Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Jualan kereta di Malaysia pada Jun dijangka hampir sifar, industri hilang pendapatan sekitar RM3.44b

    Jualan kereta di Malaysia pada Jun dijangka hampir sifar, industri hilang pendapatan sekitar RM3.44b

    Susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 lockdown penuh fasa pertama bermula awal Mei lalu, semua bilik pameran dan kilang pengeluaran terpaksa menghentikan operasi masing-masing. Disebabkan itu, dijangka tiada kereta yang dapat dijual sepanjang bulan ini. Sekaligus menyebabkan industri automotif negara dianggar kehilangan pendapatan sekitar RM3.44 bilion pada Jun jika jangkaan tiada jualan direkodkan bulan ini, laporan Berita Harian.

    Walaupun kebanyakan pengeluar memperkenalkan platform pembelian dalam talian termasuk e-showroom, kekangan proses dokumentasi bagi pinjaman dan pendaftaran boleh menjadi penyebab urusan jual beli mungkin tertangguh. Malahan pada bulan April lalu, hanya 141 pendaftaran kereta baharu yang berjaya direkodkan.

    Menurut Kenanga Research dalam nota penyelidikan, hanya beberapa unit dapat didaftarkan menerusi sistem e-Daftar Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi pembelian kenderaan dengan pinjamannya telah dipersetujui menerusi surat aku janji (LOU). “Penyelesaian pendaftaran adalah penting untuk mengelak perjanjian tidak luput, yang apabila terjadi memerlukan proses dilakukan sekali lagi,” katanya.

    Akhbar tersebut turut melaporkan, Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad, berkata jangkaan tanpa jualan mungkin berlaku ketika semua bilik pameran dan rantaian pengeluaran ditutup sementara dengan kekurangan cip komputer juga menjejaskan beberapa pengeluar.

    “Jika ada stok di bilik pameran, kakitangan masih boleh mendaftar dengan JPJ dalam talian. Bagaimanapun, saya tidak fikir ia akan membabitkan jumlah yang besar,” katanya.

    Jualan kereta di Malaysia pada Jun dijangka hampir sifar, industri hilang pendapatan sekitar RM3.44b

    Sambung Kenanga Research lagi, walaupun berdepan kemungkinan tiada jualan direkodkan bulan ini, firma penyelidik itu mengekalkan saranan ‘neutral’ dengan sasaran TIV tahun ini 545,000 unit.

    “Sasaran pertumbuhan TIV tahun ini yang tiga peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu akan dipacu lanjutan pengecualian cukai jualan kereta penumpang sehingga akhir tahun ini. Sasaran ini dapat dicapai meskipun jualan terjejas akibat penutupan bilik pameran dan pengeluaran dihentikan ketika tempoh sekatan pergerakan penuh fasa pertama. Ia akan diimbangi bekalan mencukupi bagi model baharu untuk memperoleh margin lebih baik,” katanya.

    Sentimen ini turut dikongsikan oleh CGS-CIMB, yang berkata, firma penyelidik itu masih menjangkakan perolehan sektor automotif kembali melonjak dengan pertumbuhan keuntungan bersih 34% lebih tinggi tahun ini. Walau bagaimana pun, TIV pada separuh kedua tahun ini dijangka lebih kukuh disokong pengecualian cukai kereta penumpang.

    Sementara itu, TA Securities, pula berkata, pelaksanaan program vaksinasi yang berkesan menjadi petanda baik kepada jualan kenderaan. Di mana jualan juga akan meraih momentum hasil pemulihan ekonomi, persekitaran kadar faedah yang akomodatif dan pelancaran model baharu. Dengan ramalan TIV bagi tahun ini kekal kepada 627,000 iaitu 18.4% lebih tinggi berbanding tahun lalu.

     
     
  • Barisan SUV Toyota diperjelas — kedudukan Rush, Corolla Cross, Fortuner, RAV4, Harrier serta pesaing

    Barisan SUV Toyota diperjelas — kedudukan Rush, Corolla Cross, Fortuner, RAV4, Harrier serta pesaing

    Tanpa ada satu strategi jelas untuk pasaran SUV untuk sekian lama, Toyota kini mempunyai barisan model yang agak menarik untuk pasaran Malaysia, meliputi pelbagai saiz dan tanda harga. Bermula dari crossover dengan harga yang relatif mampu milik hinggalah kepada 4×4 body-on-frame yang lasak, serta beberapa penawaran yang lebih premium, Toyota ada sesuatu untuk sebahagian besar pengguna.

    Dengan jumlah model baru yang semakin banyak dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, barisan SUV Toyota boleh jadi sedikit mengelirukan untuk difahami. Untuk itu, kami sediakan garis panduan ringkas ini untuk memudahkan anda memahami corak penawaran bagi setiap satu model SUV Toyota yang ada dalam pasaran. Untuk membantu anda membuat keputusan pembelian yang lebih tepat, kami juga akan menyertakan sekali model-model pesaing utama yang ada.

    Toyota Rush

    Barisan SUV Toyota diperjelas — kedudukan Rush, Corolla Cross, Fortuner, RAV4, Harrier serta pesaing

    Merupakan model SUV paling mampu milik daripada Toyota. Juga merupakan sebuah SUV tujuh-tempat duduk yang mengutamakan fungsi dan penggunaannya, dan memanfaatkan binaan casis ladder frame. Menjadi antara model utama untuk barisan kenderaan Toyota jenis ini, Rush menjadi pilihan yang agak popular beberapa tahun ini, terutamanya bagi kalangan pengguna yang hanya inginkan sebuah kenderaan keluarga yang boleh diharap dan prihatin terhadap bajet dan kewangan mereka.

    Diperkenalkan pada tahun 2018, model terkininya menampilkan rekaan lebih menawan, bahagian dalaman lebih kontemporari serta beberapa ciri baru untuk kemudahan seperti sistem tanpa kunci dan kawalan pendingin automatik berbanding model lama. Ia juga dikuasakan oleh enjin 1.5 liter 2NR-VE NA Dual VVT-i, menghasilkan 105 PS dan 136 Nm tork. Pacuan dihantar ke roda belakang melalui transmisi empat-kelajuan automatik. Baru untuk tahun 2021 ialah warna Red Metallic, yang menggantikan warna Dark Green Metallic sebelum ini.

    Mungkin peningkatan yang paling perlu diperhatikan ialah aspek keselamatan. Semua model datang dengan enam beg udara, kawalan kestabilan, dan peninjau titik buta, dengan varian 1.5G yang lebih mahal juga dilengkapi dengan brek kecemasan automatik dan Kawalan Salah Operasi Pedal. Semua ciri ini menyumbang kepada rating keselamatan ASEAN NCAP lima-bintang bagi Rush.

    Dijual pada harga antara RM88,314 dan RM91,885 atas jalan tanpa insurans, Rush berada pada lingkungan harga yang lebih murah berbanding sebelum ini. Bagaimanapun, kedudukannya dalam pasaran sedikit terganggu oleh kembarnya, Perodua Aruz, yang dijual pada harga RM20,000 lebih murah. Sebab itu Rush agak jarang dilihat di atas jalan raya di sini, tetapi diterima dengan lebih baik di Malaysia Timur di mana jenama Toyota mempunyai imej yang lebih dipercayai.

