Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Jualan kenderaan pada Okt 2020 di Malaysia naik 0.4%

    Jualan kenderaan pada Okt 2020 di Malaysia naik 0.4%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengedarkan data jualan kenderaan bagi Oktober 2020, dan angka prestasi bagi bulan berkenaan dilihat lebih tinggi berbanding September. Sebanyak 56,670 unit kenderaan telah dihantar pada bulan lalu, di mana ia melibatkan lebih 226 unit atau 0.4% berbanding 56,444 unit yang terjual pada September.

    Angka jualan pada bulan tersebut juga dilihat lebih. baik sedikit berbanding pada tempoh yang sama pada tahun lalu, dengan sejumlah 53,870 unit. Ini bermakna jualan pada Oktober 2020 adalah lebih tinggi berbanding bulan yang sama pada 2019 dengan jurang sebanyak 2,800 unit atau pun lebih 5.2%. Walau bagaimana pun, angka bagi 10 bulan tahun 2020 tidak setanding prestasi yang sama yang dicatatkan pada tempoh yang sama pada 2019. Dalam tempoh itu, sebanyak 398,159 unit dicatatkan sepanjang 10 bulan pertama 2020, iaitu kurang 98,696 unit berbanding 496,855 unit yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun lalu.

    Menurut MAA, prestasi jualan pada Oktober 2020 turut disumbang oleh pengecualian cukai jualan (SST) yang masih berlangsung sehingga 31 Disember ini, serta pelbagai pelancaran model baharu dan juga kempen promosi yang dianjurkan oleh syarikat pengeluar kereta.

    Namun demikian, MAA menjangkakan jumlah jualan bagi November 2020 bakal lebih rendah berbanding bulan sebelumnya, disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih dilaksanakan di beberapa buah negeri. Hasilnya turut menyebabkan jumlah kunjungan ke bilik pameran juga berkurangan.

     
     
  • Mitsubishi Triton ditawar dengan set berkhemah siap dapur bergerak, rim 20-inci untuk pasaran Jerman

    Mitsubishi Triton ditawar dengan set berkhemah siap dapur bergerak, rim 20-inci untuk pasaran Jerman

    Gambar yang anda lihat ini bukan Mitsubishi Triton yang menerima peralatan aftermarket pihak ketiga, atau model konsep, sebaliknya ini adalah pakej aksesori rasmi yang ditawarkan oleh Mitsubishi Jerman untuk trak pikap tersebut di pasaran berkenaan.

    Triton atau dikenali sebagai Mitsubishi L200 ini ditawarkan dengan peralatan lengkap untuk anda berkhemah di kawasan pedalaman, serta diberikan kit pengayaan yang lebih lasak pada sebelah luar.

    Khemah bumbung untuk tidur ditawarkan dan dengan dua pilihan. Jika anda memilih dalam versi bed belakang terbuka, khemah berkenaan terletak di atas bumbung, dan apabila ia dibuka, khemah tersebut akan turut meliputi bahagian bed berkenaan.

    Mitsubishi Triton ditawar dengan set berkhemah siap dapur bergerak, rim 20-inci untuk pasaran Jerman

    Menurut Mitsubishi, khemah bumbung yang dikenali sebagai GT Pick Up ini boleh dibuka dengan hanya menggunakan pam udara 12-Volt yang dibekalkan, dan ia memberikan ruang tidur sebesar 140×220 cm, serta memberikan pemandangan langit menerusi tingkap yang direka bagi mengelakkan nyamuk masuk ke dalam. Khemah ini ditawarkan pada harga 3,411 euro (RM16,568).

    Satu lagi versi khemah adalah dari versi pakej yang lengkap dengan bed belakang tertutup untuk membawa dapur bergerak. Set ini terdiri dari peralatan dapur meliputi dapur gas untuk memasak, singki untuk membasuh boleh lipat, bekas bekalan air 12 liter, ruang memotong bahan dan juga port kuasa elektrik 12-volt.

    Mitsubishi Triton ditawar dengan set berkhemah siap dapur bergerak, rim 20-inci untuk pasaran Jerman

    Kesemua peralatan dapur ini dapat dikeluarkan dengan mudah dari ruang bed belakang menggunakan sistem gelangsar, dan ia dijual pada harga 3,600 euro (RM17,487). Mitsubishi Jerman juga menawarkan rak bumbung istimewa untuk L200 ini, yang bukan sahaja menyediakan ruang storan tambahan, malah turut dilengkapi dengan khemah sisi yang boleh dibuka dan disimpan dengan mudah.

    Untuk penggayaan pula, pemilik boleh memilih set rim aloi bersaiz 20-inci yang berharga 2,726 euro (RM13,241) serta set fender flare dengan lebar tambahan 30 mm berharga 965 euro (RM4,687) bagi melindungi roda yang lebih besar berkenaan.

     
     
  • RTS dijangka bakal dimanfaat oleh 150k penumpang sehari apabila mula operasi pada 2026 – CEO

    RTS dijangka bakal dimanfaat oleh 150k penumpang sehari apabila mula operasi pada 2026 – CEO

    Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menjangkakan seramai 150,000 penumpang bakal menggunakan Projek Sistem Transit Rapid (RTS) sehari, apabila ia dijangka beroperasi pada penghujung 2026.

    Menurut CEO MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim, jangkaan itu membabitkan 50% daripada 350,000 pekerja Malaysia di Singapura yang berulang-alik menggunakan laluan Tambak Johor, sehari, laporan Berita Harian.

    Tambahnya, pembangunan RTS membabitkan pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Chagar setinggi empat tingkat serta hab pengangkutan multi model dan hartanah campuran di atas tanah berkeluasan 1.49 hektar, manakala depoh di Wadi Hana membabitkan keluasan 5.26 hektar.

    Malahan apabila siap kelak, RTS bakal menjadi sistem Transit Aliran Ringan (LRT) pertama yang dibangunkan di Johor sekali gus bakal mengubah landskap pengangkutan bandar raya Johor Bahru.

