Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Volvo M’sia kini tawar waranti 5-tahun tanpa had perbatuan untuk semua model baru bermula 1 Jan

    Volvo M’sia kini tawar waranti 5-tahun tanpa had perbatuan untuk semua model baru bermula 1 Jan

    Volvo Car Malaysia (VCM) mengumumkan bahawa mereka kini sudahpun mengimplementasikan program waranti pengeluar lima-tahun tanpa had perbatuan untuk semua model baharu Volvo (milik individu) yang didaftarkan bermula 1 Januari 2021.

    Ini merupakan tingkat taraf dari program waranti lima tahun sebelum ini di mana ianya dipecahkan kepada dua peringkat; waranti pengeluar selama tiga-tahun/100,000 km manakala tempoh waranti lagi dua-tahun/20,000 km disediakan oleh syarikat insuran yang ditetapkan.

    “Penawaran baharu ini merupakan sebahagian dari dedikasi kami terhadap kualiti, khususnya berkaitan kenderaan dan hubungan dengan pelanggan. Di Volvo Car Malaysia, semua keputusan yang kami buat adalah dibuat berdasarkan keperluan pelanggan dan yang penting bagi mengukuhkan kepercayaan mereka terhadap Volvo,” kata pengarah urusan VCM, Nalin Jain.

    Volvo M’sia kini tawar waranti 5-tahun tanpa had perbatuan untuk semua model baru bermula 1 Jan

    “Kami mahu pelanggan kami merasakan mereka sentiasa dijaga sepanjang pemilikan kenderaan mereka dan kami percaya bahawa waranti pengeluar yang dipanjangkan ini adalah langkah yang betul sebagai jenama kereta premium yang berasaskan keselamatan,” tambahnya lagi.

    Untuk model-model plug-in hibrid Volvo, ia akan terus menerima waranti selama lapan-tahun/160,000 km untuk bateri bervoltan tinggi, yang sebelum ini sudahpun diumumkan pada Disember tahun lalu.

    “Matlamat kami untuk inisiatif ini adalah bagi membolehkan pelanggan kami yang dihargai merasa selesa sepenuhnya memandu kereta Volvo, bebas dari kerisauan. Kami berikan mereka pengalaman sepenuhnya inovasi dan teknologo yang telah dilengkapkan pada setiap kereta kami, dan dengan itu kami mampu untuk memberikan pelanggan kami kebebasan untuk bergerak secara lebih peribadi, lestari dan selamat,” jelas Nalin.

     
     
  • Ford Malaysia umum harga baharu bagi Ranger 2021

    Ford Malaysia umum harga baharu bagi Ranger 2021

    Awal minggu ini, Sime Darby Auto ConneXion selaku pengedar rasmi kenderaan Ford di Malaysia telah mengumumkan tempoh jaminan baharu selama lima-tahun/160,000 km bagi barisan model Ranger di Malaysia. Jaminan baharu ini turut digunapakai untuk model Ranger 2021, dan ia merupakan jaminan yang dipertingkatkan dari sebelum ini iaitu tiga-tahun/100,000 km.

    Walau bagaimana pun, untuk pengetahuan anda, sebenarnya harga bagi barisan model Ford 2021 juga telah dirombak, mulai 1 Februari. Semakan menerusi laman web Ford Malaysia, harga baharu ini telah dipaparkan, dan ternyata ia mengalami peningkatan antara RM1.5k hingga RM2k, bergantung pada varian.

    Di mana sesetengah varian Ranger tersebut memang dinyatakan harga baharu dalam senarai itu. Tahun lalu, syarikat ini telah memperkenalkan versi model 2020 bagi Ranger Raptor, Wildtrak, XLT+ (atau XLT Plus) dan juga FX4.

    Seperti yang diumumkan pada April lalu, Raptor yang dipertingkatkan ditawarkan pada harga RM208,888, tetapi peningkatan harganya itu bersama beberapa ciri tambahan yang diberikan, termasuklah brek kecemasan sendiri (AEB) dengan pengesan pejalan kaki dan bantuan kekal lorong. Untuk model 2021, harga atas jalan bagi Raptor meningkat sebanyak RM2,000 menjadikannya RM210,888, tanpa insurans.

    Manakala bagi Wildtrak, model 2020 telah diperkenalkan pada Ogos lalu dan diumumkan harganya mencecah RM150,388. Walau bagaimana pun, pada tahun ini, harganya meningkat menjadi RM152,388, tanpa insurans. Sementara itu, bagi Ranger XLT+ 2020 yang diperkenalkan pada September lalu dengan harga RM129,888, kini menjadi RM131,888, iaitu meningkat sebanyak RM2,000.

    Dalam senarai tersebut tiada pula edisi FX4 – yang diperkenalkan pada Jun 2020 dengan harga RM126,888. Mungkin model yang diasaskan dari XLT automatik dengan pertambahan aksesori, telah pun habis dijual.

    Ford Malaysia umum harga baharu bagi Ranger 2021

    Selain itu, harga bagi XLT auto/manual dan XL Double Cab serta Single Cab juga meningkat sebanyak RM1,500 berbanding sebelum ini.