    Selain Aruz, Honda BR-V menjadi pesaing lain bagi Rush, walaupun model itu menggunakan binaan platform monocoque dengan karektor lebih cenderung kepada kereta; ia juga tidak datang dengan senarai kelengkapan keselamatan yang banyak seperti ditawarkan Toyota. Bagi pesaing tidak langsung dengan lima-tempat duduk pula, Proton X50 menawarkan tahap teknologi, prestasi dan kecanggihan yang lebih baik berbanding Rush, sementara Perodua Ativa menyediakan pilihan yang lebih murah untuk sesebuah SUV bagi mereka yang tidak memerlukan tiga barisan tempat duduk.

    Toyota Corolla Cross

    Barisan SUV Toyota diperjelas — kedudukan Rush, Corolla Cross, Fortuner, RAV4, Harrier serta pesaing

    Antara model yang dinantikan ialah Corolla Cross, tiba di pasaran tempatan awal tahun ini dan akhirnya meletakkan Toyota di tengah segmen utama pasaran SUV. Dengan harga yang kompetitif, dari RM124,000 hingga RM129,266, model ini berada di posisi atas segmen B walaupun saiznya lebih besar; ini pula belum lagi melibatkan pengenalan model CKD tempatan, yang akan menjadikan harganya lebih rendah. Hal itu telah menarik perhatian pembeli, walaupun dengan model CBU sepenuhnya telah habis dijual, dan Toyota juga mula mengambil tempahan untuk versi CKD.

    Walaupun menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA), Corolla Cross adalah lebih murah untuk dibangunkan berbanding model yang digantikannya, C-HR yang lebih kecil dan mahal. Ini kerana ia menggunakan sistem gantungan jenis torsion beam di belakang berbanding jenis double wishbones pada C-HR, membolehkannya dijual pada harga RM20,000 lebih rendah.

    Walaupun ia mengunakan nama Corolla, rekaan besar pada model ini dengan gril yang luas menunjukkannya lebih mirip RAV4, yang akan kita tinjau juga selepas ini. Namun, papan pemuka ruang dalamannya kekal sama seperti yang ada pada model sedan berkenaan. Kedua-dua varian 1.8G dan 1.8V menerima kemasan balutan kulit, kerusi pemandu berkuasa dan skrin sentuh infotainmen sembilan-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, walaupun cuma varian V yang menerima lampu depan dan belakang LED serta rim aloi dua-tona 18-inci. Ia juga satu-satunya yang datang dengan Toyota Safety Sense lengkap, termasuk kawalan melayar adaptif dan bantuan membetulkan lorong.

    Unit janaan kuasanya sama dengan Corolla sedan — 2ZR-FE 1.8 liter NA Dual VVT-i yang menghasilkan 139 PS dan 172 Nm ke roda depan melalui CVT. Varian hibridnya juga dijangka diperkenalkan dalam bentuk CKD, yang menggabungkan enjin Atkison Cycle 98 PS/142 Nm dengan motor elektrik 72 PS/163 Nm untuk memberikan output sistm 122 PS.

    Pesaing paling rapat Corolla Cross ialah Honda HR-V, yang dijual pada harga lebih rendah dan juga saiznya lebih kecil, serta kurang ciri keselamatan dan sudah tiba masa untuk model gantiannya. Mazda CX-3 dan Hyundai Kona pula berada dalam kelompok harga yang sama, tetapi dalam saiz yang lebih kecil. Sementera Mazda CX-30 pula sedikit lebih mahal. Model Toyota yang ini juga boleh dijadikan sebagai alternatif kepada model SUV segmen C seperti Honda CR-V dan Mazda CX-5.

    Toyota Fortuner

    Barisan SUV Toyota diperjelas — kedudukan Rush, Corolla Cross, Fortuner, RAV4, Harrier serta pesaing

    Jika anda inginkan sebuah SUV 4×4 yang menggunakan asas dari trak pikap, Fortuner untuk sekian lama menjadi pilihan yang paling popular dan selamat. Apalagi ia menggunakan asas dari sebuah model trak pikap Hilux yang memang sudah terbukti kemampuan serta ketahanannya. Berada dalam pasaran sejak 2016, model dari generasi kedua ini telah diberikan facelift untuk pertengahan kitaran hayatnya, lengkap dengan ciri keselamatan baru.

    Selain kemaskini estetika, Fortuner juga menerima ciri bantuan Toyota Safety Sense, termasuk brek kecemasan autonomous dan kawalan melayar adaptif. Ini menjadikan Fortuner satu-satu model dalam segmennya yang datang dengan teknologi berkenaan, sebagai tambahan kepada ciri standard lain seperti tujuh beg udara dan kawalan kestabilan.

    Bahkan, oleh kerana Isuzu MU-X kini tidak lagi diteruskan jualannya di sini, Fortuner menjadi satu-satunya model dalam segmen berkenaan. Walaupun ada sebuah lagi model paling hampir, iaitu Ford Everest yang kini ditawarkan dengan hanya satu pilihan enjin, 2.0 liter twin-turbo, tetapi model ini berada dalam harga yang berbeza, dengan beza sekitar RM100,000.

    Berbeza dengan Fortuner, yang bermula pada harga RM172,244 bagi model 2.7 SRZ petrol dan naik sehingga RM203,183 bagi model 2.8 VRZ diesel dengan wajah baru yang lebih agresif dan kelengkapan tambahan. Ada juga model 2.4 liter diesel yang dijual pada harga RM167,357, tapi itu hanya untuk pasaran di Malaysia Timur dan telah habis dijual.

    Pilihan enjin yang ditawarkan termasuk 2TR-FE 2.7 liter menghasilkan 166 PS dan 245 Nm dan 2GD-FTV 2.8 liter turbodiesel yang menjana sebanyak 204 PS dan 500 Nm. 1GD-FTV 2.4 liter untuk pasaran Sabah dan Sarawak pula hadir dengan janaan 150 PS dan 400 Nm. Semua unit enjin ini digandingkan dengan transmisi automatik enam-kelajuan dan sistem pacuan empat roda.

    Toyota RAV4

    Barisan SUV Toyota diperjelas — kedudukan Rush, Corolla Cross, Fortuner, RAV4, Harrier serta pesaing

    Selain untuk satu tempoh pendek sekitar tahun 2000an, Toyota tidak lagi menawarkan RAV4 untuk pasaran tempatan secara rasmi, walaupun pesaing rapatnya seperti CR-V mendominasi pasaran untuk beberapa dekad lamanya. Kini, ia kembali ditawarkan sebagai salah satu model dalam barisan utama Toyota di sini, kita boleh faham kenapa perkara itu berlaku; ketiadaan model CKD serta penggunaan platform canggih TNGA telah menyebabkan tanda harganya berada di luar segmen yang diwakilinya itu.

    Diimport sepenuhnya dari Jepun, model generasi kelima ini dijual pada harga RM215,665 bagi varian 2.5 liter, dengan versi 2.0 liter telah pun dihentikan penawarannya. Ini meletakkan harga SUV berkenaan sebaris dengan penawaran dari jenama premium Jerman, misalnya terhadap dua model BMW X1.

    Jadi, untuk mengimbangi tanda harga yang tinggi itu, RAV4 didatangkan dengan kelengkapan yang pelbagai, termasuk lampu utama dan belakang LED, rim 18-inci, kawalan pendingin dua-zon, kerusi kulit larasan elektrik, pintu ruang barangan berkuasa, kamera 360-darjah dan skrin sentuh infotainmen tujuh-inci.

