Model naked Suzuki GSX-S1000 telah diberikan pembaharuan bagi tahun 2021, dengan kini menggunakan penampilan serba baru lebih agresif. Semua panel badannya diubah dan paling menonjol adalah lampu LED hadapan yang menggunakan rekaan bertingkat. Melalui panel badan serba baru ini, bentuk tangki bahan api juga sudah berubah dan sekarang lebih besar dengan kapasiti 19 liter.
Selain rupa, perubahan penting lain yang dilakukan oleh Suzuki adalah pada enjin, demi menjadikan ia mematuhi tahap emisi Euro 5. Beberapa bahagian dalaman enjin empat silinder 999 cc DOHC itu telah diubah, dan bukat setakat emisi sahaja menjadi lebih baik, malah kuasa juga bertambah menjadi 150 hp pada 11,000 rpm dan 106 Nm tork pada 9,250 rpm.
Bahagian elektronik juga dipertingkat, di mana GSX-S1000 kini dilengkapi dengan S.I.R.S. (Suzuki Intelligent Ride System), yang terdiri daripada tiga mod tunggangan, lima mod kawalan cengkaman, quickshifter turun dan naik gear, ride-by-wire serta sistem bantuan rpm rendah TI-ISC (Throttle-body Integrated Idle Speed Control).
Pada bahagian lain, motosikal ini dilengkapi dengan suspensi depan dan belakang yang boleh dilaras sepenuhnya (fork Kayaba 43 mm), rangka serta lengan ayun aluminium, panel instrumen LCD penuh serta cakera berkembar dengan angkup Brembo di hadapan.
Berat keseluruhan Suzuki GSX-S1000 adalah 214 kg sementara tinggi tempat duduknya adalah 810 mm. Sebagai sebuah model naked, walaupun mempunyai enjin yang sama seperti superbike GSX-R1000, ia menawarkan tunggangan yang lebih lincah dan selesa untuk penunggang.
Pengumuman tersebut dibuat sebagai salah satu polisi halatuju CSR Renault Group dan memainkan peranan dalam strategi Renaulution, yang disampaikan dalam mesyuarat agung tahunan syarikat berkenaan Jumaat lalu, dan langkah ini turut diimplementasikan pada satu lagi jenama di bawahnya iaitu Dacia.
Sasaran untuk langkah yang diambil oleh Renault ini adalah sama seperti Volvo, iaitu untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Menurut Renault, di Eropah kadar kematian dalam kemalangan jalan raya telah mencapai angka 23,000 pada 2019, dan sebab paling tinggi yang menyebabkan kematian berkenaan adalah kerana kelajuan yang tidak sesuai (30%), memandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol (25%) dan kurang konsentrasi (20%).
Respon yang diambil oleh Renault ini pula adalah berdasarkan kepada dua aspek: mengelakkan kemalangan dan membantu servis kecemasan. Program keselamatan pencegahan pula berfungsi dalam tiga perkara iaitu Kesan, Bimbing dan Bertindak.
Untuk Kesan, ‘Markah Keselamatan’ akan menganalisa data pemanduan menggunakan penderia yang diletakkan pada kenderaan bagi menggalakkan pemanduan lebih selamat. Manakala untuk Bimbing, ‘Jurulatih Keselamatan’ akan memproses data jalan raya dan trafik bagi memberitahu pemandu risiko yang berpotensi pada laluan mereka serta memberikan amaran masa sebenar terhadap kawasan berbahaya.
Akhir sekali untuk Bertindak, ia akan menampilkan mekanisma fail-safe yang akan diaktifkan secara automatik sekiranya terdapat bahaya yang jelas. Contohnya ketika mengambil selekoh secara terlalu bahaya, hilang kawalan roda stereng dalam tempoh masa lama serta mengantuk. Fungsi ini akan memperlahankan kenderaan, mengembalikan “mod pemanduan selamat”.
Menurut Renault pada 2022, model Megane-E – yang diprebiu sebagai Megane eVision Concept bermula Oktober 2020 – akan dibekalkan dengan pelaras pengehad kelajuan automatik, yang akan ditetapkan seara lalai. “Kelajuan maksima turut akan dihadkan pada 180 km/j. Kelajuan ini turut akan dihadkan pada model-model Renault dan Dacia, dan tidak akan melebihi 180 km/j,” kata Renault.
Buat masa sekarang, Renault masih mempunyai model-model prestasi tinggi yang serius seperti hot-hatchMegane RS dan Clio RS. Mungkin ada pengecualian untuk model-model prestasi ini kerana ia lazimnya dipandu ke litar untuk sesi Track Day? Namun, tak semua litar sama seperti litar Sepang yang menampilkan laluan lurus yang cukup untuk memcatatkan kelajuan lebih dari 180 km/j.
Dalam pengumuman ini juga Renault hanya menyebut Dacia, tetapi tidak menyentuh jenama kereta sportnya iaitu Alpine. Buat masa sekarang, pasukan Formula 1 Renault juga telah dijenamakan semula dengan nama Alpine. Jadi apa pendapat anda berkenaan langkah yang diambil oleh Renault ini? Adakah ia benar-benar boleh mengurangkan kadar kematian dan kemalangan?
Caltex melangkah setapak lagi dengan menawarkan kaedah pembayaran untuk minyak menerusi aplikasi dalam telefon bimbit, CaltexGO. Ia boleh digunakan untuk telefon bimbit dengan sistem operasi Android dan Apple iOS yang masing-masing boleh dimuatnaik menerusi Google Play dan Apple App Store.
Apabila tiba di stesen minyak Caltex, pengguna cuma perlu memilih dan mengesahkan nombor pam di stesen terbabit dengan kaedah pembayaran yang dipilih. Jika memilih pembayaran menerusi kad kredit, pengguna hanya perlu menghubungkan aplikasi caltexGO untuk mengaktifkan pembayaran terus apabila mengisi minyak. Selepas mengisi minyak, resit untuk transaksi akan dipaparkan menerusi aplikasi terbabit sebaik sahaja pembayaran disahkan.
