Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Lexus Mutiara Damansara kini dikendali oleh pengedar

    Lexus Mutiara Damansara kini dikendali oleh pengedar

    Sebagai langkah untuk memperkemas pengurusan perniagaan, UMW Toyota Motor (UMWT) kini memindahkan operasi pusat 3S utama Lexus di Mutiara Damansara kepada pengedar. Bermula bulan ini, Hiewa Auto Gallery (Lexus) Sdn Bhd akan mengambil alih premis cawangan Lexus Mutiara Damansara.

    UMWT menyifatkan langkah ini akan membolehkan syarikat itu untuk meningkat serta memberi tumpuan kepada aktiviti-aktiviti utama yang lebih penting seperti pembangunan produk, pemasaran dan sokongan rangkaian pengedar, sementara pengedar boleh menumpukan usaha untuk memberikan kepuasan kepada pelanggan.

    Langkah ini juga adalah susulan kepada pengumuman UMWT pada Oktober 2017 bahawa syarikat itu akan memindahkan semua operasi cawangannya kepada pengedar. “Adalah penting untuk Lexus Malaysia terus mencapai standard kepuasan pelanggan yang tinggi,” ujar Presiden syarikat, Ravindran Kurusamy.

    “Saya sangat teruja untuk bekerja dengan lebih rapat bersama pengedar-pengedar dalam mencapai matlamat bersama untuk Lexus Malaysia, iaitu membangunkan konsep “Best In Town” yang memberi fokus kepada layanan khusus secara peribadi kepada pelanggan. Walaupun langkah ini menjadi perubahan penting bagi kami, pelanggan tidak perlu risau kerana kualiti servis tidak akan dikompromi, sebaliknya akan menjadi lebih baik di masa hadapan,” tambah beliau.

    Lexus Malaysia boleh dihubungi melalui talian 1800-22-53987 atau 03-20535730.

     
     
  • Jualan kenderaan terpakai melonjak secara tidak langsung selepas pemberian insentif – naik lebih 100%

    Jualan kenderaan terpakai melonjak secara tidak langsung selepas pemberian insentif – naik lebih 100%

    Sejak kerajaan mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) jualan kenderaan terpakai semakin meningkat tinggi. Menurut laporan The Star, walaupun pelan jangka masa pendek ini tidak memberi manfaat terus kepada industri kenderaan terpakai, ia tetap memberi kesan sampingan.

    Presiden Gabungan Persatuan Syarikat Kredit dan Motor Malaysia (FMCCAM), Datuk Tony Khor memberitahu, permintaan untuk kenderaan terpakai telah meningkat sejak ekonomi kembali dibuka, sehingga “sukar untuk dipercayai.”

    “Jika dibandingkan dengan tahun lepas, jualan pada bulan Julai adalah lebih tinggi 20%. Melihat kepada bulan lepas pula, jualan bulan Julai lebih tinggi 30% berbanding bulan Jun. Jualan tahun-ke-tahun bulan Jun meningkat lebih 100%. Ini adalah satu perkara bersejarah,” kata Khor.

    Beliau mengaitkan peningkatan jualan kenderaan terpakai kepada peningkatan jualan kenderaan baru, di mana ia telah mendapat manfaat dengan penghapusan 100% cukai jualan bagi model CKD dan 50% bagi kenderaan CBU, sehingga hujung tahun ini. “Semakin ramai yang membeli kereta baru, semakin ramai juga yang perlu menjual kereta lama mereka,” tambah Khor.

    Jualan kenderaan terpakai melonjak secara tidak langsung selepas pemberian insentif – naik lebih 100%

    Peningkatan permintaan kenderaan terpakai juga adalah disebabkan ramai yang mahukan kenderaan lebih murah kerana masih tidak yakin dengan ekonomi semasa akibat pandemik Covid-19. Harga yang lebih murah adalah antara sebab utama kereta terpakai dipilih.

    Presiden Persatuan Automotif Malasia (MAA), Aishah Ahmad juga pernah memberitahu waktu pembentangan prestasi pasaran minggu lepas bahawa jualan kenderaan terpakai di bawah RM30,000 adalah sangat baik, terutamanya di luar Kuala Lumpur.

    Khor turut memberitahu satu lagi penyebab adalah orang ramai risau untuk menggunakan pengangkutan awam kerana wabak ini. Jadi, mereka membeli kereta terpakai untuk bergerak secara selamat. Beliau juga menambah, moratorium selama enam bulan juga membantu meningkatkan jualan, tetapi ia mungkin akan terjejas sekiranya tiada sebarang insentif apabila tempoh moratorium berakhir September ini.

    Jualan kenderaan terpakai melonjak secara tidak langsung selepas pemberian insentif – naik lebih 100%

    Satu perkara negatif akibat peningkatan jualan ini adalah tempoh melengkapkan pembelian juga bertambah lama. Khor memberitahu, jualan kenderaan terpakai sangat baik sehinggakan Puspakom mengalami masalah menghadapi jumlah banyak kenderaan memasuki pusat pemeriksaan.

    “Kereta yang mahu dijual mesti diperiksa oleh Puspakom. Jika mengikut prosedur biasa, kenderaan yang telah ditempah boleh dihantar untuk pemeriksaan keesokan harinya, tetapi sekarang, waktu menunggu telah dipanjangkan sehingga lima ke enam hari. Ada juga pelanggan yang membatalkan tempahan mereka kerana terlalu lama menunggu,” kata Khor.

    Jika anda juga antara yang sedang mempertimbangkan pembelian kenderaan terpakai, mungkin anda boleh rujuk panduan lengkap yang telah kami siarkan sebelum ini yang turut menyatakan kelebihan serta kekurangannya.