    Harga bagi barisan Ford Ranger 2021 adalah seperti berikut, iaitu harga atas jalan, tanpa insurans:

    • Ranger 2.0L Raptor – RM210,888
    • Ranger 2.0L WildTrak 4×4 – RM152,388
    • Ranger 2.0L XLT+ – RM131,888
    • Ranger 2.2L XLT Automatic – RM118,388 (sebelum ini RM116,888)
    • Ranger 2.2L XLT Manual – RM111,388 (sebelum ini RM109,888)
    • Ranger 2.2L XL Double Cab Automatic – RM105,388 (sebelum ini RM103,888)
    • Ranger 2.2L XL Double Cab Manual – RM97,388 (sebelum ini RM95,888)
    • Ranger 2.2L XL Single Cab Manual – RM92,388 (sebelum ini RM90,888)

    Untuk pengetahuan anda, model Wildtrak dan XLT 2021 tidak dipadankan dengan gril yang dirombak semula (yang kelihatan pada model FX4) seperti yang diumumkan sebagai sebahagian daripada kemaskini trak di Thailand pada November lalu, tetapi kebarangkalian ia akan diberikan pada masa akan datang atau pun mungkin juga tidak.

     
     
  • Jenama China mula atasi Jerman, Amerika di Australia

    Jenama China mula atasi Jerman, Amerika di Australia

    Jumlah jualan kereta baharu dari China kini mula mengatasi jenama-jenama dari Jerman dan Amerika Syarikat di Australia, di mana buat pertama kalinya ia berada di kedudukan keempat dalam rekod jualan negara berkenaan bagi Januari 2021, lapor Car Advice.

    Sepanjang bulan lalu, rekod yang dikeluarkan oleh Dewan Persekutuan Industri Automotif Australia menunjukkan bahawa sebanyak 4,198 unit kenderaan dari China telah berjaya dijual, berbanding 3,078 unit dari Jerman dan 2,056 unit dari Amerika Syarikat. Secara keseluruhan, jualan kereta di Australia juga dilihat meningkat sebanyak 156% bulan lalu.

    Momentum jualan kereta-kereta dari China di Australia ini sebenarnya telah pun bermula tahun lalu. Sepanjang 2020, China merupakan pengimport kenderaan keenam terbesar di Australia, naik 70% berbanding 2019. Jualan jenama-jenama China ini berada di antara Jerman dan AS sejak Ogos 2020, dan akhirnya berjaya memintas kedua-dua negara berkenaan bulan lalu.

    Di antara semua jenama-jenama China tersebut, MG dan LDV (kedua-duanya dimiliki oleh SAIC) menunjukkan peningkatan ketara pada Januari 2021. Dua jenama di bawah satu kumpulan, GWM (trak pikap) dan Haval (SUV) juga kini sudah mula mengira jualan mereka sebagai satu entiti, turut menunjukkan peningkatan besar bulan lalu.

    Jualan tertinggi di Australia mengikut import negara pengeluar masih lagi diungguli oleh Jepun dengan jumlah jualan 29,275 unit (naik 29.6%). Thailand menjadi negara kedua tertinggi dalam carta jualan bulan lalu di Australia dengan rekod 16,903 (turun 6.1%) – walaupun tiada jenama asal, negara Gajah Putih berkenaan membekalkan kebanyakkan trak pikap yang popular di Australia seperti Ford Ranger, Mitsubishi Triton, Isuzu D-Max dan Toyota Hilux.

    Korea Selatan yang diwakili jenama seperti Kia dan Hyundai pula berada di tempat ketiga di Australia bulan lalu dengan jualan 11,516 unit, naik sebanyak 11.5%.

     
     
  • Puspakom Bangi tutup dari 4 Feb hingga dimaklumkan kelak ekoran seorang kakitangannya positif COVID-19

    Puspakom Bangi tutup dari 4 Feb hingga dimaklumkan kelak ekoran seorang kakitangannya positif COVID-19

    Puspakom telah mengumumkan sebuah lagi cawangannya iaitu yang berlokasi di Bangi terpaksa ditutup mulai hari ini setelah salah seorang kakitangannya disahkan positif COVID-19 dan proses pengesanan kontak juga sedang dijalankan. Semua kakitangan cawangan juga akan menjalani ujian saringan Covid-19, sementara mereka yang berhubung secara langsung dengan kakitangan tersebut telah diarahkan untuk menjalani kuaratin selama 14 hari.

    Selain itu, proses sanitasi dan pembersihan secara menyeluruh turut dilakukan, manakala tarikh pembukaan semula cawangan tersebut akan dimaklumkan kelak. Menurut Puspakom, bagi pelanggan yang mempunyai temujanji di Puspakom Bangi, semua bayaran temujanji pemeriksaan yang telah dibuat akan dipulangkan secara automatik.

    Puspakom Bangi tutup dari 4 Feb hingga dimaklumkan kelak ekoran seorang kakitangannya positif COVID-19

    Sebagai alternatif, pelanggan yang telah membuat temujanji di Puspakom Bangi boleh menjalani pemeriksaan secara walk-in dengan pembayaran secara tunai di cawangan yang disenaraikan di atas. Pelanggan perlu membawa slip pengesahan temujanji Puspakom Bangi semasa hadir ke cawangan alternatif.

    Puspakom turut berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menghadapi gejala ini. Sebarang maklumat terkini akan dimaklumkan kepada pelanggan dari semasa ke semasa melalui Facebook rasmi Puspakom.

     
     
  • MINI tidak lagi guna kulit sebenar untuk upholsteri

    MINI tidak lagi guna kulit sebenar untuk upholsteri

    Jenama British, MINI kini dilaporkan tidak lagi menggunakan kulit asli untuk balutan-balutan upholsteri bahagian dalaman model-model akan datang. Ketua MINI Design, Oliver Heilmer menyatakan perkara berkenaan dalam satu temu ramah dengan Autocar UK, dan menerangkan bahawa langkah tersebut diambil bagi mempromosikan kelestarian selari dengan peralihan kepada kenderaan generasi baharu.