    RTS dijangka bakal dimanfaat oleh 150k penumpang sehari apabila mula operasi pada 2026 – CEO

    “RTS sejauh empat kilometer yang menghubungkan antara ICQ Bukit Chagar ke Stesen Woodlands North, di Singapura, sudah dimulakan dengan kerja awalan iaitu pembersihan tapak dan pengalihan utiliti di kawasan berkenaan.

    “RTS yang kos ditanggung Malaysia bernilai RM3.7 bilion itu bakal menggunakan lapan set tren dengan setiap satu set tren berkenaan mengandungi empat gerabak dengan kapasiti setiap gerabak adalah seramai 250 pengguna.

    “Masa perjalanan hanya lima minit dengan kekerapan tren 3.6 minit ketika waktu puncak dan enam minit waktu bukan puncak. Waktu operasi bermula 6 pagi sehingga 12 tengah malam setiap hari. Harga tiket masih belum ditentukan, namun harganya akan kompetitif dan mampu milik bagi pengguna, ” katanya selepas majlis pecah tanah RTS yang diadakan secara maya.

    Terdahulu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menyempurnakan majlis pecah tanah RTS Link yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura.

    Majlis pecah tanah berlangsung di tapak bangunan ICQ Bukit Chagar dengan disaksikan Sultan Ibrahim secara maya dari Balai Mengadap Istana Bukit Serene, Johor Bahru bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda. Berangkat sama, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim.

    Sultan Ibrahim turut berkenan menandatangani plak perasmian, disusuli dengan simbolik pecah tanah oleh mesin cerucuk di Bukit Chagar.

     
     
  • Kawasaki Meguro K3 hidupkan semula jenama lagenda, guna asas daripada model klasik W800

    Kawasaki Meguro K3 hidupkan semula jenama lagenda, guna asas daripada model klasik W800

    Meguro adalah satu jenama motosikal yang sudah wujud di Jepun sejak tahun 1930-an dan ia banyak memberi pengaruh terhadap dunia motosikal di negara itu. Pada tahun 60-an, pemilikan jenama ini bertukar kepada Kawasaki, dan kali terakhir jenama itu digunakan pada motosikal adalah pada tahun 1969.

    Kini, Kawasaki menghidupkan kembali jenama itu dengan pengeluaran model Meguro K3. Ini sebenarnya adalah model yang menggunakan asas daripada W800, tetapi djadikan unik dengan beberapa perubahan khas pada badannya.

    Paling utama sudah tentu adalah logo Meguro, yang dicat menggunakan tangan dan diletakkan di bahagian tepi tangki serta tulisan katakana Meguro berwarna merah di panel tepi serta panel instrumen. Banyak bahagian menggunakan warna krom, bersama gabungan warna hitam manakala tempat duduk pula dibalut dengan kulit yang lebih licin.

    Tiada perubahan pada bahagian mekanikal, dan ia masih lagi sama seperti W800 yang lain termasuklah enjin dua silinder penyejukan udara SOHC, suntikan bahan api 773 cc yang mampu menghasilkan kuasa 52 PS pada 6,500 rpm dan 62 Nm tork pada 4,800 rpm. Transmisi adalah unit lima kelajuan bersama klac jenis slip & assist.

    Berat keseluruhan motosikal ini adalah 227 kg dan ia didatangkan dengan kelengkapan lain seperti tangki bahan api 15 liter, brek cakera depan dan belakang, rim spoked 19 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, fork teleskopik 41 mm dan dua penyerap hentak di belakang. Harganya di Jepun adalah 1.27 juta yen (sekitar RM50k)

     
     
  • Proton akan lancarkan X70 1.5L T-GDI di Pakistan Disember ini, diikuti Saga 1.3L pada Januari 2021

    Proton akan lancarkan X70 1.5L T-GDI di Pakistan Disember ini, diikuti Saga 1.3L pada Januari 2021

    Setelah teaser disiarkan di media sosial, serta gambar-gambar unit protaip diuji telah disebar, Proton akhirnya bakal melancarkan SUV segmen-C X70 di pasaran Pakistan pada Disember ini, diikuti sedan segmen-A Saga pada Januari 2021, lapor portal automotif CarSpirit.pk.

    Laporan tersebut turut menyebut bahawa pelancaran model-model Proton di Pakistan berkenaan sepatutnya sudah dibuat pada pertengahan tahun ini, namun rancangan tersebut tertangguh akibat pandemik Covid-19.

    Seperti yang disebut dalam laporan-laporan awal, model-model pasaran Pakistan ini agak berlainan dengan model pasaran Malaysia, di mana ia menggunakan enjin dengan kapasiti lebih kecil bagi disesuaikan dengan insentif cukai di negara berkenaan, untuk membolehkan ia dijual pada harga lebih kompetitif.

    Proton akan lancarkan X70 1.5L T-GDI di Pakistan Disember ini, diikuti Saga 1.3L pada Januari 2021

    Untuk X70, Pakistan tidak diberikan model yang dijana oleh enjin 1.8 liter T-GDI berkuasa 181 hp/300 Nm seperti versi di Malaysia, sebaliknya ia dijana enjin 1.5 liter T-GDI tiga-silinder berkuasa 174 hp/255 Nm bersama kotak gear klac berkembar automotik DCT tujuh kelajuan seperti yang berada dalam perut SUV lebih kecil Proton X50 di pasaran kita.

    Kami turut meneliti spesifikasi yang disiarkan oleh laman web rasmi Proton Pakistan, dan perincian lanjut boleh dilihat adalah X70 ditawarkan dalam dua varian iaitu Premium 2WD dan Executive AWD.

    Bagi Proton Saga pula, walaupun ia dijual dalam versi 1.3 liter, kapasiti enjin untuk pasaran Pakistan ini sebenarnya lebih kecil dari model pasaran kita. Di Malaysia, Saga diberikan enjin S4PE 1.3L VVT dengan kapasiti 1,332 cc – jika enjin ini terus digunakan di Pakistan, ia akan dikenakan cukai lebih tinggi kerana enjin tersebut telah melebihi 1,300 cc.