     
     
  • BMW Motorrad dedah model 2021 yang diperbaharui

    BMW Motorrad dedah model 2021 yang diperbaharui

    BMW Motorrad telah mendedahkan pembaharuan yang dibuat bagi model keluaran tahun 2021. Kebanyakannya cuma perubahan warna dan grafik, selain pematuhan kepada tahap emisi Euro 5, pilihan pakej ubah suai Option 719 (untuk model tertentu) dan naik taraf sistem.

    Bagi model naked R1250R dan model touring R1250RS, enjin boxer padanya kini mematuhi tahap emisi Euro 5 sementara fungsi ABS dijadikan berfungsi pada sepanjang masa dan tiada lagi suis untuk menutupnya. Pada bahagian kelengkapan, pilihan Driving Modes Pro kini datang dengan Engine Drag Torque Control dan Core Screen Sport.

    Warna asas untuk R1250RS adalah Austin Yellow metalik dengan kerangka hitam matte manakala untuk R1250R pila ia boleh didapati dalam warna Mineral Grey metalik. Melalui pilihan warna Option 719 pula, pemilik akan diberi pelbagai kemasan hitam dan perak, bersama beberapa bahagian lain serta tangki yang mengikut konsep warna tersebut.

    Empat model yang termasuk dalam siri K, yang menggunakan enjin enam silinder sebaris iaitu K1600GT, K1600GTL, K1600B dan K1600 Grand America juga kini datang dengan pilihan warna baru. Bagi K1600GT, warna Option 719 untuk model keluaran 2021 adalah Mineral White metalik, menggantikan warna Stardust dan Blueplanet sebelum ini.

    Tiga pilihan warna disediakan untuk K1600 GTL iaitu Manhattan, Style Elegance dan Mineral White Option 719. Kesemuanya adalah metalik. K1600 B dan K1600 Grand America pula ditawarkan dalam warna Mars Red metalik, bersama ciri bantuan mengundur dan lampu membelok adaptif yang diberikan terus secara standard.

    Kelengkapan lain yang diberikan secara standard untuk model K Series ini adalah pemerhati tekanan angin tayar dan lampu siang. Bagi pilihan tambahan pula, pemilik boleh mendapatkan pelindung enjin, lampu tambahan, quickshifter dan pelbagai lagi, bergantung kepada model.

    BMW Motorrad dedah model 2021 yang diperbaharui

    Superbike S1000RR juga kini dijadikan patuh kepada tahap emisi Euro 5 dan ia ditawarkan dalam warna baru Black Storm dan Racing Red. Kelengkapan tambahan yang disediakan sekarang termasuk ekzos titanium M, pakej aksesori aluminium termasuk pelindung tuil brek, pelindung enjin, peletak kaki jenis lumba dan tuil brek yang boleh dilipat.

    Model sports tourer S1000XR 2021 datang dalam warna gabungan warna Lightwhite, Racing Blue dan Racing Red, berserta pilihan ekzos titanium, rantai tahan lebih lama, penghadang angin sport serta Core Screen dengan lap timer. Pembeli juga diberikan pilihan untuk memasang motosikal mereka dengan pengecas USB serta rak yang boleh dipasang dengan beg barangan 30 atau 49 liter.

    Model lain yang diberi naik taraf untuk tahun keluaran 2021 adalah R18, di mana ia sekarang datang terus dengan cruise control dan steering damper, manakala F900R dan F900XR pula datang dengan penunjuk arah LED pilihan kelengkapan yang termasuk cara pengaktifan baru untuk mod tunggangan Pro.

     
     
  • Proton sasar rampas kedudukan no.1 dari Perodua di Malaysia, sebelum eksport ke ASEAN – Li Chunrong

    Proton sasar rampas kedudukan no.1 dari Perodua di Malaysia, sebelum eksport ke ASEAN – Li Chunrong

    Tak dapat dinafikan, selepas menjadi sebahagian dari keluarga besar kumpulan automotif Geely, jenama automotif nasional milik DRB-Hicom mahu mengambil semula tempat mereka sebagai pengeluar nombor satu di Malaysia yang telah sekian lama dirampas oleh Perodua.

    Bukan itu sahaja, Proton bukan sahaja sekadar mahu jadi ‘jaguh kampung’, malah mereka mahu memperbetulkan kesilapan lalu dengan memperkasakan lagi usaha untuk mengeksport produk mereka kepasaran luar negara. Menurut CEO Proton, Dr Li Chunrong dalam laporan The Edge, syarikatnya kini sudahpun mempunyai sumber yang cukup untuk meneroka kembali pasaran luar tetapi ia mesti dilakukan pada masa yang tepat.

    “Untuk Proton, perkara yang paling penting [untuk dilakukan] adalah untuk berkembang terlebih dahulu di Malaysia. Bagaimana untuk menentukan hala tuju perniagaan kami untuk menjadi stabil adalah sangat penting. Sangat mudah untuk membelanjakan wang, tetapi sangat sukar untuk menghasilkan keuntunungan,” katanya.

    Proton sasar rampas kedudukan no.1 dari Perodua di Malaysia, sebelum eksport ke ASEAN – Li Chunrong

    “Bagi saya, saya mahu jadi nombor satu di Malaysia terlebih dahulu, dan kemudian ke pasaran ASEAN. Tetapi kami tidak mahu untuk berhenti [setakat itu]. Sekarang kami sudah pun berada di Brunei, bukan hanya model asas, X70 turut ditawarkan,” katanya.

    Dr Li yang juga seorang jurutera lepasan Universiti Sains dan Teknologi Huanzhong tahu bahawa perkara utama yang perlu dilakukan untuk kekal mampan adalah bergantung kepada pasaran eksport. Proton perlu berusaha memasarkan model-model mereka pada pasaran antarabangsa untuk memastikan mereka terus hidup pada masa hadapan, dan bukan seperti dahulu bertahan dengan merisikokan berbilion ringgit wang pembayar cukai.