    Ciri terakhir ini dihubungkan kepada sistem OEM yang tidak terdapat pada model-model Toyota yang lain di Malaysia (selain Camry dan Harrier) — tidak juga pada model yang lebih mahal seperti GR Yaris. Pakej lengkap Toyota Safety Sense juga disertakan, menjadikannya penawaran dari aspek berkenaan padanya menyamai dengan model-model lain seperti Lexus UX dan Volvo XC40.

    Ketika ini hanya ada satu pilihan penawaran saja disediakan, iaitu versi A25A-FKS 2.5 liter Dynamic Force empat-silinder suntikan terus. Tidak seperti model turbocas premium dalam julat harga yang sama, RAV4 bagaimanapun menggunakan enjin NA; maksudnya, walaupun angkaa janaan agak kompetitif dengan 207 PS dan 243 Nm, itu bermaksud enjinnya perlu bekerja lebih keras. Transmisi yang digunakan pula ialah automatik lapan-kelajuan dan bukannya CVT seperti pada model asas 2.0 liter yang tidak lagi ditawarkan.

    Toyota Harrier

    Barisan SUV Toyota diperjelas — kedudukan Rush, Corolla Cross, Fortuner, RAV4, Harrier serta pesaing

    Ini model yang paling merangkum imej dan penawarannya dalam barisan SUV Toyota. Harrier sangat popular dan kerap dibawa masuk oleh pengimport persendirian dan dalam generasi ketiganya, yang masuk ke pasaran tempatan melalui saluran rasmi pada tahun 2017, telah mencipta pasaran dan peminat yang tersendiri.

    Dilancarkan pada April, model terbaru generasi keempat ini dijual pada harga yang sedikit lebih rendah berbanding varian Luxury model sebelumnya, iaitu pada harga RM249,707. Berbanding model-model premium lain seperti BMW X3 dan Mercedes-Benz GLC, Toyota Harrier memberikan nilai yang agak baik juga, tetapi tidak semua menyebelahinya.

    Ini kerana enjin turbo Harrrier yang sebelum ini telah digugurkan. Bahkan, Harrier juga kurang berkuasa berbanding RAV4 yang lebih murah, menggunakan unit M20A-FKS 2.0 liter Dynamic Force yang menghasilkan 173 PS dan 203 Nm dengan CVT. Mungkin hal yang agak menyebelahi Harrier berbanding RAV4 adalah ia lengkap dengan ciri canggih termasuk lampu utama LED matrix, pengecas tanpa wayar Qi, head-up display dan bumbung kaca elektrochromik.

    Toyota Rush 1.5S

    Toyota Corolla Cross 1.8V

    Toyota Fortuner 2.8 VRZ 2021

    Toyota RAV4 2020 2.5L

    Toyota Harrier 2.0 Luxury

     
     
  • Volvo XC90 akan dipasang terus dengan sensor lidar

    Volvo XC90 akan dipasang terus dengan sensor lidar

    Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh Reuters, Volvo Cars dikatakan telah mengumumkan bahawa model XC90 generasi seterusnya akan diberi sensor lidar secara standard. Ini seterusnya membenarkan lebih banyak ciri keselamatan maju dan teknologi pemanduan autonomous dipasang, kerana ia dapat memberikan gambaran persekitaran yang lebih jelas.

    Menurut Volvo serta pembekal sensor lidar, Luminar Technologies, sistem bantuan pemandu baru telah direka lebih baik untuk mengelakkan kecederaan dan kematian, dan ia akan menjadi lebih tahan dan berkemampuan di masa hadapan.

    “Dengan mempunyai sistem ini secara standard, kami dapat meningkatkan ciri keselamatan kenderaan secara berterusan dan memperkenalkan sistem pemanduan autonomous maju,” kata CEO Volvo, Hakan Samuelsson. Kebanyakan pengeluar kenderaan tidak mahu menggunakan sensor lidar kerana ia memakan kos tinggi, dengan CEO Luminar, Austin Russell memberitahu harganya seunit adalah USD1,000 (RM4,200).

    Volvo XC90 akan dipasang terus dengan sensor lidar

    CTO Volvo, Henrik Green pula memberitahu bahawa mereka tidak memberikan fokus kepada kos. Sementara harga teknologi lidar ini akan menurun apabila jumlahnya makin banyak, Volvo berkata pengeluarannya akan mempercepatkan penggunaan servis automasi yang boleh dikenakan bayaran oleh syarikat. Selain daripada itu, mereka juga dapat menjadi yang pertama menggunakan lidar secara standard pada kereta, dan menetapkan tahap baru untuk diikuti oleh pengeluar lain.

    “Ini adalah satu tanda waktu perubahan dalam industri. Anda tidak diberikan pakej pilihan tambahan untuk beg udara. Anda tidak diberikan pilihan tambahan untuk tali pinggang. Kenapa pula kita mahu memberikan pilihan tambahan kepada teknologi keselamatan lain?” tambah Russel.

     
     
  • Harley-Davidson siar teaser model cruiser baru guna enjin Revolution Max 1,252 cc seperti Pan America

    Harley-Davidson siar teaser model cruiser baru guna enjin Revolution Max 1,252 cc seperti Pan America

    Harley-Davidson telah menyiarkan teaser sebuah model baru, yang menunjukkan cuma bayangnya sahaja dan perkataan penting Revolution Max. Ini merujuk kepada enjin v-twin sama seperti Pan America 1250, namun perinciannya masih belum diketahui.

    Pada model adventure Pan America, enjin 1,252 cc dengan sistem penyejukan cecair dan DOHC ini mampu menghasilkan kuasa 150 hp, tetapi pada motosikal baru yang mempunyai bentuk cruiser ini pula, kita boleh menjangkakan talaan yang berbeza.

    Daripada bentuk yang dapat dilihat dalam teaser ini, ramai yang menjangkakan ia adalah model produksi bagi Custom 1250 yang didedahkan sebelum ini, dan ia mempunyai bentuk rendah dan panjang, satu tempat duduk yang leper serta dua ekzos yang terletak tinggi seperti motosikal tracker.

    Kelengkapan lain juga dijangkakan sama seperti Custom 1250, termasuk brek cakera tunggal di hadapan, angkup Brembo di belakang (depan tidak dapat dilihat), tayar tebal di hadapan dan pemegang yang lebar.

    Pengenalan model ini adalah antara langkah proaktif dalam strategi “Rewire” yang diperkenalkan oleh CEO baru H-D, Jochen Zeitz. Beliau juga mempunyai perancangan untuk memperkuatkan barisan model sedia ada dan memberi fokus kepada penjualan cruiser dan touring v-twin berkapasiti tinggi.

     
     
  • Oliver Solberg hadiahkan wang kemenangan RM497k musim lalu untuk sepupunya berlumba dalam ERC

    Oliver Solberg hadiahkan wang kemenangan RM497k musim lalu untuk sepupunya berlumba dalam ERC

    Oliver Solberg, anak kepada bekas juara Kejohanan Rali Dunia (WRC), Petter Solberg telah pun memenangi Kejuaraan Rali Eropah (ERC) dalam kategori Kejuaraan ERC1 Junior tahun lalu, membolehkannya menerima hadiah bernilai €100,000 (RM497k) dalam bentuk tajaan untuk terus bertanding dalam kejohanan tersebut tahun ini.