    “Kami tak perlukan kulit lagi pada masa hadapan, kerana kami tak percaya tahap kelestariannya. Kami yakin sepenuhnya bahawa kami ada produk moden dan bernilai tinggi tanpa kulit,” kata Heilmer dan menyatakan syarikatnya sudah mula membangunkan bahagian-bahagian dalaman yang mesra-alam.

    “Fabrik pada tempat duduk produksi sekarang adalah 100% dikitar semula. Lapisan di bawahnya adalah 70% dikitar semula. Kami mahu hasilkan rekaan yang tidak lapuk dek masa. Rekaan satu-musim, seperti fesyen, bukanlah sasaran kami dalam menghasilkan rekaan MINI akan datang,” jelasnya lagi.

    MINI tidak lagi guna kulit sebenar untuk upholsteri

    “Ia adalah inventif yang ringkas. Bahan-bahan akan dikitar semula, tetapi ia tetap mewah dalam masa yang sama. Dan inventif dalam aspek fungsi. Contohnya, kami guna gabus pada [konsep] Urbanaut. Nilai estetika akan datang lebih dari perspektif rumah, berbanding dari automotif,” tambahnya lagi.

    Walaupun menumpukan aspek kelestarian, MINI masih tidak akan mengabaikan aspek warisan sejarahnya bagi memastikan faktor gaya tersendiri dan seronok masih menjadi keutamaan model-model baharunya. “Kami tanya soalan seperti ‘adakah suis togol masih digunakan pada masa hadapan?’ kerana anda suka menggunakannya. Kami masih perlu melakukan perkara asas kemudian tambah sentuhan ajaib MINI ke atasnya,” kata Heilmer.

    Model prestasi tinggi juga akan menjadi perkara penting untuk masa depan MINI, dan dijangka barisan model John Cooper Works akan terus ditawarkan. “Saya secara peribadi percaya bahawa masih ada hubungan emosi yang perlu kami kekalkan untuk peminat hardcore kami bagi menghasilkan produk terhebat John Cooper Works yang memberikan nikmat pemanduan sebenar,” kata Heilmer lagi.

     
     
  • UMW Toyota lancar jenama Toyota Synergised Mobility di Malaysia, beri tumpuan utama terhadap teknologi

    Selain melancarkan model facelift Toyota Fortuner dan Innova 2021 semalam, UMW Toyota Motor (UMWT) turut memperkenalkan usaha terbaru sebagi teras utama jenama itu, dikenali sebagai Toyota Synergised Mobility (TSM).

    Sebagai susulan kepada tema All About The Drive yang diperkenalkan pada tahun 2016, TSM kini bernaung di bawah semangat yang sama. Yang membezakannya adalah tumpuan TSM lebih kepada teknologi maju yang dimiliki Toyota, sebagai pelengkap kepada kemeriahan dan keseronokan serta imej sporty yang dibawakan oleh Toyota Gazoo Racing (TGR).

    Menurut UMW Toyota lagi, dua contoh teknologi terkini yang dimaksudkan ialah Toyota Safety Sense (TSS) dan Toyota New Global Architecture (TNGA), masing-masing digunakan dan melengkapi model-model terkini keluarannya.

    UMW Toyota lancar jenama Toyota Synergised Mobility di Malaysia, beri tumpuan utama terhadap teknologi

    Kedua-duanya memperluaskan makna ciri “permotoran pintar” untuk memastikan keselamatan, keselesaan dan prestasi. Dengan TSM, pelanggan akan dapat melihat kesepaduan antara keyakinan dan teknologi dalam aktiviti keseharian mereka.

    Toyota Synergized Mobility juga akan merintis jalan baru bagi teknologi Toyota untuk diperkenalkan dalam masa terdekat. Ia menjadi simbol kepada kesatuan Toyota dengan masa depan; memanfaatkan teknologi akan datang, hari ini.

    “Kami percaya teknologi seharusnya memudahkan dan pintar. Dengan Toyota Synergized Mobility, UMW Toyota Motor akan dipersembahkan kepada warga Malaysia dalam satu aspek baru jenama ini, iaitu melalui inovasi maju yang canggih. Pelanggan akan memahami dan memanfaatkan Smart Driving bersama Toyota, di mana mereka akan menikmati pengalaman pemanduan yang menyenangkan, dengan teknologi dalam kesatuan sempurna—direka oleh dan untuk manusia,” jelas Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.

     
     
  • Perodua sasar jualan 240k unit kenderaan pada 2021, naik 9% dari 2020 — beli RM6.5b bekalan tempatan

    Perodua sasar jualan 240k unit kenderaan pada 2021, naik 9% dari 2020 — beli RM6.5b bekalan tempatan

    Perodua telah mensasarkan angka jualan kenderaannya sebanyak 240,000 unit bagi tahun 2021. Ini melibatkan peningkatan daripada 220,163 unit yang dijual sepanjang 2020, dan mengulangi sasaran awal yang diletakkan untuk tahun 2020, sebelum pandemik Covid-19 melanda. Angka itu kemudiannya diturunkan kepada 210k unit.

    Rekod jualan terbaik Perodua dicapai pada tahun 2019, dengan 240,341 unit. Perodua menjelaskan, sasaran baru itu diletakkan berdasarkan permintaan menggalakkan yang berterusan bagi model-model sedia ada, ditambah dengan pengecualian cukai SST yang dilanjutkan hingga 30 Jun tahun ini.

    “Dengan lanjutan cukai SST itu, perkembangan semasa vaksin Covid-19 dan semua model yang masih mencatatkan permintaan tinggi, kami percaya tahun 2021 akan menjadi tahun pemulihan,” ujar Presiden dan CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad yang menambah syarikat itu akan membeli komponen keluaran tempatan bernilai RM6.5 bilion tahun ini.