    Proton perlu bekerja keras untuk mencapai tahap berkenaan. Menurut bos Proton tersebut, kakitangannya kini bertungkus-lumus sehingga ada yang bekerja 14 jam sehari bagi memperbaiki semua aspek dalam perniagaan. Beliau menjelaskan inilah sebabnya Proton mampu melancarkan empat model dalam masa lapan bulan, dalam masa yang sama mempunyai pasukan berasingan untuk memperbaiki mutu servis selepas jualan serta memastikan pembangunan model yang paling ditunggu-tunggu, Proton X50 berjalan dengan lancar.

    Proton sasar rampas kedudukan no.1 dari Perodua di Malaysia, sebelum eksport ke ASEAN – Li Chunrong

    Kerja keras di belakang tabir ini sudahpun menampakkan hasilnya. Untuk kali pertama sejak 2015, Proton akhirnya berjaya menjual lebih dari 100,000 unit kereta setahun, dengan rekod jualan 100,821 unit pada 2019. Jika angka jualan tersebut digandingkan dengan unit yang telah dieksport, Proton merekodkan jumlah jualan keseluruhan lebih 55.7% pada 2019 berbanding tahun 2018.

    Walau bagaimanapun, untuk mengatasi Perodua bukan satu perkara yang mudah. Pada Mei 2020 Proton telah menjual sebanyak 27,455 unit kenderaan dengan pegangan pasaran dalam negara sebanyak 21.2%. Perodua pula berjaya menjual 52,920 kenderaan dalam tempoh sama dengan bahagian pasaran 40.8%. Fakta ini jelas dilihat oleh Dr.Li, dan beliau percaya pasukannya mampu untuk berada pada kedudukan nombor satu di Malaysia pada tahun ke-10 (2027) kerjasama Proton-Geely ini terjalin.

    Li yang kini telah mendapat kepercayaan untuk menerajui syarikatnya dalam tempoh yang lebih lama menekankan bahawa Proton dan Geely akan mengunakan masa 10 tahun ini untuk memberi tumpuan kepada pembangunan produk. Beliau percaya Proton mampu untuk menghasilkan produk lebih baik serta meningkatkan mutu servis selepas jualan secara berterusan, dan pasaran akan beralih kepada jenama mereka secara semula jadi.

    Proton sasar rampas kedudukan no.1 dari Perodua di Malaysia, sebelum eksport ke ASEAN – Li Chunrong

    Contohnya, beliau mendakwa bahawa Persona telah mengatasi jualan Toyota Vios dan juga Honda City dalam pasaran sedan segmen-B tempatan, dan Proton kini mampu menjual Saga dalam jumlah dua kali ganda sebelum zaman kerjasama bersama Geely.

    Menurutnya ini dapat dicapai kerana teknologi dan juga kualiti yang ditawarkan pada produk, dan menambah bahawa “pengguna di Malaysia adalah sangat bijak, mereka cakna dengan teknologi [dalam kereta Proton] dan harga yang ditawarkan adalah berpatutan,” kata Dr. Li.

    Proton juga kini menerima sistem Global Customer Product Audit (GCPA) dari Volvo dalam proses produksi di kilang mereka memandangkan jenama kenderaan premium dari Sweden berkenaan juga kini di bawah naungan Geely. Berdasarkan audit tersebut, model asas Proton menerima markah demerit 6,388 poin ketika Dr. Li dilantik sebagai CEO pada 2017.

    Proton sasar rampas kedudukan no.1 dari Perodua di Malaysia, sebelum eksport ke ASEAN – Li Chunrong

    Dalam masa yang sama, Perodua mempunyai markah demerit 4,500 poin (lebih rendah lebih bagus), manakala Geely pula mencatatkan markah purata 1,200 markah untuk keseluruhan jenama di bawahnya.

    Tetapi sekarang, Dr. Li menyatakan markah demerit yang dicatatkan Proton sudah berkurangan dengan mendadak, bermaksud kereta-kereta yang dihasilkan kurang mempunyai masalah dari sebelum ini. Untuk Saga, markah demerit yang dicatatkan sekarang adalah 1,100 poin, dan kadang-kala mencapai angka di bawah 1,000.

    “Jadi kami telah jauh lebih baik dari sebelum ini. Saya percaya dengan produk asas kami sekarang, termasuk Saga, ia kini jauh lebih baik dari segi kualiti berbanding pesaing kami,” jelasnya.

    Menurut Dr. Li lagi, bagi menjadi jenama automotif nombor satu di Malaysia menjelang 2027 nanti, Proton perlu untuk menjual sebanyak 175,000 kereta setahun, dan beliau percaya dengan penambahbaikkan produk yang dilakukan secara berterusan, sasaran tersebut akan dicapai dalam masa lebih awal.

     
     
  • Mitsubishi Xpander vs Honda BR-V — perbandingan spesifikasi antara pesaing MPV tujuh-tempat duduk

    Mitsubishi Xpander vs Honda BR-V — perbandingan spesifikasi antara pesaing MPV tujuh-tempat duduk

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mengesahkan bahawa model Xpander akhirnya akan tiba juga di Malaysia. MPV tujuh-tempat duduk itu akan dilancarkan tahun ini, dengan saingan utamanya dalam pasaran tidak lain ialah Honda BR-V. Jadi, menarik juga untuk melihat perbandingan antara kedua-dua model ini dari segi spesifikasi, sebelum pengenalan rasmi Mitsubishi Xpander di sini.

    Namun, perlu diingatkan bahawa perincian berkaitan Xpander untuk pasaran tempatan masih belum diketahui. Jadi, angka-angka yang ditunjukkan ini adalah berdasarkan model yang dijual di Indonesia. Harga juga masih belum diketahui bagi Xpander, namun jangkaannya ia tidak lari jauh daripada harga Honda BR-V, yang dijual pada RM86,726 bagi varian 1.5 E dan RM93,420 bagi 1.5 V.