Kad mata ganjaran Caltex Journey juga akan dihubungkan ke aplikasi terbabit dan membolehkah pengguna untuk mengutip mata ganjaran setiap kali mengisi minyak (mata ganjaran akan diproses dalam tempoh 48 jam selepas transaksi), dan e-resit akan dipaparkan menerusi aplikasi utnuk menunjukkan rekod transaksi pada bila-bila masa.
Selain itu, menerusi aplikasi CaltexGO, pengguna juga boleh melihat promosi istimewa yang sedang berlangsung. Menerusi pautan Locate a Station dalam aplikasi tersebut, kini terdapat 456 stesen Caltex di Semenanjung Malaysia yang menggunakan perkhidmatan CaltexGO ini.
Mengikuti peredaran zaman, Husqvarna juga menyatakan mereka bersedia untuk mengeluarkan motosikal elektrik dan memperkenalkan buat pertama kalinya E-Pilen Concept. Melalui model ini, rekaan inspirasi daripada Vitpilen dan Svartpilen dipadankan bersama penggerak elektrik untuk menunjukkan potensinya di masa hadapan.
Pengeluar dari Austria ini masih belum mendedahkan perincian teknikal E-Pilen Concept, tetapi ia diberitahu boleh menghasilkan kuasa sehingga 8 kW (10.7) hp serta jarak gerak sehingga 100 km dengan sekali cas penuh baterinya.
Konsep motosikal ini lebih ditujukan kepada tunggangan dalam bandar dan santai, sambil mengekalkan ciri-ciri sedia pada model Husqvarna lain termasuk progresif, segak, dinamik dan rekaan menarik. Semua ini dibawa kepada sebuah model elektrik.
Untuk bateri, Husqvarna masih meletakkan pilihan yang terbuka kepada pelbagai jenis bateri yang ada, termasuk yang kekal pada motosikal dan yang boleh dicabut dan ditukar untuk memudahkan pengguna mengecas dan meneruskan kembali perjalanan.
Setakat ini masih belum diketahui bila versi produksi akan dikeluarkan dan Husqvarna setakat memberitahu pembangunan model elektrik ini sudah agak ke hadapan perincian selanjutnya akan didedahkan dalam masa terdekat.
Ruang dalaman kenderaan Honda sejak dulu memang direka dengan tumpuan terhadap manusia dan penggunaannya. Dan, untuk model akan datang, seperti Civic 2022, aspek berkenaan akan diberikan pembaharuan, menjadikan fokusnya “memaksimumkan manusia dan minimumkan jentera” — memanfaatkan ruangnya lebih untuk kesenangan penumpang dan mengurangkan bahagian-bahagian mekanikal. Ia menjadi falsafah rekaan terbaru Honda, dengan menjadikan keringkasan sebagai teras utama.
Pengalaman pengguna akan dipertingkatkan lagi oleh keringkasan dengan menghapuskan sisi yang merumitkan, misalnya pengurangan keserabutan visual serta menerapkan elemen seperti rekaan tiang lebih kurus, bahagian terbuka papan pemuka yang lebih rendah dan bukaan kaca yang lebih luas untuk memaksimumkan penglihatan terhadap jalan raya dan persekitaran.
“Keringkasan dalam rekaan memerlukan bukan hanya falsafah yang jelas, tetapi juga disiplin terhadap pengalaman pengguna. Ada pereka yang bertugas dengan jenama lain mengatakan mereka terilham dengan rekaan ringkas dengan tumpuan terhadap manusia yang ada pada model lama Honda. Jadi, kami bawakannya semula,” jelas Ketua Pereka Ruang Dalaman, Honda Amerika Syarikat, Jonathan Norman.
Selebihnya, komponen lain dari falsafah yang sama merujuk kepada aspek lain yang lebih subjektif, seperti personaliti, perwatakan dan kecantikan. Dalam masa yang sama, semua ini menyumbang untuk mengukuhkan lagi nilai tumpuan terhadap manusia melalui orientasi ringkas, bersih dan horizontal.
Luahan semua ini dapat dilihat misalnya pada perincian rekaan yang spesifik, seperti pada tombol gear, atau bahkan pada karekteristik material yang digunakan dalam kabin yang turut akan dibezakan pada setiap model dalam barisan kenderaan Honda akan datang.
Jadi bagaimana dengan jenama automotif tempatan kita, Proton? Menurut CEO Proton Edar Sdn Bhd Roslan Abdullah dalam laporan The Malaysian Reserve, Proton kini sedang membuat kajian kebolehlaksanaan terhadap EV yang sesuai bagi diperkenalkan di Malaysia dan masa yang sesuai, dalam masa yang sama menunggu halatuju jelas dari kerajaan Malaysia sendiri berhubung segmen ini.
Beliau menyatakan bahawa Proton boleh melancarkan teknologi EV, tetapi faktor lain perlu juga diambil kira seperti harga, kemampuan konsumer, servis selepas jualanan, pengalaman pelanggan dan juga undang-undang.
“Kami sebagai pengeluar tak boleh bergerak sebelum kami faham dengan undang-undang. Dalam perkara produk EV, kami perlu melihat kepada kemampuan kami untuk mengeksport produk-produk tertentu di negara-negara jiran yang sudah pun ada halatuju jelas berkenaan EV. Jika undang-undang dan juga pelaburan memberikan pulangan yang baik kepada pemegang-pemegang kepentingan, kenapa tidak? Jadi kami perlu tahu undang-undang dan halatuju yang ditentukan oleh kerajaan. Apabila ‘pintu sudah dibuka’, kami akan bergerak,” kata Roslan.
“Kami boleh bawa teknologi tersebut, tetapi persoalannya apa akan jadi kepada servis selepas jualan selepas lima tahun? Kami tidak hanya tengok kepada hanya menjual produk sahaja tetapi menerusi pengalaman pelanggan yang memiliki kereta EV juga,” jelasnya dalam satu temu ramah yang dijalankan secara atas talian.
“Berapa ramai pelanggan yang mampu memiliki EV? Di Malaysia, sebahagian dari kekuatan dalam menentukan jualan adalah harga yang mampu milik. Jika kami perlu merendahkan kadar harga, adakah ia akan memenuhi berberapa undang-undang selepas itu, jika ada? Ini adalah faktor penting yang kami lihat dalam menentukan bagi membawa EV. Kami (perlu) cari produk yang betul untuk masa yang betul,” jelasnya lagi.