    “Sebagai tambahan, dengan 2020 berakhir agak baik berbanding jangkaan awalnya bagi Perodua dan industri, kami dalam usaha untuk menambah stok dengan melonjakkan sasaran pengeluaran kami kepada 272,000 kenderaan tahun ini — paling tinggi dalam sejarah kami. Ini akan menambah stok untuk memastikan serahan segera kepada pembeli,” tambahnya.

    Perodua sasar jualan 240k unit kenderaan pada 2021, naik 9% dari 2020 — beli RM6.5b bekalan tempatan

    Sasaran pengeluaran 2021 Perodua itu melibatkan peningkatan 23% berbanding tahun lalu dengan hanya 220,968 unit. Dengan semua modelnya melibatkan 90% kandungan tempatan, dan Perodua menjadi pembeli terbesar komponen automotif di Malaysia, ini akan melibatkan rantaian industri yang besar. Perkongsian pasaran syarikat ini bagi tahun 2020 ialah 41.6%

    Bagi servis lepas jualan, Perodua menjangkakan penerimaan servis kenderaannya akan tumbuh 20% daripada dua juta unit kepada 2.4 juta unit tahun ini, melibatkan pelanggan baru dan juga lama. Dalam kenyataan media hari ini, Perodua turut berkongsi pecahan jualan mengikut model. Daripada 220,163 unit didaftarkan tahun lalu, sebanyak 66,330 unit ialah Myvi, 59,651 unit Axia dan 56,996 unit Bezza. Perodua juga telah menjual 22,494 unit Aruz dan 14,691 unit Alza.

    Jika digabungkan penguasaan pasaran oleh dua pengeluar tempatan antara Perodua dan Proton, kedua-duanya mencatatkan perkongsian pasaran sebanyak 62%; tertinggi sejak tahun 2003. Untuk tahun ini, Perodua belum menyebut tentang model baru, tetapi kita tahu, SUV Perodua D55L “Rocky” yang telah dinantikan sebelum ini akan membuat kemunculan pada 2021.

     
     
  • PKP 2.0: Pengeluaran di kilang Proton terkesan akibat gangguan bekalan, pelancaran model baru ikut jadual

    PKP 2.0: Pengeluaran di kilang Proton terkesan akibat gangguan bekalan, pelancaran model baru ikut jadual

    Dengan lanjutan tempoh PKP 2.0 yang diumumkan ini, industri automotif tempatan mula merasa kesannya. Selain daripada penurunan jualan bagi bulan Januari, Proton juga mengesahkan bahawa jumlah pengeluaran kenderaannya tuurt mengalami kesan akibat daripada bekalan alatan yang tidak mencukupi, dalam usaha syarikat itu untuk memenuhi permintaan.

    Seperti dijelaskan oleh CEO Proton Edar, Roslan Abdullah, kelewatan dari pihak vendor dan pembekal akan memberikan kesan kepada kadar pengeluaran Proton, dan hal ini telah berlangsung sejak beberapa lama. “Rantaian bekalan kami terganggu sejak beberapa bulan lalu oleh pandemik Covid-19, menjadikannya sukar untuk memastikan jumlahnya sentiasa cukup untuk mengeluarkan kenderaan. Ini juga situasi yang sama dihadapi oleh pengeluar lain sejak tahun lalu. Tapi, kami berharap dengan ketibaan vaksin, keadaan akan menjadi lebih stabil menjelang pertengahan tahun ini,” tambah beliau.

    Walaupun berdepan dengan masalah bekalan, Proton akan tetap meneruskan perancangannya untuk pelancaran produk baru tahun ini. Belum mendedahkan sebarang perincian, Iriz dan Persona sudah dilihat diuji dalam masa terdekat, mencadangkan dua model segmen B itu akan memasuki pasaran mengikut jadual, tidak lama lagi. Model yang diasaskan daripada model Geely juga mungkin akan berada rancangan.

    “Kami mempunyai barisan produk yang dipertingkat untuk diperkenalkan nanti, sementara X50 pula akan menunjukkan prestasi jualannya untuk tempoh setahun selepas pengenalannya. Sudah pasti akan ada banyak cabaran, dan keadaan kelaziman baru ketika ini memaksa semua untuk lebih berinovasi dalam perniagaan untuk memenuhi keperluan pelanggan,” tambah beliau.

     
     
  • Proton catat 5,964 pendaftaran pada Jan 2021 – Saga kekal jualan terlaris, perkongsian pasaran capai 18.5%

    Proton catat 5,964 pendaftaran pada Jan 2021 – Saga kekal jualan terlaris, perkongsian pasaran capai 18.5%

    Proton telah mengumumkan prestasi jualan bagi Januari 2021. Pengeluar kereta nasional ini berjaya menjual sebanyak 5,964 unit pada bulan lalu, menunjukkan penurunan sebanyak 55.1% (atau 7,342 unit) berbanding 13,306 unit yang dicatatkan pada Disember 2020. Malah ia juga menurun sebanyak 29.9% berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

    Syarikat ini turut berkata, model Saga masih terus menerajui jualan bagi jenama ini, dengan jualan sebanyak 2,583 unit pada Januari. Manakala jualan bagi X50 pula mencecah 1,082 unit dan 892 unit dicatatkan oleh abangnya, X70. Selain itu, Persona pula mencatatkan jualan sebanyak 970 unit, diikuti dengan Iriz dan Exora yang masing-masing menyumbang sebanyak 283 unit dan 153 unit bagi jualan keseluruhan pada bulan yang sama.

    Dalam masa yang sama, Proton menjangkakan perkongsian pasaran mampu dicapai pada kadar 18.5%, iaitu kurang satu peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu. Ia menambah bahawa angka keseluruhan adalah kesan disebabkan permintaan yang tidak dapat dipenuhi kerana masalah rantaian bekalan komponen dan juga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan kedua (PKP 2.0).