    Sekiranya anda inginkan sebuah kenderaan yang besar, maka Xpander ada kelebihan tersebut. Dari segi ukuran dimensi, Xpander lebih luas berbanding BR-V dari segenap sudut – 18 mm lebih panjang (4,475 mm), 15 mm lebih lebar (1,750 mm) dan 23 mm lebih tinggi (1,700 mm) dengan jarak antara roda juga 113 mm lebih panjang (2,775 mm). Ini tentunya menjadikan ruang dalaman juga lebih luas dan selesa, begitu juga dengan ruang barangan Xpander yang lebih besar – dengan kerusi barisan ketiga direbahkan – dengan 781 liter berbanding 539 liter.

    Mitsubishi Xpander vs Honda BR-V — perbandingan spesifikasi antara pesaing MPV tujuh-tempat duduk

    Tentang lipatan kerusinya, Mitsubishi mendakwa Xpander adalah satu-satunya kenderaan dalam kelasnya yang mana kerusi barisan kedua dan ketiga boleh direbahkan mendatar sepenuhnya, manakala kerusi pada BR-V diposisikan di atas lantai dan perlu dilipat terlebih dahulu untuk mendapatkan ruang barangan sepenuhnya. Ini menjadikan Xpander memiliki ruang barang yang lebih mudah untuk memuatkan saiz yang lebih besar dan panjang.

    Bagaimanapun, enjin Xpander kurang berkuasa berbanding BR-V, disebabkan saiz badannya lebih besar. Walaupun unit 1.5 liter MIVEC empat-silinder mempunyai DOHC berbanding SOHC pada unit i-VTEC Honda, ia menghasilkan kurang kuasa dan tork pada 105 PS dan 141 Nm, berbanding janaan BR-V 120 PS dan 145 Nm. Bagaimanapun, kuasa dan tork puncak bagi Xpander dicapai dalam keadaan rpm lebih rendah, masing-masing 6,000 rpm dan 4,000 rpm, yang menjadikan enjinnya kurang terbeban.

    Xpander juga mempunyai jarak kelegaan tanah yang sedikit lebih tinggi pada 205 mm, serta radius belokan yang lebih ketat pada 5.2 meter berbanding 5.6 meter bagi BR-V. Senarai kelengkapan lain, Xpander mendahului dengan penggunaan lampu utama LED pada versi facelift, berbanding unit projektor halogen pada BR-V. Ia juga menerima latasan stereng teleskopik, berbanding hanya larasan tilt bagi BR-V.

    Kedua-dua Xpander dan BR-V lengkap dengan sisten infotainmen skrin sentuh tujuh-inci, walaupun Mitsubishi mungkin akan menawarkan sekali ciri Apple CarPlay/Android Auto untuk dijadikan kelebihan untuknya. Bagi aspek keselamatan pula, kedua-dua model agak setara dengan kelengkapan dua beg udara, ABS dan EBD serta Brake Assist, kawalan kestabilan, bantuan mula mendaki dan ISOFIX pada barisan kedua. Xpander pula mungkin akan ditawarkan dengan ruang kabin warna hitam, walaupun di Indonesia ia juga datang dengan skim warna beige yang lebih cerah.

     
     
  • Isuzu D-Max Stealth ditunjuk — pelancaran 6 Ogos

    Isuzu D-Max Stealth ditunjuk — pelancaran 6 Ogos

    Isuzu Malaysia telah menunjukkan iklan acah bagi model edisi terhad dikenali sebagai D-Max Stealth, yang akan dilancarkan secara rasmi 6 Ogos nanti. Diasaskan dari versi facelift D-Max generasi kedua yang dilancarkan di sini September tahun lalu, trak pikap ini menampilkan beberapa keunikan penampilan untuk membezakannya daripada D-Max biasa.

    Dari segi penggayaan, D-Max Stealt memiliki rekaan gril khas di bahagian depannya. Ia menggunakan kemasan dan penyudah yang berbeza – dalam warna hitam – untuk disesuaikan dengan tema. Reka bentuk keseluruhan bagaimanapun kekal sama.

    Selebihnya, trak pikap ini menampilkan pelekat hiasan bertulis “Stealth” pada pintu dan di bahagian belakang. Bahagian bawah pintunya juga dipasangkan dengan pemijak sisi boleh alih untuk memudahkan penumpang keluar masuk. Selain itu, rim juga menggunakan rekaan baru enam jejari berkembar, sementara ruang kabin dilengkapi dengan kemasan tempat duduk dua-tona warna serta skrin pemula bagi head unit yang juga berbeza.

    Untuk enjin, hanya ada dua kemungkinan; RZ4E-TC 1.9-liter Ddi empat-silinder turbodiesel yang menghasilkan 150 PS pada 3,600 rpm dan 350 Nm tork dari 1,800 hingga 2,600 rpm. Atau, pilihan lain ialah enjin 4JJ1-TCX 3.0 liter empat-silinder dengan janaan 177 PS pada 3,600 rpm dan 380 Nm dari 1,800 hingga 2,800 rpm.

    Enjin yang lebih kecil digandingkan bersama kotak gear enam-kelajuan automatik atau manual, sementara bagi enjin 3.0 liter pula datang sama ada dengan kotak gear lima-kelajuan manual atau automatik. Bergantung kepada varian, trak pikap ini akan datang dengan ciri pacuan 4×4 atau 2WD.

    Bagi mereka yang berminat dengan D-Max Stealth ini, Isuzu Malaysia sudah menyediakan satu laman khas untuk anda mendaftarkan minat melalui laman web rasminya. Perincian lanjut akan diketahui sebaik sahaja model ini dilancarkan nanti.