    Jadi untuk pasaran Pakistan, Saga dijana dengan enjin berkapasiti 1,298 cc. Walau bagaimanapun, angka kuasa yang dinyatakan Proton untuk enjin ini adalah sama seperti di Malaysia iaitu 95 PS dan tork maksima 120 Nm. Saga ditawarkan dalam dua varian di Pakistan iaitu Premium AT dan Standard MT.

    Proton X70 dan Saga pasaran Pakistan ini akan ditawarkan secara CBU untuk stok permulaan, diambil sepenuhnya dari kilang Proton di Shah Alam dan Tanjung Malim. Namun selepas kilang baharu usahasama Al-Haj Automotive mula beroperasi di negara tersebut pada suku pertama tahun hadapan, kedua-dua model akan dijual sebagai model CKD.

    CarSpirit.pk turut menyatakan bahawa Proton adalah antara pengeluar baharu yang masuk ke pasaran Pakistan yang akan dianugerahkan status pelaburan Greenfield di bawah dasar automotif negara tersebut yang akan dimuktamadkan pada Jun 2021.

     
     
  • Laluan ujian bagi kenderaan autonomous di Cyberjaya sudah ditentukan, libatkan jalan umum sebenar

    Laluan ujian bagi kenderaan autonomous di Cyberjaya sudah ditentukan, libatkan jalan umum sebenar

    Futurise, yang merupakan anak syarikat Cyberview, telah mengumumkan bahawa piha berkuasa telah memberi lampu hijau kepada jalan umum pertama negara ini yang akan dijadikan laluan ujian kenderaan autonomous bertempat di Cyberjaya. Papan tanda berkaitan hal ini juga sudah kelihatan dipasangkan.

    Perkembangan ini akan membenarkan ujian terhadap kenderaan autonomous (AV) dijalankan secara rasmi di dalam situasi dunia sebenar. Turut dijangkakan adalah bukan hanya kereta penumpang autonomous yang akan diuji, sebaliknya turut akan melibatkan bas juga.

    Laluan ujian Cyberjaya MyAV ini dibangunkan oleh Futurise, dengan kerja sama Kementerian Pengangkutan dan Majlis Perbandaran Sepang, di bawah usaha National Regulatory Sandbox yang diterajuinya. Sebahagian fokus itu melibatkan pengangkutan urban, termasuk aspek AV dan kenderaan udara tanpa pengendali (UAV).

    Laluan ujian bagi kenderaan autonomous di Cyberjaya sudah ditentukan, libatkan jalan umum sebenar

    Laluan ini merupakan perkembangan terbaru di dalam pelan pembangunan AV di negara ini. Pada 2019, Institut Robotik Automotif dan IoT Malaysia (MARii) mengumumkan ia dalam usaha untuk membangunkan persekitaran ujian bagi AV, yang akan digunakan untuk menguji pelbagai teknologi berkaitan segmen berkenaan untuk menilai keserasiannya dengan prasarana dan persekitaran di negara ini.

    Awal tahun ini pula, pelan untuk mewujudkan pusar R&D bagi AV ini didedahkan bertampat di Cyberjaya. Matlamat kemudahan ini adalah untuk membenarkan semua perniagaan di dalam ekosistem pengangkutan – termasuk pemanduan autonomous dan teknologi sambungan mobiliti – untuk mereka dan mengesahkan produk secara kolektif di lokasi tunggal.

    Pusat berkenaan akan mewujudkan Pusat Saling-Operasi EV, yang akan merangkumi pelbagai kemudahan yang diperlukan untuk menguji kenderaan generasi seterusnya (NxGV) seperti stesen pengecas, penyelesaian bersepadu grid pintar dan beberapa prasarana lain untuk membantu kajian dan pembangunan berkaitan di lapangan berkenaan.

     
     
  • Polis Kedah kekalkan sekatan jalan raya di laluan sempadan negeri walau PKPB telah ditamatkan

    Polis Kedah kekalkan sekatan jalan raya di laluan sempadan negeri walau PKPB telah ditamatkan

    Walau pun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kedah (kecuali bagi daerah Kulim) telah ditamatkan, namun polis negeri terbabit masih mengekalkan sekatan jalan raya di laluan bersempadan Kedah, Pulau Pinang dan Perak. Ia adalah bagi mengelak penduduk di zon merah memasuki negeri tersebut.

    Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan, penduduk negeri jiran yang mahu masuk negeri ini perlu mempunyai surat kebenaran merentas negeri dan hanya yang mempunyai urusan penting sahaja dibenarkan, laporan Berita Harian.

    “Saya tidak nafi kemungkinan ada lorong tikus di kawasan kampung di sempadan Kedah, Pulau Pinang dan Perak, namun kita mempunyai Pasukan Pemantau Khas COVID-19 untuk melakukan pemantauan di kawasan berkenaan. Kita tutup laluan utama sahaja, mungkin ada lorong tikus kerana penduduk kampung lebih tahu jalan berkenaan, tetapi kalau jumpa polis, kita akan tahan,” katanya.

    Dalam masa yang sama, beliau menasihatkan penduduk di Kedah supaya jangan bergerak ke mana-mana sekiranya tidak mempunyai sebarang urusan dan duduk di rumah. Ujarnya, walaupun Kedah sudah berada di zon hijau, penularan wabak COVID-19 boleh berlaku pada bila-bila masa.

     
     
  • Honda City sebagai pencabar terdekat Toyota Vios; kekal terajui segmen-B bagi 4 generasi di Malaysia

    Honda City sebagai pencabar terdekat Toyota Vios; kekal terajui segmen-B bagi 4 generasi di Malaysia

    Minggu lalu, Honda Malaysia mengumumkan model City baharu telah mencecah tempahan hampir 9,000 unit. Kalau dilihat pada angka tersebut, ia menunjukkan jumlah yang agak besar untuk kereta yang baru dilancarkan pada 13 Oktober lalu.