    “Bulan Januari adalah satu bulan yang agak sukar bagi industri ototmotif Malaysia. Kami mempunyai harapan tinggi bahawa momentum yang dicapai pada akhir tahun lepas akan dibawa ke tahun baharu ini, terutamanya selepas pengumuman insentif PENJANA akan kekal hingga ke pertengahan tahun. Malangnya, pengumuman PKP untuk kali kedua telah menghampakan harapan itu.

    *Namun demikian, Proton dan ahli-ahli lain industri otomotif menyokong sepenuhnya langkah yang diambil oleh pihak kerajaan untuk mengawal kadar jangkitan. Keselamatan rakyat Malaysia perlu diutamakan dan syarikat perlu menukar strategi jika ingin mencapai matlamat dalam keadaan pasaran yang telah berubah,” ujar Roslan Abdulah, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar.

     
     
  • Toyota GR Supra Eurofighter – jentera drift badan karbon Kevlar sepenuhnya, enjin 2JZ lebih 1,000 hp!

    Toyota GR Supra Eurofighter – jentera drift badan karbon Kevlar sepenuhnya, enjin 2JZ lebih 1,000 hp!

    Firma kejuruteraan dari Latvia, HGK Racing telah mendedahkan jentera drift ‘Eurofighter’ terbaharu mereka – jika sebelum ini HGK terkenal dengan BMW E92 Eurofighter, kali ini ia diasaskan dari Toyota GR Supra, yang dibekalkan dengan lebih dari 1,000 hp!

    Projek ini telah dimulakan sekitar 12 bulan lalu. GR Supra Eurofighter ini diberikan rombakan besar dari segenap sudut. Keseluruhan panel-panel badannya telahpun dileraikan, dan ia digantikan dengan panel-panel dari material jauh lebih ringan dan kuat.

    Warna hijau gelap yang anda lihat pada badan GR Supra ini bukanlah cat mahupun pelekat, ia adalah warna asal panel-panel yang dihasilkan dari bahan karbon Kevlar. HGK Racing turut menghasilkan rekaan baharu untuk panel-panel badan berkenaan, menampilkan kesemua fender dan skirt sisi yang dilebarkan, serta bampar hadapan dan belakang yang lebih agresif.

    Toyota GR Supra Eurofighter – jentera drift badan karbon Kevlar sepenuhnya, enjin 2JZ lebih 1,000 hp!

    Tidak cukup dengan itu, kesemua tingkap-tingkap kaca pada GR Supra ini turut digantikan dengan komponen-komponen yang diperbuat dari bahan Lexan.

    Seperti jentera-jentera drift kompetitif lain, sistem suspensi dan stereng pada GR Supra ini telah diberikan ubahsuai yang cukup ektensif. Ia melibatkan kit lengan-lengan suspensi dan stereng yang membolehkan ia mendapatkan sudut drift yang sangat besar.

    Untuk menggerakkan jentera drift ini, enjin enam-silinder turbo berkembar B58 dari BMW yang berada dalam perut GR Supra tersebut dikeluarkan, dan digantikan dengan enjin betul-betul Toyota, 2JZ-GTE 3.0 liter enam-silinder dari Supra generasi sebelumnya.

    Enjin berkenaan juga menerima ubahsuai ekstrem yang turut melibatkan penggunaan dua pengecas turbo. Menurut HGK, enjin tersebut berupaya menghasilkan 1,015 hp pada aci engkol, atau 826 hp apabila disukat pada roda. Bagi memindahkan kuasa ke roda belakang, ia gandingkan dengan kotak gear sequential dari Samsonas, bersama gandar belakang Winters Performance.

    Dalam kabin, pemandu akan dilindungi dengan rollcage penuh yang dibangunkan oleh HGK sendiri, bersama perincian lain seperti tempat duduk perlumbaan dari Sparco dan tali pinggang keselamatan dari TRS Motorsport. Komponen-komponen yang dihasilkan dari gentian karbon juga cukup banyak pada bahagian ini, termasuk papan pemuka yang dibina semula.

    Kereta ini dihasilkan oleh HGK Racing untuk pelumba drift Rusia, Nikita Shikov. Ia bakal membuat kemunculan pada siri kejohanan Russian Drift Series akan datang.

     
     
  • MIROS bangunkan teknologi amaran pelanggaran berasaskan LIDAR untuk penunggang motosikal

    MIROS bangunkan teknologi amaran pelanggaran berasaskan LIDAR untuk penunggang motosikal

    Dalam kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS), kematian melibatkan pengguna motosikal di Malaysia adalah tiga kali lebih tinggi berbanding dengan kematian melibatkan pengguna kereta, enam kali lebih tinggi daripada kematian melibatkan pejalan kaki dan hampir 50 kali lebih tinggi daripada kematian melibatkan penumpang bas.

    Justeru, demi meningkatkan keselamatan penunggang motosikal, MIROS telah membangunkan satu teknologi berasaskan Light Detection & Ranging Technology (LIDAR). LIDAR yang merupakan komponen utama Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) yang telah digunakan secara meluas dalam reka bentuk kenderaan beroda empat. Teknologi ini berupaya untuk mengesan kenderaan di hadapan dan memberi amaran kepada penunggang motosikal untuk mengelak perlanggaran dengan selamat, termasuk pada kelajuan yang tinggi.