     
     
  • Insiden gajah pijak kereta di Gerik – Perhilitan nasihat orang ramai jangan halau guna hon dan lampu tinggi

    Dalam kesibukan dan kemeriahan rakyat Malaysia pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya Aidiladha setelah tidak dapat berbuat demikian pada Hari Raya Aidilfitri yang lalu, satu insiden ‘ngeri’ dihadapi oleh lima individu setelah Perodua Axia yang mereka naiki diserang dan dipijak oleh seekor gajah yang mengamuk.

    Kejadian tersebut tular setelah satu video dinaikkan oleh laman facebook Perak Kini, dan menurut laporan dari Harian Metro, ia terjadi kira-kira pukul 7 malam semalam, dipercayai berlaku di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dekat Gerik, Perak.

    Laporan tersebut menyebut Perodua Axia tersebut dikatakan menghala ke Perak dari Kelantan dan kejadian berlaku tidak jauh dari Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Puncak Banjaran Titiwangsa, dan butirannya diceritakan oleh seorang pemandu sebuah kenderaan yang juga datang dari arah Kelantan yang tidak dikenali mendakwa dia mendapat tahu cerita itu daripada seorang mangsa.

    “Puncanya begini, semasa gajah di tengah jalan mereka memberhentikan kereta, tiba-tiba kereta belakang membunyikan hon.

    “Kereta belakang hon, gajah bangun mengamuk pijak bonet kereta mereka, lima orang dalam kereta itu nasib baik sempat keluar dan lari tinggalkan kereta,” katanya kepada Harian Metro menerusi satu pesanan suara.

    Insiden gajah pijak kereta di Gerik – Perhilitan nasihat orang ramai jangan halau guna hon dan lampu tinggi

    Individu berkenaan turut menjelaskan, kelima-lima mangsa terpaksa menumpang kenderaan lain untuk berpatah balik dan berhenti di Hentian (R&R) Puncak Banjaran Titiwangsa.

    Akhbar tersebut turut menyatakan bahawa kejadian ini telah disahkan oleh Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood. Ketika dihubungi Harian Metro, Zulkifli turut menyebut kenderaan mangsa mengalami kerosakan kecil dan tiada kemalangan jiwa.

    Laporan berkenaan juga menyebut bahawa Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff menyatakan kakitangannya sudah dihantar ke lokasi bagi melakukan siasatan lanjut dan pemantauan.

    Mengulas berkenaan insiden berkenaan, Yusoff mewakili Perhilitan menasihatkan pemandu supaya bersabar dan tidak memasang lampu tinggi ketika melalui kawasan berkenaan pada waktu malam. “Jangan bunyikan hon atau paling penting jangan cuba menghalau gajah berkenaan,” jelasnya.

     
     
  • Harga minyak 1 hingga 7 Ogos — hanya diesel naik

    Harga minyak 1 hingga 7 Ogos — hanya diesel naik

    Untuk tempoh seminggu akan datang, dari tarik 1 hingga 7 Ogos, tiada perubahan pada harga runcit bahan api petrol. Bagaimanapun, diesel menyaksikan sedikit kenaikan berbanding minggu lalu.

    Kementerian Kewangan mengumumkan petrol RON95 Euro 4M akan terus dijual pada harga sama seperti minggu lalu, RM1.68 seliter. Hal yang sama juga bagi petrol RON97, dengan harganya kekal pada RM1.98 seliter untuk minggu akan datang.

    Bagi diesel Euro 2M pula, harganya naik satu sen menjadi RM1.83 seliter. Ini bermakna bagi diesel Euro 5, ia akan menjadi 10 sen lebih mahal dan dijual pada harga RM1.93 seliter. Harga baru ini akan kekal hingga Jumaat depan, 7 Ogos 2020.

     
     
  • Toyota Hilux 2020 dalam teaser UMWT – makin dekat?

    Walaupun cuti hujung minggu ini panjang sempena Hari Raya Aidiladha, UMW Toyota Motor (UMWT) tetap memilih untuk memberi petunjuk baru kepada persiapan syarikat itu yang sedang mempersiap pengenalan model terbaru untuk pasaran tempatan.

    Ini sudah tentulah berkaitan Toyota Hilux facelift yang sebelum ini dipertontonkan Jun lalu di peringkat global. Visualnya menunjukkan bayangan sebuah trak, dengan ‘H’ besar di belakang. Mesejnya tentulah tentang “Hilux”, yang berlatarkan kota hinggalah pergunungan – mencadangkan trak ini sesuai untuk menggalas cabaran penggunaan yang pelbagai.

    Keterangan gambar pula berbunyi; “Anda kenali namanya. Anda tahu ketahanannya, Trak pikap kegemaran ramai kini menerima peningkatan.” Ini disusuli dengan pelawaan kepada pelanggan untuk mendaftarkan minat.

    Toyota Hilux 2020 dalam teaser UMWT – makin dekat?

    Bulan lalu, Hilux diperkenalkan di peringkat global dengan pelbagai peningkatan. Model berkenaan bukan sekadar menerima sentuhan semula pada rupa, malah turut menerima tingkat taraf pada unit janakuasa dan juga talaan semula pada sistem suspensi.

    Berita paling besar, untuk Hilux dengan enjin 1GD-FTV 2.8 liter turbodiesel, ia kini ditala bagi menghasilkan kuasa 204 hp pada takat 3,400 rpm dan tork maksima 500 Nm bermula 1,600 hingga 2,800 Nm – lebih berkuasa dari sebelum ini yang hanya menjana 177 PS/450 Nm.

    Enjin ini hadir dengan pilihan gandingan kotak gear manual enam-kelajuan iMT dan juga transmisi enam-kelajuan automatik. Ini membolehkan trak pikap tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa 10 saat, dan mampu mencapai penggunaan bahan api pada kadar 7.8 l/100 km.