    Honda City merupakan antara model paling digemari dalam kelas sedan segmen-B. Pelancaran model generasi kelima dilihat mampu meneruskan kegemilangannya yang kekal menerajui segmen terbabit dalam empat generasi. Malah berjaya ‘merampas’ kedudukan pencabar terdekatnya, Toyota Vios, yang sebelum ini merajai segmen yang sama.

    Jadi, apa kata kita teliti angka jualan di pasaran Malaysia bagi City dan Vios menerusi setiap generasinya. Dalam sejarah Toyota yang bermula dengan pengenalan generasi pertama Vios pada tahun 2003, menerusi “Vios Britney Spears”.

    Dengan harga bermula RM70k, Vios generasi pertama ini menerima sambutan yang cukup menggalakkan di sini. Sedan kompak ini ditampilkan dengan gaya dan ciri kelengkapan yang pada ketika itu dianggap menarik, dengan padanan enjin VVT-i dan kluster meter tengah. UMW Toyota Motor telah menjual sebanyak 66,583 unit Vios dari tahun 2003 hingga 2007.

    Walau bagaimana pun, kedudukan Vios seakan tercabar selepas Honda City generasi kedua dilancarkan di sini pada Mei 2003 dan dijual di bawah harga RM80k. Walau pun City yang pertama dilancarkan oleh Honda Malaysia pada 2002, namun ternyata City generasi kedua yang mencipta revolusi baharu di pasaran sini. Diasaskan dari Jazz generasi pertama, GD City diketengahkan bukan dengan bentuk biasanya seperti sedan, tetapi kelihatan lebih besar dan mempunyai tempat duduk Ultra yang lebih versatil.

    Malahan City generasi kedua juga mengalami peningkatan mekanikal, dengan memperkenalkan enjin i-DSI (Intelligent Dual and Sequential Ignition) dan automatik CVT dengan butang steering shift. Malah ia juga merupakan kereta keluarga yang lebih baik dengan pelbagai inovasi yang dilakukan berbanding Vios yang lebih konvensional. Honda berjaya menjual lebih 61,500 unit City di antara tahun 2003 hingga 2008.

    City seterusnya ialah GM2 generasi ketiga, yang mengalami lebih banyak peningkatan berbanding GD. Itu sudah pasti. Ia juga diolah sedikit bentuknya dengan suntikan sedikit elemen yang lebih berketerampilan, termasuk garisan yang lebih tajam dan juga perkadaran yang lebih seimbang – sedikit lebar dan panjang, tetapi kurang tinggi. Tiada lagi i-DSI, tiada lagi CVT dan tiada lagi ruang dalaman dengan warna beige – ia didatangkan dengan i-VTEC, automatik lima-kelajuan dan kabin berwarna hitam. Ia juga diberikan ledakan kuasa 120 PS. Lebih 84,300 rakyat Malaysia telah membelinya sejak tahun 2008 hingga 2014.

    Bagi Toyota pula, ia adalah era bagi Vios generasi kedua, yang popular dengan gelaran “Vios dugong” apabila bentuk sedan ini disamakan dengan bentuk haiwan comel terbabit. Sedan ini menerima penambahan ruang kabin dan but serta papan pemuka yang diperkemaskinikan. Penjana kuasanya juga diberikan sedikit peningkatan. Vios XP90 merupakan kejayaan besar buat UMWT, dengan terjual sebanyak 178,518 unit dari tahun 2007 hingga 2013.

    Kalau anda membuat pengiraan, kirannya melebihi 145,800 unit bagi City dari tahun 2003 hingga 2014 (tidak termasuk era Kah Motor yang menjual City generasi pertama), dan 245,101 unit bagi Vios dari 2003 hingga 2013.

    Toyota kemudiannya kembali meledak dengan kehadiran Vios generasi ketiga, yang dilancarkan di Malaysia pada Oktober 2013, dengan gelaran “Vios Keli” kerana bentuk muncungnya yang seakan mulut ikan tersebut. Ia masih mengekalkan kombinasi penjana kuasa 1NZ-FE dan 4AT, dengan jarak roda 2,550 mm. Badannya kini lebih panjang, tinggi dan lebih aerodinamik berbanding lebih bulat seperti model sebelumnya.

    Tahun 2016, Vios diberikan enjin baharu, maka bersaralah unit 1NZ-FE, plat nama yang digunakan oleh Vios sejak dilahirkan pada tahun 2003. Berkongsi dengan Perodua, enjin siri NR dengan Dual VVT-i dipadankan dengan CVT, yang pertama kali diperkenalkan pada Vios.

    Kemudian, pada tahun 2019, Vios mengalami anjakan yang besar. Imejnya diberikan suntikan yang lebih segar, lebih sedap mata memandang, lebih versatil dan paling penting, lebih memenuhi perkembangan sesama. Rekaan bahagian hujung hadapannya, lampu belakang dan papan pemuka yang dirombak telah membuatkan sedan ini tampil senada dengan adiknya, model hatchback Yaris. Tiada perubahan di bawah bonetnya dan masih mengekalkan penjana kuasa yang dipertingkatkan pada 2016. Hasil kombinasi tersebut, Vios generasi ketiga ini telah pun dimiliki oleh 204,490 pemiliknya di Malaysia.

    Honda City sebagai pencabar terdekat Toyota Vios; kekal terajui segmen-B bagi 4 generasi di Malaysia

    Bagi Honda pula, dengan City generasi ke-empat, yang dilancarkan beberapa bulan selepas Vios iaitu pada Mac 2014, City GM6 mempunyai ruang kaki yang lebih luas hasil peningkatan jarak roda berdimensi 2,600 mm, malah melebihi Civic dan Toyota Camry sendiri, seperti yang didakwa oleh pengeluar kereta ini. Ia turut menampilkan corong pendingin hawa untuk tempat duduk belakang dan ruang but berkapasiti 536 liter yang mendahului kelasnya membuatkan City menjadi kereta keluarga yang terbaik. Enjin SOHC i-VTEC turut ditambahbaik sedikit, dan Honda turut menggantikan kotak gear automatik lima-kelajuan dengan CVT.