    Namun dengan prestasi yang cukup menakjubkan, Oliver telah menambat hati prinsipal pasukan rali dunia Hyundai, Andrea Adamo untuk bernaung di bawah pasukannya. Ini membolehkan bakat muda yang baru berumur 19-tahun berkenaan memandu Hyundai i20 R5 untuk WRC dalam kelas WRC2 tahun ini, malah dalam berberapa pusingan seperti di Finland Februari lalu dan juga Safari Rally di Kenya hujung minggu ini, Oliver diberi peluang untuk memandu jentera Hyundai i20 Coupe WRC dalam kategori utama.

    Jadi disebabkan dia begitu sibuk dalam WRC musim ini, Oliver mengambil keputusan untuk menghadiahkan wang kemenangannya dalam ERC musim lalu kepada sepupunya, Oscar Solberg yang kini berumur 25-tahun. Oscar merupakan anak kepada abang Petter Solberg yang juga pernah berlumba dalam WRC iaitu Henning Solberg.

    Ini membolehkan Oscar bertanding dalam ERC untuk kategori ERC Junior tahun ini, setelah kecewa tidak dapat bertanding dalam kejohanan berkenaan tahun lalu kerana kekurangan dana. Tahun ini Oscar sepatutnya hanya bertanding dalam kejohanan rali nasional di negaranya, Norway menggunakan Volvo 242 (Volvo 240 Coupe). Tetapi setelah menerima wang tajaan yang dihadiahkan oleh sepupunya berkenaan, Oscar akan ke ERC dengan jentera baharu Ford Fiesta Rally3 binaan M-Sport yang dihasilkan untuk kategori ERC1 Junior tersebut.

    Oliver Solberg hadiahkan wang kemenangan RM497k musim lalu untuk sepupunya berlumba dalam ERC

    Usaha untuk merealisasikan langkah tersebut dibuat oleh Petter Solberg dengan perbincangan yang dibuat bersama penganjur ERC iaitu Eurosport Events. Permohonan untuk memindahkan wang tajaan berkenaan kepada anak buahnya kemudian dipersetujui oleh Eurosport Events dan juga FIA yang menyelia perlumbaan tersebut.

    “Saya sedikit terkejut sebenarnya. Saya baru sahaja mahu menumpukan perhatian terhadap kejuaraan di Norway dengan Volvo lama ketika menerima berita tersebut dan saya tak rasa ia dapat didaftarkan sehingga saya memakai helmet sebelum bermula peringkat pertama pada Rally Liep?ja minggu hadapan. Ini sangat besar buat saya dan tanpa ini dari Oliver saya takkan berada di sini, jadi saya sangat bersyukur,” kata Oscar Solberg.

    “Semuanya berlaku dengan sangat pantas. Saya hanya perlu mencari rentak dan teruskannya. Harap-harap saya dapat tunjukkan sesuatu yang baik dan sesuatu yang baik akan berlaku dari sini. Rally3 merupakan kelas baru, ia nampak mengujakan, dan walaupun saya belum lagi memandu kereta tersebut, saya pernah memandu kereta Group N ketika saya bermula pada 2016 jadi saya ada pengalaman dengan kereta pacuan empat roda dan saya tahu Fiesta.

    “Saya dan dia (Oliver) sangat sukakan rali, dia telah memandu lebih dari saya tetapi ketika kanak-kanak, dia tahu saya dalam permainan video, dan ketika kami menunggang quad bike, dan saya rasa dia rasa bahawa saya agak baik. Ketika kami memandu dalam permainan video, kami mencatatkan masa yang sama pada setiap peringkat. Saya tak rasa saya yang paling laju, tetapi kita tengok nanti selepas berberapa peringkat di Latvia apa yang boleh saya buat,” tambah Oscar lagi.

     
     
  • Honda City Hatchback e:HEV RS kini dijual di Thailand – versi hibrid sertai 1.0L VTEC Turbo, RM110k

    Honda City Hatchback e:HEV RS kini dijual di Thailand – versi hibrid sertai 1.0L VTEC Turbo, RM110k

    Pada November tahun lalu, Honda Thailand telah memperkenalkan City Hatchback dan City e:HEV RS. Manakala di Malaysia, City e-HEV RS turut diberikan versi sedan hibrid yang merupakan spesifikasi tertinggi dalam barisan City di negara kita. Hatchback merupakan versi hatch lima-pintu bagi model terkini City, dan akan menggantikan Jazz untuk pasaran ASEAN.

    Bagi pasaran Thai, City Hatchback dilancarkan dengan enjin yang sama dengan sedan iaitu 1.0 liter tiga-silinder turbo dengan output 122 PS dan tork 173 Nm. Tiada versi e-HEV Hybrid ditawarkan untuk pembeli di Thai, buat masa ini. Info terkini daripada Headlightmag, yang memuat naik foto yang anda boleh lihat di sini,
    City Hatchback e:HEV RS telah pun mula dijual di Thai.

    Ia merupakan kombinasi City Hatchback dengan enjin hibrid dari sedan e-HEV, tapi dalam kemasan RS yang sporty. Versi yang lebih kecil bagi sistem hibrid Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) yang menggunakan motor elektrik 109 PS/253 Nm yang memacu rodanya. Ia juga dijanakan oleh enjin 1.5 liter Atkinson-cycle dengan 98 PS/127 Nm, dengan motor elektriknya turut bertindak sebagai generator dan starter.

    Honda City Hatchback e:HEV RS kini dijual di Thailand – versi hibrid sertai 1.0L VTEC Turbo, RM110k

    Tiada kotak gear tradisional bagi memacu roda hadapan, tetapi unit DOHC i-VTEC boleh menghantar klac menerusi transmisi kelajuan-tunggal yang menyalur pacuan secara terus dalam kelajuan tinggi dan ia lebih efisien. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam 9.4 saat.

    1.0T telah dipadankan dengan varian RS, namun disebabkan ia spesifikasi hibrid, pastinya terdapat beberapa pertambahan kit untuk varian tertinggi ini. Ia diserlahkan dengan logo Honda dengan sentuhan biru, selain menampilkan brek cakera belakang, lampu utama auto dan kit membaiki tayar (memberikan ruang untuk menempatkan bateri hibrid apabila tiada tayar simpanan diberikan). e:HEV RS juga merupakan satu-satunya hatchback yang didatangkan dengan bantuan pemandu Honda Sensing dan juga kamera titik buta LaneWatch.

    Eksklusif juga buat e-HEV RS ialah ia diberikan brek parkir elektrik dengan penahan brek auto, kawalan penghidup enjin, pengunci automatik ‘walk-away’, corong pendingin hawa di belakang dan lampu tinggi auto. Panel meter juga dengan paparan 7.0-inci spesifik hibrid. Selain itu, ia turut diberikan warna Brilliant Sporty Metallic Blue yang lebih menawan.

    City Hatchback e:HEV RS ditawarkan pada harga 849,000 baht (RM110,911), iaitu 100,000 baht lebih mahal berbanding Turbo RS. Ia turut diberikan waranti tambahan untuk lima-tahun bagi sistem HEV dan waranti 10-tahun bagi bateri hibrid, tanpa had perbatuan.