Ditanya adakah Proton akan mewujudkan satu syarikat yang hanya fokus terhadap EV, Roslan menyatakan semua opsyen telah ada tetapi ia masih terlalu awal untuk diberitahu. “Biar kami habis menilai produk dahulu. Sebagai model perniagaan, kami mahu menyusun bagaimana kami boleh memberikan manfaat kepada pengguna dan juga pemegang-pemegang kepentingan,” katanya.
Dalam rantau ASEAN, bukan hanya Thailand yang bersungguh dalam usaha memperkenalkan teknologi elektrifikasi ini, Indonesia dan Singapura juga dilihat sedang berusaha kearah yang sama. Bagi Malaysia pula, usaha ini baru dilihat dalam fasa paling asas apabila Rangka Tindakan Mobiliti Karbon Rendah (LCMB) 2021-30 diterbitkan minggu lalu bagi memberikan cadangan kepada kerajaan tentang halatuju kenderaan elektrik di Malaysia.
Volvo telah pun memperkenalkan barisan baharu bagi model tahun 2021 untuk pasaran Malaysia – susulan pengenalan XC90 yang dipertingkatkan dan juga pelancaran S90 facelift pada minggu lalu. Kini tibalah pula giliran XC60 baharu diperkenalkan. Ia bukanlah model facelift seperti yang ditunjukkan pada bulan lalu, tetapi terdapat beberapa perubahan telah dilakukan.
Sama seperti XC90 dan S90, perubahan terbesar yang dibuat ialah jumlah varian yang ditawarkan, di mana ia dikurangkan menjadi dua varian sahaja. Tiada lagi spesifikasi pertengahan T8 AWD Inscription plug-in hybrid, tetapi model asas janaan petrol T5 AWD Momentum dikekalkan, dijual pada harga atas jalan RM278,195 tanpa insurans. Selain itu, model spesifikasi tertinggi yang ditawarkan ialah T8 AWD Inscription Plus, berharga RM324,656.
Harga ini adalah lebih murah iaitu masing-masing RM1,215 dan RM1,464 berbanding model terdahulu. Ini termasuk dengan pengurangan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), sehingga 30 Jun; tanpa insentif ini, XC60 berharga RM298,888 untuk T5 dan RM343,888 bagi T8. Ini termasuk dengan waranti lima-tahun, tanpa had perbatuan, dan untuk T8 pula ditambah dengan waranti bateri plug-in hybrid selama lapan-tahun/160,000 km.
Selain pengecilan barisan modelnya, rombakan yang dibuat termasuklah penjenamaan Recharge baharu untuk model T8, menggantikan Twin Engine pada model sebelumnya. Langkah ini diambil susulan strategi global baharu Volvo untuk elektrifikasi, yang dimulakan dengan SUV elektrik Xc40 Recharge T8 (bakal tiba di Malaysia tidak lama lagi) pada tahun lalu. Malahan penjenamaan tersebut turut diberikan pada model yang dilancarkan baru-baru ini, XC40 Recharge T5 plug-in hybrid.
Secara luarannya, dua varian ini tidak banyak beza dengan yang terdahulu. Momentum didatangkan dengan lampu utama LED standard bersama lampu tinggi auto, sementara Inscription Plus ditambahkan dengan lampu utama adaptif dan serlahan krom pada gril, corong pengambilan udara, skirt sisi (dengan perkataan Inscription) dan reflektor. Kedua-dua varian masih menampilkan corong ekzos yang kelihatan (segi empat tepat untuk Inscription Plus) seperti mana model facelift terdahulu.
Satu-satunya ciri yang berbeza di antara model 2020 dan 2021 bagi Momentum ialah rodanya, kini ditampilkan dengan aloi lima-jejari-terpisah dengan dua-tona baharu – menggantikan elemen perak jejari-Y pada sebelum ini – tapi masih kekal dengan ukuran 18-inci. Manakala Inscription Plus masih kekal dengan roda dua-tona 10-jejari 19-inci.
Di dalamnya, kedua-dua model kini menerima ciri pilihan kemasan kayuan Linear Lime coklat sebagai tambahan dengan kemasan standard Iron Ore aluminium (Momentum) and Driftwood (Inscription Plus). Sebagai ciri ctandard, XC60 turut kekal dengan tempat duduk larasan kuasa dan fungsi memori untuk pemandu (kedua-dua tempat duduk untuk Inscription Plus) dan upholstery kulit, dengan roda stereng balutan kulit juga untuk Inscription Plus.
Ia turut dilengkapi dengan tombol gear kristal Orrefors dengan rekaan yang sama seperti yang diperkenalkan pada tahun lalu, ditambah dengan sistem bunyi Bowers & Wilkins 1,100 wat dan 15-pembesar suara. Ia turut menerima amplifier baharu, kon pembesar suara perak Continuum, penyingkiran bunyi bising, dan larasan baharu “Jazz Club”. Manakala Momentum pula menerima 10-pembesar suara dengan kuasa 330 wat.
Kedua-dua model masih mengekalkan kluster instrumen 12.3-inci dan skrin sesentuh infotainmen Sensus Connect sembilan-inci. Tiada Android Automotive OS ditawarkan – mungkin kena tunggu model facelift. Apa pun, fungsi Apple CarPlay dan Android Auto masih diberikan, ditambah pula dengan port USB Type-C baharu untuk belakang dan hadapan masih kekal dengan USB biasa.
Kit standard yang masih dikekalkan termasuklah kemasukan tanpa kunci, twist-knob start, kawalan suhu automatik dwi-zon dengan corong sudut di belakang, cermin anti silau, kamera undur, pengecas tanpa wayar Qi, penderia parkir hadapan dan belakang, penyangkut barangan di belakang dan tailgate berkuasa bebas-tangan.
Inscription Plus menyingkirkan ciri lampu kabus hadapan, bumbung suria panoramik, penchayaan ambien pelbagai-warna, kusyen tambahan untuk tempat duduk hadapan dan perehat kepala boleh baring di belakng, paparan utama, navigasi, kamera 360-darjah dan bantuan parkir. Kedua-dua model didatangkan dengan Dynamic Chassis, yang merangkumi peredam pasif, gegelung hadapan dan transverse leaf spring untuk belakang.