    Paras rupa Solid Wing Face yang dipertaruhkan untuk model generasi ini membuatkan ia menjadi tarikan utama. Dalam tempoh enam tahun, Honda berjaya menjual sebanyak 209,000 unit bagi City generasi ini. Angka yang tidak begitu jauh dengan Vios yang terjual sebanyak 205k termasuk dengan Vios 2019 (City turut diberikan sedikit perubahan bagi pertengahan kitaran hayatnya pada tahun 2017). Walau pun begitu, pada tahun 2019 (tahun terakhir untuk City model semasa), City kekal selesa di hadapan Vios yang ditampilkan dengan wajah segar.

    Namun begitu, pertarungan antara City dan Vios tidak berakhir begitu sahaja, malah makin hangat diperkatakan. Kedua-duanya saling bersaing untuk mendapat tempat yang lebih baik dalam pasaran tempatan. Pada bulan lalu, Honda telah melancarkan City generasi kelima dan Toyota pula telah mula membuka tempahan untuk Vios facelift yang diberikan suntikan lebih segar. Maka, jualannya akan ditambah dalam rekod generasi ketiga yang sebelum ini tercatat sebanyak 204,490 unit dan kita akan ketahuinya kemudian. Sementara itu, Honda pula akan mencatatkan jualan bagi rekod yang baharu untuk generasi kelima ini yang kini telah mencecah sebanyak 2,400 unit.

    Pasaran sedan segmen-B memang tidak pernah tidak menarik. Honda bakal memperkenalkan City RS i-MMD hibrid pada Januari 2021 bagi menyertai barisan varian petrol sedia ada, dan Toyota pula dengan Vios facelift 1.5L NA. Sementara itu, jangan pula terlupa dengan kehadiran Nissan Almera yang baharu diperkenalkan dengan enjin 10L turbo, yang hadir dengan penampilan yang lebih menarik, tidak seperti model sebelumnya dengan paras rupa yang sedikit ‘membosankan’.

    Walau pun Nissan telah melakukan percaturan yang boleh dianggap terbesar dengan olahan gaya dan mekanikal bagi Almera serba baharu, namun rasanya, dari segi angka jualan, kedudukan Honda dan Toyota sukar digugat. Apatah lagi City dan Vios merupakan penyumbang terbesar bagi keseluruhan jualan kedua-dua jenama tersebut di negara ini. Apa pun, mari kita nantikan, adakah City masih mampu kekal menerajui sedan segmen-B ini atau berjayakah Vios memintas dan merampas kembali kedudukan itu?

     
     
  • Mercedes-Benz & Geely sahkan kerjasama bangunkan enjin hibrid – bakal digunakan Volvo dan Proton?

    Mercedes-Benz & Geely sahkan kerjasama bangunkan enjin hibrid – bakal digunakan Volvo dan Proton?

    Mercedes-Benz GLA Komfortfahrwerk mit Tieferlegung
    Mercedes-Benz GLA lowered comfort suspension

    Lanjutan dari laporan sebelum ini, Geely Holding dan juga pemilik jenama Mercedes-Benz iaitu Daimler AG sudahpun mengesahkan bahawa mereka bakal bekerjasama bagi membangunkan “sistem penjana dengan kadar efisien tinggi bagi kegunaan kenderaan hibrid generasi seterusnya.”

    Dalam bahasa mudah, kedua-dua syarikat yang masing-masing gergasi automotif di China dan Jerman berkenaan bakal menjalinkan kerjasama untuk kerja-kerja R&D bagi menghasilkan enjin petrol untuk kenderaan hibrid, yang akan dikongsi pada model baharu jenama-jenama di bawah payung kedua-duanya.

    Kerjasama ini bakal meningkatkan tahap kompetitif global untuk kedua-dua pengeluar dalam masa yang sama mewujudkan skala eknonomi sebenar, menurut Daimler. Kedua-dua pihak bakal menggunakan jaringan R&D mereka untuk bekerjasama bagi menghasilkan enjin sistem hibrid tersebut, dan bakal diproduksi di Eropah dan China. Pilihan untuk memasang enjin di China dan kemudian dieksport ke negara lain turut dinyatakan.

    Daimler turut menyatakan bahawa enjin-enjin ini akan digunakan untuk model-model Mercedes-Benz akan datang, serta model-model di bawah portfolio Geely yang luas termasuk Volvo. Secara lebih terperinci, “portfolio Geely yang luas” berkenaan sudah tentu bermaksud enjin Mercedes-Geely ini turut mungkin akan digunakan oleh Proton.

    Mercedes-Benz & Geely sahkan kerjasama bangunkan enjin hibrid – bakal digunakan Volvo dan Proton?

    Ini kerana buat masa sekarang, model-model Proton yang diasaskan dari Geely seperti X50 dan X70 sudaupun diberikan enjin-enjin Geely-Volvo terkini. Jadi apabila enjin-enjin generasi seterusnya dari Geely tersebut di perkenalkan di China, model-model Proton di Malaysia turut akan menerima pilihan enjin yang sama.

    Untuk Volvo, sudah tentu jenama Premium Sweden ini akan berkongsi terus enjin yang sama dengan pesaing terusnya dari Jerman iaitu Mercedes-Benz. Namun ini bukan kali pertama untuk Volvo di mana sebelum ini mereka telah pun berkongsi enjin 1.6 liter dan 2.0 liter EcoBoost bersama Jaguar Land Rover (JLR) ketika kesemua jenama berkenaan berada di bawah Ford – Volvo hanya berpeluang menghasilkan enjin generasi baharu Drive-E mereka ketika di bawah Geely, dan JLR pula kini tampil dengan siri enjin Ingenium ketika di bawah Tata Motors.

    “Kami telah menyaksikan momentum yang kuat dalam pembangunan industri automotif China dalam tahun-tahun kebelakangan ini, dan kami percaya China akan terus menawarkan potensi yang baik dalam aspek inovasi, keberkesanan dan skala ekonomi,” kata Hubertus Troska, ahli lembaga pengarah Daimler AG.