    GALERI: Honda City Hatchback e:HEV RS

    GALERI: Honda City Hatchback 1.0T

     
     
  • VIDEO: Nardi tunjuk apa jadi kalau anda pakai roda stereng tiruan – sanggup ke pertaruhkan nyawa?

    Roda stereng sport tiruan kini bukan sahaja boleh anda beli di kedai-kedai aksesori. Malah, ia turut dijual secara meluas menerusi platform-platform jualan atas talian. Ia bukan sahaja menampilkan rupa yang seakan sama dengan produk asli, malah ia turut dijual pada harga yang jauh lebih murah dan menyebabkan ramai yang tertarik untuk membelinya.

    Mungkin ada yang berpendapat, “alah, stereng je pun, takpe la pakai yang tak ori”. Tapi tahukah anda dengan menggunakan roda stereng tiruan ini bakal mendatangkan risiko keselamatan yang sangat besar?

    Nardi-Personal Malaysia, iaitu pengimport sah untuk jenama roda stereng sport dari Itali berkenaan telah membuat satu hantaran video pada laman Facebook rasmi mereka, menunjukkan kualiti yang ditampilkan pada produk tiruan tersebut.

    Dalam video itu dapat anda lihat bagaimana mudahnya Nardi ND Classic tiruan dirosakkan sehingga jejarinya bengkok dan terpisah dari gelung dengan hanya menggunakan satu tangan. Boleh anda bayangkan apa yang akan terjadi sekiranya dalam situasi berlaku kemalangan?

    Anda perlu ingat, kadang kala ada yang terpaksa mengorbankan fungsi beg udara untuk menggunakan roda stereng yang lebih bergaya dan lebih sedap untuk diputar ini. Tapi sanggup ke nyawa sendiri menjadi taruhan dengan menggunakan produk tiruan yang tidak selamat seperti ini?

     
     
  • BMW 8 Series Frozen Black Edition diperkenalkan di Jepun – 20 unit sahaja; 5 Coupe dan 15 Gran Coupe

    BMW 8 Series Frozen Black Edition diperkenalkan di Jepun – 20 unit sahaja; 5 Coupe dan 15 Gran Coupe

    BMW telah melancarkan barisan model 8 Series Frozen Black Edition di Jepun, yang menawarkan unit yang sangat terhad iaitu sebanyak 20 unit sahaja. Ia terdiri daripada lima unit berasaskan 8 Series Coupe G15 dan 15 unit yang dibangunkan dari 8 Series Gran Coupe G16.

    Tempahan untuk model edisi ini bakal dibuka pada Rabu hadapan (30 Jun) dengan versi dua-pintu ditawarkan pada harga runcit (termasuk cukai penggunaan) sebanyak 15 juta yen (RM563,326). Sementara itu, bagi model Gran Coupe pula ditawarkan pada harga yang sedikit tinggi iaitu 15.1 juta yen (RM567,081).

    Kedua-dua versi ini didatangkan dengan spesifikasi 840i dan dijanakan oleh enjin 3.0 liter pengecas turbo enam-silinder sebaris petrol yang mampu menghamburkan kuasa hingga 340 PS (335 hp) pada 5,000 rpm dan tork 500 Nm. Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan yang menyalurkan pacuan ke roda belakang.

    Jika anda menyukai hitam, maka sudah tentu anda menyukai apa yang BMW lakukan untuk versi Frozen Black Edition ini. Di mana keseluruhan warna badan diberikan kemasan Frozen Black yang diambil dari katalog BMW Individual, sementara paip ekzos, gril ‘kidney’, aloi-ringan gaya 728M 20-inci dan kaliper brek M Sport turut diberikan warna hitam untuk padanan yang lebih bersesuaian.

    Bukan itu sahaja, tema tersebut turut ditampilkan di bahagian dalaman, di mana tempat duduk M sport hitam,
    BMW Individual Alcantara roof liner, kulit upholstery Merino hitam dan kemasan hitam berkilat BMW Individual diberikan. Selain itu, Bowers & Wilkins Diamond Surround Sound System juga didatangkan secara standard, dan Gran Coupe turut menerima bumbung matahari panoramik.

     
     
  • Honda Civic Hatchback 2022 dengan kit aksesori Modulo didedahkan di Jepun – rupa lebih garang

    Honda Civic Hatchback 2022 dengan kit aksesori Modulo didedahkan di Jepun – rupa lebih garang

    Honda Civic generasi ke-11 dalam versi Hatchback bukan sahaja didedahkan untuk peringkat global di Amerika Syarikat, ia juga didedahkan serentak untuk pasaran Jepun. Dan seperti biasa, setiap model baharu yang diperkenalkan di Jepun, barisan aksesori asli dari pengeluar juga akan diperkenalkan sekali – dalam kes Civic, ini dia kit Modulo yang dihasilkan oleh Honda Access.

    Kit Modulo ini menampilkan spoiler hadapan yang nampak seiras dengan spoiler hadapan yang dijual oleh Honda Performance Development (HPD) pada pasaran Amerika Syarikat – perbezaan komponen JDM ini adalah ia menerima kemasan warna badan. Ia juga hadir dengan penutup cermin sisi berwarna hitam, serta spoiler pada but belakang yang besar. Untuk melengkapkan gaya luarannya, Modulo turut menawarkan rim aloi MS-038 18-inci.

    Pada bahagian dalam pula, aksesori yang boleh dipilih dari Modulo untuk Civic Hatchback baharu ini termasuk scuff plate bernyala pada bendul pintu serta lampu yang memancarkan logo Civic ketika pintu dibuka. Selain dari foto dan berberapa maklumat kecil ini, tiada perincian lain yang didedahkan. Harga untuk aksesori ini hanya akan diumumkan ketika Civic Hatchback berkenaan mula dijual di Jepun pada Ogos nanti.

    Honda Civic Hatchback 2022 dengan kit aksesori Modulo didedahkan di Jepun – rupa lebih garang

    Pada pasaran Jepun, Honda Civic Hatchback ini dijana oleh enjin 1.5 liter VTEC Turbo yang menghasilkan 180 hp (182 PS) dan tork maksima 240 Nm – naik 6 hp/20 Nm dari model sebelum ini. Ia ditawarkan sama ada dengan kotak gear CVT automatik dan juga manual enam-kelajuan.

    Ia turut dilengkapi dengan pelbagai perincian seperti skrin infotainmen sembilan-inci, paparan instrumen digital dengan skrin 10.2-inci, pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi, dan juga sistem bunyi Bose dengan 12 pembesar suara.

    Untuk keselamatan, Civic Hatchback tampil dengan sistem bantuan pemanduan Honda Sensing yang telah ditingkat taraf menampilkan sistem pemanduan autonomi tahap 2 Traffic Jam Assist (TJA) yang memberikan respon lebih lancar serta semula jadi untuk cruise control adaptif serta bantuan pengekal tengah lorong. Model JDM ini juga datang dengan fungsi Adaptive Driving Beam (ADB) yang akan menghalang silau pada mata pemandu lain.

    Honda turut mengesahkan bahawa Civic Hatchback turut akan ditawarkan dalam versi e:HEV Hybrid, serta model prestasi sebenar Civic Type R pada tahun hadapan.