Bagi aspek keselamatam, XC60 menerima brek kecemasan sendiri dengan pengesan pejalan kaki, penunggang basikal, kenderaan yang datang dan haiwan bersaiz besar, evasive steering assist, bantuan kekal lorong, pemantauan titik buta dengan bantuan stereng. dan kepekaan trafik lintasan belakang dengan brek. Selain itu, ia diberikan integrated booster untuk tempat duduk tengah pada barisan kedua.
Buat pertama kali, Momentum turut menerima Pilot Assist, yang menggabungkan kawalan kelajuan adaptif dan bantuan pemusatan lorong untuk memberikan fungski pemanduan semi-autonomous Tahap 2. Ciri ini terdahulu ditawarkan kepada Inscription Plus.
Tiada perubahan mekanikal, kedua-duanya masih dijanakan oleh enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder dan kotak gear automatik lapan-kelajuan. Bagi T5, penjana kuasa ini mampu memberikan kuasa sehingga 254 PS pada 5,500 rpm dan tork 350 Nm dari 1,500 hingga 4,800 rpm, dengan pacuan disalurkan ke semua roda.
Manakala enjin Recharge T8 ditambahkan dengan supercharger yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 320 PS pada 5,700 rpm dan tork 400 Nm antara 2,200 dan 5,400 rpm. Gandar belakang menampilkan motor elektrik dengan kuasa 87 PS/240 Nm yang mampu memberikan jumlah keseluruhan output 407 PS dan 640 Nm. Bateri lithium-ion yang lebih besar dengan kapasiti 11.6 kWh yang diperkenalkan pada model 2020 dengan jarak semua-elektrik mampu dicapai hingga 54 km, membantu memberikan angka penggunaan bahan api sekitar 2.2 liter bagi setiap 100 km.
Awal bulan ini, Proton telah dilaporkan menerima lebih dari 40,000 tempahan bagi model X50 sehingga penghujung Mac lalu, menyebabkan tempoh menunggu naik hampir sekitar enam bulan bagi pelanggan menerima kereta yang mereka tempah. Dengan jumlah penghantaran kini telah mencapai 11,654 unit pada Mac, nampaknya ini merupakan tugas yang berat buat Proton.
Bulan lalu, Proton berjaya memproduksi X50 lebih dari 3,500 unit sebulan, seperti jumlah pengeluaran bulanan yang dirancang sebelum ini. Dengan jumlah tempahan yang semakin meningkat, Proton perlu meningkatkan lagi angka tersebut, oleh itu kami telah bertanya Proton berkenaan apa yang akan mereka lakukan bagi memendekkan masa menunggu setiap pelanggan berkenaan.
Menurut Proton, mereka ada rancangan untuk menaikkan jumlah produksi, tetapi ia akan mengambil masa. “Jumlah produksi kami tidak dihadkan oleh kapasiti kilang. Kami mahu dan akan meningkatkan jumlahnya secara beransur-ansur, tetapi ia tidak boleh dibuat dengan segera. Ia memerlukan masa pendulu yang banyak bagi meningkatkan kapasiti produksi dan kami sedang berusaha bersama vendor serta pembekal bagi mendapatkan komponen yang cukup bagi merealisasikannya,” kata jurucakap Proton kepada paultan.org dalam respon yang diberi secara bertulis.
Situasi ini turut diburukkan lagi oleh pelbagai lagi sebab lain, kata Proton. “Dari penangguhan penghantaran sehingga Perintah Kawalan Pergerakan dan juga penutupan operasi disebabkan kluster Covid-19, kesemua faktor ini telah memainkan peranan dalam melambatkan produksi awalan kami dan sekarang menghalang bagaimana cepat kami boleh naikkan angka produksi,” jelasnya.
Kami juga mengambil kesempatan bagi bertanya pada tahap mana kandungan tempatan untuk SUV tersebut buat masa sekarang. Namun Proton tidak memberikan peratusan, tetapi mereka menyatakan penglibatan jaringan vendor tempatan adalah tinggi dan ia akan ditingkatkan lagi.
“X50 kini dalam permulaan kitaran produk dan kerjasama kami dengan Geely hanya baru masuk tahun keempat, tetapi walaupun masih dalam peringkat ini, kami telah terkehadapan dengan usaha lokalisasi dan buat masa sekarang, ada 73 vendor tempatan terlibat untuk membekalkan komponen untuk X50 dan X70. Ini melibatkan nilai belian sekitar RM2.8 bilion dari Proton, dan angka tersebut sudah tentu meningkat selari dengan jualan yang naik,” katanya.
Proton turut menambah sebagai pengeluar automotif Malaysia, ia akan terus melakukan yang terbaik dalam membangunkan dan mempromosikan ekosistem automotif nasional. “Kami lakukan ini dengan membawa vendor kami terlibat dalam kitaran pembangunan awalan untuk model-model kami membolehkan kedua-dua pihak mendapat manfaat dari perkongsian kepakaran dan pembangunan komponen.”
“Sejak dari awal, Proton sentiasa berusaha untuk meningkatkan sumber komponen tempatan untuk kereta kami, kerana kami percaya apabila ekosistem ini berjaya, selepas itu seluruh industri dan negara juga akan menerima manfaat sebagai hasilnya,” kata Proton. Kerana kekurangan bekalan mikrocip global yang dihadapi pengeluar kenderaan di seluruh dunia, Proton menyatakan mereka boleh mengatasi kesannya, namun tidak mendedahkan apa yang telah terjejas.
MMC Gamuda KVMRT telah mengumumkan penutupan jalan dan pengaktifan laluan kontra diteruskan di kawasan Sungai Besi dan Seri Kembangan, melibatkan tempoh lagi lima bulan, dari 28 April hingga 27 September.
Pertama, ia melibaykan penutupan lorong penuh dan pengaktifan lorong kontra mengikut peringkat di sepanjang Jalan Utama (arah Seri kembangan dan arah Sungai Besi) dan sepanjang Jalan Besar (arah The Mines). Trek sistem dan kerja berkaitan akan dilakukan pada jam 11 malam hingga 5 pagi, dan pelan pengurusan trafik adalah seperti di bawah.