    Toyota Hilux 2020 dalam teaser UMWT – makin dekat?
    Untuk versi 2.4 liter turbodiesel, ia masih dijana oleh enjin 2GD-FTV berkuasa 150 PS/400 Nm bersama transmisi yang sama. Model dengan sistem pacuan empat roda kini dibekalkan dengan Kawalan Menurun Bukit, manakala model 4X2 pula diberikan sistem elektronik yang membolehkan gandar belakang beroperasi seakan diberikan LSD mekanikal, dakwa Toyota.

    Selain itu, perubahan mekanikal turut dibuat pada sistem suspensi di mana talaan penyerap hentaknya telah diusik semula, rekaan pada spring dedaun belakang ditingkat taraf serta menggunakan set bushing baharu. Menurut Toyota, kemaskini berkenaan dapat memberikan lebih keselesaan terutamanya ketika dipandu pada permukaan lasak dengan beban rendah. Persoalannya, adakah kita akan menerima semua peningkatan ini juga?

     
     
  • Honda City 2020 muncul lagi dalam iklan teaser M’sia

    Honda Malaysia sekali lagi telah menunjukkan iklan acah bagi City generasi kelima di laman Facebook rasmi mereka. Ini susulan kepada satu lagi iklan awal yang ditunjukkan minggu lalu, dengan mesej yang jelas – ini memberi petunjuk bahawa City terbaru ini tidak akan menunggu lama untuk diperkenalkan di sini.

    “Time to expose the pretenders” adalah keterangan yang mengiringi iklan berkenaan, yang menunjukkan lampu utama LED sepenuhnya pada City. Namun, jika anda mengharapkan ada perincian lain, misalnya senarai spesifikasi untuk pasaran tempatan, jawapannya tidak ada. Ini perlu tunggu sehingga model berkenaan dilancarkan secara rasmi, juga pada tarikh yang masih belum didedahkan.

    Pendekatan pemasaran agresif dari Honda ini tentunya disasarkan kepada model pesaing lain seperti Toyota Vios dan Mazda 2 Sedan. Toyota Malaysia juga tidak mahu kalah dengan “perang” pemasaran seperti ini; beberapa hari lalu mereka juga menaikkan iklan sebagai menjawab frasa “your time is up” pada iklan acah City sebelum itu.

    Apa yang boleh kita jangkakan sebagai penawaran di sini? Melihat kepada pasaran lain yang sudah menerima City baru ini, Thailand contohnya mendapat model yang dikuasakan oleh enjin petrol tiga silinder turbo 1.0 liter, berkemampuan 122 PS dan 173 Nm tork.

    Jumlah ini bersamaan 2 PS dan 28 Nm tork lebih tinggi berbanding kuasa yang dihasilkan enjin empat silinder 1.5 liter NA SOHC i-VTEC pada model City generasi keempat sekarang. Kedua-duanya masih menggunakan transmisi CVT.

    India pula mendapat dua pilihan enjin. Satu adalah enjin petrol i-VTEC yang dipertingkat dengan DOHC (sebelum ini SOHC), berkuasa 121 PS dan 145 Nm, manakala satu lagi adalah enjin diesel turbo i-DTEC berkuasa 100 PS dan 200 Nm. Kedua-dua enjin ini berkapasiti 1.5 liter dan boleh didapati dengan transmisi manual enam kelajuan, tetapi transmisi CVT hanya disediakan untuk enjin petrol.

    GALERI: Honda City 2020 Turbo RS pasaran Thailand

     
     
  • Sony Vision-S bakal diuji atas jalan di Jepun tahun ini

    Sony Vision-S bakal diuji atas jalan di Jepun tahun ini

    Awal tahun ini, Sony telah membawa sebuah kereta konsep yang dipanggil sebagai Vision-S ke pameran Consumer Electronics Show di Las Vegas. Kini, kereta tersebut kembali ke Jepun untuk kerja-kerja pembangunan seterusnya.

    “Prototaip Vision-S ini tiba di Tokyo untuk membangunkan lagi teknologi pengesanan dan audio. Ia juga sedang menjalani pembangunan sebagai persediaan untuk ujian atas jalan awam dalam tahun ini,” kata Sony. Ini nampak seperti satu langkah ke hadapan berbanding tujuan asal Sony menghasilkan kereta ini, iaitu cuma sebagai platform untuk menunjukkan teknologi keselamatan, keselesaan, hiburan dan kemampuan beradaptasi terkini.

    Penghasilan Vision-S melibatkan kerjasama dengan pelbagai pihak dan antara yang utama adalah Magna Steyr, iaitu syarikat yang juga terlibat dalam pembangunan Toyota Supra dan BMW Z4. Selain itu, turut terlibat sama adalah Bosch, Continental, Nvidia dan Qualcomm.

    Secara keseluruhannya terdapat 32 pengesan (sensor) gred automotif di luar dan dalam kenderaan ini. Daripada jumlah itu, 12 adalah kamera, 17 pengesan radar dan ultrasonik manakala tiga lagi adalah pengesan lidar solid-state. Melalui semua pengesan ini, Vision-S boleh membaca situasi trafik sekeliling dan memberikan fungsi pemanduan yang bersamaan dengan bantuan Level 2. Apabila perisian sistemnya dinaik taraf, ia boleh memberikan fungsi pemanduan autonomous Level 4 ke atas.

    Berat Vision-S adalah 2,350 kg dan ia digerakkan oleh dua motor elektrik yang mampu menghasilkan 400 kW (536 hp) secara keseluruhan. Pecutan 0-100 km/j dapat dilakukan dalam masa 4.8 saat manakala laju maksimum pula adalah 240 km/j. Kelengkapan lain padanya adalah seperti suspensi udara dengan tetapan double wishbone di depan dan belakang, tayar 245/40 di hadapan dan 275/35 di belakang, rim 21 inci serta brek Brembo.