    Menurut MIROS, perlanggaran di antara penunggang motosikal dan kenderaan yang lain di lorong kecemasan masih berada di tahap yang membimbangkan dan salah satu cara yang boleh digunakan untuk mengurangkan risiko perlanggaran ialah dengan memastikan penunggang dapat mengesan kenderaan lain dalam masa yang mencukupi untuk mengelak daripada berlakunya perlanggaran dengan lebih selamat.

    “Kemajuan penyelidikan MIROS dalam teknologi ADAS untuk penunggang motosikal adalah satu pencapaian yang memberangsangkan kerana pengaplikasian teknologi ADAS sangat terhad dan tidak meluas digunakan dalam reka bentuk dan pembuatan motosikal,” ujar Ketua Pengarah MIROS, Ir. Ts. Dr. Khairil Anwar Abu Kassim.

    MIROS bangunkan teknologi amaran pelanggaran berasaskan LIDAR untuk penunggang motosikal

    Tambahnya, teknologi amaran perlanggaran ini telah dibangunkan dengan mengambil kira faktor berlakunya perlanggaran melibatkan motosikal di lorong kecemasan melalui dapatan analisa kes kemalangan terdahulu. Di samping itu, faktor kesesuaian reka bentuk motosikal dan tingkah laku penunggang motosikal di Malaysia turut diambil kira untuk meningkatkan fungsi sistem dan mengurangkan penolakan penunggang motosikal dalam menggunakan teknologi ini.

    Prinsip utama reka bentuk teknologi ini ialah berimpak tinggi, kos yang rendah, berasaskan pengguna, dan mudah dipasang melalui reka bentuk naik taraf (retrofit design). Amaran perlanggaran diberikan melalui tiga peringkat dan menekankan keupayaan untuk memastikan penunggang menyedari tepat pada masanya mengenai bahaya yang akan berlaku.

    Pendekatan reka bentuk yang digunakan juga diyakini dapat meningkatkan kebolehpasaran dan kebolehsediaan teknologi ini untuk digunakan secara meluas dalam kalangan penunggang motosikal di Malaysia dalam masa yang singkat.

    Mengulas mengenai kadar kematian akibat kemalangan jalan raya pada tahun 2020 yang telah mencatatkan penurunan sebanyak 4,634 kes berbanding 6,167 kes pada tahun 2019, Khairil Anwar berpendapat bahawa meskipun penurunan kes ini adalah berikutan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan, MIROS akan tetap komited dan berusaha dalam mencadangkan intervensi kemalangan jalan raya dalam usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di Malaysia.

     
     
  • Proton X50 kekal sebagai SUV segmen-B lima-tempat duduk paling laris di Malaysia untuk Januari 2021

    Proton X50 kekal sebagai SUV segmen-B lima-tempat duduk paling laris di Malaysia untuk Januari 2021

    Proton hari ini mengumumkan bahawa produk paling ‘hype’ mereka buat masa sekarang iaitu X50 kekal sebagai SUV segmen-B lima tempat duduk paling laris sepanjang Januari 2021.

    Menurut jenama automotif nasional tersebut, sepanjang bulan lalu sebanyak 1,082 unit X50 telah pun diserahkan kepada pelanggan. Secara keseluruhan, selepas model tersebut dilancarkan pada penghujung Oktober 2020, sejumlah 4,809 unit X50 telah pun dihantar kepada pemilik masing-masing.

    Walau bagaimanapun, angka jualan pada Januari sebenarnya berkurangan dari bulan sebelum itu kerana pada Disember 2020 lebih dari 2,000 unit X50 berjaya dihantar kepada pelanggan. Proton menyatakan bahawa perkara ini terjadi kerana pandemik Covid-19 yang masih lagi belum reda dan menjejaskan rantaian pembekalan komponen pada peringkat global.

    “Langkah-langkah seperti PKP telah memberi kesan kepada jumlah pelanggan yang datang ke bilik pameran, tetapi PROTON boleh menerima tempahan atas talian untuk meningkatkan jualan kami. Malangnya, talian bekalan kami telah terjejas oleh coronavirus untuk beberapa bulan lepas dan ini menyukarkan kebolehan untuk membina kenderaan kerana bekalan bahagian tidak konsisten. Situasi ini telah dihadapi oleh semua pengeluar kenderaan semenjak tahun lepas, namun demikian kami menaruh harapan ketibaan vaksin akan menstabilkan keadaan ini pada pertengahan tahun,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar, Roslan Abdullah.

    GALERI:Proton X50 1.5T Flagship 2020

     
     
  • Bekalan disk Lesen Kenderaan Motor mencukupi – JPJ

    Bekalan disk Lesen Kenderaan Motor mencukupi – JPJ

    Baru-baru ini terdapat sebuah penerbitan akhbar dalam talian melaporkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berhadapan dengan kekurangan bekalan disk Lesen Kenderaan Motor (LKM). Ini membuatkan ramai peniaga kenderaan mengalami kesulitan dalam urusan jualan sempena Tahun Baharu Cina.

    Susulan dengan laporan terbabit, pihak JPJ telah mengeluarkan satu kenyataan dan menyangkal dakwaan tersebut. Menurut JPJ, bekalan disk LKM adalah mengcukupi bagi menampung urusniaga pelanggan di seluruh negara termasuk di cawangan JPJ, Pos Malaysia, MyEG dan PUSPAKOM.

    JPJ turut menjelaskan, pihaknya bekerjasama dengan pembekal dokumen disk LKM untuk menghantar bekalan sebanyak 1,145,000 keping disk LKM kepada cawangan JPJ, Pos Malaysia, MyEG dan PUSPAKOM pada 1 Januari 2021 dan tambahan 420,000 keping lagi baru-baru ini agar tiada masalah putus bekalan timbul.