Bagi Peringkat 1 (lihat Peta 1A), untuk jarak 200 meter di sepanjang Jalan Utama (arah Seri Kembangan) berhampiran stesen minyak Petron, pengguna yang menghala ke Mines akan dilencongkan ke laluan aliran kontra di Jalan Utama (arah Sungai Besi).
Klik untuk besarkan
Untuk Peringkat 2 (lihat Peta 1B), untuk jarak 80 meter di sepanjang Jalan Besar (arah Mines) bersebelahan Petron Seri Kembangan 3, pengguna yang menghala ke Mines akan dilencongkan ke laluan aliran kontra. di Jalan Besar (arah Seri Kembangan). Sementara pengguna dari Sungai Besi pula akan dilencongkan ke jalan dalam Petron.
Bagi Peringkat 3 (lihat Peta 1C), jarak 80 meter di sepanjang Jalan Besar (arah Seri Kembangan), pengguna yang menghala ke Seri Kembangan akan dilencongkan ke laluan aliran kontra di Jalan Besar (arah Mines). Semua penutupan ini akan dikendalikan secara berperingkat dan hanya satu penutupan sahaja yang diaktifkan dalam satu masa.
Sementara itu, di Jalan Raya Tiga (arah Seri Kembangan), laluan sepanjang 500 meter akan ditutup bermula dari persimpangan TT Holdings hingga ke bulatan Sri Serdang. Pengguna dari Sri Serdang yang menghala ke Seri Kembangan perlu membelok ke kiri di persimpangan tiga berhadapan TT Holdings dan membelok ke kanan ke Jalan Raya Lima, kemudian membelok ke kanan menghala ke Jalan Raja Empat. Penutupan ini adalah untuk kerja-kerja perparitan dan kerja berkaitan. Lihat Peta 2 sebagai rujukan.
Klik untuk besarkan
Selain itu, penutupan lorong penuh dan pengaktifan laluan kontra pada waktu malam di Jalan Raya Satu akan diteruskan (lihat Peta 3). Sepanjang penutupan itu, bagi jarak 500 meter di sepanjang Jalan Raya Satu berhadapan dengan balai polis Seri Kembangan, pengguna yang datang dari South City dan menghala ke bulatan Sri Serdang perlu membuat pusingan-U di hadapan bengkel kereta Look Brothers. Laluan aliran kontra akan disediakan di Jalan Besar ke bulatan Sri Serdang melalui Jalan Raya Lima.
Manakala pengguna yang datang dari arah balai polis Seri Kembangan menghala ke bulatan Sri Serdang perlu membelok ke kanan dan menggunakan laluan kontra di Jalan Besar menghala ke bulatan menerusi Jalan Raya Lima.
Akhir sekali, penutupan lorong sepenuhnya pada waktu malam (untuk kedua-dua arah) di Jalan Raya. Satu (di hadapan Dataran Mutiara dan balai bomba). Untuk jarak sepanjang 100 meter bertentangan Dataran Mutiara, pengguna yang datang dari arah bulatan Sri Serdang menghala ke Serdang Raya perlu keluar dari bulatan terbabit dan memasuk Jalan Raya Empat, kemudian membelok ke kanan ke Jalan Raya Lima dan membelok ke kanan ke Jalan Besar.
Klik untuk besarkan
Untuk penutupan jalan sepanjang 150 meter di sepanjang Halan Raya Satu bertentangan dengan balai bomba, pengguna yang datang dari arah Serdang Raya menghala ke Sri Serdang perlulah membelok ke kanan ke Jalan SK 12/1, kemudian membelok ke kiri ke Jalan Besar dan seterusnya membelok ke kini ke Jalan Raya Lima. Lihat Peta 4 sebagai rujukan.
Bagi yang tertanya-tanya progres MRT Laluan Putrajaya (sebelum ini dikenali sebagai Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya SSP), ini pencapaiannya. MRT Corp berkata, pada awal bulan ini, Fasa Pertama dengan kos pelaburan bernilai RM30.53 bilion – dari Kwasa Damasara ke Kampung Batu – adalah 97% siap, dan akan mula beroperasi pada Ogos ini. Syarikat ini berkata, buat masa ini, ujian untuk sistem mekanikal dan elektrikal serta operasi percubaan sedang giat dijalankan.
Bagi Fasa Dua iaitu dari Kampung Batu ke Putrajaya Sentral, ia dijadualkan akan memulakan operasinya pada Januari 2023, dengan laluan sepanjang 57.7 km. Buat masa ini laluan di Seri Kembangan sedang disiapkan. Manakala laluan ketiga dan terakhir bagi MRT untuk Lembah Klang – MRT3 – telah digerakkan semula.
Kembar Daihatsu Rocky dan Toyota Raize kini sah akan dilancarkan untuk pasaran Indonesia pada 30 April nanti. Walaupun kedua-dua model ini sama dengan Perodua Ativa, tetapi daripada maklumat risalah bocornya, terdapat perbezaan spesifikasi antara pasaran.
Pertama, akan ada pilihan kapasiti enjin di sana. Rocky dan Raize di Indonesia akan ditawarkan dengan dua pilihan enjin, 1KR-VET 1.0T serta unit 1.2 liter NA tiga-silinder. Bukan unit siri NR empat-silinder biasa, unit 1.2 liter dengan DOHC dan Dual VVT-i berkenaan menghasilkan 88 PS dan 112 Nm tork pada 4,500 rpm.
Selain CVT, pelanggan di sana juga mempunyai pilihan terhadap kotak gear manual lima-kelajuan untuk enjin terbabit. Bahkan enjin 1.0T yang sama dengan janaan pada Ativa dengan 98 PS/140 Nm juga didatangkan dengan pilihan 5MT bersama dengan CVT di sana.
Sama seperti di Malaysia sebelumnya, ini kali pertama Astra Daihatsu Motor (ADM) and Toyota Astra Motor memperkenalkan enjin turbo kapasiti kecil berkenaan untuk pasaran Indonesia, selain model JDM Daihatsu Copen. Kedua-dua Raize dan Rocky di sana melibatkan penggunaan 70% seperti yang disyaratkan untuk menikmati insentif kerajaan di sana.