     
     
  • Lamborghini Essenza SCV12 – hypercar kegunaan litar sahaja, 40 unit, enjin V12 6.5L berkuasa 830 PS

    Lamborghini Essenza SCV12 – hypercar kegunaan litar sahaja, 40 unit, enjin V12 6.5L berkuasa 830 PS

    Teaser sudah dikeluarkan sejak tahun lepas lagi, dan kini akhirnya Lamborghini Essenza SCV12 didedahkan secara rasmi. Hanya 40 unit sahaja yang akan dibuat dan Lamborghini memanggilnya sebagai satu “keturunan langsung bagi model seperti Miura Jota dan Diablo GTR.”

    Hypercar terbaru Lamborghini ini menggunakan enjin V12 NA yang paling berkuasa pernah dihasilkan oleh syarikat itu, dengan saiz 6.5 liter dan kuasa sehingga 830 PS (819 hp) – mengalahkan Sian FKP hibrid (808 hp). Menurut Lamborghini, antara penyumbang kepada kuasa yang tinggi ini adalah kesan ram-air yang diperolehi pada kelajuan tinggi melalui bonetnya.

    Ada dua bukaan udara pada bonet ini, serta lekuk yang menghalakan angin kepada skup atas bumbung, dan ia membantu menyampaikan tekanan angin dinamik kepada salur intake, seterusnya meningkatkan kuasa. Bahagian lain yang turut memberi kesan adalah ekzos khas rekaan Capristo yang dapat mengurangkan back pressure sekaligus meningkatkan prestasinya.

    Kuasa daripada enjin disampaikan kepada roda belakang melalui kotak gear sequential enam kelajuan, yang juga bertindak sebagai penyokong struktur kepada casis gentian karbon kereta ini. Suspensi jenis pushrod dipasang terus pada casis untuk mengurangkan berat sementara nisbah kuasa kepada berat pula adalah 1.66 hp/kg. Rim bersaiz 19 inci di hadapan, 20 inci di belakang (binaan magnesium) dan dibalut dengan tayar slick Pirelli.

    Untuk ciri aerodinamik, jurutera Lamborghini Squadra Corse yang membangunkan kereta ini dapat menghasilkan daya tolakan ke bawah (downforce) sehingga 1,200 kg pada kelajuan 250 km/j dan jumlah ini adalah lebih daripada sebuah kereta lumba GT3. Selain rekaan bonet khas, kereta ini juga mempunyai splitter hadapan, sirip menegak di tepi dan sayap belakang yang boleh dilaras.

    Satu lagi yang menarik, struktur binaan badan SCV12 ini hanya melibatkan tiga elemen bagi memudahkan ia dibuka dan ditukar jika perlu waktu berhenti di pit perlumbaan. Empat grafik badan ditawarkan semasa pelancaran iaitu Verde Silvans, Grigio Linx, Nero Aldebaran Gloss dan Arancio California.

    Lamborghini Essenza SCV12 – hypercar kegunaan litar sahaja, 40 unit, enjin V12 6.5L berkuasa 830 PS

    Masuk ke bahagian dalam anda akan menyaksikan papan pemuka yang dibuat daripada gentian karbon dan banyak elemen rekaan berbentuk Y yang nampak seperti sayap jet pejuang. Stereng mendapat inspirasi daripada jentera F1 dengan pelbagai butang kawalan dan informasi sementara tempat duduk pula menggunakan unit OMP yang mendapat kelulusan FIA.

    Disebabkan SCV12 adalah sebuah kereta yang hanya boleh dibawa dalam litar, pembeli juga akan diberikan program khas di beberapa litar terkenal dunia bersama pasukan sokongan daripada Lamborghini sendiri. Selain daripada itu, setiap kereta juga datang dengan servis simpanan di gudang binaan khas untuk kelab SCV12 di Sant’Agata Bolognese dan pemilik boleh melihat kenderaan mereka 24 jam melalui aplikasi kamera yang disediakan.

    Tidak cukup dengan itu, jika pemilik mahu merasakan pengalaman sebenar menjadi pelumba, mereka juga boleh menyertai Lamborghini Squadra Corse Drivers Lab by Tecnobody, iaitu program latihan atletik sama seperti yang dilakukan oleh pelumba Lamborghini.

     
     
  • Rusia cadang pasang alat kesan mabuk dalam kereta

    Rusia cadang pasang alat kesan mabuk dalam kereta

    Masalah memandu dalam keadaan mabuk ini bukanlah jadi masalah di Malaysia sahaja. Undang-undang yang lebih ketat, dengan hukuman berat sentiasa menjadi antara jalan yang dipertimbangkan untuk mengekang masalah tersebut. Tetapi, di Rusia ketika ini, ada cadangan lain yang mungkin lebih menarik dan berkesan untuk mengelak kecelakaan akibat pemanduan mabuk, dan bukan sebagai hukuman selepas malapetaka berlaku.

    Rusia sedang mempertimbangkan untuk menghalang pemandu mabuk daripada memegang stereng dan memandu, tetapi bagaimana? Dengan cara memperkenalkan alat pengesan/hidu alkohol pada pemandu yang siap dibina dalam kereta. Dengan cara ini, jika sistem pada kereta merasakan pemandu berada di bawah pengaruh alkohol, mereka tidak akan “dibenarkan” memandu. Negara itu juga mempertimbangkan agar semua kereta yang keluar dari kilang siap dipasangkan dengan alat berkenaan, lapor Reuters.

    Menurut akhbar Komersant di Rusia, menteri industri negara itu turut dilaporkan sedang merangka rancangan itu menjelang hujung 2020 ini untuk melaksanakan penggunaan kunci dalaman pada kenderaan, yang memerlukan pemandu untuk lulus ujian alkohol terlebih dahulu sebelum enjin kenderaan boleh dihidupkan.

    Memperkenalkan kunci dalaman untuk mengesan alkohol itu tentunya melibatkan kos tambahan kepada pengeluar kenderaan, dan cadangan itu mungkin akan dibantah oleh kebanyakan syarikat memandangkan keadaan ekonomi dan pasaran ketika ini yang kurang memberangsangkan akibat penularan wabak Covid-19.

