dielakkan. “Kami tahu pelanggan yang mempunyai pengalaman baik dengan kenderaan hibrid akan cenderung membeli kenderaan elektrik-bateri pada masa depan. Strategi kami akan memfokuskan untuk memperkenalkan peratusan hibrid yang lebih tinggi dalam model teras untuk masa terdekat ini, sesuai dengan pengenalan Prologue,” ujar Dave Gardner, timbalan presiden eksekutif Honda Amerika.

    Pada April lalu, CEO dan presiden baharu Honda, Toshihiro Mibe berkata syarikat ini merancang untuk meningkatkan pengeluaran model EV dan kenderaan elektrik janaan-sel (FCV) ke 40% dalam pasaran utama seperti Amerika Syarikat dan China menjelang tahun 2030. Kemudian ia akan dipertingkatkan ke 80% menjelang 2035, dan 100% di peringkat global menjelang 2040.

     
     
  • E-Legend EL1 – kereta sport elektrik inspirasi Audi Sport Quattro, 804 hp, hanya 30 unit, sekitar RM5 juta

    E-Legend EL1 – kereta sport elektrik inspirasi Audi Sport Quattro, 804 hp, hanya 30 unit, sekitar RM5 juta

    Pembuat kereta elektrik dari Jerman, E-Legend telah memperkenalkan model produksi baharunya yang digelar sebagai E-Legend EL1. Nampak macam kenal? Ya, rekabentuk keseluruhan kereta sport elektrik ini sebenarnya diinspirasikan dari Audi Sport Quattro, asas kepada rasaksa era Group B Kejuaraan Rali Dunia (WRC), Audi Sport Quattro S1.

    Rupa yang seakan Sport Quattro tersebut dihasilkan menerusi bentuk badannya yang seakan sama, serta perincian-perician lain seperti bonet dengan tiga liang udara, perumah lampu hadapan segi empat, jalur LED lampu nyalaan siang pada bampar dengan perumah seakan liang udara empat segi pada Sport Quattro sebenar, serta otot-otot pada setiap fender seakan lengkuk asal fender Audi klasik berkenaan.

    Manakala di belakang, ia menampilkan panel seakan lampu dan kemasan dari Sport Quattro, dengan jalur lampu LED ditambah pada keseluruhan sekeliling panel berkenaan. Rupa luaran E-Legend EL1 ini dilengkapkan dengan rim berwarna putih lima jejari bersaiz 19-inci di hadapan dan 20-inci di belakang.

    E-Legend EL1 – kereta sport elektrik inspirasi Audi Sport Quattro, 804 hp, hanya 30 unit, sekitar RM5 juta

    Tidak banyak perincian dalaman didedahkan. Apa yang dapat dilihat adalah kabin kereta tersebut diberikan roda stereng tiga jejari berkembar dengan penanda pukul 12 berwarna kuning, papan pemuka bersegi dengan skrin untuk paparan instrumen digital, skrin infotainmen pada bahagian tengah serta dua skrin di hujung kiri dan kanan memaparkan visual dari kamera pandang belakang yang menggantikan cermin konvensional.

    Kereta elektrik ini digerakkan dengan tiga motor elektrik; satu pada gandar hadapan dan dua di belakang menjadikan ia jentera pacuan semua roda, dengan kuasa keseluruhan yang dihasilkan adalah 804 hp (600 kW/816 PS). Dengan berat 1,680 kg, EL1 boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 2.8 saat, dan mencapai kelajuan 200 km/j tidak sampai 10 saat.

    Model kelahiran semula Audi Sport Quattro S1 ini menggunakan asas teknologi 800-volt yang sama seperti Porsche Taycan dengan pek bateri 90 kWj. Jadi ia turut boleh menggunakan caj cepat seperti kereta sport Porsche berkenaan, dan membekalkan kuasa untuk bergerak sejauh 400 km untuk satu caj penuh.

    E-Legend EL1 – kereta sport elektrik inspirasi Audi Sport Quattro, 804 hp, hanya 30 unit, sekitar RM5 juta

    Bateri tersebut turut menampilkan sistem penyejukkan cecair termaju, membolehkan EL1 ini dibelasah secukupnya dengan mod pemanduan SportPlus sepanjang dua lap penuh di litar Nürburgring Nordschleife tanpa masalah. Pengendalian kereta elektrik ini turut dibantu dengan sistem torque vectoring yang mengagihkan tork pada setiap roda mengikut situasi dan keperluan.

    E-Legend hanya akan menghasilkan 30 unit EL1 dan dijangka akan siap diproduksi tahun hadapan. Oleh itu, ia dijual pada harga yang agak mahal iaitu lebih dari 1 juta Euro (RM4.9 juta). Syarikat berkenaan turut merancang untuk menghasilkan model EL2 dan EL3, di mana salah satunya akan menampilkan rekaan seakan satu lagi jentera rali era Group B iaitu Lancia Stratos HF Stradale.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025