     
     
  • Kalendar MotoGP 2021 diubah – pusingan di Jepun batal, Thailand, Australia, Malaysia masih diteruskan

    Kalendar MotoGP 2021 diubah – pusingan di Jepun batal, Thailand, Australia, Malaysia masih diteruskan

    Penganjur perlumbaan MotoGP nampaknya telah merujuk semula kalendar penganjuran bagi tahun ini. Pusingan di Amerika Syarikat telah ditunda ke 3 Oktober, sementara pusingan di Jepun pula dibatalkan terus. Dengan ini, pusingan di Thailand juga telah ditunda ke 17 Oktober 2021.

    Pusingan di Australia dan Malaysia, iaitu masing-masing pada 24 Oktober dan 31 Oktober masih lagi sama seperti yang telah dirancang dari awal, tetapi kita masih perlu melihat bagaimana keadaan pandemik di kedua-dua negara untuk memastikannya berjalan lancar.

    Bagi tahun ini, masih tinggal 11 pusingan perlumbaan yang akan dijalankan, dengan yang seterusnya adalah di Assen, Netherland pada 27 Jun ini. Pelumba yang mengutip mata paling banyak kini adalah Fabio Quartararo dari pasukan factory Yamaha, diikuti Johann Zarco dari Pramac Ducati dan Jack Miller dari pasukan Ducati Lenovo Team.

     
     
  • Honda Civic e:HEV Hybrid dan Civic Type R hatchback generasi seterusnya sah diperkenalkan pada 2022

    Honda Civic e:HEV Hybrid dan Civic Type R hatchback generasi seterusnya sah diperkenalkan pada 2022

    Honda telahpun mendedahkan model Civic Hatchback 2022. Turut diumumkan ialah perancangan untuk memperkenalkan dan menjual kedua-dua versi hibrid bagi model terkini Civic, termasuk Civic Type R, tahun depan.

    Belum ada perincian lanjut didedahkan, namun ada spekulasi yang bertiup menyatakan Civic Type R generasi seterusnya akan menerima versi plug-in hybrid. Ada juga yang mengatakan model itu nanti bakal dilengkapi dengan tiga motor elektrik sebagai tambahan kepada enjin 2.0 liter turbo empat-silinder untuk 400 PS dan sistem pacuan semua roda.

    Dalam hal lain, wakil Honda USA juga telah mengesahkan Civic Type R akan didatangkan dengan kotak gear manual sebagai standard. Ada versi PHEV manual juga nanti? Tidak musatahil, tetapi itu bukanlah satu kebiasaan setakat ini. Honda memang pernah menggunakan transmisi manual untuk model hibrid sebelum ini pada model CR-Z, tapi ia akan jadi kejutan besar sekiranya pengganti FK8 datang dengan kedua-dua sistem PHEV dan gear manual.

    Honda Civic e:HEV Hybrid dan Civic Type R hatchback generasi seterusnya sah diperkenalkan pada 2022

    Bagi Civic Hybrid, Honda menjelaskan ia akan hadir dengan konfigurasi sistem dua motor e:HEV. Honda Eropah mengesahkan Civic Hatchback akan ditawarkan di rantau itu pada musim luruh tahan depan hanya dalam bentuk hibrid sahaja. Langkah ini selari dengan matlamat Honda untuk menjadikan semua model utama di pasaran Eropah terdiri daripada teknologi elektrikfikasi menjelang tahun depan.

    Dalam HR-V terkini, yang menyaksikan e:HEV menjadi penawaran tunggal di Eropah, sistem berkenaan menggabungkan dua motor elektrik dengan unit enjin 1.5 liter i-VTEC petrol, dengan janaan daripada motor berkenaan ialah 131 PS dan 253 Nm tork pada 4,500 rpm. Dibandingkan dengan City RS e:HEV di sini, motor elektrik di sini menghasilkan lebi 22 PS. Enjin dengan kitaran Atkinson pula menghasilkan 106 PS (lebih 8 PS) dan 127 Nm.

    Enjinnnya bertindak sebagai generator utama dengan bantuan motor elektrik, yang juga berfungsi sebagai penghidup. Ada tiga mode pemanduan boleh dipilih, dan boleh dialih kepada mod hibrid dengan ketika enjin di dalam beban tork yang tinggi, dengan enjin petrol berfungsi bersendirian ketika dalam kelajuan yang lebih tinggi.

    Honda Civic e:HEV Hybrid dan Civic Type R hatchback generasi seterusnya sah diperkenalkan pada 2022

    Ada juga tiga mod prestasi — Sport, Normal dan Econ — dengan mod B boleh dipilih menggunakan tuil gear bagi mendapatkan janaan semula tenaga yang lebih ketika membrek dan pengalaman yang cenderung lebih kepada EV. Tahap janaan semula tenaga dan kekuatan brek enjin boleh dilaraskan melalui Deceleration Selector di belakang stereng.

    Civic Hatchback terbaru pula menerima pilihan enjin 2.0 liter NA i-VTEC dengan 158 hp/187 Nm atau unit 1.5 lite VTEC Turbo. Pilihan kedua ini, di Jepun, telah dinaik taraf untuk menghasilkan 180 hp dan 240 Nm tork dari 1,700 hingga 4,500 rpm — naik enam hp dan 20 Nm.

    Kedua-dua enjin NA dan turbo dipadankan standard dengan CVT automatik, namun pemilik hatchback ada pilihan untuk kotak gear manual enam-kelajuan. Lebih lanjut berkaitan Civic Hatchback boleh rujuk di sini.

     
     
  • Porsche 911 GT2 RS dengan Manthey Performance Kit kini kereta produksi terpantas di Nürburgring – 6:43.3!

    Porsche 911 GT2 RS dengan Manthey Performance Kit kini kereta produksi terpantas di Nürburgring – 6:43.3!

    Tak sampai setahun Mercedes-AMG GT Black Series dinobatkan sebagai kereta produksi terpantas di Litar Nürburgring Nordschleife, nampaknya takhta berkenaan sudah pun perlu diserahkan kepada raja baru di “The Green Hell”.

    Kereta yang memecahkan rekod berkenaan adalah Porsche 911, tetapi bukan dari model generasi terkini 991, sebaliknya adalah model generasi sebelumnya iaitu 991-911! Secara spesifik, ia adalah 911 GT2 RS dengan kit Manthey Performance yang memang ditawarkan secara opsyen oleh Porsche Tequipment kepada pelangganya.

    Masa yang dicatatkan 911 GT2 RS ini adalah 6 minit 43.3 saat, atau 4.747 lebih pantas dari AMG GT Black Series yang mencatatkan masa 6 minit 48.047 saat pada November 2020. Rekod baharu ini dibuat pada 14 Jun lalu, dengan kereta tersebut dipandu oleh pemandu pembangunan Porsche, Lars Kern.

    Porsche 911 GT2 RS dengan Manthey Performance Kit kini kereta produksi terpantas di Nürburgring – 6:43.3!

    Kern berjaya mencatatkan kelajuan purata 185.87 km/j sepanjang percubaan yang dibuat berkenaan. Masa yang dicatatkan kali ini juga merupakan masa untuk lap penuh, iaitu termasuk seksyen lurus pada selekoh ke-13 Nürburgring. Jika seksyen tersebut tidak diambil kira, masa yang dicatatkan adalah 6 minit 38.835 saat, yang masih lebih pantas dari rekod sebelum iaitu 6 minit 43.616 saat.