    Malahan JPJ juga sangat peka dan memberi jaminan bahawa isu kekurangan bekalan disk LKM tidak akan berlaku supaya pengguna tidak lagi menghadapi kesulitan menjalankan urusniaga berkaitan LKM.

    Dalam pada yang sama, JPJ turut menasihati para pelanggan agar mengutamakan urusniaga secara dalam talian serta tidak terburu-buru mendapatkan dokumen fizikal di kaunter-kaunter bagi mengelakkan kebanjiran orang ramai di cawangan JPJ dan rakan niaga ketika pandemik Covid-19. Ini adalah selaras dengan pengecualian memperbaharui Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Kenderaan Motor persendirian dari 1 Februari hingga 31 Mac 2021.

     
     
  • Toyota Fortuner 2021 facelift dilancarkan di Malaysia — tiga varian, dengan TSS & AEB, harga dari RM172k

    Toyota Fortuner 2021 <em>facelift</em> dilancarkan di Malaysia — tiga varian, dengan TSS & AEB, harga dari RM172k

    UMW Toyota Motor hari ini telah melancarkan model terbaru SUV Fortuner 2021 facelift untuk pasaran tempatan. Ia ditawarkan dalam tiga varian, dengan harga seperti berikut; Toyota Fortuner 2.8 VRZ dengan enjin 2.8 liter turbodiesel dan transmisi automatik enam-kelajuan 4×4 bermula RM203,183, manakala Fortuner 2.7 SRZ dengan enjin 2.7 liter turbodiesel dan transmisi automatik enam-kelajuan 4×4 bermula dari RM172,244. Turut ditawarkan ialah varian 2.4 AT 4×4 yang dijual pada haarga RM167,357, tetapi ini hanya untuk pasaran di Sabah, Sarawak dan Labuan sahaja.

    Fortuner 2.8 VRZ 4×4 A/T ialah varian baru yang menggantikan Fortuner 2.4 VRZ dalam penawaran sebelumnya. Warna baru Bronze Mica Metallic dengan bumbung hitam juga ditawarkan secara eksklusif bagi varian ini. Bumbung hitam dengan warna badan Super White II juga ada khusus untuk varian sama.

    Dari segi penampilannya, Fortuner 2.8 VRZ menerima lampu utama Quad LED dengan gril bercorak mesh di tengah. Unit lampu yang lain juga diberikan rekaan baru, serta rekaan bampar depan dan belakang yang juga menampilkan sentuhan baru. Bahagian skid plate di depan turut diperkemas untuk imej lebih lasak.

    Toyota Fortuner 2021 <em>facelift</em> dilancarkan di Malaysia — tiga varian, dengan TSS & AEB, harga dari RM172k

    Untuk membezakan penampilan Fortuner 2.8 VRZ, bahagian bumbungnya, tiang A, perumah cermin sisi dan spoiler pada bumbung semuanya dijadikan warna hitam. Rekaan setiap sudutnya juga diperkemas agar lebih aerodinamik. Untuk rim, kedua-dua varian menggunakan saiz 18-inci.

    Di dalam, Fortuner datang dengan tiga baris kerusi. Ruang kabin Fortuner 2.8 VRZ diberikan rekaan dan warna baru, termasuklah pada balutan tempat duduknya. Panel instrumen baru menampilkan Multi Information Display (MID) yang diperkemas animasi pemulanya. Cahaya suasana pula memberikan kelainan ketika waktu malam, sementara perumah kunci juga diberikan rekaan lain.

    Fortuner 2.8 VRZ dan 2.7 SRZ juga telah dipasangkan dengan lampu kabin jenis LED, cermin pandang belakang elektrokromatik (menghindari silau) dan tempat duduk pemandu serta penumpang depan kini boleh dilaras lapan-hala secara elektrik. Beberapa slot pengecas USB juga disediakan untuk kegunaan peranti moden penumpang.

    Toyota Fortuner 2021 <em>facelift</em> dilancarkan di Malaysia — tiga varian, dengan TSS & AEB, harga dari RM172k

    Enjin Fortuner menggunakan unit diesel 1GD-FTV empat-silinder common rail. Unit ini menampilkan variable nozzle turbocharger (VNT) tahan lasak dengan intercooler. Enjin 2.8 liternya mampu menghasilkan 204 PS pada 3,000-3,400 rpm dan 500 Nm dari 1,600 rpm hingga 2,800 rpm.

    Batang imbangan padanya mengurangkan gegaran serta kebisingan, sementara penjimatan dan kecekapan tinggi dicapai melalui sistem suntikan common rail kawalan elektronik yang boleh menyuapkan minyak dalam tekanan tinggi sehingga 250 MPa.

    SUV ini juga didatangkan dengan Kawalan Aliran Bolehubah (VFC) pada stereng kuasanya, yang membantu menjimatkan minyak dengan cara pengurangkan beban tork pada pam stereng kuasa berkenaan. Bagi Fortuner 2.8 VRZ, turut ada mod Sport yang memperkayakan lagi maklum balas stereng berkenaan.

    Baru untuk model tahun 2021 ini bagi kedua-dua varian adalah ciri Auto Limited Slip Differential (LSD) untuk lebih cengkaman dalam keadaan memerlukan, disamping fungsi 4×4 dan Kawalan Cengkaman Aktif (A-TRC) yang ada padanya.

    Bagi aspek keselamatan, Fortuner kini hadir dengan Toyota Safety Sense (TSS). Ini merangkumi ciri seperti Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), Amaran Penukaran Lorong (LDA) dan Kawalan Melayar Radar Dinamik (DRCC) dengan fungsi Yaw Assist — fungsi terakhir ini hanya ada pada model Hilux dan Fortuner sahaja.