    “Projek ini membayangkan perlunya skala ekonomi dan pelaburan R&D yang disasarkan dalam unit penjana bersih dan efisien tinggi serta sistem pemanduan hibrid. Bersama dengan rakan kerjasama kami, kami akan menghasilkan teknologi termaju generasi seterusnya bersama-sama bagi memastikan terus berada di puncak industri ketika tempoh peralihan yang besar ini,” kata presiden Geely Holding, An Conghui.

    Dikhabarkan, enjin kapasiti kecil 1.33 liter turbo empat-silinder yang dihasilkan dari kerjasama Mercedes-Renault sekarang ini berada dalam perut hatchback Mercedes-Benz A 200 W177, sedan A 200 V177 dan SUV GLB 200 X247 pasaran Malaysia bakal digantikan dengan barisan enjin baharu berkenaan. Menarik untuk disaksikan sama ada Geely/Volvo dapat atau tidak untun meyakinkan Mercedes-Benz untuk menggunakan enjin tiga-silinder untuk model lebih rendah, iaitu konfigurasi yang sebolehnya dielak oleh penegeluar Jerman berkenaan.

    Barisan enjin baharu Mercedes-Geely ini juga mungkin akan terdiri dari enjin rekaan modular membolehkan ia dihasilkan sebagai enjin 1.5 liter tiga-silinder dan 2.0 liter empat silider yang sudah pun dibuat oleh Volvo dan BMW. Mercedes-Benz juga sudahpun membuat konsep rekaan sama terhadap enjin 2.0 liter empat silinder yang dikaitkan dengan enjin 3.0 liter enam-silinder mereka.

    Kerjasama antara Daimler AG dan Geely ini tercetus apabila pemilik Geely iaitu Li Shufu membeli 10% pegangan saham dalam Daimler, dilaporkan bernilai 7.3 bilion euro (RM35.4 bilion) pada awal 2018. Ini bukan kerjasama pertama antara kedua-duanya, di mana Geely sudahpun bersama-sama membangunkan satu lagi jenama Daimler iaitu Smart untuk peringkat global, serta kerjasama untuk servis e-hailing di China.

     
     
  • Maxus T60 2.8L 4WD kini di Malaysia — brek cakera belakang, servis berjadual setiap 15,000 km, RM99,888

    Maxus T60 2.8L 4WD kini di Malaysia — brek cakera belakang, servis berjadual setiap 15,000 km, RM99,888

    Westar Maxus telah mengumumkan bahawa model Maxus T60 4WD Automatik kini dijual di Malaysia. Trak pikap berkenaan dipertontonkan pada Jun tahun lalu, dan ketika itu dimaklumkan pelancarannya adalah pada hujung tahun yang sama. Ketika itu juga, pemasangan tempatan bagi model ini dimaklum akan bermula pada suku keempat tahun lalu.

    Ada beberapa perubahan sejak penampilan berkenaan. Dengan ukuran dimensi 5,365 mm panjang, 1,844 mm tinggi dan 2,145 mm lebar, dua versi T60 sepatutnya ditawarkan ketika pengenalannya – ini melibatkan versi manual dan auto dengan spesifikasi paling tinggi.

    Bagaimanapun tidak disebutkan langsung tentang pilihan transmisi enam-kelajuan manual ketika ini termasuk di dalam laman web; ia nampak seperti telah digugurkan, dan hanya versi T60 4WD Automatik sahaja yang ditawarkan secara tunggal.

    Maxus T60 2.8L 4WD kini di Malaysia — brek cakera belakang, servis berjadual setiap 15,000 km, RM99,888

    Tiada perubahan pada unit janaan kuasa, yang menggunakan enjin VM Motori 2.8 liter empat-silinder DOHC VGT turbodiesel yang menghasilkan 150 hp pada 3,400 rpm dan 360 Nm tork dari 1,600 hingga 2,800 rpm. Ia digandingkan dengan transmisi automatik enam-kelajuan dari Punch.

    Turut disertakan ialah sistem pacuan empat roda kawalan elektronik BorgWarner, yang boleh di aktifkan melalui dail rotari 2H-4H-4L tanpa perlu berhenti. Tiga mod pemanduan disediakan – Normal, Eco dan Power. Turut ada ialah differential lock mekanikal Eaton, yang didakwa oleh Maxus sebagai “yang terbaik di dunia”. Model ini menggunakan rim 19-inci yang baru, menggantikan roda 17-inci sebelum ini, dan dipasangkan tayar 255/55 Continental.

    Selebihnya, kelengkapan lain kekal sama; lampu utama LED auto dengan lampu tinggi automatik, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus depan/belakang, landasan aluminium pada bumbung, sports bar logam, pemijak sisi, cermin sisi lipatan elektronik dan alas ruang barangan dengan kapasiti 1,188 liter.

    Maxus T60 2.8L 4WD kini di Malaysia — brek cakera belakang, servis berjadual setiap 15,000 km, RM99,888

    Di dalam, T60 menggunakan balutan kulit hitam untuk kerusi, stereng juga balutan kulit dengan kawalan ketinggian dan suis audio/kawalan melayar, sistem tanpa kunci dengan butang penghidup, pendingin hawa automatik dan skrin sentih bersepadu 10-inci untuk sistem hiburan dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay.

    Turut hadir ialah kamera undur, pengilap cermin automatik, kaca hijau anti-UV dan kerusi depan larasan elektrik sepenuhnya dengan larasan enam-arah bagi pemandu dan empat-arah bagi penumpang depan.

    Aspek keselamatan pula, T60 menerima penarafan lima-bintang ANCAP dan datang dengan empat beg udara (depan dan sisi), ABS, EBD, kawalan cengkaman, bantuan brek, kawalan mula mendaki dan kawalan menuruni cerun. Ia juga dilengkapi dengan ciri roll movement intervention (RMI), yang mengenal pasti kemungkinan kenderaan akan terbalik dan akan mengenakan brek untuk mendapatkan semula kawalan terhadap kenderaan.