Risalah Raize yang bocor menunjukkan akan ada tiga varian — 1.2 G, 1.0T G dan 1.0T GR Sport. Gred G diberikan pilihan MT atau CVT, manakala GR Sport hanya datang dengan CVT sahaja, serta paddle shifter. Varian paling tinggi ini turut datang dengan pendingin hawa automatik, DRL LED dan lampu isyarat sequential, rim hitam 17-inci, stereng balutan kulit dan kerusi balutan kombinasi kulit-fabrik. Tak lupa, kit badan dengan lencana GR Sport.
Hanya GR Sport yang akan ditawarkan dengan pilihan pakej TSS (Toyota Safety Sense); lengkap dengan enam beg udara dan ASA 3.0 serta pemanduan autonomous Tahap 2 yang turut ada pada Ativa. Varian 1.2 G dan 1.0T sekadar ada dua beg udara dan VSC. Warna kuning dan turquoise pula tidak ditawarkan pada Ativa di Malaysia, dan hanya model Raize turbo sahaja hadir dengan warna luaran dua-tona.
Memasuki tahun 2021 ini, Suzuki Vietnam telah menambah pilihan bagi model Raider R150 Fi (juga dikenali dengan nama Satria F150 di beberapa negara atau Belang di Malaysia) dengan tiga warna keluaran khas, kelabu/hitam, merah/hitam dan biru/silver.
Tiga warna baru ini sebenarnya mengambil inspirasi grafik daripada model berkapasiti lebih tinggi popular Suzuki, iaitu Katana, GSX-R1000 versi lumba endurance dan juga GSX-RR MotoGP. Selain daripada penampilan ini, tiada bahagian yang berubah dan ia masih sama seperti model yang sedia ada dalam pasaran.
Raider R150 Fi digerakkan oleh enjin satu silinder DOHC suntikan bahan api yang dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan, dan mampu menghasilkan kuasa 18.2 hp pada 10,000 rpm dan 13.8 Nm tork pada 8,500 rpm.
Berat keseluruhan model ini cuma 109 kg, dan ia didatangkan dengan tangki bahan api empat liter, kerangka Twin Spar, ruang simpanan kecil di bawah tempat duduk, lampu hadapan LED, panel instrumen digital serta brek cakera depan dan belakang.
Dalam pasaran Malaysia, ramai yang tahu, Suzuki agak senyap tetapi hujung tahun lepas, operasinya telah diambil alih oleh sebuah syarikat baru. Kami juga ada mendapat khabar angin mereka bukan sahaja akan melancarkan Raider R150 Fi ini, tetapi juga GSX-R150 sebagai model pemasangan tempatan (CKD).
Proton menyatakan bahawa mereka akan terus menumpukan produksi X50 untuk pasaran Malaysia terlebih dahulu sebelum mengeksport SUV tersebut ke luar negara. Jenama automotif nasional berkenaan menjelaskan bahawa respon yang sangat baik dari pengguna telah menyebabkan tempoh menunggu bagi mendapatkan model tersebut kini sudah mencecah sekitar enam bulan, dan keutamaan akan diberikan kepada tempahan dalam negara.
“Keutamaan kami adalah untuk mennghantar kereta bagi tempahan pasaran domestik terlebih dahulu dan untuk menyelesaikan masalah tempoh menunggu yang kini dihadapi oleh pelanggan,” kata Proton dalam satu respon bertulis kepada paultan.org terhadap pertanyaan yang kami ajukan berkenaan rancangan produksi bagi model tersebut.
Proton turut menyatakan bahawa X50 turut akan dieksport ke Pakistan, namun bila ia akan diperkenalkan pada pasaran berkenaan belum lagi didedahkan. Apabila SUV kompak ini dieksport ke sana kelak, ia akan menyertai Saga dan juga X70 yang sudah pun berada dalam bilik pameran Proton Pakistan.
Saga dan X70 bakal diproduksi di kilang yang terletak di Karachi bermula suku ketiga tahun ini, menerusi fasiliti rakan kerjasama mereka di negara berkenaan iaitu Al-Haj Automotif. Menurut Proton, operasi CKD di Pakistan berkenaan kemudian turut akan disertai oleh X50, setelah ia diperkenalkan di pasaran tersebut. Buat masa sekarang, X70 dan Saga dijual di Pakistan sebagai model CBU, diimport dari Malaysia.
Kilang baharu di Karachi tersebut yang telah pun diumumkan pada 2019 sepatutnya sudah mula beroperasi sebelum akhir tahun lalu, dan ia dirancang untuk mampu menghasilkan 25,000 unit kereta setahun, serta dijangka menyediakan sekitar 2,000 peluang pekerjaan terus dalam masa tiga tahun pertama operasinya, bersama lebih 20,000 peluang kerja tidak terus kesan dari kewujudan kilang tersebut.
Pasaran kenderaan elektrik sepenuhnya di Malaysia tak lama lagi bakal disertai oleh model baru, Volvo XC40 Recharge. Petunjuk ini dihebahkan melalui laman web rasmi Volvo Car Malaysia, yang kini dibuka untuk pendaftaran minat pelanggan. Ia susulan kepada pengenalan model sama di Thailand bulan lalu, yang dijual pada harga 2,590,000 baht (RM345k), dipasang dan dibawa masuk dari China.
XC40 Recharge EV memberikan jarak perjalanan 418 km, dan bateri 78 kWh yang digunakan boleh dicas kepada tahap 80% kapasiti dalam masa hanya 40 minit menggunakan saluran outlet 150 kW DC. Selain itu, WallBox tiga-fasa 11kW melalui penyambung Type 2 pula boleh mengecas penuh dalam masa 7.5 jam.
Dalam penawaran spesifikasi paling tingginya, XC40 Recharge menghasilkan 408 PS dan 660 Nm tork melalui tetapan dua motor, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat dan had laju maksimumm 180 km/j (dihadkan secara elektronik).