    Ciri tambahan lain seperti pengecas tanpa wayar (baru), bukaan pintu belakang dengan gerak kaki (baru), peninjau pada bumbung serta perakam video digital belakang juga boleh dipilih oleh pelanggan. Fortuner 2021 datang dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan, tertakluk kepada syarat yang dinyatakan dalam buku manual pemilik.

    Selain itu, pelanggan juga boleh menikmati jadual penukaran minyak enjin yang lebih lama bagi enjin dieselnya dengan Revised Service Package. Jadual penukaran minyak enjinnya dilanjutkan kepada setiap 10,000 km atau enam-bulan (yang mana dahulu), berbanding keperluan sebelum ini iaitu setiap 5,000 km/tiga-bulan.

    Toyota Fortuner 2021 di Malaysia

    Gambar rasmi

     
     
  • Toyota Innova facelift 2021 dilancarkan di Malaysia – harga bermula RM112k hingga RM130k, tiga varian

    Toyota Innova <em>facelift</em> 2021 dilancarkan di Malaysia – harga bermula RM112k hingga RM130k, tiga varian

    Selepas tempahannya dibuka awal bulan lalu, hari ini UMW Toyota Motors melancarkan secara rasmi Toyota Innova facelift 2021 pada pasaran Malaysia. Ia ditawarkan dalam tiga varian, bersama satu lagi varian teksi dengan harga lebih rendah untuk kegunaan komersil.

    Versi paling asas Innova 2.0E dijual pada harga RM111,622, diikuti Innova 2.0G berharga RM121,483. Manakala varian tertinggi 2.0X dijual pada harga RM129,677. Kesemua angka yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran, bersama pengecualian cukai jualan yang dilanjutkan hingga 30 Jun 2021. Versi teksi pula ditawarkan dalam varian 2.0E, dijual pada harga RM97,978.

    Selain diberikan rupa yang lebih segar, MPV ini juga dibekalkan dengan sistem keselamatan tambahan secara standard untuk semua varian. Perubahan luaran yang diberikan pada Innova facelift ini termasuk bampar baharu bersama gril berbentuk trapezoid dengan kemasan hitam dan krom, disesuaikan dengan sepasang lampu hadapan baharu yang lebih tajam.

    Lampu kabus dan juga perumahnya turut direka semula, kini diposisikan secara menegak, sesuai dengan mukanya yang diperbaharui. Walau bagaimanapun, tiada perubahan besar dilihat pada bahagian belakang kerana ia masih menggunakan perumah lampu berbentuk-L yang sama. Apa yang berbeza, hujung keliling lampu tersebut kini digelapkan, manakala kemasan yang menghubungkan keduanya kini berwarna hitam.

    Toyota Innova <em>facelift</em> 2021 dilancarkan di Malaysia – harga bermula RM112k hingga RM130k, tiga varian

    Perubahan lain yang boleh dilihat termasuk cermin sisi untuk model 2.0G dan 2.0X kini menerima perumah krom bersama lampu isyarat membelok, manakala spoiler belakang yang hanya ditawarkan untuk model 2.0X telah direka semula untuk memberikan kesan aerodinamik lebih baik.

    Varian 2.0X juga kini didatangkan dengan kemasan penggayaan tambahan yang ekslusif hanya untuknya, seperti kemasan pelindung pada ruang roda, kemasan sisi dan juga skirt sisi yang direka semula. Ia juga menerima rim aloi kemasan kelabu gelap berdiameter 17-inci.

    Pada bahagian dalaman, model 2.0G dan 2.0X dibekalkan dengan skrin sesentuh sembilan-inci untuk sistem infotainmen yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto. Skrin berkenaan turut memaparkan visual dari Pemantau Pandangan Panaromik 3D yang dibekalkan secara standard untuk kedua-dua varian berkenaan.

    Kesemua port USB juga telah ditingkat taraf yang memberikan pengecas pantas, manakala dua port di hadapan diposisikan semula ke papan pemuka dari panel konsol tengah, dan penumpang di baris ketiga turut menerima port USB mereka sendiri.

    Perincian lain yang diberikan pada Toyota Innova 2021 ini termasuk tempat duduk kapten pada baris kedua, tempat duduk pemandu berkuasa elektrik dengan larasan lapan-hala, serta lampu suasana LED untuk kabin.

    Untuk keselamatan pula, kesemua Innova 2021 ini dibekalkan dengan tujuh beg-udara, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) bersama traction control, ABS dengan EBD dan BA, serta Bantuan Mula Mendaki. Model 2.0G dan 2.0X turut menerima pemantau titik buta dan amaran lintasan trafik belakang.

    UMWT turut menawarkan opsyen tambahan iaitu sistem Toyota Vehicle Telematics (VTS) yang boleh mengesan pergerakan MPV ini menggunakan teknologi GPS dan GSM, serta pengecas peranti mudah alih tanpa wayar dan juga perakam video digital hadapan dan belakang.

    Tiada perubahan dari segi mekanikal pada model facelift ini, dan ia masih digerakkan dengan enjin petrol 1TR-FE 2.0 liter empat silinder NA berkuasa 139 PS dan tork maksima 183 Nm. Kuasa dialirkan ke roda belakang menerusi kotak gear automatik enam-kelajuan dan turut disertakan dengan penukar mod manual.

    Toyota Innova facelift 2021 ditawarkan dalam enam warna badan iaitu Medium Silver Metallic, Attitude Black Mica, Phantom Brown, Silver Metallic, Super White II dan Bronze Mica Metallic. Model tertinggi 2.0X turut ditawarkan dengan warna istimewa Crimson Spark Red Metallic. Setiap pembelian MPV ini disertakan dengan waranti selama lima tahun tanpa had perbatuan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025