    Lain-lain kelengkapan termasuk sistem tinjauan tekanan tayar (TPMS), dua cagak Isofix, sensor parkir belakang dan bantuan titik buta. Maxus juga menekankan penggunaan brek cakera di depan dan belakang, yang unik untuk kelas kenderaan ini (kebanyakan trak pikap menggunakan brek dram di belakang).

    Enam pilihan warna disediakan, termasuk Obsidian Black, Agate Red, Lava Grey, Blanc White, Aurora Silver dan Ocean Blue. Maxus T60 4WD Automatik dijual pada harga RM99,888 (tanpa insurans dan cukai jalan), tidak lari jauh dari harga anggaran yang disebut tahun lalu.

    Trak pikap ini datang dengan jaminan lima-tahun atau 130,000 km serta pakej servis percuma untuk tiga-tahun atau 65,000 km, termasuk alat ganti, pelincir dan kos buruh. Selain itu ada juga bantuan tepi jalan 24/7 di seluruh negara. Senggang jadual servis bagi trak ini lebih panjang, iaitu setiap 15,000 km. Macam mana, rasanya T60 ini boleh jadi pesaing baru dalam segmen trak pikap?

    Maxus T60 di Malaysia 2019

     
     
  • PKPB di Melaka, Johor, Kedah & T’ganu tamat 21 Nov

    PKPB di Melaka, Johor, Kedah & T’ganu tamat 21 Nov

    Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri dalam sidang media hariannya sebentar tadi telah mengumumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk negeri Melaka, Johor, Kedah dan Terengganu bakal ditamatkan lebih awal iaitu pada esok, 21 Nov 2020.

    Menurut beliau keputusan ini diambil berdasarkan penilaian risiko yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menyifatkan kadar jangkitan Covid-19 di empat negeri berkenaan adalah terkawal buat masa ini.

    Walau bagaimanapun, hanya Melaka dan Terengganu yang diisytiharkan PKPB tamat untuk semua daerah dalam negeri, manakala Johor dan Kedah masih ada daerah yang masih berada dalam PKPB.

    PKPB di Melaka, Johor, Kedah & T’ganu tamat 21 Nov

    Di Kedah, daerah Kulim setakat ini masih lagi merekodkan 23 kes Covid-19 yang masih aktif, manakala di Johor pula daerah Kota Tinggi dan Mersing masing-masing masih mencatatkan 36 dan 8 kes Covid-19 yang masih aktif. Justeru, tiga daerah ini akan meneruskan PKPB dalam tempoh dua minggu lagi.

    Namun Ismail menjelaskan bahawa situasi untuk tiga daerah berkenaan akan dipantau dari masa ke masa, dan ia akan ditamatkan lebih awal jika kadar jangkitan berkurangan. Beliau turut mengingatkan kawasan-kawasan yang sudah bebas dari PKPB masih lagi mengikut SOP yang ditetapkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

    Awal bulan ini Ismail telah mengumumkan bahawa PKPB akan dilaksanakan di seluruh Malaysia kecuali Pahang, Kelantan dan Perlis bermula 9 November hingga 6 Disember berikutan kes jangkitan Covid-19 yang meningkat semula dalam negara.

     
     
  • Harga minyak 21-27 Nov – Petrol naik sebanyak dua sen seliter, diesel naik hingga tujuh sen seliter

    Harga minyak 21-27 Nov – Petrol naik sebanyak dua sen seliter, diesel naik hingga tujuh sen seliter

    Buat dua minggu berturut-turut harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api utama di negara ini dilaporkan mengalami kenaikan. Untuk minggu bertarikh 21 hingga 27 November 2020, Kementerian Kewangan mengumumkan harga bagi petrol naik sebanyak dua sen seliter, manakala diesel pula mengalami kenaikan harga yang lebih tinggi iaitu sehingga tujuh sen seliter.

    Ini bermakna harga runcit bagi petrol RON 97 akan menjadi RM1.94 seliter berbanding RM1.92 seliter pada minggu sebelumnya. Manakala RON 95 pula, daripada RM1.62 seliter, bakal menjadi RM1.64 seliter.

    Bagi diesel pula, gred Euro 2M pula bakal menjadi RM1.81 seliter dan Euro 5 pula berharga RM1.91 seliter. Kesemua harga baharu ini akan efektif mulai 12.01 tengah malam ini sehinggalah Jumaat hadapan, 27 November 2020.

     
     
  • GPX Drone dilancar di Thailand – skuter 150 cc hasil kerjasama dengan SYM, pelbagai kelengkapan canggih

    GPX Drone dilancar di Thailand – skuter 150 cc hasil kerjasama dengan SYM, pelbagai kelengkapan canggih

    Pengeluar motosikal dari Thailand, GPX Racing telah melancarkan skuter pertama mereka yang dihasilkan dengan kerjasama SYM, dipanggil sebagai Drone. Keseluruhan reka bentuk skuter ini adalah idea GPX sendiri sementara pembangunan teknikalnya dibuat oleh SYM.

    GPX Drone dikuasakan oleh enjin suntikan bahan api satu silinder 149.6 cc, dan dipadankan bersama transmisi jenis CVT. Berat keseluruhan skuter ini adalah 140 kg dan ia didatangkan dengan tangki bahan api 7.5 liter dan ruang barangan bawah tempat duduk 18 liter (boleh memuatkan helmet fullface).

    Selain bentuk badan yang sporty dan dinamik, Drone juga didatangkan dengan kelengkapan canggih seperti sistem kunci pintar bersama penggera, semua lampu jenis LED dengan DRL di hadapan, penghadang angin hadapan jenis smoked, pengecas USB serta panel meter LCD digital penuh.

    Rim yang digunakan adalah bersaiz 14 inci, dengan tayar 100/90 di hadapan dan 110/80 di belakang, dan pada kedua-dua roda ini terdapat brek cakera yang masing-masing bersaiz 260 mm dan 220 mm. Fork hadapan menggunakan jenis teleksopik biasa sementara di belakang pula terdapat dua penyerap hentak dengan tiga tahap pelarasan pra beban.