    Dengan Rusia sebagai negara yang ramai warganya merupakan peminum dan pemabuk tegar, kajian oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan pengambilan minuman beralkohol menurun sekitar 43% dari tahun 2003 hingga 2016, disebabkan oleh cukai alkohol yang tinggi, pembanterasan minuman memabukkan buatan sendiri dan harga minuman vodka yang lebih tinggi.

     
     
  • Mercedes-AMG GT 2021 – model asas dipertingkat, kuasa 530 PS, lebih banyak kelengkapan dan pilihan

    Mercedes-AMG GT 2021 – model asas dipertingkat, kuasa 530 PS, lebih banyak kelengkapan dan pilihan

    Mercedes-AMG telah melancarkan model GT Coupe dan Roadster 2021, yang diberikan peningkatan kuasa, kelengkapan serta pilihan tambahan. Model asas ini sekarang datang terus dengan kuasa enjin 530 PS, iaitu 54 PS lebih tinggi berbanding sebelum ini dan menyaksikan versi GT S Coupe dan Roadster dikeluarkan daripada senarai.

    Kelengkapan standard lain yang diberi pada GT 2021 adalah suspensi AMG Ride Control dengan penyerap adaptif, pengunci differential elektronik pada gandar belakang, sistem brek komposit prestasi tinggi AMG dengan angkup berwarna merah, bateri pemula lithium ion serta mod pemanduan “Race”.

    Pakej AMG Dynamic Plus pula ditawarkan sebagai pilihan tambahan, bersama active rear axle steering dan Night Edition. Pek Night Edition ini memberikan angkup brek warna hitam, gril hadapan krom gelap AMG, lampu utama yang digelapkan serta rim 19 inci di hadapan dan 20 di belakang, yang berwarna hitam matte.

    Barangan tambahan lain adalah termasuk bumbung gentian karbon dengan kemasan hitam pada model Coupe, sementara model Roadster mendapat bumbung fabrik berwarna hitam. Pilihan warna luar baru adalah hitam metalik Obsidian, kelabu metalik Selenite dan kelabu Magno Designo Graphite.

    Untuk bahagian kabin, pakej Night Edition juga memberikan tempat duduk AMG Performance yang dibalut kulit Nappa, pakej AMG Interior Night, stereng AMG yang dibalut gentian mikro Dinamica, penukar gear di stereng berwarna hitam dan kemasan hitam berkilat di beberapa bahagian lain. Anda juga boleh memilih kemasan gentian karbon.

    Di Eropah, GT yang diberikan pembaharuan bagi model tahun 2021 ini dijual pada harga 119,079.80 euro (RM595k) untuk versi Coupe dan 130,679.80 euro (RM653k) untuk versi Roadster. Ia akan berada di pusat pameran di sana pada bulan November 2020.

     
     
  • Proton perluas rangkaian pengurusan kereta terpakai kepada 36 cawangan, tingkatkan nilai jualan semula

    Proton perluas rangkaian pengurusan kereta terpakai kepada 36 cawangan, tingkatkan nilai jualan semula

    Nilai jualan semula kenderaan memang memainkan peranan penting yang turut menyumbang kepada keputusan pembelian dalam kalangan kita. Untuk itu, Proton turut mencari jalan untuk mengekalkan nilai kenderaan keluarannya dalam pasaran menerusi rangkaian “trade-in” Used Car Management (UCM).

    Proton telah menubuhkan bahagian baru tahun lalu untuk menyokong penjualan kereta baru keluarannya dengan cara membantu pelanggan untuk melupuskan kenderaan terpakai mereka. Bahagian ini bermula sebagai projek percubaan melibatkan lapan cawangan, dengan tumpuan diberikan terhadap mengenalpasti prosedur operasi dan melatih penilai kenderaan terpakai yang akan menguruskan setiap cawangannya. Tahun ini, syarikat itu akan memperluaskan rangkaian berkenaan kepada 36 lagi pusat 3S dan 4S di seluruh negara.

    Sasaran ketika ini ialah untuk jualan gantian, dengan pelanggan melakukan “trade in” kereta Proton lama bagi model baru, dan dijangka akan menyumbang sebanyak 10% daripada jumlah jualan di cawangan terlibat. Proton juga telah mewujudkan program seperti Proton Xchange, direka untuk menggalakkan pemilik semasa untuk menaik taraf, bagi membantunya mencapai sasaran berkenaan.

    Proton perluas rangkaian pengurusan kereta terpakai kepada 36 cawangan, tingkatkan nilai jualan semula

    Kenderaan terpakai ini akan dijual di bawah Proton Certified Pre-Owned (PCPO), yang turut melibatkan pemeriksaan 201-poin dan jaminan bahawa semua kereta terbabit tidak melibatkan kerosakan struktur akibat kemalangan atau banjir. Kenderaan tersebut juga akan menerima lanjutan jaminan setahun bagi enjin dan transmisi dan sah untuk menerima sekali servis percuma (minyak enjin dan penapis minyak sahaja) sehingga enam bulan selepas pendaftaran.

    “Di masa akan datang, UCM akan memperkenalkan portal khas bagi kenderaan terpakai Proton dengan platform jualan online. Pelanggan yang berminat boleh meneliti stok yang ada, serta boleh juga mendapatkan penilaian anggaran bagi kereta semasa mereka,” jelas Ketua UCM, Brian Cheah.

    “Kami memulakan program UCM pada Oktober 2019, dan ia telah membantu penasihat jualan kami untuk melengkapkan jualan mereka kerana kami menawarkan nilai “trade in” yang lebih kompetitif bagi kereta terpakai Proton,” jelas Pengarah Urusan LHM One Stop Car Service Center, Ryan Lai.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025