Melihat kepada spesifikasi di Thailand sebagai rujukan, XC40 Recharge dilengkapi rim aloi 19-inci dengan tayar bersaiz 235/40, serta lampu LED sepenuhnya, pintu belakang kendalian “hands-free” yang menyediakan 413 liter ruang, serta tambahan 31 liter lagi ruang di tempat sepatutnya enjin pembakaran dalaman diletak.
Laman web Volvo di Malaysia turut menyatakan adanya servis Google bagi XC40 Recharge, hasil penggunaan sistem infotainmen berasaskan Android Automotive OS – ini menjadi model pertama Volvo yang dilengkapi ciri berkenaan – yang disepadukan dengan platform servis Volvo On Call.
Untuk pasaran Thailand, ia hadir dengan ciri kawalan pendingin dua-zon dengan Clean Zone, ruang dalaman kemasan kulit kelabu gelap, bumbung panoramik, paddle shifter, sistem bunyi Harman Kardon 13-pembesae suara dengan amplifier 600-watt dan Quantum Logic.
Honda telah mengumumkan bahawa mereka merancang untuk mempertingkatkan pengeluaran kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) dan kenderaan elektrik sel bahan api (FCV) dalam pasaran utama elektrifikasi seperti di Amerika Syarikat dan China, sehingga 40% menjelang 2030. Ia akan meningkat kepada 80% pada 2035, dan kemudian 100% secara global menjelang 2040.
Halatuju ini telah diumumkan oleh presiden dan CEO Honda yang baru, Toshihiro Mibe dalam sidang media pertamanya yang dibuat minggu lalu. Mibe yang telah dilantik menyandang jawatan berkenaan pada Februari lalu telah menyatakan bahawa Honda bakal melalui “transformasi besar dalam masa yang singkat” dan pengumuman terbaharu ini mengembangkan lagi rancangan asal mereka sebelum ini yang mensasarkan untuk membariskan dua pertiga model-model mereka dari jenis EV, hibrid dan FCV pada 2030.
Teknologi lain yang turut dirancang dalam garis masa produk mereka juga didedahkan dan diulang dalam pembentangan tersebut. Bagi Amerika Syarikat, ini akan termasuk pengenalan dua model EV besar sebagai model 2024, menerusi lencana Honda, dan satu lagi di bawah jenama Acura. Model-model ini akan dihasilkan bersama General Motors (GM) serta bakal menggunakan bateri Ultium dari GM.
Bermula separa kedua dekad ini, Honda akan melancarkan pelbagai siri model EV di Amerika Syarikat, yang akan menggunakan platform modular EV global e:Architecture, dijangka bakal menggunakan pelbagai bentuk badan dari crossover sehingga sedan. Selepas pengenalan di AS, model-model tersebut kemudiannya akan dilancarkan di pasaran lain seluruh dunia.
Di China, Honda merancang untuk memperkenalkan 10 model EV dalam masa lima tahun. Model pertama dari 10 model berkenaan adalah versi produksi SUV e:prototype yang didedahkan di Auto Shanghai minggu lalu. Model elektrik sepenuhnya itu dijangka akan mula dijual bermula musim bunga 2022.
Manakala untuk Jepun sendiri, adaptasi model-model EV dan FCV berkenaan adalah sedikit lambat berbanding Amerika dan China, hanya pada kadar 20% menjelang 2030, namun ia akan terus mengikut kadar global iaitu 80% pada 2035 dan 100% pada 2040. Walau bagaimanpun, Honda menyatakan mereka akan menerapkan 100% teknologi elektrifikasi pada 2030 dengan teknologi hibrid petrol-elektrik, selepas enjin petrol sepenuhnya diharamkan di Jepun pada tahun tersebut.
Honda turut mengumumkan Kei-Car elektrik sepenuhnya pertama akan diperkenalkan di Jepun pada 2040, manakala pada pertengahan dekad, kenderaan pandu-sendiri elektrik Cruise Origin akan diperkenalkan untuk segmen servis mobiliti (MaaS). Kerjasama pembangunan dengan GM dan Cuise sudah pun berjalan, dan ujian dijadualkan bermula di Jepun pada tahun ini.
Jenama berkenaan turut menyatakan penyelidikan terhadap bateri solid generasi seterusnya – yang disasarkan bagi memberikan kapasiti tinggi dengan kos yang rendah – sedang dipercepatkan, dengan sasaran untuk dilengkapkan pada model-model baharu bermula separa kedua dekad nanti.
Honda menambah bahawa mereka akan terus proaktif dalam mempromosikan penggunaan sistem sel bahan api dan hidrogen dengan mengembangkan barisan model FCV serta menggunakan sistem sel bahan api untuk aplikasi lebih luas, termasuk trak komersil dan juga sumber tenaga tetap dan mudah alih.
Isuzu Malaysia akhirnya melancarkan secara rasmi model D-Max 2021 generasi ketiga serba-baru untuk pasaran tempatan, dua minggu selepas mendedahkan perinciannya kepada umum. Semuanya ada tujuh varian ditawarkan, dengan harga bermula dari RM89k.
Ia dimulakan dengan model Single Cab paling asas, dengan dengan pilihan enjin 1.9 liter (RM88,599) atau 3.0 liter (RM95,538); diikuti oleh 1.9 liter Standard 4×4 manual (RM99,599) atau automatik (RM106,999); Premium 4×4 Automatik 1.9 liter (RM121,549) dan 3.0 liter (RM128,038); dan varian paling tinggi terbaru yang diperkenalkan, X-Terrain 3.0 liter 4×4 (RM141,938).
Rekabentuk D-Max serba baru ini menerima pembaharuan yang meluas menjadikannya tampil lebih maskulin; ketinggian bonet dinaikkan 15 mm, sementara bahagian door sill juga dinaikkan 20 mm. Garis bumbung juga direndahkan 15 mm untuk memberikannya profil yang lebih sporty. Jarak antara rodanya pula ditambah 30 mm — menjadikan kabin lebih luas — manakala bukaan pintu ditambah 25 mm.
Menggunakan platform baru dikenali sebagai Dynamic Drive Platform (masih binaan body-on-frame), memberikan ketahanan struktur yang lebih teguh, perlindungan ketika perlanggaran, kestabilan pemanduan dan pengurangan tahap bising NVH. Ketinggian meredah banjir juga kini 800 mm berbanding 600 mm sebelum ini.