    Kit Manthey Performance berkenaan dihasilkan oleh Porsche bersama Manthey Racing, iaitu pasukan lumba yang kini telah pun menjadi rakan teknikal serta pemegang saham Porsche bermula Mac lalu. Pakej berkenaan dihasilkan untuk menjadikan 911 GT2 RS tersebut kepada sebuah jentera yang lebih serius untuk litar.

    Salah satu pakej dalam kit berkenaan adalah Weissach Package, yang merangkumi rim aloi magnesium ringan (20-inci di depan, 21-inci di belakang) bersama tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 R. Tingkat taraf ini sahaja membolehkan berat sebanyak 11.4 kg disisihkan. Rim ini ditawarkan dalam empat warna iaitu Brilliant Silver, Black, Aurum, White Gold Metallic dan Platinum.

    Porsche 911 GT2 RS dengan Manthey Performance Kit kini kereta produksi terpantas di Nürburgring – 6:43.3!

    Selain itu, kit prestasi ini juga menampilkan suspensi boleh laras, dengan penyerap hentak hadapan boleh dilaras dalam tiga tetapan dan di belakang boleh dilaras dalam empat tetapan. Ia juga hadir dengan pad brek perlumbaan untuk brek seramik PCCB 911 GT2 RS berkenaan, bersama saluran brek lapisan keluli bagi memberikan respon yang lebih terus pada pedal.

    Pada sebelah luar, kit ini datang dengan flap tambahan pada spoiler hadapan, pelindung bawah badan karbon dan juga elemen pengalir udara pada kawasan roda hadapan yang mampu meningkatkan downforce dari 49 kg kepada 70 kg pada kelajuan 200 km/j, serta dari 93 kg kepada 200 kg di belakang.

    Penambahbaikkan aspek aerodinamik yang signifkant pada bahagian belakang ini turut memerlukan ia dilengkapi dengan spoiler belakang baharu, diffuser yang diubahsuai serta tambahan aerodisc pada roda belakang.

    Porsche 911 GT2 RS dengan Manthey Performance Kit kini kereta produksi terpantas di Nürburgring – 6:43.3!

    “911 GT2 RS ini melekat di litar seperti gam dengan Manthey Performance Kit – anda rasa seperti dalam kereta lumba, terutamanya pada selekoh laju. Sangat mengkagumkan bagaimana kereta ini boleh menangani 700 PS, dan bagaimana ia boleh membrek dalam masa yang sama sentiasa mudah di kawal,” kata Kern.

    Porsche 911 GT2 RS dengan kit Manthey Performance ini tidak menampilkan sebarang peningkatan kuasa dari 911 GT2 RS standard. Ia masih menjana 700 PS (690 hp) dan tork maksima 750 Nm dari enjin 3.8 liter flat-six bersama dua pengecas turbo.

    Namun ia dilengkapkan dengan tangki air sembilan liter untuk penyembur penyejukan pada intercooler bagi memastikan suhu sentiasa rendah pada jangka masa yang lama, membolehkan prestasi enjin tersebut sentiasa di tahap tertinggi sepanjang litar. Enjin berkenaan juga digandingkan dengan transmisi PDK tujuh kelajuan standard dan memacu hanya roda belakang.

    “Dengan komponen yang baru dibangunkan ini, kami telah menjadikan sebuah kereta yang sememangnya sangat baik kepada lebih baik. 911 GT2 RS dengan Manthey Performance Kit dihasilkan sempurna untuk pelanggan yang suka membawa kereta mereka ke litar, terutamanya Nürburgring Nordschleife. Masa 6:43.300 untuk keseluruhan lap adalah sama dengan 6:38.835 untuk varian lama lebih pendek, jadi ia adalah kenyataan sebenar,” jelas Andreas Preuninger, naib presiden kereta GT di Porsche.

     
     
  • Ford buat demonstrasi bahaya haba dalam kereta dengan ais berbentuk kanak-kanak dan haiwan

    Ford buat demonstrasi bahaya haba dalam kereta dengan ais berbentuk kanak-kanak dan haiwan

    Ford telah menyiarkan satu video untuk menyedarkan orang ramai tentang bahaya meninggalkan kanak-kanak atau haiwan peliharaan dalam kereta, di bawah cahaya matahari terik. Video ini dibuat untuk memberikan kesedaran waktu musim panas yang sudah tiba di Eropah, tetapi ia juga boleh dijadikan teladan bagi kita yang mengalaminya hampir setiap hari.

    Dalam video ini, Ford membuat simulasi keadaan cuaca panas dalam fasiliti ujian mereka di Cologne, Jerman, dan menggunakan MPV Focus Active. Di dalam, mereka meletakkan ukiran ais berbentuk anjing di hadapan dan bayi pada tempat duduk kanak-kanak.

    Suhu luar ditetapkan pada 35 darjah celsius, dan dalam masa tidak sampai 20 minit, suhu di dalam kenderaan sudah meningkat menjadi 50 darjah celsius. Ini menunjukkan bahaya apabila meninggalkan kanak-kanak atau haiwan peliharaan di dalam kereta.

    Dengan keadaan fizikal yang masih kecil, sudah tentu, haba yang tinggi ini boleh memberi kesan buruk dengan cepat kepada kanak-kanak. Mereka lebih cepat kekurangan air di dalam badan, seterusnya boleh menyebabkan organ gagal berfungsi dan kemudian terus koma.

    Walaupun sekarang sudah ada sistem keselamatan yang memberi peringatan kepada pemandu untuk memeriksa tempat duduk belakang sebelum keluar daripada kenderaan, tanggungjawab sebenar masih ada pada kita untuk sentiasa berikhtiar supaya perkara buruk seperti ini tidak berlaku.

     
     
  • Infiniti QX60 2022 didedah – SUV tiga baris tempat duduk serba mewah dengan enjin V6 3.5L NA 295 hp

    Infiniti QX60 2022 didedah – SUV tiga baris tempat duduk serba mewah dengan enjin V6 3.5L NA 295 hp

    Mula ditunjukkan sebagai sebuah model konsep September tahun lepas, kini Infiniti QX60 didedahkan secara rasmi kepada dunia. Menggantikan model yang sudah berusia hampir 10 tahun, SUV tiga baris tempat duduk ini menampilkan gaya lebih elegan, dalam lebih premium serta pelbagai teknologi tambahan.

    Bentuk luarannya kebanyakan besarnya sama seperti model konsep, berserta gril unik yang dikatakan mendapat inspirasi daripada seni origami. Bahagian lain juga ada yang menggunakan konsep budaya Jepun, seperti lampu LED-nya, yang diberitahu mendapat inspirasi daripada lipatan kimono.

    Bukan setakat bahagian depan, bahagian belakang juga keseluruhannya sama seperti model konsep QX60 Monograph, termasuklah bentuk dan nyalaan lampu, serta kemasan krom di bahagian bawah bampar dengan bentuk seperti muncung ekzos di bucunya. Warna unit di dalam gambar ini dipanggil sebagai Moonbow Blue dan rim 20 inci disediakan untuk kebanyakan varian SUV ini.

    Semasa model konsep muncul, bahagian dalamnya langsung tidak didedah, dan kini hasilnya seperti yang boleh dilihat, adalah jauh berbeza berbanding model sebelumnya. Aspek NVH juga diperelok dengan tambahan bahan penebat bunyi di merata bahagian.