    GPX Drone dijual pada harga 65,900 baht di Thailand (RM8,895), bersama jaminan tiga tahun atau 30,000 km, dan ditawarkan dalam enam pilihan warna.

     
     
  • Kawasaki ZX-10RR 2021 terdedah waktu ujian WSBK

    Kawasaki ZX-10RR 2021 terdedah waktu ujian WSBK

    Pada 23 November nanti, Kawasaki akan mendedahkan beberapa buah motosikal baru dan salah satu yang dapat dijangka adalah superbike ZX-10RR 2021. Tiada perincian teknikal atau peningkatan yang diketahui setakat ini tetapi model itu telah terdedah lebih awal waktu sesi ujian pra musim WSBk di Jerez, Sepanyol.

    Selain jentera lumba ZX-10RR tahun 2020, Kawasaki Racing Team (KRT) juga telah membawa model tahun 2021 yang dapat dilihat jelas mempunyai fairing hadapan berbeza, untuk diuji oleh pelumbanya, Jonathan Rea dan Alex Lowes.

    Seperti yang diketahui, jentera lumba WSBK perlu menggunakan asas daripada model produksi, namun boleh diubah suai pada beberapa bahagian seperti pengurusan enjin, ekzos, suspensi, brek dan bahagian enjin tertentu, dalam tahap yang ditetapkan.

    Jentera yang dibawa ke ujian WSBK ini sekaligus dapat memberikan kita petunjuk awal bagaimana rupa ZX-10RR baru, dan pastinya untuk versi produksi, ia akan menggunakan panel badan plastik dan bukannya gentian karbon.

    Antara maklum balas yang diberikan oleh Rea adalah fairing baru ini berfungsi baik dan dapat membantu dalam beberapa aspek, tetapi ia juga membuatkan jentera tersebut bertindak dalam keaadaan sedikit berbeza pada aspek keseimbangan.

     
     
  • Kereta jenama Mazda lebih tahan dari Toyota – hasil tinjauan dari Consumer Reports Amerika Syarikat

    Kereta jenama Mazda lebih tahan dari Toyota – hasil tinjauan dari Consumer Reports Amerika Syarikat

    Firma penyelidikan dari Amerika Syarikat, Consumer Reports (CR) telah mengumumkan keputusan bagi tinjauan Auto Reliability Survey untuk tahun 2020, yang menyaksikan Mazda menjadi jenama yang paling boleh diharap, mengatasi jenama automotif lain pada pasaran negara berkenaan.

    CR menyatakan bahawa tinjauan ini dibuat berdasarkan data yang dikumpulkan oleh ahli-ahlinya menerusi pengalaman mereka terhadap lebih dari 300,000 kenderaan. Pemilik-pemilik kenderaan berkenaan melaporkan segala masalah yang dihadapi dari kotak gear yang perlu ditukar seawal meter perbatuan baru mencecah 5,000 batu, sehingga masalah seperti skrin paparan yang perlu ditukar dan juga cat yang terjejas hanya kerana rambut manusia.

    Laporan tinjauan berkenaan mendedahkan buat pertama kali Mazda menduduki tangga teratas dalam carta jenama kenderaan yang paling boleh diharap ini, setelah sekian lama ia didominasi oleh Toyota dan Lexus.

    Menurut CR, apa yang Mazda lakukan untuk mencapai kedudukan ini adalah mereka telah menghasilkan model-model yang direka semula secara konservatif dengan mengelakkan pengenalan unit penjana dan sistem infotainmen baharu yang berisiko untuk rosak. Keseluruhan barisan model Mazda sekarang dihasilkan dari banyak platform dan komponen yang dikongsi, dengan hanya sedikit perubahan dibuat ketika direka semula.

    Toyota dan Lexus kini masing-masing jatuh ke kedudukan kedua dan ketiga dalam senarai ini. CR menyatakan bahawa kesemua model Toyota sekarang mempunyai tahap reliabiliti pada kadar biasa dan lebih baik. Salah satu contoh adalah model SUV mereka yang popular di Amerika iaitu RAV4 – model ini berada pada kadar biasa, dengan berberapa masalah dilaporkan termasuk masalah kecil berkenaan sistem transmisi.

    Manakala untuk Lexus, kedudukan mereka jatuh pada kali ini adalah disebabkan model sedan premium Lexus LS yang mencatatkan kadar boleh harap lebih rendah dari biasa. Manakala untuk model-model lain Lexus, ia masih mencatatkan kadar boleh harap pada tahap tertinggi.

    Satu lagi keputusan yang agak mengejut dicatatkan oleh jenama automotif Amerika sendiri iaitu Buick – ia kini berada ditangga keempat, naik 14 tangga berbanding tahun lalu. Manakala satu lagi jenama Jepun iaitu Honda turut dilihat lebih baik dengan menghuni tangga kelima, naik tujuh tangga berbanding sebelum ini.

    Untuk Honda, antara model yang bermasalah adalah SUV Honda Passport, yang mencatatkan kadar boleh harap di bawah paras biasa kerana pelbagai masalah mekanikal dan juga sistem infotainmen yang tidak berfungsi. MPV Honda Odyssey turut berada pada tahap sama kerana dilaporkan terjadi masalah sistem infotainmen dan pintu gelangsar belakang.

    Hyundai menjadi jenama Korea dengan kedudukan paling tinggi dalam senarai ini dengan berada di tangga keenam, manakala Kia pula jatuh enam tangga berbanding tahun lalu dan kini berada di tempat ke-15. Satu lagi jenama Jepun yang berada dalam senarai 10 terbaik adalah Subaru, yang berada di tempat ke lapan.

    Secara keseluruhan, sebanyak 26 jenama disenaraikan dalam tinjauan ini dengan jenama kereta elektrik sepenuhnya dari Amerika Syarikat berada pada kedudukan kedua paling corot. Tesla Model Y dilaporkan dengan pelbagai masalah kualiti pemasangan seperti panel badan yang tidak sekata, warna yang tidak sepadan, malah ada pengguna yang melaporkan bahawa cat kereta mereka mempunyai habuk, serpihan dan juga rambut manusia yang melekat.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025