Ada dua kapasiti enjin yang ditawarkan, dengan yang pertama unit RZ4E-TC 1.9 liter common-rail empat-silinder diesel yang sudahpun diperkenalkan di Malaysia sebelum ini, menghasilkan 150 PS dan 350 Nm tork. Output masih sama, tetapi menurut Isuzu enjin ini kini lebih lancar dan senyap.
Bagi unit 4JJ3 3.0 liter, ia diberikan penambah baikan dan peningkatan baru. Ia kini menghasilkan 190 PS dan 450 Nm tork, menampilkan peningkatan sebanyak 13 PS dan 70 Nm berbanding unit enjin 4JJ1 3.0L yang digunakan sebelum ini — memanfaatkan engine head dan pengecas turbo baru.
Angka ini mungkin tidak terlalu jauh daripada pesaingnya, tetapi Isuzu sejak dulu selalu merendahkan output dari kapasiti sebenar bagi memberi kelebihan kepada ketahanan dan jangka hayat enjin yang lebih lama. Lebih menarik, kedua-dua enjin yang ditawarkan oleh Isuzu ini boleh menggunakan biodiesel B20 tanpa masalah. Transmisi manual dan automatik enam-kelajuannya juga diberi kemaskini agar lebih lancar, begitu juga dengan pemilih sistem pacuan 4×4.
Varian paling asas 1.9L 4×4 Single Cab menerima lampu utama reflektor halogen dengan lampu jenis bulb bagi DRL, bampar depan dan perumah cermin sisi (larasan elektrik) yang tidak dicat, rim besi 16-inci, panel instrumen asas, stereng empat jejari urethene, head unit 1-DIN dengan USB dan dua pembesar suara, kerusi balutan plastik dan sistem pendingin kawalan manual.
Aspek keselamatan, ia dilengkapi dua beg udara, ABS dan EBD, bantuan mula mendaki, kawalan menuruni curam, sistem kawalan cengkaman dan pengingat tali keledar untuk semua kerusi. Turut ditawarkan ialah versi enjin 3.0 liter; selain enjin, semuanya sama. Hanya warna Splash White disediakan untuk varian ini. Pelapik ruang barangan ada sebagai pilihan dengan kos RM950, sementara sport bar pula dengan kos tambahan RM1,320.
Beralih kepada varian 1.9L 4×4 MT Standard pula, ia datang dengan kabin berkembar. Ia diberikan cat pada bampar dan cermin sisi, lampu kabus halogen, rim aloi 17-inci dengan tayar 255/65, sensor parkir, kluster instrumen yang lebih menarik dengan paparan multi-info 4.2-inci, stereng urethane dengan multi-fungsi, kerusi balutan fabrik, head unit 2-DIN dengan Bluetooth dan enam-pembesar suara, serta corong pendingin di belakang (standard untuk semua varian Double Cab).
Naik ke varian 1.9L 4×4 AT Standard pula, ia menerima tambahan lampu utama projektor bi-LED dengan DRL LED. Semua yang lain kekal sama. MT Standard boleh didapati dalam tiga warna pilihan — Splash White, Mercury Silver dan Onyx Black — manakala AT Standard ada tambahan warna Valencia Orange dan Sapphire Blue.
Varian yang menarik untuk dipertimbangkan bermula dari 1.9L 4×4 AT Premium. Ia datang dengan lampu utama projektor bi-LED, lampu kabus depan dan belakang LED, lampu belakang kombinasi LED, perumah cermin sisi krom dengan fungsi lipat automatik, rim aloi 18-inci dengan tayar 265/60 All-Terrain, stereng multi-fungsi balutan kulit dan skrin sentuh tujuh-inci dengan sokongan Apple CarPlay, Android Auto dan fungsi Wifi.
Ia juga ada lapan-pembesar suara, kerusi balutan kombinasi kulit hitam, kemasan kulit dan satin krom yang lebih halus, cermin pandang belakang elektrokromik serta sistem kawalan pendingin dua zon. Kelengkapan lain pula termasuk kawalan melayar pasif, sistem tanpa kunci, lampu aluan, kamera undur dan sistem bantuan pintu barangan belakang.
Bagaimanapun, sistem bantuan pemandu canggih pada varian ini hanya terhad kepada peninjau titik buta dan amaran lintasan trafik belakang; AT Premium juga hanya datang dengan dua beg udara. Pilihan warna kekal lima yang sama seperti 1.9L 4×4 AT Premium, tetapi warna Splash White diganti dengan Silky White Pearl yang lebih premium. Bagi varian 3.0L 4×4 Premium V-Cross pula, perbezaannya cuma kapasiti enjin serta kerusi pemandu dengan larasan manual enam-hala. Beg udara juga masih cuma dua.
Varian paling tinggi yang baru diperkenalkan pula ialah 3.0L 4×4 AT X-Terrain, dengan beza harga sekitar RM14k berbanding 3.0L AT Premium. Tambahannya pula melibatkan cermin depan khas yang mengurangkan penembusan cahaya infra-merah, bilah pengilap aerofoil premium dengan pencuci bersepadu, rim aloi 18-inci dengan tayar 265/60 All-Terrain serta penghidup enjin jarak jauh.
Di dalam, varian ini juga satu-satunya yang menerima kemasan kulit coklat, kerusi pemandu dengan larasan elektrik lapan-hala dengan sokongan lumbar, larasan stereng teleskopik dan juga atas-bawah serta paparan skrin sentuh sembilan-inci.
Dari aspek keselamatan, variran tertinggi ini hadir dengan pakej ADAS lengkap; tujuh beg udara, amaran perlanggaran depan, brek kecemasan autonomous, kawalan melayar adaptif dengan fungsi Stop/Go, lampu tinggi automatik, amaran menukar lorong, penghindaran salah operasi pedal dan bantuan selekoh ditawarkan sebagai standard. Masih tiada kamera 360-darjah, cuma ada kamera undur dan sensor parkir sahaja.
Jaminan bagi varian X-Terrain juga diberikan selama tujuh-tahun tanpa had perbatuan, sementara varian lain kekal jaminan lima-tahun.