    Sekali imbas, anda boleh melihat banyak bahagian menggunakan bahan yang lembut disentuh, termasuklah kulit semi-aniline Saddle Brown pada pintu, papan pemuka serta konsol tengah. Bagi varian Autograph, balutan kulitnya menggunakan jahitan bersilang dan dipadankan bersama kemasan kayu untuk memberikan suasana lebih mewah.

    Tempat duduk “Zero Gravity” dengan larasan kuasa serta fungsi pemanas diberikan terus untuk yang duduk di hadapan, dan ia kemudiannya boleh dinaik taraf kepada fungsi mengurut dan berliang udara. Penumpang baris kedua dan ketiga mendapat tempat duduk ergonomik yang dikatakan lebih selesa dan menawarkan lebih ruang berbanding model sebelumnya.

    Infiniti QX60 2022 didedah – SUV tiga baris tempat duduk serba mewah dengan enjin V6 3.5L NA 295 hp

    SUV ini boleh dinaiki sehingga tujuh orang dengan tetapan tempat duduk 2-2-3, dan varian Autograph datang standard dengan tempat duduk kapten serta konsol tengah bagi baris kedua. Setiap baris tempat duduk juga mempunyai pengecas USB, dengan keseluruhannya ada tujuh.

    Memandangkan sasaran utama SUV ini adalah keluarga, bahagian kargo juga dipertingkat. Apabila tempat duduk baris ketiga dilipat rata, ia menyediakan 1,178 liter kapasiti ruang, yang mana adalah lebih besar berbanding 1,417 liter pada model sebelumnya. Ruang simpanan bawah lantai juga bertambah besar 21 liter, menjadi 54.1 liter.

    Infiniti turut memberitahu, penumpang boleh masuk ke tempat duduk baris ketiga dengan lebih mudah kerana baris kedua boleh dilipat dan digerakkan ke hadapan dengan menekan satu butang sahaja. Kawalan pendingin hawa tiga zon dengan corong di setiap baris adalah standard, dan ia boleh dinaik taraf dengan ioniser Plasmacluster berserta penapis polyphenol charcoal.

    Di hadapan pemandu terdapat panel digital 12.3 inci dan ia kemudiannya boleh ditambah dengan head-up display 10.8 inci. Di tengah pula terdapat sistem infotainmen InTouch dengan skrin sesentuh 12.3 inci yang boleh disambung dengan Android Auto serta Apple CarPlay. Pada varian yang lebih tinggi, pembeli akan mendapat pad mengecas tanpa wayar yang cukup besar untuk menempatkan iPhone 12 Pro Max, serta sistem bunyi 17 pembesar suara Bose.

    Ciri keselamatan aktif seperti Rear Automatic Braking, Predictive Forward Collision Warning, dan Forward Emergency Braking dengan pengesan pejalan kaki diberikan standard pada semua varian QX60 sementara Adaptive Front Lighting dan Auto-Leveling Headlights disediakan untuk varian yang lebih tinggi.

    Walaupun banyak bahagian yang baru pada QX60 ini, enjinnya masih lagi sama, iaitu unit petrol V6 3.5 liter NA yang mampu menghasilkan kuasa 295 hp dan 366 Nm tork. Transmisi CVT sebelum ini bagaimanapun telah diganti dengan unit automatik sembilan kelajuan.

    Infiniti QX60 2022 didedah – SUV tiga baris tempat duduk serba mewah dengan enjin V6 3.5L NA 295 hp

    Kuasa pacuan disampaikan kepada roda hadapan dalam keadaan standard, tetapi semua varian diberikan pilihan pacuan semua roda Intelligent All-Wheel Drive. Sistem AWD ini menggunakan mekanisme penyambung terus yang lebih pantas menghantarkan kuasa kepada roda belakang.

    Melalui tetapan ini, QX60 boleh menarik sehingga 2,721 kg beban, dan ini merupakan peningkatan sebanyak 20% berbanding model sebelumnya. Ia juga datang dengan Active Brake Limited Slip yang boleh membrek setiap roda secara berasingan demi memberikan lebih tork kepada roda yang memerlukan cengkaman.

     
     
  • Data jualan kenderaan di M’sia Mei 2021 ikut jenama – Perodua turun 11.9%, Proton 40.2%; Honda naik 0.5%

    Data jualan kenderaan di M’sia Mei 2021 ikut jenama – Perodua turun 11.9%, Proton 40.2%; Honda naik 0.5%

    Jualan kereta baharu di negara ini terus bergerak perlahan, dengan jualan yang menyusut sejak April lalu. Persatuan Automotif Malaysia (MAA) melaporkan sebanyak 46,663 kenderaan dihantar pada bulan lalu, di mana ia menurun sebanyak 11,249 unit (atau 19.4%) berbanding 57,912 unit pada April 2021.

    MAA berkata penyusutan angka berkenaan disebabkan beberapa faktor, paling ketara sudah pasti disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 lockdown penuh bermula minggu kedua Mei. Selain itu, ia juga dipengaruhi dengan waktu bekerja yang singkat disebabkan sambutan Hari Raya Aidilfitri, serta kekurangan bekalan cip di peringkat global yang terus menjejaskan produksi bagi sesetengah pengeluar kenderaan.

    Malahan penyusutan bagi angka berkenaan turut melibatkan hampir kesemua jenama pada bulan lalu dengan menunjukkan anak panah merah. Perodua hanya menjual sebanyak 17,973 unit pada Mai, turun 11.9% (atau 2,426 unit) berbanding 20,399 unit yang dicatatkan pada bulan sebelumnya. Bukan itu sahaja, Proton yang berada di tangga kedua juga menunjukkan penurunan angka jualan sebanyak 40.2% ke 8,771 unit pada bulan lalu.

    Begitu juga dengan Toyota yang turutn sebanyak 18% dengan jualan sebanyak 7,495 unit iaitu 1,641 unit kurang berbanding yang dicatatkan pada April dengan 9,136 unit. Walau bagaimana pun, Honda lebih bernasib baik, biar pun terpaksa akur di tangga ke empat di belakang Toyota, yang menunjukkan peningkatan sebanyak 0.5%, dengan 5,113 unit, berbanding 5,090 unit pada April.

    Jualan bagi Isuzu juga naik sebanyak 40.9% selepas kelembapan angka pada April. Lain-lain jenama yang menunjukkan angka yang menurun termasuklah Mitsubishi (-16.1%), Ford (-24.7%), Volkswagen (-36.0%), Subaru (-30.6%), Hyundai (-52.7%) dan Renault (-58.7%).

    Bagi segmen premium pula, Volvo turut menunjukkan penyusutan sebanyak 29.8%, manakala Lexus pula -30.6% untuk bulan lalu. Manakala kita hanya boleh melihat angka jualan April-Jun bagi BMW Group Malaysia pada Julai. Dan, sekali lagi tiada sebarang angka jualan yang dikongsikan oleh Mercedes-Benz.

    Dengan negara yang masih di bawah lockdown penuh, maka semua bilik pameran masih ditutup – begitu juga dengan kilang produksi yang ditutup sepanjang tempoh berkenaan. Bukan itu sahaja, angka jualan bagi bulan hadapan juga mungkin ‘tidak wujud langsung’, disebabkan faktor ini.

    Data jualan kenderaan di M’sia Mei 2021 ikut jenama – Perodua turun 11.9%, Proton 40.2%; Honda naik 0.5%

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025